The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

e-JOURNAL SEMINAR PENYELIDIKAN & INOVASI IPGKSAH 2020 (JPPI IPGKSAH)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hairul, 2020-11-27 06:22:15

e-JOURNAL SEMINAR PENYELIDIKAN & INOVASI IPGKSAH 2020 (JPPI IPGKSAH)

e-JOURNAL SEMINAR PENYELIDIKAN & INOVASI IPGKSAH 2020 (JPPI IPGKSAH)

ekonomi dan perkahwinan. Kajian tidak akan membincangkan secara mendalam mengenai kisah
sejarah Satun yang terpisah dengan negeri Kedah.

Tinjauan Literatur

Sosio didefinisikan sebagai kata awalan yang merujuk perkaitan faktor sosial atau kemasyarakatan
(Kamus Dewan). Budaya atau kebudayaan pula berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu buddhayah yang
terhasil daripada perkataan buddhi yang menerangkan hal-hal yang berkaitan dengan budi dan akal
manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai culture yang berasal daripada perkataan Latin
iaitu cultus. Kirk (2005), berpendapat bahawa konteks bangsa Roman iaitu cultus merupakan simbolik
kepada aktiviti mereka ketika mengerjakan dan berbakti kepada tanah.

Bagi bangsa Roman, mereka mengandaikan bahawa jika tanaman mereka berjaya ia akan membesar
dan membentuk sebuah tamadun dan tamadun ini ialah sekumpulan manusia yang kehidupan mereka
penuh dengan budaya tersendiri. Sementara itu, sosial membawa maksud segala yang berkaitan dengan
masyarakat, perkara-perkara yang bersangkutan kemasyarakatan dan sikap laku manusia . Wan Azmi
Ramli (1992) menegaskan maksud sosial sebagai perkara yang berkaitan dengan peraturan-peraturan,
kaedah-kaedah perangai dan tingkah laku sedemikian yang dimantapkan melalui undang-undang atau
ikutan adat susila masyarakatnya dengan mengikut etika pada waktu itu.

Sosiobudaya membawa maksud yang meluas iaitu meliputi seluruh kehidupan manusia yang menjadi
amalan secara berterusan dalam sesebuah masyarakat. Sementara Kamus Zaaba (2001) mendefinisikan
sosiobudaya sebagai hubungan yang terjalin antara masyarakat dengan budaya seperti cara hidup, adat
istiadat dan lain-lain. Koentrtrajaningrat (2002) dalam Noriati A. Rashid (2014) mengatakan bahawa
budaya merupakan keseluruhan pemikiran dan hasil karya menusia yang berasaskan proses
pembelajaran. Budaya menerangkan keseluruhan cara hidup manusia yang merangkumi segala aspek
kehidupan manusia merangkumi pemikiran dan tingkah laku yang dihasilkan setelah berlakunya proses
pembelajaran.

Sejajar dengan itu, Koentrtrajaningrat (2002) telah menyenaraikan bahawa budaya mengandungi tujuh
unsur utama iaitu agama dan upacara keagamaan, organisasi kemasyarakatan, sistem pengetahuan,
bahasa, kesenian, sistem ekonomi dan sistem teknologi dan peralatan. Ketujuh-tujuh unsur inilah yang
telah membentuk budaya secara keseluruhan.Tuntasnya, budaya ialah satu cara hidup yang sentiasa
berkembang dan merupakan satu perkara yang diwarisi dan dimiliki oleh kelompok tertentu daripada
satu generasi ke generasi yang lain. Selain unsur yang disebutkan oleh Koentrtrajaningrat (2002),
sebagai unsur budaya yang lebih mudah boleh dilihat melalui sistem agama dan politik, adat istiadat,
bahasa, perkakas, pakaian, bangunan, dan karya seni. Setiap unsur ini mempunyai identiti tersendiri dan
apabila digabungkan akan menjadi satu budaya yang unik. Budaya ini boleh dikatakan sebagai satu pola
hidup yang menyeluruh kerana budaya bersifat kompleks, abstrak dan juga luas.

Perhubungan Satun dengan Kedah bertambah erat melalui hubungan perkahwinan dan perniagaan (Wan
Shamsuddin Mohd Yusof, 1985). Muhd Hassan Tok Kerani dalam Wan Shamsuddin Moh Yusof,
(1985) menyatakan bahawa pada tahun 1904, salah seorang puteri Sultan Abdul Hamid iaitu Tunku
Jura telah dikahwinkan dengan Tunku Syed Zahir iaitu cucunda Tunku Ismail, Raja Satun. Semasa
pemerintahan Sultan Abdul Hamid baginda telah menghantar Ku Din Ku Meh menjadi Gabenor di
Wilayah Satun. Ku Din Ku Meh dianggap sebagai pengasas kerajaan Melayu Satun moden. Hal ini
demikian kerana beliau banyak membuat perubahan dalam sistem pentadbiran. Beliau banyak

200

mencontohi sistem pentadbiran yang terdapat di Kedah pada ketika itu (Wan Shamsuddin Mohd
Yusof,1985).

Hasil perniagaan yang diusahakan di Wilayah Satun pada zaman dahulu ialah ternakan kambing,
kerbau, lembu, ayam, ikan, perniagaan telur itik, kayu balak dan juga sarang burung (Enche Yusof
dalam Wan Shamsuddin, 1985). Kerajaan Satun semasa fasa terakhir pemerintahan Ku Din Ku Meh
telah menunjukkan kecenderungan kepada kerajaan Bangkok berbanding dengan kerajaan Kedah.
Kuasa besar yang diberikan oleh Sultan Abdul Hamid kepada Ku Din telah menyebabkan bunga emas
dihantar terus tanpa melalui kerajaan Kedah (Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 1985). Hal ini seterusnya
menyebabkan kerajaan Thailand mengurangkan kuasa Sultan Kedah dan secara beransur-ansur kuasa
pentabdiran diberikan sepenuh kepada Ku Din pada tahun 1902.

METODOLOGI

Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang cuba untuk mengekplorasi satu fenomena, situasi,
peristiwa ataupun masalah (Kumar, 2011). Kaedah kajian ini bersifat untuk menemukan penjelasan
terhadap situasi, persepsi, nilai, pengalaman sekumpulan masyarakat (Kumar, 2011). Selain itu, kajian
ini juga melibatkan kajian perpustakaan, kajian lapangan yang melibatkan temu bual, pemerhatian dan
analisis teks.

Kajian perpusatakaan melibatkan pengumpulan bahan rujukan daripada pelbagai sumber bagi
penyediaan latar sorotan literatur dan memperkemas perbincangan dalam analisis dan dapatan kajian.
Sumber daripada kajian perpustakaan merupakan maklumat awal bagi membantu penyelidik
menyelami keadaan sebenar masyarakat Satun daripada pelbagai pandangan pengkaji terdahulu. Selain
itu, analisis teks juga dijalankan bagi membantu penyelidik membincangkan topik yang dibincangkan.

Kajian lapangan dijalankan di sekitar kampung Temalang dan bandar Satun. Kajian ini dijalankan pada
08 November 2019 hingga 10 November 2019. Lingkungan umur informan adalah antara 54-74 tahun.
Pemilihan informan dalam lingkungan umur sebegini adalah untuk mendapatkan data yang berwibawa,
signifikan dan asli (Rohaidah Haron, Ab Razak Ab Karim, Indirawati Zahid (2018).

Hal ini dikatakan demikian kerana informan yang sebegini masih mengekalkan bahasa dan budaya
masyarakat terdahulu. Temu bual telah dijalankan sepanjang penyelidik berada di Kampung Temalang
dan dan sekitar bandar Satun. Kaedah pemerhatian yang dibuat semasa di Muzium Wilayah Satun
bertujuan untuk mengetahui sejarah awal, sosiobudaya masayarakat awal Satun, perkampungan nelayan
Kg. Temalang dan bandar Satun.

Temu bual

Kaedah ini digunakan untuk mengetahui cara hidup dan penggunaan bahasa Melayu yang dituturkan
oleh orang-orang Melayu yang tinggal di Satun. Proses temu bual dijalankan sewaktu penyelidik berada
di Kampung Temalang di sebuah perkampungan nelayan yang rata-rata berkomunikasi dengan
menggunakan dialek bahasa Melayu yang berasal dari Kedah. Temu bual berlaku semasa lawatan ke
kampung ini. Tiga situasi telah berlaku ketika penyelidik berada di kampung ini. Situasi pertama
berlaku antara penyelidik dengan isteri Tok Penghulu. Situasi kedua berlaku dengan siak masjid di
kampung ini. Situasi ketiga pula berlaku ketika penyelidik berjumpa dengan penduduk-penduduk di
sini.

201

Analisis

Temu Bual

Situasi 1: Bersama-sama Isteri ToK Penghulu

Penyelidik Assalamualaikum Mak Cik
Mak Cik Walaikumusalam
Penyelidik Apa khabar Mak Cik
Mak Cik Baik, Alhamdulilah
Mak Cik Cik-cik mai daripada mana?
Penyelidik Kami semua dari Kedah.
Penyelidik Rumah siapa ni mak cik?
Mak Cik Rumah mak cik la.
Penyelidik Ini ada ruangan khas dan tulisannya penghulu
Mak Cik Ini rumah Tok Penghulu, suami mak cik Tok Penghulu.
Penyelidik Rumah mak cik macam rumah orang Kedah
Mak Cik Kami dulu-dulu ini asal dari Kedah. Rumah pun ikut tok nek dulu lah.
Penyelidik Kaum keluarga mak cik masih ada di Kedah ka?
Mak Cik Ya, ramai kat Kedah tu.
Penyelidik Selalu pi sana ka?
Mak Cik Pi sana bila ada kenduri, sakit demam dan kematian.
Penyelidik Petang-petang ini mak cik buat apa?
Mak Cik Rehat dok sembang-sembang atas bangsal ini la.
Penyelidik Kat sini semua orang Melayu yang berasal dari Kedah ka?
Mak Cik Semua yang ada di sini orang Kedah.
Penyelidik Baiklah mak cik, hari dah petang, kami minta izin undur diri dahulu.
Terima kasih mak cik.
Mak Cik Sama-sama

Situasi 2 : Perbualan dengan Tok Siak Masjid
Kampung Tammalang Hilir, Satun

Penyelidik Nak ke mana Pak Cik?
Tok Siak Nak ke masjid tu la, nak siap sedia untk solat maghrib.
Tok Siak Che-che mai daripada mana?
Penyelidik Kami mai dari Sungai Petani, Kedah.
Penyelidik Besar masjid ni pak cik.
Tok Sik Hasil derma dan kutipan orang ramai.
Penyelidik Ada tak orang luar datang ke sini.
Tahun lepas pelajar USM mari sini. Tinggal sini seminggu dan cuci
Tok Siak kawasan masjid sini. Kita buat gotong-royong kat masjid ni.

202

Situasi 3: Tegur Sapa dengan Orang Kampung

Orang Kampung Anak-anak nak ke mana ni?
Penyellidik Jalan-jalan keliling kampung pak cik

Penyelidik Buat apa tu pak cik?

Tok Sik Dok-dok , sambil rehat petang

Penyelidik Banyak rumah kat sini?

Orang Kampung Banyak, semua orang Melayu dan beragama Islam di sini

Penyelidik Kat sini semua orang cakap bahasa Melayu ka?

Orang Kampung Ya, kecuali orang muda yang belajar di bandar.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Adakah aspek-aspek persekitaran sosiobudaya iaitu sejarah, persekitaran masyarakat, bahasa, ekonomi,
agama, dan budaya masyarakat Satun mempunyai kaitan dengan masyarakat Melayu Kedah?

Sosiobudaya

Orang Melayu di Satun menjalankan kehidupan yang hampir sama dengan masyarakat Melayu di
Malaysia. Mereka mengamalkan agama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan
cara hidup orang Melayu seperti di Semenanjung Malaysia (Noridah Ardi, 2005). Mereka juga
menggunakan bahasa Thailand sebagai bahasa rasmi dan bahasa pendidikan (Worawit Baru, 1999). Hal
ini kerana dasar kerajaan Thaland membenarkan kelompok-kelompok etnik di negara ini mengamalkan
budaya mereka sendiri dengan bebas mengikut kepercayaan nenek moyang mereka dengan syarat
mereka taat dan setia terhadap negara Thailand (Worawit Baru, 1999).

Oleh yang demikian, tidak menjadi masalah kepada masyarakat Melayu Satun untuk mengamalkan
budaya yang sama dengan masyarakat Melayu Kedah. Kebanyakan penduduk di Satun, Thailand
berkongsi budaya cara hidup dan berpakaian mirip orang Melayu di Kelantan dan Kedah. Sosiobudaya
mereka banyak dipengaruhi oleh cara hidup beberapa negeri di utara Malaysia seperti Perlis dan Kedah.
Kesultanan Kedah dalam tahun 1136 merupakan jajahan takluk kerajaan negeri Kedah yang terletak
paling jauh di utara pantai barat Semenanjung Tanah Melayu. Oleh yang demikian, pengaruh
sosiobudaya negeri Kedah tetap meresap dalam jiwa generasi terdahulu turun menurun.

Pada zaman dahulu telah berlaku migrasi secara besar-besaran antara Satun dengan penduduk negeri
Kedah ini. Selain itu, faktor hubungan kekeluargaan menyebabkan proses migrasi berlaku dengan pesat
di kedua-dua tempat ini. Migrasi ini masih berlaku sehingga sekarang dan menyebabkan sosiobudaya
kedua-dua wilayah sama. Mereka keluar dan masuk dari Satun ke Kedah seperti biasa dan tempat-
tempat ini bukanlah asing kepada mereka. Negeri Kedah dan Perlis merupakan tempat yang tidak asing
dengan kehidupan mereka. Jarak yang dekat tidak sukar untuk mereka berulang alik setiap minggu.
Amalan ini akan menjadi lebih meriah tatkala musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari

203

Raya Aidiladha. Selain itu, pada musim cuti persekolahan sama ada di Satun atau di Kedah, ramai yang
akan keluar dan masuk untuk mengunjungi sanak saudara

Perkahwinan dan Kekeluargaan

Oleh sebab sejarah telah menunjukkan bahawa Satun merupakan milik Kedah, hubungan yang telah
lama wujud ini telah menyebabkan hubungan kekeluargaan antara penduduk Satun dengan orang Kedah
kekal utuh dan dan erat dengan masyarakat Melayu di Semenanjung (Norizah Ardi, 2005). Kebanyakan
informan yang ditemui masih mempunyai saudara-mara yang tinggal di Kedah. Perhubungan Satun
dangan Kedah menjadi erat kerana kewujudan perkahwinan antara anak-anak pembesar di situ dengan
anak Sultan. Hal ini dinyatakan dalam sejarah yang menjelaskan bahawa Tunku Amum iaitu Raja
Kubang Pasu telah mengahwinkan cucu baginda iaitu Tunku Jahara dengan Tunku Ahmad, putera
kepada Tunku Muhamad Akib.

Pada tahun 1904 pula, Sultan Abdul Hamid Halim Syah telah mengahwinkan anakandanya Tunku Jura
dengan Tunku Syed Zahir iaitu cucunda Tunku Ismail iaitu Raja Satun pada masa itu. Aspek ini juga
merupakan satu faktor pembentukan masyarakat Melayu di Satun. Faktor kewujudan perkahwinan ini
menyebabkan masyarakat Melayu di Satun pada waktu itu berkembang sehingga sekarang. Walaupun
keturunan diraja sudah tiada di Satun, namun pengaruh Melayunya masih ada. Mereka masih beradab
dan bersopan santun seperti orang Melayu yang lain. Hal ini demikian kerana orang Melayu di Wilayah
Satun terdiri daripada kumpulan besar Melayu peribumi yang mempunyai hubungan dengan keturunan
yang erat dengan Melayu di Semenanjung (Rohaidah Haron, Ab Razak Ab Karim & Indirawati Zahid,
2018).

Agama Utama Masyarakat Melayu Satun

Satun merupakan satu daripada empat wilayah Thai yang mempunyai majoriti penduduk yang
beragama Islam. Abdullan Long Puteh (1958) telah membuat bancian dan mendapati pada tahun 1957
penduduk Islam wilayah Satun berjumlah 60,040 orang. Rata-rata penduduk Satun berbangsa Melayu.
Dianggarkan 90 peratus penduduknya beragama Islam dan tidak hairanlah kedatangan Ramadan
disambut dengan penuh kegembiraan malah setiap masjid di wilayah itu seperti Yala dan Pattani
dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan bagi mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT. Di
wilayah ini terdapat banyak masjid dan pondok yang menjadi pusat perkembangan agama Islam.
Kerajaan Thailand telah mewujudkan Dasar Thesapiban, dasar ini tidak memaksa orang-orang Melayu
untuk turut serta dalam perayaan kebudayaan masyarakat Thailand.

Penggunaan Bahasa Melayu dalam Kehidupan Seharian

Sejarah telah menunjukkan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa rasmi Malaysia sahaja
tetapi juga di Indonesia, Brunei, Thailand dan di Kemboja. Hal yang sama berlaku kepada orang
Melayu-Thai di daerah Pattani, Satun Yala dan Narathiwat. Mereka masih lagi boleh bertutur dalam
bahasa Melayu. Di Thailand kebanyakan bahasa Melayu digunakan di sekolah pondok, madrasah
manakala kitab-kitab lama masih mengekalkan tulisan jawi. Ustaz-ustaz pula rata-rata fasih berbahasa
Melayu.’

Penduduk Satun yang beragama Islam bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa Melayu merupakan
bahasa ibunda mereka (Norizah Adri, 2005). Masyarakat Satun menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa untuk menyampaikan ajaran Islam. Bahasa Melayu yang digunakan di wilayah ini ialah bahasa

204

Melayu loghat utara (Joe, 2014). Ahmad Omar Chapakia (2003) telah membincangkan bahasa Thai
yang diajarkan di sekolah-sekolah manakala bahasa Melayu tidak diberikan perhatian langsung oleh
pemerintah Thailand. Bahasa Thailand menjadi bahasa kebangsaan yang wajib diikuti.

Genarasi muda hanya menggunakan bahasa Melayu di rumah dan bahasa Thai banyak digunakan di
luar. Hal ini menyokong kenyataan yang dibuat oleh Norizah Adri (2005). Hal ini kerana kerajaan
Thailand telah mengehadkan dasar pendidikan bahasanya kepada dua, iaitu bahasa kebangsaan dan
bahasa asing. Oleh itu, bahasa kaum minoriti seperti bahasa Melayu telah diklasifikasikan sebagai
bahasa asing. Selain itu, dasar-dasar integrasi dan proses asimliasi yang dibuat oleh kerajaan Thailand
terhadap kaum minoriti yang dikenakan ke atas masyarakat Melayu menyebabkan mereka terpaksa
menerima bahasa Thai sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan melalui sistem pendidikan yang
ditetapkan di negara tersebut.

Kegiatan Ekonomi

Pada zaman dahulu Satun atau Satun terkenal dengan perniagaan hasil penternakan seperti kambing,
ayam, lembu, kelapa, kayu balak dan sarang burung yang dibawa keluar melalui Pulau Tongkah kira-
kira 3,000 pikul setahun (Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 1985). Bonney R (1974) mendapati wilayan
Satun dan Langu pada masa itu begitu kaya dengan hasil perkayuan. Hal ini telah menyebabkan Satun
menjadi pusat pembinaan perahu dan kapal yang terkenal. Oleh sebab Satun merupakan sebuah wilayah
yang berhampiran dengan laut, Satun merupakan sebuah kawasan yang memasarkan hasil tangkapan
laut terutamanya di kawasan kampung Temalang. Penduduk Satun juga terdiri daripada peniaga-
peniaga kecil yang mengusahakan perniagaan makanan, hasil pertanian, hasil tangkapan laut seperti
ikan, udang, ketam dan sebagainya.

Mereka menjual makanan, hasil pertanian seperti beras, pisang, buah-buahan seperti nenas, kelapa,
sayur-sayuran dan lain-lain di pasar-pasar yang terdapat di wilayah Satun. Makanan masyarakat Satun
telah menjadi makanan kegemaran orang Melayu di sana iaitu jenis makanan yang sama yang terdapat
di Kedah. Ada pelbagai menu yang menyamai masakan masyarakat Melayu Kedah. Antaranya ialah
mi, laksa, kuih-muih seperti ketupat, ketayap, bengkang, tepung bungkus dan lain-lain lagi. Kebanyakan
kuih-muih di Satun sinonim dengan kuih-muih yang terdapat di negeri Kedah.Tuntasnya, faktor sejarah,
persekitaran sosiobudaya perkahwinan, kegiatan ekonomi, perkahwinan, agama Islam dan bahasa
Melayu merupakan faktor yang mempunyai kaitan rapat antara masyarakat di Satun dengan masyarakat
Melayu di Kedah .

Bagaimanakah sosiobudaya masyarakat Satun mempunyai hubung kait dengan masyarakat
Melayu Kedah?

Negara “Mambang Segara” atau sekarang dikenali dengan Satun atau Satun telah diperintah oleh
kerajaan negeri Kedah melebihi 100 tahun. Sejarah telah membuktikan bahawa kerabat kesultanan
Kedah iaitu Tuanku Bisnu telah dianggap sebagai peneroka kerajaan Melayu di Satun pada tahun 1808
(Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 1985). Sejarah juga menunjukkan bahawa Satun adalah sebahagian
daripada tanah jajahan takluk kerajaan negeri Kedah.

Tiga rangkap Syair Sultan Mualana yang mengambarkan bahawa Kedah turut terjebak dalam beberapa
siri peperangan yang menentang Siam pada ketika itu. Antara peperangan tersebut ialah
“ Pemberontakan Petani (1809) dan serangan Burma ke kawasan selatan Siam di sekitar Segenting Kra
termasuk Salang. Angkatan Melayu dari Telibung iaitu sebuah pulau yang berdekatan dengan Satun

205

turut menghantar angkatan tentera dan kapal perang. Dalam Syair itu Tunku Bisnu dipuja dan dikagumi
oleh rakyat jelata. Semua rakyat amat mematuhi undang-undang semasa pemerintahan baginda di Satun
(Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 1985). Syair ini telah menjadi bukti kukuh bahawa sejarah Satun
mempunyai hubung kait yang rapat dengan sejarah kesultanan Kedah.

Dari Satun pun datang angkatan
Tujuh haluan yang kelitan
Perahunya kembar berkait rotan
Senjatanya rentaka besi karatan

Tunku Bismu raja bistari
Sepucuk surat pula diberi
Akan angkatan yang tujuh seperi
Kepada wazir diserahnya beri
Tunku Bisnu raja yang mulia
Bangatnya itu kurang percaya
Pada pekerjaan dimanakan jaya
Diberikan senjata jadi sia-sia

Syair ini dengan jelas menunjukkan bahawa Tunku Bisnu merupakan seorang raja yang memerintah
Satun pada ketika itu sangat berkuasa dan gagah perkasa. Jika diteliti sejarah Kedah sewaktu Sultan
Abdul Hamid Halim Syah menaiki takhta pada tahun 1892, telah berlaku penyatuan beberapa buah
negeri bawah pengawasan baginda. Baginda telah diberi kuasa mentadbir Perlis dan Satun yang
dikenali sebgai “Monthon Saiburi” atau “wilayah Kedah”.

Tunku Abdul Rahman iaitu Raja Satun yang memerintah Satun berdasarkan peraturan dan undang-
undang yang dilaksanakan di Kedah. Kemangkatan Tunku Abdul Rahman menyebabkan Sultan Abdul
Hamid telah menghantar Ku Din bin Ku Meh menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Kedah di Satun. Ku Din
yang banyak menguruskan Satun secara bersendirian dan tindakannya yang selalu berhubung terus
dengan Kerajaan Thailand.

Keadaan ini telah menyebabkan kuasa Kedah secara perlahan-lahan hilang taringya. Ufti yang perlu
dihantar oleh wilayah Satun perlu melalui Kerajaan Kedah. Hal ini menyebabkan Ku Din mengelarkan
dirinya sebagai Raja Satun dengan gelaran Tunku Baharuddin bin Ku Meh. Akhirnya, kuasa kerajaan
Kedah telah berakhir dan Satun jatuh ke tangan Thailand pada tahun 1909 selepas termetrinya
Perjanjian Bangkok pada 09 Julai 1909. Peristiwa ini telah menyebabkan kerajaan Kedah kehilangan
wilayahnya. Namun begitu, hubungan antara kaum kerabat masyarakat Melayu di kedua-dua wilayah
ini tetap utuh.

Sebaik sahaja Tunku Baharuddin bersara pada tahun 1916, seorang gabenor Siam telah dilantik dan
berakhirlah sejarah Kerajaan Melayu Satun Mambang Segara yang pernah ditabdir oleh lima orang raja
dalam tempoh selama seratus tahun bermula dari 1808 hingga 1909. Impak perjanjian tersebut ialah
Kedah kehilangan dua wilayah Satun dan negeri Perlis berpisah dengan Kedah. Walaupun daripada
aspek kuasa, Kedah sudah tiada di wilayah Satun, namun pengaruh masyarakat Melayu di Satun pada
ketika itu masih berpandukan cara hidup masyarakat Kedah yang terdahulu. Gambar-gambar yang
dipamerkan di Muzium Satun menunjukkan budaya itu terus diamalkan sewaktu pentadbiran Ku Din
Ku Meh.

206

Kedudukan Geografi Satun

Wilayah Satun mempunyai keluasan 120 batu persegi meliputi beberapa buah pulau seperti Pulau
Panjang, Pulau Andang dan Pulau Terutau yang terletak berhampiran dengan Satun. Satun terletak di
Semenanjung Malaysia berkesinambungan dengan pantai Laut Andaman. Satun bersempadan dengan
negeri Perlis dan Kedah di selatan dan wilayah Songkla di sebelah timur.

Di pantai baratnya terbentang Laut Andaman dan Teluk Benggala. Satun dibahagikan kepada tujuh
daerah yang terdiri daripada Mueang Satun, Khuan Don, Khuan Kalong, Tha Phae, La-ngu dan
Manang. Wilayah yang berhampiran dengan Kedah ini telah banyak mempengaruhi cara hidup
masayarakat di Satun. Jarak yang tidak begitu jauh antara Satun dengan Pulau Langkawi juga
merupakan faktor hubungan kedua-dua wilayah ini tidak terputus begitu sahaja. Hubungan kekeluarga
yang telah wujud sejak zaman berzaman telah mempengaruhi sosiobudaya masyarakat Satun. Menurut
pelancong-pelancong yang pernah ke Satun melalui feri daripada Pulau Langkawi, jangka masa untuk
ke sampai ini ialah satu jam.

Kegiatan Sosiobudaya

Dasar kerajaan dalam pembinaan bangsa Thai ialah dasar integrasi yang membolehkan kelompok-
kelompok etnik di Thailand mengamalkan budaya-budaya mereka secara bebas mengikut kepercayaan
masing-masing asalkan mereka taat dan setia kepada negara Thailand (Worawit Baru, 1999). Hal ini
membolehkan masyarakat Melayu Thai mengamalkan budaya mereka sehari-harian. Namun begitu,
proses asimilasi telah berlaku dalam kalangan masyarakat Satun. Mereka masih mengamalkan budaya
yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka yang berasal dari Kedah. Ramai sanak saudara mereka
berada di Kedah dan sering berulang alik ke Kedah. Dalam hal ini, mereka juga menerima pengaruh
budaya tempatan seperti bertutur dalam bahasa Thailand sekiranya mereka bertemu dengan penduduk
tempatan.

Kegiatan Ekonomi Masyarakat Satun

Masyarakat Melayu Satun terdiri daripada pelbagai latar belakang. Ada yang bekerja dengan kerajaan
dan ada yang bekerja sendiri. Bagi yang mendapat pendidikan tinggi mereka menjawat jawatan di
pejabat-pejabat kerajaan manakala yang tidak bekerja dengan kerajaan kebanyakannya bekerja sendiri
di kampung. Ada dalam kalangan mereka yang menjadi pesawah padi, penoreh getah, nelayan dan
penternak binatang seperti lembu, kambing dan ayam. Para nelayan pula keluar mencari ikan di laut.
Satun merupakan sebuah pelabuhan yang suatu ketika dahulu kerana kedudukan geografinya yang
sesuai dan strategik.

Keadaan Satun sibuk dengan keluar dan masuk kapal menyebabkan Satun dikenali sebagai Mambang
Segara yang bermaksud Satun Mambang (Dewa) laut (Ahmad Jelani Helimi & Mohd Yusoff Mydin
Pitcahi, 1985). Kebanyakan penduduk Temalang ialah nelayan. Semasa pentadbiran Ku Din (Abdullah
Long Putih, 1958) pembangunan begitu pesat berlaku di Satun. Perdagangan dan pertanian berlaku
dengan pesat, malahan Ku Din sendiri ketika itu telah membeli sebuah kapal wab untuk mengangkut
barang dagangan secara berulang alik ke Pulau Pinang. Suasana ini menunjukkan bahawa Satun begitu
rapat dengan negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia. Hal ini amat menyamai sosiobudaya
masyarakat Melayu Kedah iaitu ada yang bekerja dengan kerajaan dan ada yang bekerja sendiri.
Pemerhatian yang dijalankan di Muzium Satun mendapati bahawa terdapat kapal kayu dan gambar-
gambar yang menunjukkan kesibukan Pelabuhan Satun.

207

Agama Islam Agama Utama Masyarakat Satun

Abdullah Long Puteh dalam Wan Adnan (1971) telah menjelaskan bahawa ketika pemerintahan Sri
Maharaja terdapat seorang kadi yang sangat bijak dan begitu arif tentang agama Islam iaitu Haji San.
Catatan itu menunjukkan bahawa Haji San telah menjalankan tugasnya sebagai kadi yang mengurus hal
ehwal perkahwinan, harta pusaka dan undang-undang negeri. Hal ini telah menunjukkan bahawa agama
Islam telah lama bertapak di Satun. Masyarakat ketika itu begitu patuh dan taat kepada kadi mereka.
Berdasarkan pernyataan ini, dapatlah disimpulkan bahawa agama Islam telah lama berkembang dan
rakyatnya bepegang teguh kepada ajaran Islam. Catatan Enche Abdullah Long Puteh dalam Wan Adnan
Wan Long (1971) menyatakan bahawa ;

“Perkumpulan Islam yang bertanggong-jawab di-satu2 baik kepada
yang berkuasa Kerajaan seperti hari mulia Islam ia-itu Hari Raya Puasa

dan Hari Raya Haji daripada 3 atau 6 hari orang2 Islam misti
mengikut chara2 Islam yang diatur dengan sempurna”

Kini agama Islam kekal menjadi agama utama di wilayah ini. Terdapat banyak masjid yang didirikan
di Satun tidak menyukarkan pencarian umat Islam untuk bersolat jika berada di sini. Suasana di Satun
juga agak meriah pada musim perayaan seperti bulan puasa agak meriah. Acara keagamaan disambut
dengan meriah oleh penduduk-penduduk yang beragama Islam di wilayah ini. Pada bulan Ramadan
rata-rata masjid yang terdapat di wilayah ini meriah dan ramai masyarakat Islam datang bersolat
terawih. Setiap malam masjid-masijd di Satun dipenuhi dengan orang Melayu yang akan bersolat
terawih dan mengadakan majlis berbuka puasa secara berjemaah.

Masjid juga kelihatan terang-benderang dan dilimpahi lampu dan kerlipan lampu berwarna warni selain
jualan makanan atau bazar Ramadan seperti cendawan selepas hujan. Keadaan ini amat berbeza dengan
masyarakat di Pulau Panjang, Satun. Hal ini dikatakan demikian kerana ketiadaan pasar Ramadan di
pulau itu. Di samping itu, ,masih terdapat tradisi bertukar-tukar juadah berbuka puasa yang merupakan
satu elemen bermasyarakat setiap kali tiba bulan Ramadan di daerah ini. Budaya seumpama ini sinonim
dengan amalan masyarakat Kedah pada masa dahulu. Golongan dewasa masih berpegang kuat kepada
ajaran agama Islam dan mereka tidak sama sekali meninggalkan Islam sebagai agama yang dianuti oleh
nenek moyang mereka. Hal yang sama berlaku di Kedah pada musim perayaan keagamaan.

Bahasa Melayu Bahasa Pertuturan Masyarakat Satun

Bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Dapatan Abdullah
Long Puteh dalam Wan Adnan Wan Long (1971) menyatakan bahawa kadi Prakya Sman merupakan
seorang yang bijak dan telah bertindak sebagai perunding dan pemaju masyarakat pada ketika itu. Salah
satu usaha yang dibuat oleh beliau adalah mengadakan sekolah pertama yang mengajarkan bahasa Thai
sedangkan pada masa itu sekolah di Satun hanya mengajarkan bahasa Melayu. Rohaidah et al. (2018)
menyatakan bahawa interaksi yang berlaku dalam kalangan masyarakat di selatan banyak menggunakan
dwibahasa. Walaupun dipisahkan dengan ruang geografi, namun masyarakat di sana masih bertutur
menggunakan bahasa Melayu secara bersilih ganti dengan bahasa tempatan.

Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Satun masih menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
komunikasi. Komunikasi dalam kalangan masyarakat Melayu di Satun masih menggunakan bahasa
Melayu. Kajian Harishon Radzi, Nor Hashimah Junaini Hayati dan Anati Hamidah Arifin (2018),
mendapati masyarakat Satun menggunakan bahasa Melayu dialek Kedah. Kajian mereka menunjukkan

208

bahawa dialek Melayu Kedah masih kekal difahami sehingga sekarang. Kebanyakan penduduk Satun
menjalankan kehidupan yang sama dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Mereka menganut
agama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu.

Penggunaan bahasa Melayu banyak digunakan oleh masyarakat yang beragama Islam di masjid,
pondok-pondok pengajian Islam dan di kampung mereka. Golongan dewasa dan golongan ulamak
banyak menggunakan bahasa Melayu ketika mereka menyampaikan ilmu yang berkaitan dengan agama
Islam. Kajian ini menyokong kajian Rohaidah, Ab Razak dan Indirawati (2018) yang mendapati tok
guru, ustaz, imam dan khatib ialah golongan yang aktif dan kelompok terbesar yang menyebarkan
dakwah Islamiah melalui bahasa Melayu. Bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah-sekolah agama
dan pondok-pondok serta masjid. Masalah pertembungan bahasa berlaku dalam interaksi harian antara
masyarakat Melayu Satun dengan masyarakat Thai yang lain.

Namun begitu, hal ini bukanlah faktor penyebab bahasa Melayu agak kurang digunakan oleh golongan
remaja yang tinggal di Satun. Walaupun kerajaan Thai cuba untuk melenyapkan bahasa Melayu dan
identiti kemelayuan dalam kalangan masyarakat Satun , namun masyarakat Melayu di Satun masih
mempertahankan bahasa Melayu sehingga kini. Hasil temu bual yang dijalankan, penyelidik mendapati
bahawa warga emas dan golongan dewasa di Satun masih menguasai bahasa Melayu dengan baik
walaupun mereka menghadapi cabaran kerana anak-anak muda dalam kalangan mereka agak kurang
bertutur dalam bahasa Melayu. Generasi dewasa masih bertutur dan selesa dengan bahasa Melayu yang
telah tersebar luas sejak zaman nenek moyang mereka lagi. Mereka masih mengekalkan identiti mereka
melalui penggunaan bahasa Melayu di rumah, sekolah-sekolah agama, pondok dan masjid.

Jelaslah bahawa faktor sejarah, persekitaran budaya, kegiatan ekonomi, perkahwinan, bahasa dan
agama yang terdapat dalam masayarakat Satun masih mempunyai hubungan yang kuat dan signifikan
dengan masyarakat Kedah. Sosiobudaya yang masih sama dan faktor hubungan kekeluargaan yang
masih wujud antara kedua-dua masyarakat ini terus kekal dan lestari. Walaupun proses asmilasi telah
berlaku berates-ratus tahun dalam masayarakat Satun, bahasa Melayu dan agama Islam ialah faktor
penyumbang kepada kesatuan ukhwah antara dua masyarakat ini.

KESIMPULAN

Sosiobudaya masyarakat Satun masih sama dengan masyarakat Melayu Kedah. Sejarah dahulu telah
menunjukkan bahawa pengaruh Kedah yang menjajah Satun pada zaman dahulu telah menjadi faktor
utama kepada kewujudan sosiobudaya Satun yang mernyamai masyarakat Melayu Kedah. Kedah telah
memerintah Satun selama 100 tahun. Oleh itu, tidak mustahil proses asmilasi berlaku. Penghijrahan dan
perkahwinan adlah antara faktor utama yang menyebabkan sosiobudaya masyarakat Satun berkait rapat
dengan masyarakat Kedah. Hal ini menunjukkan bahawa terdapat perkaitan antara masyarakat Satun
dengan masyarakat Kedah. Bahasa Melayu masih digunakan di sana sebagai bahasa percakapan
seharian malahan mereka bertutur mengikut dialek orang Melayu di Pulau Langkawi. Agama Islam
merupakan agama rasmi bagi masayarakat Melayu di sana. Corak ekonomi di Satun seperti bercucuk
tanam padi, getah dan kelapa sawit adalah sama seperti yang diusahakan di Kedah. Sektor perikanan
juga penting di Satun. Sehubungan dengan itu, sosiobudaya masyarakat Kedah masih wujud dalam jiwa
dan pemikiran masyarakat Satun walaupun sejarah itu telah lama meninggalkan kita.

209

RUJUKAN
Asmah Haji Omar. (2019). Bahasa Melayu di daratan Asia Tenggara: Pendekatan sejarah dan

geolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Ahmad Jelani Halimi & Mohd Yusoff Mydin Pitchai. (1995). Setoi (Satun) Mambang Segara dalam
lintasan sejarah negeri-negeri Melayu Utara. Jurnal Perseptif Jil 8. Bil 2 (123-134) ISSN
1985-496X.

Ahmad Omar Chapakia. (2003). Masyarakat Melayu di Thailand. Kertas Seminar Kolokium Peradaban
Melayu Kawasan Timur Laut ke-2, Kuala Terenggau, Terengganu.

Aizat Sharif. Kemeriahan Satun seiras dengan Malaysia.Harian Metro Keluaran 3 Julai 2015.

Harishon Radzi, Nor Hashimah Jalaluddin, Hayati Lateh dan Anati Hamidah Arifin. (2018). Tahap
pemahaman leksikal kata kerja dialek Melayu Kedah di Pulau Tuba. Jurnal Melayu Bil. 17 (1).
2018.

Joe Satun. (2014). Pemikiran masyarakat Satun Thailand.
https;//karllistravel.blogspot.com/2014/11/pemikiran-masyarakat-satun-
Thailand_18html.

Norizah Ardi. (2005). Sikap terhadap bahasa Melayu dan penggunaannya dalam kalangan pelajar
Universiti di Selatan Thailand. Tidak diterbitkan tesis PhD, Fakluti Bahasa dan Lingustik.
UniversitI Malaya.

Norfadilah Mohd Zin. (2020). Bahasa sempadan Malaysia-Thailand: Pengekalan vs Peralihan Bahasa.
Weebly.com/uum-dihatiku/

Rohaidah Haron, Ab Razak Ab Karim & Indirawati Zahid. (2018). Pertembungan Bahasa Di Selatan
Thailand : Faktor dan implikasi. PENDETA Journal of Malay Language, Education and
Literature Jilid 9, 2018/ISNN 1823-6812 (117-129).

Kumar, R. (2011). Research Methodology: A step-by Step-Guide for Beginners. Washington D: Sage.

Wan Adnan Wan Long. (1971). Sejarah negeri Setol Thailand : Enche Abdullah Long Ahmad.
Terjemahan Bahasa Malaysia. Setol.

Wan Shamsuddin Mohd Yosuf. (1985) Selayang pandang sejarah kerajaan Melayu Satun “ Mambang
Segara” (1808-1909). Alor Setar: Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah.

Worawit Baru@ Ahmad Idris. (1999). Dasar kerajaan dan kesannya terhadap bahasa Melayu di
negara Thai. Tidak diterbitkan. Tesis Ph.D, JabatanPengajian Melayu, Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.

210

ITQAN ASAS PEMUPUKAN BUDAYA KERJA CEMERLANG

Ridzuan bin Ahmad PhD, Mohamad Roslan bin Abdul Razak
Ahmad Nadri bin Mat Daud & Rohani binti Che Hashim PhD

Corresponding author:
Dr. Ridzuan bin Ahmad

Abstrak
Amalan Budaya Kerja Cemerlang akan menghasilkan kualiti kerja dan ianya mempunyai hubungan
yang sangat signifikan dengan kejayaan organisasi. Bermula dengan kekuatan sistem, proses
perencanaan, prosedur dan peraturan yang diamalkan ianya akan dapat menyuntik semangat dan
motivasi kepada para pekerja dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Kertas konsep ini akan cuba
membincangkan konsep, sandaran-sandaran syara` dan pandangan sarjana mengenai elemen-elemen
yang menjadi makna teras kepada singkatan lafaz / perkataan ITQAN yang diperkenalkan. Selain itu,
kertas ini juga bertujuan menghuraikan rasional dan kepentingan menjadikan ITQAN sebagai asas
kepada pemupukan Budaya Kerja Cemerlang dalam sesebuah organisasi. Melalui tinjauan
perpustakaan dan pembacaan (Library Research) yang dilaksanakan penyelidik mendapati 10 makna
utama dalam lafaz ITQAN amat signifikan, sesuai dan relevan untuk disemai dan dipupuk dalam
kalangan para pekerja bagi membentuk budaya kerja cemerlang ke arah menghasilkan produk yang
berkualiti. 10 makna tersebut iaitu I = Ilmu dan Informasi, T= Tekun dan Teliti, Q= Qawei (kuat) dan
Quality, A= Amanah dan Akauntabiliti, dan N = Niat dan Nawaitu.

Kata kunc : ITQAN, budaya kerja cemerlang, motivasi kerja, kerja yang berkualiti

PENGENALAN

Pekerja merupakan aset yang paling penting dalam sesebuah organisasi. Organisasi yang mempunyai
pekerja yang memiliki komitmen dan dedikasi tinggi akan membolehkan organisasi tersebut mencapai
matlamat atau objektif yang telah digariskan dengan mudah. Pencapaian matlamat dan objektif
organisasi merupakan petunjuk utama kepada kecemerlangan organisasi.

Kerja yang berkualiti juga akan memberi kesan kepada kecemerlangan sesebuah organisasi. Kualiti
kerja mempunyai hubungan yang sangat signifikan dengan kecemerlangan dan keutuhan sesebuah
organisasi. Melalui sistem pengurusan yang berkualiti, perancangan yang rapi, arahan, prosuder dan
peraturan yang jelas akan menjadi pendorong utama ke arah pengorbanan dan komitmen yang tinggi
dalam kalangan kakitangan kepada organisasi. Kecemerlangan dan keutuhan sesebuah organisasi
mempunyai perkaitan secara langsung dengan kualiti pekerja. Pengurusan organisasi akan menjadi
lebih mudah, efektif dan efisyen. Malahan penjanaan idea-idea baharu, daya saing dan komitmen untuk
merealisasikan matlamat organisasi yang ditetapkan turut bergantung kepada kualiti diri pekerja yang
merupakan agen utama kepada organisasi. Oleh itu model ITQAN yang diperkenalkan turut
menggabungkan dua unsur utama pengurusan organisasi iaitu kecekapan dalam aspek pengurusan dan
kualiti modal insan yang dimiliki.

Apa itu ITQAN? ITQAN adalah perkataan Bahasa Arab yang dipanjamkan kepenggunaannya ke dalam
Bahasa Melayu yang membawa maksud tekun, teliti, melaksanakan dengan terbaik, menepati masa,
menepati standart dan berkualiti. Mu’jam al-Lughah al-Muasirah ( ) berpendapat perkataan ITQAN
adalah kata dasar daripada perkataan ‫ أَتْ َق َن‬iaitu : ‫ أَتْ َق َن‬, ‫ يُتْ ِق ُن‬, ‫ إتْقَانًا‬, ‫ فَ ُه َو ُمتْ ِقن‬sebagaimana yang difirmankan
: ‫( ُص ْن َع اللهِ الَّ ِذي أَتْقَ َن ُك َّل َش ْيء‬Itulah ciptaan Allah yang mencipta dengan sempurna segala sesuatu). Kamus

211

al-Ma’ani ( ) pula memberi takrifan sebagai “yang paling sempurna dari sudut pengawasan dan
ketepatan”.

ITQAN juga boleh diertikan sebagai melakukan sesuatu amanah dan tanggungjawab dengan gigih dan
bersungguh-sungguh. Dalam beberapa keadaan, ITQAN dikaitkan dengan amalan atau tindakan yang
berkualiti seseorang pekerja dan merupakan tuntutan utama di dalam bekerja (Rasid t.th).

Latar belakang
 Merealisasikan visi dan misi organisasi merupakan objektif utama pengurusan. Pelbagai
strategi yang dirangka. Pihak pengurusan juga bertanggungjawab mengatur, menyusun dan
mengagihkan tenaga sumber manusia bagi memastikan perancangan dilaksanakan secara
teratur dan berkesan.
 Sharifah Hayati al-Qudsy (2008), berpendapat proses awal untuk melahirkan suatu budaya
kerja yang cemerlang adalah dengan membentuk sikap pekerja terhadap bekerja.
 Menurut Robert Kreitner dan Angelo Kinichi (2004), budaya bekerja yang cemerlang
dipengaruhi oleh tiga faktor;
 penglibatan dalam kerja
 kepuasan kerja, dan
 komitmen kerja
 Selain daripada menggariskan hala tuju yang jelas, pendekatan strategik yang berfokus,
motivasi para pekerja juga perlu diuruskan dengan sempurna dan sentiasa dipertingkatkan.
 Inspirasi pihak pengurusan dalam merealisasikan visi dan misi organisasi, perlu juga disisipkan
dengan satu panduan atau kit pengurusan yang boleh dijadikan asas dan sandaran utama untuk
bergerak menuju kejayaan.
 ITQAN yang bermaksud tekun, gigih dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas
disuntik dengan makna yang sangat mendalam pada setiap huruf tersebut akan memberi
inspirasi, galakan dan ransangan kepada para pekerja untuk merealisasikan matlamat dan
objektif organisasi yang ditetapkan.
 ITQAN merujuk kepada berIlmu dan berInformasi, Tekun dan Teliti, Qawiy dan Quality,
Amanah dan Akauntabiliti, dan Niat dan Nawaitu (keikhlasan)

212

BerIlmu Tekun
dan dan
Teliti
BerInform Qawiy
asi dan
Quality

Niat dan Amanah
Nawaitu dan

Akauntabil
iti

 Kajian Havard Business mendapati sikap positif berperanan sebanyak 93 % dalam menentukan
kejayaan seseorang dan 7 % adalah ilmu dan kemahiran sebagai pelengkap.

Tinjauan Literatur

Bekerja merupakan ibadah dalam Islam. Islam menganjurkan nilai-nilai tertentu untuk dijadikan
panduan dan amalan dalam menghasilkan kualiti kerja yang terbaik yang seharusnya diamalkan oleh
semua kakitangan sama ada pihak pengurusan atasan atau bawahan. Nilai-nilai tersebut hendaklah
diserap dan diaplikasikan sehingga menjadi sebagai budaya kerja seharian yang berkualiti. Budaya kerja
yang menekankan aspek kualiti amat menepati acuan Islam bagi memenuhi tuntutan kerohanian,
kebendaan dan intelektual. Tuntutan material adalah untuk memenuhi kehendak keduniaan manakala
tuntutan kerohanian yang perlu diambil berat menjadi kayu ukur bagi membina aspek-aspek positif dan
konstruktif untuk membangunkan organisasi. Oleh yang demikian, setiap pekerjaan dalam Islam
mestilah berpaksikan tauhid kepada Allah s.w.t. (Sharifah Hayati, 2010). Antara nilai-nilai yang
menjadi tuntutan dalam diri seseorang pekerja sama ada pekerja atasan atau bawahan bagi
menghasilkan kualiti kerja yang terbaik iaitu ITQAN.

ITQAN ini adalah nilai kekuatan dan semangat untuk melaksanakan sesuatu tugas hingga sempurna.
Nurhafilah (2015) berpendapat nilai itqan adalah merujuk kepada kualiti kerja yang boleh
diterjemahkan sebagai ketekunan, komitmen dan kesungguhan kerja. Justeru itu, nilai ini dapat
membentuk peribadi yang berakhlak dan bermoral serta modal insan yang cemerlang dalam
melaksanakan tugas. Kenyataan ini disokong dengan pandangan Mohamad Khadafi (2015) yang
menyatakan bahawa nilai itqan ini mempunyai pengaruh yang kuat untuk membentuk sikap,
keperibadian dan pemikiran seseorang pekerja supaya dapat melakukan kerja dengan bersungguh-
sungguh dan cemerlang. Manakala Wiyata Budhi (2013), berpendapat konsep itqan adalah
memberikan penilaian lebih terhadap hasil pekerjaan yang kualiti berbanding kuantiti dan amat
mementingkan mutu sesuatu pekerjaan. Dapat dikatakan bahawa nilai itqan berkait rapat dengan

213

ketekunan, kecekapan kerja, berdisplin, dan merancang kerja. Keempat-empat sifat ini saling
berhubungan antara satu sama lain. Ketekunan akan melahirkan sifat kesungguhan dalam diri seseorang
dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Oleh itu, seseorang pekerja yang baik tidak akan tunduk kepada
sifat malas atau berserah pada nasib semata-mata. Ketekunan tidak dapat direalisasikan tanpa displin
yang utuh pada diri pekerja. Begitu juga dengan displin ia tidak akan wujud tanpa perancangan kerja
yang jelas. Seterusnya dengan perancangan yang jelas dan displin yang teguh akan mewujudkan
ketekunan pada diri pekerja dan melahirkan kecekapan kerja. Kesemua elemen tersebut merupakan
perkara yang asas dan utama dalam membentuk budaya kerja yang cemerlang.

Sandaran ITQAN

Secara asasnya ITQAN diilhamkan melalui renungan yang mendalam terhadap ayat-ayat al-Quran dan
hadith Nabi SAW yang menyentuh mengenai aspek kualiti dalam bekerja. Islam meletakkan pekerjaan
yang merupakan sumber utama rezeki kepada seseorang sebagai ibadah. Berikut dicatatkan beberapa
nas al-Quran dan pandangan mufassirin mengenainya.

i. Firman Allah yang bermaksud;
“…dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah S.W.T amat menyukai orang-orang yang berbuat
kebaikan”

(al-Baqarah : 195 dan al-Maidah : 93)

Ketekunan dan ketelitian dalam bekerja merupakan tuntutan syarak malah ianya juga dianggap sebagai
tanda dan lambang keimanan. Upah dan pendapatan yang diperolehi melalui hasil kerja yang dilakukan
tidak terkeluar daripada dua kategori iaitu sama ada halal atau haram. Nilai iman yang dimiliki oleh
seseorang akan memastikan sumber pendapatannya adalah halal setelah kerja yang dilakukan dengan
sempurna dan berkualiti.

ii. Firman Allah yang bermaksud;
“Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan yang
lain).”

(al-Insyirah : 7)

Merujuk kepada ayat di atas, sebahagian mufassir berpendapat apabila sudah selesai melaksanakan
tugas jihad maka hendaklah kembali memberi fokus kepada ibadah dan doa iaitu melaksanakan dengan
penuh ketekunan dan ketelitian. Ada juga mufassir yang berpendapat setelah selesai perkara yang
berkait dengan urusan dunia, kemudian hendaklah kembali bersungguh-sungguh dalam beribadah. (
Sayyid Qutb dalam Fii Zhilalil Quran ) . Imam Al-Thabari berpendapat yang tepat adalah kesungguhan
dan kesempurnaan dalam menyelesaikan sesuatu urusan, kemudian baru berpindah ke urusan lain.
Inilah yang dapat difahami dan sesuai dengan keumuman ayat. Menurut Mu’jam al-Wasit, kata yang
terkandung dalam ayat, “‫ ” َف َر َغ َي ْف ُر ُغ ـ فَ َراغـا‬bererti ‫ َخلا‬kosong, dan jika dikatakan “ُ‫ َف َر َغ ِم ْن ال َشيء” = أتَ َّمه‬,
iaitu menyempurnakan nya. Dengan demikian, dapat difahami bahawa Islam memerintahkan dalam
melaku- kan kerja hendaklah dilakukan secara benar-benar sempurna iaitu benar-benar ‘kosong’ dan
tidak perlu dilakukan semula.

iii. Sabda Nabi SAW yang bermaksud;

i. “Daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya Allah
menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu kerja, maka kamu
lakukannya dengan itqan (tekun)” (HR: At–Tabrani dan al-Baihaqi).

214

ii. Daripada Syaddad bin Aus dia berkata, “Dua perkara yang saya ingat pesanan
daripada Rasulullah, beliau bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan supaya
sentiasa bersikap baik terhadap sesuatu. Apabila salah seorang daripada kalian hendak
membunuh maka bunuhlah dengan cara yang terbaik dan apabila salah seorang
daripada kalian hendak menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik.
Tajamkan mata pisau dan tenteramkanlah haiwan sembelihan” (HR : Muslim )

 Berdasarkan dua buah hadith di atas, baginda Nabi SAW menggesa umatnya supaya tekun dan
teliti dalam melakukan sesuatu kerja. Ketekunan dan ketelitian dalam menghasilkan kerja yang
berkualiti disebut sebagai ITQAN. Hakikatnya nilai ITQAN yang dipraktiskan akan
memberikan impak positif iaitu disukai dan diredhai oleh Allah s.w.t. Imam al-Nawawi ‫رحمه‬
‫ الله‬memasukkan hadith-hadith tersebut sebagai hadith yang berkaitan dengan dasar dan
kesempurnaan agama iaitu tuntutan supaya melakukan sesuatu kerja dengan cara yang terbaik.

 Antara intipati lain yang dapat disimpulkan melalui hadith di atas baginda Nabi SAW
memerintah supaya menajamkan pisau sebelum melakukan sembelihan.Seruan tersebut
menampakkan kesopanan dan etika berhemat ketika bermuamalah dengan haiwan sembelihan
supaya tidak menyakitkan dan mempercepatkan hembusan nafas yang terakhir. Apatah lagi
ketika berinteraksi sesama manusia, adab, etika dan nilai perlu dipraktikkan supaya kehidupan
manusia menjadi lebih damai dan harmoni.

iv. Diceritakan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW memasuki masjid kemudian masuk
pula seorang lelaki lalu ia menunaikan solat. Setelah selesai solat, lelaki berkenaan lantas memberi
salam kepada Nabi SAW. Setelah menjawab salam berkenaan baginda SAW bersabda: “ Pergilah solat
sesungguhnya engkau tidak pun menunaikan solat” dan diulangi sebanyak tiga kali justeru baginda
SAW bersabda selanjutnya : “… apabila engkau dirikan solat, takbirlah kemudian bacalah ayat-ayat
Al-Quran kemudian rukuk sehingga sempurna kemudian bangun hingga tegak kemudian sujud dengan
sempurna kemudian duduk dengan sempurna dan lakukanlah begitu dalam solatmu seluruhnya”(HR :
Al-Bukhari)

 Jelas melalui hadith tersebut baginda Nabi SAW menekankan kesempurnaan dalam melaku-
kan pekerjaan. Malah pekerjaan yang dilakukan sambil lewa dan tidak sempurna dianggap tidak
terpakai. Kesempurnaan dan ketelitian dalam melaksanakan pekerjaan merupakan ciri-ciri
kualiti.

Konseptual Kajian

Berdasarkan perbincangan di atas yang turut disokong dengan beberapa keterangan yang dipetik
daripada al-Quran dan hadith-hadith nabi SAW menjelaskan bahawa pencapaian matlamat sesebuah
organisasi berkait rapat dengan kualiti dan budaya kerja yang diamalkan. Budaya kerja cemerlang akan
lahir daripada proses amalan dan penghayatan oleh pekerja dalam organisasi yang diistilahkan sebagai
pengurusan sumber manuisia. Rajah berikut mengilutrasikan bagaimana pencapaian matlamat
organisasi boleh dicapaikan melalui amalan budaya kerja cemerlang yang dipupuk melalui penghayatan
terhadap konsep ITQAN yang diperkenalkan.

215

Pengurusan Pemupukan Budaya Kerja Pencapaian
Sumber Budaya Cemerlang matlamat
Manusia ITQAN organisasi
a. penglibatan,
b. kepuasan
c. komitmen

Objektif

1. Menghuraikan konsep ITQAN dalam memupuk budaya kerja yang cemerlang.

2. Menghuraikan asas-asas dan sandaran syara dan pandangan sarjana mengenai konsep
ITQAN.

3. Menghuraikan rasional dan kepentingan konsep ITQAN wajar diamalkan dalam pengurusan
organisasi bagi membentuk budaya kerja yang cemerlang.

Cabaran Pemupukan Budaya Kerja Cemerlang

Setiap pengurus organisasi bercita-cita untuk menjadikan organisasi yang dipimpin menjadi cemerlang.
Pelbagai usaha dilakukan termasuk aspek perancangan, penyusunan kakitangan, pembangunan latihan,
motivasi dan sebagainya. Namun belum pasti sama ada usaha tersebut berjaya atau gagal. Ab. Aziz
(2006) mendapati antara cabaran utama pemupukan budaya kerja cemerlang dalam sesebuah organisasi
adalah karenah birokrasi, budaya kerja yang diamalkan dan kualiti pekerja yang dimiliki. Melalui model
ITQAN yang diperkenalkan terdapat dua demensi utama iaitu kecekapan pengurusan dan kualiti diri
pekerja diberi penumpuan. Sepuluh nilai utama digabungkan bagi membentuk model ITQAN iaitu
Ilmu dan Informasi, Tekun dan Teliti, Qawie (kuat) dan Quality, Amanah dan Akauntibili dan Niat
dan Nawaitu (Ikhlas). Dengan penghayatan terhadap nilai-nilai utama ITQAN yang diperkenalkan
pemupukan budaya kerja cemerlang dapat direalisasikan.

Berilmu dan Berinformasi

 Tidak dapat dinafikan ilmu dan informasi merupakan perkara asas dan utama dalam
pengurusan. Tanpa ilmu dan informasi, seseorang pengurus tidak akan mampu menjana idea-
idea yang bernas dan terkehadapan. Malah gagal dalam membuat perancangan yang baik, tidak
mampu untuk merungkai masalah yang dihadapi dan tidak mampu membuat keputusan yang
tepat dan tuntas. Maklumat dan sumber pengetahuan merupakan asas dan sandaran utama untuk
melaksanakan tugas pengurusan dan kepimpinan secara efisyen. Ambil sahaja kisah Nabi

216

Dawud a.s dan Nabi Sulaiman a.s penyandang dwi-fungsi nabi dan raja (pemimpin). Kekuatan
baginda a.s berdua terletak pada ilmu dan hikmah kurniaan Allah. Bersandarkan ilmu dan
kebijaksanaan kurniaan Allah SWT itulah Nabi Dawud a.s dan Nabi Sulaiman a.s berjaya
mengurus dan mentadbir kerajaannya dengan cemerlang dan gemilang. Perihal berkenaan
Allah SWT dirakamkan dalam beberapa antaranya Surah al-Anbiya: 79, Surah al-Naml : 15
dan Surah Saad: 20

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memberikan ilmu kepada
Dawud dan Sulaiman dan keduanya mengucapkan; segala puji bagi Allah yang melebihkan kami
dan banyak hambanya yang beriman. (Al-Anbiyak : 79)

 Nabi Adam a.s merupakan pemimpin terawal alam dunia tidak diciptakan hanya dalam bentuk
makhluk fizikal, tetapi dilengkapkan dengan ilmu menerusi proses taklim seperti diisyaratkan
dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah mengajarkan Adam dengan nama (benda)
seharusnya.” (Al-Baqarah: 31) Begitu juga kepimpinan seterusnya oleh junjungan besar
Muhammad SAW berusaha mengubah masyarakat jahiliah menjadi umat terunggul bermula
dengan satu perkataan “iqra’” (bacalah), iaitu perintah yang melambangkan pencarian dan
penguasaan ilmu secara mapan. (Al-Alaq: 1-5)

 Objektif perutusan rasul adalah melakukan transformasi peradaban dan ketamadunan
kemanusiaan. Merubah daripada kepercayaan karut, nilai dan budaya songsang kepada tauhid
dan iktikad yang betul, nilai dan adab yang dihormati. Kesemua ini akan terjelma melalui proses
perancangan dan pelaksanaan yang dicerna oleh kematangan ilmu dan kebijaksanaan yang
dimiliki oleh pihak pengurusan (pemimpin). Peter Drucker (2008) menegaskan pihak
pengurusan bukan sekadar merancang dan melaksanakan perancangan malah perlu sentiasa
mengamalkan pendekatan 'learning, unlearning and relearning'.

 Misi pengilmuan serta penyucian jiwa (tazkiyah) itulah yang tersurat dan tersirat melalui
perutusan baginda Nabi SAW sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud:
“Dialah yang sudah mengutuskan seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) dalam kalangan
mereka itu (orang Arab) yang Ummi ( tidak tahu membaca dan menulis), membacakan kepada
mereka ayat Allah, dan membersihkan mereka, serta mengajarkan mereka kitab Allah (al-
Quran) dan hikmah (pengetahuan mengenai hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum
itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah, ayat 2)

 Berkaitan perihal tersebut Profesor Dr. Yusuf al-Qardhawi ( 2000 ) berpendapat ilmu bukan
barang mewah yang menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Ia adalah sebahagian daripada
intipati kemanusiaan malah sewajar pendidikan itu hendaklah disenaraikan sebagai keperluan
asasi manusia sebagaimana makanan, pakaian dan tempat tinggal.

 Dalam konteks pengurusan Islami ilmu digabungkan secara terjalin dan teranyam erat antara
pelbagai ilmu seperti ilmu akidah, syariat, akhlak, sejarah, geografi serta ilmu pengurusan dan
kemanusiaan. Ilmu tidak dilihat secara terpisah. Kesepaduan itu harus dipelihara kerana
pemecahan dan dikotomi ilmu akan membawa kepincangan dalam pengurusan. Pengurusan
yang cekap dan bersih tidak mungkin dapat dilakukan ketika kepincangan dalam pelbagai
sektor kehidupan masyarakat. Sebarang kerosakan dan kepincangan yang berlaku di sesuatu
bahagian akan memberi kesan kepada bahagian lain.

217

 Objektif pengurusan berkualiti hanya dapat dicapai andai seluruh sistem dan budaya kerja yang
melingkunginya dalam keadaan betul, sihat, harmonis dan kondusif hasil penerapan ilmu
terpadu yang saling memperkukuh. Tanpa dukungan dan pengukuhan daripada ilmu lain, ia
tidak dapat berfungsi dengan berkesan.Pengurusan berkesan memerlukan daya manusia
berwatak kuat, tabah, sabar, berani, jujur dan ikhlas. Watak seperti itu hanya dapat dibina
dengan berkesan menerusi pendidikan tauhid kerana ia adalah doktrin menjurus pembebasan
jiwa dan minda, mengangkat martabat insani, pemberian erti hidup dan nilai amal. Ilmu
pengurusan memerlukan landasan akidah untuk pembangunan sumber daya manusia yang
dinamik dan pembinaan motivasi dalaman.

 Dalam pada itu, insan berilmu dan berinformasi akan bekerja secara terpandu melalui
pengetahuan yang dimiliki dengan betul dan bertindak yang tepat. Orang yang berilmu dan
berinformasi akan mampu merancang dan menghasilkan sesuatu yang baharu secara kreatif dan
inovatif. Dengan penguasaan ilmu dan informasi yang dimiliki akan membantu untuk menjadi
timbang tara dalam menyelesaikan masalah yang timbul dengan mengemukakan pelbagai
altenatif kepada cadangan dan pertimbangan. Benarlah kata-kata seorang ahli Falsafah
“knowledge is power” (Francis Bracon)

Tekun dan Teliti

Huruf T merujuk kepada tekun dan teliti. Melaksanakan kerja dengan tekun dan teliti akan memberi
banyak kebaikan dan manfaat. Sifat tekun dan teliti sangat penting kepada organisasi bagi mengelak
berlakunya kesilapan. Kesilapan dan ketidaktepatan fakta dan maklumat akan membawa kepada
kepincangan dalam tadbir urus organisasi. Ketelitian juga telah disenaraikan sebagai Big Five
Personality (Lima Dimensi Utama Personaliti) yang mengukur aspek-aspek utama yang perlu dimiliki
oleh seseorang personaliti selain daripada keterbukaan, ketelitian, kesepakatan, kemantapan
(ekstraversi) dan kematangan (neurotisim).
Antara kepentingan tekun dan teliti dalam bekerja:

i. Tekun dan teliti dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan adalah wasilah untuk mendapatkan
ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

ii. Allah SWT suka dan kasih kepada orang-orang yang tekun dan teliti dalam dalam bekerja.
Kasih dan suka Allah SWT kepada hamba melambangkan keberkatan dalam kehidupan.

iii. Tekun dan teliti dalam pekerjaan akan memudahkan urusan orang lain dan dapat mengelakkan
daripada kesilapan dan berulang kali melakukan kerja yang sama.

iv. Sifat tekun dan teliti dapat membezakan antara orang yang betul-betul berusaha dan juga
orang yang bekerja sambil lewa.

v. Sifat tekun dan teliti juga akan menambahkan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita
lakukan kerana dilakukan dengan sempurna.

Kejayaan pembukaan Kota Konstantinapel oleh Sultan Muhammad al-Fateh pada 29 Mei 1453
bersamaan 20 Jamadil Awal 857H mezahirkan sifat gigih dan tekun yang ditunjukkan telah menghasil
pencapaian yang membanggakan. Ahli sejarah mencatatkan antara sifat ketekunan dan kegigihan Sultan

218

Muhammad apabila beliau bersama bala tentera yang dipimpinnya berjaya menarik dua kapal yang
dibina menaiki dan menuruni bukit di mana sepanjang laluan tersebut disapu dengan lemak-lemak bagi
melancarkan pergerakan. Mengambil masa selama 53 hari dengan angkatan tentera sejumlah 263,000
orang dan armada yang terdiri daripada lebih 300 buah kapal, Sultan Muhammad telah berjaya
merealisasikan bisyarah (khabar gembira) yang dituturkan oleh junjungan Nabi SAW sejak 800 tahun
yang lalu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud, “Konstantinopel pasti akan dibuka. Sebaik-baik amir
adalah amirnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” [HR Ahmad].

Jika kita merenung kepada alam semesta yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, manusia dan
binatang, bukit-bukau dan gunung- ganang, laut dan daratan, langit, matahari dan bintang-bintang
dengan minda yang berfikir dan tafakkur nescaya kita akan mendapti betapa agong dan indahnya
penciptaan Ilahi. Tiada tandingan keajaibannya, tiada kecacatan dan semuanya indah belaka.
Subhanallah…Allah SWT mengkhabarkan kesemua penciptaan tersebut disusun atur dengan teliti.
Sebagaiamana FirmanNya yang bermaksud :

“Dan engkau melihat gunung-ganang yang engkau kira tetap ditempatnya, pada hal ia berjalan
seperti awan berjalan. Itulah ciptaan Allah SWT yang mencipta dengan sempurna. (Al-Naml : 88)
Setiap pekerja perlu merasa setiap gerak geri, tingkah laku, tindak tanduk dan perlakuan sama
ada dalam waktu bekerja atau diluar waktu bekerja akan dilihat dan diperhitungkan semula. Jika
dilaksanakan dengan tekun dan teliti akan menatijahkan kerja yang sempurna dan akan
dikurniakan ganjaran pahala. Begitu juga sebaliknya, jika kerja dan tugas dilaksanakan sambil
lewa dan tidak bersungguh turut menatijahkan kecacatan dan kesilapan. Pekerja akan
dipertanggunjawabkan atas kecuaian dan ketidaktelitian kerja yang dilakukan.
Pertanggungjawaban tersebut bukan sahaja dipersoalkan dari sudut etika kerja malah akan
dipersoalkan oleh para malaikat di hari akhirat kelak. Abu Hurairah r.a meriwayatkan daripada
Nabi SAW dengan katanya : wahai Abdullah setiap pekerjaan kamu di dunia akan diperlihatkan
semula seraya baginda SAW membaca ‫( َي ْو َمئِّذ تُ َح ِّد ُث أَ ْخبَا َر َها‬terjemahan: Pada hari ini bumi
menyampaikan beritanya (Al-Zalzalah:4). Justeru baginda menjelaskan yang dimaksudkan “bumi
menyampaikan berita” ialah bumi menjadi saksi di atas setap pekerjaan yang dilakukan oleh
seseorang begitu dan begini (HR : Ahmad, Al-Nasa`ie dan al-Tarmizi)”

Daud (2010) berpendapat terdapat dua aspek utama yang dapat menunjukkan komitmen pekerja
terhadap organisasi dimana tempat mereka bekerja iaitu kesetiaan dan penglibatan. Kesetiaan ialah
perasaan sayang dengan organisasi dan ingin kekal untuk menjadi sebahagian daripada organisasi.
Penglibatan pula usaha yang bersungguh-sungguh demi kepentingan organisasi untuk mencapai
matlamat yang ditetapkan. Pengelibatan sebeginilah yang melambangkan erti ketekunan.

Bagi meningkatkan mutu ketelitian oleh setiap pekerja berikut digariskan terdapat beberapa langkah
yang boleh diamalkan. Antaranya;

1. Menggunakan beberapa strategi pemikiran seperti pemikiran logik, kritis dan kreatif. Berfikir
secara logik iaitu cuba mengenali, mengidentifikasi dan berusaha membuat solusi. Pemikiran
kritis dan kreatif adalah berfikir mengenai rasional tentang apa yang harus dilakukan dan
bagaimana sesuatu tugasan dapat diselesaikan dengan mudah.

2. Bina sikap peduli iaitu dengan menanam azam supaya bebas daripada kesalahan dan tidak suka
kepada kesalahan.

219

3. Membuat senarai semak bagi memastikan setiap langkah diikuti dan setiap perkara telah
dilaksanakan dengan sempurna.

4. Semak dan periksa semula tugasan atau baca berulang kali.

5. Fokus dan bina konsentrasi kepada tugasan yang sedang dilakukan. Anda perlu mengelak
daripada melaksanakan tugasan dalam keadaan anda memikirkan pelbagai perkara.

6. Hindari beban mental atau psikologi yang terlalu berat dengan meletakkan target yang tidak
praktikal ketika menyelesaikan tugasan. Keadan tersebut boleh membawa kepada tindakan
tergesa-gesa yang menyebabkan berlaku kesilapan.

7. Berfikiran tenang dengan mengamalkan teknik rehat minda. Minda boleh direhatkan dengan
mengamalkan beberapa teknik seperti menarik dan menahan nafas beberapa kali. Merehatkan
minda juga boleh dilakukan dengan tidur sekejap antara 10 ke 15 minit sebelum waktu Zohor
yang dinamakan sebagai Qailulah.

8. Imbangi sikap nak cepat. Terkadang anda perlu juga mengimbangi antara ketepatan dan
kecepatan. Kesilapan sering berlaku apabila tugasan dilaksanakan secara tergesa-gesa dan
mahu cepat. Perhatikan cara anak-anak belajar berjalan didahului dengan beberapa tahap
sebelum mereka berlari dan terus berlari kencang.

Angela Duckworth (2012) dalam kajiannya berkaitan rahsia kejayaan seseorang mendapati orang yang
teliti adalah yang paling berjaya. Mereka berupaya memberi tumpuan terhadap apa yang penting dan
mendedikasikan usaha sepenuhnya untuk mencapai matlamat. Beliau juga mendapati “… di tempat
kerja, individu yang teliti akan bekerja keras melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh, teratur
dan penuh tanggungjawab serta membuat keputusan yang tidak terburu-buru berbanding dengan rakan
sekerja yang kurang teliti. Dapatan lain juga menunjukkan “… sifat ketelitian turut membantu individu-
individu mengekalkan perhubungan sosial yang sihat, yang merupakan kunci untuk mencapai
kesejahteraan diri. Individu yang bersifat teliti lebih cenderung untuk mengelakkan konflik
interpersonal yang remeh-temeh dan bersedia meleraikan perselisihan faham apabila saat tersebut
diperluakan”

(Roshan Thiran dalam utusanborneo.com.my )

Qawie (Kuat) dan Quality

Perkataan Qawie (kuat) memberi kefahaman yang meluas meliputi kekuatan fizikal dan material,
kekuatan ilmu dan minda , kekuatan teknologi dan lain-lain. Dalam konteks pengurusan kekuatan
fizikal dan kekuatan minda mencerminkan keupayaan dan kecekapan seseorang dalam melaksanakan
tugas. Organisasi semestinya perlu merancang dan menyusun program dan aktiviti bagi membangunkan
kekuatan fizikal dan kekuatan minda setiap pekerja.

Kualiti ialah darjah kecemerlangan yang pada kebiasaannya adalah tinggi atau bermutu ( Kamus Dewan
Edisi Keempat (2010). Kualiti perkhidmatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan
sesebuah organisasi mampu bersaing dan mengekalkan prestasi yang cemerlang. Ini adalah kerana
kualiti perkhidmatan yang baik merupakan salah satu strategi persaingan yang dapat meningkatkan
prestasi individu yang bekerja serta meningkatkan prestasi organisasi. Salleh M. (1991) berpendapat
kualiti adalah merujuk kepada kepuasan hati pelanggan dan keperluan yang ditetapkan. Wan Omar

220

(1996) pula berpendapat untuk menjadikan sesuatu kerja itu berkualiti, konsep dan nilai yang diajar
dalam ajaran Islam perlu disemai dan dipraktikkan dalam urusan seharian.

Menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Qashah ayat 26 terdapat dua ciri utama yang perlu
ada pada seseorang pekerja iaitu kuat dan amanah. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat lagi amanah”

(Al-Qashash :26)

Sayyid Qutb ( 2000 ) di dalam Fi Zhilal Al-Quran mentafsirkan ayat ini bahawa seorang pekerja perlu
mempunyai dua ciri iaitu kuat dan amanah. Kedua-dua ciri ini hendaklah menjadi teras dalam sistem
pentadbiran dan pengurusan di dalam sesebuah organisasi. Dalam konteks semasa, pekerja yang baik
ialah mempunyai kekuatan dari segi mental dan fizikal, kelayakan, kemahiran, pengalaman, kesihatan,
kecerdasan dan kesungguhan dalam menjalankan tugas. Ciri kedua iaitu kepercayaan atau beramanah
dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab merupakan perkara yang perlu diberi perhatian oleh
pekerja supaya tidak mengamalkan perkara yang boleh menjejaskan kualiti kerja.

 Dalam dunia pekerjaan kekuatan ilmu dan minda merupakan medium utama untuk menggerak
kecemerlangan oraganisasi. Keupayaan merancang dan melaksanakan dengan menggunakan
pelbagai model perancangan startegik adalah bersumberkan keluasan ilmu dan ketajaman
minda dikuasai. Di era globalisasi dan kecanggihan teknologi siber penguasaan ilmu di bidang
tersebut merupakan alat dan senjata yang amat penting dalam menguruskan organisasi.
Penyimpanan dan pengurusan data, pendekomuntasian dan pentafsiran maklumat merupakan
ilmu baharu yang perlu dikuasai oleh pekerja pada masa kini.

 Pemikiran kritis dan kreatif juga amat diperlukan dalam pengurusan moden. Bermula daripada
membuat perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan pengawalan termasuklah keperluan
latihan. Kesemuanya berbalik kepada keluasan ilmu dan ketajaman minda yang dimiliki oleh
seseorang pengurus organisasi.

 Selain kesihatan mental pekerja juga perlu memiliki kekuatan fizikal yang optimum untuk
melaksanakan tugasan dengan sempurna. Lebih-lebih lagi pekerjaan yang melibatkan
penggunaan guna tenaga yang banyak. Pekerja yang menghadapi masalah kesihatan sudah
pasti kurang berupaya malah tidak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut
dengan sempurna. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “ Mukmin yang kuat itu lebih baik dan
lebih disukai oleh Allah” ( HR : Muslim )

 Kualiti merupakan indikator daripada sifat ketekunan dan ketelitian seseorang pekerja. Malah
ia juga menjadi cerminan kepada iman yang dimiliki. Penegasan ini dirakamkan oleh Allah
SWT beberapa kali di dalam al-Quran, antaranya: FirmanNya yang bermaksud : “ untuk
menguji kamu, siapakah yang lebih baik kerja buatnya” ( Al-Mulk : 2) Imam Qatadah
berpendapat yang dmaksudkan dengan “yang paling baik amalannya” ialah “Siapakah yang
paling sempurna amalannya”. Beliau turt mengulas: …perhatikanlah bahawa ihsan adalah
umum yang meliputi pekerjaan dunia dan amal akhirat. Itqan (ketekunan) dan ihsan dalam
sesuatu pekerjaan adalah wajib sebagai sifat asasi dalam perilaku mukmin, iaitu menjadi sifat
yang mesti ada dan tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Imam Fudhail bin ‘Iyadh turut
menegaskan dalam bentuk ayat yang hampir sama iaitu yang dimaksudkan dengan “…yang
paling baik amalannya” ialah amalan yang paling ikhlas dan paling betul” iaitu menepati

221

spesifikasi dan tata cara pelaksanaan yang ditetapkan.

 Darjat keinsanan manusia juga tercalar akibat daripada mengabai dan mencuaikan tugas yang
dipertanggungjawabkan. FirmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke
tempat serendah-rendahnya (neraka) kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal
soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus”. (Al-Tin : 4-6) Ketika memberi ulasan
mengenai ayat tersebut Syed Qutb (2000) menjelaskan bahawa Allah s.w.t telah memberikan
perhatian yang besar terhadap manusia bermula dari penciptaan manusia yang diciptakan dalam
sebaik-baik bentuk. Walau bagaimanapun, manusia turut mempunyai titik kelemahan dan
melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah yang sememangnya suci murni dan terbaik.
Oleh yang demikian, Islam dengan tegas menolak para pekerja yang tidak efektif disebabkan
oleh faktor kemalasan, tidak menepati masa, cuai dalam melaksanakan tanggungjawab dan
tidak membuat kerja dengan bersungguh-sungguh dan tidak berdedikasi.

 Sebagai pekerja muslim yang berkualiti haruslah mengambil berat akan pesanan Nabi SAW
sebagiamana sabdaanya yang bermaksud : “Daripada Abdullah bin Umar r.a, sesungguhnya
Rasulullah s.a.w bersabda: Tiap-tiap seorang daripada kamu ialah pemimpin dan akan diminta
bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaan kamu” (HR : al-Bukhari
dan Muslim)

Amanah dan Akauntabiliti

Kamus Dewan (1996) mendefinisikan amanah sebagai sesuatu yang dipercayakan kepada orang sebagai
contoh diserahkan sesuatu untuk disimpan. Amanah adalah satu tanggungjawab yang diberikan sebagai
satu prinsip untuk tidak mengambil kesempatan dengan menggunakan pengaruh dan kuasa yang sedia
ada (Mumtaz, Norzaini & Mohammed Sani, 2010). Secara etimologis bahasa Arab amanah adalah
mashdar daripada (amina- amanatan) yang bererti boleh dipercaya. Secara terminologi Al-Maraghi
berpendapat sesuatu yang mesti dipelihara dan dijaga agar sampai kepada yang berhak memilikinya.
(Al-Maraghi, 1986)

Dalam konteks pekerjaan amanah merupakan sifat yang perlu dimiliki oleh setiap pekerja kerana;

i. Jawatan dan tugas yang dipegang adalah amanah yang diterima atas permintaan dan
kehendak sendiri.

ii. Menyempurnakan segala tugas jawatan adalah wajib. Jika dilakukan dengan baik, maka
pahala (syurga) ganjarannya; sebaliknya jika cuai dan abai, maka dosalah (neraka)
balasannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud antara
lainnya: “antara tanda orang munafik itu ialah mengkhianati amanah ...”.

iii. Amanah merupakan merupakan suatu “taklifan” Allah kepada umat manusia sebagaimana
yang ditegaskan oleh Al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksudnya: “Sesungguhnya
kami telah menawarkan amanah (tanggungjawab) kepada langit, bumi dan gunung- ganang
tetapi mereka enggan untuk memikulnya dan takut terhadapnya”
(Al-Ahzab :72)

222

iv. Para muhadithin mengulas bahawa taklif amanah itu bermaksud tugas dan

tanggungjawab yang dipikulkan kepada bahu manusia seperti halnya dengan iman,
sehingga Nabi s.a.w. sendiri bersabda:… “tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak

ada amanah”. (HR: Imam Ahmad)

FirmanNya lagi yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah
kepada ahlinya dan apabila kamu menghukum di antara manusia hendaklah menghukum dengan adil”

(Al-Nisa’ :58)

Dalam ayat tersebut Allah SWT memerintahkan agar setiap umat Islam hendaklah menyelesaikan
amanah yang dipikulnya, sama ada amanah itu berbentuk pembahagian harta, kuasa, membuat
keputusan, menjatuhkan hukuman sehinggalah kepada perkara yang bersangkutan dengan agama
ataupun hal ehwal keduniaan sekalipun, nilai amanah tetap perlu dipelihara agar tidak berlakunya
kezaliman atau membelakangi hak kemanusiaan. Islam amat mementingkan amanah kerana ia
membentuk kestabilan masyarakat. Orang yang amanah atau al-Amin mendapat kepercayaan dan
penghormatan orang ramai. Sebaliknya orang yang khianat itu pula atau al-kha’in menjadi tumpuan
kemarahan dan kehinaan. Dapat disimpulkan natijah daripada melaksanakan amanah akan menjadikan
pekerja tersebut;

i. Dipercayai oleh majikan dan orang lain.

ii. Mendapat keberkatan hidup kerana melaksanakan kewajipan dengan sempurna.

iii. Landskap kehidupan masyarakat akan berubah ke arah yang lebih sejahtera dan berintegriti.
Gejala tidak berintegriti seperti penyelewengan, salah guna kuasa, curang dan fitnah memfitnah
dapat dikawal.

iv. Sifat amanah lahir daripada kesan keimanan yang dimiliki oleh seseorang.

Sebaliknya dengan mengabaikan sifat amanah akan menatijahkan;

i. Kehancuran sesebuah institusi akan berlaku jika orang yang tidak mempunyai amanah dan
nilai integriti dilantik menerajui urusan kepemimpinan, pentadbiran, pembuat keputusan
seperti kehakiman dan fatwa hukum-hakam.

ii. Lahirlah sifat tidak berintegriti seperti menipu,membazir, khianat, berdusta dan boros.

iii. Amanah adalah merupakan cabang keimanan. Melanggar dan mensia-siakan amanah
merupakan antara tanda rosaknya iman.

Akauntabiliti mempunyai hubungan dengan beberapa fenomena termasuk pengadilan dan pembuatan
keputusan, penilaian perlaksanaan, perundingan, pengurusan sumber manusia, keselamatan dan
motivasi. Dalam sesebuah organisasi akauntabiliti boleh menjamin keberkesanan perkhidmatan yang
disalurkan. Terdapat pelbagai takrifan mengenai akauntabiliti antaranya;

i. Sifat bertanggungjawab terhadap seseorang atau sesuatu (keputusan, tindakan dsb) serta
bersedia memberikan penjelasan atau kewajaran yg diperlukan. (Kamus Pelajar Edisi
Kedua) ( PRPBM, 2020).

223

ii. Frink & Klimoski, 1998 dan Weick, (1995) pula mendefinisikan akauntabiliti merupakan
satu tanggungjawab terhadap tindakan atau keputusan yang dibuat oleh pekerja terhadap
tugasnya.

iii. Kearns (1996), pula mendefinisikan akauntabiliti sebagai jawapan mahupun
penyelesaian terhadap tindakan kepada individu yang mempunyai autoriti tertinggi
dalam organisasi bagi memberikan prestasi kerja yang terbaik dalam memberi arahan
kepada pekerja.

Kesimpulannya akauntabiliti merupakan konsep sebagai tanggungjawab yang berkaitan dengan
memberi keterangan terhadap sesuatu yang ditanggungjawabkan kepada seseorang. Sebagaimana
yang diungkapkan oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar al-Khattab di awal pelantikan dengan
katanya : “Jika saya benar maka ikutlah saya dan jika saya menyeleweng maka perbetulkanlah saya”

Kesediaan untuk bertanggungjawab terhadap perkara yang dilakukan adalah penting bagi memastikan
urus tadbir organisasi tidak menyimpang dan tersasar daripada visi dan misi serta objektif yang mahu
dicapai. Akauntabiliti memberi maksud kewajipan menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan
mengikut tata cara, undang-undang, peraturan dan piawaian yang ditetapkan.

Kepentingan akauntabiliti

Dalam menguruskan organisasi akauntabiliti seseorang pekerja amatlah penting. Terutamanya dalam
hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, tata cara perolehan dan perkhidmatan yang
diberikan dan penyaluran maklumat yang disampaikan. Akauntabiliti amat penting bagi sesebuah
organisasi bagi;

i. Menilai pencapaian berdasarkan penentuan matlamat

Mengukur kecemerlangan dan kemajuan seseorang pekerja dalam organisasi berdasarkan objektif dan
matlamat organisasi yang disasarkan. Jika ditanya apakah matlamat dalam organisasi, kebanyakannya
mengatakan tentang harapan untuk memperolehi kecemerlangan dan kemajuan dalam organisasi. Maka
boleh dikatakan akauntabiliti berdasarkan penentuan matlamat akan membawa keberkesanan kerja
dalam organisasi. Dengan adanya matlamat, pelbagai nilai murni dan budaya kerja cemerlang yang
boleh dipupuk utuk membawa keberkesanan kepada objektif organisasi.

ii. Pelaksanaan tugas berdasarkan jangka masa yang ditetapkan

Organisasi perlu menetapkan matlamat dan budaya kerja kepada pekerja untuk diikuti supaya matlamat
berkenaan dapat dicapai dalam jangka masa yang ditetapkan. Akauntabiliti pekerja-pekerja akan
menjadi lebih teguh. Keadaan ini akan menggalakkan mereka supaya lebih menepati masa bagi
melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan baik, membuat perancangan waktu yang
lebih sistematik, serta bijak menguruskan tempoh waktu yang diberikan. Dengan adanya amalan positif
ini, pekerja-pekerja di organisasi akan menumpukan masa pada kerja-kerja yang produktif dan kreatif
menetapkan tarikh sasaran untuk menyiapkan kerja dan menyelesaikan tugas dalam masa yang
ditetapkan. Bagi mencapai matlamat yang ditetapkan juga, amalan negatifnya termasuk berbual-bual
kosong, tidak menyegerakan tugas, serta meninggalkan pejabat untuk urusan peribadi dapat
dikurangkan.

224

iv. Memupuk kewajipan melaksanakan tugas dengan sempurna.

Memupuk kesedaran mengenai kewajipan menjalankan tugas dan budaya bekerja cemerlang. Budaya
adalah merujuk kepada falsafah yang berkaitan dengan perilaku, tindakan dan pembawaan yang selaras
dengan adat resam dan kebiasaan manusia. Dalam konteks pekerjaan budaya merupakan sesuatu amalan
positif yang membawa kebaikan kepada organisasi. Corak budaya kerja dalam organisasi dapat
mempengaruhi akauntabiliti pekerja terhadap tugas dan perkhidmatan yang bakal diberikan. Penetapan
matlamat dan objektif organisasi akan menjadi kayu ukur dan standart kepada komitmen pekerja.
Pekerja yang mempunyai nilai akauantabiliti akan merasa lebih bertanggungjawab dan dorongan di atas
pencapaian yang telah dicapai.

v. Membina akauntabili melalui piagam pelanggan

Organisasi pendidikan merupakan organisasi perkhidmatan sosial. Dalam perkhidmatan sosial
kehendak dan keutamaan pelanggan amat penting. Organisasi yang mengutamakan pelanggan dalam
memberikan perkhidmatan akan menggalakkan pekerja-pekerja supaya memenuhi keperluan dan
matlamat yang ingin dicapai oleh pelanggan. Hal ini akan menimbulkan kesedaran kepada pekerja-
pekerja supaya lebih bertanggungjawab terhadap pelanggan kerana perkhimatan yang diberikan oleh
pekerja kepada pelanggan selaras adalah matlamat organisasi. Hal ini menjad akauntabiliti pekerja
terhadap pelanggan yang tinggi akan menyebabkan pelanggan rasa lebih dihormati dan disanjjnung
tinggi.

vi. Pematuhan dan pemantauan berdasarkan peraturan dan piawaian kerja

Setiap organisasi akan mempunyai peraturan dan tata cara tersendiri bagi mengawal para pekerja dari
segi tingkah laku, sikap dan cara kerja. Keakuran dan kepatuhan kepada peraturan yang dibentuk akan
menggambarkan komitmen pekerja kepada organisasi. Peraturan dan tata cara yang dilaksanakan
menjadi garis panduan dalam menjalankan peranan masing-masing. Setiap pekerja juga perlu membuat
keputusan semasa menjalankan tugasnya berdasarkan sistem nilai yang berada dalam dirinya. Mereka
perlu bertanggungjawab terhadap setiap keputusan serta tindakan yang diambil sama ada memberi
kesan positif mahupun negatif. Penetapan dan pematuhan kepada piawai kerja yang ditetapkan oleh
organisasi bukan untuk membeban kan pekerja tetapi memberi fokus untuk pencapaian matlamat
organisasi dan kebaikan terhadap para pekerja. Begitu juga dengan adanya peraturan, tata cara dan
piawai kerja pemantauan juga turut dapat dilaksanakan.

Dalam konteks sebagai penjawat awam akauntabiliti menjadi salah prinsip dan rukun kerja yang wajib
dipatuhi. Dua objektif utama akauntabiliti dalam perkhidmatan awam adalah :

 Sebagai satu kawalan efektif untuk memastikan pengurusan kewangan mematuhi undang-
undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa;

 Sebagai satu sistem yang efektif untuk memastikan penjawat-penjawat awam menjalankan
tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Islam amat menitik berat nilai amanah dan intergriti. Rasulullah SAW diberi gelaran “al-Amin” oleh
anggota masyarakat dek kerana sifat amanah yang dimiliki oleh baginda SAW. Begitu juga Abu
Ubaidah diberi gelaran sebagai “Amin Ummah” di atas penonjolan sifat amanah dan kejujuran yang

225

dipamerkan. Gelaran tersebut dinobatkan kepada junjungan nabi saw dan para sahabat r.a menunjukkan
betapa penting sifat tersebut perlu dijadikan pakaian kepaa setiap Muslim.

5.5 Niat dan Nawaitu

Niat dan Nawaitu membawa maksud niat yang baik dan mengikhlaskannya kerana Allah. Niat
merupakan penggerak utama dalam bekerja. Kerajinan atau kemalasan yang dicetuskan di permulaan
hari untuk bekerja adalah bermula daripada niat yang dipasak. Baginda Nabi SAW menegaskan:”
Sesungguhnya setiap pekerjaan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia
niatkan…” (HR : Al-Bukhari) Imam Sahl bin Abdulllah berkata : “Manusia semuanya mati kecuali
yang berilmu, ahli ilmu itu semuanya mabuk kecuali yang beramal. Mereka yang beramal semuanya
tertipu kecuali yang ikhlas. Mereka yang ikhlas semuanya dalam ketakutan kecuali setelah diketahui
kesudahan amal”.

Untuk menjadikan pekerjaan tersebut sebagai ibadah Allah s.w.t. menetapkan setiap amalan yang
dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah s.w.t. dan tidak melanggari batasan syariat. Imam an-
Nawawi (2010) menjelaskan bahawa para ulama bersepakat bahawa niat menjadi tuntutan dalam
sesuatu perbuatan, amalan dan pekerjaanbagi memperolehi ganjaran pahala. Niat juga merupakan
syarat sah bagi sesuatu amal atau perbuatan manusia. Ini menunjukkan bahawa niat atau matlamat
bekerja perlu disertakan di dalam diri pekerja supaya setiap pekerjaan yang dilakukan mendapat pahala
dan keredhaan Allah. Amal pekerjaan dapat dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu;

i. Pekerjaan yang dilakukan kerana takut kepada Allah SWT. Pekerjaan ini dinamakan ibadat
hamba.

ii. Pekerjaan yang dilakukan untuk mendapat ganjaran syurga dan pahala. Pekerjaan ini
dinamakan ibadat pedagang.

iii. Pekerjaan yang dilakukan kerana malu kepada Allah SWT dan melaksanakan hak perhambaan
dan sebagai tanda syukur. Pekerjaan ini dinamakan ibadat orag yang merdeka.
(Permata Orang Beriman, hal : 482)

Matlamat utama bekerja di dalam Islam adalah untuk mendapat keredhaan Allah dan memperoleh
kejayaan di dunia dan akhirat. Dalam Islam matlamat bekerja boleh dikategori kepada matlamat jangka
panjang dan jangka pendek. Matlamat jangka panjang lebih tertumpu kepada kesedaran mencari
keredhaan Allah SWT. Seseorang bekerja dengan tekun dan berkualiti. Matlamat jangka pendek ialah
merupakan produktiviti dan hasil kerja dalam bentuk material. Ia lebih kepada matlamat duniawi dan
perlu diselaras dan diharmonikan dengan matlamat jangka panjang. Oleh itu, adalah tidak salah untuk
mencapai matlamat duniawi selagi ia dipayungi oleh matlamat jangka panjang. Apa yang menjadi
kesalahan adalah menumpukan usaha dan bekerja kepada pencapaian material semata-mata dengan
mengetepikan aspek keredhaan Allah di dalam bekerja.

Niat dan nawaitu juga dapat dilihat daripada perspektif komitmen dan kualiti kerja yang dihasilkan.
Allen dan Mayer (1990) mengemukakan definisi komitmen kepada organisasi sebagai kesukarelaan
untuk menyumbang kepada matlamat organisasi. Beliau berpendapat bahawa komitmen pekerja
dipengaruhi oleh bentuk komitmen iaitu individu yang dipunyai (komitmen efektif), individu yang ingin
berusaha untuk melaksanakan sesuatu lebih daripada rasa ingin dipunyai (komitmen berterusan) dan

226

mempunyai tangungjawab untuk dipunyai (komitmen normatif). Konsep komitmen kepada organisasi
dapat dimanfaatkan sekiranya pengurus mengetahui punca komitmen. Secara keseluruhannya
komitmen kepada organisasi merupakan hubungan dan sikap positif pekerja terhadap sikap yang
menggambarkan kepercayaan, keyakinan, dan kesungguhan pekerja menerima nilai dan matlamat
organisasi sebagai nilai dan matlamat (Dessler, 2000).

Syed Othman (1996 ) berpendapat niat dan nawaitu itu akan melahirkan Ihsan. Ihsan boleh
diklasfikasikan kepada tiga komponen utama iaitu;

a. Ihsan bermaksud tingkah laku yang betul, baik, kebajikan, berperikemanusiaan dan belas
kasihan dengan berpandukan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Imran (3:159).

b. Ihsan yang difahami daripada hadith Rasulullah s.a.w. yang memberi maksud suatu perasaan
takut yang timbul dalam diri dan merasakan dirinya sentiasa diperhatikan oleh Allah s.w.t.
sewaktu mendekatkan diri kepada-Nya (muraqabah).

c. Ihsan yang bermaksud melakukan sesuatu pekerjaan dengan kaedah yang terbaik. Ini kerana,
sifat Ihsan iaitu suka melakukan sesuatu kebaikan amat berkait rapat dengan aspek
kecemerlangan dalam pekerjaan kerana pekerja akan melakukan tugas melebihi daripada
keperluan minimum.

Suatu ketika Imam Malik r.a pernah menyuarakan hasrat untuk menulis Kitab Muwatta' dan hasrat
tersebut dipertikaikan kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta' yang ditulis oleh orang terdahulu.
Lalu Imam Malik r.a menegaskan, perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan
berkekalan. Beliau menulis dengan ikhlas dan mengharap redha Allah SWT sehinggakan beliau
menyaring 3,000 daripada 10,000 hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta' karangannya.

PENUTUP

Untuk menghasilkan budaya kerja yang cemerlang oleh pekerja dalam sesebuah organisasi proses
pemupukan budaya kerja berkenaan perlu disemarakkan. Semangat bekerja para pekerja boleh
ditingkatkan dengan visi, misi, hala tuju dan prosuder kerja yang jelas serta pemupukan motivasi
dalaman yang bersenergi. Dengan menggabung- kan aspek kecekapan dalam pengurusan moden seperti
cekap, tekun, dan teliti dengan kemampanan pengurusan kualiti diri yang seperti amanah, akauantabiliti
dan ikhlas akan menjadikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh seseorang pekerja lebih
berkualiti dan diberkati. Berdasarkan pembacaan daripada pelbagai sumber untuk menjadikan produk
dan perkhidmatan yang dilaksanakan berkualiti dan diberkati dititipka disini beberapa panduan
antaranya:

1. Baca dan fahami skop bidang tugas yang perlu dilakukan.
2. Datang lebih awal ke pejabat
3. Elakkan membazir masa dan jangan curi tulang
4. Uruskan harta pejabat dengan penuh tanggungjawab dan jangan boros
5. Elakkan daripada mengguna harta pejabat untuk kegunaan peribadi
6. Simpan dengan kemas sijil dan surat penghargaan di atas kejayaan anda
7. Minta bantuan dan berbicaralah dengan rakan apabila anda dalam kebuntuan
8. Lakukan kerja anda bermula dengan inisiatif kendiri dan tanamkan sikap cuba jaya.
9. Keluarlah pejabat setelah tamat waktu bekerja
10. Fahamkan diri anda bahawa kerja yang anda sedang lakukan adalah ibadah

227

RUJUKAN
Al-Maraghi, Ahmad Musthafa.2010. Tafsir Al-Maraghi, Dar al-Kutub Al-Ilmiyyah,

Beirut : Lubnan
Ab. Aziz Yusof .2006. Pengurusan Sumber Manusia: Konsep, isu dan pelaksanaan. Edisi Ketiga :

Petaling Jaya : Pearson.
Garry Dessler.2000. Human Resource Management (8th Edition). New York : Pearson Financial

Times/Prentice Hall
Masitah Idris, Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Ahmad Sunawari Long dan Nozira Salleh. Kualiti

Kerja Menurut Perspektif Islam, 3rd International Seminar on Islamic Thought
PROCEEDINGS: ISBN 978-967-0913-95-7 278
M.Z Azmie. 2004. Khusyuk Daripada Perspektif Organisasi, Kuala Lumpur : Utusan Publication
& Distribution Sdn. Bhd.
Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin. Persidangan Penolong Pegawai Tanah Ke-7 (2019), Permai
Hotel Kuala Terengganu Page 15
Nora Yusof .2017.111 Formula Tarik Rezeki
Peter Drucker (2008) European Business Review, Volume 20, Number 3
Roshan Thuran. 2020. Utusan Borneo Online 16 April 2020 (utusanborneo.com.my)
Syed Othman al-Hasbyi. 1986 Islam dan pembangunan masyarakat di Malaysia
Zulkifli Mohamad Al-Bakri . 2014. Permata Buat Orang Yang Beriman. Pustaka Cahaya Kasturi Sdn.
Bhd. Negeri Sembilan: Nilai

228


Click to View FlipBook Version