84 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Peringkat pertengahan • Peringkat pertengahan kehamilan disebut trimester kedua (second trimester). Tempoh ini bermula apabila kehamilan memasuki bulan keempat sehingga bulan keenam. • Pada bulan keempat, degupan jantung bayi boleh dikesan menerusi alat stetoskop. Beratnya pula kira-kira 300 gram. Apabila memasuki bulan kelima (28 minggu), mata bayi sudah boleh dibuka. Bayi juga sudah boleh bergerak dengan aktif. Kadangkala si ibu akan mengesan tendangan ataupun pergerakan bayinya. Akhir • Peringkat akhir kehamilan atau trimester ketiga (third trimester) bermula apabila kehamilan memasuki bulan ketujuh sehinggalah bulan kesembilan. Berat bayi kini kian bertambah dan pergerakannya juga menjadi semakin aktif. • Apabila memasuki minggu ke-38, kepala bayi mula berada pada kedudukan bawah dan bersedia untuk dilahirkan. Memasuki bulan kesembilan (40 minggu), bayi akan turun lebih ke bawah abdomen menandakan dia sedia untuk proses kelahiran. Namun, tidak semua kehamilan berakhir pada minggu ke-40. Terdapat juga bayi yang dilahirkan lebih awal (bayi pramatang). Anda boleh mendapat gambaran tentang perkembangan janin mengikut bulan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 5.7. Rajah 5.7: Perkembangan fetus dalam kandungan mengikut bulan Sumber: www.britannica.com Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA 85 5.2.2 Perubahan Fizikal Ibu Sekarang mari kita bincangkan perubahan-perubahan fizikal yang dialami oleh ibu yang hamil. Tahukah anda semasa proses kehamilan, bukan sahaja embrio yang melalui proses perubahan, malah si ibu juga turut mengalami perubahan fizikal? Oleh itu, adalah penting untuk kita memahami perubahan ini, terutamanya bagi ahli keluarga yang akan berusaha memastikan si ibu sihat dan selesa sepanjang kehamilannya. Apakah perubahan fizikal tersebut? Jadual 5.2 berikut menerangkan beberapa perubahan fizikal yang akan berlaku kepada ibu hamil. Jadual 5.2: Perubahan Fizikal Ibu Semasa Hamil Perubahan Keterangan Perubahan saiz payudara Pada bulan keempat kehamilan, payudara akan membesar. Bahagian puting dan sekeliling puting (aerola) akan bertukar menjadi gelap. Ibu perlu menggunakan baju dalam yang bersesuaian untuk menampung saiz payudara yang membesar. Pening dan mabuk Mabuk hamil (morning sickness) boleh berlaku pada sekitar bulan ketiga kehamilan. Mabuk hamil ini berlaku bukan sahaja pada waktu pagi, malah pada bila-bila masa. Mabuk yang melampau akan menyebabkan si ibu muntah. Kerap kencing Masalah ini berlaku apabila kandungan semakin membesar. Hal ini demikian kerana kandungan tersebut menekan pundi kencing ibu. Bengkak kaki Simptom ini biasanya berlaku pada peringkat pertengahan kehamilan. Berat ibu yang bertambah akan menjejaskan kaki dan pergelangan kakinya. PENJAGAAN ASAS KEHAMILAN Kadangkala, tempoh kehamilan selama sembilan bulan ialah tempoh yang mungkin mencabar bagi sebilangan wanita yang bergelar ibu. Di sinilah pentingnya sokongan daripada semua pihak, terutamanya suami, anak, ibu bapa dan ibu mertua serta ahli keluarga lain. Penjagaan asas kehamilan wajib dilakukan oleh ibu demi kesihatan dan bayi dalam kandungannya. 5.3 Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
86 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Apakah penjagaan asas kehamilan ini? Terdapat tiga penjagaan asas bagi ibu hamil, iaitu: (a) Pemeriksaan kesihatan berkala; (b) Amalan senaman dan makanan seimbang; dan (c) Rehat dan sokongan emosi. Mari kita mempelajari ketiga-tiga penjagaan asas ini dengan lebih lanjut dalam subtopik berikutnya. 5.3.1 Pemeriksaan Kesihatan Berkala Kita mungkin sedar bahawa setiap ibu yang hamil perlu mendapat pemeriksaan berkala di klinik kesihatan kerajaan ataupun swasta. Apakah tujuan pemeriksaan tersebut? Tujuannya adalah memantau tahap kesihatan ibu dan menilai perkembangan bayi dalam kandungan dari semasa ke semasa (rujuk Rajah 5.8). Rajah 5.8: Pemeriksaan kesihatan berkala Semasa pemeriksaan kesihatan berkala ini, terdapat enam perkara yang akan dipantau. Enam perkara ini disenaraikan dalam Rajah 5.9. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA 87 Rajah 5.9: Pemeriksaan kesihatan ibu hamil Selain itu, si ibu juga akan diberi suntikan tetanus untuk mengelakkan jangkitan penyakit tersebut semasa proses kelahiran. Apakah kepentingan pemeriksaan kesihatan ini? Melalui pemeriksaan berkala seumpama ini, kehadiran penyakit tertentu dapat dikesan dan rawatan pencegahan boleh dimulakan dengan segera. Misalnya, jika ibu mempunyai tahap hemoglobin darah yang rendah, ibu akan dibekalkan dengan tablet zat besi. Jika ibu mengalami kurang selera makan dan berat badan tidak bertambah, ibu akan dibekalkan pula dengan vitamin B dan bantuan susu. Selain itu, penyakit bahaya lain yang memerlukan penjagaan rapi ialah tekanan darah tinggi semasa mengandung (eklampsia) dan kencing manis. Penyakit kencing manis bukan sahaja menjejaskan kesihatan ibu tetapi pertumbuhan bayi dalam kandungan. Jika ibu mengalami kencing manis dan tidak dikawal, terdapat kemungkinan saiz bayi akan besar dan ini boleh menyebabkan masalah ketika melahirkan bayi kelak. Di samping itu, semua ibu hamil juga dinasihatkan untuk menjalani ujian Human Immunodeficiency Virus (HIV). Ibu hamil yang dijangkiti HIV boleh menjangkiti bayi sebelum, semasa dan selepas kelahiran. Sebelum ujian HIV dibuat, mereka akan diberi kaunseling di klinik atau hospital yang berhampiran. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
88 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Berapakah kekerapan pemeriksaan kehamilan ini? Anda boleh merujuk Jadual 5.3 untuk mengetahui jawapannya. Jadual 5.3: Kekerapan Pemeriksaan Kehamilan di Klinik Kesihatan Kerajaan Kekerapan Lawatan Bulan Kehamilan Lawatan pertama Wajib dibuat pada ataupun sebelum 12 minggu (tiga bulan) kehamilan Sebulan sekali Satu hingga tujuh bulan Dua minggu sekali Tujuh hingga sembilan bulan Setiap minggu Sembilan bulan hingga lahir 5.3.2 Amalan Senaman dan Makanan Seimbang Sekarang, mari kita beralih pula dengan mempelajari amalan senaman dan makanan seimbang bagi ibu hamil. Pertamanya, mari kita teliti senaman yang sesuai bagi ibu hamil. (a) Senaman Ibu Hamil Tahukah anda walaupun ibu sedang hamil mereka akan dinasihatkan untuk bersenam. Senaman ini mengikut saranan doktor ataupun jururawat yang mengesyorkan si ibu tentang beberapa jenis senaman yang sesuai mengikut setiap tahap kehamilannya. Apakah kepentingan senaman ini? Senaman penting kerana aktiviti ini akan membantu menyediakan fizikal ibu semasa proses kelahiran. Senaman yang kerap perlu dilakukan oleh ibu hamil untuk menguatkan otot, sendi dan tulang. Selain itu, senaman dilakukan bertujuan meningkatkan fleksibiliti mereka (rujuk Rajah 5.10). Tahukah anda senaman terbaik bagi ibu yang sarat mengandung adalah dengan hanya berjalan kaki? Mudah bukan? Rajah 5.10: Senaman mampu meningkatkan fleksibiliti ibu mengandung Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA 89 (b) Makanan Seimbang Semasa kehamilan, ibu perlu makan untuk dua orang: yang pertama untuk dirinya sendiri dan yang keduanya adalah untuk bayi dalam kandungan. Oleh itu, beliau memerlukan protein, karbohidrat, vitamin, asid folik, zat besi dan kalsium yang secukupnya untuk keperluannya sendiri dan zat untuk pertumbuhan bayinya. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna ibu boleh makan sesuka hatinya. Beliau perlu makan dengan seimbang untuk menjamin kesihatannya yang baik berdasarkan panduan piramid makanan. Ibu hanya memerlukan lebih komponen makanan tertentu untuk pertumbuhan normal bayi dan mengelakkan sesuatu penyakit. Misalnya, ibu perlu mengambil lebih banyak zat besi dan kalsium. Jadual 5.4 menghuraikan zat ataupun nutrien lain yang sangat penting bagi ibu ketika mengandung. Jadual 5.4: Zat atau Nutrien yang Sangat Penting bagi Ibu Ketika Mengandung Zat Huraian Protein Protein membantu pertumbuhan sel. Ibu memerlukan lebih kurang 80 gram protein setiap hari. Protein boleh didapati daripada daging, ikan, telur, kekacang, keju dan susu. Asid folik Asid folik dibekalkan kepada ibu semasa pemeriksaan di klinik. Asid folik membantu pembentukan sistem saraf bayi dan sel darah merah dalam tulang bayi. Selain itu, makanan yang dapat membekalkan asid folik ialah hati, buah pinggang dan sayursayuran hijau. Zat besi Ibu juga memerlukan zat besi untuk penghasilkan hemoglobin dan sel darah merah. Ibu biasanya akan dibekalkan dengan pil zat besi semasa pemeriksaan di klinik. Sumber makanan yang kaya dengan zat besi ialah hati, buah pinggang, daging lembu, sayuran hijau, telur dan kekacang. Kalsium Kalsium membantu bayi membina gigi dan tulang yang kuat. Ibu juga memerlukan bekalan mineral ini daripada susu, hasil tenusu, telur, keju, udang, kacang dan ikan bilis. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
90 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Mungkin terdapat dalam kalangan kita yang terlalu mengikut amalan dan pantang larang berkaitan dengan amalan pemakanan semasa kehamilan. Terlalu percaya kepada amalan pantang larang sebenarnya boleh menjejaskan kesihatan seseorang ibu yang hamil. Yang berikut adalah antara salah faham mengenai pemakanan semasa hamil: (i) Terlalu memilih makanan tertentu dan mengabaikan makanan tertentu; (ii) Tidak memakan vitamin kerana bimbang bayi yang dilahirkan akan menjadi besar; dan (iii) Menggandakan makanan untuk dua orang bagi setiap kali pengambilan makanan. 5.3.3 Rehat dan Sokongan Emosi Sebagai penutup, mari kita meneliti komponen terakhir dalam penjagaan asas kehamilan, iaitu rehat dan sokongan emosi. Mari kita mulakan perbincangan kita tentang rehat dahulu dan kemudian diikuti pula dengan sokongan emosi. (a) Rehat Pertamanya, mengapakah kita memerlukan rehat? Kita memerlukan rehat kerana tubuh badan kita bukannya mesin. Jika kita keletihan dan fikiran kita kurang tumpuan, keadaan ini memberi isyarat kepada badan kita supaya berehat. Bayangkan seorang wanita yang sedang sarat mengandung, memikul tanggungjawab sebagai pekerja antara jam 9 pagi hingga 5 petang. Apabila pulang ke rumah, beliau akan melakukan tugas di rumah pula dan menjaga anak. Sememangnya tugasan harian ini sangat memenatkan ibu hamil! Oleh itu, amat penting bagi suami memberi sokongan moral dan emosi kepada isterinya. Membantu isteri melakukan tugasan di rumah secara tidak langsung meringankan bebanannya. Semasa kehamilan, ibu tepaksa menanggung berat yang berlebihan, terutamanya apabila kandungan memasuki peringkat ketiga kehamilan. Berat yang berlebihan akan menekan tulang belakang dan kakinya. Oleh itu, si ibu tidak dapat berdiri ataupun berjalan dengan selesa dalam tempoh yang lama. Rehat ialah satu-satunya tempoh masa yang dapat memulihkan semula tenaga dan tahap keselesaan semasa hamil. Di samping itu, ibu yang hamil perlu mendapat jumlah waktu tidur yang cukup. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA 91 Selain itu, ibu hamil perlu melakukan tugasan seharian dengan teknik pergerakan yang sesuai. Melakukan tugasan dengan teknik pergerakan yang betul dapat membantu mengurangkan tekanan kepada otot dan tulang, lantas dapat mengurangkan risiko kecederaan semasa kehamilan. Otot dan tulang dapat direhatkan semasa bekerja dengan kedudukan posisi tubuh yang sesuai. Contohnya, ibu yang hamil harus mengelak berdiri terlalu lama kerana berat badan yang berlebihan akan menekan tulang belakang dan kakinya. Di samping itu, dia perlu duduk dengan berlunjur kaki semasa melakukan kerja rumah seperti melipat kain kerana kedudukan ini dapat mengurangkan tekanan berat. (b) Sokongan Emosi Akhirnya, mari kita bincangkan sokongan emosi bagi ibu hamil. Golongan ini memerlukan sokongan emosi dan mental yang konsisten supaya mereka dapat menempuh masa kehamilan dengan tenang. Sokongan emosi, mental dan motivasi amat diperlukan daripada suami, ahli keluarga dan kawan (rujuk Rajah 5.11). Rajah 5.11: Sokongan emosi, mental dan motivasi daripada suami amat diperlukan oleh ibu mengandung Semasa hamil, ibu akan mengalami beberapa perubahan perasaan ataupun emosi, terutamanya pada peringkat awal kehamilan. Salah satu perubahan perasaan mereka ialah perasaan cepat marah. Maka, sokongan emosi dapat membantu menenangkan ibu. Suami ataupun ahli keluarga perlu peka terhadap tahap keupayaan ibu semasa hamil. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
92 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Perubahan fizikal yang membatasi pergerakan mereka menyebabkan ibu hamil perlu dibantu dalam menguruskan kerja rumah. Bantuan suami ataupun ahli keluarga sedikit sebanyak akan mengurangkan beban fizikal yang dihadapi oleh ibu hamil. Hal ini juga secara tidak langsung membantu mengurangkan tekanan emosinya. Jika ibu hamil mempunyai masalah perasaan atau emosi, mereka perlu berkongsi dengan ahli keluarga ataupun kawan. Masalah peribadi ataupun perasaan yang disimpan berkemungkinan besar boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang. Masalah atau perasaan ini perlu diluahkan dan dikongsi bersama dengan orang yang kita percayai. Jika ahli keluarga ataupun rakan tidak dapat membantu, dapatkan bantuan pakar kaunseling ataupun anggota kesihatan semasa si ibu membuat pemeriksaan berkala di klinik. • Memahami proses reproduktif adalah penting bagi membantu seseorang untuk lebih bersedia menempuh masa kehamilan dan saat melahirkan zuriat. • Persenyawaan ialah proses di mana sperma daripada lelaki dan ovum daripada perempuan bersatu untuk membentuk satu sel yang dipanggil zigot. • Proses persenyawaan terdiri daripada tiga proses, iaitu pergerakan sperma, pergerakan persenyawaan dan pembahagian sel. • Kehamilan ialah satu tempoh di mana embrio di dalam rahim wanita terbentuk dan berkembang menjadi bayi sehingga kelahirannya. • Peringkat kehamilan dibahagikan kepada tiga, iaitu peringkat awal (trimester pertama), peringkat pertengahan (trimester kedua) dan peringkat akhir (trimester ketiga). 1. Mengapakah pemeriksaan kesihatan berkala penting untuk ibu hamil? 2. Senaraikan beberapa jenis makanan ataupun mineral khusus yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. Apakah fungsi makanan ataupun mineral ini? SEMAK KENDIRI 5.2 Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA 93 • Semasa proses kehamilan, ibu mengandung mengalami perubahan fizikal yang mendadak seperti perubahan saiz payudara, pening dan mabuk, kerap kencing dan bengkak kaki. • Penjagaan asas kehamilan merangkumi pemeriksaan kesihatan berkala, senaman ibu hamil, makanan seimbang serta rehat dan sokongan emosi. • Ibu hamil perlukan rehat yang secukupnya. Sokongan emosi dan mental daripada keluarga juga amat penting supaya ibu dapat menempuh masa kehamilan dengan tenang. Janin Makanan seimbang Ovum Pembahagian sel Pemeriksaan kesihatan berkala Penjagaan asas kehamilan Pergerakan persenyawaan Pergerakan sperma Peringkat akhir Peringkat awal Peringkat kehamilan Peringkat pertengahan Perubahan fizikal Proses persenyawaan Rehat Saluran Fallopio Senaman Sokongan emosi Sperma Zigot Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
94 TOPIK 5 PROSES REPRODUKTIF MANUSIA Masood Abdul Rashid, & Mohd Ariffin Siri. (1990). Anatomi dan fisiologi. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Zaid, Rosianah, Fadlina, & Lilian. (2007). SKPM1023 Perkembangan dan pertumbuhan manusia. Dicapai dari http://perkembanganmanusia. blogspot.com/2007/02/trimester-1.html Readers Digest. (2002). Facts at your fingertips. New York, NY: Readers Digest. Shier, D., Butler, J., & Lewis, R. (2009). HoleÊs essentials of human anatomy and physiology. Boston, MA: McGraw-Hill. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
PENGENALAN Selamat bertemu kembali dalam topik baharu. Topik ini berkisar tentang pertumbuhan dan perkembangan. Kita semua pernah melalui peringkat bayi, kanak-kanak dan alam remaja yang serba indah, sebelum memasuki alam dewasa yang serba mencabar. Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menjelaskan perubahan dan perkembangan fizikal bayi, kanakkanak dan remaja; 2. Menghuraikan perubahan dan perkembangan emosi bayi, kanakkanak dan remaja; dan 3. Menyatakan perubahan dan perkembangan sosial bayi, kanakkanak dan remaja. HASIL PEMBELAJARAN Topik 6 Pertumbuhan dan Perkembangan Bayi, Kanak-kanak dan Remaja Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 96 Mungkin apa-apa yang kita alami zaman dahulu tidak sama dengan apa-apa yang anak-anak kita alami pada zaman sekarang. Tiada makanan segera, Internet, telefon mudah alih dan komputer pada masa dahulu, berbanding dengan zaman sekarang yang serba lengkap. Namun, perubahan dan perkembangan manusia tetap sama kerana manusia akan mengalami perubahan dan perkembangan secara fizikal, emosi dan sosial pada peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun, dan peringkat awal remaja. Oleh itu, topik ini secara khususnya akan membincangkan ketiga-tiga perubahan dan perkembangan ini dengan lebih mendalam daripada tiga peringkat yang berbeza; peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun dan peringkat awal remaja. Mari kita mulakan! PERUBAHAN DAN PERKEMBANGAN FIZIKAL LELAKI DAN PEREMPUAN Kita mulakan topik ini dengan membincangkan perubahan fizikal lelaki dan perempuan. Kita sedia maklum bahawa terdapat perbezaan ketara tentang perubahan fizikal antara lelaki dengan perempuan. Terdapat tiga peringkat dalam perubahan fizikal manusia, iaitu peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun, dan peringkat awal remaja. Mari kita lihat apakah perubahan fizikal yang berlaku dalam ketiga-tiga peringkat ini. 6.1.1 Peringkat Kanak-kanak Mari kita lihat apakah perubahan fizikal yang berlaku pada peringkat kanakkanak. Tahukah anda peringkat awal seseorang kanak-kanak perempuan dan lelaki boleh dibahagikan kepada dua tahap? Dua tahap tersebut ialah: (a) Tahap bayi, iaitu dari lahir hingga umur satu setengah tahun; dan (b) Tahap kanak-kanak bertatih (toddler) adalah dari umur satu setengah tahun kepada umur empat tahun. Dalam kedua-kedua tahap ini, keperluan penjagaan dari segi kasih sayang, kesihatan, pemakanan dan sebagainya adalah amatlah penting. Pada peringkat inilah sebahagian besar aspek fisiologi manusia mengalami pertumbuhan dan perkembangan yang pesat. Pada peringkat kedua, iaitu umur kanak-kanak bertatih, perkembangan dan pertumbuhan utama yang berlaku pada dirinya dari segi fizikal ialah berat badan, pertumbuhan gigi, dan perkembangan sistem otot, saraf dan tulang. 6.1 Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 97 Ketiga-tiga perubahan fizikal ini dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Jadual 6.1. Jadual 6.1: Perubahan Fizikal bagi Kanak-kanak Bertatih Perubahan Huraian Berat badan • Perubahan ketara dari segi fizikal yang dapat dilihat pada bayi adalah dari segi perubahan berat badan mereka dalam tahun pertama dilahirkan. Seperkara yang harus diketahui oleh ibu bapa ialah bayi kehilangan lebih kurang 150 gram berat badan pada minggu pertama dilahirkan. • Namun begitu, penurunan berat badan ini adalah semula jadi dan bukannya disebabkan oleh kekurangan zat makanan, misalnya ibu bapa kurang memberi susu. Bayi hanya mula bertambah berat badannya pada hari ke-5 dan beratnya kembali semula kepada berat semasa dilahirkan pada hari ke-10. Selepas itu, berat badan bayi akan terus meningkat secara teratur (Baharudin Omar, 1997). Pertumbuhan gigi • Bayi yang menjangkau umur satu tahun akan mula mengalami pertumbuhan gigi sebanyak lebih kurang enam batang. Pada tahap inilah, bayi akan mula aktif untuk menggigit apa-apa sahaja yang dapat dipegangnya. Menggigit umpama latihan untuk bayi itu memakan dan merasa sesuatu apabila besar kelak. • Pada peringkat ini, kita sebagai ibu bapa hendaklah mengawasi anak supaya mereka tidak tertelan sesuatu yang boleh menyebabkan tercekik ataupun menggigit benda yang kotor. Kita boleh memberi mereka alat khas untuk digigit. Gigi hendaklah dibersihkan dengan kain ataupun berus gigi khas supaya susu yang diminum tidak merosakkan gigi bayi tersebut. Perkembangan sistem otot, saraf dan tulang • Perkembangan sistem otot, saraf dan tulang seseorang bayi berlaku selaras dengan perkembangan motor secara urutan seperti bayi boleh mengangkat kepala, duduk sendiri, meniarap, merangkak, berdiri dan berjalan. Perlu diingat bahawa kadar perkembangan motor mungkin berbeza antara seorang bayi dengan bayi lain tetapi urutan perkembangannya adalah sama. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 98 6.1.2 Peringkat Umur 5 hingga 12 Tahun Peringkat kedua yang akan dibincangkan adalah ketika umur kanak-kanak adalah antara 5 hingga 12 tahun. Peringkat ini merupakan peringkat praakil baligh dan terbahagi kepada dua peringkat, iaitu: (a) Peringkat kanak-kanak prasekolah (4 hingga 6 tahun); dan (b) Peringkat sekolah rendah (7 hingga 12 tahun). Apakah perkembangan fizikal yang berlaku pada peringkat umur ini? Terdapat dua pertumbuhan dan perkembangan fizikal yang berlaku pada peringkat umur ini seperti yang diterangkan dalam Jadual 6.2. Jadual 6.2: Perkembangan Fizikal pada Peringkat Umur 5 hingga 12 Tahun Perkembangan Huraian Ketinggian • Pertambahan ketinggian kanak-kanak perempuan dan lelaki hampir sama sehinggalah mereka mencapai umur 9 tahun. Setelah usia tersebut, pertambahan ketinggian kanak-kanak perempuan meningkat dengan lebih cepat berbanding dengan kanak-kanak lelaki sehinggalah usia mereka 12 tahun dan kemudiannya menurun dengan ketara sehingga umur mereka sekitar 15 tahun. Gigi • Gigi kekal pertama yang tumbuh apabila kanak-kanak berumur 6 tahun ialah gigi molar pertama. Kemudian, diikuti dengan gigi insisor, pramolar dan gigi kanin. • Dalam lingkungan umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak akan memiliki gabungan gigi susu dan gigi kanin. Pada masa ini, penggantian gigi susu kepada gigi kekal sedang berlaku secara berperingkat. 6.1.3 Awal Remaja Akhirnya, mari kita lihat apakah perubahan fizikal yang berlaku ketika peringkat awal remaja? Peringkat ini bermula dari usia 10 hingga 12 tahun. Walau bagaimanapun, tempoh peralihan ini berbeza antara seseorang individu dengan individu lain ataupun antara seseorang remaja lelaki dan perempuan. Pada peringkat awal remaja inilah proses mencecah akil baligh berlaku. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 99 Masihkah anda ingat apakah maksud akil baligh? Anda mungkin menyedari bahawa remaja perempuan lebih cepat mencapai akil baligh berbanding dengan remaja lelaki yang purata umur akil baligh bagi remaja perempuan ialah 12 tahun, manakala remaja lelaki ialah 14 tahun. Apakah pertumbuhan dan perkembangan fizikal yang berlaku kepada remaja lelaki dan perempuan? Jadual 6.3 menyenaraikan pertumbuhan dan perkembangan fizikal yang berlaku kepada remaja lelaki dan perempuan. Jadual 6.3: Pertumbahan dan Perkembangan Fizikal Remaja Lelaki dan Perempuan Remaja Lelaki Remaja Perempuan • Suara menjadi garau. • Misai dan janggut mula tumbuh. • Bulu mula tumbuh pada bahagian kemaluan. • Bahu dan dada menjadi lebih lebar. • Mengalami mimpi basah (wet dream) ataupun ihtilam. Ihtilam merujuk seseorang kanak-kanak yang mula memasuki alam remaja dengan mengalami mimpi yang ghairah sehingga mengeluarkan air mani. • Zakar dan testis mula membesar. • Payudara mula membesar dan menampakkan bentuk. • Bulu tumbuh di celah ketiak dan bahagian ari-ari. • Punggung melebar dan mula menunjukkan ciri-ciri kewanitaan. • Jerawat mula tumbuh di pipi ataupun muka. • Mula didatangi haid. • Suara mungkin berubah dari suara keanak-anakan kepada suara yang lebih matang. Perubahan fizikal bagi remaja lelaki dan perempuan juga dipengaruhi oleh faktor seperti amalan pemakanan, genetik, sosiobudaya dan persekitaran. Selain itu, penyakit akibat kurang zat makanan pada peringkat bayi dan kanak-kanak boleh juga menyebabkan pertumbuhan peringkat remaja menjadi terbantut. Berdasarkan istilah fisiologi, akil baligh merujuk seseorang remaja itu mempunyai kemampuan dari segi fizikal untuk melahirkan zuriat ataupun reproduksi. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 100 PERUBAHAN DAN PERKEMBANGAN EMOSI Sekarang, mari kita beralih pula ke perubahan emosi. Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita ketahui dahulu maksud emosi. Emosi sering menjadi daya pendorong di sebalik motivasi sama ada emosi positif ataupun negatif. Emosi sama pentingnya dengan domain pengetahuan dan psikomotor. Emosi umpama pendorong kepada domain pengetahuan untuk melakukan sesuatu. Unsur utama perasaan yang dimanifestasikan dalam bentuk emosi ialah perasaan benci, suka, minat dan cinta. Elemen ini akan mempengaruhi sikap manusia terhadap sesuatu perkara dan objek. Kita akan melihat perubahan emosi ini daripada peringkat kanak-kanak, umur 5 hingga 12 tahun dan awal remaja. 6.2.1 Peringkat Kanak-kanak Pada peringkat bayi dan kanak-kanak yang sedang bertatih, perkembangan emosi yang berlaku banyak melibatkan keperluan asas untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang. Pada peringkat umur enam bulan hingga satu tahun, seseorang bayi sudah mampu menunjukkan reaksi kepada ibu ataupun bapanya dengan memberikan gerak balas seperti menangis untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang. 6.2 Emosi ialah pelbagai perasaan yang berkaitan dengan angin (mood), perangai, personaliti, pembawaan, motivasi, hormon dan neurotransmiter seperti dopamina, noreadrenalin, serotonin, oxitosin dan kortisol. SEMAK KENDIRI 6.1 Senaraikan pertumbuhan dan perkembangan fizikal bagi remaja lelaki dan perempuan. Pada pendapat anda, adakah pertumbuhan dan perkembangan fizikal remaja lelaki dan perempuan ini akan mempengaruhi aspek pengajaran dan pembelajaran seseorang kanakkanak ataupun remaja di dalam kelasnya? Huraikan jawapan anda dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 101 Pada kebiasaannya, bayi akan menunjukkan reaksi dalam bentuk tangisan ataupun rengekan yang berulang-ulang apabila inginkan sesuatu seperti susu, mainan kesukaan atau untuk dibelai oleh ibunya. Pada peringkat inilah pentingnya kehadiran si ibu ataupun bapa dalam memenuhi keperluan bayi mereka. Selain itu, tahukah anda tidur yang cukup juga amat penting kepada perkembangan emosi seseorang bayi? Jadual waktu tidur dan jadual penyusuan yang teratur amat penting dalam memenuhi keperluan tidur bayi. Bayi yang tidak mendapat tidur yang mencukupi kerana kerap terjaga disebabkan oleh gangguan seperti bunyi bising ataupun lapar akan kelihatan resah dan tidak selesa. 6.2.2 Peringkat Umur 5 hingga 12 Tahun Menurut teori perkembangan kognitif yang dikemukakan oleh Jean Piaget (ahli psikologi Swiss, 1896 − 1980), peringkat umur 2 hingga 7 tahun boleh digolongkan ke dalam tahap yang disebut tahap praoperasional. Pada tahap ini, kanak-kanak itu memiliki representasi mental (mental representation) terhadap objek tetapi kurang dari segi gambarannya di dunia nyata ataupun realiti. Piaget menyebut ini sebagai tahap praoperasional kerana pada peringkat ini, kanak-kanak belum mampu melihat dunia nyata lagi (operasional). Beliau berpendapat bahawa kanak-kanak mempunyai imaginasi tetapi tiada pentaakulan logik (logical reasoning). Misalnya, seseorang kanak-kanak boleh memikirkan rupa bentuk seekor kuda tetapi tanpa penaakulan logik dalam pemikiran mereka, penyapu pun boleh menjadi kuda yang mampu ditungganginya (Saccuzzo, 1987). Pada tahap ini juga, kanak-kanak memiliki pemikiran egosentrik, iaitu mereka tidak dapat melihat sesuatu daripada pandangan orang lain. Mereka juga memiliki pemikiran animistik, iaitu menjangka semua objek adalah bernyawa. Misalnya, takut tidur di katil kerana menyangka di bawah katil terdapat raksasa. Bagi Piaget, umur kanak-kanak antara 7 hingga 12 tahun berada pada tahap operasi konkrit (concrete operations). Peringkat ini merupakan peringkat ketiga dalam perkembangan kognitif Piaget. Pemikiran seseorang kanak-kanak berkembang ke arah sesuatu yang lebih kukuh tetapi ia tertakluk kepada aktiviti mental yang memerlukan mereka menguasai skematik dan imej. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 102 Dengan kebolehan untuk berfikir secara logik, kanak-kanak di tahap operasi konkrit boleh menguasai khayalan yang menakutkan, misalnya percaya terdapat raksasa di bawah katil. Kanak-kanak juga akan lebih memahami pandangan orang lain pada peringkat ini. 6.2.3 Awal Remaja Akhirnya, mari kita lihat perubahan emosi pada peringkat awal remaja. Perkembangan emosi pada peringkat awal remaja boleh diterangkan berdasarkan peringkat perkembangan moral Kohlberg seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 6.1. Rajah 6.1: Peringkat perkembangan moral Kohlberg Sumber: Saccuzzo (1987) Menurut Kohlberg, peringkat awal remaja berumur antara 8 hingga 20 tahun berada pada tahap kesusilaan konvensional (conventional morality). Pada tahap ini, seseorang itu akan mula mengambil kira kehendak dan pendapat orang lain. Namun, mereka menilai sesuatu itu semata-mata berdasarkan niat (intention) sesuatu perkara itu dilakukan dan bukannya melihat kepada akibat tingkah laku tersebut. Contohnya, mereka mematuhi sesuatu peraturan bukan kerana takut akan hukuman yang digariskan tetapi kerana „tindakannya itu adalah semata-mata mengikut peraturan.‰ Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 103 PERUBAHAN DAN PERKEMBANGAN SOSIAL Anda tentu sedar bahawa pertumbuhan dan perkembangan seseorang bayi kepada kanak-kanak seterusnya ke peringkat remaja memerlukan mereka bergaul ataupun berhubung dengan orang lain selain ibu bapa, penjaga atau adikberadiknya. Proses sosialisasi ini akan dicorakkan oleh persekitaran budaya, sistem kepercayaan, kedudukan sosioekonomi dan pendidikan awal seseorang itu. Terdapat tiga peringkat perubahan sosial dalam kehidupan awal manusia. Tiga peringkat tersebut ialah peringkat kanak-kanak, umur 5 hingga 12 tahun, dan awal remaja. Mari kita pelajari dengan lebih lanjut ketiga-tiga perubahan ini dalam subtopik seterusnya. 6.3.1 Kanak-kanak Kita mulakan perubahan sosial ini pada peringkat kanak-kanak dahulu. Pertautan (attachment) ataupun perasaan ingin dibelai dan dilindungi ialah salah satu keperluan asas seseorang kanak-kanak dalam proses sosialisasinya dengan orang lain di sekeliling mereka seperti ibu bapa dan penjaga. Pada umur satu tahun, bayi sudah mula berinteraksi dengan orang di sekelilingnya melalui rengekan dan tangisan untuk mendapatkan perhatian. Perkataan asas seperti „ma ma ma‰ ataupun „pa pa pa‰ seolah-olah menjadi bahasa asas mereka untuk berkomunikasi dengan orang lain. Menurut pakar psikologi Sigmund Freud dan Erik Erikson, pertautan ataupun pergantungan seseorang bayi kepada orang lain ialah asas kepada pembangunan sosial mereka pada tahun yang mengikut perkembangan mereka (Saccuzo, 1987). Mereka juga berpendapat tingkah laku ini ialah asas kepada kemahiran bayi untuk lebih mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran mereka. 6.3 AKTIVITI 6.1 Anak kita ialah cermin kita. Cara dan tingkah laku mereka mencontohi tingkah laku kita. Adakah anda bersetuju? Kongsikan pandangan anda dengan rakan sekuliah dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 104 6.3.2 Peringkat Umur 5 hingga 12 Tahun Peringkat kedua perubahan sosial adalah ketika peringkat umur 5 hingga 12 tahun. Menurut Erikson, tahap perkembangan psikososial kanak-kanak antara umur 5 hingga 12 tahun berada pada tahap membangun sifat industri (develop a sense of industry) seperti yang digambarkan dalam Rajah 6.2. Kegagalan mereka untuk memenuhi tuntutan ini ialah perasaan rendah diri. Rajah 6.2: Tahap perkembangan psikososial Erikson Pada peringkat ini, menurut Erikson kanak-kanak perlu memiliki kemahiran asas kehidupan untuk membentuk kompeten diri (self-competence) ataupun industri (Saccuzo, 1987). Memiliki perasaan kompeten akan menjadi asas kepada keperluan untuk membentuk identiti kendiri pada peringkat remaja. 6.3.3 Awal Remaja Akhirnya, mari kita lihat perubahan sosial yang dialami pada awal remaja. Ramai orang bersetuju bahawa zaman remaja ialah zaman yang amat menyeronokkan. Bagaimanakah pula dengan anda? Zaman remaja mungkin menyeronokkan sekiranya remaja tersebut mampu mengharungi segala cabaran dengan berbekalkan keazaman dan disiplin diri yang teguh. Walaupun begitu, tidak kurang juga remaja yang terjerumus ke dalam kancah yang tidak sihat kerana tidak mampu mengharungi segala cabaran dan godaan. Oleh sebab itulah terdapat ahli psikologi yang menyatakan bahawa peringkat remaja sebagai zaman bergelora dan stres (storm and stress). Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 105 Apakah perubahan sosial yang agak ketara berlaku pada peringkat awal remaja ini? Terdapat dua perubahan sosial yang agak ketara berlaku pada peringkat awal remaja, iaitu identiti kendiri dan penerokaan. (a) Identiti Kendiri Remaja lelaki ataupun perempuan ingin mencari dan membentuk identiti kendiri. Identiti kendiri adalah berkaitan dengan matlamat dan arah tuju kehidupan untuk menentukan dan menyesuaikan (fine tune) ciri-ciri identiti diri berbanding dengan orang lain di sekeliling kehidupan mereka seperti adik-beradik, ibu bapa, guru dan rakan sebaya. Remaja juga ingin mencari dan membentuk identiti gender (gender identity), iaitu cara menjadi seorang remaja lelaki ataupun perempuan dalam persekitaran sekolah ataupun masyarakat. Usaha untuk membentuk identiti kendiri secara tidak langsung akan menentukan corak personaliti mereka dalam keluarga, sekolah dan masyarakat. Erikson melalui tahap perkembangan psikososial (stages of psychosocial development) mengemukakan bahawa pada peringkat awal remaja ini, pemikiran seseorang itu akan berligar-ligar dengan persoalan berkaitan dengan „Siapakah saya?‰ Kegagalan untuk memenuhi persoalan ini akan menyebabkan remaja tersebut mengalami kecelaruan identiti (identity confusion). Kecelaruan identiti ini dimanifestasikan dalam bentuk perasaan tidak dihargai, tiada tujuan dan perasaan bersalah. Pada kaca mata masyarakat, kesan ini akhirnya dapat dilihat dari segi pertambahan kes remaja yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, ponteng sekolah dan buli. (b) Penerokaan Adakah anda sedar bahawa peringkat awal remaja adalah umpama menerokai perkara, pengetahuan dan amalan yang baharu? Remaja ingin mencuba perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, iaitu semasa zaman kanak-kanaknya. Dalam usaha untuk membentuk identiti kendiri, remaja akan melakukan pelbagai perkara yang mungkin boleh mendatangkan kebaikan dan kemudaratan kepada dirinya. Perkara ini pula ditambah pula dengan pengaruh rakan sebaya yang seumpama „api bertemu dengan minyak.‰ Jika seseorang remaja itu tidak mempunyai jati diri yang kuat dan mudah terikut-ikut ataupun termakan pujuk rayu rakan sebayanya, maka dia akan mudah terlibat dengan tingkah Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 106 laku yang tidak sihat dan berisiko. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa dan orang dewasa membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada remaja yang masih mentah dan naif dalam hubungan sosial. • Perubahan dan perkembangan fizikal boleh dilihat pada tiga peringkat, iaitu peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun dan peringkat awal remaja. • Pada peringkat kanak-kanak, tahap perubahan dan perkembangan fizikal yang berlaku adalah pada tahap bayi dan tahap kanak-kanak bertatih. • Pada peringkat umur bertatih, perkembangan dan pertumbuhan ketara adalah dari segi berat badan, pertumbuhan gigi, dan perkembangan sistem otot, saraf dan tulang. • Pada peringkat umur 5 hingga 12 tahun pula, pertumbuhan dan perkembangan yang berlaku adalah pada ketinggian dan pertumbuhan gigi. SEMAK KENDIRI 6.2 1. Apakah yang dimaksudkan dengan identiti kendiri? 2. Bagaimanakah pengaruh rakan sebaya mempengaruhi perkembangan remaja? AKTIVITI 6.2 Pembelajaran pada peringkat awal kanak-kanak (prasekolah dan sekolah rendah) banyak dipengaruhi oleh faktor pertumbuhan dan perkembangan jasmani, emosi dan mental. Bincangkan pernyataan ini dengan rakan sekuliah anda dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 107 • Perubahan dan perkembangan fizikal bagi remaja lelaki dan perempuan adalah berbeza. Bagi remaja lelaki, perubahan fizikal tersebut ialah suara menjadi garau, misai dan janggut mula tumbuh dan sebagainya. Bagi remaja perempuan pula, perubahan fizikal tersebut ialah payudara mula membesar, mula datang haid dan sebagainya. • Perubahan dan perkembangan emosi juga berlaku pada tiga peringkat yang sama seperti fizikal, iaitu peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun dan peringkat awal remaja. • Bagi bayi dan kanak-kanak bertatih, perkembangan emosi yang berlaku banyak melibatkan keperluan asas untuk mendapatkan perhatian dan kasih sayang. • Pada peringkat umur 5 hingga 12 tahun, perubahan dan perkembangan emosi yang berlaku adalah berdasarkan teori perkembangan kognitif oleh Jean Piaget. • Pada peringkat remaja pula, perubahan dan perkembangan emosi yang berlaku adalah berdasarkan tahap perkembangan moral Kohlberg. • Perubahan dan perkembangan sosial juga dibincangkan pada tiga peringkat, iaitu peringkat kanak-kanak, peringkat umur 5 hingga 12 tahun dan peringkat awal remaja. • Pada peringkat kanak-kanak, perasaan ingin dibelai dan dilindungi merupakan salah satu keperluan asas sosiologi kanak-kanak. • Bagi peringkat umur 5 hingga 12 tahun, tahap perkembangan psikososial yang wujud diterangkan oleh Erik Erikson melalui tahap membangun sifat industri (develop a sense of industry). • Pada peringkat awal remaja, perubahan dan perkembangan sosial digambarkan sebagai zaman bergelora dan stres (storm and stress) oleh ahli psikologi. Remaja akan mengalami perubahan identiti kendiri dan penerokaan untuk menentukan corak personaliti mereka dalam keluarga, sekolah dan masyarakat. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 6 PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN BAYI, KANAK-KANAK DAN REMAJA 108 Emosi Identiti gender Identiti kendiri Kecelaruan identiti Kognitif Pemikiran animistik Pemikiran egosentrik Penerokaan Perubahan emosi Perubahan fizikal Perubahan sosial Sosialisasi Baharudin Omar. (1997). Asas penjagaan kesihatan kanak-kanak. Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. Boyd, D., & Bee, H. (2006). Lifespan development. New Jersey, NJ: Pearson. Saccuzzo, D. P. (1987). Psychology: From research to applications. Boston, MA: Allyn & Bacon. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
PENGENALAN Mari kita mulakan Topik 7 ini yang berkisar tingkah laku sosial. Secara spesifiknya, topik ini akan membincangkan tingkah laku sosial bagi remaja kerana isu ini menjadi perbualan pada setiap masa. Pembangunan yang pesat, perubahan sosioekonomi, demografi dan budaya menyebabkan remaja masa kini berhadapan dengan kehidupan yang amat berbeza daripada alam remaja kita pada suatu masa dahulu. Perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga dalam mendidik remaja malahan golongan remaja sendiri terpaksa belajar menyesuaikan diri. Pendidikan kemahiran sosial yang baik di rumah mahupun di sekolah tidak selalunya dapat membentuk semua remaja kita menjadi warga yang sempurna. Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menghuraikan peranan penghargaan kendiri, konsep kendiri dan kasih sayang dalam membentuk imej kendiri yang sihat; 2. Menerangkan kepentingan remaja memelihara kehormatan diri; 3. Membincangkan dua isu tingkah laku sosial remaja, iaitu delinkuen juvenil dan masalah psikologi; dan 4. Membincangkan kesan pengabaian dalam menjaga kehormatan diri remaja. HASIL PEMBELAJARAN Topik 7 Tingkah Laku Sosial Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
110 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Sebagai orang dewasa, kita tidak sepatutnya menilai masalah sosial remaja pada konteks pengalaman zaman lampau kita sendiri. Kita hanya akan bersikap tidak adil kepada mereka dan mungkin menyebabkan mereka lebih memberontak. Memahami perkembangan zaman dan kaitannya dengan perubahan sosial remaja akan membantu kita memikirkan cara penyelesaian yang lebih baik. Oleh itu, topik ini akan menerangkan peranan penghargaan kendiri, konsep kendiri dan kasih sayang dalam membentuk imej kendiri yang sihat. Kemudiannya, penjelasan berikutnya adalah penjelasan tentang kepentingan remaja memelihara kehormatan diri dan isu yang berkaitan dengan tingkah laku remaja. Akhirnya, kita akan membincangkan kesan pengabaian dalam menjaga kehormatan diri remaja seperti kehamilan remaja dan kesannya. Diharapkan topik ini dapat membantu anda memahami tingkah laku sosial yang berlaku pada remaja di sekeliling anda. Selamat belajar. IMEJ KENDIRI Kita mulakan topik ini dengan imej kendiri. Tahukah anda penghargaan kendiri, konsep kendiri dan kasih sayang memainkan peranan dalam imej kendiri seseorang? Oleh itu, kita akan melihat dengan lebih lanjut ketiga-tiga komponen ini dengan lebih lanjut dalam subtopik berikut. 7.1.1 Penghargaan Kendiri Setiap individu dilahirkan sebagai insan istimewa. Namun, dalam proses sosialisasi sama ada dalam lingkungan keluarga sendiri ataupun masyarakat, pertumbuhan kendiri setiap individu adalah berbeza. Oleh itu, ada antara kita akan membesar dengan imej kendiri yang positif, manakala ada pula yang membesar dengan imej kendiri yang negatif. Penghargaan diri membawa pengertian yang luas. Penghargaan diri memainkan peranan dalam menentukan keterampilan diri. Penghargaan diri boleh dianggap sebagai tunjang kepada kesihatan fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. Penghargaan diri ini adalah selaras dengan definisi kesihatan yang dinyatakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO − World Health Organisation), iaitu kesihatan bukan sekadar tiada penyakit tetapi kesihatan yang menyeluruh termasuk fizikal, mental, sosial, emosi dan rohani. 7.1 Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 111 Bagi ahli psikologi dan falsafah Amerika bernama William James (1890), beliau menerangkan penghargaan diri sebagai persepsi mental seseorang tentang kualiti dirinya dan bukan ciri-ciri fizikalnya. Nathaniel Branden (1969) pula melihat harga diri sebagai pengalaman kemahiran yang membantu gaya tindak balas seseorang terhadap cabaran asas dalam kehidupan. Mari kita lihat dari sudut pandangan Maslow pula mengenai harga diri. Maslow menjelaskan harga diri sebagai keinginan untuk dihormati oleh orang lain dan rasa menghormati diri sendiri. Harga diri menurut pendapat Maslow memerlukan kemahiran, keyakinan diri, penguasaan, pencapaian, berdikari dan kebebasan. Bagaimanakah rasa dihormati daripada orang lain diperoleh? Rasa dihormati oleh orang lain diperoleh dari segi pengiktirafan, penerimaan, status dan penghargaan. Tanpa perasaan ini, Maslow menganggap seseorang itu tidak bersemangat, lemah dan berasa rendah diri. Dalam konteks tingkah laku sosial, harga diri menjadi faktor penentu sama ada seseorang akan memilih untuk melibatkan diri dalam perlakuan sosial yang baik ataupun sebaliknya. Mereka yang memiliki harga diri yang positif dilihat lebih berjaya sama ada dalam kehidupan berkeluarga, bersosial mahupun dalam kerjaya. Sebaliknya, bagi mereka yang mempunyai harga diri yang rendah, mereka lebih cenderung berasa tidak mampu untuk berjaya, tidak disukai dan antisosial. Mereka juga sering dikaitkan dengan pelbagai masalah sosial yang negatif seperti penagihan dadah dan keganasan. 7.1.2 Konsep Kendiri Bagaimanakah pula dengan konsep kendiri? Pertamanya, tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan kendiri? Contohnya, „Saya orang yang baik‰ dan „Saya pandai memasak.‰ Bagi Carl Rogers (1947), beliau menjelaskan kendiri sebagai produk sosial yang dibangunkan hasil daripada hubungan interpersonal dan usaha seseorang untuk sentiasa konsisten. Kendiri merujuk diri ataupun empunya diri. Konsep kendiri adalah merujuk cara seseorang membuat tanggapan terhadap dirinya. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
112 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Sebagai produk sosial (hasil proses sosialisasi), konsep kendiri dipelajari daripada pengalaman yang berulang dan berterusan. Harus diingat bahawa kita tidak dilahirkan dengan konsep kendiri. Kita mempelajari kemahiran sosial sama seperti kita belajar kemahiran menggunakan anggota fizikal kita. Pembelajaran sosial kita bermula dari rumah lagi. Apabila seseorang kanak-kanak didedahkan kepada masyarakat umum, dia akan mula belajar perlakuan sosial yang baharu ataupun sekadar memperkukuhkan pembelajaran sosial yang dipelajari dalam keluarga. Contohnya, bersalam dengan orang yang lebih tua (rujuk Rajah 7.1). Rajah 7.1: Bersalaman dengan orang yang lebih tua Sumber: https://www.themalaysiaonline.com.my/latest/2020/05/tak-ada-salam-salamtak-ada-cium-cium-semasa-raya-nanti/ Maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa konsep kendiri merupakan hasil pembelajaran kita terhadap sesuatu perkara. Pembelajaran berlaku pada setiap ruang masa dan lingkungan secara berterusan. Namun begitu, individu akan cuba mempertahankan konsep kendirinya, jika dia berasa pembelajaran sosial yang baharu adalah bertentangan. Jika pengalaman sosial yang baharu adalah sesuatu yang menguntungkan, maka pengalaman ini akan diterapkan ke dalam kendiri untuk memperkukuhkan konsep kendiri yang sedia ada. Misalnya, cara berkomunikasi yang lebih positif. Terdapat keluarga yang kurang mahir dalam mendidik anak dengan cara berkomunikasi secara positif. Namun, pengalaman baharu dari sekolah ataupun institusi lain tentang cara berkomunikasi positif akan ditambah dalam konsep kendiri seseorang. Anda tentu sedar bahawa konsep kendiri yang baik ataupun melihat diri secara positif akan melahirkan individu yang berperibadi positif. Didikan nilai moral positif oleh institusi keluarga, masyarakat, sekolah dan agama boleh membentuk konsep kendiri yang positif. Namun begitu, konsep kendiri positif yang dipupuk semasa zaman kanak-kanak akan berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial yang negatif seperti isu seksualiti, rokok, alkohol, dadah dan jenayah. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 113 Jadi, apakah yang boleh kita lakukan untuk membantu mengurangkan masalah ini? Bagaimanakah kita boleh membantu kanak-kanak supaya mampu mengekalkan status konsep kendiri positif mereka? Terdapat beberapa agensi kerajaan dan swasta yang boleh membantu golongan kanak-kanak dan remaja memperkukuhkan konsep kendiri mereka. Antaranya ialah Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Agensi ini merangka beberapa program yang dapat membantu kanak-kanak dan remaja untuk memperkukuhkan konsep kendiri mereka. Selain itu, program seperti kem jati diri, motivasi, gaya hidup sihat, Program Intelek Asuhan Rohani (PINTAR), Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja (PROSTAR) dan Doktor Muda juga diadakan supaya dapat memperkukuhkan konsep kendiri seseorang. Misalnya, program PROSTAR diwujudkan untuk membantu remaja membentuk imej kendiri dari aspek kesihatan yang baik supaya remaja mampu mencapai tahap kesihatan yang optimum. Program PINTAR pula oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan pula adalah untuk memberi input melalui aktiviti yang dirancang supaya mampu memperkukuhkan konsep kendiri positif mereka. Selain itu, aktiviti ini diadakan supaya mereka mampu mengatakan „Tidak‰ kepada dadah. 7.1.3 Kasih Sayang Anda tentu bersetuju bahawa kasih sayang adalah ungkapan yang istimewa dalam kehidupan bersosial manusia. Tidak akan indah sebuah lagu, jika tanpa ungkapan kasih sayang. Tidak akan lengkap sebuah drama, jika tanpa episod kasih sayang. Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang? Apakah kepentingan kasih sayang kepada tingkah laku sosial manusia? Bagaimanakah kita memupuk kasih sayang supaya berkekalan? Kesihatan sosial yang baik diperoleh, jika kita memastikan mental dan emosi kita sihat. Aspek kesihatan ini saling berhubung kait. Jika emosi tidak sihat, mental juga tidak sihat dan keadaan ini akan turut mempengaruhi perkembangan fizikal dan sosial seseorang. Kasih sayang adalah perasaan yang membentuk emosi kita. Perasaan ini ialah inti pati yang penting dalam membentuk individu, keluarga dan masyarakat yang sihat secara menyeluruh. Kita dilahirkan atas dasar perasaan kasih sayang yang wujud dalam jiwa seorang lelaki dan seorang wanita. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
114 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Jadi, mengapakah kasih sayang penting dalam kehidupan sosial? Kita telah memahami daripada topik harga diri dan konsep kendiri bahawa kita ialah hasil proses sosialisasi. Salah satu inti pati proses sosialisasi ialah pengajaran dan pembelajaran kognitif dan kemahiran berkasih sayang. Sedarkah anda bahawa kita telah ditunjukkan perasaan dan kemahiran berkasih sayang sejak usia bayi lagi? Si ibu mempamerkan perasaan kasih dan sayang terhadap anaknya dengan cara mencium, memeluk, menyusu dan memelihara bayinya dengan sebaik mungkin (rujuk rajah 7.2). Rajah 7.2: Ibu dan bayi Sumber: https://bidadari.my/bayi-tidur-meniarap/ Apabila anak ini membesar, dia akan diajar bersalaman dan mencium abang ataupun kakaknya (jika dia mempunyai abang ataupun kakak). Pengalaman pembelajaran ini ialah proses sosialisasi berkasih sayang yang diperturunkan oleh keluarga kepada seorang anak. Perasaan dan kemahiran ini akan diteruskan oleh anggota masyarakat yang lain dan juga dipelajari secara formal di sekolah. Perasaan dikasihi dan disayangi serta kemahiran mengasihi dan menyayangi dikaitkan dengan harga diri dan konsep kendiri yang positif. Perasaan ini akan membantu setiap individu untuk sentiasa sihat dari segi mental dan sosial. Perasaan saling mengasihi dan menyayangi akan menjauhkan masyarakat dari pelbagai aspek sosial yang negatif seperti berprasangka buruk, tuduh-menuduh dan perasaan mengkhianati. Malah, perasaan kasih sayang juga akan membentuk masyarakat yang sihat. Masalah delinkuen remaja dan sosial negatif orang dewasa dilihat berpunca daripada kurang perasaan kasih sayang terhadap diri sendiri dan masyarakat. Contohnya, isu buli dalam kalangan remaja ataupun pelajar sekolah. Isu ini berlaku kerana pelajar yang membuli ini dianggap kurang kemahiran dalam Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 115 menunjukkan kasih sayang kepada rakan sebaya. Kegagalan ibu bapa menunjukkan kasih sayang yang positif kepada anak turut menjadi punca masalah ini. Tahukah anda bahawa kasih sayang dalam konteks keluarga meliputi juga aspek penjagaan? Jika aspek ini lemah, anak tidak dapat mempelajari sepenuhnya kemahiran berkasih sayang daripada ibu bapanya. Kekurangan ini akan ditonjolkan oleh anak itua dalam tingkah laku sosialnya yang negatif seperti vandalisme. Oleh itu, anda tentu setuju bahawa ibu bapa merupakan model terbaik untuk mempamerkan kemahiran berkasih sayang bagi rujukan anaknya. TINGKAH LAKU REMAJA Sekarang, mari kita fokus kepada tingkah laku remaja. Kita tentu sedar bahawa remaja perlu menjaga kehormatan dirinya. Oleh itu, kita akan membincangkan kepentingan memelihara kehormatan diri bagi remaja dalam subtopik berikutnya. Selain itu, kita sedar bahawa masa remaja ialah masa bagi remaja tersebut mencari identitinya. Oleh itu, dia mudah dipengaruhi kerana masih mentah dan belum matang dalam pemikirannya. Jika remaja tersebut mendapat pengaruh yang kurang sihat ataupun kurang baik, dia mudah terjebak dalam masalah delinkuen juvenil dan masalah psikologi. Kita akan meneliti dua masalah ini dengan lebih lanjut selepas mempelajari kepentingan memelihara kehormatan diri. 7.2 AKTIVITI 7.1 1. Apakah peranan keluarga dalam pembentukan harga diri, konsep kendiri dan kemahiran berkasih sayang? 2. Apakah kesan sosial jika seseorang memiliki harga diri dan konsep kendiri yang rendah? Kongsikan jawapan anda dengan rakan sekuliah dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
116 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 7.2.1 Kepentingan Memelihara Kehormatan Diri Sebelum kita melihat kepentingan memelihara kehormatan diri, mari kita pelajari dahulu apakah kategori umur bagi remaja. WHO mendefinisikan remaja sebagai mereka yang berumur antara 10 hingga 19 tahun. Bagaimanakah pula dengan istilah keremajaan? Keremajaan ialah masa peralihan dari zaman kanak-kanak kepada zaman kedewasaan. Keremajaan dicirikan dengan pelbagai perubahan fizikal, mental, emosi dan sosial. Zaman remaja berkembang sebagai fenomena fizikal, budaya dan sosial. Zaman remaja ini juga merupakan proses pertumbuhan normal bagi manusia. Fasa akil baligh merangsang pengeluaran hormon yang mendorong perubahan fizikal dan emosi remaja. Perubahan emosi ini akan mempengaruhi tingkah laku sosial remaja. Kadangkala perubahan ini memperlihatkan kecenderungan mereka untuk melepaskan diri daripada kongkongan keluarga dan peraturan. Remaja akan lebih tertarik kepada pengaruh rakan sebaya. Mereka dikaitkan dengan ciri suka mengambil risiko seperti mencuba sesuatu yang mencabar kemampuan mereka serta mencabar peraturan dan norma sosial masyarakat. Contohnya, pengambilan dadah, amalan seks tidak selamat, memandu tanpa lesen dan berpesta tanpa sempadan. Tarikan yang kuat ke arah perlakuan negatif ataupun suka mengambil risiko boleh menyebabkan remaja hilang kehormatan diri. Kita harus peka bahawa memelihara kehormatan diri berkait rapat dengan harga diri dan konsep kendiri kita. Oleh itu, remaja perlu memiliki kemahiran memelihara kehormatan diri. Kemahiran memelihara kehormatan diri memerlukan remaja tersebut mempunyai emosi dan mental yang stabil, di samping pengetahuan yang lengkap dan betul. Misalnya, jika seseorang mempunyai pengetahuan yang baik tentang kesan penyalahgunaan dadah, dia tidak akan terjebak ke dalam kancah tersebut kerana telah memahami implikasi penyalahgunaan dadah. Selain itu, bagi individu yang mempunyai harga diri dan konsep kendiri, dia tidak akan mudah terpengaruh. Individu ini juga diumpamakan memiliki jaring dalam dirinya yang mampu mempertahan dirinya daripada dibolosi anasir sosial yang negatif. Namun, bagi remaja yang rendah harga diri dan konsep kendirinya, dia akan mempunyai kurang kemahiran memelihara kehormatan diri. Oleh itu, dia dikatakan mudah terpengaruh. Dia juga boleh dikaitkan dengan aspek kerohanian yang lemah. Akibatnya, remaja tersebut mudah terjerumus dengan aktiviti yang tidak sihat. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 117 7.2.2 Delinkuen Juvenil Sekarang kita beralih pula ke isu delinkuen juvenil. Pernahkah anda mendengar istilah ini? Tahukah anda bahawa perlakuan delinkuen juvenil adalah antara isu tingkah laku sosial? Kes delinkuen juvenil semakin menular dalam masyarakat kerana kita dikejutkan dengan kes buli, pecah rumah, mencuri dan melacur, malah kes membunuh dalam kalangan remaja bawah umur. Masalah sosial ini bukan sahaja melanda negara kita tetapi juga merupakan masalah global. Mengapakah perkara ini berlaku? Di manakah silapnya kita, keluarga, agama, masyarakat dan peraturan sehingga wujudnya kelompok yang melihat delinkuen ini sebagai gaya hidup mereka? Jadi, apakah yang anda faham tentang delinkuen juvenil? Bolehkah anda memberikan definisinya? Delinkuen kanak-kanak juvenil ialah kanak-kanak bawah umur, biasanya ditakrifkan sebagai antara umur 10 hingga 18 yang telah melakukan beberapa perbuatan yang melanggar undang-undang. Tindakan ini tidak dipanggil „jenayah‰ kerana mereka akan menjadi orang dewasa. Sebaliknya, jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur dipanggil „perbuatan bermasalah.‰ Di negara kita, bawah umur merujuk mereka yang berada di bawah usia 18 tahun. Mengapakah berlakunya masalah delinkuen juvenil ini? Banyak faktor yang boleh mendorong perlakuan salah ini berlaku. Antara yang sering dibincangkan ialah: (a) Kegagalan sistem keluarga atau kelemahan kemahiran keibubapaan; (b) Kekurangan sokongan dan campur tangan masyarakat; (c) Tarikan keseronokan di luar yang lebih kuat; (d) Kurang daya kawalan diri akibat harga diri dan konsep kendiri yang lemah; dan (e) Kurang didikan kerohanian yang dapat memperkukuhkan keimanan seseorang. Delinkuen juvenil merujuk salah perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh mereka yang di bawah umur. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
118 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Kita menyedari bahawa keluarga merupakan institusi paling asas yang terlibat dalam memberikan pengalaman awal kepada seorang kanak-kanak. Ahli keluarga khasnya ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk kemahiran mengawal diri. Kemahiran mengawal diri memerlukan kefahaman terhadap nilai sosial baik, di samping perkara yang salah dan betul di sisi peraturan mahupun undangundang. Gaya keibubapaan yang baik akan menjadi teladan dan ikutan anaknya. Secara tidak langsung, mereka telah menurunkan ataupun mewariskan nilai murni ini kepada anaknya. Oleh itu, ibu bapa perlu menjadi model yang terbaik untuk anak mereka. Namun, berapa ramaikah antara kita yang memiliki kemahiran keibubapaan ini? Jika kita mempunyai kemahiran ini, adakah kita mempraktikkannya dalam kalangan anak kita? Bagaimanakah fungsi keibubapaan yang tidak kesampaian? Misalnya, dalam kes ibu tunggal. Ibu tunggal yang bekerja akan kurang mempunyai masa terluang dan kesuntukan masa untuk menurunkan nilai ini kepada anak. Bagaimanakah tanggungjawab seorang bapa? Keadaan akan menjadi lebih buruk, jika perkara ini berlaku dalam sistem keluarga nuklear. Selain itu, sokongan daripada ahli keluarga yang lain juga adalah kurang. Perkara beginilah yang dilihat sebagai penyumbang kepada masalah delinkuen juvenil dalam masyarakat hari ini. Anda mungkin bersetuju, jika dikatakan pada masa sekarang, sikap tidak suka menjaga tepi kain orang juga turut menyumbang kepada masalah ini. Kita sememangnya hidup berkelompok tetapi saling dipisahkan oleh tembok batu dan besi. Maka, ciri-ciri individualistik pun menjadi lebih ketara. Malah, tidak dinafikan bahawa kadangkala, kita enggan menegur salah laku anak jiran kerana tidak mahu sebarang konflik timbul ataupun tidak mahu ambil pusing kerana itu anak orang lain dan dia bukanlah tanggungjawab kita. Adakah anda bersetuju, jika sekarang ini kita jarang berkongsi nilai baik sosial seperti masyarakat dahulu? Budaya saling bertegur sapa, bantu-membantu, mesra dan prihatin disarankan oleh kerajaan kerana kemerosotannya dalam gaya hidup masyarakat kini. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 119 Dunia luar ibarat lorong, tempat hiburan dan mana-mana lubuk untuk remaja melepak kerana dunia ini menjanjikan keseronokan yang lebih baik. Ditambah pula dengan tarikan pengaruh rakan yang senasib dengan mereka. Perlakuan delinkuen diperlihatkan sebagai identiti untuk kumpulan mereka dan cara remaja melepaskan keinginan serta tekanan yang dihadapi oleh mereka. Ketagihan keseronokan dapat mengatasi dan menghakis pengetahuan dan kemahiran hidup positif yang lain apabila kumpulan ini berkumpul. Kurang kemahiran mengawal diri yang berpunca daripada harga diri dan konsep kendiri yang lemah juga turut menyumbang kepada perlakuan delinkuen ini. Mari kita imbas kembali perlakuan remaja yang mempunyai harga diri cara konsep kendiri yang negatif. Cuba anda senaraikan kesannya. Kesannya mereka sering terlibat dengan aktiviti antisosial yang bertentangan dengan nilai baik sosial, agama, peraturan atau undang-undang. 7.2.3 Masalah Psikologi Remaja Kita telah mempelajari bahawa zaman remaja ialah zaman perubahan fizikal, mental, sosial dan emosi. Perubahan ini seterusnya akan mempengaruhi psikologi remaja. Perubahan ini ialah proses normal yang didorong oleh hormon dan proses sosialisasi yang diperkenalkan oleh keluarga dan masyarakat. Malah, perubahan ini akan dipancarkan dalam perlakuan yang prososial ataupun antisosial kerana remaja mampu berfikir secara lebih abstrak. Cara pemikiran ini akan menyebabkan mereka menganggap nasihat keluarga sebagai tidak sealiran dengan generasi mereka. Malah, sokongan emosi yang lebih daripada rakan sebaya akan menyebabkan mereka lebih tertarik kepada gaya hidup rakan sebaya. Hal ini menjadikan mereka ingin hidup berdikari dan enggan terlalu bergantung pada keluarga. Mereka juga akan mengalami isu identiti psikologi apabila mereka mula mencari identiti mereka sendiri. Bagi mereka, ibu bapa bukan lagi model peranan sanjungan mereka. Remaja akan cenderung mengaitkan diri mereka dengan idola kesukaan mereka sama ada penyanyi, bintang filem atau ahli sukan. Malah, mereka juga akan mula meneroka keinginan seksualiti sendiri. Perubahan psikologi ini turut mempengaruhi perlakuan yang kurang berhati-hati ataupun lebih cenderung untuk mencuba sesuatu yang berisiko seperti penyalahgunaan dadah. Perlakuan antisosial lain seperti vandalisme adalah antara hasil konflik psikologi zaman remaja yang melihat peraturan sebagai sesuatu yang menyekat dan bertentangan dengan keinginan bebas mereka (rujuk Rajah 7.3). Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
120 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Rajah 7.3: Vandalisme dalam kalangan remaja Sumber: http://tadroza.blogspot.com/2017/08/apa-itu-vandalisme-vandalisme.html Peranan yang diletakkan oleh ibu bapa, guru dan masyarakat turut mempengaruhi perubahan psikologi remaja. Ibu bapa sudah pasti mahukan anak mereka menjadi orang yang berjaya. Malah, terdapat juga ibu bapa yang mencadangkan jenis kerjaya anak mereka dari awal. Begitu juga ahli masyarakat yang mengharapkan remaja membesar untuk menggantikan mereka dalam memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Harapan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan remaja tertekan dan terdesak untuk mencari ketenangan di luar. Keadaan ini mendorong remaja terjebak dengan masalah lari dari rumah ataupun keseronokan palsu yang melampau seperti pengambilan pil khayal. SEKSUALITI SEMASA KANAK-KANAK DAN REMAJA Sekarang, mari kita membincangkan seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja. Terdapat beberapa isu yang berkaitan dengan seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja seperti pregenital dan genital, kesan daripada pengabaian menjaga kehormatan diri, dan kehamilan remaja dan risikonya. Mari kita lihat ketiga-tiga isu ini dengan lebih lanjut dalam subtopik berikutnya. 7.3 AKTIVITI 7.2 Apakah perubahan emosi yang dialami oleh remaja? Mengapakah perubahan emosi ini berlaku? Apakah kesannya jika perubahan emosi tidak ditangani dengan baik? Terangkan jawapan anda dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 121 7.3.1 Pregenital dan Genital Tahukah anda perkembangan seksualiti kanak-kanak dan remaja menjadi bahan kajian sejak dahulu lagi? Antara rujukan yang terkenal bagi perkara ini ialah perkembangan psikoseksual berdasarkan Model Sigmund Freud. Model ini membahagikan perkembangan psikoseksual kepada lima fasa seperti yang digambarkan dalam Rajah 7.4. Rajah 7.4: Fasa dalam perkembangan psikoseksual (Model Sigmund Freud) Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
122 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Namun, tidak semua fasa daripada model Freud ini ada kebenarannya kerana perkembangan seksualiti dalam sesuatu masyarakat turut dipengaruhi oleh budaya dan norma masyarakat setempat. Dalam masyarakat yang dikongkong oleh adat kesopanan, mereka mengharapkan remaja dapat menunjukkan perkembangan seksualiti mereka berdasarkan nilai budaya setempat. Kita mungkin menyedari bahawa isu seksualiti adalah tabu ataupun pantang larang dalam masyarakat walaupun pada zaman serba moden ini. Akibatnya, masyarakat kita jarang membincangkan isu seksualiti secara terbuka. Oleh sebab itu, pembelajaran seksualiti bagi remaja banyak dirujuk dan dipelajari daripada kawan ataupun sumber lain seperti Internet. 7.3.2 Kesan daripada Pengabaian Menjaga Kehormatan Diri Isu kedua bagi seksualiti semasa kanak-kanak dan remaja ialah kesan daripada pengabaian menjaga kehormatan diri. Anda tentu setuju bahawa penjagaan kehormatan diri berkait rapat dengan kesihatan menyeluruh fizikal, mental, sosial, emosi dan kerohanian. Bagaimanakah jika kehormatan diri tidak dijaga dengan baik? Apakah kesannya terhadap kesihatan kita? Masalah Human Immunodeficiency Virus (HIV)/sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS − acquired immune deficiency syndrome) ialah salah satu contoh yang berkait rapat dengan isu pengabaian menjaga kehormatan diri. Statistik HIV/AIDS dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan 80 peratus daripada mereka yang dijangkiti terdiri daripada golongan remaja sehingga belia yang berumur antara 30 hingga 39 tahun (rujuk Rajah 7.5). Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 123 Rajah 7.5: Taburan jangkitan HIV di Malaysia mengikut peringkat umur Sumber: Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit Sumber asal: Laman sosial Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 30 November 2019 Seperti yang kita sedia maklum, penyakit HIV/AIDS belum dapat diubat dan tidak ada vaksin untuk mencegahnya. Bayangkan kesannya ke atas kehidupan mangsa, keluarga mereka, sistem kesihatan negara dan negara kita secara amnya. Di negara kita, masalah kesihatan ini dikaitkan dengan penagihan dadah kerana lebih separuh mangsa jangkitan HIV terdiri daripada penagih dadah. Mengapakah hal ini berlaku? Kegagalan menjaga kehormatan diri menyebabkan mereka terjebak dengan masalah dadah dan akhirnya dijangkiti HIV. Selain itu, perlakuan seks bebas adalah antara pengabaian dalam menjaga kehormatan diri yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan sosial, terutamanya bagi golongan remaja. Perlakuan seks bebas ini bukan sahaja mendedah mereka kepada jangkitan penyakit kelamin tetapi juga risiko kehamilan remaja. Pengabaian penjagaan kehormatan diri boleh menyebabkan status kesihatan fizikal merosot. Misalnya, jangkitan HIV, penyakit kelamin atau penyakit hubungan jenis (STD − sexual trasmitted diseases) yang lain seperti sifilis. Emosi juga akan terganggu kerana perasaan aib yang terpaksa ditanggung. Ahli keluarga mangsa juga akan menanggung malu kerana kerap dipandang serong dan menjadi bahan bualan. Keadaan ini menyebabkan gangguan emosi dan mental. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
124 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Selain itu, kesejahteraan sosial juga turut terganggu apabila wujudnya rasa malu dan rendah diri apabila berdepan dengan masyarakat. Gangguan emosi dan mental ini akan menjadi lebih ketara bagi remaja perempuan yang terlibat dalam seks sebelum kahwin ataupun seks bebas yang tidak selamat. Mereka sebenarnya belum bersedia secara fizikal, mental mahupun emosi untuk menghadapi implikasi buruk yang bakal menimpa mereka. Mereka tidak memikirkan risiko jangka panjang dan sanggup mengorbankan harga diri mereka demi keseronokan dan kenikmatan yang sementara. Keadaan ini membawa kepada isu kesihatan dan sosial yang lebih buruk seperti pengguguran bayi secara haram yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi, malah struktur masyarakat akan turut terjejas. 7.3.3 Kehamilan Remaja dan Risiko Kehamilan Remaja Sebagai penutup, mari kita membincangkan satu isu yang sangat serius, iaitu kehamilan remaja dan risikonya. Pertamanya, mari kita ketahui dahulu maksud dengan kehamilan remaja. Di negara kita, kehamilan remaja adalah kehamilan dalam kalangan mereka yang di bawah usia 18 tahun. Tahukah anda bahawa kehamilan remaja juga sering dirujuk sebagai kanak-kanak yang mengandungkan kanak-kanak? Pernahkah anda mendengarnya? Banyak perbincangan dan perdebatan tentang kehamilan remaja diperkatakan dalam kalangan masyarakat dan media. Anda tentu menyedari bahawa masalah ini bukan hanya berlaku di negara kita sahaja, malah di seluruh dunia. Terdapat juga remaja yang berkahwin pada usia muda. Namun, kebanyakan kes yang berlaku adalah mereka hamil hasil daripada hubungan seks sebelum kahwin. Walaupun implikasi kesihatan fizikal sama sahaja bagi kedua-dua kumpulan ini tetapi remaja yang hamil setelah nikah mempunyai tahap emosi dan mental yang lebih baik berbanding dengan kumpulan yang hamil sebelum nikah. Anda tentu setuju, bukan? Kehamilan remaja merujuk kehamilan dalam kalangan mereka yang masih di bawah umur. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 125 Tahukah anda bahawa remaja yang hamil dan bersalin akan mengalami implikasi kesihatan yang lebih teruk berbanding orang dewasa? Hal ini demikian kerana pada usia remaja, kebanyakan organ dan sel tubuh sedang membesar dan belum cukup matang. Perubahan kepada organ yang sedang membesar seperti uterus akan mengganggu proses kematangannya. Oleh itu, remaja akan mendapat komplikasi kehamilan yang lebih tinggi berbanding orang dewasa. Mereka mungkin akan mengalami keguguran ataupun tumpah darah semasa melahirkan anak. Bagi remaja yang cuba menyembunyikan kehamilan mereka pula, kemungkinan mereka tidak akan mendapat pemakanan yang seimbang dan pemeriksaan yang sepatutnya bagi ibu hamil. Tindakan ini akan mendedahkan mereka kepada masalah darah tinggi ataupun kencing manis. Mereka juga berkemungkinan cenderung untuk menggugurkan kandungan mereka yang boleh menyebabkan kecederaan teruk kepada organ reproduktif mereka. Malah, jika jangkitan kuman berlaku ataupun mereka kehilangan banyak darah; berkemungkinan membawa maut. Dari segi mental dan emosi, sudah semestinya remaja tersebut belum bersedia untuk menempuh tempoh kehamilan yang mungkin mengundang beberapa masalah kehamilan. Sudah tentu juga mereka tidak bersedia untuk menghadapi proses kelahiran bayi kerana tiada pengalaman dan pengetahuan. Keadaan akan menjadi lebih teruk, jika pasangannya enggan bertanggungjawab. Keadaan ini juga akan menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan kemarahan ibu bapa dan cemuhan masyarakat. Selepas melahirkan bayi, mereka terpaksa menjaga bayi tersebut walaupun dalam keadaan tidak bersedia dan serba kekurangan dari aspek pengetahuan dan kemahiran. Perkara ini akan menambahkan tekanan perasaan yang menjejaskan kesihatan mental mereka. Bagi remaja yang terpaksa menyerah bayi kepada orang lain sebagai anak angkat, perasaan keibuan yang penuh kekesalan akan tetap menghantui mereka. Bagi remaja hamil yang berkahwin, mereka lebih bernasib baik kerana mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan daripada suami dan keluarga. Perkembangan sosial remaja yang hamil turut terjejas. Mereka terpaksa menanggung peranan ibu dan isteri pada usia muda. Bagi yang masih bersekolah, mereka terpaksa menghentikan pengajian. Pembelajaran formal mereka akhirnya terbengkalai pada usia remaja. Perkara yang berlaku ini akan merugikan kerana mereka seharusnya menggunakan masa remaja mereka untuk menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
126 TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL Kehidupan bersosial juga terbatas apabila memikul tanggungjawab sebagai ibu remaja. Bagi remaja yang cuba menyembunyikan kehamilan dan tidak bersedia untuk menerima kehadiran bayi mereka, kadangkala mereka sanggup bertindak di luar batasan dengan membuang ataupun membunuh bayi tersebut. Tindakan yang dibuat oleh remaja ini sudah semestinya satu masalah yang sangat berat dan serius kerana boleh membawa kepada implikasi agama, moral dan undangundang. • Imej kendiri yang positif dipelajari melalui proses sosialisasi oleh keluarga dan masyarakat. • Harga diri, konsep kendiri yang positif dan hidup berkasih sayang membantu seseorang berkembang sebagai orang yang berjaya. • Memelihara kehormatan diri berkait rapat dengan harga diri dan konsep kendiri. Remaja perlu memiliki kemahiran memelihara kehormatan diri supaya tidak mudah terpengaruh. • Harga diri dan konsep kendiri yang rendah menyebabkan seseorang cenderung untuk tidak menjaga kehormatan diri, dan mudah terdedah kepada perlakuan delinkuen juvenil dan masalah psikologi. • Delinkuen juvenil merujuk salah perlakuan yang bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang dilakukan oleh mereka yang di bawah umur. • Perubahan psikologi semasa remaja banyak mempengaruhi perlakuan remaja khasnya yang berkaitan dengan perkembangan sosial. SEMAK KENDIRI 7.1 1. Jelaskan kesan pengabaian menjaga kehormatan diri dalam kalangan remaja. 2. Apakah implikasi kesihatan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani akibat kehamilan pada usia remaja? Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 7 TINGKAH LAKU SOSIAL 127 • Kekurangan kemahiran menjaga kehormatan diri boleh menyebabkan masalah ketagihan dadah dan kehamilan remaja. • Masalah kehamilan remaja boleh membawa pelbagai implikasi kesihatan fizikal, mental, emosi, sosial dan rohani. Delinkuen juvenil Imej kendiri Kehamilan remaja Kehormatan diri Konsep kendiri Penghargaan diri Perkembangan psikologi Perkembangan psikoseksual Perkembangan seksualiti Pragenital dan genital Pembelajaran sosial Proses sosialisasi Tingkah laku remaja Branden, N. (1969). The psychology of self-esteem: A new concept of manÊs psychological nature. Los Angeles: CA: Nash. James, W. (1890). The principles of psychology. New York, NY: Holt. Malaysian AIDS Council. (2011). HIV statistics. Dicapai dari http://www.mac.org.my/v3/?page_id=792 Rogers, C. R. (1947). Some observations on the organization of personality. American Psychologist, 2(9), 358–368. Rogers, D. (1981). Adolescents and youth. New Jersey, NJ: Prentice-Hall. Zaleha Kamaruddin, & Raihanah Abdullah. (2002). Kamus istilah undang-undang keluarga Islam. Kuala Lumpur, Malaysia: Zebra Editions. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
PENGENALAN Selamat membaca Topik 8 ini bertajuk Institusi Kekeluargaan. Sebelum kita mempelajari topik baharu ini, cuba anda ingat kembali perkara yang telah anda pelajari pada topik yang lepas. Masihkah anda ingat? Topik sebelum ini menerangkan peranan keluarga dalam membentuk tingkah laku ahli keluarga sama ada prososial ataupun antisosial. Anda tentu sedia maklum bahawa keluarga ialah institusi yang tertua di dunia, manakala tugas sebagai ibu bapa pula merupakan tugas tidak bergaji yang tertua di dunia. Peranan yang dimainkan oleh institusi keluarga dan tugas keibubapaan amat besar sumbangannya dalam proses melahirkan umat manusia yang mampu berfungsi dengan baik. Proses sosialisasi anak juga bermula dalam institusi kekeluargaan. Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat: 1. Menjelaskan definisi dan konsep perkahwinan; 2. Membezakan antara perkahwinan sivil dengan perkahwinan Islam; 3. Membandingkan antara jenis keluarga; dan 4. Menjelaskan tiga aspek penting dalam mewujudkan keluarga bahagia. HASIL PEMBELAJARAN Topik 8 Institusi Kekeluargaan Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 8 INSTITUSI KEKELUARGAAN 129 Keluarga yang diterajui oleh ibu bapa akan menentukan sama ada anak akan membesar dengan personaliti yang diingini atau sebaliknya. Jika ibu bapa mendidik mereka dengan nilai murni dan kemahiran kehidupan yang positif, maka anak mereka akan menjadi insan yang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran. Perumpamaan „bapa borek anak rintik‰ ada kalanya mengingatkan kita bahawa apa-apa yang diajar akan menjadi ikutan oleh anak kita. Oleh itu, topik ini akan mengupas definisi dan konsep perkahwinan dari segi sivil dan Islam. Kemudian, daripada perkahwinan, akan terbentuklah keluarga. Kita akan mempelajari jenis keluarga berserta dengan kebaikan dan keburukan bagi setiap jenis keluarga tersebut. Akhirnya, kita akan mempelajari aspek penting dalam mewujudkan keluarga bahagia. Jadi, mari kita mulakan topik yang menarik ini. Selamat membaca! PERKAHWINAN Pada umumnya, perkahwinan merupakan episod yang paling istimewa dan penting dalam kehidupan seseorang. Perkahwinan membuka lembaran baru dalam kehidupan kerana kita akan memulakan kehidupan berkeluarga. Kita juga akan mempunyai keluarga tambahan kerana jalinan perhubungan baharu dengan ahli keluarga pasangan kita. Perkahwinan biasanya ialah peristiwa yang diisytiharkan dan diraikan dalam majlis perkahwinan. Setiap kelompok masyarakat, bangsa dan negara mempunyai caranya tersendiri dalam melangsungkan dan meraikan perkahwinan. Yang pasti, perkahwinan ialah lambang kemuncak cinta antara lelaki dan perempuan dalam ikatan yang sah dan direstui (rujuk Rajah 8.1). 8.1 AKTIVITI 8.1 Susun salasilah keluarga anda. Berapakah unit keluarga yang berkaitan dengan anda? Apakah peranan keluarga anda dalam masyarakat di tempat anda? Terangkan jawapan anda dalam forum myINSPIRE. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
130 TOPIK 8 INSTITUSI KEKELUARGAAN Rajah 8.1: Perkahwinan masyarakat Cina Sumber: https://orangkata.my/budaya/adat-perkahwinan-dan-menimang-anak-dalammasyarakat-cina/ 8.1.1 Definisi dan Konsep Perkahwinan Sekarang, mari kita mempelajari definisi dan konsep perkahwinan. Tahukah anda apakah yang dimaksudkan dengan perkahwinan? Dari segi undang-undang Islam pula, berikut adalah definisi perkahwinan. Perkahwinan ialah upacara yang membolehkan seorang lelaki dan seorang perempuan tinggal bersama ataupun bersekedudukan untuk jangka masa yang lama dan mempunyai anak. (Mimi Kamariah Majid, 1992) Perkahwinan ialah satu ikatan lahir antara dua orang, iaitu lelaki dan perempuan, untuk hidup bersama dalam sebuah rumah tangga, di samping melahirkan zuriat sebagai meneruskan kelangsungan hidup manusia menurut batas (disiplin) hak dan tanggungjawab yang telah ditetapkan oleh syarak. (Mat Saad Abd Rahman, 1993) Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 8 INSTITUSI KEKELUARGAAN 131 Perkahwinan akan membentuk keluarga baharu dalam masyarakat kerana melalui perkahwinan akan mengesahkan ayah kepada anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita. Perkahwinan juga memberi kuasa kepada suami dan isteri dalam perhubungan seksual, harta dan komitmen bersama. Selain itu, perkahwinan akan mewujudkan pertalian antara keluarga lelaki dengan perempuan. Perkahwinan perlu disahkan melalui undang-undang ataupun peraturan. Walaupun secara umumnya perkahwinan disahkan oleh peraturan perkahwinan sivil ataupun berdasarkan undang-undang agama seperti dalam masyarakat Islam, wujud juga perkahwinan yang mengikut adat. Dalam negara kita yang pelbagai kaum, perkahwinan mengambil kira adat yang telah diwarisi sesuatu kaum. Misalnya, perkahwinan mengikut adat kaum Cina ataupun kaum India. Terdapat juga pasangan yang menganggap diri mereka hidup seperti pasangan bernikah sah tetapi tidak melalui sebarang undang-undang. Ikatan hidup mereka menggunakan perkahwinan secara Common Law. 8.1.2 Perkahwinan Sivil Mari kita mempelajari maksud perkahwinan sivil. Tahukah anda perkahwinan sivil diperkenalkan oleh Chancellor Otto Von Bismarck pada tahun 1875? Perkahwinan sivil memerlukan pasangan mengisytiharkan perkahwinan mereka di depan kerani ataupun pegawai kerajaan yang bertanggungjawab mendaftar perkahwinan tersebut. Pendaftaran secara sivil ini dianggap sah dan berkesan. Sebarang isu berkaitan dengan perkahwinan sivil seperti penceraian, pembahagian harta dan penjagaan anak akan dirujuk kepada undang-undang sivil. Di Malaysia, Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 diterima pakai di negara kita untuk masyarakat bukan Islam. Segala masalah berkaitan keluarga dan perkahwinan akan dikemukakan ke mahkamah sivil mengikut akta tersebut. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
132 TOPIK 8 INSTITUSI KEKELUARGAAN 8.1.3 Perkahwinan secara Islam Perkahwinan menurut undang-undang Islam ialah suatu kontrak sivil dan suatu tindakan keagamaan (Mimi Kamariah Majid, 1992). Mat Saad Abd Rahman (1993) mengatakan bahawa para ulama memberi pengertian perkahwinan sebagai suatu akad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan muhrim dan menimbulkan hak serta kewajiban antara kedua-dua mereka. Perkahwinan dalam Islam adalah berperingkat. Terdapat tiga peringkat dalam perkahwinan masyarakat Islam, iaitu merisik ataupun meminang, bertunang dan seterusnya bernikah. Bagi sebarang isu yang berkaitan perkahwinan dan keluarga Islam akan dikendalikan oleh undang-undang keluarga Islam dan mahkamah syariah. JENIS KELUARGA Sekarang, mari kita beralih pula kepada jenis keluarga. Secara umumnya, terdapat dua jenis keluarga utama, iaitu keluarga nuklear (asas) dan keluarga sekunder seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 8.2. Rajah 8.2: Jenis keluarga di Malaysia Di negara kita, terdapat bebrapa jenis keluarga yang biasa kita dengar, iaitu nuklear, sekunder dan luas (extended). Walaupun begitu, terdapat juga keluarga poligami (polygamous). 8.2 Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 8 INSTITUSI KEKELUARGAAN 133 Sebahagian negara di dunia ini seperti di benua Arab dan Afrika mempunyai jenis keluarga sama seperti di negara kita. Namun, yang biasa di negara lain ialah keluarga nuklear dan keluarga luas. Mari kita tinjau setiap jenis keluarga dengan lebih lanjut. Teruskan membaca! 8.2.1 Keluarga Nuklear (Asas) Pertamanya, mari kita ketahui apakah maksud keluarga nuklear. Bolehkah anda berikan maksudnya? Keluarga nuklear berkembang hasil daripada pembangunan dan kemampuan pasangan menyediakan keperluan dan kemudahan asas untuk keluarga mereka tanpa bergantung pada orang tua. Kehidupan keluarga nuklear mempunyai kebaikan dan keburukannya seperti yang diterangkan dalam Jadual 8.1. Jadual 8.1: Kebaikan dan Keburukan Keluarga Nuklear Kebaikan Keburukan • Pasangan berdikari dalam menentukan gaya pengurusan rumah tangga mereka tanpa campur tangan orang lain. Mereka mempunyai privasi dan lebih terbuka dalam komunikasi ataupun perlakuan. Cara berfikir dan bertindak tanpa campur tangan ahli keluarga lain boleh membentuk keyakinan diri dan keserasian dalam penyelesaian masalah. • Dari segi ekonomi, keluarga nuklear dapat berjimat cermat dan menguruskan perbelanjaan mengikut kemampuan. Tidak timbul rasa bersalah ataupun malu, jika tidak memberi sumbangan sepertimana dalam keluarga luas. • Keluarga nuklear memupuk sifat keindividuan dan boleh menjauhkan jalinan hubungan sesama ahli keluarga. Ahli keluarga nuklear terdedah kepada tekanan emosi apabila berlaku konflik dalam keluarga. Pasangan tidak mempunyai ahli keluarga lain yang lebih dewasa untuk menjadi tempat berkongsi perasaan ataupun masalah. • Anak juga tidak ada tempat mengadu ataupun menumpang kasih, jika berlaku masalah dengan ibu bapa. • Ibu kepada keluarga nuklear yang tiada pembantu rumah terpaksa membuat kerja rumah secara bersendirian. Ibu yang baru lepas bersalin misalnya, memerlukan sokongan emosi dan fizikal untuk penjagaan selepas bersalin. Keluarga nuklear atau keluarga asas ialah keluarga yang terdiri daripada seorang suami dan seorang isteri dan anak mereka. Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)