segar diangkat lalu mereka menuju ke bangunan itu.
Baru sahaja kaki hendak melangkah masuk ke bahagian
lobi hospital, tiba-tiba kedengaran jelas satu suara
menjerit lantang. “Harry!”
Naira dan Harry tersentak. Serentak kepala
mereka berpaling ke arah suara yang dikenali itu. Bibir
kedua-duanya menguntum senyuman.
“Apa khabar, Harry?” tanya Shaqil sambil
menghulur tangan kanan kepada Harry.
“Sihat… kau?”
Balas Harry dengan senyuman sambil menepuk
belakang Shaqil. Kedua-duanya saling bersalaman dan
kemudian berpeluk antara satu sama lain.
“Sihat je.” Shaqil kemudian berpaling ke arah
Naira “Hai, Naira!” Shaqil melontar senyum.
Sejak tadi dia menunggu ketibaan rakannya di
situ. Selepas mendapat pesanan mesej dari Harry yang
menyatakan mereka sudah pun berada di Johor, Shaqil
sedikit terkejut. Dia tidak menyangka yang rakannya itu
97
sanggup datang ke situ. Dia bergegas turun ke lobi sebaik
sahaja diberitahu hal itu.
“Hai, Shaqil! Macam mana ayah awak?” soal
Naira.
“Alhamdulillah, dah beransur pulih. Jomlah naik
atas!”
Kemudian mereka mula melangkah ke bahagian
lif.
Untuk menghilangkan rasa kekok yang mencengkam,
Naira membantu ibu Shaqil mengemas meja makan
selepas sahaja selesai mengisi perut.
“Eh, tak payah susah-susah! Kamu tu tetamu.”
Ujar Mak Cik Salmah. Dia pantas merampas pinggan di
tangan Naira.
“Eh, tak apa mak cik! Tak susah pun… biar Naira
tolong mak cik, ye?” Naira kembali merampas pinggan
yang diambil oleh Mak Cik Salmah tadi. Dia berasa segan
98
jika tidak membantu wanita tua itu. Yalah! Mak Cik
Salmah sudah penat memasak dan menghidangkan
makanan buat mereka. Takkan Naira hanya melihat
sahaja Mak Cik Salmah berkemas sendirian di situ?
Harry dan Shaqil yang masih duduk di kerusi
hanya melihat gelagat dua wanita itu.
“Ish, kamu ni! Tak menyusahkan pun. Lagipun
bukan selalu kamu datang rumah mak cik.” Shaqil
mengangguk. Tangan Mak Cik Salmah dan Naira laju
menangkap pinggan dan cawan kotor di atas meja.
Kemudian mereka berdua menuju ke dapur
meninggalkan Harry dan Shaqil di situ.
“Kamu balik KL hari ni jugak ke?” soal Mak Cik
Salmah sambil menggosok sisa minyak yang melekat
pada pinggan kaca di tangannya.
“Iya, mak cik. Lepas ni kitorang gerak balik terus.
Takut nanti lewat sampai KL pulak.” Jelas Naira sambil
menyusun pinggan dan mangkuk. Untung saja esok hari
Ahad. Kalau tidak sudah pasti dia akan tertidur di pejabat
akibat kepenatan. Dalam hati dia sudah memasang niat
untuk tidur sepuasnya pada hari esok.
99
“Harry tu teman lelaki kamu ke?” soal Mak Cik
Salmah tiba-tiba.
“Eh, bukan mak cik!” spontan kepala Naira
menggeleng sebaik mendengar soalan Mak Cik Salmah.
Terkejut juga dia dengan soalan maut mak Shaqil itu.
“Harry tu kawan Naira saja,” sambung Naira.
“Oh, mak cik ingatkan dia tu teman lelaki kamu…”
Naira geleng kepala dan senyum. Entah kenapa tiba-tiba
saja Mak Cik Salmah boleh menyangka yang dia teman
wanita Harry.
“Harry tu baik kan?” sambung Mak Cik Salmah.
“Iya, mak cik! Harry memang sangat baik. Dia
selalu tolong Naira dekat tempat kerja walaupun dia
masih baru.” Naira mengakui kebaikan Harry depan Mak
Cik Salmah. Disebabkan kebaikan dan sikap peramahnya
itulah yang menyebabkan Naira selesa berkawan
dengannya.
“Beruntunglah siapa dapat Harry tu, kan? Dia
bukan saja rajin bekerja, malah rajin membantu orang di
100
sekeliling. Terutama keluarga… hari tu hampir saja mak
cik menangis bila dengar cerita daripada Shaqil.”
Naira berpaling menghadap Mak Cik Salmah. Dia
tertarik untuk mendengar cerita itu.
“Cerita apa, mak cik?” soal Naira ingin tahu.
Tertanya-tanya juga dia apa cerita yang sudah Shaqil
sampaikan kepada maknya itu sehingga membuatkan
orang tua itu sedih.
101
BAB 14
Puan Aina meletakkan telefon pintarnya di atas
meja makan dengan hati yang membungkam. Baru tadi
Naira menelefonnya memberitahu bahawa dia akan
pulang lewat malam ini.
“Haii… dah berani balik lewat pulak sekarang ni.
Sebelum ni baik saja budak Naira tu duduk di rumah bila
waktu malam. Ni semenjak dah berkawan dengan budak
Sabah tu dah makin berani dia balik lewat ye…” Puan Aina
mengomel sendirian di ruang dapur.
“Ibu dah kenapa membebel sorang-sorang kat
dapur ni? Ibu okey ke?”
Tiba-tiba Najla datang menyergah. Puan Aina
yang kebetulan ketika itu sedang memegang pinggan
terperanjat dengan sergahan anak sulungnya itu. Nasib
baik tidak dilemparnya pinggan itu ke lantai akibat
terkejut.
102
“Kamu ni Najla… Lain kali bagilah salam dulu
sebelum tegur ibu! Main sergah aje. Nasib baik ibu tak
ada penyakit jantung tau!” Leter Puan Aina. Najla
tersengih.
“Ibu… ayah tak balik lagi ke, bu?” tanya Naufal
yang baru sahaja turun dari tingkat atas.
Puan Aina diam. Dia masih meneruskan kerja-
kerja mencuci pinggannya di singki. Tidaklah banyak
mana pun tetapi setiap pinggan yang dicuci itu dicucinya
berulang-ulang kali seolah-olah sukar benar kotoran di
pinggan itu hendak ditanggalkan.
Najla dan Naufal berpandangan sesama sendiri.
“Apasal ibu tu?” bisik Naufal menanyakan kakaknya.
Najla hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia pun
hairan dengan sikap ibunya yang tiba-tiba naik angin itu.
“Ayah ada mesyuarat post-mortem dengan ahli
masjid kot, bu. Hmm… kejap lagi ayah baliklah tu.” Kata
Naufal cuba memujuk ibunya yang sedang masam
mencuka. Encik Hamzah yang sejak pagi tadi berada di
masjid belum lagi pulang. Dia sibuk mengatur majlis
103
keagamaan di masjid itu sebagai salah seorang ahli
jawatankuasa.
Tiba-tiba Puan Aina berpaling menghadap anak-
anaknya yang sedang duduk di meja makan. “Err… Naira
ada beritahu kamu tak dia pergi ke Johor untuk apa?”
Tanya Puan Aina penuh musykil. Walaupun Naira sudah
memberitahu niatnya untuk ke Johor, tetapi masih saja
Puan Aina berfikir yang Naira ada agenda lain di sana.
“Eh… bukannya semalam Kak Naira dah beritahu
ke yang dia nak ke Johor sebab nak teman kawan dia
melawat keluarga kawannya yang sakit di sana. Kalau
Naufal tak silap, Harry nama dia.”
“Itu yang ibu risau!” pintas Puan Aina. Najla dan
Naufal tersentak. Tiba-tiba sahaja ibu mereka
meninggikan suara.
“Tadi dia call beritahu yang tayar kereta dia pancit
sebab tu dia lambat pulang. Entah betul ke tidak apa
yang dia cakap tu!” kata Puan Aina meragui Naira. Dia
menganggap yang Naira itu hanya membuat alasan
untuk pulang lewat.
104
“Dia dah tahu kan yang ibu tak suka bila anak
perempuan ibu keluar waktu malam dan balik lewat.
Apatah lagi bila keluar dengan lelaki! Budak Harry tu pun
dia baru kenal… macam manalah dia boleh percaya
sangat dengan lelaki tu!” Dada Puan Aina berombak.
Nafasnya turun naik menahan marah.
“Iyalah, ibu!” Najla mencelah. “Dah malam
macam ni pun tak reti nak balik. Dah lah kat luar tu
bahaya! Banyak penyangak!” Najla menambah perasa.
Naufal mula menjeling ke arah kakaknya yang cuba
menyiram minyak pada api yang sedang marak. Seperti
biasa Najla hanya buat muka selamba seperti orang tidak
bersalah. Sepatutnya dialah yang cuba membantu
mententeramkan jiwa kacau ibunya pada waktu itu. Dia
kan kakak! Anak sulung pula tu…
“Sebab tu jugalah ibu tak nak anak-anak ibu balik
lewat malam. Sekarang ni banyak dah berlaku kes samun
dan rogol dan mangsanya terdiri dalam kalangan orang
muda macam kamu ni! Si Naira ni memang sengaja nak
naikkan darah aku gamaknya!”
105
“Alaa… ibu janganlah risau. Kak Naira kan dah
besar… pandailah dia jaga diri. Lagipun Naufal percaya
Kak Naira takkan berani buat benda bukan-bukan.” Sahut
Naufal pula cuba menenangkan ibunya. Dia
mempertahankan kakak kesayangannya itu.
“Jangan risau kamu cakap? Kita bukannya
nampak apa yang dia buat kat luar sana. Ibu tak nak
keluarga kita dapat malu lagi! Cukuplah dengan apa yang
dah jadi sebelum ni!” Wajah Puan Aina merah padam. Dia
tidak dapat menahan mulutnya untuk meluahkan rasa
bimbang di hati. Dia bagaikan sudah fobia dengan apa
yang pernah terjadi terhadap keluarganya sebelum ini.
Najla terdiam. Kata-kata Puan Aina itu menusuk
ke hatinya. Naufal pula hanya buat-buat tidak dengar.
Puan Aina kembali meneruskan semula kerja mencuci
pinggannya dengan hati yang membara.
Rumah dua tingkat milik keluarga Encik Hamzah dan
Puan Aina kelihatan terang benderang dengan pantulan
cahaya daripada lampu yang menyala. Naira memarkir
keretanya di tapak meletak kereta di kawasan lapang itu.
Terdapat dua buah kereta diparkir di situ. Naira
106
memandang jam di tangan. Sudah hampir pukul 11.00
malam.
Naira yang mengenakan seluar jeans dan
memakai blouse bercorak bunga itu keluar dari kereta
Honda Civic miliknya dan terus menuju ke pintu rumah.
Dia menyeluk tangan ke dalam beg tangan yang dijinjing
untuk mengambil kunci.
“Mana pulak kunci aku ni?” ujar Naira perlahan.
Dahinya berkerut ketika mencari kunci di dalam beg
tangannya.
‘Mungkin tertinggal dalam bilik kot…’ bisik
hatinya. Kemudian dia mengambil pula telefon dari kocek
belakang seluarnya. Matanya mencari nama Naufal pada
senarai kenalan. Dia ingin meminta bantuan daripada
adiknya itu untuk membuka pintu dari dalam. ‘Mesti
budak ni masih bangun!’
Namun, tiada tanda-tanda yang menunjukkan
panggilan telefon bakal dijawab. ‘Apa pulak mimpi budak
ni tidur awal malam ni?’ Naira mendengus. Dia dapat
meneka yang adiknya itu sudah pun enak dibuai mimpi.
Dia boleh tahu kerana setiap kali saja adiknya hendak
107
tidur, dia pasti akan menukar mood telefonnya kepada
mood senyap. Jadi tidak hairanlah mengapa
panggilannya tidak berjawab waktu itu.
Tangannya mula menekan butang loceng pada
pintu rumah. Dia sebenarnya tidak mahu mengganggu
keluarganya yang sedang beristirehat. Namun, dia
terpaksa juga berbuat demikian. Dia tidak mahu
bermalam di luar dengan bertemankan nyamuk.
Ding… dong…
Loceng rumah ditekan beberapa kali. Boleh tahan
lama juga dia menunggu di luar ketika itu. Dia sudah
tidak sabar untuk bertemu dengan tilam empuknya.
Selang beberapa saat, pintu rumah dikuak.
“Assalamualaikum,” ucap Naira sejurus melihat
susuk tubuh dihadapannya.
Usai mandi, Naira terus mengeringkan rambutnya
menggunakan hair dryer. Walaupun matanya sudah
108
berat namun tetap ditahannya juga dek kerana tidak suka
tidur dengan keadaan rambut yang basah.
Naira mematikan suis lampu biliknya. Dia bersiap-
siap untuk beradu. Dia memanjat ke atas katil lalu
membetulkan posisi baringnya. Baru sahaja beberapa
saat menutup mata, telinganya menangkap bunyi dari
telefon yang menandakan ada satu notifikasi naik. Naira
mencapai telefonnya. Skrin menyala dan notifikasi tadi
dibuka.
Assalamualaikum, Naira. Saya nak ucap terima kasih
sekali lagi kerana awak sudi luang masa dan tenaga
untuk bawa saya ke Johor hari ni. Saya sangat
terhutang budi dengan awak. Maaf kerana saya
mengganggu waktu macam ni. Have a rest, Naira. Good
night!
Hilang mengantuk Naira saat membaca pesanan
yang dihantar melalui aplikasi Whatsapp itu. Dia senyum.
Lantas jari-jemari dilarikan di atas skrin. Dia membalas
mesej itu.
Waalaikumsalam. No problem, Harry. It’s small matter.
Selamat beristirehat. Good night too!
109
Butang send ditekan. Belum pun sempat skrin
terpadam dengan sendirinya, mesej daripada Harry
masuk lagi. Lantas mesej itu dibukanya. Ternaik kening
Naira saat melihat Harry menghantar emoji bunga dan
hati kepadanya. Bibirnya senyum lebar. Mesej Whatsapp
itu dibiarkannya dengan tanda bluetick. Sengaja dia tidak
membalas mesej itu.
Naira yang tadi berasa mengantuk kini rasa segar
semula. Entah mengapa mesej Harry itu bisa
membuatnya tersenyum sendiri. Dia mula teringat reaksi
wajah Harry semasa menghantar lelaki itu dirumahnya
tadi. Manis betul senyumannya. Namun Naira tahu… di
sebalik senyum manis itu, ada terselit rasa bimbang di
hati. ‘Kasihan Harry…’
Dia kembali teringat perbualannya bersama Mak
Cik Salmah siang tadi.
“Baru-baru ni, Harry jatuh sakit. Dia tiba-tiba
pengsan semasa memancing di sungai.” Membesar bola
mata Naira.
“Dia pengsan sebab apa mak cik?” Naira yang
tadinya duduk di lantai mengelap pinggan pantas berdiri.
110
Dia mendekati Mak Cik Salmah yang masih menyuci
pinggan di singki.
“Dia pengsan sebab tak makan satu hari. Dia tak
ada duit nak beli makanan sebab tu dia pergi memancing
lepas saja pulang dari kerja. Kalau tak silap dia jatuh sakit
tu baru-baru ni juga… semasa hari Rabu!
‘Hari Rabu?’ jatuh rahang Naira. Patutlah Harry
mengambil cuti pada hari Khamis. Rupanya…
“Masa memancing tulah dia tiba-tiba jatuh
pengsan. Nasib saja masa tu ada orang lain yang datang
memancing di situ. Dorang lah yang bawa Harry pergi ke
hospital. Kalau tak… tak tahulah apa yang jadi pada
Harry. Kasihan betul mak cik pada dia tu.”
Jelas Mak Cik Salmah. Shaqil yang saat itu berada
di kampung hanya tahu kejadian itu sehari selepas
kejadian. Dia yang menyangka Harry berada di pejabat
terkejut apabila diberitahu Harry yang dia mengambil cuti
sakit pada hari itu. Tahap risaunya pada saat itu jangan
cakaplah… Kalau boleh mahu saja dia terus terbang ke
Kuala Lumpur untuk menemani rakannya tetapi dilarang
oleh Harry. Dia risau bukan sebab apa. Dia tahu yang
111
rakannya itu ada penyakit gastrik yang agak teruk.
Mungkin disebabkan itu jugalah Harry sampai jatuh
pengsan.
Bulan itu merupakan bulan yang agak mencabar
buat Harry. Dia mengirim lebih separuh daripada nilai
wang gajinya ke kampung demi membiayai yuran
pembelajaran adiknya yang baru sahaja memasuki
tingkatan enam. Dia terpaksa mengikat perut kerana
duitnya hanya cukup-cukup makan ketika itu. Dia
terpaksa berjimat untuk survive sehingga ke hujung
bulan.
Naira sekali lagi terharu dengan sikap Harry yang
sering mengutamakan keluarganya dalam segala hal.
‘Harry… Harry… sampai begitu sekali kau sanggup
berkorban demi keluarga di kampung.’
112
BAB 15
Mata Naira ralit memerhati sesuatu. Kerjanya
banyak yang tergendala. Entah sejak dua menjak ini,
hatinya kacau. Jiwanya tidak tenteram. Tidurnya juga
tidak lena kerana otak asyik memikirkan orang yang
sama.
“Naira!’ sergah Sofea. Naira yang terkejut
menjongket bahunya serta-merta.
“Ish… kau ni! Terkejut aku! Lagi kali bagilah salam
dulu.” Laju saja tangan Naira memukul bahu rakannya
itu. Sofea tersenyum.
“Kau mengelamun apa ni Naira tengah hari buta
macam ni?” tanya Sofea. “Aku masuk dalam ni pun kau
boleh tak perasan.” Dia sudah pun duduk di kerusi
sebelah Naira. Matanya kemudian hinggap ke atas meja
Naira. Sofea membesarkan mata.
“Ya Allah! Apasal bersepah sangat meja kau ni,
Naira?” soal Sofea sebaik sahaja ternampak meja Naira
113
yang dipenuhi dengan kertas-kertas yang berselerak.
Riak wajah Naira agak kusut. Sofea mula naik hairan.
“Hm… aku pun tak tahulah, Sofea. Aku kononnya
nak buat laporan yang nak dihantar esok. Tapi aku tak
jumpa pulak kertas laporan rujukan aku tu. Merata aku
cari tak jumpa.” Naira mula berkemas-berkemas. Satu
persatu helaian kertas diambil dan dimasukkan semula ke
dalam fail.
“Macam mana pulak boleh hilang? Kau salah letak
ke apa?” Tangan Sofea mula mengutip beberapa helaian
kertas yang terjatuh di atas lantai. Dia kemudian
membantu Naira mencari kertas yang hilang.
“Tak tahulah, Sofea. Beberapa hari ni semua kerja
aku jadi macam tak betul. Otak aku ni macam nak fikir
benda lain je.” Luah Naira. Dia pun tidak faham dengan
dirinya itu. Inilah kali pertama dia merasa perasaan
sebegitu rupa.
“Fikir benda lain? Maksud kau? Family kau ada
masalah lagi ke?” Sofea cuba mencari tahu. Walaupun dia
tahu yang dia tidak boleh membantu menyelesaikan
masalah yang dihadapi Naira, namun dia boleh
114
meminjamkan bahunya untuk Naira bersandar.
Telinganya pula sentiasa sedia untuk mendengar apa
sahaja luahan dari Naira.
“Bukan. Family aku tak ada masalah… setakat ni.”
‘Setakat ni?’ soal hati Sofea. Dia menjadi semakin
bingung dengan Naira. Perasaan ingin tahunya semakin
memuncak. “Apa maksud sebenar kau ni, Naira? Boleh
tak kau direct to the point ? Aku tak sukalah bila tertanya-
tanya ni!” Sofea mula naik geram dengan Naira.
Jari-jemari Naira bermain di dahi sendiri.
Bagaimanakah dia hendak leraikan perasaan yang
bergelora di hatinya itu? Semakin lama, hatinya sudah
penat untuk menjelah ke ruang esok. Dia menarik nafas.
“Aku sebenarnya ada masalah dengan hati aku!”
Akhirnya terkeluar juga kata-kata itu dari mulutnya.
Sebelum ini dia memutuskan untuk memendam sendiri
apa yang dirasa. Namun ternyata dia tidak mampu untuk
menanggung sendiri rasa yang menghimpit di dada. Dia
memerlukan seseorang untuk menjadi pendengar
setianya.
115
“Hati kau kenapa Naira? Ya Allah! Kawan aku…”
pantas Sofea memeluk erat rakannya. Naira yang terkejut
dengan tindakan Sofea itu mula terpinga-pinga.
“Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal tentang
penyakit kau ni, Naira? Aku ni kawan kau… kita dah
macam adik-beradik. Cubit paha kiri, paha kanan pun
terasa, tahu tak?”
‘Penyakit? Siapa yang sakit?’ Naira berfikir
sejenak.
Ya ampun, si Sofea ini! Rupanya dia sudah salah
faham dengan kata-kata Naira. Dia kira drama apalah
yang dilakukan oleh Sofea waktu itu. Nafas Naira mula
sesak akibat dipeluk kuat oleh rakannya itu. Dia
kemudian pantas menarik tangan Sofea.
“Hishh! Kau ni dah kenapa? Buang tabiat ke?” ujar
Naira. Kali ini giliran Sofea pula terpinga-pinga. Bukankah
tindakannya itu wajar setelah mengetahui sahabat
karibnya mengalami penyakit kronik? Sekali lagi dia jadi
tidak faham dengan Naira.
116
“Aku bukannya ada penyakit hati. Aku cuma ada
masalah dengan hati dan perasaan aku aje, faham tak?
Haihh kau ni… tulah suka sangat layan drama TV3! Kan
dah terikut-ikut!” Sofea yang mendengar penjelasan
daripada Naira itu lantas mengelap air mata di pipi.
Bawah matanya menjadi hitam akibat maskara yang
dipakai luntur terkena air mata.
“Hishh, kau pun satu! Lain kali cakaplah betul-
betul! Tak pasal-pasal air mata mahal aku ni terkeluar.”
Kata Sofea dengan nada geram. Muka Naira yang tadinya
masam kini manis dengan ketawa kecilnya. Dia berasa
lucu dengan kelakuan Sofea yang tidak ubah seperti
budak kecil.
“Apa pulak aku? Aku belum habis cakap lagi tadi.
Kau yang tiba-tiba potong line.” Sofea mencebik bibir. Dia
kemudian mengelap kesan hitam pada bawah matanya
menggunakan tisu. Naira hanya tersenyum melihat
gelagat rakannya itu.
“Haa… sambunglah cerita kau tadi! Apa masalah
kau yang sebenarnya? Cuba cerita kat aku.” Kata Sofea.
Dia sudah kembali serius. Dia membetulkan duduknya
117
menghadap muka Naira. Kemudian Naira mula membuka
mulut. Sofea yang mendengar cerita Naira mengangguk
kepalanya berulang kali. Dia tidak menyangka dengan
apa yang didengarnya ketika itu.
“Kau biar betul, Naira?” soal Sofea tidak percaya.
“Betul, Sofea! Aku tak tipu!” Kata Naira
bersungguh-sungguh. “Entah kenapa beberapa hari ni
aku asyik teringat pasal dia aje. Selama ni aku dah cuba
nak nafikan perasaan aku ni. Tapi setiap kali aje aku
terserempak dengan dia semenjak dari Johor hari tu, hati
aku ni jadi macam… macam tak keruan! Jantung aku
tiba-tiba berdegup laju bila berhadapan dengan dia.”
Sesi meluah berlangsung selama beberapa minit.
Naira menceritakan segala rasa yang mencengkam di
jiwa.
Kini Sofea sudah mengetahui semua yang
berlaku. Dia faham dengan situasi yang menghimpit
rakannya itu. Dia tidak menyalahkan Naira kerana dia
tahu perasaan itu hadir tanpa di undang. Ia memang
sukar dijangka dan dikawal. Malangnya, perasaan itu
118
terhalang dek kerana keluarga yang melarang, terutama
Puan Aina. Dia meramas lembut bahu Naira.
“Berjuanglah, Naira. Aku akan sokong apa sahaja
keputusan kau. Kau buatlah apa yang kau rasa betul
selagi tak memudaratkan diri dan perasaan sendiri.”
Naira lega. Sekurang-kurangnya lega sikit berat
beban yang terkandung di hati.
119
BAB 16
Masa berlalu begitu pantas pada hari itu. Tiba-tiba
sudah masuk waktu makan tengah hari. Naira sudah
berkira-kira merancang hendak makan apa pada hari itu.
Nampak benar dia merupakan orang yang paling
bersemangat apabila nampak jam di dinding sudah pukul
satu!
“Amboi Naira, laju kau hari ni nak keluar lunch?”
Tegur teman sepejabat Naira yang duduk berhadapan
dengan meja kerjanya itu. Wanita itu memang terkenal
dengan sikap suka memerli.
“Yelah. Dah pukul satu kan? Takkanlah dia nak
berpura-pura buat kerja tekan-tekan keyboard macam
kau tu. Walhal sebenarnya tengah sibuk main Facebook!”
Laju mulut Sofea memulangkan paku keras. Dia pula
yang sakit hati mendengar kata-kata wanita itu. Naira
yang mendengar ucapan Sofea tadi lantas menunjukkan
tanda jempol ke arah Sofea.
120
“Jom, Naira!”
“Jom!” Naira bingkas bangun sambil mencapai tas
kecilnya di atas meja.
“Kau nak makan apa hari ni?” Tanya Naira kepada
Sofea sebaik sahaja mereka tiba di kafeteria yang sudah
mulai sesak dengan orang ramai.
“Aku rasa nak makan Soto Pak Tam kot. Tiba-tiba
rasa malas nak makan nasi.” Ujar Sofea.
Naira mencebik. “Aik, takkan diet kot… apa nak
risau, baju kau bukan saiz L ke?”
Pantas jari-jari Sofea mencubit pinggang Naira.
“Hoi! Sedap mulut kau je kata aku tempah baju saiz L!
Penat aku kuruskan diri nak jadi slim tau.”
Naira ketawa. Dia sengaja mengusik temannya
itu. Tidak lama lagi majlis perkahwinan abangnya akan
berlangsung. Jadi tidak hairanlah kalau gadis itu mahu
menguruskan badannya yang sudah agak berisi
berbanding sebelum ini.
“Iyalah… aku gurau ajelah. Kau makan je apa kau
nak makan, okey?”
121
Kemudian anak mata Naira melilau menjelajah
ruang kafe. Dia hendak mencari seseorang yang biasanya
suka melepak di kafe pada waktu begini. Naira senyum
tatkala melihat susuk tubuh yang dicari-carinya.
“Harry!” Naira melambaikan tangan saat melihat
kelibat Harry yang baru sahaja masuk ke dalam ruang
makan itu. Harry yang tadinya runsing hendak mencari
tempat duduk akhirnya menyertai kumpulan Naira.
Untung masih ada ruang kosong di situ.
“Hai, Naira… Sofea.” sapa Harry sambil
menghadiahkan senyuman.
“Hai!” serentak dua gadis itu membalas. Sofea
menjeling ke arah Naira. Dia melihat muka rakannya itu
makin bercahaya sebaik sahaja mereka didatangi Harry.
Dia tahu perasaan Naira saat itu.
“Tak apa ke saya join korang makan?”
“Ehh, tak apa!” Laju mulut Naira menjawab. “Lagi
best makan bertiga macam ni. Lagipun dah bosanlah
hadap muka yang sama je hari-hari.” Balas Naira. Dia
sengaja mengusik rakannya itu lagi. Lagipun dia memang
122
mengalu-alukan kedatangan Harry di situ. Sofea yang
mendengar kata-kata Naira itu pantas mencubit pinggang
Naira.
“Aww… sakitlah!” Naira menyapu pinggangnya
yang dicubit Sofea. Sudah dua kali rakannya itu
mencubitnya di tempat yang sama.
“Haa… perli aku lagi.”
“Okey, ampun… ampun…”
Harry hanya ketawa melihat gelagat dua
rakannya itu. Bersyukur juga dia dapat berkawan dengan
mereka.
“Hmm, korang nak makan apa? Meh aku order
sekali.” Sofea menawarkan diri untuk menghantar
pesanan makanan. Dia sengaja memberi peluang kepada
Naira untuk berduaan dengan Harry di situ walaupun
sekejap.
Naira meletakkan jari telunjuknya di dagu.
“Hmm… aku nak makan apa yang kau cakap tadi tu lah!
Air pulak macam biasa. ” Malas sudah Naira mahu
berfikir. Sebenarnya dia bukannya malas pun hendak
123
berfikir… tetapi dia sudah tidak dapat berfikir tatkala
melihat lelaki di hadapannya itu.
“Okey… Harry?” Sofea bertanya pula kepada
Harry.
“Hmm… sama jugak! Saya nak makan apa yang
korang cakap tadi. Air pun sama, macam biasa.”
Lantas kedua-dua gadis itu memecahkan ketawa.
Mereka berasa lucu terhadap Harry yang cuba meniru
ayat Naira tadi. Tambah berbunga hati Naira saat itu.
Sofea kemudiannya meluru ke bahagian hujung kafe
untuk membuat pesanan.
“Hmm… Harry.” Panggil Naira.
“Ya, Naira.” Harry mengangkat mukanya
menghadap gadis di depannya itu.
“Lepas kerja nanti Harry ada plan nak buat apa-
apa tak?”
“Hmm, rasanya tak ada. Kenapa?”
124
“Err… nak tak Harry temankan Naira pergi ke
suatu tempat petang nanti?” Lambat-lambat Naira
memberitahu. Takut saja dia lelaki itu banyak soal nanti.
“Pergi mana?”
“Adalah…” Naira sengaja membiarkan Harry
tertanya-tanya. Dia risau lelaki itu menolak pula jika
diberitahu perkara yang sebenar.
“Okey, boleh!” Harry yang sedikit hairan
kemudian bersetuju. Baginya tidak salah jika dia
meluangkan masa untuk menemani Naira kali ini. Dia
ingin membalas jasa Naira tempoh hari.
Harry hanya membuntuti Naira di belakang. Troli yang
dibawa sudah hampir penuh dengan barang-barang
dapur dan sedikit alatan memasak. Dia ingat Naira ingin
membawanya ke mana tadi. Rupanya…
“Awak nak pindah ke, Naira?” tanya Harry. Hairan
juga dia melihat Naira yang berbelanja besar di situ.
Macam-macam yang dibelinya. Sebab itulah dia
125
menganggap yang Naira mahu berpindah ke rumah
baharu.
“Tak!” Sepatah saja dibalasnya. Biar betul si Naira
ini. Jadi untuk siapa dia membeli barang sebanyak itu?
Takkan dekat rumah ibunya tidak ada periuk nasi dan
water heater ? Harry menggaru leher yang tidak gatal.
“Habis tu?”
“Ni semua untuk awak!” Harry membuntangkan
biji mata. Lantas langkahnya terhenti.
“Untuk saya? Maksud awak?” Dia bukan tidak
dengar dengan kata-kata Naira. Cuma dia tidak percaya
dengan apa yang didengarnya sebentar tadi.
“Ye, untuk awak.” Naira berjalan di hadapan
membiarkan Harry yang bingung di belakang. “Lepas ni
awak dan Shaqil dah tak perlu pening-pening nak cari
barang. Bahan masakan dan makanan semua ni cukup
untuk korang berdua.” Jelas Naira. Dia masih sibuk
membelek barang di tangannya.
“Naira… janganlah susah-susah.” Tiba-tiba Harry
dihurung rasa malu. Bukan ini tujuannya menemani Naira
126
ke pasar raya. Dia tidak menyangka dengan tindakan
mulia Naira yang membelikannya barang dapur itu.
Sebenarnya Naira memang berniat ikhlas hendak
membantu Harry. Sejak pulang dari Johor hari itu dia
memang sudah memasang niat untuk membelikan
barang keperluan dapur rumah Harry. Dia mahu
memastikan rakannya itu tidak lagi jatuh sakit. Sebab
itulah dia bertindak sedemikian. Sungguh Harry tidak
mampu hendak menutup rasa terkejutnya menyambut
kebaikan hati Naira.
Naira mengambil satu jenis minuman susu
sewaktu mereka melewati laluan bahagian susu tepung.
“Susu?” Harry memasang muka bingung.
Sebelum ini mana pernah dia minum air susu. Bukan lagi
jarang. Malah tidak pernah!
“Yelah… orang gastrik kenalah minum susu.”
Naira ralit membaca tulisan yang ada pada bungkusan
susu itu.
‘Aik, macam mana Naira boleh tahu aku ada
gastrik?’ timbul soalan di benak Harry. Luar biasa juga
127
Naira ini bisa mengetahui penyakitnya itu. Padahal
setahu Harry dia tidak pernah pula bercerita tentang hal
itu kepada Naira.
Setelah selesai membaca tulisan pada bungkusan
susu, dia mengambil lagi beberapa bungkusan susu yang
sama. Mata Harry membulat.
“Naira, tak payahlah susah-susah. Rasanya ni tak
penting pun.” Serba salah juga Harry dibuatnya.
“Untuk kesihatan, termasuk dalam kategori wajib
beli!” pintas Naira cepat. Harry menjadi semakin segan.
Puas dia melarang, namun Naira tetap berdegil. Dia
kemudian kembali mengekori Naira yang sudah berjalan
di depan.
Harry membantu meletakkan barang-barang tadi
di atas meja kaunter.
Bip. Bip. Bip
Kedengaran bunyi yang keluar beberapa kali pada
mesin cashier setiap kali barang diimbas. Setelah semua
barang selesai diimbas, Harry curi-curi pandang ke arah
skrin komputer untuk melihat jumlah harga kesemua
128
barang tersebut. Sekali lagi Harry membulatkan biji mata.
Dia terkejut sebaik sahaja mengetahui jumlah yang perlu
dibayar oleh Naira waktu itu.
‘RM748.90? Aduh! Koyak dompet Naira!’
Harry berusaha mengawal reaksi mukanya. Takut
juga dia wanita di kaunter itu perasan dengan reaksinya
yang tak rileks pada ketika itu. Naira selamba
menghulurkan sekeping kad kepada juruwang.
“Terima kasih… sila datang lagi.” Ucap juruwang
itu dengan penuh mesra.
“Sama-sama.” Naira senyum dan kemudian
berlalu ke laluan keluar pasar raya itu.
Naira dan Harry sama-sama memindahkan
kesemua plastik yang ada di dalam troli ke dalam bonet
kereta.
“Naira…” Harry tiba-tiba bersuara. Naira yang
masih sibuk memindahkan barang ke dalam kereta
pantas memaling ke arah lelaki itu.
“Terima kasih!” ucap Harry pendek. Walaupun
ayat itu pendek namun ia membawa makna yang amat
129
besar buatnya. Entah bagaimana dia hendak membalas
jasa baik Naira.
Masuk hari itu, sudah dua minggu Shaqil berada di
kampung. Harry tidak sabar untuk menanti hari
berikutnya. Baru sahaja sebentar tadi Shaqil menelefon
memberitahu yang dia akan pulang awal pagi esok. Harry
yang mendengar berita itu lantas senyum gembira.
Sejujurnya dia agak bosan tinggal di rumah sendirian
sejak ketiadaan Shaqil.
Demi menyambut kepulangan rakan serumahnya,
Harry telah bercadang untuk mengemas ruangan dapur
rumah mereka. Barang-barang yang dibeli tadi disimpan
dan disusun dengan kemas dalam almari dapur. Periuk
nasi jenama Panasonic yang baru pula diletak
berhampiran dengan suis soket. Tiba-tiba terbit rasa
syukur dalam hati Harry. Selepas ini mereka tidak perlu
lagi bersusah payah menanak nasi di atas dapur.
130
Susu yang dibancuh Harry dipandang lama. Dia
sendiri pun lupa bila kali terakhir dia menjamah susu.
Perlahan-lahan minuman itu diteguk. Hatinya sarat
dengan rasa terharu yang tak mampu dibendung. Suara
Naira tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.
“Jangan lupa minum susu tu nanti!” pesan Naira
sebelum keretanya dipecut meninggalkan perkarangan
rumah sewa Harry. Harry tersengih sendirian. Wanita
yang dulu sering bersikap dingin kini sudah menjadi
rakan baiknya. Tidak sangka juga dia dengan sikap caring
yang ditunjukkan oleh Naira itu.
131
BAB 17
“Wah, cantiknya!” puji Naira. Harry mengangguk
tanda setuju dengan kata-kata Naira. Dia juga turut
kagum melihat pelamin yang tersergam indah itu.
Harry dan Naira mengatur langkah kaki perlahan
masuk ke dalam rumah. Kelihatan para tetamu
memenuhi ruang rumah itu.
“Mana pulak dia ni?” Kepala Naira tertoleh-toleh
mencari wajah yang telah menjemputnya dan Harry ke
majlis itu. Harry yang berdiri di sebelah Naira berasa
sedikit kekok. Dia kekok bukan sebab apa. Dia kekok
kerana dia melihat tiada satu pun wajah yang dikenalinya
di situ melainkan Naira. Kalau bukan disebabkan janjinya
kepada Naira, sudah mungkin dia tidak akan menjejakkan
kaki ke situ.
Senyuman terbit di bibir Naira dan Harry saat
terpandangkan wajah tersenyum Sofea yang sedang
mendekati mereka.
132
“Asal korang lambat? Aku sangka korang dah tak
jadi nak datang tadi. Sikit lagi aku nak merajuk.”
“Salahkan Naira!” Harry menuding jari ke arah
gadis disebelahnya. Naira menoleh.
“Eh, apasal Naira pulak?” soal Naira.
“Naira yang lambat bersiap tadi,” sambung
Harry. Agak lama juga dia menunggu Naira datang
menjemputnya di rumah. Nairalah yang mengajaknya
untuk pergi bersama-sama ke rumah Sofea.
Naira mendengus.
“Yelah! Yelah! Akulah punca kitorang datang
lambat.” Kata Naira dengan nada seperti merajuk. Tetapi
memang betul pun dia yang berlambat-lambat bersiap
tadi. Sofea dan Harry senyum mendengar pengakuan
Naira itu.
“So… kau tak nak ajak tetamu kau ni duduk ke?”
usik Naira dalam nada memerli.
“Eh, lupa! Lupa! Sorry…” Sofea menepuk dahi
setelah menyedari yang dia terlupa untuk mengajak dua
rakannya itu mengambil tempat duduk. “Silakan, tuan
133
puteri dan tuan putera…” Usik Sofea pula. Naira ketawa
kecil melihat gelagat masuk air rakannya itu.
Sampai sahaja di pintu rumah, Naira terhidu bau
masakan yang agak kuat. Dia yang tahu dari mana arah
bau itu datang pantas menuju ke arah dapur. Kelihatan
Puan Aina dan Najla sedang sibuk memasak. Hairan juga
dia bila melihat mereka masak dengan begitu
bersungguh-sungguh pada waktu begitu.
“Ibu masak apa ni? Banyaknya lauk… ibu nak buat
kenduri ye?” Tanya Naira kehairanan. Kenduri apa pula
yang mahu dibuat oleh ibunya malam nanti. Rasanya
kenduri arwah lama lagi kot…
“Pandailah kau nak buat kenduri!” sampuk
kakaknya yang sedang menghiris bawang. Matanya
sudah berair akibat kepedihan.
“Aik, habis tu?” soal Naira lagi. Tidak pernah dia
melihat ibunya memasak makanan pelbagai jenis seperti
itu melainkan bila waktu kenduri sahaja.
Puan Aina yang lincah menghiris sayur kemudian
menjawab, “Ada tetamu istimewa nak datang malam ni!”
134
“Tetamu istimewa? Siapa, ibu? Artis ke?” soal
Naira bergurau. Istimewa betul tetamu itu sehinggakan
ibu dan kakaknya beria-ia memasak awal-awal. Padahal
ketika itu baru pukul empat petang. Lama lagi kot nak
tunggu waktu malam.
“Eh, kamu ni, Naira. Artis mana pulak yang
sanggup nak ke rumah kita ni? Hajah Suraya dan anak
dia yang nak datang malam nanti.” Ujar Puan Aina.
Naira tersentak. Hilang senyuman di bibirnya tadi.
“Hajah Suraya dan anaknya? Fareez ke maksud
ibu?” soal Naira untuk kepastian.
“Yelah! Dia mana ada anak lain selain si Fareez
tu. Kamu ni dah hilang ingatan ke? Rasanya baru lima
tahun dorang tak balik sini. Takkan cepat sangat kamu
dah lupa?”
Najla senyum sinis.
“Manalah dia boleh lupa, ibu. Dia saja je tu buat-
buat lupa. Yelah… kan Hajah Suraya tu bekas ‘kenen-
kenenkan’ dia dengan Fareez.”
135
Naira buat tidak dengar kata-kata kakaknya. Dia
berdiri tidak berkutik dari situ. ‘Biar betul dorang dah
balik?’
“Bila dorang sampai sini, ibu?” Tanya Naira lagi
ingin cari tahu. Sudah lima tahun sejak Hajah Suraya dan
anaknya meninggalkan Malaysia. Tidak sangka pula
mereka telah pulang ke tanah air secepat itu.
“Dua hari yang lepas.” Jawab Puan Aina ringkas.
Selepas makan tengah hari tadi, Puan Aina tiba-tiba
sahaja mendapat panggilan telefon dari Hajah Suraya
yang memaklumkan tentang kepulangan mereka anak
beranak ke Malaysia.
“Ibu, Naufal nak rasa ayam ni satu, boleh?” tanya
Naufal yang sejak tadi memerhatikan mereka sambil
memasang telinga disebalik pintu.
“Eh, jangan! Nanti dulu. Tunggu ada tetamu nanti
baru kita makan sekali.”
Naufal terus berlalu dari situ dengan wajah
seakan-akan merajuk. Puan Aina menoleh ke arah Naira.
136
“Yang kamu berdiri je kat situ dah kenapa, Naira?
Lebih baik kamu naik atas tukar baju! Lepas tu turun sini
balik tolong apa yang patut.” Puan Aina mengarah.
Naira kemudian terus berlalu ke biliknya.
Terkejut Naira dibuatnya! Hampir-hampir saja dia
terlanggar lelaki di hadapannya itu. Nasib baik sempat
brek! Kalau tidak… pasti baju lelaki itu basah gara-gara
tersiram air yang dibawa oleh Naira. Serentak langkah
kaki kedua-duanya diundur setapak. Perlahan kepalanya
didongakkan pada wajah lelaki itu.
“Err… maaf! Saya nak tumpang bilik air.” Agak
kekok percakapan lelaki itu. “Bilik air kat mana?”
“Bilik air kat sana!” Jawab Naira sambil tangannya
menunjuk ke arah belakang. Dia kemudian melangkah
dari situ. Dia tidak mahu berlama-lama di situ.
Di meja makan kelihatan keluarga Encik Hamzah
dan Hajah Suraya sudah pun duduk di tempat masing-
masing. Mereka menunggu juadah siap dihidang.
137
Sesekali suasana rumah itu riuh dengan suara ketawa
yang pecah.
Naira meletakkan air buah cocktail buatannya di
atas meja. Dia kemudian kembali ke tempat duduknya.
“Wah, Naira ke yang buat air ni?” soal Hajah
Suraya.
“Ya, mak cik. Saya yang buat.” Naira
menghambur senyum kepada tetamu mereka.
Naira kemudian berpaling melihat Puan Aina yang
duduk di sampingnya. Agak lebar senyuman wanita itu.
Gembira betul dia. Ibu Naira yang suruh dia membuat air
kegemaran Hajah Suraya itu. Dalam hati Naira sudah
tahu yang ibunya itu sengaja mahu mengambil hati Hajah
Suraya.
Tidak lama kemudian Fareez kembali menyertai
kumpulan itu. Kerusi yang berhadapan dengan Naira itu
ditarik lalu dia duduk. Naira pula sengaja tidak
mengangkat mukanya. Dia mengelak untuk bertentang
mata dengan lelaki di hadapannya itu.
138
Fareez yang memang sejenis pemalu itu pula
duduk menunduk. Dia fokus menjamah makanan yang
terhidang di situ. Sejak tadi dia tidak banyak bercakap.
Dia hanya akan membuka mulut apabila disoal. Lagi pula
menurutnya tidak sopan bercakap ketika sedang makan.
Mata Naira terpandang sekilas wajah di
hadapannya. Namun cepat-cepat dia melarikan
pandangan tatkala empat mata itu bertemu. Walaupun
terpandang sesaat namun wajah insan yang dilihat tadi
lekas pula melekat di kepala.
Sejak dari awal tadi kedua-duanya belum
bertegur sapa. Masing-masing malu dan segan ingin
menyapa antara satu sama lain. Kalau nak beri salam pun
tak salah rasanya. Lagipun salam itu kan sedekah? Tapi
mulut kedua-duanya terkunci.
“Naira, boleh tuangkan air buah tu untuk mak
cik?” pinta Hajah Suraya sambil menghulurkan gelasnya.
Naira yang terpinga-pinga mendengar
permintaan Hajah Suraya itu pantas menuangkan air
tersebut ke dalam gelas wanita berjubah hitam itu.
139
“Terima kasih,” ucapnya. Naira senyum. Minuman
tadi diteguk perlahan.
“Emm… sedaplah air buatan Naira ni!” Pujinya
pula. Encik Hamzah dan Puan Aina senyum saat
mendengar pujian yang keluar dari mulut Hajah Suraya
itu. Naufal pula pantas menghulurkan gelasnya kepada
Naira. Mahu juga dia merasa kesedapan air buatan
kakaknya itu. Manakala Najla yang duduk di sebelah
kanan Naira pula tidak memberi apa-apa respon.
“Yelah, sedap!” Giliran Naufal pula memuji. Naira
tersengih. Beria-ia pula mereka memuji airnya itu.
“Air buah je pun…” kata Najla sambil sengih
dibuat-buat. Lantas Puan Aina menjeling tajam ke arah
anaknya itu. Najla melarikan anak mata ke arah lain. Dia
tahu ibunya sedang menyumpahnya dalam hati. Nasib
saja ada tetamu… kalau tidak sudah lama berdarah
telinganya mendengar bebelan si ibu.
“Abang Fareez tak nak ke rasa air buatan tangan
Kak Naira?” Pelawa Naufal pula ingin bermanis mulut.
Fareez yang sejak tadi tunduk pantas mengangkat muka
menghadap Naufal disebelah.
140
“Err… boleh jugak.” Lembut saja suaranya
menjawab.
“Naira, tuangkan air tu pulak untuk Fareez.” Arah
Puan Aina. Terkebil-kebil mata Naira dibuatnya.
‘Amboi… dah macam pelayan dah aku dibuatnya
malam ni!’ bisik Naira dalam hati.
Naira menghulur semula gelas yang hampir
penuh dengan air kepada Fareez.
“Terima kasih.”
“Sama-sama.” Ucap Naira dengan nada perlahan.
Naufal yang melihat tingkah kakaknya itu tersengih kecil.
Dia senyum bukan sebab apa… dia lucu melihat gelagat
sopan kakaknya pada malam itu. Sudah macam wanita
Melayu terakhir pulak!
“Hmm… hari ahad minggu depan Hajah ada nak
pergi mana-mana tak?” Puan Aina membuka mulut.
Mereka telah pun selesai menikmati juadah makan
malam.
141
“Tak ada rasanya, kan Fareez?” soal Hajah Suraya
pula kepada anaknya minta kepastian. Fareez
mengangguk senyum.
“Eloklah tu! Minggu depan kami nak buat majlis
sambutan ulang tahun Naufal. Kalau boleh, Hajah dan
Fareez datanglah, ye?”
“Oh, yeke? Baiklah, Insyaallah saya dengan
Fareez akan datang nanti.” Ujar Hajah Suraya.
“Umur Naufal berapa sekarang?” Fareez
menyertai perbualan itu.
“17 tahun!” Jawab Naufal dengan muka tidak
tahu malu.
Hairan juga Naira dengan sikap manja adik
lelakinya yang tidak ubah seperti budak kecil itu. Perangai
tidak serupa umur! Dialah yang memujuk Puan Aina
untuk mengadakan majlis hari jadi nanti. Naira senyum.
Dia teringat gelagat adiknya ketika memujuk orang
tuanya beberapa hari yang lalu.
“Naufal kan anak bongsu ibu dan ayah. Buatlah
majlis kecil untuk kita sekeluarga aje.”
142
“Yelah… Yelah… Nanti kita buat.” Encik Hamzah
menurut kata anaknya. Naufal apa lagi… terus melompat
gembira seperti anak kecil.
143
BAB 18
Mata Puan Aina pandang suaminya sebelum jatuh
pada anak gadisnya yang sedang duduk di sofa.
“Abang perasan tak apa yang saya perasan?”
Soalnya pada si suami. Sudah dua minggu dia perasan
kelainan sikap pada anaknya itu.
“Apa dia?” Encik Hamzah yang tengah membaca
surat khabar segera melipat surat khabarnya lalu
memandang isterinya. Dahi isterinya yang berkerut itu
digosok perlahan.
“Anak dara abang itulah. Macam dah lain dah dia
sekarang.”
Encik Hamzah menoleh pula pada Naira yang
sedang tersenyum sambil menonton televisyen. “Tengok
cerita seram pun dia boleh sengih?” Musykil si ayah.
“Haa, itulah! Tadi, masa dia tengah cuci piring kat
dapur pun saya nampak dia tersengih sendiri. Bila saya
144
tegur dan tanya kenapa dia senyum, boleh pulak dia
cakap tak ada apa-apa.” Cerita Puan Aina.
Encik Hamzah berfikir sejenak. “Yelah. Saya pun
perasan jugak dengan perubahan dia tu. Sebelum ni, dia
selalu lambat bersiap nak pergi kerja. Tapi sekarang ni
bukan main awal lagi dia dah siap. Sampai sarapan pagi
pun tak sempat disentuhnya. Dia okey ke tidak tu?”
“Itulah yang saya bingung sekarang ni!” Puan
Aina mencubit lengan suaminya. “Saya pernah juga alami
benda yang sama macam ni dulu…”
Encik Hamzah berminat hendak tahu. Dia yang
tadi duduk bersandar membetulkan duduknya
menghadap sang isteri di kerusi sebelah. “Maksud awak?”
“Dulu masa saya mula-mula jatuh cinta dengan
abang pun saya berperangai pelik macam tu. Selalu
senyum sorang-sorang!” Puan Aina buka cerita.
Dahi Encik Hamzah berkerut
“Jadi maksud awak… Naira tu tengah dilamun
cinta ke?” Tanya Encik Hamzah. Puan Aina menjungkit
bahu.
145
“Tak mustahil kan?” soalan dijawab dengan
soalan. Kedua-duanya senyap untuk beberapa saat. Encik
Hamzah menghela nafas.
“Kalau dia nak bercinta sekali pun, biarlah… dah
besar panjang anak kita tu. Saya dah malas nak
melarang. Lagipun mungkin dah tiba masanya untuk dia
mencari pasangan sendiri.” Sahut Encik Hamzah.
“Memanglah dia dah besar panjang, bang. Tapi
kita sebagai orang tua kena ambil tahu juga dengan siapa
dia berkawan. Buatnya dia berkawan dengan lelaki yang
bukan-bukan? Ihh, tak nak saya bang!”
Encik Hamzah tidak memberi respon. Dia kembali
membuka surat khabarnya.
“Hmm, abang!” Puan Aina panggil suaminya lagi.
“Hmm…” jawab Encik Hamzah. Matanya masih
pandang surat khabar.
“Abang setuju tak kalau saya nak satukan semula
Naira dengan Fareez?”
146