The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Eka Syafiqah, 2024-02-05 02:44:44

Hikmah Saat Aku Diuji

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

HIKMAH Saat Aku Diuji 93 Pada pagi itu, kepala aku terasa berat. Kelopak mata seakanakan sukar dibuka dan kepala aku juga terasa pening. Riuh rendah dan gelak tawa anak-anakku di ruang tamu membingitkan telinga. Sejak beberapa hari dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, terasa badanku tidak berapa sihat. Aku lebih selesa tidur daripada sama-sama menyanyi dengan anak-anakku yang dua orang itu. Menjenguk ke luar jendela, matahari masih belum menampakkan sinarnya. Mungkin kerana hujan lebat pada malam tadi membuatkan aku bangun sedikit lewat pada pagi itu. Seusai subuh aku ingin melelapkan mata sebentar sebelum bersiap untuk menyediakan sarapan untuk keluarga kecilku. Rupa-rupanya lama juga aku tertidur. Sedang leka menyemak mesej di telefon, aku berasa loya. Aku membiarkan sahaja cuma terfikir kenapa ia terjadi kerana aku bukanlah sering berkeadaan sebegitu. Seingatku, ia akan terjadi apabila ada tanda-tanda mengandung. Mengandung? “Alamak, janganlah! Aku belum bersedia untuk anak yang ketiga,” detik hati kecilku. Aku baru perasan, aku juga mengalami sakit di ariariku semasa aku mengalihkan sofa untuk mengeluarkan semua ‘harta karun’ yang berada di bawahnya beberapa hari lalu. Aku melihat jadual period di aplikasi telefonku. Memang sentiasa aku update di situ kerana mudah dan cepat. Jika diikutkan, aku sudah lewat dua minggu pada bulan tersebut. SYAM DAPAT ADIK SITI MAHANI MAHMUD


94 HIKMAH Saat Aku Diuji Aku berkira-kira sama ada aku patut melakukan ujian kehamilan atau tidak. Aku mengambil keputusan untuk melakukannya esok pagi sahaja kerana menurut pembacaanku, air kencing pada waktu pagi mengandungi hormone human chorionic gonadotropin (HCG) yang tinggi dan jika kehamilan terjadi ia akan terus detect pada kit ujian kehamilan. Jika kehamilan dapat dikesan lebih awal, aku boleh mengambil langkah berjaga-jaga bagi melindungi sebarang kemungkinan yang tidak baik berlaku. Keesokan harinya, aku telah bersedia untuk melakukan ujian kehamilan. Perasaanku berdebar-debar sama ada positif atau negatif. Apabila ia menunjukkan tanda positif, perasaan aku bercampur baur. Shocked and unplanned. Walaupun anak ini unplanned tetapi tidak sesekali unwanted. Aku mengambil keputusan untuk tidak terus memberitahu suamiku. Tidak seperti dua kehamilan sebelum ni, aku teruja memberitahu suamiku. Pada hari itu, aku tiada mood hanya terbaring lesu di sofa menonton cerita di televisyen dengan pandangan yang kosong. Suamiku menyedari tingkah laku yang sedikit berbeza. Dia bertanyakan kesihatanku dan aku sekadar mengangguk lemah mengatakan yang aku okey sahaja. Selesai solat maghrib berjemaah, aku mengambil keputusan untuk memberitahu suamiku tentang ujian kehamilan pagi tadi. Perlahan-lahan aku membuka cerita. “Awak, tidak lama lagi Syam nak jadi abang.” Suamiku terdiam dan dalam masa yang sama dia terus ucapkan kalimat alhamdulillah. Terus dia memberitahu anak-anak yang mereka akan dapat adik tidak lama lagi. Reaksi kakak begitu teruja tetapi Syam mencebik seolah-olah dia tidak dapatlah lagi hendak bermanja berlebih-lebihan. Aku juga kasihankan Syam kerana pada usianya setahun enam bulan, dia masih lagi menyusu badan. Targetku untuk menyusukannya sehingga dua tahun mungkin tidak tercapai.


HIKMAH Saat Aku Diuji 95 Berada dalam trimester pertama kehamilan, aku tidak diuji dengan alahan teruk. Hanya pening dan kurang selera makan. Aku juga masih gagah ke dapur menyediakan juadah untuk ahli keluargaku. Alhamdulillah, aku bersyukur tidak mengalami alahan. Aku juga dapat melakukan aktiviti fizikal seperti biasa dalam keadaan berhati-hati. Suamiku mula mengambil alih kerja-kerja di rumah, menguruskan anak-anak dan menolongku di mana perlu. Memasuki trimester kedua, aku diuji dengan batuk yang teruk. Ia sangat mengganggu tidurku dan paling teruk pada waktu malam ditambah dengan keadaan bilik yang dipasang penyaman udara. Segala minyak aku sapu bagi mengurangkan batuk. Apabila mengandung, memakan sebarang ubat memang tidak digalakkan. Jadi aku hanya minum ubat batuk herba dan juga madu. Sebutlah kaedah tradisional untuk pulihkan batuk, semua telah aku cuba tetapi batuk ini tidak juga hilang malah semakin teruk. Sehinggalah aku nekad berjumpa doktor, menceritakan masalahku. Doktor memberitahu untuk melakukan ujian Tuberculosis atau TB yang disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria Mycobacterium tuberculosis. Ia juga dikenali sebagai batuk kering. Antara tanda penyakit TB adalah batuk melebihi dua minggu, sakit dada apabila batuk, kahak berdarah, cepat letih, hilang selera makan dan berat badan susut. Selalunya ujian sinar x akan dilakukan untuk menentukan pesakit mempunyai simptom TB. Namun doktor tidak menggalakkan aku melakukannya kerana ujian ini tidak sesuai untuk wanita mengandung. Aku dikehendaki melakukan ujian kahak maka aku perlu menghantar sampel kahak di dalam botol yang disediakan ke klinik tersebut. Pengambilan sampel kahak hendaklah diambil pada awal pagi selepas bangun tidur (sebelum menggosok gigi)


96 HIKMAH Saat Aku Diuji untuk tempoh tiga hari berturut-turut. Selepas beberapa hari, aku dipanggil oleh doktor untuk melihat keputusan. Doktor mengesahkan aku tiada penyakit TB. Alhamdulillah, Lega aku mendengarnya. Jauhkanlah aku daripada penyakit tersebut. Doktor seperti tidak berpuas hati lalu aku dikehendaki pula membuat ujian Mantoux. Aku ikutkan sahaja apa yang terbaik untuk kandunganku. Ujian ini dilakukan dengan meletakkan sedikit protein TB (antigen) di lapisan atas kulit pada bahagian bawah lengan. Jika pernah terdedah kepada bakteria TB, kulit akan bertindak balas terhadap antigen dengan menghasilkan benjolan merah yang padat di kawasan tersebut dalam masa tiga hari. Apabila mengandung pada musim pandemik, suami tidak boleh menemani isteri ke dalam klinik. Bagiku itu tidak menjadi masalah kerana setiap kali kehamilan sememangnya suamiku tidak menemaniku ketika melakukan check up. Bukan kerana dia tidak mahu, sebaliknya aku yang tidak membenarkannya. Cukuplah menemani semasa melakukan imbasan ultrasound sahaja di klinik swasta. Selang tiga hari aku mendapat panggilan dari klinik untuk review hasil keputusan ujian Mantoux. Aku berdebar memikirkan keputusannya. Aku berharap tiada yang buruk akan terjadi. Aku berharap ini adalah alahan mengandung sahaja. Ada kawan-kawanku yang bercerita, mereka mendapat batuk semasa mengandung dan apabila bersalin, batuk tersebut turut hilang. Doktor memberitahu yang ujian bacaanku tidak menunjukkan aku mengalami penyakit TB. “Syukur alhamdulillah,” detik hati kecilku. Jika dijangkiti, satu benjolan padat yang berukuran 5mm (0.2 inci) akan terhasil. Aku juga bersyukur sepanjang aku mengandung semasa Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan Perintih Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dapatlah aku


HIKMAH Saat Aku Diuji 97 berehat dan mengelakkan aku berjumpa ramai orang. Virus Covid-19 sangat ditakuti terutama bagi wanita mengandung yang boleh terdedah kepada risiko kematian. Memasuki trimester ketiga, perutku yang sudah ke hadapan menyebabkan pergerakan menjadi sedikit terbatas. Batukku masih tidak hilang dan setiap kali ia datang menyerang akan terasa sakit menyucuk-nyucuk di bahagian perut. Ia sangat tidak selesa dan aku sudah tidak tahan dengan keadaan itu. Aku perlu mencari kaedah lain pula bagi merawat batukku. Sehinggalah pada suatu hari aku terbaca di media sosial tentang penggunaan minyak pati dalam merawat batuk. Ia selamat untuk wanita mengandung. Tanpa berlengah aku terus menghubungi distributor berkenaan untuk bertanyakan lebih lanjut bagaimana ia merawat dan berfungsi. Setelah mendapat informasi dan aku juga mencari info di laman sesawang aku bertekad menggunakan minyak pati tersebut untuk merawat batukku. Setelah sebulan menggunanya secara berterusan dan juga mengikut kaedah yang disarankan, aku dapati batukku semakin berkurangan dan hampir tiada. Aku sangat bersyukur kerana satu masalah telah selesai. Tidak perlulah aku mengusung bekas kecil ke mana sahaja untuk membuang kahakku apabila aku batuk. Sampai masanya usia kandunganku mencecah sembilan bulan aku telah menyediakan segala kelengkapan bayi yang akan dilahirkan. Mujurlah tidak banyak yang perlu disediakan kerana barang-barang kakak dan abangnya dahulu masih boleh digunakan dan masih elok. Dua kelahiran sebelum ini, aku bersalin di kampung halamanku. Untuk yang ketiga ini, aku bercadang untuk berbuat demikian juga kerana aku sangat selesa bersalin di sana. Cuma memikirkan bersalin semasa PKP tidaklah mudah. Suami tidak boleh menemani isteri di bilik bersalin.


98 HIKMAH Saat Aku Diuji Aku berdoa semoga urusan bersalin aku dipermudahkan. Aku juga meminta kawan-kawanku berdoa untukku. Alhamdulillah, sampai masanya dapat juga aku bersalin di hospital kampungku. Aku masuk ke wad bersalin tanpa ditemani suami dan sedikit janggal bagiku kerana dua kelahiran sebelum ini suamiku sentiasa berada di sampingku memberi kata-kata semangat. Aku menahan sakit apabila kontraksi datang menyerang. Aku berdoa semoga kesakitan ini cepat-cepat berlalu dan aku segera bersalin. Mengenangkan besarnya pengorbanan seorang ibu untuk melahirkan anak, membuatkan aku insaf dan akan terus mengingati jasa dan pengorbanan ibuku dalam melahirkanku. Jam 8.03 minit pagi, aku telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Pada kali ini, kelahirannya amat mudah berbanding dua anakku sebelum ni. Aku mengucap syukur kerana memudahkan urusan bersalinku. Seorang doktor lelaki masuk untuk mengazankan anakku. Suamiku hanya diberitahu aku telah selamat bersalin dan menunggu uri untuk dibawa pulang. Dia tidak dibenarkan berjumpa denganku dan anak yang baru dilahirkan. Selepas bersalin aku ditempatkan di wad biasa. Aku berharap yang aku akan pulang keesokan harinya kerana aku tidak sanggup berlama di hospital. Segala-galanya aku perlu lakukan sendiri daripada menjaga bayi dan menguruskan diri yang sedang lemah. Walaupun lemah fizikal tetapi hatiku perlu kuat dan kental demi bayi. Selepas doktor mendapati aku dan bayi berada dalam keadaan baik, kami dibenarkan pulang. Hanya dua minggu aku dapat berpantang di rumah. Suami sudah mengajakku pulang ke rumah sendiri kerana kerajaan telah mengumumkan untuk melaksanakan PKP sekali lagi. Bimbang dengan kesukaran untuk


HIKMAH Saat Aku Diuji 99 pulang melawatku selepas PKP dilaksanakan, aku menurut sahaja. Suamiku masih boleh menjagaku semasa dalam pantang. Emosiku agak teruk kerana menguruskan bayi yang baru lahir ditambah apabila datang ragamnya. Aku juga perlu memantau PdPR anak sulungku di samping menjaga anakku yang kedua. Mujurlah aku cepat pulih selepas bersalin, dapatlah aku melakukan kerja-kerja rumah yang tidak akan pernah habis. Suamiku juga membantuku kerana sepanjang PKP dia hanya bekerja dari rumah (BDR) dan boleh sama-sama menjaga anak. Selepas habis cuti bersalin, cabarannya pula adalah menguruskan anak yang PdPR, anak yang tengah lasak, anak yang baru kenal dunia, kerja hakiki dan juga kerja-kerja rumah. Semasa inilah, kewarasan emosi perlu berada pada tahap yang paling tinggi. Peranan sang suami sangat diperlukan dalam menangani emosi para isteri yang sentiasa kacau-bilau. Keadaan pada waktu kritikal ini boleh mengundang stres, jiwa kacau dan mental breakdown. Pengurusan masa juga sangat penting bagi memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan. Rutin harianku ialah bangun awal pagi untuk menyiapkan kerja-kerja rumah. Jika aku mampu masak, aku akan masak tetapi jika tidak larat, beli sahaja makanan di luar. Apabila baby telah bangun, aku selesaikan urusan dia terlebih dahulu, mandi dan bermain seketika. Apabila dia tidur, cepat-cepat aku tumpukan pada si kakak untuk melihat kerja sekolahnya atau aktiviti yang hendak dibuat sambil melihat e-mel atau kerja-kerjaku yang perlu diuruskan. Si abang juga boleh turut serta bermain sambil belajar. Kemudian, aku bersiap untuk masak tengah hari pula. Pada waktu petang, aku mencari masa sekejap untuk berehat bagi mengecas tenaga yang banyak digunakan pada sebelah pagi. Pada waktu petang adalah aktiviti bebas untuk anak-anak, selalunya mereka akan bermain telefon dan mandi


100 HIKMAH Saat Aku Diuji kolam. Pada sebelah malam pula, kami akan solat berjemaah dan mengaji, makan, anak-anak bermain dan kemudian tidur awal. Insya-Allah, PKP sudah menghampiri penghujungnya. Rasanya ramai yang terkesan dengan PKP tambahan bagi yang bekerja sendiri. Semoga semuanya akan kembali pulih. Kita juga sedang belajar untuk menerima norma baharu dalam kehidupan. Walaupun cara hidup tidak akan kembali seratus peratus seperti dahulu, sekurang-kurangnya kita berharap dapat bertemu dengan ahli keluarga, saudara-mara, dan sahabat handai yang sebelum ini hanya dapat ditatapi menerusi skrin telefon sahaja. Tanyakan juga khabar jiran tetangga dan rakan-rakan sekeliling, adakah juadah untuk dihidangkan di atas meja makan pada hari ini? Jaga diri baik-baik.


HIKMAH Saat Aku Diuji 101 Tiada kata-kata yang dapat digambarkan apabila kehilangan emak tersayang. Ya Allah, tempatkan allahyarham Hajah Siti Asiah binti Haji Mohd Idris dalam kalangan para solihin. Syurga buatnya, amin ya Allah. Emak sakit apa? Paru-paru berair. Tidak pernah dalam keluarga kami ada yang menghidapi penyakit seperti ini. Hanya tiga bulan setelah didiagnos emak pergi meninggalkan kami. Tanpa sedar, ia bermula apabila emak batuk, demam, sakit kepala…klinik dan hospital sudah kami rujuk. Keputusannya cuma demam biasa. Muka emak semakin membengkak. Berat ujian emak. Pada 7 Mac 2015, kami ke hospital swasta. Di situlah bermula pelbagai kejutan demi kejutan. Hendak menerima atau hendak menolak kenyataan? Keputusan sinar x paruparu emak menunjukkan sebelah paru-paru kanannya telah hilang. Kuman telah menyelubungi paru-paru emak. Hospital swasta melepaskan emak dengan bayaran perubatan sebanyak RM10,000.00. Kami kemudiannya merujuk emak ke Hospital Serdang. Doktor menjalani rawatan dengan segera, menyedut air di paru-paru emak. SEPARUH HIDUPKU PERGI … EMAK DAYANG NORAZURAH BINTI IBRAHIM


102 HIKMAH Saat Aku Diuji Dengan menggunakan tiub yang besar, cecair hijau penuh di dalam balang. Aduhai emak, berat ujian emak. Sesekali emak mengerang kesakitan, “Menyesal emak buat rawatan ini... sakit.” Allahu, berderai air mata ini. Bukan kami hendak menyakiti emak, kami hendak sembuhkan emak. Abah, kami adik-beradik, tidak terurus. Makan ke mana, tidur ke mana. Kami membawa hati dan perasaan. Hospital Melaka sudah menjadi rumah kedua emak. Keluar masuk hospital menjadi rutin. Kami bergilir-gilir mengambil tanggungjawab menjaga emak. Hidup ini bagaikan kosong, tiada senyuman kerana susah hati dengan keadaan emak yang semakin hari semakin merundum kesihatannya. Emak sakit tidak lama. Akhirnya pergi jua menghadap Ilahi. Jenazah Bercahaya 7 Mei 2015 jam 1.15 pagi Ward C, Hospital Melaka “Adik-adik… mari sini. saya nak tanya sesuatu,” kata misi yang menjaga emak. Aku akur. “Emak adik kerja apa ya?” Emak suri rumah, dulu emak berniaga makan-makan (katering),” kataku. “Saya ingatkan emak kamu ustazah,“ katanya. Aku masih bingung sambil mengesat air mata, langsung bertanya kenapa dia berkata begitu. “Ya Allah, sepanjang saya bekerja di sini menghadapi kematian, tidak pernah saya tengok jenazah bercahaya, bersih


HIKMAH Saat Aku Diuji 103 sebersih-bersihnya dan mudah diuruskan. Apa amalan emak, kongsi dengan saya.” “Emak… emak suka mengaji.” Itulah ayat pertama yang aku sebut “Carilah apa amalan emak, apa yang dilakukan semasa hidupnya. Teruskan, ikutlah,” kata misi itu lagi. Aku terdiam. Aku hentikan tangisan dan esakan, terus aku berasa satu keredaan untuk melepaskan emak pergi mengadap Ilahi. Aku reda melepaskan. Emak milik Allah SWT. Memang betullah suasana semasa emak menghembuskan nafas terakhir. Aku terasa ada satu cahaya menerangi jenazah emak, seolah-olah berada di alam lain. Rupa-rupanya misi di situ pun nampak kejadian tadi. Aku sangka aku di alam mimpi tetapi rupa-rupanya benar. Aku selalu mendengar cerita jenazah bercahaya. Sesungguhnya ya Allah, emak insan terpilih. Emak.. pergimu dikenang orang Aku selalu mendengar orang kampung, kawan-kawan emak menyebut nama emak, “Semasa emak kau ada…kenduri acik ni pagi-pagi mak kau dah datang tolong…jam 4.00 pagi emak kau dah ketuk rumah acik ajak masak.” Allahu. Itu baru satu amalan emak, tidak lokek berkongsi resipi masakan. Patutlah aku selalu dengar di majlis-majlis keramaian. “Ini Dak Siah masak memang sedap,” nama panggilan emak, Asiah. Jika di majlis gotong-royong Maulidur Rasul, di surau waima di sekolah anak-anak, emak selalu ke hadapan mengetuai menyediakan masakan tanpa mengira penat lela Aku mencari kebaikan dan amalan Emak semasa hidupnya. Ini rupa-rupanya kebaikan dan amalan emak:


104 HIKMAH Saat Aku Diuji • Sedekah dari segi duit, ilmu, kasih sayang. • Ringan tulang. • Tidak banyak mulut. • Elakkan diri daripada mengumpat. • Ahli surau (berlari-lari ke surau). • Mengaji tanpa jemu bersama orang kampung (ada ustaz yang mengajar). • Sentiasa menghadiri jemputan majlis orang (wajib bagi emak). • Tidak pernah mengambil/membungkus makanan. • Tidak berkira tentang duit, rupa-rupanya ramai yang datang membayar hutang. Subhanallah, Abah pun tidak tahu Emak memberi pinjam duit. • Suka masak dan menjamu tanpa kenal penat, janji orang bahagia. • Tidak pernah berhutang. • Belajar menjadi bilal perempuan dan selalu berkongsi kebaikan orang lain. Setelah Emak ke negeri abadi, Abah dan kami adikberadik sentiasa mengingati Emak dalam apa jua situasi. Kami jaga Abah seperti menatang minyak yang penuh supaya Abah tetap bahagia dan tidak terasa kosong tanpa Emak. Kami menghidupkan rumah peninggalan Emak, bergotong-royong mengemas. Kami masih menyimpan lagi barang, baju dan mengekalkan situasi di dalam rumah seperti Emak masih ada. Semua kenangan Emak kami simpan rapat-rapat dalam hati. Setiap pesanan Emak, kami ingat, setiap ajaran Emak kami amalkan. Kami terus menjalani kehidupan walaupun tanpa Emak. Selalu Emak bercakap ‘apa orang akan buat pada anakanak Emak kalau Emak sudah tidak ada nanti’. Allahu. Sejujurnya, manusia sekeliling mereka mementingkan diri sendiri. Mengambil kesempatan di kala kami bergelar yatim. Allah kan ada. Walau besar mana pun ujian yang diberikan, Allah tahu kami mampu mengharungi walaupun tanpa Emak. Kami tetap


HIKMAH Saat Aku Diuji 105 bersama saling menyayangi. Abah hero kami. Semoga Allah panjangkan umur Abah, murahkan rezeki, memberi rahmat dan kasih sayang pada Abah. Amin. ‘Sesungguhnya janji Allah SWT itu Pasti’. Kehilangan Adalah Satu Keperitan “Siapa pun yang kehilangan sesuatu yang mereka fikir milik mereka selamanya, akhirnya menyedari bahawa tidak ada yang benar-benar milik mereka.” - Paulo Coelho Bukan mudah menghadapi hakikat suatu kehilangan, malah betapa perit pun perlu dilalui saat itu. Sebenarnya, kehilangan itu bukan sia-sia. Betapa banyak nikmat Tuhan yang mengajar kita bahawa kehilangan itu bukan merugikan malah menguntungkan kerana ia mengajar erti nikmat syukur dan kekuatan. Ada sebab di sebalik ujian Tuhan. Ada nilai di sebalik air mata yang mengalir. Ada pahala di sebalik musibah yang berlaku. Kesat air matamu dan tepiskan segala keluh kesahmu. Senyumlah, ada khabar gembira daripada Tuhan yang menunggumu di hadapan. Apabila menghadapi situasi kematian, akan selalu teringat situasi yang sama semasa Emak pergi meninggalkan kami. Aku tanam seelok-eloknya di dalam hati. Segala-galanya milik Allah, tiada satu pun kepunyaan kita akan kekal dan kita juga akan pergi menghadap Ilahi apabila tiba masanya nanti. Aku dengan sepenuh hati meyakini perjalanan hidup ini sudah diaturkan oleh Allah Taala. Ada dua kemungkinan ketika kita dipisahkan dengan orang yang kita sayangi


106 HIKMAH Saat Aku Diuji Pertama, kehidupan kita akan digantikan dengan yang lebih baik. Kedua, kehidupan kita akan menjadi yang lebih baik dan tidak tersangka. Terima kasih Allah. Aku banyak berubah dan berusaha menjadi hamba-Mu yang sempurna di mata-Mu. Aku berubah kerana-Mu ya Allah. Setiap perjalanan hidup seharian kuserah kepada-Mu kerana aku tahu Kau sebaik-baik Perancang, Kau sebaik-baik Pemberi, Kau segala-galanya Sang Pencipta. Bagaimana aku mengawal emosi dan perasaan atas kehilangan ini? Perasaan setiap orang adalah unik. • Mencari sokongan Ia sangat penting untuk anda tahu bahawa adanya orang yang sentiasa di sisi sewaktu anda memerlukan sokongan. Ia sangat membantu apabila anda bercakap dengan kawan, ahli keluarga, kaunselor, kawan-kawan serta cadangan yang bagus kerana setiap orang boleh mengaitkan apa yang anda rasa dalam bentuk yang pelbagai. • Bersabar Proses penyembuhan sememangnya mengambil masa. Memang susah untuk membuat keputusan sewaktu anda kehilangan seseorang. Sebaiknya tangguhkan dahulu keputusan penting yang perlu dibuat sehinggalah anda benar-benar bersedia. • Sedar diri Hayati setiap detik yang datang, supaya anda boleh menerima kebenaran yang pahit dan mampu untuk memberi respons yang membantu diri anda sendiri. Sentiasa berzikir boleh membantu anda untuk sedar diri dan melahirkan emosi dengan baik tanpa berlebih-lebih. • Lahirkan perasaan anda


HIKMAH Saat Aku Diuji 107 Mengakui apa yang anda alami sememangnya banyak membantu, anda boleh memilih untuk menceritakan pada orang lain apa yang anda rasa atau menerimanya secara peribadi sahaja. • Benarkan diri anda untuk bergembira Gelak tawa adalah penawar duka tetapi tidak salah untuk anda menangis. Cubalah sertai sebanyak mungkin aktiviti sosial. • Jaga diri anda Amalkan rutin hidup yang sihat, makan sebaik mungkin. Bersenam jika mampu. Elakkan alkohol dan dadah kerana semua itu hanya menyusahkan lagi anda untuk melepaskan kesedihan di dalam hati. Doaku ya Allah… “Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua-dua orang tuaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sejak kecil.” Aku sedekahkan setiap amalan baikku di dunia ini kepada kedua-dua ibu bapaku. Engkau tempatkan mereka di syurga Firdausi. Amin ya Allah. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi keduadua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.“ (Surah Ibrahim Ayat 41) Emak…rinduku padamu tiada berpenghujung. Mohon sedekahkan al-Fatihah buat bondaku yang tercinta.


108 HIKMAH Saat Aku Diuji Dengan cermat Ila menutup daun pintu bilik tidur mereka dan dia berjalan perlahan-lahan menuju ke suaminya yang duduk di atas katil. Hatinya gelisah dan sedih melihatkan keadaan suaminya yang tidak ceria seperti biasa. Farid mengangkat kepala dan menatap wajah isterinya. Jelas kelihatan air matanya bertakung. Ila terus duduk di sisi Farid dan dia memegang tangan suami yang sedang sugul itu. “Sayang, maafkan abang,” tersekat-sekat suara Farid. Ila hanya berdiam diri sambil menunggu apa yang bakal diluahkan oleh suaminya. Farid menarik nafas panjang “Abang dah tidak ada kerja sayang,” ratapnya di bahu Ila. Astaghfirullah. Ila merasakan dunianya gelap sebentar, jantungnya berdegup kencang. Mana mungkin Farid dibuang kerja begitu sahaja. Syarikat tempat Farid bekerja itu syarikat gergasi dan gah di seluruh pelusuk Asia. Gajinya pun hampir mencecah lima angka. Farid pengurus specialist dalam bidang pengurusan makanan bagi bekalan kepada industri penerbangan. Ila membiarkan sahaja suaminya menangis teresak-esak di bahunya. Pada masa yang sama, Ila perlu mengumpulkan kekuatan mentalnya untuk berfikir dengan tenang dan meyakinkan dirinya yang kesulitan ini boleh dihadapi oleh mereka. Allah menguji hamba-Nya mengikut kekuatan yang Impian Tercapai GARA-GARA COVID-19 AZURA BINTI HITAM


HIKMAH Saat Aku Diuji 109 mampu diharungi oleh mereka. “Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah kepada kami kekuatan untuk menghadapi dugaan ini,” Ila berserah kepada-Nya. Dengan perlahan Ila berkata, “Abang, tidak mengapa Abang, syukur alhamdulillah, kita diberikan kesempurnaan fizikal dan mental oleh-Nya, kita akan ikhtiar dengan segala apa yang kita mampu untuk hadapi semua ini. Ila akan sentiasa ada bersama abang.” Farid semakin tenang. Ditatap wajah isterinya dengan penuh kasih sayang. “Terima kasih sayang,” ucapnya ringkas. Seminggu telah berlalu. Farid masih tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sudah tidak mempunyai pekerjaan setelah ditamatkan perkhidmatannya. Kesihatannya mula terganggu. Ila tahu bahawa dia tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Mujurlah mereka bukan jenis pasangan yang hidup bermewah dan sentiasa beringat untuk menabung bagi kegunaan masa hadapan. Pada malam itu, Ila mencongak-congak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan setiap bulan dan pendapatan yang perlu diraih untuk meneruskan kehidupan di kota raya. Menurut suaminya, peluangnya untuk mendapat pekerjaan semula agak tipis. Dia hanya akan diambil bekerja semula sekiranya ekonomi pulih dan industri penerbangan dan pelancongan aktif semula. Ila meneliti semula satu pesatu perbelanjaan bulanan dan cuba memotong perbelanjaan bagi perkara yang bukan menjadi keperluan. Perkiraan dibuat semula untuk melihat perbelanjaan asas yang perlu dikeluarkan setiap bulan. Setelah agak selesa dengan pendapatan yang perlu diraih, Ila mula memikirkan kemungkinan pekerjaan atau perniagaan yang boleh dibuat bagi meringankan beban suaminya. Ila seorang


110 HIKMAH Saat Aku Diuji yang mempunyai bakat memasak. Semasa dia bekerja dahulu, sering kali juga Ila memasak nasi lemak daun pisang bersama sayur kangkung celur dan kacang goreng untuk menjamu rakanrakan sepejabatnya. Ila juga rajin mencuba resipi kuih-muih tradisional dan moden untuk menjamu rakan-rakannya. Selain itu, Ila juga pandai memasak masakan asli Kelantan seperti nasi berlauk, nasi dagang dan nasi kerabu serta kuih jala mas. Sememangnya sudah sekian lama Ila menyuarakan hasratnya untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan semasa dia berhenti kerja dahulu tetapi tidak diendahkan oleh Farid. Suaminya mahu Ila menumpukan sepenuh perhatian terhadap anak mereka dan menguruskan rumah tangga. Ila merupakan seorang isteri dan ibu yang ceria. Kehadiran cahaya mata tiga bulan yang lepas dalam rumah tangga yang dibina selama lebih tiga tahun telah menyerikan lagi kehidupan keluarga kecilnya. Kesukaran untuk mendapatkan penjaga telah membuatkan dia meninggalkan pekerjaannya sebagai pembantu akauntan. Suaminya agak skeptikal apabila Ila menyuarakan hasratnya untuk berniaga kecil-kecilan memandangkan Ila tidak pernah langsung terlibat dalam perniagaan sebelum ini. Farid tidak pernah lupa menghulurkan wang perbelanjaan bulanan yang agak lumayan untuk isterinya memanjakan diri dengan membeli-belah. Syukur alhamdulillah, dikurniakan rezeki dengan mempunyai seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Selepas solat isyak pada malam itu, Ila berdoa memohon kepada-Nya supaya dipermudahkan semua urusan keluarganya dan dimurahkan rezeki untuk meneruskan kehidupannya sekeluarga. Tidak mengapalah sekiranya dia tidak lagi dapat mengecapi kemewahan selama ini seperti bercuti ke luar negara, namun dia mengharapkan ilhamnya untuk berniaga itu akan


HIKMAH Saat Aku Diuji 111 membantu mereka sekeluarga untuk menjalani kehidupan pada masa masyarakat seluruh dunia sedang diuji dengan pandemik ini. Dia juga berdoa agar Farid bersetuju dengan cadangannya untuk berniaga dan merestui niatnya itu. Ila percaya, restu seorang suami amat penting bagi seorang isteri dalam melakukan apa juga urusan. Sedang Ila melipat telekungnya, Farid masuk ke bilik. Anak mereka telah lama dibuai mimpi dalam katil baby di sebelah katil mereka. Farid bersandar di katil sambil membuka TV di hadapannya. Ila kemudiannya bersuara, “Abang, Ila rasa kita tidak boleh lagi murung macam ini. Kita kena cari jalan mencari pendapatan untuk menampung simpanan kita. Lagipun, kita tidak tahu bila ekonomi akan pulih dan Abang boleh masuk kerja semula.’’ Farid hanya berdiam diri. Ila menyambung, “Abang ingat tak dulu Ila pernah minta izin Abang untuk cuba berniaga kecilkecilan kan? Kawan-kawan Ila di ofis suka makan masakan Ila. Apa kata kalau kita cuba berniaga nasi lemak? Kita buat kecilkecilan, guna whatsapp, guna facebook...kita hebahkan kepada kawan-kawan kita. Modal bolehlah kita guna duit simpanan, kita test market, kita ambil preorder sahaja dahulu, kita deliver sendiri pagi-pagi untuk sarapan. Untuk makan tengah hari kita buat sejenis saja, nasi minyak. Ila sudah kira kalau kita boleh dapat untung bersih RM150.00 sehari sudah lepaslah keperluan asas kita.” Farid masih berdiam diri. Kemudian, dia bersuara, “Sayang tahu kan Abang memang tidak ada ilmu dan kepakaran untuk buat bisnes ini. Tapi, dalam keadaan macam ini, nampaknya kita tidak ada pilihan. Okeylah, jom kita cuba. Ila buatlah apa yang Ila rasa patut, Abang akan sentiasa sokong dan tolong Ila. Kalau Ila


112 HIKMAH Saat Aku Diuji yakin, Insya-Allah Abang okey.” “Alhamdulilah, terima kasih Abang. Eloklah hari ini, hari sabtu, kita cuba iklan dan ambil order dahulu di fb, whatsapp dan Instagram. Ila pun tidak boleh ambil banyak-banyak. Ikut kemampuan Ila dan capai target kita. “ “Kak Ila, Puan Zainon datang nak ambil nasi lemak dia 100 bungkus,” beritahu Junaidah, pembantu Ila yang setia. Ila terhenti daripada lamunan, mengimbas kenangan lalu semasa dia mula-mula menceburkan diri dalam perniagaan secara terpaksa ini. Syukur alhamdulillah, perniagaan Ila yang sudah mencecah setahun ini telah berkembang dengan cepat. Tempahan yang dibuka pada awal perniagaan telah mendapat sokongan rakan-rakan sepejabat Ila dan Farid, rakan-rakan rapat, jiran-jiran dan komuniti tempat tinggal mereka. Keenakan masakan dengan harga yang berpatutan, lama-kelamaan menjadi bualan dan semakin lama tempahan semakin banyak. Ila juga merasakan Allah sentiasa menolongnya. Pada saat beliau mendapat tempahan yang cukup banyak dan tidak mampu melakukannya berseorangan, dia mendapat bantuan seorang pengusaha dobi, Junaidah yang terpaksa menjual perniagaan dobinya akibat pandemik. Ila dan Farid adalah pelanggan tetap Junaidah sebelum ini. Junaidah juga mempunyai kepakaran memasak dan teliti dalam penyediaan makanan. Farid pula rancak dengan tugasannya untuk menyediakan packaging yang lebih menarik dan sentiasa membuat penyelidikan untuk meluaskan pasarannya. Kini, Ila telah mampu menyewa sebuah kedai kecil untuk dijadikan tempat penyediaan makanan. Satu ruangan kecil di kedai itu disediakan sebagai tempat rehat dan tempat anaknya bermain. Setakat ini, konsep penjualannya adalah pick up atau


HIKMAH Saat Aku Diuji 113 delivery sahaja. Semakin hari rezekinya semakin bertambah kerana pelanggannya telah berkembang daripada rakan taulan yang pada mulanya hanya menyokong dia dan suaminya. Kini kiosknya itu telah mendapat tempat di hati masyarakat setempat. Pelanggan tetapnya juga ramai. Ada juga yang menempah dalam kuantiti yang banyak untuk bersedekah dan untuk menjamu keluarga, rakan-rakan dan sanak-saudara. Ila dan Farid kini semakin bahagia kerana mereka telah meraih pendapatan yang amat selesa dan mampu pula memberi pendapatan kepada kenalan mereka yang telah hilang pekerjaan. Memang Ila tidak menyangka, hasratnya selama ini untuk berniaga secara kecil-kecilan atas sebab minat dan mahukan lebih ramai orang menikmati keenakan masakannya amat berbaloi. Ila sentiasa yakin, penyediaan makanan yang bersih, tertib, teliti dan enak amat penting untuk dijadikan santapan. Konsepnya mudah iaitu dia perlu menyantuni sesiapa yang merasai masakannya dengan menyediakan masakan yang enak dan dibuat dengan hati yang ikhlas, bukannya untuk meraih keuntungan semata-mata. Ila amat berpuas hati kerana hasil masakannya yang selalu dikatakan sebagai signature dish oleh rakan-rakannya dapat dinikmati oleh lebih ramai orang. Ila juga bersyukur kerana dia dan Farid tidak bersendirian dalam menghadapi ujian ini. Dia sedar, dia mempunyai sistem sokongan yang cukup baik, membantunya mencapai kejayaan sehingga ke tahap ini. Ramai yang menyokong jualannya melalui pelbagai cara pada awal penglibatannya dalam bisnes ini. Kini, dia dan Farid tidak rungsing lagi. Mereka akan terus bergerak dan memikirkan cara untuk memajukan lagi perniagaan. Betullah kata orang, pekerjaan yang paling menyeronokkan adalah pekerjaan yang dibuat kerana minat dan hobi.


114 HIKMAH Saat Aku Diuji Ila memang suka memasak. Memasak menenangkan jiwanya, malah dapat menguji kemahiran, kesabaran dan daya kreativitinya. Pada asalnya, Ila agak kecewa kerana tidak dapat meneruskan cita-citanya untuk berkecimpung dalam bidang ini setelah dia mendirikan rumah tangga. Namun Allah sebaikbaik perancang. Pandemik Covid-19 ini telah membuka ruang kepada Ila untuk menjana pendapatan yang lumayan melalui bidang yang diminatinya. Impiannya telah menjadi kenyataan dek pandemik Covid-19!


HIKMAH Saat Aku Diuji 115 Tengah hari itU, Alfiera dan keluarganya sampai di Banting untuk mengambil stok kerepek yang sudah dipesannya. Suaminya, Johan pula telah merancang untuk membawa anakanak mereka singgah sebentar di Pantai Morib selepas Alfiera selesai urusannya. Perjalanan hanya mengambil masa setengah jam. Sampai sahaja di pantai Morib mereka makan tengah hari di medan selera. Alfiera mengambil telefon bimbitnya dan mengimbas kod Quick Response (QR) MySejahtera. Mereka menjaga Standard Operating Prosedur (SOP) sebelum dan selepas keluar dari kedai makan tersebut. Pada malam itu, ketika Alfiera sedang mengemas dapur selepas makan malam, suaminya memberitahu status risiko MySejahteranya sudah bertukar menjadi kontak kasual berwarna kuning. Johan hairan bagaimana keadaan tersebut boleh terjadi. Mereka berdua berpandangan dan dalam kepala ligat berfikir di mana tempat yang mereka singgah di Banting siang tadi yang telah dijangkiti Covid itu. Dan sejak malam itu, bermulalah cerita Covid... Kisah itu bermula pada 14 Mac 2021. Seawal pagi, Alfiera sudah membuka aplikasi MySejahtera dan melihat paparan skrin Borang Pengisytiharan Kesihatan Kendiri. Alfiera mesti mengisytiharkan atau mengemas kini kesihatan kendiri setiap hari andai terdapat gejala atau simptom seperti demam, batuk, DUGAAN DAN RAHMAT AFIERA NUREEN ASHYIKIN BINTI ABAS


116 HIKMAH Saat Aku Diuji sakit tekak dan selesema. Pada permulaan, kesihatan kendiri Alfiera baik dan sihat. Alfiera menjalankan kehidupannya seperti biasa. Namun beberapa hari kemudian keadaan kesihatan Alfiera tidak berapa baik, badannya terasa sangat lemah, sakit kepala yang amat sangat, selesema, sakit tekak dan batuk 24 Mac 2021 Hari ini, Alfiera tidak ke pejabat kerana bekerja dari rumah (BDR). Seperti biasa setiap pagi, dia akan mengemas kini pengisytiharan kesihatan kendirinya di aplikasi MySejahtera. Apabila dia membuka profile status risikonya, Alfiera melihat status risikonya telah bertukar dari kasual kontak menjadi kes suspek dan ia berwarna oren. Alfiera sangat terkejut dan panik terus dia menelefon suaminya. Hati Alfiera berdebar-debar menunggu Johan menjawab panggilan telefonnya dan apabila suaminya menjawab salamnya, dia terus memberitahu keadaan dirinya. “MySejahtera status risiko sayang sudah bertukar jadi kes suspek. Kena telefon dan pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk buat swab test,” beritahunya kepada suami. Sejurus selepas mematikan panggilan telefon itu, Alfera pantas membuat panggilan ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk bertanya kepada pihak klinik dan memaklumkan kesnya. Alfiera dirujuk kepada pegawai yang bertanggungjawab.“Puan Afiera, Puan dikehendaki datang untuk menjalani swab test dalam masa terdekat ini ya. Saya akan buat temu janji Puan Afiera untuk datang ke klinik pada 26 Mac 10.00 pagi ya sebab untuk tarikh esok, 25 Mac sudah penuh. Minta maaf ya Puan Afiera. Buat sementara ini Puan jangan


HIKMAH Saat Aku Diuji 117 keluar ke mana-mana, duduk di rumah sahaja ya.” Alfiera berulang kali melihat profile status risiko MySejahtera di telefon bimbit itu yang kini telah bertukar menjadi kes suspek. “Tak kan aku positif Covid-19. Aduhai …,” Alfiera bermonolog. Alfiera tiba di klinik untuk temu janji swab test yang telah ditetapkan. Dia bergerak ke khemah yang telah disediakan di tepi klinik kesihatan tersebut. Kelihatan beberapa orang yang telah tiba lebih awal. Alfiera mengambil tempat duduk yang telah disediakan sementara menunggu staf dan pegawai menjalankan tanggungjawab mereka. Petugas telah siap memakai uniform Personal Protective Equipment (PPE) sepenuhnya dan bersiap sedia untuk menjalankan swab test dengan kadar segera. Alfiera berjalan ke meja hadapan apabila namanya, Naylie Afiera binti Arif dipanggil. Terus jantungnya berdegup kencang dan hatinya berdebar-debar sementara beratur menunggu giliran. Tiba gilirannya untuk menjalani swab test tersebut, Alfiera duduk dan mendongakkan kepalanya. Petugas sudah bersedia dengan spatula dan dimulakan dengan hidungnya dahulu. Kemudian sampel air liur di tekak pula diambil. Setelah selesai membuat ujian itu, dia terus meninggalkan khemah dan berjalan pantas menuju ke kereta suaminya yang sedang menunggu untuk segera pulang ke rumah. 28 Mac 2021 Ada pesanan ringkas dari pejabat kesihatan. Jantungnya berdegup laju. Dia membaca satu persatu.


118 HIKMAH Saat Aku Diuji Naylie Afiera binti Arif, Keputusan sampel untuk COVID-19 puan adalah POSITIF. Puan diminta hadir ke COVID-19 Assessment Center (CAC) pada 31 Mac 2021. “Ya Allah Abang…keputusan Covid-19 sayang POSITIF, macam mana ni?” Mereka terkejut dengan keputusan itu. Air mata Alfiera mengalir deras setelah membaca pesanan ringkas tersebut dan terus mendail nombor telefon ibunya di kampung untuk memaklumkan hal tersebut. Pada hari yang dijanjikan, Alfiera sekeluarga tiba di pekarangan parkir kereta di Covid Assessment Center (CAC). Dia berjalan laju ke pintu masuk kerana memikirkan dia sudah terlambat. Pada sebelah paginya tadi, dia terlebih dahulu menguruskan swab test suami dan anak-anaknya di klinik kesihatan. Letihnya bukan kepalang kerana perlu bergegas ke sini sebelum tempat ini ditutup pada pukul 12.30 tengah hari. Alfiera terus pergi ke kaunter hadapan untuk urusan pendaftaran dan seterusnya ke kaunter saringan kesihatan sebelum ke kaunter terakhir untuk berjumpa dengan pegawai perubatan. Akhirnya dia dinasihati oleh pegawai perubatan untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Berisiko Rendah memandangkan dia masih mengalami gejala ringan peringkat 1 pada ketika itu. Dia tidak boleh menjalani kuarantin di rumah kerana dikhuatiri akan menjangkiti suami dan anak-anaknya kerana mereka masih belum mengetahui keputusan sama ada positif ataupun negatif.


HIKMAH Saat Aku Diuji 119 Alfiera tertunduk pasrah dan sugul ketika itu kerana harus berpisah buat sementara, meninggalkan anak istimewanya, Fayad dan Nadhia, anak kecil bongsunya. Pegawai perubatan memintanya menunggu di bilik yang telah disediakan untuk dibawa mengikut giliran ke Pusat Rawatan Berisiko Rendah dengan menaiki bas. Suaminya akur dengan keputusan itu dan telah menyerahkan beg yang berisi baju dan segala keperluan untuk kelengkapannya di sana nanti. Dia melangkah lemah masuk ke bilik yang telah disediakan dan terus menanti, mengikut giliran nama yang telah ditetapkan. 31 Mac 2021 Perjalanan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah COVID-19 terasa lama dan masing-masing kelihatan terlalu penat kerana hampir setengah hari menghabiskan masa di CAC. Mereka beratur dengan beg pakaian di kaunter pendaftaran untuk mengambil saringan kesihatan dan nama wad bilik serta nombor katil yang telah ditetapkan. Alfiera ditetapkan di Wad Bilik Exora 4, katil 20. Suasana di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisko Rendah COVID-19 ini agak tenang. Terdapat tiga buah bilik yang sangat besar, menempatkan banyak katil double decker untuk pesakit yang berisiko rendah sepertinya. Terdapat juga kemudahan seperti bilik gimnasium kecil dan dua buah bilik menempatkan dua buah televisyen, setiap satu untuk menonton cerita atau filem kegemaran. Alfiera berbaring di katilnya, terasa penat dan lapar sekali. Tiba-tiba kedengaran bunyi troli yang menandakan makanan untuk makan malam sudah sampai. Staf yang bertugas telah mengagihkan makanan tersebut kepada semua pesakit.


120 HIKMAH Saat Aku Diuji “Nasi ayam, ermm… sedapnya. Lapar betul aku ni,” bisiknya apabila membuka bekas makanan tersebut. Hampir setengah hari, Alfiera tidak sempat mengambil makanan berat… hanya menjamah biskut dan roti sebagai alas perut. Itu pun dimakan ketika dalam kereta semasa perjalanan ke CAC tengah hari tadi. Dia makan dengan begitu berselera. Dia mendapat tahu pesakit akan dibekalkan makanan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Alfiera juga ada membawa makanan ringan dari rumah, untuk alas perut jika dia terasa lapar pada waktu malam. Makanan malam tiba pada pukul 6.00 petang. Selepas selesai makan, dia bergegas ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersiap sedia untuk menunaikan solat maghrib dan solat isyak selepas itu. Selesai solat isyak, dia kembali ke katilnya. Lampu dalam bilik wad tersebut kebanyakannya telah ditutup. Pesakit yang lain telah berbaring di katil masing-masing. Begitu juga Alfiera, sebelum melelapkan mata, dia berbual sebentar di WhatsApps dengan Johan bertanyakan khabar dan situasinya serta anakanak di rumah. Akhirnya dia tertidur kerana hampir seharian kepenatan menguruskan hal keluarga dan dirinya sendiri. 2 April 2021 Alfiera mendapat tahu melalui mesej dari pejabat kesihatan daerah keputusan swab test suami dan anak-anaknya adalah negatif. Mereka tidak dijangkiti COVID-19. “Allahu, syukur alhamdulillah. Terima kasih Allah telah melindungi suami dan anak- anakku, ya Allah.” Kemudian Alfiera membaca pesanan di WhatApps Grup pejabatnya. Dia terkejut apabila ada yang mengucapkan tahniah kepadanya kerana telah mendapat kenaikan pangkat dalam jawatan grednya dan perlu bertukar ke bahagian yang


HIKMAH Saat Aku Diuji 121 telah ditetapkan oleh bahagian sumber manusia di pejabatnya. “Allahuakbar… betulkah apa yang aku baca ini?” “Syukur alhamdulilah, rezeki anak-anak dan keluarga aku.” Jatuh juga air matanya, rasa terharu dengan rezeki itu. “Semua yang berlaku kebelakangan ini ada hikmah di sebaliknya,” bisik hati Alfiera. Dia terus menelefon suaminya untuk berkongsi berita gembira itu dan Alfiera juga tidak lupa memberitahu ibunya di kampung dan adik-beradiknya yang lain dengan menghantar teks di WhatsApps grup mereka. Hari ini, 5 April 2021 Alfiera dijadualkan didiscaj daripada pusat kuarantin tersebut setelah membaca senarai jadual nama yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan malam tadi. Dia telah diperiksa dan telah sembuh daripada gejala atau simptom yang telah dialaminya sebelum ini. Alfiera dan pesakit lain beratur di hadapan lif setelah gelang putih di tangan dipotong. Keluar dari lif, kelihatan bas telah siap menunggu untuk mengambil Alfiera dan pesakit lain. Mereka akan diturunkan di tempat yang telah ditetapkan untuk keluarga mengambil mereka pulang ke rumah. Setelah sampai di tempat tersebut, suaminya sudah sampai, dia berlari mendapatkan mereka dan memeluk erat anakanaknya untuk menghilangkan rindunya. Dia menangis dengan penuh rasa syahdu dan menadahkan tangan mengucapkan rasa syukur. “Terima kasih ya Allah atas segala rahmat-Mu, syukur alhamdulillah,” ucapnya dengan air mata yang berjurai di pipi.


122 HIKMAH Saat Aku Diuji Aidilfitri pada kali ini seperti hilang maknanya buat keluarga Rosli. Sebuah pemergian yang masih kukuh dalam ingatan. Belum separuh purnama umat Islam menunaikan fardu Ramadan, isterinya, Natasha pergi meninggalkan semua buat selama-lamanya. Pergi yang tidak akan kembali lagi. Anak sulung Rosli yang berusia empat tahun Jasmine, masih belum mengerti makna kematian. Jasmine masih mentah ketika kehilangan itu menjengah hidupnya. Ibunya kini tiada lagi di dunia fana ini. Nyawanya diragut wabak pandemik Covid-19 yang semakin parah menular. Pada tahun ini, keluarga Rosli bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri kelima buat mereka empat beranak. Rosli berusia dalam lingkungan 30-an, bekerja sambilan sebagai penghantar makanan. Dia diberhentikan kerja sebagai kerani di sebuah kilang syarikat perusahaan sarung tangan getah di ibu kota selepas berlakunya pandemik Covid-19 yang mencengkam ekonomi negara. Anak perempuan sulungnya Jasmine, baru berumur empat tahun tetapi sudah pandai membaca dan petah berkata-kata. Noah pula, anak lelakinya yang paling kecil, baru berusia dua tahun. Sementara Natasha pula, berumur hampir 30-an AIDILFITRI KETUJUH SITI NURAFIZAH BINTI MOHD ZAM ZAM & MUHAMMAD AINUR ROBBANI NASOHAH


HIKMAH Saat Aku Diuji 123 berkhidmat sebagai guru subjek Matematik di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Mereka menetap di pinggir kota raya dengan menyewa sebuah rumah flat kos rendah yang berkeluasan 780 kaki persegi kerana kos sewa rumah di bandar jauh berbeza berbanding pendapatan isi rumah mereka yang baru setahun jagung bertapak. Walaupun tempat tinggal hanya satu bilik kelamin dengan ruang tamu dan dapur yang sederhana, mereka sekeluarga bersyukur atas nikmat kurniaan Ilahi. Tinggal dua hari sahaja lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, Natasha tekun menceraikan daun palas dengan melebarkan setiap helaian daun untuk dijadikan hidangan juadah hari raya sekeluarga nanti. Daun palas sememangnya payah didapati apatah lagi di tengah-tengah bandar metropolitan ini. Harganya agak mahal, boleh menjangkau RM4.00 seikat. Setiap tahun apabila tiba hari lebaran, Natasha akan mempersiapkan juadah hari raya dengan membeli daun palas di Pasar Chow Kit yang bersaiz sederhana, panjang lebih kurang 60 hingga 80 sentimeter. Tidak terlalu panjang, tidak terlalu pendek. Natasha terkenang celoteh slanga utara arwah ibu mertuanya yang meninggal dunia disebabkan penyakit kencing manis baru-baru ini. “Suami hang tu kalau raya, dia suka makan ketupat palas, pi la cari daun palas yang comei-comei. Hang pilih la daun yang gemuk-gemuk, tak usah ambil yang kuruih kedengkiang, sat lagi sudah bubuh pulut nak ikat payah,“ pesan arwah mak mertuanya. Ketika sedang sibuk menyiapkan daun palas itu, Natasha menerima panggilan telefon. “Nama saya Hartini, Medical Assistant (MA) dari Covid Assessment Centre (CAC) Titiwangsa Kuala Lumpur. Boleh saya bercakap sebentar puan?” “Alamak, ujian apa pula yang datang ini?” soal


124 HIKMAH Saat Aku Diuji Natasha dalam hatinya apabila pembantu perubatan itu menghubunginya. “Ya boleh puan, silakan puan bercakap,” jawab Natasha selepas hampir tiga detik mendiamkan diri memikirkan musibah yang bakal mendatang. “Pihak kami ingin memaklumkan bahawa rakan sekerja puan, Encik Haris telah dijangkiti wabak Covid-19 varian Delta tiga hari yang lalu. Oleh itu, pihak kami sedang memeriksa semula kontak rapat pesakit ini bagi mengenal pasti penularan wabak ini. Bolehkah puan hadir ke CAC Titiwangsa esok untuk pemeriksaan?” jelas pembantu perubatan itu.. “Allah, betulkah? Baik esok saya akan usahakan hadir ke sana,” ujar Natasha memberi respon walaupun hatinya berat untuk bersetuju. “Terima kasih ya puan, esok jangan lupa bawa kad pengenalan dan memakai pelitup muka ya,” pesan pembantu perubatan itu lagi.. “Insya-Allah, sama-sama,” balas Natasha sebelum mematikan panggilan. Natasha masih terkedu selepas menerima panggilan itu. Fikirannya kusut berbaur sedih memikirkan nasib keluarga apabila dia menerima panggilan tadi. Natasha mengelamun jauh sambil kedua-dua tanganya menyisir perlahan dan memotong daun palas hampir sebakul di hadapannya. Dia merasakan dirinya seperti burung jampuk kesiangan, dirahap kain yang basah, jikalau di hulu airnya keruh, tidak dapat tidak di hilirnya keruh juga. Rosli baru sahaja pulang setelah separuh hari bekerja menghantar makanan yang dipesan kepada pelanggannya menerusi aplikasi Grabfood. Hampir setahun Rosli bergiat secara sambilan


HIKMAH Saat Aku Diuji 125 sebagai penghantar makanan. Peluang pekerjaan pada masa norma baharu ini amat sukar untuk diperolehi. Rosli masuk ke rumah dengan menolak daun pintu seraya memberi salam namun dia menyedari sapaannya tidak dijawab oleh isterinya yang kelihatan sedang mengelamun sambil memotong daun palas . Lantas Rosli mendekati dan merangkul lengan Natasha sambil tersenyum. “Jauh betul Ayang termenung, sampai tembus dinding rumah kita, fikirkan apa tu sayang?” seloroh Rosli sambil cuba untuk berjenaka walaupun tidak berapa lucu. “Ala Abang ni, Ayang tengah fikir macam-macam ni,” jawab Natasha dengan nada separa terkejut dan gembira atas kepulangan suaminya. “Barang yang saya pesan Abang ada belikah?” “Ada, ada atas meja sana Abang letak,” ujar Rosli “Ayang ada masalah apa? Tengok sedih semacam , macam ayam berak kapur saja,” kata Rosli cuba melawak dengan isterinya agar suasana di dapur itu tidak serius sangat. “Tiada apa-apa Bang, cuma baru sekejap tadi, CAC Titiwangsa hubungi Ayang, dia minta ayang pergi ke sana pagi esok untuk swab test. Sebab ada seorang staf pejabat di sekolah positif Covid-19. Macam mana ya Bang?” Natasha mengeluh sambil bercerita. Tampak dia agak kebingungan tambahan hari raya tidak lama lagi bakal tiba. Urusan dapur, rumah dan anakanak kebanyakan dia yang uruskan. Kadangkala suaminya turut membantu ringankan urusan di rumah jika tidak ke mana-mana. “Tidak mengapa, pergilah cek dulu, kalau positif nak buat bagaimana kan, kita patuh sahaja dulu arahan yang ditetapkan oleh kementerian kesihatan,” Rosli memberi pendapat, pada kali


126 HIKMAH Saat Aku Diuji ini nadanya agak mendatar tetapi riak wajahnya seperti tiada apa yang memberatkan fikirannya. “Baiklah bang, ayang bukan apa, risaukan anak-anak kita yang masih kecil ini. Kalaulah ayang tidak pergi juga ke pejabat tempoh hari pasti perkara ini tidak berlaku,” Natasha mengeluh sesal atas tindakannya pada minggu lalu, dia pergi ke pejabat walaupun suaminya menasihatinya agar tidak ke pejabat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Natasha terimbau saat suaminya memberi peringatan pada ketika itu. “Covid-19 ini tidak kenal orang muda ke orang tua, sekarang ini kes positif sudah menjangkau 12,000 kes tau, kerajaan pun keluarkan arahan kehadiran pejabat hanya 40 peratus, kalau ada apa-apa urusan boleh Ayang buat kerja dari rumah sahaja, anak-anak kita hantar ke pengasuh jiran sebelah kita, petang-petang kita ambil mereka semula,” tegas Rosli, memberi nasihat sebagai seorang suami yang bertanggungjawab. Selepas beberapa hari Natasha menjalani pemeriksaan ujian kendiri, laporan perubatan mengesahkan Natasha positif Covid-19. Maka seluruh keluarganya dikehendaki hadir ke CAC Titiwangsa untuk pemeriksaan dan dikenakan arahan kuarantin kendiri di rumah. Manakala Natasha dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan atas faktor implikasi kesihatan disebabkan jangkitan paru-paru tahap kelima. Selang beberapa hari kemudian, Noah, anak bongsunya dikejarkan ke hospital yang sama akibat sesak nafas yang berlarutan dan didapati positif Covid-19, sama seperti ibunya. Pagi hening Syawal disambut dengan seribu kesunyian. Rosli dan Jasmine meraikan pagi raya mereka dengan penuh syahdu. Ketiadaan ibu dan isteri tercinta ibarat karam di laut boleh ditimba, karam di hati bila sudahnya. Masa berlalu begitu pantas, memori indah bersama mereka kekal membungkam dalam benak hati.


HIKMAH Saat Aku Diuji 127 Pada hari raya ketujuh, Natasha telah menghembuskan nafas terakhirnya. Beliau telah pergi bertemu Azzawajalla Yang Maha Esa buat selama-lamanya. Syukur Noah telah dikeluarkan dari rawatan hospital. Tinggallah Rosli bersama anaknya bertiga. Detik dan saat Rosli bersama isteri tercinta tidak terkubur selama-lamanya. Anak-anak mereka yang masih kecil tidak sempat merasai kehangatan dakapan seorang ibu yang tidak lekang mencurah kasih dan sayang. Merelakan seseorang yang sangat bererti dan dicintai dalam hidup pergi adalah sesuatu yang amat sulit dilakukan. Ada perasaan sedih yang teramat dalam dan disertai kesepian yang memilukan. Setiap orang pasti pernah mengalami perasaan kehilangan. Rasa kehilangan itu terjadi ketika adanya kehampaan dalam hidup, sejak seseorang yang disayangi tidak lagi bersama menemani hari-hari yang dilalui bersama. Namun, sebesar apa pun rasa kehilangan itu, harus juga segera menghadapinya agar kesedihan itu tidak berlarutan. Kehilangan adalah cara terbaik untuk belajar ikhlas tanpa batas, merelakan pemergian. Kehilangan mendidik diri mengerti sebuah kehadiran, kasih sayang dan kesetiaan. Kehilangan membuat kita belajar untuk menerima dan mensyukuri dengan apa yang masih kita miliki. Kehilangan mengajar akan hikmah di sebaliknya. “Terima kasih sebab Abang telah banyak mencurahkan saya kebahagiaan. Terima kasih sebab datang dalam hidup saya, sudah mencintaiku dan menerima cintaku. Jaga baik-baik anak zuriat kita dalam reda Allah, semoga mereka membesar dalam tuntunan agama.” Kata-kata terakhir Natasha kepada suami tercinta akan tetap tersemat di ingatannya buat selamalamanya.


128 HIKMAH Saat Aku Diuji Pada 15 Januari 2021, hari Jumaat, aku dihubungi suami semasa dalam perjalanan balik dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau ke rumah ibu mertuaku di Sik, Kedah. Pada ketika itu aku baru sampai di Changlun Kedah, sempadan Negeri Perlis-Kedah. Kedengaran suaranya seperti ada sesuatu yang sangat penting yang ingin disampaikan. Dia meminta aku balik ke rumah dengan segera. Dia akan memberitahu apabila aku sudah sampai di rumah nanti. Aku memujuknya berkali-kali agar terus memberitahuku pada masa itu juga. Akhirnya dia mengalah. Dengan nada yang cemas, katanya, “Sayang, abang positif Covid-19 dan kakak pun positif juga.” Pada masa ini, aku berhenti di tepi jalan dan bercakap dengan tenang walaupun dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Allahuakbar, aku sangat terkejut kerana seingat aku tiada seorang pun kenalan rapat kami yang disahkan positif sebelum ini. Suami dan kakak ipar pun dikehendaki menjalani swab test sehari sebelumnya disebabkan telah mengambil cuti yang lama. Mereka bekerja di satu tempat di Pulau Pinang. Perbualan kami pada masa itu banyak berfokus kepada tindakan yang perlu dibuat dengan segera. Aku mengajak suami melihat apa keperluan andai kami sekeluarga turut disahkan positif. Suami belum tahu di mana dia dan kakaknya akan dikuarantin kerana masih menunggu pihak klinik panel mereka menguruskan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). AKU & COVID-19 NIK HASRAWATI NIK HASSAN


HIKMAH Saat Aku Diuji 129 Dalam keadaan perasaan yang bercampur baur, aku terfikir, tentang ubat suami yang hampir habis iaitu ubat darah tinggi, kolestrol, cair darah dan jantung. Sepatutnya padaminggu hadapan suami akan berjumpa doktor pakar bagi rawatan susulan di Hospital Pantai Sungai Petani Kedah. Suami sebelum ini mempunyai rekod kesihatan yang tidak baik dan pernah menjalani pembedahan memasukkan dua spring ke dalam saluran jantung yang tersumbat. Dengan kata lain, suami adalah dalam golongan yang sangat berisiko apabila dijangkiti Covid-19. Sebelum aku meneruskan perjalanan balik ke rumah, aku berpatah balik ke rumah kuarters di MRSM Arau. Aku perlu mengambil komputer riba, stok makanan kering dan basah yang sudah ada, baju-baju yang selesa jika aku juga disahkan positif dan akan dikuarantin di pusat kuarantin di bawah kelolaan KKM. Tanpa berjumpa sesiapa, aku terus bergerak balik ke Sik dan sempat menyinggah di farmasi untuk membeli ubat-ubat suami dan vitamin bagi tempoh sebulan. Alhamdulillah, stok ubat suami sudah ada dan aku berasa sangat lega. Sebelum balik ke rumah juga aku sempat menyinggah di kedai untuk membeli sedikit bekalan makanan dan keperluan kami sekeluarga. Pada masa ini aku teringat tip dan keperluan untuk orang yang positif covid-19 yang selalu dikongsikan dalam media sosial. Aku perlu bersedia menerima apa jua kemungkinan yang akan berlaku dan meyakini pasti ada hikmah di sebalik setiap peristiwa yang berlaku. Sejurus aku sampai di rumah, pihak KKM menghubungi kakak ipar. Mereka meminta kami sekeluarga yang tinggal serumah untuk ke klinik bagi menjalani swab test di klinik kesihatan yang telah ditetapkan. Pagi esoknya aku pergi ke klinik dengan membawa mak mertua dan dua orang anak buah yang berumur tiga tahun dan 10 tahun iaitu anak-anak kakak ipar bagi menjalani swab test.


130 HIKMAH Saat Aku Diuji Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan kami semua dipakaikan gelang yang paling ditakuti iaitu gelang merah jambu. Selepas segala urusan selesai, kami pun balik ke rumah dan bermulalah episod kami berkuarantin di rumah. Bermulalah pintu pagar dan pintu rumah ditutup rapat agar kami tidak menerima tetamu kerana lokasi rumah mak mertua di tepi jalan. Aku menghubungi beberapa orang kawan yang aku percaya untuk berkongsi tentang situasi yang kami sekeluarga sedang hadapi. Aku mengambil jalan untuk meluahkan segala perasaan yang terbuku di hati dengan harapan aku dapat menghilangkan kerisauan dan keresahan kerana aku agak risau dengan sejarah kesihatan suami. Alhamdulillah, kawan-kawan banyak memberi sokongan agar aku terus kuat dan tabah menerima apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku. Aku memilih untuk berhati-hati dalam berkongsi kisah ini kerana aku tidak mahu disalahertikan oleh kawan-kawan yang tidak memahami dan akan mendatangkan impak yang tidak baik kepada aku sekeluarga. Aku perlu lebih bijak dalam memilih kawan kerana kawan yang baik akan menjadi teman di kala aku ditimpa kesedihan. Dalam tempoh aku menunggu keputusan swab test, setiap hari pegawai KKM akan menelefon suami dan kakak ipar untuk menyemak tahap kesihatan mereka tanpa mengira waktu siang atau malam. Aku sangat teruja dengan komitmen yang mereka berikan dalam memastikan pesakit Covid dipantau sepenuhnya dan mendapat maklumat yang betul. Alhamdulillah, suami dan kakak tidak menunjukkan sebarang simptom dan hanya perlu meneruskan kuarantin diri di rumah. Kami mengamalkan meminum air kelapa, air lemon suam dan mengambil vitamin C. Alhamdulillah, kami semua tiada apa-apa simptom yang boleh merisaukan. Selera makan kami semakin bertambah terutamanya suami kerana banyak


HIKMAH Saat Aku Diuji 131 menghabiskan masa duduk di rumah sahaja. Pada hari ketiga, alhamdulillah, pihak KKM menghubungi kakak dan memaklumkan bahawa keputusan swab test kami berempat adalah negatif. Namun aku dipanggil sekali lagi untuk mengambil swab test. Jadi keesokannya aku pergi ke klinik sekali lagi seorang diri dengan harapan ujian pada kali ini adalah negatif juga. Seingat aku hari ini adalah Hari Inovasi dan Kualiti MRSM Arau 2020 yang mana aku adalah penyelarasnya. Aku cuba laksanakan tugasanku dengan baik dan tidak sangat memikirkan masalah yang menimpa kami sekeluarga. Dengan bantuan kawan-kawan dan pihak pengurusan, alhamdulillah program berjalan dengan lancar seperti yang diharapkan. Aku sangat lega. Sesudah subuh keesokan harinya, suami menerima panggilan dari pihak KKM memberitahu yang aku juga telah disahkan positif Covid-19. Terkedu seketika kami berdua di subuh hari itu. Seterusnya, suamiku berbincang dengan doktor yang memantau kesihatannya untuk memohon kebenaran agar kami berdua dapat menjalani kuarantin di rumah sendiri di Sungai Petani kerana risau dengan ahli rumah yang lain iaitu mak dan anak buah yang negatif tinggal bersama kerana keadaan rumah kampung yang kurang sesuai untuk kuarantn bersama-sama. Alhamdulillah, dengan memberi maklumat lengkap yang diperlukan, maka kami berdua mula menjalani kuarantin di rumah sendiri yang sebelum ini rumah ini dijadikan rumah persinggahan sahaja. Alhamdulillah, walaupun hanya rumah persinggahan, keperluan memasak dan bahan kering memang sudah ada di rumah ini. Jadi bolehlah dibuat bekalan untuk kami berdua sehingga habis tempoh kuarantin. Hampir dua minggu aku dan suami menjalani kehidupan sebagai pesakit Covid-19 yang dihubungi doktor setiap hari. Walaupun aku dan suami tidak mempunyai sebarang simptom


132 HIKMAH Saat Aku Diuji tetapi Covid-19 ini sangat menghantui aku. Aku sangat takut dan berasa sangat bersalah jika aku membawa virus ini kepada rakan-rakan dan ahli keluarga yang aku baru temui beberapa hari yang lalu. Perasaan bersalahku sangat tinggi pada waktu itu. Hanya pada Allah sahaja aku memohon pertolongan agar dapat menyelamatkan mereka terutama mereka yang baru sahaja aku temui. . Alhamdulillah, dengan sedikit kekuatan yang ada, aku mula menghubungi rakan-rakan dan ahli keluarga memaklumkan aku dan suami telah disahkan positif dan meminta bantuan mereka untuk memaklumkan kepada aku kembali jika mereka mempunyai sebarang simptom Covid-19 untuk aku panjangkan nama mereka kepada pihak KKM bagi menjalani swab test di klinik kerajaan. Telefon bimbit sentiasa ada dekat dengan aku dan kadangkala aku juga membawa telefon bimbit ke dalam bilik air kerana risau tidak mendengar jika ada panggilan yang penting. Kadang-kala aku terperasan telefon bimbit berbunyi padahal hakikatnya tidak ada pun panggilan masuk. Bermulalah episod aku dan suami menjalani kuarantin di rumah baharu di kawasan perumahan baharu yang belum ramai penghuninya. Kami belum mempunyai jiran pada waktu itu. Ramai lagi yang belum berpindah masuk ke rumah masingmasing disebabkan pandemik ini. Alhamdulillah, ini memberi sedikit kelegaan kepada aku kerana dapat melakukan aktiviti membersihkan rumput dan lalang di bahagian hadapan dan belakang rumah. Aku dan suami menggunakan sepenuhnya waktu kuarantin ini dengan aktiviti menanam pokok sayur-sayuran di bahagian belakang rumah dan menanam pokok bunga di hadapan rumah setiap pagi setelah selesai bersarapan. Benih-benihnya memang sudah lama aku membelinya tetapi tidak berkesempatan untuk


HIKMAH Saat Aku Diuji 133 menanamnya sebelum ini. Aku menanam pokok tembikai kuning, bendi, kangkung, sawi, kailan, bayam, daun sup, daun bawang, daun kesum, daun kucai, serai, halia, kunyit, cekur, ketumbar jawa dan ulam raja. Alhamdulillah, dengan aktiviti ini, aku dapat mengisi masa kuarantin dengan baik dan sekali gus dapat mengeluarkan sedikit peluh bagi memastikan badan terus sihat. Aku cuba mencipta hari-hari bahagia dalam hidup kami dan menjadikan tempoh kuarantin ini sebagai hari yang terbaik yang pernah aku lalui bersama suami. Bermula dari saat itu, kebun sayur aku semakin banyak mengeluarkan hasil hinggalah ke hari ini dan hasilnya sudah banyak aku kongsikan dengan jiran-jiran dan rakan-rakan. Dalam tempoh kuarantin ini juga, aku dan suami banyak mendekati diri kepada Allah dengan memperbanyakkan solat sunat dan membaca al-Quran. Kami banyak mengadu kepadaNya agar kami terus diberikan kesihatan yang baik. Kami banyak belajar mensyukuri segala nikmat yang telah diberikan selama ini iaitu nikmat kesihatan yang baik dan rezeki yang sentiasa ada. Kami yakin bahawa ini adalah ujian Allah kepada kami atas kealpaan kami selama ini terhadap-Nya. Aku sangat percaya setiap ujian yang diturunkan tersimpan seribu rahmat. Dalam tempoh kuarantin ini, aku dapat menghabiskan masa bersama suami dan dapat tinggal sebumbung. Kami sebenarnya pasangan jarak jauh (PJJ) yang kadangkala hanya dapat berjumpa pada hujung minggu jika suami tidak bekerja pada hari minggu. Jadi tempoh kuarantin ini, aku menggunakan sebaik-baiknya untuk berbakti kepada suami terutamanya dalam menjaga makan minumnya dengan baik. Aku sedar selama ini aku tidak dapat melakukan dengan


134 HIKMAH Saat Aku Diuji baik pada hari-hari biasa kerana tuntutan tugas masing-masing. Alhamdulillah, kami banyak melakukan aktiviti memasak dan mencuba menu baru. Setiap hari ada sahaja menu yang istimewa kami masak walaupun pada masa ini, stok bahan makanan agak terhad. Aku cuba membuatkan kami sentiasa berfikiran positif dan tidak berfikir sangat tentang Covid-19. Hampir dua minggu berlalu dengan ujian Covid-19 ini, masa yang ditunggu telah tiba. Aku dan suami dimaklumkan bahawa kami perlu ke pusat rawatan Covid-19 untuk proses pemotongan gelang. Alhamdulillah, aku sangat bersyukur atas segala rahmat-Nya kerana dapat menjalani kuarantin sepenuhnya tanpa sebarang simptom. Hanya Allah yang mengetahui perasaan ini yang bercampur baur. Kebimbangan aku kepada tahap kesihatan suami semakin hilang kerana kami akan disahkan bebas Covid-19 keesokan harinya. Aku percaya Allah telah membantu aku dan telah memakbulkan doaku. Allahuakbar. Keesokan harinya, aku bangun lebih awal dan menyediakan sarapan. Selepas menikmatinya, kami keluar ke pusat rawatan Covid-19 untuk proses pemotongan gelang. Orang sangat ramai tetapi keadaannya agak terkawal. Masingmasing menjaga jarak fizikal dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Kami diberikan nombor giliran dan diminta menunggu sehingga nombor tersebut dipanggil. Hampir dua jam kami menunggu sebelum dipanggil untuk pemotongan gelang merah jambu itu. Alhamdulilah, sukar untuk diterjemahkan perasaan pada ketika ini. Kami bebas daripada jangkitan Covid-19 yang telah menghantui kami selama hampir dua minggu. Air mata kegembiraan aku menitis pada waktu ini dan aku dipeluk dan ditenangkan oleh suami. “Terima kasih ya Allah, Kauhadirkan aku seorang suami yang telah melengkapkan hidup aku selama ini. Aku sangat


HIKMAH Saat Aku Diuji 135 bersyukur dengan apa yang telah Kauberikan kepada aku selama ini.” Selepas hampir empat bulan, sekali lagi aku dan suami dipakaikan gelang berwarna merah jambu. Suami diarahkan menjalani ujian calitan selepas rakan di tempat kerjanya disahkan positif dan aku hanya dipakaikan gelang berwarna merah jambu tanpa menjalani swab test. Jika suami aku disahkan positif, maka aku baru dikehendaki menjalani swab test selepas ini. Allahuakbar, sekali lagi kami diuji dan perlu menjalani kuarantin diri di rumah. Pada masa ini aku lebih berfikiran positif berbanding sebelumnya. Ini mungkin kerana sudah melalui pengalaman menjalani swab test dan kuarantin diri sebelum ini. Dengan kata lain, kami lebih bersedia menerima segala kemungkinan dan yang paling penting aku hanya duduk di rumah sebelum ini dan hanya suami sahaja yang keluar bekerja. Dengan kata lain, situasi ini dapat memutuskan rantaian Covid-19 yang semakin mengganas pada waktu itu jika kami disahkan positif. Setelah tiga hari kami menjalani kuarantin di rumah, kami dihubungi KKM dan memaklumkan bahawa hasil swab test adalah negatif. Kami diarahkan menjalani kuarantin tiga hari lagi seperti tarikh yang tertera di gelang tersebut. “Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas segala nikmat yang telah kauberikan.” Kuarantin pada kali ini kami lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Aku telah menguruskan semua dengan baik dari segi barang keperluan dengan bantuan suami. Seperti biasa, aktiviti kami, bercucuk tanam pokok sayuran dan bunga di samping membersihkan kebun di halaman rumah kami pada waktu pagi dan petang. Hari yang ditunggu, iaitu hari aku dan suami perlu


136 HIKMAH Saat Aku Diuji memotong gelang adalah hari yang paling gembira. Sangat gembira dan sangat bersyukur. Allah telah mudahkan segala proses kuarantin kami. Alhamdulillah, pada 26 Jun, akhirnya kami bebas daripada igauan gelang merah jambu yang paling ditakuti oleh semua orang pada waktu ini. “Ya Allah, kami sangat bersyukur atas segala nikmat yang telah Engkau berikan sepanjang kami diuji dengan virus Covid-19 ini. Kami memohon keampunan, berikanlah keberkatan-Mu, kerahmatan-Mu dan taufik hidayah-Mu. Ya Allah, kami mahu terus beramal ibadat kepada-Mu dan berbakti kepada keduadua ibu kami yang sangat memerlukan kami. Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusan kami, jauhilah kami daripada segala perkara yang tidak kami mampu kami hadapi. Ya Allah, Ampunilah kami ya Allah”. Bermula pada saat diuji itu, aku menyedari dan menginsafi bahawa Allah sedang mengajar aku. Allah sedang ‘menampar’ kesombongan dan kealpaan aku selama ini. Bermula dari itu, aku tanamkan dalam diri jika kita diuji, lihatlah kepada orang di sekeliling kita maka akan dapat melihat betapa ramainya orang lain yang turut diuji dengan Covid-19 ini dan bermacam-macam dugaan lagi. Mungkin ada di antara mereka yang telah diuji dengan lebih hebat terutamanya dengan kehilangan orang yang tersayang dalam sekelip mata. Allahuakbar. Walau apa pun yang berlaku, percaya dan yakinlah, Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar kemampuan kita. Dia tidak akan memberikan sesuatu yang kita mahu tetapi memberikan apa yang kita perlu. Semoga kita termasuk dalam golongan orang yang sentiasa menerima segala ketentuan dengan berlapang dada dan sentiasa berprasangka baik denganNya.


HIKMAH Saat Aku Diuji 137


138 HIKMAH Saat Aku Diuji


Click to View FlipBook Version