BAB 8
Tidur malam Naira terganggu. Dia segera bangun
menuju ke dapur. Dia ingin membasahkan tekaknya
dengan air. Sewaktu dia ingin melewati ruang tamu, dia
melihat Naufal sedang ralit bermain Playstation. Patutlah
pelbagai bunyi kedengaran dari dalam bilik. Rupanya…
Nasib sahaja bilik ibu dan ayahnya agak jauh dari
situ. Kalau tidak sudah pasti Naufal kena tembak dengan
bebelan ibunya lagi. Anak mata menjamah ke dinding.
‘Ya Allah! Pukul 5.00 pagi pun tak tidur lagi main
benda tu?’ Naira menggeleng. Dia mula mendekati adik
lelakinya.
“Naufal!”
“Ye, saya.”
Kepala Naufal berpaling sekejap ke arah kakaknya
itu. Kemudian dia kembali fokus melihat skrin di
hadapannya.
47
“Kenapa tak tidur lagi ni? Kang ibu keluar nampak
kau masih hadap benda ni tak pasal-pasal kau kena
marah lagi. Baik kau tidur sekarang sebelum ibu bangun!”
Naira memberi amaran. Dia pun tidak suka bila
mendengar ibunya membebel setiap hari. Tapi adiknya
yang satu ini tidak pandai serik. Kepalanya agak keras.
Dia sering mengundang kemarahan ibunya.
“Alaa… kejaplah, kak. Bagilah chance Naufal main
sampai habis dulu. Last game, okey?”
“Last game ya? Lepas ni kalau akak nampak kau
masih main lagi, siap!”
“Oraitt…” balas Naufal sambil mengangkat ibu
jarinya.
Naira menggeleng. Dia melangkah meninggalkan
adiknya dan mula menuruni anak tangga. Dia menuju ke
arah peti ais dan mengeluarkan botol minuman. Dia ingin
membasahkan tekaknya dengan air sejuk.
Glug, glug, glug.
Naira dapat merasakan air sejuk yang mengalir
dari dalam lehernya. Dia berasa lega.
48
“Kenapa akak bangun?” tanya Naufal sebaik
sahaja masuk ke ruangan dapur.
“Tidur tak lena.” Jawab Naira tanpa memandang
wajah adiknya yang berdiri di sebelah.
“Aik… tak lena kenapa?”
Naira tidak menjawab. Dia meneguk lagi segelas
air sejuk ditangannya.
Naufal tersengih. “Tak lena sebab ingatkan
seseorang ke?”
“Eh, tiber….” Naira membalas. “Tak ada
maknanya nak ingatkan seseorang. Akak terbangun
sebab dengar bunyi hentakan kaki kau tu. Akak ingatkan
gempa bumi ke apa tadi.”
“Ohh… heee…” Naufal tersengih sambil menggaru
kepala. Dia baru teringat yang dia ada menghentakkan
kaki beberapa kali di lantai semasa kalah dalam
permainan tadi.
Perbualan mereka terhenti di situ. Naira dan
Naufal kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik
masing-masing.
49
Usai menunaikan solat subuh, Naira menyambung
tidur semula. Pada waktu itulah dia baru dapat tidur
dengan nyenyak kerana tiada lagi bunyi gangguan dari
luar.
Udara di waktu pagi memang sangat sejuk.
Ditambah pula dengan kesejukan udara yang keluar dari
penghawa dingin. Tidak hairanlah jika Naira tidur mati
sekalipun matahari sudah tegak di atas kepala. Lagi pula
hari itu adalah hari minggu. Dia mahu tidur sepuasnya.
Dia hanya akan bangun apabila perutnya berbunyi.
Puan Aina sudah menyiapkan sarapan pagi di atas meja.
Seperti biasa, Encik Hamzah merupakan orang pertama
yang setia menunggu duduk di situ. Kopi tanpa gula
merupakan minuman kegemarannya dan wajib dibuat
oleh isteri kesayangan. Dia tidak mahu kopinya itu dibuat
oleh orang lain melainkan isterinya sendiri.
“Naira tak bangun lagi ke?” soal Encik Hamzah
kepada Najla yang baru sampai di meja makan.
50
Najla mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia
mula menghirup teh hangat dihadapannya.
“Tak bangun lagi agaknya perawan kita tu. Naufal
mana, Najla?”
Sekali lagi Najla mengangkat bahu.
“Aik… kamu dah jadi bisu ke ni sampai tak boleh
nak bercakap, Najla. Ayah kamu tanya tu adik kamu
mana.” Kata Puan Aina sambil menyenduk nasi goreng ke
dalam pinggan.
“Manalah Najla tahu, ibu. Bilik tidur kami
bukannya sama. Agaknya masih tidurlah tu,” jelas Najla.
“Haa… tu Naufal!” sambung Najla tatkala melihat
Naufal menuruni anak tangga.
Naufal menarik kerusi. Mukanya bengkak baru
bangun tidur. Dia terpaksa bangun awal kerana tidak
mahu ibunya tahu yang dia tidur lewat semalam. Dia
takut ibunya itu bertukar menjadi singa awal pagi lagi.
“Kamu tidur pukul berapa semalam, Naufal?”
tanya Puan Aina sambil menghulurkan pinggan berisi nasi
goreng kepada anak bongsunya itu.
51
“Err…” Naufal menggaru kepala. “Tak ingatlah,
ibu…” dia berbohong. Kalau ibunya tahu waktu sebenar
dia tidur semalam memang habislah dia.
“Najla tak pergi jogging ke pagi ni?” Encik Hamzah
menukar topik.
Sebenarnya dia tahu yang anak lelakinya itu tidur
lewat semalam. Dia secara tidak sengaja terdengar suara
Naira memarahi adiknya ketika hendak buang air kecil.
Dia bukannya hendak menyorok perbuatan Naufal
daripada pengetahuan Puan Aina. Cuma dia tidak mahu
mendengar isterinya itu membuat bising sewaktu di meja
makan.
“Tak, ayah. Perut Najla sakit dari semalam…
senggugut...”
Encik Hamzah mengangguk. Dia sudah sedia
maklum dengan penyakit yang dialami setiap bulan oleh
semua wanita itu.
Tidak lama kemudian kelibat Naira muncul. Perut
yang lapar memaksanya bangun dari tidur. Langkahnya
52
laju menuju ke meja makan. Akhirnya lengkap mereka
sekeluarga di situ.
“Good morning…” ucap Naira seraya menarik
kerusi di sebelah kakaknya.
“Ingat dah tak nak bangun makan tadi.”
Naira tidak menghiraukan kata-kata kakaknya.
Laju saja tangannya mencapai pinggan kosong lalu
menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Berbukit juga
nasi goreng yang diambilnya waktu itu. Lalu satu suapan
masuk ke dalam mulut.
“Naira…” panggil Encik Hamzah. Naira berpaling
ke arah ayahnya.
“Baca doa.” Tegur Encik Hamzah. Mungkin dia
terlalu lapar sehingga lupa untuk membaca doa makan.
“Oh, iya… iya…” Naira malu-malu kucing setelah
ditegur oleh ayahnya. Dia lantas merapatkan kedua-dua
telapak tangan lalu berdoa.
Suasana di meja makan sunyi seketika. Tiada
suara manusia yang kedengaran. Yang ada hanyalah
53
suara sudu berdenting. Masing-masing khusyuk
menikmati makanan dihadapan mereka.
“Najla boleh tak teman ibu ke pasar raya lepas
makan tengah hari nanti? Ibu nak beli barang dapur kita
yang dah habis.” Suara Puan Aina memecah kesunyian.
“Okay, boleh!” jawab Najla. Dia menjawab tanpa
berfikir panjang. Dia bersetuju untuk menemani ibunya
berbelanja kerana hari itu dia tiada kerja untuk dilakukan.
Lagipun pada hujung minggu saja dia dapat meluangkan
masa bersama keluarga. Hari isnin hingga jumaat dia
sibuk bekerja sehingga ke petang. Hari Sabtu pula dia
hanya bekerja sehingga waktu tengah hari. Begitu juga
Naira.
“Ayah tak ikut ke?” soal Najla kepada Encik
Hamzah.
“Tak. Ayah ada mesyuarat dengan ahli
jawatankuasa masjid selepas zohor nanti. Nak buat
persiapan untuk sambutan majlis Tilawah Al-Quran bulan
depan.”
54
Encik Hamzah bukan sahaja rajin menunaikan
solat di masjid, namun dia juga aktif melibatkan diri
dalam apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak
masjid. Sejak dari kecil lagi dia sudah biasa dibawa ke
rumah Tuhan itu oleh arwah atok Naira. Maka tidak
hairanlah jika Encik Hamzah sering saja dilihat
menunaikan solat fardhu di masjid pada setiap masa.
“Naira nak ikut, ibu!” Mulut Naira penuh nasi.
Nasib saja dia tidak tersedak pada waktu itu. Kalau tidak
sudah pasti nasi di mulutnya berterabur di atas meja.
Ibunya menggelengkan kepala.
“Kamu ni Naira… Lain kali habiskan dulu makanan
dalam mulut tu baru bercakap,” tegur Puan Aina.
Naufal hanya tertawa melihat gelagat kakak
keduanya itu.
55
BAB 9
“Naira… Naira!”
Jerit Puan Aina memanggil anaknya yang berada
di tingkat atas. Usai solat zohor tadi dia terus bersiap-siap
untuk pergi ke pasar raya.
“Kejap, ibu!” balas Naira. Dia tergesa-gesa
menyarung tudung bawalnya di atas kepala. Dia tahu
yang ibunya tidak suka menunggu lama-lama.
Akibat terlalu kenyang selepas makan tengah hari
tadi menyebabkan dia berasa mengantuk. Niatnya
berbaring hanya untuk melelapkan mata seketika.
Malangnya dia terlajak tidur. Untung saja dia terjaga
setelah terdengar bunyi panggilan daripada telefonnya.
“Haih… mana pulak pin tudung aku ni? Dah lah
nak cepat time ni jugak dia hilang!” Naira semakin kelam
kabut. Dia mencari pin tudungnya merata tempat namun
tidak jumpa. Akhirnya dia berputus asa. Tudung yang
sudah tersarung di atas kepala kembali dibuka. Dia
56
kemudian mengambil tudung sarung berwarna mustard
dalam laci almari.
Naira berpusing ke kanan dan kiri. Dia melihat
penampilannya menerusi cermin di hadapannya.
“Hantam ajelah. Beli barang dapur je kot…”
Lantas Naira menuju ke meja kecil di sebelah
katil. Kunci kereta dicapai lalu dia menghilang dari muka
pintu.
Suasana pasar raya pada ketika itu agak riuh dengan
suara pengunjung yang datang. Orang ramai sibuk
membeli barang keperluan di pusat perbelanjaan itu.
Sesekali terdengar pengumuman yang dibuat oleh
petugas pasar raya melalui pembesar suara.
“Good afternoon ladies and gentlemen, we have
found a little girl named Dania. If you are with Dania,
please come to the customer service office. Thank you.”
57
Suara seorang petugas mengumumkan
kehilangan seorang kanak-kanak di dalam pasar raya itu.
“Hishh… bahaya betul bawa budak-budak pergi
pasar raya waktu macam ni. Dah lah hujung minggu
memang ramai orang. Nasiblah pekerja mall yang jumpa
budak tu. Kalau tak… tak tahulah apa jadi. Sekarang ni
penculik ada kat mana-mana aje.”
Puan Aina mula menyatakan kerisauannya pada
Naira. Naira yang bersetuju dengan ibunya mula
mengangguk.
“Betul tu, ibu. Macam manalah mak budak tu
boleh terlepas pandang anak dia sendiri, kan?” Kata Naira
sambil menolak troli.
“Hmm, entahlah.” Pendek jawapan ibunya. Dia
tidak mahu mengusutkan kepala memikir hal itu. Lalu
kedua-dua mereka kembali fokus meneruskan misi
mencari barangan dapur.
Mata Naira ralit melihat tulisan pada sekeping
kertas yang dipegangnya. Sebelum jalan tadi ibunya
58
sudah pun menulis senarai barangan yang ingin dibeli
sebagai panduan ketika berbelanja.
“Naira jangan lupa beli barang yang dipesan oleh
kakak kamu tadi. Mengamuk dia nanti.” Puan Aina
mengingatkan Naira. Hampir saja Naira terlupa untuk
membeli barang yang dikirim kakaknya itu. Najla yang
pada asalnya mahu menemani ibunya membeli barang
tidak jadi ikut. Senggugutnya masih belum habis.
“Najla tak jadilah nak teman ibu beli barang
dapur. Perut Najla masih sakitlah. Rasa macam nak
tercabut je pinggang ni,” kata Najla kepada ibunya ketika
di dapur. Badannya bongkok menahan kesakitan.
“Yelah… Najla rehat je kat rumah. Ada Naira
teman ibu.”
Najla mengangguk
“Ibu nanti tolong belikan sekali pad untuk Najla,
ya? Najla punya dah nak habis ni.”
“Yelah…”
Naira cuba mengambil tuala wanita jenama
Libresse pada sebuah rak yang agak tinggi. Dia
59
menjongketkan kaki untuk mencapai bungkusan itu,
namun gagal. Naira mengeluh keras.
‘Susah betul ada kakak yang cerewet ni. Nasib je
dia dah pesan awal-awal tak nak pakai jenama lain. Kalau
tak dah selesai masalah!’ keluh Naira dalam hati.
Dia berpaling melihat rak yang terletak di sebelah
kirinya pula. Kelihatan masih banyak bungkusan tuala
wanita yang pelbagai jenama. Sementara rak di
tempatnya berdiri hanya ada tinggal satu sahaja
bungkusan tuala wanita. Itupun terletak pada tingkat rak
yang paling atas. Entah kenapa tuala wanita Libresse laku
keras pada waktu itu.
Naira menarik nafas dalam. Kemudian dia
menjongketkan kakinya semula untuk mengambil barang
tersebut. Tidak lama kemudian satu suara garau
kedengaran dari arah belakang.
“Boleh saya tolong?”
“Hmm, ya. Saya nak am...bil…” balas Naira.
Ayatnya tergantung tatkala melihat wajah lelaki yang
berdiri di belakangnya.
60
“Eh, Naira!”
“Harry! Awak buat apa kat sini?” Naira
mengajukan soalan cepumas. Soalan itu keluar serta-
merta dari mulutnya. Bukannya dia tidak tahu tujuan
orang datang berkunjung ke pasar raya. Cuma dia
terkejut melihat Harry dan seorang lagi rakannya yang
tiba-tiba ada di situ.
“Saya nak cari alat memancing. Saya sangka
siapa tadi… rupanya awak.” Harry pun tidak menyangka
yang dia akan bertemu dengan Naira di situ.
“Hm… awak nak ambik tu ke? Jap… biar saya
tolong…” Harry menawarkan bantuan. Laju saja
tangannya mencapai bungkusan berwarna ungu itu.
‘Aduh! Malunya aku…’ dengus Naira dalam hati.
Mukanya bertukar menjadi merah. Dia berasa sangat
malu. Dia malu kerana Harry yang datang membantunya
mengambil tuala wanita itu. Ikutkan hati mahu saja dia
menjerit dan lari dari situ.
“Nah…” Harry menghulurkan bungkusan itu
kepada Naira.
61
“Err… terima kasih, Harry.” Dia cepat-cepat
mengambil bungkusan yang diberi lalu tangannya disorok
ke belakang.
“Sama-sama, Naira.” Harry melempar senyum
kepada Naira. Naira pula sekadar memberi senyum tawar
akibat malu. Naira kemudian mengalih pandangan anak
matanya ke arah lelaki yang tidak dikenali yang berdiri di
sebelah Harry. Harry yang faham dengan keadaan itu
mula memperkenalkan rakannya kepada Naira.
“Naira, ni kawan serumah saya, Shaqil.” Sambung
Harry. “Shaqil, Ni Naira. Kawan sekerja aku.”
Kedua-duanya saling berbalas senyuman.
“Hai, Shaqil!” sapa Naira.
“Hai…” Shaqil mengangkat tangan tanda salam
perkenalan. Harry kembali bertanya kepada Naira apabila
mendapati wanita itu bersendirian.
“Awak sendiri saja ke, Naira?”
“Tak… saya datang dengan ibu saya. Cuma
sekarang dia tengah cari barang kat bahagian sebelah
62
sana,” jelas Naira sambil tangan kanannya menunjuk ke
bahagian barang dapur. Harry dan Shaqil mengangguk.
“Kamu berdua cari apa dekat sini?” soal Naira
ingin tahu. Dia tertanya-tanya barang apa yang ingin
mereka cari di situ. Setahunya tempat itu hanya ada
barang mandian dan keperluan wanita sahaja.
“Tadi kami nak pergi sebelah sana untuk cari mata
kail. Kebetulan masa limpas tadi saya nampak Naira nak
ambil barang. Tu yang saya datang tolong...”
“Ohh…” balas Naira pendek.
“Naira!”
Mereka bertiga serentak berpaling ke arah suara
yang memanggil. Kelihatan Puan Aina sedang menuju ke
arah mereka sambil membawa sebuah bakul yang hampir
dipenuhi dengan barang-barang dapur.
“Ibu, dah siap ke?” tanya Naira sebaik sahaja
ibunya sampai di situ.
“Siap dah... hmm, siapa ni, Naira?” soal Puan Aina
kepada anak gadisnya. Setahu ibunya itu Naira jarang
berkawan dengan mana-mana lelaki. Kalau ada pun pasti
63
dia sudah kenal kerana Naira sering sahaja bercerita soal
rakan-rakan disekeliling kepada Puan Aina.
Harry menghulur tangan untuk bersalaman
dengan wanita separuh usia itu. Kemudian diikuti pula
oleh Shaqil. Puan Aina melontar senyum kepada kedua-
dua lelaki yang berdiri di depannya itu.
“Ini kawan Naira, Ibu. Harry dan Shaqil. Kami
kerja dekat satu pejabat.”
Puan Aina hairan. Selama ini tidak pernah pula
anaknya itu bercerita tentang mereka berdua kepadanya.
“Yeke? Tak pernah pulak ibu dengar kamu sebut
nama mereka berdua selama ini.” Tambah Puan Aina.
“Iya, ibu. Harry sebenarnya baru berpindah dan
kerja dekat sini. Sebelum ini dia tinggal di Sabah dan
berasal dari sana. Shaqil pulak kawan serumah Harry.
Kami baru aje kenal sebab tu Naira tak sempat lagi nak
cerita pasal dorang kat ibu.” Jelas Naira kepada Puan
Aina.
“Ohh…patutlah…”
64
Setelah beberapa minit berada di situ barulah
Harry dan Shaqil meminta diri. Mereka kemudiannya
menuju ke arah kaunter untuk membuat pembayaran.
65
BAB 10
Angin petang mendinginkan suasana petang.
Harry dan Shaqil tiba di situ kira-kira setengah jam
perjalanan dari rumah sewa mereka. Harry yang hanya
berseluar jeans dan memakai T-Shirt kelabu itu keluar
dari kereta Proton hitam Shaqil dan terus menuju ke
belakang kereta. Dia membuka bonet kereta dan
mengeluarkan barang-barang yang ingin dibawa.
Kelihatan dua batang joran, sebuah bekas kecil bertutup
yang berisi umpan untuk memancing dan beg kecil yang
mengandungi perkakas atau alatan memancing seperti
mata kail, tali pancing dan sebagainya.
Setelah sampai di tebing sungai, mereka segera
memasang umpan. Ketika menunggu umpan direnggut
ikan, Harry mendengar lagu melalui telefonnya yang
disambung dengan earphone. Shaqil pula leka menghisap
vape sementara menunggu gerakan dari tali jorannya.
Hampir sejam berlalu namun mereka masih
belum dapat menangkap walau seekor ikan. Harry
66
mencabut earphone dari telinganya. Dia bosan. Dia
melihat Shaqil yang berada di sebelahnya masih sabar
menanti.
“Mana ikan semua ni, Shaqil?” suara Harry
memecah hening petang. Dia memukul betisnya yang
dihurung nyamuk. Habis merah betis putihnya itu.
“Sabarlah, Harry. Memancing ni memerlukan
kesabaran yang tinggi.”
Harry diam. Sudah dua bulan dia jatuh cinta
dengan hobi barunya itu. Setiap kali hujung minggu dia
dan Shaqil pasti datang ke sungai untuk memancing.
Semua ini gara-gara hasutan daripada rakannya itu
sehingga dia juga turut terjebak dalam kegiatan
memancing.
Dia teringat kata-kata Shaqil semasa kali pertama
dia dibawa ke situ. “Aku kalau tak pergi memancing
walau sehari dalam seminggu, memang tak tenang hidup
aku. Tidur tak lena, mandi tak basah, makan pun tak
kenyang. Kau tahu tak?”
67
Harry tersengih mendengar kata-kata rakannya
itu. “Kau ni… over sangat!”
“Kau tak rasa lagi penangan orang yang dah gila
memancing ni! Feel dia berbeza, tahu tak? Tak sama
dengan feel bercinta dengan perempuan! Esok-esok
kalau kau pun dah terjebak sama macam aku ni… barulah
kau faham apa yang aku rasa sekarang.”
Harry tersenyum. Sememangnya, ada benar juga
kata-kata Shaqil itu. Kini, dia sudah dapat merasakan
‘feel’ yang dimaksudkan oleh Shaqil. Entah mengapa,
setiap kali saja fikirannya berserabut dengan pelbagai
masalah kerja dan peribadi, di sungai inilah tempat dia
menenangkan fikiran dan jiwanya yang kacau. Di sini dia
dapat mengajar dirinya untuk sentiasa bersabar dan
tenang dalam menghadapi segala kesusahan yang ada.
Disebabkan itu jugalah dia beranggapan bahawa
kegiatan memancing ini merupakan satu terapi diri.
“Harry.” panggil Shaqil. Harry berpaling.
“Perempuan tadi tu kawan kau eh?” Shaqil mula
bertanya soal Naira. Sebenarnya semasa dalam
perjalanan tadi lagi dia ingin bertanya kepada Harry.
68
Namun tidak berkesempatan akibat melayan soalan
daripada Harry berkaitan kawasan memancing yang ada
di sekitar Johor, kampung Shaqil. Dia menyatakan
hasratnya untuk pergi ke kampung rakannya itu satu hari
nanti.
“Ya, kawan kerja aku. Kenapa?” soal Harry pula.
“Yeke kawan kerja? Habis kenapa dia macam
malu-malu masa nampak kau tadi? Kalau kawan buat apa
nak malu, kan?”
Harry menggaru kepala. “Manalah aku tahu!”
Harry kembali melempar pandangannya ke arah sungai.
Dia malas hendak melayan Shaqil itu. Dia tahu yang
rakannya itu tidak habis-habis cuba untuk menyakatnya.
Sebelum ini Shaqil pernah memberitahu untuk
mencarikan seorang teman wanita buat Harry.
Alasannya, supaya Harry tidak bosan. Kononnya… walhal
Shaqil sendiri pun masih memegang status single.
Harry kembali sabar menunggu. Detik demi detik
ditunggu namun seakan tiada satu umpan pun diragut
oleh si ikan. Tidak lama kemudian, rod Harry disentap
ikan haruan dengan berat hampir satu kilogram.
69
“Tarik ke atas, Harry! Jangan terlepas!” Shaqil
memberi arahan. Harry sedaya upaya menarik tali
jorannya. Ikan itu memberikan reaksi yang agresif
dengan melarikan umpan ke kawasan batu-batu besar.
Namun Harry tidak putus asa. Akhirnya ikan itu berjaya
dibawa naik ke darat.
“Kan aku dah cakap…” kata Shaqil sambil
menepuk belakang Harry.
“Kesabaran membawa hasil!” Harry menyambung
ayat rakannya itu. Akhirnya, penantiannya tidak sia-sia.
Dia tersenyum puas melihat ikan sebesar tapak kaki itu.
Semangatnya makin berkobar-kobar. Ikan yang
ditangkap tadi dimasukkan ke dalam bekas bertutup yang
dibawa. Kemudian dia kembali melempar mata kailnya ke
dalam sungai. Bunyi nada pemberitahuan daripada
telefon pintar Shaqil menandakan ada satu mesej masuk.
Dia menggapai telefon di dalam koceknya lalu anak mata
menjamah ke arah skrin yang menyala.
70
Ikan haruan yang dilumur dengan sedikit garam dan
asam jawa itu dimasukkan ke dalam kuali yang berisi
minyak panas. Harry menjarakkan sedikit tubuhnya
tatkala minyak panas itu memercik dari kuali. Lebih
kurang dalam lima minit juga dia menggoreng ikan itu.
Usai menggoreng, ikan itu pun dialih ke dalam pinggan.
Kunyahan mulut Harry semakin lama semakin
perlahan. Dia merasakan tekaknya itu bagaikan sudah
tidak dapat menerima makanan lagi akibat terlalu
kenyang. Ikan yang digoreng tadi masih ada tersisa
separuh bahagian.
‘Kalau Shaqil ada confirm ikan ni dah lama lesap!’
Malam itu Harry tinggal bersendirian. Lepas saja
menunaikan solat maghrib tadi Shaqil terus bergerak
pulang ke Johor. Semasa memancing di sungai tadi Shaqil
telah menerima satu khabar duka dari kampung.
Bapanya telah ditahan di hospital akibat mengalami strok.
Selepas menerima berita itu Shaqil dan Harry langsung
bergegas pulang ke rumah. Sebaik sahaja sampai di
rumah Shaqil mula berkemas dan sempat menunaikan
solat maghrib sebelum bergerak ke Johor.
71
Harry bangun dari tempat duduknya sambil
mengangkat pinggan dan gelas lalu menuju ke dapur.
Tulang ikan yang tersisa di atas pinggan dibuang ke
dalam tong sampah. Terasa sunyi malam itu tanpa rakan
serumahnya. Harry menuju ke arah bilik. Dia merancang
untuk tidur awal. Entah mengapa malam itu dia berasa
mengantuk yang amat. Lagi pula esok dia perlu bangun
awal untuk pergi kerja. Matanya perlahan-lahan ditutup.
Tidak sampai beberapa minit selepas itu akhirnya dia lena
dibuai mimpi.
72
BAB 11
Harry ralit memandang skrin telefonnya. Hari itu
merupakan hari yang ditunggu-tunggu pada setiap bulan.
Aplikasi Maybank2u dibuka. Dia memeriksa baki semasa
di dalam akaun banknya. Bibir Harry menguntum
senyuman. Masuk bulan ini sudah masuk kali keempat dia
menerima gaji. Namun tidak pernah sekalipun dia lupa
untuk menghantar wang buat orang tua di kampung. Dia
cepat-cepat melakukan transaksi pemindahan wang
secara atas talian.
Ketika hendak keluar dari ruangan lif, Harry
terlihat Naira dan Sofea yang sedang berdiri dari
kejauhan. Sofea yang secara kebetulan memandang ke
arah lif juga terlihat kelibat Harry lalu melambai
tangannya ke arah lelaki itu. Naira berpaling. Harry sudah
pun mula mendekati mereka. Ketiga-tiga mereka saling
berbalas senyuman.
“Kamu berdua buat apa dekat sini?” tanya Harry.
Dia agak hairan melihat dua wanita bertudung di
73
hadapannya itu. Selalunya mereka akan berada di
ruangan kafe pada waktu begini.
“Kami nak pergi lunch. Naira kata dia dah bosan
makan kat kafe hari-hari.” Jelas Sofea. Naira hanya
mengangguk di sebelah.
“Harry nak ke mana bawak helmet ni?” soal Naira
ketika melihat tangan kanan Harry memegang sebuah
helmet hitam.
“Saya nak pergi makan dekat Restoran Seri
Indah. Hmm… so korang dah decide ke nak makan kat
mana?” tanya Harry pula.
“Hmm, belum lagi.” Jawab Naira. Dia dan Sofea
sejak tadi belum dapat memutuskan lokasi makan tengah
hari mereka. Betullah bila orang cakap wanita ini adalah
sejenis makhluk yang complicated. Tempat makan saja
bukan main payah untuk dipilih.
“Tapi dah kebetulan kita jumpa kat sini… apa kata
kita pergi makan sama, macam mana?” sambung Naira
lagi. Sofea yang bersetuju dengan cadangan rakannya itu
74
pantas mengangguk. “Boleh jugak! So… macam mana,
Harry? Setuju tak?” Sofea bertanya pendapat Harry.
“Okey, on!” laju saja Harry membalas. “Korang
follow aku dari belakang, okey?”
“Okey!” jawab Naira dan Sofea serentak. Mereka
kemudian berlalu dari situ. Naira dan Sofea menuju ke
arah kereta Naira manakala Harry pula menuju ke arah
motornya yang diletak berdekatan di situ.
Kelihatan Naira dan Sofea begitu fokus melihat senarai
makanan dan minuman yang ditulis pada buku menu.
Harry yang sudah biasa makan di situ menolak untuk
mengambil buku menu yang dihulur oleh pelayan
restoran.
“Teh lemon ais dengan nasi kandar.” Harry
memesan makanannya. Kali ini dia ingin mencuba
makanan berasal dari utara. Anak mata Naira dan Sofea
bertembung. Masing-masing tidak tahu untuk memesan
makanan apa. Sahlah wanita memang spesies yang sukar
75
untuk membuat pilihan! Walhal pilihan makanan sudah
begitu banyak di depan mata. Mereka hanya tinggal pilih
sahaja.
“Err… bagi saya teh lemon ais dan nasi kandar
jugak.” Naira membuat pesanan yang sama dengan
Harry. Dia kasihan melihat pelayan kedai itu berdiri lama
menunggu pesanan dari mereka. “Saya pun sama!” Sofea
pula bersuara. Harry yang duduk berhadapan dengan
Naira dan Sofea hanya senyum. Setelah selesai membuat
catatan pada sekeping kertas, akhirnya pelayan itu
berlalu ke bahagian dapur untuk menghantar pesanan.
“Kamu selalu ke makan kat sini, Harry?” Sofea
bertanya.
“Ya, saya selalu datang sini dengan kawan saya,
Shaqil. Naira kenal kan?” Tanya Harry kepada Naira pula.
Dia ingin tahu jika Naira masih ingat dengan rakannya
itu. Naira mengangguk laju.
“Ingat! Dia housemate awak kan?” soal Naira
ingin kepastian. Giliran Harry pula mengangguk. “Dia kat
mana sekarang? Kerja ke?” tanya Naira lagi. Baru sekali
dia terjumpa dengan rakan Harry itu. Selepas mereka
76
terserempak di pasar raya hari itu, belum pernah lagi dia
berjumpa dengan Shaqil.
“Dia dekat kampung sekarang… dekat Johor. Dia
bantu ibu dia jaga ayahnya yang terlantar sakit kat
hospital akibat strok. Adik dia semua masih kecil sebab
tu dia nak tolong jaga ayah dia.” Jelas Harry.
Sudah hampir seminggu Shaqil berada di
kampungnya. Entah apa khabar rakannya itu dia pun
tidak tahu. Kali terakhir dia menghubungi rakannya itu
dua hari yang lepas. Tiba-tiba muncul rasa bersalah
dalam diri Harry. ‘Kawan jenis apa aku ni tak reti nak
tanya khabar rakan sendiri.’ Harry mula memasang niat
untuk menghubungi Shaqil selepas pulang dari kerja
petang nanti.
“Kesiannya…” kata Sofea. Naira mengangguk dan
kemudian mengajukan lagi soalan, “Jadi… Harry tinggal
sendiri je lah kat rumah sekarang? Berapa lama Shaqil tu
jaga ayahnya? Harry tak takut ke tinggal sendiri?” Banyak
betul soalan Naira kali ini. Boleh sudah dia membuat satu
rancangan yang bertajuk ‘Sesi Soal-Jawab Bersama
77
Harry’. Harry yang mendengar soalan Naira itu lantas
ketawa kecil.
“Nak takut apa, Naira? Kalau takut pun terpaksa
jugak beranikan diri. Saya mana ada keluarga dekat sini.
Nak tak nak saya terpaksa jugak berdikari tanpa
harapkan bantuan dari keluarga yang jauh. Hidup ni tak
boleh terlalu bergantung dengan orang lain sebab
mereka tak sentiasa ada. Kita kena bergantung pada
kemampuan dan kepercayaan diri. Sebab tu fizikal dan
terutamanya mental kena kuat.” Panjang lebar ulasan
daripada Harry.
Naira dan Sofea mengangguk tanda setuju. Kalau
saja Harry punya keluarga di sekitar Kuala Lumpur sudah
pasti dia akan tinggal bersama keluarganya itu tanpa
membazir wang untuk sewa rumah. Naira kagum dengan
sikap positif Harry.
“Assalamualaikum.”
Harry, Naira dan Sofea mendongak. Masing-
masing berpandangan sesama sendiri sebelum
memandang seorang perempuan di hadapan.
“Waalaikumsalam.” Jawab mereka serentak.
78
“Saya ada jual roti dengan air kotak. Kakak dan
abang ada nak beli?” Ramah dan lembut nada pertuturan
gadis kecil itu.
Sofea senyum sambil berkata, “Tak apalah, kita
orang tengah tunggu makanan sampai ni. Adik jual kat
orang lainlah, ya?” Balas Sofea selamba. Naira
membesarkan biji matanya kepada Sofea. Dia tahu yang
rakannya itu memang tidak suka bila ada orang yang
tiba-tiba datang berjual beli setiap kali mereka makan di
restoran. Sebab baginya, biarlah dia sendiri yang datang
pada penjual jikalau dia mahu membeli sesuatu.
Air wajah gadis itu berubah untuk beberapa saat
sebelum wajahnya kembali dimaniskan. Itu bukan kali
pertama dia mendengar ayat sedemikian. Dia kembali
tenang sebelum membalas kata-kata Sofea.
“Tak apalah kalau macam tu. Maaf sebab
mengganggu. Saya pergi dulu.” Baru saja dia hendak
melangkah dari situ tiba-tiba langkahnya terhenti tatkala
dipanggil oleh seorang lelaki. Pantas dia menoleh.
“Satu roti berapa harganya?” Harry sudah
mengeluarkan dompet dari kocek belakang seluarnya.
79
Belum sempat gadis itu menjawab dia sudah pun
menghulurkan not dua puluh ringgit kepada gadis di
hadapannya. Bungkusan roti disambut.
“Harga roti ni RM1.50. Tapi saya tak ada duit baki.
Abang tak ada duit kecil ke?” tanya gadis itu.
“It’s okay. Keep the change.”
“Tapi…”
“Terima kasih.” Harry potong ayat gadis itu
bersama senyuman. Kemudian dia kembali duduk
sebelum meletakkan bungkusan roti di sebelahnya. Naira
yang melihat perbuatan Harry itu hanya tersenyum.
‘Ah, baik sungguh lelaki ini!’ Bisik hati Naira. Dia
terharu dengan kebaikan dan sikap pemurah hati Harry.
80
BAB 12
Naira merapati ayah dan ibunya yang sedang
menonton berita di televisyen. Usai sahaja makan malam
tadi kedua orang tuanya itu terus duduk di sofa. Di satu
sudut pula kelihatan Najla dan Naufal sedang khusyuk
menatap skrin telefon pintar masing-masing.
“Ayah…” panggil Najla perlahan. Dia masih
berkira-kira hendak meneruskan kata. Encik Hamzah
memalingkan muka ke arah Naira. Puan Aina masih fokus
mendengar berita pukul 8.00 malam itu.
“Ada apa, Naira?”
“Hm… boleh tak esok Naira nak minta izin pergi
ke Johor dengan kawan Naira?” Naira memberanikan diri
bersuara. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga meminta
keizinan dari orang tuanya itu. Puan Aina yang
mendengar kata-kata Naira pantas berpaling.
81
“Kamu nak ke Johor buat apa?” Belum sempat
Encik Hamzah membuka mulut, isterinya sudah pun
terlebih dahulu mengajukan soalan.
“Naira nak temankan kawan Naira, Harry. Dia nak
melawat ayah kawan dia yang sedang ditahan di hospital.
Sebelum ni dia tak pernah lagi pergi Johor dan tak tahu
jalan kat sana. Sebab tu Naira offer nak temankan dia.”
Puan Aina diam sejenak. Otaknya ligat berfikir. Dia cuba
mengingat semula ‘kawan’ yang dimaksudkan Naira itu.
“Harry yang bekas ibu jumpa dekat pasar raya tu
ke?” Ujar Puan Aina setelah berjaya mengingati wajah
Harry. Naira mengangguk. Lantas Puan Aina senyum
sinis. “Macam mana pulak dia boleh tak tahu jalan untuk
ke sana? Tak masuk akal betul alasan dia tu!”
“Memanglah dia tak tahu jalan… dia kan bukan
orang sini!” Sampuk Najla yang sudah pun duduk di
sebelah ibunya. Dia senyum sinis melihat ke arah Naira.
Rupanya sejak tadi dia memasang telinga mendengar
perbualan di antara Naira dan kedua orang tua mereka.
Mata Naira memandang tepat ke arah kakaknya.
Mukanya sedikit berubah sebaik sahaja mendengar kata-
82
kata yang menyakitkan hati itu. Nasib sahaja Harry tidak
ada di situ. Kalau ada… entah apalah perasaannya pada
ketika itu.
“Kamu pergi ke Johor berdua saja ke dengan dia,
Naira?” giliran Encik Hamzah pula bertanya. Sejak tadi dia
berdiam dan menjadi pendengar sahaja.
“Iya, ayah.” jawab Naira ringkas. Puan Aina hanya
menggeleng tanpa sebarang kata. Dia sengaja tidak
mahu bercakap kerana baginya biarlah suaminya yang
melarang anak gadisnya itu. Lagi pula Encik Hamzah
merupakan ketua keluarga. Naira sudah pasti akan
menurut kata ayahnya serta membatalkan niatnya itu
apabila tidak mendapat keizinan daripada Encik Hamzah.
Dia sangat berharap suaminya dapat melarang Naira
daripada pergi ke Johor.
Suasana sepi seketika. Encik Hamzah berfikir
sejenak sebelum memberi kata putus. Dalam hati Naira,
dia sudah tahu peluangnya untuk mendapat keizinan dari
orang tuanya amat tipis. Apatah lagi bila hal yang
melibatkan lelaki. Dia sudah sedia maklum dengan
‘pantang’ orang tuanya itu. Namun menurut Naira tidak
83
salah untuk mencuba nasib. Dia setia menunggu respon
positif daripada ayahnya.
Tidak lama kemudian Encik Hamzah kembali
bersuara. “Baiklah, ayah izinkan kamu pergi.” Bibir Naira
mengukir senyum. ‘Betulkah apa yang aku dengar ni?’
Bisiknya dalam hati bagaikan tidak percaya. “Tapi Naira
kena ingat… jaga diri. Jaga batas pergaulan dengan
kawan lelaki kamu!” Encik Hamzah memberi peringatan.
Dia percaya bahawa Naira itu anak yang boleh diharap
dan mendengar kata.
“Terima kasih, ayah!” ucap Naira. Dia pantas
memeluk ayahnya.
“Abang! Sepatutnya abang melarang dia keluar
dengan lelaki tu… bukannya benarkan!” keras nada Puan
Aina. Dia tidak menyangka bahawa suaminya itu
memberi keizinan kepada Naira. Najla pula sudah
memasang muka tidak puas hati. Hairan juga dia dengan
sikap ayahnya yang berlembut hati membenarkan Naira
pergi ke Johor. Sebelum ini dia juga pernah meminta izin
untuk pergi bercuti di Pahang bersama sekumpulan
84
rakannya yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Tapi seperti biasa, ibu dan ayahnya itu melarang.
‘Ini tak adil!’ Perasaan geram membuak-buak
dalam diri Najla. Naufal yang duduk tidak jauh dari situ
mula mengangkat punggung menuju ke biliknya. Dia
bukannya tidak mahu menyertai kumpulan tersebut…
cuma dia tidak suka melihat situasi tegang seperti itu
berlaku di depan matanya.
“Ha… bagus sangatlah tu kamu jalan berdua
dengan lelaki yang baru kamu kenal! Kenapalah kamu
baik hati sangat tawar diri nak temankan dia melawat
kawan ayah dia tu, Naira? Jangan-jangan dia saja nak
ambik kesempatan di atas kebaikan kamu!”
“Harry bukan jenis yang suka ambil kesempatan,
ibu!” Naira mula mempertahankan Harry. “Selama Naira
kenal dengan Harry, Naira tak pernah lagi nampak dia
buat benda jahat dengan orang lain. Apalagi buat perkara
yang bukan-bukan.”
“Itu yang kamu nampak, Naira. Yang kamu tak
nampak?” Bentak Puan Aina. Dia masih tidak berpuas
85
hati. Naira diam. Dia tahu… kalau dia menjawab sudah
pasti darah ibunya bertambah naik.
“Dah… dah!” sampuk Encik Hamzah. Dia tidak
mahu keadaan hangat itu berlarutan. “Awak jangan
risau… saya memberi keizinan sebab saya percaya
kepada Naira. Saya tahu… Naira anak yang baik dan
takkan malukan orang tua.” Encik Hamzah memberi
jaminan.
Naira sekadar tunduk. Dia tahu kebimbangan
yang ada dalam hati orang tuanya itu. Sungguh! Dia
sendiri tidak pernah berniat mahu menjatuhkan air muka
keluarganya.
“Hmm, suka hati abanglah!” Puan Aina bingkas
bangun dari tempat duduknya. Matanya berpaling ke
arah Naira. “Satu aje ibu nak pesan… ibu harap kamu
jangan terlalu mudah percaya dengan orang. Apatah lagi
orang yang baru kamu kenal! Ibu tak nak pisang berbuah
dua kali!” Lantas kaki Puan Aina menuju ke arah tangga
meninggalkan mereka.
Tidak lama kemudian giliran Najla pula
membuntuti ibunya naik ke tingkat atas. Dua beranak
86
yang tinggal di situ mula berpandangan. Encik Hamzah
senyum.
“Ayah harap kamu takkan sia-siakan kepercayaan
ayah terhadap kamu, Naira.” Ujar Encik Hamzah sambil
menyapu belakang anaknya. Naira mengangguk.
Naira menghempas tubuhnya di atas katil. Fikirannya
sedikit sebanyak terganggu akibat kejadian tadi. Kata-
kata ibu dan ayahnya masih bermain di fikiran. Hatinya
tiba-tiba rasa berat untuk pergi ke Johor pada hari esok.
Walaupun ayahnya sudah memberi keizinan, tetapi dia
masih seperti ‘dua hati’.
‘Pergi atau tidak?’ Kata-kata ini mula bersarang di
otaknya.
Naira melihat ke arah jam yang tergantung di
dinding. Satu keluhan dilepaskan. Esok dia perlu
menempuh satu perjalanan yang panjang. Dia perlu
menyimpan tenaga untuk memandu selama hampir
empat jam. Naira melelapkan mata. Entah kenapa begitu
87
susah untuk dia tidur pada waktu itu. Pelbagai soalan
timbul di fikirannya. Mungkinkah disebabkan rasa
bersalah terhadap Puan Aina? Atau mungkin disebabkan
dia takut Puan Aina tidak menegurnya lagi selepas ini
kerana marah? Jadi… perlukah dia membatalkan niatnya
untuk menemani Harry pergi ke Johor pada hari esok?
Naira pantas menggeleng. Dia tidak boleh
mungkir janji! Dia tidak boleh menghampakan Harry yang
sudah berharap kepadanya. Naira menghela nafas berat.
Dia kembali teringat perbualan bersama Harry ketika
sedang makan di kafe dua hari yang lalu.
“Alaa… maaflah, Naira! Rasanya saya tak dapat
ikut.”
“Kenapa?” soal Naira. Dia ingin tahu kenapa Harry
tidak dapat menyertainya dan Sofea menonton wayang
pada hari Sabtu nanti.
“Saya nak ke Johor!”
“Johor?”
88
“Ya, Naira. Saya nak pergi melawat ayah Shaqil.
Daripada saya duduk di rumah lebih baik saya melawat
ayahnya di sana.” Naira diam sebentar.
“Harry naik apa pergi ke sana?” Naira tiba-tiba
terfikir kenderaan apa yang hendak dinaiki Harry untuk
pergi ke kampung Shaqil. ‘Takkan dia nak naik motor je?’
“Hm, tak tahu lagi. Sama ada naik motor atau naik
bas…” kata Harry. Dia sendiri pun tidak pasti untuk
menggunakan kenderaan apa.
“Harry tahu ke jalan kat sana?” Harry menggaru
kepala dan kemudian menggeleng. Naira menghela
nafas.
“Kalau macam tu biar saya teman awak!”
89
BAB 13
Telefon pintar iPhone yang nyaring berbunyi itu
dipandang. Bunyi itu berlarutan hampir seminit sebelum
kembali senyap. Sudah tiga kali panggilan itu tidak
dijawab. Harry antara mahu tidak mahu sahaja
menjawab panggilan yang masuk. Bukan apa… dia malu
campur segan. Dalam masa yang sama, dia juga takut
untuk menyentuh barang yang bukan miliknya. Namun
beberapa saat kemudian, deringan telefon kembali
berbunyi. Nama yang sama terpapar pada skrin telefon.
Kali ini Harry terpaksa mengangkat.
“Helo, Naira… kau dah kat mana ni? Aku call
banyak kali tak angkat. Tahu tak ibu dah risau?” Suara
Kak Najla menyerbu laju. Tidak sempat pun Harry beri
salam.
“Helo… hm, ni bukan Naira. Saya Harry.”
Kak Najla lepas nafas. Sia-sia sahaja dia masuk
gear lima tadi.
90
“Naira mana?” Agak kasar suara itu bertanya.
“Naira ada kat dalam tandas. Handphone dia
tertinggal dalam kereta. Err… kejap! Dia dah ke sini.” Ujar
Harry ketika ternampak Naira yang semakin
menghampiri. Dia memberi isyarat kepada Naira bahawa
ada panggilan masuk dari telefonnya.
Harry menghulur telefon kepada Naira yang
masih berada di luar kereta.
“Helo... ada apa Kak Najla?”
Harry melihat Naira yang sedang berdiri di luar.
Dia hanya dapat melihat gerakan pada bibir Naira.
Suaranya tidak kedengaran kerana pintu kereta bertutup.
Tidak lama kemudian Naira kembali membuka pintu
kereta. Dia melabuhkan punggungnya pada tempat
duduk pemandu.
“Maaf lambat, Harry. Saya singgah masuk dalam
tu tadi beli makanan ringan.” Ujar Naira sambil
menghulur bungkusan plastik berisi keropok dan roti
kepada Harry. Selepas sahaja selesai mengisi minyak
tadi, Naira terus pergi ke tandas untuk membuang air
91
kecil dan kemudian membeli makanan ringan di dalam
kedai di tapak stesen itu.
“Tak apa…” Harry senyum.
Naira kemudian menekan pedal minyak lalu
memandu ke arah jalan raya. Perjalanan masih berbaki
sejam lagi. Naira dapat merasakan pinggangnya sudah
agak lenguh. Rasanya sudah agak lama juga dia tidak
memandu sejauh ini. Manakan tidak… selalunya dia
sering menaiki kapal terbang ketika hendak pergi
kawasan yang jauh. Ada juga dia mencadangkan kepada
Harry untuk menaiki kapal terbang namun ditolaknya.
Alasan Harry, kos menggunakan kapal terbang mahal.
Daripada menghabiskan duit untuk membayar tiket
penerbangan, lebih baik dia menghantar duit itu ke
kampung buat orang tuanya. Naira tersenyum.
“Harry tak bercadang nak pulang bercuti di
kampung?” Naira membuka topik baru. Sejak awal tadi,
sudah banyak yang mereka ceritakan di sepanjang
perjalanan dan topik cerita mereka hanya berkisarkan
soal kerja dan kehidupan di Kuala Lumpur.
“Buat masa sekarang ni, tak lagi…”
92
“Kenapa pulak?” tanya Naira. Sesekali dia
memandang ke arah wajah Harry yang duduk di
sebelahnya.
“Kos!” Ringkas saja jawapan Harry. “Saya nak
simpan duit dulu, Naira. Buat masa sekarang ni saya
perlu tahan hati untuk balik ke kampung. Lagi pula cuti
bukannya banyak. Kalau macam ada cuti panjang ke
apa… barulah saya fikirkan untuk balik ke sana.”
Ikutkan hati, mahu saja dia menjenguk orang
tuanya di kampung setiap kali waktu cuti. Namun apakan
daya, jarak kampungnya yang sangat jauh membuatkan
dia terpaksa melupakan niatnya itu. Betullah kata orang…
ikut hati mati, ikut rasa binasa! Dia perlu tahu had dan
kemampuan dirinya. Dia bukannya anak orang kaya yang
boleh pergi ke mana sahaja tanpa perlu memikirkan soal
wang. Dia perlu jimat membelanjakan wang untuk masa
depan dan keperluan di waktu kecemasan.
Naira mengangguk. Dalam diam dia mengagumi
sikap dan peribadi Harry. Pemikirannya matang dan
sentiasa berfikir ke depan. Tidak seperti dirinya yang
sering bertindak melulu.
93
Naira dan Harry kembali membisu. Mereka
bagaikan sudah kehabisan topik untuk dibual. Agak kekok
juga suasana itu buat Naira.
“Err… Harry!” panggil Naira. Otaknya sudah pun
menangkap satu topik yang menarik untuk dibicarakan.
Harry berpaling. “Harry pernah tak naik gunung
Kinabalu?”
“Pernah!” Kepalanya mengangguk. “Last saya
naik masa lepas SPM.”
“Last?” soal Naira. Harry mengangguk lagi.
“Ya. Dah empat kali saya naik. Itupun auntie saya
yang sponser.”
“Empat kali?” Terbeliak biji mata Naira. Gila lelaki
ini. Dia yang lembik itu pun sudah semput bila naik
tangga yang tinggi. Inikan pula mendaki gunung
Kinabalu! Gunung tertinggi di Malaysia! Tingginya
gunung itu bukan ‘kaleng-kaleng’. Macam manalah dia
boleh ada stamina yang mantap sehingga dapat sampai
ke puncak gunung? Empat kali pulak tu! Sungguhlah
Harry layak mendapat tabik spring daripada Naira. Tapi
94
dalam hati Naira, dia memang berniat hendak mendaki
gunung itu suatu hari nanti. Cuma tidak dapat dipastikan
bila.
“Naira tak nak ke mendaki gunung Kinabalu?”
tanya Harry pula.
“Err… nak jugak. Tapi… entahlah!” Percakapan
Naira tergantung.
“Tapi kenapa?”
“Hmm, Naira rasa Naira tak dapat naik hingga ke
puncak gunung! Naira ni lembik!” Harry ketawa sebaik
sahaja mendengar ucapan Naira. Naira yang kehairanan
mula memasang muka bingung.
“Kenapa Harry ketawa?”
“Kenapa pulak boleh tak sampai, Naira?
Mustahillah! Sedangkan mak saya boleh sampai ke
puncak gunung tu… inikan pulak awak!” Harry
menyambung ketawa yang tersisa.
Sekali lagi Naira membulatkan biji matanya.
“Betul ke?” Kalau begitu dia masih ada harapan! Dia
95
sudah boleh mula memasang niat untuk mendaki gunung
itu. Dia tidak mahu kalah dengan mak Harry.
“Betul, Naira! Semuanya bergantung pada diri kita
saja. Kalau kita mahukan sesuatu, sudah pasti kita akan
berusaha untuk mencapainya. Begitu juga bila mendaki
gunung… selagi kita tak sampai ke puncak, selagi itu
jugalah kita tidak boleh berputus asa. Nanti semuanya
jadi sia-sia! Takkan kita nak patah balik ke bawah bila
sudah sampai separuh jalan, kan?” panjang hujah Harry.
“Betul tu, Harry! Insyaallah… satu hari nanti saya
akan sampai ke sana.” Bertambah lagi wishlist si Naira.
Betullah kata Harry. Bila dia fikir-fikirkan, tidak mustahil
untuk dia sampai ke puncak gunung itu pada usianya
yang muda sekarang. Tenaganya masih banyak. Cuma
sekarang dia hanya perlu aktif bersenam untuk
meningkatkan stamina. Dia sudah nekad untuk mendaki
gunung itu!
Naira pantas menarik brek tangan setelah
memastikan posisi keretanya betul-betul berada di dalam
garisan kotak. Dia turun dari tempat duduknya lalu
membuka pintu kereta belakang. Sebakul buah-buahan
96