KOMPILASI ARTIKEL
PENULISAN DAN
PENERBITAN
DR. SAINAH LIMBASAN
JABATAN PENGURUSAN DAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN
INSTITUT AMINUDDIN BAKI CAWANGAN SABAH
BIL TAJUK TAHUN
1 AMALAN TERBAIK KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL 2019
PENGETUA CEMERLANG JUSA C DI SABAH
2020
2 HUBUNGAN LOKASI SEKOLAH DENGAN KEPIMPINAN 2020
MENERAJUI PERUBAHAN TERHADAP PENDIDIKAN STEM DI
SABAH 2020
3 PENILAIAN TRANSAKSI KURIKULUM DALAM PENDIDIKAN 2020
ABAD KE-21
2020
4 KEMAHIRAN KEPIMPINAN PEMIMPIN SEKOLAH MENDEPANI
NORMA BAHARU KE ARAH MEREALISASIKAN PENDIDIKAN 2021
BERKUALITI
2021
5 KEPIMPINAN TRANSFORMASIONAL GURU BESAR DAN
HUBUNGANNYA DENGAN EFIKASI GURU DI SEKOLAH 2021
KURANG MURID DAERAH TUARAN 2022
2022
6 TAHAP KESEDIAAN PEMIMPIN SEKOLAH MENGAMALKAN 2022
DOMAIN MENERAJUI PERUBAHAN TERHADAP PENDIDIKAN 2022
STEM DI SABAH
7 TRET PERSONALITI DOMAIN PENERIMAAN, KOMUNIKASI
DAN STRUKTUR DALAM KALANGAN BAKAL PEMIMPIN
SEKOLAH DI SABAH
8 TINJAUAN KEPEMIMPINAN PEMIMPIN SEKOLAH-SEKOLAH
PULAU TERHADAP KEBERKESANAN PENGAJARAN DAN
PEMBELAJARAN SEMASA PERINTAH KAWALAN
PERGERAKAN (PKP)
9 LEADERSHIP LEADS CHANGES AND RELATIONSHIPS WITH
SCHOOL LOCATIONS ON STEM EDUCATION IN SABAH
10 TRET PERSONALITI BAKAL PEMIMPIN SEKOLAH DI SABAH
DAN INDEKS NORMA PEMIMPIN BERPRESTASI TINGGI
11 KOMPETENSI KEPIMPINAN PEMIMPIN SEKOLAH TERHADAP
PENDIDIKAN STEM DALAM NORMA BAHARU
12 AMALAN KEPIMPINAN DIGITAL PEMIMPIN SEKOLAH DI
SEKOLAH BANDAR NEGERI SABAH
13 KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL PEMIMPIN JUSA C KE ARAH
INISIATIF MELESTARIKAN PENDIDIKAN BERKUALITI
AMALAN TERBAIK KEPIMPINAN INSTRUKSIONAL PENGETUA CEMERLANG
JUSA C DI SABAH
Aminuddin Ismail
Sainah Limbasan, PhD
Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah
[email protected]
[email protected]
ABSTRAK
Kepimpinan instruksional dalam transformasi sistem pendidikan abad ke-21 memantapkan lagi kualiti
pendidikan negara dan mempertingkatkan keberhasilan proses Pengajaran dan Pemudahcaraan.
Pengetua sebagai pemimpin instruksional memainkan peranan penting untuk menyediakan peluang
terbaik dalam mencapai aspirasi negara dan menentukan kecemerlangan pendidikan berterusan.
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui dan meneroka amalan terbaik kepimpinan
instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C dalam memacu kecemerlangan dan menambah baik
proses PdPc ke arah mewujudkan sekolah berkesan. Pengetua Cemerlang JUSA C sebagai informan
utama ditemu bual untuk memperoleh data dan seramai tiga orang guru turut ditemu bual bagi
triangulasi data. Data temu bual ditranskripsi dan analisis kandungan dilakukan dengan menggunakan
perisian Atlas.ti versi 7.12.5. Dapatan kajian menunjukkan amalan terbaik kepimpinan instruksional
Pengetua Cemerlang JUSA C dalam menerajui kepimpinan berkualiti memfokuskan tiga dimensi
utama iaitu mendefinisikan misi sekolah, mengurus program instruksional dan membentuk iklim
sekolah. Justeru itu, amalan terbaik kepimpinan instruksional memberi nilai tambah kepada
transformasi pendidikan masa kini ke arah memantapkan lagi prestasi sekolah khususnya
mengekalkan kemenjadian murid selaras dengan naratif baharu amalan pendidikan.
Kata kunci: Kepimpinan instruksional, misi, program instruksional, iklim sekolah, pengetua
cemerlang JUSA C
PENGENALAN
Hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam naratif baharu amalan pendidikan
memfokuskan kepada pembelajaran berorientasikan perkembangan mencakupi
pembangunan kapasiti guru, perubahan pedagogi dan pengurusan pendidikan bagi menjana
keberhasilan utama pendidikan dari perspektif kemenjadian murid dan sekolah berkualiti.
Sehubungan itu, pemimpin sekolah perlu mengorak langkah proaktif bagi memacu sistem
pendidikan ke arah pendidikan bertaraf dunia dan pencapaian prestasi cemerlang seiring
dengan anjakan transformasi pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025 (KPM, 2013). Pengetua sebagai pemimpin di sekolah merupakan elemen
penting dalam menentukan kecemerlangan pendidikan yang berterusan. Konsep kenaikan
pangkat Pengetua Cemerlang adalah hasil daripada peluasan pemakaian konsep kenaikan
pangkat Guru Cemerlang. Dalam hal ini istilah Pengetua Cemerlang adalah suatu insentif
kepada pengetua-pengetua yang mempunyai kepakaran, menunjukkan potensi tinggi dalam
pengurusan pendidikan serta telah menunjukkan mutu kepimpinan yang cemerlang (Ayunni,
2013). Rentetan daripada itu, pengetua cemerlang menjadi teladan dan contoh kepada
pengetua-pengetua yang lain untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik bagi
memartabatkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran (KPM, 2012). Hallinger dan
Murphy (1985) menyatakan kepimpinan instruksional amat penting bagi menentukan hala
tuju dan kelancaran proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di sekolah dalam usaha
meningkatkan prestasi akademik murid dan mewujudkan sekolah berkesan. Dalam masa
yang sama, kepimpinan instruksional mempunyai hubungkait yang lebih dekat dan relevan
dengan organisasi sekolah ke arah meningkatkan kemenjadian murid secara menyeluruh
(Mohd Ibrahim et al., 2015). Lanjutan daripada itu, pengetua sebagai pemacu transformasi
pendidikan perlu lebih kreatif dan inovatif bagi memartabatkan kualiti pendidikan secara
bersepadu dan holistik dengan menitikberatkan penglibatan seluruh warga sekolah termasuk
ibu bapa dan komuniti setempat.
LATAR BELAKANG KAJIAN
Kepimpinan yang dinamik merupakan satu keperluan dalam pembelajaran abad ke-21 bagi
membangunkan modal insan yang berkualiti sama ada dalam kalangan guru mahupun murid
(Aziah et at., 2015). Dalam konteks kajian ini, Pengetua Cemerlang JUSA C dikaitkan dengan
pemimpin berprestasi tinggi yang mempunyai nilai peribadi dan profesional, memiliki ciri-ciri
positif, berkeupayaan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta
mengadaptasi kepimpinannya mengikut keperluan dan konteks sekolah (Jamilah dan Yusof,
2011). Sehubungan dengan itu, pengetua sebagai peneraju kepimpinan instruksional di
sekolah perlu meningkatkan penguasaan dan kefahaman ke arah menghasilkan prestasi
gemilang dan pembentukan sekolah yang efektif. Dalam masa yang sama, kepimpinan
instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C perlu memiliki kredibiliti dan reputasi yang mampu
menjadi sumber inspirasi kepada warga sekolah. Tambahan lagi, pemimpin instruksional
perlu mempunyai kebijaksanaan untuk menyediakan ruang dan peluang kepada guru
menggunakan amalan terbaik PdPc yang berkesan bagi membolehkan murid mencapai
matlamat prestasi akademik (James dan Balasandran, 2012).
Kecemerlangan sekolah memerlukan kepimpinan pemimpin yang auntentik untuk
mewujudkan pembangunan profesional secara meluas dan membantu guru-guru membentuk
sikap yang positif. Hal sedemikian penting bagi mempersiapkan guru-guru agar lebih komited
untuk mempersiapkan generasi muda menangani cabaran globalisasi khususnya dalam
persaingan mencari ilmu pengetahuan dan kemahiran. Mariani et al. (2016) menjelaskan
bahawa pemimpin instruksional bertanggungjawab mengimplementasikan konsep
pengajaran yang berkait rapat dengan proses PdPc yang melibatkan hubungan antara
pengajaran guru, pembelajaran murid dan kurikulum. Bahkan, pemimpin instruksional
merupakan faktor utama untuk menjayakan transformasi pendidikan dan meningkatkan
prestasi pencapaian sekolah. Lanjutan daripada itu, pemimpin instruksional perlu berfungsi
untuk menterjamah dan merealisasikan misi sekolah, mengurus program instruksional dan
membentuk iklim sekolah yang kondusif. Menurut Nor Azni et al. (2014) dan Danielle dan
Mohd. Khairuddin (2017, 2018) pengetua sebagai pemimpin instruksional yang diamanahkan
mentadbir kecemerlangan sekolah perlu memfokuskan konsep kepimpinan instruksional
dalam aspek menentukan misi sekolah, mengurus program pengajaran dan mewujudkan
iklim pembelajaran yang positif. Sehubungan dengan itu, Pengetua Cemerlang JUSA C perlu
menekankan fungsi setiap sub dimensi yang terkandung di dalam model kepimpinan
instruksional untuk menggalakkan guru-guru membina sasaran dalam peningkatan akademik
dan prestasi organisasi, penambahbaikan proses PdPc dan pembentukan satu sistem sosial
yang efektif.
PERNYATAAN MASALAH
Hakikatnya banyak kajian mengenai kepimpinan instruksional telah dijalankan khususnya
dalam pendidikan di Malaysia. Walau bagaimanapun, kajian mengenai kepimpinan
instruksional yang berfokus kepada kepimpinan Pengetua Cemerlang JUSA C masih kurang
dilaksanakan bagi memastikan operasi organisasi berkesan dan merealisasikan pendidikan
berkualiti dan sekolah berkesan. Jika ditinjau kajian terdahulu, keupayaan dan kemahiran
seorang pemimpin untuk mengurus dan mentadbir organisasi dengan cemerlang merupakan
inti pati kepada perubahan dan pembangunan sekolah (Mohd Ibrahim et al., 2015). Hal
sedemikian disebabkan amalan pemimpin sekolah dipercayai dapat mempengaruhi prestasi
kerja guru bagi meningkatkan pencapaian dan produktiviti sekolah. Kenyataan ini disokong
oleh Aziah et al. (2015) bahawa pemimpin sekolah sebagai agen perubahan yang dapat
mempengaruhi pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran, intelektual, pembudayaan sikap
progresif dan penerapan nilai murni. Senario ini memerlukan pengetua sebagai pemimpin
instruksional berkongsi dengan stafnya untuk memperbaiki dan mengekalkan standard dan
jangkaan tinggi dalam hasil kerja pelajar serta penyeliaan kurikulum. Dapatan kajian yang
dikemukakan oleh Hallinger dan Heck (2003); Rosnah et al. (2013); dan Ahmad Kamal (2016)
menunjukkan bahawa matlamat, visi dan misi yang kabur menyebabkan kejayaan sukar
dikongsi dan dicapai oleh warga sekolah. Hal ini menyebabkan pembentukan organisasi
pembelajaran yang sentiasa ‘hidup’ dan pembangunan modal insan tidak dapat dilakukan
dengan efisien. Dari perspektif lain, kajian yang dibuat oleh Mareena et al. (2011)
menyatakan corak kepimpinan yang tidak konsisten menyukarkan pencapaian kejayaan
sesebuah sekolah. Dalam masa yang sama, hanya pemimpin yang kompeten dapat
mengurus organisasi dengan berkesan (Roslena Mansor dan Mohd Izham, 2015). Lanjutan
daripada itu, pemimpin instruksional menghadapi cabaran mengimplementasikan
transformasi pendidikan yang berupaya merangsang kemajuan organisasi dalam semua
bidang khususnya melakukan perubahan untuk menjana kecemerlangan sekolah. Kajian ini
dijalankan bertujuan untuk meninjau amalan terbaik kepimpinan instruksional Pengetua
Cemerlang JUSA C di Sabah bagi membangunkan pendidikan berkualiti dan mewujudkan
sekolah berkesan sejajar dengan naratif baharu amalan pendidikan KPM dan berorientasikan
konsep kepimpinan instruksional.
KERANGKA KONSEPTUAL
Model Kepimpinan Instruksional yang dipelopori oleh Hallinger dan Murphy (1985) diadaptasi
dalam kajian ini disebabkan model ini paling kerap diguna pakai dalam kajian-kajian yang
berfokus kepada kepimpinan instruksional dan mempunyai kaitan dengan kecemerlangan
organisasi sekolah. Kemantapan model ini telah dibuktikan berdasarkan hasil dapatan
kajian-kajian yang lepas oleh Roslizan, Jamilah & Yusof (2018); Danielle Fong & Mohd.
Khairuddin (2018); Nor Azni et al., (2014); Lokman et al., (2013); dan James dan Balasandran
(2012). Model Kepimpinan Instruksional Hallinger dan Murphy (1985) menekankan tiga
dimensi iaitu mendefinisikan misi sekolah, mengurus program instruksional dan membentuk
iklim sekolah yang positif. Ketiga-tiga dimensi tersebut adalah saling berkaitan antara satu
sama lain untuk menjelaskan intipati keperluan sebenar pengetua dalam merealisasikan
kecemerlangan sekolah secara berterusan. Bahkan, sub dimensi yang diketengahkan dalam
setiap dimensi kepimpinan instruksional ini mempunyai intipati tersendiri yang memberi nilai
tambah kepada amalan terbaik kepimpinan pengetua sekolah dalam menerajui perubahan
dan kejayaan organisasi. Kerangka konseptual kajian seperti ditunjukkan dalam Rajah 1
dikemukakan untuk memperoleh gambaran yang lebih komprehensif tentang kepemimpinan
instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C ke arah mewujudkan pengurusan dan
kepimpinan yang lebih efisien dan efektif mengikut arus perubahan dan keperluan semasa
dalam sistem pendidikan masa kini.
Kepimpinan Mendefinisikan Misi Kecemerlangan
Instruksional Sekolah Sekolah
(Pengetua Cemerlang
Merangka matlamat
JUSA C) Menyampaikan matlamat
Mengurus Program
Instruksional
Menyelia dan menilai
pengajaran
Menyelaras kurikulum
Memantau kemajuan murid
Membentuk Iklim Sekolah
yang Positif
Melindungi masa
pengajaran
Mempromosi pembangunan
profesional
Mengekalkan visibiliti yang
tinggi
Menguatkuasakan piawai
akademik
Menyediakan insentif
kepada murid
Menyediakan insentif
kepada guru
Sumber: Adaptasi Hallinger dan Murphy. (1985)
Rajah 1: Kerangka Konseptual Kajian
OBJEKTIF KAJIAN
Penyelidikan ini dijalankan untuk mencapai objektif kajian seperti berikut:
a. Mengenal pasti amalan kepimpinan Pengetua Cemerlang JUSA C untuk mendefinisikan
misi sekolah.
b. Mengenal pasti kaedah yang digunakan Pengetua Cemerlang JUSA C dalam mengurus
program instruksional.
c. Mengenal pasti kaedah yang diaplikasikan Pengetua Cemerlang JUSA C dalam
membentuk iklim sekolah yang positif.
SOALAN KAJIAN
Berdasarkan kepada objektif kajian yang dikemukakan, beberapa soalan kajian yang berikut
diharap dapat dijawab melalui kajian yang dijalankan:
a. Apakah amalan Pengetua Cemerlang JUSA C dalam mendefinisikan misi sekolah?
b. Apakah kaedah yang digunakan Pengetua Cemerlang JUSA C dalam mengurus program
instruksional?
c. Bagaimanakah kaedah yang diaplikasikan Pengetua Cemerlang JUSA C dalam
membentuk iklim sekolah yang positif?
SOROTAN LITERATUR
Kepimpinan Instruksional Pengetua
Kajian-kajian lepas yang dijalankan di dalam mahupun di luar negara mendapati kepimpinan
instruksional pengetua dilihat sebagai faktor utama punca kejayaan sekolah (Horng & Loeb,
2010; Hoy & Hoy, 2006). Hallinger (2003) mentakrifkan kepimpinan instruksional sebagai
berinteraksi dengan guru secara formal, penglibatan yang menyeluruh, pembangunan
profesional guru, pembangunan kurikulum dan implementasi kepada kajian berbentuk
tindakan dengan hasrat meningkatkan kredibiliti dan kapasiti guru. Bersangkutan dengan itu,
pengetua sebagai peneraju transformasi perlu mempunyai kepimpinan yang dinamik seiring
dengan perubahan dan keperluan pendidikan. Justeru itu, usaha pengetua menggerakkan
dan melaksanakan perubahan di sekolah perlu berpandukan kepada model kepimpinan
instruksional Hallinger dan Murphy (1985) yang menekankan kepada tiga dimensi utama iaitu
mendefinisikan misi sekolah, mengurus program instruksional dan membentuk iklim sekolah
yang positif.
a. Mendefinisikan misi sekolah
Konsep kepimpinan instruksional yang ditekankan dalam mendefinisikan misi sekolah ialah
berdasarkan sub dimensi merangka matlamat dan menyampaikan matlamat sekolah yang
jelas (Hallinger dan Murphy, 1985; Danielle dan Mohd. Khairuddin, 2017). Hallinger (2011)
menyatakan kepimpinan instruksional pengetua merupakan faktor utama yang menjadikan
sekolah-sekolah berkesan berpandukan misi dan matlamat. Lanjutan daripada itu, pengetua
sekolah memainkan peranan penting untuk menentukan dan menyampaikan misi dan visi
sekolah yang jelas dan mudah difahami oleh seluruh warga sekolah (Nor Azni et al., 2014).
Dalam masa yang sama, pengetua berkongsi matlamat secara komunikasi formal dan tidak
formal kepada guru, murid, ibu bapa dan masyarakat (Danielle dan Mohd. Khairuddin, 2018)
ke arah mentransformasikan misi sekolah. Selain itu, pengetua memiliki pemikiran yang
kreatif dan inovatif, berpandangan jauh dan mempamerkan kepercayaan bagi merealisasikan
dan menterjemahkan misi dan matlamat kurikulum sekolah dan menggalakkan guru
mencapai matlamat akademik, berusaha gigih dan bersedia melakukan perubahan di sekolah
(Nor Azni et al., 2014). Dalam konteks mendefinisikan misi sekolah, pengetua instruksional
merangka dan menyampaikan matlamat dengan jelas untuk mempengaruhi seluruh warga
sekolah untuk merealisasikan visi dan misi sekolah khususnya yang melibatkan pencapaian
prestasi akademik murid (Supian dan Khadijah, 2014).
b. Mengurus program instruksional
Dimensi mengurus program instruksional berfokus kepada tindakan usaha bersama warga
pendidik dalam bidang kurikulum dan instruksional iaitu melibatkan sub dimensi menyelia dan
menilai pengajaran, menyeleras kurikulum dan memantau kemajuan murid. Hallinger dan
Murphy (1985) menyatakan kepimpinan instruksional dapat membantu pengetua
meningkatkan keberhasilan proses PdPc di dalam sesebuah sekolah bagi melahirkan murid
yang berpengetahuan. Sehubungan dengan itu, aktiviti penyeliaan dan penilaian merupakan
tugas pemimpin untuk memastikan matlamat sekolah diterjemahkan kepada amalan bilik
darjah. Bahkan, pemimpin melaksanakan tugas untuk menyelaras kurikulum berdasarkan
amalan-amalan dalam bilik darjah dengan matlamat sekolah melalui pelbagai pendekatan,
coaching dan mentoring, komuniti pembelajaran professional (PLC), mengajar secara
berpasukan dan merujuk guru pakar. Seterusnya, pemimpin melaksanakan pemantauan,
pencerapan dan penilaian PdPc secara tekal melibatkan pengajaran guru dan prestasi kerja
murid dari semasa ke semasa bagi memastikan objektif PdPc guru selari dengan matlamat
sekolah (Danielle dan Mohd. Khairuddin, 2018). Menurut Supian dan Khadijah (2014), aspek
PdPc dan pemantauan menjadi tugas utama pemimpin di sekolah dari segi keberadaan guru,
bahan PdPc, Rancangan Pengajaran Harian (RPH), kehadiran murid, hasil kerja murid,
masalah pembelajaran murid, pembelajaran murid di rumah dan pencapaian murid untuk
proses melengkapkan, memperbaiki potensi dan kemenjadian murid. Pemimpin instruksional
memfokuskan pengurusan program dari segi amalan PdPc dan pengurusan bilik darjah
terutama dalam membuat keputusan, penambahbaikan, pemulihan, pengukuhan dan
pelaksanaan PdPc secara kreatif dan inovatif dengan menggunakan pendekatan
pembelajaran abad ke-21 (Danielle dan Mohd. Khairuddin, 2018; Supian dan Khadijah, 2014;
dan Wahlstrom dan Louis, 2008).
c. Membentuk iklim sekolah yang positif
Dimensi membentuk iklim sekolah yang positif dikaitkan dengan sub dimensi melindungi
masa instruksional, perkembangan profesional, mengekalkan sokongan pembelajaran,
penyediaan insentif guru dan insentif untuk pembelajaran murid bagi memastikan tahap dan
pencapaian yang tinggi menerusi penambahbaikan berterusan (Hallinger, 2011).
Berdasarkan kajian oleh Nor Azni et al. (2015) tanggungjawab pengetua untuk melindungi
masa instruksional adalah dengan menggalakkan guru menggunakan masa pengajaran
sepenuhnya untuk mengajar dan mempraktikkan kemahiran serta konsep baru, menghadkan
gangguan daripada aktiviti tambahan, aktiviti kokurikulum dan menjaga masa pengajaran
berlandaskan polisi dan prosedur sekolah. Tambahan lagi, bagi memenuhi kehendak falsafah,
matlamat pendidikan dan wawasan negara, pengetua instruksional menyusun jadual
kegiatan sekolah secara sistematik agar tidak mengganggu proses PdPc (Lokman et al.,
2013). Lanjutan daripada itu, pemimpin instruksional perlu meningkatkan pembangunan
kapasiti guru bagi melihat keberhasilan kemenjadian murid (Mohd. Ibrahim et al., 2015) serta
mewujudkan kerja sepasukan bersama guru dan memupuk kerjasama dalam kalangan murid
untuk menjayakan setiap aktiviti yang dijalankan di sekolah. Bahkan, pengetua instruksional
memberi insentif kepada guru dan murid sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan
terhadap pencapaian, kebolehan, kemahiran dan inovasi dalam bentuk sagu hati, wang tunai,
sijil, kenaikan pangkat dan majlis apresiasi (Hallinger 2011, 2003).
Pengetua Cemerlang JUSA C
Kualiti kepimpinan seseorang pengetua adalah amat penting dititikberatkan untuk menjana
sesuatu perubahan dan menjadikan sesebuah organisasi berjaya. Sehubungan dengan itu,
kepimpinan Pengetua Cemerlang JUSA C yang telah diperkenalkan pada tahun 2004 dalam
sistem pendidikan di Malaysia (Ayunni, 2013) berupaya membawa transformasi dan
memartabatkan kualiti pendidikan seiring dengan keperluan dasar pendidikan. Tambahan lagi,
senario pertambahan kuato bagi Pengetua Cemerlang JUSA C memberi peluang kepada
pengetua-pengetua di Malaysia untuk jawatan pemangkuan pengetua cemerlang yang dilihat
berperanan penting untuk mempengaruhi dan menerajui kecemerlangan organisasi secara
berterusan. Dalam konteks pendidikan, pengetua cemerlang bertanggungjawab sebagai
peneraju bagi menggerakkan sekolah mencapai hasrat dan visi kebangsaan yang telah
dirangka KPM untuk memastikan institusi sekolah dapat diurus, dipimpin dan ditadbir dengan
cekap dan berkesan (Lokman et al., 2011).
Bersangkutan dengan amalan kepimpinan instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C untuk
memacu dan memimpin sekolah mencapai kecemerlangan, Mohd. Ibrahim, Mohammed Sani
dan Rosemawati (2015) menyatakan kepimpinan instruksional pengetua dapat dilihat dari
segi kejayaan pengetua meningkatkan prestasi sekolah secara menyeluruh dan menambah
baik proses PdPc. Bahkan, kepimpinan instruksional amat signifikan dengan perkembangan
pesat era digital yang berlaku dalam sistem pendidikan (Danielle dan Mohd. Khairuddin, 2017)
bagi menghadapi pelbagai cabaran dan perubahan yang dilaksanakan. Rentetan daripada itu,
usaha merealisasikan kepimpinan instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C adalah
berpandukan kepada model kepimpinan instruksional Hallinger dan Murphy (1985) sebagai
landasan utama untuk meningkatkan keberhasilan pengajaran yang berkualiti dan
pengurusan organisasi yang lebih sistematik.
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif secara kajian kes untuk meneroka jawapan
yang pelbagai melalui soalan kajian yang dikemukakan, membuat semakan dokumen dan
laporan. Pengkaji menggunakan kaedah kajian kes bagi mendapatkan data akhir dan
menjelaskan kes secara lebih spesifik dan menyeluruh berkaitan dengan fenomena, program
dan iklim persekitaran dalam konteks sebenar (Stake, 2010, 2009). Pendekatan soalan
tentang ‘apa’ dan ‘bagaimana’ menyediakan kaedah untuk mendapatkan maklumat yang
lebih terperinci dan menerangkan perkara yang tidak difahami dengan lebih lanjut (Stake,
2010; Yin, 2003). Lokasi kajian yang dipilih adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac,
Kota Kinabalu Sabah. Justifikasi pemilihan sekolah ini adalah kerana kepimpinan seorang
Pengetua Cemerlang JUSA C yang mempunyai reputasi tinggi dan selalu dijadikan contoh
disebabkan kejayaan yang berterusan dalam bidang akademik dan bukan akademik. Sampel
kajian melibatkan empat orang informan iaitu terdiri daripada Pengetua, Penolong Kanan
Pentadbiran, Penolong Kanan Kokurikulum dan Ketua Bidang Bahasa. Semua sampel kajian
mempunyai peluang untuk menjawab soalan kajian bagi tujuan mendapatkan maklumat
daripada pelbagai perspektif yang dapat menyumbang kepada dapatan data yang tepat dan
jelas tentang kepimpinan instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C di sekolah yang dikaji.
Instrumen kajian adalah menggunakan soalan temu bual separuh struktur iaitu adaptasi
soalan-soalan daripada kajian lepas yang telah diubahsuai mengikut konteks pendidikan di
Malaysia. Temu bual direkodkan setelah mendapat kebenaran daripada informan. Soalan
temu bual yang digunakan adalah di dalam Bahasa Melayu dan masa sesi temu bual dalam
lingkungan tujuh puluh minit. Data yang dikutip ditranskripsikan dan analisis kandungan
dilakukan dengan menggunakan perisian Atlas.ti versi 7.12.5.
DAPATAN KAJIAN
a. Mendefinisikan misi sekolah
Dapatan kajian menunjukkan kepimpinan instruksional dalam aspek mendefinisikan misi
sekolah merupakan faktor utama untuk menentukan kecemerlangan organisasi berterusan.
Pengetua dalam kajian kes ini menyatakan misi utama sekolah ini adalah berpandukan
kepada misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menurut beliau, “…misi ini
dilaksanakan berdasarkan kepada analisis SWOT yang telah dibuat. Analisis pertama tidak
boleh lari dari misi utama KPM”. Pengetua membuat misi berdasarkan sistem pendidikan
berkualiti untuk membangunkan potensi individu. Pemimpin seterusnya menegaskan sebagai
seorang Pengetua Cemerlang JUSA C setiap cabaran perlu dihadapi secara terbuka,
mempunyai ‘mindset’ yang positif dan pemikiran terbaik tentang perkara yang hendak
dilakukan. Dalam hal ini, guru-guru yang ditemu bual mengukuhkan dapatan kajian ini
bahawa kepimpinan pengetua adalah bersandarkan misi KPM. Bagi mencapai hasrat
kepimpinan, misi sekolah juga lebih berfokus kepada potensi murid dan kemenjadian murid.
Pengetua menekankan pendidikan berkualiti dan kebolehan murid untuk berhadapan dengan
dunia luar selepas menamatkan persekolahan. Dari perspektif yang lain, Pengetua
Cemerlang JUSA C merealisasikan misi sekolah bersama dengan pemegang taruh. Hal
sedemikian penting bagi memantapkan lagi pencapaian murid dalam pelbagai bidang.
Pemimpin JUSA C dalam kajian kes ini telah menyediakan peluang kepada pihak
berkepentingan dan membina hubungan jaringan dan jalinan dengan pihak luar. Menurut
beliau, “…YDP PIBG sebenarnya sangat baik, berpengalaman, mengetahui banyak perkara
dan memiliki kualiti sebagai seorang pemimpin. Guru-guru yang ditemu bual menyokong
bahawa pemimpin JUSA C dalam kajian kes ini berjaya membina hubungan jaringan dan
jalinan yang konsisten bersama dengan pemegang taruh bukan sahaja dengan PIBG tetapi
pihak PPD, JPN, Alumni dan agensi luar ke arah mencapai matlamat dan hasrat sekolah.
Seterusnya, pemimpin JUSA C menyebarluas, menterjemah dan memberi kefahaman
kepada warga sekolah tentang misi sekolah. Dalam hal ini, beliau menjelaskan pengalaman
dan pengetahuan adalah penting dalam membuat keputusan bersama. Menurut beliau,
“…kepimpinan Distributif merupakan pendekatan yang diaplikasikan ke arah mencapai misi
sekolah dan memberi autonomi kepada penolong-penolong kanan untuk membuat keputusan
dan mengambil tindakan”. Pengetua Cemerlang JUSA C memberi empowerment kepada
penolong kanan untuk berbincang dan mengurus tugas masing-masing bersama dengan
ketua bidang. Selain itu, pengetua JUSA C dalam kajian kes ini amat bertuah kerana
mempunyai penolong kanan yang sangat komited dan matang dalam perancangan
organisasi. Guru-guru yang ditemu bual mengakui kepimpinan Pengetua Cemerlang JUSA C
lebih dominan kepada kepimpinan Distributif iaitu menurunkan kuasa kepada pemimpin
pertengahan. Namun demikian, guru-guru ini menjelaskan bahawa pengetua JUSA C bukan
sahaja hanya menumpukan kepada kepimpinan Distributif tetapi mengamalkan kepimpinan
demokrasi dan autokratik. Pengetua mengamalkan kepimpinan demokrasi dan autokratik
secara rasional dan mengikut situasi apabila menurukan kuasa kepada pemimpin
pertengahan khususnya untuk menggerakkan kerja secara sepasukan.
b. Mengurus program instruksional
Pengetua cemerlang JUSA C mengurus program instruksional secara sistematik dan
berkesan melalui penyeliaan dan penilaian, penyelarasan kurikulum dan pemantauan. Beliau
melaksanakan semakan buku rekod Rancangan Pengajaran Harian (RPH) secara
menyeluruh dan teliti agar proses PdPc guru-guru di dalam kelas berjalan lancar. Menurut
beliau, “…hasil penyeliaan dan penilaian RPH akan dibentangkan dalam mesyuarat guru
dengan memberikan contoh yang spesifik. Beliau mengaitkan mandat dalam naratif baharu
amalan pendidikan KPM”. Bagi penyelarasan kurikulum, Pengetua Cemerlang JUSA C
menekankan PLC Lesson Study dan strategi kanvas. Selain itu, pemimpin JUSA C juga
menjalankan pemantauan proses PdPc di dalam kelas dan mendapatkan maklum balas
daripada pelajar dan sumber lain agar tindakan penambahbaikan PdPc dapat dilakukan
dengan lebih berkesan dan bermanfaat kepada pembelajaran pelajar pada masa akan
datang. Guru-guru yang ditemu bual mengakui Pengetua Cemerlang JUSA C melakukan
pemeriksaan buku RPH dengan teliti dan dilaksanakan secara menyeluruh kepada semua
RPH guru. Bahkan, pengetua JUSA C dalam kajian kes ini memberi kepercayaan kepada
pemimpin pertengahan untuk mengendalikan PLC khususnya tentang strategi kanvas
analisis data untuk menyelaras kurikulum. Seterusnya pemantauan proses PdPc dijalankan
oleh pemimpin JUSA C melalui rondaan dan pemerhatian serta memperoleh maklumat
daripada murid-murid sebagai bukti guru-guru melaksanakan PdPc di dalam bilik darjah.
Selain itu, Pengetua Cemerlang JUSA C menegaskan bahawa coaching dan bimbingan
melalui pemimpin pertengahan dijalankan bagi memantapkan lagi kualiti pembelajaran.
Menurut beliau, “…saya bimbing sebab mereka perlu bimbingan dan melatih mereka untuk
meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan intervensi. Saya berbincang secara
bersemuka dengan mereka”. Dari segi pengurusan sumber manusia pula pengetua JUSA C
memfokuskan pengurusan bilik darjah bagi mewujudkan PdPc yang berkesan dan berkualiti.
Walau bagaimanapun, Pengetua Cemerlang JUSA C dalam kajian kes ini mengakui
prasarana terutama bilik darjah didapati masih belum kondusif untuk PdPc. Guru-guru yang
ditemu bual menerangkan Pengetua Cemerlang JUSA C ada melakukan coaching dan
bimbingan iaitu disalurkan melalui pemimpin pertengahan. Mereka menyatakan bahawa
“…kemahiran, pengetahuan dan pengalaman pengetua disalurkan kepada pemimpin
pertengahan dalam bentuk tindakan. Pemimpin pertengahan seterusnya memainkan peranan
untuk membimbing guru-guru yang lain”. Guru-guru yang ditemu bual juga menjelaskan
Pengetua Cemerlang JUSA C memberi coaching dan bimbingan dengan
bersungguh-sungguh, kolaboratif dan mengambil keputusan bersama. Namun demikian,
kemudahan dari segi fizikal bilik darjah kurang kondusif untuk pembelajaran pelajar.
c. Membentuk iklim sekolah
Pemimpin JUSA C membentuk iklim sekolah yang positif bagi meningkatkan lagi
kecemerlangan organisasi secara konsisten dan berterusan. Dalam hal ini, pengetua
menekankan program pembelajaran berkesan, ganjaran kepada murid, pembudayaan ilmu di
sekolah, melindungi masa instruksional (MMI) dan pembangunan profesionalisme guru.
Menurut beliau, “…bengkel dan PLC banyak dilaksanakan oleh panitia mengikut bidang
masing-masing seperti bidang Sains dan Bahasa. Komitmen guru-guru sangat tinggi kerana
pada hujung minggu bengkel dan PLC dijalankan. Hasil PLC juga dikongsi bersama untuk
membawa guru-guru lebih maju ke hadapan”. Selain itu, Pengetua Cemerlang JUSA C juga
memberi ganjaran kepada murid-murid yang cemerlang dengan memberi sijil penghargaan
dan meraikan kejayaan dan pencapaian murid dalam majlis anugerah kecemerlangan. Dari
segi pembudayaan ilmu di sekolah, pengetua JUSA C menggalakkan seminar dan sesi dialog
dalam kalangan guru. Bahkan, kolaboratif dan pembentangan hasil daripada PLC dijalankan
di peringkat daerah dan negeri. Seterusnya, pemimpin JUSA C sangat tegas untuk
melaksanakan MMI. Menurut beliau, “…tiap-tiap guru disediakan dengan satu borang khas
untuk memantau MMI. Adakalanya guru-guru mengadakan kelas tambahan dan
mengoptimakan kelas relief”. Bagi meningkatkan lagi profesionalisme guru, Pengetua
Cemerlang JUSA C dalam kajian kes ini sentiasa terbuka fikiran untuk memberi motivasi,
sokongan dan galakan kepada guru-guru untuk mendapatkan ilmu baharu. Beliau
menyatakan bahawa dua orang guru telah menerima biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan
(HLP) untuk meneruskan pengajian di peringkat master. Guru-guru yang ditemu bual
mengukuhkan dapatan ini bahawa Pengetua Cemerlang JUSA C menitikberatkan dimensi
membentuk iklim sekolah dalam menerajui kepimpinan instruksional yang lebih berkualiti.
Guru-guru menyatakan pengetua JUSA C berjaya membudayakan program pembelajaran
yang berkesan melalui pelbagai aktiviti sama ada di peringkat negeri, kebangsaan dan
antarabangsa. Selain itu, ganjaran berbentuk sijil penghargaan diberikan kepada murid yang
cemerlang dalam bidang akademik mahupun kokurikulum. Bahkan, pengetua JUSA C
berjaya membudayakan ilmu di sekolah, melaksanakan MMI melalui relief dan borang
pemantauan dan menekankan pembangunan profesional guru yang berterusan.
PERBINCANGAN
Pengetua sebagai pemimpin instruksional memainkan peranan penting untuk menerajui
transformasi pendidikan dan kecemerlangan organisasi berterusan. Dapatan kajian
menunjukkan fokus utama amalan kepimpinan instruksional Pengetua Cemerlang JUSA C
dalam usaha melonjakkan prestasi kerja seluruh warga sekolah dan meningkatkan
keberhasilan akademik adalah melibatkan dimensi mendefinisikan misi sekolah, mengurus
program instruksional dan membentuk iklim sekolah. Dapatan ini adalah berlandaskan
kepada kerangka konseptual yang diadaptasi daripada model kepimpinan instruksional yang
diperkenalkan oleh Hallinger dan Murphy (1985) iaitu memfokuskan ketiga-tiga dimensi ini
untuk membantu pemimpin instruksional meningkatkan keberhasilan proses PdPc bagi
melahirkan murid-murid yang berpengetahuan dan berkemahiran. Pengetua Cemerlang
JUSA C melaksanakan tanggungjawab mendefinisikan misi sekolah dengan menetapkan
misi yang jelas berpandukan kepada visi dan misi KPM. Bahkan, pengetua berjaya
membentuk misi yang mudah difahami dan boleh diketahui oleh seluruh warga sekolah dan
pemegang taruh bagi memantapkan lagi pencapaian murid dalam akademik dan sahsiah.
Selain itu, pengetua memberi empowerment kepada pemimpin pertengahan untuk membuat
keputusan dan mengaplikasikan kepimpinan distributif sebagai pendekatan untuk
menyebarluas, menterjemah dan memberi kefahaman tentang misi dan matlamat sekolah.
Dalam hal ini, guru-guru turut menyokong amalan kepimpinan instruksional pengetua adalah
bersandarkan misi KPM yang lebih menumpukan pendidikan berkualiti dan kemenjadian
murid. Kenyataan ini bertepatan dengan kajian oleh Nor Azni et al. (2014); dan Danielle dan
Mohd. Khairuddin (2017, 2018) yang mendapati bahawa pengetua bertanggungjawab
memastikan matlamat yang telah dibina mudah difahami dan dikongsi bersama dengan
seluruh warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat. Pendapat ini turut disokong oleh Supian
dan Khadijah (2014) bahawa pemimpin instruksional yang menekankan misi dan matlamat
sekolah berupaya menjana dan meningkatkan pencapaian murid berterusan.
Dalam usaha merealisasikan dan menterjemahkan misi dan matlamat sekolah, dimensi
mengurus program instruksional diutamakan Pengetua Cemerlang JUSA C bagi menjana
kecemerlangan sekolah, meningkatkan kualiti guru dan kemenjadian murid yang berterusan.
Pengetua melaksanakan tanggungjawab untuk menyelia dan menilai, menyelaras kurikulum,
mencerap dan memantau kemajuan murid. Bersangkutan dengan itu, penyeliaan dan
penilaian yang dilakukan pengetua adalah membuat semakan buku rekod mengajar guru
secara menyeluruh iaitu memfokuskan RPH dan menyelaras kurikulum melalui PLC Lesson
Study dan strategi Kanvas. Selain itu, pengetua menjalankan pencerapan PdPc bersama
dengan penolong kanan dan ketua bidang dan seterusnya memantau kemajuan proses PdPc
melalui rondaan, pemerhatian dan maklum balas daripada murid agar tindakan
penambahbaikan PdPc dilakukan. Bagi mengukuhkan dapatan kajian ini, guru-guru juga turut
menyokong bahawa pengetua melakukan pemerikasaan buku RPH dengan teliti dan
menyeluruh kepada semua guru, memberi kepercayaan kepada guru mengendalikan PLC
khususnya berkaitan strategi Kanvas dan memantau proses PdPc mengikut standard dalam
SKPMg2. Dapatan kajian ini selari dengan pendapat Danielle dan Mohd. Khairuddin (2018);
Nor Azni et al. (2014); dan Mohd Ibrahim et al. (2015) yang menyatakan bahawa pemimpin
instruksional perlu menjalankan penyeliaan dan penilaian, membuat penyelarasan kurikulum,
melaksanakan pencerapan dan pemantauan kerja murid. Hal sedemikian penting untuk
tujuan penambahbaikan yang berterusan dan bagi memastikan objektif PdPc selari dengan
matlamat sekolah yang hendak dicapai. Seterusnya, pengetua memantapkan kualiti
pengajaran guru melalui coaching dan bimbingan iaitu menurunkan kuasa kepada pemimpin
pertengahan bagi meningkatkan keyakinan diri guru dalam melaksanakan intervensi dan
mewujudkan PdPc yang berkesan. Dalam masa yang sama, pengetua melaksanakan
bimbingan dengan bersungguh-sungguh, secara kolaboratif dan membuat keputusan
bersama dengan pemimpin pertengahan. Kajian ini menyokong pendapat yang dikemukakan
oleh Danielle dan Mohd. Khairuddin, (2018) yang melaporkan bahawa pengetua membimbing
guru agar amalan pengajaran dan pembelajaran menyediakan peluang terbaik untuk
kejayaan dan kecemerlangan murid. Dapatan kajian ini juga adalah sejajar dengan kajian
Supian dan Khadijah, (2014) dan Wahlstrom dan Louis, (2008) yang berkaitan dengan
keperluan pemimpin instruksional untuk memberikan bimbingan kepada guru-guru bagi
mewujudkan amalan PdPc yang lebih berkualiti dan berkesan kepada pembelajaran murid
untuk jangka masa panjang.
Kajian ini membuktikan dimensi membentuk iklim pembelajaran sekolah yang kondusif
merupakan aspek penting dalam kepimpinan instruksional. Lanjutan daripada itu, Pengetua
Cemerlang JUSA C telah membentuk iklim sekolah yang positif dengan menekankan
program pembelajaran berkesan, ganjaran kepada murid, pembudayaan ilmu di sekolah,
MMI dan pembangunan profesionalisme guru. Dalam aspek pembelajaran berkesan,
pengetua memfokuskan bengkel dan PLC mengikut bidang akademik dan hasil perbincangan
PLC dikongsi bersama seluruh warga sekolah ke arah mempersiapkan diri dan menyediakan
ruang terbaik untuk guru meningkatkan kualiti pengajaran dan seterusnya mencapai
kemenjadian murid yang berdaya saing. Pengetua juga menekankan pemberian insentif
kepada guru dan pengiktirafan pembelajaran murid yang berjaya dengan cemerlang sama
ada dalam bentuk sijil, pujian mahupun dalam majlis anugerah kecemerlangan akademik.
Dapatan kajian ini disokong oleh Hallinger (2011, 2003) yang berpendapat bahawa pemimpin
perlu menghargai pencapaian, kebolehan dan kemahiran yang telah dicapai oleh guru dan
murid. Kenyataan ini turut disokong oleh Nor Azni et al. (2014) yang berpendapat bahawa
pengetua perlu menyokong kuat guru-guru dengan mengiktiraf sumbangan dan memberi
insentif kepada pembelajaran murid-murid yang telah mencapai kejayaan cemerlang. Selain
itu, pengetua juga memberi ruang kepada guru-guru untuk membudayakan ilmu di sekolah
melalui seminar dan sesi dialog bagi meningkatkan lagi kualiti PdPc. Bahkan, amalan
kepimpinan instruksional dalam pelaksanaan MMI amat dititikberatkan bagi memastikan
keberadaan guru-guru di sekolah sepanjang sesi persekolahan. Kelas tambahan dan
mengoptimakan kelas relief diberi fokus sepenuhnya agar pembelajaran murid tidak terabai.
Dapatan ini adalah selari dengan kajian Nor Azni et al. (2014) yang berkaitan dengan
tanggungjawab pengetua melindugi masa pengajaran untuk menggalakkan guru-guru
menggunakan masa pengajaran sepenuhnya. Selanjutnya, pengetua terbuka minda untuk
memberi ruang dan peluang kepada guru-guru mendapatkan ilmu pengetahuan dan
kemahiran baharu ke arah pembangunan kapasiti dan peningkatan profesionalisme melalui
pembelajaran sepanjang hayat. Di sini, pengetua sentiasa memberi galakan dan motivasi
kepada guru-guru untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi seperti ijazah
sarjana dan ijazah kedoktoran. Dapatan kajian ini menyokong kajian yang dikemukakan oleh
Mohd. Ibrahim et al. (2015) yang melaporkan keperluan pemimpin meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan guru-guru melalui pembangunan kapasiti
secara berterusan ke arah merealisisaikan hasrat untuk meningkatkan kemenjadian murid.
RUMUSAN
Amalan kepimpinan instruksional yang berkait rapat dengan mendefinisikan misi sekolah,
mengurus program instruksional dan membentuk iklim sekolah dipraktikkan Pengetua
Cemerlang JUSA C untuk melonjakkan kecemerlangan sekolah. Dapatan kajian ini
menyokong kajian terdahulu sama ada kajian yang dijalankan di dalam mahupun di luar
negara. Dimensi mendefinisikan misi sekolah terbukti dapat memandu kepimpinan yang
berkesan ke arah mencapai matlamat dan kecemerlangan organisasi. Begitu juga dengan
mengurus program instruksional menjadi faktor penentu kepada kejayaan kepimpinan
instruksional yang berkualiti dalam usaha menterjemahkan matlamat sekolah kepada amalan
di dalam bilik darjah melalui penyeliaan dan penilaian, penyelarasan kurikulum, pencerapan
dan pemantauan pembelajaran murid. Bagi melestarikan amalan kepimpinan instruksional,
pengetua memfokuskan iklim sekolah yang positif dan kondusif sebagai wadah
menggalakkan perkembangan profesional dan pembangunan kapasiti melalui pembelajaran
sepanjang hayat, sokongan pembelajaran, pemberian insentif, memupuk budaya ilmu dan
peruntukan masa pembelajaran ke arah menjana pendidikan berkualiti dan meningkatkan
kemenjadian murid. Kajian ini diharapkan dapat menyumbang kepada pihak berkepentingan
dalam bidang pendidikan khususnya mengenai amalan kepimpinan instruksional di sekolah
bagi menambah baik kualiti pendidikan.
RUJUKAN
Ahmad Kamal Arifin, (2016). Pelaksanaan Penyeliaan Pengajaran dan Motivasi Kerja Guru di
Sekolah Menengah Kebangsaan Negeri Selangor. Thesis Phd, Universiti Malaya.
Ayunni binti Jasni. (2013). Kepimpinan Pengetua Cemerlang di Sekolah Menengah di Daerah
Johor. Tesis Pengurusan dan Pentadbiran. Universiti Teknologi Malaysia.
Aziah Ismail, Loh Hooi Yen & Abdul Ghani Kanesan Abdullah. (2015). Komuniti Pembelajaran
Profesional dan Efikasi Kendiri Guru Sekolah Menengah di Pulau Pinang. Jurnal
Kepimpinan Pendidikan, 2(1).
Danielle Foong Chai Yen & Mohd. Khairuddin Abdullah. (2017). Analisis Perbandingan
Kepimpinan Instruksional Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru. International Journal of
Education, Psychology and Counseling, 2(5): 318-339.
Danielle Foong Chai Yen & Mohd. Khairuddin Abdullah. (2018). Kepimpinan Instruksional:
Konsep, Model, Pendekatan dan Skala Pengukuran. Jurnal Sultan Amauddin Sulaiman
Shah. Special Isu.
Hallinger, P. & Murphy, J. (1985). Assessing the Instructional Management Behaviors of
Principals. The Elementary School Journal, 86(2): 217-248.
Hallinger, P. (2003). Leading Educational Change: Reflections on Practice of Instructional and
Transformational Leadership. Cambridge Journal of Education, 33(3): 329-351.
Hallinger, P. & Heck, R.H. (2003). Understanding the Contribution of Leadership to School
Improvement dalam Learning to read critically in educational leadership and
management. London: Sage.
Hallinger, P. (2011). A Review of Three Decades of Doctoral Studies Using the Principal
Instructional Management Rating Scale: A Lens of Methodological Progress in
Educational Leadership. Education Administration Quarterly, 47(2): 271-306.
Horng, E. & Loeb, S. (2010). New Thinking about Instructional Leadership. Kappan, 93(3):
54-61.
Hoy, A. & Hoy, W. (2006). Instructional Leadership: A Research-based Guide to Learning in
School. Boston, MA: Allyn & Bacon.
James Ang Jit Eng & Balasandran Ramiah. (2012). Kepimpinan Instruksional : Satu Panduan
Praktikal. Edisi kedua. PTS Akademia.
Jamilah Ahmad dan Yusof Boon. (2011). Amalan Kepimpinan Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBT) di Malaysia. Journal of Edupres, (1) 323-335.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2009). Taklimat Laluan Kerjaya PPPS dan PPPLD di
KPM. Putrajaya Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
2013-2025: Pendidikan Prasekolah hingga Lepas Menengah. Putrajaya Malaysia:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Lokman Mohd Tahir, M. Al Muzammil & Mislina Salleh. (2013). Impak Strategi Politik
Terhadap Amalan Kepimpinan Pengajaran Pengetua Cemerlang. Jurnal Teknologi, (60)
1-10.
Mareena Mohamad, Norhasni Zainal Abiddin Ismi Arif Ismail & Azizan Asmuni. (2011).
Tinjauan Hubungan Gaya Kepimpinan dengan Komitmen Organisasi. Eksplanasi, 6(1):
17-28.
Mariani Md Nor, Mohd Nazri Abdul Rahman, Morazana Mohd. Nor, Nor’ain Mat Talha &
Ahmad Zabidi Abdul Razak. (2016). Amalan Kepimpinan Pengajaran untuk
Penambahbaikan Sekolah: Retrospeksi Besar Sekolah Berprestasi Tinggi. Jurnal
Kepimpinan Pendidikan, 3(3).
Mohd Ibrahim K. Azeez, Mohammed Sani Ibrahim & Rosemawati Mustapa. (2015).
Kompetensi Kepimpinan Instruksional di kalangan Pengetua Sekolah: Satu Kajian
Empirikal di Negeri Selangor. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 2(3).
Nor Azni Abdul Aziz, Foo Say Fooi, Soaib Asimiran & Aminuddin Hassan. (2014). Kepimpinan
Instruksional Pengetua dalam Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
Proceeding of the Global Summit on Education. Kuala Lumpur.
Roselena Mansor dan Mohd Izham Mohd Hamzah. 2015. Kepimpinan Berkualiti: Perspektif
mengenai Kompetensi yang Diperlukan untuk Memimpin dengan Berkesan. Jurnal
Pengurusan, 45:143-154.
Rosnah Ishak, Muhammad Faizal A. Ghani & Zuraidah Abdullah. (2013). Profil Amalan
Terbaik Organisasi Pembelajaran. Jurnal Peradaban, (2) 55-57.
Stake, R. E. (2009). The Incredible Lightness of Evidence: Problem of Synthesis in
Educational Evaluation. University of Illinois. Studies in Educational Evaluation. 35: 3-6.
Stake, R. E. (2010). Qualitative Research: Studying How Things Work. New York: The
Guilford Press.
Supian Hashim & Khadijah Daud. (2014). Amalan Kepimpinan Lestari Hubungannya dengan
Prestasi Kerja Guru Sekolah Rendah yang Menerima Tawaran Baru di Daerah
Segamat. Sains Humanika, 2(4): 197-208.
Wahlstrom K. L., & Louis, K. S. (2008). How Teachers Experience Principal Leadership: The
Roles of Professional Community, Trust, Efficacy and Shared Responsibility.
Educational Administration Quarterly, 44(4): 458-495.
Yin, R. (2003). Case Study Research. Design and Method. (3rd Eds.). Thousand Oaks: SAGE
Publications.
HUBUNGAN LOKASI SEKOLAH DENGAN KEPIMPINAN MENERAJUI
PERUBAHAN TERHADAP PENDIDIKAN STEM DI SABAH
Salleh bin Ismail Kong
Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah
Jabatan Pengurusan Kurikulum dan Kokurikulum
Kementerian Pendidikan Malaysia
[email protected]
Sainah Limbasan
Kasmah Abdullah
Annilin Apat
Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah
Jabatan Pembangunan Staf dan Kerjasama Antarabangsa
Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan
Jabatan Pembangunan, Pengurus, Pemimpin dan Eksekutif Pendidikan
[email protected]
[email protected]
[email protected]
ABSTRAK
Pemimpin sekolah sebagai pemacu kecemerlangan organisasi dan keberhasilan pendidikan berkualiti
adalah berkait rapat dengan anjakan pertama transformasi pendidikan yang menekankan
kepentingan meningkatkan kualiti pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan
Matematik (STEM) bagi melahirkan modal insan bertaraf dunia. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk
mengetahui hubungan lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan. Kajian berbentuk
kuantitatif deskriptif ini dijalankan secara tinjauan melalui edaran soal selidik yang direka bentuk
berasaskan kamus kompetensi Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan
(NPQEL) versi 2018. Kajian rintis soal selidik telah dijalankan dan nilai kebolehpercayaan Alpha
Cronbach 0.93. Seramai 161 orang pemimpin sekolah yang telah mengikuti program NPQEL versi
2018 terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Data dianalisis dengan menggunakan Statistical
Package for the Social Sciences (SPPS) versi 26.0. Berdasarkan ujian kolerasi Spearman rho
menunjukkan kekuatan hubungan adalah sangat lemah antara lokasi sekolah dengan kepimpinan
menerajui perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan (r=0,013), kompetensi memimpin
perubahan (r=0.034) dan kompetensi menyelesai masalah (r=0.062). Nilai kolerasi Spearman rho
bagi kompetensi membuat keputusan (p=0.871), kompetensi memimpin perubahan (p=0.672) dan
kompetensi menyelesai masalah (p=0.433) menunjukkan nilai signifikan melebihi aras keertian
p<0.05, maka tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan
menerajui perubahan terhadap pendidikan STEM. Implikasi kajian ini membawa mesej yang jelas
kepada pihak pengurusan kurikulum dan pendidikan teknikal secara lebih menyeluruh kepada
sekolah-sekolah di negeri Sabah.
Kata kunci: Kepimpinan, Menerajui perubahan, Kompetensi, Pendidikan STEM
PENDAHULUAN
Pemimpin sebagai peneraju perubahan harus memimpin proses pembaharuan secara
berterusan dalam organisasi untuk memenuhi keperluan pelanggan dalaman dan luaran.
Sejajar dengan anjakan pertama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf
antarabangsa yang dikaitkan dengan peningkatan kualiti pendidikan Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (STEM) (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013) maka
pemimpin berkualiti sewajarnya memiliki kompetensi yang berkaitan dengan pengetahuan
kepimpinan dan pengurusan sekolah. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT) dalam pendidikan dan ekonomi telah menjadi fokus di Malaysia sekitar tahun 2001
hingga tahun 2010. Menurut Md. Mokter & Michael (2012), motivasi yang menggalakkan
untuk murid meningkatkan prestasi mencakupi pengetahuan dan kemahiran secara saintifik
adalah penting ke arah memperkasa pendidikan STEM di negara-negara membangun.
Sehubungan dengan itu, Malaysia perlu bermula di peringkat sekolah rendah lagi dalam
menerapkan pendidikan STEM khususnya bagi menghadapi Revolusi Industri (RI) 4.0.
Semua pihak termasuk murid, pensyarah, fakulti, kolej kediaman serta universiti berganding
bahu mewujudkan usaha sama bersaing di dunia tanpa sempadan untuk menyokong
pengoperasian pendidikan STEM sehingga ke tahap yang cemerlang.
Di Malaysia, sekolah dikategorikan kepada bandar, luar bandar dan pedalaman. Di samping
itu, Sekolah Kurang Murid (SKM) yang mempunyai murid kurang daripada 150 orang dan
lokasi sekolah di luar bandar dan pedalaman turut diwujudkan untuk memenuhi keperluan
pendidikan masa kini. Justeru itu, keperluan kajian yang berkaitan hubungan antara lokasi
sekolah dan kepimpinan adalah penting demi memastikan pendidikan berkualiti di semua
sekolah termasuklah sekolah di luar bandar seperti di sekolah kurang murid. Hasrat PPPM
2013 - 2025 melalui anjakan pertama menunjukkan komitmen pihak KPM untuk memberikan
peluang dan akses yang sama rata kepada semua murid tanpa mengira lokasi sekolah.
Pendidikan STEM sebagai satu agenda penting dalam transformasi pendidikan merupakan
inisiatif KPM bagi menyediakan generasi muda menghadapi cabaran abad ke-21 dan
memastikan hasrat murni ini mencapai objektif (KPM, 2016). KPM meletakkan inisiatif ini
untuk memperkukuhkan pendidikan STEM, memantapkan kemahiran dan keupayaan,
mempopularkan pendidikan STEM serta menyediakan intensif. Cabaran dunia hari ini yang
bersifat lebih kompleks menuntut kerjasama semua pihak untuk mengambil tanggungjawab
sosial membina kepakaran diri. Bahkan, pemimpin sekolah merupakan individu
bertanggugjawab dalam mewujudkan persekitaran positif untuk menambah baik hasil
pembelajaran STEM (Hatisaru, Beswick & Fraser, 2019). Sehubungan dengan itu, KPM
menyarankan agar pemimpin pendidikan di sekolah harus menjadi seorang pemimpin yang
dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memperkasakan pendidikan
STEM secara menyeluruh. Hal ini adalah selaras dengan tuntutan perubahan dalam
pendidikan yang menekankan bahawa pemimpin sekolah adalah agen perubahan budaya di
sekolah. Perubahan ini perlu dilaksanakan untuk memenuhi keperluan semasa dari segi
idea, program, teknologi, proses dan komponen pendidikan. Dalam masa yang sama,
pemimpin harus berusaha mempraktikkan pendidikan STEM sebagai salah satu komponen
penting dalam pendidikan masa kini (KPM, 2013).
Fullan, (2006) menyatakan tuntutan perubahan dalam pendidikan global mendorong KPM
mengambil inisiatif untuk melengkapkan para pemimpin sekolah sebagai agen perubahan
pendidikan dari segala aspek terutama dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21
dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Selari dengan inisiatif ini, Institut Aminuddin
Baki (IAB) telah menggariskan 10 kompetensi melalui program Kelayakan Profesional
Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) versi 2018. Salah satu domain utama yang
ditekankan dalam program ini ialah domain menerajui perubahan yang mengandungi tiga
kompetensi yang perlu dikuasai oleh peserta NPQEL iaitu membuat keputusan, memimpin
perubahan dan menyelesai masalah (IAB, 2018). Justeru itu, kajian ini dijalankan dengan
memfokuskan tahap kesediaan pemimpin sekolah di Sabah melalui amalan kompetensi
dalam domain menerajui perubahan terhadap pendidikan STEM.
PERNYATAAN MASALAH
Pemimpin sekolah merupakan individu yang bertanggungjawab dalam memastikan hasrat
KPM iaitu pemimpin yang berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah (KPM, 2013) ke
arah melahirkan murid yang berdaya cipta dan mampu bersaing di peringkat global. Selaras
dengan fungsi pemimpin sekolah untuk membawa perubahan pembangunan dan
meningkatkan kecemerlangan sekolah, amalan kompetensi pemimpin memberi pengaruh
yang cukup dominan kepada perubahan (Bush, 2007). Namun demikian, penguasaan
kompetensi khususnya dalam aspek membuat keputusan, menyelesai masalah, mengurus
perubahan dan penguasaan ICT yang berfokuskan kepada kualiti adalah rendah dalam
kalangan guru besar dan pengetua (Amin, Ramli, Sazali, Abd. Razak, Rosnarizah & Rusmini,
2008). Kajian terdahulu dan isu semasa mengenai pendidikan STEM khususnya di Malaysia
menggambarkan bahawa pelbagai cabaran dan halangan yang dihadapi ke arah
memperkasa budaya pendidikan STEM di sekolah. Hal sedemikian menyebabkan masih
terdapat pemimpin sekolah yang kurang memberi fokus untuk membudayakan pendidikan
STEM di sekolah (Bunyamin, 2017). Tambahan lagi, pemahaman tentang perkara yang
perlu dilakukan pemimpin untuk mewujudkan PdPc yang efektif dan efisien kepada
pembelajaran pendidikan STEM adalah sangat terhad. Bahkan, tahap kompetensi pengetua
dan guru besar khususnya dalam pengurusan teknologi masih berada pada tahap
sederhana dan perlu komitmen sepenuhnya agar dapat meningkatkan produktiviti dalam
pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah (Mahizer, Yusup & Ismail, 2008).
Dalam konteks pendidikan STEM pemimpin harus mempunyai inisiatif untuk mencetus idea
baharu secara komprehensif khususnya dalam memimpin pembangunan organisasi
(Raamani & Arumugam, 2018). Namun masih terdapat pengetua yang kurang proaktif,
kreatif dan inovatif malah sering kali hilang fokus dan hilang tumpuan kepada matlamat
pengurusan sebenar (Azlin Norhaini, 2006). Menyedari hakikat bahawa pendidikan STEM
perlu ditransformasikan dan dimantapkan sejajar dengan anjakan transformasi dalam PPPM
(2013-2025) maka pemimpin sekolah perlu berusaha memberi nafas baharu terhadap
pendidikan STEM (Bunyamin, 2017). Berdasarkan laporan oleh Bahagian Perancangan
Penyelidikan dan Pembangunan Dasar Pendidikan (PPPDP) punca utama kemerosotan
pendidikan STEM di sekolah adalah disebabkan sikap sukar memberi kerjasama, kurang
yakin dengan keupayaan guru dan latar belakang pemimpin bukan daripada bidang STEM
(PPPDP, 2019). Selain itu, kajian oleh Alexis, Henderson & Fisher (2018) mendapati
segelintir pemimpin yang dilihat tidak menitikberatkan latihan guru dan kefahaman yang
mendalam untuk mengimplementasi pendidikan STEM. Justeru itu, pemimpin sekolah
memainkan peranan penting sebagai peneraju transformasi untuk menarik lebih ramai murid
terlibat menceburi bidang STEM di peringkat sekolah melalui aktiviti kurikulum dan ko-
kurikulum dengan mengamalkan domain menerajui perubahan iaitu membuat keputusan,
memimpin perubahan dan menyelesai masalah.
Isu berkaitan dengan lokasi sekolah khususnya di SKM yang terletak di luar bandar dan
mempunyai bilangan murid yang sedikit membuka minda pengkaji untuk meneroka lebih
lanjut tentang hubungan lokasi sekolah iaitu tempat pemimpin bertugas dengan domain
menerajui perubahan. Hal ini kerana hasil kajian oleh Zalika, Faridah & Mohamad Johdi,
(2009) mendedahkan bahawa sekolah yang terletak di luar bandar menghadapi masalah
dari segi tahap prestasi yang rendah. Tambahan lagi, kajian juga mendapati faktor
kepimpinan guru besar, guru, murid, ibu bapa, prasarana, kewangan dan budaya sekolah
menjadi penyumbang kepada pencapaian akademik di sekolah berprestasi rendah
(Dolbasar, Shahril & Jamal, 2013). Sekolah seperti SKM yang kebanyakannya terletak di
luar bandar masih lagi relevan dengan pendidikan masa kini dan diperlukan oleh
masyarakat setempat sebagai agen perubahan. Namun, masih kurang kajian mengenai
kewujudan sekolah di luar bandar ini yang mampu memainkan peranan dengan baik ke arah
pencapaian prestasi berkualiti (Zakaria et al., 2010).
OBJEKTIF KAJIAN
a. Mengenal pasti hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan.
b. Mengenal pasti hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi memimpin perubahan.
c. Mengenal pasti hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah.
PERSOALAN KAJIAN
a. Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan?
b. Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi memimpin perubahan?
c. Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah?
HIPOTESIS KAJIAN
H0 1 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan
menerajui perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan.
H0 2 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan
menerajui perubahan dari segi kompetensi memimpin perubahan.
H0 3 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan
menerajui perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah.
KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan hubungan lokasi
sekolah bagi melaksanakan pendidikan STEM di Sabah berdasarkan kompetensi membuat
keputusan, memimpin perubahan dan menyelesai masalah yang terkandung dalam domain
menerajui perubahan. Hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan maklumat dan idea
baharu berkaitan dengan pelaksanaan kaedah latihan yang berteraskan kompetensi dalam
usaha memastikan keberkesanan pendidikan STEM selaras dengan hasrat dalam PPPM
2013-2025. Selain itu, kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada kepemimpinan
sekolah khasnya pengetua dan guru besar berhubung kepentingan memiliki kompetensi
yang tinggi dalam kepimpinan menerajui perubahan untuk merangsang komitmen guru
mewujudkan suasana Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) yang berkualiti.
BATASAN KAJIAN
Kajian ini hanya melibatkan pengetua dan guru besar lepasan Program Kelayakan
Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) versi 2018 sahaja. Justifikasi
pemilihan tersebut disebabkan pendekatan kursus NPQEL versi 2018 adalah berteraskan
kompetensi berbanding sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada pengetahuan (IAB,
2018). Hal ini termasuklah memberi pendedahan kepada para pemimpin sekolah secara
khusus berkaitan dengan domain kompetensi menerajui perubahan yang melibatkan tiga
kompetensi iaitu kompetensi membuat keputusan, kompetensi memimpin perubahan dan
kompetensi menyelesai masalah. Maka dapatan kajian ini tidak dapat digeneralisasikan
dalam kalangan pemimpin sekolah yang telah dilantik sebelum tahun 2018.
KERANGKA KONSEP
Kerangka konsep kajian ini adalah memfokuskan lokasi sekolah yang dikaitkan dengan
kepimpinan menerajui perubahan iaitu berdasarkan kompetensi membuat keputusan,
kompetensi memimpin perubahan dan kompetensi menyelesai masalah. Dalam memimpin
perubahan di sekolah seseorang pemimpin perlu memiliki kemahiran dan kompetensi yang
tinggi sebagai peneraju kecemerlangan organisasi. Kerangka konsep ini menjadi panduan
kepada pengkaji untuk menjalankan kajian yang berkaitan dengan hubungan lokasi sekolah
dengan kepimpinan menerajui perubahan terhadap pendidikan STEM di Sabah. Kerangka
konsep kajian ini dapat digambarkan seperti Rajah 1 di bawah.
Lokasi Kepimpinan Pendidikan
Sekolah Menerajui Perubahan STEM di
Sabah
Rajah 1: Kerangka Konsep
KAJIAN LITERATUR
Bahagian ini adalah membincangkan aspek berikut.
Lokasi Sekolah
Di Malaysia, lokasi sekolah terbahagi kepada dua iaitu sekolah bandar dan sekolah luar
bandar. Kategori sekolah pedalaman telah diwujudkan kerana adanya pemberian elaun
khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan seperti yang termaktub dalam Pekeliling
Perkhidmatan Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2014. Pada peringkat
awal, pendidikan di Malaysia tertumpu kepada pembinaan sekolah di bandar yang
mempunyai kemudahan bangunan dan peralatan yang baik dan lengkap, guru terlatih dan
sumber mencukupi. Walau bagaimanapun, bagi sekolah luar bandar mempunyai
kemudahan infrastruktur yang agak terhad. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
melaporkan ketidaksamarataan dan jurang pendidikan yang wujud adalah disebabkan
keutamaan pada masa itu tertumpu kepada usaha memastikan lebih ramai pelajar
mendapat pendidikan berbanding dengan kualiti pendidikan.
Namun, fokus pendidikan kini telah berubah melalui salah satu inisiatif PPPM 2013-2025
iaitu merapatkan jurang antara bandar dan sekolah luar bandar. Menteri Pendidikan, Datuk
Seri Mahdzir Khalid ketika berucap melancarkan Laporan Tahunan 2015 PPPM 2013-2025
melaporkan analisis pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun
tersebut menyaksikan jurang yang berjaya dikurangkan sebanyak 31.6 peratus, mengatasi
sasaran Gelombang Satu iaitu 25 peratus1. Selain itu, bagi memenuhi aspirasi pendidikan
negara, SKM telah ditubuhkan bermatlamat untuk memberikan akses pendidikan khususnya
di luar bandar dan pedalaman. Berdasarkan Pekeliling Pentadbiran Bilangan 3/1967 yang
dikeluarkan oleh pihak KPM, sekolah kecil atau SKM didefinisikan sebagai sekolah yang
mempunyai bilangan murid kurang dari 150 orang, sekolah yang terletak di luar bandar,
kekurangan peruntukan dan kemudahan serta guru terlatih.
1 Sumber dari https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2016/08/181352/gelombang-satu-pppm-2013-2025-capai-sasaran
Kepimpinan Pemimpin Sekolah
Pemimpin sekolah perlu meningkatkan kompetensi dan kecekapan diri untuk membangun
sekolah ke arah merealisasikan hasrat KPM iaitu meningkatkan kualiti guru dan melahirkan
sumber tenaga yang mahir, berdaya cipta dan mampu menghadapai permasalahan yang
kompleks (KPM, 2016). Kajian lepas mendedahkan kepimpinan yang efektif memainkan
peranan penting dalam menerajui perubahan sesebuah organisasi. Bahkan, pemimpin juga
perlu memiliki kemahiran dan kompetensi yang tinggi bagi menghadapi cabaran memimpin
dan mengurus institusi masa kini (Eddy, 2013). Menurut Euis & Hersugondo (2008),
pengetahuan, kemahiran dan nilai murni dikaitkan dengan kompetensi seseorang pemimpin
untuk mempengaruhi dan membangun kapasiti dalam organisasi bagi melakukan perubahan
dan mencapai matlamat yang ditetapkan. Pemimpin sebagai peneraju kecemerlangan
organisasi sekolah adalah bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan
dan kemahiran baharu bagi menangani cabaran dunia pendidikan. Menurut Mohtar (2005),
keupayaan pemimpin dalam menerajui organisasi diterima sebagai faktor yang boleh
menentukan kejayaan dan kegagalan organisasi berkenaan. Sehubungan dengan itu,
pemimpin bertanggungjawab memanfaatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam
pelbagai aspek bidang pengurusan agar dapat bertindak dengan penuh yakin dan efektif.
Secara realiti, pemimpin berperanan untuk meningkatkan kualiti yang tinggi dalam PdPc
terutama di dalam bilik darjah bagi membolehkan murid mencapai prestasi yang baik
menerusi pendidikan STEM. Kajian tentang kepimpinan banyak dikaitkan dengan peranan
pemimpin sekolah membudayakan dan memperkasa pendidikan STEM untuk
memperkukuhkan organisasi (Bunyamin, 2017). Hal sedemikian penting kerana pemimpin
perlu mempunyai kesediaan yang utuh dan berupaya untuk memberi nafas baharu terhadap
kesepaduan antara bidang dalam STEM berlaku secara realistik (KPM, 2016). Dalam
konteks kepimpinan, pemimpin sekolah perlu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan
berupaya membuat perubahan terhadap usaha membangun dan melaksanakan misi
akademik di sekolah (Eddy, 2013). Kajian Cammellia & Halim (2020) menerangkan
kepimpinan instruksional guru besar di sekolah luar bandar mempunyai hubungan yang
signifikan dengan komitmen yang guru memberi kesan kepada pengalaman pembelajaran
bermakna dan menyeronokkan murid, menarik minat dan kecenderungan murid mempelajari
idea baharu, mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai, pendekatan inkuiri,
pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah dalam konteks
dunia sebenar. Sehubungan itu, pemimpin perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap
PdPc untuk negara kekal berdaya saing dan dinamik di peringkat global (KPM, 2016).
Kompetensi
Kajian lepas mendedahkan kompetensi pemimpin adalah berkait rapat dengan pengurusan
yang efektif bagi mempengaruhi kualiti kejayaan murid dan sekolah (Rothwell, 2010). Dalam
masa yang sama, kompetensi kepimpinan dilihat mempunyai hubung kait dengan dimensi
pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku (Suhaili & Chua, 2019). Menurut Amin, et al.
(2008) kompetensi membuat keputusan, menyelesaikan masalah, mengurus perubahan dan
pengurusan ICT merupakan kompetensi yang berfokuskan kepada kualiti dan berimpak
tinggi kepada organisasi. Lanjutan daripada itu, cabaran pendidikan abad ke-21 amat
memerlukan pemimpin sekolah yang mempunyai kompetensi yang tinggi bagi membangun
dan meningkatkan pencapaian organisasi untuk menerajui perubahan. Kompetensi
membuat keputusan adalah keupayaan membuat pilihan yang relevan dan mempunyai
justifikasi berasaskan maklumat dengan mempertimbangkan pelbagai aspek dan alternatif
(IAB, 2018). Tambahan lagi, membuat keputusan dikaitkan dengan kemampuan minda
untuk memilih salah satu alternatif terbaik bagi mencapai matlamat yang diharapkan
berdasarkan kriteria tertentu. Justeru itu, kompetensi membuat keputusan merupakan
kompetensi yang sangat penting kerana pemimpin sekolah perlu mengambil risiko membuat
keputusan berdasarkan beberapa alternatif pilihan yang telah dikenal pasti melalui maklumat
dan data yang tepat untuk membuat keputusan supaya menepati persekitaran sekolah (Ab
Aziz, 2008). Selain itu, faktor-faktor membuat keputusan menunjukkan guru besar
menguasai tahap yang tinggi ketika mengambil keputusan. Hal ini menunjukkan bahawa
adanya hubungkait yang rapat antara amalan kepimpinan pemimpin dengan faktor membuat
keputusan. Dalam masa yang sama, amalan kolaboratif yang dimaksudkan adalah satu
hubungan kerjasama di antara pengurusan sekolah yang terdiri daripada pemimpin dan
stafnya malahab tiada hubungan yang signifikan antara amalan membuat keputusan
kolaboratif guru dengan amalan membuat keputusan kolaboratif pengetua.
Kompetensi memimpin perubahan adalah keupayaan untuk menerima dan memandu
perubahan dengan mengadaptasi tindakan melalui sokongan individu warga organisasi bagi
memacu pembangunan dan pencapaian (IAB, 2018). Memimpin perubahan adalah
keupayaan seseorang pemimpin untuk mengubah satu-satu situasi yang kurang baik
kepada situasi lebih baik berdasarkan faktor perubahan tertentu pada peringkat makro dan
atas dorongan situasi semasa menyebabkan sesuatu perubahan itu berlaku (Muhamad Sani
dan Mohd Izham, 2012). Menurut Ab Aziz (2008), sesuatu perubahan perlu memberi kesan
positif kepada proses kerja dan melibatkan penambahbaikan berterusan dengan
mempertimbangkan dimensi kemanusiaan, menyebarluas serta merealisasikan matlamat
dengan sewajarnya. Tambahan lagi, sikap yang positif menggalakkan maklum balas pekerja
untuk menjana lebih banyak alternatif penyelesaian masalah. Kajian yang dijalankan oleh
Izani & Yahya (2014) mendapati bahawa kepimpinan servant mendorong stafnya untuk
mencapai potensi diri menjadi penyumbang kepada pengurusan perubahan di sekolah.
Dalam masa yang sama, kompetensi utama yang perlu ada pada pemimpin berkualiti
adalah mempunyai hubungan yang kuat dengan apsek pengetahuan, kemahiran,
keperibadian positif, sumbangan organisasi dan kesanggupan memimpin. Kajian oleh
Suhaili & Chua (2019) mendapati hubungan tahap kompetensi bimbingan rakan terhadap
kompetensi kepimpinan pemimpin sekolah berada pada tahap tinggi. Hal ini bermakna
kompetensi bimbingan rakan berkait rapat dengan kompetensi kepimpinan pemimpin di
sekolah bagi mewujudkan kecemerlangan organisasi.
Seterusnya, pemimpin sekolah perlu menekankan kompetensi menyelesai masalah bagi
mendepani cabaran abad ke-21. Kompetensi menyelesai masalah adalah keupayaan untuk
mengenal pasti dan menggunakan logik, penghakiman dan data untuk menilai alternatif dan
melaksanakan penyelesaian untuk mencapai matlamat organisasi yang dihasratkan (IAB,
2018). Hal ini disebabkan masalah yang wujud pada masa kini adalah berbeza dari semasa
ke semasa misalnya masalah dari segi kompetensi guru, prasarana sekolah dan latar
belakang murid (IAB, 2016). Lantaran itu, pemimpin sekolah perlu memperkukuh dan
memantapkan lagi pengetahuan, kemahiran dan kompetensi menyelesaikan masalah agar
pemimpin sekolah dapat mendepani cabaran ke arah menerajui pendidikan STEM di
sekolah. Kajian oleh Awg Junaidi (2000) mendapati kepimpinan pemimpin sekolah untuk
mengetahui punca masalah organisasi dan mendekati masalah dengan baik adalah berkait
rapat dengan kompetensi menyelesaikan masalah iaitu berdasarkan gaya kepimpinan yang
berorientasikan tugas dan pertimbangan. Berdasarkan kajian oleh dilakukan oleh Sarirama,
Roslee & Norizah (2019) di zon pedalaman mendedahkan terdapat hubungan yang
sederhana kuat antara kepimpinan pengajaran guru besar dengan efikasi pengajaran guru.
Sejajar dengan itu, pemimpin sekolah menyelesaikan masalah yang melibatkan proses
pembelajaran pelajar dengan baik berkait rapat dengan peningkatan efikasi stafnya untuk
mencapai maklamat yang ingin dicapai.
Pendidikan STEM
Senario pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia
adalah berkait rapat secara tidak langsung dengan kepimpinan pemimpin mendepani
cabaran merealisasikan pendidikan STEM secara efektif dan efisien. Menurut Nur Amelia
dan Lilia (2019), pendidikan STEM di Malaysia perlu diintegrasikan dan diperkukuhkan
sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan sumber tenaga yang mahir serta pakar dalam
bidang penyelidikan dan industri. Bahkan, kajian oleh Bunyamin (2017) menyatakan betapa
pentingnya pendidikan STEM secara bersepadu yang menjadi teras kepada perkembangan
dan pembangunan kecemerlangan ke arah melahirkan generasi muda yang berilmu
pengetahuan dan berkeupayaan menghadapi cabaran teknologi baharu yang semakin
kompleks. Justeru itu, pemimpin sekolah sebagai peneraju kecemerlangan dan peningkatan
kualiti di sekolah perlu lebih komited dan prihatin memperkasa pendidikan STEM melalui
aplikasi elemen STEM dalam kurikulum (KPM, 2016).
Pendidikan STEM di luar negara seperti Singapura meletakkan landskap pendidikan di
negara tersebut mengalami perubahan drastik kerana berjaya mempelbagaikan program
menerusi pembelajaran STEM bagi menyediakan generasi muda menghadapi cabaran abad
ke-21 (Tang, 2018). Bunyamin (2017) menjelaskan pendidikan STEM di peringkat global
menunjukkan penggunaan konteks pembelajaran yang bermakna dan aktiviti PdPc yang
berpusatkan murid lebih aktif. Bersangkutan dengan itu, perkembangan pesat pendidikan
masa kini memerlukan pemimpin yang kreatif dan inovatif dan mengupayakan orang
bawahan untuk memantapkan lagi pelaksanaan pendidikan STEM di peringkat sekolah. Hal
sedemikian penting kerana pendidikan STEM boleh mencetus pemikiran, memupuk minat
murid belajar dan merangsang sifat ingin tahu. Bahkan, pendekatan STEM dalam
pendidikan khususnya di Malaysia memfokuskan kepada kemahiran berfikir aras tinggi,
inovatif, mereka cipta, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan untuk menciptakan
keberhasilan dan kemenjadian pendidikan demi mencapai matlamat negara (KPM, 2016).
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan rekabentuk kuantitatif dengan mengaplikasikan kaedah tinjauan
untuk mengkaji hubungan lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan terhadap
pendidikan STEM di Sabah. Kajian ini adalah berbentuk kajian deskriptif dengan
menggunakan kaedah tinjauan. Creswell, (2014) menyatakan kaedah deskriptif merupakan
kajian bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang sedang berlaku. Kaedah
tinjauan pula adalah salah satu cara yang spesifik bagi mengumpul maklumat berkenaan
dengan sekumpulan populasi (Blake & Champion, 1976). Lokasi kajian ini melibatkan
Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Menengah
Kebangsaan di negeri Sabah. Populasi kajian terdiri dalam kalangan pemimpin sekolah
yang telah mengikuti program NPQEL versi 2018 bagi tahun 2018 dan tahun 2019.
Penentuan saiz sampel adalah berdasarkan kaedah penjadualan Krejcie dan Morgan, (1970)
iaitu melibatkan seramai 161 orang sampel.
Instrumen berbentuk soal selidik telah dibina berdasarkan kamus kompetensi NPQEL versi
2018 terbitan Institut Aminuddin Baki dalam domain menerajui perubahan merangkumi
kompetensi membuat keputusan, kompetensi memimpin perubahan dan kompetensi
menyelesai masalah. Kajian rintis yang melibatkan seramai 30 orang pemimpin sekolah
telah dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaan atau kemunasabahan sesuatu kajian
sebelum kajian sebenar dijalankan. Kebolehpercayaan instrumen kajian berdasarkan
bacaan Alpha Cronbach bagi setiap elemen kompetensi membuat keputusan adalah
antara .919 hingga .928 manakala bacaan nilai Aplha Cronbach bagi setiap elemen
kompetensi memimpin pembelajaran ialah .918 hingga .922. Bacaan nilai Alpha Cronbach
bagi setiap elemen menyelesai masalah ialah .918 hingga .924. Chua, (2012) menyatakan
pekali Alpha Cronbach .65 hingga .79 adalah memuaskan dan nilai .80 hingga .95 adalah
tinggi dan memuaskan. Dapatan kajian rintis menunjukkan secara keseluruhannya elemen-
elemen dalam instrumen kajian ini sesuai dan boleh digunakan untuk tujuan kajian.
Soal selidik mengandungi dua bahagian iaitu Bahagian A mengenai maklumat demografi
responden dan Bahagian B merupakan soalan-soalan yang berkaitan dengan domain
menerajui perubahan melibatkan kompetensi membuat keputusan, kompetensi memimpin
perubahan dan kompetensi menyelesai masalah. Setiap kompetensi tersebut mengandungi
lima elemen soalan. Skala Likert yang digunakan dalam soal selidik kajian ini ditunjukkan
seperti Jadual 1.1.
Simbol Jadual 1.1 : Skor mengikut Skala Likert Skor
STS Penyataan 1
TS 2
KS Sangat Tidak Setuju 3
S Tidak Setuju 4
SS Kurang Setuju 5
Setuju
Sangat Setuju
Korelasi Spearman Rho digunakan untuk menganalisis data hubungan antara lokasi sekolah
dengan kepimpinan menerajui perubahan. Data diinterpretasikan berdasarkan skala
pentafsiran Alias, (1997) seperti Jadual 1.2 di bawah. Dapatan analisis dipaparkan dalam
bentuk jadual untuk menunjukkan hubungan lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan melibatkan kompetensi membuat keputusan, memimpin perubahan dan
menyelesai masalah. Kekuatan nilai kolerasi ditentukan mengikut Jadual 1.2.
Jadual 1.2 : Skala tafsiran nilai pekali korelasi
Nilai Pekali Korelasi (r) Kekuatan Hubungan
0.00 – 0.20 Sangat Lemah
0.21– 0.40 Lemah
0.41 – 0.70 Sederhana
0.71 – 0.90
0.91 – 1.00 Kuat
Sangat Kuat
Sumber: Alias Baba (1997)
DAPATAN KAJIAN
Bahagian ini membincangkan aspek yang berikut.
Demografi responden
Demografi responden dari aspek jantina, jenis sekolah dan lokasi sekolah ditunjukkan
seperti Jadual 1.3.
Jadual 1.3 : Demografi responden mengikut jantina, jenis sekolah dan lokasi sekolah
Demografi Kekerapan Peratusan
Jantina 82 50.9%
Lelaki 79 49.1%
Perempuan
Jenis Sekolah
SK 139 86.3%
SJKC 17 10.6%
SMK 5 3.1%
Lokasi Sekolah 38 23.6%
Bandar 94 58.4%
Luar Bandar 29 18.0%
Pedalaman
Jadual 1.3 menunjukkan demografi responden dalam bentuk kekerapan dan peratusan
mengikut jantina, jenis sekolah dan lokasi sekolah. Berdasarkan paparan jadual di atas,
kekerapan dan peratusan responden yang terlibat dalam kajian ini adalah 82 orang lelaki
(50.9%) dan 79 orang perempuan (49.1%). Kekerapan dan peratusan responden dari segi
jenis sekolah pula menunjukkan Sekolah Kebangsaan (SK) terdiri daripada 139 orang
(86.3%), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) seramai 17 orang (10.6%) dan Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) melibatkan 5 orang (3.1%). Dari segi lokasi sekolah,
kekerapan dan peratusan responden dapat dilihat lokasi sekolah Bandar melibatkan 38
orang (23.6%), lokasi sekolah Luar Bandar seramai 94 orang (58.4%) dan lokasi sekolah
Pedalaman adalah 29 orang (18.0%).
Persoalan Kajian 1: Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan?
H0 1 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan.
Jadual 1.4 : Hubungan lokasi sekolah dengan kompetensi membuat keputusan
Kompetensi
Lokasi Membuat Keputusan
Spearman's rho Lokasi Correlation Coefficient 1.000 .013
Sig. (2-tailed) . .871
N 161 161
Kompetensi Membuat Correlation Coefficient .013 1.000
Keputusan Sig. (2-tailed) .871 .
N 161 161
**Signifikan pada aras keertian P<0.05 (2-tailed)
Dapatan daripada soal selidik digunakan untuk menjawab persoalan pertama kajian ini iaitu
terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan terhadap pendidikan STEM di Sabah.
Berdasarkan Jadual 1.4, ujian kolerasi Spearman’s rho menunjukkan nilai r=0.013, p=0.871.
Ini menunjukkan bahawa hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui
perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan mempunyai kekuatan hubungan yang
sangat lemah. Nilai p=0.871 adalah lebih besar dari aras keertian p<0.05, maka hipotesis
nul diterima. Hal ini bermakna tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah
dengan kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi membuat keputusan
terhadap pendidikan STEM di Sabah. Dapatan ini menggambarkan bahawa lokasi sekolah
tidak mempunyai hubungkait dengan kepimpinan menerajui perubahan kompetensi
membuat keputusan untuk melaksanakan pendidikan STEM.
Persoalan Kajian 2: Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi memimpin perubahan?
H0 2 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi memimpin perubahan.
Jadual 1.5 : Hubungan lokasi sekolah dengan kompetensi memimpin perubahan
Kompetensi
Lokasi Memimpin Perubahan
Spearman's rho Lokasi Correlation Coefficient 1.000 .034
Sig. (2-tailed) . .672
N 161 161
Kompetensi Memimpin Correlation Coefficient .034 1.000
Perubahan Sig. (2-tailed) .672 .
N 161 161
**Signifikan pada aras keertian P<0.05 (2-tailed)
Jadual 1.5 menunjukkan ujian kolerasi Spearman’s rho, nilai r=0.034, p=0.672. Dapatan ini
mendedahkan hubungan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan
dari segi kompetensi memimpin perubahan adalah sangat lemah. Nilai p=0.672 adalah lebih
besar dari aras keertian p<0.05, maka hipotesis nul diterima. Hal ini bermakna tidak terdapat
hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan
kompetensi memimpin perubahan terhadap pendidikan STEM di Sabah. Dapatan ini
membuktikan lokasi sekolah tidak mempunyai hubungkait dengan kepimpinan menerajui
perubahan bagi kompetensi memimpin perubahan untuk melaksanakan pendidikan STEM.
Persoalan Kajian 3: Adakah terdapat hubungan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah?
H0 3 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah.
Jadual 1.6 : Hubungan lokasi sekolah dengan kompetensi menyelesai masalah
Lokasi Kompetensi
Menyelesai Masalah
Spearman's rho Lokasi Correlation Coefficient 1.000 .062
Sig. (2-tailed) . .433
N 161 161
Kompetensi Menyelesai Correlation Coefficient .062 1.000
Masalah Sig. (2-tailed) .433 .
N 161 161
**Signifikan pada aras keertian P<0.05 (2-tailed)
Jadual 1.6 memperlihatkan ujian kolerasi Spearman’s rho, nilai r=0.062, p=0.433. Dapatan
ini menunjukkan lokasi sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan dari segi
kompetensi menyelesai masalah mempunyai kekuatan hubungan yang sangat lemah. Nilai
p=0.433 adalah lebih besar dari aras keertian p<0.05, maka hipotesis nul diterima. Hal ini
bermakna tidak terdapat hubungan yang signifikan antara lokasi sekolah dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah terhadap
pendidikan STEM di Sabah. Justeru itu, lokasi sekolah tidak mempunyai hubungan dengan
kepimpinan menerajui perubahan dari segi kompetensi menyelesai masalah untuk
melaksanakan pendidikan STEM di sekolah.
PERBINCANGAN
Demografi responden dalam kajian ini adalah melibatkan jantina, jenis sekolah dan lokasi
sekolah. Hasil dapatan kajian mempamerkan tiada hubungan yang signifikan antara lokasi
sekolah dengan kepimpinan menerajui perubahan kerana semua kompetensi dalam
kepimpinan menerajui perubahan iaitu kompetensi membuat keputusan, kompetensi
memimpin perubahan dan kompetensi menyelesai masalah mempunyai kekuatan hubungan
yang sangat lemah dengan lokasi sekolah. Ini membuktikan bahawa pemimpin sekolah yang
telah menerima latihan kepimpinan melalui kursus NPQEL versi 2018 mampu menerajui
perubahan walaupun di mana sahaja mereka ditempatkan untuk berkhidmat. Situasi ini
selari dengan kajian oleh Sarirama, Roslee & Norizah (2019); Suhaili & Chua (2019); dan
Cammellia & Halim (2020) yang melibatkan kajian kepimpinan di sesebuah lokasi sama ada
luar bandar, zon dan negeri.
Lanjutan daripada itu, pemimpin di kawasan bandar dan luar bandar dapat menyesuaikan
bentuk atau corak mengimplementasikan pengajaran STEM berfokus kepada situasi dan
kondisi yang berbeza. Hal sedemikian penting bagi tujuan melonjakkan akses serta ekuiti
pelajar terutamanya di luar bandar berkaitan pendidikan. Kecekapan seseorang pemimpin
berkait rapat dengan peningkatan kompetensi. Dapatan ini adalah sejajar dengan kajian
oleh Euis & Hersugondo (2008) yang menjelaskan bahawa sebagai individu yang
bertanggungjawab secara langsung dalam mengurus perubahan pendidikan menjadi
tanggungjawab pemimpin untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan
kepakaran bagi menangani pelbagai cabaran masa kini. Dalam erti kata lain, bagi tujuan
merealisasikan visi dan misi KPM, meningkatkan kemahiran bagi melahirkan sumber tenaga
mahir yang berdaya cipta dan mampu mendepani cabaran global yang lebih kompleks boleh
dilakukan menerusi peningkatan kepakaran (KPM, 2016). Keupayaan memimpin seseorang
pemimpin pendidikan menjadi kayu ukur kepada faktor penyumbang penambahbaikan
sekolah. Dapatan ini adalah selari dengan kajian oleh Muhammed Sani & Mohd Izham
(2012) bahawa penambahbaikan sekolah adalah memastikan keadaan sekolah yang kurang
baik kepada situasi yang lebih baik agar memberi kesan yang bermakna kepada prestasi
sekolah dan murid sama ada sekolah bandar, sekolah luar bandar mahupun sekolah
pedalaman. Sehubungan dengan itu, pemimpin perlu mengimplementasikan ilmu dan
kepakaran secara optima bagi mencipta kecemerlangan di dalam organisasi masing-masing
bagi memastikan perancangan dan tindakan dapat dilaksanakan mengikut proses yang
tepat dan berkesan. Dapatan ini sekaligus dapat merealisasikan matlamat KPM dalam
usaha melahirkan kemenjadian murid yang berwibawa serta mampu bersaing secara global
khasnya menyediakan pelajar ke arah pengurusan kerjaya yang produktif dan kompetetif.
Seterusnya, pemimpin yang hebat seharusnya memiliki kredibiliti yang tinggi sebagai
mediator untuk menyalurkan motivasi dan menjadi sumber inspirasi kepada warga
organisasi. Justeru itu, pemimpin perlu memiliki kemahiran mengurus perubahan dan
mendapatkan kerjasama bagi menyokong hasrat perubahan yang menjadi matlamat
organisasi (Fullan, 2006).
KESIMPULAN
Hasil kajian ini memberi gambaran yang jelas bahawa kepimpinan menerajui perubahan
terhadap pendidikan STEM bukan ditentukan oleh lokasi sekolah. Walau bagaimanapun,
kepimpinan menerajui perubahan yang menekankan kompetensi membuat keputusan,
kompetensi memimpin perubahan dan kompetensi menyelesai masalah amat penting bagi
merealisasikan pelaksanaan pendidikan STEM yang lebih berkualiti. Dapatan kajian ini turut
meyakinkan pemimpin sekolah yang komited dan prihatin untuk memperkasakan pendidikan
STEM sehingga ke peringkat global. Impak daripada kajian ini pemimpin sekolah berupaya
membawa mesej yang jelas kepada pihak pengurusan kurikulum dan pendidikan teknikal
berhubung dengan peranan pemimpin untuk menggalas pendidikan STEM ke sekolah-
sekolah di negeri Sabah. Natijahnya, kepimpinan yang berkonsepkan kompetensi
merangkumi gabungan sikap dan nilai kendiri, pengetahuan dan kemahiran menjadi
panduan kepada pemimpin untuk mencapai hala tuju dan matlmat organisasi.
RUJUKAN
Alias Baba. (1997). Statistik Penyelidikan dalam Pendidikan Sains Sosial. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ab Aziz Yusof. (2008). Mengurus Perubahan dalam Organisasi. Shah Alam: Selangor Arah
Pendidikan Sdn. Bhd.
Amin Senin, Ramli Yusoff, Sazali Yusoff, Abd Razak Manaf, Rosnarizah Abd Halim &
Rusmini Ku Ahmad. (2008). Kajian Kompetensi Berimpak Tinggi bagi Pemimpin
Sekolah. Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Alexis, V. K., Charles, H., & Kathleen, Q. F. (2018). Finding the Leaders: An Examination of
Social Network Analysis and Leadership Identification in STEM Education Change.
International Journal of STEM Education, 5(1).
Awg Junaidi@Awang Razali bin Awg Karim. (2000). Gaya Kepimpinan dan Gaya
Penyelesaian Masalah di kalangan Pentadbir Sekolah Menengah di Daerah Kuching,
Sarawak. Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Malaysia
Sarawak.
Azlin Norhaini Mansor. (2006). Amalan Bidang Pengetua: Satu Kajian Kes. Tesis.
Jabatan Asas Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan. (2019). Jumlah Pelajar
Mengambil Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin Merosot.
Kementerian Pendidikan Malaysia. Edisi Mac-April, Bilangan 2.
Blake, J. A., & Champion, D. J. (1976). Method and Issues in Social Research. New York:
John Willey and Sons.
Bunyamin, M.A.H. (2017). Membangunkan Pendekatan Bersepadu Pendidikan STEM di
Malaysia. Dimuat turun pada 15 Ogos 2020 daripada
https://www.researchgate.net/publication/319852084
Bush, T. (2007). Educational Leadership and Management: Theory, Policy, and Practice.
South African Journal of Education, 27(3), 391-406.
Cammellia Othman & 2Abdul Halim Busari. (2020). Hubungan Antara Kepimpinan
Instruksional Guru Besar Dengan Komitmen Guru Di Sekolah Luar Bandar, Malaysia.
Proceedings For the 5th International Conference On Education, Islamic Studies and
Social Sciences Research, Ho Chi Minh City, Vietnam.
Chua Y.P. (2012). Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Asas Statistik Penyelidikan. Buku 2.
Edisi Kedua: McGraw-Hill Education (Malaysia) Sdn. Bhd. Shah Alam, Selangor.
Creswell, J. W. (2014). Research Design: Qualitative, Quantitative and Mixed Methods
Approaches. (4th Eds.). Thousand Oaks: Sage Publication Inc.
Dolbasar Kasan, Shahril @ Charil Hj Marzuki & Jamal @ Nordin Yunus. (2013).
Pelaksanaan Perancangan Strategik Dan Faktor Penyumbang Terhadap Keberkesanan
Sekolah di Sekolah kurang Berkesan di Malaysia. Management Research Journal.
Fullan, M. (2006). Change Theory as a Force for School Improvement. Center for Strategic
Education. Australia. https://doi.org. ISBN: 1 920963 35 9.
Eddy, P.L. 2013. Developing leaders: The role of Competencies in Rural Community
Colleges. Community College Review, 41(1), 20-43.
Euis Soliha & Hersugondo. (2008). Kepemimpinan Efektif dan Perubahan Organisasi. Fokus
Ekonomi, 7(2), 83-93.
Hatisaru, V., Beswick, K., & Fraser, S. (2019). STEM Learning Environments: Perceptions of
STEM Education Researchers. Prosiding of the 42nd Annual Conferences of the
Mathematics Education Research Group of Australasia, 340-347.
Institut Aminuddin Baki. (2016). Mengurus Perubahan dan Inovasi: Program Kelayakan
Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Institut Aminuddin Baki. (2018). Panduan Pelaksanaan Program Kelayakan Profesional
Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Bandar Enstek: Institut Aminuddin Baki
Kementerian Pendidikan Malaysia. ISBN: 978-967-0504-64-3
Izani Ibrahim & Yahya Don. (2014). Kepimpinan Servant dan Pengaruhnya Terhadap
Pengurusan Perubahan di Sekolah. Jurnal Pendidikan Malaysia, (1), 19-26.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2013). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025. Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Panduan Pelaksanaan: Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dam Matematik (STEM) dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Bahagian
Pembangunan Kurikulum Pendidikan. ISBN: 976-967-420- 093-0.
Krejcie, R. V., & Morgan, D. W. (1970). Determining Sample Size for Research. Educational
and Psychological Measurements, 30, 607-610.
Mahizer Hamzah, Yusup Hashim, Ismail Abdul Raoh. (2008). Kajian Tahap Kompetensi
Pengetua/Guru Besar Sekolah Terhadap Pengurusan Teknologi Instruksional di
Sekolah. 2nd International Malaysian Educational Technology Convention. Universiti
Pendidikan Sultan Idris.
Md. Mokter Hossain & Michael, G.R. (2012). How to Motivate US Students to Pursue STEM:
Sceince, Technology, Engineering and Mathematics Cares. US-China Education
Review, 4, 442-451.
Mohtar Abas. (2005). Pembangunan Kepimpinan dalam Organisasi. Jurnal Pengurusan
Awam, Jil. 4, Bilangan 1.
Muhammed Sani Ibrahim & Mohd Izham Mohd Hamzah. (2012). Pengurusan Perubahan
Makro dalam Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nur Amelia Adam & Lilia Halim. (2019). Cabaran Pengintegrasian Pendidikan STEM dalam
Kurikulum. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Pekeliling Perkhidmatan Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2014.
Kementerian Pendidikan Malaysia, KP(PP)0137/43 Jilid 10(2).
Raamani Thannimalai & Arumugam Raman. (2018). The Influence of Principles’ Technology
Leadership and Professional Development on Teachers’ Technology Integration in
Secondary Schools. Malaysian Journal of Learning and Instruction, 15(1), 203-228.
Rothwell, W.J. (2010). Effective Succession Planning: Ensuring Leadership Continuity and
Building Talent from Within. Edisi ke-4. New York: American Management Association.
Sarirama Ebbie, Roslee Bin Talip & Dayang Norizah Ag Kiflee@Dzulkifli. (2019).
Kepimpinan Pengajaran Guru Besar, Kompetensi Profesionalisme Guru, Kompetensi
Peribadi Guru dan Hubungannya dengan Efikasi Pengajaran Guru Selokah Rendah di
Zon Pedalaman Sabah. Southeast Asia Psychology. 7(2) : 16-28.
Suhaili Bin Jaya & Chua Yan Piaw. (2019). Tahap Kompetensi dan Hubungan Bimbingan
Rakan Peningkatan Sekolah Terhadap Kompetensi Kepimpinan Pemimpin Sekolah di
Negeri Sarawak. Jurnal Kepimpinan Pendidikan, 6(2).
Tang Wee Teo. (2018). STEM Education Landscape: The Case of Singapore. International
Annual Meeting on STEM Education. Journal of Physics.
Zakaria Kasa, Amir Hasan Dawi, Azhar Hj Wahid, Mohd Sani Madon, Mohd Noor Idris,
Shaharudin Ali. (2010). Isu Pendidikan Luar Bandar di Perak. Universiti Pendidikan
Sultan Idris, Perak.
Zalika Adam, Faridah Kassim & Mohamad Johdi Salleh. (2009). Memperkasakan
Pendidikan Luar Bandar. Persidangan Kebangsaan Pendidikan Luar Bandar. Kota
Kinabalu, Sabah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2016/08/181352/gelombang-satu-pppm-
2013-2025-capai-sasaran
PENILAIAN TRANSAKSI KURIKULUM DALAM PENDIDIKAN ABAD KE-21
Sainah Limbasan
Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah
[email protected]
ABSTRAK
Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kurikulum pendidikan abad ke-21 bertujuan
untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan. Kejayaan transaksi
kurikulum dalam pendidikan memerlukan penilaian berterusan dan amalan teknik penyampaian
yang autentik digunakan dalam aktiviti Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Kajian ini
dijalankan untuk menilai pelaksanaan transaksi kurikulum yang diperhatikan semasa PdPc bagi
mata pelajaran Pendidikan Moral. Model Penilaian Stake (1967) dijadikan panduan penilaian
transaksi yang diperhatikan. Pendekatan secara kualitatif digunakan untuk memperoleh data.
Lapan orang guru sebagai informan yang mengajar mata pelajaran PM ditemu bual untuk
memperoleh data. Perisian ATLAS.ti versi 7.5.12 digunakan untuk analisis data. Dapatan kajian
menunjukkan transaksi PdPc guru dalam kurikulum pendidikan PM telah meningkatkan kualiti
PdPc dan berjaya mewujudkan pengajaran yang lebih berfokus berdasarkan lima elemen iaitu
kaedah, strategi, pendekatan, pemupukan kemahiran dan penggunaan bahan bantu mengajar.
Kajian ini memberi bermanfaat kepada seluruh warga pendidik dan pemimpin sekolah ke arah
mencapai kecemerlangan kualiti guru yang berterusan dan kemenjadian murid dalam pelbagai
bidang.
Kata kunci : Penilaian, kurikulum, transaksi, model stake
PENGENALAN
Kurikulum persekolahan kebangsaan mendukung hasrat mulia negara bagi menyediakan
pendidikan bertaraf dunia khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0. Bagi
merealisasikan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kurikulum pendidikan
yang menekankan kepada nilai murni sejagat diberi nafas baharu bertujuan untuk
menyedarkan murid akan peranan dan tanggungjawab sebagai warganegara maju dan
masyarakat berilmu. Lanjutan daripada itu, kurikulum pendidikan yang dikaitkan dengan
nilai murni ialah kurikulum Pendidikan Moral (PM). Menurut Vishalache, (2012) adalah
sangat mustahak untuk meletakkan PM dalam paradigma yang lebih luas ke arah
memantapkan penghayatan nilai murni sejajar dengan anjakan transformasi sistem
pendidikan. Tambahan lagi, Robiah (2011) menyatakan sangat penting kurikulum PM
dititikberatkan sebagai sebahagian daripada kandungan kurikulum sekolah yang patut
diterima sejagat ke arah pembentukan akhlak dan sahsiah murid. Begitu juga dengan
Chang (2010) menjelaskan PM merupakan mata pelajaran teras yang memfokuskan
proses yang mengubah corak perlakuan seseorang murid melibatkan naluri perasan,
pemikiran, tindakan dan sebahagian daripada polisi pendidikan yang menekankan
moraliti dan keharmonian sejagat. Barone (2004) menerangkan PM adalah mata
pelajaran wajib bagi murid bukan beragama Islam yang diorganisasikan secara
komprehensif dan bersepadu untuk meningkatkan amalan, penghayatan dan penerapan
nilai murni dalam jiwa murid. Selanjutnya, kurikulum mata pelajaran PM yang
disampaikan melalui Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah
memfokuskan nilai-nilai murni yang dikaitkan dengan perkembangan kecerdasan akal
fikiran dan kematangan emosi. Chang (2010) dan Abd. Rahim (2001) menjelaskan PM
amat penting untuk membina satu masyarakat yang disegani, meningkatkan
perkembangan modal insan secara berterusan, mewujudkan masyarakat bermoral dan
hidup harmoni bagi mengukuhkan idealisme pendidikan, sosial dan moral.
Penilaian elemen transaksi sangat mustahak khususnya dalam aspek
pelaksanaan kurikulum PM. Kajian lepas mendedahkan, kurikulum PM yang dilaksanakan
kurang berjaya kerana amalan dan gaya pembelajaran dalam PdPc hanya berpusatkan
guru (Vishalache, 2012). Hal ini menyebabkan keberkesanan aplikasi nilai moral
mengehadkan perkembangan intelektual murid. Masyarah et al. (2011) menyatakan
murid perlu didedahkan dengan nilai moral sejak di sekolah rendah. Namun, masih ramai
dalam kalangan guru-guru yang mengajar mata pelajaran PM mempunyai pelbagai latar
belakang, pengkhususan dan pengalaman yang berbeza. Hal ini turut mempengaruhi
pelaksanaan transaksi kurikulum pendidikan PM terutama dalam abad ke-21. Nilai
sepatutnya dipupuk, dihayati dan diamalkan bagi menjamin kehidupan sosial dan moral
yang berkualiti. Justeru itu, elemen kaedah, strategi, pendekatan, pemupukan kemahiran
dan Bahan Bantu Mengajar (BBM) diperlukan warga pendidik untuk diaplikasikan dalam
PdPc untuk mewujudkan suasana PdPc yang menyeronokkan dan bersesuaian dengan
tahap dan kemampuan pelajar. Kajian oleh Rohizani et al. (2007) menjelaskan guru tidak
sepatutnya terikat dengan hanya satu kaedah sahaja semasa proses PdPc tetapi
menyesuaikan dengan kehendak, keperluan dan kesediaan murid. Begitu juga elemen
strategi pengajaran memerlukan guru melihat pelbagai sudut pembelajaran murid
termasuk pemilihan bahan, masa dan kebijaksanaan memilih pendekatan, kaedah dan
teknik berdasarkan objektif pengajaran (Weissbourd et al., 2013). Pelaksanaan transaksi
kurikulum amat bergantung kepada strategi pengajaran di dalam bilik darjah. Justeru itu,
guru perlu merancang dan meluaskan lagi penggunaan strategi pengajaran agar segala
aktiviti pembelajaran murid menjadi lebih bermakna dan berkesan.
Dalam usaha menyediakan minda murid yang berdaya saing dan inovatif,
pendekatan pengajaran juga merupakan elemen penting dalam PdPc. Menurut Chang
(2001), pelbagai pendekatan dalam PM yang digunakan sebagai alternatif semasa
pelaksanaan PdPc. Antaranya, pendekatan penyayang, pemupukan nilai dan koperatif
yang menekankan dimensi pemikiran, perasaan dan perlakuan moral. Seterusnya,
pemupukan kemahiran menerusi PM juga adalah elemen yang digunakan guru semasa
melaksanakan transaksi kurikulum PM di dalam bilik darjah. Hal sedemikian penting
kerana guru merupakan pendorong kepada motivasi murid agar memiliki kemahiran dari
segi kemahiran menyelesaikan konflik, berfikir secara kritis dan kreatif, sosial dan
kemahiran mengkaji masa depan bagi membolehkan murid menghadapi dunia ledakan
maklumat dan alaf baru dengan penuh keyakinan (KPM, 2000). Dalam masa yang sama,
kepelbagaian BBM dan cara penggunaan BBM yang bersesuaian dapat membantu guru
mencapai hasil pembelajaran. Rohizani et al. (2007) menyatakan guru adalah sebagai
pemangkin kecemerlangan sekolah seharusnya bijak menentukan dan memaksimumkan
penggunaan sumber dan alat agar PdPc guru lebih bermakna dan efektif.
Komponen transaksi merupakan hubungan yang luas mengenai pelaksanaan
kurikulum melibatkan aktiviti dan interaksi yang berlaku semasa transaksi PdPc antara
guru dengan murid, murid dengan murid, persekitaran, sumber pengajaran dan bahan-
bahan mengajar. Menurut Rogan dan Grayson (2003), komponen transaksi merujuk
kepada kurikulum yang dicadangkan sesuai diletakkan sebagai amalan. Bagi
menghasilkan transformasi kurikulum sehingga menjadi amalan maka adalah wajar bagi
semua guru mempunyai kefahaman mendalam mengenai kandungan kurikulum yang
hendak disampaikan, menterjemahkan kurikulum sehingga menjadi amalan yang
berterusan dan mewujudkan pengajaran yang lebih konkrit (Weimer, 2002). Dalam kajian
ini, pengkaji mengaplikasikan Model Penilaian Stake (1967) yang dipelopori oleh Robert
E. Stake. Menurut Stake (1967), model penilaian adalah berkait rapat antara yang
dicadangkan dan yang dilakukan oleh pendidik dengan situasi sebenar. Komponen
transaksi ditafsirkan sebagai proses realiti sebenar dalam aktiviti PdPc di dalam bilik
darjah. Lantaran itu, pengkaji berhasrat menjalankan kajian penilaian kurikulum PM yang
berfokus kepada penyiasatan komponen transaksi yang diperhatikan berpandukan Model
Penilaian Stake (1967). Objektif kajian ini adalah mengenal pasti transaksi yang
diperhatikan dalam pengajaran dan pembelajaran PM di dalam bilik darjah.
METODOLOGI
Kajian ini dijalankan di sekolah menengah daerah Kota Kinabalu dan Tuaran, negeri
Sabah. Pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif untuk meninjau pelaksanaan
transaksi yang diperhatikan semasa PdPc dijalankan. Seramai lapan orang dalam
kalangan guru berpengalaman dan mempunyai pengetahuan kurikulum PM ditemu bual
untuk mendapatkan data-data berkaitan dengan transaksi pelaksanaan kurikulum PM.
Data temu bual ditranskripsikan sepenuhnya dan menggunakan perisian ATLAS.ti versi
7.5.12 untuk menganalisis data kualitatif.
DAPATAN
Dapatan kajian menunjukkan bahawa transaksi pelaksanaan PdPc di dalam bilik darjah
melibatkan lima elemen utama iaitu kaedah, strategi, pendekatan, pemupukan kemahiran
dan Bahan Bantu Mengajar (BBM). Elemen-elemen ini saling berkait rapat antara satu
sama lain untuk mewujudkan PdPc guru yang berkualiti dan berkesan.
Kaedah
Kaedah pengajaran yang paling popular digunakan semasa transaksi PdPc PM ialah
kaedah berkumpulan, perbincangan, bercerita dan main peranan. Informan 2
berpendapat bahawa kaedah berkumpulan ini membolehkan murid berkongsi maklumat
supaya murid lebih mendapat input dan membantu murid lebih memahami topik yang
diajar.
“…salah satu pelajar itu berkongsi maklumat dalam kumpulan mereka sendiri la…
saya agihkan lagi dalam kumpulan yang lebih kecil supaya pelajar lebih mendapat
input dan membantu pelajar lebih memahami…”
(Informan 2)
Bahkan, informan berpendapat kaedah berkumpulan ini berkesan kepada pembelajaran
murid. Hal ini disebabkan murid dapat memberi input, menyumbang pendapat dan
menjana lebih banyak idea. Informan 1 menekankan murid dapat mengeluarkan
pendapat dan menyelesaikan masalah melalui kumpulan. Bahkan, Informan 3
menjelaskan aktiviti kerja berkumpulan boleh menjana banyak idea manakala Infroman 8
menegaskan murid boleh menyumbangkan idea dan mendorong rakan-rakan lain agar
lebih banyak bertanya soalan dalam kumpulan.
“…pelajar itu berbincang dalam kumpulan… dan pelajar itu memberi…
mengeluarkan pendapat masing-masing la… atau contohnya menyelesaikan
masalah dalam kumpulan…”
(Informan 1)
“…aktiviti kerja berkumpulan… boleh menjana banyak idea…” (Informan 3)
“…aktiviti berkumpulan… saya boleh perhatikan pelajar boleh menyumbangkan
idea… berbincang bersama rakan-rakan untuk menyelesaikan masalah… dan
diorang ini lebih berani bertanya soalan kalau dalam kumpulan berbanding tanya
dengan saya… jadi aktiviti ini sudah menyumbang kepada pembelajaran sebenar
la…”
(Informan 8)
Seterusnya, kaedah perbincangan kerap kali digunakan dalam kalangan informan.
Informan 2 dan Informan 5 berpendapat aktiviti perbincangan berupaya menarik perhatian
dan memupuk kerjasama dalam kalangan murid. Selain itu, Informan 8 menjelaskan
perbincangan yang melibatkan perbualan di antara murid dengan murid di dalam kelas
boleh mencetus percambahan idea dan meningkatkan keyakinan murid malahan murid
lebih berani memberikan pendapat secara aktif.
“…perbincangan berkumpulan itu memang mereka akan bekerjasama la… boleh
lihat di situ… nampak aktif ba… rata-rata semua pelajar itu bercakap la…”
(Informan 2)
“…saya buat perbincangan… dan tengok tajuk la… bila ada isu yang menarik
diorang akan bekerjasama la dalam kumpulan…”
(Informan 5)
“…aktiviti ini lebih kepada perbincangan ataupun aktiviti emm… yang memerlukan
pelajar untuk menyelesaikan satu isu ahh… aktiviti ini juga melibatkan perbualan di
antara guru dan pelajar di dalam kelas… masing-masing pelajar itu ada
percambahan idea… emm… melalui aktiviti ini guru boleh berperanan sebagai
fasilitator saja… perbincangan berkumpulan dapat mewujudkan keyakinan pelajar
dan diorang lebih berani menyatakan pendapat…”
(Informan 8)
Kaedah bercerita merupakan kaedah yang paling digemari dalam kalangan informan
untuk menyampaikan transaksi PdPc kerana murid lebih suka mendengar guru bercerita.
Informan 1 mengakui kaedah bercerita merupakan daya tarikan untuk menarik perhatian
murid menerapkan nilai-nilai moral. Informan 2, Informan 4 dan Informan 6 menjelaskan
aktiviti bercerita dalam PdPc dapat dikaitkan dengan realiti sebenar dan pengalaman guru.
“…bercerita ini ada satu tarikan yang kuat untuk pelajar… pelajar itu ada kesediaan
untuk mendengar… dan apabila pelajar mendengar… boleh diterapkan itu nilai-nilai
moral dalam diri pelajar…”
(Informan 1)
“…aktiviti bercerita… bercerita tentang emm… kaitkan dengan isu… biasanya
pelajar suka dengar guru bercerita… dan bila saya cerita dan kaitkan dengan realiti
kan…”
(Informan 2)
“…aktiviti bercerita… saya perhatikan pelajar lebih suka dengar guru bercerita…
saya kaitkan… ahh… kadang-kadang melalui pengalaman saya la…”
(Informan 4)]
“…saya menyampaikan cerita sebab pelajar lebih suka dengar cerita…”
(Informan 6)
Kaedah main peranan ini selalunya dilaksanakan mengikut kesesuaian topik dan
memang satu proses yang baik kerana murid berpeluang menggabungjalinkan pelbagai
kemahiran yang dipelajari. Kebanyakan Informan mengaplikasikan kaedah main peranan
melalui aktiviti lakonan semasa PdPc mengikut kesesuaian topik. Informan 1
menerangkan kaedah main peranan dilakukan mengikut topik dan situasi pembelajaran.
Begitu juga dengan Informan 2 menyatakan kaedah main peranan dilakukan secara
bekerjasama dalam kumpulan dan seorang ketua dilantik yang boleh memimpin ahli
kumpulan melaksanakan aktiviti. Informan 4 dan Informan 8 mengakui kaedah ini
diaplikasikan melalui aktiviti berlakon dan murid sendiri berpeluang merasai situasi
sebenar. Kaedah ini juga dapat menggalakkan peluang murid memberi pendapat,
menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
“… memang mengikut topik la… kalau ada topik-topik yang sesuai aktiviti itu
dijalankan… emm… pelajar akan laksanakan aktiviti berlakon… melakonkan
sesuatu situasi…”
(Informan 1)
“…main peranan… jadi guru kena pandai bagi kumpulan la… jangan dalam satu
kumpulan tu semua pelajar yang pandai-pandai… ahh… agih-agihkan pelajar itu
supaya dalam kumpulan itu ada seorang ketua yang boleh lead… kalau begitu ok
la… mereka semua akan bekerjasama untuk buat aktiviti… guru juga amalkan
aktiviti tunjuk cara atau demonstrasi… macam lakonan… macam kalau pelajar
sudah dibagi tugas… mereka tidak akan menolak… mereka buat saja… pelajar ini
mudah di arah oleh guru semasa melakukan aktiviti lakonan dalam PdP…”
(Informan 2)
“…main peranan… berlakon… emm… contoh skrip lakonan dikaitkan dengan kasih
sayang… anak didapati tidak menuruti nasihat… tidak pergi ke sekolah… jadi
bagaimana cara ibu bapa menyelesaikan… berbincang dengan anak… jadi
lakonkan la…”
(Informan 4)
“…aktiviti main peranan… contoh berlakon… pelajar menjalankan aktiviti berlakon
dan berpeluang mengalami sendiri situasi dan masalah… jadi di akhir lakonan itu…
pelajar yang lain digalakkan memberi pendapat… cadangan… membuat keputusan
dan menyelesaikan masalah berdasarkan peranan yang ditunjukkan…”
(Informan 8)
Selain itu, kaedah main peranan juga dapat menarik perhatian dan mewujudkan suasana
pembelajaran yang menyeronokkan. Dalam masa yang sama kaedah main peranan
membolehkan murid memahami topik yang diajar dengan mudah sebagaimana yang
dinyatakan Informan 4, Informan 7 dan Informan 8.
“…main peranan… berlakon… emm… contoh skrip lakonan dikaitkan dengan kasih
sayang… anak didapati tidak menuruti nasihat… tidak pergi ke sekolah… jadi
bagaimana cara ibu bapa menyelesaikan… berbincang dengan anak… jadi
lakonkan la…”
(Informan 4)
“…buat lakonan kecil la… itu lebih jelas… buat sesi lakonan dalam kumpulan… itu
aktiviti yang selalu saya buat… dan pelajar-pelajar rasa seronok…”
(Informan 7)
“…pelajar main peranan… kemudian saya lihat pelajar berasa seronok… mudah
faham… lebih menarik perhatian pelajar la…”
(Informan 8)
Strategi
Berdasarkan temu bual, tiga strategi utama yang digunakan guru semasa PdPc ialah
berpusatkan guru, bxerpusatkan murid dan berasaskan sumber dan bahan. Informan 2
menyatakan strategi berpusatkan guru memang selalu digunakan dalam PdPc iaitu
disampaikan dalam bentuk cerita dan dikaitkan dengan pengalaman guru supaya murid
lebih faham. Informan 5 menjelaskan strategi ini lebih berfokus untuk memberi
penerangan lanjut mengenai isi kandungan dalam buku teks.
“…pemusatan guru la… interaksi sehala… emm… contoh macam guru mengajar
seperti biasa di depan… mengajar… bagi bahan-bahan… ahh… dengan strategi ini
saya banyak dedahkan pelajar kepada teknik hafalan… selalunya saya gunakan
strategi ini dalam PdP saya la… apabila ada certain topik yang memerlukan guru
mengaitkan pengalaman dengan penceritaan…”
(Infroman 2)
“ahh… saya beri penerangan la… apa yang terkandung dalam buku teks itu… lepas
itu… emm… beberapa soalan dalam buku teks fikir dan jawab itu akan saya bawa
bersoal jawab bersama pelajar la…”
(Infroman 5)
Selain itu, strategi berpusatkan murid memang digunakan informan semasa transaksi
PdPc. Informan 1 dan Informan 7 menjelaskan strategi ini membolehkan murid terlibat
secara aktif dalam setiap sesi pembelajaran kerana murid berpeluang meneroka dan
menyelesaikan masalah sendiri. Melalui kaedah ini, guru hanya bertindak sebagai
fasilitator.
“…berpusatkan kepada pelajar… memang selalu digunakan… kebanyakan PdP itu
memang berpusat kepada pelajar… iaitu interaksi antara guru dan pelajar dan
pelajar dengan pelajar… saya galakkan pelajar supaya melibatkan diri secara aktif
dalam setiap sesi pembelajaran… ahh… jadi melalui strategi ini pelajar lebih
banyak meneroka dan menyelesaikan masalah pembelajaran dengan… ahh…
bantuan guru sebagai fasilitator…”
[(Informan 1)
“…berpusatkan kepada pelajar… sebab diorang ini… pelajar-pelajar yang terdiri
daripada pelajar-pelajar yang matang… jadi tidak perlu la terlampau berkasar
sangat… terlampau berkeras… guru cuma bagi satu arahan… melalui strategi ini…
saya menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi
pembelajaran… contohnya… saya lebih suka kalau pelajar-pelajar ini berfikir lebih
luas…ahh… atau meneroka sesuatu isu tersebut dengan lebih jauh…”
(Informan 7)
Strategi berasaskan sumber dan bahan memberi penekanan kepada penggunaan alat-
alat bantu bagi memudahkan murid mengikuti dan memahami penyampaian pengajaran.
Informan 2 menekankan penggunaan sumber dan bahan seperti wihte board, handout
dan bahan cetakan mengukuhkan lagi kefahaman murid. Selain itu, Informan 4
menjelaskan penggunaan tayangan video melalui PowerPoint membolehkan murid
memperoleh mesej dengan jelas dan Informan 5 menerangkan penggunaan buku teks
memudahkan murid memahami isi pengajaran. Seterusnya, Informan 7 menegaskan
bahan cetakan dan nota membantu meningkatkan kefahaman dan murid boleh berkongsi
maklumat dengan murid yang lain.
“…strategi yang berasaskan sumber dan bahan pula saya guna sebagai strategi
mengajar seperti bahan cetakan… whiteboard… handouts… strategi ini diamalkan
supaya dapat mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap topik yang diajar…”
(Informan 2)
“…strategi yang berasaskan sumber dan bahan itu… ahh… saya biasa guna power
point… sebab pelajar-pelajar ini kadang-kadang tidak suka kalau tiada benda yang
diorang lihat… suka tengok… tapi kadang-kadang ada yang menjadi bahan ketawa
pula kalau tayangan video yang melucukan… tapi dalam masa yang sama…
mereka belajar sesuatu daripada mesej itu…”
(Informan 4)
“…strategi berasaskan sumber dan bahan… biasa saya gunakan bahan untuk
memperkukuhkan… ahh… dan apa yang diorang nampak gambar di dalam buku
teks… memang tidak cukup… jadi saya akan tayangkan video…”
[(Informan 5)
“…saya menggunakan bahan dan sumber sebagai strategi saya semasa PdP…
ada bahan supaya pengajaran saya pada masa itu… ahh… dapat memberi
kefahaman yang jelas kepada pelajar… contohnya bahan cetakan dan nota… atau
buku kerja... ahh… saya berkongsi dengan pelajar…”
(Informan 7)
Pendekatan
Informan menggunakan pendekatan pengajaran untuk mencapai hasil pembelajaran.
Dalam hal ini, pendekatan koperatif, pemupukan nilai dan penyayang diaplikasikan
informan semasa transaksi PdPc PM bagi mengukuhkan perkembangan moral murid.
Informan 1 menyatakan pendekatan koperatif sangat membantu dalam mencapai hasil
PdPc terutama kepada murid yang mempunyai tahap kemampuan berbeza. Informan 7
menekankan melalui pendekatan koperatif perbincangan menjadi lebih bermanfaat dan
berkesan untuk mencapai objektif pengajaran. Informan 8 mengakui hasil PdPc dapat
dicapai melalui pendekatan koperatif kerana murid lebih berani bertanya dan
menyumbang idea.
“…pendekatan koperatif…. pendekatan ini sangat membantu mencapai hasil PdP…
sebab pelajar ini berbeza dari segi kemampuan ba… jadi kalau guna pendekatan
ini… boleh membantu kepada pelajar yang lemah sedikit…”
(Informan 1)
“…pendekatan koperatif… untuk membincangkan isu-isu dengan lebih jelas… dan
yang penting pelajar itu berusaha bersama mencapai objektif… tapi kalau
pendekatan koperatif di dalam kelas… lebih kepada kumpulan kecil la… supaya
perbincangan lebih bermanfaat dan berkesan untuk mencapai objektif…”
(Informan 7)
“…pendekatan koperatif iaitu berkumpulan kecil… ahh… boleh mencapai hasil PdP
sebab pelajar lebih berani bertanya… kemudian menyumbang percambahan idea di
kalangan pelajar…”
(Informan 8)
Informan yang ditemu bual menyatakan pendekatan pemupukan nilai memberi peluang
kepada murid memahami dan menganalisis nilai sebelum menerima dan menghayati nilai.
Semua informan bersetuju pendekatan ini dilakukan dengan cara memberikan contoh
tokoh-tokoh yang berjaya dengan harapan supaya murid dapat mencontohi, meneladani
dan bermotivasi untuk berusaha dengan gigih sehingga berjaya seperti tokoh-tokoh
tersebut.
“…pendekatan pemupukan nilai semasa mengajar… contohnya… saya cuba untuk
memupukkan nilai kepada pelajar itu dengan memberikan contoh tokoh-tokoh yang
sudah berjaya…”
(Informan 1)
“…dari segi pemupukan nilai… misalnya… saya akan memberikan contoh tokoh…
contoh nilai kerajinan… saya akan kaitkan la dengan tokoh yang ahh… telah
mengharumkan nama negara… sehingga tokoh ini mencapai kejayaan…”
[(Informan 2)
“…tunjukkan kejayaan itu dan bagi tahu nilai-nilai yang dipupuk sehingga individu
atau tokoh-tokoh tersebut berjaya… latar belakang… dan perancangan dibuat
sebelum mengacapi kejayaan itu… pupuk nilai yang diterapkan oleh individu atau
tokoh-tokoh yang berjaya itu kepada pelajar…”
(Informan 3)
“…saya pupuk nilai-nilai moral kepada pelajar supaya pelajar patut mencontohi
kegigihan dan semangat juang yang ditonjolkan oleh tokoh-tokoh tersebut…”
(Informan 4)
“…pemupukan nilai… contohnya… dalam topik nilai kerajinan… di dalam buku teks
itu banyak contoh tokoh… jadi saya kasi kaitkan nilai dengan tokoh tersebut…”
(Informan 6)
“…pendekatan pemupukan nilai… memang ada saya buat juga semasa PdP…
macam perbandingan tokoh-tokoh atau pemimpin-pemimpin yang berjaya… ahli-
ahli sukan yang mengharumkan nama negara… jadi saya pupuk nilai-nilai moral
perkembangan diri kepada pelajar… saya terapkan kepada pelajar…”
(Informan 7)
“…pendekatan pemupukan nilai… apa yang saya pernah buat ialah… pelajar diberi
tayangan video mengenai tokoh…”
(Informan 8)
Pendekatan penyayang merupakan pendekatan paling popular digunakan informan.
Informan berpendapat bahawa pendekatan ini boleh mengembangkan tingkah laku moral
murid untuk mengekal dan mengukuhkan amalan penyayang di dalam diri sendiri dan
orang lain. Semua informan menyatakan pendekatan penyayang dilakukan dengan cara
mengambil berat dan menunjukkan keprihatinan kepada murid. Dalam erti kata lain, guru
perlu mendekati dan mengambil kisah keperluan dan masalah pembelajaran yang
dihadapi murid.
“…pendekatan penyayang pula… saya lakukan dalam PdP mengikut konsep saling
bergantung kepada hubungan antara pelajar… saya ambil berat pelajar… tunjuk
keprihatinan…”
(Infroman 1)
“…pendekatan penyayang… cara saya… saya akan mengambil kisah atau
bertanyakan dengan pelajar la… emm… macam saya mengambil tahu ba… kalau
kita caring… kalau kita cuba untuk mendekati pelajar… tanya keadaan pelajar pada
hari itu… jadi saya cuba dekatkan diri dengan lebih mesra la supaya mereka pun
lebih terbuka dengan saya…”
(Informan 2)
“…pendekatan penyayang… apabila guru mengambil berat pelajar… pelajar rasa
disayangi… dan tidak ada perasaan takut… jadi sekurang-kurangnya kerjasama
dalam kalangan pelajar baik dan secara tidak langsung akan menjayakan
pencapaian PdP…”
(Informan 3)
“…pendekatan penyayang ini juga… memang membantu saya mencapai hasil
pembelajaran sebenar… kerana apabila pelajar itu merasa disayangi… guru ambil
berat… ambil kisah diri pelajar itu… ahh… jadi saya fikir pelajar itu mudah untuk
memahami pengajaran yang disampaikan… secara tidak langsung pelajar akan
melibatkan diri dengan aktif…”
(Informan 4)
“…pendekatan penyayang ini… emm… menang diamalkan la… melayan pelajar
dengan baik… dengan adil dan dengan mengambil berat la sebarang masalah yang
pelajar hadapi… tidak la terlampau menekankan ataupun mengawal kata-kata juga
la…”
(Informan 5)
“…pendekatan penyayang biasanya macam mana saya mau tackle pelajar…
prihatin kepada keperluan pelajar… melalui cara berdialog iaitu membimbing pelajar
supaya ada hubungan positif antara satu sama lain…”
(Informan 6)
“…pendekatan penyayang semasa PdP… sebab guru bergantung kepada pelajar…
sebab kalau tiada pelajar… tiada juga guru… jadi saya selalu melakukan
pendekatan begitu… ambil berat pelajar… prihatin kepada keperluan dan
kesediaan pelajar untuk belajar… ahh… selain itu… sentiasa bertanya juga kepada
pelajar tentang perkembangan pembelajaran… kalau ada pelajar yang ponteng
sekolah… tanya masalah diorang… kalau pelajar yang lemah bagi bimbingan…”
(Informan 7)
“…pendekatan penyayang ini… saya juga lebih prihatin kepada keperluan dan
masalah yang dihadapi pelajar terutama kepada pelajar yang lemah itu… emm…
yang sangat perlu untuk diberi bimbingan dan tunjuk ajar…”
(Informan 8)
Pemupukan Kemahiran
Pemupukan kemahiran semasa transaksi PM dilaksanakan bagi memberi peluang
kepada murid untuk menguasai kemahiran dan membolehkan murid menghadapi
cabaran alaf baru dengan penuh keyakinan. Informan memupuk kemahiran berfikir
secara kritis dan kreatif (KBKK) supaya dapat membantu murid menyemai nilai moral
dalam jiwa. Informan 1, Informan 4 dan Informan 8 menyatakan kemahiran KBKK dalam
kalangan murid perlu dipupuk supaya murid dapat menyelesaikan masalah dengan lebih
baik.
“…kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif… saya juga mengajar pelajar cara
menggunakan kemahiran kritis berpandukan pengetahuan moral… supaya pelajar
dapat menilai sama ada sesuatu tindakan atau perkara itu bermoral atau tidak…
jadi melalui pengajaran nilai-nilai moral ini… akan membantu menyemai nilai moral
dalam jiwa pelajar… dan kalau pemikiran kreatif itu pula memberi peluang… ahh…
kepada pelajar untuk berfikir kreatif terutamanya… emm… dalam menjalankan
aktiviti pembelajaran…”
(Informan 1)
“…kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif… untuk berjaya dalam hidup… ahh...
pelajar perlu ada kemahiran kritis supaya pelajar… ahh… dapat menilai sama ada
sesuatu tindakan itu bermoral… begitu juga kemahiran kreatif… perlu dipupuk oleh
guru… supaya memberi peluang kepada pelajar untuk berfikir mencari cara
penyelesaian yang bermanfaat…”
(Informan 4)
“…saya juga memupuk kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif… saya ambil
contoh topik iaitu tentang nilai berdikari… saya memupuk kemahiran ini kepada
pelajar supaya mereka boleh berfikir sendiri tanpa bantuan… saya juga
menekankan kemahiran ini supaya pelajar dapat menyelesaikan masalah dengan
lebih baik…”
(Infroman 8)
Bahkan, Informan memupuk kemahiran menyelesaikan masalah bagi membantu murid
berkomunikasi secara lebih berkesan dan mengelakkan sebarang konflik dengan orang
lain. Informan 1 berpendapat kemahiran ini dapat dipupuk melalui nilai-nilai yang
dipelajari. Nilai rasional dipupuk agar murid dapat membuat keputusan dengan bijak
manakala nilai bertanggungjawab dapat memupuk kemahiran murid untuk melaksanakan
tugasan, mencetus idea dan pendapat. Begitu juga dengan nilai berdikari murid sendiri
mencari maklumat tanpa bantuan guru.
“…kemahiran menyelesaikan masalah itu… contohnya… saya bagi satu situasi
atau masalah kepada kumpulan itu atau pelajar itu… jadi diorang akan berbincang
bersama-sama mencari jawapan… dan ahh… lepas itu membentangkan hasil
perbincangan… jadi sekiranya pelajar itu atau kumpulan itu berjaya membentang…
saya rasa kemahiran itu dapat dipupuk la melalui nilai-nilai yang dipelajari… seperti
nilai rasional… pelajar perlu membuat keputusan dengan wajar dalam
perbincangan… boleh menyelesaikan masalah berasaskan sikap rasional… selain
itu… nilai bertanggungjawab… emm… setiap ahli dalam kumpulan masing-masing
melaksanakan tugas dengan mengeluarkan idea atau pendapat… dan kalau nilai
berdikari… diorang mencari maklumat atau jawapan dengan sendiri tanpa bantuan
guru… dan… emm… nilai hemah tinggi… semasa dalam perbincangan itu… pelajar
juga perlu bersopan dengan rakan-rakan lain dari percakapan dan kelakuan…
ataupun nilai kerajinan… diorang perlu berusaha dengan gigih dan tekun untuk
memikirkan jawapan yang betul…”
(Infroman 1)
Selain itu, Informan 6 menjelaskan kemahiran menyelesaikan masalah ini dikaitkan
dengan soalan-soalan yang terdapat di dalam buku teks manakala Informan 7 pula
mengaitkan kemahiran ini melalui nilai toleransi iaitu memupuk kemahiran untuk berfikir
secara bertolak ansur dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
“…kemahiran menyelesaikan masalah memang guru akan bagi mereka la… dalam
buku teks ada aktiviti fikir dan jawab…”
(Informan 6)
“…melalui nilai toleransi ahh… saya memupuk kemahiran menyelesaikan konflik…
jadi ertinya saya di sekolah sebagai guru… mengajar pelajar macam mana bertolak
ansur untuk berfikir menyelesaikan sesuatu masalah…”
(Informan 7)
Informan juga memupuk kemahiran sosial semasa PdPc dengan memberi penekanan
kepada kebolehan sosial untuk berkomunikasi dengan orang lain supaya murid dapat
mengetahui cara berkomunikasi dengan baik dan boleh diterima masyarakat. Informan 1
dan Informan 5 menyatakan cara kemahiran sosial ini dipupuk adalah menerusi
pembelajaran sebenar nilai-nilai moral supaya murid dapat mengetahui cara
berkomunikasi dengan bermanfaat. Contohnya, nilai berdikari dan harga diri ditekankan
supaya murid lebih bersopan apabila berhadapan dengan orang lain.
“…kemahiran sosial itu… cara saya memupuk menerusi pembelajaran sebenar
ialah melalui nilai-nilai yang boleh diterima… contohnya… dalam berkomunikasi…
pelajar sepatutnya… emm… terapkan nilai hemah tinggi… supaya apabila
bercakap dengan orang lain… ahh… mesti sopan… jadi saya pupuk kemahiran
sosial ini dalam pengajaran saya supaya pelajar itu mengetahui cara berkomunikasi
dengan bermanfaat dan boleh diterima…”
(Informan 1)
“…kemahiran sosial… ahh… saya memupuk kemahiran ini dengan nilai-nilai
berkaitan… macam nilai berdikari… nilai harga diri… memang guru tekankan nilai-
nilai supaya apabila pelajar berhadapan dengan orang… pelajar hendak la
mengamalkan nilai-nilai ini… bersopan santun… jangan menyakitkan hati orang
lain…”
(Informan 5)
Bahan Bantu Mengajar
Bahan Bantu Mengajar (BBM) merupakan alat yang digunakan oleh guru dalam PdPc PM
bagi membolehkan murid dapat mengetahui dengan lebih jelas dan memahami topik
pembelajaran dengan mudah. Pelbagai BBM digunakan oleh Informan bagi kelancaran
menyampaikan PdPc. Berdasarkan temu bual bersama informan, BBM yang paling
popular digunakan ialah buku teks, buku kerja, tayangan video dan ICT. Sehubungan
dengan itu, Informan 2, Informan 5, Informan 6 dan Informan 8 menyatakan penggunaan
buku teks dalam PdPc merupakan bahan utama kerana banyak input dan maklumat
diperoleh. Tambahan lagi, maklumat di dalam buku teks masih lagi relevan untuk topik
perbincangan dan majoriti soalan yang digunakan oleh guru juga terdapat di dalam buku
teks.
“…buku teks itu yang utama la… memang saya tekankan penggunaan buku teks…
sebab banyak input atau info daripada buku itu ba…”
(Informan 2)
“…guru menggunakan yang buku teks itu sebagai bahan panduan utama…”
(Responden 5)
“…sebab majoriti soalan berkaitan dengan yang ada di dalam buku teks… tidak
boleh lari daripada apa yang ada di dalam buku teks…”
(Responden 6)
“…saya minta pelajar merujuk buku teks… sebab banyak maklumat-maklumat yang
penting juga…”
(Responden 8)
Selain itu, Informan juga menggunakan buku kerja sebagai BBM dan digunakan seiring
dengan penggunaan buku teks. Informan 2, Informan 4 dan Informan 6 menggunakan
buku kerja agar murid boleh merujuk topik demi topik dan nota untuk membantu
meningkatkan kefahaman murid serta teknik menjawab soalan.
“…buku kerja yang saya guna iaitu topikal ada bentuk peta-peta… jadi di situ
pelajar pun boleh lihat la topic by topic…”
(Informan 2)
“…pelajar guna nota yang ada di dalam buku kerja…” (Infroman 4)
“…buku kerja yang guru pakai… ahh… dalam buku teks ini diambil tapi diperincikan
dalam bentuk nota… buku kerja memang mengikuti seperti dalam buku teks…”
(Informan 6)
Tayangan video juga digunakan sebagai BBM semasa transaksi PdPc agar murid boleh
berfikir dan menghayati nilai secara lebih mendalam. Hal sedemikian penting kerana
penggunaan BBM ini membolehkan murid lebih mendalami nilai-nilai yang dipelajari.
informan 4 menjelaskan guru-guru mempunyai inisiatif kendiri dan kreatif untuk
memperoleh BBM.
“…kalau slaid itu… guru-guru punya inisiatif la sebab banyak dari internet boleh
download… jadi kreativiti guru sendiri la... ada yang beri tayangan video supaya
pelajar boleh dapat fikir value dalam tayangan video tersebut…”
(Informan 4)
Informan 7 menyatakan iPad dan laptop sendiri digunakan untuk melaksanakan tayangan
video dan video yang dilihat oleh murid adalah berkaitan dengan topik yang diajar.
Informan 5 menyatakan melalui tayangan video situasi yang menyentuh perasaan murid
wujud manakala Informan 8 menjelaskan tayangan video digunakan mengikut topik
pengajaran seperti menunjukkan contoh tokoh-tokoh yang terkenal untuk menerapkan
nilai-nilai murni.
“…ICT… saya bawa iPad atau laptop di dalam kelas…” (Informan 7)
“…bila diorang nampak yang betul-betul tayangan video… diorang pun tersentuh
ba…”
(Informan 5)
“…saya juga menggunakan BBM tayangan video… ahh menunjukkan tokoh-tokoh
yang terkenal… jadi saya terapkan kepada pelajar… nilai-nilai yang diamalkan oleh
tokoh tersebut sehingga berjaya…”
(Informan 8)
Penggunaan ICT sangat membantu melancarkan lagi penyampaian PdPc dengan
berkesan. Informan 1 menjelaskan penggunaan pen drive yang memuatkan banyak
bahan pengajaran seperti lembaran kerja, peta minda, nota dan soalan-soalan memang
banyak memudahkan penyampaian pengajaran di samping menarik perhatian murid
sepenuhnya.
“…jadi ‘pen drive’ itu digunakan semasa PdPc guru… dan saya lihat ‘pen drive’ ini
banyak membantu guru memudahkan pengajaran… senang untuk guru
menyampaikan isi kandungan pengajaran… murid-murid juga saya lihat memberi
perhatian sepenuhnya…”
(Informan 1)
Selain itu, penggunaan ICT memanfaatkan masa PdPc sepenuhnya dan pengajaran juga
menjadi lebih efektif. Informan 4 dan Informan 5 menyatakan penggunaan ICT sangat
membantu untuk mencapai hasil pembelajaran serta menarik minat dan fokus murid.
“…memang ICT sangat jelas la membantu guru mencapai hasil pembelajaran…
kalau ICT… guru sendiri yang sediakan…”
(Informan 4)
“…ICT… memang saya guna la… supaya proses PdPc itu lebih menarik minat dan
fokus pelajar…”
(Informan 5)
PERBINCANGAN
Dalam konteks kajian ini, guru memainkan peranan utama untuk mencorakkan
pendidikan abad ke-21 bagi menentukan kejayaan transaksi PdPc guru yang berkualiti.
Transaksi PdPc yang diperhatikan melibatkan lima elemen iaitu kaedah, strategi,
pendekatan, pemupukan kemahiran dan BBM untuk meningkatkan lagi kualiti pengajaran
guru berterusan. Elemen kaedah pengajaran melibatkan kaedah berkumpulan,
perbincangan, bercerita dan main peranan. Menurut Rohizani et. al (2007), kaedah
adalah satu siri tindakan yang sistematik bertujuan mencapai objektif pengajaran yang
ditetapkan dan merupakan usaha keseluruhan berdasarkan prosedur tersusun dan
pendekatan yang dipilih. Hal ini disebabkan aplikasi kaedah pengajaran mewujudkan
suasana pembelajaran yang menarik fokus dan minat murid serta memupuk kerjasama
dan membina keyakinan diri murid.
Strategi pengajaran yang merangkumi strategi berpusatkan guru, berpusatkan
murid dan berasaskan sumber dan bahan wajar diketengahkan dalam transaksi PdPc
bagi mewujudkan situasi pembelajaran yang berkesan. Weissbourd et al. (2013)
menyatakan pelaksanaan transaksi PdP amat bergantung pada strategi pengajaran di
dalam bilik darjah untuk mencapai hasil pembelajaran. Sehubungan itu, strategi yang
digunakan semasa PdPc hendaklah relevan dengan keperluan pembelajaran murid.
Misalnya, strategi berpusatkan guru lebih berfokus kepada pengajaran guru sahaja
namun strategi ini sangat mustahak pada situasi tertentu terutama apabila memberi
penerangan kepada topik yang sukar difahami oleh mrid. Selain itu, strategi berpusatkan
murid juga digunakan supaya murid dapat mewujudkan interaksi dua hala dengan lebih
aktif iaitu antara guru dengan murid dan murid dengan murid untuk mencapai objektif
pembelajaran. Seterusnya, strategi berasaskan sumber dan bahan mengutamakan alat
bantu yang digunakan guru supaya murid lebih mudah memahami isi pelajaran dan
seterusnya menghasilkan PdPc yang efektif.
Selanjutnya, pendekatan pengajaran merupakan elemen penting yang perlu
diambil kira oleh guru-guru bagi mewujudkan PdPc berkualiti. Pendekatan yang
digunakan dalam kurikulum PM perlu dikuasai oleh guru bagi mengembangkan pemikiran,
perasaan dan amalan moral di samping mewujudkan satu iklim moral yang tekal (Chang,
2001). Justeru itu, bagi mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan maka pendekatan
koperatif, penyayang dan pemupukan nilai digunakan guru dalam PdPc bagi
memperkukuhkan lagi penerapan dan penghayatan nilai-nilai moral di samping
meningkatkan pencapaian akademik.
Pemupukan kemahiran dalam transaksi PdPc sangat wajar diaplikasikan dalam
pembelajaran abad ke-21 untuk memberi peluang kepada murid menguasai kemahiran
yang pelbagai dan menggalakkan perkembangan moral secara konsisten. Kurikulum PM
menekankan kemahiran generik iaitu kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,
kemahiran menyelesaikan konflik, kemahiran sosial dan kemahiran mengkaji masa depan
perlu dikuasai murid bagi membolehkan murid berupaya menghadapi ledakan maklumat
dan alaf baru dengan penuh keyakinan dan sikap bertanggungjawab sosial dan moral
(KPM, 2000). Sehubungan dengan itu, guru berperanan untuk memupuk kemahiran
dalam PdPc bagi membantu murid membuat keputusan dan menyelesaikan masalah
dengan bijak. Bahkan, kemahiran sosial yang dipupuk dapat membina keyakinan diri
murid untuk mengetahui cara berkomunikasi yang berkesan. Rohizani et. al (2007)
menyatakan pengajaran tidak akan bermakna sekiranya guru gagal mewujudkan situasi
pembelajaran yang berkesan. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat,
penggunaan BBM semasa PdPc perlu dititikberatkan untuk membolehkan murid
memahami isi pelajaran dan guru juga dapat menyampaikan PdPc dalam bentuk yang
lebih efektif dan menarik. Hakikatnya, BBM yang digunakan sama ada berbentuk
elektronik mahupun bukan elektronik dapat memberi impak positif yang menggalakkan
pembelajaran murid dan membuka banyak peluang untuk murid meneroka ilmu baharu
ke arah meningkatkan lagi potensi dan prestasi murid yang lestari.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, penilaian transaksi pengajaran dan pemudahcaraan kurikulum
pendidikan abad ke-21 memfokuskan elemen kaedah, strategi, pendekatan, pemupukan
kemahiran dan BBM. Semua elemen ini adalah penting dan menjadi kekuatan guru dalam
pelaksanaan transaksi PdPc. Aplikasi semua elemen dalam pelaksanaan transaksi
berupaya meningkatkan penyampaian PdPc guru yang efesien dan berkualiti. Bahkan,
pemilihan dan penggunaan kaedah, strategi, pendekatan, pemupukan kemahiran dan
BBM yang sesuai dalam PdPc merupakan tonggak utama keberhasilan dan kemenjadian
murid khususnya dalam pembelajaran abad ke-21. Justeru itu, guru perlu bijak
menguruskan penggunaan sumber dan mewujudkan suasana PdPc yang hidup dan
kreatif. Selain itu, menyediakan ruang dan peluang untuk murid melibatkan diri secara
lebih aktif dalam PdPc .
RUJUKAN
Abd. Rahim Abd. Rashid. 2001. Nilai-nilai Murni Dalam Pendidikan: Menghadapi
Perubahan dan Cabaran Alaf Baru. Utusan Publications & Distributions Sdn. Bhd.
Barone, N. T. 2004. Moral Dimensions of Teacher-Student Interactions in Malaysia
Secondary School. Calumet College of St. Joseph, Indiana, USA. Journal of Moral
Education. 33(2): 179-196.
Chang Lee Hoon. 2001. “Pendekatan dalam Pendidikan Moral” dlm.
http://pendidikanmoral.um.edu.my/uploads/rujukan/pendekatan%20pendidikan%20m
oral.pdf. 13 Mac 2014.
Chang Lee Hoon. 2010. An Appraisal the Implementation of Moral Education for Schools
in Malaysia. Proceeding of the 4th Conference on Teacher Education: Join
Conference UPSI & UPI Bandung, Indonesia. Universiti Pendidikan Sultan Idris,
Tanjong Malim Perak.
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Moral
Sekolah Menengah. Kuala Lumpur: Pusat Perkembangan Kurikulum.
Masyarah Zulhaida Masmuzidin, Jianmin Jiang & Taoran Wan. 2011. Learning Moral
Values through Virtual Technology: The Development and Evaluation of Malaysian
Virtual Folktales-Hikayat Land. Procedia Social and Behavioral Sciences. 31: 315-
322.
Robiah K. Hamzah. 2011. Nilai Murni dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Cetakan
Pertama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rogan, J. M. & Grayson, D. J. 2003. Towards a Theory of Curriculum Implementation with
Particular Reference to Science Education in Developing Countries. International
Journal of Sciences Education. 25(10): 1171-1204.
Rohizani Yaakub, Shahabuddin Hashim dan Mohd. Zohir Ahmad. 2007. Pedagogi
Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Cetakan Keempat. PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd.
Stake, R. E. 1967. “The Countenance of Educational Evaluation” dlm.
Center for
http://education.illinois.edu/circe/publications/countenance.pdf.
Instructional Research and Curriculum Evaluation. United States: University of Illinois.
4 March 2014.
Vishalache Balakrishnan. 2012. Dilema Kehidupan Sebenar dalam Pendidikan Moral.
Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Weimer. M. 2002. Learner-Centered Teaching: Five Key Changes to Practice. San
Francisco: Jossey Bass Publication.
Weissbourd, R., Bouffard, S.M., & Jones, S. M. 2013. School Climate and Moral and
Social Development. New York: National School Climate Center.
KEMAHIRAN KEPIMPINAN PEMIMPIN SEKOLAH MENDEPANI NORMA
BAHARU KE ARAH MEREALISASIKAN PENDIDIKAN BERKUALITI
Sainah Limbasan, Ph.D
Aminuddin bin Ismail
Judith Eddie
Indra Sahril bin Sayuati
Institut Aminuddin Baki Cawangan Sabah
Kementerian Pendidikan Malaysia
ABSTRAK
Sejajar dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pemimpin sekolah perlu
mempunyai kemahiran kepimpinan yang dinamik dan berani bagi merealisasikan hala tuju ke arah
melestarikan pendidikan berkualiti. Ketidaktentuan senario pendidikan masa kini di Malaysia akibat
daripada pandemik COVID-19 memerlukan pemimpin sekolah memiliki pengetahuan dan kemahiran
tinggi untuk mendepani norma baharu dan menangani perubahan yang berlaku secara lebih efisien.
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kemahiran kepimpinan dalam kalangan pemimpin sekolah
bagi mencapai matlamat dan hala tuju pendidikan negara. Kajian dijalankan dengan mengaplikasikan
pendekatan kuantitatif dan melibatkan responden seramai 83 orang. Soal selidik diadaptasi daripada
Northouse (2009) digunakan sebagai instrumen untuk memperoleh data bagi mengukur kemahiran
kepimpinan dari segi kemahiran teknikal, kemahiran kemanusiaan dan kemahiran konseptual. Data
dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 26.0.
Dapatan kajian memberikan gambaran positif secara menyeluruh berdasarkan skor min keseluruhan
kemahiran kepimpinan iaitu melibatkan kemahiran teknikal, manusia dan konseptual berada pada
tahap tinggi (min=3.98). Hal ini bermakna pemimpin sekolah perlu melengkapkan diri dan memiliki
keupayaan yang tinggi untuk mengaplikasikan kemahiran kepimpinan bagi kecemerlangan organisasi
berterusan dan melahirkan modal insan berkualiti dalam kalangan guru mahupun murid. Justeru itu,
kajian ini memberi nilai tambah yang bermanfaat kepada sistem pendidikan khususnya kepimpinan
holistik yang komprehensif dan dinamik bagi meningkatkan kualiti pendidikan.
Kata kunci: Kemahiran kepimpinan, pemimpin sekolah, norma baharu, pendidikan berkualiti
PENGENALAN
Pemimpin sekolah memainkan peranan utama merealisasikan perubahan dan membawa
organisasi bergerak ke hadapan selaras dengan visi dan misi Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM). Robinson (2006) menyatakan pemimpin yang mempunyai matlamat yang
jelas dan berfikiran jauh boleh merangsang dan memacu organisasi memenuhi keperluan
dan kecemerlangan organisasi. Cabaran pengetua dan guru besar sebagai pemimpin bagi
mendepani organisasi yang berbentuk virtual dan melibatkan pelaksanaan pembelajaran
digital iaitu penggunaan teknologi komputer dan ICT secara menyeluruh (Mohamed Nazul
Ismail, 2020) memerlukan pemimpin memiliki kemahiran kepimpinan yang tinggi.
Bersangkutan dengan itu, pemimpin sekolah perlu menekankan kemahiran kepimpinan yang
melibatkan kemahiran teknikal, manusia dan konseptual bagi menghadapi cabaran dan
merebut peluang yang terbuka. Hal ini bermakna pemimpin sekolah bertanggungjawab untuk
mengurus dan mentadbir organisasi secara lebih efektif yang dapat memberi impak terhadap
pembelajaran murid (Amin Senin, 2008). Dalam masa yang sama, pemimpin perlu
meningkatkan keupayaan dan kecekapan diri dan menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran
dan kefahaman baharu (Aziah, Loh & Abdul Ghani, 2015) berlandaskan kepimpinan yang
kreatif, berdaya fikir dan mampu menjana idea terkini selari dengan tuntutan dan keperluan
bidang pendidikan masa kini.
LATAR BELAKANG
Transformasi pendidikan di dalam dunia yang volatile, uncertain, complex, ambiguous (VUCA)
adalah bergantung kepada pemimpin berprestasi tinggi yang mempunyai kemahiran
kepimpinan dan memiliki keupayaan untuk menggabungkan pendidikan dengan
pembelajaran dan teknologi. Ketidaktentuan pendidikan hari ini memerlukan pemimpin untuk
menetapkan minda yang mencakupi kredibiliti dan mempersiapkan diri mengharungi ciri-ciri
persekitaran yang terus berubah. Roslena dan Mohd Izham, (2015) mendedahkan bahawa
pemimpin yang berkualiti mempunyai pengetahuan yang luas, memiliki kemahiran, keinginan
dan kesediaan untuk memimpin organisasi. Lanjutan daripada itu, pemimpin perlu bersedia
dan melengkapkan diri untuk menguasai kemahiran kepimpinan khususnya dari segi
kemahiran teknikal, kemahiran manusia dan kemahiran konseptual. Ketiga-tiga elemen
kemahiran kepimpinan ini amat penting diaplikasikan dan diadaptasi dalam memimpin
sekolah untuk terus membawa perubahan organisasi dan memenuhi tuntutan pendidikan.
Kajian oleh Katz (1974) menjelaskan bahawa kemahiran kepimpinan bagi elemen kemahiran
teknikal dilihat lebih menekankan keupayaan dan kecekapan pemimpin agar mempunyai ilmu
pengetahuan untuk mengurus dan mentadbir organisasi dengan sistematik. Elemen
kemahiran kepimpinan manusia adalah berkait rapat dengan pendekatan yang memfokuskan
personaliti, tindakan dan tingkah laku yang boleh digunakan untuk melaksanakan
tanggungjawab memimpin organisasi dengan baik dan lancar. Seterusnya, kemahiran
kepimpinan konseptual dikaitkan dengan pemikiran yang kreatif dan inovatif, penyelesaian
masalah dan menghasilkan idea-idea baharu yang memberi manfaat dan nilai tambah
kepada pembangunan dan kecemerlangan organisasi.
Situasi pandemik akibat penularan wabak COVID-19 mencetuskan satu semangat dan usaha
luar biasa bagi pemimpin sekolah memastikan organisasi dapat beroperasi seiring dengan
kemajuan teknologi dan meneruskan usaha merealisasikan pendidikan berkualiti. Menurut
Rahayu, Sham, Halijah, Nor Hazimah & Wan Mohd Khairul (2020), pemimpin perlu sentiasa
bersiap sedia, peka dan cekap dalam mengadaptasi perubahan yang mendadak dan
tindakan menambahbaik proses membuat keputusan. Tambahan lagi, peranan pemimpin
dalam pengurusan dan kepimpinan perlu berubah khususnya di zaman milenium ini bahkan
di dalam dunia VUCA dan terutama sekali krisis COVID-19. Justeru itu, pemimpin dituntut
untuk menguasai pelbagai kemahiran kepimpinan dan meningkatkan keupayaan kendiri bagi
membawa perubahan di samping menggalas tanggungjawab sebagai peneraju pentadbiran
sekolah yang lebih berkeyakinan. Baharin, Adnan, Mohd Zain, Kamaludin & Mansor (2016)
menyatakan kejayaan sesebuah sekolah sangat berkait rapat dengan amalan gaya
kepimpinan seseorang pemimpin. Lantaran daripada itu, pemimpin sekolah perlu berfikiran
kreatif dalam mengurus perubahan dan mengaplikasikan kemahiran kepimpinan yang ideal di
samping meningkatkan kompetensi, meneroka pelbagai alternatif penyampaian maklumat
dan memantapkan pengetahuan integrasi teknologi maklumat.
Perubahan drastik dan di luar jangkaan dalam konteks pendidikan terutama semasa krisis
COVID-19 memerlukan keupayaan dan kecekapan pemimpin berhadapan dengan fenomena
normal baharu ini untuk merealisasikan kualiti pendidikan yang mapan. Sehubungan dengan
itu, penekanan mengenai kemahiran kepimpinan dalam kalangan pemimpin sekolah untuk
mengurus dan mentadbir organisasi secara efisien dan efektif dilihat amat relevan. Katz,
(1974) menekankan tiga elemen kemahiran kepimpinan iaitu kemahiran teknikal, kemahiran
manusia dan kemahiran konseptual yang boleh menjadi sandaran para pemimpin sekolah
untuk mencapai hala tuju dan matlamat pendidikan. Menurut Tim & David (2004), sekiranya
pemimpin tidak menguasai kemahiran kepimpinan dalam organisasi maka pemimpin itu tidak
berupaya mengurus dan memimpin organisasi dengan baik. Hal ini bermakna pemimpin perlu
membangunkan kualiti profesional dan kualiti peribadi bagi melaksanakan tugas mengurus
institusi pendidikan agar dapat memastikan matlamat dan hala tuju pendidikan dapat
dilestarikan (Roslena & Mohd Izham, 2015).
KERANGKA KAJIAN
Berdasarkan penerokaan dan penelitian pelbagai teori, model dan tinjauan literatur maka satu
kerangka kajian dibangunkan dalam penyelidikan ini untuk mengkaji tahap kesediaan
pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan. Model Kemahiran Kepimpinan oleh Katz,
(1974) menjadi sumber rujukan dan sandaran utama untuk melaksanakan kajian ini iaitu
memfokuskan tiga dimensi kemahiran kepimpinan yang terdiri daripada kemahiran
kepimpinan teknikal, kemahiran kepimpinan manusia dan kemahiran kepimpinan konseptual.
Kemahiran teknikal dikaitkan dengan kecekapan pemimpin sekolah menjalankan operasi,
perkhidmatan dan hasil organisasi manakala kemahiran manusia mempunyai hubung kait
tentang kebolehan pemimpin untuk bekerja secara efektif bersama staf bawahan, rakan
sebaya dan pihak atasan untuk mencapai matlamat organisasi. Seterusnya, kemahiran
konseptual merupakan keupayaan pemimpin bekerja berdasarkan konsep dan pemikiran.
Kerangka kajian ini ditunjukkan seperti Rajah 1 di bawah.
Teknikal Manusia
Pemimpin Kemahiran Pendidikan
Sekolah Kepimpinan berkualiti
Konseptual dalam
norma
baharu
Rajah 1: Kerangka Kajian
Sumber: Diubahsuai dari Model Katz (1974).
PENYATAAN MASALAH
Kepimpinan yang berprestasi tinggi dalam kalangan pemimpin sekolah adalah berasaskan
kepada tiga dimensi kemahiran kepimpinan iaitu kemahiran teknikal, manusia dan konseptual
(Katz, 1974). Walau bagaimanapun, masih terdapat jurang yang perlu diteliti secara lebih
lanjut khususnya dari segi kesediaan pemimpin sekolah untuk mengaplikasikan pendekatan
kemahiran kepimpinan ini dalam memacu perubahan dan peningkatan kecemerlangan
organisasi (Leslie, et al., 2009). Dalam usaha untuk memantapkan dan membina potensi
warga organisasi agar lebih berdaya saing, berfikiran inovatif dan mampu mendepani
pelbagai cabaran dan halangan (Mohd. Nasri, 2017), kemahiran kepimpinan merupakan satu
entiti penting yang perlu diambil kira sebagai seorang pemimpin sekolah. Namun, dalam
konteks Malaysia tidak banyak kajian mengenai kemahiran kepimpinan ini dijalankan bahkan
pemimpin di sekolah masih ada yang belum menyentuh pendekatan kemahiran kepimpinan
secara lebih menyeluruh dan berfokus ke arah merealisasikan pendidikan berkualiti. Selain
itu, Hishamudin (2016) menjelaskan kefahaman mengenai kemahiran kepimpinan masih
kurang dikuasai oleh pemimpin sekolah untuk memenuhi keperluan dan tuntutan semasa
untuk meningkatkan kualiti organisasi. Justeru itu, pemimpin sebagai peneraju kejayaan
organisasi yang berhadapan dengan ketidaktentuan senario pendidikan masa kini perlu
mengembangkan bakat, meningkatkan kompetensi kendiri dan latihan kepimpinan (Andrew &
Christina, 2018) agar berupaya menghadapi kejutan persekitaran pendidikan yang sentiasa
berubah. Dalam masa yang sama, pemimpin perlu membina keyakinan diri, kompeten dan
memiliki kemahiran kepimpinan yang tinggi bagi menghadapi cabaran memimpin dan
mengurus institusi yang lebih efisien dan berkualiti (Eddy, 2013; Katz, 1974).
OBJEKTIF KAJIAN
Penyelidikan ini dijalankan untuk mencapai objektif kajian berikut.
a. Mengenal pasti tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari
segi kemahiran teknikal.
b. Mengenal pasti tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari
segi kemahiran manusia.
c. Mengenal pasti tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari
segi kemahiran konseptual.
PERSOALAN KAJIAN
Berdasarkan kepada objektif kajian yang di kemukakan, beberapa soalan kajian yang berikut
diharap dapat dijawab melalui kajian yang dijalankan.
a. Apakah tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari segi
kemahiran teknikal?
b. Apakah tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari
segi kemahiran manusia?
c. Apakah tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap kemahiran kepimpinan dari
segi kemahiran konseptual?
KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesediaan pemimpin sekolah terhadap
kemahiran kepimpinan melibatkan kemahiran teknikal, kemahiran manusia dan kemahiran
konseptual dalam merealisasikan pendidikan berkualiti. Hasil kajian diharapkan dapat
memberi maklumat terkini dan input baharu yang boleh membuka ruang dan peluang kepada
pemimpin sekolah untuk membawa organisasi bergerak ke hadapan selaras dengan tuntutan
pendidikan masa kini yang beroperasi menggunakan teknologi komputer dan ICT. Selain itu,
kajian ini diharapkan memberi manfaat mengenai kepentingan pemimpin sekolah memiliki
kemahiran kepimpinan yang tinggi bagi memastikan pelaksanaan tugas dengan cekap dan
seterusnya berupaya memandu organisasi kepada perubahan dan cabaran secara lebih
fleksibel dan terbuka.
BATASAN KAJIAN
Kajian ini hanya melibatkan pemimpin sekolah yang terdiri daripada Graduan NPQEL 2018
dan 2019 seramai 83 orang di negeri Sabah. Graduan NPQEL ini merupakan pemimpin yang
telah dilantik sebagai pengetua di sekolah menengah dan guru besar di sekolah rendah.
Sehubungan dengan itu, kajian ini tidak dapat digeneralisasikan dalam kalangan pemimpin
secara menyeluruh untuk semua sekolah di Malaysia.
SOROTAN LITERATUR
Bahagian ini membincangkan aspek yang berikut.
Pemimpin Sekolah
Kualiti pemimpin sekolah menjadi fokus utama ke arah mencapai visi dan misi pendidikan
terutama bagi mendepani norma baharu krisis pandemik COVID-19. Dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 terdapat 11 anjakan transformasi
pendidikan yang ditekankan KPM bagi memastikan matlamat dan hala tuju yang dihasratkan
dapat dilestarikan (KPM, 2013). Kajian terdahulu mendedahkan kemahiran kepimpinan yang
efektif dapat meningkatkan prestasi warga pendidik dan kecemerlangan organisasi (Roslena
& Mohd Izham, 2015). Hal ini disebabkan pengurusan dan pentadbiran memerlukan
kebijaksanaan pemimpin sekolah untuk melaksanakan pengubahsuaian penyampaian modul
pembelajaran mengikut kesesuaian pendidikan masa kini.
Kajian yang lepas memperlihatkan pemimpin sekolah yang mempunyai kemahiran
kepimpinan berupaya menguruskan iklim sekolah secara sistematik dan teratur, visi dan misi
yang jelas, berdisiplin, komited dalam tugas, melaksanakan program peningkatan guru dan
mempunyai hubungan baik dengan pihak komuniti, swasta dan pihak berkepentingan
(Jamilah & Yusof, 2011). Menurut Mansor & Hamzah (2015), pemimpin yang menguasai
kemahiran kepimpinan merupakan individu yang mampu mengubah iklim organisasi ke arah
kecemerlangan dan merupakan agen perubahan dalam membentuk budaya belajar.
Bersangkutan dengan itu, sekolah sebagai institusi pendidikan memerlukan kepimpinan
pemimpin yang dinamik bagi menyahut dan mendepani setiap cabaran untuk
membangunkan kualiti guru dan modal insan bertaraf dunia. Selain itu, pemimpin perlu kreatif
dan cekap dalam mengadaptasi perubahan serta sentiasa bersedia melaksanakan peranan
utama bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berkualiti yang
memberi impak kepada kemenjadian murid. Rothwell (2010) menyatakan pemimpin yang
efektif adalah pemimpin yang mempunyai kompetensi dari segi kemahiran, pengetahuan,
sikap, kepercayaan, motif dan sifat-sifat spiritual yang membolehkan penghasilan kerja yang
cemerlang. Justeru itu, perkara penting yang perlu dittitkberatkan pemimpin sekolah untuk
melaksanakan tindakan dan penambahbaikan adalah sentiasa menimba ilmu dan bersikap
terbuka untuk meningkatkan kompetensi diri dan memperkukuhkan pengurusan organisasi
secara terus melalui aplikasi digital. Aziah, et al. (2015) menerangkan kriteria penjanaan idea
baharu dan cetusan inovasi boleh membawa pemimpin untuk lebih fokus mengurus
perubahan dalam organisasi. Begitu juga dengan kajian Andrew dan Christina (2018)
pelbagai program dan latihan jangka panjang dan kursus jangka pendek disediakan bagi
membolehkan pemimpin sekolah meningkatkan kemahiran kepimpinan agar dapat
menjalankan tugasan dengan efisien dan mampu bertindak memberi bimbingan dan motivasi
kepada warga organisasi.
Kemahiran Kepimpinan
Pemimpin memainkan peranan penting untuk melaksanakan amanah yang
dipertanggungjawabkan sebagai peneraju organisasi. Hal ini bermakna pemimpin sekolah
perlu mengetahui bidang tugas dan memiliki pengetahuan, kemahiran dan kompetensi
khususnya dalam bidang kepimpinan dan pengurusan (Andrew & Christina, 2011). Katz,
(1974) mentakrifkan kemahiran kepimpinan sebagai kemampuan untuk menggunakan
pengetahuan dan kecekapan seseorang untuk mencapai satu matlamat dan kebolehan
mempengaruhi staf memahami perkara yang perlu dilakukan dengan perkara yang hendak
dicapai. Bersangkutan dengan itu, pemimpin perlu memiliki kesediaan untuk memahami
proses kepimpinan dengan menguasai kemahiran, mempunyai matlamat yang jelas, memiliki
sifat terbuka, tidak terburu-buru apabila bertindak dan sanggup mengambil risiko dalam
tindakan (Roslena dan Mohd Izham, 2015). Berdasarkan kajian oleh Katz (1974) pengurusan
dan kepimpinan yang berkesan bergantung kepada tiga asas kemahiran kepimpinan iaitu
kemahiran teknikal, kemahiran manusia dan kemahiran konseptual.
Elemen kemahiran teknikal dikaitkan dengan pengetahuan dan kecekapan pemimpin yang
berfokus kepada kemahiran khusus dalam menyempurnakan bidang pekerjaan tertentu (Katz,
1974). Hal ini bermaksud seseorang pemimpin itu perlu memiliki kecekapan yang mendalam
berkaitan dengan aktiviti yang berfokus kepada prosedur operasi, perkhidmatan dan hasil
organisasi (Mumford, Zaccaro, Connelly & Marks, 2000). Dalam masa yang sama, pemimpin
juga perlu memiliki kompetensi agar dapat melaksanakan tugasan, mentadbir urus organisasi
dengan baik dan menghadapi cabaran dalam organisasi melalui pelbagai latihan,
pengetahuan terkini dan pengalaman baharu (Eddy, 2013). Tambahan lagi, pemimpin harus
mengembangkan kepakaran diri secara teratur dan sistematik supaya mahir dalam
pengurusan dan pentadbiran. Justeru itu, kajian ini lebih menumpukan kepada kemahiran
kepimpinan elemen teknikal berdasarkan kearifan bidang tugas, kekuatan pengurusan dan
sumber, perincian kerja, menyantuni kehendak orang lain, kemahiran mendapatkan sumber
program dan cabaran memperoleh sumber.
Seterusnya, elemen kemahiran kepimpinan manusia merujuk kepada pengetahuan dan
keupayaan manusia melakukan tugas secara sepasukan (Katz, 1974). Elemen kemahiran ini
juga dikaitkan dengan pengetahuan tentang ‘bekerja dengan manusia’ iaitu kebolehan
pemimpin untuk bekerja secara efektif bersama dengan staf bawahan, rakan sebaya dan
pihak atasan. Hal sedemikian penting bagi melahirkan seorang pemimpin yang dapat
mewujudkan kepercayaan orang bawahan agar terdorong untuk melibatkan diri dengan lebih
efisien dan aktif dalam setiap program yang dilaksanakan ke arah mencapai matlamat
organisasi. Kajian oleh Roslena dan Mohd Izham, (2015) mendedahkan kemahiran
kepimpinan berkait rapat dengan tiga aplikasi pendekatan utama untuk menjadi pemimpin
pendidikan yang baik iaitu pendekatan psikodinamik, kemanusiaan dan tingkah laku kognitif.
Bahkan, kemahiran kepimpinan manusia merupakan keupayaan pemimpin untuk memberi
dorongan kepada orang lain semasa melaksanakan tugasan. Dalam erti kata lain, pemimpin
perlu mempunyai pengetahuan psikologi untuk memahami kelakuan dan pemikiran
seseorang (Mumford, et al., 2000). Bagi kajian ini, kemahiran kepimpinan dari segi elemen
kemahiran manusia memfokuskan maklum balas daripada pihak lain, interaksi sosial, rasa
kekitaan, kekuatan mental untuk motivasi dan menghormati orang lain.
Bagi elemen kemahiran kepimpinan konseptual, Katz (1974) mentakrifkan kemahiran
konseptual adalah keupayaan pemimpin bekerja berdasarkan konsep dan pemikiran. Dalam
hal ini, kemahiran konseptual merupakan kemahiran kepimpinan yang paling penting dengan
mengambil kira semua aspek dalam pengurusan organisasi yang melibatkan pemikiran kritis
pemimpin. Mumford, et al. (2000) menyatakan pemimpin perlu mempunyai kemahiran
berurusan dengan pihak lain dan bijaksana dalam membuat keputusan dan mengambil
tindakan bagi kebaikan organisasi. Sehubungan dengan itu, pemimpin harus mendapat
maklumat yang lengkap sebelum mengambil sesuatu tindakan agar tindakan yang dilakukan
adalah adil dan memuaskan semua pihak. Dalam masa yang sama, pemimpin perlu
mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif dan melahirkan idea baharu supaya dapat
menyelesai masalah dengan mudah (Roselena & Mohd Izham, 2015). Bagi kajian ini, fokus
kemahiran konseptual yang ditekankan merangkumi kecekapan menyelesaikan tugas,
kesegeraan menangani masalah, menggambarkan persekitaran dengan mudah, merangka
program menarik, impak program dan fleksibel terhadap perubahan organisasi.
Pendidikan Berkualiti dalam Norma Baharu
Pemimpin sekolah perlu mengambil langkah proaktif dan merangsang pemikiran secara
kritikal dan kreatif untuk menghadapi norma baharu ke arah merealisasikan pendidikan
berkualiti. Hal ini bermaksud pemimpin sekolah perlu lebih maju setapak ke hadapan untuk
menyediakan platform pembelajaran aktif. Bibi Noraini & Jihan, (2020) menyatakan
perubahan bentuk Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) daripada pembelajaran secara
formal di bilik-bilik darjah kepada pembelajaran secara digital atau pembelajaran dalam talian
menggusarkan ramai pihak kerana sesi pembelajaran menjadi pasif. Bahkan, strategi dan
kaedah pembelajaran secara dalam talian juga dilihat amat mencabar keupayaan guru untuk
melaksanakan pengajaran yang berkesan kepada pembelajaran murid kerana berhadapan
dengan cabaran untuk mengaplikasi dan mengakses pelbagai bentuk platform dalam talian.
Menurut Mohd Fairuz, et al. (2020) pemimpin sekolah, guru dan murid masih lagi belum
terbiasa dengan momentum PdPc bentuk baharu ini disebabkan terdapat perbezaan
pendapat serta kemahiran menggunakan kaedah ini. Sehubungan dengan itu, pemimpin
sebagai peneraju utama organisasi yang bertanggungjawab menyediakan pendidikan
berkualiti harus memastikan PdPc berjalan lancar untuk murid memperoleh ilmu.
Berdasarkan kajian Rahayu, et al. (2020) usaha pemimpin mengurus perubahan dalam
organisasi akan berdepan dengan pertembungan kepimpinan dua generasi iaitu golongan
senior dengan golongan muda yang mewujudkan percanggahan idea dan pendapat. Perkara
ini secara tidak langsung menjadikan proses PdPc sangat mencabar dilaksanakan
khususnya kepada golongan yang kurang mahir dengan penggunaan teknologi maklumat
dan peralatan ICT. Justeru itu, bagi mencapai pendidikan berkualiti pemimpin sekolah
memainkan peranan penting untuk menerapkan kemahiran kepimpinan dan meningkatkan
kompetensi untuk meminimumkan berlakunya risiko dalam organisasi pendidikan.
METODOLOGI
Kajian ini mengaplikasikan reka bentuk kuantitatif iaitu kajian deskriptif berbentuk tinjauan
untuk mengenal pasti tahap kesediaan pemimpin sekolah berlandaskan kemahiran
kepimpinan bagi mendepani norma baharu ke arah merealisasikan pendidikan berkualiti.
Kajian deskriptif merupakan kajian bermatlamat untuk menerangkan sesuatu fenomena yang
sedang berlaku (Creswell, 2014; dan Mohd. Majid, 2000). Kaedah tinjauan adalah cara yang
spesifik bagi mengumpul maklumat mengenai sesuatu isu semasa (Chua, 2006). Lokasi
kajian ini melibatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah
Menengah Kebangsaan di negeri Sabah. Populasi kajian terdiri dalam kalangan pemimpin
sekolah iaitu graduan NPQEL versi 2018 dan 2019 yang telah dilantik sebagai pengetua dan
guru besar. Seramai 83 orang responden terlibat dalam kajian ini.
Soal selidik mengandungi dua bahagian. Bahagian A merangkumi maklumat demografi
responden dan Bahagian B melibatkan soalan-soalan yang berkaitan dengan kemahiran
kepimpinan. Setiap dimensi yang terkandung dalam kemahiran kepimpinan ini mengandungi
enam soalan. Soal selidik adalah diadaptasi daripada Northouse, (2009) yang memfokuskan
kemahiran kepimpinan teknikal, kemahiran kepimpinan manusia dan kemahiran kepimpinan
konseptual. Skor mengikut Skala Likert yang digunakan dalam kajian ini ditunjukkan seperti
Jadual 1.1.
Simbol Jadual 1.1 : Skor mengikut Skala Likert Skor
Penyataan
STS 1
TS Sangat Tidak Setuju 2
KS Tidak Setuju 3
S Kurang Setuju 4
SS Setuju 5
Sangat Setuju
Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 26.0 digunakan untuk menganalisis
data bagi kajian ini. Dapatan analisis ditunjukkan dalam bentuk jadual yang menggambarkan
min bagi setiap elemen kemahiran kepimpinan dari segi elemen kemahiran teknikal, elemen