The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by norasiahipis, 2020-04-13 04:23:24

NILAI MODAL INSAN DALAM NOVEL TEKS KOMSAS

DR. NORASIAH BINTI HJ. ABDULLAH

Keywords: MODAL INSAN,NILAI,KOMSAS

Seterusnya, dan sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal bab ini, perkataan
“KOMSAS” merupakan akronim bagi “Komponen Kesusasteraan” dalam Mata
Pelajaran Bahasa Melayu”. Istilah “KOMSAS” merupakan gabungan dua perkataan
penting iaitu “komponen” dan “kesusasteraan.” KOMSAS merupakan komponen
wajib dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah-sekolah menengah
di Malaysia (Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009, 2009). KOMSAS diperkenal serta
dilaksanakan antaranya dengan objektif untuk menekankan pemupukan dan
penghayatan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia. Seiring dengan objektif ini,
KOMSAS antara lain diwujudkan bagi mendidik murid-murid membaca serta
mengapresiasi karya-karya sastera, selain mengenal nama pengarang berdasarkan
karya yang telah diperakui seperti para Sasterawan Negara (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 1999: 3). Untuk tujuan itu, KOMSAS memberi pendedahan kepada
murid-murid tentang aspek-aspek asas sesuatu genre sastera seperti novel, cerpen,
drama, prosa tradisional, puisi tradisional dan sajak. Ini termasuklah mengenal dan
menggunakan istilah-istilah sastera, tema dan persoalan, aspek penciptaan karya
sastera seperti pembinaan plot dan latar, selain menilai mesej, pengajaran, nilai-nilai
kemanusiaan kemasyarakatan serta kebudayaan termasuk menaakul tema atau
pemikiran (Pusat Perkembangan Kurikulum, 1999: 3). Dengan objektif serta
orientasinya yang sedemikian, aspek penting yang menunjangi KOMSAS ialah karya
sastera yang dipilih menjadi “teks KOMSAS.” Dalam hal ini, sebuah jawatankuasa
khas ditubuhkan oleh PPK bagi memilih karya sastera untuk dijadikan sebagai “teks
KOMSAS.” Dalam proses pemilihan teks, PPK menggariskan peraturan serta
prosedur pemilihan tertentu, iaitu adalah bahan/karya/teks/buku yang dipilih mesti
selaras dengan kehendak FPK, Kurikulum Kebangsaan, Sukatan Pelajaran dan
Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Elektif (Utusan
Online, 28 Januari 2008). Selain itu, prosedur lain yang perlu dipatuhi ialah membuka
tawaran kepada semua penerbit, dengan mengambil kira bahan karya/teks/buku yang
diterima antaranya karya-karya hasil nukilan para Sasterawan Negara, pemenang SEA-
WRITE Award, pemenang Hadiah/Sayembara, tokoh sastera, penulis sastera, penulis
berbakat/harapan/potensi dan penggiat sastera.

Seterusnya, dan berdasarkan pemahaman terhadap perkataan “novel”, “teks” dan
konsep “KOMSAS” seperti yang difahami di atas, takrifan operasional bagi frasa
“novel teks KOMSAS” dapat dilakarkan. Secara operasional, dapat ditakrifkan
bahawa frasa “novel teks KOMSAS” dalam kajian ini diguna pakai bagi merujuk
kepada “novel-novel yang telah dipilih untuk dijadikan sebagai bahan dalam
pengajaran KOMSAS.” Takrifan ini turut menjadi kriteria dalam pemilihan bahan
kajian.

1.8 Pembahagian dan Organisasi Bab

Kajian ini secara keseluruhannya mempunyai lima bab yang disusun mengikut tertib
kepentingan, berkesinambungan dan saling melengkapi. Sebagaimana sedia ada, Bab
1 distrukturkan bagi menghujahkan tentang permasalahan kajian, yang seterusnya
membentuk objektif-objektif kajian, pemilihan bahan kajian dan kerangka analisis
(metodologi), termasuk takrifan operasional terhadap kata kunci-kata kunci yang
digunakan sepanjang kajian ini, dan kepentingan kajian. Secara keseluruhannya, Bab

31

1 berusaha untuk menjelaskan tentang hala tuju kajian ini yang akan direalisasikan
dalam bab-bab yang selanjutnya.

Sehubungan itu, Bab 2 diperuntukkan bagi menyoroti secara lebih khusus kajian-
kajian ilmiah yang telah diusahakan sehingga kini berkaitan fokus kajian. Untuk itu,
bab ini dibahagikan kepada tiga sub topik yang menyoroti kajian-kajian ilmiah sedia
ada tentang aspek-aspek yang integral dalam kajian ini iaitu “nilai”, “modal insan”
dan “novel teks KOMSAS.” Perbincangan dalam bab ini dilakukan dengan menyoroti
kajian-kajian ilmiah antaranya berupa tesis kedoktoran dan tesis sarjana, artikel, bab
dalam buku dan kertas kerja konferensi dan seminar. Perbincangan dalam bab ini
diharap dapat memberikan gambaran serta pemahaman secara lebih komprehensif
terhadap korpus literatur berkaitan fokus kajian ini.

Seterusnya, Bab 3 akan menjelaskan secara menyeluruh tentang metodologi atau
kerangka yang diguna pakai untuk menganalisis teks-teks yang dikaji. Untuk itu, bab
ini akan dimulakan dengan perbincangan tentang latar belakang Abdullah sebagai
pencetus gagasan Modal Insan. Turut dibincangkan ialah reaksi serta resepsi kritis
terhadap gagasan Modal Insan. Lebih penting lagi, bab ini akan melakarkan secara
eksplisit nilai-nilai yang terangkum dalam gagasan Modal Insan dalam satu organisasi
yang sistematik. Organisasi nilai-nilai Modal Insan secara sistematik ini penting bagi
membolehkan kajian ini untuk menganalisis teks-teks yang dikaji, iaitu novel teks
KOMSAS. Untuk itu, perbincangan dalam Bab 3 akan memanfaatkan sumber-sumber
berupa tesis kedoktoran dan tesis sarjana, artikel, bab dalam buku, teks ucapan, dan
kertas kerja konferensi dan seminar. Perbincangan dalam Bab 3 diharap dapat
mengorganisasikan nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan Modal Insan dalam
satu kerangka analisis yang sistematik, yang juga merupakan Objektif Pertama kajian
ini.

Lanjutan daripada bab-bab di atas, Bab 4 kajian ini akan menganalisis novel-novel
teks KOMSAS yang dijadikan sebagai bahan kajian. Analisis ini akan dilakukan
berdasarkan nilai-nilai yang terkandung dalam gagasan Modal Insan yang telah pun
diorganisasikan dalam satu kerangka analisis yang sistematik, seperti yang diusahakan
dalam Bab 3. Untuk itu, analisis akan dibahagikan kepada 13 sub topik yang
didasarkan kepada nilai-nilai dalam kerangka Modal Insan yang telah diorganisasikan
dalam bab sebelumnya. Analisis dalam Bab 4 penting dalam merealisasikan Objektif
Kedua kajian ini, iaitu menganalisis novel-novel teks KOMSAS menurut kerangka
Modal Insan.

Akhir sekali, Bab 5 akan merumuskan hasil analisis teks yang dikaji yang diperoleh
dalam Bab 4. Bab ini akan merumuskan dapatan kajian dalam konteks keseluruhan
tesis termasuk permasalahan dan objektif-objektif kajian, metodologi, bahan kajian
dan kepentingan kajian. Rumusan ini juga tertumpu pada soal kesesuaian nilai-nilai
yang terkandung dalam novel-novel yang dipilih sebagai teks KOMSAS, dengan
kerangka Modal Insan yang merupakan agenda nasional negara. Bab 5 ini penting bagi
merealisasikan Objektif Ketiga, yang merupakan objektif terakhir kajian ini.

32

1.9 Kepentingan Kajian
Secara umumnya, kajian ini penting bagi memperkayakan lagi korpus penyelidikan
dan kesarjanaan dalam bidang kesusasteraan Melayu. Secara khusus, kajian ini
berguna bagi merungkaikan permasalahan tentang pelaksanaan KOMSAS
terutamanya soal kesesuaian karya-karya sastera yang dipilih sebagai teks KOMSAS,
sebagaimana yang telah dihujahkan pada awal kajian ini. Kesesuaian ini penting bagi
merealisasikan FPK yang menekankan terhadap soal keseimbangan aspek jasmani,
emosi, rohani dan intelek. Sehubungan dengan itu juga, kajian ini diharap dapat
memantapkan lagi penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan melalui penekanan
terhadap aspek pembangunan modal insan. Akhirnya, kajian ini diharap dapat merintis
terhadap usaha-usaha ilmiah yang selanjutnya terutamanya dalam bidang
kesusasteraan, pendidikan dan pembangunan Modal Insan.

33



BAB 2

SOROTAN LITERATUR

2.1 Pengenalan

Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, Bab 2 diperuntukkan bagi menyoroti secara
lebih khusus serta mendalam kajian-kajian ilmiah yang sehingga kini telah diusahakan
berkaitan fokus kajian ini, iaitu persoalan “nilai”, “modal insan” dan “novel teks
KOMSAS.” Untuk itu, bab ini dibahagikan kepada tiga sub topik yang berlainan,
yang pada dasarnya bertujuan untuk menyoroti korpus literatur berkaitan fokus kajian.
Dengan demikian, setiap sub topik akan menyoroti kajian-kajian ilmiah yang dianggap
signifikan berkaitan fokus kajian. Kajian-kajian ilmiah yang disoroti ini, antaranya
berupa tesis kedoktoran dan sarjana, artikel, bab dalam buku dan kertas kerja yang
dibentangkan di konferensi atau seminar. Sorotan ini diharapkan dapat memberi
pemahaman yang lebih komprehensif terhadap korpus literatur berkaitan fokus kajian.
Pemahaman ini penting terutamanya dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi
permasalahan yang telah dihujahkan dalam bab sebelumnya, selain memperjelaskan
lagi kesignifikanan kajian yang diusahakan ini.

2.2 Korpus Literatur Berkaitan “Nilai”

Perbincangan ini dimulakan dengan meneliti tulisan Zurina Mahadi dan Hukil Sino
dalam artikel bertajuk “Hubungan Nilai Masyarakat dan Pembangunan Satu Analisa”
(2007). Dalam tulisan ini, Zurina Mahadi dan Hukil Sino antara lain menjelaskan
bahawa seringkali wujud konflik dalam pemilihan dan penetapan nilai-nilai dalam
masyarakat. Ini disebabkan terdapat beberapa faktor seperti komitmen sosial, budaya,
ekonomi dan politik. Menurut Zurina Mahani dan Hukil Sino lagi, keperluan hidup
yang berbeza serta cara kehidupan manusia yang sentiasa berubah mengikut peredaran
zaman, dianggap menyukarkan pembinaan sistem nilai yang dapat memuaskan hati
semua pihak. Namun begitu, perbezaan dan perubahan tentang kepelbagaian sistem
nilai yang didukung oleh sesebuah kehidupan masyarakat dilihat sebagai satu
perkembangan positif untuk meningkatkan taraf hidup. Hal ini kerana kepelbagaian
sistem nilai dianggap menyumbang dan memperkayakan sebuah kehidupan. Lebih
penting daripada itu, kepelbagaian sistem nilai mewujudkan hubungan saling
melengkapi antara satu sama lain dalam memahami konsep nilai yang berbeza dalam
kehidupan bermasyarakat, sebagaimana yang dijelaskan oleh Zurina Mahadi dan
Hukil Sino dalam petikan berikut:

Setiap negara seharusnya mengekalkan ciri-ciri uniknya dan
berupaya menjana kekuatan daripada nilai-nilai dalamannya
sendiri. Sekiranya suatu pembangunan tersebut ingin memenuhi
harapan dan jangkaan masyarakat, ia perlu memiliki matlamat dan

34

kaedah yang dipilih oleh masyarakat sendiri (Zurina Mahadi dan
Hukil Sino, 2007: 92).

Seterusnya, Sidek Baba (seterusnya Sidek) dalam buku bertajuk Melayu Perkasa
(2009b) berpendapat bahawa modal insan yang berkualiti memerlukan etika, ilmu dan
nilai untuk terus cemerlang. Aspek nilai menjadi faktor yang amat penting dalam
proses membangunkan modal insan. Nilai juga merupakan sumber hikmah yang
datang dari Allah SWT kepada manusia untuk menjamin sebuah kehidupan yang
sempurna. Nilai-nilai rohaniah yang terkandung dalam al-Quran memberi kesan
terhadap nilai-nilai baik dalam kehidupan seseorang itu. Sistem nilai dalam kehidupan
manusia dianggap mempengaruhi sebuah kehidupan dan menjadi tunjang kepada
pembangunan insan. Nilai-nilai yang diamalkan ini turut menunjangi tindakan
perlakuan yang dipamerkan oleh seseorang individu dalam tindakan kehidupan
seharian. Oleh yang demikian, nilai menjadi pengimbang dan memandu manusia
menuju ke arah kehidupan yang sempurna dan bermanfaat, sebagaimana yang
dijelaskan oleh Sidek dalam petikan berikut:

Apa lagi kalau nilai itu datangnya dari al-Quran dan pedoman yang
berguna itu datangnya dari sunnah Rasulullah SAW, sudah tentu
ianya bakal membimbing manusia ke arah sesuatu yang lebih baik
(Sidek Baba, 2009b: 76).

Seterusnya, Shuhairimi Abdullah (seterusnya Shuhairimi) dalam artikel bertajuk
“Memperkasakan Pembangunan Insan Melalui Amalan Infaq” (2013) menjelaskan
bahawa nilai-nilai yang berteraskan ajaran agama penting dalam pembangunan modal
insan. Misalnya, masyarakat yang dididik dengan nilai-nilai yang berteraskan agama
dikatakan dapat membina budaya masyarakat yang unggul dan bertoleransi.
Penerimaan masyarakat yang berbeza agama terhadap kepelbagaian nilai dan budaya
dalam masyarakat dianggap dapat mewujudkan sistem sosial yang seimbang.
Keseimbangan yang lahir hasil daripada agama memenuhi tuntutan rohani dan
jasmani. Menurut Shuhairimi (2013: 180), modal insan yang seimbang ialah
pembangunan yang memberi keutamaan kepada keseimbangan keperluan dunia dan
juga akhirat. Nilai akhlak dianggap sebagai kawalan sosial bagi umat Islam dalam
memelihara tindak-tanduk individu dalam melakukan sesuatu perkara yang
bertentangan dengan agama yang membentuk norma-norma masyarakat. Antaranya,
amalan infaq yang merupakan sebahagian daripada nilai tertinggi dalam kerangka
kebajikan yang dituntut dilakukan oleh manusia. Melalui nilai-nilai agama, individu
yang berakhlak baik dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara
yang bertentangan dengan nilai, sebagaimana yang dijelaskan oleh Shuhairimi dalam
petikan berikut:

Begitu juga pada ayat yang lain, Allah SWT mengutarakan kepada
manusia bahawa infaq merupakan sebahagian daripada nilai
tertinggi dalam kerangka kebajikan yang dituntut dilakukan oleh
manusia. Penjelasan tersebut dapat dilihat berpandukan firman

35

Allah SWT dalam al-Qur’an, Surah Ali Imran Ayat 92 (Shuhairimi
Abdullah, 2013: 178).

Pengamatan diteruskan terhadap kertas kerja oleh Khairuzzaman Othman berjudul
“Nilai: Penentu Kelangsungan Peradaban Bangsa” (2007). Kertas kerja ini
menjelaskan bahawa nilai sebagai sesuatu yang abstrak. Hal ini kerana nilai tidak
dapat ditunjukkan secara fizikal, tetapi boleh dilihat daripada sifat yang dizahirkan
melalui perilaku seseorang. Selain itu, nilai juga dianggap sebagai set pegangan yang
menjadi asas kepada pembentukan sikap dan tingkah laku manusia. Menurut kertas
kerja ini, nilai mempunyai hubung kait dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Misalnya, perasaan kasih sayang serta hubungan dengan budaya. Kertas kerja ini turut
memperkatakan tentang nilai-nilai yang masih menebal dalam kalangan masyarakat.
Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti kenduri yang masih mengekalkan nilai
kesepakatan dan kebersamaan yang dizahirkan melalui semangat gotong royong.
Justeru, nilai-nilai sedemikian perlu dipelihara bagi menentukan kelangsungan
peradaban bangsa, sebagaimana yang dijelaskan oleh Khairuzzaman Othman dalam
petikan berikut: “Penerapan nilai-nilai positif yang eksistensinya sudah wujud dalam
fitrah manusia itu akan dapat membentuk satu budaya yang akhirnya tercipta satu
peradaban” (Khairuzzaman Othman, 2007: 174).

Pengamatan diteruskan terhadap kertas kerja oleh Samsina Abd. Rahman bertajuk
“Nilai Hidup Dulu dan Nilai Hidup Kini dalam Ungkapan Bahasa Puisi” (2007).
Kertas kerja ini meneliti nilai-nilai hidup yang tercermin dalam ungkapan-ungkapan
bahasa puisi. Kertas kerja ini juga bertujuan membicarakan nilai hidup dulu dan kini,
yang diungkapkan dalam puisi Melayu tradisional dan moden. Kertas kerja ini
menjelaskan bahawa manusia perlu sentiasa diajar untuk hidup berbudi dan berbahasa,
bermuafakat dan saling membantu, mengamalkan ajaran-ajaran Islam dan
menjalinkan hubungan baik sesama manusia. Turut berpendapat bahawa bahasa puisi
mampu menjadi wahana ke arah kehidupan yang berbudi yang merangkumi seluruh
aspek kehidupan manusia dari dahulu hingga hari ini, sebagaimana yang disimpulkan
dalam petikan berikut:

Buat mereka yang telah berubah daripada landasan nilai-nilai hidup
yang murni, para penyair yang amat sensitif dan kreatif, sentiasa
berusaha mengingatkan, mengajak dan berpesan melalui ungkapan-
ungkapan puisi dari dulu hinggalah kini tanpa rasa putus asa dan
jemu demi memelihara dan memulihara keharmonian,
kesejahteraan dan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat nanti
(Samsina Abd. Rahman, 2007: 185).

Pengamatan diteruskan terhadap kertas kerja oleh Emilly Anak Sakai dan Mohd.
Dahlan A. Malek bertajuk “Konsep Integriti dan Nilai-nilai Murni Terhadap
Kesejahteraan Hidup dalam Kalangan Pelajar Universiti yang Tinggal di Bandar dan
Luar Bandar: Satu Kajian di Universiti Malaysia Sabah” (2014). Kertas kerja ini
menjelaskan tentang nilai-nilai murni yang menjadi asas serta pegangan dan amalan
yang baik bagi membantu pelajar ke arah yang lebih sejahtera dan harmoni. Kertas

36

kerja ini berpendapat bahawa sekiranya seseorang individu menerima sesuatu nilai
untuk dirinya, nilai tersebut akan memberi manfaat yang berguna untuk kehidupan
diri. Kertas kerja ini menghujahkan bahawa tanpa penerapan nilai dan kebaikan,
golongan muda khususnya remaja mudah terpengaruh dengan unsur-unsur negatif.
Kertas kerja ini memberikan gambaran bahawa pelajar di negara ini mempunyai nilai
yang mendalam dan mampu memimpin diri mereka sebagaimana yang disimpulkan
oleh Emilly dan Mohd Dahlan dalam petikan berikut:

Hasil kajian dapat memberikan gambaran bahawa remaja terutama
golongan pelajar di negara ini masih mempunyai nilai yang begitu
mendalam dalam memimpin hidup mereka ke arah yang lebih
sejahtera (Emilly Anak Sakai dan Mohd. Dahlan A. Malek, 2014:
9).

Pengamatan diteruskan terhadap kertas kerja oleh Lee Lam Thye bertajuk
“Pemupukan Nilai-nilai Murni dalam Masyarakat” (2010). Dalam kertas kerja ini,
beliau berpendapat bahawa program peningkatan nilai murni dalam kalangan rakyat
patut diberikan keutamaan dan dijadikan agenda utama dalam menuju ke arah negara
maju. Hal ini kerana tanpa sistem nilai, pembangunan pesat tidak memberi makna.
Menurut kertas kerja ini lagi, usaha untuk menanam motivasi dalaman (intrinsik)
dalam kalangan remaja tidak boleh diabaikan dan memerlukan penglibatan bersama.
Usaha ini penting bagi memastikan generasi muda menjadi penggerak kemajuan
negara. Oleh yang demikian, semua pihak perlu berusaha agar generasi ini tidak
hanyut dalam arus pemodenan yang boleh mengundang kepada masalah sosial.
Menurut Lee Lam Thye lagi, pembentukan nilai-nilai dianggap tidak sekadar
memenuhi kehendak setiap anggota keluarga, tetapi juga kehendak masyarakat dan
negara. Untuk itu, institusi keluarga disarankan membina dan mendidik anak-anak
dengan program penerapan dan peningkatan nilai-nilai murni, sebagaimana yang
disimpulkan oleh beliau dalam petikan berikut:

Generasi muda harus dididik dan dipupuk dengan nilai-nilai murni
dan akhlak yang mulia supaya mereka mempunyai kesedaran dan
arah yang jelas dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan (Lee
Lam Thye, 2010: 12).

Lanjutan daripada pemahaman di atas, perbincangan seterusnya akan menyoroti
beberapa kajian ilmiah berkaitan persoalan nilai dalam kesusasteraan Melayu yang
telah diusahakan sehingga kini.

Justeru, pengamatan ini diteruskan dengan meneliti tesis master oleh Norita Ariffin
berjudul “Nilai Budi Masyarakat Melayu dalam Pantun” (2006). Tesis ini bertujuan
untuk meneliti nilai-nilai budi masyarakat Melayu dalam kumpulan Pantun Melayu
Bingkisan Permata (2001) oleh Harun Mat Piah. Tesis ini juga bertujuan untuk
mengenal pasti nilai budi yang dominan dalam pantun yang dipilih, dan mengenal
pasti sejauh mana penciptaan pantun dapat menggambarkan serta mencerminkan nilai

37

budi masyarakat Melayu. Tesis master ini dijalankan terhadap pantun menerusi buku
Pantun Melayu Bingkisan Permata (2001). Buku ini mengumpul sejumlah 4000
pantun yang terdiri daripada pelbagai jenis, bentuk, tema dan isi. Tesis ini mendapati
bahawa keseluruhan pantun yang dikaji memaparkan nilai murni secara langsung atau
tidak langsung. Pantun yang dipilih bertujuan untuk menyampaikan amanat dan
perutusan yang bersifat didaktik, membina dan membimbing kepada kebenaran. Buku
ini mengumpulkan tema yang menjadi keutamaan iaitu nilai berbudi bahasa
masyarakat Melayu. Tesis ini merumuskan bahawa nilai budi masyarakat Melayu
dalam pantun yang dikaji mampu mengasah pemikiran, dan sekali gus membentuk
keperibadian, sebagaimana yang disimpulkan oleh Norita dalam petikan berikut:

Pantun pilihan yang terkandung dalam bahan kajian ini mempunyai
kualiti yang baik kerana terangkum di dalamnya gagasan pemikiran
yang mantap, mengandungi unsur yang mencabar keintelektualan,
berupaya membijaksanakan khalayaknya serta sesuai dengan
persepsi serta aspirasi masyarakat. Unsur-unsur ini mampu
membantu mengembangkan minda dan membina sahsiah, di
samping menyuburkan pemikiran serta emosi masyarakat melalui
karya (Norita Ariffin, 2006: 126).

Seterusnya, perbincangan meneliti tesis master oleh Wan Marzuki Wan Mohd. Noor
bertajuk “Nilai Murni dalam Novel Imam” (2010). Tesis ini meneliti nilai-nilai murni
yang menjadi sanjungan masyarakat Melayu, dengan meneliti novel Imam (2005)
karya Abdullah Hussain. Menurut tesis master ini, kehalusan mesej dalam novel Imam
dikaitkan dengan nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada keimanan, ketakwaan
dan kecintaan manusia kepada Allah SWT. Tesis master ini turut membangkitkan
persoalan hubungan manusia dengan manusia melalui interaksi sosial, selain
memperlihatkan hubungan masyarakat dengan alam sekitar dalam menghargai
kehidupan alam. Tesis ini mendapati bahawa hubungan sesama manusia bertujuan
untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat yang dapat melahirkan
masyarakat yang makmur dan harmoni. Tesis master ini merumuskan bahawa novel
yang dikaji memperlihatkan senario masyarakat yang rata-ratanya memerlukan
bimbingan, nasihat, panduan, dan tunjuk ajar bagi memantapkan keyakinan diri serta
mematangkan pemikiran, sebagaimana yang disimpulkan oleh Wan Marzuki dalam
petikan berikut:

Nilai murni merupakan unsur yang baik dan positif, bermutu dan
berkualiti sama ada dalam pemikiran, tingkah laku atau perbuatan,
kemasyarakatan atau bidang keagamaan yang mengandungi unsur
kebenaran, kejujuran dan tidak mencemarkan budaya masyarakat
Melayu (Wan Marzuki Wan Mohd Noor, 2010: 8).

Perbincangan seterusnya meneliti tesis master oleh Syaidul Azam Kamarudin (2011)
bertajuk “Jati Diri Melayu dalam Puisi-puisi A. Aziz Deraman Dari Sudut Teori
Pengkaedahan Melayu” (2011). Tesis master ini meneliti jati diri Melayu dalam enam
kumpulan puisi A. Aziz Deraman iaitu Kau dan Aku (1994), Bahtera Madani (2001),

38

Gapura Diri (2002), Bicara Kasih (2004), Zaman Baru (2006) dan Mahligai Kencana
(2009). Pengkajian jati diri Melayu dalam puisi-puisi A. Aziz Deraman dianggap
penting bagi menonjolkan jati diri bangsa Melayu dan relevan untuk pembinaan watak
masyarakat, bangsa dan negara. Berdasarkan objektif kajian, tesis master ini dilakukan
untuk mengenal pasti dan menganalisis jati diri Melayu. Tesis master turut bertujuan
untuk mengutarakan faktor-faktor yang membantu kepada percitraan jati diri Melayu
melalui puisi-puisi. Kajian ini menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu yang
diasaskan oleh Hashim Awang. Dapatan kajian mendapati Pendekatan Moral
mendominasi puisi-puisi yang dikaryakan oleh A. Aziz Deraman. Puisi-puisi yang
dikaji didapati memancarkan citra jati diri Melayu yang kental, mantap dan berterusan
hingga kini. Aspek jati diri Melayu dikenal pasti dalam aspek bahasa dan sastera
Melayu, aspek keagamaan dan aspek kebudayaan Melayu. Justeru, ketiga-tiga teras
jati diri Melayu iaitu bahasa, budaya dan agama dianggap terkandung dalam kumpulan
puisi A. Aziz Deraman yang dikaji. Mesej-mesej yang disampaikan menyatakan
pendirian terhadap acuan budaya Melayu yang asli. Selain itu, terdapat juga ungkapan
puisi yang membawa maksud yang tersirat serta memperlihatkan kejadian alam
sebagai pengalaman hidup. Hal ini menjadikan puisi-puisi karya A. Aziz Deraman
sebagai wadah yang dapat meningkatkan nilai ketakwaan, selain menjadi alat untuk
melengkapkan persoalan. Tesis ini menyimpulkan bahawa jati diri orang Melayu yang
kukuh dan tidak dapat gugat. Jati diri yang dimaksudkan ialah kekuatan dalaman,
ketekalan dan ketabahan diri orang Melayu, sebagaimana yang disimpulkan oleh
Syaidul Azam dalam petikan berikut:

Jati diri Melayu boleh dicapai dan dikekalkan sekiranya
pemahaman dan penghayatan terhadap aspek-aspek tersebut
menjadi pegangan teguh dalam bangsa dalam diri bangsa Melayu
sehingga tidak dapat diganggu gugat lagi. Sekali gus menjelaskan
bahawa unsur bahasa, kebudayaan, dan agama merupakan aspek
yang penting, iaitu yang dikatakan Melayu ialah orang yang
beragama Islam, berbangsa Melayu dan mengamalkan adat Melayu
(Syaidul Azam Kamarudin, 2011: 220-221).

Berdasarkan kajian-kajian ilmiah di atas, dapat disimpulkan bahawa jati diri
mempunyai makna yang besar terhadap pembinaan insan. Nilai biasanya dapat dilihat
melalui perlakuan dan percakapan. Justeru, nilai menjadi ukuran dalam kehidupan
seseorang untuk bertindak dalam apa jua keadaan. Hal ini membolehkan manusia
membuat keputusan yang terbaik dalam setiap tindakan. Oleh itu, nilai perlu diajar,
dipupuk serta dipelihara dalam usaha membangunkan modal insan.

2.3 Korpus Literatur Berkaitan “Modal Insan”

Perbincangan dalam bahagian ini akan membincangkan tentang modal insan, dengan
menyoroti kajian-kajian ilmiah termasuk buku-buku, kertas kerja, tulisan-tulisan serta
ucaptama yang membicarakan mengenainya. Untuk itu, perbincangan ini dimulakan
dengan meneliti idea Abdullah yang merintis usaha untuk membangunkan gagasan
Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan insan. Dalam konteks ini, modal

39

insan dan usaha pembangunannya di Malaysia digariskan dalam apa yang
diungkapkan sebagai “Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan”, yang
dibentangkan dalam RMK-9 (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006, 2007:
42). RMK-9 antaranya menggariskan strategi modal insan untuk meletakkan mentaliti
masyarakat pada minda kelas pertama. Manakala dalam gagasan Islam Hadhari yang
dicetuskan oleh Abdullah, pembangunan modal insan diberikan perhatian khusus
melalui satu skim pendidikan menyeluruh yang merangkumi aspek kerohanian,
sebagaimana yang dijelaskan oleh Mohd. Yusof Hasan dalam buku bertajuk Islam
Hadhari Menangani Gelombang Globalisasi (2007) menerusi petikan berikut:

Adalah perlu diteliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk
diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh,
merangkumi pembangunan prasarana, pembangunan manusia
melalui program-program pembangunan rohani untuk menyemai
nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan
(Mohd. Yusof Hasan, 2007: 14).

Sehubungan itu, modal insan menjadi penentu hala tuju negara pada masa hadapan, di
samping keperluan memiliki kualiti keperibadian yang berlandaskan keagamaan.
Dengan kata lain, modal insan semestinya memiliki personaliti unggul dan mampu
mempamerkan jati diri. Hal ini kerana manusia dianggap sebagai sumber kepuasan
dan pulangan keuntungan pada masa hadapan (future satisfactions and future
earnings). Dalam konteks ini, modal insan merujuk kepada individu yang berilmu,
berkeyakinan, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik,
inovatif, kreatif, sihat, patriotik, keadilan, progresif, cekal, dan berdaya saing,
sebagaimana yang dijelaskan oleh Sivamurugan Pandian dalam petikan berikut:

Modal insan merupakan individu yang tidak bersifat individualistik
tetapi bersifat sebahagian daripada masyarakat Malaysia, berilmu,
berkeyakinan, memiliki nilai murni dan moral yang tinggi, beretika,
berbudi pekerti, bersopan-santun, keluarga mantap, berdisiplin,
dinamik, berdaya tahan tinggi, berinovasi, kreatif, sihat,
bersemangat patriotik dan nasionalisme, adil, bersikap progresif,
cekal, berintegrasi dan berdaya saing. Inilah modal insan yang
memiliki personaliti unggul. Merekalah yang akan menentukan hala
tuju negara pada masa hadapan (Sivamurugan Pandian, 2005a).

Tulisan seterusnya yang diteliti ialah tulisan Yahaya Ibrahim dan Abd. Hair Awang
yang terbit dalam buku Pembangunan Modal Insan: Isu dan Cabaran (2008). Tulisan
ini membincangkan tentang peranan pembangunan modal insan sebagai aset yang
berharga bagi pembangunan sesebuah negara. Pembangunan modal insan dianggap
sedang mengalami satu revolusi pembaharuan yang berkembang pesat, sejajar dengan
perkembangan globalisasi. Justeru, usaha membangunkan modal insan yang kental
dianggap bergantung kepada tahap kecekapan, kemahiran, sikap serta pengetahuan
modal insan yang ingin dibangunkan. Justeru, tulisan ini menjadi keutamaan bagi
sesebuah negara memainkan peranan dalam meningkatkan pencapaian ekonomi

40

negara melalui modal insan yang mahir. Menurut tulisan ini lagi, tumpuan kepada
pembangunan modal insan berpendidikan dan berkemahiran yang mendapat
permintaan di kebanyakan negara. Situasi ini menjelaskan tentang pentingnya modal
insan sebagai faktor pelaburan dan pembangunan ekonomi, sebagaimana yang
disimpulkan oleh Yahaya Ibrahim dan Abd Hair Awang dalam petikan berikut:

Sehubungan dengan itu, modal insan berpendidikan dan
berkemahiran semakin mendapat perhatian di kebanyakan negara
sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi dan
kejayaan sebuah organisasi khususnya dalam dunia perniagaan
(Yahaya Ibrahim dan Abd. Hair Awang, 2008: 14).

Seterusnya, perbincangan tentang modal insan ini diteruskan dengan meneliti kertas
kerja oleh Mohd. Fauzi Hamat dan Mohd. Khairul Naim Che Nordin (seterusnya
Mohd. Fauzi dan Mohd. Khairul Naim) yang bertajuk “Tinjauan Kepentingan
Pembangunan Modal Insan di Malaysia” (2012). Kertas kerja ini antara lain memberi
penekanan terhadap konsep modal insan serta kepentingan pembangunan modal insan.
Tulisan mereka menjelaskan bahawa pembangunan modal insan ini ditakrifkan
sebagai ciri-ciri yang harus dimiliki oleh pekerja yang menjadikan mereka lebih
produktif. Matlamat utamanya ialah meningkatkan dan memajukan individu bagi
mendapatkan pulangan masa hadapan, iaitu usaha pembangunan manusia yang
bergantung kepada proses pendidikan, latihan dan peningkatan nilai. Untuk itu,
penekanan diberikan terhadap modal insan yang berteraskan pembangunan Islam.
Menurut kertas kerja ini, manusia harus dibangunkan dengan kerohanian yang luhur
bagi mewujudkan pembangunan yang seimbang dan pembangunan ini memerlukan
kepada kekuatan agama, sebagaimana yang disimpulkan oleh Mohd. Fauzi dan Mohd.
Khairul dalam petikan berikut:

Modal insan yang dibangunkan secara sempurna juga harus bukan
sekadar dilaburkan untuk kepentingan ekonomi dan pasaran
industri semata-mata, tetapi ia perlu lebih jauh dari itu, iaitu
manusia harus dibangunkan dengan kerohanian yang luhur bagi
mewujudkan pembangunan yang benar-benar seimbang (Mohd.
Fauzi Hamat dan Mohd. Khairul Naim Che Nordin, 2012: 85).

Perbincangan ini beralih dengan meneliti kertas kerja oleh Mustapha Kamal, Zahiah
Haris@Harith dan Abdullah Yusof bertajuk ”Pembangunan Modal Insan dan
Tamadun Islam Dari Perspektif Pendidikan Guru” (2010). Kertas kerja ini antara lain
menjelaskan tentang modal insan yang merujuk kepada keupayaan manusia
memaksimumkan penggunaan diri dalam mencapai sesuatu yang terbaik. Hal ini
mampu dicapai berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang berteraskan ajaran Islam
(Mustapha Kamal, Zahiah Haris@Harith dan Abdullah Yusof, 2010:40). Manusia
yang memiliki kualiti diri yang tinggi, dianggap memiliki tiga unsur iaitu jasmaniah,
rohani dan akal. Keseimbangan ketiga-tiga unsur mampu melahirkan pencapaian
keperibadian yang terpuji. Tulisan ini turut menjelaskan bahawa keperibadian terpuji
merangkumi aspek habl Min Allah (hubungan manusia dengan Allah SWT) dan habl

41

Min al-Nas (hubungan manusia dengan manusia). Dengan kedua-dua aspek ini, soal
keinsanan dianggap penting untuk dititik beratkan. Justeru, pencapaian jasmani dan
kerohanian perlu diberikan penekanan bagi melahirkan insan yang mantap
terutamanya dalam kalangan bakal guru. Pembangunan modal insan melalui mata
pelajaran Tamadun Islam dalam kalangan guru pelatih dianggap dapat merealisasikan
pembangunan modal insan sejagat, sebagaimana yang disimpulkan oleh Mustapha
Kamal, Zahiah Haris@Harith dan Abdullah Yusof dalam petikan berikut:

Adalah diharapkan mata pelajaran [Tamadun Islam] ini dapat
menerapkan nilai-nilai tolak ansur dan berbangga terhadap inspirasi
negara untuk membangunkan kehidupan yang berharmoni melalui
pendidikan berasaskan Falsafah Pendidikan Negara (Mustapha
Kamal, Zahiah Haris@Harith dan Abdullah Yusof, 2010: 47).

Pengamatan ini dilanjutkan dengan meneliti kertas kerja oleh Mohd Faeez Ilias dan
Kamarul Azmi Jasmi yang bertajuk “Peranan Pendidikan Islam dalam Pembangunan
Modal Insan Kelas Pertama” (2011). Kertas kerja ini antara lain menganggap bahawa
modal insan merujuk kepada pertumbuhan dan perubahan ke atas individu, komuniti
atau masyarakat sesuatu bangsa. Pembangunan modal insan menjadi keutamaan
terhadap usaha untuk memperkembangkan potensi individu melalui bimbingan yang
secukupnya. Kertas kerja ini juga berusaha untuk melihat sejauh mana peranan
pendidikan Islam dalam melahirkan modal insan kelas pertama. Kertas kerja ini
mendapati bahawa pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam proses
pembangunan modal insan. Kertas kerja ini turut membangkitkan lima elemen/aspek
penting dalam proses pembangunan manusia iaitu pembangunan fizikal, kemahuan,
pemikiran, rohani dan perasaan. Justeru, kertas kerja ini mendapati bahawa elemen
pembangunan rohani dianggap amat penting dalam pembangunan modal insan dan
menjadi peneraju kepada elemen-elemen yang lain. Manakala elemen-elemen lain
diterapkan seiring dengan pembangunan rohani, sebagaimana yang disimpulkan oleh
Mohd Faeez Ilias dan Kamarul Azmi Jasmi dalam petikan berikut:

Elemen pembangunan kerohanian menjadi peneraju ke atas elemen-
elemen yang lain. Ini kerana elemen pembangunan fizikal,
kemahuan, pemikiran dan perasaan jika tidak diterapkan dengan
pembangunan kerohanian ditakuti akan tersasar jauh daripada
konsep pembangunan berteraskan Islam yang sebenar (Mohd Faeez
Ilias dan Kamarul Azmi Jasmi, 2011: 9).

Seterusnya, pengamatan ini dilanjutkan dengan meneliti kertas kerja oleh Lukman
Thaib bertajuk “Muslim Politics in Malaysia and the Democratization Process”
(2013). Kertas kerja ini menghujahkan bahawa pembangunan modal insan
memerlukan satu perancangan yang sistematik. Hal ini dapat dicapai melalui
pendidikan dan latihan yang bersesuaian dengan keperluan ekonomi negara. Dengan
kata lain, modal insan menjadikan pendidikan dan latihan formal sebagai perkara asas
untuk meningkatkan produktiviti. Peningkatan produktiviti turut dianggap mampu
meningkatkan upah dan pengeluaran negara, dan seterusnya mencipta kesejahteraan

42

dan kemakmuran masyarakat, sebagaimana yang disimpulkan oleh Lukman dalam
petikan berikut:

Among the measures which have been designed by the Malaysian
government to achieve high-income status is that the country needs
to remain sustainable in both economic and environmental term,
meeting present needs without compromising those of future
generations (Lukman Thaib, 2013: 55).

Pengamatan ini dilanjutkan dengan meneliti kertas kerja oleh Wan Idros Wan
Sulaiman dan Maizatul Haizan Mahbob yang bertajuk “Hubungan Komunikasi
Keorganisasian dengan Perancangan Strategik Modal Insan Universiti Kebangsaan
Malaysia” (2015). Kertas kerja ini membicarakan tentang sistem komunikasi yang
efisien sebagai pemangkin utama dalam merancang perancangan strategik bagi
pembangunan modal insan dalam sesebuah organisasi. Kertas kerja ini antara lain
mengambil kira pelbagai elemen penting yang dapat membantu menjayakan proses
pembangunan modal insan. Elemen-elemen tersebut ialah budaya organisasi, nilai dan
etika, sifat dan sikap pekerja dalam organisasi. Faktor ini sentiasa berubah serta
menuntut kebijaksanaan majikan dalam memberikan peluang kepada kakitangan
membangunkan minat dan kerjaya. Dalam konteks pelaksanaan perancangan strategik
ke arah pembangunan modal insan, kakitangan bawahan dituntut untuk
mempertingkatkan kualiti kerja dan produktiviti, sebagaimana yang dijelaskan dalam
petikan berikut:

Bagi pihak kakitangan bawahan, mereka juga perlu menyiapkan diri
mereka sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa agar bentuk
perkhidmatan yang diberikan kepada orang awam akan
mencerminkan budaya kerja yang baik, positif dan cemerlang (Wan
Idros Wan Sulaiman dan Maizatul Haizan Mahbob, 2015: 13).

Pengamatan diteruskan lagi oleh Abd. Ghafar Mahmud menerusi buku bertajuk
Haluan Kerja Pendidikan: Merealisasikan Agenda Transformasi Negara (2011).
Dalam buku ini, Abd. Ghafar Mahmud antara lain menghujahkan bahawa modal insan
adalah makhluk sosial yang dilahirkan oleh sejarah kemanusiaan yang panjang,
berbudaya dan berjati diri. Justeru, modal insan dianggap penting bagi memikul
tanggungjawab dalam melestarikan peradaban serta mengekalkan kedaulatan bangsa.
Modal insan dianggap tidak gersang sebagaimana modal fizikal. Hal ini kerana modal
insan memiliki kalbu, emosi, akal dan rohani. Abd. Ghafar Mahmud turut menjelaskan
bahawa modal insan bertanggungjawab untuk menyempurnakan hubungannya dengan
Tuhan agar sentiasa bersyukur. Tulisan Abd. Ghafar Mahmud ini turut menjelaskan
bahawa modal insan bertanggungjawab untuk menyempurnakan hubungannya dengan
diri sendiri, insan lain dan alam sekitar. Modal Insan keluaran pendidikan dan
persekolahan mempunyai lestari jati diri termasuk berpengetahuan, berjati diri,
berdaya fikir, berdaya saing, kreatif dan sebagainya, sebagaimana yang disimpulkan
oleh Abd. Ghafar Mahmud dalam petikan berikut:

43

Modal insan yang diperlukan oleh negara ialah modal insan yang
memiliki kelestarian jati diri, yakni bukan sahaja berketerampilan,
berdaya fikir dan berdaya saing, malahan sentiasa berjuang demi
mengekalkan kemerdekaan negara dan berusaha berterus-terusan
demi mengatasi segala kelemahan, dan melangkaui segala batasan
dan hambatan kemajuan, serta menyeberangi sempadan yang
menghambat kreativiti dan inovasi (Abd. Ghafar Mahmud, 2011:
17).

Pengamatan seterusnya menerusi syarahan perdana oleh Amla Mohd. Salleh dalam
buku bertajuk Pendidikan Kerjaya dan Pembangunan Modal Insan (2010). Dalam
syarahan ini, bimbingan kerjaya di sekolah sebagai agen dalam pembangunan modal
insan. Dalam konteks ini, pendidikan kerjaya sebagai nilai tambah perlu dijadikan
sebagai satu subjek di sekolah. Perkembangan kerjaya dianggap sebagai satu proses
perkembangan sahsiah yang menjurus kepada pembentukan sifat dan menyediakan
seseorang untuk melakukan pekerjaan. Sejajar dengan kedudukannya sebagai agen
pembangunan modal insan, bimbingan kerjaya perlu diberikan perhatian serius.
Syarahan ini turut menegaskan tentang keperluan sistem sekolah yang berbeza untuk
ekonomi yang berbeza, dan membangunkan kapasiti pelajar melalui pendidikan,
kemahiran serta kebolehan menyelesaikan masalah. Hal ini dapat melahirkan insan
yang mampu membangunkan jati diri, sebagaimana yang disimpulkan oleh Amla
Mohd. Salleh dalam petikan berikut:

Kita perlu melihat bagaimana Pendidikan Kerjaya dapat menjadi
pelengkap kepada pendidikan sedia ada. Pendidikan Kerjaya yang
dapat diakses oleh semua pelajar adalah satu nilai tambah yang
sangat tinggi bagi pembangunan modal insan, kerana Pendidikan
Kerjaya menghasilkan pembelajaran berkaitan pembangunan
kapasiti individu (Amla Mohd. Salleh, 2010: 39).

Kesimpulannya modal insan berdasarkan sorotan terhadap kajian serta tulisan di atas,
dapat dirumuskan bahawa modal insan merupakan satu usaha pembangunan insan
dalam pembinaan sesebuah negara. Pembentukan generasi masa hadapan dianggap
pelaburan penting dalam usaha merealisasikan kewujudan sebuah negara yang
sejahtera. Justeru, pembangunan modal insan penting diberikan perhatian secara
bersepadu, seimbang dan holistik. Pembangunan yang menuntut sokongan institusi
lain seperti agama, sistem keluarga, komuniti dan masyarakat untuk memperkukuhkan
jati diri insan. Justeru, sektor pendidikan dilihat sebagai satu usaha berkesan untuk
membangunkan dan mencorakkan modal insan. Dengan pemahaman ini, bidang
pendidikan di Malaysia dijana dengan pengisian untuk melahirkan modal insan yang
berilmu, berkeyakinan, beretika, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, sihat, kreatif,
inovatif, patriotik, keadilan, cekal dan berdaya saing.

44

2.4 Korpus Literatur Berkaitan “Novel Teks KOMSAS”

Perbincangan dalam bahagian ini akan membincangkan tentang teks KOMSAS,
dengan menyoroti kajian-kajian ilmiah termasuk tesis dan kertas kerja. Untuk itu,
perbincangan ini dimulakan dengan menyoroti tesis kedoktoran oleh Maisarah Yaacob
bertajuk “Unsur Tarbiah dalam Novel KOMSAS” (2017). Tesis kedoktoran ini
mensasarkan tiga objektif kajian. Pertama, mengenal pasti unsur-unsur tarbiah dalam
novel teks KOMSAS. Kedua, menganalisis unsur tarbiah dalam novel teks KOMSAS.
Ketiga, merumuskan unsur tarbiah dalam novel teks KOMSAS berdasarkan Teori
Takmilah dari segi kesejajarannya. Tesis kedoktoran ini menggunakan 19 buah novel
teks KOMSAS Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 mulai tahun 2010 hingga 2016. Teori
Takmilah digunakan untuk menganalisis 19 buah novel teks KOMSAS. Teori ini
menggariskan tujuh prinsip iaitu tuhan, rasul, Islam, ilmu, karya, pengkarya dan
khalayak. Tesis kedoktoran ini mengenal pasti sembilan unsur tarbiah dalam novel-
novel teks KOMSAS. Unsur-unsur tarbiah tersebut ialah “taat dan takut Allah”,
”redha”, “kepimpinan”, “kemaafan”, “cinta pada alam”, “ilmu dalam kesusasteraan”,
“kreativiti”, “optimis” dan “bersungguh-sungguh.” Tesis kedoktoran mendapati unsur
tarbiah yang paling dominan ialah “bersungguh-sungguh.” Terdapat tujuh unsur
tarbiah hubungan manusia dengan manusia iaitu “kepimpinan”, “kemaafan”, “cinta
pada alam”, “ilmu dalam kesusasteraan”, “kreativiti”, “optimis” dan “bersungguh-
sungguh.” Manakala, hubungan manusia dengan Allah hanya diwakili dua unsur iaitu
“taat dan takut Allah” dan “Reda.” Tesis kedoktoran ini merumuskan bahawa novel-
novel teks KOMSAS yang dikaji menekankan unsur tarbiah hubungan manusia
dengan manusia. Tesis kedoktoran ini menyimpulkan bahawa unsur tarbiah dalam
novel-novel teks KOMSAS adalah selari dengan teori Takmilah dan mencapai
objektif-objektif KOMSAS, sebagaimana yang disimpulkan oleh Maisarah Yaacob
dalam petikan berikut:

Unsur tarbiah dalam novel teks KOMSAS adalah selari dengan
Teori Takmilah yang mana telah memperlihatkan secara
keseluruhan keseimbangan antara konsep Hubungan Manusia
dengan Allah yang diwakili oleh prinsip Ketuhanan yang Jamal dan
Kamil dengan konsep Hubungan Manusia dengan Manusia yang
diwakili prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil. Keselarian ini
menunjukkan ketepatan pemilihan novel teks KOMSAS sebagai
bahan pembelajaran kepada murid sekolah dalam usaha mencapai
objektif KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (Maisarah
Yaacob, 2017: 192).

Pengamatan ini diteruskan lagi terhadap tesis kedoktoran oleh Nik Rafidah Nik
Muhamad Affendi bertajuk “Pemikiran dan Teknik Penceritaan dalam Novel
Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu” (2005). Dalam usaha
mencapai objektif-objektif ini, tesis kedoktoran ini memilih Pendekatan Psikologi dan
Pendekatan Etika. Tesis kedoktoran ini antaranya mendapati novel teks KOMSAS
yang dikaji memanifestasikan pemikiran tentang kehidupan manusia yang
menghadapi pergolakan hidup. Tesis kedoktoran ini meneliti 20 buah novel teks
KOMSAS, kegunaan murid sekolah menengah mulai tahun 2000 hingga 2010. Tesis

45

kedoktoran ini membangkitkan soal permasalahan tentang pemikiran yang
merangkumi aspek sosiobudaya, sosiopolitik dan sosioekonomi dalam karya-karya
pilihan. Tesis kedoktoran Nik Rafidah ini mensasarkan empat objektif kajian.
Pertama, menganalisis pemikiran pengarang sebagaimana yang dimanifestasikan
dalam novel-novel teks KOMSAS dari aspek sosiobudaya, sosioekonomi dan
sosiopolitik mengikut Pendekatan Psikologi. Kedua, menganalisis pemikiran
pengarang dalam novel-novel teks KOMSAS yang dikaji, dari aspek budaya,
sosioekonomi dan sosiopolitik mengikut Pendekatan Etika. Ketiga, menganalisis
teknik penceritaan dalam novel-novel teks KOMSAS berdasarkan Pendekatan
Psikologi. Dan terakhir ialah menganalisis teknik penceritaan dalam novel-novel teks
KOMSAS berdasarkan Pendekatan Etika. Secara keseluruhannya, dapat dikatakan
bahawa tesis kedoktoran Nik Rafidah ini merupakan satu kajian ilmiah yang dapat
memberikan sumbangan dalam pengkajian tentang novel-novel teks KOMSAS.

Seterusnya, pengamatan ini dilanjutkan terhadap tesis kedoktoran oleh Maridah Alias
bertajuk “Kesesuaian Novel Komponen Kesusasteraan dalam Mata Pelajaran Bahasa
Melayu” (2005). Tesis kedoktoran ini bertujuan untuk mendapat maklumat dan
rumusan tentang unsur-unsur yang membentuk struktur penceritaan novel-novel yang
menjadi teks KOMSAS. Selain itu, tesis ini juga bertujuan menemukan kesesuaian
antara novel-novel teks KOMSAS dengan kurikulum Bahasa Melayu. Tesis ini
meneliti 20 buah novel teks KOMSAS yang menjadi kegunaan murid sekolah
menengah mulai tahun 2000 hingga 2010. Tesis kedoktoran ini menerapkan
Pendekatan Psikoanalisis dan Formalisme. Tesis ini menganalisis aspek-aspek
dalaman novel yang merangkumi tema, plot, watak dan perwatakan, latar dan gaya
bahasa dari sudut sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Aspek-aspek ini
dianalisis bagi meneliti perkaitan dan hubungan yang membentuk struktur
penceritaan. Tesis kedoktoran Maridah ini mendapati bahawa melalui novel-novel
teks KOMSAS yang dikaji mengandungi bimbingan, nasihat, panduan dan tunjuk ajar
bagi memantapkan keyakinan diri pelajar, terutamanya dalam aspek pembinaan
manusia dan kemanusiaan yang menjadi matlamat kurikulum (Maridah Alias, 2005:
379). Selain itu terdapat novel teks KOMSAS yang membicarakan persoalan
patriotisme yang menitik beratkan semangat kewarganegaraan dan perpaduan yang
dapat membentuk keperibadian dan perwatakan yang baik, sebagaimana yang
disimpulkan oleh Maridah Alias dalam petikan berikut: “Tema nasionalisme menjadi
begitu dominan sesuai dengan kurikulum yang menitikberatkan semangat
kewarganegaraan dan perpaduan kaum. Hal ini kerana hubungan kurikulum dan
perpaduan negara adalah erat” (Maridah Alias, 2005: 368).

Seterusnya, sorotan terhadap tesis Master Universiti Putra Malaysia oleh Muhamad
Hazim Hussin bertajuk “Kata Ganti Nama dan Ungkapan Santun dalam Novel
Komsas Terpilih” (2015). Tesis master ini membangkitkan permasalahan tentang
penggunaan kata ganti nama yang betul dan tepat ketika berbicara. Aspek ini diteliti
untuk memperlihatkan kesantunan ketika berkomunikasi dengan penggunaan bahasa
yang beradab tertib dan sopan santun. Berlatarbelakangkan permasalahan ini, tesis
master ini mensasarkan tiga objektif kajian. Pertama, mengenal pasti penggunaan kata
ganti nama dan ungkapan santun yang terdapat dalam novel-novel teks KOMSAS.
Kedua, menganalisis kata ganti nama dan ungkapan santun menggunakan Teori Leech
(1983). Ketiga, merumus penggunaan kata ganti nama dan ungkapan santun dalam

46

novel-novel teks KOMSAS. Dalam usaha mencapai objektif-objektif ini, tesis master
ini menggunakan Teori Kesopanan Leech (1983) yang menyenaraikan prinsip
kesopanan kepada enam maksim. Enam maksim terdiri dari maksim santun, maksim
kedermawanan, maksim sokongan, maksim kerendahan hati, maksim persetujuan dan
maksim simpati. Tesis master ini menggunakan empat buah novel teks KOMSAS
kegunaan murid Tingkatan 5 bagi tahun 2011 hingga 2016. Novel-novel yang dikaji
ialah novel Kembara Amira (2010) karya Amer Hmzah L. Kadir, novel Konserto
Terakhir (2012) karya Abdullah Hussain, novel Sutera Dalam Lukisan (2010) karya
Abu. Talib Hassan dan novel Kabus di Perbukitan (2011). Tesis master mendapati
terdapat bahawa penggunaan kata ganti nama pertama, kata ganti nama kedua dan kata
ganti nama ketiga digunakan dalam novel-novel teks KOMSAS yang dikaji. Tesis
master ini juga mendapati terdapat ungkapan santun merangkumi penggunaan maaf,
kiasan, gelaran dan pujian. Penggunaan kata ganti nama diri yang tepat didapati dapat
memberi keselesaan, dan memelihara kedudukan serta menghormati orang lain.
Manakala ungkapan santun yang diungkapkan menunjukkan penutur mempunyai
kehalusan budi bahasa dan pekerti. Secara keseluruhannya, penggunaan kata ganti
nama diri dan ungkapan santun dilihat sebagai memberikan hubungan mesra dan rasa
hormat antara pendengar dan penutur ketika menggunakannya, sebagaimana yang
dinyatakan oleh Muhamad Hazim Hussin dalam petikan berikut:

Oleh itu, penggunaan kata ganti nama dan ungkapan pantun yang
terdapat dalam diri pelajar memainkan peranan dalam
menggambarkan tingkah laku, tutur kata dan sikap apabila
berinteraksi dengan pelbagai masyarakat (Muhamad Hazim Hussin,
2015: 79).

Pengamatan seterusnya beralih kepada tesis master Rohana Ishak bertajuk “Pemikiran
dalam Puisi Melayu Teks KOMSAS dari Sudut Teori SPB4L” (2013). Tesis ini
membangkitkan permasalahan tentang pemikiran dan nilai-nilai positif yang dianggap
perlu untuk dihayati melalui puisi oleh pelajar dalam pembinaan modal insan yang
seimbang dan sempurna, sebagaimana yang dihasratkan negara. Selain itu, kajian ini
juga diusahakan kerana kurangnya kajian dilakukan ke atas genre puisi yang menjadi
teks KOMSAS. Tesis ini memberikan fokus terhadap pemikiran dalam puisi-puisi teks
KOMSAS. Berlatar belakangkan permasalahan ini, tesis master ini mensasarkan dua
objektif kajian. Pertama, menganalisis pemikiran dalam puisi teks KOMSAS
berdasarkan Teori SPB4L. Kedua, merumus aspek pemikiran dalam puisi teks
KOMSAS berdasarkan Teori SPB4L. Dalam usaha untuk mencapai objektif-objektif
ini, tesis master mengaplikasikan Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L).
Untuk itu, tesis ini meneliti 30 buah puisi Melayu moden dan 30 buah puisi Melayu
tradisional yang dipilih sebagai teks KOMSAS kegunaan murid Tingkatan 1 hingga
Tingkatan 5, sebagai bahan kajian. Puisi Melayu tradisional merangkumi genre
pantun, syair, seloka dan gurindam. Ia dipilih sebagai bahan kajian kerana dianggap
mengandungi unsur-unsur jati diri, nilai budaya dan sejarah berkaitan tamadun bangsa.
Tesis ini mendapati pemikiran Luhur dan Lahir dalam teori SPB4L lebih dominan,
berbanding pemikiran Lateral dan pemikiran Logik. Tesis master ini mendapati
bahawa teks KOMSAS yang dikaji banyak memperkatakan tentang pentingnya
menjauhi sifat-sifat keji dan lebih mengarah kepada perkara-perkara yang baik.
Pemikiran Luhur yang diungkap didapati lebih menjurus kepada peranan manusia

47

sebagai hamba Allah SWT. Selain itu, puisi-puisi teks KOMSAS memperlihatkan
realiti sebenar yang berlaku dalam kehidupan seperti kehidupan manusia sebagai
seorang ayah, ibu dan pelajar. Puisi-puisi teks KOMSAS yang dikaji juga didapati
mengutarakan pemikiran secara bersepadu, sejajar dengan teori SPB4L yang
diterapkan. Pemikiran-pemikiran yang terdapat dalam puisi-puisi teks KOMSAS yang
dikaji juga didapati relevan dengan FPK, sebagaimana yang disimpulkan oleh Rohana
Ishak dalam petikan berikut: “Konsep kesepaduan pemikiran dalam teori SPB4L dapat
melahirkan insan yang seimbang dan sempurna selaras dengan yang diimpikan dalam
FPK” (Rohana Ishak, 2013: 181).

Turut diteliti ialah tesis sarjana yang diusahakan oleh Noraslan Norasim bertajuk
“Tinjauan Nilai Murni KBSM dalam Novel KOMSAS Peringkat Menengah Rendah”
(2010). Tesis sarjana ini membangkitkan persoalan tentang permasalahan berkaitan
keperluan untuk memperoleh karya-karya yang benar-benar sarat dengan nilai murni.
Unsur nilai dalam teks KOMSAS dianggap penting untuk membolehkan para pelajar
meneladani dan menjiwai nilai-nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan,
kemasyarakatan, kebudayaan dan kewarganegaraan. Dengan permasalahan ini, tesis
ini mengkaji nilai-nilai murni KBSM yang dibawakan oleh medium-medium yang
digunakan oleh penulis teks berdasarkan kehendak PPK. Tesis Master ini
menggabungkan tiga pendekatan yang berbeza iaitu Teori Sentimen Moral, Takmilah,
dan Teori Pendidikan Estetik untuk menganalisis teks KOMSAS. Untuk itu, tesis ini
meneliti novel Kapten Hassan Wira Bangsa (KHWB) (2000) karya Harun Johari. Tesis
master ini mendapati bahawa novel yang dikaji menepati kehendak nilai-nilai murni
yang terkandung di dalam KBSM. Tesis ini turut menyimpulkan bahawa novel teks
KOMSAS yang dikaji sesuai untuk digunakan bagi tujuan penerapan nilai-nilai murni,
dan sekali gus dapat membentuk akhlak pelajar, sebagaimana yang disimpulkan oleh
Noraslan dalam petikan berikut: “Kandungan novel ini dapat menyumbangkan
manfaat yang besar dari sudut pendidikan nilai dan pembentukan akhlak pelajar”
(Noraslan Norasim, 2010: 163).

Seterusnya, perbincangan ini menyoroti kertas kerja oleh Sara Beden dan Indirawati
Zahid bertajuk “Pemetaan Struktur Peristiwa Bahasa: Komunikasi Bebas Konflik”
(2016). Kertas kerja ini bertujuan memetakan struktur peristiwa bahasa dalam novel
Melunas Rindu karya Hartini Hamzah (2009). Kertas kerja ini menganalisis pemetaan
struktur penggunaan unsur bahasa berdasarkan maksim dalam peristiwa bahasa, dan
sekali gus penerapannya dalam situasi komunikasi bebas konflik. Pemetaan struktur
bahasa berdasarkan dialog watak utama iaitu Fuad dan watak sampingan iaitu Farhana
dalam novel Melunas Rindu. Kertas kerja ini menggunakan Model Kesopanan Leech
(1983) dan Model Kerjasama Grice (1975) yang membentuk Model Pola Kombinasi
Maksim Umum (MPKMU). Kertas kerja ini turut menjelaskan bahawa kesopanan
berbahasa dapat memberi pendedahan dan melahirkan insan yang seimbang dan
hormani bersesuaian dengan FPK, sebagaimana yang disimpulkan dalam petikan
berikut:

Kajian ini memberi pendedahan kepada generasi muda tentang cara
yang berhemah untuk berkomunikasi dengan mengambil kira faktor
lawan tutur, tujuan dan konteks komunikasi yang berlangsung. Ini

48

bersesuaian dengan dengan aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
(Sara Beden dan Indirawati Zahid, 2016: 84).

Seterusnya, sorotan ini beralih kepada kertas kerja oleh Noor Hartini Zolkifli dan Siti
Saniah Abu Bakar (seterusnya Noor Hartini dan Siti Saniah) bertajuk “Unsur
Eufemisme dalam Novel PAPA dan Azfa Hanani” (2010). Kertas kerja ini meneliti
dan meninjau kekerapan penggunaan unsur eufemisme dalam dua novel teks
KOMSAS iaitu novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) (2010) karya Deana Yusof
dan Azfa Hanani (2010) karya Halis Azhan Mohd Hanafiah. Untuk itu, kertas kerja
ini menerapkan Model Kesopanan Leech (1993) yang memberi fokus kepada Maksim
Santun. Kertas kerja ini mendapati terdapat sebanyak 27 unsur eufemisme dalam novel
PAPA…(akhirnya kau tewas jua!), dan 36 unsur eufemisme dalam novel Azfa Hanani.
Unsur-unsur eufemisme dalam kedua-kedua novel ini dikaitkan dengan faktor latar
belakang masyarakat. Novel Azfa Hanani berlatar belakangkan masyarakat kampung
(ketimuran). Manakala PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) pula berlatar belakangkan
masyarakat moden. Penggunaan unsur eufemisme dalam kehidupan seharian sangat
dititik beratkan dalam melahirkan murid dan masyarakat yang santun dalam pemilihan
bahasanya, sebagaimana yang disimpulkan oleh Noor Hartini dan Siti Saniah dalam
petikan berikut: “Penggunaan unsur eufemisme mampu membantu pelajar
mengadaptasi nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dengan memilih kata-kata
yang lebih santun” (Noor Hartini Zolkifli dan Siti Saniah Abu Bakar, 2011: 107).

Seterusnya, pengamatan ini meneliti kajian artikel oleh Chew Fong Peng bertajuk
“Penerapan Nilai-nilai Murni Menerusi KOMSAS dalam Sistem Pendidikan
Malaysia” (2010). Kertas kerja ini menggunakan teori Sastera Perpaduan, yang
dijadikan sebagai alat untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat Malaysia. Kertas
kerja ini menggunakan drama teks KOMSAS iaitu Serunai Malam (1966) karya
Usman Awang, Titik-titik Perjuangan (1966) karya Kala Dewata dan Seri Nara (2005)
karya Shaharom Husain. Kertas kerja ini mengkaji tentang nilai-nilai murni yang
membentuk perpaduan nasional. Selain itu, turut diteliti ialah persepsi pelajar terhadap
nilai-nilai murni dalam drama teks KOMSAS. Menurut kertas kerja ini, terdapat 16
nilai murni dalam teks KOMSAS yang disampaikan secara implisit. Dapatan
menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara latar belakang sosial
responden dengan 16 nilai murni dalam drama-drama teks KOMSAS yang dikaji.
Kertas kerja ini juga mendapati bahawa drama-drama yang dikaji memanifestasikan
16 nilai murni berkaitan perpaduan. Drama-drama teks KOMSAS yang dikaji juga
dianggap mampu menyatukan dan membentuk semangat perpaduan, sebagaimana
yang disimpulkan oleh Chew Fong Peng dalam petikan berikut: Kajian menunjukkan
bahawa teks KOMSAS yang bercirikan 16 nilai murni membantu ke arah matlamat
yang lebih penting, iaitu penyatuan rakyat dan membentuk perpaduan (Chew Fong
Peng, 2010: 139).

Selain tulisan-tulisan di atas, novel teks KOMSAS iaitu Anak Din Biola karya Maaruf
Mahmud turut dijadikan sebagai bahan kajian oleh Misran Rokimin dalam artikel
beliau bertajuk “National Ideology in Malaysian Children’s Novels: An Analysis of
the Novel Anak Din Biola” (2006). Artikel ini membincangkan tentang penerapan

49

prinsip Rukun Negara dalam novel Anak Din Biola. Untuk itu, artikel menganalisis isi
kandungan novel ini, terutamanya dari aspek watak dan plot. Analisis watak tertumpu
pada watak protagonisnya iaitu Budiman, dan watak antagonis iaitu Pak Mat. Analisis
ini antara lain menjelaskan bahawa dua prinsip Rukun Negara, iaitu Kedaulatan
Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan dimanifestasikan dalam kedua-dua
watak yang dikaji. Prinsip Rukun Negara didapati terkandung dalam novel teks
KOMSAS yang dikaji, dengan memperlihatkan nilai-nilai murni seperti ketaatan,
kesetiaan, keberanian dan berniat baik tanpa mengira latar belakang. Selain itu ialah
nilai persahabatan dan perpaduan. Hal ini dimanifestasikan dengan jelas pada watak
Budiman diceritakan bersahabat baik dengan Chong dan Chandra, yang berbangsa
Cina dan India. Novel turut menceritakan tentang Budiman yang tinggal di Rumah
Bonda selepas kematian ibu bapanya. Di sini, dia berkawan dengan Chong dan
Chandra yang juga merupakan penghuni rumah anak yatim itu. Secara
keseluruhannya, artikel ini merumuskan bahawa prinsip Rukun Negara antaranya
terpamer dalam novel Anak Din Biola karya Maaruf Mahmud, sebagaimana yang
disimpulkan dalam petikan berikut:

As indirect agent of the government, he has succeeded in his task of
cultivating and spreading the government’s national ideology,
Rukun Negara, through his novel especially with regards to the two
principles of Rule of Law and Good Behaviors and Morality
(Misran Rokimin, 2006: 13).

Kesimpulannya, berdasarkan sorotan terhadap kajian serta tulisan ilmiah di atas, dapat
dirumuskan bahawa kebanyakan kajian mengenai KOMSAS sehingga kini lebih
menjurus kepada soal kesesuaian teks. Dalam hal ini, kajian-kajian ilmiah sedia ada
ini didapati lebih tertumpu terhadap nilai-nilai murni dalam novel teks KOMSAS dan
kesesuaiannya dengan FPK. Tidak kurang menarik ialah penerapan sejumlah teori,
pendekatan, model dan seumpamanya dalam pengkajian novel-novel teks KOMSAS
itu. Sebagaimana yang telah dibangkitkan dalam bab sebelumnya, kajian-kajian ilmiah
sedia ada didapati cenderung menerapkan teori, pendekatan atau model yang
dicetuskan di Barat, dengan nilai-nilai termasuk agama, adat resam serta budaya yang
berbeza dengan nilai-nilai di Malaysia. Hal ini dengan sendirinya memperkukuhkan
lagi kerelevanan kajian ini yang menerapkan satu kerangka analisis yang
bertunjangkan nilai-nilai yang sesuai dengan konteks masyarakat di Malaysia. Dalam
konteks ini, tidak dinafikan bahawa telah ada beberapa artikel yang menerapkan teori
serta model tempatan seperti Teori Takmilah, Teori SPB4L dan Teori SPB4K. Akan
tetapi, dan seperti yang telah dihujahkan dalam bab sebelumnya, teori serta model
tempatan tersebut lebih merupakan teori serta model yang lebih cenderung terhadap
aspek-aspek berkaitan kesusasteraan. Hal ini dengan sendirinya mengundang satu
kajian ilmiah yang menerapkan sebuah kerangka analisis yang diasaskan pada gagasan
atau agenda yang bersifat nasional, seperti kerangka Modal Insan yang diterapkan
dalam kajian ini.

50

2.5 Kesimpulan

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, perbincangan dalam bab ini bertujuan
untuk memberikan gambaran yang lebih komprehensif berkaitan korpus literatur ini.
Pemahaman ini penting terutamanya dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi
permasalahan yang telah pun dihujahkan dalam bab sebelumnya, selain memantapkan
lagi penjelasan tentang kesignifikanan kajian yang diusahakan ini. Secara
keseluruhannya, dan berdasarkan kajian-kajian ilmiah yang disoroti, dapat
disimpulkan bahawa nilai menjadi satu persoalan yang dianggap mempunyai makna
yang besar dalam pembentukan diri insan. Nilai juga dianggap menjadi kayu ukur
dalam kehidupan seseorang insan, justeru dipupuk dalam usaha membangunkan
modal insan. Sehubungan dengan itu, modal insan menjadi satu usaha pembangunan
untuk melahirkan insan yang berilmu, berkeyakinan, beretika, bersopan santun,
berdisiplin, dinamik, sihat, kreatif, inovatif, patriotik, keadilan, cekal dan berdaya
saing. Dalam konteks ini, KOMSAS yang diperkenalkan dengan hasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek, sebagaimana yang digariskan dalam FPK. Seiring dengan pemahaman ini
juga, kajian ini diusahakan untuk meneliti novel-novel teks KOMSAS berdasarkan
nilai-nilai yang digariskan dalam kerangka Modal Insan. Dalam konteks ini,
perbincangan dalam bab ini diharap dapat memperjelaskan serta memantapkan
penghujahan tentang permasalahan serta kesignifikanan kajian ini.

51

BAB 3

MODAL INSAN:
SATU KERANGKA ANALISIS

3.1 Pengenalan

Bab ini membincangkan tentang metodologi, atau lebih tepat lagi dinamakan kerangka
analisis. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal perbincangan, kajian ini
mengguna pakai pendekatan Analisis Teks (Textual Analysis), iaitu satu pendekatan
yang menjadikan teks sebagai bahan kajian. Penggunaan pendekatan (Analisis Teks)
ini antara lain menuntut kajian ini untuk merangka satu kerangka analisis yang akan
diterapkan bagi menganalisis teks-teks kajian, iaitu novel teks KOMSAS. Bagi
memenuhi tuntutan ini, kajian ini akan menerapkan Kerangka Modal Insan yang
diorganisasikan berdasarkan gagasan Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009). Untuk
itu, bab ini diperuntukkan bagi membicarakan secara komprehensif tentang modal
insan, dan seterusnya menggariskan nilai-nilai yang akan diterapkan dalam
menganalisis novel-novel teks KOMSAS. Nilai-nilai ini akan diorganisasikan dalam
satu kerangka analisis yang sistematik. Bagi memenuhi matlamat di atas, bab ini
dibahagikan kepada beberapa sub topik yang relevan. Antaranya ialah latar belakang
Abdullah sebagai pencetus gagasan Modal Insan, dan pengenalan gagasan Modal
Insan termasuk sambutan serta reaksi yang diterima daripada arena politik dan dunia
akademik. Lebih penting untuk tujuan analisis ialah sub topik yang menggariskan serta
mengorganisasikan nilai-nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan. Sub topik ini
penting kerana nilai-nilai yang diorganisasikan itu, akan diterapkan dalam analisis
novel-novel teks KOMSAS yang dikaji, yang akan dilakukan dalam Bab 4. Seperkara
yang penting dijelaskan ialah soal pemanfaatan sumber-sumber rujukan, yang rata-
rata merupakan tulisan-tulisan yang menerbitkan ucapan yang mengandungi idea serta
pemikiran Abdullah sebagai pencetus gagasan Modal Insan. Selain itu, dalam usaha
untuk menyediakan perbincangan yang lebih substantif, idea serta pemikiran Abdullah
akan diperhalusi dengan memanfaatkan tulisan-tulisan terutamanya dalam kalangan
sarjana serta pengkaji yang membahaskan tentang modal insan. Perbincangan dalam
bab ini diharap dapat menyediakan satu perbincangan yang substantif tentang modal
insan yang diterapkan sebagai kerangka bagi menganalisis novel-novel teks KOMSAS
yang dikaji.

3.2 Abdullah Ahmad Badawi: Pencetus Gagasan Modal Insan

3.2.1 Peribadi dan Keluarga

Abdullah dilahirkan di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 26
November 1939. Beliau yang terkenal dengan panggilan “Pak Lah” (Chamil Wariya,
2004a: 4; Utusan Online, 27 Mei 2017), berasal dari keturunan keluarga yang
mempunyai latar belakang agama. Beliau merupakan anak sulung daripada empat
beradik kepada pasangan Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah Fahim dan Hajah

52

Khailan binti Hassan. Abdullah juga berasal daripada keluarga ulama berketurunan
Arab (sebelah bapa), manakala sebelah ibunya pula dari keturunan Cina-Islam di
Kwangtung, China (Sivamurugan Pandian, 2005b: 17). Bapa beliau, Hj. Ahmad
Badawi merupakan seorang ulama dan ahli politik yang pernah menjadi ahli parlimen
bagi kawasan Kepala Batas. Selepas tempoh pantang ibunya berakhir, Abdullah
dibawa tinggal bersama bapa dan datuknya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Datuk
beliau, Sheikh Abdullah Fahim merupakan seorang pengetua di Sekolah Idrisiyah,
manakala bapa beliau, Datuk Ahmad Badawi bekerja sebagai guru agama di Madrasah
Idrisiyah atas undangan Sultan Perak (Mokhtar Petah, 1977: 22).

Pada 4 September 1965, Abdullah mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham
Datin Seri Endon Dato’ Mahmood. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua
orang cahaya mata, iaitu Kamaluddin dan Nori (Sivamurugan Pandian, 2005b: 18).
Setelah 40 tahun hidup bersama, Datin Seri Endon meninggal dunia kerana penyakit
kanser payu dara pada 20 Oktober 2005. Dua tahun kemudiannya, Abdullah menikahi
Datin Jeanne Abdullah dan melangsungkan majlis akad nikah pada 9 Jun 2007 di
Kuala Lumpur. Dari segi keperibadian, Abdullah dikatakan memiliki sifat yang
berhemah, warak, mesra, sederhana, rendah diri, sabar, sukakan perpaduan,
bertanggungjawab, kuat bekerja dan toleransi. Sifat yang dimiliki ini dikatakan
menjadikan beliau seorang pemimpin yang disegani masyarakat. Abdullah pernah
diberi jolokan “Mr Clean” (Chamil Wariya, 2004a: 58; Sivamurugan Pandian, 2005b:
31).

3.2.2 Pendidikan

Dapat dikatakan bahawa Abdullah telah dipersiapkan dengan latar belakang
pendidikan yang seimbang antara keperluan dunia dengan akhirat (Chamil Wariya,
2004a: 43). Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Permatang
Bertam, Kepala Batas. Beliau kemudiannya melanjutkan pendidikan menengah di
Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang.
Abdullah turut mengikuti pendidikan agama di Sekolah Menengah Agama Daeratul
Maarif Wataniah, Kepala Batas, yang juga diasaskan oleh datuknya (Chamil Wariya,
2004a: 43). Selepas menamatkan persekolahan, Abdullah mula berkhidmat sebagai
seorang guru. Kemudian, beliau meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana
Muda Sastera (kepujian) di Universiti Malaya dalam bidang pengajian Islam dan
menerima ijazah pada tahun 1964 (Chamil Wariya, 2004a: 80). Pendedahan dalam
pelbagai bidang pendidikan meliputi bidang pendidikan agama, pendidikan Melayu
dan pendidikan Inggeris, menjadikan Abdullah seorang yang berilmu. Penguasaan
dalam pelbagai bidang ilmu pendidikan membolehkan beliau dianggap sebagai
pemimpin yang menguasai ilmu dunia dan akhirat (Sivamurugan Pandian, 2007: 15).

3.2.3 Kerjaya dan Karier Politik

Abdullah memulakan kerjaya setelah tamat pengajian dengan menyertai sektor
perkhidmatan awam pada 20 Mac 1964 sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan

53

Perkhidmatan Awam. Beliau kemudian menjawat beberapa jawatan penting di
pelbagai kementerian. Pada tahun 1969 hingga 1971, Abdullah meneruskan tugas
sebagai Ketua Penolong Setiausaha di Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), Jabatan
Perdana Menteri (Sivamurugan Pandian, 2007: 16). Abdullah kemudiannya dinaikkan
pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan,
sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian yang sama pada
tahun 1974 (Sivamurugan Pandian, 2005b: 19). Pada tahun 1978-1980, Abdullah
dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan.
Kepimpinannya yang cemerlang melayakkan beliau untuk menjawat jawatan
Timbalan Menteri, di Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86), Menteri Pertahanan
(1986-87) dan Menteri Luar (15 Mac 1991-Januari 1999). Seterusnya, Abdullah
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada
Januari 1999 hingga Oktober 2003, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Kelima
pada 31 Oktober 2003 sehingga 3 April 2009 (Bibliografi Abdullah Ahmad Badawi:
Perdana Menteri Ke-lima, 2011: 9; Chamil Wariya, 2004b: 6; Sivamurugan Pandian,
2007: 16). Setelah melepaskan jawatan Perdana Menteri Kelima, beliau menjadi
pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), pengasas untuk Forum
Ekonomi Islam Dunia (WIEF), penasihat kepada NGO Landskap Malaysia, penasihat
pembangunan koridor Malaysia dan penasihat Malaysian Airlines. Pada peringkat
antarabangsa, Abdullah bergiat sebagai ahli Inter Action Council, ahli lembaga BOAO
Forum untuk Asia (BFA) dan pengerusi Commonwealth Eminent Person Group dari
tahun 2010 hingga 2011. Selain itu, beliau juga merupakan ahli pengasas Asian Peace
and Reconciliation Council (APRC).

Merujuk kepada karier politik pula, Abdullah mula menyertai bidang politik dengan
menyertai keahlian dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada
tahun 1964. Penglibatan Abdullah dalam bidang politik bermula pada tahun 1978,
iaitu selepas ayahandanya, Ahmad Badawi (yang ketika itu sebagai ahli Exco kerajaan
negeri Pulau Pinang) kembali ke rahmatullah pada 8 Mei 1977. Abdullah menjadi Ahli
Parlimen Kepala Batas, Seberang Prai Utara pada tahun 1978. Semenjak tahun 1981,
Abdullah dipilih menjadi ahli Majlis Tertinggi UMNO. Pada tahun 1984, 1987 dan
1990, Abdullah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO (Sivamurugan
Pandian, 2005b: 19-26; Bibliografi Abdullah Ahmad Badawi: Perdana Menteri Ke-
lima, 2011: 9). Abdullah juga pernah dilantik menjadi pengerusi Badan Perhubungan
UMNO Negeri Pulau Pinang pada tahun 1988. Pada tahun 1990, beliau dilantik
sebagai ketua delegasi UMNO ke Jawatankuasa Perundingan Ekonomi Negara. Pada
tahun 1993 hingga 1999, beliau memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Pada Perhimpunan Agung UMNO tahun 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan
Presiden bagi tempoh tahun 2000-2003. Beliau kemudiannya memegang jawatan
sebagai Presiden UMNO sejak tahun 2003 sehingga 2008 (Sivamurugan Pandian,
2005b: 29-33).

3.2.4 Visi dan Misi

Sebagai seorang tokoh politik, Abdullah dianggap telah menunjukkan komitmen yang
tinggi dalam usaha pembangunan negara. Antara yang paling terserlah ialah usaha

54

beliau mengetengahkan gagasan Modal Insan sebagai satu agenda nasional
(Sivamurugan Pandian, 2007: 93). Keprihatinan beliau dalam usaha membangunkan
modal insan, antaranya jelas melalui “Misi Nasional” yang dijadikan sebagai panduan
hala tuju utama negara menjelang Wawasan 2020 (2006-2020) (Utusan Online, 1
April 2006). Menurut beliau, pembangunan modal insan merupakan antara teras utama
dalam memperkembangkan ekonomi berlandaskan teknologi dan pengetahuan. Beliau
turut menekankan soal aspek kemahiran insaniah sebagai modal yang terpenting
dalam kemajuan negara. Untuk mencapai hasrat itu, modal insan perlu untuk
digerakkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai, sebagaimana yang ditekankan
oleh Abdullah ketika membentangkan RMK-9 pada 31 Mac 2006 seperti dalam
petikan berikut:

Kita perlu menerapkan pendekatan yang menyeluruh terhadap
pembangunan modal insan, yang menekankan bukan sahaja ilmu
pengetahuan, kemahiran, tetapi juga nilai etika, minda yang
progresif dan kesedaran budaya yang tinggi (Koleksi Ucapan
Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 24).

Dapat dikatakan bahawa gagasan Modal Insan yang dicetuskan oleh Abdullah
menekankan usaha pembentukan insan yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani.
Penekanan ini, antaranya jelas pada pengenalan slogan “Cemerlang, Gemilang dan
Terbilang” (Sivamurugan Pandian, 2005b: 45). Slogan ini dianggap sebagai satu
pencapaian unggul yang menjadi matlamat serta hala tuju pembangunan modal insan
negara secara individu dan kolektif. Justeru, dapat dikatakan bahawa antara
sumbangan Abdullah yang dianggap paling signifikan ialah apabila beliau
menekankan isu moral dan pembangunan insan. Sumbangan ini turut mendorong
beliau digelar sebagai “Bapa Pembangunan Modal Insan” (Utusan Online, 27 Mei
2017; Berita Harian Online, 27 Mac 2018). Abdullah dianggap sebagai pelopor
kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kepada kekuatan
pembangunan modal insan (Jefridin Atan, Muhammad Hilmi Jalil dan Muhammad
Hakimi Mohd Shafiai, 2017: 206).

Dari segi kronologi, dapat dikatakan bahawa Abdullah memulakan pentadbiran
dengan menggunakan slogan “bekerja bersama-sama saya, bukan untuk saya”
(Chamil Wariya, 2004a: 170; Sivamurugan Pandian, 2007: 93). Slogan ini
mencerminkan iltizam serta kesungguhan Abdullah bagi memacukan pembangunan
negara. Kesungguhan ini turut menyerlahkan ketokohan Abdullah seorang pemimpin
yang dinamik dengan cara tersendiri. Usaha murni ini juga menampilkan beliau
sebagai Perdana Menteri yang melaksanakan tanggungjawab secara bersama. Falsafah
kepimpinan Abdullah menganggap masyarakat, penjawat awam, pemimpin
masyarakat dan pemimpin politik sebagai rakan untuk menjayakan cita-cita bangsa.
Abdullah tidak mahu mereka bekerja untuk beliau semata-mata (Sivamurugan
Pandian, 2007: 93).

Seterusnya, semasa menjadi Perdana Menteri, Abdullah menekankan pengurusan
negara yang jujur, efisien dan keislaman. Ketokohan dan kepimpinan yang wibawa

55

dipamerkan oleh Abdullah dengan melaksanakan sistem pentadbiran yang telus, dan
pada masa yang sama menyebarkan syiar Islam. Antaranya ialah gagasan “Islam
Hadhari” yang diperkenalkan dan menjadi salah satu misi nasional (Sivamurugan
Pandian, 2007: 3). Secara umum, dapat dikatakan bahawa “Islam Hadhari” merupakan
satu usaha pengislahan masyarakat, iaitu perubahan yang membawa kepada
kedudukan yang lebih baik daripada sebelumnya (Mohd. Yusof Hasan, 2007: 87;
Sivamurugan Pandian, 2007: 3). Gagasan ini dikatakan banyak memberikan
penekanan terhadap aspek pembangunan, yang menjurus kepada pembinaan
peradaban, iaitu peradaban yang ditunjangi dengan akidah Islam melalui penguasaan
ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Seterusnya, Abdullah turut melaksanakan Pelan Integriti Nasional (seterusnya PIN),
yang mendidik masyarakat mengenai integriti (Utusan Online, 24 April 2004;
Sivamurugan Pandian, 2007: 9). PIN dilancarkan oleh Abdullah pada 23 April 2004
di Putrajaya, terbentuk hasil daripada aspirasi rakyat dan pemimpin berdasarkan
cabaran keempat Wawasan 2020 (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2004: Siri
Ucapan Penting, 2005: 83). Bagi memantapkan pelaksanaan PIN, Institut Integriti
Malaysia ditubuhkan pada hari yang sama. Institut ini bertanggungjawab sebagai
pemantau aktiviti pendidikan dan kesedaran integriti di sektor awam, swasta dan
masyarakat awam. Usaha dilakukan supaya prinsip integriti dipraktikkan dalam
kehidupan harian rakyat Malaysia (Megat Ayob Megat Arifin dan Abd. Halim
Ahmad, 2016: 142).

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dikatakan bahawa Abdullah telah
memberikan sumbangan yang signifikan terhadap usaha-usaha untuk membangunkan
masyarakat. Antara sumbangan yang dapat dianggap paling signifikan ialah gagasan
Modal Insan. Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal kajian ini, gagasan Modal
Insan menjadi antara agenda nasional yang masih dipertahankan dan relevan sehingga
kini, sebagaimana yang terserlah pada penekanannya dalam Transformasi Nasional 50
(seterusnya TN50) dan Transformasi Sekolah 25 (seterusnya TS25). TN50
merupakan inisiatif pembangunan negara jangka panjang. Seterusnya, TS25
merupakan usaha ke arah meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti
yang selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025. Manakala, menerusi Buku Harapan Malaysia Baharu
di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia turut menekankan usaha pembangunan
insan.

3.3 Gagasan Modal Insan oleh Abdullah Ahmad Badawi: Satu Pengenalan

Bahagian ini akan membincangkan tentang gagasan Modal Insan oleh Abdullah
secara komprehensif. Untuk itu, perbincangan ini akan menjejaki isi penting yang
terkandung dalam ucapan-ucapan Abdullah yang memperkatakan tentang gagasan
Modal Insan. Perbincangan tentang ucapan-ucapan Abdullah ini akan disusun secara
kronologi bagi memperlihatkan perkembangan idea serta gagasan tersebut.
Sebagaimana yang telah dijelaskan Malaysia mula memberi penekanan terhadap
pembangunan modal insan dalam RMK-9 pada tahun 2006-2010 (Koleksi Ucapan

56

Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 42) dan diteruskan dalam
Rancangan Malaysia Kesepuluh (seterusnya RMK-10) 2011-2015 (Rancangan
Malaysia Kesepuluh, 2010; Utusan Online, 9 Julai 2010). Menerusi RMK-9, modal
insan menjadi satu strategi dan tumpuan penting dalam pembangunan Malaysia dan
dilihat sebagai satu transformasi dalam memastikan kejayaan sesebuah negara.
Dengan itu, modal insan menjadi satu agenda nasional untuk membangunkan warga
Malaysia dalam pelbagai aspek yang bersifat menyeluruh, holistik dan berkualiti
(Koleksi Ucapan Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 42).

Sebagaimana yang telah dinyatakan, Abdullah mengambil inisiatif untuk menjadikan
pembangunan modal insan sebagai inti pati serta tunjang utama kepimpinannya.
Beliau menjadikan soal pembangunan modal insan sebagai strategi utama untuk
membangunkan kelestarian jati diri serta nilai tambah rakyat Malaysia. Untuk
memastikan usaha ini tercapai, setiap insan dituntut untuk memastikan pengisian
minda dengan ilmu pengetahuan yang bersesuaian mengikut zaman. Justeru, tumpuan
diberikan kepada soal pembangunan insan yang berkualiti dan dinamik dari segi
minda dan akhlaknya. Abdullah dalam ucapannya di Forum Ekonomi Jeddah pada 20
Februari 2005 turut menekankan soal modal insan, antara lain menjelaskan seperti
dalam petikan berikut: “Untuk kebanyakan negara sekarang, pembangunan sumber
manusia dan pembentukan modal manusia adalah amat penting.” (Utusan Malaysia,
21 Februari 2005). Kenyataan ini menunjukkan akan keperluan bagi negara untuk
membangunkan sumber manusia untuk dijadikan modal pada masa hadapan.

Seterusnya, Abdullah turut memperkatakan tentang modal insan ketika
membentangkan RMK-9 di Parlimen, Malaysia pada 31 Mac 2006. Beliau antaranya
menjelaskan tentang keperluan membangunkan modal insan yang berpengetahuan,
berkemahiran, berteknologi, berkeusahawanan dan memiliki nilai sebagai keutamaan,
sebagaimana yang jelas diungkapkan dalam petikan berikut:

Usaha membangunkan modal insan berkualiti akan digiatkan.
Pendekatan kepada pembangunan modal insan haruslah secara
holistik, menekankan pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran,
modal intelektual termasuk ilmu sains, teknologi dan
keusahawanan, dan juga pembudayaan sikap progresif serta nilai
etika dan moral yang tinggi (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif,
31 Mac 2006).

Selain itu, Misi Nasional dan RMK-9 juga menetapkan pembangunan modal insan
berminda kelas pertama sebagai salah satu daripada lima teras utama bagi mencapai
Wawasan 2020. Pelaburan modal insan secara holistik yang lengkap dengan
pengetahuan, kemahiran serta nilai moral dan etika yang utuh, diberi penekanan dalam
RMK-9 (Mustafa Dakian, 2009: vii). Berdasarkan teras yang digariskan, dapat
dikatakan bahawa modal insan yang ingin dibangunkan adalah individu yang berilmu,
berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi
pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat

57

patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing (Buku Rasmi Tahunan Malaysia,
2006).

Seterusnya, dalam wawancara bersama pihak Radio Televisyen Malaysia pada 3 April
2006, Abdullah turut menghuraikan tentang kekuatan modal insan menerusi RMK-9
dalam usaha mencapai kemajuan negara menjelang Wawasan 2020 (Koleksi Ucapan
Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 46). Menurut beliau, kekuatan
modal insan terletak pada mereka yang kuat kerana memiliki ilmu pengetahuan,
kekuatan jasmani dan kekuatan moral. Kekuatan modal insan tidak akan lahir jika
tidak diasaskan kepada kekukuhan dan kekuatan moral, sebagaimana petikan temu
bual berikut:

Kalau kita nak misi, pembawa misi mestilah orang yang kuat, kuat
kerana ilmu pengetahuan yang dikuasainya, perlu kuat dari segi
jasmaninya, dan dia kena kuat dari segi moralnya. Jadi, semua ini
perlu kuat. Maka sebab itu saya tekankan sepanjang RMK-9 ini,
boleh kata di setiap buku dan bab itu disebutkan tentang modal
insan. Mengapa? Sebab itu modal, bukan hanya satu faktor sahaja.
Sebab keseluruhan dan kemajuan yang hendak dibina ini, struktur
yang akan dibina ini akan dibina atas adanya modal insan. Kekuatan
modal insan itu takkan sempurna selagi ia tidak diasaskan kepada
kekukuhan dan kekuatan moral (Koleksi Ucapan Abdullah Badawi
2006, 2007: 46).

Seterusnya, gagasan Modal Insan turut dihuraikan lagi oleh Abdullah ketika
menyampaikan perutusan sempena Hari Pekerja pada 1 Mei 2006. Antara inti pati
ucapan beliau ialah keperluan modal insan berminda kelas pertama menjadi
keutamaan bagi sebuah negara maju, sebagaimana yang dijelaskan menerusi petikan
berikut:

Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan
pengetahuan serta ingin menjadi bukan sahaja sekadar mana-mana
negara maju tetapi negara maju yang mempunyai identitinya sendiri
serta mampu terus kekal pada tahap itu, pembangunan modal insan
berminda kelas pertama harus diutamakan (Utusan Online, 2 Mei
2006).

Seterusnya, Abdullah dalam Majlis Konsultasi Bajet 2007 di Putrajaya pada 1 Jun
2006, memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan yang boleh dicapai
melalui ilmu pengetahuan yang diselaraskan dengan hasrat untuk membangunkan
ekonomi yang cemerlang, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Selain daripada penerokaan sumber pertumbuhan baru, kita juga
perlu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan

58

selaras dengan hasrat ke arah membangunkan ekonomi berasaskan
ilmu pengetahuan. Langkah ini amat penting bagi menjamin tenaga
kerja kita lebih berkemahiran tinggi, produktif serta sentiasa
komited dalam usaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang
(Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan
Penting, 2007: 74).

Selanjutnya, gagasan Modal Insan turut dihuraikan oleh Abdullah ketika ucapan Bajet
2007 pada 1 September 2006. Pada kesempatan itu, Abdullah menjelaskan tentang
pentingnya usaha pembangunan modal insan untuk meningkatkan pengetahuan dan
inovasi serta memupuk minda kelas pertama. Antaranya, Abdullah menjelaskan
kepentingan tentang membangunkan modal insan yang berpengetahuan, kreativiti,
inovasi serta sihat. Untuk itu, pembangunan modal insan menjadi prasyarat untuk
memacu pertumbuhan ekonomi berpaksikan pengetahuan serta teknologi untuk
membina negara yang lebih berdaya saing dan maju. Adalah jelas bahawa dalam Bajet
2007 modal insan dijadikan agenda utama dalam pembangunan negara (Koleksi
Ucapan Abdullah Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 102).

Seterusnya, ketika majlis Pelancaran Kursi Tan Sri Dr. Noordin Sopiee Mengenai
Kajian Global di Universiti Sains Malaysia pada 4 September 2006, Abdullah turut
menjelaskan tentang soal pentingnya perkongsian idea dan sumber modal insan secara
pintar dengan membangunkan satu tamadun berasaskan ilmu. Perkongsian idea dalam
kalangan modal insan yang berilmu, dianggap sebagai asas untuk melahirkan
masyarakat bertamadun yang memiliki nilai-nilai keinsanan (Koleksi Arkib Ucapan
Ketua Eksekutif, 4 September 2006). Gagasan Modal Insan sekali lagi dihuraikan oleh
Abdullah dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Wilayah Ekonomi Johor Selatan
bertempat di Danga Bay, Johor Bahru pada 4 November 2006. Dalam ucapan itu,
Abdullah menjelaskan tentang pentingnya modal insan dalam menggalakkan
pertumbuhan sektor-sektor baharu seperti kemahiran teknologi dan komunikasi,
multimedia dan kreatif. Hal ini membolehkan negara berkembang secara dinamik dan
progresif, di samping menyediakan pendidikan yang bertaraf tinggi. Menurut
Abdullah, kehadiran insan berilmu dan berkemahiran dapat membantu
mempercepatkan proses pembangunan, sebagaimana yang dijelaskan oleh beliau
seperti petikan berikut: “Pengembangan minda dan kemahiran dianggap sebagai
komponen penting bagi pembangunan negeri Johor secara berterusan, perhatian
diberikan kepada penyediaan pendidikan bertaraf tinggi” (Koleksi Ucapan Abdullah
Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 128).

Sehubungan itu, Abdullah semasa Majlis Pelancaran Institut Integriti dan Sambutan
Hari Integriti Nasional 2006 di PICC, Putrajaya pada 9 November 2006, turut memberi
penekanan terhadap perwatakan yang luhur, kewibawaan yang jitu dan tahap disiplin
yang tinggi. Beliau menyeru supaya masyarakat Malaysia menjadikan integriti
sebagai usaha yang berterusan dan bekerja dengan gigih untuk memakmurkan negara
(Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 136).
Seterusnya, Abdullah dalam Majlis O.I.C. Human Capital Management Conference
di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah pada 23 November 2006
memberi penekanan terhadap strategi pembangunan modal insan yang sesuai dalam

59

pasaran global yang kompetitif. Pasaran yang menuntut modal insan untuk terus
bersaing dalam pasaran dunia. Antara strategi tersebut ialah memberi penekanan
terhadap kerjasama antara universiti dengan pihak industri bagi membangunkan
modal insan. Matlamat ini boleh dicapai melalui bidang penyelidikan yang dapat
meningkatkan keupayaan inovasi negara (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 23
November 2006).

Menjelang tahun 2007, Abdullah meneruskan usahanya yang menginginkan semua
masyarakat merealisasikan RMK-9 dan berazam penuh terhadap pembangunan modal
insan sebagai teras utama. Justeru, modal insan dijadikan sebagai garis panduan dalam
usaha merealisasikan kewujudan sebuah negara yang maju, dengan slogan
“Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” menjelang Wawasan 2020. Beliau berpendapat
bahawa pembangunan modal insan dan anjakan minda merupakan satu cabaran
terbesar. Dengan kata lain, usaha pembangunan modal insan dalam RMK-9 turut
memberi tumpuan kepada aspek keinsanan yang terbina menerusi falsafah hidup,
agama dan moral (Koleksi Ucapan Abdullah Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan
Penting, 2007: 23 & 26).

Seterusnya, Abdullah dalam ucapan di Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Wilayah
Ekonomi Koridor Utara Peringkat Negeri Kedah, menyatakan bahawa nilai tambah
kepada sektor-sektor luar bandar dapat direalisasikan dengan menambah nilai industri-
industri bandar, sekali gus menambah nilai kepada modal insan. Justeru, semua pihak
diseru untuk berusaha menjadikan koridor utara sebuah wilayah yang moden,
berinovasi dan berdaya saing (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 30 Julai 2007).

Seterusnya, Abdullah dalam ucapan di Majlis Pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor
Utara Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 31 Julai 2007, menjelaskan bahawa
pembangunan modal insan penting bagi menjayakan pembangunan negara.
Pembangunan dapat dijayakan dengan penyertaan bersepadu oleh seluruh warga,
sebagaimana dijelaskan dalam petikan berikut: “Program pembangunan wilayah
ekonomi koridor utara memerlukan penyertaan modal insan untuk mencapai matlamat
yang telah disasarkan” (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 31 Julai 2007).

Abdullah turut menghuraikan gagasan Modal Insan dalam ucapannya di Majlis
Konsultasi Bajet 2009 di Putrajaya pada 21 April 2008. Dalam ucapan ini, beliau
menjelaskan tentang pentingnya usaha untuk mengambil langkah-langkah
pembaharuan yang proaktif dan inovatif dalam memacu peningkatan nilai tambah
serta memantapkan daya saing dan ketahanan. Pembangunan modal insan berkualiti
perlu dipertingkatkan sebagai satu strategi bagi meningkatkan peluang pekerjaan,
selain meningkatkan produktiviti bagi negara (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif,
21 April 2008).

Seterusnya, Abdullah semasa ucapan di Majlis Kajian Separuh Penggal RMK-9 di
Dewan Rakyat, Parlimen Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008, turut menyeru masyarakat
supaya bersama-sama mendukung usaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah

60

negara yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan daya inovasi. Kesemua ini
penting bagi memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Usaha ini perlu
diberi keutamaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berpengetahuan,
berinovasi dan memiliki nilai-nilai positif. Hasrat untuk melahirkan modal insan
dengan minda kelas pertama turut menuntut kepada pembinaan masyarakat yang
mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif,
26 Jun 2008).

Dalam pembentangan Bajet 2009 di Parlimen pada 29 Ogos 2008, Abdullah turut
memberi penekanan terhadap gaya hidup sihat dalam membangunkan modal insan
berkualiti dan seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek. Gaya hidup sihat, daya
saing dan inovasi merupakan nilai-nilai dalam membangunkan modal insan (Koleksi
Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 29 Ogos 2008).

Manakala, dalam ucapan beliau di Majlis Perasmian Kampus Tetap Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM) di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan pada 25 November
2008, Abdullah antara lain melahirkan hasrat agar USIM membangunkan modal insan
melalui program yang dapat memupuk nilai-nilai, kemahiran serta keyakinan diri
pelajar agar dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat dan alam kerjaya (Koleksi
Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 25 November 2008).

Seterusnya, pentingnya soal membangunkan modal insan turut ditekankan oleh
Abdullah dalam ucapannya ketika majlis perasmian Perayaan Jubli Intan Jabatan
Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Pada kesempatan
ini, beliau mahukan penjawat awam menghayati nilai-nilai murni dalam usaha
memberikan perkhidmatan yang melangkaui kebiasaan. Justeru, pembangunan modal
insan wajar memberi fokus terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, berkemahiran
serta mempunyai nilai moral dan etika yang mantap (Koleksi Arkib Ucapan Ketua
Eksekutif, 12 Februari 2009).

3.4 Reaksi dan Resepsi Kritis Terhadap Gagasan Modal Insan

Seterusnya, perbincangan dalam bahagian ini akan meninjau reaksi-reaksi yang
tercetus dengan pengenalan gagasan Modal Insan. Tinjauan ini penting bagi
mengetahui pandangan serta komen kritis, memandangkan soal pembangunan modal
insan telah menjadi antara agenda nasional. Dalam konteks kajian ini, tinjauan ini
relevan bagi memperkukuhkan kewibawaan gagasan Modal Insan yang dimanfaatkan
sebagai kerangka bagi menganalisis novel-novel teks KOMSAS yang dikaji. Untuk
itu, perbincangan akan dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu reaksi daripada dunia
politik, dan seterusnya reaksi daripada dunia akademik. Tinjauan daripada dunia
politik penting dengan kedudukan gagasan Modal Insan yang sehingga kini menjadi
agenda nasional. Manakala, tinjauan daripada dunia akademik berguna bagi
menyediakan pemahaman yang lebih substantif tentang modal insan yang menjadi
kerangka dalam kajian ini.

61

3.4.1 Reaksi dan Resepsi daripada Dunia Politik

Setelah gagasan Modal Insan diperkenalkan, pelbagai reaksi muncul dalam kalangan
pemimpin serta ahli politik. Penekanan terhadap modal insan jelas diperkatakan,
antaranya oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul
Razak. Beliau antara lain menjelaskan bahawa persaingan modal insan masa kini
menjadi semakin sengit. Keperluan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi
merupakan cutting edge (paling maju) kepada daya saing negara. Beliau turut
menyarankan agar majikan bertanggungjawab dalam usaha komprehensif dan fasiliti
yang kondusif bagi melahirkan modal insan berkualiti. Sebagai langkah drastik, Talent
Corporation (seterusnya TalentCorp) sebuah agensi Jabatan Perdana Menteri telah
ditubuhkan pada 1 Januari 2011. TalentCorp dibentuk sebagai satu usaha untuk
membawa pulang tenaga mahir yang berhijrah ke luar negara untuk berkhidmat dan
menyumbang kepakaran di Malaysia. TalentCorp juga ditubuhkan untuk mengenal
pasti kekurangan kemahiran di beberapa sektor utama, dan seterusnya mencadangkan
strategi sesuai untuk menarik serta mengekalkan modal insan yang diperlukan. Usaha
ini sebagai nilai tambah dan produktiviti yang mantap, sebagaimana yang dinyatakan
oleh Najib dalam petikan berikut: “Banyak negara, terutamanya negara maju,
mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal
insan yang cemerlang termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia” (Rancangan
Malaysia Kesepuluh 2011-2015, 2010: 36).

Seterusnya, gagasan Modal Insan turut ditekankan oleh mantan Menteri Pendidikan
Malaysia, Tan Sri Dato Muhyiddin Hj Mohd. Yassin (2015) dalam ucapan di Majlis
Perutusan Tahun Baharu 2015 KPM, pada 16 Januari 2015, di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Putrajaya. Dalam ucapannya itu, Muhyiddin menegaskan bahawa
modal insan minda kelas pertama haruslah dapat menggunakan pengetahuan secara
proaktif, kreatif dan inovatif. Minda kelas pertama iaitu insan yang memenuhi
keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Untuk memenuhi
hasrat ini, KPM merangkumkan semua aspek modal insan yang mampu memacu
Malaysia untuk menjadi negara maju. Justeru, pendidikan di Malaysia disarankan agar
perlu sentiasa berubah selaras dengan keperluan untuk melahirkan modal insan,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Muhyiddin dalam petikan berikut: “Modal insan
yang dilahirkan oleh sistem pendidikan perlu berupaya menangani persekitaran global
yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada
kesejahteraan dan kekayaan negara (Muhyiddin Hj Mohd. Yassin, 2015).

Demikian juga ucapan Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (2015) ketika Taklimat Hadiah
Latihan Persekutuan dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa Bagi Pengajian
2015/2016 pada 9 Mac 2015 di MAEPS, Serdang. Beliau menjelaskan modal insan
merupakan aset terpenting kepada organisasi dan negara. Menurut beliau, jatuh
bangun sesebuah bangsa dan negara bergantung sepenuhnya kepada kualiti modal
insan. Sehubungan itu, pendidikan menjadi usaha untuk melahirkan modal insan yang
memiliki ciri-ciri berilmu, beretika dan berdaya saing. Kesemua nilai ini perlu saling
melengkapi bagi membentuk jati diri insan. Penekanan terhadap modal insan ini jelas
apabila Mohamad Zabidi Zainal mengungkapkan kenyataan seperti berikut:

62

Kita perlu menerapkan pendekatan yang menyeluruh terhadap
pembangunan modal insan, yang menekankan bukan sahaja ilmu
pengetahuan dan kemahiran tetapi juga nilai etika, minda yang
progresif dan kesedaran budaya yang tinggi kerana ia merupakan
prasyarat yang penting dalam membina negara yang lebih berdaya
saing dan maju (Mohamad Zabidi Zainal, 2015).

Seterusnya, gagasan Modal Insan turut diperkatakan oleh YB. Datuk Wira Haji Md
Yunos Husin (seterusnya Md Yunos) (2016), Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains
dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, ketika Perasmian Jelajah Pendidikan
Bumiputera di Melaka, pada 29 April 2016. Pada kesempatan itu, beliau antara lain
membangkitkan tentang usaha memperkasakan modal insan yang bakal menyediakan
Malaysia dengan satu corak pembangunan berasaskan acuan sendiri. Modal Insan
yang memiliki jati diri yang ampuh dan tidak mudah goyah, sebagaimana yang
dijelaskan oleh Md Yunos dalam petikan berikut:

Rakyat Malaysia perlu memiliki ciri global dan glokal. Apabila kita
tawan dunia, ia turut disertai jati diri bangsa Malaysia yang asli dan
utuh, jangan sampai lupa bumi yang dipijak (Md. Yunos Husin,
2016).

Berdasarkan kepada reaksi serta pandangan yang dikemukakan oleh para pemimpin
serta ahli politik di atas, dapat dirumuskan bahawa gagasan Modal Insan telah
mendapat sambutan yang baik. Gagasan ini dianggap juga relevan dalam memenuhi
agenda pembangunan negara. Hal ini kerana gagasan Modal Insan berkait rapat
dengan persaingan dalam pasaran tenaga kerja, dan justeru menuntut masyarakat
untuk memiliki daya saing yang tinggi dan melakukan anjakan paradigma melalui
kreativiti dan inovasi. Lebih penting lagi, sektor pendidikan dianggap sebagai sektor
yang mampu merealisasikan gagasan Modal Insan. Melalui pendidikan, matlamat
untuk melahirkan modal insan dianggap mampu untuk dijana.

3.4.2 Reaksi dan Resepsi Kritis daripada Dunia Akademik

Seterusnya, sebagai satu agenda nasional yang antaranya diterjemahkan melalui sektor
pendidikan negara, modal insan turut mendapat reaksi yang meluas dalam kalangan
ahli akademik, termasuk para sarjana serta pengkaji. Reaksi ini dikemukakan dalam
sejumlah tulisan yang telah diterbitkan, sama ada dalam bentuk buku, artikel,
mahupun kertas kerja. Reaksi terhadap gagasan Modal Insan, antaranya diutarakan
oleh Abd. Jalil Borham dalam buku bertajuk Asas Pembangunan Modal Insan (2008).
Abd. Jalil Borham antara lain menjelaskan bahawa pembangunan insan merangkumi
perangai, sikap, motivasi kemampuan mental, fizikal dan sebagainya. Pembangunan
insan yang menuntut kepada keperluan ilmu, keterampilan dan sikap yang positif
supaya peroleh hasil yang diharapkan. Pembangunan insan dianggap relevan kerana
selaras dengan fitrah insan dan tuntutan agama. Justeru, pembangunan insan meliputi
elemen jasmani dan rohani. Secara keseluruhannya, tulisan Abd. Jalil Borham ini

63

menjelaskan tentang perlunya pembangunan modal insan diseimbangkan dengan
keperluan rohani dan jasmani, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:
“Pembangunan modal insan juga dianggap terhalang sekiranya elemen jasmaniah dan
rohaniah tidak mengikut fitrah manusia yang inginkan yang terbaik untuk memenuhi
keperluan hidup” (Abd. Jalil Borham, 2008: 13-15).

Selanjutnya, gagasan Modal Insan turut dibangkitkan Sidek Baba dalam buku bertajuk
Acuan Minda (2009a). Beliau menjelaskan bahawa pembangunan modal insan penting
kerana menjadi indikator kemajuan sesebuah negara. Menurutnya lagi, modal insan
yang dibangunkan bukan sahaja memiliki ilmu dan kepakaran, malah mampu
menguruskan ilmu dengan amanah. Selain ilmu, manusia turut disarankan bersifat
terbuka terhadap kemahiran teknologi hasil dari peradaban dan tamadun luar.
Penggunaan teknologi dapat memberi nilai keihsanan yang terpuji untuk berhadapan
dengan kemajuan kehidupan. Justeru, kecemerlangan modal insan perlu dibangunkan
secara holistik berasaskan ilmu sebagai penggerak kepada kemajuan sesebuah negara.
Keseimbangan antara ilmu, kemahiran di samping memperkasakan nilai keihsanan
dapat melahirkan keperibadian insan yang unggul, sebagaimana yang dijelaskan oleh
Sidek Baba dalam petikan berikut:

Modal insan yang berwibawa adalah hasil cernaan ilmu,
keterampilan dan nilai yang sifatnya integratif. Darinya lahir
mereka yang memiliki keahlian dan kepakaran yang sifatnya
menyumbang dan bakal menghasilkan peribadi unggul (Sidek
Baba, 2009a: 22).

Demikian juga pandangan Mustafa Dakian dalam buku bertajuk Pembangunan modal
insan: Misi 2057 Berteraskan Islam dan Konvensional (2009) yang menjelaskan
bahawa modal insan merupakan individu yang menyumbang kepada kekuatan negara.
Justeru, kegagalan untuk menjana modal insan dianggap akan merencatkan potensi
negara. Mustafa Dakian (2009: 261) turut menjelaskan bahawa untuk mencorakkan
minda kelas pertama, setiap individu perlu berfikiran positif, reka cipta, inovatif,
kreatif, patriotik, dinamik dan sihat. Justeru, gagasan ini dianggap mampu melahirkan
insan yang holistik yang sekali gus membentuk modal insan kelas pertama,
sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Pemimpin negara bukan hanya
mahu membangunkan negara yang bertaraf kelas pertama, tetapi turut memberi
penekanan untuk membangunkan manusia sebagai modal insan bertaraf kelas
pertama” (Mustafa Dakian, 2009: 302).

Seterusnya, Suhana Saad dalam tulisan bertajuk “Pembangunan Modal Insan Belia
daripada Perspektif Politik” (2011), antara lain berpendapat bahawa pembangunan
modal insan penting sebagai satu landasan kecemerlangan bagi generasi masa
hadapan. Ini bermakna, generasi masa hadapan perlu dibangunkan menjadi individu
yang berilmu, berkeyakinan, beretika, bersopan santun, berdisiplin, dinamik, inovatif,
kreatif, sihat, patriotik, adil, cekal dan berdaya saing. Adalah jelas bahawa tulisan
Suhana Saad membangkitkan soal pentingnya modal insan yang unggul untuk
kecemerlangan masa depan negara dan hasrat Wawasan 2020. Justeru, pembinaan

64

modal insan mengambil kira kapasiti peranan politik dan kerajaan, sebagaimana yang
dijelaskan oleh Suhana Saad dalam petikan berikut: “Sosialisasi politik dan peranan
kerajaan adalah agen penting pemberdayaan modal insan kerana elemen inilah yang
akhirnya menentukan modal insan” (Suhana Saad, 2011: 12).

Selanjutnya, Pati Anak Aleng dalam buku bertajuk Transformasi Pendidikan dan
Pembangunan Modal Insan (2014), menjelaskan bahawa pembangunan modal insan
wajar diberi penekanan seiring dengan transformasi pendidikan negara. Cabaran
kehidupan global village (desa global) dan borderless world (dunia tanpa sempadan)
dianggap memberi impak dalam kehidupan. Pembangunan ini penting dalam
memastikan kelangsungan Malaysia sebagai negara maju yang berpendapatan tinggi,
berkualiti, berkemahiran serta membudayakan inovatif dan kreativiti. Tulisan Pati
Anak Aleng menyeru supaya modal insan diberikan penekanan sesuai dengan
transformasi pendidikan. Hal ini bagi melahirkan modal insan yang serba boleh dan
berani mencuba sesuatu yang baharu melalui ciptaan idea yang dijana (Pati Anak
Aleng, 2014: xv).

Seterusnya, Ab. Aziz Yusof dalam tulisan bertajuk “Pembangunan Modal Insan
daripada Perspektif Islam: Impak Kepada Pengurus” (2018) menjelaskan manusia
merupakan modal berharga bagi negara dan organisasi. Manusia sebagai modal insan,
merangkumi aspek fizikal, rohani, akal dan emosi. Ab. Aziz Yusof turut menjelaskan
tentang pentingnya membangunkan diri dengan empat pembangunan elemen utama
iaitu pembangunan jasmani, akal, emosi dan kerohanian. Pembangunan jasmani
melibatkan aspek kesihatan, manakala pembangunan rohani merujuk kepada jiwa
yang berusaha menuju kebaikan. Dalam hal ini, akal berfungsi sebagai pengimbang
dan penghubung antara kehendak jasmani dengan rohani. Manakala pembangunan
emosi merujuk kepada membangunkan perasaan dan menghidupkan hati dalam diri
manusia. Hal ini penting supaya perasaan kasih sayang, saling tolong menolong,
bekerjasama dan hormat-menghormati dapat disemai. Kesemua elemen tersebut
dibangunkan secara seimbang dan serentak untuk mencapai pembangunan secara
holistik, sebagaimana yang dijelaskan oleh Ab. Aziz Yusof dalam petikan berikut:

Pembentukan peribadi modal insan bertakwa perlu diseimbangkan
di antara tuntutan dan keperluan rohani, emosi, intelek dan jasmani
ke arah mencapai kesejahteraan yang hakiki. Ini kerana Islam
merupakan agama yang lengkap atau syumul yang memberi
penumpuan secara seimbang antara urusan muamalah seharian
dengan ibadat-ibadat khusus yang perlu ditunaikan (Ab. Aziz
Yusof, 2018: 48).

Seterusnya, penekanan tentang gagasan Modal Insan turut dibangkitkan oleh Noor
Shakirah Mat Akhir dan Muhammad Azizan Sabjan dalam tulisan bertajuk
“Pembangunan Modal Insan dari Perspektif Kerohanian Agama: Islam Sebagai
Fokus” (2014). Tulisan mereka ini antara lain membangkitkan soal pentingnya
pembangunan modal insan dalam memenuhi segala keperluan manusia. Tulisan ini
turut menekankan soal pentingnya keseimbangan dari segi jasmani dan rohani.

65

Keseimbangan dua elemen ini dianggap sebagai fitrah kejadian manusia (Noor
Shakirah Mat Akhir dan Muhammad Azizan Sabjan, 2014: 36-43).

Seterusnya, Zulkifli Mohd Yusoff dalam tulisannya bertajuk “Keseimbangan Modal
Insan dalam Membangun Masyarakat Holistik dari Kaca Mata Al-Quran” (2015),
antara lain menekankan aspek keperluan ilmu dan akhlak dalam membangunkan
modal insan. Tulisan Zulkifli Mohd Yusoff ini menghujahkan bahawa modal insan
berkait rapat dengan ilmu. Ilmu sebagai pemboleh ubah yang dapat membangunkan
masyarakat. Ilmu sebagai pemangkin dalam memajukan potensi modal insan. Selain
itu, modal insan berkualiti turut mempunyai akhlak yang baik sebagai kawalan sosial.
Hal ini dianggap penting agar manusia tidak kehilangan nilai kemanusiaan. Menurut
Zulkifli Mohd Yusoff, masa depan negara bergantung kepada mutu modal insan yang
sedia ada dalam menentukan kejayaan sesebuah masyarakat. Justeru, modal insan
yang ingin dilahirkan dianggap perlu berkualiti dari aspek pengetahuan, akhlak dan
nilai, sebagaimana yang diperjelaskan oleh Zulkifli Mohd Yusoff dalam petikan
berikut:

Mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia iaitu insan yang mempunyai
pengetahuan tentang nilai-nilai baik dan buruk akan mempunyai
kesedaran tentang kesan daripada perbuatan baik dan buruk,
berkeyakinan terhadap nilai murni, mengamalkan perbuatan yang
baik, menghindari perlakuan yang buruk dan menghayati nilai
mulia yang merangkumi nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan
kewarganegaraan (Zulkifli Mohd Yusoff, 2015: 12).

Seterusnya, Haron Din dalam bukunya Manusia dan Islam, Jilid 1 (2002) menjelaskan
bahawa manusia menjadi aspek terpenting dalam pembinaan sesebuah negara.
Menurut Haron Din, manusia dicipta oleh Allah daripada dua unsur iaitu jasmani dan
rohani. Pembangunan rohani dan jasmani dikaitkan dengan unsur terpenting dalam
pembangunan manusia. Unsur jasmani dibangunkan melalui tuntutan serta keperluan
hidup yang bersifat jasmani, yang terkumpul dalam tiga perkara utama, iaitu pakaian
dan perhiasan, kediaman dan keamanan dan makan dan minuman. Manakala, tuntutan
rohani pula berkait rapat dengan urusan ketuhanan. Justeru, dua unsur tersebut perlu
saling melengkapi sebagai hakikat penciptaan manusia. Haron Din turut menjelaskan
bahawa tuntutan serta keperluan jasmani merupakan wasilah kepada unsur rohani,
sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Walaupun manusia dicipta daripada dua unsur yang berbeza dan
bercanggah, tetapi dengan kekuasaan Allah yang memiliki unsur-
unsur dan undang-undang telah mencantumkan kedua-dua unsur
tersebut dalam satu bentuk kejadian yang dinamakan manusia
(Haron Din, 2002: 8).

Tinjauan di atas terhadap pandangan serta reaksi daripada dunia akademik berusaha
untuk melakarkan pemahaman yang kritis tentang gagasan Modal Insan. Antaranya,

66

gagasan Modal Insan dianggap dapat melahirkan insan yang bersifat menyeluruh,
mampu bersaing, berfikiran kreatif, berjiwa patriotik, sihat, berilmu, berkemahiran
dan dinamik. Selain itu turut mempunyai keikhlasan, kepercayaan dan keyakinan diri.
Begitu juga soal keseimbangan antara aspek rohaniah dengan aspek jasmaniah, yang
kedua-duanya merupakan elemen penting dalam pembangunan modal insan. Pada
dasarnya, dapat diperkatakan bahawa nilai-nilai yang terkandung dalam kerangka
Modal Insan, harus merangkumkan aspek jasmani dan rohani.

3.5 Nilai-nilai dalam Kerangka Modal Insan

Sebagaimana yang telah dirumuskan dalam perbincangan di atas, nilai-nilai yang
menunjangi kerangka Modal Insan merangkumi aspek jasmani dan rohani.
Berdasarkan kepada prinsip ini, keperluan kajian ini menuntut satu kerangka analisis
yang jelas serta sistematik. Justeru, bahagian ini akan menggariskan nilai-nilai yang
terkandung dalam kerangka Modal Insan. Nilai-nilai yang digariskan dalam
perbincangan di bawah, akan diterapkan dalam analisis terhadap novel-novel teks
KOMSAS yang dikaji. Untuk itu, perbincangan seterusnya akan dibahagikan kepada
beberapa sub topik yang diasaskan pada nilai-nilai yang digariskan dalam kerangka
Modal insan. Huraian terhadap nilai-nilai ini akan dilakukan berasaskan penjelasan
Abdullah, dan memantapkan pemahaman terhadap setiap nilai yang digariskan.
Pandangan Abdullah itu akan diperhalusi dengan meneliti pendapat daripada beberapa
sarjana serta pengkaji. Secara keseluruhannya, dapat dikatakan bahawa kerangka
Modal Insan ditunjangi oleh nilai-nilai seperti berikut:

3.5.1 Berilmu

Antara nilai utama yang menunjangi gagasan Modal Insan ialah “Berilmu.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang
pentingnya masyarakat Malaysia memiliki pengisian ilmu, sekiranya ingin
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Menurut Abdullah, hanya dengan
menguasai ilmu, seseorang itu boleh menjadi maju, dihormati dan mampu
menyumbang kepada pembangunan negara. Ini kerana ilmu merupakan suluh dan
pedoman yang sangat bernilai kepada manusia bagi memperkasa masyarakat.
Abdullah turut menjelaskan tentang pentingnya meningkatkan ilmu melalui nilai
tambah ilmu secara berterusan serta dikongsi bersama. Hal ini kerana ilmu dapat
menjana modal insan. Kekuatan ilmu ini dapat diperoleh melalui pemerolehan ilmu
baharu, iaitu ilmu yang sesuai dan relevan dengan kehendak semasa, sebagaimana
yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan berikut:

Jangan baca kitab lama sahaja, ilmu baharu perlu ada, persoalannya
adakah kita mahu menjadi sebuah bangsa yang tengok sahaja, tidak
mahu tambah ilmu atau bangsa dan negara yang maju dengan
kekuatan ilmu (Sinar Online, 15 November 2014).

67

Merujuk kepada nilai “Berilmu”, Abdullah juga berpendapat bahawa ilmu merupakan
aset yang dapat meningkatkan keupayaan modal insan. Usaha menghidupkan budaya
ilmu dalam kalangan masyarakat dikatakan mampu merealisasikan pembangunan
negara. Beliau turut memperkatakan tentang peranan ilmu sebagai kekuatan untuk
mencapai kejayaan sebagai sebuah negara maju, sebagaimana yang dijelaskan oleh
Abdullah dalam petikan berikut:

Kekuatan ilmu merupakan pemangkin penting dalam pembangunan
modal insan dan sekiranya modal insan rakyat lemah, sesebuah
negara tidak akan memperoleh apa-apa kejayaan. Malaysia mampu
menjadi sebuah negara maju, sekiranya seluruh rakyat memiliki
kekuatan ilmu (Sinar Online, 15 November 2014).

Seiring dengan penekanan terhadap pentingnya ilmu dalam pembangunan modal
insan, Mustapha Kamal Ahmad Kassim, Zahiah Haris @ Harith dan Abdullah Yusof
(2010) turut berpendapat bahawa ilmu merupakan alat untuk membangun dan
menggerakkan sesebuah tamadun bangsa untuk menuju ke arah kemajuan. Mereka
turut menjelaskan bahawa ilmu pengetahuan yang luas dapat melahirkan bangsa yang
bertamadun tinggi. Penyuburan minda melalui penguasaan ilmu dilihat sebagai satu
cara untuk mendapatkan kesempurnaan diri. Ilmu dalam kalangan masyarakat bukan
sahaja dapat menjadikan diri berilmu, tetapi berkemampuan untuk
mentransformasikan ilmu demi melahirkan modal insan yang kompeten, sebagaimana
yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Penguasaan ilmu adalah pemangkin dalam
proses menyuburkan potensi modal insan ke arah menghasilkan sumber tenaga
manusia yang kompeten” (Mustapha Kamal Ahmad Kassim, Zahiah Haris@Harith
dan Abdullah Yusof, 2010: 41).

Seterusnya, penekanan terhadap ilmu turut dibangkitkan oleh Ajmain @ Jimaain
Safar, Ab. Halim Tamuri dan Mohd Aderi Che Noh (2010) ketika membicarakan
tentang pembangunan modal insan. Mereka antara lain berpendapat bahawa ilmu
membolehkan seseorang insan mengamalkan budaya integriti dengan melakukan
sesuatu kerja dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Integriti diri yang tinggi
membolehkan seseorang insan itu memaksimumkan produktiviti kerja. Proses
pendidikan yang berterusan dalam kehidupan menjadi titik tolak kepada usaha
meningkatkan produktiviti, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:
“Insan berilmu dan berakhlak bukan sahaja tahu untuk memobilisasi sumber
pengeluaran yang terhad untuk dimaksimumkan dalam bentuk produk atau
perkhidmatan, malah melaksanakan dengan penuh integriti” (Ajmain @ Jimaain, Ab.
Halim Tamuri dan Mohd Aderi Che Noh, 2010: 66).

Demikian juga pandangan Mustafa Dakian (2009) yang menjelaskan tentang
kepentingan ilmu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Ilmu dapat membangun
dan mencipta inovasi dalam kalangan manusia. Ilmu juga dianggap wahana utama
yang dapat menerapkan idea-idea baharu. Mereka yang berilmu juga tidak
menyalahgunakan ilmu untuk memusnahkan insan yang lain. Sebaliknya, ilmu dapat
digunakan secara bermanfaat kepada orang lain dan masyarakat, sebagaimana yang

68

dijelaskan Mustafa dalam petikan berikut: “Pertimbangan serius diberikan untuk
memastikan pengetahuan yang diperoleh akan digunakan secara positif dan beretika
serta bermanfaat kepada individu dan negara” (Mustafa Dakian, 2009: 34).

Berdasarkan penjelasan Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-pandangan
yang dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa “Berilmu” menjadi antara nilai
yang menunjangi kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian ini, nilai “Berilmu”
merujuk kepada keupayaan intelek insan dalam meneroka ilmu pengetahuan, yang
dengan ilmu pengetahuan itu dapat memberi kebaikan kepada dirinya, serta
masyarakat.

3.5.2 Berkeyakinan

Nilai seterusnya yang terkandung dalam gagasan Modal Insan ialah “Berkeyakinan.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang modal
insan yang memiliki nilai keyakinan yang tinggi sehingga terdorong untuk berusaha
bagi mengatasi permasalahan. Semakin tinggi keyakinan yang terbit dari dalam diri,
semakin tinggi iltizam untuk mempengaruhi tingkat usaha dan ketekunan. Keyakinan
yang tinggi turut memberi kesan terhadap tujuan yang ingin dicapai, dan mendorong
ke arah usaha untuk memantapkan lagi komitmen. Seseorang yang memiliki
keyakinan juga dikatakan dapat menguasai sesuatu keadaan dengan baik, mudah
termotivasi dan senantiasa berpandangan positif. Mereka juga dikatakan dapat
melakukan tugasan atau tindakan dengan baik, yang akhirnya berkemampuan untuk
merungkai permasalahan.

Merujuk kepada nilai “Berkeyakinan,” Abdullah dalam Risalah USIM (2008), turut
menjelaskan bahawa seseorang yang inginkan kejayaan haruslah mempunyai
keyakinan diri. Mereka yang mempunyai keyakinan diri akan dapat menyesuaikan diri
dalam apa jua keadaan, dan di mana sahaja mereka berada, sebagaimana yang
dijelaskan oleh dalam petikan Risalah USIM berikut:

Setiap program perlu mengandungi komponen-komponen tertentu
yang berfungsi memupuk nilai-nilai murni, membina kemahiran
serta memperkasa keyakinan diri agar pelajar dapat menyesuaikan
diri dalam masyarakat dan alam kerjaya (Risalah USIM, 2008: 3).

Seiring dengan penekanan terhadap pentingnya nilai “Berkeyakinan”, Mohd Rashid
Md Idris dan Norita Azrini Mohd Nawi (2012) turut berpendapat bahawa seseorang
yang berkeyakinan akan dapat mencapai kejayaan dalam setiap usaha yang dilakukan.
Mereka turut menjelaskan bahawa individu yang berkeyakinan tinggi dapat memiliki
kehidupan lebih sempurna. Justeru, generasi muda disarankan berkeyakinan dalam
diri mereka untuk berjaya dalam kehidupan, sebagaimana yang dijelaskan dalam
petikan berikut:

69

Seseorang yang ingin berjaya dalam kehidupan haruslah
mempunyai pandangan hidup dan keyakinan diri yang tinggi. Tanpa
pandangan hidup dan keyakinan diri, seseorang itu tidak akan
mempunyai prinsip dalam hidup dan kehidupannya tidak terarah
(Mohd Rashid Md Idris dan Norita Azrini Mohd Nawi, 2012: 6-8).

Seterusnya, penekanan Abdullah tentang nilai “Berkeyakinan” turut dibangkitkan oleh
Ranjit Singh Malhi (2004) yang menjelaskan bahawa keyakinan akan membentuk
motivasi seseorang untuk bersikap optimistik. Ranjit Singh Malhi juga berpendapat
bahawa individu yang memiliki keyakinan, sedar akan kemampuan diri untuk
bertindak. Beliau menjelaskan bahawa nilai “Berkeyakinan” merujuk kepada
kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan diri untuk mencapai apa yang
diinginkan, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Keyakinan ialah
kepercayaan yang kukuh terhadap keupayaan diri untuk mencapai cita-cita tertentu”
(Ranjit Singh Malhi, 2004: 74).

Demikian juga pandangan Chehrazade Aboukinane (2007), yang menjelaskan bahawa
keyakinan dapat membantu seseorang menyelesaikan masalah. Mereka lebih berdikari
semasa melaksanakan aktiviti, selain berani bertindak, berhujah serta melaksanakan
tugas dengan penuh komited. Insan yang berkeyakinan bukan sahaja menampakkan
keberanian dalam tindakan, malah lebih yakin dalam setiap tindakan yang diambil,
sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Keyakinan juga merupakan satu perasaan seperti keberanian yang
menyebabkan kita dapat bertindak tanpa rasa ragu-ragu kerana
beranggapan bahawa tindakan yang dilakukan itu adalah benar dan
wajar (Chehrazade Aboukinane, 2007: 63-64).

Seterusnya, Buku Rancangan Malaysia Kesebelas (2015) juga menyeru masyarakat
Malaysia agar memiliki kecerdasan emosi dan rohani yang seimbang. Keseimbangan
ini membolehkan seseorang itu bersemangat, berkeyakinan dan berkepimpinan untuk
mencapai kejayaan hidup. Sehubungan itu, insan yang berkeyakinan dianggap dapat
mempamerkan kesungguhan diri dan melonjakkan keterampilan diri sehingga mampu
meyakinkan orang lain, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Rakyat yang berkeyakinan tinggi, mempunyai kecerdasan emosi
dan rohani. Mampu berkomunikasi dengan berkesan dan memiliki
daya kepimpinan yang boleh memberi inspirasi kepada masyarakat
dalam dan luar negara untuk mencapai kecemerlangan (Buku
Rancangan Malaysia Kesebelas, 2015: 10-19).

Kesimpulannya, berkeyakinan merupakan nilai yang memberi fokus kepada kekuatan
diri, dan pada masa yang sama melihat kekurangan diri untuk diperbaiki. Insan yang
berkeyakinan dapat melonjakkan diri ke arah kejayaan serta membina imej diri.

70

Berdasarkan penjelasan Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-pandangan
yang dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa nilai “Berkeyakinan” antara
nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian ini, nilai
“Berkeyakinan” merujuk kepada keperibadian insan yang teguh berpegang pada
kebenaran yang diasaskan pada ilmu pengetahuan.

3.5.3 Beretika

Nilai seterusnya yang terkandung dalam gagasan modal insan ialah “Beretika.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang etika
yang merujuk kepada tingkah laku baik atau buruk, betul atau salah, yang akhirnya
membawa kepada penilaian terhadap tingkah laku yang dipamerkan. Menurut
Abdullah, usaha melahirkan modal insan memerlukan insan untuk memiliki nilai
moral dan etika yang kukuh [teras kedua, strategi kelima]. Individu yang beretika
dapat mempamerkan tanggungjawab, berperanan serta berperilaku mulia yang boleh
dicontohi masyarakat. Tingkah laku beretika yang dipamerkan oleh seseorang
terhadap masyarakat juga dapat melahirkan insan yang memiliki minda kelas pertama,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan berikut:

Hasrat untuk melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama
menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai
moral dan etika yang kukuh. Usaha ini akan terus dipertingkatkan
melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional serta penerapan
prinsip-prinsip Islam Hadhari (Koleksi Arkib Ucapan Ketua
Eksekutif, 26 Jun 2008).

Seiring dengan penekanan terhadap pentingnya nilai “Beretika” dalam kerangka
Modal Insan, Mohd. Nasir Omar (2010) menjelaskan bahawa beretika merujuk kepada
tingkah laku seseorang yang diatur untuk mencapai kesempurnaan hidup. Mohd. Nasir
Omar menjelaskan bahawa individu yang beretika akan berusaha mencapai
kesempurnaan hidup dengan mengambil kira semua faktor [nafsu, akal, niat,
kebebasan, tugas dan tanggungjawab]. Hal ini kerana mereka melihat keseluruhan
aspek yang mempengaruhi kehidupan beretika, sebagaimana yang dijelaskan dalam
petikan berikut:

Etika adalah disiplin ilmu yang mengkaji serta mempersoalkan
berbagai-bagai isu baik buruk tentang adat, tabiat, susila, cara
berfikir, sikap, agama dan semua faktor yang dapat mempengaruhi
kehidupan manusia seperti nafsu, akal, niat, kebebasan, tugas,
tanggungjawab dan sebagainya (Mohd. Nasir Omar, 2010: 101).

Seterusnya penekanan Abdullah tentang nilai “Beretika” turut dibangkitkan oleh
Megat Ayop Megat Arifin dan Abd. Halim Ahmad (2016) dalam membicarakan
tentang modal insan. Mereka antara lain berpendapat bahawa nilai “Beretika”

71

merupakan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu,
organisasi dan profesion. Keberkesanan nilai “Beretika” terletak pada individu dan
keupayaan mental. Tanpa disiplin dan kekuatan mental, etika seseorang insan akan
terhakis. Nilai “Beretika” juga membolehkan manusia menggunakan akal bagi
mengawal tingkah laku. Justeru, nilai “Beretika” perlu dipelajari dan diamalkan untuk
mempamerkan tingkah laku yang terbaik dalam kehidupan, sebagaimana yang
dijelaskan dalam petikan berikut:

Etika seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan
seharian dan bertingkah laku. Keberkesanan prinsip etika terletak
pada individu itu sendiri, tanpa disiplin diri dan kekuatan mental
yang tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang
dikehendaki (Megat Ayop Megat Arifin dan Abd. Halim Ahmad,
2016: 143).

Demikian juga pandangan Mardzelah Makhsin (2006) yang menjelaskan bahawa
individu yang beretika mempamerkan perlakuan yang baik dan dihormati oleh orang
lain. Beliau turut menjelaskan bahawa sikap beretika terhadap Tuhan dan sesama
manusia, membolehkan individu diterima baik oleh masyarakatnya. Penerimaan ini
membawa kepada kehidupan bersosial yang lebih bermakna dan sejahtera. Di samping
itu, insan yang beretika dapat memelihara sifat-sifat terpuji, dan diterima oleh
masyarakat, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Individu yang beretika mendapat kebaikan fizikal, ketenangan jiwa,
dan perasaan. Individu yang beretika juga dapat membina sahsiah
diri atau keperibadian yang baik kerana beliau memelihara dirinya
dengan sifat-sifat terpuji. Masyarakat mengiktirafnya sebagai orang
yang berbudi tinggi (Mardzelah Makhsin, 2006: 31).

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa beretika merupakan tingkah laku yang
patuh terhadap peraturan yang mengawal manusia. Bertingkah laku mengikut etika
yang ditetapkan oleh masyarakat dapat menjamin kehidupan yang sempurna. Justeru,
mengamalkan etika yang baik menjadi satu keperluan yang menunjangi kerangka
Modal Insan. Berdasarkan penjelasan Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-
pandangan yang dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa nilai “beretika’
antara nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian ini, nilai
“Beretika” merujuk kepada keperibadian insan yang berpegang kepada kod etika yang
benar dan telah disepakati dengan tujuan memberikan kebaikan kepada masyarakat.

3.5.4 Bersopan Santun

Nilai seterusnya yang terkandung dalam kerangka Modal Insan ialah “Bersopan
Santun.” Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang
sikap sopan santun menerusi perilaku yang tertib, dan bersesuaian dengan adat atau

72

norma-norma dalam masyarakat. Nilai “Bersopan Santun” dapat mengujudkan
perhubungan yang baik sehingga membawa kebahagiaan dan kesejahteraan. Kesan ini
membawa keselesaan dan merapatkan hubungan sesama insan. Antara sifat sopan
santun ialah memberi senyuman, bertegur sapa, bersalaman, berlemah lembut, tutur
kata yang santun dan saling menghormati. Amalan bersopan santun dalam kehidupan
dapat meningkat kualiti hidup dan mencerminkan keperibadian dan akhlak terpuji.
Justeru itu, nilai ini perlu diasuh di peringkat awal, sebagaimana yang dinyatakan oleh
Abdullah dalam petikan berikut:

Kita harus melihat bahawa sebagai masyarakat timur, amalan budi
bahasa dan nilai-nilai murni bukan suatu perkara baru, malahan kita
diasuh sejak kecil lagi sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa
dalam menjalani kehidupan seharian (Utusan Online, 12 April
2008).

Penekanan terhadap pentingnya sifat sopan santun dalam pembangunan modal insan
didapati turut seiring dengan pandangan Hamka (2006) bahawa sopan santun hasil
daripada perkembangan akal yang sihat. Menurut Hamka, sifat sopan santun antaranya
ialah mengucapkan salam, menghormati orang tua dan menziarahi orang sakit. Selain
daripada adab kesopanan yang dinyatakan di atas, Hamka turut mengaitkan dengan
kerohanian diri, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Kalau adab
kesopanan batin adalah suci, bersih, amat bagus, tidak menipu sesama manusia, maka
akan baiklah segenap buahnya bagi segenap masyarakat” (Hamka, 2006: 150).

Seterusnya, penekanan Abdullah tentang sopan santun turut seiring dengan penekanan
Haron Din (2003) bahawa bersopan santun merangkumi kata-kata yang lemah lembut
yang dianggap boleh mempengaruhi fikiran dan menyejuk hati. Kata-kata yang sopan
santun, tertib dan sesuai dengan tempat dapat mendatangkan kesan yang
menyenangkan, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Kata-kata
dilafazkan dengan penuh sopan santun, bertempat, tertib, dan penuh hormat akan
mendatangkan kebaikan, mengikat kasih sayang dan mengekalkan keharmonian”
(Haron Din, 2003: 20).
Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa bersopan santun merupakan tingkah laku
berlemah lembut termasuk tutur kata, tertib dan mesra dalam pergaulan. Berdasarkan
kepada penjelasan Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-pandangan yang
dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa nilai “Bersopan Santun” menjadi
antara nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian ini, nilai
“Bersopan Santun” merujuk kepada keperibadian insan yang mencerminkan sifat
lemah lembut, tertib dan kehalusan tingkah laku yang baik termasuk bahasa dan
pertuturan, yang menjadikan dirinya berketerampilan dan disenangi oleh masyarakat.

3.5.5 Berdisiplin

Nilai seterusnya yang terkandung dalam kerangka Modal Insan ialah “Berdisiplin.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan akan pentingnya

73

berdisiplin dengan menghormati peraturan yang telah ditetapkan. Menurut Abdullah,
orang yang berdisiplin memiliki keperibadian yang teguh dalam memegang prinsip
serta tidak mudah berputus asa. Abdullah turut menjelaskan berdisiplin adalah kunci
kejayaan, kerana dengan disiplin akan tumbuh sifat integriti diri dalam diri individu,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan berikut:

Setiap dari kita, dan saya mulakan dengan diri saya sendiri,
memerlukan perwatakan yang luhur, kewibawaan yang jitu dan
tahap disiplin yang tinggi. Saya berharap semua yang hadir pada
hari ini akan dapat mencerminkan nilai-nilai ini dengan jelas. Ini
penting sekiranya kita ingin melihat agenda integriti menjadi
budaya hidup dalam masyarakat kita (Koleksi Ucapan Abdullah
Ahmad Badawi 2006: Siri Ucapan Penting, 2007: 136).

Penekanan terhadap pentingnya nilai “Berdisiplin” dalam pembangunan modal insan
didapati turut seiring dengan Ranjit Singh Malhi (2004) yang menganggap disiplin
sebagai nilai yang penting dalam membentuk keperibadian, moral dan berakhlak
tinggi. Seseorang insan yang inginkan kejayaan harus mendisiplinkan diri untuk
melakukan sesuatu dengan memberi fokus terhadap apa yang dilakukan.
Keseimbangan minda, emosi dan sikap dapat menjadikan seseorang itu berdisiplin
terhadap apa yang dilakukan, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:
“Disiplin sebagai penumpuan pemerhatian seseorang kepada aktiviti-aktiviti penting
ke arah pencapaian matlamat yang berfaedah sehingga selesai. Ia melibatkan
pengawalan minda, emosi dan tabiat seseorang” (Ranjit Singh Malhi, 2004: 101).

Seterusnya, penekanan Abdullah terhadap disiplin turut sejajar dengan pandangan
Muhammad Faizal A. Ghani et al.,(2014) yang menjelaskan bahawa dalam konteks
pendidikan, tanpa disiplin tinggi proses pengajaran dan pembelajaran tidak akan
berkesan. Mereka juga berpendapat bahawa disiplin yang baik dalam kalangan murid
akan mendatangkan kejayaan dalam bidang pendidikan. Insan yang memiliki nilai
“Berdisiplin” akan akur terhadap sistem dan peraturan yang ditetapkan. Justeru, usaha
untuk mendisiplinkan pelajar dianggap sebagai satu keperluan dalam melahirkan
persekitaran pendidikan yang berkesan, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan
berikut: “Disiplin merupakan suatu proses membangunkan peribadi individu untuk
melahirkan sebuah persekitaran yang kondusif. Implikasinya, sesuatu aktiviti lain
dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan” (Muhammad Faizal A. Ghani et al.,
2014: 11).

Demikian juga pandangan Ani Nur Aeni (2011) yang menjelaskan bahawa disiplin
merupakan sikap mental yang mematuhi peraturan dan bertindak sesuai dengan
peraturan. Beliau turut berpendapat bahawa disiplin bertujuan untuk mengatur
perilaku yang baik yang akhirnya menjadikan kebiasaan. Keakuran dan kepatuhan
terhadap peraturan yang ditetapkan, merupakan nilai disiplin yang tinggi. Seseorang
yang berdisiplin akan dapat memperlihatkan kepatuhan terhadap nilai-nilai yang baik,
sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut: “Menanam disiplin dengan

74

aturan yang tegas, dengan memberi bimbingan agar dapat memberi pembelajaran
hidup yang tepat” (Ani Nur Aeni, 2011: 23).

Secara keseluruhannya dapat dirumuskan bahawa berdisiplin merupakan nilai yang
dapat membentuk diri insan untuk akur, mematuhi dan menyesuaikan diri dengan
seluruh peraturan yang telah ditetapkan, selain mampu mengawal diri untuk
melaksanakan tanggungjawab. Berdasarkan penjelasan Abdullah, yang turut sejajar
dengan pandangan-pandangan yang dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa
nilai “Berdisiplin” merupakan antara nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan.
Dalam konteks kajian ini, nilai “Berdisiplin” merujuk kepada kawalan diri insan dalam
memastikan dirinya mematuhi norma, etika dan peraturan yang baik, dan disepakati
oleh masyarakat.

3.5.6 Dinamik

Nilai seterusnya yang terkandung dalam kerangka Modal Insan ialah “Dinamik.”
Abdullah menjelaskan bahawa dinamik merupakan kebolehan seseorang insan untuk
melakukan sesuatu tugasan yang melebihi kebiasaan, bertingkah laku positif serta
bertindak proaktif, bertenaga, dan optimis dalam mencapai apa yang dicita-citakan.
Menurut Abdullah, insan yang memiliki sikap dinamik dapat melaksanakan tugasan
dan tanggungjawab dengan penuh komitmen. Abdullah menjelaskan bahawa modal
insan perlu diperkasakan dengan penguasaan ilmu, kemahiran dan nilai untuk lebih
dinamik dan berprestasi, sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan
berikut:

Ini penting agar modal insan negara sentiasa menguasai ilmu
pengetahuan dan kemahiran terkini dan ditunjang pula dengan nilai-
nilai murni agar menjadi tenaga kerja yang dinamik dan menghayati
budaya kerja berprestasi tinggi (Utusan Online, 2 Mei 2006).

Seterusnya penekanan Abdullah terhadap nilai “Dinamik” turut dibangkitkan oleh
Mustafa Dakian (2009) yang berpendapat bahawa insan yang dinamik merupakan
mereka yang berilmu. Insan yang dinamik juga dianggap menjadi tulang belakang
kepada pembangunan negara. Pembangunan modal insan tidak akan menjadi
kenyataan jika seseorang insan itu tidak bersikap dinamik. Justeru, pembentukan diri
perlu dimulakan dari peringkat awal persekolahan, sebagaimana yang dijelaskan
dalam petikan berikut: “Kualiti sumber manusia yang ingin dihasilkan sebagai asas
membentuk keperibadian yang unggul dan dinamik adalah sebenarnya banyak
dibentuk dan dididik di peringkat sekolah” (Mustafa Dakian, 2009: 140).

Demikian juga pandangan Muhammad Hisyam Mohamad (2005) yang menjelaskan
bahawa untuk melahirkan insan yang dinamik, seseorang itu perlu mempunyai ilmu.
Dengan ilmu, seseorang insan mampu mencetuskan inisiatif yang boleh menjana
prestasi. Dalam hal ini, Muhammad Hisyam Mohamad (2005) turut menjelaskan

75

bahawa nilai dinamik perlu ada dalam diri seseorang insan untuk lebih berjaya. Hal
ini kerana jatuh bangun sesebuah negara dan bangsa bergantung kepada keupayaan
sumber manusia itu sendiri. Menurutnya lagi, tanpa sumber manusia yang dinamik,
sesebuah negara akan lemah. Justeru, sumber manusia perlu digerakkan secara
produktif. Sehubungan itu, proses pendidikan menjadi titik tolak terhadap
keberkesanan sesuatu usaha, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:
“Bagi menghasilkan sumber insan dinamik memerlukan proses pengisian minda
dengan ilmu pengetahuan. Sumber manusia yang berilmu menjadi rebutan organisasi
dan syarikat. Mereka adalah aset berharga” (Muhammad Hisyam Mohamad, 2005).

Kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa nilai “Dinamik” merupakan nilai yang
bersifat optimis, proaktif, bertenaga dan bertindak melebihi kebiasaan untuk mencapai
apa yang dicita-citakan. Justeru, insan dinamik dianggap berani dalam melaksanakan
sesuatu, sama ada perbuatan itu memberi manfaat pada dirinya mahupun untuk orang
lain. Insan yang dinamik merupakan mereka yang menggunakan ilmu untuk bertindak.
Berdasarkan kepada penjelasan Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-
pandangan yang dibincangkan di atas, dapat dirumuskan bahawa nilai “Dinamik”
menjadi antara nilai yang menunjangi kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian
ini, nilai “Dinamik” merujuk kepada daya usaha insan yang makruf, optimis,
bertenaga serta berani untuk mengubah diri serta masyarakat ke arah kebaikan.

3.5.7 Sihat

Nilai seterusnya yang terkandung dalam gagasan modal insan ialah “Sihat.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang
pentingnya kesihatan dalam pembangunan modal insan. Menurut Abdullah, memiliki
badan yang sihat merupakan harta yang tidak ternilai bagi seseorang manusia. Insan
yang memiliki tubuh badan yang sihat turut mempengaruhi keadaan rohani, mental
dan emosi untuk berada pada tahap terbaik. Tanpa badan yang sihat, seseorang itu
tidak dapat melakukan aktiviti harian dengan baik. Insan yang sihat mampu
menyelesaikan masalah dengan cekap. Manakala, insan yang kurang sihat akan
menjadi kurang produktif. Ketahanan fizikal dan mental merupakan asas untuk
memiliki badan yang sihat dan fikiran yang positif. Oleh itu, penjagaan kesihatan
menjadi keutamaan dalam pembinaan sesebuah negara, sebagaimana yang dinyatakan
oleh Abdullah dalam petikan berikut: “Kesejahteraan mental, kestabilan emosi,
kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal serta perhubungan sosial yang
positif, amat penting dalam menjalani hidup yang sihat” (mstar online, 19 Oktober
2010). Abdullah turut berpendapat bahawa insan yang mengamalkan pemakanan sihat
serta menitikberatkan kesihatan tubuh badan dapat berperanan aktif dan
mempamerkan kualiti diri. Insan yang sihat dari segi fizikal dan mental turut dapat
menyumbang kepada pembangunan negara dan meningkatkan produktiviti. Adalah
menjadi tanggungjawab setiap insan untuk menjaga kesihatan agar sentiasa sihat,
sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan berikut:

Menjaga kesihatan dalam semua perkara berkaitan dengannya perlu
dijadikan satu tanggungjawab kepada diri masing-masing sebagai

76

satu budaya untuk mengekalkan kesihatan kerana tidak ada makna
kalau badan kita lembik tidak sihat (Utusan Online, 13 September
2004).

Seiring dengan ini, Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi Abdul Kadir (2013)
turut menjelaskan bahawa kesihatan penting dalam pembangunan insan. Setiap insan
perlu menjaga kesihatan diri supaya dapat hidup sejahtera. Memiliki tubuh badan yang
sihat dianggap sebagai langkah awal dalam melaksanakan tanggungjawab dengan baik
dan sempurna. Kesihatan badan yang sihat membolehkan seseorang itu meningkatkan
keupayaan diri. Sebaliknya, badan yang tidak sihat akan menghalang kepada usaha-
usaha meningkatkan prestasi diri. Justeru, untuk mencapai pembangunan insan yang
sempurna, seseorang insan perlu memastikan kesihatan diri berada dalam keadaan
sihat, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Kesihatan badan manusia yang baik memungkinkan seseorang itu
mampu untuk membangunkan dirinya sendiri, sebaliknya, badan
yang tidak sihat akan menyukarkan lagi usaha pembangunan insan
terhadap diri seseorang (Muhammad Hilmi Jalil dan Fakhrul Adabi
Abdul Kadir, 2013: 76).

Seterusnya, penekanan tentang sihat turut dibangkitkan oleh Mohd. Shauki Abd.
Majid (2006) yang menjelaskan tentang pentingnya keseimbangan jasmani dan
rohani. Keseimbangan ini membolehkan seseorang itu melaksanakan kerja dengan
produktif. Perkara seperti ini sukar untuk dilaksanakan oleh insan yang tidak sihat.
Hal ini bererti, tubuh badan yang sihat dari aspek jasmani dan rohani merupakan
keperluan utama sesebuah negara. Insan yang hanya sihat dari segi jasadnya, tetapi
tidak sihat dari segi rohaninya akan menjadi tidak aktif, sebagaimana yang dijelaskan
oleh Mohd Shauki Abd. Majid dalam petikan berikut: “Manusia yang sihat ialah
manusia yang sejahtera serta seimbang jasmani dan rohaninya dan sentiasa aktif.
Tanpa kesihatan manusia tidak dapat bergerak dan melakukan aktiviti seharian”
(Mohd Shauki Abd. Majid, 2006: 14).

Demikian juga Abd. Jalil Borham (2008) yang menjelaskan bahawa kesepaduan
antara jasad dan roh penting dalam pembangunan modal insan. Kesihatan yang baik
dianggap memberi kesan kepada roh dan jasad untuk hidup dengan sempurna. Sihat
turut menjadi aspek penting dalam menjamin kualiti kehidupan seseorang insan.
Justeru, setiap insan yang sihat perlu memastikan jasad dan roh dalam keadaan yang
seimbang, sebagaimana yang dijelaskan oleh Abd. Jalil Borham dalam petikan
berikut:

Insan yang hanya sihat dari segi jasadnya tetapi tidak sihat dari segi
rohnya, sudah tentu tidak merupakan insan yang sempurna kerana
ia tidak akan dapat berfungsi sebagai insan biasa (Abd. Jalil
Borham, 2008: 10- 11).

77

Seterusnya, penekanan terhadap nilai sihat turut ditekankan oleh World Health
Organization (WHO) menerusi majalah WARIS (2015). Gaya hidup sihat merupakan
kunci kepada kesejahteraan insan dan dapat berperanan aktif terhadap pembangunan
negara. Tubuh badan yang sihat dapat menyempurnakan usaha yang positif dan
produktif. WHO turut menggariskan bahawa sihat ditunjangi oleh kesempurnaan
faktor fizikal, mental dan sosial dan tidak berpenyakit, sebagaimana yang dijelaskan
dalam petikan berikut: “Sihat ialah keadaaan bukan sahaja tidak berpenyakit, malah
mencapai kesempurnaan elemen fizikal, minda, dan sosial secara total” (WARIS, 2015:
56).

Kesimpulannya, memiliki badan yang sihat merupakan keperluan utama dalam
pembangunan insan. Insan yang sihat memiliki keseimbangan rohani dan jasmani.
Keseimbangan ini dapat melahirkan insan yang berkualiti serta produktif. Justeru,
seseorang yang lahir daripada rohani yang bersih serta jasmani yang sihat mampu
untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Berdasarkan kepada penjelasan
Abdullah, yang turut sejajar dengan pandangan-pandangan yang dibincangkan di atas,
dapat dirumuskan bahawa nilai “Sihat” menjadi antara nilai yang menunjangi
kerangka Modal Insan. Dalam konteks kajian ini, nilai “Sihat” merujuk kepada
keadaan diri insan yang sejahtera dari segi jasmani dan rohani, yang dengan
kesejahteraan itu membolehkannya untuk menunaikan amar makruf terhadap dirinya
sendiri serta masyarakat.

3.5.8 Kreatif

Nilai seterusnya yang terkandung dalam gagasan Modal Insan ialah “Kreatif.”
Penekanan terhadap nilai ini jelas apabila Abdullah membangkitkan tentang
pentingnya nilai “kreatif”, iaitu keupayaan insan berfikir dari sudut yang berbeza dari
kebiasaan. Kreatif dilihat sebagai nilai tambah yang dapat melahirkan insan yang
berpotensi. Menurut Abdullah, kreatif merupakan cetusan idea yang dapat
meningkatkan kualiti dan produktiviti melalui penciptaan baharu. Nilai “Kreatif”
hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga berjaya menjana penciptaan idea
yang kreatif. Justeru, Abdullah menyeru agar masyarakat dapat melahirkan idea yang
kreatif secara berterusan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Abdullah dalam petikan
berikut:

Kitalah yang memikirkan apa yang terbaik, bagaimana untuk
menjadi inovatif, dan bagaimana untuk menjadi kreatif. Ini mestilah
menjadi usaha kita yang terus menerus, tiada noktah, tidak ada
masanya kita menyatakan bahawa kita perlu berhenti sekejap, atau
berehat (Koleksi Arkib Ucapan Ketua Eksekutif, 28 November
2006).

Seiring dengan pandangan Abdullah ini, Mohamad Satar Rasul, Nur Farhana Waheda
Ramli dan Rose Amnah Abd Rauf (2013) turut berpendapat bahawa nilai “Kreatif”
dapat melahirkan insan yang berdaya saing. Justeru, nilai “Kreatif” perlu diterapkan

78

bermula di peringkat sekolah. Insan yang memiliki sifat kreatif dapat meneruskan
kelangsungan hidup dengan menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Menurut
mereka, kepentingan mencipta sesuatu yang baharu datangnya daripada minda yang
kreatif dan berbeza daripada kebiasaan. Insan yang kreatif dianggap dapat menjana
idea untuk menyelesaikan masalah, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan
berikut:

Nilai kreatif merupakan kebolehan untuk melihat sesuatu dari sudut
yang baharu serta berkeupayaan untuk melihat dan menyelesaikan
sesuatu masalah dengan cara yang berbeza, yang belum pernah
dicuba sebelum ini dan luar biasa (Mohamad Satar Rasul, Nur
Farhana Waheda Ramli dan Rose Amnah Abd Rauf, 2013: 15).

Seterusnya Ijaz Ahmad et al., (2012) turut membicarakan tentang penting nilai
“Kreatif” dalam pembangunan modal insan. Mereka antara lain berpendapat bahawa
insan yang kreatif mampu menghasilkan idea yang bernas seterusnya dapat
mencetuskan inovasi, dan menambah nilai kepada idea baharu. Pemikiran kreatif
penting dalam mendepani kehidupan yang berkembang pesat. Mereka yang kreatif
dapat memberi nilai tambah untuk menghasilkan sesuatu yang baharu dan
dimanfaatkan bersama, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan berikut:

Kreativiti membolehkan manusia mendapatkan yang terbaik
daripada pengalaman kehidupan. Berkebolehan menghasilkan idea,
konsep baharu, reka bentuk baharu dan peluang baharu melalui
tambah nilai kepada cetusan idea baharu (Ijaz Ahmad et al., 2012:
3).

Demikian juga pandangan Mohd. Yusuf Hassan (2011) yang menjelaskan bahawa
kreatif sebagai satu nilai yang dimiliki oleh seseorang mengikut kebolehan dan
kesungguhan. Insan yang kreatif mampu berfikir melebihi daripada kebiasaan. Mereka
dianggap memiliki idea-idea yang bernas dan dapat menyalurkan idea-idea kreatif
untuk kebaikan diri dan masyarakat. Namun begitu insan yang kreatif perlu diberikan
motivasi untuk mencipta, serta berani untuk menjana idea secara berterusan. Justeru,
nilai “Kreatif” perlu digilap dan dimajukan untuk menjana impak positif dalam
kalangan insan walaupun ada halangan, sebagaimana yang dijelaskan dalam petikan
berikut:

Pemikiran kreatif adalah satu kemahiran yang paling penting dan
perlu dimajukan oleh seseorang individu. Sungguhpun ramai insan
mempunyai potensi untuk berfikir secara kreatif, namun masih ada
antara segelintir yang cenderung kehilangan kreativiti menjelang
dewasa kerana takut menghadapi persaingan yang sangat mencabar
dan kurang daya tahan untuk berdepan dengan perkembangan dan
perubahan zaman (Mohd. Yusuf Hassan, 2011: 1-19).

79


Click to View FlipBook Version