Gema jumaat seperb 2020
“ MEMANUSIAKAN MANUSIA ”
Guru bukan sahaja berperanan untuk menyampaikan ilmu (muallim) dan
mengajar (mudarris) , tetapi juga mampu membentuk akhlak (muaddib) dan
menunjukkan jalan yang benar (mursyid) kepada anak didiknya. Ironinya kita
melihat tanggungjawab guru pada masa kini adalah untuk memanusiakan
manusia iaitu mendidik jiwa para murid. Kejayaan dalam akademik seharusnya
selari dengan pembentukan akhlak dan emosi berlandaskan nilai keagamaan
yang tinggi.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: “ Allah
meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang
yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.
………………………………………………………………………………………………
Tanggal hari ini, masuk minggu yang ketiga sesi persekolahan 2020. Titipan
demi titipan bahkan nasihat demi nasihat tak pernah lekang dari bibir seorang
guru, selalu mengingatkan kebaikan kepada anak didiknya. “Kalau kamu selisih
dengan cikgu jangan lupa 3S ya ! Ustaz Fadil dah buat simulasinya awal tahun
tempohari,kamu ingatkan ? Pesan penulis kepada salah seorang murid yang
tanpa rasa bersalah berselisih dengannya dikantin sekolah tanpa ungkapan
salam, agaknya terlalu lapar sehingga terlupa amalan 3S.
Setelah tiga minggu berlalu, penulis mengamati dan menilai sikap murid-murid
dalam skala amalan 3S. Bolehlah kalau nak dirumuskan tolak tambahnya hanya
lebih kurang 60% orang murid sahaja yang betul-betul mengaplikasikan amalan ini.
Selebihnya baki 40% bagaimana pula..? Penulis cuba untuk tidak menghujum
kesilapan tersebut terhadap anak-anak ini, kerana mereka telah dipesan berkali-
kali. Terlintas difikiran barangkali salahnya berpunca dari penulis yang juga sebagai
seorang guru. Pernah juga disapa oleh seorang murid “ Assalamualaikum Ustaz ?
Tetapi malangnya ustaz sedang asyik menjawab panggilan telefon sambil berlalu
begitu sahaja tanpa sempat menoleh dan menjawab salam muridnya yang cukup
perihatin. Aaahh…getus hati penulis mungkin itu salah satu penyebabnya, yang
diajar kepada murid memberi salam itu sunat, menjawabnya wajib. Tetapi seringkali
cikgunya pula tidak menjawab salam, apatah lagi nak memulakan salam. Bukankah
sepatutnya sikap guru itu menjadi teladan kepada anak didiknya..?
Begitu juga kadangkala kita menasihati murid agar bertutur dengan perkataan
yang baik, tapi dalam tak sedar terlepas juga kata-kata yang tak enak didengari
oleh mereka iaitu perkataan kasar yang keluar dari mulut seorang guru.Mungkin
inilah juga antara penyebab yang penulis dan guru-guru patut sedar dan perbaiki.
Mungkin juga banyak lagi contoh-contoh kealpaan seorang guru yang akhirnya
menjurus kepada kegagalan dalam membentuk kemenjadian murid.Kata orang,
guru itu ibarat lilin, sanggup membakar tubuhnya demi menerangi orang lain. Cuma
jangan sampai apinya tadi tak dapat nak dikawal lalu membakar semua yang
berada dikelilingnya.Ohh anak-anak didikku…maafkan gurumu !