The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by g-ipgp21292970, 2024-06-29 04:13:04

Tugasan 1: Portfolio PBS 2

Sekolah Kebangsaan Taman Awana

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TUN HUSSEIN ONN BATU PAHAT JOHOR PENTAKSIRAN BERTERUSAN PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH II PRKA3171 Nama : NurHazwani Izzati Binti Mohd Asri Angka Giliran : 2021292340305 No. Kad Pengenalan : 030621-02-0184 Program : Pismp Ambilan : Jun 2021 Kumpulan/Unit : Bahasa Melayu 4 Nama Pensyarah Kursus : Pn. Khalidah Binti Khalid Nama Sekolah : Sekolah Kebangsaan Taman Awana Tugasan Tarikh Mula Tarikh Hantar Markah Wajaran 1. Portfolio 9 Jun 2024 3 Julai 2024 /60 2. Laporan Refleksi /40 Jumlah Lampiran 3 PENGAKUAN PELAJAR Saya mengaku bahawa tugasan kerja kursus ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang setiap satunya saya jelaskan sumbernya. Tandatangan Pelajar: Tarikh: 3 JULAI 2024


MAKLUMAT UMUM SEKOLAH: Sekolah Kebangsaan Taman Awana, Jalan Langgar, 05460, Alor Setar, Kedah Darul Aman. 04- 7876353 [email protected] Luar bandar Tn. Hj. Noor Azam Bin Hj. Mahamud Pn. Wan Samihah Binti Wan Yaacob Pn. Safinah Binti Md. Said - Gred B Pn. Zaliza Binti Hamzah 12 45 52 5 30 765 393 367 Sekolah ini menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) kepada murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran. 25.50


BORANG KEHADIRAN:


BORANG RUMUSAN KEHADIRAN:


LAPORAN PERKEMBANGAN PELAJAR:


KANDUNGAN PORTFOLIO:


ISI KANDUNGAN PORTFOLIO:


1.0 MAKLUMAT PENEMPATAN 1.1 SURAT PENGENALAN DIRI


INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS TUN HUSSEIN ONN BATU PAHAT JOHOR BIODATA DIRI NAMA IPGK INSTITUT PERGURUAN KAMPUS TUN HUSSEIN ONN NAMA PELAJAR NURHAZWANI IZZATI BINTI MOHD ASRI NO. KAD PENGENALAN 030621020184 ALAMAT TETAP NO 20, KG LIMBONG, MUKIM LIMBONG, 06500, LANGGAR, ALOR SETAR, KEDAH NO. TELEFON 011-37147034 E-MEL [email protected] AMBILAN JUN 2021 PENGKHUSUSAN BAHASA MELAYU (SK) TAHUN DAN SEMESTER TAHUN 2 SEMESTER 3 TARIKH PBS 9 JUN 2024 HINGGA 20 JUN 2024 Lampiran 4


3.0 PERNYATAAN PROFESIONAL / KONTRAK AKTIVITI Pengenalan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan merupakan satu komponen daripada Amalan Profesional bagi pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). Program ini dapat memberikan kefahaman awal kepada pelajar mengenai alam persekolahan yang sebenar daripada perspektif seorang guru. PBS juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami peranan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dan dapat melihat peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian, penelitian, dokumen, refleksi dan interaksi dengan guru serta komuniti. Melalui pelaksanaan PBS, pelajar dapat memahami sistem organisasi sekolah berdasarkan pengurusan pentadbiran, kurikulum, kokurikulum, hal ehwal murid dan mengenal pasti dasar-dasar pendidikan yang dilaksanakan di sekolah dengan efektif. Ringkasnya, pelajar akan lebih memahami cara pengajaran guru, cara pembelajaran murid dan sistem pengurusan di sekolah melalui pelaksanaan PBS. Oleh itu, saya NurHazwani Izzati Binti Mohd Asri, selaku pelajar PISMP Pengajian Bahasa Melayu 4 di Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn telah ditugaskan untuk menjalankan PBS untuk kali kedua selama dua minggu yang bermula pada 9 Jun hingga 20 Jun 2024. Bagi melaksanakan PBS ini, saya telah memilih Sekolah Kebangsaan Taman Awana yang terletak di negeri Kedah. Faktor utama pemilihan sekolah ini adalah kerana perjalanan ke sekolah tersebut hanya mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja dari rumah saya dan sekolah ini merupakan sekolah yang terletak di kawasan luar bandar. Berdasarkan pelaksanaan program PBS ini, saya telah memperoleh gambaran awal dan sebuah pengalaman yang amat berharga untuk memahami sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan ke arah pembinaan modal insan melalui perspektif seorang guru. Oleh yang demikian, saya telah membuat perancangan dalam melaksanakan PBS dengan teliti dan menetapkan hala tuju, objektif serta strategi PBS sebagai panduan. Pelaksanaan program PBS dapat mempersiapkan saya untuk berkolaborasi dan berinteraksi dengan seluruh warga sekolah seperti golongan pentadbir dan pelaksana. Saya juga berpeluang untuk melihat sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul, peranan guru di dalam bilik darjah melalui pemerhatian dan penelitian dokumen, refleksi serta interaksi dengan pihak guru dan komuniti di sekolah. Bukan itu sahaja, saya dapat membina kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal, membina sikap positif terhadap profesion keguruan, membuat refleksi dan rumusan mengenai tanggungjawab guru serta dapat mendokumentasikan pengalaman yang dilalui selepas


pelaksanaan PBS. Data-data yang telah dikumpulkan dan direkodkan oleh saya akan dianalisis di dalam portfolio yang lengkap bagi program PBS ini. Dengan ini, saya dapat memahami dengan lebih mendalam tentang bidang kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan sekolah, tingkah laku murid-murid dan tugas sebenar seorang guru dalam dunia pendidikan. Melalui pelaksanaan PBS ini, saya dapat memperoleh maklumat yang sangat bermakna untuk meningkatkan pencapaian dalam profesionalisme keguruan sebagai seorang guru baharu. Antara maklumat yang dapat diperoleh ialah: a) Penghayatan kerjaya profesional guru b) Pembinaan nilai positif terhadap profesion keguruan c) Memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya sekolah d) Mengumpulkan dan merekodkan maklumat mengenai bidang kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan sekolah, guru, murid, dan komuniti sekolah. Tujuan Pernyataan PBS Tujuan utama pernyataan profesional ini adalah untuk menyatakan hala tuju dan fokus tugasan yang hendak dilaksanakan di sekolah. Pernyataan profesional ini dapat membantu saya untuk merancang strategi pelaksanaan program PBS secara sistematik supaya dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang halangan. Malah, segala maklumat dan dapatan pemerhatian yang dikumpulkan dapat disusun secara teratur. Selain itu, pernyataan profesional ini membolehkan saya sebagai seorang guru pelatih untuk menilai atau mengukur keberkesanan pelaksanaan aktiviti yang difokuskan di sekolah sepanjang program PBS berlangsung. Malah, hasil dapatan pemerhatian akan menjadi panduan yang asas kepada saya untuk melaksanakan tindakan susulan atau penambahbaikan bagi meningkatkan karakter dan profesionalisme saya dalam profesion keguruan. 3.1 Pernyataan Sebelum PBS Sebelum menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), saya telah diberi taklimat berkaitan dengan pelaksanaan PBS daripada Encik Rosman Bin Salubin, selaku pensyarah unit praktikum di Institut Perguruan Kampus Tun Hussein Onn. Taklimat ini telah diberikan khususnya kepada para pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang akan menjalani program PBS untuk kali kedua. Taklimat ini telah diadakan secara bersemuka yang bertempat di


Dewan Seri Budiman Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn pada 28 April 2024 (Ahad) pada pukul 9.00 pagi. Tujuan taklimat tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal dan penerangan berkaitan perkara yang harus pelajar lakukan sepanjang program PBS ini berlangsung supaya pelajar dapat menyiapkan tugasan yang diberi dengan baik, lancar dan sistematik. Selepas pelaksanaan taklimat PBS, beberapa bahan lampiran turut diedarkan kepada pelajar melalui aplikasi Telegram dan dimuat naik dalam Google Classroom sebagai garis panduan untuk melaksanakan PBS ini. Selain itu, pelajar juga dikehendaki untuk memilih sekolah penempatan masing-masing yang akan dilaksanakan selama dua minggu. Majoriti di antara kami telah memilih untuk menjalani PBS di kampung halaman masing-masing. Saya memilih untuk menjalankan PBS di Sekolah Kebangsaan Taman Awana yang terletak di negeri Kedah. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar. Para pelajar dikehendaki untuk mengisi pilihan sekolah masing-masing di dalam borang penempatan sekolah untuk melaksanakan program PBS ini. Seterusnya, saya telah mencari maklumat tentang jumlah murid dan guru yang terdapat di sekolah serta hari persekolahan bagi sekolah tersebut sebelum melaksanakan PBS. Hal ini demikian adalah kerana, saya ingin membuat perancangan yang lebih awal dan bersedia untuk menjalankan PBS pada kali ini. Saya juga telah membuat pembacaan yang lebih mendalam mengenai bahagian-bahagian tertentu sebelum menjalani PBS di sekolah untuk memastikan segala pencarian maklumat di sekolah dapat dilaksanakan dengan terancang. Oleh itu, saya telah merancang dan meneliti aspek-aspek yang perlu diberi perhatian untuk memastikan tujuan pelaksanaan PBS di sekolah dapat berjalan dengan lancar. Maklumat lanjut adalah seperti yang dinyatakan di bawah. a) Fokus Utama Tugasan Berdasarkan taklimat yang telah diberikan oleh Encik Rosman Bin Salubin, selaku pensyarah daripada unit praktikum di IPG Kampus Tun Hussein Onn, tugasan pertama yang perlu dilaksanakan oleh kami adalah berkaitan dengan pembinaan portfolio PBS. Manakala, tugasan kedua yang perlu dilaksanakan adalah berkaitan dengan laporan kerja lapangan yang perlu meliputi pengalaman yang diperoleh semasa berada di sekolah penempatan masing-masing. Oleh itu,saya perlu memanfaatkan masa yang diberi iaitu selama dua minggu sepanjang PBS ini berlangsung untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan tugasan yang telah diberikan agar tugasan dapat diselesaikan dengan lengkap dan baik. Skop utama tugasan yang dijadikan sebagai objektif pelaksanaan PBS yang perlu saya penuhi berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn adalah untuk mempelajari secara terperinci mengenai pengurusan bidang kurikulum dan kokurikulum yang terdapat di sekolah ini.


i) Pemerhatian Meliputi Aspek Kurikulum Melalui bahagian ini, saya akan mencari maklumat berkenaan pengurusan kurikulum di sekolah penempatan saya iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Awana yang meliputi carta organisasi, bidang tugas panitia, takwim kurikulum, perancangan dan pelaksanaan PdP, pendekatan dan strategi pengajaran yang digunakan, bahan bantu mengajar, pentaksiran dan penilaian, pendidikan inklusif, pengurusan dan kawalan kelas serta program kurikulum yang berkaitan dengan dasar pendidikan seperti SKPMg2, TS25, PBD dan sebagainya. Oleh itu, saya akan melaksanakan perbincangan dan temu bual bersama dengan Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Ketua Panitia Bahasa Melayu, dan guru-guru yang lain. ii) Pemerhatian Meliputi Aspek Kokurikulum Selain itu, saya akan meneliti dan mendapatkan maklumat yang lanjut berkaitan dengan pelaksanaan bidang kokurikulum di sekolah ini. Dalam bahagian ini, saya akan mendapatkan maklumat mengenai carta organisasi dan takwim kokurikulum yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Malah, saya juga akan memberikan perhatian terhadap komponen kokurikulum, kolaborasi komuniti, pendidikan inklusif dan program kokurikulum yang berkaitan dengan dasar-dasar pendidikan. Saya juga akan melihat sejauh mana bidang kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah dapat menggalakkan penglibatan aktif dalam kalangan murid. Bagi meneliti perkara tersebut, saya akan mendapatkan maklumat lanjut melalui perbincangan dan sesi temu bual bersama dengan Penolong Kanan Kokurikulum. iii) Laporan Kajian Lapangan Akhir sekali, tugasan kedua pula adalah berkaitan dengan penulisan laporan kajian lapangan yang perlu dilaksanakan oleh pelajar sepanjang PBS berlangsung. Laporan kajian lapangan tersebut dapat merujuk kepada laporan hasil pemerhatian dengan menganalisis isu-isu berkaitan dengan bidang kurikulum dan kokurikulum yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Laporan kajian lapangan tersebut dapat mendedahkan saya dengan suasana dan cara pengurusan bidang kurikulum dan kokurikulum di sekolah untuk membolehkan saya bersedia sebagai seorang guru yang berpotensi untuk menjadi anggota pelaksana bagi sebarang aktiviti yang hendak dijalankan di sekolah. Oleh yang demikian demikian, saya akan menemu bual beberapa orang guru untuk mendapatkan maklumat mengenai tugasan kedua ini dan saya akan melibatkan diri untuk membuat pemerhatian mengenai pengajaran guru di dalam bilik darjah dan dalam aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah ini.


b) Tujuan Utama Tugasan Tujuan utama tugasan PBS ini dilaksanakan adalah untuk mendokumentasikan kemahiran dan pengetahuan melalui pengalaman dalam PBS. Hal ini dapat membantu untuk mengembangkan nilai profesionalisme guru pelatih untuk memberi pendedahan supaya membudayakan proses pengumpulan maklumat dan dokumen secara sistematik. Tugasantugasan yang telah diberikan semasa tempoh PBS ini juga bertujuan untuk memupuk dan menggalakkan semua pelajar untuk memiliki kemahiran bagi berinteraksi dengan warga sekolah. Program PBS ini dapat memberi gambaran awal kepada pelajar tentang pengurusan bidang kurikulum dan kokurikulum, kaedah pentadbiran, suasana, budaya di sekolah, tingkah laku muridmurid dan guru. Dengan ini, pelajar dapat mempersiapkan diri untuk mendepani pelbagai cabaran atau tugasan yang lebih berat apabila mula bertugas sebagai seorang guru tetap di sesebuah sekolah. Hal ini dapat membantu untuk meningkatkan tahap profesionalisme dan akauntabilti sebagai seorang bakal guru di mana program PBS ini dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar untuk lebih bersedia sebagai seorang bakal guru di samping menimba pengalaman di sekolah melalui dua tugasan yang diberikan. c) Merancang Strategi Pelaksanaan Tempoh pelaksanaan PBS ini adalah selama dua minggu sahaja iaitu bermula pada 9 Jun 2024 sehingga 20 Jun 2024. Dalam tempoh tersebut, pelajar perlu mendapatkan maklumatmaklumat penting yang terdapat dalam kedua-dua tugasan yang dikehendaki oleh pihak IPG. Oleh yang demikian, perancangan yang rapi perlu dirancang dan dilaksanakan secara sistematik dengan menyenaraikan beberapa perancangan yang berkaitan. Antara perancangan yang telah dirancang oleh saya ialah: i) Melapor diri dan melakukan perjumpaan bersama Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Kokurikulum dan Ketua Panitia Bahasa Melayu untuk mendapatkan maklumat pengurusan. ii) Perjumpaan dan berkenalan dengan semua warga Sekolah Kebangsaan Taman Awana. iii) Meninjau persekitaran sekolah dan melihat prasarana yang disediakan di sekolah. iv) Menyediakan soalan-soalan yang akan diajukan semasa sesi temu bual berkaitan dengan soalan tugasan yang diberikan v) Mengatur sesi temu bual yang akan dilaksanakan dengan pihak-pihak berkenaan. v) Menyediakan senarai semak maklumat dan data yang ingin diperoleh vii) Mencatat aktiviti-aktiviti atau program yang dilaksanakan di sekolah


d) Instrumen Penilaian Kendiri Seterusnya, instrumen penilaian kendiri merupakan salah satu kaedah pengumpulan data yang akan digunakan untuk memudahkan para pelajar dalam mendapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan guru, murid-murid dan pengurusan sekolah. Bagi melaksanakan program PBS ini, instrumen penilaian kendiri yang akan digunakan adalah dengan menyediakan senarai semak, pemerhatian dan soalan-soalan yang akan digunakan semasa proses menemu bual pihakpihak yang berkenaan. Setiap instrumen yang digunakan ini haruslah mengikut kehendak soalan dalam menyediakan portfolio. Manakala, portfolio dan laporan kajian lapangan pula akan dirangka mengikut garis panduan PBS yang telah diberikan oleh pihak Institut Perguruan Kampus Tun Hussein Onn. 3.1.1 Pernyataan Semasa PBS a) Melaksanakan Tugasan / Strategi Yang dirancang Semasa menjalankan program PBS di Sekolah Kebangsaan Taman Awana, saya telah melakukan beberapa pemerhatian mengenai sekolah ini. Saya telah memperoleh bahan-bahan dan maklumat mengenai pengurusan dan pentadbiran di sekolah ini daripada kerani serta semasa melaporkan diri kepada Guru Besar di SK Taman Awana. SK Taman Awana diuruskan oleh empat orang pentadbir yang berkarisma dan berwibawa dalam memastikan pengurusan sekolah dapat berjalan dengan lancar. Antara jawatan-jawatan yang penting di sekolah tersebut ialah Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum. Jawatan Guru Besar dipegang oleh seorang guru lelaki, manakala jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penolong Kanan Pentadbiran dan Penolong Kanan Kokurikulum pula dipegang oleh tiga orang guru perempuan. Perjumpaan bersama peneraju utama dalam pentadbiran sekolah amat membantu saya dalam melaksanakan program PBS dan dapat mencapai objektif pelaksanaan PBS seperti yang dirancang. Selain itu, pelaksanaan program PBS ini memerlukan susunan strategi yang teratur bagi mendapatkan hasil yang minimum. Justeru, saya telah mengambil masa selama 2 jam pada hari pertama untuk meninjau kawasan sekolah bagi melihat persekitaran dan bangunan yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Saya turut mengambil peluang untuk menangkap gambargambar seperti kemudahan atau prasarana yang disediakan di sekolah, budaya sekolah, susun atur bilik darjah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan objektif PBS yang hendak dicapai. Gambar-gambar tersebut diambil untuk dimasukkan ke dalam portfolio bagi menyelesaikan tugasan tersebut dengan baik dan teratur.


Seterusnya, saya telah memohon kebenaran untuk menemu bual beberapa orang pentadbir seperti Guru Besar, Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Kokurikulum, guruguru lain, kakitangan, komuniti dan murid di sekolah untuk mendapatkan maklumat mengenai tugasan PBS yang perlu disiapkan. Kolaborasi antara pelbagai pihak tersebut dapat membantu saya untuk mendapatkan maklumat mengenai sekolah dan dapatan-dapatan lain mengenai objektif tugasan yang perlu diselesaikan semasa menjalankan PBS. Tugasan ini berfokuskan kepada pelbagai aspek seperti yang dikehendaki dalam soalan tugasan dan senarai semak portfolio. Oleh itu, saya telah merujuk kepada senarai semak yang telah diberikan oleh pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn untuk dijadikan panduan dalam penyusunan maklumat yang perlu dikumpul. Semasa menjalani PBS, saya telah menyediakan beberapa soalan yang berkaitan dengan bidang kurikulum dan kokurikulum untuk menjalankan sesi temu bual bersama mereka. Soalan-soalan yang dibina adalah berdasarkan kepada kehendak soalan yang diberikan oleh pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn. Dapatan-dapatan dan maklumat yang diperoleh amat membantu saya untuk memperoleh pengetahuan baharu mengenai bidang kurikulum dan kokurikulum di sekolah. Bukan itu sahaja, saya dapat melihat melalui pemerhatian, penelitian dokumen, refleksi tingkah laku murid dan pengurusan sekolah semasa menjalankan PBS ini. Saya telah meminta kebenaran daripada Ketua Panitia Bahasa Melayu iaitu Cikgu Sharifah untuk melakukan pemerhatian mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pihak sekolah telah memberi kebenaran dan kerjasama kepada saya untuk memasuki kelas 6 Ikhlas dan 2 Ikram yang diajar oleh guru subjek bahasa Melayu. Dengan ini, saya dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk mengaplikasikan kaedah dan teknik tertentu bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas dengan berkesan. Malah, saya dapat melihat perjalanan pengurusan Panitia Bahasa Melayu dan menilai keberkesanan pengurusan panitia tersebut. Hal ini dapat membantu saya untuk memahami selok belok pengurusan panitia yang akan dimanfaatkan selepas tamat pengajian di IPGTHO. b) Mengumpul Dan Merekod Maklumat Seterusnya, proses pengumpulan dan merekodkan maklumat dilakukan oleh saya pada setiap hari. Saya telah mendapatkan maklumat pengurusan sekolah mengikut fokus pentadbiran di sekolah. Maklumat sekolah yang dapat diperolehi oleh saya termasuklah mengenai carta organisasi dan takwim dalam bidang kurikulum dan kokurikulum, prasarana sekolah dan pengurusan bidang kurikulum serta kokurikulum yang dijalankan di sekolah. Segala fail-fail dan data-data yang saya peroleh mengenai bidang yang tertentu akan saya dokumentasikan di dalam


portfolio ini. Saya turut meletakkan gambar-gambar sebagai bukti yang relevan untuk dilampirkan di dalam portfolio. Tugasan dalam mengumpul maklumat asas sekolah adalah bertujuan untuk melatih guru pelatih seperti saya untuk menjadi seorang yang komited dan proaktif. Setelah mendapatkan beberapa maklumat umum sekolah yang asas, saya telah menemu bual pihak-pihak berkenaan untuk mendapatkan penjelasan yang lebih mendalam tentang tugasan yang telah diberikan. Semasa menjalankan PBS ini, saya telah melakukan sesi temu bual dan perbincangan dengan beberapa orang pentadbir sekolah, guru-guru, murid-murid, komuniti dan kakitangan sekolah. Perbincangan dua hala tersebut dapat melatih kemahiran interpersonal saya sebagai guru pelatih untuk bersikap berani supaya dapat bergaul dengan masyarakat dan memiliki kemahiran berkomunikasi. Oleh itu, saya telah menyediakan beberapa soalan untuk diajukan kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kehendak tugasan dan merekod maklumat tersebut di dalam borang kolaboratif. Saya turut mencatat maklumat yang diterima dan mencatat aktiviti harian yang dijalankan di SK Taman Awana supaya tidak berlaku sebarang keciciran maklumat. 3.1.2 Pernyataan Selepas PBS a) Menilai Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) yang telah saya jalani bermula pada tarikh 9 Jun 2024 hingga 20 Jun 2024 banyak memberikan pengetahuan dan pengalaman baharu yang berguna kepada saya melalui bimbingan daripada guru-guru dan warga sekolah yang lain. Setelah selesai menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di SK Taman Awana, saya telah mengumpul dan menyusun maklumat-maklumat terutamanya dalam bidang kurikulum dan kokurikulum yang telah berjaya diperoleh semasa PBS. Penempatan PBS pada kali ini cukup bermakna kerana setiap teori-teori dan ilmu yang dikongsikan oleh pensyarah di IPG Kampus Tun Hussein Onn dapat dirasai oleh saya melalui pengalaman dalam merasai suasana sebenar persekitaran sekolah dan pengurusan pentadbiran serta pembelajaran di dalam bilik darjah. Segala ilmu pengetahuan yang berguna dapat diaplikasikan oleh saya sebagai seorang pendidik pada masa akan datang. Setelah menjalani program PBS ini, saya dapat mengalami sendiri suasana alam persekolahan berbanding sebelum ini di mana saya hanya mempelajari mengenai sekolah berdasarkan teori-teori sahaja. Pengalaman yang dilalui semasa menjalani PBS untuk kali kedua ini banyak mengajar saya untuk menyesuaikan diri dengan suasana di sekolah. Saya berpeluang untuk melihat sendiri tingkah laku murid-murid dan para guru yang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru-guru di sekolah ini menggunakan pendekatan yang berbeza mengikut tahap keupayaan murid. Malah, saya juga dapat melihat


peranan yang dimainkan oleh pengurus sekolah dalam memastikan sekolah berada dalam keadaan yang terbaik. Tamsilnya, seorang Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang menggalas tanggungjawab sebagai nadi sekolah berperanan penting untuk mencorakkan masa depan sekolah. Tambahan lagi, guru-guru dan staf di sekolah ini juga saling bekerjasama untuk memajukan murid-murid dan sekolah. Bukan itu sahaja, saya dapat memerhatikan bagaimana kawalan kelas amat penting ketika guru mengajar. Hal ini demikian kerana, setiap murid mempunyai daya tumpuan dan tingkah laku yang amat berbeza. Tidak dinafikan bahawa, bilangan murid yang ramai akan menjadi satu cabaran kepada guru kerana perlu memberikan perhatian yang menyeluruh kepada mereka. Guru-guru juga tidak boleh mengambil sikap lepas tangan terhadap murid-murid di dalam kelas. Sekiranya seseorang guru itu gagal untuk memantau dan memberikan perhatian terhadap anak murid, dikhuatiri murid-murid akan hilang tumpuan dan fokus yang akan menyebabkan objektif dalam PdP tidak dapat dicapai. Saya juga dapat melihat bahawa guru-guru memberi perhatian dan layanan yang sama rata kepada murid-murid dalam pendidikan inklusif bagi mendorong mereka memajukan diri dalam bidang akademik bersama murid-murid lain di dalam kelas. Selain itu, saya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi semasa berurusan dengan pihak atasan, guru-guru, warga sekolah dan sebagainya. Saya turut mendapat input yang amat berguna semasa berjumpa dengan Guru Besar SK Taman Awana kerana banyak nasihat yang diberikan kepada saya supaya menjadi seorang guru yang dapat membentuk anak didik yang bakal menerajui negara kelak. Malah, guru-guru di sekolah ini juga banyak memberikan nasihat, motivasi dan kata-kata semangat yang dapat menyuntik semangat saya untuk terus berjuang dalam dunia pendidikan agar dapat menjadi seorang guru yang cemerlang pada masa akan datang. Tambahan lagi, nasihat utama yang diberikan oleh guru-guru ini kepada saya adalah, sebagai seorang guru, kita perlulah sentiasa bersikap terbuka dan sentiasa bersedia untuk menerima sebarang cabaran. Secara tidak langsung, saya dapat meningkatkan tahap profesionalisme dan akauntabiliti sebagai seorang guru pada masa akan datang. Bukan itu sahaja, saya juga dapat menilai bahawa persekitaran sekolah dan pengurusan bilik darjah yang baik memainkan peranan yang sangat penting dalam membina perkembangan murid sama ada daripada aspek jasmani, intelek, rohani dan emosi. Persekitaran sekolah dan pengurusan bilik darjah yang baik dapat mendorong murid-murid untuk lebih bersemangat dalam menimba ilmu. Malah, proses pengajaran dan pembelajaran juga dapat berjalan dengan lancar sekiranya terdapat kemudahan yang mencukupi di sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran akan terbantut sekiranya kemudahan di sekolah yang disediakan tidak mencukupi kepada guruguru dan murid-murid.


Kesimpulannya, tugasan PBS ini banyak membina sikap positif di dalam diri saya untuk menjadi seorang guru yang cemerlang pada suatu hari nanti. Segala tunjuk ajar dan nasihat daripada guru-guru akan dijadikan panduan pada masa akan datang. Justeru itu, saya berharap agar pelaksanaan program PBS ini dapat memantapkan lagi ilmu keguruan untuk diaplikasikan dalam dunia pendidikan kelak. Segala pengalaman yang diperoleh semestinya dapat menjadi penyuntik semangat kepada saya untuk menggalas tugas sebagai seorang guru yang bertanggungjawab dan profesional. b) Melapor Selepas menyiapkan tugasan portfolio, tugasan ini akan dihantar kepada pensyarah penyelia mengikut kelas masing-masing untuk dinilai mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Saya akan menyerahkan tugasan portfolio ini untuk disemak dan tindakan selanjutnya daripada pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn. 3.1.3 Penilaian Kendiri Terhadap Profesional a) Pencapaian Objektif Selepas menjalankan PBS di Sekolah Taman Awana selama dua minggu, saya telah berjaya mencapai objektif PBS yang ditentukan oleh pihak IPG Kampus Tun Hussein Onn. Hal ini demikian kerana, saya telah memperoleh banyak pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan PBS ini. Melalui pelaksanaan PBS, saya dapat memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya sekolah, memperoleh pengetahuan dan kemahiran mengenai pengurusan sekolah, membina kemahiran interaksi dengan guru, murid dan kakitangan sekolah, mengembangkan sikap positif terhadap profesion keguruan serta sebagainya. Pencapaian objektif merupakan refleksi kendiri terhadap tugasan yang telah dilaksanakan ini. Refleksi kendiri ini akan melibatkan bahagian laporan pemerhatian saya terhadap budaya sekolah, aktiviti yang dilaksanakan serta cabaran yang dihadapi oleh para pentadbir dan guru di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Pemerhatian yang dijalankan ini dapat membantu saya untuk mencapai objektif PBS dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya untuk menjadi seorang guru yang berdedikasi dan profesional dalam kerjaya.


b) Cadangan Tindakan Susulan/Penambahbaikan Di samping itu, tindakan susulan dan cadangan penambahbaikan yang diberikan ini adalah berdasarkan pemerhatian dan data-data yang telah dikumpulkan oleh saya. Cadangan tindakan susulan dan penambahbaikan ini perlu diambil perhatian sebagai seorang guru untuk bergerak maju dan lebih positif dalam profesion keguruan. Pada pendapat saya, terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh saya dalam strategi pelaksanaan dan perancangan untuk mencari maklumat dengan lebih mendalam iaitu saya perlulah berkolaborasi dengan lebih ramai guru supaya saya dapat memperoleh maklumat yang baharu dan pelbagai. Saya juga perlulah memasuki kelas yang banyak dan berlainan untuk memperoleh pengalaman mengenai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Bukan itu sahaja, pada pendapat saya, terdapat penambahbaikan yang perlu dilakukan di sekolah ini dari segi kemudahan infrastruktur dan prasarana. Bilangan infrastuktur perlulah mencukupi dan seiring dengan jumlah murid yang ramai di sekolah ini. Hal ini demikian kerana, berdasarkan pemerhatian saya, bilangan kemudahan komputer yang disediakan di bilik komputer adalah sedikit. Justeru, pihak sekolah perlulah memperbanyakkan jumlah komputer untuk memudahkan murid-murid supaya dapat belajar dan mencari maklumat. Sebagai guru pelatih, pemerhatian yang dilaksanakan ini dapat melatih saya dalam aspek membuat inferens, mengkaji permasalahan dan melatih pemikiran kreatif dan kritis. 3.2 Laporan Pelaksanaan Aktiviti Yang Difokus Semasa menjalankan PBS selama dua minggu, saya telah melaksanakan beberapa aktiviti seperti yang telah dirancang dengan berpandukan kepada senarai semak tugasan yang telah diberikan. Laporan pelaksanaan aktiviti yang disediakan dalam bentuk jadual ini bertujuan untuk memberikan penerangan dan gambaran yang lebih jelas mengenai perjalanan yang telah dilalui oleh saya sepanjang pelaksanaan PBS di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Dalam jadual tersebut, saya telah memuat naik segala aktiviti dan program yang dijalankan bersama-sama pihak sekolah untuk membantu menyempurnakan PBS pada kali ini. Berikut merupakan aktiviti yang telah dilakukan sepanjang pelaksanaan PBS di Sekolah Kebangsaan Taman Awana.


BIL TARIKH PERKARA/TINDAKAN 1 9/6/2024 - Melapor diri di Sekolah Kebangsaan Taman Awana dan berjumpa dengan Guru Besar. - Menyerahkan surat penempatan, borang kehadiran dan laporan perkembangan diri kepada Guru Besar. - Perbincangan bersama Guru Besar tentang pelaksanaan program PBS. - Guru Besar memberikan buku pengurusan sekolah dan memberikan maklumat asas sekolah. - Guru Besar meminta untuk berjumpa dengan Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum. - Menghadiri perhimpunan rasmi. - Guru Besar memperkenalkan saya kepada guru-guru dan staf-staf sekolah. - Guru Besar membawa saya berjumpa dengan Ketua Panitia Bahasa Melayu, iaitu Cikgu Sharifah untuk menjadi guru pembimbing sepanjang melaksanakan PBS. - Meninjau kawasan sekolah dan mengambil gambar persekitaran sekolah - Menghadiri Program Ceramah Susu Sekolah 2 10/6/2024 - Penolong Kanan Pentadbiran meminta saya membantu pihak sekolah untuk bertugas menyambut murid-murid yang datang ke sekolah pada waktu pagi. - Menghadiri program bacaan doa pada awal pagi di tapak perhimpunan sekolah. - Memasuki kelas 3 Ikram dan 4 Itqan sebagai guru ganti. - Menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada murid-murid yang memenangi pertandingan bola baling di peringkat daerah. - Memerhatikan proses PdP yang dijalankan di dalam kelas tahun 2 Ikram bagi subjek bahasa Melayu. 3 11/6/2024 - Menghadiri program bacaan doa pada waktu pagi di tapak perhimpunan sekolah. - Mendapatkan carta organisasi dan takwim dalam bidang kurikulum dan kokurikulum yang dikehendaki dalam tugasan melalui kerani sekolah. - Melihat pelaksanaan Program Sayangi Gigi yang dihadiri oleh doktor


gigi di sekolah. - Melihat aktiviti memberus gigi yang diajar oleh seorang doktor gigi. - Menemu bual Penolong Kanan Pentadbiran untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan bidang kurikulum di sekolah. - Menembu bual Cikgu Wirda untuk mendapatkan maklumat mengenai bidang pendidikan inklusif. - Memasuki kelas 6 Ikhlas sebagai guru ganti. - Menemu bual Penolong Kanan Hal Ehwal Murid untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan disiplin murid di sekolah. 4 12/6/2024 - Menghadiri program bacaan doa pada waktu pagi di tapak perhimpunan sekolah. - Memerhatikan proses PdP yang dijalankan di dalam kelas tahun 6 Ikhlas bagi subjek bahasa Melayu. - Menghadiri Program Anti Dadah. - Menemu bual Ketua Panitia Bahasa Melayu iaitu Cikg Sharifah mengenai pengurusan kurikulum di sekolah. - Menemu bual Penolong Kanan Kokurikulum iaitu Cikgu Safinah mengenai pengurusan kokurikulum di sekolah. - Menghadiri Program Ceramah Perdana Sempena Hari Raya Aidil Adha di Dewan Seroja. 5 13/6/2024 - Menghadiri program bacaan Yassin pada waktu pagi di tapak perhimpunan sekolah. - Menemu bual guru bahasa Melayu iaitu Cikgu Fairos mengenai bidang kurikulum di sekolah. - Menemu bual seorang murid di sekolah ini iaitu Muhammad Fawwaz. - Memasuki kelas 1 DLP sebagai guru ganti 6 19/6/2024 - Menghadiri program bacaan doa pada waktu pagi di tapak perhimpunan sekolah - Menemu bual kakitangan sekolah iaitu kerani sekolah - Menemu bual wakil komuniti sekolah iaitu Puan Aminah. - Melihat inovasi bahan bantu mengajar yang disediakan oleh guru subjek Sains di makmal sains. - Memasuki kelas 6 Ikhlas untuk memerhati pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru bahasa Melayu. - Memasuki kelas 4 Itqan sebagai guru ganti.


- Menghadiri aktviti kokurikulum sukan dan permainan bola baling. 7 20/6/2024 - Menghadiri program bacaan Yassin pada waktu pagi di tapak perhimpunan sekolah. - Mengemaskini dan menyemak maklumat-maklumat yang diperoleh sebelum menulis portfolio dan laporan kajian lapangan yang lengkap. - Guru Besar menyerahkan kembali surat penempatan, borang kehadiran dan laporan perkembangan diri yang telah diisi dan ditandatangani. - Menghadiri jamuan sempena perpisahan pelajar PBS. - Mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. 4.0 KURIKULUM 4.1 Carta Organisasi


a) Perancangan Carta Organisasi Carta organisasi merupakan satu susunan komponen-komponen atau unit-unit kerja dalam sesebuah organisasi di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Carta organisasi dalam bidang kurikulum di sekolah ini dapat menunjukkan bahawa terdapat pembahagian kerja dan bagaimana guru-guru mengetahui fungsi dan tanggungjawab masing-masing di sekolah. Semasa sesi temu bual bersama Puan Wan Samihah, selaku Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah ini, saya dapat mengetahui bagaimana carta organisasi kurikulum di sekolah ini dirancang berdasarkan bidangbidang yang tertentu. Menurut beliau, carta organisasi di sekolah ini dirancang dengan melibatkan panitia-panitia dalam sesebuah mata pelajaran. Pihak sekolah akan mengadakan mesyuarat yang akan dihadiri oleh semua orang guru dan berbincang antara satu sama lain. Apabila carta organisasi ini melibatkan panitia, pihak sekolah akan merujuk kepada opsyen guru tersebut. Contohnya, guru opsyen bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan sebagainya akan dipilih terlebih dahulu untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua panitia dan menjadi ahli-ahli panitia. Hal ini demikian kerana, guru yang mengajar subjek tertentu akan diutamakan untuk menjadi ketua panitia dalam subjek yang diajar olehnya untuk membolehkan


mereka mengaplikasikan kemahiran mereka dengan lebih berkesan. Namun demikian, pihak sekolah akan melihat kepada pengalaman mengajar seseorang guru di sekolah ini sekiranya guruguru yang dipilih mengalami sebarang kekangan atau pihak sekolah tidak mempunyai pilihan yang lain. Selain itu, semua Senior Leader Team (SLT) atau pengurus sekolah akan mengadakan mesyuarat untuk memilih dan melantik setiausaha tertentu di sekolah ini. SLT juga boleh mencadangkan diri mereka sendiri dan boleh memilih siapa yang akan menggalas tanggungjawab sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan Penolong Kanan Kokurikulum. Pelantikan tersebut juga akan melihat kepada kemahiran dan pengalaman masingmasing dan siapa yang terlibat aktif dalam sesuatu bidang seperti bidang kokurikulum. Pelantikan jawatankuasa tersebut amat penting di Sekolah Kebangsaan Taman Awana untuk menerajui kepimpinan dan memastikan kelancaran pengurusan sekolah ini. b) Tujuan Carta Organisasi Dibina Seterusnya, beliau menyatakan bahawa tujuan utama carta organisasi dalam bidang kurikulum dibina di sekolah ini adalah untuk memberi gambaran keseluruhan yang jelas tentang struktur organisasi. Carta organisasi sekolah dapat menjadi penyelarasan tugas masing-masing. Melalui carta organisasi, tugas dan tanggungjawab setiap guru dapat ditetapkan dengan lebih jelas. Justeru, guru-guru di sekolah ini dapat mengetahui peranan dan tanggungjawab merekaberdasarkan jawatan yang telah disusun. Contohnya, guru-guru dapat mengetahui dengan jelas peranan mereka sebagai ketua panitia dalam sesuatu mata pelajaran. Dengan adanya carta organisasi, semua aktiviti dan inisiatif sekolah dalam bidang kurikulum dapat dipastikan supaya selari dengan matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Di samping itu, carta organisasi kurikulum dibina adalah bertujuan untuk memudahkan perjalanan panitia dalam bidang kurikulum. Setiap panitia mempunyai kaedah yang berbeza seperti Ketua Panitia Bahasa Melayu. Contohnya, apabila sekolah hendak melaksanakan ujian, maka ketua panitia dalam bahasa Melayu akan membahagikan tugas kepada guru-guru dan memilih guru tertentu yang perlu membina soalan dan menetapkan tarikh pelaksanaan ujian. Manakala, panitia dalam sesuatu mata pelajaran juga akan menentukan guru yang akan mengajar subjek tersebut di kelas-kelas tertentu. Panitia juga akan menyelaraskan penggunaan buku seperti buku aktiviti dan buku latihan supaya semua kelas akan mendapat buku yang sama dalam sesuatu mata pelajaran dan membuat keputusan untuk memberikan buku aktiviti yang sesuai kepada murid-murid daripada kelas belakang. Secara ringkasnya, segala perancangan kurikulum dalam sesuatu mata pelajaran akan bergantung kepada panitia yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.


4.2 Bidang Tugas Panitia a) Peranan Panitia di Sekolah Seterusnya, saya dapat memperoleh maklumat mengenai peranan panitia di Sekolah Kebangsaan Taman Awana semasa melakukan sesi temu bual bersama Puan Wan Samihah. Menurut beliau, panitia bertanggungjawab untuk menyelaras soalan ujian dan penilaian bagi setiap kelas. Panitia dalam sesuatu mata pelajaran akan menggubal dan mencetak soalan-soalan ujian untuk murid-murid. Sebelum mengedarkan soalan ujian kepada murid-murid, panitia akan menyemak soalan ujian tersebut supaya dapat diselaraskan untuk semua tahun persekolahan. Malah, panitia juga berperanan untuk mengkaji dan menganalisis keputusan ujian dan penilaian mata pelajaran untuk semua murid. Setelah keputusan ujian dikeluarkan, panitia akan mengadakan mesyuarat dalam panitia mata pelajaran masing-masing untuk membincangkan inisiatif atau strategi untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran murid-murid. Bukan itu sahaja, peranan panitia yang lain adalah menyediakan dan menyelaraskan Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) mengikut penggal persekolahan. Hal ini demikian kerana, RPT diperlukan oleh semua guru supaya mereka dapat merancang dan bersedia untuk menyampaikan pengajaran dengan terancang dalam tempoh jangka masa yang panjang. Justeru, panitia akan memastikan RPT bagi sesuatu mata pelajaran seperti subjek Bahasa Melayu akan diselaraskan dan dapat digunakan oleh guru-guru bahasa Melayu. Menurut beliau, panitia juga akan memilih dan mencadangkan buku-buku rujukan atau bahan bacaan tambahan yang sesuai untuk pembelajaran murid-murid mengikut mata pelajaran masing-masing. Malah, panitia juga menggalas tanggungjawab untuk mengadakan mesyuarat panitia secara berkala dan selaras dengan perancangan takwim sekolah. Melalui mesyuarat ini, ahli-ahli panitia akan berbincang untuk melaksanakan aktiviti atau program dalam bidang akademik berdasarkan takwim tersebut. Hal ini demikian kerana, perbincangan antara ahli-ahli panitia akan memastikan segala aktiviti atau program kurikulum yang akan dilaksanakan di sekolah dapat berjalan dengan lancar. Seterusnya, Puan Wan Samihah menyatakan bahawa setiap panitia dalam carta organisasi kurikulum sekolah akan membuat perancangan dalam penggunaan duit. Hal ini demikian kerana, setiap panitia mempunyai duit peruntukan daripada kerajaan untuk menguruskan pelaksanaan bidang kurikulum muird-murid. Contohnya, panitia akan menguruskan pembelian bahan bantu mengajar dan melaksanakan aktiviti atau program kepada semua murid. Namun demikian, peruntukan tersebut tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh panitia kerana mereka perlu merujuk surat pekeliling terlebih dahulu sebelum menggunakan wang tersebut bagi melaksanakan sesuatu program.


b) Mesyuarat Panitia Seterusnya, Puan Wan Samihah turut berkongsi mengenai perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat panitia mata pelajaran bagi meningkatkan penguasaan murid. Semasa menemu bual beliau, beliau menjelaskan bahawa panitia dalam sesuatu mata pelajaran akan melaksanakan perbincangan untuk merancang intervensi bagi murid-murid yang mencapai tahap minimum dalam keputusan peperiksaan mereka. Justeru, panitia akan merancang intervensi yang baharu untuk meningkatkan tahap penguasaan murid-murid dalam peperiksaan. Panitia akan merancang strategi, teknik dan kaedah yang terbaik untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran murid-murid di dalam bilik darjah. Antara strategi atau teknik yang digunakan adalah seperti menggunakan bahan bantu mengajar, mengaplikasikan penggunaan digital dalam bilik darjah, memberikan tumpuan dan bimbingan kepada murid-murid yang lemah dan sebagainya. Selain itu, panitia juga mengadakan mesyuarat untuk membincangkan pelaksanaan aktiviti atau program dalam bidang panitia masing-masing. Mereka akan merancang peruntukan kewangan berdasarkan panitia masing-masing untuk melaksanakan sesuatu program atau aktiviti di sekolah. Contohnya, panitia bahasa Melayu akan mengadakan minggu bahasa dan menganjurkan beberapa pertandingan bahasa untuk murid-murid. Jadi, panitia akan menggunakan peruntukan kewangan yang diberikan untuk membeli hadiah kepada murid-murid atau peralatan yang akan digunakan dalam pertandingan yang dilaksanakan. Hal ini supaya, segala peruntukan kewangan yang diberikan tidak melebihi bajet yang ditetapkan bagi menjayakan sesuatu program. c) Cabaran Yang Dihadapi oleh Panitia Dalam perbincangan bersama beliau, saya dapat mengetahui bahawa terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh panitia untuk mengembangkan potensi murid-murid dalam bidang akademik. Salah satunya adalah berkaitan dengan murid-murid yang tidak menguasai kemahiran asas dalam sesuatu mata pelajaran. Sebagai contoh, terdapat ramai murid di Sekolah Kebangsaan Taman Awana yang masih belum menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Hal ini demikian kerana, kebanyakan ibu bapa menyerahkan tugas untuk membimbing dan mendidik anak-anak sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu, muridmurid yang belum menguasai kemahiran asas ini akan ketinggalan dengan murid-murid yang sudah menguasai kemahiran tersebut.


Selain itu, dari segi kehadiran murid juga menjadi cabaran yang utama kepada guru untuk meningkatkan penguasaan dalam bidang kurikulum. Murid-murid tidak memberikan alasan yang munasabah apabila tidak hadir ke sekolah. Hal ini telah menyebabkan segala aktiviti atau program yang diadakan oleh panitia kurang mendapat sambutan dan tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti kurikulum. Bukan itu sahaja, murid-murid yang tidak hadir ke sekolah juga akan ketinggalan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Secara tidak langsung, hal ini akan menjejaskan keputusan mereka dalam peperiksaan dan memberikan kesan kepada panitia bagi sesuatu mata belajaran. Guru Besar akan menyoal guru mata pelajaran tertentu berdasarkan keputusan peperiksaan mereka yang minimum dan menyebabkan panitia perlu mengadakan mesyuarat untuk merancang strategi atau teknik untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran murid. 4.3 Takwim Kurikulum


a) Kepentingan Perancangan Takwim Kurikulum Seterusnya, perancangan takwim kurikulum memainkan peranan yang sangat penting dalam pelaksanaan program dan aktiviti di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Perancangan takwim kurikulum amat penting untuk merancang tarikh pelaksanaan ujian kepada murid-murid di sekolah ini. Sebelum berlakunya ujian tersebut, guru-guru akan menggubal soalan, mencetak soalan tersebut dan memastikan penyelarasan soalan tersebut bagi setiap kelas mengikut tahun persekolahan. Dengan adanya takwim kurikulum di sekolah, guru-guru dapat membuat persediaan dalam masa 4 hari sebelum melaksanakan sesuatu ujian di sekolah ini. Di samping itu, Puan Wan Samihah turut menjelaskan bahawa perancangan takwim kurikulum amat penting dalam minggu atau bulan panitia. Menurut beliau, panitia-panitia dalam


sesuatu mata pelajaran akan merujuk kepada takwim kurikulum yang dirancang untuk membuat persediaan awal bagi melaksanakan sesuatu aktiviti atau program bagi panitia mereka. Sebagai contoh, panitia bahasa Melayu akan merancang program-program bahasa dalam bulan Bahasa Melayu seperti Program Bacalah Sayang, Program Cintai Bahasa, Program Kosa Kata Celik Peribahasa, Program Semarak Sastera dan sebagainya. Malah, panitia bahasa Melayu juga akan membuat perancangan untuk selepas bulan bahasa Melayu seperti penyampaian hadiah kepada murid-murid yang memenangi pertandingan yang dianjurkan dalam bulan bahasa tersebut. Bukan itu sahaja, guru-guru akan merujuk kepada perancangan takwim kurikulum untuk mengadakan mesyuarat-mesyuarat mengikut minggu. Mesyuarat tersebut bukanlah berfokus kepada pelaksanaan ujian sahaja, tetapi untuk membincangkan hala tuju perancangan sesuatu aktiviti atau program sama ada beerjalan lancar ataupun tidak. Hal ini demikian kerana, mesyuarat tersebut amat penting untuk membolehkan guru-guru dapat menambahbaik perancangan dalam takwim kurikulum tersebut supaya dapat berjalan dengan lancar mengikut sesuatu keadaan. Mesyuarat kurikulum ini dilaksanakan dengan melibatkan ketua-ketua panitia bagi sesuatu mata pelajaran sahaja untuk membincangkan pengurusan kurikulum murid. b) Perancangan Program dan Aktiviti Dalam Takwim Kurikulum Dalam aspek ini, Puan Wan Samihah memberi penjelasan bahawa takwim kurikulum akan dirancang dengan merujuk kepada perancangan takwim kurikulum pada tahun sebelumnya. Hal ini demikian kerana, pihak sekolah akan merujuk kepada perancangan takwim kurikulum pada tahun sebelumnya sebagai penanda aras untuk melakukan penambahbaikan berdasarkan apa yang telah berlaku sebelumnya. Namun demikian, sekiranya terdapat perkara, aktiviti atau program kurikulum yang bagus akan dikekalkan dalam takwim kurikulum ini. Contohnya, pihak sekolah menganggarkan bahawa tidak sempat untuk melaksanakan dua program panitia dalam satu bulan. Justeru, pihak sekolah akan merancang dan membuat penambahbaikan semula supaya aktiviti dan pengurusan bidang kurikulum murid-murid di Sekolah Kebangsaan Taman Awana dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekangan. Malah, segala program atau aktiviti akan dirancang dalam takwim kurikulum berdasarkan penambahbaikan daripada luar atau penambahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Oleh itu, perancangan takwim kurikulum dapat memastikan segala aktiviti atau program dapat berjalan dengan lancar selari dengan matlamat pendidikan.


c) Cara Memastikan Perancangan Takwim Kurikulum Dapat Dicapai Menurut beliau, perancangan takwim kurikulum yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya akan dirujuk dan guru akan melakukan penambahbaikan dalam takwim kurikulum yang terbaru. Justeru, guru-guru dapat menganggarkan apa yang akan dicapai dan guru dapat mengetahui perkara yang perlu dilakukan untuk memastikan perancangan takwim tersebut dapat dicapai. Misalnya, guru-guru dapat melaksanakan ujian SEGAK dalam masa 3 hari dan bergantung pada keadaan cuaca sama ada di dewan atau di padang sekolah. Bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang dalam takwim tersebut dapat dicapai, Puan Wan Samihah menetapkan ‘emergency day’ untuk murid-murid yang tidak hadir ke sekolah. Contohnya, guruguru akan mengumpul murid-murid yang tidak hadir seperti keluar bertanding bola baling di peringkat daerah, sakit dan sebagainya serta merancang pelaksanaan ujian SEGAK pada hari yang lain. 4.4 Program-Program Peningkatan Kurikulum Berkaitan: 4.4.1 Perancangan dan Pelaksanaan PdP a) Kepentingan Perancangan PdP kepada Murid-Murid Semasa sesi menemu bual Cikgu Sharifah, selaku Ketua Panitia Bahasa Melayu, saya dapat mengetahui bahawa perancangan dan pelaksanaan PdP di dalam bilik darjah amat penting untuk meningkatkan potensi murid-murid dalam bidang akademik. Menurut beliau, perancangan pengajaran dapat memudahkan guru-guru untuk menyediakan bahan-bahan pengajaran yang bersesuaian dengan isi pelajaran mengikut minat dan kebolehan murid-murid. Guru-guru akan merancang isi kandungan dan bahan yang hendak disampaikan dengan lengkap dan menepati kehendak sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, perancangan pengajaran yang baik dapat menjadi penentu kepada keberhasilan dan kemenjadian murid apabila guru-guru dapat memberi fokus kepada objektif yang hendak dicapai. Menurut beliau, apa yang dimaksudkan dengan fokus objektif adalah guru dapat menumpukan perhatian kepada objektif pengajaran dalam sesebuah perancangan yang telah ditetapkan agar murid-murid dapat mencapainya dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Malah, perancangan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru dapat mengelakkan guru daripada mengajar luar daripada objektif yang telah ditetapkan untuk diajar kepada murid-murid. Dengan ini, guru-guru dapat memastikan setiap murid di dalam bilik darjah dapat menguasai isi pelajaran dan tajuk yang diajar oleh guru.


Seterusnya, perancangan pengajaran amat penting supaya guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid di dalam bilik darjah mengikut masa yang telah ditetapkan. Masa pengajaran dapat dimaksimumkan mengikut perancangan jadual waktu dengan lebih efektif apabila guru-guru merancang pengajaran dengan baik. Cikgu Sharifah turut menjelaskan bahawa guru-guru perlu menetapkan waktu dan masa yang perlu diperuntukkan untuk setiap pengajaran bagi mata pelajaran tertentu yang dijalankan di dalam bilik darjah supaya pengajaran tersebut tidak melebihi atau tidak kurang daripada jadual waktu yang telah ditetapkan. Justeru, guru dapat melakukan refleksi untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam sesi PdP tersebut setelah selesai melaksanakan pengajaran. b) Cara Guru Merancang dan Melaksanakan PdP Di Sekolah Dalam aspek ini, guru-guru bagi setiap mata pelajaran akan merancang PdP untuk dilaksanakan di dalam bilik darjah dengan menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). RPH merupakan satu dokumen mengenai perancangan dan penerangan terperinci tentang pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru-guru di Sekolah Kebangsaan Taman Awana akan menyediakan RPH terlebih dahulu sebelum melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Hal ini adalah untuk memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar dan dapat mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan oleh guru. Dalam penyediaan RPH tersebut, guru dapat mengetahui strategi atau aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan kepada murid-murid mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Guru di sekolah ini juga dapat merancang penggunaan bahan bantu mengajar yang sesuai dalam RPH tersebut untuk melaksanakan aktiviti pengajaran yang menarik kepada murid-murid. Selain itu, guru-guru dapat merancang dan melaksanakan PdP di dalam bilik darjah berdasarkan keupayaan dan kebolehan mereka. Menurut beliau, guru-guru di sekolah ini akan merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap penguasaan dan kebolehan murid-murid. Hal ini bermakna, guru-guru akan menyesuaikan strategi atau kaedah tertentu untuk menyampaikan pengajaran untuk memudahkan murid-murid memahami isi kandungan pelajaran yang hendak disampaikan. Tamsilnya, guru bagi subjek bahasa Melayu akan melaksanakan PdP di dalam kelas 2 Itqan dengan mengajar mereka membaca pada setiap hari kerana murid-murid daripada kelas tersebut masih belum menguasai kemahiran membaca. Sekiranya guru terus melaksanakan pengajaran seperti menulis dan sebagainya, maka muridmurid tidak dapat memahami kandungan pelajaran yang hendak disampaikan oleh guru.


c) Sumber dan Bahan Rujukan Yang Digunakan Dalam Melaksanakan Pengajaran Seterusnya, saya dapat memperoleh maklumat daripada Cikgu Sharifah mengenai sumber dan bahan rujukan yang digunakan dalam PdP. Antara sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan adalah bahan bercetak dan bahan teknologi maklumat. Kesemua jenis bahan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza tetapi dapat mencapai hasil yang sama iaitu untuk memastikan murid-murid dapat memahami isi pelajaran. Kebanyakan guru di sekolah ini menggunakan bahan bercetak seperti buku teks, lembaran kerja, buku latihan dan buku rujukan untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid. Bagi bahan berbentuk teknologi maklumat pula, bahan ini sentiasa mendapat perhatian dan dapat menarik minat murid-murid untuk belajar. Guru di sekolah ini dapat membawa murid-murid ke makmal komputer dan melaksanakan pengajaran kepada murid dengan menggunakan teknologi maklumat. Contohnya, guru melaksanakan puzzle secara dalam talian, kuiz dan permainan dalam talian menggunakan komputer untuk menyampaikan pengajaran berkaitan sesuatu mata pelajaran. Melalui bahan ini, murid lebih berminat untuk belajar kerana terdapat pelbagai grafik dan audio yang diaplikasikan dalam bahan tersebut. d) Cabaran Dalam Pelaksanaan Pengajaran Menurut beliau, guru-guru di sekolah ini menghadapi pelbagai cabaran ketika melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kepada murid-murid. Cabaran yang utama adalah dari segi keterlibatan dan tingkah laku murid-murid di dalam kelas. Hal ini demikian kerana, muridmurid memiliki tingkah laku dan minat yang berbeza. Terdapat murid-murid yang tidak berminat untuk belajar dan tidak melaksanakan tugasan-tugasan yang diberikan oleh guru di dalam bilik darjah. Apabila murid-murid tidak berminat untuk belajar, maka mereka tidak dapat fokus terhadap pengajaran yang disampaikan oleh guru dan secara tidak langsung akan memberi impak kepada prestasi pembelajaran mereka. Justeru, beliau menyatakan bahawa guru-guru dapat mengatasi masalah tersebut dengan mengenal pasti gaya pembelajaran murid. Guru perlulah mengenal pasti gaya pembelajaran murid dalam merancang pengajaran dan pembelajaran untuk memenuhi keperluan dan minat mereka. Guru boleh melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara berkumpulan, didik hibur, lakonan, main peranan dan menggunakan teknologi maklumat di dalam kelas. Dengan ini, guru-guru dapat menarik minat murid untuk belajar dalam sesuatu mata pelajaran dan mengelakkan mereka daripada berasa bosan untuk belajar. Seterusnya, guru-guru di sekolah ini turut menghadapi cabaran dalam melaksanakan pengajaran adalah dari segi kekangan masa. Tidak dinafikan bahawa, guru-guru di sekolah ini mengalami kekangan masa untuk melaksanakan PdP yang terancang kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana, guru-guru menggalas banyak tanggungjawab selain mengajar seperti


menguruskan PIBG, menguruskan aktiviti atau program, menghadiri kursus, menguruskan aktiviti kokurikulum dan sebagainya. Pelbagai tugas guru tersebut akan menyebabkan mereka mengalami kekangan untuk memasuki kelas bagi mata pelajaran yang diajar. Secara tidak langsung, murid-murid akan ketinggalan dalam silibus yang perlu diajar oleh guru. 4.4.2 Pendekatan dan Strategi Pengajaran a) Strategi Pengajaran Yang Digunakan Di samping itu, saya turut menemu bual Cikgu Sharifah mengenai strategi pengajaran yang digunakan oleh guru-guru di dalam kelas. Antara strategi pengajaran yang digunakan adalah pengajaran berpusatkan guru, pengajaran berpusatkan murid dan pengajaran berpusatkan bahan. Guru-guru di sekolah ini sering menggunakan strategi pengajaran berpusatkan guru di mana guru berperanan utama dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Dalam strategi ini, guru-guru di sekolah ini memainkan peranan untuk menguasai dan mengawal aktiviti dalam pembelajaran murid. Kaedah yang digunakan oleh guru dalam strategi ini adalah seperti penerangan, demonstrasi, bercerita, pengajaran makro dan sebagainya. Secara ringkasnya, guru banyak memberikan penerangan di dalam kelas dan murid bertindak mendengar sahaja. Penggunaan strategi pengajaran ini memudahkan guru-guru di sekolah ini untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan yang kompleks mengikut tahap keupayaan murid. Secara tidak langsung, strategi ini membolehkan murid-murid untuk menumpukan perhatian terhadap kandungan pelajaran. Selain itu, Cikgu Sharifah turut menerangkan mengenai strategi pengajaran berpusatkan murid yang sering digunakan oleh guru-guru di dalam bilik darjah. Strategi berpusatkan murid dapat menggalakkan murid-murid bertanggungjawab untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, murid-murid melakukan aktiviti simulasi, perbincangan dalam kumpulan, sumbang saran, pembentangan, Gallery Walk dan sebagainya. Dalam strategi ini, guru-guru berperanan sebagai pemudah cara dan bertindak sebagai fasilitator kepada murid-murid. Justeru ini, murid-murid dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti PdP dan dapat meningkatkan kreativiti mereka. Seterusnya, saya dapat memperoleh maklumat mengenai strategi pengajaran berpusatkan bahan yang digunakan oleh guru di dalam kelas. Antara bahan-bahan yang sering digunakan oleh guru untuk melaksanakan PdP di dalam kelas adalah buku teks, slaid, gambar, graf, kad bergambar, lembaran kerja dan sebagainya. Penekanan akan diberikan kepada


penggunaan bahan-bahan untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan murid. Menurut beliau, guru dan murid perlu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan bahan pelajaran untuk mencapai objektif pengajaran. Dengan ini, murid-murid lebih berminat untuk belajar dan sekali gus dapat meningkatkan kefahaman murid mengenai isi pelajaran yang disampaikan oleh guru. b) Pendekatan Pengajaran Yang Digunakan Menurut beliau, guru-guru di sekolah Kebangsaan Taman Awana sering menggunakan pendekatan deduktif untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran kepada murid. Guruguru akan menggunakan konsep deduktif seperti fakta, hukum, prinsip, rumus dan sebagainya untuk mengajar murid-murid berkaitan sesuatu topik dalam mata pelajaran. Sebagai contoh, guru mengajar murid-murid dan memberi panduan bagaimana untuk menulis karangan bahasa Melayu dengan menerangkan mengenai pengenalan, menyenaraikan isi atau fakta, menghuraikan setiap isi, memberikan contoh-contoh yang relevan denga isi dan membuat kesimpulan. Contoh lain yang diberikan oleh beliau adalah guru yang mengajar tajuk luas segi empat tepat dalam mata pelajaran Matematik. Murid-murid dikehendaki untuk menggunakan rumus luas segi empat tepat yang dipelajari untuk menyelesaikan tugasan tersebut. Pendekatan ini dapat digunakan untuk memastikan murid-murid dapat mengingati dan memahami tugasan dengan baik. Secara tidak langsung, guru-guru dapat membimbing murid untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan dengan berkesan. Selain itu, pendekatan pengajaran tematik juga sering digunakan oleh guru dengan menggunakan tema untuk menyampaikan pengajaran kepada murid-murid. Pengajaran dengan menggunakan pendekatan ini akan disampaikan melalui konsep atau idea yang besar. Guru-guru akan memilih tema yang bersesuaian dengan minat dan kebolehan murid-murid, malah tema tersebut berkait rapat dengan kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, guru bahasa Melayu memilih tema kesihatan untuk melaksanakan PdP. Guru-guru akan mengajar murid-murid mengenai cara menjaga kesihatan diri dalam konteks kebersihan. Jadi, murid-murid boleh mempelajari bagaimana cara untuk menguruskan kebersihan diri, bagaimana menjaga pemakanan dan sebagainya. Guru-guru juga akan melaksanakan aktiviti yang menarik dan bersesuaian dengan tema tersebut seperti aktiviti simulasi dan lakonan. Melalui pendekatan tematik, guru-guru dapat menggalakkan pembelajaran dan pengajaran yang menyeronokkan kepada murid-murid untuk mengembangkan keterampilan berfikir mereka dalam menyelesaikan masalah.


c) Kepentingan Penggunaan Strategi Pengajaran Penggunaan strategi pengajaran mempunyai banyak kepentingan kepada murid-murid dan guru di sekolah ini. Pemilihan strategi pengajaran yang telah dirancang dengan betul dapat menggalakkan murid-murid untuk terlibat aktif dalam aktiviti PdP dan menyebabkan mereka tidak terlalu bergantung kepada guru sahaja semasa proses PdP dijalankan. Suasana ini berlaku apabila guru-guru menggunakan strategi berpusatkan murid di dalam bilik darjah. Justeru, muridmurid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan merangsang minda mereka untuk berfikir dengan lebih kreatif dan kritis. Selain itu, penggunaan strategi pengajaran yang baik dapat meningkatkan kefahaman murid-murid berkaitan sesuatu topik yang diajar oleh guru. Kesemua strategi pengajaran yang digunakan dapat memudahkan guru untuk menyampaikan isi pembelajaran dan dapat memastikan objektif dapat dicapai. Strategi pengajaran yang digunakan dapat membantu guru untuk merancang kaedah dan teknik yang digunakan dalam PdP untuk menentukan pencapaian yang optimum di dalam kelas. Apabila guru-guru di sekolah ini menggunakan strategi pengajaran yag sesuai, maka mereka dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan lancar tanpa sebarang masalah. 4.4.3 Bahan Bantu Mengajar (Inovasi) a) Contoh Inovasi Bahan Bantu Mengajar Yang Digunakan Hasil temu bual bersama Cikgu Fairos, selaku guru bahasa Melayu dan guru pusat sumber, beliau menyatakan bahawa terdapat seorang guru dalam mata pelajaran Sains telah menghasilkan satu bahan inovasi yang dinamakan sebagai Buruj Angkasa dengan menggunakan bahan utama seperti kotak dan LED. Guru tersebut menggunakan bahan kitar semula untuk menghasilkan model pembuatan kotak buruj tersebut. Menurut beliau, bahan bantu mengajar tersebut merupakan hasil idea dan kreativiti guru tersebut sendiri.Tujuan penghasilan bahan bantu mengajar tersebut adalah untuk memastikan murid-murid dapat memahami dan mengenal pasti jenis-jenis buruj yang ada pada akhir pembelajaran. Hal ini demikian kerana, inovasi BBM tersebut dapat menarik minat murid untuk belajar dan memahami dengan jelas bentuk-bentuk buruj melalui lampu LED yang digunakan. Rasional membangunkan bahan inovasi kotak buruj tersebut adalah kerana BBM ini dapat menarik minat murid untuk melihat bentuk buruj secara maujud yang dapat disentuh dan dimanfaatkan oleh semua orang. BBM ini perlulah digunakan di dalam bilik yang gelap kerana dihaasilkan menggunakan lampu LED. Malah, BBM ini mempunyai pelbagai keistimewaan seperti mudah untuk digunakan, mempunyai muzik latar belakang, dan mempunyai lampu. Oleh itu, model kotak buruj yang dibangunkan ini dapat memberi kesan positif dan menjadikan sesi pengajaran lebih menarik.


Rajah menunjukkan Hasil Inovasi Bahan Bantu Mengajar Kotak Buruj c) Keberkesanan Inovasi Bahan Bantu Mengajar Dalam Pembelajaran Berkenaan aspek ini, Cikgu Fairos menjelaskan bahawa bahan bantu mengajar kotak buruj dapat meningkatkan keberkesanan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Menurut beliau. Inovasi bahan bantu mengajar yang disediakan tersebut dapat menarik minat murid untuk belajar di dalam kelas. Hal ini demikian kerana, bahan bantu mengajar tersebut sangat menarik dan kreatif sekali gus dapat meningkatkan motivasi murid-murid untuk terlibat aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. Kebanyakan guru yang membawa bahan bantu mengajar ke dalam kelas akan menimbulkan tanda tanya dalam diri mereka. Secara tidak langsung, bahan bantu mengajar ini dapat mencetuskan minat mereka untuk belajar kerana teruja untuk menggunakan bahan tersebut. Oleh itu, penggunaan bahan bantu mengajar ini jelas dapat mendorong suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Selain itu, penggunaan bahan bantu mengajar kotak buruj dapat meningkatkan kefahaman murid mengenai topik jenis-jenis buruj. Hal ini demikian kerana, setiap murid di dalam kelas mempunyai gaya belajar yang berbeza. Kebanyakan murid cenderung belajar secara visual iaitu menggunakan gambar, graf, carta dan sebagainya untuk memahami dan mengingati sesuatu maklumat yang disampaikan oleh guru. Justeru, bahan bantu mengajar yang dihasilkan tersebut dapat merangsang minda mereka untuk belajar dan berfikir kerana menggunakan elemen warna, lampu LED dan menggunakan muzik latar belakang. Dengan ini, murid-murid lebih mudah memahami pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh guru dalam suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan.


4.4.4 Pentaksiran dan Penilaian a) Cara Guru Memastikan Penilaian Adil Dan Saksama Untuk Murid Seterusnya, saya meneruskan sesi temu bual tersebut dengan menanyakan beberapa soalan mengenai pentaksiran dan penilaian kepada beliau. Menurut Cikgu Fairos, guru-guru di Sekolah Kebangsaan Taman Awana akan memastikan kriteria penilaian jelas dan melaksanakan penilaian untuk semua murid tanpa berlaku bias. Contohnya, guru melaksanakan penilaian formatif dan sumatif. Menurut beliau, kedua-dua penilaian ini akan digunakan kepada semua murid di dalam kelas atau sesi persekolahan supaya adil dan saksama kepada murid-murid tanpa berlaku keciciran atau bias. Dengan ini, guru-guru di sekolah ini dapat mengesan tahap prestasi setiap murid di dalam kelas dan melakukan penambahbaikan berdasarkan penilaian tersebut. b) Jenis Penilaian Formatif Yang Digunakan Penilaian formatif merupakan salah satu penilaian berbentuk formal atau tidak formal yang digunakan oleh guru-guru di Sekolah Kebangsaan Taman Awana untuk mengesan tahap penguasaan dan kemajuan murid-murid di dalam kelas. Antara jenis penilaian formatif yang sering digunakan oleh guru di dalam bilik darjah adalah berbentuk tidak formal seperti kuiz, soal jawab, lembaran kerja, pembentangan dan melaksanakan ujian berbentuk formal seperti ujian di dalam kelas. Penilaian formatif akan berlaku semasa proses PdP sedang dijalankan di dalam bilik darjah. Guru-guru di sekolah ini dapat mengesan kekuatan dan kelemahan penguasaan murid-murid dalam sesuatu topik yang telah dipelajari. Malah, guru-guru akan bertindak untuk menambah baik kaedah pengajaran berdasarkan penilaian yang diperolehi tersebut sama ada murid dapat menguasai topik pembelajaran atau tidak. c) Penggunaan Penilaian Sumatif Untuk Mengukur Pencapaian Murid Selain itu, saya dapat memperoleh maklumat mengenai bagaimana penilaian sumatif dapat mengukur pencapaian murid-murid. Penilaian sumatif yang dilaksanakan oleh guru di sekolah ini merupakan penilaian yang diadakan pada akhir sesuatu kursus seperti pada akhir sesuatu penggal, pertengahan atau akhir tahun. Menurut Cikgu Fairos, pelaksanaan penilaian sumatif di sekolah ini adalah berbentuk formal seperti ujian pertengahan tahun dan akhir tahun. Penilaian sumatif akan memberi gred kepada murid-murid berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan tersebut. Dengan ini, guru-guru dapat mengukur tahap pencapaian dan penguasaan murid melalui keputusan peperiksaan mereka. Secara tidak langsung, guru-guru di sekolah ini


dapat mengenal pasti mata pelajaran yang murid masih lemah dan mata pelajaran yang boleh dikuasai. Oleh itu, guru-guru dapat membantu murid-murid untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam bidang akademik melalui penambahbaikan strategi dan teknik pengajaran. d) Penambahbaikan Pembelajaran Murid Melalui Penilaian Melalui penilaian sumatif dan formatif yang dijalankan oleh guru kepada murid-murid, guruguru di sekolah ini akan melaksanakan mesyuarat panitia mengikut mata pelajaran masing-masing untuk berbincang mengenai penambahbaikan strategi atau teknik pengajaran. Hal ini demikian kerana, penambahbaikan dalam pengajaran guru di sekolah ini amat diperlukan untuk memastikan tahap penguasaan dan kemahiran murid dalam pembelajaran dapat dioptimumkan. Panitia-panitia dapat membincangkan isu keputusan murid melalui penilaian sumatif dan dapat menggunakan strategi pengajaran yang lebih berkesan setelah mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid. Panitia-panitia di sekolah ini juga akan berbincang mengenai pelaksanaan aktiviti atau program yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pencapaian murid dalam bidang kurikulum. 4.4.5 Pendidikan Inklusif a) Prosedur Penempatan Murid Pendidikan Inklusif Di samping itu, saya telah melaksanakan sesi temu bual bersama Cikgu Wirda yang merupakan guru pendidikan khas di SK Taman Awana. Menurut beliau, murid-murid bekeperluan khas akan ditempatkan ke kelas aliran perdana dengan melalui beberapa prosedur. Setiap murid bekeperluan khas akan disaring atau melalui ujian saringan yang dikenali sebagai Senarai Semak Kesediaan Inklusif (SSKI). Hal ini bermakna, murid-murid bekeperluan khas perlulah melepasi senarai semak tersebut terlebih dahulu sebelum ditempatkan ke kelas aliran perdana. Apabila murid-murid tersebut lulus dalam ujian SSKI tersebut, mereka perlu menduduki ujian kertas soalan perdana pada peringkat rendah. Sebagai contoh, murid-murid bekeperluan khas yang hendak dimasukkan ke dalam kelas aliran perdana murid tahun 3, maka murid tersebut perlulah menduduki ujian akhir tahun murid tahun 3. Sekiranya keputusan ujian tersebut bersesuaian, maka murid tersebut akan dihantar ke dalam kelas yang dipilih.


b) Strategi Pengajaran Dalam Pendidikan Inklusif Semasa melaksanakan perbincangan tersebut, saya dapat memperoleh pengetahuan mengenai strategi pengajaran yang digunakan untuk murid-murid dalam pendidikan inklusif. Salah satunya adalah guru aliran perdana akan menggunakan kaedah pembelajaran masteri. Pembelajaran masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar oleh guru. Dalam pembelajaran masteri, guru-guru akan memastikan murid-murid yang berada dalam pendidikan inklusif mendapat bimbingan secara menyeluruh. Contohnya, guru akan menetapkan supaya murid-murid di dalam kelas perlu menjawab soalan dengan betul sekurang-kurangnya 17/20 soalan. Muridmurid yang gagal mencapai tahap kecekapan minima akan diberi pemulihan oleh guru untuk memastikan mereka dapat mencapai skor markah yang ditetapkan semasa ujian yang kedua. Murid-murid tersebut juga perlu mencapai 80% aras masteri yang telah ditetapkan sebelum berpindah kepada unit pembelajaran yang lain. Oleh itu, murid-murid yang lemah dapat bergerak bersama-sama dengan murid lain dan tidak akan ketinggalan dalam pembelajaran. Selain itu, guru-guru aliran perdana akan mengaplikasikan kaedah belajar sambil bermain kepada murid-murid pendidikan inklusif. Hal ini demikian kerana, strategi belajar sambil bermain ini merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang paling menyeronokkan supaya mereka dapat menguasai pelbagai perkembangan. Misalnya, guru aliran perdana akan melaksanakan simulasi, lakonan, bercerita, menyanyi dan sebagainya untuk menyampaikan sesuatu isi pelajaran. Strategi ini dapat menarik minat murid pendidikan inklusif untuk melibatkan diri secara aktif di dalam kelas memandangkan mereka cenderung untuk bermain dan bukan sekadar mendengar penerangan daripada guru sahaja. c) Cabaran Melaksanakan PdP Dalam Kelas Pendidikan Inklusif Bukan itu sahaja, saya dapat mengetahui pelbagai cabaran yang dihadapi oleh guru-guru aliran perdana untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas yang inklusif. Menurut beliau, cabaran yang utama adalah dari segi kemahiran guru aliran perdana. Sesetengah guru aliran perdana di sekolah ini tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mendalam untuk mengajar murid-murid bekeperluan khas di dalam kelas biasa. Justeru, guru-guru aliran perdana yang mengajar murid-murid pendidikan khas tidak didedahkan dengan kursus atau pengetahuan mengenai cara mengendalikan murid-murid tersebut supaya mereka dapat belajar secara optimum.


Selain itu, guru-guru aliran perdana juga menghadapi cabaran untuk menguruskan muridmurid bekeperluan khas yang mempunyai pelbagai tingkah laku. Hal ini demikian kerana, kebanyakan murid pendidikan khas yang dimasukkan ke dalam kelas aliran perdana adalah muridmurid yang mempunyai masalah autisme. Contohnya, murid-murid ini akan bertindak menyakiti rakan-rakan yang lain, mengamuk, marah, agresif, menghantuk kepala sendiri dan menggunakan kata-kata yang kesat. Secara tidak langsung, hal ini akan menjadi cabaran terbesar kepada guru untuk melaksanakan aktivtiti PdP kerana tingkah laku mereka akan mengganggu guru dan rakanrakan lain di dalam kelas. Seterusnya, murid-murid pendidikan khas yang dimasukkan ke dalam kelas aliran perdana akan memberi cabaran kepada guru-guru untuk memilih tugasan. Hal ini demikian kerana, pemilihan tugasan yang susah akan menyukarkan mereka untuk memahami dan melaksanakan tugasan yang diberikan oleh guru. Menurut beliau, guru-guru dalam aliran perdana perlu memilih bahan-bahan yang sesuai dengan keupayaan dan kebolehan mereka supaya murid-murid bekeperluan khas tidak akan ketinggalan dalam pembelajaran. Pemilihan bahan yang tidak bersesuaian dengan kebolehan mereka akan menyebabkan mereka sukar memberikan tumpuan kepada isi pelajaran dan menunjukkan tingkah laku yang negatif di dalam bilik darjah. d) Kesan Pendidikan Inklusif Kepada Perkembangan Sosial dan Akademik Murid Di samping itu, pendidikan inklusif dapat memberikan kesan yang baik terhadap perkembangan sosial dan akademik murid-murid bekeperluan khas di sekolah ini. Menurut Cikgu Wirda, pendidikan inklusif dapat meningkatkan keyakinan murid-murid bekeperluan khas untuk bersosial bersama rakan sebaya. Murid-murid pendidikan khas tidak akan berasa bahawa diri mereka terasing dengan rakan-rakan lain yang berada dalam kelas aliran perdana. Malah, pendidikan inklusif dapat meningkatkan minat murid untuk belajar dalam sesuatu subjek. Contohnya, terdapat seorang murid bekeperluan khas yang gemar melukis. Apabila murid tersebut ditempatkan di kelas aliran perdana, murid tersebut dapat melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti dan boleh mencabar diri untuk menghasilkan lukisan yang boleh dibandingkan dengan rakanrakan lain dalam kelas aliran perdana.


4.4.6 Pengurusan Dan Kawalan Kelas a) Cara Mengawal Kelas Semasa PdP Selain itu, saya turut menanyakan beberapa soalan kepada Cikgu Sharifah mengenai pengurusan dan kawalan kelas. Menurut beliau, keadaan murid-murid di dalam kelas ada kalanya tidak dapat dikawal oleh guru-guru. Mereka akan membuat bising dan tidak mudah fokus terhadap mata pelajaran yang diajar oleh guru sekiranya mereka tidak berminat. Justeru, terdapat sebilangan besar guru di sekolah ini mempunyai inisiatif yang tersendiri untuk mengawal kelas. Menurut Cikgu Sharifah, beliau akan menggunakan suara yang kuat dan jelas untuk memberi arahan atau penerangan kepada murid-murid. Hal ini demikian kerana, murid-murid akan menjadi bosan sekiranya suara guru perlahan dan tidak meyakinkan. Sekiranya murid-murid membuat bising di dalam kelas, beliau akan menggunakan teknik reverse psychology iaitu menyuruh muridmurid berbuat bising. Oleh itu, murid-murid akan berasa takut dan tidak membuat bising aabila beliau menggunakan teknik tersebut. Bukan itu sahaja, beliau turut menjelaskan bahawa terdapat guru-guru di sekolah ini yang menetapkan peraturan semasa melaksanakan PdP. Guru-guru akan menetapkan jangka masa untuk murid-murid menyiapkan tugasan dan aktiviiti berdasarkan topik pengajaran. Murid-murid yang tidak berjaya menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan akan didenda oleh guru. Dengan ini, guru-guru dapat mengelakkan murid-murid daripada membuat bising dan berbual dengan rakan-rakan semasa di dalam kelas sebaliknya mereka akan berusaha untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh beliau. Cikgu Sharifah turut melakukan pemantauan dalam kelas di mana beliau akan bergerak dan memantau murid-murid menyiapkan tugasan yang diberikan di sekeliling kelas. b) Cara Menangani Murid-Murid Yang Menganggu Kelas Menurut Cikgu Sharifah, beliau akan bertindak menegur murid-murid yang mengganggu kelas atau menunjukkan tingkah laku yang negatif. Hal ini demikian kerana, teguran dan sikap tegas daripada guru akan menyebabkan murid-murid berasa takut dan akan menunjukkan tingkah laku yang positif. Beliau turut menyatakan bahawa seorang guru perlulah mengelakkan diri daripada memarahi murid-murid secara terbuka kerana hal tersebut akan memberikan kesan negatif kepada diri mereka. Jadi, guru akan menegur murid-murid dan menetapkan peraturan di dalam kelas supaya dipatuhi oleh murid-murid. Oleh itu, sikap tegas daripada guru amatlah diperlukan untuk mengawal tingkah laku murid-murid di dalam kelas supaya menunjukkan tingkah laku yang diingini.


c) Pengurusan Kelas Yang Baik Dapat Menjamin Keberkesanan PdP Dalam aspek ini, beliau menjelaskan bahawa pengurusan dan kawalan kelas yang baik dapat memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Hal ini demikian kerana, guru-guru yang dapat mengawal kelas supaya kekal dalam suasana yang baik dan kondusif dapat menyebabkan murid-murid dapat menumpukan perhatian kepada topik yang diajar oleh guru. Justeru, murid-murid lain yang berada di dalam kelas tidak mudah terganggu dengan bunyi bising di dalam kelas dan mereka dapat mendengar penerangan guru dengan jelas tanpa sebarang gangguan. Oleh itu, pengurusan kelas yang baik dapat menjamin PdP supaya dapat berjalan dengan lancar sekali gus dapat meningkatkan kefahaman murid-murid berkenaan topik mata pelajaran yang dipelajari dengan lebih efektif. 4.4.7 Program Kurikulum Yang Berkaitan Dengan Dasar Pendidikan ➢ Dasar Pendidikan TS25 a) Fasa Latihan Bagi Program TS25 Perbincangan seterusnya yang saya laksanakan adalah bersama dengan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Awana berkenaan dasar-dasar pendidikan. Semasa menemu bual beliau, saya dapat mengetahui bahawa Sekolah Kebangsaan Taman Awana telah dipilih untuk terlibat dengan Kohort 7 dan masih melaksanakan Modul 1 dan Modul 2 bagi program TS25. Menurut beliau, Modul 1 merupakan bimbingan dan pementoran yang digunakan untuk memantapkan kepimpinan sekolah. Modul ini memberi fokus kepada beberapa elemen sekolah ke arah transformasi sekolah. Dalam Modul 1, terdapat 5 elemen yang boleh disebut sebagai sub elemen iaitu kerangka TS25, mengurus perubahan, hala tuju TS25, pemegang taruh, serta coaching and mentoring. Manakala, Modul 2 pula ialah menerajui kepimpinan yang berfokuskan untuk mengupayakan pemimpin pertengahan di sekolah. Modul ini berupaya untuk meningkatkan kompetensi masing-masing yang dapat merealisasikan hasrat TS25. Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan Modul 1 dan Modul 2 ini melibatkan Guru Besar dan semua penolong kanan di sekolah.


b) Program yang Dilaksanakan Di Bawah TS25 Hasil temu bual bersama En. Noor Azam selaku Guru Besar , beliau menjelaskan bahawa pihak sekolah telah mengadakan pelbagai jenis program TS25 di bawah PINTAS (Pelan Intervensi Transformasi Sekolah). Sebagai contoh, pihak sekolah mengadakan Program Syoknya Mai Sekolah. Program tersebut dilaksanakan adalah bertujuan untuk menggalakkan murid-murid untuk datang ke sekolah dan tidak ponteng. Pihak sekolah akan menawarkan hadiah berbentuk wang ringgit, dua buah basikal dan sagu hati kepada murid-murid yang mencapai rekod kehadiran yang penuh. Penganjuran program tersebut adalah di bawah bahagian hal ehwal murid yang dilaksanakan untuk meningkatkan kemenjadian murid. Selain itu, program lain di bawah PINTAS adalah Latihan Personal yang dianjurkan untuk menerapkan penulisan yang berkesan dalam kalangan murid. Manakala, pihak sekolah turut mengambil peluang untuk menganjurkan program Ziarah Cakna dan Program Latihan Intensif untuk murid-murid di sekolah bagi program TS25. Menurut beliau, program-program tersebut menggalakkan penglibatan komuniti iaitu ibu bapa dan pihak berkepentingan yang lain demi kejayaan murid. c) Penetapan Matlamat Bagi Program TS25 Selain itu, pelaksanaan program TS25 di Sekolah Kebangsaan Taman Awana berfokuskan kepada visi, misi dan hala tuju yang dirangka. Beliau menekankan bahawa visi bagi program TS25 di sekolah ini adalah berusaha berdisiplin bagi menjamin kecemerlangan. Manakala, misi bagi program TS25 yang dirangka untuk sekolah ini pula ialah satu usaha untuk melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. Seterusnya, pihak sekolah telah menetapkan hala tuju bagi program TS25 di sekolah ini iaitu untuk memantapkan kepimpinan sekolah. Hal ini demikian kerana, Sekolah Kebangsaan Taman Awana merangka hala tuju tersebut adalah untuk mengembangkan dan meningkatkan kebolehan memimpin para pengurus di sekolah ini. Hala tuju TS25 yang seterusnya pula adalah untuk memaksimumkan potensi guru dan murid-murid menerusi peningkatan kualiti pembelajaran dan pengajaran. Guru-guru akan merancang strategi atau pendekatan yang terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan minat murid untuk belajar. Beliau juga mengatakan bahawa, hala tuju TS25 yang utama di sekolah ini adalah untuk mengukuhkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak berpentingan demi kejayaan murid. Penglibatan ibu bapa dan komuniti amat digalakkan dalam program yang dirancang di bawah TS25 untuk memastikan mereka prihatin terhadap perkembangan murid di sekolah.


d) Fokus Pelaksanaan Program TS25 Fokus pelaksanaan program TS25 yang dijalankan di sekolah ini adalah menekankan pengaplikasian konsep dan amalan PdP yang terbaik. Bagi melahirkan modal insan yang unggul melalui pengajaran dan pembelajaran, program TS25 akan dilaksanakan untuk membangunkan persekitaran pembelajaran yang berkesan dengan mengutamakan kemenjadian murid. Beliau mengatakan bahawa, program TS25 akan memberi fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran murid di dalam kelas melalui pendekatan dan kaedah yang digunakan oleh guru ke arah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Malah, TS25 juga memberi fokus untuk membangunkan kepakaran dalaman melalui latihan yang komprehensif dan berstruktur kepada pembimbing pedagogi dan pembimbing kepimpinan di sekolah ini. Selain itu, walaupun Sekolah Kebangsaan Taman Awana masih melaksanakan Modul 2, tetapi guru-guru sentiasa mengaplikasikan KBAT dan PAK21 dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik tersebut digunakan adalah bertujuan untuk mencapai elemen kemenjadian murid dalam program TS25 iaitu untuk menggalakkan kemahiran berfikir dan berilmu pengetahuan murid. Pembelajaran abad ke 21 merupakan poses pembelajaran yang berpusatkan murid dan berteraskan elemen komunikasi, pemikiran kritis dan aplikasi nilai murni. PAK21 yang digunakan oleh guru di dalam kelas adalah Gallery Walk, peta I-think, aktiviti berkumpulan, pembentangan dan sebagainya. Penerapan elemen KBAT juga akan diaplikasikan dalam PdP dengan mengemukakan soalan-soalan aras tinggi untuk menggalakkan murid berfikir secara kritikal. e) Cabaran Untuk Menjayakan Program TS25 Menurut beliau, proses transformasi ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah kerana melibatkan banyak pihak khususnya warga pendidik di sekolah yang menjadi agen transformasi bagi setiap perubahan yang dirancang oleh pihak pentadbir. Guru-guru merupakan pihak yang perlu berdepan dengan beberapa cabaran utama iaitu untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Dalam menyediakan pembelajaran yang menarik, guru-guru mengalami kekangan daripada aspek kesediaan diri seperti kekangan masa, ruang, sikap guru dan sebagainya. Malah, guru-guru yang sentiasa berusaha menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan seperti PAK21 akan terbatas apabila murid-murid kerap ponteng sekolah dan menjadikan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tidak dapat berjalan dengan lancar. Bukan itu sahaja, cabaran seterusnya adalah untuk menggalakkan penglibatan dan komitmen komuniti yang padu dalam meningkatkan potensi murid dalam pembelajaran. Kerjasama dengan komuniti dan sekolah amat diperlukan secara sukarela untuk membantu sekolah menyediakan pelbagai perkhidmatan dan membawa manfaat kepada sekolah.


➢ Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) a) Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Semasa menemu bual beliau, saya dapat mengetahui bahawa PBD akan dilaksanakan secara berterusan semasa proses pengajaran dan pembelajaran sepanjang tahun. PBD akan dilaksanakan melalui tiga cara iaitu pemerhatian, lisan dan penulisan. Bagi kaedah pemerhatian, beliau menyatakan bahawa guru-guru akan melakukan pemerhatian melalui sikap atau tindak balas murid dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Manakala, guru-guru akan melaksanakan PBD melalui kaedah pentaksiran seperti lisan di mana guru akan mengemukakan soalan di dalam kelas. Sekiranya murid-murid dapat bertindak balas dengan memberikan jawapan yang betul terhadap soalan tersebut, maka murid-murid akan dilihat menguasai topik pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru. Bagi kaedah penulisan pula, beliau menjelaskan bahawa PBD akan dilaksanakan melalui penilaian hasil kerja murid seperti penulisan karangan yang dilakukan oleh murid-murid. Beliau turut menyatakan bahawa guru-guru akan mengesan dan menguji perkembangan murid melalui pelaksanaan kuiz, kerja projek dan pembentangan di dalam kelas. b) Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) PBD perlulah dilaporkan oleh guru kelas sekurang-kurangnya sebanyak 2 kali dalam setahun. Guru-guru perlu melaporkan tahap penguasaan PBD murid-murid dengan menggunakan templat pelaporan di dalam fail Excel yang disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) yang lama. Laporan ini digunakan oleh guru-guru untuk melaporkan tahap penguasaan murid-murid di dalam bilik darjah kepada ibu bapa pada peringkat sekolah. Namun demikian, sebarang perekodan atau pelaporan PBD akan menggunakan Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB) yang terkini. Guru bagi setiap subjek bertanggungjawab untuk mengisi tapak secara dalam talian dengan menggunakan idMe. Tujuannya adalah supaya guru-guru dapat melaporkan PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijalankan ke atas murid-murid di Sekolah Kebangsaan Taman Awana. Bukan itu sahaja, beliau menyatakan bahawa pelaporan PBD yang dilaksanakan oleh guru bagi setiap subjek tersebut amat mempengaruhi pembelajaran murid-murid. Hal ini demikian kerana, murid-murid akan dinilai melalui pelaporan PBD sekiranya mereka ingin memasuki sekolah menengah yang berprestasi tinggi. Sekiranya tahap penguasan PBD mereka cemerlang, maka lebih mudah untuk mereka diterima masuk ke sekolah-sekolah yang diingini.


c) Fungsi Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Di samping itu, pelaksanaan PBD memainkan peranan yang sangat penting di Sekolah Kebangsaan Taman Awana dalam semua mata pelajaran KSSR dan KSSM. Beliau menekankan bahawa pelaksanaan PBD di sekolah dapat berfungsi untuk memastikan penyerahan pelaporan PBD kepada waris dapat dilaksanakan sebanyak dua kali dalam setahun. Semasa penyerahan pelaporan PBD, guru kelas akan mencetak keputusan PBD dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dilaksanakan ke atas murid-murid. Malah, PBD dapat memberi fokus kepada guru-guru tertentu untuk mengesan perkembangan murid secara menyeluruh. Guru bagi sesuatu subjek dapat mengesan sejauh mana kaedah pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan oleh mereka dapat dikuasai oleh murid. Dengan ini, guru-guru dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Justeru itu, pelaksanaan PBD membolehkan guru-guru untuk merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran yang sesuai dengan tahap kemahiran murid-murid untuk memastikan keberkesanan PdP dapat dicapai. d) Tahap Penguasaan Murid-Murid Seterusnya, beliau menekankan bahawa guru-guru akan menilai tahap penguasaan murid dalam pembelajaran melalui pelaksanaan PBD di sekolah di mana PBD bukanlah bertujuan untuk membandingkan tahap penguasaan antara seseorang murid dengan murid yang lain. Pelaksanaan PBD adalah bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru untuk melakukan penambahbaikan dalam pengajaran mereka. Tahap penguasaan murid dalam pengajaran dan pembelajaran dapat dinilai oleh guru mengikut TP1 hingga TP6. Menurut beliau, TP1 dan TP2 akan dilihat sebagai tahap penguasaan murid yang lemah di SK Taman Awana. TP1 merujuk kepada aspek tahu di mana murid-murid hanya dapat mengetahui perkara asas atau memberi respons terhadap perkara asas sahaja. Manakala, TP2 melibatkan murid-murid tahu dan faham. TP2 akan dikesan oleh guru sekiranya murid-murid menunjukkan kefahaman dengan menjelaskan sesuatu perkara yang dipelajari dalam pelbagai bentuk komunikasi. Selain itu, beliau menyatakan bahawa tahap penguasaan murid-murid akan dinilai secara sederhana apabila mereka memperoleh TP3 dan TP4. Menurut beliau, kebanyakan murid di sekolah ini memperoleh TP3 dan TP4 bagi sesuatu mata pelajaran. Tahap penguasaan yang diperolehi oleh mereka perlu ditingkatkan lagi melalui pendekatan dan teknik pengajaran dan


Click to View FlipBook Version