The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

220301_COVID 19 Perkongsian Pengalaman_FINAL

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ahfmn2502, 2022-03-18 09:53:40

220301_COVID 19 Perkongsian Pengalaman_FINAL

220301_COVID 19 Perkongsian Pengalaman_FINAL

Persatuan Pencinta Ilmu Dan Budi Kuching
Kuching
2022

COVID-19 Perkongsian Pengalaman
©Persatuan Pencinta Ilmu Dan Budi Kuching

Cetakan Pertama, 2022

Hakcipta Terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana
bahagian buku ini dalam apa-apa bentuk melalui apa-apa cara sekalipun,
melainkan setelah mendapat keizinan bertulis secara rasmi daripada
Persatuan Pencinta Ilmu Dan Budi Kuching (PPIBK).

ISBN : 978-967-26820-0-4

Perekabentuk:
Asnawi Hassim

Diterbitkan oleh:
PERSATUAN PENCINTA ILMU DAN BUDI KUCHING
No.514A, Lorong Datuk Ajibah Abol 74, Kampung No.6

93400 Kuching, Sarawak, MALAYSIA
E: [email protected]

Direkabentuk dan dicetak oleh:
PERUSAHAAN TUKANG BUKU KM
8, Jalan Puteri 2A/6, Bandar Puteri Bangi
43000 Kajang, Selangor, MALAYSIA
T: 03-8928 9899 | E: [email protected]

www.tukangbuku.com





Isi Kandungan

Pengenalan................................................................................................................ ix
Kata Pengantar........................................................................................................ xi

Bahagian A: Bahagian Penulisan
Dari Tanjung Malim ke Miri PKP 2020....................................................... 3
Di Sebalik Wabak................................................................................................... 15
Pengalaman & Hikmah di Sebalik Pandemik............................................... 19
Pena Tajam............................................................................................................... 23
Norma Baharu Pasca Wabak COVID-19...................................................... 27
Ceritera Satu Malam............................................................................................. 31
Hayati dan Kluster Jelita...................................................................................... 35
Aku Seorang Guru Desa...................................................................................... 41
Aku Mahasiswa Tahun Akhir di Tengah Wabak COVID-19.................. 53
Pelajaran Besar COVID-19................................................................................ 57
Aku dan COVID-19.............................................................................................. 63

Bahagian B: Bahagian Gambar
Our Smiles Come From Their Hustles.......................................................... 69
Membantu Sedaya Upaya,
Saling Mendokong dan Takkan Mengalah.................................................... 70
Sabar Ubat Segala Ujian Allah........................................................................... 71
Saya Cikgu Tadika................................................................................................. 73
Malaysiaku Sayang................................................................................................ 74
PKPD.......................................................................................................................... 76
Program Dalam Norma Baharu ...................................................................... 77
Menjalankan Amanah Menguruskan Jenazah COVID-19 ..................... 80
The Death City ...................................................................................................... 81
of Kuching................................................................................................................ 81
Swab Test.................................................................................................................. 82
Setiap Kebaikan Adalah Sedekah...................................................................... 83
1) Program Roses of Ramadhan (ROR)....................................................... 84
2) Program Bersedekah Untuk Diredhai Illahi (BUDI).......................... 89

Profil Ringkas.......................................................................................................... 93



PENGENALAN

Alhamdulillah, pertama dan selamanya kami menzahirkan rasa syukur ke
hadrat Illahi, dengan izin dan rahmatNya, buku yang bertajuk COVID-19
: Perkongsian Pengalaman ini berjaya diterbitkan oleh Persatuan Pencinta
Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK). Selawat dan salam dihadiahkan buat
Rasul junjungan Nabi Muhammad saw yang menjadi qudwah hasanah
kepada kita dalam menjalani kehidupan di dunia dan di akhirat seperti
yang dikehendaki Allah Taala.

Buku yang berada di tangan pembaca budiman ini merupakan
himpunan karya para peserta yang menyertai Pertandingan Perkongsian
Pengalaman bertemakan pandemik COVID-19 yang dianjurkan oleh
PPIBK pada tahun 2020. Selain daripada merakamkan pengalaman
para peserta, penerbitan buku ini juga bertujuan untuk menyemai minat
menulis dalam kalangan ahli-ahli PPIBK khususnya dan golongan belia
amnya dalam usaha menyuburkan budaya cintakan ilmu pengetahuan.
Justeru, hasil daripada jualan buku ini juga akan digunakan untuk
menyokong aktiviti-aktiviti keilmuan yang dianjurkan oleh PPIBK.

Bukuinimengandungiduabahagianutama.BahagianAmenghimpunkan
11 karya penulisan manakala bahagian B pula mengandungi 11 foto yang
dirakam oleh para peserta sepanjang pandemik COVID-19.

Dikesempatan ini, PPIBK mengucapkan tahniah kepada Saudari
Erwiani bt Normal yang dipilih sebagai karya terbaik bagi kategori
penulisan bertajuk “Dari Tanjung Malim ke Miri PKP 2020” ; Saudari
Syafiqah bt Hassan dengan foto bertajuk “Our Smiles Come from Their
Hustle” pula dipilih sebagai foto terbaik manakala penyertaan terbaik
bagi kategori video yang bertajuk “Save the Earth” disandang oleh
Saudara Othman bin Ismail.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada barisan
penasihat PPIBK iaitu Dr. Mohd Hilmi bin Ramli, Encik Abdul Muntaqim
bin Zulkipli dan Cik Aminah bt Ismail kerana menjadi panel penilai serta
menggalakkan usaha penerbitan buku ini.

Semoga Allah Taala menerima usaha yang kecil ini sebagai amalan
kebaikan yang berpanjangan!



Shamsiah bt Haji Mahli
Setiausaha
Persatuan Pencinta Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK)

KATA PENGANTAR



Catatan yang dirakamkan di dalam buku ini adalah sebahagian dari
pengalaman individu yang bergelar penuntut ilmu, guru, dan aktivis
dalam mengharungi ujian COVID-19 yang melanda negara bermula
Mac 2020. Setiap pengalaman yang berharga ini sangat bermakna
kerana setiap sumbangan makalah dan foto yang dihasilkan menzahirkan
suatu pembudayaan ilmu yang tinggi dan berterusan, walaupun jelas
dalam makalah-makalah yang dihasilkan isi hati dan perasaan mereka
yang cemas, takut, berhati-hati, dan pada masa yang sama sikap sabar,
bertawakkal, dan patuh kepada undang-undang yang telah ditetapkan
oleh kerajaan. Walaupun melalui perasaan yang pelbagai ini, ada cetusan
ilmiah dan ilhami yang dihasilkan oleh setiap penyumbang makalah-
makalah ini.

Ujian COVID-19 yang melanda telah menyebabkan pergerakan
setiap dari kita sangat terhad sehinggakan amat sukar sekali diadakan
pertemuan secara fizikal, terutama dalam majlis ilmu. Akan tetapi
didapati dalam sumbangan makalah-makalah ini, ada dizahirkan
mengenai kegiatan mereka secara persendirian seperti menulis, berfikir,
melukis, merenung mengenai masa depan yang bakal ditempuhi, dan juga
memberi sumbangan amal dan kewangan kepada golongan yang kurang
bernasib baik. Ini adalah sebahagian dari tanda dan amalan mereka yang
beriman kerana apa jua ujian yang melanda, mereka mampu menzahirkan
sikap yang baik, bahkan juga membudayakan ilmu dengan berterusan.

Barangkali bagi sesetengah orang yang tidak dibekalkan iman dan ilmu
yang secukupnya apabila mereka dihadkan pergerakan mereka, dihalang
untuk berjumpa ahli keluarga dalam tempoh yang lama, bahkan juga
mungkin terputus sumber mata pencarian dalam tempoh yang lama—
akibat PKP yang ditetapkan oleh kerajaan, mereka ini akan memberontak
dan melakukan perkara-perkara yang di luar jangka.

Dengan himpunan makalah dan foto ini, sekurang-kurangnya ia boleh
menjadi satu bahan sejarah berharga dan bermakna untuk dijadikan
sebagai rujukan di masa hadapan bagaimana penuntut ilmu, guru dan
aktivis persatuan melalui ujian yang cukup mencabar ini.

Saya ingin mengucapkan syabas kepada setiap penyumbang makalah
dan foto dalam himpunan perkongsian ini, walaupun ringkas dan
pendek pengalamannya, sebagai sebuah pengalaman bermakna dalam
menghidupkan budaya ilmu walaupun saat di uji. Penghargaan kepada
Persatuan Pencinta Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK) dan seluruh
jawatankuasa pnerbutan di atas usaha yang baik ini.

Dr Mohd Hilmi bin Ramli
Penasihat PPIBK/Pensyarah Kanan RZS-CASIS UTM

BAHAGIAN A



Penyertaan Terbaik Bahagian Penulisan

Dari Tanjung Malim
ke Miri PKP 2020

Oleh: Erwiani bt Normal

1 September 2020

MIRI

Malam ini. Kembali mengenang selaksa peristiwa lewat tinta dan keping-
keping foto. Tumpah atas lembar putih. Menyimpul mati kenangan agar
tak terbang lepas bagai kunang-kunang di langit waktu. Seraya, Bismillah
pun jadi pangkal segala urusan. COVID-19. Entah itu peringatan atau
rahmat. Pun boleh jadi kedua-duanya. Kembali lagi kepada yang mahu
berhenti sejenak dan merenung. Tentang apa yang dilihat. Apa yang
dirasa. Semuanya nyata diusiaku ke-25 tahun.

16 April 2020

TANJONG MALIM, PERAK

Serasa mimpi. Kerana pakaian telah rapi dalam bagasi. Tiket pesawat
telah dibeli. Polis telah dimaklumi. Dokumen perjalanan pulang telah
diisi. Hari itu, aku akan kembali ke negeri sendiri. Miri.

***

Dua bulan yang lamban di Tanjong Malim, Perak. Memenuhi
tuntutan ilmu. Sendirian di negeri orang. Segala urusan terhambat.

Baik urusan pengajian sampai tujuan belian barang keperluan di pasar.

Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 (PKP1) berlaku atas negara ini
sekitar seminggu setelah penerbanganku dari Miri, Sarawak. Berharap

COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN 3

dua minggu pertama akan segera usai. Dugaanku salah. PKP2 dan PKP3
dipanjangkan untuk makluman seluruh rakyat. Berawal dengan rasa
geram. Perlahan. Aku berubah menjadi kita. Akhirnya memilih jalan
redha sembari mengalihkan doa buat semua dengan saling menjaga.
Berlepas daripada segala kekhuatiran akan perjalanan pulang dalam
suasana pandemik, Allah selalu menghadirkan manusia-manusia baik
hati, tinggi budi. Perjalanan pulang dengan segala kejanggalan norma
baharu. Menakjubkan, tak terkecuali, meresahkan.
Hari itu, seorang teman menghantarku ke stesen keretapi Tanjong
Malim. Buat kali pertama, pengesan suhu seperti pistol dipicu ke
dahiku. Keresahan menguak. Jangan sampai 37.5 darjah Celcius.
Takut-takut sampai demam lalu tidak dibenarkan pulang. Takut-
takut terlepas pergerakan pengangkutan yang semakin berkurang.
Membiarkan bimbang membuka segala kemungkinan-kemungkinan
yang tak perlu. Lega pun datang ketika kata aku menjadi kami. Di stesen
KTM, bertemu junior yang juga akan pulang ke Miri. Alhamdulillah.

Sedikit alas perut, jadi bekal perjalanan seketika.

4 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

KL SENTRAL

Kami turun di KL Sentral. Kata janggal datang lagi. Enam tahun dan
buat kali pertama, KL Sentral bagai tak bernyawa. Sebelum menempuh
jarak satu jam perjalanan bas menuju Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur 1 (KLIA1), singgah di kedai serbaneka. Tak perlu waktu
yang lama untuk memilih. Seperti biasa.

KLIA1

Perlahan dan lancar. Bas menyusur ke depan gerbang masuk KLIA1.
Beberapa bahagian bangunan gelap. Buat kesekian kalinya. Kata janggal
tak henti-henti menggema. Semua yang ditatap tak biasa. Seolah-olah
tiada manusia. Penjarakan tempat duduk. Tiada telekung dan sejadah di
ruang solat. Paparan penerbangan-penerbangan yang dibatalkan. Petugas
KLIA1 melebihi orang awam. Kiosk jualan banyak yang tutup melainkan
kiosk makanan yang juga akan segera tutup lebih awal daripada biasa.
Terburu-buru membeli sedikit jajanan. Aku bahkan harus merelakan
RM5 untuk sebotol cecair sanitasi tangan (yang menurutku, aneh).

Cecair sanitasi ‘kecemasan’.

COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN 5

Lengang.

Paparan Pembatalan Penerbangan.

6 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Bekal masakan dari rumah.

Penjarakan tempat duduk. Lukisan dan waktu yang lamban.

COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN 7

Selalu ada kejutan, pengajaran dan kesenangan yang dihidangkan
kehidupan. Selama menunggu penerbangan hari esok, kami saksikan
pelbagai rentang kisah manusia di KLIA1. Malam itu, entah apa
alasannya, seorang pelancong luar bersitegang dengan petugas polis.
Malam itu juga, pelancong perempuan Indonesia tertegun dengan khabar
pembatalan penerbangan pulang. Esoknya, usai subuh di surau, aku
menemukankannya lagi. Berdoa dengan penuh harap di belakangku.
Semoga Allah memudahkan urusanmu, saudari. Makanan sudah lama
cerna. Perutku kembali lapar, waktu kembali lamban. Menunggu hari
esok, ku lukiskan malam itu di atas kertas lukisan. Pandemik, 2020.
Ketika aku, 25 tahun.

17 April 2020

KLIA1

Kiri: Pagi-pagi: Setelah berbaris panjang.
Kanan: Atas awan.

8 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Alhamdulillah. Perut terisi. Sahabat lain mula berdatangan,
meramaikan rombongan penerbangan. Syukur dan lega bertimpa-
timpa sebaik mendengar perkongsian sebuah keluarga. Tentang
perjuangan pulang ke Sarawak sejak sekitar Mac. Diuji dengan
pembatalan penerbangan yang entah berapa kali. Berbinar
matanya menjelaskan bahagia. Pagi itu, kami semua pulang.

MIRI

Berjam-jam habis untuk segala macam urusan sebaik kaki menapak
bumi Miri. Beratur dan menunggu. Beratur keluar dari kapal tebang.
Beratur menyerahkan dokumen kesihatan. Beratur untuk urusan
imigresen. Beratur mendapatkan kunci bilik hotel. Beratur mendapatkan
makanan sebelum naik bas. Beratur untuk tujuan sanitasi sebelum masuk
ke bilik hotel. Akhirnya, bermulalah kuarantin selama 14 hari di Hotel
Imperial Miri.

Perjalanan menggunakan bas dari Lapangan Terbang Miri
ke hotel diiringi kenderaan polis.

COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN 9

Sebelum masuk Kerusi letak makanan Bilik untuk 14 hari.
ke dalam hotel. di luar setiap bilik.

Borang yang perlu diisi sepanjang 14 hari.
Dihubungi setiap hari untuk pemeriksaan kesihatan.

Antara berita televisyen yang mewarnai musim pandemik.

10 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Kiri: Antara edaran daripada pihak bertugas.
Kanan: 1 Ramadan dan juadah pertama.

Hari biasa, makanan dihantar tiga kali sehari.

Makanan yang dihantar oleh keluarga melalui petugas.

11COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Permandangan dari luar bilik 6327.

Mengisi masa dengan melukis, Masjid Badhashi Lahore India, inspirasi Pinterest.

12 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Melukis bangunan ISTAC.

Melukis prosedur perjalanan pulang sebagai rujukan beberapa kenalan yang bertanya.

13COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

1 Mei 2020

Dan akhirnya, aku pulang.

14 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Di Sebalik Wabak

Oleh: Faizal bin Jerawi

Aku berada di tengah-tengah kota metropolitan. Bersembunyi di sebalik
cahaya matahari yang panas memancar petang ini. Aku memandang langit
yang terbentang luas umpama “selimut” menutupi bumi. Mataku terus
memandang kanak-kanak yang sedang bermain di taman permainan ini.
Wajah mereka terpancar sinar kegembiraan. Saat ini aku teringkatkan
Syira. Seorang gadis kecil molek berusia 6 tahun dan mempunyai lesung
pipit di pipi. Kisah cinta antara Sahril dan Syuhada telah sempurna
dengan adanya Syira.

Syira satu-satunya cucu kesayangan atuknya yang berasal dari
Kampung Gedong. Atuknya tinggal bersama Ramli- adik lelaki Sahril.
Waktu cuti persekolahan adalah peluang untuk Sahril membawa Syira
melawat atuknya di kampung. Namun, ketika wabak COVID-19
melanda sebelum cuti sekolah tiga bulan yang lepas, niat untuk bercuti
di kampung dibatalkan saat akhir. Lamunanku terhenti tatkala badanku
terkena sesuatu. Ahh… Bungkusan roti yang dicampak oleh seorang
remaja lelaki. Aku menyesali perbuatannya. Ketika dunia menangis
kerana wabak COVID-19, makanan menjadi sangat berharga kepada
mereka. Manusia mudah lupa. Falsafah ini terus meyakini aku melihat
sikap remaja lelaki itu.

Roti mengingatkan aku kepada bekalan makanan yang perlu dibeli oleh
Sahril di pasar raya semasa wabak itu semakin rakus. Perintah kawalan
pergerakan dilanjutkan lagi menyebabkan bekalan makanan harus dibeli.
Senarai bekalan makanan telah disediakan oleh Syuhada termasuk roti
potong kegemaran Syira. Sahril seorang diri memandu kereta menuju
ke pasar raya. Matanya terus memandang jalan raya yang agak lengang.
Sepanjang jalan, beberapa buah kereta sahaja yang melalui jalan yang
bertentangan. Dia teringat akan ayah dan adiknya di kampung. Wajah
suram Sahril terus meniti jalan raya sehingga kereta dipandunya melalui
sekatan jalan raya. Perlahan-lahan Sahril menurunkan cermin kereta
sebelah kiri. Pertanyaan seorang pegawai polis yang membuat sekatan
dijawab Sahril satu persatu.

15COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

“Utamakan keluarga encik. Jangan lupa gunakan penutup mulut
dan hidung. Amalkan penjarakan fizikal. Dan yang penting jangan
lupa menjaga kebersihan.” Nasihat daripada seorang pegawai polis
yang berpangkat sarjan sebelum keretanya bergerak dari situ. Sahril
mengangguk. Sahril berdiri di hadapan pintu masuk pasar raya.
Pemeriksaan kesihatan dilakukan oleh anggota sukarelawan yang
bertugas di situ menggunakan termometer tembak untuk memeriksa
suhu badan. Saringan menunjukkan suhu badan Sahril pada tahap 36.5
darjah Celcius. Suhu badannya tahap normal. Hatinya tenang. Sahril
terus mencari bekalan makanan di dalam pasar raya itu. Saat ini, hatiku
tersentuh dengan pengorbanan seorang ayah terhadap keluarganya.
Tanggungjawab sebagai ketua keluarga dipikul Sahril dengan sepenuh
hatinya saat wabak ini sedang merebak. Langit yang cerah tadi perlahan-
lahan kelihatan suram. Awan hitam kian menjelma dan menutupi
seluruh ruang. Kelihatan butiran air mulai jatuh. Butiran itu semakin
banyak dan membasahi seluruh alam. Titisan hujan ini seakan butiran
air mata yang mengalir di pipi Syuhada.

“Kakak! Abang mana?…” Tiba-tiba Syuhada terus terduduk di lantai
dapur. Telefon bimbit di tangannya jatuh menghempap lantai. Jantungnya
bagaikan direntap kasar. Air matanya terus mengalir. Kesedihannya tidak
tertahan. Kata-kata daripada Ramli melemahkan seluruh tulangnya.
Setelah kematian ibu dan bapanya, kasih sayang dicurahkan sepenuhnya
kepada bapa mertuanya itu. Namun, kedatangan virus COVID-19 telah
membunuh jiwa Syuhada. Syira yang berada di ruang tamu waktu itu
menghampiri ibunya. Syira terus dipeluk oleh Syuhada. Anak kecil yang
belum mengerti kesedihan yang dilaluinya. Air mata ibunya disapu oleh
Syira perlahan-lahan. Seketika itu, kelibat Sahril muncul di muka pintu.
Sahril berdiri sejauh 1 meter dari mereka berdua. Dalam keadaan cemas,
Sahril bertanya kepada Syuhada, “Syuhada…Kenapa?”

Wajah Sahril dipandang sayu. Air matanya terus bercucuran membasahi
lengan bajunya. “Abang… Ayah dijangkiti.”

Plastik yang ada di tangan Sahril jatuh ke lantai. Hati Sahril berkecai

seperti kaca dihempas. Jantungnya seakan-akan berhenti berdegup.

Wajahnya tunduk. Takungan air mata ditahan. Namun, dirinya harus

kental. Sebagai ketua keluarga dirinya menjadi kekuatan kepada isteri dan

anaknya itu. Aku dapat merasakan kesedihan yang dialami oleh keluarga

Syira. Namun aku tidak mampu untuk membantu. Sekeliling menjadi

sunyi. Seketika itu hujan kian berhenti. Aku keluar dari bawah bangku

menikmati suasana yang indah selepas hilangnya butiran hujan. Rumput

16 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

kelihatan kembali segar. Burung kembali berterbangan mencari makanan.
Namun, kedamaian ini tidak dapat aku bayangkan sedamai hati keluarga
Syira setelah mengetahui keputusan dari hospital tentang wabak yang
menjangkiti atuknya.

“Pak cik sudah bersih dari virus ini. Pak cik mesti sentiasa cuci
tangan menggunakan sabun setiap masa,” nasihat seorang doktor wanita.
Lelaki tua lewat 60-an itu hanya menganggukkan kepala. Selama 14
hari Sahril menunggu saat ini. Solat dan doa tidak putus-putus untuk
memohon kepada-Nya agar diberi kesembuhan kepada ayahnya. Sahril
dan ayahnya melangkah keluar dari bangunan hospital. Langkah kaki
Sahril semakin laju. Sahril tidak mahu perkara sama berulang kembali
ke atas keluarganya. Wabak ini berjangkit kepada ayahnya sewaktu
menghadiri kenduri kahwin di kampung. Pembawa wabak itu batuk
dan bersin di hadapannya menyebabkan dia dijangkiti. Tangan ayahnya
terus dipimpin melalui lorong yang berbumbung menuju ke tempat
letak kereta. Syuhada, Ramli, Syira dan aku masih berada di rumah teres
keluarga Sahril.

Telefon bimbit Syuhada berbunyi. Panggilan terus dijawab,
“Wa’alaikumsalam. Abang dan ayah di mana?… Alhamdulillah” Seketika,
senyuman yang indah terukir pada wajah putih Syuhada.

“Momot…! Momot...!” Suara Syira mengejutkan aku.

“Miaw…,” Syira kemudian berlari menghampiri aku. Aku di dalam
pelukan Syira. Aku adalah seekor kucing jenis Parsi yang melalui
kehidupan amat sukar semasa virus COVID-19 menghantui keluarga
Syira. Kisah ini aku abadikan di dalam hatiku walaupun tiada sesiapa yang
mengetahuinya. Ketika kami menuju ke kereta dan meninggalkan taman
permainan ini, buluku yang basah disapu lembut oleh Syira menggunakan
kain tuala dan aku terus diselimutnya.

“Miaw…miaw…miaw…”

“Kenapa ni? Momot…” Serentak mereka bertiga tersenyum melihat
aku menjilat bulu badanku.

‘Kain ini hanya selimut yang mengeringkan buluku yang basah.
Tetapi, setiap manusia yang telah menyelimuti manusia lain dari wabak
ini adalah barisan hadapan yang berjiwa kental,’ inilah yang aku katakan
kepada mereka. Sejujurnya, kisah ini aku kongsikan agar manusia lebih
menghargai kehidupan sekarang. Dan, jadilah seperti “selimut” yang
membantu insan lain dalam kesulitan.

17COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN



Pengalaman & Hikmah
di Sebalik Pandemik

Oleh: Syafiqah bt Hassan

Apabila disebutkan mengenai COVID-19 dan berita yang semakin
luas mengenai pandemik tersebut, memang meremang bulu roma
mendengarnya. Terutama sekali, apabila statistik mangsa COVID-19
semakin meningkat hari demi hari. Apabila kes dalam negara meningkat,
memang tidak senang duduk dibuatnya. Manakan tidak, banyak perkara
yang terjejas disebabkan penyakit ini. Pertama sekali, soal kesihatan
diri. Pada awal penyebaran COVID-19 beberapa bulan yang lalu, tidak
dinafikan ada sesetengah pihak yang alpa dan masih kurang peka
mengenai pandemik ini. Mulanya, saya beranggapan bahawa penyakit ini
sama seperti asma kronik, namun sebaliknya ia lebih dari itu. Apabila
seseorang dijangkiti COVID-19 mereka akan dikuarantin dengan ketat
dan kes yang lebih tenat adalah apabila seseorang itu memerlukan alat
bantuan pernafasan untuk hidup. Alat tersebut sudah tentunya mahal
dan diperlukan sama seperti negara lain. Bak kata orang, permintaan
untuk alat bantuan pernafasan itu teramat tinggi. Oleh sebab itu,
kesedaran itu sangat penting. Saya selalu bertanyakan pada diri sendiri,
rela berkurung sementara, ataupun menyukarkan orang lain dengan
menyebarkan penyakit yang ‘saya bawa’ ini. Sedih apabila mellihat gara-
gara sesetengah masyarakat yang pentingkan diri, para barisan hadapan
sanggup bersengkang mata untuk merawat pesakit-pesakit tersebut. Dari
situ, saya sedar betapa mahalnya erti kesedaran dan sikap toleransi antara
kita.

Saya merupakan penuntut disalah sebuah IPT di Kuching. Dengar
sahaja mengenai isu COVID-19, masing-masing menunjukkan riak
kerisauan. Tidak cukup dengan rasa bimbang dengan kerja kursus
dan kuliah, malah kami perlu berhadapan dengan penyakit yang akan
menjejaskan kegiatan sehari-hari. Saya ingat lagi, pada awal tahun ini,
masalah jerebu pernah melanda Kuching. Keadaan itu sudah cukup
menyebabkan rasa resah dalam kalangan kami. Hal ini kerana, peluang

19COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

untuk keluar adalah terhad dan keadaan yang berjerebu memang tidak
sesuai untuk beriadah. Malah, masing-masing menggunakan pelitup
muka semasa turun kuliah. COVID-19 ini memang mengejutkan dan
lebih teruk daripada jerebu, jauh lebih memudaratkan. Pada bulan April,
sepatutnya kami mengendalikan kem bersama dengan murid sekolah
rendah dan kami juga perlu membuat pementasan drama. Banyak tenaga
yang kami curahkan untuk menjayakan kem dan pementasan tersebut.
Usah diungkit mengenai peruntukan, masing-masing menyumbangkan
jumlah wang yang cukup besar. Sudah siap sedia semua alat peraga,
kostum dan banyak lagi perkara lain. Apakan daya, perancangan Tuhan
tidak akan pernah dapat diduga. Segala aktiviti yang sepatutnya kami
lakukan pada awal tahun terpaksa ditangguhkan dan dibuat secara dalam
talian.

Bercakap mengenai kuliah, sistem di institusi kami adalah sangat ketat.
Kalau tertinggal satu masa kuliah, ataupun pensyarah mempunyai hal
mustahak sehingga perlu menangguhkan kuliah, kami perlu mengganti
jam kuliah yang ditinggalkan. Apabila COVID-19 melanda, kami sudah
boleh mengagak bahawa sesi kuliah akan menjadi lebih sukar kerana
kurangnya interaksi secara langsung antara kami dengan pengajar. Oleh
sebab itu, kami dikehendaki menjalani kuliah atas talian melalui Google
Classroom, Zoom dan banyak lagi platform lain. Kadang kala, keadaan
ini menyukarkan siswa lain kerana tidak semua mempunyai rangkaian
internet yang pantas. Malah kami perlu menunggu semua orang untuk
menghadirkan diri secara dalam talian. Itu pun sudah mengambil masa
beberapa minit. Cabaran lain sebagai penuntut IPT semasa pandemik
ini tidak lain juga mengenai pengurusan diri. Lebih spesifik, mengenai
makan minum siswa seperti kami. Biasanya, kami akan keluar untuk
membeli barang keperluan dan makanan. Tapi, hasrat kami terpaksa
dibatalkan semasa keadaan pandemik berada di ‘puncak’. Syukurlah, pada
masa tersebut pihak kampus telah memperuntukkan makanan untuk
penuntut yang tidak dapat pulang seperti kami. Kami dijaga dengan baik
dan kadang-kadang, saya merasakan makanan yang diberikan ini lebih
sedap daripada hari-hari biasa. Jadi, rasa sedih atau biasa disebut ‘sendu’
oleh siswa di IPT kami pun berkurang. Rasa terlebih kenyang pun ada.

Lebih lanjut lagi, satu perkara yang membimbangkan kami ialah
mengenai urusan bagi menghantar kami pulang ke pangkuan keluarga.
Jujurnya, urusan seperti ini tidak mudah dan perlu mengikut kesesuaian
dan keselamatan keadaan semasa. Pengurusan penghantaran semula
pelajar memerlukan kos yang tinggi, pemeriksaan kesihatan yang teliti

20 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

dan perlu mendapat persetujuan pihak berkuasa. Hal seperti ini adalah
tidak remeh, kerana ia melibatkan keselamatan para siswa. Penuh rasa
syukur, melalui prosedur dan kawalan keselamatan yang ketat, kami
berjaya dihantar pulang walaupun sudah rasa begitu lama ‘berkampung’
di kampus sendiri.

Meskipun terdapat banyak perkara yang terhalang disebabkan
COVID-19 ini, dapat saya ceritakan serba sedikit hikmah di sebalik
pandemik tersebut. Antara hikmahnya, melalui kesulitan ini sebenarnya
kita diajar mengenai sifat kemanusiaan. Contohnya, terlalu banyak
ekonomi orang awam yang terjejas disebabkan pandemik ini. Insan-insan
yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang banyak yang hilang
punca pendapatan dan terpaksa berlapar. Bagi sesetengah insan yang
berkemampuan bolehlah bertindak dengan menyumbangkan sejumlah
wang untuk mereka. Paling tidak, bantulah rakan-rakan yang baru
memulakan perniagaan kecil-kecilan. Selain itu, kita belajar mengenai
erti toleransi. Lihat sahaja jerih para barisan hadapn yang berusaha
meredakan pandemik ini, rasanya tidak sampai hati untuk melanggar SOP
dan berjalan ke sana ke sini. Oleh itu, janganlah pentingkan diri sendiri
kerana akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Hikmah seterusnya, kita
turut belajar dan sedar erti mensyukuri nikmat . Sebelum ini, tempat
ibadah terbuka luas untuk didatangi, rumah ibubapa terbuka luas untuk
diziarahi, namun jarang tergerak hati dan berat kaki untuk melangkah.
Tapi, apabila diwujudkan kawalan pergerakan dan sebagainya, mulalah
membuat bermacam-macam alasan semata-mata hendak keluar rumah.

Akhir sekali, terlalu banyak perkara yang dipelajari dalam menempuhi
pandemik ini. Kadang-kadang, duduk diam dan lebih banyak mendengar
di samping patuh kepada perintah lebih baik daripada bertindak mengikut
perasaan dan menjejaskan insan tersayang. Apa-apa pun, kekal bertenang
dan bertindaklah dengan bijak.

21COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN



Pena Tajam

Oleh: Faizal Jerawi

Berita tentang pusat membeli belah di seluruh negara akan ditutup
hanyalah omongan kosong yang didengari oleh aku. Kedai dobi yang
terletak di tengah-tengah Bandaraya Kuching menjadi tumpuan lelaki
bujang seperti aku yang mempertaruhkan wang syiling untuk dilaburkan.
Petang itu aku terpandang notis yang dilekatkan oleh seorang pemuda
berbangsa Cina di dinding kedai. Aku agak-agak umurnya sebaya
dengan diriku. Mungkin juga kedai dobi 24 jam ini milik keluarganya.
Notis penutupan kedai dobi. Aku menarik nafas panjang dan dihembus
perlahan. Petang itu aku berseorangan tanpa ditemani oleh Joscelly rakan
sekerjaku. Joscelly berasal dari suku kaum Lun Bawang. Matanya agak
sepet. Ditambah lagi dengan pelitup hidung dan mulut yang digunakan
memenuhi batang hidungnya sehingga ke kelopak bawah mata. Aku
tersenyum apabila teringat akan Joscelly.

Lamunanku dikejutkan oleh mesin pengering pakaian berbunyi
menandakan pakaian yang dicuci telah dikeringkan. Aku membuka
penutup mesin dengan perlahan-lahan. Terasa bahang yang panas
menyentuh kulit lenganku. Aku mengeluarkan pakaian satu persatu dan
terus dimasukkan ke dalam bakul. Ya, aku tidak terlupa mencuci tanganku
menggunakan cecair pembasmi kuman yang disediakan di hadapan
kedai sebelum melangkah keluar dari sini. Kemudian, aku berjalan kaki
menuju ke rumah sewa kami. Rumah sewa yang aku diami bersama
Joscelly terletak 500 meter dari kedai dobi ini. Begitulah rutin setiap
hujung minggu dan hari cuti. Jika tidak berada di kedai dobi, aku akan
menghabiskan masa di rumah dengan membaca buku. Buku kumpulan
cerpen yang baru sahaja selesai aku baca adalah buku kumpulan cerpen
Cerita Sarah Leong yang ditulis oleh Allahyarham Malik Ghozali PK. Aku
kagum dengan latar sesebuah tempat yang tidak pernah aku kunjungi
dalam karya beliau.

Bercerita tentang hari cuti, pusat membeli belah Giant tempat aku
bekerja membenarkan cuti diambil sehari dalam satu minggu. Aku

23COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

mengambil kesempatan ini untuk melapangkan gegendang telinga
aku dari arahan majikan dan jari jemariku mengira wang di kaunter
juruwang. Selepas menamatkan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
aliran sastera, aku bekerja sementara di pusat membeli belah Giant
sebelum memohon tawaran bekerja di tempat yang lebih baik. Namun,
aku tidak mengharap untuk bekerja di pejabat yang berhawa dingin
kerana keputusan peperiksaan aku sekadar butiran pasir yang berada
di tepian pantai. Sesekali, kaki-kaki nakal memijak. Perjalanan selama
15 minit menyebabkan aku keletihan. Bakul penuh berisi pakaian
aku letakkan di tepi bangku stesen bas. Sesaat selepas punggungku
menyentuh bangku, telefon bimbitku berbunyi. Aku menjawab panggilan
dari Joscelly. Nah, perkara yang aku dengari dan sering bermain-main
di benak fikiranku sejak tadi menjadi kenyataan. Pusat membeli belah
Giant ditutup buat sementara waktu disebabkan penularan pandemik
COVID-19. Aku bungkam.

‘Kalau tidak kerja, mana nak dapat wang? Nak makan apa? Takkan nak
minta wang dengan ibu. Malulah aku! Ahh…’ Aku mengomel sendirian.
Seketika itu, panggilan telefon berbunyi. Aku hanya membiarkan panggilan
itu berbunyi tanpa dijawab. Contengan dan ukiran yang ada di bangku
ini membunuh pandanganku. Kreativiti yang salah pada tempatnya. Aku
menggeleng. Namun, kekusutan itu lari seketika apabila sesuatu melintas
di hadapanku. Mataku tidak berganjak dari memandang sebuah kereta
yang dipandu laju. Kereta mewah yang aku idam-idamkan selama ini.
Tetapi, aku akui bukan mudah untuk mengumpul wang dan memiliki
kereta seperti itu dengan kehidupan aku begini. Saat itu juga aku terfikir,
kemewahan bukanlah segala-galanya waktu ini. Kehidupan yang bersih
dari jangkitan virus COVID-19 menjadi keutamaan sekarang.

Aku teringat kata-kata dari ibu yang menelefon aku malam semalam.
‘Jangan berada di tempat sesak dan sempit. Kalau bersembang dengan
rakan-rakan, jangan dekat-dekat. Virus itu mudah berjangkit terutama
yang bergejala batuk dan bersin’

Tiba-tiba pesanan ringkas dari Rolland mengejutkan aku. Aku terus
membaca pesanan itu, ‘Saiful, aku dalam perjalanan balik ke kampung.
Kau perlu balik kampung petang ni juga. Esok sudah mula perintah
kawalan pergerakan selama dua minggu. Mungkin akan dilanjutkan lagi’

Setelah membaca pesanan ringkas dari Joscelly, aku berlari sambil
memikul bakul dipenuhi pakaian seperti dikejar anjing dari arah
belakang. Beberapa kali aku hampir tersungkur kerana terlanggar batu-

24 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

batu di tepi jalan raya. Orang awam yang aku lintasi hanya memandang
aku dengan senyuman menyindir. Aku tidak mempedulikan mereka.
Bagi aku, petang itu aku tidak mahu terlepas menumpang bas 10A
menuju ke Kota Samarahan. Lagipun aku terdengar kemungkinan bas
tidak beroperasi esok. Ahh.. paling lewat bas akan bergerak jam lima
petang ini. Aku perlu segera!
Jeritan ibu yang memanggil namaku mengejutkan aku yang tersenyum
sendirian di dalam bilik sehingga menampakkan gigi taringku sebelah
kanan. Komputer riba di hadapan aku masih terbuka. Selama lima
bulan pandemik COVID-19 telah menghantui manusia yang berada di
bandar dan di kampung seperti aku. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan, kemudian dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan
Bersyarat, aku menghabiskan masa di hadapan komputer ribaku. Sejak
hari itu juga aku tidak lagi bekerja di pusat membeli belah Giant.
Tanganku kemudian mengambil senaskah akhbar Utusan Sarawak yang
ada di sebelah komputer ribaku. Akhbar itu bertarikh 29 Julai 2020 yang
aku beli di pekan Kota Samarahan. Aku membaca cerpen yang disiarkan
dalam ruangan Wadah Bahasa Dan Sastera. Entah berapa kali sudah aku
membacanya. Kamu semua ingin tahu bidang baharu yang aku ceburi
sekarang? Nama pena aku adalah Pena Tajam.

25COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN



Norma Baharu Pasca
Wabak COVID-19

Oleh: Arthilla Putri bt Abdul Rashid

Koronavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan
saluran pernafasan. Pada 11 Februari 2020, Pertubuhan Kesihatan
Sedunia mengumumkan bahawa “COVID-19” akan menjadi nama rasmi
penyakit ini. Ketua pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom
Ghebreyesus berkata “CO” bermaksud “corona” (korona), ”VI” untuk
“virus” dan “D” untuk “disease” (penyakit), sementara angka “19”
bermaksud tahun penyakit ini wujud. Wabak ini mulanya dikesan pada
pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei, China. Virus ini
telah disahkan merebak di Malaysia pada 25 Januari 2020 dan diiktiraf
sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11
Mac 2020. Simptom virus ini adalah seperti sakit kepala, batuk, demam
dan sesak nafas. Cara penularan COVID-19 daripada individu adalah
melalui titisan dari hidung atau mulut yang tersebar apabila individu
yang bergejala batuk atau bersin. Mengikut kajian, dianggarkan sebanyak
3,000 titisan air liur dikeluarkan setiap kali batuk malahan semasa bersin
pula lebih banyak titisan air liur dikeluarkan iaitu sebanyak 40,000
titisan. Titisan yang lebih berat akan jatuh ke permukaan objek atau lantai
akibat graviti dan yang lebih ringan pula akan tersebar di udara. Orang
lain kemudiannya mendapat jangkitan COVID-19 dengan menyentuh
permukaan yang telah tercemar dengan virus tersebut. Kumpulan yang
berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan ini adalah seperti warga emas
tanpa mengira masalah kesihatan. Selain itu, mereka yang mengalami
masalah kesihatan seperti penyakit diabetes atau kencing manis, penyakit
jantung dan sebagaiya. Hal ini terjadi kerana semakin lemah sistem
pertahanan badan, semakin berisiko untuk mendapat jangkitan ini.

Dengan penyebaran virus di semua negeri dan wilayah persekutuan
di Malaysia sehingga 16 Mac, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa
mereka telah memutuskan untuk melaksanakan perintah berkurung
separa negara atau lebih dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan

27COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

(PKP). Perintah ini dilaksanakan dari 18 Mac hingga 31 Ogos 2020
untuk mengekang pertambahan kes positif dalam negara. Setelah
berlakunya pandemik di seluruh negara, kerajaan memperkenalkan
pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu seperti aktiviti sosial,
pembelajaran dan pengajaran, perkahwinan dan juga keagamaan. Semua
kaedah yang diperkenalkan ini akan dikategorikan sebagai norma baharu
yang menjadi fenomena baharu kepada masyarakat di negara ini.

Penjagaan kebersihan dan jarak sosial menjadi agenda utama di negara
ini untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan. Kini, rakyat
Malaysia disarankan untuk mengamalkan 3W iaitu “wash” (cuci), ”wear”
(pakai) dan “warn” (amaran). Amalan ”wash” ini ialah kerap membasuh
tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman apabila
berada di mana sahaja. Amalan ”wear” pula ialah memakai penutup muka
dan hidung untuk mengelakkan diri daripada menyebarkan virus atau
bakteria kepada orang lain manakala “warn” ialah amaran yang harus
dipatuhi oleh semua masyarakat.

Misalnya, budaya bersalaman yang menjadi amalan sebelum ini telah
diganti dengan hanya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat
tanpa memerlukan sebarang sentuhan. Selain itu, mengamalkan etika
batuk dan bersin yang betul. Sepertimana yang sering kita lihat, ramai
orang yang batuk dan bersin dengan cara yang tidak betul di merata tempat
seperti di tempat awam, tempat kerja dan sebagainya. Justifikasinya, etika
batuk dan bersin yang betul ialah dengan menutup mulut atau hidung
dengan tisu atau sapu tangan. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam
tong sampah dengan serta-merta. Jika tidak ada tisu atau sapu tangan,
gunakan tangan untuk menutup mulut serta hidung dan cuci tangan
selepas itu. Dalam pada itu, segera dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan
yang terdekat sekiranya bergejala. Kesannya ialah dapat mengurangkan
kluster-kluster baharu di negara ini. Rentetan senario ini, masyarakat
disarankan agar duduk di rumah untuk mengurangkan batas pergerakan
di luar. Sesungguhnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Di
samping itu, norma baharu di sekolah bakal menjadi amalan biasa bagi
murid-murid di mana mereka tidak digalakkan berkongsi alat tulis atau
barangan peribadi. Suhu badan murid, guru dan pekerja perlu diambil
sebaik sahaja mereka tiba di sekolah. Jika suhu melebihi 37.5 darjah
celcius, murid akan diletakkan di bilik isolasi dan ibu bapa atau penjaga
perlu segera mengambil anak masing-masing jika perlu dihantar pulang.
Murid perlu mencuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman
sebelum masuk ke kelas. Selanjutnya, memastikan warga sekolah patuh

28 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

pada pelan laluan pergerakan terarah. Aktiviti luar kelas dan perhimpunan
adalah dilarang. Di dalam kelas, guru hendaklah memastikan susunan
meja bagi setiap kelas berada dalam jarak satu meter antara satu sama
lain. Bagi sekolah berasrama pula, susunan katil, meja, almari pakaian
dan meja makan perlu disusun dengan penjarakan 1 meter. Bilangan
katil yang dibenarkan bergantung kepada saiz sesebuah bilik. Jika asrama
menggunakan katil dua tingkat, hanya katil bawah sahaja yang dibenarkan.

Seterusnya, ramai yang menggunakan peluang PKP ini untuk bernikah
dengan pasangan pilihan kerana tidak memerlukan perbelanjaan yang
banyak. Maka, SOP perkahwinan yang perlu dipatuhi oleh penganjur
majlis adalah had kapasiti kehadiran pengunjung seramai 250 orang
dengan mewajibkan penjarakan sosial dilaksanakan dan tempoh
penganjuran yang dibenarkan juga adalah selama tiga hingga lima jam.
Majlis tidak dibenarkan sekiranya penganjur sukar untuk mengawal
keadaan dan perilaku tetamu. Hidangan makanan dalam bentuk buffet
atau layan diri adalah tidak dibenarkan bahkan perlu memastikan
tetamu makan dalam kedudukan penjarakan sosial dan tidak berkumpul
semasa makan.

Dari sudut yang lain, aktiviti keagamaan sama ada Islam atau bukan
Islam yang sering dilihat sebelum ini mungkin tidak lagi berlaku selepas
SOP telah diperkenalkan. Tamsilnya, langkah-langkah yang perlu
dipatuhi apabila berada di masjid atau rumah ibadat adalah dengan
membuat pemeriksaan suhu badan, menyediakan buku rekod kehadiran
untuk mencatat suhu dan butiran diri malahan bilangan kehadiran
penganut agama perlu tertakluk kepada saiz rumah ibadat atau masjid
tersebut. Bagi umat Islam pula dikehendaki membawa sejadah atau lapik
untuk kegunaan sendiri. Masjid atau rumah ibadat haruslah ditutup
dengan segera bagi mengelakkan penganut agama melengahkan masa
dan berkumpul.

Sebagai penutup wacana, semua masyarakat konvensional hendaklah
berganding bahu dengan kerajaan kerana sudah terang lagi bersuluh pihak
kerajaan dan barisan hadapan telah bersusah payah untuk melindungi
kita daripada virus ini. Segala usaha yang efektif dan drastik ini pasti
akan membuahkan hasil persis kata mutiara “usaha tangga kejayaan”. Kita
teguh kita menang.

29COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN



Ceritera Satu Malam

Oleh: Faizal Jerawi

Faiz merebahkan badannya di kerusi sofa. Seharian mengemas rumah
di bahagian ruang tamu menyebabkan Faiz kepenatan. Hanya beberapa
minit sahaja Faiz terlena. Aku terpandang sebuah novel di atas meja
kepunyaan Faiz.

Simon keluar dari bilik tidurnya. Simon adalah rakan sekerja Faiz
di pusat membeli belah Giant yang berhampiran dengan rumah sewa
mereka. Waktu begini orang lain berehat atau tidur, tetapi Simon lebih
suka membersihkan ruang bilik tidurnya. Mungkin dia bosan atau tidak
mahu diganggu. Mungkin juga belum bersedia dengan kebiasaan baharu
kerana pandemik COVID-19 yang merebak sekarang ini. Aku mengomel
sendirian.

Aku tertarik dengan sesuatu yang dipikul oleh Simon dari biliknya.
Sebuah tempayan lama yang berwarna kuning kehitaman. Simon terus
membawa tempayan yang sebesar pemeluk itu menuju ke luar rumah.
Tempayan itu diletakkan di sudut penjuru luar rumah.

Lima minit selepas itu, bunyi kuat seakan tempayan dipecahkan. Faiz
terbangun. Aku yakin bunyi itu datang dari arah luar rumah. Begitu
juga Faiz. Faiz bangkit terus menghampiri pintu masuk dan segera
membukanya. Perlahan-lahan kepalanya menjenguk sedikit dari pintu.
Matanya kemudian memandang sekeliling di kawasan luar rumah.
Tiada kelihatan seperti barang yang jatuh atau pecah. Tiada apa-apa
yang mencurigakan.

Faiz kemudian duduk di sofa. Dia merebahkan keseluruhan badannya.
Serentak itu, badannya terangkat kembali kerana terkejut. Telefon
pintarnya berbunyi. Pesanan ringkas dari Wong, rakan satu sekolah
dengannya dahulu. Faiz menarik nafas panjang dan cuba untuk lebih
bertenang. Dia kemudian mengambil telefon pintarnya yang berada di
atas meja dan membaca pesanan itu.

31COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Faiz bungkam. Dia hanya mendiamkan diri. Tempayan itu berada
di dalam bilik Simon! Simon pernah memberitahu kepadanya bahawa
tempayan itu dihadiahkan oleh rakannya. Rupa-rupanya, tempayan itu
dicuri oleh Simon.

Faiz menggeleng. Badannya yang kurus direbahkan ke sofa. Kepalanya
memandang ke atas. Matanya merenung tajam ke arah kipas yang
berpusing laju di siling.

Pandangan Faiz tepat ke arah pintu bilik Simon. Pandangan yang
penuh teka teki. Dia kemudian melangkah menuju ke bilik Simon.
Selangkah lagi kakinya menghampiri pintu bilik tidur Simon. Belum
sempat Faiz mengetuk, tombol pintu terbuka. Faiz terkejut. Simon
kemudian memandang Faiz lalu bertanya,

“Kau ni dah kenapa? Kena rasuk ke?”

Seketika, Faiz memandang tepat ke mata Simon terus menelan sekaligus
air liur yang bertakung di dalam kerongkongnya. Dia terus bertanya,

“Tempayan yang ada di dalam bilik kau tu, kau curi?”

Simon menggaru-garu kepalanya yang tidak terasa gatal. Selepas itu,
Simon bergerak menuju ke pintu masuk. Jari Simon menunjuk tepat ke
arah tempayan yang berada di sudut luar rumah.

Mata Faiz terbeliak. Lantas Faiz menarik lengan Simon dan melangkah
masuk ke dalam rumah. Simon kehairanan dengan tindakan Faiz. Setelah
mereka berdua berada di tengah-tengah ruang tamu. Faiz menyerahkan
telefon pintarnya kepada Simon. Simon segera membaca pesanan ringkas
dari Wong. Dia pun bertanya,

“Kita nak buat apa sekarang?”

Faiz yang masih berdiri di hadapan Simon hanya memandang muka
rakannya yang bulat itu. Pandangan yang keruh.

“Masa kau curi tak tanya aku. Ada masalah kau tanya pendapat aku,”
jawab Faiz. Sesaat Simon terkedu.

Tiada sebutir kata keluar dari mulut mereka selepas itu. Sesekali
anak mata Simon melekat di dinding pintu masuk. Simon kemudian
memulakan perbualan antara mereka,

32 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

“Aku ambil dari rumah kosong di lorong mati hujung sana. Aku
tertarik dengan ukiran naga pada badan tempayan itu. Aku tidak tahu
tempayan itu barang misteri,” ujar Simon.

“Itu hak orang. Kita mana boleh mengambil sesuka hati. Apatah lagi
dengan niat hendak mencuri,” perli Faiz sambil mencebik.

“Aku tahu lah aku salah. Bagaimana kita hendak letak ke tempat
asalnya?” tanya Simon menampakkan wajahnya yang ditutupi rasa
kekesalan.

Dahi Faiz berkerut. Bulu keningnya yang tebal seakan bersambung.
Pandangannya melintasi aku yang ada di depannya menuju terus ke
dinding yang berwarna hijau. Manakala, Simon hanya merenung pintu
masuk bersama seribu kemungkinan bermain di fikirannya.

Jam menunjukkan tepat 12 tengah malam. Simon bersuara memberi
pendapat yang tak masuk akal,

“Letak tempayan itu di tepi longkang atau tepi jalan raya besar. Selesai
masalah.”

“Kau fikir itu bayi!” balas Faiz dengan selamba.

Simon menggaru kepalanya dan kali ini betul-betul terasa gatal.
Faiz kemudian mengambil telefon pintarnya. Dia terus melihat laman
muka buku miliknya. Dia terpandang laman muka buku abang iparnya
yang juga salah seorang anggota polis. Abang iparnya ditugaskan untuk
meronda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. Faiz menoleh
ke arah Simon. Dia pun berkata,

“Nasib kau memang baik…”

Simon memandang tepat ke wajah Faiz.

“Siang nanti aku telefon abang ipar aku. Kita minta pertolongan dia,”
jelas Faiz. Bibir Simon mengukir senyuman setelah mendengar penjelasan
dari Faiz. Hatinya sedikit tenang.

Jarum jam bergerak menghampiri pukul 3 pagi. Simon melunjurkan
kakinya di atas sofa. Saat itu juga, perut Simon terasa kosong-lapar.

Faiz kemudian memandang tepat ke arah aku. Sesaat, kami berbicara
tanpa suara. Kalian ingin tahu siapa aku? Aku adalah sebuah televisyen
yang diperbuat daripada bahan elektronik.

33COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN



Hayati dan Kluster Jelita

Oleh: Nurul Noorhayati binti Sarkawi

Permulaan tahun baru dengan azam dan semangat baru. Begitu juga aku,
2021 awal tahun baru yang aku mulakan dengan semangat berkobar-
kobar yang hanya diriku dan diri-Nya tahu seperti apa. Namun Allah
lebih mengetahui segala-galanya. Malah perancangan Dia lebih baik.

Awal 2021, Januari. Aku disahkan positif covid-19 tahap 2 dibawah
kluster Jelita. Perasaan aku kosong ketika menerima berita tersebut. Tiada
kata yang mampu aku ungkapkan, lidahku seakan kelu. Seusai mengemas
barang-barang keperluan yang akan dibawa ke pusat kuarantin aku pun
diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menaiki van.
Tiada pelukan terakhir atau bersalaman antara kami sekeluarga. Betapa
hebatnya Allah ciptakan makhluk kecil yang tak nampak dipandangan
kita. Subhanallah!

Sepanjang perjalanan aku bermonolog di dalam hati. “Hebatnya
Engkau wahai Allah, Engkau beri pada masa dan keadaan yang sangat
sesuai. Disaat aku sudah menyiapkan persiapan rapi berkenaan dengan
tugasan di sekolah, di saat aku sudah menyiapkan cuti rehat tanpa gaji
selama seminggu namun belum aku hantar.” Pada awalnya aku memang
sudah merancang untuk meminta cuti tanpa gaji untuk berehat seketika
sebelum mulai sesi persekolahan.

Namun baiknya Allah yang Maha Mengetahui semuanya. Seperti
pakej yang Allah sediakan. Dua minggu, makanan percuma, tempat
tinggal percuma, bermacam ragam manusia untuk aku belajar sesuatu
dari mereka dan baiknya semua pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia
yang bersama dengan kami pesakit covid sepanjang tempoh kuarantin.

Aku adalah orang yang pernah terfikir bahawa aku takkan dijangkiti
covid-19 kerana aku tahu aku bukanlah orang yang suka keluar tanpa
keperluan dan suka berada di tempat yang sesak. Tetapi Allah maha
kuasa, sekelip mata Allah tarik nikmat tak bertemu dengan keluarga dan
orang-orang tersayang.

35COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

Di hospital dan pusat kuarantin bermacam ragam manusia dan
pengajaran yang aku perolehi iaitu ada yang sihat tiba-tiba boleh rebah
dan dimasukan ke dalam unit rawatan rapi kerana koma, ada yang
kematian orang tersayang dan tiada tatapan terakhir buat mereka, ada
yang tertekan kerana tidak dapat menerima apa yang terjadi, ada juga
yang terus dibuang kerja oleh syarikat dan ada yang rumahnya banjir
dimasuki air dan tiada apa yang mereka boleh lakukan. Namun ada juga
pakcik, makcik, kakak dan abang yang aku lihat bangun di awal pagi
untuk menunaikan solat tahajud dan setiap kali usai menunaikan solat
terdengar alunan ayat suci al-Quran yang dibaca.

Hayati dan Kluster Jelita. Hadiah dari Allah SWT buat diriku yang
sentiasa lupa. Hadiah itu tak selalu dibungkus dengan indah. Terkadang
Allah SWT membungkusnya dengan masalah, tetapi di dalamnya ada
hikmah dan barakah. Semoga aku dan kalian sentiasa diberi pandangan
hikmah untuk melihat seperti apa setiap sesuatu yang Allah beri itu.

“Terima kasih Ya Allah.”

*Aku kongsikan beberapa gambar yang menjadi kenangan untuk aku
sepanjang tempoh kuarantin.

36 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

37COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN

38 COVID 19 PERKONGSIAN PENGALAMAN


Click to View FlipBook Version