Buku terjemahan ini dihasilkan untuk memenuhi
keperluan kursus HBT 305/4 Projek Terjemahan.
GADIS KECIL DI
ALAM BONEKA
A Little Maid in Toyland
Penulis Asal:
Adah Louise Sutton
Ilustrasi:
A. Russell
Penterjemah:
Adila Aisha binti Suib
Anlene Ahkim
Balqis binti Abdullah Wahid
Mohamad Amir Akmal bin Karim
Penyelia:
Dr. Anis Shahirah Abdul Sukur
Buku elektronik (eBook) Projek Gutenberg, A Little Maid in Toyland, oleh
Adah Louise Sutton, Ilustrasi oleh A. Russell
eBook ini untuk kegunaan sesiapa sahaja yang berada di Amerika Syarikat dan
kebanyakan negara lain di dunia tanpa sebarang kos dan hampir tiada sebarang
sekatan. Anda boleh menyalin, memberi dan menggunakan semula buku ini
di bawah terma Project Guternberg License yang termasuk dengan eBook ini
atau buku dalam talian www.guternberg.org. Jika anda tidak berada di
Amerika Syarikat, anda perlu menyemak undang-undang negara yang anda
duduki sebelum menggunakan eBook ini.
Tajuk: A Little Maid in Toyland
Penulis: Adah Louise Sutton
Tarikh dikeluarkan: 11 Mei, 2016 [eBook #52047]
Bahasa: Inggeris
Pengekodan set aksara: UTF-8
***PERMULAAN EBOOK PROJEK GUTERNBERG A LITTLE MAID
IN TOYLAND***
E-teks disediakan oleh Juliet Sutherland, Emmy, dan Online Distributed
Proofreading Team (http://www.pgdp.net)
Terjemahan oleh Adila Aisha binti Suib, Anlene Ahkim, Balqis binti Abdullah
Wahid, dan Mohamad Amir Akmal bin Karim
BAB I RUMAH BERJALAN
BAB II RUMAH YANG LENGKAP DENGAN PERABOT
BAB III PATUNG BERUANG MENGAMBIL ALIH
BAB IV BEDELIA TUMBUH EKOR
BAB V MARY DAN ANAK BIRI-BIRINYA DAN YANG LAIN-LAIN
BAB VI PINTU BELAKANG KECIL
BAB VII D. TABLET, ESQ.
BAB VIII PAPAN TANDA BERCAKAP
BAB IX KOTA KEGEMBIRAAN
BAB X SALLY DAN BEDELIA HADIR DI MAHKAMAH
BAB XI SI BODOH BERHIDUNG BURUNG
BAB XII SI PERAMAL CUACA
BAB XIII KEHILANGAN YANG MISTERI
BAB XIV GERHANA
BAB XV SALLY MENEMUI HUTAN YANG AJAIB
BAB I
RUMAH BERJALAN
RUMAH boneka itu berdiri di sudut yang paling sesuai
dalam bilik kanak-kanak itu. Rumah itu akhirnya
menemukan tempat berehat, setelah mengharungi
pelbagai rintangan dan cabaran. Sally, tidak dapat membuat
keputusan tentang kedudukan yang terbaik untuk rumah itu. Jadi,
rumah itu telah mengembara dengan sabar, atau dalam kata lain,
telah digerakkan ke sana ke mari dengan gabungan tenaga Bob dan
Sally. Seorang menolak dan seorang lagi menarik. Seorang
menyeret, seorang lagi menyorong. Dari sudut ke sudut, dan dari
sisi ke sisi bilik yang luas itu. Tiada perabot yang terkecuali
daripada dialih untuk memberi laluan kepada rumah boneka itu.
Semua perabot itu kemudian dikembalikan semula ke tempat asal
dengan rapi apabila bangunan itu kembali menyambung
pengembaraannya. Rumah itu tidak pernah kekal di satu tempat
selama lebih daripada 24 jam. Hal ini mendatangkan kegusaran dan
kegelisahan kepada para penghuninya yang telah berulang kali
digoncang di kerusi mereka dan terjatuh daripada katil setiap kali
kediaman mereka itu memulakan penghijrahan yang baru. Mereka
membuat keputusan untuk menamakan rumah itu sebagai Rumah
Berjalan, nama yang sememangnya sesuai untuk menerangkan
keadaannya sekarang.
Akhirnya, apabila Rumah Berjalan itu telah mengembara di
sekeliling bilik, Sally membuat keputusan bahawa tempat yang
paling sesuai untuk rumah itu ialah tempat yang paling awal
didudukinya. Sebuah sudut yang terang di bawah cahaya matahari,
di antara dua tingkap, yang disuluh pada waktu malam oleh empat
buah lampu mentol. Semestinya, almari yang pada asalnya
menduduki tempat yang paling sesuai ini, telah merajuk kerana
haknya telah dinafikan, dan dengan sengaja telah mematahkan
salah satu daripada kakinya semasa dialihkan ke sudut lain di
dalam bilik itu. Namun begitu, tiada sesiapa pun yang kisah tentang
perkara ini, memandangkan tiada perkara di dunia ini yang lebih
mudah untuk John, seorang yang mahir dalam segala perkara,
untuk memasang semula kaki yang lain pada almari itu.
Seorang lelaki hebat bernama Ruskin pernah berkata ‘Seni bina
ibarat muzik yang beku’. Seni bina Rumah Berjalan ini
sememangnya tidak melambangkan muzik sama sekali. Saya tidak
ragu-ragu bahawa orang yang mengagumi seni bina Yunani akan
mengangkat kedua belah tangan mereka dalam kekecewaan
apabila seseorang menyebut tentang seni bina dan Rumah Berjalan
ini dalam satu nafas yang sama. Sebenarnya, bangunan ini telah
direka bentuk oleh Sally sendiri, dan telah diperincikan oleh tangan
cekap John daripada sejumlah kotak bersaiz sederhana besar yang
diperoleh daripada penjual kedai runcit. Kotak-kotak itu menjadi
semakin kecil apabila rumah itu menjadi semakin tinggi dan
binaannya terhenti di sebuah bumbung yang tajam. Di bawahnya,
terletak ruang lapang yang telah dirancang dan disempurnakan oleh
Sally untuk dijadikan sebagai sebuah loteng untuk boneka-boneka
kesayangannya. Loteng itu akan menjadi lebih cantik daripada
mana-mana loteng lain milik pembantu-pembantu rumah yang
sudah dewasa.
Bilik-bilik yang lain telah ditampal oleh jemari lincah Sally
dengan kertas yang dihiasi corak kecil yang kemas yang diperoleh
daripada Encik Brouse, seorang lelaki budiman yang mempunyai
sebelah kaki kayu yang tinggal ‘selang tiga blok dan di hujung
jalan, naik satu tingkat’ jauhnya, menurut keterangan yang biasa
diberikan oleh Encik Brouse sendiri. Walaupun dia sememangnya
tinggal setinggi satu tingkat untuk makan dan tidur, kedai miliknya
sebenarnya hanyalah setinggi satu anak tangga. Kedai yang paling
mempesonakan, yang membolehkan mereka yang mempunyai idea
misteri, memperoleh gulungan kertas dinding yang sangat
menawan, yang semestinya dicipta dan direka khusus untuk
menghias rumah boneka.
Encik Brouse mengatakan bahawa dirinya ialah seorang bekas
askar, dan memang betul, dia digelar sebagai ‘Kapten’ oleh teman-
teman rapatnya. Dia telah kehilangan kakinya dalam sebuah
pertempuran misteri yang namanya tidak pernah dijumpai oleh
Sally dalam mana-mana sejarah tentang Amerika Syarikat yang
telah dibaca olehnya dengan sabar dalam usaha kerasnya untuk
mencari maklumat tentang pertempuran itu. Namun begitu, Sally
mempunyai kepercayaan yang tidak terbatas terhadap Encik
Brouse, yang dianggap oleh Sally sebagai heronya. Penghormatan
yang diberikan oleh Sally itu telah dikembalikan oleh ‘Kapten’
pencen itu, yang dengan tangannya sendiri—yang pernah
mengacukan pedang, seperti yang telah dikatakan oleh Bob dengan
serius—telah mengangkat baldi besar yang dipenuhi gam ke bilik
kanak-kanak itu dan membantu memasang kertas dinding, serta
mengemas dan menyiapkan beberapa sudut yang sukar. Dia turut
memaku cetak-cetak kecil yang diperbuat daripada kepingan jalur
tipis yang membentuk sepuhan bingkai yang halus. Hasil kerjanya
ialah sebuah karya agung seni dan sangat dihargai oleh Sally yang
kembali dengan tersipu malu di celah-celah kusyen pin yang
gemuk dan pengelap pen yang bertebaran, dan juga sebuah tempat
letak jarum sutera yang indah, yang reka bentuk misterinya
menyebabkannya sukar untuk dibuka kerana tali dan butangnya
yang bergoyang-goyang, yang apabila telah diikat tidak boleh
dipujuk untuk dibuka lagi. Di belakang ikatan itu, terletak jarum
yang duduk dengan selesa dan menunggu masa untuk menjadi
berkarat.
Tidak cukup dengan menampal kertas dinding di bilik-bilik itu,
apabila tiba masa untuk menyiapkan loteng, tanpa sebab yang jelas,
Sally dengan tenang tetapi tegas mengumumkan bahawa loteng itu
mesti diplaster. Lalu, loteng itu pun diplaster. Namun begitu,
semuanya dilakukan tanpa bantuan Encik Brouse, yang
menyatakan bahawa pembinaan ini telah berkembang menjadi
perkara yang terlalu rumit untuknya. Dia dengan sopan meminta
diri, dan terlupa akan baldi gam miliknya, yang kini telah
menyebabkan seorang pengasuh terjatuh, lalu merosakkan sarung
tangan terbaik milik pengasuh itu yang telah dipakai olehnya untuk
kelihatan anggun semasa temu janji tengah harinya. Hal ini tidak
mematahkan semangat Sally yang terus pergi ke bilik bawah tanah
dan membawa keluar John yang sedang tidur siang di ruang rehat
selesa yang telah dibuat olehnya sendiri di dalam bilik itu. John
sememangnya berbeza dengan kebanyakan orang yang selalunya
akan marah apabila dikejutkan. Dia bangun sambil tersenyum dan
tanpa banyak soal bersetuju untuk menggalas tugas memplaster
loteng Rumah Berjalan itu. Dalam masa yang sangat singkat
daripada yang Sally jangkakan, semua kerja itu selesai dan bilik
kecil yang berbumbung tajam itu kelihatan seperti loteng yang
sebenar.
‘Kapten’ sedang membantu untuk memasang kertas
dinding.
Rumah itu, seperti yang telah digambarkan sebelum ini, telah
dibina daripada kotak-kotak bersaiz sederhana besar dan dicantum
bersama dengan kemas menggunakan sesiku halus untuk
menyembunyikan sambungannya. Keseluruhan rumah itu dicat
dengan warna kelabu lembut dan hanya cerun bumbungnya
berwarna hijau lumut. John telah menutup bumbung ini dengan
genting-genting kecil dan menjadikan rumah itu sangat menarik
secara keseluruhannya. Bumbung itu telah dibahagikan di tengah
dengan ruang yang luas, dan di belakangnya terdapat tangga yang
lebar. John sebenarnya agak keberatan untuk membina tangga itu
kerana dia menjangkakan bahawa pembinaannya akan menjadi
perkara yang menyusahkan. Namun, Sally dengan tegasnya
berkeras tentang bagaimana bonekanya ingin turun daripada
tingkat atas ke bawah tanpa tangga? Dia akan terpaksa
menghumban dirinya keluar daripada tingkap hadapan, yang
digelar oleh Sally sebagai perjalanan yang sangat berbahaya untuk
anggota badan yang diperbuat daripada porselin kerana
keseluruhan bahagian hadapan rumah itu terletak di ruang luas
yang terbuka. Sally sebenarnya masih lagi seorang kanak-kanak
kecil, walaupun dia mempunyai imaginasi yang hebat. Namun, dia
sememangnya telah dididik lebih daripada umurnya apabila dia
bertegas tentang tangga itu. John, seperti biasa, mengalah dan
tangga itu bertukar menjadi realiti.
Tingkat bawah Rumah Berjalan itu terdiri daripada sebuah ruang
makan yang luas di satu bahagian, dan sebuah dapur dan dobi pada
bahagian yang lain. Di tingkat seterusnya, terdapat bilik melukis,
perpustakaan dan bilik muzik. Di tingkat ketiga, terdapat tiga bilik
tidur dan sebuah bilik mandi, dan di atas semua itulah terletaknya
loteng.
Di satu bahagian rumah itu, sepanjang bahagian hadapan tingkat
bawah, John telah membina sebuah anjung yang membolehkan
mana-mana boneka menikmati kedinginan dan keselesaan pada
hari yang panas. Sementara dari bawah hingga ke atas satu
bahagian yang lain, terdapat sebuah tangga kecemasan yang
berakhir di sebalik cerun bumbung.
Bob, yang tiba-tiba berminat dengan elektrik, telah memasang
wayar di seluruh rumah itu dan menyambungkannya dengan
sebuah lampu candelier elektrik yang tergantung di atasnya, supaya
setiap bilik cerah, diterangi dengan cahaya elektrik. Sebuah loceng
elektrik juga dipasang di pintu hadapan untuk memberi makluman
jika ada boneka yang peramah ingin bertandang untuk minum
petang.
Satu perkara yang Sally kesalkan tentang rumah itu ialah
ketiadaan bilik bawah tanah. Kanak-kanak itu telah mengimpikan
sebuah relau kecil dan sebuah rak buah yang dipenuhi dengan
balang-balang berisi jem dan jeli yang diletakkan di atas sebuah
alat pemanas elektrik yang kecil. Namun begitu, alat pemanas itu
tidak akan dapat dilaksanakan sama sekali. John telah
mengisytiharkan bahawa tidak mungkin mereka dapat menggali
lantai bilik itu untuk membina bilik bawah tanah, dan pengasuhnya
telah menyatakan bahawa, tiada sesiapa pun yang boleh
menjumpai balang yang cukup kecil untuk diletakkan di situ. Oleh
itu, sambil mengeluh, Sally pun berputus asa dengan projek itu. Dia
sememangnya mempunyai idea yang sangat-sangat realistik.
Salah satu daripada projek kegemarannya, yang telah dikongsi
bersama cikgunya, Cik Palmer, adalah untuk membina sebuah
rumah berputar. Rumah yang boleh “dipusing-pusingkan” seperti
yang telah dinyatakan oleh Sally, memandangkan dia seorang
kanak-kanak yang masih tidak tahu apa-apa tentang paksi. Idea
yang telah dibayangkan olehnya ini bukan sahaja untuk rumah
boneka, tetapi untuk kediaman sebenar.
“Kita boleh dapatkan cahaya matahari di mana-mana sahaja
yang kita inginkan, -” terangnya. “-dan alangkah bagusnya kalau
cahaya matahari itu sentiasa berada di bahagian bilik ini, bukan?”
Cik Palmer teragak-agak seketika sebelum menjawab.
Sememangnya teori-teori Sally sering menyebabkan dia teragak-
agak. Walau bagaimanapun, dia akhirnya menerangkan bahawa
idea itu agak mustahil kerana semua bangunan, tanpa mengira saiz,
memerlukan asas yang kukuh. Dia kemudiannya terus
menerangkan tentang cara paksi berfungsi, memandangkan
peluang untuk bercerita tentang perkara itu telah ada di depan mata.
“Lagipun,” dia menyimpulkan, “bukankah sangat
mementingkan diri jika kita menghalakan semua cahaya matahari
di bahagian kita sahaja pada setiap masa? Bagaimana pula dengan
Nenek dan Bob?”
Sally senyap seketika untuk berfikir.
“Saya tidak bermaksud untuk mementingkan diri,” dia berbisik
sambil meletakkan pipi merahnya ke bahu gurunya itu.
“Cikgu pasti kamu tidak bermaksud begitu, sayang,” balas Cik
Palmer.
Dengan itu, tiadalah mana-mana jurubina, mahupun John, akan
pernah diminta untuk melakar pelan untuk sebuah rumah yang
mungkin berputar di atas sebuah paksi.
_____________________________________________________
BAB II
RUMAH YANG LENGKAP DENGAN
PERABOT
PROSES meletakkan perabot ke dalam rumah boneka itu
ialah pengalaman yang sangat menyeronokkan untuk
Sally, dan keriangannya itu telah merebak kepada semua
ahli lain di rumahnya, termasuklah Papa Doktor yang sering
muncul daripada kereta kudanya dengan tangan yang dipenuhi
bungkusan-bungkusan misteri yang berbonggol-bonggol.
Mama Wee, gelaran manja Sally untuk Puan North, telah
meninggalkan perjumpaan minum petang dan permainan kadnya
untuk menghabiskan masa berjam-jam setiap hari, duduk bersila
sambil menyusun atur bilik-bilik kecil yang mempesonakan itu,
membentang permaidani-permaidani kecil, dan memasang langsir-
langsir mini yang beropol. Kesemua tingkap di rumah itu ialah
tingkap yang sebenar, dengan cermin kaca yang dimuatkan ke
dalam daun tingkap kecil, bidai putih yang boleh dibuka di
bahagian tengah, dan boleh ditutup kemas dengan selak pada waktu
malam. Sally, seperti yang dikatakan oleh Bob, seseorang yang
“sering memikirkan perkara lain,” sudah pun memenuhi mindanya
sendiri dengan keperluan untuk memasang kelambu bagi
menghalau lalat-lalat dan nyamuk-nyamuk khayalannya.
“Bayangkan betapa besarnya seekor lalat sebenar di mata
boneka-boneka ini!” Sally berkata sendirian semasa dia, dengan
teliti merenung tentang persoalan yang penting ini.
Dia teragak-agak untuk bertanya kepada John jika dia sudi
mengambil tugas ini kerana sudah banyak yang telah dibuat oleh
John. “Rewel”. Pasti dia akan berkata begitu. Jadi, selepas
pertimbangan yang lebih matang, Sally menyimpulkan untuk
melupakan dahulu perkara ini. Setidak-tidaknya, buat masa
sekarang.
“Apa gunanya memasang kelambu di bahagian belakang dan
tepi sedangkan bahagian depan ini terbuka luas?” seru Bob apabila
Sally menimbulkan subjek tersebut kepadanya.
“Oh, tapi kita sedang bayangkan yang bahagian depannya sama
seperti rumah yang lain!” jawab Sally dengan sedikit semangat.
“Kalau begitu, bayangkan sahaja lalat-lalat itu tidak boleh
masuk,” balas Bob. Dengan ini, perkara tersebut selesai.
Walaupun turutannya agak aneh, loteng ialah bilik pertama yang
mula disusun atur oleh Sally. Sememangnya loteng itu ialah tempat
yang paling nyaman, dengan siling yang berkasau dan dinding
yang diplaster kemas. Dengan bayangan yang dianggap sebagai
loteng yang sempurna di dalam fikirannya, kanak-kanak itu mula
membariskan beberapa peti milik boneka, sebuah pemintal kecil,
dan dua atau tiga kerusi kayu serta salah satu daripada lambakan
kereta sorong yang telah diberikan sebagai hadiah untuk rumah
boneka yang suci itu. Dengan adanya sebuah pemintal dan kereta
sorong, kawasan itu kini kelihatan seperti loteng yang “betul”,
seperti yang digelar oleh Sally.
Di siling, kanak-kanak itu telah menggantung beberapa jambak
kecil herba yang berbau wangi yang telah diserahkan oleh tukang
masak. Sebenarnya, tiada perkara sedemikian dilakukan di loteng
bandar, tetapi mereka ada melakukannya di loteng yang terletak di
ladang-ladang. Sally tiba-tiba teringat bahawa loteng di ladang
juga mempunyai labah-labah dan sarangnya. Memikirkan tentang
labah-labah sahaja sudah cukup untuk membuat Sally meremang,
tetapi dia tertanya-tanya adakah patut untuk melukis beberapa
sarang labah-labah. Dia membuat kesimpulan sendiri untuk
meminta Cik Palmer, guru kesayangannya, melukis beberapa
labah-labah dengan cat air. Satu rencana yang dengan sudi disertai
oleh Cik Palmer. Dia menambah sendiri seekor labah-labah besar
berwarna kuning yang rupanya kelihatan sangat realistik sehingga
Sally menjerit semasa dia melihatnya untuk pertama kali. Bob terus
mencadangkan untuk turut menambah beberapa ekor tikus. Namun
begitu, tikus, telah diisytiharkan oleh Cik Palmer, adalah di luar
kemampuan berkaryanya. Tikus itu perlu kelihatan seperti
makhluk kecil sebenar yang pejal dan tidak boleh hanya dilukis rata
di dinding. Setelah mendengar perkara ini, Bob bersetuju, dan
dengan kesal menambah bahawa jika tikus itu hanya dilukis di
dinding, pasti tikus itu tidak dapat turun ke bawah pada waktu
malam untuk menggigit boneka-boneka di situ. Bob
menyimpulkan kenyataannya dengan mengajuk wajah tikus yang
merayau-rayau sehingga Sally lari ketakutan. Cik Palmer tidak
dapat menahan senyum dan terpaksa meminta Bob supaya berhenti
menakutkan adiknya.
Pastinya, terjunan yang agak tinggi perlu dilakukan untuk
bergerak dari loteng ke dapur jika tiadanya tangga di rumah itu.
Namun, dapur tetap menjadi agenda yang seterusnya, dan semua
angkatan menyusun perabot menuju ke sana. Tidak pernah lagi
sebuah dapur baru dibekalkan dengan dapur masak, cerek, kuali
leper dan periuk sebanyak ini, apatah lagi dapur masak.
Kelihatannya seperti semua orang yang tidak menghantar kereta
sorong telah sebaliknya memilih dapur masak. Semua jenis
kecuali yang jenis elektrik, seperti yang telah direnungkan oleh
Sally dengan sedih. Namun, Cik Palmer telah memujuknya dengan
mengatakan bahawa rasanya tiada dapur elektrik yang cukup kecil
untuk rumah itu. Jadi, kini Sally sudah cukup berpuas hati melihat
aturan kuali panci yang mengagumkan, yang di atasnya disusun
deretan periuk dan cerek yang cukup untuk menyediakan makan
malam untuk boneka yang paling istimewa, sekalipun dalam saiz
yang kecil.
Bertentangan dengan dapur masak, berdiri sebuah almari yang
diisi dengan deretan piring porselin dan kaca yang paling istimewa.
Sally telah menyimpan piring yang terbaik untuk almari porselin di
ruang makan, tetapi pameran di dapur itu juga cukup bagus. Begitu
juga dengan barangan kayu dan timah yang digantung pada
cangkuk-cangkuk dan dipamerkan di rak-rak di sekeliling dinding.
Namun, barang yang paling istimewa di hati Sally, yang paling
lama diperhatikan olehnya dengan hati yang girang, ialah sebuah
peti sejuk mini, yang kelihatan hampir sama dengan peti ais
sebenar di bawah. Disaputi dengan kaca baiduri, rak-rak sarat
dipenuhi dengan bermacam-macam jenis makanan lazat yang
dijangka akan menggembirakan para boneka. Ruang atas diisi
dengan ketulan gelas bulat sebagai ais. Sally terpesona melihat
perabot yang sangat menggembirakan hatinya ini, yang akhirnya
diletakkan di tempat yang paling memuaskan hatinya.
Bertentangan dengan peti ais ini, terdapat sebuah almari comel
bersudut tiga yang kecil, mengandungi koleksi penyapu dan mop,
serta penyapu permaidani kecil yang berus-berus berputar kecilnya
boleh membersihkan sebarang bulu halus dan benang yang
bertaburan.
Pastinya, tiada dapur lain yang dibekalkan dengan lebih
sempurna dengan limpahan semua barang keperluan, daripada tikar
getah kuning yang berkilauan di lantai sehingga ke meja dan kerusi
biru yang indah, hadiah daripada pengasuh, yang menurutnya,
serupa seperti yang digunakan di kampungnya. Seluruh kawasan
yang gemilang itu diduduki oleh boneka tukang masak kaku yang
lengkap dengan topi chef dan apron, dan sayangnya, dia tidak akan
dapat duduk di kerusi-kerusi biru yang cantik itu kerana dia
tergolong dalam jenis boneka yang tidak boleh dibengkokkan di
bahagian tengah.
Di bahagian luar dapur, terdapat bilik dobi, yang dilengkapi
perabot yang agak sempurna, dengan peralatan membasuh baju
menarik yang telah dijumpai oleh Mama Wee di salah sebuah pusat
membeli-belah besar. Kesemuanya hampir lengkap dan seluruh
keluarga itu dengan kagum menilik dandang tembaga bersinar
yang menghiasi alat pemanas yang rapi, seterika bergemerlapan
dan pin baju yang sangat-sangat kecil. Susun atur untuk
memanaskan seterika, sebuah alat pemanas yang bersudut tajam
berwarna hitam di sebelah bahagian yang diletakkan seterika,
menggembirakan hati semua orang. Sarah, si tukang cuci, merayu
untuk meminjamnya, menyatakan bahawa dia tidak pernah melihat
pemanas seterika sebenar yang setanding dengannya.
Gurauan ini sangat menggembirakan Sally, dan dia menjemput
Sarah untuk menggunakan dobi itu untuk membasuh baju keluarga
di rumah itu pada bila-bila masa sahaja yang dia inginkan. Sarah
beredar sambil ketawa dan mengumumkan bahawa dia “tidak
pernah melihat perkara yang setanding dengannya, sebelum mahu
pun semenjak”. “Sebelum mahupun semenjak” merupakan kata-
kata kegemaran Sarah, yang maksudnya tidak pernah difahami
oleh Sally ataupun orang lain. “Selama-lamanya” adalah satu lagi
kata-kata yang gadis kecil itu renungkan dengan mendalam. Dia
takut untuk bertanya tentangnya, risau jika dia akan mengguris
perasaan sesiapa, kerana Mama Wee telah mendidik anak
perempuannya itu supaya sentiasa menjaga hati semua pekerja di
rumah itu. Oleh itu, Sally tertanya-tanya dalam diam, dan misteri
itu tidak pernah diselesaikan, setahu saya, hingga ke akhir bab ini.
Dengan semula jadi, ruang makan tiba di giliran yang
seterusnya, sebuah bilik yang sangat megah dan luas, dilengkapi
dengan lantai dan panel yang digilap supaya kelihatan seperti kayu
keras, sementara di atas panel itu terbentang kertas dinding indah
yang bercorak merah terang. Silingnya dikasa, bertatahkan lampu
mentol elektrik kecil. Sebuah tingkap unjur lengkung memenuhi
satu sudut di hujung. Sejujurnya, bilik itu, tanpa ragu-ragu, sangat
menawan hati.
Sebuah almari pinggan mangkuk yang tinggi mengandungi
semua gelas dan piring porselin, sementara sebuah lagi gerobok
dengan corak terkini dipenuhi dengan barangan perak mewah dari
Jerman. Kesemuanya dengan corak yang paling baru dan terkini.
Meja bulat, kerusi dengan ukiran halus, dan hamparan cantik
daripada Parsi yang telah dikait oleh Nenek daripada juraian
permaidani, dengan benang kait yang tebal, telah mencipta
pemandangan yang tidak mudah untuk ditandingi dalam sejarah
rumah-rumah boneka.
Tingkap unjur lengkung itu sudah cukup indah dengan
sendirinya. Di sekelilingnya, tersusun tempat duduk luas yang
ditimbuni Sally dengan kusyen sutera kecil, dan langsir muslin
beropol meneduhi tingkap kacanya. Sepasang burung kenari
digantung tinggi di dalam sangkar yang bersepuh. Gabungan
keseluruhannya amat menakjubkan, dan ahli keluarga yang sedang
berkumpul itu dalam diam berbangga dengan hasilnya dan sama-
sama mencemburui boneka-boneka yang boleh menikmati ruang
makan yang diidamkan ramai itu.
_____________________________________________________
BAB III
PATUNG BERUANG MENGAMBIL ALIH
PATUNG-PATUNG beruang, seperti yang dijangkakan,
turut berminat dengan pemasangan perabot dan susun
atur rumah boneka itu sama seperti keluarga itu sendiri.
Mereka hampir tidak boleh tidur memikirkan dan bercakap tentang
perkara tersebut, dan Peter Pan sendiri, dengan bangganya telah
membawa sebuah hadiah. Bukan emas, setanggi, atau mur, tetapi
sesuatu yang lebih sesuai, iaitu sebuah peti surat kecil, seperti yang
selalu dipadankan bersebelahan pondok telefon. Peti surat itu telah
ditawan dalam salah satu serbuan malamnya, semasa dia dan
Bedelia sedang menggeledah sebuah kedai mainan berdekatan, dia
mengangkat pergi peti surat itu sebagai bahagian rampasannya.
Sementara Bedelia, dengan girang mengambil sebuah stesen kerja
kecil yang boleh dilipat tutup seperti kerusi berkelah dan
disandarkan di dinding jika mereka inginkan, bersama pelapik
sutera kuning yang indah.
Sebagai pembelaan untuk beruang-beruang itu, harus dinyatakan
oleh mereka bahawa mereka, dalam kes ini, tidak memecah masuk
dan mencuri, kerana Peter Pan telah meninggalkan di atas kaunter,
sekeping duit, yang telah digoncang keluar daripada bank kecil
miliknya – bank yang paling cantik dalam bentuk tabung tembikar
khinzir yang bercapuk, yang telah diberikan Sally kepadanya tanpa
sebarang pengetahuan yang dia akan menggunakannya untuk
tujuan ini. Namun, penyerahan hak milik itu serta-merta
menjadikan patung beruang itu seorang bakhil yang sejati. Dia
telah mengumpul wang seperti seekor murai dan menawan setiap
dompet yang boleh disentuh oleh tangannya yang licik. Dia, walau
bagaimanapun, terlalu kecil untuk mengambil sebarang wang
kecuali syiling-syiling kecil, yang tiada sesiapa perasan akan
kehilangannya. Patung-patung beruang sememangnya tidak
mempunyai pengetahuan yang cukup tentang nilai wang. Jadi,
apabila Peter Pan dengan bangganya meninggalkan syiling lima
sen di atas kaunter, dia menganggap dia telah membayar jumlah
yang cukup untuk barangan yang telah dipilih untuk dirinya dan
isterinya. Kepingan syiling itu kemudiannya dijumpai oleh penjaga
kedai, yang tidak perasan akan kehilangan barang-barang kecil
yang telah memikat hati patung-patung beruang itu, dan
menganggap dia telah mendapat wang lima sen secara percuma,
dan “Sebagaimana yang difikirkan oleh orang itu, seperti itulah
realiti untuknya.”
Mendapatkan duit daripada perut khinzir itu telah menjadi satu
tugas yang memenatkan. Jika bukan kerana hasil akhir yang
dibayangkannya, patung beruang itu sudah lama akan berputus asa
dalam kekecewaan. Menjatuhkan sekeping syiling lima sen ke
dalam lubang kecil di bahagian belakang makhluk itu, dan
kemudian mendengar bunyi dentingan merdu yang kedengaran
apabila syiling itu masuk ke dalam ruang yang bergema itu
merupakan satu perkara, tetapi untuk memancingnya keluar
melalui lubang kecil yang sama adalah satu perkara yang lain.
Sesiapa yang pernah mencuba uji kaji ini pasti akan menghargai
masa 15 minit yang berjalan perlahan semasa patung beruang itu,
berpeluh daripada setiap porinya, bertungkus-lumus dengan
khinzir kaca yang paling kedekut itu.
Mulanya, mereka cuba memancing keluar syiling itu dengan
menggunakan, secara berturutan, sepit rambut yang telah
ditegakkan dan hujungnya dibentukkan menjadi cangkuk,
penyangkuk butang, sepasang gunting rias kuku yang cubaannya
telah merosakkan bahagian bengkok hujungnya, sebatang jarum
kait, dan sepit topi terbaik milik pengasuh. Namun, tiada satu pun
yang berjaya. Khinzir itu, seperti moyangnya dalam kisah lain,
yang tidak akan melompat melalui tangga pagar, tidak akan
menyerahkan syiling yang didambakan itu. Akhirnya, Bedelia
telah mencengkam kepala khinzir itu dan menggoncangnya dengan
laju, betul-betul seperti yang biasa dikatakan, seperti seekor anjing
terrier mengoncang tikus. Namun, masih tiada syiling! Sejujurnya,
mereka boleh sahaja memecahkan tabung khinzir itu. Namun,
walaupun dengan kedegilannya, khinzir itu masih merupakan
khazanah utama patung beruang itu, dan Peter Pan menyukai
permukaan bercapuknya dan mengagumi hidung anehnya dan
telinganya yang sangat tidak menyerupai telinga khinzir. Dia tidak
sampai hati untuk mengorbankan barang yang sangat dihargainya,
walaupun demi kasih sayangnya terhadap Sally.
Selepas beberapa ketika, beruang-beruang itu menghentikan
usaha mereka dan mengadakan mesyuarat pertempuran. Peter Pan
sudah hampir hilang kesabarannya apabila matanya tiba-tiba
terlihat sesuatu yang membuatnya berteriak kegirangan semasa
menerawang dengan terdesak untuk mencari senjata yang baru.
Barang itu tidak lain, tidak bukan, ialah sekeping gula-gula getah.
Patung beruang itu tahu segala-galanya tentang gula-gula getah.
Dia pernah sekali mencuba untuk mengunyah sekeping gula-gula
getah dan telah terpaksa merayu pertolongan Sally, kerana
rahangnya telah melekat rapat. Sally telah membantu membukanya
sambil tertawa, dan telah menasihatinya supaya tidak menggigit
lebih daripada yang mampu dikunyahnya pada masa hadapan.
Peter Pan tidak berniat untuk menggigit apa-apa dalam kes ini.
Dia meletakkan hujung gula-gula getah itu di dalam mulutnya dan
mengunyahnya sehingga rahangnya lenguh, dan kemudian
menghulurnya kepada Bedelia, yang mengulangi perbuatan itu.
Dalam sekelip mata, hujung gula-gula getah itu menjadi cukup
melekit untuk menandingi pelekat lalat. Peter Pan kini kembali ke
bank, iaitu khinzir yang sudah ditelentangkan supaya syiling di
dalamnya jatuh ke arah lubangnya. Dia kemudian, dengan berhati-
hati memasukkan hujung gula-gula getah yang telah dikunyah itu,
menggunakan bahagian yang tidak dikunyah sebagai pemegang
yang digunakannya untuk dihalakan ke dalam bukaan itu, dan
dengan jayanya mengeluarkannya bersama dua syiling sepuluh sen
and satu syiling lima sen yang melekat pada gula-gula itu.
Kejayaan helah itu diraikan secara besar-besaran, dan Peter Pan,
yang menjangkakan bahawa syiling lima sen itu lebih bernilai
kerana saiznya yang lebih besar daripada syiling sepuluh sen, telah
mengasingkannya dan memulangkan semula syiling yang lain
kepada bank itu. Selepas itu, dia menerangkan semua kejadian itu
kepada Sally, yang sememangnya sangat senang mendengarnya,
kerana dia pada awalnya meragui asal-usul peti suratnya yang
cantik itu.
Sepanjang kerja-kerja meletakkan perabot dan menyusun atur
berjalan dengan meriah, Sally menghela nafas gembira, merenung
kerja yang sedang dilakukannya dan mendapati hasilnya sangat-
sangat bagus.
Bilik melukis dianggap oleh Sally sebagai tarikan yang paling
utama. Sepenuhnya dihiasi dengan baldu merah, beserta
permaidani merah indah dan langsir berenda di tingkap, yang di
atasnya tergantung tabir sutera merah. Sebuah cermin pier tinggi
berdiri di antara tingkap, dan di atas rak perapian, terdapat sebuah
jam bersadur di dalam bekas kaca, dan dua kaki lilin yang
memegang lilin yang sebenar. Di bahagian bawah, di dalam besi
pengadang, kerajang timah merah tua yang menyala bak api
bersinar dengan terang, memandangkan kerajang timah ialah bahan
bakar yang diterima semua untuk besi pengadang di rumah-rumah
boneka.
Meja tengah yang indah, bertatahkan marmar, memenuhi ruang
di tengah bilik itu. Kerusi-kerusinya mewah, dan Sally hanya
mampu bermimpi yang saiz badannya cukup kecil untuk bersantai
di atas satu daripada kerusi itu.
Bertentangan dengan bilik melukis ialah bilik muzik yang
semuanya dilengkapi perabot satin biru, dan mengandungi dua
piano, satu grand dan satu tegak. Pasu-pasu pokok jenis kertas
tumbuh mekar di bahagian tingkap dan sebuah biola kecil di dalam
peti yang digilap terbaring di atas kabinet alat muzik.
Sally telah menetapkan bahawa kawasan ini akan menjadi ruang
tamu dan bilik muzik sekaligus, dan akhirnya menambah sebuah
buaian laman yang tergantung bersama bingkai yang akan berayun
indah apabila ada boneka yang duduk di atasnya; sepasang burung
kakak tua di dalam sangkar bersepuh; dan stesen kerja Bedelia.
Hasilnya menjadi agak aneh, terutama apabila digabungkan dengan
kerusi dan sofa satin berwarna biru, dan Bob menyatakan,
walaupun tiada sesiapa bertanya, bahawa apabila burung kakak tua
itu mula berleter, tiada sesiapa yang akan dapat mendengar alunan
biola mahupun piano. Namun, memandangkan hati Sally yang
perlu dipuaskan, tiada sesiapa yang mengambil berat tentang
pendapatnya itu.
Dengan kesal, Sally beralih daripada bilik muzik kecil yang
cerah itu, dan kini sedang asyik dengan perpustakaan pula. Ini ialah
bilik idaman ramai, seperti yang dikatakan oleh Sally – sebuah bilik
yang dilengkapi perabot hijau, dengan kerusi-kerusi rehat dan meja
belajar di satu sudut. Di sekeliling dindingnya berbaris rak-rak
yang penuh dengan buku-buku kecil, dan telefon kecil tergantung
di satu sudut dinding, berdekatan dengan meja. Pada hujung bilik
itu, terdapat pendiangan api besar, di atasnya terletak rak perapian
yang tinggi, dan sebuah jam datuk yang berdetak, secara metafora,
di satu sudut.
Sally menginginkan agar perpustakaannya menjadi tempat yang
“tenteram”, dan untuk mencapai perkara itu, dia telah merancang
skema warna perabot dalam skala yang agak gelap. Namun, dia
dengan luar biasa, berjaya melaksanakan rekaannya, yang hasilnya
hanya boleh dicapai oleh sebilangan orang dewasa. Tiada tempat
rehat lain yang lebih mempesonakan untuk para boneka melarikan
diri daripada kekacau-bilauan di luar selain daripada bilik yang
malap dan redup ini, dengan kerusi-kerusi rehat dan meja teh yang
diletakkan bersebelahan dengan pendiangan api.
Terdapat juga ruang merokok kecil, yang terdiri daripada
bangku yang kelihatan ketimuran, dan koleksi barangan loyang
kecil yang akan menggembirakan hati mana-mana penggemar
tembakau. Ruang itu telah mendorong Sally untuk menggabungkan
perpustakaan dan bilik rehat. Gabungan keduanya itu telah
menghasilkan bilik yang lebih mempesonakan daripada yang boleh
dicapai oleh hanya salah satu daripadanya.
Bob telah menyumbangkan sebuah rak rokok paip yang
menonjol kepada perpustakaan itu, diperbuat daripada cebisan
kotak rokok yang dipotong kasar dengan gergaji kecilnya, barang
yang dijamin serba boleh kegunaannya di dalam rumah boneka itu.
Rak itu digantungi paip-paip kecil yang dibeli di kedai sepuluh sen
dengan harga sepuluh sen sedozen. Bob berasa bangga dengan
hasil kerjanya dan Sally menganggapnya sebagai khazanah yang
utama kerana telah dibina oleh Bob.
Di tingkat ketiga, terdapat bilik-bilik tidur dan bilik mandi.
Bilik-bilik tidur itu, yang telah dihiasi perabot menarik yang
beralaskan kain kapas bercorak comel, dengan katil tembaga yang
indah, dan langsir beropol di tingkap, merupakan tempat untuk
berehat dan bersenang-lenang. Salah satu daripada bilik itu telah
disusun atur sebagai bilik kanak-kanak dan mengandungi dua katil
bayi putih yang indah. Terdapat juga di dalam bilik ini, katil lipat
yang paling berseni untuk pengasuh.
Bilik mandi pula telah dijadikan sangat terperinci dengan
pancuran dan paip air, beserta tab mandi bersalut putih yang kemas
dan sistem perpaipan yang rumit. Hal ini bermaksud terdapat air
sebenar yang mengalir daripada tangki ke tab mandi itu dan
membekalkan air basuhan yang cukup untuk semua boneka.
Pastinya, orang yang menggunakannya perlu sangat berhati-hati
untuk memastikan tab mandi itu tidak melimpah, kerana sebarang
limpahan pasti akan merosakkan dan mengucar-kacirkan siling-
siling di tingkat bawah.
Patung-patung beruang tidak mempunyai kefahaman tentang
nisbah dan tiada jumlah penjelasan yang boleh meyakinkan
Bedelia bahawa saiznya terlalu besar untuk ukuran Rumah
Berjalan itu. Akhirnya, dia telah membuat satu usaha gigih untuk
memasukkan dirinya ke dalam, tetapi dia terpaksa mengalah,
menggeram, kerana dia tidak boleh memaksa masuk lebih daripada
kepala besar dan bahunya ke dalam mana-mana bilik bersaiz biasa
di rumah itu. Tidak akan ada ruang untuk badan Bedelia yang
besar.
_____________________________________________________
BAB IV
BEDELIA TUMBUH EKOR
BEDELIA ialah beruang yang sangat cantik, di antara
patung-patung beruang, tetapi untuk waktu yang agak
lama, dia telah terjerumus ke dalam kesedihan yang tidak
dapat dizahirkan kerana dia tidak mempunyai ekor. Dengan sia-sia,
keluarganya telah memujuknya dengan mengatakan bahawa seekor
beruang yang mempunyai ekor akan menjadi makhluk yang aneh
dan ganjil. Bedelia berkeras dengan pemikirannya, walaupun tidak
munasabah, dan sangat hampir berjaya membuatkan Peter Pan
menjadi tidak waras. Walaupun dia seorang yang memeningkan
kepala, Peter Pan sangat sayang kepadanya, dan sebagai seorang
yang budiman, telah membuat pelbagai alasan untuk pemikirannya
yang pelik itu. Jadi, Peter Pan hampir menjadi buntu apabila
Bedelia tiba-tiba menghentikan ratapannya dan menjadi ceria –satu
perubahan yang, jika Peter Pan membaca fikirannya dengan betul,
menandakan sesuatu yang tidak baik akan berlaku. Namun, dia
sangat gembira melihat isterinya kembali menjadi dirinya yang asal
dan dia tidak mengesyaki apa-apa, walaupun apabila Bedelia mula
kadangkala menghilangkan diri daripada kelompok keluarga
mereka.
Sebenarnya, Bedelia mempunyai fikiran yang setanding dengan
kebanyakan manusia, dan selepas seketika, dia menyedari bahawa
merungut dan bersungut tidak akan membantunya mencapai hasil
yang diinginkan. Dia inginkan ekor, dan ekorlah yang akan
didapatkan olehnya. Dia mula mencambahkan fikiran kreatifnya
untuk mencari cara yang membolehkan dia mencapai impiannya.
Dia jauh terlalu pintar untuk meminta nasihat daripada mereka
yang tidak memberi galakan kepadanya, jadi, dia menunggu
dengan penuh kegelisahan untuk peluang yang lambat-laun pasti
akan muncul. Sememangnya, ini ialah jalan yang jauh, dan tiada
ruang untuk berpatah balik, tetapi semakin jauh dia menempuhnya,
semakin dekat dia dengan pengakhirannya. Bedelia membantu
mempercepat penantian yang membosankan itu dengan deretan uji
kaji yang boleh mengisi hati seseorang yang paling murung dengan
keterujaan.
Ekor berbulu ringan dan cantik kepunyaan Rough House mula
menarik perhatiannya semasa Rough House menghayunnya ke atas
dengan bangga di udara. Namun, entah mengapa, Rough House
menjadi sangat kurang sopan dan telah menggigit Bedelia apabila
dia memegang dan membuat beberapa percubaan berani untuk
menarik ekor itu. Lalu dia mengundurkan diri dengan resah
bersama satu bahagian koyak di bulunya, hasil kerja gigi tajam
anjing itu. Selepas itu, dia menyimpulkan bahawa ekor itu jauh
terlalu besar dan tidak akan sepadan dengan bulunya. Fikiran ini
telah memujuk hatinya dan dia terus mengalihkan perhatian dan
tenaganya ke arah yang lain. Namun, walaupun dia telah mencuba
segigih mungkin, dia tidak menjumpai apa-apa yang berpotensi
untuk menjadi ekor untuknya. Dia telah mencuba semua ekor
daripada haiwan di bilik kanak-kanak itu, dan pengasuh, yang telah
menjumpai ekor-ekor itu, yang bertaburan di lantai satu demi satu,
telah menggelengkan kepala sambil menyambungkan ekor itu
semula secara berturutan kepada pemilik asalnya. Dia mempunyai
andaiannya sendiri tentang kejadian itu, yang kebanyakannya
melibatkan tikus, atau mungkin si kecil Rags yang sudah mula
tumbuh gigi keduanya dan mungkin cenderung untuk mengunyah
barang-barang. Hanya Sally sahaja yang mengesyaki Bedelia,
tetapi tidak dapat menangkapnya semasa dia melakukan kerja
jahatnya, memandangkan dia sering melaksanakan rompakannya
itu pada waktu malam yang sunyi.
Setelah menimbang berat dan mencuba semua jenis ekor yang
siap tersedia yang boleh dicarinya, dia mencari sesuatu yang boleh
digunakan untuk diolah menjadi ekor yang sesuai. Tiada apa-apa,
malangnya, yang memunculkan diri, dan Bedelia sedar bahawa
sukar untuk dia membentuk bahagian badan yang sangat penting
itu dengan tangan cemerkap miliknya, walaupun benda itu muncul.
Jadi, untuk sementara waktu, keinginannya itu hilang, dan dia
kembali menjadi muram, penuh dengan kekecewaan kerana semua
usahanya tidak membuahkan hasil.
Sementara itu, musim panas telah berlalu dan malam yang
dingin mula menandakan tibanya musim luruh. Pada satu tengah
hari yang cerah, Bedelia sedang memeluk tubuh di tempat duduk
tingkap luas yang menjadi rumah dia dan keluarganya,
memuncungkan mulutnya seperti biasa dan menginginkan sesuatu
dalam bentuk kekacauan yang boleh melekakan tangan yang
sedang kemaruk. Sally dan pengasuhnya sedang sibuk membuat
pakaian boneka, memandangkan terdapat beberapa penghuni
Rumah Berjalan masih belum mempunyai pakaian yang sesuai.
Tiba-tiba, pengasuhnya berkata,
“Rasanya, tidak lama lagi akan tiba masanya untuk memakai
pakaian bulu. Kamu ingat tak, sayang, set cantik yang makcik
kamu, Cik Edith, telah berikan kepada saya semasa Krismas, yang
ada ekor-ekor kecil pada sarung tangannya?
Ekor! Telinga Bedelia terpasang jelas ketika itu. Ekor, ekor
berbulu lagi! Ingatannya masih jelas tentang satu hari pada awal
musim bunga, apabila semua pakaian bulu di dalam rumah itu telah
dianginkan, dipukul, dan disidai di bawah matahari, sebelum
disusun ke dalam kotak-kotak, ditabur dengan kapur barus dan
akhirnya semua penutupnya ditampal dengan jaluran kertas.
Kotak-kotak itu telah disimpan di dalam bilik simpanan yang besar
di bahagian atas rumah itu, dan Bedelia tahu dengan jelas
kedudukan bilik itu. Namun, dia juga tahu, yang bilik simpanan itu
sentiasa dikunci dan dia tidak pasti tentang keberadaan kunci itu.
Dia berazam, walau bagaimanapun, untuk tidak membuang
masa dan mencari gugusan kunci itu, walaupun penyiasatan itu
memakan masa seminggu, gugusan kunci itu akhirnya dijumpai,
dan Bedelia menyeret pergi dan menyembunyikan kunci itu di
tempat yang hanya diketahui olehnya, yang sudah pun
mengandungi aneka barangan yang pernah menarik hatinya dan
mendorongnya untuk mencuri barangan itu.
Beberapa hari lagi berlalu sebelum peluang yang sesuai untuk
melawat bilik simpanan itu tiba. Akhirnya, Bedelia mendapati
dirinya sedang berdiri di hadapan bilik itu dengan gugusan kunci
di tangan gigihnya. Di belakang pintu berkunci itu, terletak impian
indah di hatinya, ekor, dan dalam masa yang singkat, dia telah,
dengan ajaibnya, memilih kunci yang betul dan membuka luas
pintu yang berat itu.
Kini, satu kesukaran baru sedang dihadapi olehnya, satu perkara
yang tidak pernah dibayangkannya. Terdapat sekurang-kurangnya
sedozen kotak berada di rak di situ, semuanya dilabel kemas,
pastinya. Namun, Bedelia tidak boleh membaca, dan tiada pari-pari
baik yang muncul untuk memberitahunya kotak mana satu yang
mengandungi pakaian bulu milik pengasuh dan ekor itu. Jadi, dia
berdiri dengan muram, melihat ke dalam almari itu dan akhirnya
menyimpulkan bahawa, walaupun dia tidak ingin menyusahkan
dirinya, hanya satu perkara yang boleh dilakukan, iaitu membuka
semua kotak sehingga dia menjumpai kotak yang betul. Setelah dia
membuat keputusan ini, dia mengoyak dan mencarik dengan
menggunakan sepasang gunting yang dibawanya bersama,
mengeluarkan bulu-bulu dan kapur barus dalam longgokan yang
bercampur-aduk, mencampakkan kandungan satu kotak ke atas
satu yang lain sehingga bilik simpanan yang dahulunya tersusun
rapi kini kelihatan seperti tempat jualan lambak.
Kalaulah Sally yang menjalankan penyiasatan itu, pasti dia akan
tahu bahawa set pakaian bulu itu disimpan di dalam kotak-kotak
kecil, sementara jubah bulu dan yang lain-lain telah diletakkan
bersama di dalam kotak yang besar. Namun, Bedelia sudah tentu
tidak akan berhenti untuk memikirkan tentang perkara itu. Jadi,
hampir semua barangan yang berada di dalam almari itu telah
diselongkar dan dicampak ke lantai sebelum dia menemui kotak
yang menempatkan bulu yang dicari-carinya. Bulu itu ialah bulu
berkualiti tinggi berona coklat yang bagi Bedelia merupakan warna
yang sesuai untuk dipadankan dengan badannya. Malah, ekor itu
ada dalam jumlah yang banyak, lebih banyak daripada yang pernah
Bedelia jelmakan dalam mimpinya. Dia merasakan yang dia boleh
berenang di dalam ekor-ekor itu sekarang, jika dia mahu, dan dia
tidak mengambil masa yang lama untuk memiliki barang yang dia
inginkan. Dia mencabut enam ekor yang terdapat di selendang itu,
daripada tempat ekor itu dilekatkan dengan bongkol kecil yang
halus, setiap satunya dicabut dengan mulut buasnya yang dinganga
luas, sehingga kelihatan sejumlah gigi kecil dan putih.
Setelah mengumpulkan semua khazanahnya, dia bergegas turun
ke bawah, tanpa melupakan untuk mengunci semula pintu dan
meletakkan kembali kunci di tempat asalnya. Sambil memegang
erat segenggam ekor yang telah dicuri itu, dia dengan pantas
mencari sudut sunyi di dalam loteng, yang selalu menjadi tempat
pelariannya apabila dia ingin bersendirian.
Terdapat sebuah cermin besar lama yang mempunyai bingkai
yang lusuh terletak di atas lantai, dan setelah bersusah-payah,
memandangkan benda itu berat, Bedelia mengatur cermin itu
supaya dia dapat melihat dirinya sendiri dengan sepenuhnya.
Semua orang tahu yang patung beruang mempunyai kebolehan
yang hebat dalam menoleh ke belakang bahu mereka.
Sememangnya, jika dibina dengan betul, mereka boleh menoleh
kepala mereka sepenuhnya ke belakang. Jadi, Bedelia tidak
mempunyai sebarang kesukaran untuk mendapatkan pandangan
belakangnya dengan penuh semasa dia berdiri membelakangkan
cermin itu dengan ekor itu di sebelah tangannya, dan dua batang
pin di sebelah lagi. Dia telah mengambil keputusan untuk
meninggalkan bahagian bongkol kecil itu untuk hasil ekor yang
lebih mempesona, dan memberi penampilan yang memuaskan
hatinya secara keseluruhannya. Simpulnya setelah berjaya
mengepilkan ekor itu ke tempat yang diinginkannya dan
mengemaskan ekor itu dengan dua pin selendang yang besar.
Dengan itu, dia gembira dengan hasilnya dan dia berdiri di hadapan
cermin itu untuk masa yang lama, memanjangkan lehernya dan
menoleh kepalanya ke belakang sementara dia mengagumi hiasan
barunya itu. Sebenarnya, bongkol itu berada di tempat yang tidak
sepatutnya bongkol berada, tetapi bongkol itu menyerlah dengan
jayanya apabila ekor itu melambai girang semasa tuan miliknya
berjalan. Akhirnya, seperti Narcissus, yang jatuh hati pada
pantulannya sendiri, dia berpuas hati dengan keterampilan
anggunnya sendiri, dan menyimpulkan untuk turun ke bawah dan
mempamerkan tambahan terbaru kepada pesonanya itu.
Berlari-lari anaklah dia menuruni tangga, cuba untuk
membiasakan dirinya dengan perasaan baru yang agak aneh
apabila ekor itu mengibas belakang kakinya. Mujurlah dia tidak
terserempak dengan sesiapa sehingga dia tiba di bilik kanak-kanak
itu. Sampainya di sini, keberaniannya tiba-tiba pergi meninggalkan
dirinya dan dia meluru ke tempat duduk di tingkap, di hujung sudut
bilik. Sebaik sahaja dia melemparkan tubuhnya dan berpura-pura
untuk tidur, suatu peristiwa yang tidak dijangka berlaku. Bongkol
itu, seperti yang telah dinyatakan, yang berada di tempat yang tidak
sepatutnya bongkol berada, menolak beban badan Bedelia yang
montel di atasnya, dan mencucuk Bedelia dengan kuat sehingga dia
melompat bangun dan menjerit.
Peter Pan, yang pada mulanya berfikir bahawa membiarkan
Bedelia keseorangan ialah polisi yang terbaik, kini meluru untuk
menyelamatkannya. Namun, apabila dia mendapat tahu tentang
punca masalah itu, dia berguling-guling di lantai sambil ketawa
terbahak-bahak. Bongkol itu terus mencucuk dengan kuat, dan
kasihan Bedelia, hampir gila kerana kesakitan dan juga berasa
sangat malu. Dia telah menguatkan raungannya, yang menyeru
semua ahli keluarganya untuk menyelamatkannya. Dengan hati
yang agak rela untuk dilepaskan daripada punca
ketidakselesaannya, dia berehat di bawah belaian manja suaminya,
dan akhirnya mengakui bahawa, patung beruang tidak memerlukan
sebarang anggota tambahan di belakang mereka.
_____________________________________________________
BAB V
MARY DAN ANAK BIRI-BIRINYA DAN
YANG LAIN-LAIN
ANTARA boneka yang paling disayangi oleh Sally ialah
boneka yang telah digayakan oleh Mak Cik Edithnya
sebagai Mary yang ditemani oleh anak biri-birinya, yang
akan dibeli di sebuah kedai mainan apabila pakaian untuk Mary
sudah siap nanti.
Memandangkan Rumah Berjalan itu telah dibina dengan ruang
yang besar, bilik-biliknya lebih luas, dan hasilnya, boneka-
bonekanya, lebih besar daripada boneka-boneka yang selalunya
menghuni rumah boneka lain. Mary merupakan seorang perawan
berambut perang, dengan rambut kuning yang paling lembut,
bermahkotakan topi penggembala yang paling menawan, serta
kostum merah jambu lembut dan putih yang paling indah,
sempurna dalam setiap perincian daripada bahagian kain yang gebu
hingga ke gaun sarungnya yang labuh, dan sebatang tongkat halus
yang telah dipotong oleh Bob dengan gergaji kecilnya, yang
malangnya, tidak boleh dipegang oleh Mary, kerana jari-jemari
porselinnya, seperti kebanyakan boneka lain, tegak dan tidak boleh
dilenturkan. Namun, dengan secebis wayar halus yang dibentuk
kemas, hasil yang diinginkan berjaya dicapai, dan sememangnya
Mary tiada keraguan tentang perkara itu di dalam mindanya,
memandangkan semua boneka lain telah terperdaya dengannya.
Cukup tentang Mary. Tentang biri-biri itu pula, kesukaran yang
lain muncul, kerana hampir mustahil untuk dicari di mana-mana,
seekor biri-biri yang mempunyai saiz yang sesuai untuk
dipadankan bersama si kecil Mary. Setelah satu demi satu kedai
telah diselongkar tanpa membuahkan hasil, Sally teringat bahawa
di dalam loteng terdapat sebuah bangkai bahtera Nuh yang telah
ditinggalkan oleh Sally selepas dia bosan bermain dengannya.
Mereka pun bergegas ke loteng dan menggali semula bahtera itu
yang telah diikat bersama kertas minyak dengan kemas dan masih
berada dalam keadaan yang baik. Mereka menyelerakkan semua
haiwan di dalam bahtera itu ke atas lantai, namun, bayang anak
biri-biri tidak kelihatan langsung dalam pencarian mereka.
Sepertinya ada banyak permintaan terhadap daging biri-biri dan
apa-apa sahaja yang tergolong sebagai sejenis kambing telah
lenyap daripada muka bumi ini. Dengan penuh kekecewaan, Mak
Cik Edith duduk, memasukkan semula semua haiwan ke dalam
bahtera itu. Tiba-tiba, dia berhenti dan menjerit kecil dengan
gembira dan cepat-cepat mengambil sebuah objek kecil yang telah
jatuh ke lantai dan tersembunyi di bawah kainnya.
Namun, objek itu bukanlah seekor biri-biri seperti yang Sally
bayangkan, tetapi seekor kambing yang boleh dianggap sebagai
biri-biri jika bukan kerana tanduknya. Sememangnya agak pelik
kerana kebanyakan haiwan di bahtera Nuh itu sering kelihatan
sangat mirip antara satu sama lain walaupun tiada pertalian
langsung antara mereka. Termasuklah kambing ini. Bulu keriting
kecil yang membalutnya, kaki dan tapaknya, mukanya yang
panjang dan lembut, kesemuanya kecuali tanduknya yang
melengkung tajam itu sangat menyerupai Anak Biri-Biri Mary.
Hanya lima minit diperlukan untuk mengubah penampilannya
menjadi haiwan yang diinginkan itu. Tanduknya dicabut dengan
sepantas kilat dan tunggul tanduk itu ditutup dengan cebisan bulu
kapas yang digam dengan kemas. Sehelai kain biru diikat di
lehernya dan dilengkapkan dengan ikatan reben, dan, terimalah,
seekor biri-biri!
Pernyataan bahawa Mary sangat gembira dengan hasil ini ialah
gambaran yang sememangnya terlalu lembut kerana dia
sebenarnya sangat runsing, takut jika, selepas semua yang
dilaluinya, dia tidak akan menjadi Mary, tetapi orang lain yang
tidak akan perlu sentiasa ditemani oleh seekor biri-biri. Orang lain,
dan mungkin bukan sesiapa pun! Dengan kesimpulan yang pilu ini,
setitis air mata mengalir lembut di pipi porselin Mary. Namun,
sekarang, semuanya sudah selesai, dan dia berdiri megah di atas
kasut bertumit tinggi kecilnya, menggapai tongkat di sebelah
tangan, dan sebelahnya lagi diletakkan dengan bangga di belakang
biri-biri yang berbulu itu. Pandangan yang cukup indah telah
dicipta olehnya, dan dia terbukti telah menjadi sebuah tambahan
yang sangat dialu-alukan ke dalam keluarga Rumah Berjalan itu.
Namun, tentang Mary dan Anak Biri-Birinya, kita telah ditakdirkan
untuk mendengar lebih lagi tentang mereka selepas ini.
Sally sangat gemar menyusun dan menyusun semula rumah
bonekanya. Pada suatu pagi, semasa dia sedang sibuk melakukan
kerjanya, bahagian dapur telah pun bersih bersinar. Sally sedang
mencangkung di tumitnya, membersihkan peti ais, yang
mengandungi banyak pinggan yang menatang pelbagai makanan
bermacam-macam jenis yang kelihatan lazat. Sebenarnya,
makanan itu hanyalah mainan, tetapi makanan itu tetap kelihatan
sedap di mata Sally, yang tidak makan banyak semasa sarapan dan
akhirnya berasa lapar. Satu daripadanya menarik hati Sally,
sekeping kek yang kelihatan enak, difros dan dihias seolah-seolah
dibuat untuk hari jadi. Betul. Kek itu hanya memerlukan deretan
lilin yang berkilauan untuk menjadikannya kelihatan betul-betul
sempurna.
Sally tanpa perasaan mematahkan sedikit bahagian frosting dan
meletakkannya di antara bibirnya. Mengagumkan bagi Sally,
rasanya segar dan manis, dengan perisa seakan-akan nanas, dan
seperti frosting sebenar. Dia mematahkan secebis bahagian lagi
dan menelannya. Satu cebisan dan satu lagi cebisan mengikuti yang
pertama itu, dan tiba-tiba, Sally mula merasakan sensasi yang aneh.
Dia berasa seolah-olah dirinya sedang dipusing ke bawah dan
mengecut seperti sepasang kanta opera. Kejadian itu berlaku
dengan sangat pantas dan dalam sekelip mata, dia sedang berdiri di
dalam dapur Rumah Berjalan itu bersama Dinah yang diperbuat
daripada kayu berwarna hitam memandangnya dengan serius.
“Aduhai! Aduhai! Apa agaknya yang akan terjadi jika saya
makan semua kek itu? Pelik juga saya tidak makan semuanya. Kek
itu sangat kecil!” teriak Sally.
Pada masa itu jugalah dia memandang ke atas, dan terlihatlah
Peter Pan dan Bedelia yang memandangnya dengan cemas.
Perasaan sunyi tiba-tiba melanda kanak-kanak itu dan dia mula
menangis teresak-esak. Tanpa membuang masa, Peter Pan dan
Bedelia mengambil sekeping kek itu setiap seorang dan dalam
masa yang lebih singkat daripada masa yang saya ambil untuk
menceritakannya, dengan laju mengikut nasib Sally. Dalam masa
lebih kurang dua minit, mereka berseronok kerana telah menjadi
patung beruang paling kecil yang pernah direkodkan.
Mereka berlumba mengejar Sally ke dapur, mendatangkan
kebingungan kepada si Dinah hitam, yang tidak pernah melihat
sebarang makhluk yang menyerupai patung beruang dalam saiz itu,
dan dia tidak pasti sama ada dia gemar akan mereka, terutamanya
apabila mereka masuk ke dalam rumah itu dan mengambil alih
dapurnya.
Persinggahan Sally di rumah boneka itu pada beberapa hari yang
pertama penuh dengan peristiwa dan kejadian menarik, dan kanak-
kanak perempuan kecil itu telah mengalami pelbagai sensasi baru
yang biasanya hadir bersama perubahan pemandangan dan tempat.
Pengalaman rapat dan agak unik yang dilalui Sally dalam
kehidupannya di bilik kanak-kanak sebelum ini, langsung tidak
mengajarnya sebarang perkara yang terlibat dengan kewujudan
rumah boneka itu, dan keadaan kehidupan yang dilalui oleh orang-
orang kecil di situ yang kini termasuk dirinya.
Dia, sememangnya, sangat terkejut apabila mendapat tahu
bahawa mereka sangat menyerupai manusia, dengan semua trend
dan minat mereka, perasaan cemburu dan cita-cita mereka. Satu
perkara yang sangat menghiburkan dan menghairankan apabila dia
bertemu dengan boneka-boneka yang telah dibelinya sendiri
dengan beberapa sen dan dipakaikan pakaian yang diperbuat
daripada kain perca dengan tangannya sendiri, yang mempunyai
keperibadian yang jelas dan perwatakan yang menonjol seperti
yang dimiliki oleh beberapa orang terkenal yang kehidupan mereka
telah dipelajari oleh Sally semasa dia belajar bersama Cik Palmer
dalam kelas sejarahnya. Sekurang-kurangnya, seperti yang telah
digambarkan oleh pendapat orang lain tentang mereka.
Kanak-kanak perempuan itu sangat kagum apabila dia
mengetahui bahawa semua boneka itu boleh membaca dan
menulis, dan mereka yang diimport, boleh bertutur dalam bahasa
Perancis dan Jerman dengan fasih. Malah, ada satu patung Jepun
kecil yang dipakaikan dengan kimono kertas dan obi lebar daripada
bahan yang sama, berceloteh dalam bahasa Jepun, yang
menyebabkan tiada sesiapa pun yang dapat memahami sepatah
perkataan yang dikatakannya. Dia sering mengetuai minum petang,
satu acara yang difahami oleh semua dengan baik bersama
minuman wangi dalam cawan-cawan kecil yang dibancuh olehnya
untuk mereka semua. Sally secara diam-diam memutuskan untuk
mengajarnya bahasa Inggeris, yang kemudiannya dicapainya, dan
betapa bersyukurnya orang asing yang kesepian itu setelah dia
berjaya bercakap bahasa Inggeris.
Tulisan tangan boneka itu sama sekali tidak seperti miliknya,
kerana Sally dengan cepat menyedarinya. Tulisan itu terdiri
daripada beberapa hieroglif kecil yang aneh dengan saiz yang tidak
berbeza. Tidak lama kemudian, Sally baru tahu bahawa tulisan
yang sangat kecil itu hanya difahami oleh boneka itu. Tiada siapa
pun yang tahu bahawa itu hanyalah coretan-coretan yang tidak
bermakna.
_____________________________________________________
BAB VI
PINTU BELAKANG KECIL
SALLY sedang sibuk di dapur, memakai salah satu apron
Dinah yang bercorak berjalur-jalur yang bersih dengan
bandana di rambutnya yang bersinar. Dinah sedang sakit
akibat kemalangan, maka Sally merasakan dirinya perlu
bertanggungjawab.
Sally merasakan bahawa Anak Biri-Biri itu semakin lama,
semakin kotor. Gadis itu akhirnya membuat keputusan walaupun
penuh perasaan was-was bahawa perkara terbaik untuk dilakukan
selepas ini ialah mandi. Mary pula dengan senang hati
menawarkan diri untuk membantu, dengan sokongan sedemikian
Sally meneruskan persiapannya dalam kerangka fikiran yang tegas
dan penuh harapan.
Oleh kerana Anak Biri-Biri itu sememangnya sangat kotor, Sally
menyediakan sejenis syampu, seperti yang diramu oleh jururawat
untuk kegunaannya sendiri yang yang sering dilihatnya. Syampu
ini terdiri daripada sabun tar yang dicairkan di atas api menjadi
sejenis jeli dan kemudian dipukul dengan beberapa biji telur dan
sedikit boraks iaitu sejenis sebuk putih yang digunakan untuk
membuat kaca dan seramik. Setelah selesai, maka terhasillah
sebatian kuning berbuih yang kelihatan cantik dan lazat. Syampu
itu dibuat dalam kuantiti yang banyak sesuai dengan keperibadian
si Anak Biri-Biri. Dia meletakkan syampu itu di atas meja dan
bergegas untuk mencari sasarannya, yang telah dapat meramal
konflik yang akan berlaku, lalu membawa diri ke loteng. Terpaku
di belakang skrin, Bedelia, dia dengan teguh menanti serangan
musuh.
Dinah yang sibuk di bahagian atas rumah turun ke bawah tangga
lalu terlihat campuran berbuih berkrim berbuih dalam kuali di atas
meja dapur. Kepala kayunya hanya mengandaikan bahawa itu
adalah telur dadar yang sedap atau mungkin campuran itu telah
disediakan oleh Sally untuk makan tengah hari. Dia mengambil
sudu lalu mengacau campuran itu dan mendapati bahawa campuran
itu agak cair dan terus memekatkannya dengan tepung dan
akhirnya memutuskan untuk membuat penkek. Dia menambah
perisa lemon dengan sangat banyak dan kemudian terus membakar
adunan itu di atas kuali datar yang digris dengan baik.
Kini mesti diakui bahawa Dinah tamak, dan kek warna coklat itu
pastinya kelihatan menggoda. Selain itu, takkan dia tidak
merancang sesuatu yang lain untuk makan tengah hari boneka itu?
Selepas dia mencuba satu gigitan kek itu, dia terus terbuai. Lelangit
kayunya gagal mengesan rasa sabun tar, dan sebiji kek coklat yang
berasap dengan cepat hilang sehiris demi sehiris. Nasib baiklah
Bedelia yang tertarik dengan bau kek yang dibakar, tiba-tiba
muncul di dapur.
Dia sememangnya sudah beberapa hari tidak berpuas hati
dengan Sally. Hal ini telah mempengaruhinya untuk berfikir
dengan tidak baik. Tanpa meminta izin, Bedelia terus melangkah
ke arah Dinah yang tamak, merampas pinggan kek dari bawah
hidungnya, dan terus memakan kek itu. Namun, dia kini menyedari
sesuatu yang pelik tentang kek itu, tetapi dia menelan kesemuanya
sehingga habis, berhenti seketika di antara gigitan untuk
mengeluarkan geraman kecil yang mengancam dan sangat
berkesan untuk menghalau Dinah, kerana tukang masak itu
sememangnya takut dengan Patung Beruang itu. Tidak lama
kemudian, sabun dan boraks itu mula bertindak balas dengan cepat,
menyebabkan Dinah dan Bedelia mengalami kesakitan perut yang
dahsyat.
Sally cuba untuk mencari Anak Biri-Biri itu di seluruh rumah
namun tidak menjumpainya—dan tidak hairanlah, kerana dia telah
terkurung dengan selamat di bawah katil Bedelia di loteng—dan
bergegas ke dapur untuk menjaga syampunya, dia mendapati dua
orang yang tidak bernasi baik sedang berguling-guling kesakitan di
atas lantai dapur. Kalaulah hanya Bedelia seorang, Sally akan
mengesyaki muslihat, tetapi penderitaan Dinah terlalu tulen untuk
mengesyaki mereka sedang bermain-main.
Sally terus mendapatkan bantuan dengan cepat tanpa menunggu
penjelasan, dalam masa yang singkat Dinah dan Bedelia diletakkan
di atas katil mereka kerana berasa lebih selesa sambil mendengar
ceramah tentang kerakusan yang mereka akan lupakan tidak lama
lagi. Akan tetapi kuliah yang sama ini harus diberikan dalam dua
bahagian, satu kepada Dinah di dalam biliknya dan satu kepada
Bedelia di loteng kerana Dinah mungkin akan mati lebih awal
daripada berbaring di dalam bilik yang sama dengan Patung
Beruang yang tidak disukainya dan kini dianggap lebih
menakutkan daripada dulu.
Sally pula sedang sibuk mengelilingi dapur kecil yang bersih,
menyusun barang-barang ke tempat sepatutnya dan membuat
persediaan makan tengah hari untuk boneka itu. Dia tersenyum
sambil menggosok dan mengeringkan kuali yang terdapat bekas
adunan syampu buatannya itu. Dia tertanya-tanya apa yang telah
berlaku terhadap Anak Biri-Biri, dan berharap bahawa dia,
bukannya Dinah dan Bedelia, yang menjadi orang yang memakan
kek yang memualkan itu kerana adunan yang disediakannya itu
sememangnya dibuat untuk Anak Biri-Biri itu pada mulanya.
Sally sememangnya merupakan seorang pembantu rumah sangat
bagus. Ketika kecil, dia selalu bermain dengan rumah bonekanya,
membersihkan dan merapikannya. Kini dia bekerja di bilik-bilik
kecil yang terang sehingga semuanya teratur, meja disediakan
untuk makan tengah hari dan hidangan yang enak pun dia sediakan.
Dia terlalu gembira dengan kerjanya maka bantuan daripada mana-
mana boneka itu tidak diperlukan. Dia berpusing-pusing dengan
rancak sambil menyanyi-nyanyi. "Berpusing-pusing" adalah salah
satu ungkapan yang sering diucapkan oleh Dinah, dan walaupun
Sally tidak pasti apa maksud sebenarnya, dia agak yakin bahawa
dia memang sedang “berpusing-pusing” semasa bekerja di dapur
Dinah. Kemudian, dengan bersungguh-sungguh, dia mengibas kain
lap Dinah, mencari habuk di tempat yang sudah bersih dan
menggilap ambang tingkap yang juga sudah bersinar, tempat
simpanan periuk-periuk kecil geranium kertas merah bercahaya.
Kemudian, tiba-tiba dia menyedari bahawa dia sedang berdiri di
hadapan pintu kecil, yang kewujudannya sebelum ini gagal diamati
dan tidak pernah disedarinya.
Pintu itu terletak betul-betul di tengah dinding belakang, dan
Sally tertanya-tanya mengapa John membinanya di tempat
sedemikian? Biasanya, rumah boneka dibina di dinding bilik anak
kecil. Oleh itu, tidak ada gunanya pintu di lokasi sedemikian. Sally
termenung seketika dan kemudian membuat kesimpulan bahawa
dia perlu membuka pintu dan melakukan sedikit penyiasatan
mengenai pintu misteri itu. Dia memegang tombol dan menariknya
dengan kuat, tetapi usahanya tidak membuahkan hasil kerana pintu
itu berkunci. Dia berasa pelik kerana pintu itu berkunci dan tiada
kunci di mana-mana. Tiba-tiba dia teringat pada kunci emas kecil
milik gelang rantai Mamma Wee yang tergantung di biliknya.
Kunci emas itu merupakan pemberian Papa Doktor pada Mama
Wee. Atas sebab yang tidak dapat dijelaskan, Mama Wee tidak
pernah membuka kunci gelang itu, tetapi Papa Doktor sentiasa
memakai kunci pada satu hujung rantai jamnya sehingga suatu hari
cincin emas yang digantungnya itu pecah, dan Sally telah menemui
kunci itu terletak di atas lantai. Papa Doktor telah pergi ke luar
bandar untuk rundingan penting pada masa itu, dan masih belum
pulang. Oleh itu, kunci digantung di dalam bilik Sally. Dia
bergegas kembali ke dapur, berjingkat-jingkat dipenuhi dengan
rasa ingin tahu.
Dia tidak mendengar sebarang bunyi dan tidak juga melihat
susuk tubuh coklat berbulu yang datang berjalan senyap-senyap di
belakangnya. Setelah tidur lena, Bedelia bangun dengan perasaan
segar. Selepas menguap beberapa kali, dia bangkit dari katil. Anak
Biri-Biri pula terlalu takut dengan semua rumpus untuk melarikan
diri telah tertidur di bawah katil dengan kepalanya terjulur di
bahagian dalam yang dianggapnya agak selamat, kerana katil itu
berdiri agak hampir dengan dinding. Namun, Bedelia dengan sifat
keterlaluannya itu melompat keluar dari sisi katil itu lalu mendarat
di muka Anak Biri-Biri. Bedelia tidak ringan, dan Anak Biri-Biri
yang tidak berpuas hati mengeluarkan jeritan yang tajam, pada
masa yang sama bergegas kembali ke tempat persembunyiannya.
Bedelia ketakutan disebabkan oleh benda yang dia rasa bergerak di
bawah kakinya lalu menjerit dan melarikan diri dari loteng. Dia
berhenti seketika di bahagian atas tangga dan mengintai ke bawah
dan terlihat Sally keluar dari biliknya dengan kunci di tangannya.
Patung beruang pula sedang senyap-senyap berlari menuruni
tangga. Dia tergoda untuk meluncur atas pagar tangga yang
berkilat, tetapi takut dihantar balik jika ditemui. Sementara itu,
Sally tergesa-gesa ke dapur, menggenggam kunci emas yang jauh
lebih besar berbanding ketika dia menemuinya di atas lantai bilik
kanak-kanak.
"Harap-harap pintu itu dapat dibuka!" gadis kecil itu berkata
kepada dirinya sendiri sambil memasukkannya ke dalam kunci dan
menekannya dengan lembut, kerana dia tidak mahu memutuskan
pemegang emas itu. Sally sangat terkejut dan gembira kerana kunci
itu terbuka serta-merta. Dengan satu pulasan tombol pintu itu, Sally
terus membuka pintu dan melangkah keluar diikuti rapat oleh
Bedelia yang masih tidak dilihat oleh Sally.
_____________________________________________________
BAB VII
D. TABLET, ESQ.
PERKARA ini merupakan penemuan yang sangat
mengejutkan oleh Sally kerana dia mendapati dirinya kini
berada di jalan desa yang indah dan diapit dengan padang
hijau zamrud yang terbentang sejauh mata memandang.
Di kedua-dua belah jalan ini terdapat deretan pokok yang tinggi,
sangat kaku, dan sangat hijau. Mereka benar-benar berdiri, kerana
mereka tidak tumbuh daripada tanah, tetapi dari kayu rata yang
tidak kelihatan sama seperti batang kayu coklat mereka yang
berkilat. Daun-daun dari pokok tersebut juga berwarna hijau dan
kaku dicat. Sally memeriksa mereka dengan rasa ingin tahu, dan
teringat bahawa dia pernah memiliki sebuah ladang mainan yang
penuh dengan pokok-pokok seperti ini. Dia menyentuh batang
pokok yang licin dan berkilauan itu, dan mengingati betapa
mudahnya pokok ladangnya sendiri telah terbalik sekiranya ditiup
angin kencang. Pokok-pokok ini bagaimanapun kelihatan cukup
kuat. Sally bertekad untuk menyiasat negara aneh ini yang
dimasukinya dengan cara yang tidak sopan.
Jalan yang terbentang di hadapannya kelihatan putih berkilau di
bawah cahaya matahari yang menyilaukan dan hampir
membutakan mata sesiapa yang melihat. Dia berhenti seketika
untuk menggantung kunci emas berharga itu pada rentetan manik
emas yang dia pakai di lehernya. Dia merasakan bahawa azimat
yang dikasihi itu, ikrar cinta antara ibu bapanya akan
melindunginya pada masa bahaya. Tiba-tiba dia risau jika manik-
manik itu hilang, dan dengan cepat dia memasukkan manik-manik
dan semua ke dalam pakaiannya.
Semasa dia berpaling untuk mengucapkan selamat tinggal
kepada Rumah Berjalan, dia ternampak Bedelia sedang duduk
diam di ambang pintu masuk ke negara aneh itu. Sekarang dia
melompat dan berlari ke arah Sally, yang berasa sangat lega apabila
mendapati beruang kecil itu sudah pulih semula, dan memaut
lengan Bedelia dengan penuh kasih sayang. Mereka berdua pun
berjalan dengan gembira di sepanjang jalan yang berkilauan itu.
Cuaca agak panas kerana dedaunan dari pokok itu hanya
menimbulkan sedikit bayang dan angin pula tidak bertiup. Sally
bersyukur walaupun cuaca panas kerana tiada angin kuat kerana