The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by eydaamarsiah, 2021-07-06 10:41:29

NOVEL : KUPILIH DIA

Pantas kepala Encik Hamzah menoleh ke arah
isterinya. “Satukan mereka semula?” soal Encik Hamzah
ingin penjelasan.

“Kemarin masa saya datang hantar bunga kat
rumah Hajah Suraya, kami sempat berbual. Dalam
berbual tu sempat jugalah saya bertanya soal Fareez.
Lepas tu abang nak tahu tak apa Hajah Suraya cakap kat
saya?” Tambah bersemangat Puan Aina bercerita.

“Apa dia?”
“Dia kata dia masih berkenan dengan anak kita.
Dia cakap mungkin ada hikmah Fareez tak jadi nak
bertunang dengan Naira dulu. Yelah, masa tu kan mereka
muda lagi dan masing-masing nak ikut jiwa remaja
mereka tu. Tapi sekarang abang tengok… budak Fareez
tu nampak baik aje. Lagi pun dia kan baru balik dari Mesir
belajar agama. Memang sesuailah untuk Naira.”
“Jadi awak dah tanya Naira ke belum?” soal
suaminya lagi. Puan Aina menggeleng.

147

“Rasanya tak perlu kot nak tanya dia. Sebab saya
dah pun bagi greenlight kat Hajah Suraya untuk masuk
meminang!”

“Ibu!”

Tersentak Puan Aina dan Encik Hamzah sebaik
sahaja melihat Naira. Sudah hampir seminit dia berdiri di
situ.

“Apa maksud ibu ni? Kenapa ibu tak tanya Naira
dulu?”

Puan Aina tidak menjawab. Matanya tidak
memandang Naira.

“Ibu tak boleh buat keputusan seorang diri dalam
soal ni! Ni soal masa depan Naira, ibu!” Naira yang
terkejut dengan kata-kata ibunya tadi mula menunjukkan
tanda-tanda mahu memberontak.

Encik Hamzah mengangguk bersetuju. Dia
menoleh ke arah isterinya.

“Betul cakap Naira tu. Sekurang-kurangnya awak
berbincang dulu dengan saya tentang hal ni. Awak tak
boleh buat keputusan seorang diri.”

148

“Saya bukannya apa, abang. Saya cuma nak yang
terbaik buat anak kita.” Puan Aina cuba mempertahankan
diri.

“Lagi pun sebelum Hajah Suraya tu cakap dia nak
masuk meminang, dia dah tanya dulu sama ada Naira ni
dah ada teman lelaki atau belum. Bila dia tanya macam
tu saya jawablah tak ada. Sebab memang setahu saya
Naira tak ada teman lelaki. Jadi tak salahkan tindakan
saya tu? Lainlah kalau anak abang ni ada tapuk sesuatu
dari pengetahuan kita semua.”

“This is nonsense ! Ibu tak tanya lagi pun Naira
soal ni. Macam mana ibu boleh cakap macam tu dekat
Hajah Aina?” Muka Naira merah padam menahan marah.
Dia terkejut kerana orang tuanya itu mahu
menjodohkannya dengan Fareez. Sejujurnya dia sudah
tidak ada perasaan dengan lelaki itu. Itu kisah lamanya.
Sekarang dia sudah pun mencintai lelaki lain.

“Jadi betullah ni kamu dah ada…”

“Ye, betul!” Naira memintas percakapan ayahnya.
Kali ini dia tidak mahu lagi berselindung. “Naira dah lama
suka dan berminat dengan seseorang. Tetapi Naira belum

149

ada keberanian untuk meluahkan perasaan Naira pada
dia. Tapi Naira yakin yang dia pun cintakan Naira!”

“Naira!” nada Puan Aina sudah naik. Nafasnya
turun naik sebaik mendengar pengakuan anaknya itu.

“Naira ada hak ibu! Naira nak cari pasangan hidup
sendiri. Ibu tak boleh nak jodohkan Naira dengan orang
lain sesuka hati!” bentak Naira cuba mempertahankan
haknya.

“Jadi sekarang ni kamu dah berani nak lawan
cakap orang tua ye, Naira? Lelaki mana yang kamu suka
sangat tu? Cuba kamu beritahu ibu sekarang!”

Naira senyap. Dia berkira-kira hendak membuka
mulut.

“Siapa Naira?” soal Encik Hamzah. Suaranya
masih perlahan. Reaksi wajahnya pula kekal tenang.
Berbeza dengan reaksi ibunya yang sudah semacam
singa.

Naira menarik nafas dalam-dalam. Dia mencari
kekuatan untuk memberitahu perkara sebenar.

“Harry, ayah!”

150

Pantas Puan Aina menggeleng.

“Ohh, jadi budak lelaki tu rupanya! Disebabkan
dialah kamu dah berani nak tinggikan suara dekat ibu?
Budak lelaki macam tu yang kamu nak jadikan teman
hidup, Naira?” Puan Aina senyum sinis tatkala mendengar
nama Harry.

“Harry bukan lelaki jahat, ibu! Ibu tak kenal dia
macam mana. Walaupun ilmu agamanya tidak tinggi dan
tidak sealim Fareez, tetapi dia anak yang baik. Dia selalu
mengutamakan keluarga dalam segala hal. Sebab sikap
baik dan bertanggungjawab dia itulah Naira jatuh hati
pada dia!” Jelas Naira panjang lebar. Dia bersungguh-
sungguh mempertahankan lelaki yang disayangnya itu.

“Kamu tak payah beria-ia sangat nak
mempertahankan dia, Naira. Bagi ibu, Fareez lah yang
terbaik buat kamu! Kamu jangan harap ibu akan restu
hubungan kamu dua!”

Puan Aina berkeras dengan keputusannya. Sikit
pun dia tidak terkesan dengan kebaikan diri Harry yang
digembar-gemburkan oleh anaknya tadi. Dia kemudian
bangkit dari tempat duduk dan menuju ke tingkat atas.

151

Hari hampir larut malam. Naira masih tak mampu
melelapkan mata. Kata-kata Puan Aina siang tadi masih
mengganggu fikiran. Pintu diketuk dari luar. Setelah
Naira memberi kebenaran barulah Encik Hamzah
melangkah masuk ke dalam.

“Naira tak tidur lagi?”

“Belum, ayah. Belum mengantuk lagi.” Naira
bingkas bangun dari perbaringannya. Encik Hamzah
duduk di birai katil dan kemudian menatap muka anaknya
itu.

“Naira, maafkan ayah.” Ucap Encik Hazmah.
“Ayah tak dapat nak tolong kamu. Ibu kamu masih
berkeras dengan keputusannya.” Tadi dia sudah pun
berbincang dan memujuk isterinya itu untuk mengikut
kehendak anaknya. Namun tetap saja Puan Aina bersifat
keras hati.

Dada Naira turun naik menahan rasa. Kelopak
matanya sudah menampung air. Sikit masa lagi butiran
jernih itu jatuh berderaian.

152

“Ibu terima pinangan Hajah Suraya sesuka hati
tanpa persetujuan dari Naira. Sebelum ni ibu tak pernah
pun bincang soal ni dengan Naira. Kenapa tiba-tiba saja
ibu membelakangkan Naira dalam hal yang berkaitan
dengan masa depan Naira, ayah? Naira pun berhak
memberi kata putus! Bukan hanya ibu!” Luah hati Naira.
Tangisannya sudah tidak dapat ditahan lagi. Air matanya
laju mengalir di pipi.

Lantas Encik Hamzah menangkap bahu Naira.
Disapunya lembut bahu anak gadisnya itu.

“Sabarlah, Naira. Terima saja ini sebagai takdir.
Mungkin ini semua ujian dari Allah untuk menguji
keimanan kita terhadap dugaanNya.”

Naira hanya diam. Tangannya mula mengesat air
mata yang tidak berhenti mengalir.

“Ayah sebenarnya tidak melarang untuk kamu
membuat keputusan dengan siapa kamu hendak
berkawan. Tetapi kamu jangan lupa… restu dari orang
tua sangat penting. Walau macam mana sekali pun kamu
kena tetap berusaha untuk memujuk ibu kamu.” Encik
Hamzah memberi nasihat.

153

“Tapi Naira jangan risau. Apa sahaja keputusan
yang Naira buat, ayah sentiasa menyokong.” Pujuk Encik
Hamzah. Dia cuba menenangkan perasaan sedih anaknya
itu.

Naira kemudian merangkul bahu ayahnya.

“Terima kasih, ayah!”

Encik Hamzah senyum. Dia menepuk bahu
anaknya beberapa kali.

“Dah… dah… jangan sedih lagi. Naira pergi tidur,
ye? Esok jangan lupa bangun awal. Nanti tak pasal-pasal
ibu kamu bising awal pagi lagi.” Pesan Encik Hamzah.

Naira melepaskan pelukannya. “Baik, ayah.”

Sebaik kelibat Encik Hamzah menghilang dari
ambang pintu, Naira terus baring. Lega juga sedikit
perasaannya setelah mendengar kata-kata pujukan dari
ayahnya itu. Lantas rasa sedih tadi diusirnya jauh-jauh.
Dia mahu melelapkan mata segera.

Esok majlis sambutan hari jadi adiknya akan
diadakan di rumah itu. Dia baru teringat yang Puan Aina
telah menjemput Hajah Suraya dan Fareez untuk datang

154

ke majlis tersebut. Naira mendengus. Dia tahu ada udang
di sebalik batu. Dia tahu ibunya sengaja menjemput
mereka untuk merapatkan semula hubungan yang
pernah terputus di tengah jalan. Naira mencapai
telefonnya. Dia sudah pun terfikir satu idea.

155

BAB 19

Jam tangan dikerling sepintas. Masa berbaki lima
minit lagi sebelum jam menunjukkan pukul dua petang.
Naira membuka skrin telefonnya. Dia kemudian
menghubungi seseorang.

‘Mana pulak dia ni?’
Panggilannya dari tadi tidak berangkat. Naira
mula gelisah. Mata yang memandang telefon tadi
dilempar pula ke arah ruang tamu. Puan Aina dan Hajah
Suraya masih rancak bercerita. Sesekali kelihatan
senyum yang dilakar di bibir mereka. Naira menggeleng.
Entah apa sahaja yang dicerita dua wanita itu sejak dari
tadi.
“Kau ni dah kenapa Naira?” soal Najla yang baru
datang. “Dari tadi mundar-mandir macam orang tak
betul. Daripada kau buang masa mundar-mandir kat sini,
lebih baik kau tolong bawak kek ni masuk dalam!”

156

Naira menjeling. Geram juga dia dengan
kakaknya itu. Sudahlah menyuruh… tak reti pulak nak
guna bahasa dan nada yang sedap untuk didengar. Tapi
dia tidak menderhaka. Kek yang dihulur kakaknya tadi
pantas dibawa ke ruang tamu.

Baru sahaja Naira hendak meletakkan kek di atas
meja, kedengaran suara lelaki memberi salam dari luar.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumsalam…”

Naira yang cukup kenal dengan suara itu laju
sahaja meluru ke luar rumah. Bibirnya mengukir
senyuman. Melihat seraut wajah itu, hatinya terasa
tenang. Hilang rasa gelisah yang menjalar di hatinya.

Hampir gugur jantung Puan Aina sebaik sahaja
melihat wajah lelaki yang sudah melangkah masuk ke
rumah mereka. Sah si Naira ini tidak makan saman! Dia
memang sengaja mengundang kemarahan ibunya.

Encik Hamzah yang pertama kali melihat lelaki itu
menyambut kehadirannya dengan mesra. Dia dapat
meneka bahawa itulah lelaki yang dicintai anak gadisnya.

157

Macam mana dia boleh tahu? Ahh… senang! Dia boleh
meneka melalui riak wajah Naira. Mukanya tiba-tiba
sahaja bercahaya saat melihat kedatangan lelaki itu.
Padahal tadi bukan main masam mukanya. Kalau dia ada
senyum pun, mungkin senyum itu hanya senyum dibuat-
buat. Tapi kali ini Encik Hamzah jamin. Senyuman Naira
itu senyum yang ikhlas.

“Ayah, ini Harry.” Kata Naira kepada ayahnya.
Lantas Harry menghulur tangan kepada Encik Hamzah.

“Apa khabar, pak cik?”

“Alhamdulillah, sihat.”

Kemudian Harry berjabat tangan pula dengan
lelaki berkopiah bersebelahan Encik Hamzah. Kedua-
duanya berbalas senyuman.

“Mari kita masuk! Majlis dah nak mula kejap lagi.”
Ajak Encik Hamzah. Kemudian mereka melangkah seiring
ke ruang tamu.

Di satu sudut, kelihatan Puan Aina sedang
merenenung tajam kumpulan itu. Hatinya tiba-tiba
mendidih. Dia menggigit bibir menahan marah. Si Naira

158

ini memang berani mencabar tahap kesabarannya.
Marahnya juga semakin bertambah bila Najla bertindak
menjadi batu api. Dia berbisik ke telinga Puan Aina
mengatakan Naira sengaja berbuat demikian agar Hajah
Suraya membatalkan niatnya untuk pinang Naira.

Puan Aina menunggu kereta itu hilang dari pandangan
mata. Sebaik sahaja kereta itu memecut keluar dari
perkarangan rumah, Puan Aina pantas melangkah masuk
ke dalam.

“Naira!” jerit Puan Aina. Suaranya memenuhi
ruang rumah. Naira dan Naufal yang sedang sibuk
mengalih meja pantas berpaling. Najla yang sedang
berada di dapur pula lantas menuju ke ruang tamu.

“Naira ni dah kenapa, hah? Kenapa Naira jemput
lelaki tu datang rumah kita? Kamu memang sengaja kan
nak malukan ibu depan Hajah Suraya dan Fareez?” Puan
Aina berdiri sambil cekak pinggang. Dadanya berombak
menahan rasa.

159

“Apa bising-bising ni?” Tanya Encik Hamzah yang
baru turun dari tingkat atas. Terkejut juga dia saat
mendengar jeritan isterinya itu.

“Anak abang inilah! Dia tak habis-habis nak
sakitkan hati saya!”

Encik Hamzah menggeleng. Dia kemudian mula
mendekati isterinya.

“Sabar… duduk dulu.” Lantas tangannya menarik
Puan Aina ke arah sofa. Kedua-duanya duduk
bersebelahan.

“Naira…” panggil Encik Hamzah. Dia memberi
isyarat pula kepada anaknya untuk duduk di depan
mereka. Dia ingin mereka berbincang dan menyelesaikan
masalah itu dengan aman.

“Sekarang ni, cuba cerita. Apa masalah kamu
yang sebenarnya?”

“Masalahnya sekarang ni si Naira ni lah, bang! Dia
dah tahu yang saya tak suka dia berkawan dengan budak
lelaki tu. Tapi tetap juga dia tak makan saman!” Suara
Puan Aina naik lagi.

160

“Sabar… sabar… awak jangan terlalu ikut emosi.
Kita nak berbincang secara baik.” Encik Hamzah
memainkan peranannya sebagai ketua keluarga. Dia
cuba mengawal keadaan.

Naira diam. Dia hanya tunduk menghadap lantai.
Jari-jemarinya bermain. Puan Aina mengerling ke arah
Naira.

“Kenapa kamu diam, Naira? Cakaplah! Tiba-tiba
jadi bisu pulak. Tadi bukan main panjang senyum kamu
masa ada lelaki tu.” Perli Puan Aina. Suaranya sudah
sedikit perlahan berbanding tadi. Naira menghela nafas.

“Iya… memang Naira yang jemput Harry datang
sini. Naira sengaja jemput dia sebab Naira tak suka ibu
‘kenenkan’ Naira dengan Fareez.” Jelas Naira. Kepalanya
sudah diangkat. Dia beranikan diri bertentang mata
dengan Puan Aina.

“Oh, jadi kamu memang sengajalah nak sakitkan
hati ibu dengan tindakan kamu tu? Kamu tak rasa
berdosa ke sakitkan hati orang tua? Kamu dengar sini
baik-baik, Naira…” Suara serius sudah keluar.

161

“Syurga kamu dibawah telapak kaki ibu! Kamu tak
boleh lakukan apa yang ibu larang dan ibu tak suka.
Kamu juga tak boleh bawak budak lelaki tu datang ke sini
tanpa izin dari ibu dan ayah!” Si ibu mula menggunakan
kuasa vetonya.

“Entah esok-esok… masa kita semua tak ada
diajaknya pulak lelaki tu datang sini lagi.”

Najla menyampuk. Seperti biasa, itu memang
tabiat si kakak Naira. Suka menyampuk dan mencela
cakap orang. Dia dan Naufal sudah pun duduk di sofa
tanpa disuruh.

“Najla…” tegur ayahnya. Naira diam membisu. Dia
berusaha menahan rasa di dada.

“Betullah, ayah! Naira kan selalu seorang diri kat
rumah bila kita semua tak ada kat sini.” Tiada riak wajah
bersalah di muka perempuan itu. Naufal di sebelah
pantas mencubit pinggang si kakak. Ingin memberi
amaran supaya Najla berhenti berkata-kata. Namun Najla
tetap juga tidak ambil peduli.

162

“Kita bukannya tahu apa yang Naira buat kat
belakang kita. Entah-entah si Naira ni dah…”

“Kak Najla!” Pintas Naira. Suaranya tiba-tiba
lantang. Hatinya sakit saat mendengar tuduhan tidak
berasas kakaknya itu. Matanya memandang tepat ke
dalam mata Najla. “Kakak jangan sesuka hati tuduh Naira
buat macam tu! Naira masih tahu membezakan mana
yang baik dan buruk. Naira bukannya seperti kakak!”

Naira sudah tidak dapat menahan rasa. Kali ini dia
sudah tidak peduli dengan mata yang memandang di
situ. Dia tidak mahu dirinya difitnah di depan orang tua.
Makin dibiar makin menjadi-jadi mulut si Najla ini!

“Hey!” Najla sudah pun berdiri. “Kau jangan nak
kurang ajar dengan aku, ye? Aku ni kakak kau!”

Naufal menepuk dahi. Makin teruklah jawapannya
kalau Naira berterusan berbalas perang mulut dengan
Najla.

Lalu Naira pun bingkas berdiri dari tempat
duduknya untuk berhadapan dengan mulut kakaknya
yang tidak ada lesen itu.

163

“Kenapa? Salah ke apa yang Naira cakap?” Naira
sengih sinis. Kalau ikut akal yang kurang waras, memang
mulut itu sudah lama makan penampar. Nasib saja
perempuan di depannya itu memegang status ‘kakak’.
“Kakak ingat Naira tak tahu apa yang Kak Najla dah buat
kat belakang kitorang semua?”

Terbeliak biji mata Najla. ‘Dia tahu ke rahsia aku?’

Mata Encik Hamzah dan Puan Aina terkebil-kebil.
Otak mereka cuba menafsir apa yang ingin disampaikan
oleh Naira ketika itu.

“Apa maksud Naira?” tanya Encik Hamzah tidak
faham.

“Apa yang Najla dah buat kat belakang kita
semua, Naira?” Puan Aina sudah tidak sabar. Jantungnya
berdebar hebat waktu itu. Dia dapat merasakan ada
sesuatu yang tidak kena. Dalam hati dia berdoa agar
‘benda’ yang sama tidak berulang untuk kali kedua.

Najla menjadi semakin gelisah. Matanya meliar ke
kiri dan kanan. Dia merasakan hari itu riwayatnya akan

164

habis. Naira menarik nafas dalam-dalam. Dia nekad
untuk membongkar segala-galanya.

“Ayah… ibu… sebenarnya…”

“Ayah, ibu… maafkan Najla!” pintas Najla lalu
melutut di kaki orang tuanya.

Encik Hamzah dan Puan Aina memandang antara
satu sama lain. Mereka terkejut dengan tindakan Najla
yang secara tiba-tiba itu. Najla pula sudah menangis
teresak-esak sambil memeluk kaki kedua orang tuanya.

“Eh, kenapa ni Naira… Najla?” soal ayahnya yang
semakin bingung dengan situasi itu.

Kemudian Encik Hamzah berpaling ke arah Naira
dengan harapan ada jawapan yang keluar dari mulutnya.
Namun Naira hanya mengangkat bahu. Dia sengaja tidak
memberi jawapan yang diharapkan oleh ayahnya itu.
Menurutnya biarlah Najla sendiri yang menceritakan hal
tersebut.

“Apa semua ni, Najla? Tolong beritahu ibu dan
ayah sekarang!” Nada Puan Aina sedikit tinggi. Dia mahu
persoalan yang berselirat di benaknya segera dileraikan.

165

“Maafkan Najla! Ayah, ibu…” Najla mengangkat
muka. “Sebenarnya Najla dah nikah semula dengan
Badrul!”

“Apa?” Suara garau Encik Hamzah mengejutkan
mereka semua.

Puan Aina pula menyapu dadanya yang sakit. Dia
terkejut bukan kepalang saat mendengar pengakuan dari
Najla.

Najla tertunduk. Rasa malu menjalar pada diri
apabila rahsianya selama ini terkantoi begitu sahaja.

Naira hanya memberi reaksi biasa. Dia sudah tahu
tentang rahsia kakaknya itu sudah lama. Dia
menganggap bahawa itu memang petunjuk dari Tuhan.
Dia secara tidak sengaja ternampak gambar Najla dan
Badrul di sebuah majlis perkahwinan rakan kakaknya itu
menerusi aplikasi Facebook. Kebetulan juga dia
mengenali rakan kakaknya itu. Setelah disiasat, rupanya
mereka berdua sudah pun bernikah secara nikah
kampung.

166

“Najla minta maaf… Najla tiada niat untuk
merahsiakan perkara ini dari pengetahuan kamu semua.
Najla tahu ibu dan ayah masih belum dapat maafkan
Badrul. Tapi Najla masih sayangkan dia! Najla tak ada
pilihan lain selain merahsiakan hubungan kami berdua.”

Encik Hamzah dan Puan Aina masing-masing
diam. Mereka masih tidak dapat menghadam kata-kata
Najla itu. Mereka tidak menyangka Badrul sudah pun
dibebaskan dari penjara akibat kejadian dua tahun yang
lalu.

Dalam situasi dia cuba hendak lari, kakinya
tersadung dan terjelopok di dada lantai. Najla berpaling.
Berpaling mencari wajah lelaki yang makin mendekat itu.

“Tolong… tolong…”

Walaupun dia tahu tidak ada satu orang pun yang
mendengar jeritannya namun dia berharap akan ada satu
keajaiban berlaku. “Abang janganlah buat macam ni… ni
duit simpanan Ibu…” pinta Najla dalam nada merayu.
Tangannya memeluk sebuah kotak besi kecil kepunyaan
Puan Aina.

167

“Aku dah cakap aku cuma nak pinjam duit mak
kau aje… kenapa kau tak faham? Aku perlu duit
sekarang!” Tangan Najla ditarik kasar.

“Lepaslah! Tolong… tolong…. Ayah, tolong Najla…
Ayah!” Jerit Najla sekuat hati.

Pang!

Pipi kanannya ditampar kuat.

“Boleh tak kau jangan menjerit! Aku bukannya
nak apa-apakan kau… aku cuma nak duit untuk bayar
hutang aku!

Najla meronta lagi. Kali ini lebih kuat. Dia tak
mahu duit simpanan ibunya itu diambil oleh suaminya.
Dia menolak tubuh Badrul dan kemudian cuba melarikan
diri. Tetapi badannya terus ditolak ke dinding. Kini lelaki
itu terus menyepak kuat badan Najla sehingga hampir
lunyai dibuatnya.

“Kau nak lari ye… rasakan!”

Najla sudah tidak mampu melawan. Air mata
merembes, tetapi tiada siapa yang mampu menepisnya.
Akibat terlalu lemah, dia akhirnya pengsan.

168

Keesokan harinya, Najla mendapati dia sudah pun
berada di hospital. Dia membuka mata perlahan.

“Abang… Najla dah sedar!” suara Puan Aina
kedengaran sayup-sayup ditelinganya. Dia masih dalam
keadaan separuh sedar. Puan Aina sudah pun merapati
katil tempat perbaringan anaknya.

“Najla…” Encik Hamzah cuba untuk mendapatkan
respon dari anaknya. Dia menggenggam tangan Najla.

“Ayah…ibu…” lambat-lambat pertuturan Najla.

“Alhamdulillah nak, kamu dah sedar…” terpancar
sinar kegembiraan di wajah Encik Hamzah tatkala melihat
anaknya sudah sedarkan diri. “Kamu teman Najla kat sini
kejap… saya pergi panggil doktor!” Lantas kaki ayahnya
menuju ke pintu.

Air mata Puan Aina tidak berhenti mengalir. Dari
tadi dia tidak berhenti berdoa agar anaknya segera
membuka mata. “Najla… syukurlah kamu dah sedar
nak…”

“Abang Badrul… Ibu…” Najla sukar untuk
menggerakkan mulutnya akibat pipinya yang bengkak.

169

“Najla jangan risau… lelaki tu dah kena tangkap
oleh polis. Najla jangan banyak fikir, ye? Najla kena
banyak rehat…” si Ibu mengusap lembut kepala anaknya.
Hatinya luluh saat teringat kejadian semalam.

Apabila pintu rumah dibuka, mereka mendapati
Najla sudah terbaring di atas lantai di ruang tamu. Puan
Aina dan Encik Hamzah segera berlari mendapatkan anak
mereka yang tidak sedarkan diri. “Call ambulans, cepat!”

Naufal segera membuat panggilan untuk meminta
pertolongan. Naira yang terkejut hanya mampu
menangis teresak-esak. Dia seperti tidak percaya melihat
keadaan kakaknya yang sudah seperti orang tidak
bernyawa.

170

BAB 20

Harry merenung kosong skrin di depannya.
Tengkuk yang terasa lenguh diurut perlahan. Sudah
hampir empat jam dia menghadap skrin komputer riba.
Kemudian tangannya mula mencapai telefon di atas
meja.

Baru sahaja skrin telefon hendak dibuka, tiba-tiba
skrin sudah menyala dengan sendirinya. Ada panggilan
masuk dari seseorang. Harry mengulum senyum.
Panggilan diangkat serta-merta.

“Baik. Kejap lagi saya sampai sana.”
Sejurus panggilan ditamatkan, dia mula
berkemas-kemas. Kunci motor dan helmet dicapai lalu dia
menghilang dari muka pintu.

“Ada apa, Naira?” Suara yang sangat lembut itu
menyentuh tangkai hatinya membuatkan dia terasa ingin

171

meliarkan matanya ke setiap sudut wajah itu. Wajah
putih bersih yang membuat hatinya berdebar kuat.

“Err… Harry… sebenarnya…” ayat Naira terputus
saat melihat pelayan restoran datang membawa air yang
dipesan.

“Terima kasih.” Ucap Harry kepada pelayan tadi.
Naira pula hanya sekadar senyum tipis.

Harry mencicip perlahan teh lemon panas yang
dipesannya. Setelah mendapat panggilan telefon
daripada Naira, dia terus bergegas menuju ke Restoran
Seri Indah untuk bertemu dengan gadis itu. Ada hal
penting yang ingin diberitahu kepadanya.

“Apa yang Naira nak beritahu saya tadi?” soal
Harry. Pandangan mata mereka bertaut.

“Hmm, sebenarnya…” kali ini pula Naira berkira-
kira untuk menerus kata. Hilang sudah keberaniannya
yang dikumpul sebentar tadi. Ini semua gara-gara
pelayan itu! Keyakinannya tiba-tiba hilang tatkala
diganggu dengan kehadiran pelayan restoran kegemaran
Harry.

172

Harry mengamati wajahnya. Dia sabar menunggu
jawapan daripada Naira.

‘Aduh! Pandangan itu...’ keluh di hati Naira.

Lantas Naira melarikan bola matanya dari
bertemu dengan Harry. Pandangan mata itu tambah
melemahkan jiwa wanitanya.

“Kenapa ni, Naira?” Kening Harry terangkat.

Satu keluhan dihembus. Lantas anak matanya
kembali dihampar ke wajah Harry.

“Saya suka awak!”

Terasa nafasnya seakan-akan terhenti setelah
melafaskan ayat itu. Berdebarnya jantung ini hanya
Tuhan sahaja yang tahu. Tapi jauh di sudut hati dia rasa
bersyukur. Bersyukur kerana akhirnya dia mampu juga
meluah rasa yang terpendam di hati selama ini.

Harry terpinga-pinga. Dia bagaikan tidak percaya
dengan apa yang didengarnya. Naira hanya tersenyum
meskipun dalam hati sudah menggila. Jantungnya
bergetar hebat bagai nak pecah. Sumpah! Inilah kali
pertama dia buat kerja gila.

173

“Helo… awak dengar tak?” Suara itu menampar
lembut gegendang telinga Harry. Dia masih terkedu. Dia
masih tidak faham dengan tindakan Naira yang secara
tiba-tiba.

“Saya tak salah dengar ke ni?” Harry meminta
kepastian. Naira pantas menggeleng.

“Saya tahu awak mesti tak percaya, kan? Saya
pun pada mulanya cuba untuk menafikan apa yang saya
rasa. Tapi lama-kelamaan, saya rasa…”

“Awak rasa apa, Naira?”

Naira menarik nafas lagi.

“Tapi semakin saya menjauh dari awak, semakin
tu juga saya rasa macam tersiksa. Hati saya ni rasa sakit
sangat tiap kali saya cuba untuk lupakan awak. Saya rasa
macam… macam tak tahu nak buat apa!” Bersungguh-
sungguh Naira bercerita. Harry memasang telinga
dengan tekun walaupun dia agak terkejut dengan
pengakuan itu.

“Tapi semakin lama saya sedar… yang saya tak
dapat nak lupakan segala rasa saya pada awak. Saya dah

174

mula sukakan awak, Harry!” Naira pandang Harry penuh
berharap walaupun dia tahu kemungkinan untuknya
ditolak adalah sangat besar.

Harry diam. Dia sangat terkejut sehingga tidak
dapat bersuara. Orang barat kata - speechless. Otaknya
tiba-tiba sahaja jammed sehingga tidak dapat merumus
kata-kata Naira ketika itu.

“Tapi saya tak paksa pun awak jadi kekasih saya.
Saya cuma nak awak tahu yang saya sangat sukakan
awak.” Naira melepaskan perasaan yang terbuku di hati.
Dia kemudian melepas sedikit keluhan. “Saya minta diri
dulu!”

Naira memulakan langkah. Bibirnya senyum
panjang waktu itu. Baginya, membuat pengakuan kepada
lelaki itu sudah cukup membuat hatinya lega. Jiwa yang
dulunya resah kini kembali lapang selepas dia meluahkan
apa yang terpendam di hatinya sejak beberapa hari yang
lalu.

Mata Harry merayap pada tempat duduk kosong
di depannya. Sepasang susuk tubuh yang tadi duduk di
situ sudah pun hilang. Dia berasa seperti sedang

175

bermimpi. Dia kemudian berpaling melihat ke langit.
Langit yang tadinya cerah tiba-tiba sahaja bertukar
mendung. Lantas Harry segera menghabiskan
minumannya. Sehelai not lima ringgit ditinggalkan di atas
meja lalu dia beralih dari situ.

“Saya suka awak. Saya tak minta awak jadi kekasih saya.
Tapi saya nak awak tahu yang saya sangat sukakan
awak.” Suara lembut gemersik itu bermain-main di
pendengarannya. Serasanya, macam baru sahaja dia
dengar perempuan itu meluahkan perasaan kepadanya.

“Naira… Naira…” Tersenyum dia sebelum gelak
kecil.

Tapi jauh di lubuk hati Harry, dia salute dengan
tindakan berani Naira. Mana tidak… ini pertama kali dia
mengalami pengalaman sebegitu rupa. Kalau sahaja
perempuan lain, sudah pasti sanggup memendam rasa
sehinggalah lelaki yang disuka itu menjadi milik orang.
Masa itu barulah menyesal tak berkesudahan.

176

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak ada
guna

Itulah peribahasa yang sesuai digunakan bagi
menerangkan keadaan tersebut.

“Harry…” kedengaran suara Shaqil yang
memanggil dari arah luar membuatkan Harry tersedar
dari imaginasinya sendiri. Dia membetulkan suaranya
sebelum menjawab panggilan rakannya itu.

“Apa?”

“Jom, makan! Aku dah siap masak ni.” Ajak Shaqil
dari luar.

“Kau makanlah dulu, Qil. Aku tak ada seleralah
sekarang.”

“Kau tak ada selera kenapa? Kau sakit lagi ke?”
soal Shaqil dalam nada risau. Mukanya tersembul di muka
pintu.

Harry terkejut. Tangannya pantas mengurut
dada. “Ish, kau ni! Terperanjat aku. Tiba-tiba je dah
muncul kat depan pintu.”

177

Shaqil gelak kecil. Dia memang tidak ada niat
untuk membuat Harry terkejut. Dia cuma risau kalau-
kalau penyakit gastrik Harry datang menyerang. Yalah!
Tiba-tiba saja si Harry itu tidak ada selera. Siapa tahu dia
sakit…

“Kau ni dah kenapa tiba-tiba tak berselera?
Padahal dari tadi siang kau tak ada makan, kan? Kau
jangan nak bohong!” kata Shaqil yang sudah pun duduk
di hujung katil.

Harry yang tadi berbaring juga sudah duduk
tegak. Dia membetulkan duduknya sambil mendekatkan
muka ke wajah Harry.

“Kau percaya tak dengan cerita dongeng?
Seorang puteri raja datang dengan menaiki kereta kuda,”
soal Harry tanpa dirancang.

“Aik… kenapa pulak puteri raja? Bukan
sepatutnya putera raja ke yang datang dengan kereta
kuda?”

Harry melepas ketawa kecilnya.

178

“Sepatutnya begitulah… tapi sekarang dunia dah
terbalik!” Harry tayang gigi memandang lelaki di
sebelahnya.

Shaqil menggaru belakang leher. Dia tidak faham
dengan maksud rakannya itu.

“Kau merepek apa ni, Harry? Aku tak fahamlah!”
Harry ketawa lagi. Soalan Shaqil dibiar tak
berjawab.
“Hoi! Kau ni dah kenapa? Gila ke ketawa sorang-
sorang?” Shaqil bertambah hairan. Sudah macam kena
sampuk pula si Harry ini ketawa seorang diri.
“Kau tahu tak? Tadi petang aku pergi jumpa
Naira.” Harry membuka cerita. Kali ini dia serius.
“Lepas tu?” Harry tekun mendengar
“Dia confessed kat aku!”
Membesar bola mata Shaqil bagai tidak percaya.
“Kau biar betul? Habis tu?” Soalnya lagi ingin tahu. Dia
pula yang terlebih excited mendengar cerita rakannya itu.

179

“Habis tu…” Harry tersenyum kambing. “Habis tu
macam itu aje lah!”

Shaqil pula senyum mengejek. “Eleh… kau biar
betul? Takkan kau tak ada cakap apa-apa dekat dia.”

“Aik… aku cakap yang betullah! Lepas je dia
confessed tu, dia terus balik.”

“Jadi kau tak ada beritahu kat dia? I mean…
beritahu yang kau pun suka dia?”

Harry menggeleng. Lantas Shaqil menepuk dahi.

“Kau ni memang suka bazirkan peluang yang dah
ada kat depan mata, kan?”

Kali ini Harry menjongket bahu pula. Shaqil
menggigit bibir. Sumpah! Ingin saja dia mengetuk kepala
Harry ketika itu.

“Harry… Harry… kau jangan berani nak bermain
tarik tali. Buatnya Naira lepas tali tu… tak ke kau yang
jatuh tersungkur?”

Shaqil senyum senget. Harry memang silap besar
kalau bermain dengan hati. Dia bukannya tidak pernah

180

bercinta. Dia juga tahu betapa sakitnya apabila cinta
tidak berbalas. Dan paling sakit lagi apabila dilukai oleh
orang yang dicintai.

Harry mengeluh.
“Aku bukannya bermain tarik tali, Qil. Aku cuma
tak nak dibenci! Itu aje.”
Dahi Shaqil berkerut. “Dibenci? Dibenci oleh
siapa?”
“Ibu Naira!”
“Hah? Ibu Naira?” Otak Shaqil kembali mencari
wajah Puan Aina di kotak memorinya. Seingatnya baru
sekali dia terserempak dengan wanita itu.
Harry mengangguk.
“Hari tu masa aku datang rumah Naira, aku
perasan yang ibu dia tu pandang aku lain semacam.
Pandangan dia menunjukkan macam dia tak suka bila aku
berkawan dengan Naira. Haa, itu baru berkawan… kalau
bercinta?”

181

“Yeke dia tak suka kau berkawan dengan Naira?
Atau mungkin tu perasaan kau aje?” Shaqil cuba
membuat andaian. Harry mengeluh berat.

“Kita boleh dapat rasa Qil sama ada orang tu suka
kita atau tak. Ibu si Naira tu memang sah tak suka aku!
Masa aku minta diri nak balik hari tu dia langsung tak
pandang muka aku, tahu tak?”

Shaqil diam. Dia pandang wajah rakannya di
sebelah. Jari-jemari Harry bermain di dahinya seperti
sedang memikirkan sesuatu. Dia tahu yang hati Harry
sedang berperang ketika itu. Dia memegang bahu Harry.

“Tak apalah, Harry. Walau Ibu dia tak suka kau
sekalipun, kau kena terus berjuang! Kau kena buktikan
yang kau layak untuk Naira. Takkan kau nak biarkan
Naira berjuang sorang-sorang dalam hal ni?” Ujar Shaqil
memberi kata-kata semangat.

Harry mengangguk. “Iya, Qil. Aku cuba…”

Shaqil senyum. “That’s my man!” Dia menepuk
bahu rakannya itu beberapa kali.

182

“Dah… dah… jom makan! Nanti tak pasal-pasal
aku terpaksa pulak angkat kau pergi hospital sebab
pengsan. Tak ke menyusahkan aku tu?”

Bibir Harry tersungging dengan senyuman saat
dengar gurauan rakannya itu.

“Yelah! Yelah!”

183

BAB 21

“You know something, Sofea? Every girl has a guy
that she won’t stop loving.” Nada amaran bahawa yang
dia tidak akan berhenti memikat hati Harry.

“And you know what, Naira? Your mom will never
give you her blessing!”

Mendalam kata-kata Sofea itu. Dia pun memang
tahu sikap ibu Naira itu macam mana. Hatinya keras
sekeras hati Naira. Like mother like daughter ? Mungkin…

“I won’t stop fighting, Sofea. Walau perlu
merangkak sekalipun dalam mengejar bahagia, aku
sanggup! Ini Naira Aleeya… walau jatuh terluka
sekalipun, aku tetap terus bangun!”

Naira berpendapat tidak salah rasanya kalau
hendak memuaskan hati sendiri. Dia juga berpendapat
bahawa setiap wanita berhak memilih lelaki yang dicintai.
Hidup ini sekali sahaja. Apa salahnya jika dia berjuang
untuk mendapatkan apa yang dia mahu?

184

“Jangan kejam sangat, Naira. Nanti tertikam hati
sendiri.” Nada Sofea bertukar sedikit lembut.

“Relakslah, Sofea. Bercinta ni macam berperang.
Antara semua yang terlibat, pasti akan ada hati yang
terluka.”

Sofea menggeleng. “Suka hati kaulah, Naira.”

Dia kembali menghirup air di gelasnya. Dia sudah
malas mahu berbalah dengan Naira. Dia tahu yang si
Naira itu memang payah mahu mendengar kata. Sudah
berbuih mulutnya menasihat namun masih saja Naira
berkeras. Matanya kemudian dilempar jauh ke depan.

“Harry!”

Hampir saja Naira tersedak bila mendengar nama
itu keluar dari mulut Sofea. Dia kemudian berpaling ke
belakang. Kelihatan Harry sedang berjalan menuju ke
arah meja mereka. Dadanya berdebar laju. Lantas dia
mencapai beg tangannya di kerusi sebelah.

“Naira nak pergi mana?” tegur Harry sebaik
sahaja melihat Naira mula berkemas-kemas seperti
hendak lari dari situ.

185

“Ha’ah… kau nak lari ke mana, Naira?” Lantas
Naira membesarkan biji mata pada Sofea.

Sofea tersengih lebar. Gembira hatinya dapat
mengusik rakannya itu.Tadi bukan main dia cakap besar.

“Err… taklah. Saya tak pergi mana-mana pun.”
Lambat-lambat Naira mengukir senyuman. Dia
sebenarnya malu hendak berdepan dengan Harry
semenjak kejadian di restoran hari itu. Tadi masa dalam
pejabat pun, dia mengelak dari bertentang mata dengan
Harry. Sungguh ketika itu mahu saja dia menyorok di
bawah meja.

“Ohh. Hmm… boleh tak saya nak minta tolong
hantarkan file ni nanti kat dalam bilik Encik Kamal? Tadi
masa saya nak hantar, bilik dia berkunci. Kejap lagi saya
ada urusan yang nak diselesaikan kat luar. Jadi saya nak
minta tolong dari Naira. Itupun kalau boleh...” Jelas
Harry. Hari itu dia terpaksa bekerja half day kerana ada
urusan di luar.

“Okay, sure!”

186

Naira menyambut file yang dihulur Harry tanpa
banyak soal.

“Thank you, Naira. Maaf ganggu korang makan.
Enjoy your meal!”

“Bye, Harry… take care!” Ucap Sofea seraya
melambai pada Harry. Naira tidak menoleh ke belakang.
Dia buat-buat sibuk menatap skrin telefon. Beberapa saat
kemudian kelibat Harry hilang.

Sofea mengerling wajah Naira di depan. Suara
Naira tadi bergema di telinganya.

‘I won’t stop fighting, Sofea. Walau perlu
merangkak sekalipun dalam mengejar bahagia, aku
sanggup! Ini Naira Aleeya… walau jatuh terluka
sekalipun, aku tetap terus bangun!’

Sofea tergelak. Lantas Naira menatap muka
rakannya.

“I won’t stop fighting konon… baru nampak Harry,
dah menggelabah. Nak fighting apanya?” Perli Sofea.
Ketawanya pecah lagi.

Mulut Naira muncung kena sindir rakannya itu.

187

‘Padan muka kau, Naira! Cakap besar lagi…’
Telefon Naira berdering. Ada satu mesej
Whatsapp baru diterimanya. Lantas mesej itu dibuka.
Naira, let’s meet after work. I’ll wait you at Restoran

Seri Indah. See you there…
Naira senyum. Hatinya berbunga saat menerima
mesej daripada Harry. Jari-jemarinya laju menekan skrin.

Insyaallah.
Lihatlah si Naira itu! Pendek saja dibalasnya.
Masih saja dia bersikap ‘jual mahal’. Kalau bukan kerana
ramai orang waktu itu… sudah lama dia menjerit
kegembiraan.
Sofea memandang sekilas wajah tersenyum
Naira. Dia menggeleng.
“Hmm… memang sah kawan aku ni kena penyakit
cinta.”
Naira senyum lagi.

188

Bertemu lagi mereka di tempat yang sama di waktu yang
berbeza. Naira malu hendak menatap wajah yang dirindu
itu. Walaupun baru sahaja mereka berpisah, hatinya
sudah rindu tahap menggila.

“Kenapa Naira macam nak lari dari saya?”
“Err… lari? Buat apa saya nak lari dari awak?”
Padahal memang betul pun dia mengelak dari berjumpa
dengan Harry sejak pagi tadi.
“Oh, jadi memang tak ada lah, ye? Mungkin
perasaan saya aje kot…”
Naira mendengus dalam hati. Rasa bersalah
mencengkam diri. Pandai juga si Harry ini bermain
dengan psikologi.
Naira diam. Dia tidak tahu mahu bersuara jika
bukan disoal. Dia masih malu dengan tindakannya hari
itu.
“Naira…” Naira mengangkat muka.
“Saya nak minta maaf soal hari tu.”

189

Dahi Naira berkerut. Minta maaf? Bila masa pula
si Harry ini ada buat salah? Setahunya tidak pernah
sekalipun dia menyakitkan hati Naira sebelum ini.

“Harry nak minta maaf untuk apa?”

Harry menarik nafas. “Minta maaf sebab saya tak
bagi apa-apa respon masa Naira confessed hari tu.”

Naira tunduk. Rasa malu kini datang lagi.

“Saya takut Naira terasa hati. Saya cuma terkejut
waktu tu dan tak tahu nak bagi reaksi apa.” Harry
memberi penjelasan.

“Tak apalah, Harry. Just forget about it, okay?”
jawab Naira selamba. Padahal akal dan hatinya sudah
pun berperang.

“You want me to forget about it?” Harry senyum
senget. “It’s not that easy, Naira.”

Mata Harry kembali tertumpu pada gelas di atas
meja. Badan gelas itu disapu-sapu perlahan. Naira
memandang wajah Harry. Dia cuba membaca reaksi
muka di depannya.

190

“Naira tahu tak…” Pandangan Harry kembali
dihampar ke muka Naira. “Saya pun dah lama tertarik
dengan Naira. Cuma saya tak ada keberanian untuk
meluah macam yang Naira buat hari tu.”

Oh My God! Hampir pengsan Naira dibuatnya. Dia
terdiam seribu bahasa. Dia tidak tahu mahu beri respon
serupa apa. Dia berusaha mengawal reaksi wajahnya.
Matanya tetap tenang memandang wajah Harry. Kini
barulah dia faham perasaan Harry tempoh hari.

“Naira… Naira dengar tak ni?” Harry melambai
tangannya di depan muka gadis itu. Naira tersentak.

“Err… dengar, dengar!”

Harry senyum. “So, because of that… thank you,
Naira!”

Naira membalas senyum Harry sambil
mengangguk.

“And I love you…”

191

BAB 22

Naira sabar menanti ayah dan ibunya. Baru sahaja
tadi dia suruh Naufal memanggil orang tuanya untuk
turun ke bawah. Dia ingin mengumumkan sesuatu
kepada seluruh ahli keluarganya. Najla pula sudah duduk
di situ bersama Naira sejak tadi.

Tidak lama kemudian bunyi tapak kaki
kedengaran dari tingkat atas. Lantas masing-masing
mengambil tempat duduk di sofa. Tempat wajib untuk
mereka sekeluarga bermusyawarah.

“Ada apa ni, Naira? Bunyi macam serius aje…”
Tanya Encik Hamzah sambil membetulkan kain
pelikatnya. Dia baru sahaja selesai solat berjemaah
dengan Puan Aina.

“Ha’ah… sampai tak menyempat ayah kamu nak
berwirid.” Puan Aina pula masih dengan kain
telekungnya.

192

“Niat Naira nak kita semua berkumpul kat sini
sebab Naira ada nak beritahu sesuatu yang penting. Dan
Naira nak minta pendapat dari kamu semua, terutama
ayah dan ibu…”

“Apa dia, Naira?”

“Sebenarnya… Naira bercadang nak meminang
Harry!”

“Ish! Kau ni tak tahu malu ke? Mana ada orang
perempuan pergi meminang lelaki!”

Naira hanya berdiam. Diam bukan sebab takut
untuk menyuarakan pandangan, tetapi kerana malas
hendak bertekak. Lagipun hubungannya dengan Najla
sudah semakin baik sejak kejadian yang lepas.Sekarang
ini dia hanya perlu tahan hati dan sabar sahaja. Ya!
Sabar.

Walaupun sikap batu api kakaknya itu sudah
hilang, namun mulut tak berlesennya itu kadang kala
tetap menyakitkan hati. Naira berpaling ke arah Puan
Aina. Puan Aina hanya menggeleng kepala.

193

Sebelum ini setiap kali dia berbicara tentang hal
berkaitan Harry, pasti ibunya itu cepat sahaja nak
melenting. Tapi kali ini tidak. Ibunya sudah berubah
menjadi seorang yang sedikit tenang dan tidak mudah
naik angin. Naufal pula seperti biasa, gemar mendiamkan
diri dan lebih selesa menjadi pendengar.

“Naira dah fikir masak-masak ke? Ini bukan benda
main-main tau!” Soal ayahnya ingin memastikan bahawa
Naira tidak bergurau.

“Betul, ayah! Naira serius dengan apa yang Naira
cakap tadi. Naira beritahu dengan semua orang kat
dalam rumah ni sebab Naira tak nak membelakangi
keluarga,” jelas Naira.

“Kau jangan jadi perigi mencari timba, Naira.”
Sampuk Najla lagi. Kalau tidak menyampuk tidak sah dia
ini.

“Tak pernah lagi dibuat orang pihak perempuan
yang pergi pinang lelaki. Mestilah kumbang yang pergi
cari bunga, kan? Kau ni dah terbaliklah, Naira.” Kata Najla
sambil tertawa kecil.

194

Naira geleng kepala tidak setuju.

“Kak Najla... dalam Islam pun tak ada cakap
perempuan tak boleh pinang lelaki, kan? Orang kita ini
saja yang pandai nak buat peraturan. Sedangkan
perempuanlah yang kena cari pasangan yang terbaik
buat dirinya sendiri. Jadi nanti tak adalah menyesal di
kemudian hari… macam Kak Najla.”

Aduh, si Naira ini! Boleh pula dia terlepas cakap.
Nasib saja waktu itu abang iparnya, Badrul tidak ada di
situ. Kalau tidak sudah pasti dia turut terasa hati dengan
ucapan Naira itu.

Air muka Najla pantas berubah. Encik Hamzah
dan Puan Aina serentak memandang ke arah Naira. Naira
pula segera mengelak pandangan mata ibunya. Dia tahu,
ibunya sudah pasti tidak senang dengan kata-katanya
sebentar tadi.

Puan Aina sudah pernah berpesan kepada Naira
dan Naufal untuk tidak mengungkit lagi kisah silam
rumah tangga Najla yang terputus ditengah jalan.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata? Tidak boleh
buat apa. Sekarang dia hanya perlu meminta maaf

195

kepada kakaknya itu. Perasaan kesal sudah ada dalam
hati Naira.

“Naira! Kan ibu dah pesan jangan ungkit lagi hal
itu depan kakak kamu. Tengok sekarang dia dah
merajuk!” Puan Aina memarahi Naira. Kelibat Najla sudah
tidak ada di situ. Dia masuk ke biliknya saat mendengar
kata-kata perli dari Naira.

“Tak eloklah cakap macam begitu, Naira. Najla tu
kakak kamu,” tegur ayahnya. Naufal pula mengangguk
tanda setuju.

Perasaan menyesal sudah menebal dalam diri
Naira. Lantas dia menuju ke bilik Najla di tingkat atas.

Dari muka pintu dia lihat Najla sedang duduk di
atas katil.

“Kakak... Naira nak minta maaf. Naira tak ada niat
nak sakitkan hati Kak Najla.” Naira melabuhkan
punggung di atas katil. “Naira tiba-tiba jadi marah bila
Kak Najla cakap Naira perigi mencari timba. Itu yang jadi
terlepas cakap tadi…” jelas Naira lembut.

196


Click to View FlipBook Version