meninggalkan qunut dengan sengaja juga perlu melakukan
sujud sahwi. Ini kerana berdiri sambil membaca doa
qunut merupakan sunat yang dilazimi oleh junjungan
Nabi SAW (maqsudah) secara berterusan, maka sunat-
sunat Ab’adh berada dalam kategori sunat yang amat
dituntut (muakkad).
iv. Mazhab Hanbali
Qunut hukumnya sunat dan dilakukan ketika solat witir
sahaja. Ini bererti qunut tidak dibacakan sama sekali ketika
solat subuh.
Pada pandangan penulis (Pengarah Urusan Utas Travel
& Tours) Apa yang berlaku dari hari ke hari dan tahun
ke tahun jemaah umrah dan haji masih mempersoalkan
Imam Masjid Haram dan Masjid Nabawi tidak membaca
bismillah mengikut mazhab mana? Sedangkan ramai
tidak sedar bahawa imam tersebut sebenarnya
bermazhab Hanbali yang membaca bismillah secara
perlahan sebelum membaca Fatihah. Begitulah juga
keadaannya ketika solat Subuh kenapa Qunut tidak
dibacakan oleh imam?. Jawapannya imam di dua tanah
suci bermazhab Hanbali yang tidak sama sekali
membacakan qunut kecuali untuk solat witir sahaja
seperti pada bulan Ramadan.
SYARAT-SYARAT WAJIB JUMAAT
275. Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi
8 syarat berikut:
Pertama : Beragama Islam.
Kedua : Baligh.
Ketiga : Berakal.
Keempat : Bebas sepenuhnya dari ikatan perhambaan.
Kelima : Lelaki.
Keenam : Sihat tubuh badan.
Orang yang sakit atau bimbang bertambah kesakitan tidak
diwajibkan solat Jumaat. Orang yang bertugas untuk merawat
191
atau berkhidmat kepada pesakit juga tidak wajib ke atasnya
solat Jumaat sekiranya tiada orang lain yang boleh mengambil
alih tugasnya.
Umumnya syarat-syarat tadi dinamakan syarat penetapan
beban tuntutan agama ke atas hamba (taklif). Manakala orang
yang telah mencukupi syarat untuk diberikan taklif tersebut
dinamakan (mukallaf). Oleh itu, orang yang mukallaf wajib
mematuhi ketetapan agama dan setiap perbuatan dan
perlakuannya tertakluk dengan hukum yang telah ditetapkan
oleh agama sama ada wajib, haram, harus, makruh dan sunat.
Syarat-syarat mukallaf ialah:
1. Telah (baligh) sampai umur.
Bagi lelaki apabila sempurna 15 tahun Qamariyah,
keluarnya mani atau tumbuh bulu ari-ari, manakala bagi
wanita syarat yang sama, ditambah dengan datangnya
haid.
2. Memiliki akal yang waras.
3. Sampai dakwah kepadanya.
4. Sempurna pancaindera, khususnya penglihatan atau
pendengaran. Syarat-syarat yang disebutkan bukan hanya
tertakluk kepada kewajiban Jumaat sahaja, akan tetapi
merangkumi seluruh tuntutan ibadat lain dalam Islam. Tidak
ada perbezaan di antara jantina dalam tuntutan tersebut,
kecuali yang mensyaratkan demikian seperti solat Jumaat
khusus untuk lelaki sahaja.
Ketujuh : Bermukim dan mastautin di tempat solat Jumaat
didirikan.
Bermukim bermaksud berniat untuk tinggal di suatu tempat
selama empat hari atau lebih, manakala bermastautin dalam
erti kata tempat tinggal hakikinya seseorang. Oleh itu kewajipan
ini tertakluk kepada setiap orang lelaki yang bermastautin atau
bermukim di suatu bandar atau kampung sama ada mendengar
azan berkumandang ataupun tidak. Bagi yang menetap di luar,
jauh dari qaryah atau penempatan awam solat Jumaat adalah
wajib sekiranya tiada keuzuran syar’ei.
192
Dalam hal ini perlu dijelaskan orang yang wajib Jumaat itu
ada dua kategori:
1. Bermastautin secara tetap atau ahli qaryah. Golongan ini
wajib menjadi pelengkap kepada bilangan jemaah 40 orang
lelaki termasuk imam yang memenuhi syarat wajib Jumaat
atau ahli Jumaat. Dalam erti kata lain, tidak sah solat
Jumaat kecuali dengan bilangan jemaah 40 orang lelaki
yang memenuhi syarat wajib Jumaat, iaitulah orang-orang
lelaki yang baligh serta bermastautin pada tempat tersebut.
Pemustautin wajib menunaikan solat Jumaat di tempat
mereka (kariah), sama ada tempat tersebut jauh atau dekat,
mereka mendengar azan ataupun tidak kerana syarat-
syarat solat Jumaat dikira cukup dengan kehadiran mereka.
2. Bermukim tanpa bermastautin. Ianya bermaksud seseorang
yang berniat untuk bermukim selama empat hari dan
ke atas tidak termasuk hari ketibaannya dan hari keluarnya.
Golongan ini wajib menunaikan solat Jumaat serta sah solat
tersebut akan tetapi kehadiran mereka tidak diambil kira
sebagai orang yang memenuhi syarat wajib Jumaat.
Orang yang bermastautin dan bermukim (sebelum
masuknya hari keempat) kemudian berhasrat untuk
melakukan (musafir) perjalanan pada hari Jumaat
hukumnya seperti berikut:
i. Harus : Sekiranya perjalanan tersebut dalam
kategori harus bukan maksiat.
Memulakan perjalanannya sebelum
masuk waktu subuh pada hari Jumaat
serta azan subuh tidak kedengaran di
tempatnya dan solat Jumaat itu gugur
ke atasnya.
ii. Haram : Sekiranya perjalanan tersebut dalam
kategori harus bukan maksiat dilakukan
sebelum atau selepas masuknya waktu
zohor dan dilakukan dengan tanpa ada
sebarang keuzuran.
Nota penting : Bagi yang menunaikan solat Jumaat
dalam keadaan musafir, solat Jumaatnya
193
sah walaupun tidak diwajibkan ke
atasnya. Ia boleh dijamakkan dan
diqasarkan sekali dengan solat Asar
secara Jamak Takdim sahaja. Hal ini
bermaksud menunaikan solat Jumaat
terlebih dahulu kemudian diiringi dengan
solat Asar dua rakaat.
Syarat bermukim ini pada dasarnya terdapat dalam semua
mazhab empat dengan sedikit perbezaan pendapat sama ada
kampung juga sama seperti bandar. Semua mazhab kecuali
mazhab Hanafi mewajibkan orang yang bermukim di sebuah
kampung menunaikan solat Jumaat. Menurut mazhab Hanafi
orang yang bermukim di bandar besar dan kawasan
sekelilingnya sahaja diwajibkan menunaikan solat Jumaat.
Penetapan syarat ini di kalangan semua ulama mazhab
menguatkan lagi tuntutan berjemaah dengan angka tertentu
secara minima. Tujuannya untuk menegakkan tuntutan syiar
Islam itu sendiri secara ruh berjemaah dan bertepatan dengan
maksud Jumaat itu sendiri. Justeru, penetapan kedengaran
azan diambil kira pada masa tersebut. Dalam konteks hari ini
kewajipan solat Jumaat perlu lebih longgar kerana wujudnya
media elektronik dan perhubungan yang lebih canggih. Oleh itu
persoalan jarak tempat menetap di mana-mana sekalipun
bukanlah suatu penentu kepada gugurnya solat Jumaat.
Kelapan : Bebas daripada sebarang keuzuran.
Termasuk dalam kategori ini sekiranya keadaan tidak
mengizinkan seperti berlakunya bencana seperti COVID-19,
hujan lebat, bimbang ke atas diri sendiri atau harta, berlakunya
kekacauan, ahli keluarga dalam keadaan nazak dan
seumpamanya maka tuntutan Jumaat itu gugur.
SYARAT-SYARAT SAH JUMAAT
276. Syarat-syarat sah ini hanyalah terpakai sekiranya
seseorang itu mempunyai lapan syarat sebelumnya terlebih
dahulu. Dalam kategori ini terdapat empat syarat seperti berikut:
Pertama : Solat Jumaat didirikan di dalam kawasan
adanya perumahan, sama ada terletak di bandar
atau di kampung, dengan penduduk
194
bermastautin tidak kurang daripada 40 orang
lelaki termasuk imam yang sempurna syarat-
syarat wajib sebelumnya.
Kedua : Bilangan jemaah yang menghadiri solat Jumaat
tidak kurang dari 40 orang lelaki termasuk imam
yang memenuhi syarat-syarat wajib yang lapan.
Ketiga : Solat Jumaat berjemaah dilaksanakan dalam
waktu Zohor dalam kadar yang mencukupi
sehingga salam pertama disempurnakan.
MEMAHAMI CARA BAGAIMANA UNTUK MENDAPAT
SOLAT JUMAAT 2 RAKAAT PENUH, 1 RAKAAT DAN TIDAK
MENDAPAT KESELURUHAN SOLAT JUMAAT ATAU TIDAK
SEMPURNA SOLAT JUMAAT ITU
277. Berjemaah merupakan syarat sah kepada solat Jumaat,
oleh itu setiap para jemaah yang menghadiri solat Jumaat
perlu memahami keadaan solatnya agar solat tersebut
sempurna. Ini kerana solat Jumaat yang tidak sempurna wajib
digantikan dengan solat Zohor. Justeru, berikut ini dikemukakan
panduan penting yang wajib diketahui dan diikuti seorang
makmum dari kalangan ahli jemaah bagi memastikan solat
Jumaatnya sempurna.
278. Keadaan makmum (ahli jemaah) bersama imam ada dua
kategori:
1. SOLAT JUMAAT SEMPURNA (2 RAKAAT SAHAJA)
i. MAKMUM YANG MENDAPAT 2 RAKAAT PENUH
BERSAMA IMAM
Caranya, seorang makmum sempat rukuk dengan
sempurna ketika imam masih lagi dalam keadaan rukuk
pada rakaat yang pertama, i’tidal serta toma’ninah dan
terus sujud bersama imam, dengan syarat sempat
melakukan (Takbiratul ihram) takbir bagi memulakan
solat ketika berdiri (qiyam). Orang ini hanya perlu
memberi salam bersama imam tanpa menambah
rakaat.
195
ii. MAKMUM YANG MENDAPAT SEKURANG-
KURANGNYA SATU RAKAAT
Caranya, seorang makmum sempat rukuk dengan
sempurna ketika imam masih lagi dalam keadaan rukuk
pada rakaat yang kedua, i’tidal serta toma’ninah dan
terus sujud bersama imam, dengan syarat sempat
melakukan takbiratul ihram ketika berdiri (qiyam).
Orang ini hanya perlu menambah satu rakaat lagi
selesai daripada imam memberi salam dan solat
Jumaatnya sempurna.
2. SOLAT JUMAAT TIDAK SEMPURNA DAN WAJIB
MENERUSKAN 4 RAKAAT AUTOMATIK SOLAT ZOHOR
i. MAKMUM YANG TIDAK SEMPAT WALAUPUN
DALAM SATU RAKAAT BERSAMA IMAM
Caranya, ketika seorang makmum melakukan
(takbiratul ihram) takbir bagi memulakan solat, imam
telah melakukan (i’tidal) berdiri selepas rukuk pada
rakaat yang kedua atau mengangkat kepala daripada
rukuk dan imam terus sujud dan duduk antara dua
sujud sebelum salam pertama. Orang ini perlu
meneruskan 4 rakaat bagi solat yang automatiknya
Zohor. Orang ini juga wajib masuk dengan niat solat
Jumaat kemudian menyempurnakan 4 rakaat secara
automatik Zohor tanpa perlu melakukan takbiratul
ihram yang baru berniat solat Zohor. Selesai imam
memberi salam ia wajib menyempurnakan 4 rakaat
sebab solat Jumaat ialah merupakan fardu ain.
ii. MAKMUM YANG TIDAK SEMPAT MASUK
BERSAMA IMAM DALAM SEMUA SOLAT JUMAAT
Caranya, makmum mengangkat takbiratul ihram
ketika imam sedang duduk tahayat akhir sebelum
imam memberi salam. Orang ini wajib melakukan
takbiratul ihram dengan niat solat Jumaat kemudian
menyempurnakan 4 rakaat secara automatik Zohor
tanpa perlu melakukan takbiratul ihram yang baru
dengan berniat solat Zohor. Selesai imam memberi
salam ia wajib menyempurnakan 4 rakaat sebab solat
Jumaat ialah merupakan fardu ain. Namun, jika
dilakukan selepas imam memberi salam yang pertama
196
ianya wajib dengan niat solat Zohor 4 rakaat.
Dalam erti kata lain, solat yang diniatkan (solat
Jumaat) ianya tidak dilakukan, akan tetapi yang
tidak diniatkan (solat Zohor) itulah yang
dilaksanakan.
RUKUN-RUKUN JUMAAT
279. Rukun Jumaat terdiri daripada dua perkara seperti berikut:
Pertama : Dua khutbah dengan syarat-syarat berikut:
i. Berdiri jika mampu.
ii. Mendahulukan khutbah sebelum solat.
iii. Khatib berada dalam keadaan suci dari
hadas kecil dan besar serta najis yang tidak
dimaafkan pada pakaian, tempat dan badan.
iv. Rukun-rukun khutbah dibaca dalam bahasa
Arab.
v. Berturut-turut antara rukun-rukun khutbah
yang pertama dan kedua.
vi. Rukun dua khutbah didengari 40 orang
jemaah yang memenuhi syarat-syarat wajib
solat Jumaat.
Rukun khutbah disyaratkan perkara-perkara
berikut:
i. Memuji Allah Taala.
ii. Membaca Selawat.
iii. Wasiat dengan takut kepada Allah.
iv. Membaca satu ayat Al-Quran yang difahami.
v. Membaca doa berkenaan urusan akhirat
untuk orang Islam dalam khutbah kedua.
Nota : Perkara i, ii dan iii menjadi rukun bagi
kedua-dua khutbah. Oleh itu, tidak
sah kedua-dua khutbah melainkan
dengan menyempurnakannya.
Kedua : Solat Jumaat dua rakaat secara berjemaah.
197
KHUTBAH MUSIM COVID-19
198
199
200
201
202
203
BILANGAN MINIMA JEMAAH MENURUT MAZHAB EMPAT
280. Keseluruhan mazhab empat mensyaratkan solat Jumaat
wajib dilakukan secara berjemaah bersandarkan hadis sahih
daripada Tariq bin Shihab r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud: “Solat Jumaat wajib kepada setiap muslim secara
berjemaah kecuali hamba, wanita, kanak-kanak dan orang yang
sakit.” [Maksud hadis riwayat Abu Daud]
Namun, penetapan kadar minima ahli jemaah yang wajib
hadir menunaikan solat Jumaat tidak disepakati dalam semua
mazhab empat dari sudut angkanya.
281. Ini bererti pertikaian dalam menentukan bilangan tersebut
membawa rahmat besar kepada umat Islam dalam bentuk
pilihan dalam bentuk keringanan beribadat (rukshah). Secara
dasarnya, penentuan kadar minima dapat diklasifikasikan
seperti berikut berpandukan pendapat mazhab empat yang
muktabar:
i. Mazhab Hanafi
ii. Mazhab Maliki
iii. Mazhab Syafie
iv. Mazhab Hanbali
MAZHAB HANAFI
282. Tiga orang tidak termasuk Imam
(bahasa mudah 4 orang termasuk imam)
Pertama : Pendapat Imam Abu Hanifah sahaja.
Kedua : Pendapat Abu Hanifah dan Muhammad bin
al-Hasan al-Syaibani.
Ketiga : Pendapat Muhammad bin al-Hasan
al-Syaibani dalam qaul yang lebih kukuh
sama seperti Imam Abu Hanifah.
283. Dari sudut pendalilan kenapa imam tidak termasuk bersama
3 orang jemaah untuk menjadikannya 3 orang sahaja, seperti
mana dalam bahasa Arab sekurang-kurang jamak itu tiga?.
Imam Abu Hanifah berpegang kepada dalil al-Quran ayat 9
surah al-Jumu’ah. Menurut Ibnu Abidin: Ayat 9 dalam
surah al-Jumu’ah Allah SWT menyeru dengan perkataan yang
bermaksud : “Bersegeralah kamu menunaikan solat Jumaat”
merujuk kepada jemaah. Arahan tersebut khusus untuk ahli
204
jemaah dengan sekurang-kurangnya tiga orang dalam bentuk
plural (Jama’). Manakala seorang imam bukan dari kalangan
yang diseru dan patut dikira secara berasingan, dalam lain
perkataan 4 orang termasuk imam.
284. Pendalilan Abu Hanifah juga bersumberkan sebuah hadis verbal
(Qauli) daripada Nabi SAW daripada Ummu Abdullah
al-Dawsiyyah r.a dengan katanya: Rasulullah SAW pernah
bersabda yang bermaksud : “Solat Jumaat wajib kepada setiap
penghuni kampung yang mempunyai imam, walaupun bilangan
mereka hanya empat orang sahaja”. [Maksud hadis riwayat
al-Baihaqi]
285. Kedudukan hadis ini menjadi pertikaian di kalangan ulama
hadis disebabkan rantaian perawinya terdapat al-Walid bin
Muhammad al-Muqiri dihukum (Matruk). Pengertian Matruk
ialah ulama hadis sepakat mengatakan perawi tersebut dituduh
berdusta dan tiada jalur lain melainkan datang daripadanya
sahaja. Ini bererti kewibawaan perawi dipertikaikan dan hadis
tersebut berada dalam posisi yang tersangat lemah.
286. Namun demikian, al-Tahanawi berbahas panjang berkaitan jalur
hadis ini dan akhirnya mentarjihkan kesahihan hadis ini serta
layak diangkat sebagai hujah. Justifikasinya kerana disokong
oleh ulama hadis lain seperti al-Suyuti dari sudut jalur lain yang
boleh diterima pakai. Menurut beliau hadis ini jelas bilangan
minima solat Jumaat empat orang dan seandainya boleh
dilaksanakan dengan bilangan yang lebih kecil sudah pasti
dijelaskan oleh Nabi SAW. Justeru, jelas pendalilan Abu Hanifah
yang meletakkan syarat 3 orang tidak termasuk imam
berpandukan kepada dalil al-Quran dan Hadis (Naqli) dan
bersumberkan akal (Aqli).
287. Ini bererti sekurang-kurang jemaah 4 orang termasuk imam
merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Hanafi yang
terpakai dalam mazhab mereka. Pendapat ini juga disokong
oleh pendapat Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani. Oleh itu,
pendapat Imam Abu Yusuf adalah lemah dan tidak boleh
dijadikan sandaran kerana Imam Abu Hanifah lebih berautoriti
dalam mazhab Hanafi.
288. Menurut Ibnu ‘Abidin seorang tokoh ulama Hanafi berwibawa
di kalangan ulama terkemudian dalam Hashiyah Rad al-Muhtar:
205
Pendapat Imam Abu Hanifah dalam bab ibadat merupakan
fatwa yang muktamad dalam mazhab Hanafi yang tidak boleh
disanggah dan dipertikaikan selama mana tiada pendapat lain
daripada beliau yang saling bercanggah dalam permasalahan
yang sama.
289. Dua orang tidak termasuk Imam (bahasa mudah 3 orang
termasuk Imam)
Pertama : Pendapat Abu Yusuf sahaja.
Kedua : Pendapat Muhammad bin al-Hasan dalam
satu riwayat.
MAZHAB MALIKI
290. Dua puluh orang termasuk Imam
Fatwa Imam Malik.
291. Tiga puluh orang termasuk Imam
Pendapat ulama mazhab.
292. Empat puluh orang termasuk Imam
Pendapat ulama mazhab.
293. Lima puluh orang termasuk Imam
Pendapat ulama mazhab.
294. Tiga orang tidak termasuk Imam (bahasa mudah 4 orang
termasuk Imam)
Pendapat sebahagian ulama mazhab.
295. Dua belas orang tidak termasuk Imam
Pendapat yang utama (masyhur) dalam mazhab Maliki.
Dari sudut pendalilan ulama mazhab Maliki berhujah
dengan riwayat daripada Jabir bin Abdullah r.a yang
mengatakan bahawa Nabi SAW sedang menyampaikan
khutbah Jumaat dalam keadaan berdiri. Tiba-tiba datang satu
rombongan dagang dari Syam, maka para jemaah telah
bergegas ke arah rombongan itu sehingga tidak ada lagi
yang tinggal mendengar khutbah tersebut bersama dengan
Nabi SAW melainkan dua belas orang lelaki. Maka, turunlah
ayat 11 surah al-Jumu‘ah. [Maksud hadis riwayat Muslim]
Dalam mazhab Maliki bilangan minima jemaah solat Jumaat
206
ialah 12 orang tidak termasuk imam mestilah lelaki yang
bermastautin dan kekal bersama Imam dari awal khutbah
sehinggalah selesai menunaikan solat Jumaat.
296. Tiada angka tertentu
Pendapat Imam Malik.
Tiada angka tertentu tidak bermaksud seorang atau dua
orang sudah cukup untuk mendirikan solat Jumaat. Pendapat
Imam Malik tersebut menjurus kepada perlu adanya
sekumpulan lelaki sekadar cukup untuk menguruskan urusan
perkampungan mereka seperti menjaga keselamatan dan
keperluan lain. Sudah pasti angka ini tidak dapat ditentukan
melainkan dengan melihat kepada saiz perkampungan dan
keadaan tertentu. Secara umum bilangannya boleh mencecah
tiga puluh orang.
MAZHAB SYAFIE
EMPAT PULUH ORANG TERMASUK IMAM
297. Pendapat muktamad Imam Syafie dalam qaul jadid dan
merupakan pegangan Mazhab Syafie sama seperti mazhab
Hanbali. Pendapat ini ditarjihkan oleh Imam al-Nawawi dalam
al-Majmu’. Tarjih bererti beliau memilih dalil yang menyokong
40 orang termasuk imam sebagai amalan dan selainnya
hendaklah ditinggalkan.
Dalam Mazhab Syafie, jumlah minima dalam melaksanakan
solat Jumaat mestilah dihadiri seramai 40 orang yang memenuhi
syarat. Keberadaan semua ahli jemaah seramai 40 orang
tersebut mestilah bermula daripada khutbah Jumaat sehingga
berakhirnya dengan salam bersama imam. Dalil-dalil yang
dikemukakan dalam mazhab Syafie seperti berikut:
Pertama : Sandaran premier mazhab Syafie ialah hadis
Sahih daripada Abd Rahman bin Ka’ab bin
Malik. Dalam hadis tersebut Ka’ab mendoakan
keampunan Allah untuk As’ad bin Zurarah r.a
ketika azan solat Jumaat dikumandangkan.
Maka Abd Rahman bertanya kepada bapanya
Ka’ab: Mengapa engkau selalu mendoakan
Asa’d bin Zurarah ketika mendengar azan?.
Ka’ab lalu menjelaskan: Asa’d bin Zurarah r.a
orang pertama yang mengumpulkan kami di
207
perkampungan Bani Bayadah untuk mendirikan
solat Jumaat. Lalu beliau ditanya: “Berapa
ramaikah bilangan kamu ketika itu? Ka’ab
lalu menjawab: 40 orang.” [Maksud hadis
riwayat Abu Daud]. Justifikasi dalil ini kerana
perlaksanaan solat Jumaat dalam hadis tersebut
buat pertama kali dilaksanakan dalam Islam
dan ianya memberikan penjelasan jelas kepada
perkara yang samar.
Kedua : Daripada Jabir r.a katanya yang bermaksud :
“Bagi setiap bilangan yang genap 40 orang dan
lebih wajib melaksanakan solat Jumaat, solat
Hari Raya Korban dan Hari Raya Aidilfitri”.
[Maksud hadis riwayat al-Baihaqi dan al-Dar
Qutni]
Ketiga : Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya:
“Nabi SAW menghimpunkan kami di Madinah
sehingga bilangan kami empat puluh orang dan
aku merupakan orang yang terakhir datang.
Sabda Nabi SAW kepada kami yang
bermaksud : “Sesungguhnya kamu nanti
tepat dalam membuat keputusan, mendapat
pertolongan dan dibukakan kepada jalan
kemenangan, barangsiapa di kalangan kamu
panjang umurnya ke saat itu hendaklah
bertakwa kepada Allah, melakukan perkara
ma’aruf, mencegah kemungkaran dan
menghubung tali silaturahim”.
[Maksud hadis riwayat al-Baihaqi]
KRITIKAN ULAMA TERHADAP HADIS-HADIS DI ATAS
298. Ulama hadis mengkritik dalil-dalil yang dikemukakan di atas
dengan alasan seperti berikut:
i. Hadis Sahih daripada Abd Rahman bin Ka’ab bin Malik
tidak kukuh dari sudut pendalilannya. Menurut al-Suyuti
bukan Nabi SAW yang meletakkan syarat jemaah seramai
40 orang, akan tetapi ketika As’ad bin Zurarah
menghimpunkan para sahabat Nabi SAW di Madinah
secara kebetulan angka mereka 40 orang. Arahan
208
Nabi SAW kepada Mus’ab bin Umair RA hanya meminta
mereka menunaikan solat Jumaat tanpa menyebut
bilangan jemaah.
ii. Hadis Jabir r.a tidak boleh dijadikan hujah kerana hadis
ini berada dalam kategori lemah (dha’if) disebabkan
salah seorang jalur sanadnya Abd Aziz bin Abd Rahman.
Menurut Imam Ahmad perawi tersebut pendusta dan
memalsukan hadis Nabi SAW. Menurut Ibnu Hibban
hadis yang dikemukakan oleh Abd Aziz bin Abd Rahman
tidak boleh dijadikan hujah. Menurut al-Dar Qutni perawi
tersebut Munkir al-Hadith iaitu perawinya kurang tahap
kepercayaannya dan riwayatnya itu tidak diterima jika
bersendirian.
iii. Hadis Abdullah bin Mas’ud RA menurut al-Suyuti tidak kuat
dijadikan sandaran kerana Rasulullah menghimpunkan
para sahabat bukan bertujuan melaksanakan solat Jumaat,
akan tetapi menyampaikan kepada mereka khabar gembira
dari Allah SWT.
299. Menurut Nuruddin ‘Itir penetapan angka empat puluh orang
jemaah secara berterusan tidak bersandarkan kepada dalil
yang kukuh kerana baginda pernah menunaikannya bersama
dua belas orang sahabat sahaja seperti mana dalam mazhab
Maliki. Begitu juga sekiranya diteliti secara mendalam
bersandarkan ayat dalam surah al-Jumu’ah, merujuk arahan
menunaikan solat dalam bentuk jamak sekurang-kurangnya
tiga orang. Kemudian diperkukuhkan dengan hadis Abu Said
al-Khudri, sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Sekiranya
mereka bertiga hendaklah salah seorang dari kalangan mereka
menjadi imam” [Maksud hadis riwayat Muslim]. Hadis ini juga
terpakai untuk solat Jumaat maka pendapat ini perlu
diutamakan sebagai tanda kesungguhan untuk menzahirkan
syiar Islam dan menyampaikan mesej dakwah kerana yang
banyak itu bermula daripada sedikit jika dilaksanakan secara
berterusan.
300. Menurut Wahbah al-Zuhaili meletakkan syarat dengan angka
tertentu dalam solat Jumaat tidak dapat dipastikan secara
tuntas kerana terdapat banyak riwayat. Cukuplah dengan
maksud solat itu dilaksanakan secara berjemaah dalam erti
209
kata adanya sebilangan jemaah maka boleh dilaksanakan.
EMPAT PULUH ORANG TIDAK TERMASUK IMAM
301. Pendapat Ulama Khurasan dan Iraq seperti Ibnu Abi
Hurairah dan al-Shashi di kalangan pengikut mazhab Imam
Syafie.
KOMENTAR IMAM AL-NAWAWI :
Menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’: “Pendapat
disyaratkan Imam tidak termasuk dari kalangan 40 orang
jemaah, dikemukakan oleh Ulama Khurasan dari kalangan
pengikut mazhab Syafie dan pendapat tersebut adalah lemah.
Pendapat yang sama yang dikemukakan sebahagian ulama
Iraq seperti pengarang kitab al-Hawi, Ibnu Abi Hurairah
dan al-Shashi di kalangan pengikut mazhab Imam Syafie.
Menurut al-Rawyani pendapat ini daripada qaul qadim Imam
Syafie”.
EMPAT ORANG TERMASUK IMAM
302. Pendapat ini dinukilkan oleh al-Mawardi dalam al-Ahkam
al-Sultaniyyah dengan katanya : “Menurut Abu Hanifah dan
al-Muzani terangkat solat Jumaat dengan dihadiri empat orang
salah seorang mereka menjadi Imam”.
Pendapat yang sama dikemukakan al-Mawardi dalam
al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani dengan
katanya: “Menurut Abu Hanifah terangkat solat Jumaat dengan
dihadiri empat atau tiga orang sahaja, pendapat ini sama seperti
yang dikemukakan oleh al-Laith bin Saad dan al-Muzani
dengan mengambil kira maksud bilangan berjemaah paling
minimum iaitulah tiga apabila disertai bersama seorang imam
genap bilangannya empat”.
TIGA ORANG TERMASUK IMAM
303. Pendapat Imam Syafie dalam qaul qadim (ijtihad dan
pandangan sebelum berhijrah ke Mesir).
Pendapat ini dikemukakan oleh Abu al-Abbas al-Tabari
atau lebih dikenali dengan Ibnu al-Qas tokoh ulama Syafie
kurun keempat Hijrah.
KOMENTAR IMAM AL-NAWAWI:
Menurut Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’: Dakwaan Ibnu
al-Qas dalam al-Talkhis mengatakan tiga orang termasuk imam
210
pendapat Imam Syafie, pendapat terpencil dan di hukum
Gahrib. Maksud gharib di sini hanya beliau seorang sahaja
yang meriwayatkan demikian dan ditolak oleh majoriti ulama
mazhab dari kalangan Ashab Imam Syafie. Menurut al-Qaffal
dalam Syarah al-Talkhis: Pendapat ini tidak benar kerana
Imam Syafie tidak pernah menyebutnya dan aku sendiri pun
tidak mengetahuinya melainkan pendapat tersebut dari mazhab
Hanafi.
Komentar Imam Nawawi ini bererti pendapat yang
dikemukakan oleh Ibnu al-Qas umumnya terlalu lemah kerana
tidak disokong oleh ulama-ulama mazhab yang lain.
Keadaannya berbeza dengan pendapat al-Muzani yang
mengemukakan riwayat dari qaul qadim serta disokong
oleh sebahagian ulama-ulama mazhab.
MAZHAB HANBALI
304. Empat puluh orang termasuk Imam
Pendapat muktamad Ahmad bin Hanbal.
305. Lima puluh orang termasuk Imam
Pendapat Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat.
306. Tiga orang termasuk Imam
Pendapat Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat.
BILANGAN MINIMA MENURUT MAZHAB SYAFIE DAN
KUPASANNYA
307. Berpandukan kepada pendapat Imam Syafie syarat sah
solat Jumaat paling minima boleh dibahagikan kepada dua.
Pertama : Qaul jadid Imam Syafie yang merupakan fatwa
dalam mazhab, angkanya 40 orang termasuk
Imam.
Kedua : Qaul qadim Imam Syafie dalam kategori lemah
kepada tiga pendapat.
i. Empat puluh orang tidak termasuk Imam.
ii. Empat orang termasuk Imam.
iii. Tiga orang termasuk Imam.
211
308. Bersandarkan komentar Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’
fatwa dalam mazhab Syafie bilangan paling minima 40 orang
termasuk imam, manakala pendapat daripada qaul qadim
40 orang tidak termasuk imam dan 3 orang termasuk imam
adalah lemah dan tidak boleh dijadikan amalan. Adapun
pendapat 4 orang termasuk imam tidak di sentuh sama sekali
dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab.
309. Justeru, perbahasan ini hanyalah merungkai dua pendapat
Imam Syafie dari qaul jadid yang merupakan fatwa dalam
mazhab Syafie, angkanya 40 orang termasuk imam dan 4 orang
termasuk imam daripada qaul qadim. Sebelum menjawab
kritikan kedudukan sandaran dalil dari kedua-dua pendapat
tersebut, berikut dikemukakan terlebih dahulu latar belakang
qaul qadim dan qaul jadid Imam Syafie.
IJTIHAD IMAM SYAFIE DALAM QAUL QADIM DAN QAUL
JADID
310. Qaul jadid merujuk kepada pendapat Imam Syafi’e yang
terdiri daripada fatwa-fatwa beliau terhadap sesuatu
permasalahan fiqh dalam bentuk penulisan atau fatwa lisan.
Manakala qaul qadim merangkumi pandangan-pandangan
Imam Syafi’e yang dikemukakan sebelum beliau menetap
di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah, Madinah, Yaman
dan Iraq. Jadid merujuk kepada keberadaan Imam Syafi’e
di bumi Mesir sehingga meninggal dunia di Kaherah pada
tahun 204H.
311. Justeru, lahirnya qaul jadid dan qaul qadim ini daripada tempoh
peralihan tempat yang berlaku dalam hidup Imam Syafi’e,
melalui hasil karya beliau semasa era sebelum berpindah ke
Mesir dan selepas itu. Berikut dikemukakan pengertian dan
penjelasan terperinci berkaitan qaul jadid dan qaul qadim.
312. Menurut al-Khatib al-Syirbini qaul jadid ialah pandangan Imam
Syafi’e ketika di Mesir, sama ada dalam bentuk penulisan atau
fatwa lisan dan periwayat utama qaul jadid ini ialah al-Buwaiti,
al-Muzani dan al-Rabi’; adapun murid beliau yang lain seperti
Harmalah, Yunus bin Abd al-A’la, Abdullah bin Zubair al-Makki,
mereka hanya meriwayatkan sebahagian pandangan Imam
al-Syafi’e. Manakala qaul qadim merupakan pandangan Imam
al-Syafi’e ketika di Iraq, sama ada melalui penulisan terutama
212
dalam kitab al-Hujjah atau fatwa secara lisan. Qaul qadim juga
merangkumi pandangan-pandangan Imam al-Syafi’e sebelum
beliau menetap di Mesir, iaitu ketika beliau tinggal di Mekah,
Madinah, Yaman dan Iraq.
313. Menurut al-Khatib al-Syirbini pandangan-pandangan beliau
ketika beliau berpindah ke Mesir, hinggalah setelah kewafatan
beliau merupakan qaul mu’tamad yang dijadikan fatwa mewakili
mazhab Imam al-Syafi’e. Ini bermaksud Imam al-Syafi’e telah
menarik kembali pandangan beliau yang daripada qaul qadim
dan berkata: “Aku tidak benarkan sesiapa meriwayatkan
daripadaku pandangan aku yang lama”. Dalam erti kata lain
hanyalah qaul jadid dikira sebagai pandangan yang mewakili
mazhab beliau.
314. Timbul persoalan kenapa Imam Syafie membatalkan ijtihad dan
pendapat sebelum berhijrah ke Mesir? Dan salah satunya
permasalahnya berhubung kait dengan bilangan minima solat
Jumaat. Menurut para pengkaji perubahan ijtihad ini berlaku
bukan kerana disebabkan faktor geografi seperti mana yang
didakwa sebahagian penulis. Dakwaan mereka qaul qadim
sesuai dengan persekitaran dan adat masyarakat di Iraq dan
tidak sesuai untuk persekitaran dan adat masyarakat Mesir.
Maka berlakunya anjakan paradigma dengan membatalkan
pendapat beliau ketika di Mesir, kenyataan ini tidak benar sama
sekali.
315. Pada hakikatnya perubahan ijtihad ini berlaku disebabkan
beberapa faktor seperti berikut:
Pertama : Qaul qadim Imam al-Syafi’e ketika di Iraq
khususnya bersifat longgar dan banyak
kekurangannya dari sudut dalil dan kaedah
mengeluarkan hukum (istinbat). Pendapat-
pendapat dalam qaul jadid lebih kukuh dari
sudut kekuatan dalil dan kaedah mengeluarkan
hukum (istibat).
Kedua : Qaul qadim Imam al-Syafi’e banyak meraikan
keperluan dan mengangkat kesukaran
(masyaqqah), manakala pendapat-pendapat
qaul jadid kuat bersandarkan kepada teks nas
secara tersurat.
213
Ketiga : Qaul qadim Imam al-Syafi’e dalam kebanyakan
masalah bersefahaman dengan mazhab guru
beliau Imam Malik. Pendapat-pendapat dalam
qaul jadid lebih menampakkan kematangan
ijtihad Imam al-Syafi’e yang tidak semestinya
bersependapat dengan Imam Malik.
PERLAKSANAAN SOLAT JUMAAT KETIKA PKP/B
316. Pihak berkuasa agama setiap negeri dengan pemantauan
Kementerian Kesihatan dan kelulusan Majlis keselamatan
Negara telah mengeluarkan Panduan Solat Jumaat dan Hari
Raya Aidilfitri di seluruh negara bermula 15 Mei 2020 kecuali
Perlis yang telah mendahului semua negeri. Setiap negeri
menetapkan bilangan minima masing-masing mengikut
keputusan Fatwa setiap negeri seperti jadual berikut.
317. Melihat kepada carta dilampirkan setiap negeri dengan versi
masing-masing. Daripada taburan angka yang dikemukakan
setiap negeri sudah pasti pihak-pihak berwajib membuat rujukan
masing-masing berpandukan kepada mazhab tertentu.
Persoalannya adakah penetapan angka tersebut berlandaskan
pendapat muktamad dalam mazhab Syafie atau bertaqlid
kepada mana-mana mazhab empat?. Tidak dinafikan semua
pendapat bersandarkan kepada kekuatan hujah masing-masing
namun, pendapat yang diperakui sebagai muktamad ataupun
setidak-tidaknya satu riwayat dalam mazhab Syafie perlu
diambil kira.
318. Ini kerana pemakaian mazhab Syafie dalam pengamalan
hukum Islam di Gugusan Kepulauan Melayu termasuk
Malaysia merupakan warisan tradisi turun temurun yang masih
berterusan hingga ke hari ini. Mazhab ini telah mengambil
peranan utama dalam perkembangan pemikiran fiqh kepada
masyarakat di Malaysia dari sebelum merdeka lagi.
319. Selepas merdeka semua Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Negeri-Negeri menyatakan tentang terikatnya dengan mazhab
Syafie dalam pengeluaran fatwa, walaupun mazhab empat
yang lain juga diterima-pakai dalam hal-hal tertentu. Selepas
undang-undang pentadbiran agama Islam dipinda dan
diperlengkapkan untuk digunapakai di negeri-negeri, maka
peruntukan yang mengikat dengan mazhab Syafie masih
214
dikekalkan kecuali Negeri Perlis yang tidak mengikut
peruntukan ini kerana ia berpegang dengan sumber yang
asas iaitu Quran dan Sunnah.
320. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-14 yang diadakan
di Johor pada 22 hingga 23 Oktober 1985 mengenai mazhab
muktabar dalam fiqah Islam mengambil ketetapan setiap negeri
di negara ini hendaklah mendasarkan fatwanya kepada mazhab
Syafie. Manakala menggunakan mazhab lain dibenarkan jika
didapati sebab-sebab tertentu untuk menggunakannya dari
segi maslahahnya dan mestilah direstui oleh sultan negeri
berkenaan.
321. Dalam proses mengeluarkan hukum atau fatwa, kebanyakan
negeri secara lazimnya akan mengeluarkan hukum atau fatwa
berasaskan qaul muktamad mazhab Syafi’e. Sekiranya qaul
muktamad mazhab Syafi’e bertentangan dengan kepentingan
awam, mana-mana qaul muktamad mazhab Hanafi, Maliki
dan Hanbali, atau mana-mana mazhab lain yang kaedah
istinbat hukumnya hampir kepada aliran-aliran ini boleh
dirujuk. Jika dengan merujuk qaul-qaul muktamad tersebut
Jawatankuasa Fatwa berpandangan terdapat percanggahan
dengan kepentingan awam, maka Jawatankuasa Fatwa boleh
menggunakan ijtihad mereka sendiri.
322. Pendapat atau qaul yang tidak muktamad tidak membawa
maksud tidak boleh digunakan dalam fatwa atau haram. Ianya
hanyalah sekadar berlawanan dengan pandangan qaul rajih
yang kuat atau berada pada posisi lemah (dha’if). Justeru,
Jawatankuasa Fatwa boleh memutuskan hukum atau fatwa
dengan qaul tidak muktamad sekiranya ada keperluan dengan
mengambil kira prinsip-prinsip berikut iaitu:
i. Perlu mengetahui dalilnya.
ii. Tidak menyalahi pendapat yang diijmakkan.
iii. Pendapat tersebut boleh mengelakkan kesukaran
(mashaqqah) dan mendatangkan kebaikan (maslahah).
iv. Menisbahkan pendapat tersebut kepada sumber yang
muktabar.
215
QAUL QADIM DAN KESESUAIANNYA KETIKA COVID-19
DAN DARURAT
323. Umum mengetahui sebarang penetapan hukum dan fatwa
perlu mengambil kira kepada kepentingan awam bertujuan
melaksanakan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat yang
terkandung dalam maqasid syariah. Intipati daripada Maqasid
syariah ialah kebaikan atau maslahah yang ingin dicapai oleh
syarak untuk manfaat manusia di dunia dan akhirat. Ia
merangkumi pemeliharaan terhadap lima perkara kemestian
utama (al-daruriyyat al-khamsah) iaitu menjaga agama, nyawa,
keturunan, akal dan harta.
324. Gambaran yang jelas kepada suatu permasalahan yang
sedang dihadapi masyarakat, memahami realiti setempat
dengan mendahulukan kemaslahatan yang lebih banyak perlu
diutamakan sebelum mengeluarkan sebarang hukum. Dalam
pada itu aplikasi fiqh banyak berkait rapat dengan hukum-
hakam yang bersifat boleh berubah (al-mutaghayyirat). Ini
bererti, dalam isu semasa yang berlaku seperti COVID-19
meraikan suasana dan maslahat perlu diberikan keutamaan.
325. Terdahulu telah dijelaskan Qaul muktamad dalam mazhab
Syafie menetapkan 40 orang termasuk imam jumlah minima
dalam melaksanakan solat Jumaat, bersandarkan kepada
hadis Kaab bin Malik r.a. Namun, penetapan angka 40 orang
tersebut menurut al-Suyuti berlaku secara kebetulan kerana
yang hadir pada waktu tersebut hanyalah sebanyak itu. Pada
beliau hadis tersebut tidak menafikan sahnya solat jumaat
dengan angka kurang daripada 40 orang. Pada beliau juga
realiti berlakunya suatu perkara dalam suatu masa tidak boleh
dijadikan hujah secara umum.
326. Menurut Sayyid al-Bakri al-Dimyati dalam komentar beliau
berkaitan solat Jumaat kurang daripada 40 orang, sebahagian
ulama mazhab Syafi’e selain Imam al-Syafi’e membolehkannya
solat Jumaat dengan 40 orang dan 12 orang sahaja. Namun
angka 40 orang hanya direkodkan dalam mazhab Syafi’e dari
qaul jadid. Adapun dalam qaul qadim Imam Syafi’e disebutkan
sekurang-kurang jemaah solat Jumaat 4 orang sahaja termasuk
imam seperti yang dinukilkan dalam kitab al-Talkhis dan Qutul
Muhtaj dan ianya merupakan pendapat pilihan al-Muzani.
Pendapat ini sudah cukup kuat kerana al-Muzani di antara
murid kanan Imam Syafie yang turut merekodkan pendapat-
216
pendapat beliau dalam qaul jadid.
327. Pendapat 12 orang termasuk imam atau tidak termasuk imam
(13 orang termasuk imam) juga dikemukakan oleh Rabi’ah bin
Abi Abd Rahman atau lebih dikenali dengan Rabi’ah al-Ra’y
guru kepada Imam Malik. Pandangan ini turut sama
dikemukakan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’. Walaupun
beliau tidak mentarjihkan pendapat tersebut, dari sudut
kewujudannya tidak boleh dinafikan, buktinya kerana mazhab
Malik berpegang kepada pendapat ini.
328. Timbul persoalan manakah sandaran dan dalil Rabi’ah daripada
Nabi SAW dengan kedua-dua angka yang dikemukakan?.
Jawapannya, kedua-dua sandaran tersebut berlandaskan hadis
Nabi SAW yang berbeza seperti berikut:
Dalil Pertama : Daripada Jabir r.a yang menceritakan ketika
Rasulullah SAW sedang menyampaikan
khutbah, tiba-tiba datang rombongan dagang
dari luar ke Madinah yang menyebabkan
ramai sahabat meninggalkan Nabi SAW
yang sedang berkhutbah. Kata Jabir r.a:
“Lalu mereka (jemaah solat) berpaling (untuk
pergi) ke kafilah dagangan tersebut
sehinggakan yang tinggal bersama dengan
Rasulullah SAW hanyalah 12 orang sahaja.
[Maksud hadis riwayat al-Bukhari]
Dalil kedua : Daripada al-Zuhri katanya: Sesungguhnya
Mus’ab bin ‘Umair r.a ketika diutuskan
Nabi SAW ke Madinah beliau menghimpun-
kan para sahabat menunaikan solat Jumaat
dan bilangan mereka semua 12 orang
sahabat, salah seorang daripada mereka
As’ad bin Zurarah r.a sendiri.
[Maksud hadis riwayat al-Baihaqi]
329. Dalil pertama merupakan hujah kukuh yang digunakan dalam
mazhab Maliki, manakala dalil kedua tidak dapat dipastikan
sama ada hadis ini bermaksud 12 orang itu termasuk imam
ataupun tidak. Angka 12 itu merujuk kepada para sahabat
di kalangan ketua-ketua (Nuqaba) yang berjanji setia dengan
Nabi SAW dalam peristiwa Bai’ah ‘Aqabah yang pertama.
217
Kemungkinan 12 orang itu tidak termasuk imam ada
kebarangkaliannya merujuk kepada pendapat Ibnu Rajab
al-Hanbali seperti yang terkandung dalam Syarah Sunan
al-Nasaei: “Kemungkinan pertemuan golongan Ansar
menunaikan solat Jumaat ini dengan inisiatif mereka sendiri
sebelum tibanya Mus’ab bin ‘Umair ke Madinah.”
330. Persoalannya sekarang bolehkah kedua-dua pendapat ini
diikuti dan dipegang??. Jawabnya menurut Sayyid al-Bakri
al-Dimyati: “Ya, kerana ianya merupakah pendapat asal
Imam Syafie yang disokong dan ditarjihkan oleh sahabat-
sahabat beliau. Di kala itu tidak perlu lagi menoleh kepada
pendapat bahawa qaul qadim tidak boleh dipegang. Qaul qadim
hanya perlu ditolak sekiranya para sahabat Imam Syafie sendiri
tidak menyokong dan mentarjihkan qaul qadim itu sendiri. Ketika
itu barulah tidak boleh dijadikan pegangan.”
331. Fatwa Sayyid al-Bakri al-Dimyati: “Mana-mana penduduk
setempat yang tidak sampai 40 orang boleh bertaqlid kepada
kedua-dua pendapat tersebut (12 orang dan 4 orang) dan tidak
boleh dipertikaikan. Justifikasinya, kerana kedua-dua pendapat
tersebut di sokong dan dikuatkan (tarjih) oleh Ashab Imam
Syafie. Ini bererti bertaklid dan berpegang kepada qaul qadim
lebih utama daripada bertaklid kepada mazhab lain, kerana
tidak perlu untuk meraikan tuntutan mazhab yang ditaqlidkan
seperti perlaksanaan wuduk dan syarat-syarat lain. Berpegang
kepada qaul yang lemah adalah lebih baik daripada keluar
meninggalkan mazhab sendiri.”
332. Sayyid al-Bakri al-Dimyati bukan orang yang pertama
menyokong pemakaian qaul qadim dalam solat Jumaat kurang
daripada 40 orang. Imam al-Suyuti mengarang risalah khusus
berkaitan perkata ini dengan menamakan risalahnya “Dauw
al-Sham’ah Fi ‘Adadi al-Jum’ah”. Dalam risalah ini beliau secara
panjang lebar menguatkan pendapat yang direkodkan oleh
al-Muzani daripada Imam al-Syafi’e bilangan 4 orang termasuk
Imam sudah cukup dalam solat Jumaat.
333. Justifikasi yang dikemukakan beliau bersandarkan kepada hadis-
hadis yang mengkaitkan angka 40 orang boleh dipertikaikan
dari sudut sanad dan cara penghujahannya. Menurut beliau,
hujah yang paling kukuh hadis Ka’ab bin Malik RA yang menjadi
tunjang pegangan mazhab Syafie tidak solid dan saling
218
bertentangan (Mudhtharib). Adakalanya Ka’ab menyebut
Mus’ab menjadi Imam dan adakalanya As’ad bin Zurarah
menjadi Imam. Dari sudut lain berkaitan tempat, ada riwayat
berlaku di Madinah dan riwayat lain berlaku perkampungan
Bani Bayadah. Dari sudut bilangan juga bermasalah, kerana
satu riwayat menyebut 40 orang dan riwayat lain 20 orang.
Oleh itu, sudah pasti kedudukan hadis ini tidak boleh diangkat
sebagai hujah.
334. Kata al-Suyuti: “Semua hadis yang mensyaratkan solat Jumaat
didirikan di penempatan dan didiami ramai manusia
bersesuaian dengan nama bandar tidak mensyaratkan bilangan
tertentu. Oleh itu, angka paling minima 3 orang tidak termasuk
Imam sudah cukup untuk menjadikan solat Jumaat itu sah.
Inilah pendapat pilihan aku seperti mana yang dipilih dan
ditarjihkan oleh al-Muzani seperti yang direkodkan oleh al-Azra’i
dalam kitab Qutul Muhtaj.”
335. Justeru, hujahan al-Suyuti dan disokong oleh Sayyid al-Bakri
al-Dimyati pada dasarnya boleh diterima pakai dalam kes
COVID-19 dan ketika darurat. Walaupun tidak muktamad tetapi
lengkap dengan mengambil kira prinsip-prinsip yang digariskan
Majlis Fatwa Kebangsaan. Iaitulah dalilnya jelas, tidak
menyalahi pendapat yang diijmakkan, pendapat tersebut boleh
mengelakkan kesukaran (mashaqqah) dan mendatangkan
kebaikan (maslahah) dan sandaran pendapat tersebut merujuk
kepada sumber yang muktabar.
336. Selama mana pendapat mazhab Syafie boleh diraikan
walaupun tidak sekukuh pendapat muktamad sepatutnya pihak
berwajib memberikan penjelasan kepada masyarakat sama
ada 3 tidak termasuk imam, 4 termasuk imam atau 12 termasuk
imam adalah sesuai dengan mazhab Syafie. Secara tidak
langsung masyarakat umum dapat melaksanakan tuntutan
ibadat dengan tenang dan bebas dari persoalan perbuatan
mencampur-adukkan suatu urusan ibadat dalam pelbagai
mazhab (Talfiq).
337. Persoalan Talfiq ini penting untuk diperhalusi dalam ruang
lingkup ibadat berpandukan mazhab. Ianya bertujuan
mengelakkan diri daripada melanggar tuntutan bermazhab,
kerana ia menyebabkan seseorang itu mencampur-adukkan
mazhabnya dengan mazhab yang lain sedangkan amalan
219
tersebut masih diperakukan dalam mazhabnya sendiri,
walaupun dengan qaul yang tidak terlalu kuat.
338. Justeru, perbuatan mencampur-adukkan suatu ibadat dalam
pelbagai mazhab membawa kepada perbuatan meremeh-
remehkan urusan agama, dan meletakkan hawa nafsu sebagai
ukuran dalam melakukan ibadat. Atas sebab itu, para ulama
melarang dari melakukan talfiq bertujuan agar setiap individu
muslim tidak mengambil mudah dalam urusan agama mengikut
hawa nafsu serta memilih yang ringan dan mudah semata-mata.
Apalah salahnya berpegang kepada qaul qadim yang agak
lemah kerana ia lebih baik daripada keluar meninggalkan
mazhab sendiri.
RUMUSAN
339. Bersandarkan kepada fakta kajian yang dilakukan dan
penemuan terhadap beberapa perkara, berikut ini dikemukakan
beberapa perkara sebagai rumusan:
1. Hari Jumaat merupakan penghulu kepada segala hari dan
mempunyai banyak kelebihan, keistimewaan serta
kemuliaan berbanding hari-hari yang lain.
2. Solat Jumaat secara berjemaah hukumnya fardhu ‘Ain
berpandukan kepada ayat al-Quran, Sunnah dan Ijmak
Ulama. Tuntutan tersebut tertakluk kepada individu muslim
lelaki mukallaf yang memenuhi syarat-syarat tertentu.
Orang Islam yang mengingkari hukum kewajipannya,
adalah kafir terkeluar daripada agama Islam kerana
bertentangan dengan firman Allah SWT.
3. Ulama mazhab Syafie seperti Imam al-Suyuti mengemuka-
kan 14 cara berkaitan bilangan minima jemaah, manakala
Mahmod al-Alusi pula dalam Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran
al-Azim mengemukakan 13 cara. Sebahagian pendapat
tersebut dikemukakan oleh beberapa orang ulama mazhab
Syafie yang terkenal. Pendapat ini sebagai bukti kukuh
bahawa asal pendapat-pendapat tersebut datang daripada
Imam al-Syafie. Berikut dikemukakan rumusan tersebut.
i. 3 orang termasuk imam menurut Abu Yusuf, Muhammad
bin al-Hasan al-Syaibani, al-Awzaei dan Imam Syafie
dengan direkodkan oleh al-Rafie dari pandangan lama
220
Imam Syafie (Qawl Qadim). Namun pendapat ini ditolak
oleh Imam al-Nawawi kerana terlampau lemah.
ii. 4 orang termasuk imam menurut Imam Abu Hanifah,
Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani dalam rekod
Syarah al-Muhazzab, al-Thawri, al-Laythi, Abi Thawr,
al-Awzaei dengan direkodkan oleh Ibnu al-Munzir dan
pendapat Imam Syafie dalam qaul qadim dengan
direkodkan oleh pengarang al-Talkhis dan al-Mawardi
dalam al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani.
Menurut al-Suyuti pendapat ini sudah cukup kuat
kerana disokong oleh al-Muzani, di antara murid kanan
Imam Syafie yang turut merekodkan pendapat-
pendapat beliau dalam Qaul Jadid.
iii. 12 orang termasuk imam dalam riwayat Rabi’ah Abi
Abdul Rahman, al-Zuhri, al-Awza’i dan Muhammad
bin al-Hasan al-Syaibani dengan direkodkan oleh
al-Mawardi di kalangan ulama mazhab Syafie.
iv. 13 orang termasuk imam menurut Ishaq bin Rahuyah
seorang ulama di kalangan mazhab Syafie.
v. 40 orang termasuk imam menurut Ubaidullah bin
Abdullah bin Utbah dan Imam Syafie dalam pendapat
baru (qaul jadid) dan merupakan pendapat Imam
Ahmad bin Hanbal yang masyhur serta salah satu
pendapat dari Umar bin Abdul Aziz. Pendapat ini
merupakan qaul muktamad dalam pengamalan
mazhab Syafie pada hari ini termasuk mazhab Hanbali.
vi. 41 orang termasuk imam dalam salah satu riwayat
daripada Imam Syafie. Pendapat ini dikemukakan oleh
ulama Syafie aliran Khurasan dan Iraq seperti Ibnu Abi
Hurairah dan al-Shashi.
4. Pihak berwajib dan berautoriti dalam urusan Agama Islam
di Malaysia perlu lebih teliti ketika mengeluarkan arahan
perlaksanaan solat Jumaat secara darurat ketika musim
PKP/B. Tujuannya bagi mengelak kekeliruan di kalangan
umat Islam yang tertanya-tanya berapa ramai yang perlu
menghadiri solat Jumaat dan perlaksanaannya adakah
sesuai dengan mazhab Syafie.
221
DAFTAR ISTILAH
1. Tarjih ( ) : Dari segi bahasa membawa maksud
memberatkan, diambil daripada kata
terbitan Rajjaha Yurajjihu. Dari segi
istilah: Proses menguatkan salah satu
dari dua dalil ke atas yang lainnya
berdasarkan petunjuk ataupun
menjadikan sesuatu itu sebagai lebih
rajih (berat).
2. Rajih ( ) : Dari segi bahasa membawa maksud
pemberat, diambil daripada isim fa’il
rajjaha yurajjihu rajih. Dari segi istilah:
bermaksud sesuatu nas dan dalil dari
al-Quran, hadith sahih dan pendapat
atau pandangan ijtihad ulama (fatwa)
yang kuat, terang dan benar.
3. Marjuh ( ) : Dari segi bahasa membawa maksud
berlawanan dengan rajih, diambil
daripada isim maf’ul rajjaha yurajjihu
rajih marjuh. Dari segi istilah: pendapat
lemah yang berlawanan dengan
masyhur dinamakan dengan marjuh.
4. Masyhur ( ) : Dari segi bahasa membawa maksud
terkenal, diambil daripada isim maf’ul
syahara yasharu syahir masyhur. Dari
segi istilah: bermaksud: pendapat
yang lebih rajih dari dua pandangan
Imam Syafie, di mana kedua-duanya
berdalilkan dalil yang lemah. Maka yang
rajih dari pendapat Imam Syafie di antara
pendapat-pendapat beliau yang lemah
dinamakan dengan masyhur.
5. al-Asah ( ) : Iaitu hukum fiqh (pandangan) yang lebih
kuat dalam mazhab Syafie di antara
pelbagai pandangan dari pelbagai
ulama dalam Mazhab Syafie, yang
mana semua pandangan mempunyai
dalil yang kuat.
222
6. Jadid ( ) : Fatwa Imam Syafie di Mesir, yang
meriwayatkannya: Buwaiti, Muzanni,
Rabi’ Al-Muradi, Harmalah dan lain-lain.
Di antara kitab-kitab di dalam mazhab
jadid ialah: Umm, Imla’, Mukhtasar
Buwaiti, Mukhtasar Muzanni.
7. Qadim ( ) : Fatwa Imam Syafie di Iraq berpandukan
kitab Hujjah yang dikarang oleh beliau
sendiri, yang meriwayatkannya: Imam
Ahmad ibn Hanbal, Za’farani, Karabisi,
Abu Thur.
8. Ashab ( ) : Ialah para ulama-ulama Syafi’iyah yang
menyandarkan kajian analisis mereka
kepada mazhab Syafie, mengeluarkan
pandangan berdasarkan asas-asas usul
fiqh mazhab, mengistinbat hukum hakam
berdasarkan kaedah yang ditetapkan
serta amalan berijtihad sebahagian
dari mereka. Sekiranya tidak dapat
mengambil dari asalnya sama ada
mereka dari kalangan anak murid Imam
Syafie yang sezaman dengannya, atau
mereka yang tidak sezaman dengannya
sehingga ke hari ini mereka ini digelar
dengan Ashabul Wujuh (ulama yang
mempunyai kata-kata Imam Syafie)
seperti Muzanni, al-Qaffal, Abu Hamid
dan lain-lain.
9. Taqlid ( ) : Dari segi bahasa adalah meletakkan
sesuatu di leher melingkunginya seperti
kalung. Dari segi istilah pengamalan
yang bersandarkan pendapat orang lain
tanpa disertai hujah yang menuntut
kewajipan pengamalan tersebut.
10. Rukshah ( ): Bermaksud suatu ketetapan hukum yang
disyariatkan disebabkan satu keuzuran
dan kesusahan, lawannya Azimah:
bermaksud hukum asal yang disyariatkan
223
pada permulaan, dan bukan kerana suatu
keuzuran seperti halnya rukhsah.
11. Mukallaf ( ) : Ialah orang yang telah mencukupi syarat
wajib mematuhi ketetapan agama dan
setiap perbuatan dan perlakuannya
tertakluk dengan hukum yang telah
ditetapkan oleh agama sama ada wajib,
haram, harus, makruh dan sunat.
12. Matruk ( ) : Dari segi bahasa membawa maksud
ditinggalkan. Dari sudut istilah ilmu hadis
ialah ulama hadis sepakat mengatakan
perawi yang meriwayatkan sebuah hadis
dituduh berdusta dan tiada jalur lain
melainkan datang daripadanya seorang
sahaja.
13. Dha’if ( ) : Merujuk kepada hadis yang tidak
mencukupi sifat hadis Sahih ataupun
hadis Hasan.
14. Munkar ( ) : Merujuk kepada hadis yang diriwayat-
kan oleh seseorang yang dhaif ber-
tentangan dengan riwayat perawi yang
thiqah. Ini adalah pendapat yang rajih
(kuat) sebagaimana yang dipilih oleh
al-Hafiz Ibn Hajar. Orang yang
meriwayatkan hadis munkar dinamakan
sebagai Munkir al-Hadith.
15. Gharib ( ) : Merujuk kepada hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja.
16. Mudhtharib : Merujuk kepada hadis yang mempunyai
() lebih daripada satu riwayat yang
bercanggah antara satu sama lain,
mempunyai kekuatan yang sama dan
tidak boleh diharmonikan antara riwayat-
riwayat tersebut.
224
RUJUKAN
Tafsir Ruh al-Ma’ani Fi al-Quran al-Azim karangan Mahmud
al-Alusi, Dar Ihya’ al-Turaht al-Arabi. T.t
Tafsir al-Jami’ Li Ahkam al-Quran (Tafsir al-Qurtubi) karangan
Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi, Muasasah al-Risalah. 2006.
al-Umm karangan Imam al-Syafi’e, Dar al-Wafa’ Li al-Tiba’ah Wa
al-Nasrh. Mansurah 2001.
al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu karangan Wahbah al-Zuhaily, Dar
al-Fikr. 2011.
al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab karangan al-Nawawi, Dar al-Kutub
al-Ilmiah 2011.
al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Mawardi, Maktabah Dar Ibnu
Qutaibah 1989.
al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar Muzani karangan al-Mawardi, Dar
al-Kutub al-Ilmiah. Beirut 1994.
Hashiyah I’anah al-Taliban Fi Hal al-Faz Fath al-Mu’in karangan
al- Dimyati Dar al-Fikr 1993.
I’lam al-Anam karangan Nuruddin ‘Itir, Dar al-Farfur Damascus 2000.
Ma’rifat al-Sunan wa al-Athar karangan al-Baihaqi, Dar Qutaibah,
Beirut 1991.
Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syirbini, Dar al-Fikr 1998.
Risalah Tata’alaq bi Jawaz al-‘Amal bi al-Qawl al-Qadim karangan
Sayyid al-Bakri al-Dimyati.
al-Aimmah al-Arba’ah karangan Abdul Aziz al-Syannawi, Maktabah
al-Iman, Mansurah.
Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi’e karangan Yahya bin Abi
al-Khaiyr al-Imrani, Dar al-Minhaj.
225
Hashiyah Rad al-Muhtar karangan Ibnu Abidin, Dar Alam al-Kutub
Riyad 2003.
al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar fi Syarh al-Kitab karangan al-Musili
al-Hanafi, Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, t.t.
Maraqi al-Falah karangan al-Shurunbulali, Dar al-Beiruty, Damascus
t.t.
al-Lubab fi Sharh al-Kitab karangan al-Ghunaimi al-Maidani,
Dar al-Kitab al-Arabi 1994.
Halabi Saqir karangan Ibrahim bin Muhammad al-Halabi,
Dar al-Siraj.
al-Tuhfah al-Radiyyah karangan Mustafa al-Bugha, Dar al-Mustafa
2006.
al-Kafi karangan Ibn Qudamah al-Maqdisi, Dar al-Kutub al-Ilmiah
1994.
al-‘Uddah Syarah Umdah karangan al-Maqdisi, Dar al-Mustafa 2009.
Khutbah Jumaat JAIM berkaitan COVID-19, rujukan diambil daripada
media cetak dan media sosial.
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Quran.
Gambar-gambar berkaitan COVID-19 dan Ketua Pengarah
Kesihatan Malaysia serta lain-lain fakta diambil daripada media cetak
dan media sosial sebagai rujukan.
226