The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Bersama Memakmur Bumi - Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Pages: 224

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by NAHRIM Library, 2022-02-21 21:05:27

Bersama Memakmur Bumi

Bersama Memakmur Bumi - Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Pages: 224

Keywords: Books

KETERANGKUMAN SOSIAL

12

34

1. Sungai Charles, Boston,
Massachusetts, Amerika
Syarikat113.

2. Denai Pengkalan Datu,
Kelantan114.

3. Sungai Klang, Melawati,
Selangor115.

5 4. Sungai Kim Kim,

Johor116.
5. Denai Sungai Langat

Fasa 1117.
6. Denai Sungai Air Hitam.

6

139

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

INISIATIF 29
Kadar Kitar Semula Sisa Buangan Terjadual

Melihat pada peningkatan penjanaan buangan terjadual yang direkodkan
oleh JAS dan bilangan kemudahan pelupusan akhir yang terhad, penggunaan
semula buangan terjadual perlu dipraktikkan semaksimumnya kerana
sebahagian buangan terjadual masih mempunyai nilai dan potensi untuk
diguna semula. Amalan ini secara tidak langsung akan memanjangkan jangka
hayat tapak-tapak pelupusan selamat, selain mengurangkan kebergantungan
terhadap sumber asli.

Inisiatif-inisiatif bagi meningkatkan kadar kitar semula buangan
terjadual ini dilaksanakan bagi menggalakkan premis yang mengeluarkan
buangan terjadual mengguna semula (re-utilise) buangan tersebut. Ini
antaranya boleh dibuat dengan menjadikan ia bahan mentah alternatif
(Alternative Raw Materials, ARM) untuk diproses sebagai produk melalui
konsep kitaran ekonomi. Kaedah ini bertujuan meningkatkan peratusan
kadar kitar semula buangan terjadual, selain menyokong konsep Circular
Economy dan pengurusan sumber secara lestari. Sementara itu, indikator
yang digunakan ialah peningkatan kadar kitar semula buangan terjadual
dalam kiraan peratus.

JAS menetapkan hala tuju pengurusan buangan terjadual berdasarkan
konsep cradle-to-cradle bagi meningkatkan kadar kitar semula buangan
terjadual melalui penekanan terhadap pelaksanaan prinsip 4R (Reduce,
Reuse, Recycle, Recovery) dalam sektor industri di negara ini. Pengintegrasian
amalan pengeluaran bersih melalui teknologi mesra alam dalam pengurusan
buangan terjadual juga sedang dipromosikan oleh JAS. Satu antara kaedah
berkesan dalam pengurusan buangan terjadual secara lestari yang sedang
dilaksanakan ialah Pemprosesan Bersama (Co-processing).

Pelaksanaan Pemprosesan Bersama di kilang-kilang simen terbukti
dapat mewujudkan kesan positif terhadap alam sekitar dan komuniti
setempat sebagaimana senarai berikut:

1. Merancakkan ekonomi negara dengan mengurangkan kos pengurusan
buangan terjadual yang ditanggung oleh pengeluar buangan.

2. Mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida secara tidak langsung
dengan penggantian bahan api fosil dengan bahan api alternatif.

3. Menyumbang kepada Zero Waste Future dengan mengurangkan
kuantiti buangan ke tapak pelupusan dan secara tidak langsung
mengurangkan kesan pencemaran ke atas tanah dan sumber air serta
pelepasan gas rumah hijau.

140

KETERANGKUMAN SOSIAL

4. Mengekalkan sumber semula jadi yang dijadikan sebagai bahan
mentah utama dalam industri simen.

5. Suhu operasi di antara 1,450°C hingga 2,000°C akan memastikan
pembakaran lengkap bagi buangan.

6. Mewujudkan konsep Eco Town supaya pengurusan buangan lebih
sistematik atau mesra alam.

7. Mencegah dan mengurangkan kes pelupusan haram.
Susulan itu, JAS pada 2019 mengeluarkan 39 kelulusan dasar kepada
kilang simen untuk menerima buangan terjadual daripada pengeluar buangan
dengan kuantiti penggunaan berjumlah 190,976 metrik tan setahun. Ia bakal
digunakan sebagai bahan mentah gantian untuk menghasilkan klinker
simen, selain 640,800 metrik tan setahun sebagai bahan tambah simen.

12

1. Bata daripada bottom
ash (SW104) dan bata
daripada enap cemar
sistem pengolahan
efluen (SW204).

2. Concrete cable
protection slab
daripada bottom ash
(SW104).

3 3. Cable protection cover
daripada bottom ash
(SW104).

Ketika ini, terdapat peningkatan kadar guna semula buangan terjadual
di kilang simen membabitkan tiga ke 10 peratus, seperti dibentangkan di
Majlis Kualiti Alam Sekeliling pada 2018. Hal ini selaras dengan pelaksanaan
konsep Circular Economy dalam pengurusan buangan terjadual.

141

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Selain itu, antara inisiatif baharu yang dilaksanakan ialah usaha
mewujudkan Kemudahan Rawatan Automotif Berlesen (Authorised
Automotive Treatment Facility, AATF) di Malaysia dalam misi untuk
meningkatkan kadar kitar semula di negara ini. Inisiatif secara projek perintis
telah dilancarkan pada 2 Mac 2021 bagi membolehkan dekontaminasi
(buangan terjadual) selain apa juga bahan buangan yang boleh dikitar
semula daripada kenderaan terbiar yang dilucut hak diambil bagi tujuan
penggunaan semula.

Sehingga kini, 17 peratus kadar kitar semula buangan terjadual berjaya
dicapai. Berikut ialah jadual perincian KPI yang ditetapkan:

Sasaran KPI Kadar Kitar Semula Buangan Terjadual 2020–2030

Tahun Sasaran
2021 20%
2022 25%
2023 30%
2025 35%
2030 50%

SUMBER: Kamus Pelan Strategik KASA 2020-2030118

Hasil amalan kitar semula sisa buangan terjadual ialah pengurangan
kuantiti buangan terjadual yang perlu dilupuskan ke tapak pelupusan
selamat. Jika dilaksanakan berterusan, jangka hayat tapak pelupusan
selamat yang sedia ada akan dapat dipanjangkan. Selain itu, inisiatif
kitar semula juga dapat mengurangkan penggunaan sumber asli dan
digantikan dengan buangan terjadual yang berpotensi digunakan. Semua
usaha ini dapat memperkukuhkan prinsip 4R di Malaysia dan seterusnya
merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

INISIATIF 30
Penubuhan Yayasan Kelestarian

Malaysia, MyAlam

Pembentukan KASA berjaya menstrukturkan semula pelbagai agensi,
khususnya berkaitan pelestarian alam sekitar serta perubahan iklim.
Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) ialah satu antara
agensi yang distruktur dan diletakkan di bawah KASA. Ia yang sebelumnya
diletakkan di bawah MOSTI telah ditubuhkan pada 18 Julai 2012 di bawah
Akta Syarikat 1965 sebagai syarikat dengan tanggungan berhad. Antara

142

KETERANGKUMAN SOSIAL

objektif utama penubuhan YPASM adalah untuk menggalakkan program
penyelidikan saintifik di wilayah Polar (Artik dan Antartika). Ia juga selain
itu menyediakan geran penyelidikan serta fellowship, dan membangunkan
keupayaan penyelidikan saintifik Polar Malaysia, khususnya saintis. Sejak
penubuhannya, YPASM telah membiayai 30 geran penyelidikan, 12 skim
fellowship dan 10 berth support ke stesen penyelidikan di Antartika menerusi
Inisiatif Smart Partnership bernilai RM6,121,980. Bidang-bidang penyelidikan
di Antartika yang dikaji penyelidik di bawah tajaan YPASM antara lainnya
merangkumi sains atmosfera, mikrobiologi, ekologi, geologi, dan polisi.
Koleksi kultur mikrob, bakteria dan fungi dari Antartika turut digunakan
oleh penyelidik tempatan dalam menentukan potensi bioteknologi. Pusat
Penyelidikan Antartika Kebangsaan (National Antarctica Research Centre,
NARC) yang ditubuhkan pada 2002 turut diletakkan di bawah YPASM.

Inisiatif Smart Partnership

Sumber: url https://www.ypasm.my/smart-partnership-initiative/119

Selaku negara yang aktif di arena antarabangsa, Malaysia tidak
ketinggalan menjadikan Antartika sebagai sebahagian daripada dasar
luarnya. Malaysia menyertai Triti Antartik (Antarctic Treaty System, 1959)
pada Oktober 2011 sebagai Pihak Bukan Perunding (Non-Consultative
Party), selain meratifikasi Protokol Madrid (Protocol on Environmental
Protection to the Antarctic Treaty, 1991) pada September 2016. Berdasarkan
kesertaan dan ratifikasi ini, KASA mengetuai delegasi Malaysia bersama-
sama YPASM dalam Antarctic Treaty Consultative Meeting serta Mesyuarat

143

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Committee on Environmental Protection. Mesyuarat yang diadakan setiap
tahun ini dibuat bagi membincangkan isu berkaitan tadbir urus dan
perlindungan alam sekitar Antartika. Selain itu, YPASM turut membantu
kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Antartika yang bakal
meningkatkan usaha Malaysia untuk dinaik taraf statusnya sebagai Pihak
Perunding dalam Triti Antartik. RUU ini akan mengawal selia aktiviti dan
penglibatan rakyat Malaysia di benua Antartika.

Penerbitan yang dihasilkan oleh Penerima Geran YPASM

Sumber: Kertas kerja semakan geran penyelidikan, Skim Fellowship dan Berth Support YPASM (2012-2021)120

Malaysia menerusi YPASM turut aktif dalam Scientific Committee on
Antarctic Research (SCAR), sebuah badan antarabangsa yang mengurus selia
program penyelidikan di Antartika. Sementara pada peringkat rantau Asia,
Malaysia menganggotai Asian Forum for Polar Sciences (AFoPS). Menerusi
NARC dan YPASM, Malaysia ialah Pengerusi AFoPS untuk tempoh 2021
hingga 2022. Pada masa sama, YPASM turut aktif menjalinkan kerjasama
antarabangsa berkaitan penyelidikan saintifik Polar, antaranya dengan
menandatangani MoU bersama British Antarctic Survey. Pada 25 hingga 27
Oktober 2021, YPASM menerusi kerjasama KASA serta Universiti Teknologi
MARA (UiTM) menganjurkan 9th Malaysian International Seminar on
Antarctica (MISA9) secara maya yang menghimpunkan penyelidik Polar
tempatan dan antarabangsa bagi membentangkan hasil penyelidikan Polar
serta mengukuhkan kerjasama saintifik sedia ada. Selain itu, pelbagai aktiviti
berasaskan komuniti serta kesedaran awam berkenaan pemeliharaan alam
sekitar turut dianjurkan. Beberapa aktiviti seperti pembersihan pantai dan
sungai, pameran serta forum, pelbagai pertandingan dan penerbitan buku
serta komik yang mempromosikan kepentingan usaha melindungi alam

144

KETERANGKUMAN SOSIAL

sekitar turut dilaksanakan. Sebagai satu-satunya yayasan di bawah KASA, dan
mengambil kira pengalaman serta jaringan kerjasamanya dengan kerajaan
negeri, jabatan serta agensi kerajaan, institusi pendidikan dan NGO, YPASM
menggerakkan usaha melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti
yang bertujuan membangkitkan kesedaran awam mengenai kelestarian alam
sekitar.

12

1. Program pembersihan pantai di Dapo Pata, Pantai Tok Jembal, Kuala
Terengganu pada 19 September 2020 bersempena Hari Alam Sekitar Negara 2020.

SUMBER: url https://www.ypasm.my/beach-cleanup/121

2. Program pembersihan sungai di Sungai Seberang Takir, Kuala Terengganu pada
3 April 2021 bersempena Hari Air Sedunia 2021.

SUMBER: url https://www.ypasm.my/river-cleanup/122

Penerbitan komik
berkenaan kelestarian
alam sekitar.

SUMBER: url https://www.ypasm.
my/publications/123

Sebagai langkah memperkukuhkan usaha sedia ada, KASA melalui Pelan
Pelestarian Alam Sekitar di Malaysia 2020-2030 berhasrat menubuhkan
Yayasan Kelestarian Alam Malaysia (MyAlam). Ia antara lain disasarkan
untuk bertindak sebagai institusi yang bakal menggerakkan usaha aktiviti
komuniti dan kesedaran awam berkenaan kelestarian alam sekitar dan

145

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

perubahan iklim di Malaysia berdasarkan kepada kerangka Kesihatan
Planet. Penubuhan MyAlam akan dilaksanakan melalui penjenamaan
semula dan perluasan fungsi sedia ada YPASM. Pendekatan ini bertujuan
mengoptimumkan kerangka organisasi sedia ada, selain menjimatkan
sumber kewangan dan kewangan kerajaan.

Dalam konteks transisi tersebut, YPASM telah mencadangkan
beberapa model tadbir urus MyAlam dan hala tuju strategiknya yang bakal
dilaksanakan dengan mengambil kira inisiatif mengekalkan nama “Sultan
Mizan” pada nama yayasan baharu tersebut (MyAlam).

Lawatan oleh YB Menteri
KASA ke YPASM untuk sesi
perbincangan berkenaan
penubuhan MyAlam.
Dalam menggerakkan usaha ke arah penubuhan MyAlam, beberapa
proses penting dilaksanakan, termasuklah mendapatkan kelulusan Lembaga
Pemegang Amanah YPASM, melakukan pindaan terhadap Perlembagaan
YPASM serta meluluskan pindaan Perlembagaan melalui Mesyuarat Agung
Luar Biasa (Extraordinary General Meeting, EGM) YPASM. Semua proses
ini dijangka dapat diselesaikan pada 2022 dan penubuhan MyAlam dijangka
dapat direalisasikan pada 2023.

146

KETERANGKUMAN SOSIAL

Berbicaralah Wahai Sungai

Antologi 100 Puisi Alam Sekitar KASA

Sungai itu terus mengalir lesu
menyeret sampah dan keladak hitam
menghalau ikan dan ketam
dan segala hidupan.

Sungai ini tiada lagi kejernihan
buat anak kecil yang belum merasai
lalu si tua pun bercerita
bahawa waktu dulu
dahanan pokok ini
menjadi papan anjal anak desa
terjun silih berganti
ke air yang masih jernih
keindahan masih berkaca
tanpa takut dan curiga.

Dulu
di sungai ini
penebar jala bangga
pemukat bersorak gembira
bercerita tentang kehidupan
tempat rezeki anak desa.

Kini
sungai ini menanti saat kematian
kerana tiada lagi kehidupan
di celah-celah kesempitan aliran.

YB. DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR

147

BAHAGIAN 3

BAB TUJUH

BUDAYA LESTARI

Budaya Lestari

Budaya Lestari

YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

A MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR
lhamdulillah, marilah kita melafazkan syukur ke hadrat Allah SWT
atas segala nikmat kurniaan yang telah dikecapi sehingga ke hari
ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW,
para ahli keluarga dan sahabat R.A.
Sesungguhnya saya sebelum ini tidak menjangka akan menjawat tugas
sebagai menteri dan seterusnya menerajui Kementerian Alam Sekitar dan Air
(KASA). Justeru, saya sentiasa berdoa agar Allah SWT tidak membebankan
saya dengan tanggungjawab yang kelak akan menyukarkan kehidupan saya
di akhirat.

Perkhidmatan saya sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air awalnya
bermula pada 10 Mac 2020. Sepanjang perkhidmatan, saya berpandangan
bahawa KASA ialah kementerian yang sangat signifikan dan mempunyai
peranan yang besar terhadap negara.

149

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

KASA bermula dengan kapasiti yang terhad. Ia sebuah kementerian
baharu yang awalnya tanpa pejabat dan perjawatan. Biarpun demikian, fasa
awal operasi KASA didukung oleh sektor alam sekitar dan beberapa jabatan
serta agensi di bawahnya daripada kementerian terdahulu.

KASA dipertanggungjawabkan untuk melestarikan alam sekitar dan air di
Malaysia menerusi penggubalan dasar, pematuhan perundangan, pelaksanaan
tindakan mitigasi dan adaptasi, pembudayaan kesedaran serta pendidikan yang
selaras dengan kerangka yang betul dan piawaian antarabangsa.

KASA bergerak secara kolektif, proaktif, dan responsif. Keputusan dasar
yang diambil mesti dilaksanakan segera. Selain itu, KASA turut berfungsi
untuk memastikan obligasi serta kehendak Kerajaan Persekutuan dan negeri,
NGO, masyarakat, malah pihak antarabangsa dilunaskan secara efektif.

Saya sangat berterima kasih kepada seluruh warga KASA termasuk
jabatan dan agensi yang sentiasa bekerjasama, hormat-menghormati dan
memberi komitmen padu dalam melaksanakan amanah yang diberi. Dua
budaya kerja diutamakan, iaitu kerja berpasukan dan keseronokan bekerja.

Islam mengajar kita untuk bekerja secara berjemaah. Berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing. Persekitaran bekerja yang selesa dan subur dengan
suasana ukhuwah akan meningkatkan produktiviti. Kerja yang susah tetapi
dilakukan dengan seronok akan menjadi mudah.

KASA perlu bergerak lebih dinamik. Ketika sidang media selepas
mesyuarat pasca kabinet pertama, saya ditanya pihak wartawan, sebagai
Menteri KASA, apa perkara utama yang akan saya laksanakan? Jawapan saya
ialah meneruskan polisi baik yang telah dimulakan oleh MESTECC, selain
menyemaknya semula untuk tujuan penambahbaikan.

Sepanjang negara berada dalam tempoh PKP dan kawalan wabak
COVID-19, banyak polisi serta tindakan KASA diprioritikan semula.
Semakan dasar, penggubalan dan pindaan akta termasuk penentuan
mekanisme tarif baharu terpaksa ditangguhkan untuk membolehkan
kerajaan fokus terhadap usaha menangani wabak, sekali gus mengutamakan
kesejahteraan rakyat.

Biarpun demikian, bukan sedikit pencapaian yang telah dilakar oleh
KASA, termasuk kejayaan menyelesaikan beberapa konflik dan isu lama
yang sebelumnya telah lama tertangguh. Berikut ialah sebahagian antaranya:

1. Penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar
KASA memulakan inisiatif penubuhan sebuah unit kolaborasi rentas
agensi untuk mencegah jenayah alam sekitar yang semakin rencam.

150

BUDAYA LESTARI

2. Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia
KASA memacu agenda perubahan iklim dengan membangunkan
kerangka dasar, perundangan dan mengukuhkan institusi di Malaysia,
selain berperanan penting dalam memenuhi obligasi Konvensyen
Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(United Nations Framework Convention on Climate Change, UNFCCC).
3. Wakaf Air
KASA menjalin kerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan
memperkenalkan Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia
(Wakaf Air) untuk membiayai projek perkhidmatan air berskala kecil
dengan cepat dan mudah. Sehingga kini, lebih RM1 juta dana Wakaf Air
berjaya dikumpulkan.
4. Pengukuhan Industri Perkhidmatan Air Negara
Penstrukturan semula industri perkhidmatan air melibatkan tiga negeri,
iaitu Pahang, Kedah dan Perlis, serta menghapus kira hutang secara
keseluruhan berjumlah RM1.9 bilion.
5. Pembetungan Awam Negeri Kelantan
Pengambilalihan sistem pembetungan awam negeri Kelantan oleh
Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. merangkumi 33 loji rawatan
sisa, 13 stesen pam awam, penyediaan perkhidmatan nyahenap cemar
kepada 82,000 tangki septik individu dan 259,000 tangki tandas
tradisional di Kelantan.
Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat ke-61 yang bermaksud,
“Dia (Allah) telah menciptakan kamu daripada tanah dan menyuruh kamu
memakmurkannya”. Sebagai khalifah dan hamba Allah, kita diwajibkan
untuk memakmurkan bumi dengan tidak melakukan kefasadan (kerosakan),
menjaga keseimbangan ekosistem, melestarikan sumber, dan memanfaatkan
hasil mahsulnya dengan adil dan berintegriti. Melestarikan alam sekitar ialah
satu ibadah dan dituntut dalam Islam. Namun tanggungjawab itu tidak hanya
terletak kepada kerajaan semata-mata, malah juga seluruh rakyat Malaysia.
Hakikatnya, kesedaran perlu dipupuk bermula dari rumah. Amalkan gaya
hidup hijau dan menggunakan alatan mesra alam. Langkah terakhir adalah
mengenakan tindakan keras mengikut lunas undang-undang terhadap
penjenayah alam sekitar yang memangsakan kehidupan rakyat.

151

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

YB. DATO’ MANSOR OTHMAN

TIMBALAN MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR

Alhamdullilah syukur ke hadrat Ilahi apabila saya diberikan tanggungjawab
serta amanah untuk bertugas sebagai Timbalan Menteri di KASA selepas
sebelumnya menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian
Pengajian Tinggi (KPT). Realitinya, skop tugasan di kementerian ini berbeza
agak ketara berbanding tanggungjawab saya di KPT. Bagaimanapun, saya
teruja dengan tugasan di KASA, kerana ia hakikatnya berkaitan dengan
tanggunggjawab besar untuk menjaga khazanah Allah SWT yang meliputi
segala alam maya dan makhluk ciptaan-Nya.

Saya juga berterima kasih apabila disambut secara berhemah dan penuh
profesionalisme oleh seluruh warga KASA dari peringkat bawahan hingga
pengurusan tertinggi. Selepas diberi taklimat berhubung objektif, skop,
fungsi serta peranan KASA dalam proses pembangunan negara, saya gembira
dan komited untuk menyumbang khidmat bakti bersama-sama warga KASA,
demi mencapai matlamat serta objektif kementerian. Tambahan, KASA
bertuah dipimpin oleh YB Menteri sebagai seorang yang diketahui seorang
ilmuwan dan agamawan.

Pada masa sama, saya harus mengakui bahawa saya perlu mempelajari
banyak perkara di kementerian ini, kerana bidang tugasnya sangat
penting dan amat mencabar, terutama membabitkan aspek keberkesanan
penguatkuasaan dan permantauan dalam menjamin kelestarian alam
sekitar. KASA berfungsi bukan hanya untuk menjamin bekalan air
yang mencukupi dan selamat diminum, selain udara yang nyaman dan
bersih, tetapi juga bertanggungjawab menangani pelbagai isu perubahan
iklim, sekali gus menerajui teknologi hijau yang berpotensi besar bagi
pembangunan negara.

Selain itu, kita juga perlu mengakui bahawa usaha-usaha untuk
menjamin kelestarian alam sekitar memerlukan tanggungjawab bersepadu
yang merentasi pelbagai kementerian dan jabatan. Dalam aspek ini, saya
berharap kerjasama yang wujud dapat diperkukuhkan. Turut menjadi
harapan saya supaya kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam
sekitar dapat dipertingkatkan menerusi kerjasama dan tindakan semua
pihak. Jelas, pendidikan mengenai kelestarian alam sekitar perlu diterapkan
bermula dari bangku sekolah, supaya ia dapat dipupuk untuk menjadi
sebahagian daripada kehidupan.

152

BUDAYA LESTARI

YB. SENATOR DATO’ DR. AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD

MANTAN MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIR

Saya bangga berpeluang berkhidmat di KASA, sebuah kementerian baharu
yang ditubuhkan untuk mengurus dan mengawal selia alam sekitar secara
lebih sempurna. Pada masa sama, saya turut bersyukur kerana berpeluang
bekerja bersama-sama Menterinya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim. Jika sebelumnya
beliau hanya dikenali dari jauh tetapi kini dapat kami duduk bersama-sama,
sekali gus membolehkan saya memahami pemikiran serta tindakan beliau.

Pengalaman berkhidmat di KASA telah membuka perspektif dan ufuk
pandangan saya terhadap alam sekitar sehingga dapat mendalami isu-
isu penting berkaitan cabaran dan penyelesaiannya, bukan hanya dalam
konteks negara, bahkan dunia. Apatah lagi skop besar alam sekitar dalam
konteks cabaran perubahan iklim terhadap masyarakat global di mana kita
tidak terkecuali menerima impaknya. Begitu juga konflik air yang sangat
signifikan dengan seluruh masyarakat disebabkan pelbagai isu pencemaran
sumber air yang berlaku dari semasa ke semasa. Ini akhirnya menuntut kita
untuk sentiasa bersiap siaga menghadapi segala cabaran berkaitan.

Di sebalik jangkaan besar terhadap tanggungjawab di KASA, kita harus
mengakui bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia termasuk
Malaysia telah mengekang usaha untuk mengoptimumkan peranan dan
mengembangkan seluruh kapasiti yang kita miliki. Negara berhadapan
dengan cabaran paling kritikal dalam sejarah kemanusiaan moden kerana
belum pernah krisis kesihatan dan ekonomi pada skala begini menjejaskan
setiap aspek kehidupan, sekurang-kurangnya sejak pandemik Spanish flu
yang turut dikenal sebagai pandemik Influenza 1918 yang mengorbankan 50
juta nyawa dan menjangkiti kira-kira 500 juta manusia.

Kesannya di Malaysia, PKP dilaksanakan, dan ini sekali gus mengehadkan
aktiviti, termasuk penutupan sektor ekonomi, pendidikan dan sempadan.
Selain itu, larangan rentas negeri serta daerah dikuatkuasakan, menyebabkan
hampir semua rakyat kekal di rumah, melainkan pihak yang berkhidmat
di barisan hadapan atau terbabit dalam perkhidmatan perlu. Namun, PKP
tidak menghalang KASA daripada melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Walaupun saya secara peribadi belum dapat menikmati suasana bekerja di
kementerian ini secara normal dalam kapasiti yang terhad dalam tempoh
yang pendek ini, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pegawai
kanan dan kakitangan KASA kerana sentiasa membantu dalam memastikan
saya dapat memberi perkhidmatan terbaik sebagai Timbalan Menteri.

153

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Apa pun, hasil kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
(PICK) mencapai imuniti kelompok pada Oktober 2021, lebih awal
berbanding sasaran telah membolehkan KASA melaksanakan tugas dan
menjayakan agenda alam sekitar sepenuhnya. Tambahan apabila kementerian
kini sedang dalam proses mengkaji semula Pelan Strategik KASA 2020–
2030: Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia dengan mengambil kira kesan
pandemik COVID-19 terhadap alam sekitar.

Dari satu aspek, COVID-19 menjadi a blessing in disguise kerana
pelaksanaan kawalan pergerakan dan perintah berkurung di hampir seluruh
dunia secara tidak langsung mewujudkan ruang pemulihan kepada alam,
seperti direkodkan pelbagai institusi dan agensi, termasuk di negara ini.

Ada antara tugas dan tanggungjawab KASA yang perlu diberi tumpuan
ialah bagaimana cara untuk memastikan pembangunan di negara ini seiring
dengan kedudukan Malaysia yang mengiktiraf prinsip kepentingan kesatuan
alam sekitar (environment), sosial (social), dan tadbir urus (governance)
(ESG), sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
seperti disepakati negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Begitu juga dengan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara yang
dilancarkan pada Julai 2021 untuk memberi panduan lengkap kepada
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT) dalam konteks membangunkan bandar rendah karbon yang turut
memberi impak dari aspek membangunkan ekonomi hijau tempatan.

Bagaimanapun, semestinya pelaksanaan pelan induk ini dibuat hanya
selepas kita mengambil teladan penting daripada pandemik COVID-19 dan
impak perubahan iklim, bagi memastikan ia bermanfaat kepada pelbagai
sektor baharu di negara ini termasuk tenaga lestari, mobiliti rendah karbon,
pengurusan sisa dan kitaran semula, serta kecekapan air.

DATO’ JANA SANTHIRAN A/L MUNIAYAN

TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (SEKTOR ALAM SEKITAR)

Sejumlah lapan juta tan plastik masuk ke lautan setiap tahun dan 1.15 hingga
2.41 juta tan daripadanya berpunca daripada aliran sistem sungai global.
Sementara itu, 80 peratus sisa marin berlaku disebabkan oleh leakage dari
darat, sama ada terlepas menerusi laluan air (water pathway) akibat ketirisan
pengurusan sisa pepejal atau sikap littering dalam kalangan komuniti. Antara
sisa plastik marin yang sering dijumpai ialah beg plastik, botol, pembalut serta
bekas makanan dan produk, kutleri, pinggan plastik dan penyedut minuman.
Dianggarkan sebanyak 0.14 hingga 0.37 juta tan setahun sisa marin di Malaysia

154

BUDAYA LESTARI

berpunca dari darat. Di rantau Asia, Malaysia ialah pengguna plastik tertinggi
dengan anggaran 16.78kg per kapita setahun berbanding China, Indonesia,
Filipina dan Vietnam. Pencemaran plastik boleh mengancam hidupan laut,
sama ada menyebabkan kesan buruk kepada tumbesaran fisiologi organisma
atau melalui pencemaran mikroplastik yang berupaya memasuki rantaian
makanan, sekali gus memudaratkan kesihatan manusia.

Rentetan isu global pencemaran plastik rentas sempadan yang memberi
impak kepada kelestarian lautan dan kehidupan masyarakat tempatan,
Malaysia kini berada pada peringkat akhir semakan Dasar dan Pelan Tindakan
Sisa Marin Kebangsaan 2021–2030. Dasar ini akan melengkapi usaha sedia
ada KASA dengan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Penggunaan Plastik
Sekali Guna 2018–2030. Selain itu, Malaysia juga bakal melancarkan Pelan
Hala Tuju Kelestarian Plastik 2021–2030 (Plastic Sustainability Roadmap
2021–2030) dengan tujuan untuk beralih ke kitaran ekosistem lebih lestari
yang merangkumi pelbagai elemen dari aspek inovasi reka bentuk, kerjasama
rantaian bekalan, industri kitar, dan kecekapan sumber melalui pengeluar
serta pemilik jenama dalam menguruskan kesan akhir hayat produk mereka
bagi memastikan kitaran rantaian nilai plastik.

Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) telah diwujudkan pada 2 Oktober
2002 dengan objektif untuk mencapai alam sekitar yang bersih, selamat, sihat
dan produktif bagi generasi masa kini dan masa depan, selain meningkatkan
kemajuan ekonomi, sosial dan budaya menerusi keseimbangan antara
kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari. Ini selari dengan usaha
Malaysia untuk menjadi negara maju, tidak hanya dalam aspek pembangunan
pesat dan peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi negara, bahkan turut
mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Bagi mendepani corak pembangunan terkini, DASN perlu dilihat semula
agar ia sentiasa relevan dan selaras dengan kehendak serta keperluan semasa
dengan mengambil kira perubahan, isu, cabaran, dan emerging pollution
yang berlaku. Sehubungan dengan itu, satu inisiatif bagi mengkaji semula
DASN 2002 sedang dilaksanakan.

Saya yakin menerusi kepimpinan cemerlang yang ditonjolkan seluruh
kepimpinan KASA dan kerjasama berpasukan yang ditunjukkan, sebuah
ekosistem kerja yang kondusif dapat diwujudkan. Aspirasi saya adalah
melihat KASA terus maju jaya. Bagaimanapun, ada kemungkinan wujud
keperluan untuk turut melihat sinergi keseluruhan ekosistem berkaitan
alam sekitar melalui pendekatan mengarusperdanakan agenda kelestarian
alam sekitar. Harapan saya ialah dapat terus memberi perkhidmatan
cemerlang demi memastikan agenda pelestarian alam sekitar di negara ini
dapat dipacu demi kesejahteraan semua.

155

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

DR. CHING THOO A/L KIM

TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (SEKTOR AIR DAN PEMBETUNGAN)

Penubuhan KASA telah meletakkan pengurusan air di Malaysia di bawah
satu entiti tunggal. Ini ialah satu pengiktirafan terhadap hubung kait yang
rapat antara sumber air, bekalan air, dan perkhidmatan pembetungan. Saya
berpandangan bahawa KASA mampu meletakkan batu asas kukuh dalam
membawa sektor air negara menjadi antara penyumbang utama, bukan
hanya kepada kesejahteraan rakyat, tetapi juga kemajuan ekonomi negara.
Dalam erti kata yang lebih besar, signifikasi sektor air adalah mewujudkan
keseimbangan antara ‘kesihatan manusia’ dan ‘kesihatan planet’.

Sasaran kelestarian sektor air KASA jelas diperincikan dalam Pelan
Strategik KASA 2020-2030. Antara sasaran utama adalah menurunkan kadar
air tidak terhasil (non-revenue water, NRW) kepada 25 peratus menjelang
2025, membina 5,000km dan 10,000km denai sungai menjelang 2025 dan
2030, rehabilisasi 30km kawasan pantai daripada ancaman hakisan, 2.5 juta
penduduk terselamat daripada bencana banjir pada 2025, dan menghasilkan
500 juta liter per hari (JLH) air tebus guna dari loji rawatan kumbahan
menjelang 2025.

Dalam hal ini, saya melihat peranan yang perlu dimainkan oleh jabatan
dan agensi di bawah sektor air sangat kritikal. Malah dalam sesetengah
perkara, fungsi, pendekatan, dan budaya kerja mereka perlu diberi nafas
baharu selari dengan cabaran dan kehendak semasa. Banyak kajian
dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan Integrated Water
Resources Management (IWRM) dan Integrated River Basin Management
(IRBM) demi menyokong pembangunan sumber air lestari. Apa yang agak
kurang ialah implementasi ke atas cadangan-cadangan yang diketengahkan
oleh kajian-kajian ini. Saya juga melihat peranan JPS menjadi semakin
kritikal dalam suasana kita berdepan dengan impak perubahan iklim yang
semakin nyata.

Turut diberi penekanan ialah aspek penyelidikan dalam sektor air,
dan dalam hal ini, Institut Penyelidikan Air Malaysia (NAHRIM) telah
dijenamakan semula untuk memikul tanggungjawab tersebut. Adalah
menjadi harapan saya agar NAHRIM dapat berfungsi setara dengan
beberapa institusi penyelidikan terkenal dunia, antaranya Institut Penelitian
Air Belanda (KWR). Malah, NAHRIM juga mempunyai potensi besar
untuk dinaik taraf menjadi sebuah pusat pengajian tinggi yang berfungsi
memfokuskan penyelidikan air di Malaysia dan peringkat serantau.

156

BUDAYA LESTARI

Pada masa sama, peranan Bahagian Bekalan Air (BBA) dan Jabatan
Perkhidmatan Pembetungan (JPP) akan terus dituntut untuk membawa sektor
pembangunan infrastruktur bekalan air dan pembetungan ke tahap lebih
cemerlang. Saya berterima kasih kepada BBA dan JPP yang telah meletakkan
sektor bekalan air dan pembetungan Malaysia di landasan kukuh bagi
menyokong Pelan Strategik KASA 2020-2030, selain sasaran SDG menjelang
2030 dari aspek liputan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.

Antara kejayaan utama sektor air negara adalah berhasil memuktamadkan
proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara yang mula
dilaksanakan sejak 2006. Langkah ini meletakkan asas kepada pembentukan
sektor air negara yang mampan – operasi dan kewangan – dalam jangka
panjang. Dalam hal ini, saya melihat fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Air
Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terus berperanan
dominan dari aspek pengawalseliaan dan kewangan. Kedua-duanya perlu
terus melakukan perubahan dalam mendepani cabaran dan kehendak
baharu sektor air negara dalam menyokong Agenda Transformasi Sektor
Air Negara 2040 (WST2040).

Sektor air akan meneruskan pelaksanaan beberapa tugas penting yang
diamanahkan, termasuklah penggubalan Dasar Air Negara, penggabungan
JPS, JPP dan BBA di bawah Jabatan Air Negara, pemantapan program
Denai Sungai Kebangsaan (DSK), pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air
2006 dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006, pelaksanaan
mekanisme penetapan tarif air dan pembetungan, serta pelaksanaan model
pendanaan alternatif sektor air di bawah WST2040.

Akhir kata, saya ingin mengajak semua warga sektor air untuk bersama-
sama mengurangkan pembaziran sumber dan bekalan air, mengubah tabiat
menjadikan longkang sebagai tempat pembuangan sampah bagi mengelak
insiden banjir kilat, dan terakhir adalah berusaha menjadi warga Malaysia
bertanggungjawab dalam aspek menjelaskan bil air dan pembetungan.
“Leadership is not position, but action”.

DR. NAGULENDRAN A/L KANGAYATKARASU

MANTAN TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (ALAM SEKITAR)

Ketika artikel ini ditulis, saya tidak lagi berada di KASA kerana berpindah
perkhidmatan di MOSTI. Justeru, saya amat berterima kasih kerana diberi
peluang berkongsi pandangan menerusi buku ini.

Ketika kerajaan menyusun semula kabinet pada Mac 2020, keputusan
dibuat untuk menyelaraskan semula MESTECC kepada KASA, KeTSA

157

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

dan MOSTI. Susulan itu, Sektor Alam Sekitar MESTECC dipindahkan ke
Kementerian Alam Sekitar (KAS). Selari penyertaan sektor air ke dalam KAS
untuk memantapkan tadbir urus kelestarian alam, maka wujudlah KASA,
Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Sebagai sebuah kementerian baharu, ia awalnya berdepan pelbagai
cabaran termasuk yang disebabkan penularan pandemik COVID-19. Namun
berpegang kepada semangat bekerja sebagai satu pasukan, selain disokong
kepimpinan YB Menteri, YB Timbalan Menteri dan KSU, KASA berjaya melalui
fasa percambahan dengan cemerlang. Sejak ditubuhkan pada Mac 2020, banyak
inisiatif dan kejayaan dicapai Sektor Alam Sekitar, dengan sebahagiannya
disenaraikan seperti berikut:

1) Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC) yang dipengerusikan
YAB Perdana Menteri pertama kali bersidang pada 13 April 2021.
2) Draf awal Malaysian Plastic Circular Economy Roadmap dibangunkan

dengan bantuan dana daripada Bank Dunia.
3) YAB Perdana Menteri melancarkan Low Carbon Cities Masterplan
pada 13 Julai 2021 bagi memacu pembangunan rendah karbon pada

peringkat akar umbi melibatkan PBT.
4) Meningkatkan spesifikasi minyak diesel ke Euro 5 mulai April 2021.
5) Draf akhir Low Carbon Mobility Blueprint dibentangkan kepada
Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam bentuk four quick wins.
6) Kajian semula Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Dasar Alam

Sekitar 2002.
7) Fasa awal memulakan proses kajian semula Dasar Perubahan
Iklim dan pembangunan kerangka undang-undang berkaitan dengan

perubahan iklim.
8) Pewujudan Centre of Excellence for Environment and Climate Change.
9) Mengemukakan Laporan BUR-3 dan NDC Update kepada Konvensyen

Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCCC).
10) Menyediakan draf Marine Litter Policy/Roadmap.
11) Menyediakan laporan akhir berkaitan usaha meningkatkan tadbir
urus alam sekitar dan cadangan penubuhan suruhanjaya berkaitan.
12) Bekerjasama dengan kementerian lain dan meneruskan pelbagai
mesyuarat penting seperti MEXCOE, JK Pemandu Small Grants

Programme dan JK Pemandu berkaitan perubahan iklim.
13) Menjadi titik fokus bagi pelbagai dana antarabangsa seperti Global
Environment Facility (GEF), Green Climate Fund (GCF) dan Adaptation

Fund (AF), selain kejayaan memperoleh lebih 90 peratus dana GEF-7
(country allocation).

158

BUDAYA LESTARI

14) Menjalin kerjasama dengan negara dan organisasi luar dalam teknologi
radar, mengemas kini Nationally Determined Contributions (NDC), gas
rumah hijau (GHG), adaptasi, biokeselamatan, plastik (ekonomi kitaran
dan extended producer responsibility serta rantaian nilai plastik atau plastic
value chain, puing laut (marine debris) dan pembangunan rendah karbon.

15) Kejayaan menganjurkan International Greentech & Eco Products
Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) secara maya dan IGEM

2020 yang berjaya meraih peluang perniagaan bernilai RM3.4 bilion,
melebihi sasaran awal RM2 bilion. Pada masa yang sama, sambutan
Hari Alam Sekitar dan Hari Bumi diteruskan secara hibrid bagi
menyemarakkan penghayatan agenda pelestarian alam sekitar dalam
kalangan semua lapisan rakyat Malaysia.
16) Program pengenalan PlasticBusters telah dilancarkan manakala
Program INSPIRE sedang dalam fasa akhir pembentukannya –
semuanya bertujuan mengurangkan ketirisan plastik sekali guna
daripada memasuki alam dengan penglibatan pelbagai pihak
berkepentingan. Ini termasuk mewujudkan Malaysia Sustainable
Plastic Alliance (MaSPA) untuk menggerakkan agenda whole of
nation approach dalam menangani isu pencemaran plastik, sekali gus
meningkatkan intervensi dalam plastic value chain melalui ekonomi
kitaran dan extended producer responsibility (EPR).
17) Menghadiri dan menzahirkan pendirian Malaysia menerusi
pelbagai forum antarabangsa seperti UNFCCC, Montreal Protocol,
IOC, UNEA, Basel Convention, Cartagena Protocol on Biosafety, Coral
Triangle Initiative (CTI) dan mesyuarat peringkat ASEAN serta dua
hala berkaitan alam sekitar. Malaysia juga telah meratifikasi Pindaan
Kigali (Kigali Amendments) kepada Montreal Protocol pada 21 Oktober
2020. Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai Pindaan Kigali, layari
pautan https://tinyurl.com/MP-Kigali.
Hakikatnya, pandemik COVID-19 ialah satu wake-up call jika dilihat
dari pelbagai sudut. Ia bukan sahaja menyebabkan perubahan kepada cara kita
bekerja tetapi juga telah menggerakkan kita untuk mengambil pendekatan
Kesihatan Planet dalam membincangkan isu-isu alam sekitar. Justeru, dalam
kajian semula Dasar Alam Sekitar, pendekatan ini telah diterapkan bersama
whole of nation approach.
Pengalaman bertugas di KASA, walaupun sibuk tetapi sangat
menyeronokkan. Ini antara lain disebabkan oleh subject matter yang sangat
menarik dan berkaitan terus dengan kemandirian manusia, semua spesis
lain dan kesejahteraan bumi. Selain itu, budaya kerja yang dipupuk di

159

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

KASA menekankan work-life balance dan kepimpinan melalui teladan yang
akhirnya menghasilkan keseimbangan dalam melaksanakan tugasan harian.
Penyampaian warga kerja tidak sekadar menghasilkan pelbagai dasar baharu
tetapi juga memperlihatkan execution by example melalui program kutip
sampah sambil beriadah (KUDAH), green office, PlasticBusters, DSK, Karbon
offset, webinar dan sebagainya.

Pucuk pimpinan KASA terbukti berjaya memupuk konsep keseronokan
bekerja dan ia terserlah di KASA. Ini semua telah menjadikan KASA sebagai
satu ekosistem kondusif bagi meneruskan penyampaian kepada rakyat dan
negara dalam suasana kerja harmoni, selain persekitaran untuk pembelajaran
berterusan, tidak hanya dari aspek pekerjaan tetapi juga untuk diri sendiri.

AZIZAH ARIFFIN

MANTAN TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (AIR DAN PEMBETUNGAN)

Air ialah nadi kepada kehidupan. Formula pembangunan ekonomi
dan kesejahteraan rakyat walau di mana sahaja amat bergantung kepada
penyediaan sumber air terjamin, bekalan air bersih dan terawat yang
berkualiti, serta perkhidmatan pembetungan lestari. Kepentingan sektor air
kepada negara telah menjadikan tempoh perkhidmatan saya di KASA amat
istimewa dan bermakna. Tambahan ketika kementerian ini diwujudkan,
tempoh perkhidmatan saya sudah berada di ambang persaraan.

Pengalaman menubuhkan KASA dalam tempoh PKP amat mencabar
kerana melibatkan pelbagai bentuk kerencaman operasi, tatacara
perundangan yang perlu dipenuhi, integrasi modal insan daripada pelbagai
latar belakang dan penyatuan objektif bagi diarahkan kepada air dan alam
sekitar. Namun demikian, hasil kerjasama berpasukan, KASA tidak hanya
dapat beroperasi sebagai sebuah kementerian yang sempurna, malah berjaya
melaksanakan semua amanah yang dipertanggungjawabkan terhadapnya.
Sebagai satu antara individu yang terlibat sebagai perintis penubuhan KASA,
saya amat menghargai pengalaman tersebut.

Dalam konteks pengurusan air di Malaysia, saya bersyukur dapat
menjadi saksi kepada beberapa kejayaan penting KASA, antaranya
pelaksanaan program DSK, penganjuran Hari Air Sedunia, mewujudkan
Majlis Air Negara, memuktamadkan penstrukturan semula industri
perkhidmatan air di Perlis, Kedah dan Pahang, pelaksanaan inisiatif joint-
billing, penyerahan perkhidmatan pembetungan Kelantan kepada IWK,
dan pemeteraian perjanjian pelanjutan konsesi IWK. Kesemuanya berjaya
dicapai secara cemerlang hasil diplomasi, keikhlasan rundingan, komitmen

160

BUDAYA LESTARI

pihak terlibat dan kesungguhan semua pegawai dalam melaksanakan
tanggungjawab masing-masing.

Sesungguhnya, KASA tidak berdiri sebagai sebuah organisasi biasa. Roh
serta semangat pelestarian alam sekitar dan air telah ditiupkan kepada setiap
warganya sejak awal lagi. Kepimpinan KASA, baik pada peringkat Menteri,
Timbalan Menteri dan KSU sentiasa memberi contoh terbaik, malah terbukti
memimpin dengan sepenuh jiwa. Inilah yang akhirnya menghasilkan cara
kerja, tindak-tanduk, budaya profesionalisme dan kesungguhan bekerja
yang tinggi oleh setiap warganya dalam mencapai misi dan visi ditetapkan.

Budaya tersebut akan sentiasa menjadi kenangan dan pasti kekal dalam
ingatan. Saya penuh percaya bahawa legasi kecemerlangan akan sentiasa
diteruskan setiap pegawai KASA. Doa saya ialah KASA akan terus harum
di persada nasional serta antarabangsa dan akan berjaya dalam misinya
memimpin usaha pelestarian alam sekitar dan air di Malaysia.

Memperkasa Tadbir Urus

WAN ABDUL LATIFF BIN WAN JAAFAR

KETUA PENGARAH JABATAN ALAM SEKITAR (JAS)

Jabatan Alam Sekitar atau JAS ialah agensi penguat kuasa yang mentadbir
dan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bagi
mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, dan membaiki alam
sekeliling. Selain itu, JAS juga menguatkuasakan Bahagian IV, Akta Zon
Ekonomi Eksklusif 1984 bagi mengawal tumpahan minyak dan menjalankan
penyiasatan kes-kes pencemaran di kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif.

Berlandaskan kepada misi dan visi yang berpaksikan kelestarian
alam sekitar demi kesejahteraan rakyat, JAS telah melaksanakan pelbagai
pendekatan pencegahan, penguatkuasaan, pemantauan, komunikasi,
pendidikan dan kesedaran awam, serta hubungan strategik dengan Menteri
dan Exco bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan kompetensi alam
sekitar. Ini bertujuan memastikan misi dan visi dapat dicapai dan seterusnya
menyokong serta menyumbang ke arah konsep Kesihatan Planet.

Pelbagai isu dan cabaran dihadapi JAS dalam melaksanakan tugasnya
sebagai barisan hadapan pencegahan dan kawalan pencemaran alam sekitar.
Justeru, tindakan penambahbaikan dilaksanakan secara berterusan bagi
memastikan konflik dapat ditangani secara lebih berkesan. Isu pencemaran
sungai sehingga menyebabkan penutupan loji air contohnya telah membawa

161

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

kepada penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) pada 14
September 2020 yang melibatkan kerjasama antara agensi penguat kuasa
di bawah KASA (JAS, SPAN, JBK) dan Polis Diraja Malaysia. Tindakan ini
membuahkan hasil apabila syarikat yang terbabit dalam kes pencemaran
Sungai Gong sehingga menyebabkan penutupan Loji Air Semenyih serta
Bukit Tampoi berjaya diheret ke mahkamah dan dituduh di bawah Kanun
Keseksaan dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

JAS tegas dalam pendirian menghalang pengimportan sisa buangan
ke dalam negara. Sepanjang 2020, JAS telah mengesan dan menghantar
pulang 131 kontena terdiri daripada 2,657 tan sisa buangan plastik tercemar
ke 13 negara asalnya. Usaha ini telah menerima pengiktirafan United
Nations Environment Programme (UNEP) pada majlis Ceremony for the
Asia Environmental Enforcement Awards 2020 pada 17 Februari 2021. Garis
Panduan bagi Pengimportan Sekerap Logam ke Malaysia dan Pelan Tindakan
Kebangsaan Pengimportan Buangan Plastik juga telah dibangunkan untuk
mengawal sisa buangan ini.

JAS terus komited dalam membanteras pembakaran terbuka yang
berpotensi menyebabkan pencemaran udara dan jerebu setempat. Susulan
68 kes aduan pembakaran terbuka sepanjang Januari hingga Julai 2021
dan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Johan Setia, JAS
melaksanakan perancangan memastikan Pembakaran Sifar di Johan Setia.
Pemantauan darat dan pemantauan serta amaran lisan melalui dron
dilaksanakan setiap hari. Kerjasama juga dijalin dengan kerajaan negeri dan
agensi untuk memastikan sasaran ini dapat dicapai.

JAS menghargai kepimpinan YB Menteri dan YB Timbalan Menteri
KASA yang sentiasa terbuka dalam mendengar pandangan JAS membabitkan
apa juga perkara, selain sangat menitikberatkan elemen kerohanian. Kerja
bersungguh-sungguh menurut beliau ialah satu ibadah, selain sering
berpesan mengenai amalan keseronokan bekerja. Seberat mana pun ia, jika
ada keseronokan dalam bekerja, yang berat pasti menjadi ringan. Sementara
itu, YB Timbalan Menteri kerap mengingatkan pentingnya berintegriti dalam
menjalankan tugas dan amanah. Kesejahteraan rakyat perlu sentiasa diberi
keutamaan dan ini harus diperlihatkan dengan melaksanakan tindakan serta-
merta dalam menyelesaikan masalah aduan rakyat. KASA sebagai pencetus
kelestarian alam sekitar memastikan semua agensi di bawahnya turut sama
menjadi ejen kelestarian.

Antara usaha JAS di luar paksi perundangan dan pada masa sama
menyokong Kesihatan Planet ialah sentiasa memastikan tiada lagi penggunaan
plastik sekali guna dalam semua program jabatan. Usaha menggalakkan
ekonomi kitaran juga giat dipromosikan dalam kalangan industri ke arah

162

BUDAYA LESTARI

mengurangkan sisa yang dilupuskan di tapak pelupusan selamat buangan
terjadual atau di tapak pelupusan sanitari sisa pepejal. Program promosi
membawa beg kitar semula dan bekas makanan sendiri juga dilaksanakan
oleh JAS kepada orang awam, contohnya di sekitar pasar malam Putrajaya.
Semua langkah-langkah kecil ini perlu dipupuk dalam usaha bersama untuk
mencapai SDG.

Adalah menjadi harapan JAS supaya agenda memakmurkan bumi ini
diperluaskan ke seluruh negara dan dijadikan sebagai satu antara agenda
Malaysia Prihatin. Kelestarian alam sekitar perlu dibudayakan pada semua
peringkat dari rumah dan kejiranan, termasuk komuniti dan masyarakat.
Selain itu, industri perlu diwajibkan untuk melaksanakan pematuhan kendiri
terpimpin dan menganjurkan lebih banyak program pemulihan ekosistem
dengan penglibatan orang awam. JAS akan kekal komited dan relevan
dalam memastikan agenda kelestarian terus diangkat dan diperkasa dalam
memastikan kesejahteraan rakyat.

TS SHAMSUL BAHAR MOHD NOR

KETUA PENGARAH EKSEKUTIF MALAYSIAN GREEN TECHNOLOGY AND CLIMATE CHANGE CORPORATION

Kesihatan Planet ialah satu antara fokus yang perlu diutamakan pada abad
ini. Hubungan antara kesihatan awam dalam masyarakat majmuk berserta
pendedahan kepada persekitaran adalah amat penting bagi mengelakkan
penularan penyakit berjangkit yang dapat menggugat keharmonian negara.
Justeru, Kesihatan Planet harus dicapai secara kolektif.

Sedar akan perkara ini, kerajaan berusaha mengetengahkan penggunaan
teknologi hijau, baik pada peringkat antarabangsa mahupun domestik.
Malaysia menjadi negara anggota yang menandatangani pelbagai perjanjian
antarabangsa, antaranya Conference of Parties to the United Nations
Framework Convention on Climate Change (2009) dan Perjanjian Paris (2015)
yang meletakkan kita sebagai negara penyumbang untuk pembangunan
lestari global.

Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC)
ialah agensi di bawah kawal selia KASA. Ia antara lain diberi mandat untuk
mencapai cita-cita negara bagi mengurangkan pelepasan karbon dengan
mempercepatkan pertumbuhan hijau, memajukan tindakan perubahan iklim
dan mengarusperdanakan agenda hijau terhadap seluruh aspek kehidupan
serta masyarakat Malaysia.

Bagi merealisasikan matlamat ini, MGTC memperkenalkan beberapa
program dan inisiatif melalui lima teras strategik, iaitu kerangka institusi,

163

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

persekitaran kondusif, modal insan, penyelidikan dan inovasi serta promosi
dan kesedaran awam. Teras strategik ini berpandukan kepada Dasar
Teknologi Hijau Negara (NGTP) yang dipacu bagi pembudayaan hijau, agar
dapat diadaptasi dan diteladani semua rakyat.

Inisiatif sebegini menekankan pendekatan terperinci, seperti Insentif
Pembiayaan Hijau, Pensijilan Hijau, Perolehan Hijau, Pasaran Hijau, Khidmat
Nasihat Hijau, Modal Insan, Akses kepada Inovasi Hijau, Penghargaan dan
Pengiktirafan, serta Pendedahan Pembelajaran dan Demonstrasi Projek.
Kesemua perincian program dan inisiatif ini mempunyai matlamat yang
sama, iaitu mencetuskan keseimbangan antara masyarakat dan persekitaran
di negara ini dalam mendepani isu tindakan iklim.

Pada masa sama, usaha ini turut dipertingkatkan dengan menelusuri
cabang penyelesaian baharu seperti hidrogen, yang dilihat sebagai satu antara
sumber tenaga alternatif untuk sektor tenaga, industri dan pengangkutan ke
arah peralihan kepada ekonomi hijau dan rendah karbon pada peringkat
global. Ini dapat dibuktikan melalui penglibatan YB Menteri KASA dalam
International Hydrogen Economy Forum and Strategic Lab.

Sehingga kini, usaha-usaha ini telah diterap dan diamalkan oleh
kementerian, agensi, PBT, syarikat swasta, universiti, dan komuniti. Program
Perolehan Hijau Kerajaan membuktikan bahawa seluruh kementerian
mengamalkannya dan turut menyumbang kepada peningkatan syarikat yang
menyertai program pensijilan MyHIJAU Mark.

Peningkatan terhadap kesedaran Kesihatan Planet juga dibuktikan
melalui program Energy Management Gold Standard (EMGS) yang
menyaksikan Institut Jantung Negara (IJN) dianugerahkan Penarafan EMGS
3-Bintang, penilaian tertinggi bagi program ini. Satu lagi pencapaian penting
ialah pemilihan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai institusi
pendidikan pertama di Malaysia diberikan penarafan EMGS 3-Bintang.

MGTC telah melaksanakan banyak program seperti Kerangka Bandar
Rendah Karbon yang menjadi penanda aras PBT, pembangunan modal insan
melalui variasi bengkel pengurusan kecekapan tenaga yang telah melahirkan
8,000 pelatih tempatan, dan penyediaan akses teknologi hijau melalui
rangkaian chargEV dengan 330 stesen pengecasan di seluruh negara.

Biarpun demikian, usaha-usaha ini tidak akan melahirkan Malaysia
baharu yang dapat mendepani permasalahan perubahan iklim tanpa sokongan
kementerian dan kesedaran masyarakat. Keseimbangan geoekonomi harus
mendapat tempat dalam setiap lapisan masyarakat bagi mengimbangi arus
kemajuan dengan daya tahan sumber bagi mencapai Kesihatan Planet.

164

BUDAYA LESTARI

MUHAMMAD HELMI ABDULLAH

KETUA PENGARAH JABATAN METEOROLOGI MALAYSIA (MET MALAYSIA)

MET Malaysia mempunyai rangkaian sistem pencerapan cuaca dan gempa
bumi komprehensif yang terdiri daripada pencerapan in situ dan melalui
remote sensing. Tujuan utama pencerapan cuaca dan gempa bumi ialah untuk
memantau cuaca dan aktiviti seismik dalam negara. Hasil pemantauan ini
seterusnya dijadikan input kepada pengeluaran ramalan dan amaran cuaca
serta maklumat gempa bumi dan amaran tsunami. Sejarah pencerapan cuaca
bermula di Semenanjung Malaysia seawal 1883. Sehingga kini, MET Malaysia
mempunyai 42 Stesen Meteorologi Utama, 386 Stesen Auksiliari, 8 Stesen
Udara Atas, 12 Radar Cuaca, dan empat Stesen Penerima Satelit. Sementara
itu, terdapat 77 Stesen Seismik, 17 Stesen Tolok Pasang Surut, 18 Kamera
Pantai, dan 53 Siren Tsunami.

MET Malaysia juga bertanggungjawab menjalankan pemantauan
komposisi atmosfera secara berterusan di 27 stesen pemonitoran di seluruh
negara, termasuk empat stesen Global Atmospheric Watch (GAW), iaitu
di Lembah Danum (Sabah), Cameron Highlands (Pahang), Petaling Jaya
(Selangor), dan Bachok (Kelantan). Pemantauan yang dibuat tertumpu
kepada enam bidang utama GAW, iaitu pemendapan atmosfera (23 lokasi),
gas reaktif terpilih (enam lokasi), aerosol (23 lokasi), ozon (sembilan lokasi),
gas rumah kaca (satu lokasi), dan sinaran UV (enam lokasi).

MET Malaysia sedang membangunkan Model Ramalan Bermusim untuk
kesiapsiagaan menghadapi bencana monsun enam bulan ke hadapan terutama
ketika Monsun Timur Laut. Sementara itu, Model Unjuran Perubahan Iklim
dibangunkan sebagai kesiapsiagaan negara bagi menghadapi bencana yang
disebabkan cuaca ekstrem. Keragaman iklim yang dicetuskan perubahan
iklim boleh menyebabkan berlaku lebih banyak cuaca ekstrem.

Peranan MET Malaysia dalam memberikan perkhidmatan meteorologi
dan geofizik sentiasa diberi sokongan kuat oleh KASA. MET Malaysia turut
mendapat kerjasama baik daripada KASA sebagai pemudah cara dalam urusan
pentadbiran dan operasi jabatan, terutama yang melibatkan peruntukan
kewangan dan projek pembangunan serta pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan.

MET Malaysia menyokong setiap agenda pembangunan lestari dan
pemuliharaan alam sekitar dengan penerapan budaya lestari pada peringkat
jabatan seperti senarai berikut:

1. Melaksanakan perolehan hijau dengan mengambil kira elemen hijau
dalam semua proses perolehan.

2. Projek penggantian termometer merkuri dalam RMKe-11 dilaksanakan

165

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

pada 2020 kerana penggunaan merkuri diharamkan dan tidak boleh
digunakan seperti tertera melalui Minamata Convention on Mercury.
3. Kolaborasi dengan agensi lain bagi penempatan peralatan meteorologi,
seismologi, dan sistem komputer berprestasi tinggi bagi
mengurangkan kos pembinaan infrastruktur.
4. Mengadakan persekitaran hijau di kawasan pejabat dan kuarters
kediaman dengan konsep urban farming dan penanaman pelbagai
spesies tumbuhan seperti pokok teduhan dan hiasan sesuai.
5. Amalan menghindari penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan
kakitangan jabatan.
Perkongsian maklumat daripada MET Malaysia dipelbagaikan, sejajar
perkembangan dan kemajuan dunia digital. Kebolehcapaian informasi
meteorologi dan geofizik secara cepat dan tepat untuk kegunaan rakyat
diharap dapat mengurangkan impak bencana.

DR. AZALIA MOHAMED

KETUA PENGARAH JABATAN BIOKESELAMATAN (JBK)

Perkembangan pesat dalam bioteknologi moden khususnya kejuruteraan
genetik (genetic engineering) dan pemindaan genom (genome editing)
memungkinkan penyelidik mengubah suai jujukan genetik untuk tujuan
tertentu, seperti penghasilan tanaman lebih rentan penyakit atau serangan
perosak, produk tanaman lebih tahan lama, dan pengubahsuaian vektor
untuk menghapuskan wabak penyakit.

Pengubahsuaian genetik organisma hidup sebegini, walau apa pun
jangkaan manfaatnya, tetap mengubah norma alam. Dari satu sudut, ia boleh
dilihat sebagai satu pencemaran genetik yang bukan sahaja mengancam
keaslian kepelbagaian biologi, malah boleh membawa kepada bibit kerosakan
kepada keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan bumi.

Di Malaysia, terdapat beberapa kes lampau berkaitan dengan pelepasan
organisma hidup yang telah diubah suai genetiknya (living modified organism,
LMO), seperti uji kaji lapang nyamuk Aedes aegypti yang genetiknya diubah
suai (genetically modified, GM) dan dilepaskan ke persekitaran sebagai usaha
mengurangkan populasi nyamuk aedes. Demikian juga cadangan pelepasan
padi transgenik MR219 hasil kajian MARDI yang dikatakan mempunyai daya
tahan terhadap bakteria dan kulat. Selain itu, terdapat beberapa produk GM
yang mengandungi organisma telah diubah suai genetiknya yang telah berada
di pasaran negara, khususnya dalam industri makanan dan pemakanan.

166

BUDAYA LESTARI

Sejak 2016 hingga 2020, Lembaga Biokeselamatan Kebangsaan (LBK)
telah meneliti dan membuat keputusan ke atas 162 permohonan kegunaan
terkawal LMO dan 33 bagi permohonan pelepasan LMO yang melibatkan
pelbagai organisma, terutama bagi tujuan food, feed and processing (FFP)
seperti jagung, soya, kapas dan kentang. Statistik ini mungkin kelihatan
kecil, tetapi setiap kelulusan diberi boleh digunakan untuk membawa
masuk pelbagai produk di bawahnya tanpa had. Justeru, ia perlu dikawal.
Keupayaan mengurus dan memproses permohonan ini dibuat menerusi
kerangka perundangan dan sistem kawal selia yang dikuat kuasa sejak 2007
berdasarkan Akta Biokeselamatan 2007 [Akta 678].

Akta yang mengandungi tujuh bahagian dan 71 seksyen ini merangkumi
pelbagai aspek biokeselamatan. Bagaimanapun, perkembangan pesat bidang
bioteknologi moden sejak beberapa dekad ini telah membawa kepada
paradigma baharu dalam kegunaannya, selain risiko dan ancaman tidak
dijangka atau boleh dihadapi berbanding sebelumnya. Impak risiko dan
ancaman penggunaan bioteknologi moden ini akan berlipat ganda apabila
digandingkan dengan aplikasi teknologi moden lain, seperti artificial
intelligence (AI) dan data raya (big data) sehingga dibimbangi boleh membawa
kepada malapetaka risiko biologi global. Selain itu, mekanisme menangani
isu tanggungan dan ganti rugi (liability and redress), pengisytiharan dan
pelabelan, pergerakan rentas sempadan LMO khususnya berkaitan dengan
pengendalian, pembungkusan, dan pengangkutannya juga ialah aspek yang
menjadi keutamaan jabatan.

Pada masa yang sama, penambahbaikan beberapa elemen lain dalam
kerangka kawal selia biokeselamatan turut diberi perhatian, khususnya
dari aspek penglibatan dan tanggungjawab bersama dalam tadbir urusnya.
Jabatan sentiasa komited dalam usahanya mendapatkan pandangan orang
ramai mengenai isu dan impak biokeselamatan yang mungkin timbul
daripada pelepasan dan penggunaan LMO serta produknya. Justeru, ruang
untuk penglibatan umum dalam pembuatan keputusan berkaitan dengan
semua aktiviti berkaitan akan sentiasa dipertingkat dan dijadikan elemen
penentu permohonan kelulusan pada masa depan.

Biarpun demikian, pendekatan terbaik dalam memastikan aktiviti
bioteknologi moden ini tidak membawa kesan buruk kepada kesihatan
manusia dan kesejahteraan alam sekitar adalah dengan adanya rasa
tanggungjawab dalam kalangan komuniti saintifik serta pengamal teknologi
tersebut. Penyelidik perlu sentiasa sedar akan potensi risiko daripada aktiviti
melibatkan LMO dan berusaha memastikan agar semua peraturan dan
langkah keselamatan dipatuhi sebaik mungkin. Pada masa sama, mereka
juga boleh berperanan dalam usaha membantu menyebarluaskan maklumat

167

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

tepat yang bertujuan meningkatkan kesedaran risikonya dalam kalangan
masyarakat umum Malaysia.

Kesimpulannya, kesejahteraan bumi hanya akan dapat dicapai jika
pendekatan seimbang diamalkan dalam menggalakkan amalan biokeselamatan
serta mengutamakan penerokaan penyelidikan baharu yang boleh
memanfaatkan, bukan sekadar berdasarkan keinginan untuk bereksperimentasi.
Cabaran utama adalah memastikan aspirasi ini mendapat sokongan daripada
kelompok penyelidik, pemain industri dan masyarakat umum.

MOHD NASARUDIN ABD RAHMAN

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YAYASAN PENYELIDIKAN ANTARTIKA SULTAN MIZAN

Penubuhan KASA pada Mac 2020 ketika isu alam sekitar termasuk
pencemaran, pembakaran terbuka, perubahan iklim dan isu-isu berkaitan
dengan air sering menjadi tajuk perbualan utama adalah tepat pada waktunya.
Selain berjaya menstruktur semula pelbagai jabatan dan agensi, terutama
yang berfokus kepada kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim serta air,
KASA juga memperkenalkan konsep Kesihatan Planet dalam program dan
aktiviti KASA, jabatan serta agensi di bawahnya. Konsep ini telah diterapkan
dalam Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020–20301.

Penyelidikan saintifik di Antartika khususnya yang berkaitan dengan
hubung kait di antara wilayah Tropika dan benua Antartika serta perubahan
iklim mempunyai kaitan rapat dengan kelestarian alam, dan hasil daripada
penyelidikan ini akan dapat menyumbang kepada kefahaman lebih
mendalam terhadap konsep tersebut. Sehingga kini, KASA menerusi Yayasan
Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) telah menyediakan geran
dan sokongan penyelidikan di benua Antartika berjumlah RM6 juta untuk
penyelidik-penyelidik tempatan2.

Selain penyelidikan saintifik di Antartika, penglibatan Malaysia di
Antartika juga bertumpu kepada aspek tadbir urus benua tersebut melalui
penyertaan Malaysia dalam Triti Antartik (Antarctic Treaty System, 1959)3
pada 2011, selain meratifikasi protokol mengenai Perlindungan Alam
Sekitar kepada Triti Antartik (Protocol on Environmental Protection to the
Antarctic Treaty, 1991 – Protokol Madrid)4 pada 2016. Teras utama triti dan
protokol tersebut adalah untuk memastikan benua Antartika dipulihara demi
kesejahteraan bumi, memandangkan kepentingannya dalam mempengaruhi
iklim global dan sistem lautan dunia.

Benua ini sebenarnya sedang ‘memanas’ dalam erti konteks pemanasan
global. Pencairannya membuktikan perubahan iklim sedang berlaku

168

BUDAYA LESTARI

dan dijangka semakin serius sehingga mampu menyebabkan negara kita
mengalami banjir yang lebih buruk. Hal ini memperlihatkan bagaimana
benua Antartika ialah kunci penting dalam kita memahami kaedah
ekosistem bumi berfungsi, selain kesan aktiviti harian manusia, khususnya
terhadap Kesihatan Planet. Bagi memastikan urus tadbir YPASM dan
operasinya berjalan lancar, YB Menteri KASA bersetuju melantik Pengerusi
dan beberapa Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BOT) YPASM yang
baharu dan dipilih daripada kalangan tokoh berwibawa. Antara mereka
ini termasuklah Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad
Samsuri Mokhtar selaku Pengerusi BOT YPASM dan KSU KASA, Dr. Zaini
Ujang selaku Ahli BOT YPASM. Selain bekerjasama dengan pihak YPASM
dalam penggubalan Rang Undang-Undang Antartika, kepimpinan KASA
turut bersama-sama YPASM menyertai pelbagai mesyuarat peringkat
antarabangsa, termasuk 43rd Antarctic Treaty Consultative Meeting dan
23rd Committee for Environmental Protection Meeting pada 14 hingga 24
Jun 2021.

Sokongan berterusan KASA juga dapat dilihat menerusi pelbagai
peruntukan yang diterima YPASM, antaranya ialah geran sepadan tahunan
untuk 2020 dan 2021 bagi melaksanakan program kelestarian alam berasaskan
komuniti seperti sambutan Hari Lautan Sedunia5, DSK6, Hari Alam Sekitar
Negara7, selain menganjurkan pelbagai pertandingan dengan konsep
berkaitan. Pada masa sama, YPASM turut menyokong semua usaha KASA
dalam pelbagai program dianjurkan, seperti pelaksanaan Kempen Hindari
Penggunaan Plastik Sekali Guna melalui penyertaan dalam My PlasticBuster
dan program pengurusan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang
kini diamalkan dalam kalangan kakitangan YPASM.

Biarpun demikian, tadbir urus serta usaha pembudayaan kelestarian
alam di Malaysia masih perlu diperkukuh. Bagi tujuan tersebut, penubuhan
Yayasan Kelestarian Alam Malaysia (MyAlam) telah dicadangkan menerusi
Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020–2030. MyAlam akan bertindak
sebagai sebuah institusi yang akan menggerakkan usaha aktiviti komuniti
dan kesedaran awam berkenaan kelestarian alam sekitar di Malaysia.
Dijangkakan pada 2023, kelulusan penukaran nama serta pertambahan
fungsi YPASM dapat direalisasikan. Pelbagai kegiatan dirancang untuk
dilaksanakan oleh MyAlam, selain program dan aktiviti sedia ada di bawah
YPASM. Pasa masa sama, YPASM akan sentiasa menyokong kerajaan bagi
memastikan kesinambungan komitmen Malaysia dalam tadbir urus serta
penyelidikan Antartika dapat diteruskan.

169

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

DATO' IR HAJI NOR HISHAM MOH

KETUA PENGARAH JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN (JPS)

Kejadian perubahan iklim semasa telah meningkatkan kadar kekerapan
banjir yang teruk serta memanjangkan tempoh kejadian kemarau. Selain
itu, banjir dan kemarau turut berpunca daripada aktiviti pembangunan
yang pesat dan tidak terancang serta mengabaikan alam sekitar bagi
meraih kemajuan ekonomi. Kita seharusnya mementingkan perancangan
pembangunan secara lestari yang akan mengurangkan risiko banjir pada
masa akan datang. Ini akan mengelakkan perbelanjaan yang tinggi kepada
kerajaan untuk pembinaan infrastruktur seperti projek tebatan banjir.

Keperluan untuk menerapkan konsep budaya kelestarian alam sekitar
amat penting bagi menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang tanpa
memberikan kesan buruk terhadap aspek sosial, alam sekitar dan budaya.
Kelestarian alam sekitar juga melibatkan interaksi pelbagai pihak yang
bertanggungjawab untuk mengelakkan ancaman kepada sumber semula jadi
dan memastikan penjagaan kualiti alam sekitar. Ini termasuklah melalui
langkah-langkah seperti pembangunan dan pengurusan sumber air yang
bersepadu bagi menjamin kejayaan ekonomi negara kita.

Justeru, Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) telah
diadaptasi sebagai suatu kaedah pengurusan sumber air secara lestari di
Malaysia. Ia membincangkan potensi ancaman yang timbul jika sumber air
di sesebuah lembangan adalah berlebihan atau berkurangan. Pelan IRBM
akan memberi sumbangan besar kepada aspirasi kita ke arah SDG dan
wajib dijadikan rujukan perancangan ekonomi masa depan. Kita seharusnya
sedar akan kelestarian pembangunan ekonomi hanya akan tercapai dengan
jaminan sumber air. Lembangan sungai yang terurus akan memastikan
jaminan sumber air, seterusnya melindungi ekosistem dan biodiversiti untuk
generasi akan datang.

Usaha pembangunan sebelum ini sering mengabaikan alam sekitar bagi
meraih kemajuan ekonomi. Oleh sebab biodiversiti menyumbang kepada
ekonomi negara secara langsung dan tidak langsung, alam semula jadi perlu
dipelihara sebaiknya dalam pelaksanaan projek pembangunan akan datang.
Pengetahuan alam sekitar yang lebih mendalam akan memandu ke arah
penyelesaian kejuruteraan secara lestari yang bukan hanya mengurangkan
kesan bencana, namun turut meningkatkan keupayaan proses pemulihan.

Selaras dengan itu, JPS menekankan strategi overarching melalui empat
konsep utama dalam pembangunan infrastruktur, iaitu creating for resilience,

170

BUDAYA LESTARI

building with nature, bring back the beaches dan make room for water. Strategi
mampan pembinaan yang mesra alam perlu untuk projek pembangunan
infrastruktur sumber air. Pengekalan ciri alam semula jadi akan dapat
dicapai dengan kaedah pembinaan dan penggunaan bahan mesra alam.
Melalui penerapan strategi ini, projek-projek berkaitan sumber air akan
dipacu ke arah pembinaan insfrastruktur yang bersinergi dengan saliran
air semula jadi. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah, menghalang
potensi tanah dan sumber semula jadi, malah bencana berkaitan air dapat
dikurangkan. Pada masa yang sama, kita juga memperoleh manfaat daripada
kekayaan sumber biologi semula jadi.

DATO' IR . DR. MD. NASIR MD NOH

KETUA PENGARAH INSTITUT PENYELIDIKAN AIR KEBANGSAAN MALAYSIA (NAHRIM)

Peranan NAHRIM dalam menyokong program Kesihatan Planet KASA
merangkumi aspek penyelidikan air berteraskan SDG dan adaptasi terhadap
kesan perubahan iklim kepada sumber air dan kehidupan. Dari sudut
kelestarian, program berkaitan air diselarikan dengan hala tuju KASA
seperti pengenalan air minuman hujan bergerak (mobile water dispenser)
untuk mengelakkan penggunaan botol plastik sekali guna. NAHRIM
telah menerbitkan buku Impact of Climate Change on Hydro-Climate of
Malaysia Based on IPCC Fifth Assessment Report pada 13 April 2021 ketika
berlangsungnya Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara (MyCAC) dan
Climate Change Adaptation Framework for Water Resources pada 5 Jun 2021
sempena Hari Alam Sekitar Sedunia.

KASA telah memacu penjenamaan semula NAHRIM dengan memberi
nafas baharu melalui perubahan kepada penggunaan istilah “hidraulik”
pada nama organisasi yang ditukar kepada “air”, menjadikan nama baharu
NAHRIM sebagai Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia. Selain
itu, KASA juga membantu NAHRIM dalam penggubalan dan pewartaan
AKTA Fi bagi membolehkan caj perkhidmatan ditawarkan kepada pihak
berkepentingan ke Makmal Kualiti Air NAHRIM.

Ketika lawatan YB Menteri dan Mantan YB Timbalan Menteri ke
NAHRIM pada 11 Jun 2020, produk baharu NAHRIM telah dilancarkan,
berupa unit air minuman hujan bergerak. Pada 20 April 2021, produk ini
seterusnya menjadi pemangkin kepada perjanjian persefahaman kerjasama
di antara NAHRIM dan Yayasan Amal Malaysia sebagai rakan kongsi
pembekalan air minuman hujan. Menerusi kerjasama ini, NAHRIM
menjangka produk tersebut mampu menembusi pasaran Asia Tengah.

171

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Tarikh 10 Mei 2021 memberi makna penting kepada NAHRIM apabila
YB Menteri KASA sanggup meluangkan masa bersama warga kerja NAHRIM
bergotong-royong menyiapkan hidangan berbuka puasa di pekarangan Surau
Taqi Addin. Nilai keikhlasan dan kepimpinan tawaduk beliau nyata terserlah
dan keprihatinan ditunjukkan sangat kami hargai.

Bagi menyokong usaha murni KASA membudayakan pelestarian alam
sekitar, NAHRIM mempelopori usaha mengenal pasti sumber bekalan air
alternatif, seperti penggunaan air hujan, air tanah, air atmosfera, dan air
tebus guna. Penggunaan air hujan dipelbagaikan kepada dua aspek, iaitu
kegunaan am seperti basuhan, kolam ikan, tandas, makmal, dan sistem
pendingin udara. Aspek kedua ialah kegunaan bekalan air minuman yang
diproses dari Surau Taqi Addin NAHRIM dan Taman Negara, Jerantut,
Pahang. Bagi menjayakan usaha ini, air minuman hujan disalurkan melalui
sistem paip dalaman di seluruh kompleks NAHRIM.

NAHRIM menuju ke arah penggunaan air tanah dengan keupayaan
pengeluaran sebanyak tiga meter padu sejam yang dijangka boleh memenuhi
keperluan seluruh warga NAHRIM dengan rizab margin melebihi 100
peratus dan sepenuhnya dijana oleh tenaga solar. Penyelidikan berterusan
potensi air alternatif ialah penghasilan air atmosfera melalui pelbagai
teknik. Sehingga kini tiga sistem boleh diketengahkan, iaitu menggunakan
kondensasi penyejukan daripada komputer, peti sejuk dan pendingin
udara. Penggunaan air tebus guna dari sistem pembetungan juga dibuat
menggunakan penapisan melalui constructed wetlands yang dilaksanakan di
kolam takungan dan rekreasi NAHRIM.

Adalah menjadi harapan NAHRIM untuk memenuhi hala tuju
pembangunan lestari menerusi tiga aspek utama sebagaimana disarankan oleh
KASA, iaitu penjimatan air, penjimatan tenaga dan pengurangan sisa. Program
penjimatan air NAHRIM melalui penggunaan bekalan air alternatif berjaya
menjimatkan bil air sehingga 50 peratus. Seterusnya ialah program penjimatan
tenaga elektik yang masih dalam proses permohonan memasang solar panel
di Kompleks Makmal Hidraulik dan dijangka dapat menjimatkan bil tenaga
elektrik antara 20 hingga 40 peratus. Terakhir ialah program pengurangan sisa
yang dilaksanakan dengan memperkenalkan sistem biodigester dan biocompose
di Kompleks NAHRIM.

Dalam memenuhi keperluan penyelidikan dan pembangunan negara,
NAHRIM berusaha mempelopori bidang baharu. Antaranya ialah kejayaan
mengenal pasti kemunculan pencemaran masa depan seperti mikroplastik,
antimicrobial resistant (AMR) dan endocrine disrupting chemicals (EDC).
Selain itu, NAHRIM pada masa sama terus giat menjalankan kajian serta
penyelidikan berhubung jangkitan COVID-19 melalui sistem pembetungan.

172

BUDAYA LESTARI

Dengan kerjasama MAMPU, NAHRIM pada 2018 memperkenalkan
platform ICT pertama negara yang berasaskan data raya atau big data
analytic (BDA), iaitu NAHRIM Hydroclimate Data Analisis Accelerator
(N-HyDAA). Bersandarkan pengalaman tersebut, projek kedua BDA, iaitu
Malaysian Adaptation Index (MAIN) bakal diperkenalkan, dengan jangkaan
kemampuan memberi tahap ketersediaan setiap negeri di Malaysia bagi
menghadapi kesan perubahan Iklim.

DATO' HJ AHMAD FAIZAL ABDUL RAHMAN

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AIR NEGARA (SPAN)

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ialah sebuah badan
berkanun yang ditubuhkan pada 2007 untuk tujuan mengawal selia
perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia
dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bersandarkan kepada Akta Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara [Akta 654] dan Akta Industri Perkhidmatan
Air 2006 [Akta 655], SPAN bertanggungjawab memastikan kelangsungan
bekalan air bersih serta perkhidmatan pembetungan yang efisien dalam
merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara mapan sebagaimana
digariskan PBB pada 2015 melalui SDG 2030 atau lebih khusus merujuk
kepada SDG6 (Clean Water and Sanitations).

Sebagai negara sedang pesat membangun, semestinya Malaysia perlu
memastikan keperluan asas rakyatnya dapat dipenuhi tanpa kompromi dan
satu antaranya ialah akses kepada air bersih dan perkhidmatan pembetungan
yang diyakini. Di sinilah SPAN menjalankan fungsinya dengan meletakkan
beberapa indikator sebagai sasaran, termasuklah memastikan capaian
menyeluruh bagi perkhidmatan bekalan air dan pembetungan serta
pelestarian air bersih melalui penggunaan per kapita (LCD) yang cekap
dan praktikal, termasuk dengan mewajibkan penggunaan peralatan yang
dapat menjimatkan air (Skim Pelabelan Produk Cekap Air, SPPCA).

Memahami bahawa pengawalseliaan perlu turut ditetapkan ke atas
industri, SPAN juga menetapkan piawaian dan standard yang perlu
dipatuhi pemain industri, antaranya melalui pengenalan dokumen Uniform
Technical Guideline (UTG) dan Malaysian Sewerage Industry Guidelines
(MSIG). SPAN juga dari semasa ke semasa membuat semakan ke atas
Akta 655 dan akan mencadangkan penambahbaikan serta penggubalan
sekiranya perlu bagi memastikan industri dikawal selia dengan baik dan
hak pengguna dilindungi. Turut diberi penekanan oleh SPAN ialah sasaran
untuk menurunkan kadar NRW daripada situasi ketirisan fizikal seperti

173

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

kebocoran paip dan penyambungan bekalan air secara tidak sah yang
menyusahkan pengguna dan sekali gus merugikan industri.

Secara am, apa yang dilaksanakan SPAN bertujuan memastikan
kemakmuran negara melalui pelestarian perkhidmatan bekalan air dan
pembetungan yang efisien. Kelangsungan bekalan air dan pembetungan
akan memastikan aktiviti sosioekonomi rakyat dan negara berjalan lancar.
Demikian juga halnya dengan aspek kesihatan persekitaran yang turut
dibantu oleh aspek perkhidmatan air yang boleh diharapkan.

Hakikatnya, KASA ibarat ayah yang memimpin kami (agensi di bawah
kementerian) untuk mencapai matlamat serta sasaran prestasi yang kami
tetapkan secara lebih objektif. Hasrat kami digarapkan melalui beberapa
pendekatan, antaranya melalui perkara seperti senarai berikut:

1. Pelan Pelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020–2030.
2. Penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS).
3. Perluasan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS).
4. Penghijrahan lebih banyak operator air ke rejim SPAN.
5. Pengambilalihan perkhidmatan pembetungan di Kelantan oleh IWK.
6. Pelaksanaan kaedah joint billing di antara operator air dan IWK.
7. Merealisasikan kerjasama pengkomersialan air tebus guna.
8. Penggubalan akta berkenaan Perkhidmatan Nyah Enap Cemar 2021.
Sokongan dan dokongan KASA tidak hanya terhad kepada aktiviti
pelaksanaan projek fizikal semata-mata, tetapi KASA juga membantu secara
langsung dan terus-menerus dalam pelaksanaan pelbagai kegiatan, antaranya
dalam proses menetapkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI), pengurusan lantikan
anggota Suruhanjaya serta urusan lesen dan permit yang dikeluarkan SPAN.
Dalam kata lain, hubungan KASA dan SPAN sangat akrab dan pencapaian
SPAN semestinya datang daripada komitmen secara bersama dengan KASA
dan rakan-rakan agensi di bawah kementerian.
Beberapa pendekatan lestari yang dibawa kepimpinan KASA telah
memberi kesan kepada kami di SPAN. Antara yang dipraktikkan sehingga
kini ialah penggunaan sumber air dan tenaga secara berhemah, prihatin
terhadap kemaslahatan sungai sebagai sumber air mentah, meminimumkan
penggunaan produk sekali guna khususnya bahan berasaskan plastik, dan
konsep kitar semula serta cara yang betul menguruskan sisa elektronik.
Perkara ini mungkin nampak remeh tetapi kesannya besar terhadap
kemakmuran bersama antara manusia dan alam sekitar.
Bergerak ke hadapan, SPAN akan terus membudayakan konsep
pelestarian alam sekitar dan meletakkan kemakmuran bersama sebagai

174

BUDAYA LESTARI

keutamaan. Realitinya, apa jua sasaran pembangunan perlu dirancang dengan
mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar. Agenda memakmurkan
bumi ini bukanlah agenda peribadi atau agenda KASA semata-mata, tetapi
agenda besar Keluarga Malaysia.

IR. AHMAD ROZIAN OTHMAN

KETUA PENGARAH JABATAN PERKHIDMATAN PEMBETUNGAN (JPP)

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) ditubuhkan pada 1 Mac 1994
selepas Parlimen meluluskan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1993 [Akta
508]. Tujuan utama penubuhannya ketika itu adalah untuk mengawal selia
sistem pembetungan dan perkhidmatan pembetungan di seluruh Malaysia
bagi memelihara kebersihan alam sekitar untuk meningkatkan mutu
kesihatan awam8.

Fungsi JPP sebagai badan kawal selia sistem pembetungan telah berakhir
sepenuhnya pada 31 Disember 2007 selepas penguatkuasaan Akta 654 dan
Akta 655 bagi menggantikan Akta 508. Tanggungjawab tersebut diambil alih
oleh SPAN8 dan fungsi JPP kini adalah memberi tumpuan kepada pelaksanaan
sistem pembetungan moden, efisien dan kos efektif dalam meningkatkan
ekonomi negara melalui pelbagai projek pembetungan. Selain itu, JPP juga
berperanan melaksanakan projek penswastaan secara land swap. Peranan
JPP ini penting bagi menyokong usaha KASA ke arah mencapai matlamat
Kesihatan Planet dalam memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara bagi
mengimbangi kesejahteraan rakyat dan seterusnya diwariskan kepada
generasi akan datang10.

Sepanjang bernaung sebagai agensi di bawah KASA, banyak sokongan
diberikan kepada JPP. Ini antaranya termasuklah peruntukan besar
perbelanjaan pembangunan (DE) berjumlah RM1.305 bilion menerusi
RMKe-11. Selain itu, sumber peruntukan bagi membangunkan infrastruktur
pembetungan juga diperoleh melalui Tabung Amanah Membangun dan
Menaik Taraf Sistem Pembetungan JPP, peruntukan melalui Kementerian
Wilayah Persekutuan (KWP) di bawah inisiatif Greater Kuala Lumpur/
Klang Valley (KL/KV), Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan
SPAN (KWSMP) dan Private Fund Initiative (PFI). Ini menunjukkan KASA
dan semua pihak berkepentingan meletakkan harapan tinggi kepada JPP
untuk memajukan infrastruktur pembetungan negara ke tahap lebih tinggi
bagi memastikan alam sekitar terpelihara. Bagi menyahut sokongan KASA
melalui peruntukan DE berjumlah RM976.9 juta yang diterima pada 2020,
JPP keseluruhannya membelanjakan sejumlah RM937 juta (95.93 peratus)11.

175

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Ia pencapaian membanggakan, walaupun negara ketika itu sedang berdepan
saat getir membendung wabak COVID-19 yang berlarutan sehingga 2021.

Loji Rawatan Kumbahan
Berpusat Langat di bawah
pembiayaan RMKe-10
sehingga RMKe-12
Sumber: JPP 202112

Di bawah kepimpinan YB Menteri dan Mantan YB Timbalan Menteri
KASA, warga kerja JPP berpeluang mengenali kedua-duanya dengan lebih
dekat melalui beberapa lawatan yang diadakan di JPP, selain lawatan turun
padang ke tapak-tapak projek JPP13. Lawatan YB Menteri dan Mantan YB
Timbalan Menteri pada 2 Mac 2021 ke JPP adalah yang paling manis kerana
itu kali pertama JPP menerima lawatan Menteri dan Timbalan Menteri
sejak jabatan ini ditubuhkan pada 1994. Justeru, ia berkesan menyuntik
semangat kepada warga JPP untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang
bagi memastikan aspirasi negara tercapai. Warga JPP mengagumi karisma
kesederhanaan dan sifat santun YB Menteri yang pada masa sama tetap
proaktif menyelesaikan sesuatu perkara.

Meneladani budaya lestari yang menjadi amalan KASA, JPP turut
menyumbang tenaga dalam program membersihkan Sungai Putat di Batu
Berendam, Melaka yang dianjurkan bersempena Hari Air Sedunia 2021,
selain program membangunkan DSK yang bermatlamat memelihara dan
memulihara keindahan sungai, sekali gus mengawalnya daripada risiko
dan aktiviti pencemaran. Selain itu, JPP juga terlibat secara langsung dalam
aktiviti pameran dan sesi perkongsian ilmu secara maya anjuran KASA
dan agensi luar bagi menyebar luas usaha JPP melestarikan alam sekitar,
khususnya dalam sektor pembetungan15.

Adalah menjadi harapan JPP agar agenda memakmurkan bumi dapat
diteruskan, kerana ia sangat dituntut agama dengan berteraskan pengurusan
yang cekap dalam mentadbir alam sekitar agar segala sumber alam yang
wujud dapat terus terpelihara untuk dinikmati generasi akan datang.

176

BUDAYA LESTARI

IR. RAHMAT ABDUL RAHMAN

PENGARAH BAHAGIAN BEKALAN AIR (BBA)

Amanah kepada Bahagian Bekalan Air (BBA) ialah tanggungjawab
melaksanakan pembangunan infrastruktur sumber bekalan air negara bagi
memastikan bekalan yang mencukupi, selamat, berkualiti dan mampan. DSAN
memberi hala tuju dan strategi jelas dalam menguruskan sumber air negara ke
arah memastikan keperluan air yang terjamin dan lestari. Selaras dengan dasar
tersebut, BBA berperanan menguruskan dan membangunkan infrastruktur
sumber air, selain memperkasa tadbir urus sumber air negara. Pengurusan
sumber air memerlukan pembangunan maklumat yang berpiawai, terselaras,
dan bersepadu dalam melindungi integriti sumber air dan alam sekitar bagi
memenuhi keperluan sosial dan ekonomi rakyat.

Bagi menuju ke arah itu, perancangan serta pelaksanaan projek
infrastruktur perlu dilaksanakan secara efektif dan inovatif dengan mengambil
kira bahawa elemen kelestarian adalah sangat penting bagi mewujudkan
persekitaran yang kondusif. Khidmat nasihat teknikal dan kepakaran dalam
perancangan, reka bentuk dan pembinaan telah dilaksanakan dengan
meneladani budaya lestari. Justeru, semua kakitangan di BBA yang terlibat
dalam perancangan, reka bentuk, pelaksanaan dan penyelenggaraan projek
bekalan air dituntut mengamalkan budaya lestari pada setiap fasa penglibatan.

Menyedari pentingnya amalan budaya lestari dalam menghadapi impak
perubahan iklim, jurutera berperanan membantu mengurangkan risiko
bencana alam dengan memastikan infrastruktur yang dibangunkan berdaya
tahan. Kajian terperinci pada peringkat perancangan dan pelan tindakan
perlu dibangunkan dengan mengarusperdanakan agenda memakmur bumi.
Inisiatif ini diterjemahkan di BBA menerusi pelaksanaan beberapa projek
pembinaan infrastruktur bekalan air seperti senarai berikut:

1. Meneroka sumber air alternatif seperti empangan bawah tanah dan
empangan pantai.

2. Memacu hala tuju pembangunan sumber air melalui konsep TAPS
untuk dilaksanakan di seluruh negara.

3. Melaksanakan program pengurangan NRW.
4. Memastikan spesifikasi peralatan dalam kontrak mempunyai ciri

cekap tenaga.
5. Membudayakan amalan kerja yang dapat mengurangkan jejak karbon

dalam aktiviti pembinaan.

177

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Ketika negara berada dalam situasi pandemik COVID-19, YB Menteri
dan Mantan YB Timbalan Menteri berjaya menerajui agenda memakmur
bumi dengan cemerlang. Kedua-duanya bersama-sama KSU tidak pernah
meletakkan jurang antara diri mereka dengan warga KASA, termasuk kami
di BBA. Sesungguhnya, seluruh warga BBA bersyukur mendapat pemimpin
yang jujur berkongsi nasihat, beramanah dan pada masa sama memahami
tugas sebenar pemimpin.

Antara amalan lestari yang menjadi budaya di BBA ialah penjimatan
kertas. Selain itu, perkongsian maklumat sama ada koresponden rasmi atau
maklumat lain dilakukan secara digital dengan memanfaatkan penggunaan
teknologi ICT terutama dalam tempoh Bekerja dari Rumah (BDR). Pada masa
sama, sepanjang tempoh PKP, warga BBA diberi galakan untuk melaksanakan
pelbagai aktiviti sihat di sekitar kediaman, termasuk mengusahakan kebun
bandar. Selain disajikan untuk makanan sendiri, ia juga dikongsi bersama
rakan-rakan di pejabat. Selain menggalakkan interaksi sosial, ia juga secara
tidak langsung membantu meningkatkan kualiti persekitaran dan mesra alam.

Mengorak langkah ke hadapan, BBA akan sentiasa menerapkan agenda
memakmur bumi dalam setiap pelaksanaan pembangunan infrastruktur
sumber air dan amalan harian. Penggunaan sumber yang cekap dan
teknologi terkini tanpa mengabaikan pemuliharaan alam sekitar akan dapat
merealisasikan pembangunan infrastruktur air negara secara mampan.
Hakikatnya, tanggungjawab memakmur bumi ialah amanah yang perlu
dipikul oleh setiap individu.

ABDUL HADI ALI

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PENGURUSAN ASET AIR BERHAD (PAAB)

Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) ialah sebuah agensi di bawah KASA
yang bertanggungjawab menjayakan penstrukturan semula industri bekalan
air dengan menyediakan infrastruktur diperlukan oleh operator air negeri-
negeri yang berhijrah di bawah rejim aset ringan. Melalui perancangan
pembelanjaan modal teratur berpandukan pelan perniagaan PAAB, operator
air berjaya dibantu dari aspek kenaikan rizab margin, kapasiti loji rawatan,
penstoran air terawat dan kawasan agihan yang lebih luas.

Program penggantian paip di bawah PAAB juga berjaya menurunkan
kadar NRW dan secara langsung memberikan impak positif kepada prestasi
kewangan operator air negeri. Konsep kelestarian dalam pembiayaan di
bawah PAAB menyediakan akses kepada dana pada harga kompetitif dan
jangka masa pembayaran melalui sewa pajakan yang panjang, sekali gus

178

BUDAYA LESTARI

membolehkan pembangunan prasarana dilaksanakan secara berterusan,
walaupun operator berdepan kekangan kewangan sementara menunggu
keputusan kenaikan tarif air. Model pembiayaan fleksibel terbukti berkesan
memberikan ruang masa untuk operator membina kemampanan kewangan
mengikut latar belakang dan landskap industri perkhidmatan air di negeri
masing masing.

PAAB turut menyokong aspirasi Kerajaan Persekutuan dalam
mendepani isu krisis iklim dan Kesihatan Planet. Sejak 2017, PAAB melalui
program Water Asset Value Enhancement (WAVE) telah mengatur beberapa
sesi lawatan teknikal ke luar negara dengan menjemput wakil daripada
kementerian serta pemain industri seperti kontraktor, perunding, operator
air, dan wakil-wakil agensi berkaitan untuk meninjau teknologi rawatan serta
penggunaan bahan lebih mesra alam untuk diguna pakai dalam rantaian
proses rawatan air negara. Penekanan kepada aspek kelestarian tersebut
dimasukkan dalam dokumen tender untuk projek terkini. Selain itu, PAAB
turut memperkenalkan skim perolehan berpusat (central purchasing) untuk
bekalan paip agihan bagi memastikan wujud kawalan terhadap kualiti dan
harga kontrak berpatutan.

PAAB ketika ini sedang dalam proses menyediakan satu rangka
kerja bagi menggariskan senarai inisiatif utama dalam usaha mendokong
pencapaian SDG berlandaskan empat tunjang utama – manusia, ekonomi,
alam sekitar dan sosial. Ini termasuklah garis panduan perolehan hijau, CSR
Lestari, DSK, sumbangan Wakaf Air, Pendanaan Lestari dan projek carbon
neutral di loji PAAB.

Dalam melaksanakan peranannya, PAAB beroleh sokongan jitu daripada
KASA. Antara kecemerlangan yang dicapai bersama KASA dalam tempoh
singkat sejak penubuhannya ialah kejayaan memuktamadkan perjanjian
penstrukturan semula industri bekalan air di Perlis, Kedah dan Pahang yang
sekian lama gagal direalisasikan.

Kepimpinan YB Menteri juga disenangi ramai. Selain mudah menerima
pandangan, keperibadian lemah lembut beliau sebenarnya kekuatan yang
mampu melerai kekusutan sehingga akhirnya membuahkan penyelesaian
dalam mendepani sesuatu isu. Pendekatan spiritual antara kunci
menterjemahkan pengurusan alam sekitar dan air agar lebih mudah difahami
dan berkesan dalam memupuk semangat cintakan alam sekitar.

Menyahut seruan ke arah mencapai kemakmuran bumi, PAAB
berpendirian bahawa kempen kelestarian harus bermula dari rumah, selain
juga pejabat. Justeru, character building dan amalan murni perlu diamalkan
semua pihak, contohnya membiasakan diri dengan amalan kitar semula,
mengasingkan sampah dan menggunakan botol air guna semula. Selain

179

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

itu, PAAB juga mengguna pakai konsep pejabat hijau dalam reka bentuk
pejabat PAAB yang baharu. Pada masa sama, beberapa inisiatif lain turut
dilaksanakan dalam membantu usaha mencapai matlamat Kesihatan Planet,
termasuk menetapkan KPI tertentu bagi agenda lestari di jabatan. PAAB juga
sedia menyokong dan melibatkan diri dalam acara-acara berkaitan dengan
kelestarian yang dianjurkan KASA.

NARENDRAN A/L MANIAM

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF INDAH WATER KONSORTIUM (IWK) SDN. BHD.

Ketika dunia masih berusaha melalui proses pemulihan daripada kesan
pandemik COVID-19, realiti perubahan iklim serta kesan rumah hijau terus
menjadi satu antara punca konflik, kerana ternyata ia telah meninggalkan
kesan besar kepada seluruh manusia sejagat. Keadaan ini dapat dilihat
apabila penduduk dunia diancam dengan impak perubahan cuaca yang
mengakibatkan pelbagai bencana alam, selain mengancam kehidupan
manusia yang boleh menjejaskan seluruh populasi dunia.

Namun yang pasti, aktiviti manusia yang tidak mungkin terhenti ialah
pelepasan sisa kumbahan yang akan berterusan setiap hari sepanjang tempoh
hayatnya. Sebagai syarikat perkhidmatan pembetungan nasional milik Menteri
Kewangan Diperbadankan (KKD), Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.,
telah merekodkan air sisa kumbahan dirawat sebanyak 6,205.53 juta liter sehari
daripada 7,000 Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di bawah selenggaraannya.

Tanpa mengira apa juga keadaan yang melanda, loji-loji selenggaraan
IWK beroperasi tanpa henti selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu
dan 365 hari setahun. Ini ialah satu penyataan kepada komitmen IWK
terhadap amanah yang diberikan Kerajaan Persekutuan sejak penubuhannya
pada 1994. Walaupun sentiasa berhadapan dengan keadaan kotor, sukar
dan berbahaya, IWK terus menjalankan amanahnya bagi menyediakan
perkhidmatan pembetungan yang efisien demi menjaga alam sekitar, sekali
gus menghindarkan masyarakat daripada penyakit bawaan air.

Namun hakikatnya, wujud banyak cabaran yang perlu dihadapi bagi
memastikan semua aset pembetungan awam di bawah selenggaraan IWK
berfungsi dengan baik, dan seterusnya dapat menyediakan perkhidmatan
cekap kepada lebih 25 juta pengguna di seluruh negara. Apa yang pasti,
sokongan dan bantuan Kerajaan Pusat khususnya daripada KASA terbukti
memberi kemudahan serta garis panduan sewajarnya kepada IWK untuk
bergerak menjadi syarikat pembetungan nasional yang mempunyai tahap
piawaian tinggi, selaras dengan usaha negara memulihara alam sekitar.

180

BUDAYA LESTARI

Dalam konteks ini, setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada YB
Menteri dan YB Timbalan Menteri serta seluruh pucuk pimpinan KASA atas
nasihat serta panduan diberikan kepada IWK.

Ingin juga dinyatakan di sini bahawa persetujuan kerajaan untuk
menyambung konsesi perjanjian sehingga 2034, selain perjanjian tambahan
yang membolehkan IWK menjalankan perniagaan bukan tarif telah meniup
semangat baharu kepada seluruh warga IWK untuk bekerja lebih keras.
Perjanjian tersebut besar maknanya kerana ia membuktikan kepercayaan
kerajaan ke atas keupayaan IWK selama hampir 30 tahun.

Melalui perjanjian tambahan yang ditandatangani, aktiviti perniagaan
bukan berasaskan tarif yang boleh dijalankan IWK seperti penghasilan
air pulih guna dan penggunaan byproduct lain, bukan sahaja dapat
mengurangkan pelupusan sisa tetapi juga mengurangkan pelepasan gas
rumah hijau. Inisiatif ini konsisten dengan SDG 2030 yang turut menjadi
sebahagian hala tuju KASA dalam melestarikan alam sekitar.

Sesungguhnya, sokongan dan dorongan berterusan daripada KASA
banyak memberi kesinambungan kepada kecekapan perkhidmatan serta
kemampanan pelan perniagaan IWK. Ini pasti akan menghasilkan kesan
positif khususnya dalam memastikan rakyat dapat terus menikmati
perkhidmatan pembetungan yang baik, di samping membangunkan IWK
untuk mencapai visi sebagai syarikat air sisa terulung di rantau ini.

Amalan Budaya Lestari

Gotong-Royong Pembersihan Sungai

Jom Bersih Sungai Langat
Aktiviti bersih sungai diadakan bersama-sama KSU KASA melalui program
Jom Bersih Sungai Langat di UKM, Bangi pada Sabtu, 18 Julai 2020.
Gotong-Royong di Sungai Gong, Rawang
Gotong-royong warga KASA dan beberapa agensi berkaitan pada 3 Oktober
2020 di Sungai Gong, Rawang bagi membina denai sepanjang 1.4km.
Majlis Penyerahan Kertas Cadangan Pelan Induk Denai Sungai Air Hitam
Program DSK diteruskan dengan gotong-royong membersihkan Sungai Air
Hitam di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang pada 10 Januari 2021.
Aktiviti ini diakhiri dengan Majlis Penyerahan Kertas Cadangan Pelan Induk
Denai Sungai Air Hitam oleh penduduk kampung kepada KSU KASA.

181

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

12

34

56

[1] Program Jom Bersih Sungai Langat.
[2] Program Gotong-Royong, Sungai Gong Rawang.
[3] Majlis Penyerahan Kertas Cadangan Pelan Induk Denai Sungai Air Hitam.
[4] "Menghargai Air” Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021.
[5] Poster Hari Tindakan Sungai Antarabangsa.
[6] Menteri KASA ketika program "Menghargai Air” Sempena Sambutan Hari Air Sedunia.

182

BUDAYA LESTARI

Hari Tindakan Sungai Antarabangsa 2021
Selari dasar DSK, pelbagai aktiviti mingguan diadakan secara berterusan,
termasuk pembinaan denai di lebih 50 sungai seluruh negara. Sempena
sambutan Hari Tindakan Sungai Antarabangsa pada 14 Mac 2021, KASA
bersama-sama komuniti penduduk bekerjasama membina dan membaiki
Denai Sungai Air Hitam di Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Bangi.
Jom Turun Sungai sempena Sambutan Hari Air Sedunia (HAS) 2021
Program Jom Turun Sungai Sempena Sambutan Hari Air Sedunia 2021
peringkat kebangsaan telah dirasmikan YB Menteri KASA, bertempat di
Dataran Sungai Langat, Bangi, Selangor pada 27 Mac 2021. Sambutan yang
bertemakan ‘Valuing Water’ (Menghargai Air) ini diadakan serentak di 127
lokasi seluruh Malaysia, dengan membabitkan lebih 10,000 peserta.

Program ini dianjurkan dengan objektif untuk mendekatkan komuniti
setempat dengan sungai berhampiran kawasan masing-masing, dengan
matlamat memupuk tanggungjawab bersama dalam memastikan persekitaran
yang lestari, membudayakan aktiviti gotong-royong dan amalan hijau.
Selain itu, aktiviti ini juga menggalakkan penglibatan pelbagai kumpulan
lain, termasuk pihak swasta untuk bersama-sama terbabit dalam aktiviti
pemulihan persekitaran dan pendidikan bersepadu.

Aktiviti Berbasikal

Kayuhan Merdeka KASA 2020
Kayuhan Merdeka KASA yang diketuai KSU telah dianjurkan pada 31
Ogos 2021 sejauh 30km mengelilingi Putrajaya dan Cyberjaya. Selain
mengibarkan bendera sepanjang kayuhan, KSU turut berkongsi penerangan
mengenai sistem pengairan di Putrajaya dan Cyberjaya.
Living River Bike Trail
YBM KASA menyempurnakan majlis penyerahan Projek Pembangunan
Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Fasa Satu pada 23 Mac 2021.
Projek berjumlah RM250 juta ini merangkumi 11 komponen utama yang
terdiri daripada projek tebatan banjir, living river dan saliran mesra alam.
JPS dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak telah mengambil inisiatif
membina Living River Bike Trail dari Chenderoh ke Jambatan Victoria,
Kuala Kangsar, sejauh kira-kira 25km. Persekitaran yang hijau, segar dan
cantik merangsang amalan hidup sihat, memupuk kebersamaan menjaga
sungai, dan menggerakkan aktiviti ekonomi setempat.

183

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

12

[1] Living River Bike Trail.
[2] Poster webinar “Lepaskan Aku Berbasikal”.
Webinar “Lepaskan Aku Berbasikal”

Sesi webinar ini diadakan bersempena Hari Basikal Sedunia pada 3 Jun 2021
bersama KSU KASA; Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perkhidmatan
Sokongan, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan
(KBS), Dr. Norhasmat Abdul Aziz; Chief Dream Maker Enfiniti Creative
Universe merangkap Creator Tiarasa Escape Glamping Resorts, Puan Sri Tiara
Jacquelina Eu Effendi; dan moderator, Ketua Komunikasi Korporat KASA,
Encik Mohd Khalil Zaiyany Sumiran.

Apa Khabar Warga KASA?

184

BUDAYA LESTARI

Sepanjang 7 Disember 2020 hingga 23 Ogos 2021, sejumlah 35 video “Apa
Khabar Warga KASA” dikongsikan kepada warga KASA. Program yang
diadakan secara berkala pada setiap Isnin, jam 9.00 pagi di saluran YouTube
KASA ini ialah perkongsian dan sesi khas Menteri, Timbalan Menteri dan
KSU KASA bersama-sama warga kementerian, jabatan serta agensi. Ia antara
lain bertujuan menyampaikan amanat dan tazkirah, termasuk penerangan
ringkas berkaitan isu-isu utama KASA.

Penanaman Pokok

#MyPokokChallenge
#Mypokokchallenge ialah sebahagian usaha KASA meningkatkan kesedaran
orang ramai untuk turut serta dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Kaedah penyertaan ialah menanam minimum satu pokok di halaman
rumah masing-masing sebelum membuat perkongsian gambar yang
ditanda #Mypokokchallenge di laman media sosial.
Program Green Campus Tour
Pada 26 Jun 2020, Mantan Timbalan Menteri KASA membuat lawatan
kerja ke USM bagi menyertai sesi pertemuan bersama Naib Canselor
dan pensyarahnya bagi membincangkan program kerjasama yang bakal
dilaksanakan kedua-dua pihak, KASA dan USM. Keesokan harinya, Mantan
Timbalan Menteri dibawa melawat ke tapak madu kelulut di ECO Hub USM,
selain diadakan aktiviti menanam pokok merbau sebagai signifikan kepada
Program Green Campus Tour.

12

[1] Antara perkongsian menerusi penyertaan #MyPokok Challenge.
[2] Menanam Pokok Merbau sebagai signifikasi kepada program Green Campus Tour.

185

BERSAMA MEMAKMUR BUMI

Lawatan Kerja YB Menteri ke Melaka

Lawatan Menteri KASA ke tapak
Projek Pembinaan Loji Rawatan
Kumbahan Serantau Bandaraya
Melaka di Batu Berendam, Melaka.

Lawatan Kerja YBM KASA ke tapak Projek Pembinaan LRK Serantau
Bandaraya Melaka di Batu Berendam, Melaka. Projek yang diluluskan di
bawah RMKe-10 ini ialah inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan
satu kemudahan pembetungan secara berpusat untuk kawasan tadahan
di Batu Berendam. Untuk tujuan tersebut, tapak berkeluasan 14.4 hektar
dirizabkan untuk tapak LRK berpusat ini. Objektif pembinaannya adalah
untuk mengawal dan mengurangkan pencemaran kumbahan menerusi
penyediaan sistem pembetungan berpusat. YB Menteri KASA turut
menanam pokok sebagai simbolik usaha offset penggunaan bahan api.

Rumah Ibadat Hijau
Majlis Pelancaran Kempen Rumah Ibadat Hijau
YB Menteri KASA menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Rumah
Ibadat Hijau di Masjid Al-Hasanah, Bangi dengan kerjasama MGTC.
Hubungan dua hala ini menandakan fungsi masjid ini sebagai perintis
kepada program yang bertujuan menerapkan nilai gaya hidup hijau kepada
seluruh warga rumah ibadat.
Majlis Menandatangani MoU dengan RHB Islamic Bank Berhad bagi
Program Masjid Hijau dan Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau
Pada 30 November 2020, MGTC menandatangani MoU dengan RHB
Islamic Bank Berhad bagi Program Rumah Ibadat Hijau (Masjid Hijau) dan
Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau. MoU ini bakal menekankan aspek
sokongan dan kesedaran kepada Insentif Hijau dan Pensijilan, Khidmat
Nasihat Hijau dan Pendayaan Kapasiti serta Promosi Hijau dan Pelaburan
yang dilaksanakan MGTC. Sementara itu, RHB Islamic Bank Berhad melalui
kerjasama strategik ini akan menyediakan khidmat nasihat pengurusan

186

BUDAYA LESTARI

kewangan dalam penyaluran aktiviti pengumpulan dana, selain khidmat
nasihat pengurusan kewangan dalam penyaluran dana wakaf.

12

[1] YB Menteri KASA menyempurnakan pelancaran Kempen Masjid Hijau.
[2] MoU bagi Program Masjid Hijau dan Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau.

Sifar Plastik
MyPlasticBusters
PlasticBusters ialah satu pasukan khas berbentuk kesukarelawanan yang
dibentuk dalam kalangan warga KASA, jabatan dan agensi yang ditubuhkan
bagi menangani pencemaran sisa plastik yang semakin meruncing akibat
penggunaan plastik sekali guna selaras. Usaha ini selari dengan matlamat
mencapai amalan sifar plastik sekali guna demi persekitaran Malaysia yang
lebih bersih dan sihat menjelang 2030. Pada masa sama, MyPlasticBusters juga
diwujudkan sebagai program kesedaran warga KASA untuk membudayakan
amalan tidak menggunakan plastik sekali guna, menggalakkan penggunaan
bekas sendiri atau beg guna semula dan mengasingkan sisa yang boleh dikitar
semula menurut amalan harian gaya hidup lestari.

Pelancaran MyPlasticBusters
bersempena majlis sambutan

Hari Bumi Sedunia.

187

BAHAGIAN 4

PENUTUP


Click to View FlipBook Version