The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

ANAK BULAN SYAWAL MONOGRAF PENENTUAN AIDILFITRI 1443/2022

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Persatuan Jurufalak Syarie; Buku Digital Percuma, 2022-12-25 19:51:35

ANAK BULAN SYAWAL MONOGRAF PENENTUAN AIDILFITRI 1443/2022

ANAK BULAN SYAWAL MONOGRAF PENENTUAN AIDILFITRI 1443/2022

ANAK BULAN

SYAWAL

Monograf Penentuan Aidilfitri 1443/2022

ANAK BULAN SYAWAL

MONOGRAF
PENENTUAN AIDILFITRI 1443/2022

2022/1443

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian
daripada terbitan ini sama ada ilustrasi dan isi kandungannya dalam apa jua
bentuk dan cara sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanikal, rakaman dan
sebagainya sebelum mendapat izin bertulis daripada penerbit.

ANAK BULAN SYAWAL
Monograf Penentuan Aidilfitri 1443/2022

Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan

ANAK BULAN SYAWAL : MONOGRAF PENENTUAN AIDILFITRI
1443/2022 /

Penyusun Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi.
ISBN 978-629-97041-1-9 (hardback)
1. Islamic calendar.
2. Islamic astronomy.
3. Fasts and feasts--Islam.
4. Electronic books.
I. Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi.
529.327

Penyusun Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi
Pengumpul Bahan Khairul Anuar Yazid, Hardi Mohamad Sadali,
Mohamad Faizal Jani
Reka Bentuk Kulit Buku Amira Marwaty Ahmad Mokhtar
Pembaca Pruf Nur Aina Mohd Sufian

Diterbitkan oleh:
Persatuan Jurufalak Syarie
J2-09-02, PPAM Jintan, Jalan Kandis P16, 62100, Wilayah Persuktuan,
Putrajaya 62100 Putrajaya Wilayah Persekutuan (Putrajaya)

Isi Kandungan I-II
III-IV
Isi Kandungan V-VIII
Prakata Halaman
Biodata Penyumbang 1-8
9-18
Prolog 19-24
Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi 25-28
Tarikh Awal Puasa Berbeza 29-32
Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi 33-36
Meriahnya Raya 1443/2022 37-44
Shahril Azwan Hussin 45-68
Bersedia Untuk Kemungkinan Hari Raya Lebih Awal
Mustafa Din Subari
Cerapan Anak Bulan Dibantu Data Dari Sumber Diiktiraf
Ahmad Irfan Ikmal Hisham
Bila Terbiasa Rujuk Kalendar Kuda
Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi
Takwim Sebagai Mekanisme Agama, Sains dan Budaya
Baharrudin Zainal
Cabaran Pelaksanaan Takwim Hijri Serantau dan Global
Mohd Zambri Zainuddin

I

Sisipan 69-70
71-72
Berita Palsu 73-74
Balai Cerap Al-Khawarizmi (Jabatan Mufti Melaka) 75-76
Hormati Proses Penentuan Rasmi Tarikh Hari Raya 77-80
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia 81-83
Data Rasmi Anak Bulan Syawal 1443 84-86
Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) 87-90
Kemungkinan Anak Bulan Kelihatan 91-94
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 95-98
Sekiranya Anak Bulan Kelihatan
Persatuan Jurufalak Syarie
Bertembung Antara Hisab dan Rukyah
Jabatan Mufti Negeri Selangor
Anak Bulan Kelihatan di Luar Kriteria
Jabatan Mufti Negeri Sembilan
Anak Bulan Kelihatan di Labuan
Jabatan Mufti Negeri Perak
Perubahan Takwim 1443H
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Liputan Berita

II

Prakata

Alhamdulillah, segala puji-pujian kepada Allah SWT di atas segala
kurniaan nikmatNya. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi
Muhammad SAW pembawa rahmat sekalian alam, salam dan sejahtera
buat ahli keluarga dan para sahabat baginda SAW.

Tarikh 1 Syawal 1443 di Malaysia akan diingati sebagai tarikh
penting dalam sejarah ilmu falak di Malaysia. Raya Aidilfitri 1443/2022
merupakan peristiwa langka. Sejak 30 tahun lalu tarikh 1 Syawal sama
seperti yang tercatat di kalendar. Namun ia tidak terjadi pada tarikh
Aidilfitri 1443/2022. Raya Puasa tahun 2022 jatuh awal sehari dari
jangkaaan awal. Justeru, bab prolog hadir untuk merakamkan latar
belakang peristiwa polemik berkaitan isu penentuan tarikh 1 Syawal
1443/2022.

Sebelum itu, tarikh 1 Syawal 1443/2022 berkait rapat dengan
penentuan awal Ramadan 1443/2022. Ini kerana penentuan awal
Ramadan 1443/2022 akan menentukan tarikh cerapan anak bulan
Syawal 1443 (29 Ramadan 1443). Malaysia berpuasa lewat sehari
berbanding kebanyakan negara lain. Justeru, persoalan kenapa Malaysia
mula berpuasa lewat sehari berbanding negara-negara lain dari perspektif
ilmu falak dirincikan dalam bab kedua.

Dalam tempoh umat Islam masih berpuasa, tular isu Malaysia
akan menyambut Aidilfitri awal sehari dari jangkaan awal. Isu ini
mendapat liputan meluas media arus perdana dan media sosial. Justeru,
dalam buku ini terdapat tiga rencana dari ahli falak yang telah mengulas
isu yang dibangkit secara tuntas.

Saban tahun, di akhir Ramadan, hebahan mengenai tarikh
melihat anak bulan akan dibuat menerusi radio, televisyen, surat khabar
dan medium lain. Sudah tentu yang pasti tarikh hari raya akan jatuh

III

sehari selepas (ikut kalendar Masihi) atau dua hari selepas tarikh hari
cerapan anak bulan. Usaha ini menafikan sama sekali kenyataan bahawa
pihak berwajib tidak menjelaskan proses penentuan awal Syawal 1443
kepada masyarakat lebih awal.

Tambahan pula, tahun 2022 agak berbeza, pelbagai pihak yang
terlibat dengan urusan penentuan awal bulan Hijriah mengeluarkan
kenyataan media khas berkaitan penentuan tarikh 1 Syawal 1443/2022.
Ini berikutan maklum balas terhadap kekeliruan berkaitan isu yang
ditularkan oleh pihak tertentu. Justeru, kenyataan pihak-pihak berwajib
serta kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebelum tibanya
Syawal 1443/2022 dihidangkan dalam buku ini.

Setelah tarikh satu Syawal 1443 diumumkan oleh Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja jatuh hari Isnin bukannya Selasa, persoalan demi
persoalan timbul kenapa perkara tersebut boleh berlaku? Sehubungan
itu, kenyataan Jabatan-Jabatan Mufti berhubung persoalan selepas
pengumuman tersebut disisipkan dalam buku ini.

Tambahan lagi, tiga rencana/ulasan dari ahli falak yang mengulas
dari pelbagai dimensi terhadap penentuan awal Syawal 1443 turut
dirakamkan dalam buku ini. Mereka memberikan komentar dan buah
fikiran dari sisi pandang yang berbeza mengenai isu ini.

Menyedari penentuan awal raya 1443 merupakan satu sejarah
bagi negara Malaysia, monograf ini muncul sebagai medium
menghimpunkan kenyataan pelbagai pihak yang berkaitan. Menariknya
ia disusun secara kronologi supaya pembaca mendapat gambaran yang
jelas seputar isu penentuan hari lebaran 1443/2022. Terima kasih kepada
semua pihak yang terlibat dalam menerbitkan buku ini. Semoga
bermanfaat untuk semua pembaca.

Wallahu ‘Álam

Penyusun

IV

Biodata Penyumbang

Dato' Dr. Mohd Zambri Zainuddin merupakan Profesor Kehormat
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Fellow Royal Astronomical
Society (FRAS) United Kingdom, ahli International Astronomical
Union (IAU), Paris, dan Fellow Institute Physics Malaysia (FIPM).
Beliau telah memperolehi PhD dalam Instrumentasi Astronomi di
Universiti Durham United Kingdom (1983). Beliau pernah berkhidmat
di Pusat Pengajian Asasi Sains, Universiti Malaya, Jabatan Fizik, Fakulti
Sains, Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau telah dilantik Panel
Pakar Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dulunya
dikenali Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam sejak tahun 1999 hingga
sekarang. Beliau telah diamanahkan untuk memimpin Persatuan Ahli
Falak Negeri Selangor sebagai Yang Dipertua Persatuan.

Dr. Mustafa Din Subari merupakan seorang Profesor Adjung di
Universiti Teknologi Malaysia. Beliau juga adalah mantan Ketua
Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) (2008-2013). Beliau
pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Sains
Geoinformasi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1983-2006), dan
bersara sebagai Profesor di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
pada tahun 2020. Beliau memperolehi Sarjana Muda dalam Ukur Tanah
dari Universiti Teknologi Malaysia (1983), Sarjana Sains Geodesi dari
Universiti Ohio State, Amerika Syarikat (1987) dan PhD dalam GPS
Surveying dari University of New South Wales, Australia (1996). Beliau
telah dilantik sebagai Panel Pakar Falak JAKIM (dulu dikenali sebagai
Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam) sejak tahun 1990 hingga kini.

V

Dr. Baharrudin Zainal kini merupakan Profesor Madya di Institut
Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), dan
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Sultan
Zainal Abidin (UniSZA). Beliau dilahirkan di Kampung Morten, Melaka,
menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam
bidang Ukur Tanah pada tahun 1987. Seterusnya, beliau memperolehi
Sarjana Sains dalam bidang Astronomi Kalendar di Universiti Sains
Malaysia (USM) tahun 2002. Beliau telah menyempurnakan pengajian
peringkat PhD di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang
Falsafah Matematik pada tahun 2009. Beliau banyak menghasilkan
penulisan dalam bidang falak dan etnosains.

Shahril Azwan bin Hussin dilahirkan di Sungai Petani Kedah. Beliau
menerima pendidikan di Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Sekolah
Menengah Agama an-Nahdzah Bukit Besar dan Maktab Mahmud Alor
Setar. Beliau memperolehi ijazah Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dan
ijazah Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau
kini menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana di Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya dalam bidang Falak. Beliau bertugas sebagai
Pegawai Hal Ehwal Islam di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Beliau
memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Pengarah di Unit Falak
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia bermula Mei 2008 sehingga September 2018. Kemudian
berpindah ke Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sebagai
Penolong Mufti bermula September 2019 dan ditugaskan di Unit Falak,
Bahagian Fatwa PMWP sehingga sekarang. Beliau juga terlibat dengan
aktiviti NGO sebagai bendahari Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) dan
ahli Persatuan Penjejak Gerhana Matahari Malaysia

VI

Dr. Ahmad Irfan bin Ikmal Hisham, berasal dari Gombak. Beliau
mendapat PhD dalam al-Hadith (Astronomi Islam) daripada Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya. Master of Letters in Islamic
Jerusalem Studies pula diperolehi daripada University of Aberdeen, dan
sebelumnya beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah
Islamiyyah daripada Universiti Al-Azhar, Damanhour Mesir. Beliau
mendapat pengajian awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Gombak (I),
sebelum menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Agama Kuala
Lumpur. Selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR), beliau
menyambung pengajian ke Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS)
Klang. Kini beliau merupakan Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia
Pahang. Beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Falak Negeri
Pahang.

Dr. Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi berasal dari Baling Kedah.
Memperolehi PhD (2014), Sarjana Sains (2011) dan Sarjana Muda
Syariah (2006) dari Universiti Malaya. Mendapat pendidikan awal di
Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil, Kupang, dan seterusnya
menyambung pengajian peringkat menengah di Maktab Mahmud, Alor
Setar. Beliau telah dilantik sebagai Panel Pakar Falak, JAKIM dan Ahli
Jawatankuasa Rukyah, Negeri Sembilan. Kini beliau bertugas sebagai
Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Beliau telah diamanahkan sebagai Pengerusi
Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS).

VII

VIII

Prolog

Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi

1 Syawal 1441 tahun 2020, 1 Syawal 1442 tahun 2021, 1 Syawal 1443
tahun 2022 mempunyai sejarahnya tersendiri. 1 Syawal 1441, 1442
diraikan dalam suasana pergerakan terhad bagi umat Islam di Malaysia
angkara “makhluk halimun” Covid-19. Sudah tentu kita masih ingat
istilah “rentas daerah dan rentas negeri”. Istilah tersebut menafikan
kemeriahan suasana “balik kampung” kerana pergerakan dihadkan
kepada kilometer tertentu.

Kesibukan jalan raya tidak lagi seperti biasa. Statistik kemalangan
jalan raya musim lebaran turun secara mendadak berbanding tahun-
tahun sebelumnya. Orang yang berada di kampung beraya di desa, orang
yang berada di bandar beraya di kota.

Masjid dan surau terhad kepada berberapa orang sahaja, takbir
raya bergema bersama ahli keluarga. Kebanyakan solat hari raya
berimamkan ketua keluarga. Hampir tiada istilah ziarah raya. Ziarah
pusara tercinta ditangguh seketika. Ayah dan bonda serta sanak saudara
berkumpul bersama melalui peranti media di hari pertama. Itu semua
detik peristiwa yang pasti tidak dilupa oleh rakyat Malaysia.

Menjengah masuk tahun 2022, ramai menjangka raya tahun ini
pasti berbeza. Segala larangan sebelum ini ditarik kembali. Hidup
kembali normal seperti biasa. Apabila disebut tarikh raya dua perkara
yang terlintas di fikiran orang biasa. Kalendar dan pengumuman

1

B BAB 1

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR). Tarikh di kalendar rata-
rata mencatatkan 3 Mei 2022 sebagai tarikh Hari Raya.

Walaupun begitu, setiap kalendar tercatat tertakluk kepada
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Pun begitu berpuluh tahun lamanya,
jarang sekali tarikh hari raya di kalendar berbeza seperti diumumkan oleh
PMBRR. Oleh demikian, ramai juga tidak ambil cakna istilah anak bulan,
hisab atau rukyah.

Mungkin keutamaan diberikan kepada persiapan sebelum raya,
malam raya, hari raya, hari selepas raya. Bila tarikh sebetulnya hari raya
mungkin tidak perlu diambil cakna kerana tarikh telah tercatat dalam
kalendar. Bagi yang peduli dengan istilah-istilah tersebut, tarikh 29
Ramadan 1443H/1 Mei 2022M menjadi fokus utama.

Tarikh yang akan menentukan anak bulan kelihatan atau
sebaliknya. Tarikh itulah yang akan menentukan tarikh 1 Syawal 1443H.
Justeru, Raya Puasa tahun 2022 jatuh sama ada Isnin 2 Mei 2022 atau
Selasa 3 Mei 2022. Hanya PMBRR yang mempunyai kuasa
mengumumkan tarikh satu Ramadan, Syawal dan Zulhijah di Malaysia.

Menjelang lebaran 1443H, pengumuman tarikh hari raya akan
diumumkan melalui televisyen, radio serta melalui internet oleh
Penyandang ke-16, PMBRR, Tan Sri Syed Danial bin Syed Ahmad.
Ramai ternanti-nanti pengumuman oleh beliau.

Bilakah tarikh sebenar hari raya? Sebelum ini ramai juga
menantikan pengumuman PMBRR. Disamping tarikh yang ditunggu
warna baju melayu yang dikenakan oleh beliau juga tidak terlepas
menjadi tekaan.

Tahun demi tahun beliau tetap setia muncul di kaca televesiyen
dan media lain menggalas amanah besar dari Seri Paduka Baginda Yang
Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Negara.

2

PROLOG

Ramai yang telah menghafal bait-bait ayat yang disebut oleh oleh
beliau. Pada 1 Mei 2022 beliau muncul dengan kenyataan yang berbunyi:
“Bismillahirahmanirrahim, Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka
Baginda yang di Pertuan Agong, Setelah diperkenankan oleh Duli-Duli yang Maha
Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya istiharkan bahawa tarikh hari raya puasa
bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah hari Isnin 2 Mei 2022. Sekian
Wassalamu álaikum Warahmatullahi wabarakatuh”.

Ramai yang termangu seketika mendengar perkatan Isnin 2 Mei
tahun 2022. Tarikh yang dijangka Selasa, 3 Mei 2022 meleset sama sekali.
Bagi yang tidak mendengar pengumuman beliau, sudah tentu berita esok
raya disebarkan melalui medium WhatsApp atau medium lain. Kali ini,
ramai yang terhenti seketika membuat semak silang sama ia berita benar
atau berita palsu. Setelah menerima khabar benar raya Isnin, sudah tentu
ramai yang bertanyakan persoalan kenapa?

Kenapa esok raya? Ada juga yang marah, ada juga yang keliru, ada
yang pasrah, ada juga yang telah bersedia dengan segala kemungkinan.
Satu pertiga awal malam keluar berita kenyataan Mufti Wilayah
Persekutuan Datuk Dr Hj. Luqman Hj. Abdullah menjelaskan anak
bulan Syawal telah kelihatan di Labuan menyebabkan Syawal mula
diraya. Ramai yang menerima penjelasan beliau dengan hati yang
terbuka.

Media cetak dan elektronik merakamkan detik-detik orang ramai
dalam membuat persiapan sebelum muncul fajar sadiq pagi Syawal.
Banyak tajuk-tajuk berita seperti;

Rakyat Malaysia 'kelam-kabut' nak sambut raya”- sinarharian.com.my
Raya terkejut, cerita bahagia sambut raya -Kosmo.com.my
Aidilfitri tetap meriah walau ‘Raya terkejut', bharian.com.my
Pasar raya sesak 'diserbu' pengunjung beli persiapan tergempar. -
Bharian.com.my
Tidak sangka esok raya, rakyat serbu pasar raya beli kelengkapan
Aidilfitri saat akhir- astroawani.com.

3

B BAB 1

Raya awal: Tangkap ayam direban, potong buluh dalam gelap,
www.utusan.com.my
Kelam kabut buat persiapan raya tapi rasa seronok sinarharian.com.my
Enam beranak jamah mi segera di pagi raya sinarharian.com.my
Rendang tak buat lagi, ramai panik Hari Raya disambut esok-
freemalaysiatoday.com

Sudah tentu, banyak lagi cerita rakyat Malaysia yang tidak
dirakam oleh media elektronik mahupun media cetak. Antara topik
perbualan kunjung mengunjung tahun ini adalah mengenai “Raya
Terkejut” “Raya Kalut” “Raya Kelam Kabut”, masing-masing
menceritakan pengalaman dalam menghadapi suasana luar jangka
tersebut semasa sesi ziarah raya.

Jika diselak atau disingkap sebelum itu, polemik isu penentuan
awal hari raya bermula pada sejak penentuan awal Ramadan di Malaysia.
Malaysia sambut 1 Ramadan 1443H pada 3 April 2022 (Isnin) bukannya
2 April 2022 (Ahad). Malaysia mula puasa lambat sehari dari kebanyakan
negara.

Sebelum itu, sejak 1995-2021 Malaysia menggunakan syarat
kenampakan kriteria imkan al-ru’yah MABIMS yang lama. Tahun 2022
merupakan tahun pertama awal puasa dan hari raya Malaysia beralih
kepada syarat kenampakan imkan al-ru’yah yang baru. Ekoran itu, Mufti
Perlis Prof. Madya Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
yang lebih dikenali sebagai Dr MAZA menulis dalam twitter berbunyi
begini; “Kebanyakan negara sudah pun berpuasa khususnya negara-negara Arab.
Di rantau sebelah sini, selain negara-negara MABIMS, banyak yang telah pun
berpuasa. Saya mencadangkan kiraan imkanur rukyah baru yang MABIMS guna
sebagai kiraan mereka patut dinilai dan disemak semua. Jika tidak, saya bimbang
kita tidak akan nampak hilal (anak bulan) setiap kali cerapan dibuat. JAKIM
yang bertanggungjawab hal ini wajar memainkan peranan aktif menyemak semua
perkara ini.

4

PROLOG

Seperti biasa, kenyataan beliau sehari sebelum umat Islam di
Malaysia berpuasa mendapat reaksi yang pelbagai. Hari-hari Ramadan
disambut dengan penuh syukur kerana Ramadan dua tahun yang lalu
agak berbeza. Terawih ramai-ramai di masjid-surau, rapatkan saf dan
iktikaf 10 hari terakhir Ramadan antara yang terhalang dua tahun
sebelum ini. Ramadan 1443 sekatan itu tiada lagi.

Kerinduan untuk mengunjungi tanah suci Mekah, Madinah
terubat pada tahun 2022, sempadan negara dibuka, ramai yang ambil
peluang mengerjakan umrah dan ramai juga yang melancong ke luar
negara.

Sudah tentu mereka yang menunaikan umrah atau melancong di
negara yang menyambut 1 Ramadan 1443 pada 2 April 2022 puasa sehari
lebih awal dari sanak saudara di Malaysia. Apabila pulang ke tanah air,
ramai mencari jawapan hukum fikah sekiranya ditakdirkan Malaysia raya
3 Mei 2022 seperti yang tercatat di kalendar.

Kemungkinan mereka akan berpuasa lebih sehari! Adakah
mereka perlu puasa 30 hari sahaja dan raya awal? Ataupun mereka perlu
puasa sehingga 31 hari untuk sambut lebaran bersama-sama rakyat yang
lain? Banyak kenyataan dari pelbagai pihak yang mengemukakan jawapan
merungkai isu fikah ini.

Pantas masa berlalu, bilangan hari Ramadan akan masuk fasa
akhir sehari dua lagi. Hampir tarikh mengikat simpul kemas kain pelikat
untuk ‘Iktikaf memburu lailatulqadar, Utusan Malaysia, 20 April 2022, 18
Ramadan 1433 menyiarkan berita bertajuk “Ramadan di Malaysia dijangka
Genap 30 hari”. Pihak Utusan Malaysia telah menghubungi Ustaz
Hanafiah Abdul Razak, Pakar Falak terkenal tanah air, akhbar Utusan
menulis pandangan beliau seperti berikut;
“anak bulan sukar dilihat pada senja hari rukyah 29 Ramadan” ...
“Justeru, berdasarkan pengamalan beliau, agak sukar untuk kebolehnampakan
anak bulan dengan mata kasar kerana kedudukannya dekat dan susah dilihat
cahaya jasad hilal itu”

5

B BAB 1

Jika dicermati perkataan “agak sukar” yang diungkapkan oleh
beliau itu cukup membuktikan, tarikh 1 Syawal 1443H masih menjadi
tanda soal. Malah ungkapan “sukar” itu menunjukkan tidak menafikan
sama sekali masih ada peluang untuk kelihatan. Namun dengan keadaan
cuaca di Malaysia yang tidak menentu, awan yang tebal di kaki ufuk barat,
ditambah bentuk dan cahaya bulan nipis serta kecil cuma kali ini, sukar
benar untuk kelihatan dengan menggunakan mata kasar. Sekiranya anak
bulan tidak kelihatan 29 Ramadan 1443 tarikh yang dicatatkan di
kalendar (Selasa) sebagai 1 Syawal 1443 sudah tentu kita akan berpuasa
genap 30 hari tahun 2022.

Dalam fasa akhir Ramadan 1443, pada 26 April 2021 bersamaan
24 Ramadan 1443 tular maklumat yang berbunyi “Untuk makluman semua,
mohon stanby keperluan yang diperlukan. Hari Raya tahun ini mungkin berubah
n awal sehari yg tertera di kalendar. Raya akan disambut Isnin 2 hb Mei &
bukannya 3 Hb spt yg semua maklum. Ini disebabkan oleh perkiraan syarat
kenampakan hilal imkanur rukyah thn ini mengikut format baru. Walau apapun,
tetap akan bergantung penuh kpd pengumuman penyimpan mohor besar raja. Di
pihak kita mohon stanby, takut panik pulak jika diumum Raya 2hb nanti. Mesej
dr Member jbtan Mufti Melaka…Dr balai Cerap Khawarizmi tnjung bidara
Sehubungan itu, pihak berkaitan mengeluarkan kenyataan bahawa
maklumat yang tular tersebut sebagai palsu atau tidak benar.

Terdahulu terdapat kenyataan pihak tertentu yang menjelaskan
bahawa berdasarkan data dari badan yang berpusat di United Kingdom
menunjukkan bahawa anak bulan telah memenuhi syarat kenampakan
kriteria Imkan al-Ru’yah. Raya akan jatuh pada 2 Mei 2022 (Isnin)
bukannya 3 Mei 2022 (selasa). Isu ini tular dan mendapat perhatian
ramai. Ia menyebabkan pihak-pihak berwajib mengeluarkan kenyataan
rasmi selepas itu. Tarikh hari raya terus menjadi tanda tanya.

Di ambang akhir Ramadan 1443H, 29 April 2022 bersamaan 27
Ramadan 1443 malaysiakini.com telah menerbitkan berita mengenai
kemungkinan tarikh hari raya. Portal malaysiakini.com memetik twitter Dr

6

PROLOG

MAZA yang berbunyi “Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan
yg digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin hari raya. Demikianlah
kebanyakan negara Umat Islam. “Jika pakai kriteria baru Jakim / Mabims,
mungkin tak nampak. Maka, kita mungkin raya Selasa,”

Kenyataan lanjut Dr MAZA dijelaskan dalam portal
malaysiakini.com bertajuk “Banyak negara raya Isnin, tapi Malaysia mungkin
Selasa - mufti Perlis”. Di kalangan netizen ramai memberikan pendapat
terhadap kenyataan beliau. Namun, tarikh satu Syawal 1443 tetap dan
masih menjadi tanda tanya Isnin atau Selasa.

Di samping itu malaysiakini.com dan hmetro.my juga memetik
kenyataan Pusat Sains Antariksa Badan Riset dan Inovasi Nasional
(BRIN). Mengikut Badan tersebut keadaan anak bulan di Indonesia
memenuhi syarat kenampakan kriteria MABIMS dan hanya Malaysia
berpotensi menyambut lebaran pada hari sama dengan Indonesia kerana
Langkawi dan Perlis memenuhi syarat kriteria baru itu. Sudah tentu
kenyataan-kenyataan tersebut ini menambahkan lagi spekulasi tarikh hari
raya tahun 1443/2022.

Meskipun kiraan, tekaan, mahupun ramalan dibuat sebelum itu
mengenai tarikh 1 Syawal 1443. Pada 1 Mei 2022, 29 Ramadan 1443,
debaran kian terasa selepas menikmati salah satu dari dua nikmat yang
dianugerahkan kepada orang berpuasa.

Raya Isnin atau Selasa?

7

8

TARIKH AWAL PUASA BERBEZA

Tarikh Awal Puasa Berbeza

Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi

Kedatangan Ramadan tahun ini disambut dengan penuh rasa syukur di

kebanyakan negara Islam setelah pelbagai pemansuhan sekatan akibat
Covid-19. Ramadan 1443H/2022M, secara umumnya sebanyak 23
negara yang terletak di Timur Tengah, Asia Tengah dan Afrika
menyambut 1 Ramadan 1443 pada 2 April 2022.

Di samping itu juga, terdapat umat Islam di rantau ini
memulakan puasa pada tarikh yang sama. Manakala umat Islam di 11
buah negara seperti Bangladesh, Brunei Darussalam, India, Indonesia,
Iran, Jordan, Moroko, Oman, Pakistan, Singapura termasuk Malaysia
berpuasa lewat sehari iaitu 3 April 2022 bukan 2 April 2022.

Hisab dan Rukyah

Semua umat Islam yang berpuasa pada 2 April 2022 atau 3 April
2022 sudah tentu berlandaskan sumber hukum yang sama iaitu Al-
Quran (al-Baqarah ayat 185, Al-Baqarah 189) dan antara hadis yang
dirujuk adalah;

Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat
anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan.
Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih
Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda “Jangan kamu berpuasa sehingga
kamu melihat anak bulan dan jangan kamu berbuka sehingga kamu
melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka taqdirkanlah” (Sahih
Bukhari).

9

B BAB 2

Namun begitu, dalam aspek pelaksanaan mekanisme penentuan
awal Ramadan membawa kepada perbezaan pendapat di kalangan para
ulama. Antaranya penentuan berdasarkan rukyah (cerapan) anak bulan,
berdasarkan hisab (pengiraan) falak/astronomi, kombinasi antara hisab
dan rukyah. Terdapat juga perbahasan di kalangan ulama yang
menyentuh mengenai kenampakan anak bulan di sesebuah negara boleh
dijadikan rujukan untuk berpuasa di negara lain atau sebaliknya.

Kenapa Malaysia dan Negara Lain Mula Berpuasa 3 April 1443H?

Berdasarkan sumber hukum, terdapat negara yang mengaplikasikan
konsep imkan al-ru’yah (possibility of sighting). Konsep ini menggabungkan
rukyah dan hisab bagi merumuskan satu set kriteria untuk anak bulan
yang dijangka boleh kelihatan. Kriteria-kriteria ini lahir daripada dua
pendekatan sama ada pendekatan empirikal atau teoretikal.

Secara empirikal, ia berdasarkan rekod cerapan anak bulan dalam
tempoh tertentu, di mana ahli astronomi menganalisis dan membentuk
kriteria kenampakan anak bulan. Secara teoretikal pula, kajian dijalankan
dengan mempertimbangkan pelbagai faktor yang mempengaruhi
kenampakan anak bulan seterusnya membentuk model-model
matematik. Kriteria teoretikal yang dihasilkan mengambil kira beberapa
aspek seperti jarak bulan dan matahari, kelebaran anak bulan, keamatan
cahaya anak bulan, kecerahan langit, peranan mata manusia dalam
cerapan anak bulan dan lain-lain lagi.

10

TARIKH AWAL PUASA BERBEZA

Rajah 1 : Zon Kemungkinan Kenampakan Anak Bulan Mengikut Odeh
(2004)- 1 April 2022

Contohnya pada tahun 2004 Odeh telah menggunakan
pendekatan empirikal menghimpunkan 737 data yang berjaya dicerap
(nampak) dan tidak nampak dalam satu jurnal astronomi. Berdasarkan
rekod data cerapan serta disaring sejak beratus tahun beliau telah
mengelaskan data-data tersebut kepada beberapa bahagian atau zon.

Seperti dipaparkan pada Rajah 1 terdapat zon dalam keadaan
tertentu anak bulan mustahil untuk dilihat (warna merah), zon anak
bulan tidak mungkin dilihat (warna putih), zon anak bulan hanya boleh
dilihat dengan bantuan alat optik seperti teleskop dan teropong (warna
biru), zon anak bulan boleh dilihat dengan menggunakan bantuan optik
atau boleh dilihat menggunakan mata kasar (magenta), dan zon anak
bulan secara mudah dilihat dengan menggunakan mata kasar (hijau).

11

B BAB 2

Negara MABIMS mengadaptasi Kriteria Imkan al-Ru’yah Baru

Pada tahun ini, negara Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei
Darussalam (MABIMS) telah bersetuju mengadaptasi kriteria baru
MABIMS (2021) iaitu; ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak
kurang 3°dan jarak lengkung Bulan Matahari (elongasi) tidak kurang dari
6.4°.

Sebelum ini MABIMS (1992) telah menerapkan kriteria lama.
Iaitu; Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak
kurang dari 2° dan jarak lengkung hilal-Matahari tidak kurang dari 3°,
atau; Ketika anak bulan terbenam, umur hilal tidak kurang daripada 8 jam
selepas ijtimak berlaku.

Secara umumnya kriteria-kriteria ini berperanan untuk
menyusun kalendar hijriah contohnya pada 29 Muharam 1443 diteliti
sama ada kedudukan anak bulan memenuhi kriteria atau tidak, sekiranya
memenuhi kriteria keesokan harinya dijadikan 1 Safar 1443H, sekiranya
tidak memenuhi kriteria maka keesokan harinya digenapkan bulan
Muharam 1443 sebanyak 30 hari. Kriteria ini juga menjadi panduan
dalam penentuan awal puasa dan hari raya.

Kriteria MABIMS (1992) merupakan produk ijtihad ahli
falak/astronomi dan ulama terdahulu dan telah berjaya menjaga
keharmonian dalam urusan keagaaman di negara MABIMS khususnya
yang melibatkan penyusunan takwim dan isu-isu fiqh yang melibatkan
takwim. Justeru, kita menghormati ijtihad orang terdahulu mendahului
kita.

12

TARIKH AWAL PUASA BERBEZA

Persetujuan bersama yang ditandatangi oleh MABIMS
Sumber: https://tdjamaluddin.wordpress.com

Mengapa kriteria Imkan al-Ru’yah MABIMS dipinda?
Namun begitu, sesuai dengan produk ijtihad yang berdasarkan kepada
data-data kenampakan anak bulan ia perlu dinilai dan perlu ditambah
baik dari semasa ke semasa.

13

B BAB 2

Kriteria MABIMS (1992) sebelum ini telah dikritik dari aspek
saintifik dalam praktikal kenampakan anak bulan yang sebenar. Sudah
tentu, satu kriteria itu perlu disemak dengan hasil cerapan di lapangan.
Hasil adaptasi kriteria MABIMS (1992) mendapati tiada rekod anak
bulan dilaporkan pernah kelihatan dengan berpandukan kriteria terbabit.
Contohnya cerapan yang diusahakan oleh pihak berwajib di Teluk
Kemang, Negeri Sembilan selama 20 tahun menemui tiada rekod
membuktikan anak bulan 8 jam boleh dan telah kelihatan secara saintifik.

Hatta, rekod di seluruh dunia tidak menemui lagi anak bulan 8
jam boleh kelihatan dengan mata kasar. Di samping itu, aspek data-data
yang digunakan dalam merumuskan kriteria MABIMS (1992) juga
dikritik dari aspek kesahan dan kebolehpercayaan data-data tersebut.
Penggunaan Kriteria MABIMS (1992) juga membuktikan anak bulan
sukar untuk kelihatan di Malaysia pada hari mencerap anak bulan dan
ada kalanya dengan anak bulan masih belum ijtimak semasa hari cerapan
dilakukan. Mencerap anak bulan sebelum ijtimak berlaku seperti
seseorang ingin menziarahi bayi yang baru lahir sedangkan bayi masih
belum keluar dari perut si ibu.

Justeru, kajian, mesyuarat, pertemuan, munaqashah, muzakarah
dilakukan di peringkat negara MABIMS untuk membincangkan satu
kriteria baharu. Satu konsensus telah dicapai bagi mengemukakan
kriteria baru untuk diaplikasikan di negara anggota MABIMS. Sudah
tentu kriteria baharu ini juga bersifat dinamik akan terus dikaji dan akan
disemak dari masa ke masa.

Ini kerana kenampakan anak bulan bukan hanya faktor kriteria
semata-mata, agak rumit, melibatkan pelbagai faktor iaitu jarak
kedudukan bulan dari matahari relatif kepada ufuk, kecerahan bulan
dengan kecerahan langit, kepekaan mata, keadaan atmosfera dan faktor
psikologi. pendeknya ia melibatkan ilmu syariah, astronomi,
meteorologi, dan psikologi.

14

TARIKH AWAL PUASA BERBEZA

Rajah 2: Kedudukan Anak Bulan ketika Matahari Terbenam 29
Syaaban 1443 di Malaysia

Pada 1 April 2022 lalu, kedudukan anak bulan di Malaysia
mengikut kriteria Odeh (2004) dan kriteria baharu MABIMS (2021) tidak
memenuhi kriteria (Rajah 1) (Rajah 2), umur bulan pula dalam 5 jam dari
ijtimak (bumi-bulan-matahari) dan sudah pasti anak bulan tersebut
berada pada zon tidak mungkin dilihat sama ada menggunakan mata
kasar mahupun bantuan optik (Rajah 1).

Hasil cerapan di 29 tempat rasmi di Malaysia, Sidang Isbat
(Pertemuan yang menerima laporan kenampakan anak bulan) di
Indonesia, Brunei Darussalam melaporkan anak bulan tidak kelihatan.
Malaysia, Indonesia, Brunei menyambut 1 Ramadan 1443 pada 3 April
2022 ekoran daripada anak bulan dilaporkan tidak kelihatan. Bagi negara
Singapura pula tiada tempat sesuai untuk mencerap anak bulan,
mengikut pengiraan (hisab) kedudukan anak bulan tidak memenuhi
kriteria MABIMS (2021) pada 1 April 2022, maka umat Islam di
Singapura juga menyambut awal Ramadan 1443 pada 3 April 2022.

15

B BAB 2

Bagi negara makin barat dari negara Malaysia, umur anak bulan
lebih besar contohnya Jordan 10 jam, Iran 9 jam dan begitu juga Pakistan
ketika Matahari terbenam di lokasi masing-masing. Namun begitu,
mengikut rekod dunia anak bulan secara saintifik tidak pernah terbukti
kelihatan di bawah 10 jam dengan bantuan optik.

Justeru, sekiranya anak bulan tidak kelihatan di Jordan, Iran dan
Pakistan adalah munasabah kerana negara-negara tersebut masih
tergolong dalam negara zon yang sama seperti negara MABIMS -tidak
mungkin anak bulan kelihatan (Rajah 1). Justeru, negara tersebut
menyambut 1 Ramadan 1443 pada 3 April 2022. Walaupun, negara
Moroko mempunyai peluang kenampakan anak bulan lebih tinggi iaitu
13 jam, namun selepas cerapan dilakukan anak bulan tidak kelihatan
maka mereka menyambut 1 Ramadan 3 April 2022.

Kenapakah umat Islam mula berpuasa pada 2 April 2022?

Terdapat juga negara atau kumpulan umat Islam yang berpandukan
kepada kaedah tertentu dalam menentukan awal bulan Hijriah
contohnya negara Turki dan organisasi Muhammadiyah di Indonesia.
Sekiranya dilihat pada Rajah 1, negara Turki dan Indonesia
sememangnya berada dalam zon anak bulan yang tidak mungkin anak
bulan kelihatan. Bagi organisasi Muhammadiyyah, mereka mengamalkan
hisab wujudulhilal sebagai pedoman untuk memulakan awal puasa sama
ada 2 April 2022 atau 3 April 2022.

Secara ringkasnya, mengikut kriteria wujudulhilal sekiranya telah
terjadi ijtimak dan anak bulan berada/wujud di atas ufuk negara
Indonesia pada waktu maghrib 29 Syaaban 1443 maka keesokan harinya
ditetapkan awal Ramadan. Sememangnya berdasarkan hisab anak bulan
berada/wujud di ufuk Indonesia pada 29 Syaaban 1443, Oleh itu,
pengikut Muhammadiyah di Indonesia berpuasa pada 2 April 2022
berbanding kerajaan Indonesia yang menetapkan awal puasa pada 3
April 2022.

16

TARIKH AWAL PUASA BERBEZA

Rajah 3: Peta Kenampakan Anak Bulan menggunakan kriteria Imkan
al-Ru’yah Turki (2016)

Sumber: https://vakithesaplama.diyanet.gov.tr/haritalar.php
Berbeza pula dengan negara Turki yang mengamalkan konsep

Imkan al-Ru’yah seperti MABIMS, namun dengan nilai parameter kriteria
kenampakan yang agak berbeza. Mengikut amalan di negara Turki yang
merupakan penggerak penyatuan kalendar Islam Global, walaupun 29
Syaaban 1443 anak bulan tidak memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah di
seluruh negara Turki, namun jika terdapat di mana-mana negara yang
telah memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah maka keesokan harinya boleh
ditentukan 1 Ramadan 1443H di negara Turki. Pada 29 Syaaban 1443H
tenyata kedudukan anak bulan tidak mungkin kelihatan di negara Turki
(Rajah 3).

Dengan erti kata lain, anak bulan belum memenuhi Imkan al-
Ru’yah di negara Turki pada tarikh tersebut. Namun terdapat
kemungkinan anak bulan kelihatan di negara Eropah (Rajah 3) serta
kedudukan anak bulan memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah , justeru umat
Islam di negara Turki menyambut 1 Ramadan 1443 pada 2 April 2022.

17

B BAB 2

Berita 1 Ramadan 1443 jatuh 2 April 2022 di Negara Arab Saudi
Sumber: https://www.spa.gov.sa

Sehubungan itu, agak menarik juga diperhatikan kebanyakan
negara Timur Tengah mengumumkan awal Ramadan pada 2 April 2022.
Kita menghormati proses penentuan awal bulan negara terbabit
kemungkinan mereka mengunakan konsep rukyah, hisab, atau
berpandukan kenampakan anak bulan dari negara lain. Justeru, setiap
negara mempunyai alasan masing-masing dalam menentukan tarikh awal
puasa 1443. Marilah kira raikan perbezaan dan hormat saling
menghormati antara satu sama lain.
Catatan
Tulisan ini disiarkan di laman sesawang jurufalak.com bertajuk Menyingkap
Perbezaan Tarikh Awal Ramadan 1443H/2022M dalam ruangan
SUARA/MINDA pada 3 April 2022 bersamaan 1 Ramadan 1443.

18

MERIAHNYA RAYA 1443/2022

Meriahnya Raya 1443/2022

Shahril Azwan Hussin

Setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung, tahun ini satu Syawal

bagai dinanti-nanti oleh semua umat Islam di Malaysia. Masing-masing
telah membuat persiapan awal dan perancangan untuk pulang ke
kampung meraikan hari raya bersama sanak saudara. Ditambah dengan
cuti raya tahun ini kebetulan lebih dari tiga hari. Namun, kemeriahan
menanti 1 Syawal menjadi lebih menarik apabila tularnya isu bilanya
tarikh sebenar 1 Syawal 1443H, 2 Mei (Isnin) atau 3 Mei (Selasa)?

Kenapa isu ini tular?

Wujud kerana terdapat beberapa komentar di sosial media yang
menyatakan anak bulan boleh kelihatan menjadikan hari raya puasa
adalah pada 2 Mei dan bukan pada 3 Mei kerana tarikh melihat anak
bulan Syawal adalah pada 1 Mei 2022. Ianya disokong pula dengan data
dari almanak luar negara yang boleh dirujuk melalui aplikasi dalam talian
(online).

Benarkah begitu?

Penentuan awal bulan hijri di Malaysia menggunapakai kaedah rukyah
dan hisab. Rukyah (melihat anak bulan) dilaksanakan pada hari ke 29
setiap bulan (fokus 29 Ramadan). Sekiranya anak bulan tidak kelihatan
maka hisab digunakan dengan merujuk kepada syarat kriteria Imkan al-
Ru’yah (KIR) yang telah dipersetujui. Sekiranya syarat dipenuhi maka
esoknya menjadi 1 Syawal dan sekiranya tidak dipenuhi maka esoknya
digenapkan 30 hari Ramadan (puasa).

19

B BAB 3

Apa pula kriteria Imkan al-Ru’yah (KIR)?

KIR adalah syarat/kriteria yang dipersetujui bersama dalam menetapkan
kenampakan anak bulan. KIR yang ditetapkan adalah anak bulan dikira
boleh kelihatan sekiranya ia berada pada kedudukan tidak kurang
daripada 3° tinggi dari ufuk dan 6.4° elongasi/jarak lengkung bulan-
matahari ketika matahari terbenam pada hari ke 29 (hari rukyah/hari
cerapan).
Syarat ini baru saja diperkenalkan pada Muharam 1443H menggantikan
syarat lama iaitu anak bulan dikira kelihatan sekiranya berada pada
kedudukan tidak kurang daripada 2° tinggi dari ufuk dan 3°
elongasi/jarak lengkung atau umur anak bulan 8 jam selepas ijtima’.
(Syarat KIR baru tidak lagi menerima umur anak bulan sebagai kriteria).
Kriteria baru diperkenalkan selepas kajian anak bulan dalam tempoh
yang agak lama dilaksanakan di Malaysia dan juga merujuk kepada data-
data anak bulan yang diperolehi dari negara jiran seperti Indonesia dan
Brunei Darusslam dan juga dibuat utk menyelesaikan isu-isu berkaitan
KIR yang lama.

Apa yang terjadi dengan data 1 Syawal 1443H?

Sebahagian komentar di media sosial menyatakan bahawa data
menunjukkan anak bulan Syawal 1443H berada pada kedudukan yang
menepati KIR dengan merujuk kepada aplikasi hitungan luar negara
(almanak luar negara). Namun harus diingat di Malaysia pihak berautoriti
telah melaksanakan hitungan berkaitan anak bulan Syawal 1443H
dengan merujuk kepada data yang lebih sah (valid) untuk negara Malaysia
iaitu data dari Almanak Falak Syarie JAKIM dan almanak yang
dikeluarkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Data
hitungan tersebut telah menunjukkan bahawa anak bulan Syawal tidak
memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah seperti yang ditularkan. Hitungan ini
dibuat berpandukan kepada titik rujukan paling timur Malaysia di
Tanjung Atiamu Sabah dan juga titik rujukan paling barat Malaysia di
Tanjung Chincin Pulau Langkawi Kedah.

20

MERIAHNYA RAYA 1443/2022

Apakah data-data tersebut?

Ketika matahari terbenam hari ke 29 (hari rukyah/cerapan). Data
Tanjung Chincin, Pulau Langkawi Kedah menunjukkan bahawa altitud
bulan berada pada kedudukan 5° 27” dari ufuk dan 5° 57” jarak lengkung
bulan ke matahari. Ianya tidak memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah iaitu
anak bulan dikira boleh kelihatan sekiranya berkedudukan tidak kurang
daripada 3° tinggi dari ufuk dan 6.4° jarak lengkung bulan ke Matahari.

Kenapa Tanjung Chincin digunakan dan bukan lokasi lain seperti
Kuala Lumpur dan sebagainya?

Ini kerana bagi negara Malaysia, Tanjung Chincin adalah lokasi terakhir
matahari terbenam di langit Malaysia (merujuk kepada paling barat dan
waktu Malaysia).

Kenapa berbeza data almanak luar dan almanak Falak Syarie
JAKIM dan almanak JUPEM.

Data almanak luar berpandukan kepada konsep hitungan dan kaedah
hitungan yang digunakan oleh negara-negara luar. Manakala data
almanak Falak Syarie JAKIM dan almanak JUPEM telah diubah suai
supaya menepati konsep dan kaedah hitungan geografi bumi Malaysia.
Perbezaan konsep dan kaedah hitungan inilah yang menyebabkan
keputusan yang dikeluarkan adalah berbeza.

Jadi bolehkah anak bulan kelihatan sebenarnya?

Mengikut rekod cerapan yang ada sehingga kini, anak bulan paling muda
yang pernah dicerap berada pada kedudukan elongasi/jarak lengkung 6°
ke atas (jarak kedudukan bulan perigee – dekat dengan bumi). Oleh yang
demikian data anak bulan Syawal 1443H yang pada kedudukan 5°57”
elongasi /jarak lengkung berkemungkinan agak sukar untuk kelihatan.
Ini ditambah lagi kedudukan jarak bulan yang berada jauh daripada bumi
(apogee). Kesan daripada jarak yang jauh ini menyebabkan balikan cahaya

21

B BAB 3

permukaan anak bulan (iluminasi) lebih nipis untuk dicerap iaitu lebih
kurang 0.31% sahaja. Selain itu juga faktor cuaca pada petang hari rukyah
juga memberi kesan dalam penampakan anak bulan. Walau
bagaimanapun. Sekiranya anak bulan kelihatan, maka rekod anak bulan
baru akan tercipta.

Siapakah yang bertanggungjawab untuk mencerap anak bulan
dan mewarawarakan kenampakan anak bulan?

Bagi bulan Ramadan, Syawal, dan Zulhijjah, pihak yang
bertanggungjawab untuk merukyah anak bulan dan melaporkan
kenampakan anak bulan adalah jawatankuasa yang dilantik oleh pihak
berkuasa agama negeri. Mereka ini diberi tanggungjawab untuk
merukyah anak bulan di 29 lokasi cerapan anak bulan seluruh Malaysia.
Sekiranya anak bulan kelihatan, laporan akan dipanjangkan kepada
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia (PPMBR), begitu
juga jika anak bulan tidak kelihatan. Pihak PPMBRR yang akan
memutuskan keputusan kenampakan anak bulan dan diumumkan
kepada masyarakat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Betul ke Indonesia akan beraya pada 2 Mei 2022?

Harus difahami, negara Indonesia amat besar dan ianya bermula jauh ke
Timur dan mengunjur ke barat bermula dari Papua Barat dan kepulauan
Sulawesi sehingga ke Kepulauan Acheh. Oleh kerana Kepulauan Acheh
ini sudah lebih ke Barat dari Negara Malaysia, sudah tentu data anak
bulan yang merujuk kepada KIR yang dipersetujui bersama telah
dipenuhi. Peluang kenampakan anak bulan di sana juga lebih cerah
berbanding Malaysia berikutan imej anak bulan akan lebih besar
berbanding di Malaysia di atas faktor tersebut.

22

MERIAHNYA RAYA 1443/2022

Menarik bukan?
Tahun 2022/1443 H mencatat nostalgia baru untuk semua umat Islam
di Malaysia untuk menyambut satu Syawal. Kini masyarakat Islam akan
menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh PMBRR di kaca TV,
bukan saja untuk meneka warna baju beliau kali ini tetapi juga untuk
meneka bilakah sebenarnya tarikh 1 Syawal 1443H, adakah bertepatan
dengan 3 Mei 2022 seperti yang ditetapkan atau 2 Mei seperti yang
diviralkan (nak raya awal la katakan) Apa pun semoga kedatangan 1
Syawal kali ini menjadi titik tolak berkembangnya ilmu falak di bumi
Malaysia.
Catatan
Artikel ini dipaparkan dilaman sesawang jurufalak.com pada 27 April 2022
bersamaan 25 Ramadan 1443. Tulisan ini tular melalui aplikasi WhatsApp

23

B BAB 3
24

BERSEDIA UNTUK KEMUNGKINAN HARI RAYA LEBIH AWAL

Bersedia Untuk Kemungkinan
Hari Raya Lebih Awal

Mustafa Din Subari

Hari ini, penentuan tarikh-tarikh bagi puasa 1 Ramadan dan raya 1

Syawal sudah tidak jadi suspens seperti dulu-dulu. Sewaktu saya di sekolah
rendah pada zaman awal 70an, kami memang akan menunggu
pengisytiharan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, bagi
penetapan kedua-dua tarikh penting itu.

Sekarang ini hampir semua orang berfahaman, ikut sahaja tarikh
dalam kalendar atau takwim yang dikeluarkan oleh JAKIM tu … tak lari
punya. Kalau mengikut takwim, tarikh raya tahun ini adalah pada hari
Selasa 3hb Mei.

Rasanya semua dah buat perancangan bila nak cuti, bila nak
bertolak balik kampung, yang naik bas, kereta api atau kapal terbang, dah
pun beli tiket siap-siap, yang nak memandu pun dah rancang bila nak
bertolak kan. Pasal cuti tak berapa kritikal sebab hari Isnin tu memang
dah cuti gantian, sebelum tu pun dah hujung minggu.Yang nak gerak
awal, mungkin petang Jumaat lepas kerja dan boleh jalan, yang nak gerak
lewat sikit mungkin isnin baru nak gerak balik.

Ok balik kepada isu penetapan tarikh-tarikh puasa dan raya,
bagaimanakah ianya ditetapkan? Pada zaman tahun 60an dan awal 70an,
kaedah penetapan adalah melalui amalan melihat atau merukyah anak
bulan, atau rukyah hilal. Pada masa tu Teluk Kemang di Negeri Sembilan
adalah stesen merukyah anak bulan atau hilal yang tersohor, walaupun
sebenarnya ada lagi stesen-stesen cerapan di negeri-negeri lain, seperti di
Menara Masjid Abu Bakar, Johor Bahru dan di Bukit Melawati, Selangor.

25

B BAB 4

Pada masa itu, memanglah pengisytiharan dari Penyimpan
Mohor Besar Raja-Raja Malaysia amat ditunggu-tunggu, khususnya
untuk tarikh raya. Biasanya sekitar jam 8.30 malam, selepas selesai
berbuka, mungkin sambil mengisi beras dalam ketupat, atau menumbuk
rempah untuk rendang. Sekiranya jadi raya esoknya, barulah akan ditanak
ketupat, dimasak rendang dan penyediaan lain-lain juadah utama bagi
menyambut raya.

Sekiranya dilanjutkan puasa sehari lagi, maka tak jadi lah acara
masak memasak tu. Kemudian pada awal tahun 70an, kaedah penetapan
di tukar kepada kaedah rukyah dan hisab (lebih kepada kedah hisab
sebenarnya). Semua orang suka kaedah ini, sebab senang nak merancang.
Semuanya definite. Sudah tiada lagi elemen suspens menunggu
pengisytiharan seperti sebelumnya.

Tetapi pada akhir 70an, kaedah rukyah digunakan semula
sehingga pertengahan tahun 80an. Pada tahun 1984 pula, kaedah
penetapan ditukar kepada kaedah hibrid, yang dikenali sebagai kaedah
rukyah hisab (rukyah dan hisab). Untuk memahami kaedah hibrid ini,
kita perlu memahami dahulu bagaimanakah kaedah hisab itu.

Secara umumnya kaedah hisab adalah membuat perhitungan
bagi menentukan samada anak bulan atau hilal boleh kelihatan atau tidak
pada hari merukyah. Bagi menentukan kebolehnampakan hilal ini, satu
kriteria telah digunakan.

Kriteria ini dipanggil sebagai Kriteria Kebolehnampakan Hilal
(visibility criterion) atau arabnya Imkan al-Ru’yah. Kriteria ini menentukan
tahap minima untuk hilal boleh dilihat secara fizikal. Sekiranya pada hari
merukyah, hilal masih di bawah kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat
adalah negatif.

Sebaliknya jika hilal sudah memenuhi kriteria ataupun sudah
melebihi kriteria, maka kemungkinan untuk dilihat adalah positif.

26

KEMUNGKINAN HARI RAYA LEBIH AWAL

Kesemua ini adalah dengan anggapan bahawa keadaan kaki langit di
kawasan kenampakan hilal itu adalah cerah dan tidak dilitupi awan.

Ok, persoalannya, apakah kriteria itu dan bagaimana kriteria ini
dibentuk? Ada banyak kaedah atau cara bagaimana kriteria ini boleh
dibentuk. Kriteria semasa adalah berdasarkan kepada geometri hilal pada
waktu matahari terbenam pada hari rukyah.

Ada dua parameter, iatu ketinggian hilal di atas ufuk (altitud) dan
juga sudut elongasi (sudut pisahan) antara bulan dan matahari. Nilai yang
digunakan untuk kriteria semasa adalah 3 darjah dan 6.4 darjah (kriteria
sebelum ini menggunakan nilai 2 darjah dan 3 darjah). Nilai-nilai altitud
dan elongasi ini diperolehi secara kaedah empirikal berdasarkan rekod
dan data cerapan puluhan tahun di seluruh dunia.

Namun untuk negara-negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan
Singapura (negara-negara di bawah MABIMS), data cerapan yang
digunakan kebanyakannya adalah dari 4 negara berkenaan.

Sudah tentu kriteria ini boleh berubah, berdasarkan kepada data-
data dan juga hasil pencerapan baharu yang diperolehi dari semasa ke
semasa, kerana ianya adalah satu proses kajian saintifik, namun ianya
tidak ditukar dalam jangka masa yang dekat, umpamanya kriteria Imkan
al-Ru’yah kita hanya ditukar selepas hampir 20 tahun digunakan.

Berbalik kepada hal berkaitan penetapan 1 Syawal tahun ini,
keadaan hilal pada hari rukyah (Ahad 1 Mei) ketika waktu terbenam
matahari adalah pada altitud 5.25 darjah dan elongasi 5.46 darjah.
Keadaan ini sudah hampir, namun masih tidak memenuhi kriteria
kenampakan (altitud 3 darjah dan elongasi 6.4 darjah).

Sekiranya diambil keadaan ini menurut hisab, maka hilal tidak
akan kelihatan, dan Ramadan akan digenapkan 30 hari, maka raya jatuh
pada hari Selasa, 3hb Mei 2022. Namun apa yang menarik ialah keadaan
hilal pada hari rukyah itu sudah jauh melebihi kriteria kenampakan yang

27

B BAB 4

lama (altitud 2 darjah, elonggasi 3 darjah), maka secara teorinya,
kemungkinan untuk hilal akan kelihatan adalah positif.

Dengan kaedah penetapan rukyah hisab semasa, kaedah rukyah
masih menjadi kaedah penentuan utama, ie. sekiranya hilal kelihatan
apabila dirukyah, maka hasil rukyah akan digunakan, walaupun secara
hisab ia masih belum memenuhi kriteria Imkan al-Ru’yah.

Dengan adanya 29 stesen rasmi cerapan hilal di seluruh negara
pada masa ini, kemungkinan untuk hilal kelihatan apabila dirukyah di
salah satu stesen cerapan, adalah besar. Sekiranya ini benar-benar terjadi,
ie. hilal kelihatan, maka hari raya akan jatuh pada hari Isnin, 2hb Mei.

Penulisan ini hanya bertujuan untuk memahamkan kita semua
bahawa penetapan awal puasa dan raya yang menggunakan kaedah
rukyah hisab ini tidak semestinya akan mengikuti hasil hisab (ikut
takwim), kerana akan ada kemungkinan hasil rukyah yang akan
menentukan bila sebenarnya tarikh-tarikh puasa dan raya nanti.

Harap-harapnya kita akan mengambil kira kemungkinan ini
dalam perancangan untuk balik kampung dan beraya.

Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

Catatan
Tulisan ini dipaparkan melalui facebook Mustafa Din 27 April 2022 bersamaan
25 Ramadan 1443 yang bertajuk “Bersedia Untuk Kemungkinan Hari Raya Lebih
Awal" dan melalui portal Malaysiadateline.com bertajuk “Penetapan Hari Raya guna
kaedah rukyah hisab tidak semestinya sama ikut taqwim”

28

CERAPAN ANAK BULAN DIBANTU DATA DARI SUMBER DIIKTIRAF

Cerapan Anak Bulan Dibantu Data
Dari Sumber Diiktiraf

Ahmad Irfan Ikmal Hisham

Perbincangan mencerap anak bulan atau hilal Syawal yang akan

dilakukan pada Ahad, iaitu bersamaan 29 Ramadan seperti biasa menjadi
perdebatan dalam masyarakat hingga kadang-kala mengundang
kegelisahan akibat ketidakfahaman terhadap pensyariatannya.

Sistem kalendar hijrah berasaskan peredaran bulan mengelilingi
bumi. Bilangan harinya sama ada 29 atau 30 hari yang tidak ditentukan
semata-mata dengan penggiliran bulan, pengiraan ijtimak atau conjunction
seperti diamalkan dalam kalendar lunar Cina, India atau Yahudi.

Dalam Islam, penentuan awal bulan berasaskan rukyah atau
cerapan hilal. Ini berdasarkan mafhum hadis Nabi SAW: “Janganlah
kamu mula berpuasa melainkan setelah melihat hilal.” (Hadis riwayat
Bukhari)

Dalam kaedah fiqh, ulama menyatakan petunjuk kepada
masuknya bulan baharu adalah berdasarkan kenampakan hilal, bukannya
kepada kewujudannya.

Oleh itu, umat Islam sejak dahulu lagi bersungguh-sungguh
melakukan cerapan hilal setiap 29 hari bulan hijrah. Sekiranya anak bulan
tidak kelihatan, maka keesokan hari akan digenapkan (istikmal) kepada
30 hari tetapi sekiranya kelihatan, esoknya akan masuk bulan baharu.

Semasa zaman Nabi SAW, kekerapan berpuasa Ramadan
sebanyak 29 hari lebih banyak berbanding 30 hari. Ini berdasarkan kata-
kata atau athar Ibnu Mas’ud RA yang menyatakan: “Kami berpuasa

29

B BAB 5

bersama-sama dengan Nabi SAW selama 29 hari lebih banyak
berbanding 30 hari.” (HR Abi Daud)

Ini membuktikan sahabat bersungguh-sungguh melakukan
aktiviti cerapan sejak kefarduan puasa Ramadan pada tahun kedua
Hijrah. Pada masa yang sama, riwayat Ibnu Mas’ud ini juga membuktikan
langit Semenanjung Tanah Arab semasa zaman Nabi SAW tidak
tercemar dengan pencemaran cahaya dan kurang berawan hingga
memudahkan mereka mencerap anak bulan.

Hakikatnya, antara cabaran mencerap anak bulan ialah faktor
cuaca. Awan tebal atau kabus di kaki langit menyukarkan proses cerapan
kerana anak bulan terlindung.

Sedangkan berdasarkan analisis data raya dikumpulkan sejak
perkembangan astrometri dan falak, kita boleh menghitung
kebolehnampakan anak bulan dengan hampir tepat. Inilah proses
digunakan kerajaan Malaysia sekarang, iaitu kaedah hisab Imkan al-
Ru’yah.

Proses hisab atau kiraan ini bukannya menolak rukyah atau
cerapan, bahkan menjadikan kebolehnampakan atau kebolehcerapan itu
sebagai kriteria asas. Ini selari dengan hadis Nabi SAW: “Apabila cerapan
kamu dihalang awan, maka hitunglah.” (HR Bukhari)

Hadis ini selari dengan petunjuk disebut dalam hadis yang Nabi
SAW memberikan bayangan bahawa pada zaman Baginda, umat Islam
belum lagi pandai menghitung. Maka difahami sekiranya teknik hitungan
itu sudah tepat, ia boleh digunakan untuk melengkapkan kaedah cerapan
secara pasti.

Nabi SAW bersabda: “Kami ini adalah umat buta huruf, yang
tidak boleh menulis dan tidak menghitung, satu bulan itu jumlah harinya

30

CERAPAN ANAK BULAN DIBANTU DATA DARI SUMBER DIIKTIRAF

begini dan begini, iaitu sekali berjumlah 29 dan sekali berikutnya 30
hari.” (HR Bukhari)

Penerimaan penggunaan hisab sama ada untuk mengisbat
(menetapkan) atau menafikan kewujudan dan kenampakan hilal, adalah
khilaf muktabar. Demi kemaslahatan dan kesatuan ummah, pihak
berkuasa agama menerima penggunaan hisab berasaskan Imkan al-Ru’
yah dengan kriteria tertentu. Polisi diambil pihak berkuasa agama,
menyelesaikan khilaf dalam kalangan masyarakat.

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-118 yang bersidang pada 16 hingga 17
Februari 2021 membincangkan Kriteria Baharu Imkan al-Ru’yah bagi
Penentuan Awal Bulan Hijriah Dalam Kalendar Hijrah Di Malaysia.

Muzakarah mengambil maklum perubahan nilai Kriteria Imkan
al-Ru’yah yang baharu, iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan
tidak kurang daripada 3 darjah dan jarak lengkung bulan-matahari
(elongasi) tidak kurang daripada 6.4 darjah serta bersetuju untuk
pelaksanaannya pada 2021 (1443H) selaras dengan keputusan Mesyuarat
Pegawai-Pegawai Kanan Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-
Menteri Agama: Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura
(MABIMS) Ke-44.

Kriteria hitungan ini termasuk dalam perkara ijtihad. Sebelum
mencerap, data mentah mengenai kedudukan matahari dan bulan akan
dihasilkan daripada sumber berautoriti.

Dalam konteks negara ini, data itu dihasilkan berdasarkan
almanak falak syarie dihasilkan ramai pakar daripada Jabatan Ukur dan
Pemetaan Malaysia (JUPEM), ahli falak dan ahli akademik.

Data itu adalah paling autentik bagi tujuan hisab Imkan al-Ru’yah
tempatan, manakala data mentah daripada pihak luar adalah kurang
relevan kerana kaedah hitungan astrometri yang pelbagai, tidak sesuai

31

B BAB 5

bagi maksud cerapan hilal dalam Islam dan integriti kaedah boleh
dipertikaikan.

Dengan kriteria ini, berkemungkinan ia tidak akan dipenuhi atau
dipenuhi pada peratusan rendah. Namun, tiada sebab umat Islam perlu
risau, kerana akhirnya menjadi tanggungjawab Pemegang Mohor Besar
Raja-Raja untuk membuat perisytiharan berdasarkan rukyah hilal. Umat
Islam hanya perlu taat kepada arahan ulil amri, yang akan menerima
nasihat daripada mufti dan pakar falak tanpa sebarang kepentingan.

Pada zaman sekarang, ilmu hitungan atau hisab bagi penentuan
awal bulan terbukti penggunaannya bagi mengatasi masalah cerapan di
negara berawan tebal seperti Malaysia.

Apa yang pasti, antara hikmah utama mengapa Ramadan
dimulakan dengan cerapan anak bulan, adalah bagi mendorong umat
Islam melakukan kajian ilmiah berterusan terhadap jasad samawi ciptaan
Tuhan, selain menggalakkan umat Islam menyambut Ramadan dengan
merenung tanda kebesaran Allah SWT, bagi membolehkan mereka
mengharungi pesta beribadah ini dengan penuh keimanan.
Catatan
Artikel dipaparkan dalam Ruangan Agama Berita Harian, 29 April 2022
bersamaan 27 Ramadan 1443

32

BILA TERBIASA RUJUK KALENDAR KUDA

Bila Terbiasa Rujuk Kalendar Kuda

Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi

Malaysia selamat menyambut 1 Syawal pada 2 Mei 2022 lalu. Ramai

yang tidak jangka kerana berpuluh tahun rakyat Malaysia terbiasa tarikh
hari raya sama seperti tercatat di kalendar yang terdapat di rumah
masing-masing.

Tarikh yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-
Raja, itulah yang tercatat di kalendar. Malah ada juga suara yang
mengatakan “tidak tengok pengumuman pun tak pa, tarikh raya mesti sama
dengan kalendar kuda”.

Menjelang lebaran 1443 selepas berbuka puasa ramai terkejut
dengan pengumuman tarikh 1 Syawal 1443 jatuh Isnin bukan Selasa
seperti disangka. Sudah tentu, antara topik perbualan kunjung
mengunjung raya tahun ini adalah mengenai “Raya Terkejut” “Raya
kalut” “Raya Kelam Kabut”.

Menjelang lebaran, banyak kenyataan pihak berkuasa yang
menerangkan proses penentuan awal Syawal 1443. Televisyen, radio
serta tulisan di media sosial menguar-uarkan proses rukyah dan hisab
serta tarikh melihat anak bulan pada 1 Mei 2022. Sudah tentu tarikh awal
Syawal 1443 sama ada, 2 Mei 2022 atau 3 Mei 2022.

Namun segelintir masyarakat yang sudah selesa saban tahun
merujuk kepada kalendar dinding dalam merancang aktiviti seharian.
Kalendar dinding lebih dikenali di kalangan masyarakat sebagai kalendar
kuda.

Walaupun sesetengah versi cetakan tidak mempunyai gambar
seekor kuda sama sekali. Kalendar kuda memainkan peranan penting

33

B BAB 6

dalam merencana sebarang aktiviti. Aktiviti individu, keluarga, dan
masyarakat seperti melancong, cuti rehat, kenduri kendara, cuti
persekolahan, cuti umum dan lain-lain semuanya dirujuk di situ. Malah
ada yang merujuk tarikh kalendar Hijri kepada kalendar kuda.

Oleh kerana itu mungkin segelintir masyarakat yang
menyangkakan tarikh 1 Syawal 1443 jatuh 3 Mei 2022 kerana terdapat
kalendar mencatatkan tarikh tersebut sebagai tarikh lebaran.

Secara umumnya, terdapat dua versi cetakan kalendar dinding
2022 yang menandakan tarikh awal hari raya. Pertama tarikh hari raya
1443 ditandakan 2 Mei 2022 dan 3 Mei 2022. Kedua tarikh Hari Raya
1443 ditandakan 3 Mei 2022 dan 4 Mei 2022.

Semakan di rumah penulis mendapati tiga kalendar 2022
mencatatkan versi 3 Mei 2022 dan 4 Mei 2022 sebagai tarikh awal lebaran
1443. Mungkin ini menambahkan sangkaan bahawa tarikh raya akan
jatuh pada 3 Mei 2022 bukannya 2 Mei 2022.

Ini kerana sejak 30 tahun lebih apa yang ditandakan di “kalendar
kuda itulah tarikh 1 Syawal, 1 Ramadan. Sehinggakan ada yang menulis
di ruang komen facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
“kalender kuda 10 tahun ke depan pun dah tahu bila puasa raya”

Malah ada yang mengatakan rukyah anak bulan merupakan
hanya formaliti kerana tarikh sudah ditetapkan lebih awal. Mungkin
mereka terlupa bahawa Malaysia mengamalkan Rukyah (cerapan) dan
Hisab (hitungan) dalam penentuan awal Ramadan dan Syawal.

Ini berdasarkan nas yang sahih; Rasulullah SAW bersabda:
“Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya)
sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari
Syaaban” (Sahih Bukhari).

34

BILA TERBIASA RUJUK KALENDAR KUDA

Rukyah merupakan kaedah utama dalam penentuan awal bulan
Syawal di Malaysia di samping kaedah hisab. Mengikut hisab, kedudukan
anak bulan tidak memenuhi syarat kenampakan kriteria Imkan al-Ru’yah.

Namun begitu peluang untuk anak bulan untuk kelihatan masih
ada. Sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada 29 Ramadan 1443 (1 Mei
2022), Malaysia akan menyambut 1 Syawal pada 3 Mei 2022.
Sehubungan itu, pada 1 Mei 2022, para Mufti mengetuai cerapan anak
bulan di 29 lokasi rasmi seluruh Malaysia. Petang 29 Ramadan 1443 H,
anak bulan dilaporkan telah kelihatan di Labuan dan disahkan oleh pihak
berwajib.

Maka tarikh 2 Mei 2022 diumumkan sebagai 1 Syawal 1443
secara rasmi oleh pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Kesimpulannya boleh dirujuk kepada kalendar kuda namun
perlu juga merujuk kepada pihak berkuasa untuk tarikh puasa dan hari
raya.
Catatan
Artikel ini sebahagian besarnya dipaparkan dalam akhbar Sinar Harian pada 9
Mei 2022 bersamaan 8 Syawal 1443.

35

B BAB 6
36

TAKWIM SEBAGAI MAKANISME AGAMA, SAINS DAN BUDAYA

Takwim Sebagai Mekanisme
Agama, Sains Dan Budaya

Baharrudin Zainal

Pengenalan

Kita sudahpun melampaui dua minggu berada dalam bulan Syawal

1443H. Sambutan kali ini akan dikenang bukan sahaja disebabkan
selepas dua tahun berada dalam keadaan pandemik, tetapi juga
pengisytiharan tarikh hari raya yang tidak sama dengan tarikh yang
tercatat dalam takwim.

Walaupun kebanyakan takwim rasmi meletakkan catatan yang
tarikh permulaan Syawal akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor
Besar Raja-Raja Malaysia, pengalaman lepas menunjukkan tarikh dalam
takwim akan sama dengan pengisytiharan. Spekulasi menjadi hangat
apabila peminat-peminat ilmu falak yang mengetahui kaedah penerbitan
maklumat kedudukan Anak Bulan daripada laman sesawang tidak
menyedari yang syarat kenampakan Anak Bulan Malaysia sudah diubah
mulai Muharam 1443H lepas.

Tambahan pula semenjak beberapa tahun kebelakangan ini
sekumpulan ahli falak amatur dengan iltizam dan tekad mereka yang
tinggi telah memperbaiki teknik cerapan optikal Anak Bulan.

Keputusannya, beberapa rekod Anak Bulan termuda telah
kelihatan di Malaysia selain dari tempat tradisi cerapan di Teluk Kemang,
Negeri Sembilan, rekod kenampakan juga dirakamkan dengan baik di
Labuan dan Pusat Falak Miri, Sarawak.

37

B BAB 1

Penjejak Anak Bulan di Malaysia menyertai rakan amatur mereka
di Indonesia melakukan cerapan Anak Bulan hampir setiap bulan. Rekod
kenampakan Anak Bulan ini dijangka akan menjadi data penting untuk
kajian semula kriteria kenampakan Anak Bulan di Malaysia mahupun di
peringkat global.

Sama ada secara sinis kita boleh menyatakan rekod kenampakan
Anak Bulan di Labuan ini hampir ’mengesahkan’ penggunaan syarat
kenampakan Anak Bulan oleh JAKIM. Namun, pengesahan ini dibatasi
oleh kenyataan ’kegagalan hisab menyamai keputusan rukyah’, apabila
tarikh pada takwim tidak sama dengan keputusan melihat Anak Bulan.

Begitu juga kita diminta meraikan kepelbagaian, sama ada
berpuasa selama 29 hari atau 30 hari, kedua-duanya dikatakan berada
dalam skop kaedah rukyah dan hisab.

Takwim Sebagai Mekanisme Agama, Sains dan Budaya

Manusia belajar menggunakan dan menyusun takwim
berdasarkan keperluan mereka mengukur julat masa. Untuk
memasyarakatkan takwim dari segi pelaksanaan dan keberkesanannya,
mekanisme agama, sains dan sosial menjadi unsur penting. Penyelidikan
dan produk takwim tidak akan berkesan, sekiranya takwim yang disusun
bercanggah dengan kehendak fiqah atau paparan tarikh tidak sama
dengan fasa Bulan di langit atau sekurang-kurangnya sepadan dengan
keputusan melihat Anak Bulan.

Maka ketidakpatuhan ini menjadikan takwim tidak dapat
diterima oleh masyarakat, menjadi polemik yang memberi kesan
terhadap kemaslahatan hidup dan aktiviti ekonomi. Dengan ini, takwim
bukan semata-mata hasil saintifik, tetapi telah dianggapkan sebagai satu
ikatan yang menjalin hubungan rapat antara ibadat dan kegiatan sosial.

38

TAKWIM SEBAGAI MAKANISME AGAMA, SAINS DAN BUDAYA

Penggunaan Anak Bulan sebagai tanda waktu dijelaskan dalam al-Quran:

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) Anak-
anak Bulan. Katakanlah, Anak Bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan
dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji

(al-Quran, 2:189)

Selain itu, takwim yang berkesan juga perlu mempunyai
mekanisme penyelarasan yang objektif dan mudah pula digunakan oleh
masyarakat awam. Menjangkakan kenampakan pertama Anak Bulan
merupakan satu tugas rumit bagi ahli-ahli sains takwim. Kriteria
kenampakan Anak Bulan yang baik, mesti berdasarkan kepada semua
unsur saintifik yang berkaitan sifat fizikal Bulan dan kesan atmosfera
Bumi.

Keyakinan ahli falak pada zaman pertengahan terhadap
ketepatan teori kenampakan Anak Bulan dan kriteria saintifik yang
mereka gunakan digambarkan dalam takwim-takwim yang dicetak ketika
itu dengan kenyataan;

‘ wa-yattafiq al-hisab wa’l-ruya’
Maksudnya,
'terdapat persamaan yang kuat antara hasil hisab dengan keputusan
rukyah nanti' (.....ditambah perkataan In sya Allah)

Melalui kajian data rukyah yang diperoleh bagi satu tempoh masa
yang lama, analisis saintifik sifat fizikal Bulan dan parameter bagi
kenampakan pertama Anak Bulan digubal. Dengan menggunakan
sejumlah sampel data kenampakan Anak Bulan yang berjaya dicerap dan
yang tidak boleh dicerap, ahli-ahli falak membuat rumusan kuantiti bagi
parameter kenampakan pertama Anak Bulan yang boleh kelihatan.
Sudah pasti sampel ini diambil untuk satu tempoh masa yang panjang
dan dalam pelbagai suasana atmosfera dan kedudukan geografi.

39


Click to View FlipBook Version