The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Eka Syafiqah, 2024-02-05 02:44:44

Hikmah Saat Aku Diuji

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

Saat Aku Diuji MARA KNOWLEDGE CENTRE Projek Biblioterapi MARA


Saat Aku Diuji Cetakan pertama © 2021 Penerbitan © Majlis Amanah Rakyat Hakcipta terpelihara. Tidak dibenarkan ulang cetak mana-mana bahagian, isi kandungan dan ilustrasi dalam apa jua bentuk dan dengan cara apa sekalipun, sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau cara lain sebelum mendapat izin bertulis daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Tanggungjawab hak cipta tidak ada kena mengena dengan penulisan yang terkandung di dalam buku ini. Penerbit dan penulis tidak bertanggungjawab ke atas sebarang maklumat yang disalahgunakan. Penaung Rohayah binti Mohd Zain Penasihat Mohd Salleh bin Abdullah Nor Zaini binti Abu Kassim Editor Zuliana Haslinda binti Anhar Zubir Hjh Rahmah binti Saad (Big M Resources) Penyelaras Zurina binti Abdul Aziz Grafik Nooroha binti Buang Diterbitkan oleh: MARA Knowledge Centre Bahagian Inovasi dan Teknologi Kreatif Tingkat 4, Ibu Pejabat MARA, 21 Jalan MARA, 50609 Kuala Lumpur. (Dengan kerjasama Bahagian Sumber Manusia MARA) Dicetak oleh: Firdaus Press 28, Jalan PBS 14/4, Taman Perindustrian Bukit Serdang, 43300 Seri Kembangan, Selangor. Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-penerbitan Projek Biblioterapi MARA: Hikmah Saat Aku Diuji/ MARA Knowledge Centre ISBN: 978-967-2264-07-1 Majlis Amanah Rakyat--Officials and employees--Anecdotes. Bibliotherapy--Anecdotes. COVID-19 Pandemic, 2020--Anecdotes. Government publications--Malaysia. 1. Judul 2. Biblioterapi MARA 808.882


HIKMAH Saat Aku Diuji i Selagi kita ini bergelar manusia, maka kita tidak akan terlepas daripada menerima ujian, dugaan dan ganjaran daripada Tuhan. Namun begitu tidak semua insan di dunia ini mampu menangani setiap masalah yang mendatang dengan hati yang lapang dan reda. Keadaan semakin meruncing apabila pandemik melanda dunia. Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima bencana wabak Covid-19. Pelbagai tekanan mengasak masyarakat, antaranya kehilangan pekerjaan, kemurungan, penyakit, kehilangan orang tersayang apabila berlaku kematian atau perceraian. Biblioterapi yang dikenali juga sebagai terapi bisu, adalah satu kaedah terapi sokongan yang mampu membantu seseorang dalam mengatasi masalah berkaitan emosi, psikologi dan spiritual. Tekanan dan stres yang dihadapi oleh seseorang individu sekiranya tidak diatasi segera akan menimbulkan masalah yang lebih serius pada masa akan datang. Justeru, MARA amat prihatin dengan kesihatan mental warganya, maka terhasillah antologi yang penulisnya terdiri daripada warga MARA. Antologi ini menjadi wadah bagi mereka berkongsi pengalaman sebagai satu kaedah luahan perasaan yang diharungi rakyat Malaysia sepanjang dilanda wabak Covid-19. Perkongsian ini mampu memberikan harapan, keyakinan, motivasi dan inspirasi kepada kakitangan lain yang mungkin menghadapi masalah yang sama dalam hidup. Melalui perkongsian ini, diharapkan warga MARA akan lebih tabah dan bersemangat dalam menempuh norma baru dan berfikiran lebih positif dan terbuka. Membaca bukan sekadar hiburan ataupun menambah informasi dan pengetahuan. Namun ketahuilah, buku itu mempunyai kuasa merawat minda pembaca sekiranya kita memilih buku yang betul dan pada masa yang tepat. Semoga, dengan adanya hasil nukilan warga MARA ini, lebih banyak aura positif dapat disalurkan kepada anda dan seterusnya menjadi pemangkin dalam melahirkan individu yang hebat dan sentiasa berfikiran positif. Syabas saya ucapkan kepada penulis dan editor buku yang amat hebat ini. Tahniah juga kepada MARA kerana menjadi satu organisasi yang menitikberatkan kesihatan mental warganya. Rafidah Abdul Aziz Presiden Perbima Sekapur Sireh


ii HIKMAH Saat Aku Diuji Prakata Perpustakaan merupakan kemudahan yang penting dalam memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dan amalan membaca di kebanyakan institusi pendidikan. Peranan perpustakaan pada masa kini pula lebih mencabar serta perlu lebih berkemahiran dan berinovasi dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkesan. Sejak Januari 2020, Malaysia telah dilanda pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada kehidupan kita seperti dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. Perpustakaan juga turut terkesan akibat pandemik ini dan perkhidmatannya terganggu. Sehubungan itu, perpustakaan memerlukan kreativiti untuk mencipta perkhidmatan yang bersesuaian dengan norma baharu dan memberi nilai tambah kepada MARA. Antara inisiatif yang diambil dalam menghadapi COVID-19 adalah melalui teknik Biblioterapi yang merupakan salah satu medium berkesan yang diguna pakai oleh kebanyakan perpustakaan dengan kerjasama unit kaunseling bagi membantu merawat jiwa dengan menggunakan bahan terpilih yang ditempatkan di Bibliotherapy Corner dalam MARA Knowledge Centre (MKC). Biblioterapi mempunyai manfaat dalam membantu individu yang menghadapi krisis memahami isu yang dialami serta membantu merawat emosi dan mendorong minda untuk berfikiran positif. Objektif Buku Biblioterapi MARA dihasilkan sebagai satu perkongsian pengalaman staf MARA yang terkesan menangani tekanan yang dilalui. Ia dirakamkan dalam bentuk penulisan yang menyentuh emosi dan memberi inspirasi kepada warga MARA yang lain untuk menjalani kehidupan yang lebih harmonis. Buku ini bertujuan membantu staf MARA yang mengalami stres dalam hidup, tekanan kerja dan menghadapi norma baharu yang mencabar. Buku ini akan membuka minda daripada perspektif yang lebih positif sehingga mampu menyedarkan pembaca untuk bangun semula daripada kedukaan dan kerungsingan di samping merangsang kreativiti, merehatkan minda dan mendorong pemikiran positif. Buku ini juga sekaligus dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan warga MARA melalui buku yang menarik minat kerana bertepatan dengan waktu yang amat diperlukan dalam menghadapi norma baharu dan COVID-19. Zurina Abdul Aziz Penyelaras


HIKMAH Saat Aku Diuji iii Positif Asbab Covid-19 Dr Salpiah Suradi Alhamdulillah, Terima Kasih Ya Allah Zuliana Haslinda Bt Anhar Zubir Teguran Halus Mohd Fais Bin Johari Superhero Ibu Nor Amira Binti Ismail Berdamai Dengan Takdir-Nya Aima Syamimi Binti Mohamed Rodzuan Jurnal Covid Amar Amar Amir Bin Omar Entri Perjalanan Akhir Abah Azamuddin Bin A Rashid Pemergian Yang Tidak Dijangka Jeffri Bin Kamaruzzaman Realiti Nadya Shereen Binti Nasir Syam Dapat Adik Siti Mahani Mahmud Separuh Hidupku Pergi … Emak Dayang Norazurah Binti Ibrahim Impian Tercapai Gara-Gara Covid-19 Azura Binti Hitam Dugaan Dan Rahmat Afiera Nureen Ashyikin Binti Abas Aidilfitri Ketujuh Siti Nurafizah Binti Mohd Zam Zam & Muhammad Ainur Robbani Nasohah Aku & Covid-19 Nik Hasrawati Nik Hassan 1 Kandungan 12 101 115 128 23 43 60 84 93 108 122 33 50 72


iv HIKMAH Saat Aku Diuji


HIKMAH Saat Aku Diuji 1 Positif Asbab COVID-19 DR SALPIAH SURADI Tiada bau setanggi. Tiada bau wangi gaharu, kapur barus dan kemenyan. Tiada sanak saudara, sahabat handai dan jiran tetangga. Tiada wajah sugul bersapu air mata tetamu berbaju dan bertudung serba hitam tanda simpati. Tiada peluang menyelak kain batik lepas menutup wajah jenazah terbujur menghadap kiblat. Sebagai tanda penghormatan terakhir. Tiada trauma seperti yang aku alami semasa berumur tujuh tahun, saat kematian arwah datuk sebelah emak. Melihat kematian dengan mata kepala begitu mengesankan berbanding mendengar khabar dan cerita. Masih terbayang dalam ingatan saat arwah datuk menghadapi nazak serta ketika pengurusan jenazah dimandi, dikapan serta disolatkan. Memori itu masih jelas shingga aku berumur separuh abad. Suasana hari ini sangat berbeza daripada yang aku jangka. Berita kematian suami yang dikhabarkan oleh pegawai perubatan Wad 2 Covid-19 Hospital Kuala Lumpur pada 3.30 pagi tanggal 13 Julai 2021, mengakhiri debaran selama lapan hari. Aku bungkam, tiada kata-kata dan tiada air mata. Lantas aku berlalu mengambil wuduk, solat tahajud dan membaca surah Yasin. Setelah selesai, aku mencapai telefon memberi khabar pada keluargaku di Johor, keluarga suami di Kedah dan majikan melalui whatsapp. Aku tidak mahu mengganggu tidur mereka dengan khabar duka ini pada awal pagi. Aku mahu semua reda dengan takdir yang tertulis. Suasana ruang tamu sunyi, tenang dan damai. Aliy


2 HIKMAH Saat Aku Diuji dan Umar berehat setelah mengulang bacaan surah Yasin bersama Sheikh Mishary bin Rashid Al-Alafasy di Youtube. Tidak seronok mengaji bertiga sahaja katanya. Luqman sejak subuh menguruskan dokumen kematian. Baru sebentar urusan menempah tapak penguburan selesai. Urusan tahlil di Masjid Jamek Amru Ibni Al’As juga selesai diserahkan atas kebijaksanaan Ustaz Shahdan. Serentak malam nanti bacaan Yasin dan tahlil juga akan diadakan di kampung Batu Pahat Johor. Tanpa disuruh, adik bongsuku menyediakan jamuan untuk dihantar ke masjid. Katanya jangan dirisau, semua telah diuruskan. Memang benar, semua urusan selesai di hujung jari. Suasana kematian norma baharu. “Kami hendak datang berziarah. Bagaimana urusan pengkebumian?” Pertanyaan Puan Hartini, Timbalan Pengarah Bahagian Sumber Manusia, setelah bertanya khabar. “Elok jangan berziarah di rumah sebab belum disinfeksi sepenuhnya. Kami baru sahaja potong gelang. Segala urusan dikendalikan oleh KKM. Seorang sahaja wakil untuk buat pengecaman, sebelum jenazah ditayamum dan disolatkan di Unit Foresik. Jadual pengkebumian pukul 3.00 petang di Tanah Perkuburan Raudatus Sakinah Taman Selaseh, Gombak. Itu pun lima orang waris sahaja dibenarkan. Anak-anak bawah 12 tahun tidak boleh ikut sama.” Kedengaran suara hampa di hujung talian. Apakan daya, SOP perlu dipatuhi. Lapan Garis Panduan Waris Jenazah Covid-19 yang dikirim Ustaz Firdaus Zakaria Penyelia Kubur melalui aplikasi whatsapp baru saja dihazam. Biarpun diduga pada saat pandemik Covid-19 sedang memuncak, mencegah majlis pengebumian itu sebagai pencetus kluster baharu. Namun, diri menarik nafas lega. Bersyukur semua urusan dipermudahkan Allah. Pegawai hospital memaklumkan bahawa tiada sebarang kos dikenakan untuk rawatan arwah. Pengurusan jenazah percuma. Malah urusan membawa jenazah ke kuburan telah


HIKMAH Saat Aku Diuji 3 ditaja oleh Team Amal komuniti Sentul, khidmat masyarakat anjuran jiran kami yang hartawan. Cuaca cerah semasa pengkebumian. Arahan melalui whatsapp kepada sepuluh waris jenazah Covid-19 jelas. Semua waris perlu hadir awal untuk pendaftaran penguburan dan wajib mematuhi SOP yang ketat. Masa penguburan berlangsung dalam tempoh dua jam sahaja iaitu 3.00 hingga 5.00 petang. Dua orang waris dibenarkan membantu pengebumian dengan berpakaian PPE lengkap lima lapis. Perlu bersiap awal sebelum jenazah sampai. Semua waris perlu berada di khemah dalam jarak 50 meter daripada deretan liang lahad. Duduk di kerusi dengan jarak satu meter di bawah khemah berbumbung lutsinar. Allahuakbar, terasa bahang diubun-ubun. Bertabahlah duduk sendirian, menunggu Luqman satu-satunya waris yang diharapkan untuk menjemput jenazah ke kuburan. Bersabar dan bersedia dengan telefon bimbit untuk merakam perjalanan terakhir. Itu sahaja yang boleh dititip dan dikongsi dengan keluarga dan sanak saudara. Semasa menunggu jenazah, kedengaran seorang perempuan wanita separuh baya mengongoi di sebelahku. Sekejap-sekejap menyeru nama seseorang, “Along, kau pergi dulu nak, mak tak sempat tengok kau. Along kau tinggalkan emak, Angah baru sahaja pergi nak, ini pula engkau.” Mendengarnya aku terasa belas. Aku memberanikan diri bertanya. Dikhabarkan baru sahaja sampai daripada Muar, Johor untuk menziarahi kematian anak lelaki sulung daripada tiga beradik, berusia 34 tahun, angkara Covid-19. Bulan lepas, wanita ini baru sahaja kehilangan anak kedua akibat sesak nafas. Dia memperkenalkan menantunya, kecil comel duduk di sebelah yang baru melepasi tempoh kuarantin. Kematian ini meninggalkan isteri dan empat anak kecil berusia setahun hingga 10 tahun. Aku kembali insaf. Ternyata penanggungannya lebih berat.


4 HIKMAH Saat Aku Diuji Mengenang dugaan kematian sebagai musibah yang berat, aku segera mencari makna kalimah Allah yang menyejukkan hati. Aku mempercayai Al-Quran sebagai penyembuh As Syiffa, seperti Firman Allah SWT dalam alQuran Surah Al-Ankabut ayat 2-3 yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”  Covid-19 ialah takdir yang tidak tertolak. Kehadiran makhluk halus itu diizinkan Allah. Kebencian tidak menyelesaikan masalah. Berdamailah dengan qada dan qadar, biarpun perjuangan tewas pada kematian. Pada awalnya, wujud rasa bersalah kerana aku tidak mendesak suami mendaftarkan diri untuk vaksinasi. Pendapat rakannya, doktor tidak menggalakkan suntik vaksin kerana ada kesan sampingan. Sementelah, beliau merupakan warga emas kategori kritikal. Katanya kalau sudah takdirnya begitu, hadapilah. Aku menyanggah. Mana mungkin berserah tanpa berusaha. Setelah didesak barulah beliau akur. Semenjak suami mendapat serangan major strok pada Ogos 2018, aku menjadi sangat tegas pada hal-hal kesihatan. Aku menjaga suami sebulan di Wad ICU dan pusat Rehabilitasi HKL. Penyakit darah tinggi dan kencing manis menjadi punca lumpuh separuh badan. Empat bulan dia terlantar. Penyakit yang dikenali sebagai angin ahmar merupakan antara sepuluh penyebab kematian di Malaysia. Kajian juga mendapati kes baru dicatatkan setiap 45 saat dan kematian setiap tiga minit di seluruh dunia. Allah menguji selama dua tahun menjadi perawat pesakit hilang upaya mengurus diri.


HIKMAH Saat Aku Diuji 5 Namun kehadiran virus mendahului tarikh vaksin. Sempat aku menjaganya selama lima hari di rumah. Jadual makan ubat yang ketat disulam dengan supplement dan herbaherba. Tanpa cuai setiap empat jam thermometer dan oximeter diperiksa. Bacaan suhu, tahap oksigen, tekanan darah serta simptom dilaporkan segera kepada Dr Guna, Pegawai Perubatan Daerah (PKD) Kepong. Namun, suami mengalami komplikasi kandungan oksigen rendah iaitu 84 peratus. Panggilan ambulan dibuat pada pukul 10.00 pagi atas nasihat PKD. Aku maklum bilangan pesakit baharu yang dicatat pada hari berkenaan ialah 6,387 orang. Berita di televisyen melaporkan. Manakala kes aktif semasa pula sebanyak 69,447 orang untuk dikendali oleh Kementerian Kesihatan. Aku sedar dan memahami situasi kritikal yang dialami oleh negara. Aku tidak mengeluh apabila ambulan sampai pada pukul 5.30 petang. Pegawai perubatan yang memeriksa mengatakan suami mengalami happy hypoxia. Pesakit kelihatan tenang, normal seperti biasa walaupun tahap oksigen rendah. Suami keberatan untuk ke hospital. Seorang perawat memujuk dengan lembut dengan mengatakan keadaan lebih kritikal jika terlambat mendapat rawatan. Tambahan tiada alat ventilator di rumah. “Di hospital tiada katil kosong tetapi doktor mengarahkan bawa sahaja ke hospital sebab keadaan pak cik ini serius. Pandaipandailah kita nak letak di mana nanti.” Perbualan dua pembantu perubatan dan seorang pemandu ambulan walaupun secara perlahan masih dapat aku dengar dengan jelas. Hati merusuh. Rasa serba salah hinggap di hati. Aku hilang kata-kata. Besarnya pengorbanan perawat yang berkhidmat. Sanggup menempuh kepayahan untuk berkorban menyelamatkan nyawa manusia lain. Anak-anak hanya mampu mengiring ayahnya dengan lambaian.


6 HIKMAH Saat Aku Diuji Selama menghuni di Wad Covid19 2 Hospital Kuala Lumpur, kaki tangan perubatan sentiasa mengemas kini keadaan suami melalui telefon. Dr Hasdiana Amirah menghubungi kami pada 10 Julai 2021, memaklumkan tahap oksigen kurang daripada 92 peratus walaupun telah diberikan rawatan ventilator. Rawatan intubasi iaitu prosidur ditidurkan tidak disarankan atas faktor sejarah kesihatan dan usia. Kebenaran dimohon daripada waris untuk memberikan oksigen tahap tinggi. Karbon dioksida dalam darah meningkat menjadikan suami tercungap-cungap dan kepenatan disebabkan kadar pernafasan terlalu tinggi. Mungkin ini yang dikatakan ribut sitokin agaknya. Apabila tindak balas imun tubuh menunjukkan tindak balas imuniti berlebihan, ia boleh menyebabkan kecederaan teruk pada tisu paru-paru. Ketika kami dikhabarkan keadaan suami bertambah kritikal tahap 5, bacaan Surah Yasin, At Taghabun dan Ar Ra’du diusahakan oleh keluarga dari jauh. Namun, ajal maut ketetapan-Nya, telah tertulis di luh mahfus. Malaikat Izrail tetap datang, kalau pun bukan asbab virus Covid-19 dan bukan juga asbab angin ahmar. Apa lagi ikhtiar boleh dilakukan melainkan reda. Allah tidak mengadili hamba-Nya pada hasil tetapi pada usaha, ikhtiar dan penyerahan yang bulat. Doktor juga menawarkan panggilan video melalui telefon bersama anak-anak. Alhamdulillah, suami masih boleh bercakap dan memberikan maklum balas. Asbab positif Covid-19, aku menjadi positif terhadap dugaan yang besar ada terkandung hikmah yang besar. Sebenarnya hati telah reda sejak disahkan positif pada tanggal 26 Jun 2021. Pada siapa hendak dimarahkan. Sudah lama menjaga diri dan mematuhi SOP. Banyak masa dihabiskan berkerja dari rumah. Giliran bekerja di pejabat, sekali dua sahaja dalam seminggu. Suami pula dalam fasa pemulihan. Mana mungkin boleh sesuka hati keluar tanpa sebab. Rutin hariannya tidak terlepas menghadap sebakul ubat-ubatan. Ubat diabetik,


HIKMAH Saat Aku Diuji 7 cair darah, vitamin C, multivitamin, habbatusauda dan banyak lagi. Manakala, Umar dan Aliy tidak dibenarkan keluar apatah bermain di taman sejak arahan PKP pada 12 Mei 2021. Jangkitan bermula daripada anak sulung yang bekerja sebagai frontliner di premis KLCC. Namun, simpati melimpah pada anak yang mencari rezeki. Dia positif setelah empat kali swab sebagai kontak rapat di tempat kerja dalam tempoh dua tahun. Jangkaan awal hanya demam panas biasa. Hospital Pakar Al-Islam Kampung Bahru mengesahkan tiada simptom Covid-19. Namun, apabila deria rasa dan bau hilang selepas dua hari, swab ujian pengesanan Covid-19 menggunakan Polymerase Chain Reaction (PCR) mengesahkan positif. Keesokan pula, aku dan dua adiknya positif. Manakala suami pula positif pada 30 Jun 2021. Bermulalah episod kuarantin di rumah. Menjadi doktor dan jururawat tidak bertauliah. Mujur pegawai perubatan online mesra pesakit. Sedangkan lelah menjadi guru ‘jadian’ semua subjek PDPR untuk anak-anak belum reda. Itulah pengalaman mahal. “Masih ada simptom? Minum tak madu kelulut dan jus lempoyang?” suara Kak Tom di hujung talian mematikan khusyuk hati sedang merasionalkan diri. “Ada sikit lagi. Hidung seperti terbau asap kebakaran tetapi tiada kebakaran pun. Sudah dua hari,” jawabku. “Sudah lebih sebulan potong gelang. Hari itu, hidung macam bau gas petrol. Dekat dua minggu juga kan? Macam-macamlah kau punya simptom.” Kedengaran gelak mentertawakan. Dialah kakak yang paling kerap menanyakan keadaan kesihatan selain kerap mengirim herba-herba. Saban hari tanpa jemu adik-beradik seramai sebelas orang bersilih ganti menyantuniku dalam talian. Macam-macam saranan ubatan minta diikhtiarkan. Air kelapa muda, nanas,


8 HIKMAH Saat Aku Diuji air rebusan daun semambu dengan serai, air ketum, daun moringa, wap cengkih, cuka, halia, lemon, limau kasturi, sumac dan banyak lagi. Selagi boleh dapat, disuruhnya aku mencuba. Katanya, Covid-19 tiada penawar. Usahakan apa sahaja jalan penyembuhan. Berdoa, semoga mendapat keizinan Allah ya Syafii. Kadang rasa diri seperti bahan kajian pula. Mereka menelefon semula untuk bertanyakan keberkesanannya. Simptom yang dialami berbeza bagi setiap orang namun simptom bagiku agak pelik. Pada hari ketiga positif, hidung rasa pedih dan pedas seperti tersedak air laut. Apabila masuk waktu solat rasa tersebut lebih aktif. Hidung rasa lega apabila selepas azan terus solat dan sujud lama-lama. Mungkin benar dapatan Dr Rufai, seorang doktor perubatan dari Florida Amerika Syarikat yang viral dalam medsos. Katanya posisi proning atau tengkurap merupakan posisi terbaik untuk meringankan gejala Covid-19. Ahli terapi dari Hospital Al Ain Dr Ghazal Kamran juga menyebutkan posisi sujud di mana kepala berada pada posisi lebih rendah daripada jantung, maka berlaku peningkatan bekalan darah yang membawa oksigen ke otak dan merangsang fungsi bahagian korteks frontal. Biasanya pesakit mengalami simptom seperti demam panas, pening kepala, sakit sendi, batuk, sakit tekak, sesak nafas dan hilang deria rasa. Namun terdapat pesakit yang tidak bergejala. Luqman mengalami demam panas berpanjangan dan lemah tubuh. Umar mengalami demam panas, selsema dan kesukaran bernafas akibat hidung tersumbat. Suami pula mengalami demam panas dan cirit birit yang serius. Paling beruntung, Aliy sihat tanpa sebarang simptom. Aku pula mengalami demam, sakit tekak dan rasa letih berpanjangan. Hilang deria rasa dan bau, menjadikan diri tiada selera untuk menjamah makanan. Kehilangan berat badan sebanyak tiga kilogram dalam tempoh seminggu. Perubahan emosi juga amat ketara di peringkat tiga hari pertama. Benar kata


HIKMAH Saat Aku Diuji 9 orang, apabila diri dalam keadaan sakit, hati mudah tersentuh. Kebimbangan pada ketidaktentuan rawatan. Ketakutan pada kematian. Tekanan menjaga ahli keluarga sakit dan pada masa yang sama diri pun sakit. Namun setelah sokongan diterima daripada pelbagai sudut yang tidak dijangka, hatiku menjadi kental. Keyakinan untuk kembali sihat begitu tinggi. Malas dilayan jiwa yang tidak rasional. Tempoh kuarantin tidak membataskan aku untuk menyantuni klien yang ingin mendapatkan khidmat. Etika, nilai dan karektor sebagai profesion membantu, sudah sebati dalam diri. Hampir tiga abad menyandang kerjaya ini, mana mungkin aku dapat menolak klien yang menelefon untuk meluah rasa. Arahan PKP telah menjarakkan klien dengan dunia luar, terperuk di rumah dengan segala masalah. Tiada tempat hendak dituju untuk mengadu nasib. Aku ditelefonnya. Bukankah diri menjadi salah seorang panel kaunselor menyantuni klien positif Covid-19? Allah memilih diri merasai sendiri apa itu Covid-19. Bagaimana rasanya dijangkiti virus yang ditakuti oleh sekalian makhluk manusia semua benua? Jikalau tidak merasa sendiri, manakan tahu bahananya? Dahulu aku hanya mendengar cerita. Media massa mengkhabarkan itu-ini. Cerita klien-klien juga berbeza-beza. Ada yang mengharung dengan kuat semangat. Ada yang kelelahan mengharap pertolongan. Malah ada yang jeran, kesal dan berdendam. Aku bukan seorang kaunselor positif bertoksid. Menidakkan perasaan negatif yang dialami untuk kelihatan positif di mata orang. Menyembunyikan sakit dan berusaha tampil ceria. Sebaik mungkin aku menghindar counter transference pada klien. Pandemik Covid-19 menjadikan diri terbit rasa empati tanpa sempadan. Cuba hadir menemani klien tanpa jasad. Menyedari keperluan klien melebihi keperluan diri. Bukankah Islam mengajarkan agar kita menyayangi saudara seagama seperti kita menyayangi diri sendiri. Asbab positif


10 HIKMAH Saat Aku Diuji Covid-19, aku miliki kelebihan. Kelebihan kaunselor kerana pernah mengalami sendiri sakit yang dihidap oleh klien. Allah juga telah memberikan rehearsal dan pengalaman awal untuk berdikari. Dua tahun menjaga suami sakit telah membiasakan diri dengan pengurusan keluarga dan kerjaya. Menyusun semula jadual harian, ekonomi keluarga dan keperluan peribadi. Ternyata Allah telah merancang yang terbaik untuk hamba-Nya. Anak-anak juga telah belajar berkorban untuk mengurus diri sendiri dengan kawalan minimum. Malah kedua-duanya boleh diharap memasak sendiri makanan tanpa pengawasan, setakat menu telur mata kerbau, telur dadar, telur rebus, nasi goreng, burger, roti telur dan maggi. Memang tidak kebulur kalau aku tinggal bekerja. Menukar masalah menjadi peluang. Tidak mampu menukar takdir, maka diubah cara berfikir. Asbab positif Covid-19, menyedari begitu ramai yang prihatin. Allah sangat baik pada hamba-Nya. Menitipkan pertolongan melalui ‘orang-orang’-Nya. Keluarga dan sahabat sentiasa bertanya khabar. Tidak henti iringan doa dan dorongan. Tidak putus mereka menghantar bekalan makanan dan ubatubatan. Tiada hari kami tidak disantuni dengan juadah enak di hadapan pintu. Sehingga si bongsu sempat bergurau,“bestlah Covid, setiap hari dapat makan sedap.” Diri merasa terharu padaMu ya Razzaq, Tuhan yang memberi dan melengkapi. Dalam sakit ada ubat. Dalam sedih ada ceria. Hastag #StayHomeStaySafe, #KitaJagaKita, #QuarantineandChill, #LockdownNow, dan #FlattenTheCurve menjadi kata azimat untuk berjuang melawan Covid-19. Asbab positif Covid-19, diri merenung jauh persediaan diri untuk masa hadapan jauh. Terasa diri kerdil, yang akan dijawab apabila malaikat bertanya tiga perkara: amal jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa anak-anak yang soleh. Masih jauh perjalanan bagi Luqman, Umar dan Aliy. Luqman baru sahaja


HIKMAH Saat Aku Diuji 11 belajar berdikari bekerja untuk keperluan diri sendiri. Dua adik masih bersekolah rendah. Asbab positif Covid-19, Allah memberi kesempatan untuk menyemak semula persediaan kematian. Jambatan menuju alam akhirat. Cukupkah bekal yang ingin dibawa? Asbab positif Covid-19, memahami perlunya lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Menjaga kesihatan dan kekal sihat sebelum datangnya sakit. Asbab ikhtiar itu, tubuh mempunyai imunisasi pertahanan diri. Memperbanyakkan sedekah dan infak sebelum datangnya masa sempit. Asbab pemberian itu, Allah tidak menyempitkan hidup kita kecuali datangnya rezeki dari pelbagai sudut yang tidak terduga. Menyibukkan diri ketika muda dengan menuntut ilmu akhirat. Asbab ilmu itu, boleh beramal dengan memberi manfaat kepada orang lain ketika hari tua. Sentiasa memohon keampunan Allah. Asbab keampunan itu, Allah mengurniakan rahmat-Nya dengan kematian husnul khotimah. Ada kebenaran kata-kata seorang sahabat tentang kehidupan. Bagaimana keadaan kita sakit adalah cerminan bagaimana kita menyantuni orang sakit semasa kita sihat. Bagaimana keadaan kita sempit adalah cerminan bagaimana kita cakna orang yang susah semasa kita senang. Bagaimana kita mati adalah cerminan bagaimana kita memberi penghormatan pada kematian orang semasa kita hidup. Bagaimana keadaan kita tua adalah cerminan bagaimana kita mengisi kehidupan ketika masih muda. Ternyata semua itu adalah pilihan. Asbab Covid-19, mempercayai bahawa pangkat, keturunan dan harta bukan jaminan rawatan dan kesembuhan. Kerana mereka hanya inginkan oksigen. Oksigen yang asalnya percuma untuk semua.


12 HIKMAH Saat Aku Diuji 26 Julai, 11.35 pagi. Mesyuarat Key Performance Index (KPI) sedang berlangsung, KPI Peringkat Bahagian bagi suku tahun kedua. Perhatiannya tertumpu kepada maklumat yang dikongsi pada skrin komputer. Isi-isi penting dicatat. Ulasan data-data terkini perlu dibuat dengan baik untuk memastikan informasi yang akan disampaikan nanti dapat mencerminkan analisa yang paling tepat, selari dengan perancangan dan matlamat bahagian. Tanggungjawab yang bukan sedikit itu, perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin meskipun negara sedang dilanda pandemik COVID-19. Sebagai penjawat awam yang telah diberikan amanah dan tanggungjawab, pandemik yang mencabar ini tidak boleh dijadikan alasan untuk KPI tidak tercapai. Tidak, sama sekali. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi, tertera ‘Abang Hashim’ di skrin telefon. Perasaan terus berdebar, berdetik hatinya, resah menyelinap di ruang perasaan! Ada berita burukkah? “Assalamualaikum Angah,” lemah suaranya. “Keadaan Abah semakin merosot. Doktor minta waris ke hospital segera, perlu tandatangan dokumen waris.” Alhamdulillah, Terima Kasih Ya Allah ZULIANA HASLINDA BT ANHAR ZUBIR


HIKMAH Saat Aku Diuji 13 Angah terdiam. Matanya masih terpaku pada skrin laptop tetapi pandangannya kosong. “Angah, pergilah ke hospital, Abang sudah tidak larat… “Sayu suara Abang Hashim, ada nada tangis dalam suara itu. Angah menelan liur. Tangan kirinya memicit dahinya beberapa kali, matanya yang berair tertutup menahan sebak, terbayang wajah Abah yang sentiasa mengukir senyuman. Baru dua hari lepas, Abah dimasukkan semula ke hospital walaupun Abah sangat berkeras tidak rela ke sana. Tubuh kurus Abah sudah tidak sekuat dahulu. Jalannya pun perlahan sangat. Nampak sangat Abah sudah uzur. “Kita pergi hospital, ya Abah. Di sana nanti doktor boleh monitor kesihatan Abah. Nanti sudah sehat, kita boleh pergi tepi laut ya. Sudah lama kita tidak makan seafood di tepi laut, Abah pergi ya,” Angah memujuk lembut. “I’m ok lah. biasalah sakit orang tua.. I’m ok.. Alhamdulillah….” Abah telah lengkap mendapat dua dos vaksin Pfizer. Abah memang berat sangat hendak ke hospital bagi mendapatkan rawatan penyakit ‘letih’nya itu. Di hospital lebih bahaya sebab spora virus COVID berada di mana-mana, pesakit pun terlalu ramai. Lebih baik berehat di rumah sahaja. Namun kami tidak sanggup Abah terus-terusan menahan sakit, menahan semputnya…. “Angah, dengar tak ni? helo… helo… “ “Ya, ya, Angah dengar.” Pantas air matanya diseka dengan belakang tangan kanan. Matanya masih melekat di skrin laptop, cuba membayangkan masa hadapan yang belum pasti. “Okey sekejap lagi Angah ke balai polis ya, minta surat


14 HIKMAH Saat Aku Diuji kebenaran merentas negeri. Abang rehat dulu. I’ll take a leave today.” Angah memberikan kata putus. “Okey, nanti call Dr Ain yang merawat Abah ya. I’ll share the contact number.” “Oh Dr Ain ya, semalam Angah call Dr Gan few times, can’t get through, “ Angah berkongsi rasa. Berkali-kali dia cuba menelefon Dr Gan tetapi hampa. Mengikut SOP sekarang, pelawat langsung tidak dibenarkan melawat ke hospital. Waris hanya mampu menghantar pesakit ke muka pintu hospital, yang lainnya diuruskan oleh pihak hospital. Waris hanya dapat berhubung melalui telefon sahaja. “Dr Ain take over. Today she is on duty until 5pm. You have to meet her as soon as possible. Angah pergi ya. Abang tidak larat dah… Abah kita sudah nazak.” Angah menyeka air mata yang tidak henti menitis. Angah mesti kuatkan hati menghadapi keadaan ini. Abang terlalu rapat dengan Abah. Abang dan Kak Shereen sudah banyak berkorban untuk Abah, untuk Angah, untuk adik-adik, untuk keluarga ini. Tibalah masanya untuk Angah membantu apa yang terdaya. Angah pantas bertindak, menelefon Pengarahnya, Puan Nor Zaini, menerangkan keadaan yang sedang dialaminya. “Pergilah Zie.. ambil cuti, meeting ini saya ada, nanti saya share info-info penting. Hati-hati memandu ya. Saya doakan semoga semua urusan dipermudahkan. Kuatkan hati ya, Zie.” “Ya, puan, terima kasih memahamI. Saya akan terus ke Seremban selepas dapat kebenaran merentas kawasan. Doakan saya ya puan.” Alhamdulillah, Allah kurniakan seorang ketua yang sangat


HIKMAH Saat Aku Diuji 15 memahami dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pegawai-pegawainya. Masanya untuk melupakan seketika urusan kerja. Sekarang masa untuk menguruskan keluarga pula. Angah pantas menelefon Dr Ain untuk mendapat penerangan lanjut tentang keadaan Abah. Menurut Dr Ain, keadaan kesihatan Abah semakin merosot. Aras oksigen di dalam darahnya semakin menurun sejak diberi antibiotik. Jantung Abah telah bengkak. Paru-parunya penuh parut-parut lama dan terlalu lemah untuk berfungsi yang menyukarkannya untuk bernafas.Tekanan darahnya 80/40 sahaja. Daripada siasatan dan rekod perubatan Abah, Dr Ain memberitahu, kemungkinan Abah mengidap kanser darah. Keadaannya kritikal dan tidak stabil. Allahu… gelap rasanya dunia. “Banyak bersabar ya puan. saya akan Whatsapp kepada puan surat dari pihak hospital untuk memudahkan puan mendapat kebenaran merentas nanti ya. Puan mesti datang hari ni ya puan, kami perlu kerjasama daripada waris. Jika ada apaapa update, saya hubungi puan ya, saya tunggu puan sampai petang ni.” Begitu hormat Dr Ain memberikan penerangan. Lembut dan tertib bicaranya. Tenang rasa hati yang bergolak sejak tadi. Alhamdulillah. Setelah bersiap-siap Angah terus menuju ke balai polis untuk mendapatkan surat kebenaran merentas negeri. Surat daripada Dr Ain ditunjukkan kepada pegawai yang bertugas. Keadaan Abah yang didiagnosis mengalami Septic Shock Secondary to Community Acquired Pneumonia memudahkan urusan kebenaran merentas. Dengan pantas kereta Extrail putih meluncur laju menuju ke Hospital Tunku Jaafar, Seremban. Semoga Allah memberikan kekuatan dan mudahkan urusan selepas ini. 3.14 petang Angah tiba di pintu masuk Hospital Tunku Jaafar,


16 HIKMAH Saat Aku Diuji Seremban. Dengan pantas Angah scan MySejahtera dan mengambil bacaan suhu badan di pintu luar. Hand sanitizer juga disapukan di kedua-dua belah tangan. Hampir lemas rasanya memakai double mask, tetapi Angah akur SOP. Kawasan hospital sangat berisiko tinggi. Virus COVID-19 berterbangan dan berada di mana-mana. “Maaf puan, seorang saja masuk ya, ini SOP.” Pengawal yang bertugas di pintu masuk mengingatkan. “Okey, daddy tunggu dalam kereta saja ya.. mummy pergilah masuk. Nanti call,” ringkas arahan sang suami yang setia menemani isterinya ke mana-mana sahaja. Angah menulis butir-butir yang diperlukan di dalam buku catatan di kaunter. “Saya diminta datang berjumpa Dr Ain, Wad 7C.” “Patient nama Encik Zubaidi bin Anwar ya.” “Okey, puan boleh masuk... jalan terus, belok kanan naik lif ke tingkat 7 ya.” “Puan, saya Dr Ain yang menjaga Encik Zubaidi. Saya harap puan banyak bersabar ya. Waris yang lain ada yang datang?” Susuk tubuh Dr Ain berbalut PPE datang membawa fail yang tertera nama pesakit ‘Zubaidi bin Anwar’. “Adik-adik saya dalam perjalanan dari Perak, doktor. Sekejap lagi insya-Allah sampai.” “Boleh saya tanya puan sesuatu? Puan ni cikgukah dahulu?” “Ya doktor, dulu saya cikgu, mengajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), hampir 17 tahun mengajar, sekarang saya


HIKMAH Saat Aku Diuji 17 di ibu pejabat.” “Cikgu pernah mengajar di MRSM Alor Gajah? “ “Ya, sekitar tahun 2007 saya mengajar di situ. “ “Laaa… Cikgu Ziekah ini? Mummy Zie... ni saya, Ain.“ Bulat mata kami bertatapan, dengan hanya 30 peratus wajah yang kelihatan memang sukar mengecam. Terbayang Ain, si gadis manja kelas 5 Pharmachology yang memang penggeli katak. Teringat kisah Ain yang menjerit sekuat hati apabila katak yang dibius hampir pengsan tiba-tiba bergerak dan melompat sebelum Ain sempat membuat pembedahan di Makmal Biologi 1. Bising kelas jadinya dengan gelak ketawa. Teringat juga Ain yang jadi lembik badannya dan tiba-tiba pengsan apabila tengok darah semasa uji kaji ujian kumpulan darah di Makmal Biologi 3. Cikgu Zie pantas bertindak memberikan bantuan kecemasan dan ‘urutan Bali’ semasa kejadian tersebut. Cikgu Zie jugalah bertindak sebagai Ibu Homeroom A5B, ibu angkat kepada Ain. “Tak sangka dapat jumpa mummy. Maaf sangat saya tak cam mummy tadi. Profile picture mummy di Whatsapp tu macam familiar, itu yang Ain tanya, bimbang juga jika tersilap orang. Allahuakbar... sukanya Ain dapat jumpa mummy.“ “Laaa...Ainkah ini? Tidak sangka sudah jadi doktor. Alhamdulillah … mummy bangga dengan Ain. It’s a small world… memang rezeki kita berjumpa. “Terima kasih banyak mummy. Berkat tunjuk ajar mummy, Ain sudah berjaya mencapai cita-cita Ain, Alhamdulillah. Maaf kita terputus hubungan lama juga kan mummy?” “Tidak sangka Pak Cik Zubaidi itu ayah mummy. Saya


18 HIKMAH Saat Aku Diuji jaga dia since admit. Baik sangat dia dengan doktor-doktor dan petugas-petugas di sini, mummy. Tidak banyak cakap sangat, banyak senyum saja, tetapi kesian, dia selalu mengadu sakit. Kami sudah bagi macam-macam treatment...dia lemah sangat.. sebab itu kami tidak boleh hendak intubate pak cik, jantung dia sudah bengkak, kidney drying up, then infection sets in. Pagi ni sudah tidak sedar. Jika terus begini, sengsara dia, mummy. Itu yang saya call waris, kita tidak boleh intubate, dikhuatiri nanti jantung terus stop. Kita pun tidak boleh CPR sebab patient sudah uzur, tulang rangka boleh patah...mummy faham kan?” “ Ya Dr, mummy percaya semua doktor di sini sudah buat yang terbaik. I trust all of you. “ Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, dokumen tersebut ditandatangani. “Abah, maafkan Angah, Abah. Semoga Allah berikan yang terbaik untuk Abah, untuk kita semua. Maafkan Angah, tidak dapat berada di samping abah, tidak dapat pegang tangan Abah, tidak dapat bercakap dengan abah untuk tenangkan Abah. Angah hanya dapat doakan semoga dengan keajaiban Allah, Abah boleh sihat kembali. Angah minta Dr Ain letakkan fon abah, dengan bacaan Yasin di telinga Abah. Angah tahu Abah dengar kan. Abah terus kuat ya, Abah sabar banyak-banyak ya.” Jam 6.15 petang Angah berada di rumah Abang Hashim. Angah dan Kak Shereen di tikar sejadah membaca Yasin untuk Abah. Nada panggilan berbunyi. Tertera nama Dr Ain. Automatik dada Angah berdebar-debar. Menggigil tangan Angah menjawab panggilan itu. Berita baikkah? Ya Allah, kuatkan hatiku ini menerima takdirMU. “Assalamualaikum mummy, Ain nak beritahu ya, keadaan pak cik semakin merosot. Tekanan darah semakin menurun.


HIKMAH Saat Aku Diuji 19 Mummy dan keluarga banyak bersabar ya. Ain bisikkan syahadah di telinga pak cik ya. Asyhaduanlaaa illa haillah... wa aishaduanna muhammadarasullulah…ada respon, tangan pak cik bergerak, mummy ... pak cik sudah pergi mummy ... innalillahiwainnailaihirojiun.” Gelap rasanya dunia. Sayup-sayup suara Acik dan Adik memberi salam dari luar pagar rumah. Mereka baru sampai, tidak sempat bertemu Abah buat kali terakhir. Kuatkan hati kami, ya Allah. Redalah terhadap Abah kami yang kami kasihi. Bertalu-talu message Whatsapp yang masuk mengucapkan takziah. Panggilan takziah juga tidak putus-putus diterima daripada saudara mara, rakan sekerja dan bekas anakanak murid Angah. Bukan sedikit yang memberikan ucapan takziah, malah ada beberapa kumpulan WA yang menganjurkan bacaan 30 juzuk al-Quran untuk dihadiahkan kepada Abah. Badan Ugama dan Kebajikan MARA juga tidak lupa memberikan sumbangan yang bukan sedikit. Namun, kehilangan dan kerinduan itu pasti tiada penghujungnya. 6 Ogos, 4.33 pagi Angah tiba-tiba tersedar daripada mimpi. Dia teringatkan arwah Abah. Serasa seperti arwah memanggil namanya. Masih terbayang raut wajah Abah. Redup matanya, manis senyumnya. “Abah ni dah tua, dah dekat 80 tahun hidup, dah dapat banyak bonus dah. Nabi kita wafat semasa umurnya 63 tahun, Abah dah dapat bonus lebih 10 tahun ni. Opah kamu dulu hidup sampai 81 tahun. I’m going to meet my mom soon... very soon. Angah jangan lupa doakan Abah ya, doakan Abah dapat syurga tanpa hisab tau. you’re my only daughter, Angahlah harapan Abah, doakan Abah ya.” Ya… Angah tidak akan pernah lupa untuk doakan Abah. Berkali-kali Abah mengulangi ayat itu dahulu. Angah bingkas bangun, menyeka air jernih yang mengalir di pipi lantas menuju


20 HIKMAH Saat Aku Diuji ke bilik air mengambil wuduk. Angah menunaikan solat tahajud. 26 Ogos Begitu pantas masa berlalu, telah sebulan Abah meninggalkan dunia yang fana ini. Kesedihan dan kehilangan masih terasa. Duit belanja untuk Abah yang setiap bulan dibuat secara transfer online tidak mungkin terhenti di sini. Duit Abah itu Angah infakkan ke pusat-pusat tahfiz, wakaf untuk membina masjid-masjid dan wakaf membina telaga. Semoga pahalanya berpanjangan untuk Abah. Semoga terang kubur Abah dengan cahaya. Semoga luas dan kehijauan kubur abah seperti tamantaman syurga. Angah masih ingat senyuman Abah apabila Angah beritahu Angah berhasrat untuk buat ibadah qurban satu bahagian lembu untuk Abah di Kemboja pada tahun lalu. “Abah ikut ya, lafaz niat ni…” “Bismillahirrahmannirrahim…. Saya, Zubaidi bin Anwar bersetuju mewakilkan pihak Qurbani Care menguruskan korban saya, sebanyak satu bahagian pada tahun ini kerana Allah Ta‘ala.” “So nice of you, Angah. So far in Cambodia? You pergi sanakah? “Memang tidaklah Abah, transfer online saja,” tergelak besar Angah dengan gurauan Abah. “Angah anak yang baik. Abah sayang Angah.” Terputus-putus suara Abah menahan sebak.. Alhamdulillah. 20 Sept, 11 pagi Entah mengapa, hati Angah resah dan gundah. Sudah hampir sebulan Abah pergi. Sepi rasanya tanpa suara Abah yang sentiasa memberi motivasi tanpa henti. Beban tugas di


HIKMAH Saat Aku Diuji 21 tempat kerja semakin bertambah pada waktu negara dilanda pandemik Covid-19 ini. Kesukaran berhubung dan menyelia pegawai-pegawai bawahannya menjadikan Angah agak stres. Setelah mendapat suntikan dos pertama vaksin Astra Zeneca , Angah sering mengalami sakit-sakit di sendi-sendi otot. Kalau ada Abah, dialah tempat mengadu. Kadang-kadang Angah membaca kembali perbualan di Whatsapp bersama Abah. Rindu sangat nak bercerita dengan Abah. Timbul rasa menyesal menandatangani kebenaran waris tersebut. Mungkinkah, jika Angah tidak menurunkan tanda tangan, Abah masih ada sekarang? Adakah Angah anak yang baik? Betulkah tindakan Angah itu? Adakah Angah anak yang menyenangkan hati? Pernahkah agaknya Abah terasa dengan kata-kata Angah? Pernahkah Abah rasa marah dengan Angah apabila Angah tidak dapat menjaga Abah? Cukupkah dengan kiriman wang bulanan yang seadanya itu? Adakah Abah reda terhadap Angah? Adakah Allah reda dengan Angah? Sesungguhnya reda Allah adalah reda ibu-bapa. “Helo Puan Zie, akak ni. Puan apa khabar? “ suara kak Zariah menyapa dari hujung talian. “Dah beberapa hari akak tengok puan senyap saja, puan okeykah?”bagai boleh membaca fikiran bosnya. Angah terdiam. “ Saya menyesal kak, sepatutnya saya tidak sign dokumen tu, mungkin Abah saya masih ada sekarang.” Angah tidak dapat menahan tangis. Kak Zariah, rakan sekerja Angah dapat merasakan kesedihan pegawai atasannya. Hubungan mereka rapat, bukan seperti bos dengan pekerjanya. “Astaghfirullahalazim. Akak dapat merasa kesedihan Puan Zie, banyak bersabar ya, jangan dengar hasutan syaitan tu, bukan salah puan Zie yang menandatangai dokumen kebenaran waris tu. Semuanya telah tertulis di Loh Mahfu. Bukan sebab puan, ayah puan meninggal, jangan dengar bisikan syaitan ya. Dia suka buat kita rasa bersalah dan menyesal... dengar cakap akak ni puan... puan bukan bos akak, puan ni adik akak, sabar banyak-banyak ya... akak sayang adik akak ni, jangan putus


22 HIKMAH Saat Aku Diuji harapan.” Kak Zariah pun turut menangis, berkongsi kesedihan. Adat kehidupan. Ada sedih, ada suka, ada tawa. Inilah asam garam kehidupan yang perlu dilalui. Walau sepahit manapun, mesti ditelan. Walau sesedih manapun, ia pasti akan berlalu. Alhamdulillah, Angah dikurniakan insan-insan berhati mulia untuk bersama-sama mengharungi titian kehidupan. Alhamdulillah. Mengambil semangat Abah, tidak pernah putus ungkapan ‘alhamdulillah’ dari bibir Abah. Walaupun diuji menanggung penyakit yang berat, sakitnya hanya Allah yang tahu. Abah tidak pernah mengeluh atau sedih, jauh sekali menyesal. Alhamdulillah sentiasa. Alhamdulillah juga Allah hantarkan bekas anak murid Angah untuk mengucap kalimah tauhid ke telinga Abah hingga Abah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Alhamdulillah juga Abah menghargai dan mengasihi anak-anak yang sentiasa ada di sampingnya. Alhamdulillah juga Allah kurniakan rakan-rakan sekerja Angah yang sentiasa ada di samping pada saat suka dan duka. Alhamdulillah juga Angah terbuka hati untuk membuat amal yang dapat mengukir senyuman kebanggaan di wajah Abah. Sesungguhnya benarlah firman Allah, jika hambanya bersyukur maka Allah akan tambahkan nikmat-Nya. Jika kita kufur, siksaan dari Allah amat pedih. Damailah Abah di sana, bertemu Opah, Atuk dan ramai lagi arwah yang telah pergi dahulu. Tidak lupa kami kirimkan doa dan bacaan Al-Fatihah setiap pagi sebagai bingkisan hadiah penyambung kasih di antara dua dunia berlainan. Kita pasti akan bertemu lagi nanti di syurga Firdausi, insya-Allah. Untuk Allahyarham Zubaidi bin Anwar, al Fatihah…


HIKMAH Saat Aku Diuji 23 “Kenapa terlampau memikirkannya? Kecoh, berbincang bermacam-macam tenrtangnya, bergaduh sana sini... lockdown, pakai topeng, sanitizer … arghh naik rimas aku!” Monolog ini kadangkala menyesakkan dadaku. Pantasnya masa berlalu hingga sampai pada suatu hari, beberapa soalan menerjahku, “Fais, demo nampak kuruslah, eh nampak pucatlah, kenapa makan sikit saja ni?’’ Terus ligat aku berfikir, aku sudah “kena” kah? Dapat di mana “benda” ni? 30 Mac 2021 Petang itu, whatsapp masuk, terus aku capai dan membukanya. Paparan salinan permit Pergerakan Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB) jelas kelihatan di skrin telefon Azrul, kawan baikku sejak dari sekolah menengah. Gila, kadangkala skema tetapi yang pastinya dia seorang yang super duper, bersungguh-sungguh dalam mencapai cita-cita. Kali terakhir kami bersua pada tahun 2017, seterusnya alam maya menjadi tempat pertemuan dan perbualan. Kepulangannya pada kali ini untuk menghabiskan cuti setelah tamat pengajian doktor falsafah di Universiti Oxford, UK. Pada petang itu, aku memecut laju ke lapangan terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan. Sebelum ini, aku memang takut hendak keluar rumah tetapi pada kali ini, aku redah sahaja sekatan sebab aku sudah ada permit. TEGURAN HALUS MOHD FAIS BIN JOHARI


24 HIKMAH Saat Aku Diuji Susuk tubuh kecil itu memakai topeng N95, paling selamat katanya. Perbualan kami menjadi semakin rancak dan amat teruja sehingga perjalanan pulang terasa sekejap. Dalam kereta kami gelak sakan apabila kami bercerita kisah-kisah yang sudah diperam lama. 10 April 2021 Seperti biasa, hari ini aku jadi driver lagi kepada si Azrul. Lesen dia sudah mati. Klinik dan bank destinasi utama. Kami ke klinik untuk ambil swab test bagi saringan covid sebagai syarat untuk ke Hospital Sains Malaysia (USM) esok bagi tujuan membuat implant giginya. Setiba di klinik, kami terpaksa menunggu agak lama di dalam kereta. Sesiapa yang ingin membuat ujian ditetapkan masa dan ruang khas, prosedur klinik agak ketat pada fikiran aku, padahal Azrul tiada apa-apa simpton pun, sekadar ambil syarat buat ujian sahaja. Sempat lagi dia mengasak aku, “ Kau tak mahu buat ujian sekalikah?” spontan aku menjawab,“Buat apa? Buang duit aku saja.” Klinik menelefon 35 minit kemudian untuk mengambil keputusan covid-19. Ujian Covid menggunakan Rapid Test Kit (RTK) mengambil masa sekejap sahaja berbanding Polymerase Chain Reaction ( PCR), harganya pun murah sedikit berbanding PCR. Pintu keretaku ditutup kuat sebelum Azrul melabuhkan punggung ke kerusi bahagian hadapan. Raut mukanya cemas dan dia terdiam sedetik, terus aku bentak,“ Kau okeykah? Macam mana result?” “Aku positif COVID.” Pada ketika itu deruman enjin kereta sahaja yang terdengar.


HIKMAH Saat Aku Diuji 25 Hati kecilku membisik, “Ini mesti dapat daripada ayah tirinya tetapi akalku menafikannya, macam mana dia dapat sedangkan dia tidak pernah bersua muka dengan ayah tirinya sejak balik hari itu. Tiba-tiba, Azrul ketawa kuat.’‘Hahaha ... Aku gurau sahajalah, mesti kau sudah pucat kan?’’ Aku gelak dengan muka ayam berak kapur, “Gurau kasar nampakkk’’. Sempat lagi dia balas, ‘‘Takkanlah aku yang berjaga-jaga macam ini pun boleh kena Covid!” Betul, jejaka yang seorang ini memang berjaga sungguh...hand sanitizer, mask, tisu basah, kuarantin kendiri sejak balik, cukup lengkaplah. Mustahillah covid hendak menumpang duduk, tidak sempat nak singgah pun sudah mati.” 4 Mei 2021 Rantaian whatsapp laju masuk ke dalam telefon. Hari ini aku agak sibuk dengan kelas, lewat petang baru sempat buka whatsapp.Terpana seketika dengan berita kematian ayah tiri, Azrul. Di sebalik itu timbul satu kegusaran tentang sebab kematian arwah kerana hampir sebulan sebelum itu arwah disahkan positif Covid-19, namun keluarga dimaklumkan oleh pihak hospital, sebab kematian arwah tiada kaitan dengan covid kerana swab test kali terakhir adalah negatif. “Bolehkah jadi macam ni...sekejap positif, sekejap negatif ?” Kegusaran ini diredakan oleh kawan baik kami, Dr Anuar apabila beliau menaip ringkas di dalam group whatsapp “Covid kan penyakit boleh sembuh...by right after 14 days strict isolation will be negative, provided no new complication arise and also CT value not showing infectivity.” Fuhh lega, selamat! Kalau tidak, tidak lena tidur aku…. (Kematian insan seolah-olah diambil ringan dan berlalu begitu sahaja)


26 HIKMAH Saat Aku Diuji 21 Mei 2021 “Mak aku positif. Malam ini KKM datang ambil.” Taipan ringkas daripada Azrul. Riuh sekejap ruangan grup whatsapp kami. Risau, sedih, kesian, bercampur aduk. Seminggu selepas itu, Azrul pula disahkan positif. Semuanya terus bertukar mood serious. Tiada lagi gelak tawa dan gurauan bodoh tetapi alhamdulillah sekali lagi Dr Anuar memainkan peranannya untuk tenangkan keadaan. Aku juga perasan, dalam tempoh seminggu ini aku terasa lain macam, pening yang amat, badan terasa lemah dan paling aku tidak dapat lupakan pada suatu malam aku bermimpi… mimpi kereta yang aku naik bersama Azrul terbabas ke dalam gaung gunung. Mugkinkah satu petanda? “Ya...Encik Fais disahkah positif Covid dan hari ini pihak KKM akan datang untuk bawa encik ke pusat kuarantin.” Aku buat-buat tenang tetapi Allah sahaja yang tahu perasaan aku. Berkecamuk. emosi aku macam roller coaster. Mana tidaknya. Aku tinggal bersama kakakku, seorang OKU, nenek aku yang berusia lebih 80-an, anak-anak buah aku yang masih kecil. “Ya Allah, cukuplah ujian ini buat diriku.” 23 Mei 2021, 4.30 petang Aku sampai ke pusat kuarantin dengan memandu kereta sendiri. Kisah aku terpaksa pergi sendiri disebabkan pihak KKM terlepas pandang untuk memasukkan nama aku untuk diambil dari rumah. Aku faham mungkin ramai sangat yang perlu diambil dari rumah. Tibanya aku di sana, mataku melilau mencari katil kosong dan suasana ini kelihatan seperti asrama sekolah - ada yang sedang duduk lepak-lepak, ada yang sedang bermain karomdan tidak kurang juga ramai kanak-kanak berkejaran ke sana sini.


HIKMAH Saat Aku Diuji 27 Nasibku baik sebab aku dapat reunion sekali lagi dengan si Azrul. Dialah yang membawa dan tunjukkan katil tempat aku, dia siap booking tempat itu untuk aku, di sebelah katilnya. Tempat kami tersorok di hujung dewan (katanya untuk elak virus bertebaran). Día sempat pesan pada aku. ”Baik kau jaga diri..sentiasa pakai mask, jaga jarak, elakkan bercakap dengan orang, di sini macam-macam varian ada.” Aku tergelak kecil. Malam pertama di sini terasa tenang, rupa-rupanya ramai senasib dengan aku dan sudah lama aku tidak merasa duduk dan melihat ramai orang macam ini berkumpul… alangkah indahnya! 24 Mei 2021 Makanan di sini agak mewah… ikan kotak tiada dalam menu, berbeza sedikit daripada tinggal di asrama sekolah. Selepas makan malam, kami solat berjemaah. Atas nasihat Azrul, topeng tidak ditanggal daripada muka kami lebih-lebih lagi apabila solat rapat-rapat untuk jimat ruang. Sekali lagi terasa sangat tenang dan seronok. Rasa nikmat beribadat dan terasa dekat dengan Tuhan ditambah pula dengan curahan nasihat daripada ustaz yang memberi ceramah seusai solat. Di sini ada bermacam-macam aktiviti yang dirancang bagi memenuhi masa kami. ‘Doktor! Doktor! Ada orang sesak nafas. Laungan suara lelaki dewasa bergema di dalam dewan. Mataku melilau di tempat orang ramai berkerumun. Kelihatan seorang lelaki berbadan agak gempal tercungap-cungap mencari nafas. “Oii! Tepi, tepi… sila bagi ruang,” nada suara keras itu menyuraikan kumpulan manusia.


28 HIKMAH Saat Aku Diuji “Cepat ambil meter tekanan darah.” Arah seorang pemuda. Gayanya nampak seperti seorang yang mahir dan tahu tentang ilmu perubatan. Tekaanku betul apabila dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor. Bacaan vital sign (bacaan darah) semakin menurun, kadar kepekatan kandungan oksigen merudum dan pesakit tidak sedarkan diri secara tiba-tiba. Dari tingkat atas dewan, jelas kedengaran suara doktordoktor yang bertugas memberi arahan kepada pemuda tersebut untuk melakukan rawatan awal sementara menunggu doktor memakai sut lengkap untuk turun ke bawah. Seksanya melihat keadaan tersebut, terbayang sekiranya pesakit itu adalah aku, cepat-cepat aku menjauhi tempat tersebut. Alhamdulillah selang beberapa ketika, keadaan pesakit tersebut kembali stabil, namun dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Besar Kota Bharu untuk rawatan dan pemantauan yang lebih rapi. (Situasi ini biasa berlaku setiap hari di pusat kuarantin) 25 Mei 2021 “Selamat datang kepada 662 kawan baru kita pada hari ini, pastikan tuan-tuan mendaftar no katil dan mengambil cadar serta selimut di hadapan kaunter” (jelas suara misi di corong pembesar suara). Hari ini menjadi sejarah di pusat kuarantin kerana mencatat bilangan kemasukan paling ramai sejak pandemik ini mengganas. Menurut desas-desus, keadaan ini berpunca daripada kluster “pulau”. Menurut cerita, satu keluarga berjaya meloloskan diri daripada Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) dan menumpang rumah saudaranya di pulau Suri. Rupa-rupanya salah satu daripada ahli keluarga tersebut membawa virus dan menjangkiti hampir keseluruhan penduduk di kawasan pulau tersebut.


HIKMAH Saat Aku Diuji 29 “Bang katil ini ada orang tak?’’ Seorang remaja bersama adik kecilnya menyapa aku. “Tidak ada, sila-sila,” sambil aku buat-buat kemaskan cadar katilnya, nanti awak pergi daftar no katil ya, di kaunter.” “Baik bang,” balasnya ringkas. Ketika mereka menuju ke kaunter untuk pendaftaran, mataku tidak lekang daripada memerhati gelagat adik kecilnya yang sedang memegang botol susu. Pada pukul 11.30 malam, lampu dewan automatik akan dipadamkan. Tidak lama selepas itu, terdengar esakan kecil daripada budak kecil tadi disusuli dengan pujukan abangnya. Aku terus turun katil double decker, “Kenapa adik menangis tu?’’ ‘‘Teringat maknya bang,” Aku terus selongkar beg galasku mencari gula-gula untuk memujuk adiknya, namun gagal. Abangnya terus capai telefon dan membuat panggilan dengan matanya yang berkaca. “Mak, berapa hari lagi adik boleh balik ke rumah? Adik duduk sekejap saja kan di sini? Adik rindu mak.“ Dalam tangisan masih lagi petah bertanya macam-macam soalan kepada ibunya. Terus hatiku merasa sebak mendengar dan melihat gelagat si kecil. Anak mataku sempat melirik ke arah abangnya yang tertunduk tidak berkata apa-apa sambil aku merangkul bahunya, “Insya-Allah awak kuat, jangan risau… di sini kita satu keluarga.” Aku tidak dapat membayangkan dari mana kekuatan abangnya untuk menjaga adiknya yang masih minum susu botol selama tempoh kuarantin di sini. Melihat keadaan ini, terasa kecil sangat ujianku berbanding orang lain


30 HIKMAH Saat Aku Diuji 26 Mei 2021 Allahuakbar, Allahuakbar. Azan subuh bergema mengejutkan kami semua. Aku selak selimut tebalku dan terus mengambil wuduk di luar dewan. Terasa dingin pagi menusuk sampai ke tulang bercampur dengan sejuk penghawa dingin di dalam dewan. Pagi ini tampil seorang pemuda berjubah putih ke hadapan untuk imamkan solat subuh. Sebelum takbir diangkat, tiba-tiba pemuda tersebut membuat satu pengumuman dengan nada yang cukup tenang, “Ibu saya telah kembali ke rahmatullah kerana Covid. Sekiranya tuan-tuan berkelapangan, selepas ini kita akan adakan solat jenazah ghaib untuknya. Saya tidak berpeluang berjumpa dengan ibu saya dan harapnya inilah khidmat baik saya yang terakhir untuk ibu. Doakan kekuatan untuk saya dan keluarga,” katanya. Semua jemaah terkelu. Kesejukan penghawa dingin seolah-olah tidak terasa tatkala mendengar bait-bait perkataan tadi. Simbahan cahaya lampu yang sedikit di atas pentas tempat kami berjemaah menambahkan suramnya suasana. Rakaat pertama sangat mengharukan, sampai kini masih tergiang bacaan Surah al-Baqarah ayat 152-157 oleh pemuda tersebut. Gema ayat suci “Dan sungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar, (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah,mereka mengucapkan, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Tangisan keras teresak-esak membuatkn jemaah tidak dapat menahan perasaan. Ruangan dewan itu terisi dengan tangisan sambil menyapu aliran air mata deras mengalir (terus.... wajah ibuku menerpa dalam fikiran…Allah...)


HIKMAH Saat Aku Diuji 31 “Ya Allah ampunilah dosa ibu bapa kami, rahmati mereka dan maafkanlah segala kesalahan mereka.” (Aku tidak akan pernah sesekali melupakan momen ini) Aku dan Azrul sempat menghabiskan malam terakhir kami di sini dengan perbualan panjang tentang Covid. Azrul dapat keluar sehari lebih awal daripadaku kerana dia disahkan positif dan dikuarantin lebih awal. Hikmahnya, pusat kuarantin ini telah berjaya menjadi “sekolah” untuk kami melihat hakikat sebenar ujian COVID. Kami percaya, ini hanyalah cebisan kisah yang berlaku di hadapan mata dan betapa banyak lagi kisahkisah berat yang sarat dengan emosi di luar sana. “Moga Allah kuatkan kalian semua.” 28 Mei 2021 Malam ini, mata aku susah untuk dilelapkan walaupun dipaksa. Emosiku sedikit terganggu dengan apa yang aku telah hadapi. Dan pada malam terakhir aku di pusat kuarantin ini, sempat aku menaip kata-kata di dalam diari telefonku…. Covid telah mengajarku tentang apa itu ujian. Ujian aku dan kamu untuk mengenal Sang Pencipta. Hakikat nikmat hidup sebelum ini seringkali kita alpa. Taraf dan pangkat apa pun kamu, tetap menjadi mangsa. Yang pasti semua itu telah di tentukan oleh-NYA. Lalu apa yang harus kita lakukan? Apakah kita harus panik dan cemas? Jangan! Panik tidak menyelesaikan masalah apa-apa. Renunglah kenapa Allah menjadikan takdir ini untuk kita. Harus diingati bukanlah virusnya tetapi Sang Penguasa dan Pemilik segala-galanya. Bertenanglah saudara… Duduk sejenak dan lihatlah kekuasaan Allah. Dengan sekecil-kecil makhluk-Nya dunia telah menjadi huru hara.


32 HIKMAH Saat Aku Diuji Tanpa virus pun kita semua pasti akan mati. Mati husnul khotimah atau mati sebaliknya. Aku dan kalian telah ditakdirkan hidup dalam ketakutan dan kekalutan. Apakah itu menggusarkan hati kalian? Sedarilah itu bukan ujian berat untuk difikirkan. Tetapi ujian sebenar adalah kita tidak mampu menyambungkan hati dengan fikiran. Buanglah angkuh dan sombong yang telah kita jadikan pakaian harian. Itulah yang membuatkan kita susah untuk sabar dan reda dengan apa yang telah ditentukan. Jangan terlalu takut dengan masalah. Semua masalah sepenuhnya ada dalam genggaman Tuhan. Kembalilah semuanya di tempat sujud dan tunduk hinalah di hadapan-Nya. Allah suka hamba-Nya menyebut-nyebut nama-Nya. Allah suka hamba-Nya memohon merayu kepada-Nya. Allah suka hamba-Nya bersimpuh sujud, menghiba pertolongan daripada-Nya. Itulah yang sebetulnya... “Ya ALLAH, kami berlindung kepada-Mu daripada bala bencana, beratnya cubaan, takdir yang buruk dan celaan daripada musuh” (Riwayat Imam Bukhari & Muslim)


HIKMAH Saat Aku Diuji 33 Pemergian almarhum Siti Sarah Raisuddin pada hari terakhir tahun hijrah 1442, sangat terkesan di hati ibu. Terlalu banyak rahsia, hikmah dan ibrah di sebalik kembalinya almarhum ke pangkuan Ilahi akibat pandemik Covid-19 itu. Kisah figura ini membuka mata ibu bahawa permulaan hidup seseorang tidak menjanjikan pengakhiran yang serupa malah pengakhiran yang baik itulah yang patut kita harapkan, pengakhiran husnul khotimah. Inilah juga doa yang selalu ibu titipkan usai solat. Kisah silam kekal menjadi sejarah hidup kita namun yang lebih baik, apakah kita mengambil pengajaran daripada kehidupan masa silam kita itu? Ibu kembali teringat kepada anak syurgaku yang telah pergi meninggalkan kami. Kisah ini memahat seribu kenangan suka dan duka buat kami, suami isteri. Ibu sangat percaya setiap kita pernah melalui pengalaman diuji yang datangnya dalam pelbagai bentuk sebagai bukti kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Betapa kita sangat memerlukan-Nya dan mengharapkan pertolongan-Nya. Hasbunallah wa nikmal wakil. Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik penolong. Begitu juga dengan pengalaman hidup kita diuji dengan musibah wabak Covid-19 yang meragut nyawa manusia saban hari. Dugaan yang menguji sama ada kita sabar dan memohon pertolongan-Nya. Ujian yang menduga sama ada kita patuh kepada arahan pemerintah atau sebaliknya, arahan untuk SUPERHERO IBU NOR AMIRA BINTI ISMAIL


34 HIKMAH Saat Aku Diuji mematuhi SOP dalam pelaksanaan PKP, dua ungkapan yang menjadi mainan bibir kini. Juga dugaan yang menguji keimanan. Persoalan ini semuanya telah dinukilkan dalam kalam suci al-Quran. Allah berfirman yang maksudnya, “Adakah manusia menyangka mereka mengaku beriman namun tidak akan diuji?” (Surah al-Ankabut 29: ayat 2) dan “Taatlah kepada Allah dan Rasul dan kepada pemerintah di kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’ 4: ayat 59). Kisah ini tidak jauh bezanya dengan kisah superhero ibu yang benar-benar menguji kami suami isteri. Hadirnya dia ke dalam hidup kami amat menginsafkan bahawa hidup ini tidak akan lengkap tanpa ujian dan dugaan. “Puan, anak puan memang tiada harapan. Semuanya terpulang kepada Allah. Kalau Dia kata habis, maka habislah,” begitu ujar pakar sakit jantung pediatrik, di Institut Jantung Negara (IJN) kepada Ibu yang masih dalam pantang selepas melahirkannya. Terkejut? Ya, Ibu sangat terkejut kerana IJN adalah harapan buat pesakit jantung. Ia seolah-olah tiada apa lagi yang dapat dibuat oleh pakar jantung mengenai keadaan superhero Ibu ini. Namun, setidak-tidaknya ayat itulah yang telah menyiapkan ibu dari segi mental bahawa apa sahaja boleh berlaku pada bila-bila masa. Keajaiban Allah sangat ibu harapkan, mendambakan sinar buat superhero Ibu. Tahun baharu hijrah 1443H, Ibu dengan niat, matlamat dan semangat baharu memperbetulkan diri bersandarkan pengalaman lalu yang menjadi pengajaran. Kenangan dan pengalaman itu akan sentiasa terpahat dalam sanubari Ibu dan akan membuahkan impian! Impian dan doa seorang ibu bernama Nor Amira ini agar dapat bertemu dengan superheroku di syurga kelak. Siapakah dia superhero yang Ibu maksudkan?


HIKMAH Saat Aku Diuji 35 Sebelum kalian dibawa mengenali superhero ini, ada satu peristiwa yang buat pertama kalinya betul-betul memberi tamparan hebat kepada Ibu. Ya, seperti ada yang menempeleng pipi ini. Ibu gagal dalam ujian lesen kenderaan L! Ibu terpana seketika kerana kehidupan Ibu selama ini berjalan lancar tanpa pernah melalui kegagalan yang besar. Benar, Ibu sukar menerima kenyataan itu. Perasaan Ibu bercampur-baur. Terkejut, sedih, hairan dan tertanya-tanya kepada diri sendiri kenapa aku gagal? Maka ia membuatkan Ibu berfikir dan menilai semula bahawa kejayaan akademik tidak menjanjikan kejayaan dalam hidup. Ujian semudah mendapatkan lesen L pun Ibu tidak mampu mendapatkannya dengan sekali percubaan, terpaksa mengulanginya walaupun dalam pelajaran di universiti Ibu tidak pernah repeat paper! Berakhir kehidupan di kampus, Ibu melangkah masuk ke alam pekerjaan yang menjadi dambaan dan impian setiap graduan. Kerjaya yang stabil menggembirakan hati emak, abah dan adik-adik. Setelah itu, Ibu bertemu jodoh. Cita-cita dan impian Ibu kononnya ingin bersuamikan jejaka bermata sepet dan berkaca mata persis hero K-Drama. Ah, impian mainan perasaan cuma! Takdir Tuhan menemukan Ibu dengan seorang jejaka iras hero Hindustan dan ibu jatuh cinta kepadanya. Jauh benar dan ketara perbezaannya. Korea dan Hindustan. Ketawa Ibu berdekah-dekah apabila mengenangkannya. Ya, Ibu gembira dan bersyukur dengan jodoh ini. Dia adalah cinta pertama ibu. Abah kepada anak-anak Ibu yang di‘bin’ dan di‘binti’kan dengan namanya, satu perasaan luar biasa yang Ibu rasai. Sungguh! Kami melayari fasa kehidupan sebagai suami isteri dan membesarkan anak-anak yang lima orang itu secara sederhana sahaja. Bermula dengan menyewa rumah dan kemudiannya


36 HIKMAH Saat Aku Diuji tinggal di kuarters anggota kerana tuntutan kerja suami. Anakanak semuanya membesar di kuarters. Di sinilah terselit dan tersimpan kisah indah buat ibu mengenai si dia, superhero ibu. Mengimbau memori lalu, pada tarikh 17 November 2015, ibu selamat melahirkan anakanda keempat. Bayi ibu ini telah dibawa keluar dari labour room (LR) untuk dibersih dan diselimutkan. Abah bayi pun dipanggil untuk mengazankannya. Selepas selesai semuanya, suami masuk semula ke dalam LR untuk menjenguk isterinya yang terdampar keseorangan. Suami melangkah ke arah Ibu dengan reaksi tenang seraya berkata, “Ayang, anak kita down syndrome.” Kalian dapat bayangkan apa reaksi Ibu? Ibu tersenyum cuma, meluncur deras dari mulut ibu ucapan syukur dan terbayang muka bayi Ibu ini persis cina yang punya mata sepet. Ya, itulah fahaman Ibu sewaktu dikhabarkan mengenai keadaan bayi sindrom down. Ah, tiada apa yang perlu dikhuatirkan! Terimalah seadanya. Reda. Ibu pun tidak pasti kenapa perasaan ibu tidak sama dengan perasaan seperti ditampar pada suatu ketika dahulu ketika gagal dalam ujian lesen L! Sungguh. Sangat tenang penerimaan ibu seolah-olah tiada apa yang luar biasa berlaku. Selepas itu, datang pula dua orang paediatricians menemui Ibu di dalam LR. Ada sesuatu yang hendak mereka sampaikan kepada Ibu dalam nada dan cara yang sangat berhati-hati. “Anak puan kami lihat ada underlying features of down syndrome. Batang hidung penyet, jarak di antara dua matanya jauh, paras telinga terletak ke bawah sedikit daripada paras mata dan single palmar line (ada satu garisan sahaja pada tapak tangan, tidak seperti kita yang mempunyai dua garisan di tapak tangan). Kata-kata ini apa yang Ibu ingat pada ketika itu. Ya, Ibu hanya mendengar dan berasa baik sahaja dengan


HIKMAH Saat Aku Diuji 37 khabar itu. Perasaan seperti teruja pun ada kerana tidak pernah punya anak seistimewa ini. “So, kami terpaksa tahan dulu baby di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk dipantau,” tambah doktor tadi. Maka inilah pengalaman kali pertama Ibu tidak dapat terus melihat anak yang Ibu lahirkan. Abahnya sahaja yang dapat melihat superhero ibu ini disebabkan dia mengazankannya sebentar tadi. Ibu yang penat dan sakit melahirkannya tetapi tidak dapat melihat dan memegangnya. Ibu tergelak kecil. Tambah lagi Ibu sudah cukup teruja untuk menemui superhero Ibu ini! Cerita suami pula semasa misi memanggilnya untuk mengazankan bayi, dia berkata, “Encik, tengok betul-betul anak encik ini.” Terasa lain benar bunyi percakapan itu seakan-akan ada sesuatu yang pelik berlaku. Suami melihat bayi kami yang baru dilahirkan itu dan lantas mengecam, “Oh, down syndrome!” Kalau Ibulah yang disuruh melihatnya sudah pasti Ibu tidak akan dapat meneka lantas menjadi hairan kerana sudah tentu itu anak kita. Tentu dia tidak akan tunjukkan bayi orang lain pula kepada kita, bukan? Maka bermulalah kehidupan superhero ibu ini di NICU hospital. Ibu tidak berkesempatan langsung untuk melihat superhero ini dari mula lahirnya di kala tahajud hinggalah ke waktu asar. Namun ini merupakan rekod bersalin ibu yang terbaik kerana dibenarkan pulang pada hari yang sama! Sedikit bangga. Cuma pulangnya ibu ke rumah tanpa memangku bayinya di riba. Sebelum pulang, suami menyorong ibu menaiki kerusi roda dari wad bersalin ke NICU untuk menjenguk superhero kami. Doktor telah terlebih awal memaklumkan bahawa bayi ini tidak dibenarkan pulang bersama ibu. “Puan, baby puan ini kami dengar ada murmur (bunyi abnormal pada jantung). Kami syak PDA (jantung berlubang) dan biasanya akan tertutup sendiri. But since baby ini ada underlying down syndrome, kami terpaksa refer kepada pakar


38 HIKMAH Saat Aku Diuji jantung. Puan pilih sama ada Hospital Serdang (HSD) atau Institut Jantung Negara (IJN),” ujar doktor. “Dan ujian darah untuk pengesahan kromosom 21 kami akan hantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL). Ambil masa tiga hingga enam bulan untuk tahu keputusan pengesahan down syndrome,” tambahnya lagi. Baiklah, kami akur. Kita lambailambai dahulu ya, sayang! Nanti Ibu dan Abah akan datang lagi. Bermula dari situ, hospital menjadi rumah pertama kami. Ibu tinggalkan dahulu bahagian pengalaman berumah tangga di wad. Terlalu banyak, tidak upaya dihitung betapa luasnya pengajaran kehidupan di wad hospital. Di NICU Ibu cuba menyusui superhero Ibu ini. Ya, anak sindrom down ini mempunyai otot yang lemah termasuklah otot mulutnya yang menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk menyedut dan menelan. Perlu disimulasi. Berulang-ulang kali. Tanpa jemu. Di NICU itulah Ibu membelainya, berbual-bual dengannya, dalam keadaan ibu sendiri yang sedang berpantang. Siap berbengkung, berstoking tebal dan berbaju sejuk setiap kali hadir menemui superhero ini. Dari NICU ke Wad Pediatrik. Di situ Ibu langsung berukhuwah dengan ibu-ibu yang sama-sama menjaga anak-anak yang sakit, sama-sama merawat hati dan perasaan, sama-sama bermesra dengan misi-misi dan cleaners ibarat sebuah keluarga yang besar. Ibu tidak berhajat untuk bercerita tuntas mengenai sakit superhero ibu ini. Cukuplah ibu senaraikan sahaja sejarah perubatannya. Pakejnya terlalu istimewa antaranya Chronic lung disease, bronchiolitis obliterans, pulmonary hypertension, pulmonary stenosis, patent ductus arteriosus (PDA), atrial septal defect  (ASD), hypothyroid dan lebihan cecair dalam gegendang telinga.. Ya, semuanya menjadikan superhero ini yang teristimewa, dia yang terhandal, dia yang terkuat dan dialah yang paling gagah! Telatahnya sentiasa menceriakan.


HIKMAH Saat Aku Diuji 39 Ya benar, terlalu istimewa! Anak sindrom down yang dilahirkan biasanya disertai dengan pakej komplikasi kesihatan yang lain terutamanya yang berkaitan dengan jantung dan paru-paru. Kami, suami isteri menyangka anak sindrom down ini hanya mengalami delay in development berbanding anak yang normal. Tidak pula kami jangka wujudnya komplikasi kesihatan yang pelbagai. Pada saat pesakit-pesakit Covid-19 kini bertarung hebat melawan si Corona sehingga di‘intubate’ untuk bantuan pernafasan, superhero ibu ini telah terlebih dahulu melalui pengalaman di‘intubate’. Bukan sekali, malah berkali-kali lantaran jangkitan kuman yang menyerang paru-parunya. Superhero Ibu ini pernah singgah dari wad ICU satu hospital ke wad ICU hospital yang lain untuk rawatan rapinya. Dan setiap kali itulah menggeletar lutut, Ibu meraung di dalam hati melihat kesakitan ditebuk dari tekak hingga ke pangkal paru-paru. Setiap kali itulah juga superhero Ibu ini tetap hebat bertarung dan kuat melawan kuman sehingga dirinya sihat semula. Ibu bangga! Untuk superhero Ibu ini, senarai hospital yang didiaminya tidak cukup sebuah sahaja. Rekodnya wujud di HPJ, HSD, PPUM dan IJN. Di setiap hospital ini tersimpan kenangannya tersendiri yang sungguh bernilai. Di keempatempat tempat ini juga Ibu dan Abah banyak belajar termaterma perubatan. Layaknya kami seperti doktor tidak bertauliah! Oh, ya! Lahirnya superhero ini Ibu belajar untuk bersedia dengan semua tarikh temu janjinya. Memang Ibu terpaksa menandakan segala tarikh temu janjinya pada kalendar dan set reminder supaya tidak terlepas pandang. Ah, dalam pada itu tetap ada juga yang Ibu terlepas tarikh temu janjinya! Bersusunsusun tarikh temu janji dengan berbagai-bagai jabatan - Paeds, Fisio, ENT, KK, IJN. Ibu seronok melayan tarikh-tarikh temu


40 HIKMAH Saat Aku Diuji janji yang berderet ini kerana ibu sangat senang menyiapkan superhero untuk ke hospital, girangnya seperti bersiap-siap mahu ke pusat membeli-belah. Ah, kini tidak lagi kerana mall tidak dibuka malah fasiliti hospital juga telah tenat dengan limpahan kes-kes Covid-19! Superhero ini, anak ibu yang paling kecil daripada segi saiznya. Lembut dan lembik! Ya benar, anak sindrom down ototnya lemah, tidak tegap atau mantap seperti anak tipikal. Disebabkan keistimewaannya itu maka penjagaannya pun lebih, extra care. He is a special one and one of the kind. Superhero ini perlu menjalani fisioterapi di hospital. Fisioterapi memang wajib dihadapi oleh setiap anak sindrom down. Suka atau tidak. Paksa atau rela. Seksa atau gembira. Makanya Ibu dan Abah juga kena belajar cara untuk melakukan fisioterapi ke atas superhero ini di rumah. Semasa di hospital, ahli fisio tidak mahu terlalu memaksa superhero Ibu ini kerana keadaannya yang mengalami masalah jantung. Risau superhero Ibu ini cepat penat sehingga boleh menjadi kebiru-biruan. Menurutnya juga, superhero Ibu ini seorang yang kacak. Ya, bayi sindrom down yang tampan! Ciptaan Tuhan tentunya cantik, bukan? Belum lagi dihitung mimik-mimik muka superhero ini yang rare. Lidah anak sindrom down ini tebal dan lebar, menyebabkan kecenderungan lidahnya asyik terjelir keluar, susah untuk disimpan dalam mulut. Sungguh, tidak ada pada anak-anak tipikal yang lain. So special! Dalam pada ramai bergembira pulang ke kampung meraikan hari raya, kami menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana keadaan superhero yang bergantung dengan mesin oksigen di rumah. Tinggi risikonya untuk ke sana dan ke mari. Jadi, pengalaman ‘stay at home’ telah kami lalui terlebih dahulu sebelum hadirnya virus Corona di kala ini.


HIKMAH Saat Aku Diuji 41 Tiba pada satu Jumaat yang mulia, ujian menjenguk lagi kami sekeluarga. Superhero ini mengalami cirit-birit yang teruk. Dari wad kecemasan terus ditempatkan ke wad ICU kerana severe dehydration mengakibatkan jangkitan kuman terlalu cepat berlaku hingga ke seluruh tubuhnya. Ya, jangkitan kuman dalam darah! Superhero Ibu ini di‘intubate’ lagi buat kesekian kalinya. Betapa dia cuba bertahan, masih kuat semangat juangnya sehingga ke Jumaat satu lagi. Pada suatu malam ketika masuknya Tahun Baharu Hijrah 1 Muharram, terdengar deringan nyaring dari telefon bimbit Ibu. “Puan, saya Doktor Xxx dari ICU HSD,” ujar suara itu di hujung talian. Berdebar. Berdegup-degup jantung Ibu menanti perkhabaran lanjut daripada doktor itu. ICU tidak akan memanggil sekiranya tiada yang penting. “Maafkan saya, anak puan telah tiada sebentar tadi. Kami telah melakukan sedaya upaya, membuat CPR ke atasnya beberapa kali namun jantungnya sudah berhenti berdegup. Dia sudah tiada,” jelasnya lagi. Bagai dihempap batu besar di atas kepala Ibu! Umpama dihempas dada Ibu dengan benda keras! Sakit, peritnya Tuhan sahaja yang tahu. Air mata laju mengalir. Ibu menangis tersesakesak. Berita itu Ibu sampaikan kepada suami dan anak-anak. Mereka terpempan mendengarnya. Baru sekejap tadi kami pulang daripada melawat superhero ini di ICU. Ya, Ibu masih ingat genggaman lemah tanggannya yang kecil ketika ibu memegang jari-jemari itu, yang dipenuhi tanda dicucuk sana sini, yang berselirat dengan wayar. Anak Ibu sedang tidur-tidur ayam, di antara sedar dengan tidak kerana di‘intubate’. Rupa-rupanya itulah genggaman terakhir buat Ibu. Tidurnya kini sudah lena kerana tiada lagi kesakitan yang ditanggung sejak dia lahir, setahun tujuh bulan lalu.


42 HIKMAH Saat Aku Diuji Segala urusan pengurusan jenazah dan pengebumian superhero Ibu ini, wangian syurga kami, Rayhan atau nama manjanya Cik An dipermudahkan dan berjalan lancar. Dimandi, dikafan dan disolatkan di hospital oleh ustaz yang sama menguruskan jenazah 23 orang syuhada’ yang terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Ittifaqiah, Kuala Lumpur. Kalian masih ingat kisah tragis itu, bukan? Akhirnya superhero Ibu ini pulang ke rumah dalam pangkuan Ibu. Sekujur tubuh siap dikafan tenang di atas ribaan Ibu. 1 Muharram 1439. Telah lama dirinya bertarung nyawa untuk menikmati sekelumit erti sebagai insan dan jua anak. Hadirnya sebagai penyeri yang dipinjamkan Allah buat sementara. Rehatlah anak Ibu. Puas kerana dapat melahirkanmu, bahagia Ibu memilikimu, senangnya Ibu melayan kerenahmu dan akhirnya Ibu tenang ‘menidurkan’mu. Oxygen concentrator machine dan oxygen tank superhero ini kami wakafkan kepada hospital bagi kegunaan mereka yang memerlukan untuk menjalani terapi oksigen di rumah. Ibu puas, Rayhan. Namamu seharum wangian syurga. Moga kita bertemu semula di sana. Tariklah Ibu bersamamu di syurga abadi. Syukur, Ibu mendapat sistem sokongan yang sangat perlu apabila mempunyai anak istimewa ini. Sokongan terdekat daripada kalangan ahli keluarga, pasangan, saudara-mara, jiran tetangga, sahabat handai, rakan taulan termasuk rakan alam maya dan kumpulan sokongan ibu bapa anak-anak sindrom down amat membantu ibu mencari tempat yang kami boleh berkongsi rasa untuk terus kuat. Namun tetaplah kembali kepada Tuhan dan letakkan kebergantungan tanpa tandingan lagi hanya kepada-Nya. Selayaknya juga situasi kita kini dalam memerangi pandemik Covid-19 ini, kepada Allah jua kita bergantung harap. Jagalah Tuhan maka Tuhan akan menjaga kita.


Click to View FlipBook Version