The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Eka Syafiqah, 2024-02-05 02:44:44

Hikmah Saat Aku Diuji

E-book Buku Hikmah Saat Aku diuji

HIKMAH Saat Aku Diuji 43 Usai mendengar penjelasan doktor yang merawat Papa melalui rakaman yang dihantar oleh adik pada jam 3.45 pagi, lidahku terkedu. Mataku berkaca. Hatiku remuk. Terlintas dalam fikiran, Papa akan pergi bertemu Ilahi. Mama memberi keputusan untuk membawa Papa pulang semula ke rumah. Adikku, Hasni juga memaklumkan kakitangan hospital sedang dalam proses persiapan dokumentasi dan prosedur hospital. Discharge at Your Risk. Minit, saat dan detik berlalu pantas. Jam 4.15 pagi, aku minta Mama hubungi adik. “Mama, Papa sudah tak ada… Papa sudah pergi… Papa sudah tak sakit lagi… Allah SWT sayang Papa,” ucap adik tersekatsekat, suaranya menahan sebak. Suasana rumah jadi sunyi sepi. Sayu. Terkejut. Semalam baru Papa mengadu sakit di bahagian perut dan mahu dapatkan rawatan di hospital. Suara mengerang kesakitan masih segar dalam ingatan ini. Mengalir deras air mata tanpa bicara. Berbelas tahun Papa ke hospital dan akan pulang semula ke rumah. Namun tidak pada kali ini. Setiap kali Papa ke hospital, kami akan sentiasa mohon Allah SWT pinjamkan kekuasaan-Nya agar Papa kembali sembuh. Tidak kusangka pada tahun ini, tahun terakhir kami bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. BERDAMAI DENGAN TAKDIR-NYA AIMA SYAMIMI BINTI MOHAMED RODZUAN


44 HIKMAH Saat Aku Diuji Fikiranku berkecamuk. Aku tidak sempat bersalam dengan Papa. Aku tidak sempat memohon maaf. Aku tidak sempat menjadi anak yang terbaik. Banyak perkara aku tidak sempat buat bersama-sama Papa. Papa ialah seorang ayah tiri yang baik. Mendidik dan membesarkan aku sejak aku berusia 11 bulan. Papa lindungi aku. Papa sentiasa ada tika aku jatuh. Papa sentiasa ada tika aku menangis. Papa sentiasa ada tika aku kecewa. Papa sentiasa ada tika aku sakit. Kejayaan aku sekarang kerana kasih sayang seorang ayah yang aku tidak pernah anggap dia sebagai ayah tiriku. Azan subuh berkumandang. Hujan turun renyairenyai. Kesejukan pagi menggigit kulit, seolah-olah mengiringi pemergian Papa pada pagi ini. Aku terus bangkit daripada lamunan dan mengajak Mama serta adik bongsu menunaikan solat. Tangisan mengiringi setiap pergerakan kami. Terasa kosong. Papalah insan yang mengimamkan kami sejak kecil. Papalah yang mendidik kami mengenal huruf-huruf dalam muqaddam. Semua kenangan bersama Papa kembali menghinggap kotak ingatan dan pastinya air mata mengiringi semua kenangan itu. Aku gagahi menyiapkan sarapan untuk keluarga dan menanti kepulangan Hasni. Papa meninggal dunia di Hospital Serdang. Oleh kerana pandemik Covid-19, pengurusan jenazah perlu melalui proses ujian pengesanan Covid-19 oleh Unit Perubatan Forensik. Hasni pulang pada jam 10.00 pagi tanpa van jenazah. Dia duduk diam dalam kereta tanpa bicara. Tertunduk rapat di stereng kereta. Badan dia lemah dan matanya bengkak. Mama minta Hasni terus mandi dan berehat.


HIKMAH Saat Aku Diuji 45 Keesokan hari, pihak Unit Perubatan Forensik menghubungi kami, memaklumkan jenazah arwah Papa bebas daripada Covid-19. Sebelum masuk waktu asar, van jenazah telah sampai di Masjid Raja Muda Musa, Pekan Semenyih. Jenazah dimandikan dan disolatkan oleh semua ahli keluarga dan wakil masjid. Mendung sahaja cuaca sepanjang menguruskan jenazah arwah. Raut wajah Papa tenang, putih dan bersih. Tiada lagi kelihatan wajah menahan kesakitan. Anak kecilku Zuyyin, berusia tiga tahun, bertanya apabila melihat air mataku asyik mengalir dan mataku merah, ”Ibu, kenapa Ibu menangis?” “Ibu menangis sebab Atok sudah meninggal,” ujarku dalam nada tenang. Sewaktu Papa diturunkan ke liang lahad, Zuyyin bertanya lagi, ”Ibu, Atok buat apa di bawah itu? Zuyyin nak ikut Atok.” Aku cuba kuatkan hati memujuk anak kecil yang memang rapat dengan Atok. Dengan hati yang penuh sebak dan menahan tangisan, aku memeluk erat anakku dan berkata, ” Zuyyin, Atok sudah meninggal dunia. Jumpa Allah SWT. Nanti kita pun akan ikut Atok juga.” Kami sekeluarga pulang dari tanah perkuburan ke rumah. Bermulalah kehidupan kami sekeluarga tanpa Papa di sisi. Aku dan Kak Aimi bergerak balik ke rumah masing-masing. Rumahku hanya lapan kilometer dari rumah keluargaku. Keesokan harinya, Hasni mula demam. Mama memuat naik gambar Hasni berselimut dan berwajah pucat, terbaring di katil arwah Papa. Pada hematku, Hasni hanya demam dek kerana keletihan dan kehibaan kehilangan arwah Papa. Ucapan ringkas aku membalas kepada Hasni, ”Alahai. Jaga diri ya Hasni.” Namun, tepat jam 7.00 malam, Hasni maklumkan yang dia ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan tanpa diduga keputusan


46 HIKMAH Saat Aku Diuji ujian swab Kit Ujian Pantas (RTK)-Antigen COVID-19 Hasni positif. Aku terkedu. Tanah kubur arwah Papa masih merah semerah mata kami sekeluarga yang belum lagi pulih daripada terganggu emosi atas kehilangan insan yang paling kami sayangi. Maka bermula episod perjuangan menghadapi pandemik Covid-19 dalam sejarah keluarga kami. Pada waktu genting sebegini, suami aku tiada di sisi. Dia terlibat dengan operasi sulit. Suamiku salah seorang frontliner. Bagai kaca terhempas ke batu, kami semua berlapan merupakan kontak rapat kepada Hasni. Tanpa berlengah, kami ke klinik swasta yang membuat perkhidmatan saringan ujian swab RT-PCR dan memaklumkan kepada ahli keluarga yang juga terlibat ketika urusan pengebumian arwah Papa. Keputusan ujian saringan dijangka keluar dua hingga ke tiga hari. Kami semua sudah mula bergejala ringan seperti batuk dan selesema serta lenguh badan. Hanya Zuyyin si cilik masih aktif dan tidak menunjukkan sebarang gejala. Namun, jauh di sudut hati berbisik dan berharap kami semua tidak dijangkiti. Detik demi detik berlalu. Klinik telah memuat naik keputusan melalui WhatsApp. Menggigil jari membuka keputusan ujian. Positif! Kami semua berkongsi keputusan saringan dalam group WhatsApp. Aku, Mama, Kak Amy, Abang Kamarul, Anna, Amiril dan Raihana disahkan POSITIF COVID-19. Kecuali Zuyyin. Sudah tentu aku panik. Suamiku tiada di sisi. Hanya aku berdua dengan Zuyyin di rumahku. Deras air mata turun. Ya Allah, berat sungguh ujian yang Engkau berikan. Aku bingung. Pelbagai persoalan menghimpit fikiran dan dada. Kami semua positif kecuali Zuyyin. Adakah Mama pun akan pergi meninggalkan aku? Adakah aku akan pergi mengikut jejak arwah Papa dan meninggalkan Zuyyin berusia tiga tahun ini? Ubat-ubatan dan bekalan makanan langsung tiada di rumah.


HIKMAH Saat Aku Diuji 47 Kawan baik ibuku, Cik Ida menawarkan bantuan untuk menjaga anak kecilku. Pada ketika ini, aku terharu dan tetap bersedih. Aku rasa seolah-olah malam ini kali terakhir aku berjumpa dengan anak kecilku. Pada saat, Cik Ida mengambil Zuyyin, air mataku menitis deras. Ya Allah, sesungguhnya jika ini kali terakhir aku bertemu dengan anakku, aku berserah kepadaMu segala urusan anakku yang aku amat sayangi. Malam pertama bersendirian, mama hubungi aku. Mama beritahu Hasni mula meracau dan badan dia sangat lemah. Oleh kerana Mama dan Hasni mengalami trauma bagaimana arwah Papa mendapatkan rawatan di hospital, mereka enggan menghubungi ambulan. Aku akur dengan keputusan Hasni. Aku hanya minta adik untuk mengawal pernafasan. Hatiku penuh dengan kerisauan. Batuk bersilih ganti dengan titisan air mata. Aku sukar untuk melelapkan mata dan sampailah waktu genting jam 2.00 pagi. Aku mula sukar bernafas. Lintasan hati daripada Allah SWT hanya terdetik untuk hubungi sahabatku, Beliau untuk bantu aku. Kak Wanzu cuba menenangkan aku. Kak Wanzu juga sarankan aku untuk ambil plastik dan bernafas dalam plastik tersebut. Kak Wanzu menyebut Allah… Allah…Allah…kepada aku dan minta aku cuba bernafas menggunakan mulut. Badanku panas dan berpeluh dingin walaupun kipas berpusing pada kelajuan tertinggi. Saat-saat genting itu berlalu dengan baik. Aku dapat mengawal pernafasan melalui mulut dan tidur secara duduk di kerusi di ruang tamu. Keesokan hari, aku menghubungi doktor yang mengesahkan keputusan ujian saringan. Dr Abu memberikan khidmat profesional dan arahkan aku rujuk ke Covid-19 Assessment Center (CAC) yang berdekatan. Dr Abu juga berkata, sewajarnya Zuyyin dikuarantin bersama aku kerana Zuyyin dalam kategori kontak rapat dan mungkin boleh menjangkiti


48 HIKMAH Saat Aku Diuji Cik Ida sekeluarga. Aku terdiam. Semalaman aku panik. Aku berdoa agar Zuyyin tidak dijangkiti dan menjangkiti keluarga Cik Ida. Aku hubungi Mama untuk memaklumkan tentang nasihat doktor. Mama menghubungi Cik Ida dan menjelaskan. Beliau setuju untuk menghantar semula Zuyyin. Alhamdulillah. Terima kasih Cik Ida. Kaunselor maktabku, Dr Jamaliah memperkenalkan aku dengan Dr Salpiah, Kaunselor BSM dan beliau merupakan salah seorang Covid-19 Fighter. Dr Salpiah menghubungi aku menceritakan pengalaman dia dan segera meminta aku mendapatkan oximeter untuk memantau bacaan kadar kepekatan oksigen dalam darah Hasni setelah aku menceritakan keadaan Hasni kepadanya. Aku bergegas menghubungi jiran rumah Mama, Cik Ita, juga telah dijangkiti Covid-19 untuk meminjamkan oximeter. Bacaan oximeter Hasni ialah 84 peratus. Mama telah membeli silinder oksigen dari farmasi berhampiran rumah untuk membantu meningkatkan bacaan kadar kepekatan oksigen dalam darah. Sahabat karibku di tempat kerja lama, Syira Zakaria menghubungi aku setelah aku memaklumkan keadaan terkini kami sekeluarga. Syira menjelaskan bahawa keadaan Hasni perlu dapatkan rawatan di hospital secepat mungkin kerana bacaan oximeter itu rendah. Alhamdulillah, tepat jam 12.30 tengah malam, mama hubungi ambulan dan memaklumkan bacaan kadar kepekatan oksigen dalam darah Hasni tidak menunjukkan peningkatan. Jam 1.15 pagi, ambulan sampai dan membawa pergi Hasni ke Hospital Kajang. Benar seperti kata oleh Syira, status serangan Covid-19 pada Hasni bertukar kepada Tahap 4. Kak Aimi, pula dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu kerana bacaan tekanan darah sangat rendah walaupun telah dimasukkan drip semasa penilaian di CAC.


HIKMAH Saat Aku Diuji 49 Ya, walaupun aku hanya dikenalpasti dalam kategori Tahap 2, emosi aku terganggu dengan keadaan ahli keluarga yang aku sayangi. Setiap masa penuh debaran. Setelah aku ke CAC, Dr. Adibah meminta aku untuk bertenang dan berehat setelah mendengar penjelasan tragedi yang berlaku malam tersebut. Dr Adibah memaklumkan tragedi tersebut adalah anxiety attack. Dr Abidah juga menyatakan bahawa pesakit yang telah mendapat vaksin akan mengalami simptom ringan sahaja. Aku dan Mama telah cukup lengkap dua dos vaksin. Hasni, Anna dan Abang Kamarul baru dos pertama. Manakala, Kak Aimi, Amiril dan Raihana belum mendapat temu janji lagi. Kami sekeluarga juga seperti semua pesakit Covid-19 yang lain berikhtiar dengan semua tips yang disarankan dan juga tidak putus-putus berdoa. Hari berganti hari, sehinggalah semua ahli keluargaku semakin kembali pulih dan baik. Hasni dan Kak Aimi telah keluar dari hospital. Keputusan ujian saringan kedua untuk Aainnur Zuyyin negatif. Alhamdulillah. Perancangan Allah SWT itu hebat. Sebenarnya dalam melalui perjuangan kami sekeluarga menghadapi kehilangan arwah Papa dan melawan Covid-19, perkara yang utama ialah berdamai dengan takdir-Nya. Kerisauan dan ketakutan pada perkara yang belum pasti berlaku adalah kesakitan yang bakal mematikan diri sendiri. Berdamai dengan takdir-Nya kerana banyak perkara yang menjadi rahsiaNya dan kita sebagai hamba-Nya wajib meminta daripada-Nya. Jaga diri. Jaga emosi. Jangan bebankan kesakitan fizikal dengan kesakitan emosi. Aku bangkit mencari kekuatan dan kekuatan itu datang daripada-Nya. Pertolongan Allah SWT kepada aku dan keluargaku teramat banyak melalui hamba-hamba-Nya yang berkasih sayang kerana Allah SWT. Aku berjanji pada diri aku, mulai 1 Muharram 1443H, aku pegang teguh dalam hatiku, aku akan berdamai dengan semua takdir-Nya untukku.


50 HIKMAH Saat Aku Diuji PKRC Politeknik Port Dickson Kisahnya bermula pada hari Rabu 26 Mei 2021. Pada tengah hari itu aku mendapat panggilan telefon dari Covid Assessment Centre (CAC) Seremban. Aku dan isteri didapati positif Covid. “Encik Amar, ambulan akan tiba sebentar lagi untuk mengambil encik dan isteri, ” kata suara halus seorang perempuan di hujung talian. Dalam keadaan berdebar itu, aku dan isteri segera bersiap dan mengemas barangan keperluan. Kami akan dibawa ke Akademi Pembantu Perubatan Seremban. Di CAC ini, tiga orang pembantu perubatan merekodkan kondisi kesihatan kami dengan mengambil bacaan suhu, tekanan darah serta paras oksigen. Prosedur ini bagi menentukan pesakit itu akan dihantar ke hospital atau ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid (PKRC). Aku dihantar ke PKRC di Politeknik Port Dickson kerana keadaan kesihatan aku baik. Pada pukul 7.00 petang itu, bersama-sama yang lain, aku dihantar ke PKRC dengan menaiki bas. Kami tiba di Politeknik Port Dickson pada pukul 8.30 malam dan diturunkan di hadapan bangunan asrama 10 tingkat yang bakal menjadi kampungku untuk 10 hari hingga tempoh kuarantinku tamat. Selepas proses pendaftaran, semua pesakit lelaki dibawa ke bilik masing-masing. Aku dibawa ke 403, bilik yang sudah berpenghuni. Jurnal COVID AMAR AMAR AMIR BIN OMAR


HIKMAH Saat Aku Diuji 51 Malam itu aku demam amat panas. Hanya selepas makan paracetamol barulah demam kebah. Peluh keluar dengan banyak. Aku kesejukan kerana tidur tanpa selimut. Hari kedua, Khamis Seawal pukul 4.30 pagi, aku sudah bangun. Aku batuk teruk, seolah-olah berlawan dengan Encik Azeman yang juga batuk tidak berhenti-henti. Kami solat berjemaah, berimamkan Encik Azeman. Benarlah dia ini dari kluster surau. Sedap bacaan dan panjang doanya. Pada pukul 11.00 pagi seorang jururawat datang menyerahkan surat pelepasan buat Hadif, Abang Badrul Zaman dan Encik Azeman penghuni bilikku. Mereka tersenyum keriangan dan berswafoto sebagai tanda ingatan. Abang Badrul Zaman memberikan aku satu pek Milo 3-in-1 dan sekotak biskut Jacob Cream Crackers sebagai bekalan aku di sini. Terima kasih abang. Pada malam ini ada penghuni baru bilik kami. Encik Shamsuddin atau lebih senang dipanggil Uncle Sam yang dihantar ke bilik ini oleh pembantu hospital dengan berkerusi roda. Berumur 66 tahun, Uncle Sam adalah bekas polis berkhidmat sejak 1976. Mukanya yang serius mengingatkan aku kepada watak Sarjan Misai lakonan A Galak. Bagaimanapun, beliau seorang yang peramah, suka memberi nasihat dan sangat pemurah. Dia menghadiahkan aku satu tiub Redoxon, supplement vitamin C, untuk kegunaanku. Malam ini aku masih lemah. Demam masih kuat. Aku makan ubat panadol dan aku tertidur dengan berbekalkan kehangatan jaketku. Aku terjaga pada pukul 2.30 pagi. Bajuku lencun. Sejuk sekali. Mungkin aku overdose ubat demam. Aku terus tukar baju hospital dengan baju kemeja T Camel Active. Aku mula terbatuk-batuk pada pukul 4.30 pagi, batuk yang luar


52 HIKMAH Saat Aku Diuji biasa sehingga aku termuntah. Aku tukar baju dan kain pelikatku yang basah. Nafasku pendek-pendek, sukar sekali untuk tidur. Perlahan-lahan aku baca selawat. Nafasku pun semakin perlahan mengikut ritma selawat. Aku tertidur dalam pelukan selawat. Pada pagi esoknya aku masih lagi lemah, Demam sudah kebah tetapi setiap gerak geri aku diselangi batuk, kahak dan hingus. Aku duduk terbaring sahaja. Uncle Sam cuba menaikkan semangatku tetapi aku cuba balas sikit-sikit sahaja kerana terlalu letih dan sakit. Aku cuba solat asar. Bacaan ayat suci al-Quran aku diselangi dengan batuk yang amat dahsyat, terasa bagaikan terkoyak rongga dadaku. Inilah solat yang paling perit pernah kurasa seumur hidupku. Seusai solat aku perlahan-lahan turun ke bilik gerakan PKRC di tingkat 2. Tidak lama kemudian dua orang jururawat sampai dan mengambil bacaan oksigenku, 89. Ini sudah kritikal. Jadi mereka memakaikan topeng oksigen untuk membantuku bernafas. Apabila difikirkan semula, dengan badanku yang letih lesu, kekurangan oksigen dan tenaga, bagaimana aku mampu berjalan turun ke bilik gerakan PKRC pada petang itu? Ini semua kuasa Tuhan yang memberikan aku kudrat terakhir sebagai langkah penyembuhanku. Aku amat bersyukur kerana Allah selalu berada bersamaku, terutamanya pada saat-saat genting sebegini. Dr Fahmi tiba di bilik gerakan PKRC selepas waktu maghrib. Beliau memberiku beberapa ubat untuk membuka rongga-rongga peparuku. Namun oksigenku kekal rendah. Beliau menggeleng beberapa kali dan dengan segera menulis laporan untuk transfer aku ke fasiliti yang lebih lengkap. Pada pukul 9.00 malam ambulan sampai tetapi bukan ambulan KKM yang biasa. Dengan sticker jalur hijau muda ia


HIKMAH Saat Aku Diuji 53 lebih kelihatan seperti van kitar semula. Ambulan meluncur laju memecah keheningan malam lebuhraya Port Dickson. Daripada dalam ambulan, aku cuma dengar sayup-sayup bunyi siren. Kulihat pantulan warna merah lampu ambulan berbalam-balam di papan-papan tanda sepanjang perjalanan, mengingatkan aku babak dalam filem Bringing Out the Dead arahan Martin Scorcese lakonan Nicolas Cage. Keadaan jalan yang tidak rata membuatkan aku terlompat-lompat di atas katil laksana menaiki roller coaster. Pada pukul 11.00 malam, aku sampai di Hospital Tampin dan disambut oleh pasukan kesihatan yang diketuai Dr Soffi. Dengan cekap beliau mengambil darah aku dengan cekap dan profesional. Dr Soffi mengira bilangan nafasku dan prognosis beliau mengatakan pernafasanku amat tidak elok dan insyaAllah rawatan di sini akan cuba menyembuhkan aku semula. “Amar, kenapa kamu tidak datang awal? Kamu ingat kamu sakit sama macam orang lainkah?” kata Dr Soffi sambil berseloroh. Sungguh, aku sendiri tidak tahu begitu serius dan kritikalnya tahap kesihatanku pada ketika itu. Sekiranya Allah tidak memberiku kekuatan untuk aku ke Bilik Gerakan PKRC, sekiranya jururawat tidak cepat-cepat memasang topeng oksigen, sekiranya Dr Fahmi tidak cepat-cepat membuat laporan pemindahan ke hospital, sekiranya ambulan tidak cepat bergegas ke Tampin, sekiranya..., ini semua adalah aturan yang Maha Cantik oleh Allah Taala dalam mengatur perjalanan Covid-19. Aku sujud kesyukuran menanti hari-hari lebih indah di Hospital Tampin. Aku solat jamak takhir di katil. Seusai solat aku terlena disulami dengan mimpi-mimpi indah. Aku di Hospital Tampin


54 HIKMAH Saat Aku Diuji Hari pertama aku di Hospital Tampin, seawal pukul 6.30 pagi, kumpulan jururawat dan doktor mengusung alat pengukur BP dan oksigen dan memeriksa kondisi pesakit dari katil ke katil. Kemudian kami diambil darah nadi sekali lagi dan dicucuk agen pencair darah di perut. Aku bangun dengan rasa segar. Tiada lagi demam, batuk mahupun selsema. Rupa-rupanya batukku yang teruk itu adalah semput kerana aku berjalan terlalu jauh. Jadi Dr Soffi memesan aku jangan sekali-kali meninggalkan katil. Walhasil, aku tidak lagi batuk dan aku berasa kuat dan selesa. Sukatan oksigen aku menunjukkan 94, peningkatan yang baik berbanding semalam. Alhamdulillah. Doktor pagi itu mengajar aku teknik deep breathing bagi mempercepatkan kemajuanku. Hirup udara 10 saat, tahan dan hembus perlahan-lahan. Setiap setengah jam aku mempraktikkan teknik ini. Pada pukul 3.50 petang, aku menerima panggilan telefon daripada bapa mertuaku, Haji Jamaludin yang sudah seminggu mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ). Beliau bertanyakan khabarku. Kandungan oksigennya kini pada paras 94 dan doktor meminta dia menaikkan melebihi 95 jika mahu pulang. Aku yakin bapa mertuaku ini akan sihat dalam sedikit masa lagi. Pada petang itu aku berkomunikasi dengan Puan Mimi Mazlin Pengarah Pejabat MARA Negeri (PMN) Negeri Sembilan. Beliau menawarkan untuk memberi sedikit sumbangan barang dapur untuk keluargaku di Seremban. Tidak lama selepas itu Puan Mimi menunjukkan gambar barang-barang dapur yang sudah dihantar di hadapan pintu pagar. Sungguh pantas tindakan tim PMN NS. Syabas!


HIKMAH Saat Aku Diuji 55 Dengan segera aku mengabadikan kisah ini di Facebook dan bantuan prihatin PMN NS ini telah menerima pujian hebat daripada semua pihak! Sekitar jam 9.00 malam, aku menerima perkabaran daripada isteriku, Hospital HTJ telah mengambil keputusan untuk menidurkan bapa mertuaku dan pernafasan beliau kini melalui bantuan mesin ventilator. Ini kerana kandungan oksigennya jatuh sehingga 52 peratus secara tiba-tiba. Aku berasa amat terkejut dengan perkembangan ini kerana aku baru sahaja bercakap dengannya pada petang tadi. Seusai solat subuh hari ketiga, aku terus memohon bantuan rakan-rakan pejabat, rakan-rakan media sosial untuk berdoa dan sedekahkan bacaan Yasin kepada bapa mertuaku yang sedang kritikal. Alhamdulillah berpusu-pusu mesej masuk menunjukkan gambar mereka turut membaca Yasin untuk bapa mertua. Aku amat terharu dengan pertolongan sahabatsahabatku ini. Hari ini ada pesakit di bilikku telah meninggal dunia dan tubuhnya sudah diselimuti cadar putih. Tidak lama kemudian sekumpulan jururawat datang dan menguruskan jenazah yang dimasukkan ke dalam plastik mayat. Bau kapur barus yang disembur pada plastik mayat masih terlekat di rongga hidungku hinggalah ke lewat petang. Hari keempat, Selasa 1 Jun - 4.30 pagi Aku dikejutkan daripada tidur oleh bunyi persis nangka busuk terjatuh. Rupa-rupanya ada pesakit kritikal di bilik bertentangan jatuh daripada katil. Mak cik berketurunan India di sebelahannya dengan cemas bercerita dengan mendepadepakan tangannya sambil menunjukkan jirannya yang tertiarap di atas lantai.


56 HIKMAH Saat Aku Diuji Tiada kelibat seorang jururawat pun maka aku mengambil inisiatif berjalan ke kamar jururawat di hujung wad. Aku mengetuk pintu perlahan dan meminta mereka melihat keadaan pesakit yang terjatuh itu. Rupa-rupanya jururawat itu baru hendak melelapkan mata. Ada sekelumit rasa bersalah di hatiku kerana mengganggu waktu rehat mereka. Baru kutahu uncle itu memang jenis susah duduk diam dan seringkali terjatuh katil. Rasanya, orang sebegini perlu diikat di katil barulah dia boleh duduk diam. Lewat petang itu ada kematian baharu di bilik bertentangan. Pada sebelah malamnya pula, Pak cik di katil hadapanku meracau-racau. Entah apa yang diperkatakannya. Tidak lama kemudian jururawat datang ke tempatnya membuat video call bersama keluarganya. Menurut jururawat, pak cik ini sudah nazak dan mungkin akan dijemput Allah tidak lama lagi. Jururawat memintaku menyimpan nombor telefonnya dan meminta aku agar menghubunginya jika pak cik nazak pada malam ini. Hari kelima Aku terlewat bangun pada pagi ini, subuh gajah. Moga Tuhan mengampuniku kerana kelewatan ini. Aku sungguh malu kerana aku sering berdoa mohon agar lekas sembuh tetapi aku gagal menunaikan suruhan-Nya dengan sempurna. Pak cik di katil hadapanku tidak lagi meracau-racau. Matanya terbuntang memandang ke siling. Dadanya turun naik setiap kali bernafas membuatkan tegak bulu roma bagi sesiapa yang melihatnya. Jururawat meminta aku memaklumkan kepadanya dengan segera sekiranya pakcik di katil bertentangan sudah nazak. Apakah tanda beliau sudah nazak? Aku pun tidak tahu tetapi aku tetap melepaskan pandanganku ke katilnya pada setiap lima minit, walaupun hati kecilku gerun juga sebenarnya.


HIKMAH Saat Aku Diuji 57 Lewat petang itu, Angiogram menunjukkan garis lurus horizontal seperti dalam filem/drama sedih. Monitor tekanan darah juga menunjukkan 0/0. Dua orang jururawat datang menguruskan jenazah itu. Juadah makan malam kami, nasi kuning, ayam rendang dan sayur bayam. Kami semua hanya meletakkan bekas plastik itu di bucu meja. Selera kami semua telah ditutup oleh peristiwa menggoncangkan jiwa lewat petang tadi. Pada subuh Jumaat 4 Jun, aku dikejutkan dengan bunyi riuh rendah dari bilik bertentangan. Sekumpulan jururawat mengerumuni pesakit yang baru dimasukkan semalam. Terlalu letih untuk mengambil peduli, aku meneruskan tidurku. Lewat petang aku melihat sekujur tubuh dibalut kain cadar putih di katil bilik bertentangan. Satu lagi roh kembali kepada pencipta-Nya. Hari Keenam - 8.30 pagi Alhamdulillah rakan-rakan di pejabat mengadakan sesi bacaan Yasin khas melalui Microsoft Teams. Ada 36 peserta semuanya termasuk pengurusan tertinggi Bahagian Kewangan (BKW). Terubatlah juga hatiku melihat wajah-wajah familiar walaupun cuma secara maya. Semoga bacaan Yasin pagi ini menjadi asbab untuk kesembuhanku daripada virus Covid-19 ini, amin. Doktor yang melakukan rondaan memaklumkan aku mungkin boleh discaj dalam masa dua hari, dengan syarat keputusan analisa darahku bertambah baik. Aku bersyukur dengan perkembangan positif ini. Kadar oksigen darahku juga agak tinggi pagi ini pada 97 peratus tanpa bantuan oksigen. Alhamdulillah.


58 HIKMAH Saat Aku Diuji 10 minit sebelum jam 12 malam, terdengar bunyi riuhrendah lagi dari bilik bertentangan. Jururawat mengerumuni uncle yang selalu jatuh katil. “Uncle, buka mata uncle.” Aku memejamkan mata dan cuba untuk tidak memikirkan apa yang sedang berlaku di hadapanku. Esok tengah harinya, beberapa orang jururawat dan doktor mengerumuni katil uncle lagi. Dengan telefon bimbit di tangan, doktor cuba video call dengan ahli keluarganya, barangkali video call untuk kali yang terakhir. Aku baru selesai solat asar di ruang solat. Sekembalinya aku ke kamar, kulihat monitor di sebelah katil uncle menunjukkan garis panjang horizontal. Tekanan darah juga menunjukkan 0/0. Nampaknya uncle sudah berangkat ke perjalanannya yang terakhir. Selamat jalan uncle. Pastinya selepas ini uncle tidak akan jatuh katil lagi. Hari Ketujuh Pada petang itu, doktor membawakan berita yang paling kutunggu-tunggu. Alhamdulillah keputusan ujian darahku cantik. Jadi aku dibenarkan pulang hari ini, cuma perlu menunggu surat pelepasan daripada pihak hospital. Hatiku girang tidak terkata kerana penantianku kini sudah berakhir. Alhamdulillah syukur ya Allah. Hari Kelapan Aku melaungkan azan subuh terakhir di Wad 2C. Sayu suaraku mengisi ruang udara. Tiga belas hari berlalu bagaikan mimpi. Aku masuk dalam keadaan yang sakit, Allah telah menyembuhkanku. Aku masuk sebagai insan yang alpa dan leka, Allah mengingatkanku. Aku hadir sebagai hamba yang sesat, Allah mengembalikan aku ke jalan-Nya yang lurus. Aku amat bersyukur atas peluang kedua ini. Semoga aku istiqamah dalam mencari reda Ilahi.


HIKMAH Saat Aku Diuji 59 9.00 pagi Alhamdulillah, selepas dirawat di Hospital Tampin, akhirnya jam 9.00 pagi 9 Jun 2021 aku dibenarkan discaj. Segala puji bagi Allah, yang menyembuhkanku daripada sakit, membimbingku daripada kealpaan, dan memberikan aku peluang kedua kepada kehidupan. Terima kasih kepada isteri, ahli keluarga dan sahabatsahabat yang tidak putus-putus berdoa dan memberikan katakata semangat sepanjang perjalanan Covid-19 ini. Hanya Allah sahaja mampu membalas jasa kalian. Terima kasih juga kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa pesakit-pesakit Covid-19, terutamanya barisan hadapan di Hospital Tampin ini. Semoga Allah merahmati.


60 HIKMAH Saat Aku Diuji Pada 23 Julai Jumaat 2021, aku mendapat perkhabaran Abah dan Mama disahkan positif COVID-19. Aku sebenarnya baru sahaja sampai di Pulau Pinang pada petang hari Selasa itu (Hari Raya Aidiladha) selepas balik menghantar Abah dan Mama untuk divaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 20 Julai 2021, Isnin. Selepas mendapat vaksin pertama itu, Abah mula demam. Pada fikiranku, itu perkara normal selepas divaksin. Selepas itu kuberikan Abah dan Mama makan panadol dan menasihati mereka berehat. Mama membentangkan tilam dan Abah pun berbaring di hadapan televisyen sambil berselimut, aku sudah tidur sambil memeluk Abah seperti biasanya. Lagipun aku sudah berpesan kepada semua adik-beradik Abah dan Mama supaya tidak datang beraya di rumah memandangkan Abah tidak berapa sihat. Memang kami bertiga sahaja di rumah, aku anak tunggal. Seawal pagi, aku sudah bersiap-siap hendak pulang ke Pulau Pinang kerana aku bekerja di sana, dan hanya mendapat kebenaran merentas negeri untuk menghantar Abah dan Mama divaksin sehingga selesai urusan. Sewaktu hendak balik, aku mencium tangan Abah. Dia tidak menghantar aku ke pintu hadapan hanya Mama yang melambaiku sehingga keretaku hilang daripada pandangannya. Aku tidak berapa kisah kerana aku tahu keadaan Abah yang lemah. Biarlah Abah berehat dan rupa-rupanya itulah kali terakhir aku mencium tangannya. Entri PERJALANAN AKHIR ABAH AZAMUDDIN BIN A RASHID


HIKMAH Saat Aku Diuji 61 Abah masih tidak kebah. Pada pukul 10.00 pagi, Pak Lem menghubungi aku di pejabat memaklumkan keadaan Abah. Pada waktu itu, Mama masih menemankan Abah membuat rawatan. Aku mula menangis, “Ya Allah, apa yang perlu aku buat? Hendak balik memang tidak boleh. Hendak rentas negeri, apa alasanku?” Petang itu, selepas Abah dan Mama disahkan positif Covid 19, aku terus membuat swab test juga. Alhamdulillah negatif. Pada malam itu, aku membuat panggilan video dengan Abah dan Mama dan aku masih berulang kali bertanya mereka, “Kenapa Mira negatif? Kenapa Mama dan Abah saja yang positif?” Dunia ini kurasakan seperti hendak terbalik. Aku paling risaukan Abah kerana Abah menghidap penyakit kencing manis yang berat dan sewaktu aku diberitahu Abah positif, fikiranku menjadi semakin buntu. Namun aku bersyukur sangat kerana Mama tidak bergejala. 24 Julai Sabtu 2021 Seawal jam 5.45 pagi, Mama menghubungiku dan menyatakan bahawa Abah menyuruh aku menelefon ambulan segera kerana dia sudah tidak tertahan lagi. Allah sahaja yang tahu betapa paniknya aku pada ketika itu. Untuk mendapatkan perkhidmatan ambulan dengan segera bukannya semudah itu terutamanya bagi mereka yang berada di Selangor. Dengan bantuan Pak Lem dan Maksu juga, rezeki Abah Allah permudahkan. Ambulan tiba pada jam 9.15 pagi. Mengikut seperti yang dimaklumkan pagi tadi, mereka akan menghantar ambulan dalam masa dua hari lagi kerana keadaan kes di Selangor pada ketika ini sangat kritikal. “Kesihatan Abah ini sudah merosot Mira, kalau Abah tidak balik, jaga diri elok-elok, jaga Mama,” pesan Abah dalam nada tertahan-tahan sebelum ambulan sampai. Aku yang dalam


62 HIKMAH Saat Aku Diuji keadaan tidak keruan pada waktu itu semacam mahu menangis tetapi akhirnya aku meraung juga. “Tak Abah, Abah balik, Abah pergi sekejap sahaja. Abah balik. Nanti sudah baik Abah balik,” teriakku. Pada malam itu mataku bengkak kerana tidak henti-henti menangis. Sesungguhnya aku tidak mahu kehilangan Abah. Perasaanku yang meronta hendak balik hanya Allah sahaja yang tahu. Abah sudah tentu berada di hospital. Mama pula seorang diri di rumah. Betul seperti kata kawanku, walaupun tiada bergejala tetapi oksigen boleh jatuh pada bila-bila masa jika tidak dipantau. Pada waktu itu hati dan jiwaku semakin bercelaru, setiap 30 minit aku akan membuat panggilan video dengan Mama dan Mama pun begitu juga, setiap masa mesti menelefon aku. Aku cuba menghubungi Abah semula, bertanyakan keadaannya. Abah memberitahu yang keadaannya masih baik dan sebentar nanti doktor akan memberi bantuan oksigen. Aku dapat merasakan suara Abah sangat lemah. Cuma pada pagi Sabtu itu saja Abah masih boleh bercakap dengan jelas tetapi apabila menjelang malam, Abah sudah tidak boleh bercakap kerana sudah diberikan bantuan oksigen. Aku berpesan kepada Abah supaya berehat dan tidak banyak bercakap supaya Abah cepat baik. Aku membuat panggilan ke hospital dan bercakap dengan doktor pada malam itu. Apabila panggilan sudah disambungkan, doktor yang menjawab mengambil masa agak lama sedikit. “Ya puan, pesakit kami di sini ada 400 orang, staf kami 50 orang sahaja,” ujarnya. Aku mampu mendengar dengan jelas, suasana di wad kecemasan pada ketika itu yang sangat kelam-kabut. Kedengaran orang berlari, ada yang terpaksa menjerit kuat kerana bunyi mesin di sana sini. Mujur


HIKMAH Saat Aku Diuji 63 beliau masih mampu melayan panggilan aku dan memeriksa fail Abah walaupun beliau bukanlah doktor yang sepatutnya menguruskan kes Abah. Beliau juga memberitahu berdasarkan rekod Abah bahawa bacaan oksigen Abah sedikit rendah namun aku tahu itu bukan keadaan semasa Abah dan beliau pun mampu memaklumkan setakat itu sahaja kerana dia belum berjumpa dengan Abah. “Tidak apa doktor, terima kasih, itu sudah memadai untuk saya,” ucapku. Bagiku apabila dalam keadaan sebegini, aku perlu belajar untuk lebih menghargai daripada menyalahkan sesiapa dan aku juga mengucapkan terima kasih padanya. Pada malam itu Mama tidur seorang diri. Selama ini, kehidupan Mama memang sentiasa ditemani Abah sepanjang 33 tahun perkahwinan mereka. Abah tidak pernah tiada di samping Mama. Aku berasa risau tentang keadaan Abah di hospital dan keadaan Mama di rumah seorang diri. “Aku hendak balik!” raungku. Seawal pagi, pada Ahad, 25 Julai 2021, perkara pertama yang aku lakukan ialah menelefon Mama dan memantau keadaan terkini Abah. Keadaan Abah sangat tidak mengizinkan. Abah menyatakan dia sudah tidak boleh bertahan kerana berasa sangat sakit. Aku cuba menyejukkan hati Abah. Dalam pada itu, aku masih belum lagi menerima panggilan dari hospital, ini bermakna Abah masih lagi di bahagian kecemasan dan belum dipindahkan ke wad. Atas bantuan seorang sahabat, pada tengah hari itu, dia menghubungi aku dan bertanya, “Mira tahukah ayah Mira stage 4?” Allah, aku memang tidak tahu. Apabila sudah tahu, perasaanku semakin bertambah tidak keruan. Aku terus berkata, “Mira nak balik.” Aku hendak balik juga apa terjadi pun pada hari ahad itu. Namun aku masih tidak sampai hati lagi untuk memberitahu


64 HIKMAH Saat Aku Diuji Mama berita tentang Abah kerana keadaan masih tidak sesuai, kesihatan Mama juga tidak berapa mengizinkan. Aku perlu balik dahulu untuk bercakap dengan Mama secara berhadapan dan aku perlu berada dengan Mama. Dalam keadaan Abah yang sukar bernafas itu, Abah beberapa kali menghubungi aku. Pada petang itu, memang Abah susah untuk bercakap tetapi Abah mahu juga bercakap. Aku memang sudah sedia maklum keadaan Abah. Allahu. Hampir maghrib, baru urusanku selesai. Syukur Allah permudahkan urusan untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri. Apabila sudah selesai itu, aku dengan segera memaklumkan pada majikan masalahku dan meminta izin untuk pulang berjumpa Abah dan Mamaku yang sedang sakit di kampung. Aku menghubungi Mama memaklumkan yang aku akan balik. Mama bertanya, ”Kenapa Mira hendak balik?” Aku mengelak dengan menjawab, ”Saja, Mira hendak temankan Mama.” Allahu. “Mama sabarlah, tunggu Mira sampai ya.” Sebelum memasuki highway, aku membuat panggilan kepada Abah, dan aku beritahu Abah supaya tidak bercakap sebab nanti cepat penat. Abah dengar saja apa yang aku hendak perkatakan ini, “Abah, Mira nak balik, Mira dalam perjalanan dah ni. Mira hendak jaga Mama, sebab Mama tinggal seorang di rumah.” Tiada bantahan daripada Abah seperti selalu. Dalam keadaan susah bercakap itu Abah berpesan, “Esok bawakan Abah air panas, Abah nak air panas, kuih dengan air mineral.” Allahu. Berdebar jantung, sayu hatiku. Abah juga berpesan supaya aku belikan dia lampin pakai buang. Misi sudah memakaikannya sebab Abah sudah tidak


HIKMAH Saat Aku Diuji 65 boleh berjalan. Aku tidak tahu kenapa perjalanan pada malam itu sangat panjang. Akhirnya aku sampai juga lewat 1.30 pagi di Bangi, Selangor. 26 Julai 2021 (Isnin) Abah telefon aku seawal 4.00 pagi mengingatkan aku supaya membawa air panas, membelikan dia kuih dan air mineral dua botol besar. Allah. Abah aku laparkah? Haus sangatkah? Ya Allah. Pada pukul 8.00 pagi, Abah telefon aku lagi, “Kau sudah hantarkah air dengan kuih Abah?” Dengan bantuan adik-adik abah, aku berjaya menghantar pesanan Abah itu ke hospital. Namun ia tidak mudah. Bukan boleh makanan itu terus dihantar kepada pesakit yang masih di wad kecemasan. Banyak betul lambakan makanan dan bungkusan di hadapan pintu kecemasan itu. Pengawal keselamatan beritahu, “Kalau tinggal di sini dua hari pun belum tentu sampai ke dalam.” Keadaan di wad kecemasan bukanlah seperti di wad biasa. Di situ nombor katil pun tiada, jadi bagaimana kita ingin menghantarnya kepada pesakit? Aku menghubungi Abah lagi bertanyakan sama ada di antara kawan-kawannya di dalam itu yang boleh berjalan dan keluar mengambil makanan daripadaku. Namun Abah memberitahuku mereka semua sama seperti dia. Allah. Sayu, pilu hatiku ketika itu Allah sahaja yang tahu. Hari sudah hujan. Aku memasukkan semua bekalan makanan yang kubawa ke dalam kereta yang dipandu oleh mak cik aku. Semasa kami hendak keluar dari hospital, Abah telefon


66 HIKMAH Saat Aku Diuji dan bertanya, “Mira, pakai baju apa? Ada kawan Abah nak keluar.” Aku turun dari kereta semula dan meredah hujan, pergi ke pintu masuk kecemasan. Namun kawan dia tidak datang, aku menelefon Abah semula bertanyakan tentang kawan dia. Abah memberitahu kawannya tidak jadi keluar kerana tidak larat. “Ya Allah. Bantulah aku. Abah lapar, Abah haus.” Pengawal keselamatan tadi serba tidak kena melihat aku, dia pun tidak boleh hendak masuk. Ya Allah, dalam masa aku susah hati itu, Allah lembutkan hatinya mungkin dia pun kesian melihat aku di situ, “Call ayah, tanya apa landmark, saya hantarkan.” Ya Allah, aku terus telefon dan Abah memberitahu yang dia berada di “bilik empat orang.” Mendengar itu perasaanku semakin cemas kerana aku tahu “bilik empat orang” itu untuk pesakit kritikal. Dalam perjalanan turun dari flyover Hospital Serdang, telefon aku berbunyi. Abah yang telefon. Aku menjawab seperti biasa, “Abah, Abah sudah dapatkah makanan yang Mira bagi tu?” Abah jawab, “Sudah,” dalam suara dia yang terputus-putus. “Abah sudah makan?” Aku sedang bercakap dengan Abah apabila doktor mengambil telefonnya sebelum Abah sempat habis becakap dengan aku. Doktor bertanya, “Ini siapa?” Aku menjawab, “Anak.” “Macam ni puan, keadaan ayah puan sangat kritikal, jadi kita nak tidurkan dia sekarang.” Allahu Rabbi Ya Karim.


HIKMAH Saat Aku Diuji 67 “Sekarang puan bercakaplah dengan ayah puan.” Sungguh, suatu emosi yang tidak mampu untuk aku kawal. “Ya Allah, Abah aku nak ditidurkan.” Semasa doktor menyuruhku bercakap dengan Abah, aku memang sudah tidak mampu untuk menahan sedih, menahan air mata, namun kukuatkan hati, “Abah, doktor hendak bagi Abah rehat sekejap saja, Abah rehat ya, nanti Abah elok, rehat sekejap saja Abah ya. Abah kena kuat. Mira dengan Mama tunggu Abah. Rehat sekejap saja Abah. Zikir Abah, ikut Mira, Abah zikir jangan lekang.” Aku ucap Allah, Allah, Allah. Abah ikut, sambil-sambil itu aku berpesan, “Abah kena kuat, untuk Mira untuk Mama, Abah rehat sekejap selepas tu Abah akan baik. Sambung Allah, Allah, Allah”, Abah ikut, bulat bulat Abah sebut “Allah, Allah, Allah” sampai senyap dan panggilan itu terputus. Pada waktu itu aku memang sudah tidak mampu untuk mengawal perasaan, terasa kosong, sepi, pedih. Mak cik suruh cari tempat berhenti dulu, dia memandu pula. Sebenarnya, kami berdua sudah tidak berdaya pada waktu itu. Namun mak cik menggagahkan juga diri, menyambung memandu dan dia bertanya, “Sekarang ni Mira nak buat apa, Mama nak kena bagi tahu juga ni.” Aku kata, “ Mira nak cari PPE, nak bagi tahu Mama.” Aku kini dalam keadaan yang sangat tidak normal, aku mengambil keputusan memaklumkan juga melalui whatsapp kepada pak cik, mak cik dan kawan-kawan yang Abah akan ditidurkan. Aku cuma mengharapkan doa daripada semua dan semoga akan ada keajaiban. Jam pada masa itu lebih kurang 11.15 pagi.


68 HIKMAH Saat Aku Diuji 12.30 tengah hari. Dalam lima minit lagi hendak sampai ke rumah, hospital menelefon, doktor berkata, “Kita tak jadi tidurkan ayah puan tetapi kita bagi oksigen paling tinggi dan kita tengok macam mana.” Pada waktu itu aku pun masih keliru, hendak memahami perkara yang sedang berlaku dan yang paling utama adalah bagaimana hendak beritahu Mama keadaan sebenar Abah. Jam sudah menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Aku menyuruh Mama bersiap. Selepas zuhur aku hendak bawa Mama ke Pusat Penilaian Covid-19(CAC}. Memang Mama tidak bergejala tetapi di atas faktor umur Mama memang dinasihatkan ke CAC terdekat di Kajang Utama untuk penilaian. Pukul 2.00 petang, sewaktu hendak keluar dari rumah ke CAC. Abah telefon, Alhamdulillah Abah dayakan diri untuk bercakap dan masih mampu buat panggilan keluar. Abah hendak bercakap dengan Mama. Aku bagi Mama menjawab telefon dari Abah. Suara Abah sangat jelas butir bicara Abah. Dia memberitahu Mama yang dia akan ditidurkan sama ada malam itu atau pagi esoknya, dan Abah berpesan macam-macam perkara pada Mama. Selepas itu Abah bercakap dengan aku pula. Aku ulang cakap yang doktor hendak bagi Abah berehat sekejap saja, selepas itu Abah akan baik. Abah mengiakan kataku yang dia akan balik. Aku memberitahu Abah, “Abah rehat ya, Mira hendak hantar Mama pergi CAC.” Aku memberi salam dan Abah menjawab salamku. Salam yang terakhir untuk Abah. Selesai menguruskan Mama di CAC, dalam perjalanan balik lebih kurang jam 4.00 petang, aku menerima panggilan dari hospital, berderau darahku. Doktor bercakap, “Puan Amirah, ayah puan sudah meninggal. I’m so sorry, we try our best.” Allahuakbar. Aku tidak dapat hendak respons banyak sebab Mama berada di sebelahku. Doktor memberitahu, “Tunggu


HIKMAH Saat Aku Diuji 69 sampai hospital hubungi apabila jenazah sudah siap. Normally more than 24 hours.” Aku mencari tempat selamat dan berhenti di tepi jalan. Dari saat doktor memaklumkan Abah sudah meninggal, aku tidak tahu dari mana datangnya kekuatan, Allah pinjamkan ketenangan, mampu bertenang dan sangat rasional. Apabila sudah berhenti, Mama bertanya, “Kenapa Mira, Abah tenatkah?” Aku peluk Mama, usap belakangnya dan bercakap dengan Mama, “Mama, Abah sudah tidak ada. Abah sudah meninggal.” Aku pegang tangan Mama kuat-kuat, aku bisik dekat Mama, “Mama, Abah pergi dengan cara yang baik, Abah pergi hari elok Mama, Abah pergi kerana wabak, bukan semua orang ada rezeki pergi dengan cara macam ini Mama.” Aku ulang-ulang kata-kata itu kepada Mama untuk tenangkannya. Allah, Allah, Allah. Alhamdulillah, aku rasa Mama sudah reda. Mama sangat kuat dan cekal. Syukur Allah bagi kekuatan itu pada kami. Mama tidak meratap berlebih-lebihan. Allahu. Maha Suci Allah. Aku pegang saja tangan Mama. Sambil itu aku telefon semua pak cik dan mak cik aku. Aku beritahu mana yang aku termampu sahaja. Sejujurnya dalam keadaan sebegitu, aku sangat bersyukur apabila Mama sangat kuat dan tabah. Aku risau Mama tidak boleh mengawal emosi. Aku memang banyak kali ulang pada Mama, “Mama jangan sedih sangat, Mama tidak boleh demam, Mama tidak boleh selesema, jika risau jadi perkara lain pula nanti.” Alhamdulillah, Ya Allah Mama sangat tenang. Setelah tenang semula, aku telefon forensik, pada waktu itu sudah jam 5.00 petang lebih. Aku memaklumkan aku adalah waris si mati dan meninggalkan nama Abah, nombor kad pengenalan Abah dan nombor telefon aku. Pada waktu itu aku memang tidak yakin aku boleh menuntut jenazah awal. Lagipun


70 HIKMAH Saat Aku Diuji officer on duty itu sudah beritahu, “Selepas pukul 5.00 petang memang susah sikit ni puan. ” Aku kata, “Tak apalah, nanti saya call semula untuk tahu progress.” Jika semuanya dipermudahkan, kami akan mempercepatkan pengebumian Abah. 6.30 petang Allah permudahkan rezeki Abah, pada petang itu juga kami mendapat pengurus jenazah dengan mudah. Apabila tiba di hospital, aku terus ke kaunter forensik, bagi membuat pengesahan pengenalan diri waris kepada arwah. Petugas memberitahuku yang jenazah sudah siap untuk diuruskan. Aku perlu menunggu dokumen dari wad kecemasan sahaja yang masih belum sampai. Aku meminta pak cik memanggil pengurus jenazah untuk bersiap sedia. Tidak sampai sejam, sementara aku menguruskan borang-borang tuntutan jenazah dan pengesahan waris, dokumen daripada bahagian kecemasan telah siap, pengurus jenazah pun sampai. Aku sangat lega, “Ya Allah, mudah sangat Kau aturkan untuk Abah.” Rezeki aku juga dapat menatap wajah Abah buat kali terakhir semasa pengecaman jenazah dilakukan. Allah bagi kekuatan, Allah bagi ketenangan, Allah hadirkan rasa reda semasa menatap wajah Abah. Aku menyaksikan sendiri semasa Abah ditayamumkan. Nikmat yang paling besar Allah kurniakan ialah diberikan aku rezeki untuk menyolatkan jenazah Abah. Allahuakbar. Alhamdulillah. Aku cuba mendapatkan kebenaran daripada pengurus jenazah untuk menaiki van jenazah bagi menghantar Abah ke kubur. Alhamdulillah, mereka membenarkan. Aku menemankan Abah sepanjang perjalanan. Kubisikkan pada Abah, “Abah pergilah, Mira nak hantar Abah berehat. Abah


HIKMAH Saat Aku Diuji 71 jangan risau, Mira jaga Mama, Abah berehatlah dahulu. Mira teman hantarkan Abah ke rumah baru Abah sampai ke liang lahad. Abah, Abah tidak ada anak lelaki yang boleh imamkan solat jenazah Abah tetapi anak perempuan Abah ini, Allah izinkan jadi makmum untuk solatkan jenazah Abah. Alhamdulillah.” Lebih kurang jam 11.30 malam, urusan pengebumian selesai. Alhamdulillah. Tiada ungkapan lain yang kuucapkan melainkan rasa syukur kepada Allah. Aku bersyukur dan reda. Allahuakbar. Abang van jenazah menghantarku sehingga sampai di hadapan rumahku. Terima kasih semua. Semoga Allah memberi semula kebaikan kepada kalian. Abahku berehatlah. Mira dan Mama reda. Mira demam setelah Abah pergi. Mira rindukan Abah. Selalunya kalau Mira demam, Abah selimutkan, Abah peluk Mira. Tidak ada lagi orang yang boleh menjaga Mira seperti Abah selalu buat. Allahu. Tidak mengapa, Allah lebih sayangkan Abah. Mira tahu Abah baikbaik saja di sana. Abah berehatlah. Abah jangan risau, Mira akan jaga Mama untuk Abah. Abah, Mama masih di MAEPS tetapi doktor beritahu keadaan Mama semakin baik. Alhamdulillah. Cuma Mama perlu habiskan tempoh kuarantin. Mama kuatkan, Abah? Alhamdulillah. Abah, izinkan Mira bawa Mama balik ke Pulau Pinang nanti ya.” Al-Fatihah untuk arwah Abah yang terlalu Mira kasihi. Semoga Abah dalam rahmat Allah selalu. Amin.


72 HIKMAH Saat Aku Diuji Telefon bimbitku berbunyi. Pada ketika itu, aku sedang bersiap-siap untuk membersihkan diri. Aku memandang nombor telefon yang tertera pada skrin. Hatiku rasa berat untuk mengangkat panggilan tersebut kerana aku yakin itu adalah nombor telefon hospital yang sedang merawat ayah. Dengan hati yang berat, aku menjawab panggilan itu. Memang betul, panggilan itu dari doktor yang sedang merawat ayah, Dr Liza di Hospital Sungai Buloh. “Encik, boleh datang segera ke hospital? Ayah encik berada dalam keadaan kritikal. Jantung ayah, baru saja berhenti dan kami telah melaksanakan bantuan pernafasan (CPR) untuk membolehkan ayah kembali bernafas. Alhamdulillah, ayah kembali bernafas tetapi keadaan ayah sangat lemah. Encik datang segera ke hospital ya,” ujar Dr Liza. “Baik doktor. Saya akan datang segera,” jawabku ringkas dalam keadaan tergesa-gesa. Dalam perjalanan, bibirku sentiasa mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad SWT supaya aku tenang . Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi sekali lagi. PEMERGIAN YANG TIDAK DIJANGKA JEFFRI BIN KAMARUZZAMAN


HIKMAH Saat Aku Diuji 73 Hatiku mula rasa berdebar dan cemas. Dengan berat hati, aku menjawab panggilan tersebut. Selepas aku menjawab salam, Dr Liza berkata,” Saya nak maklumkan ayah encik telah menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi. Dalam pukul 10.20 pagi. Kami sudah buat yang terbaik untuk selamatkan ayah encik. Kami mengucapkan takziah pada keluarga encik,” ujarnya. Dia melanjutkan, “Encik mohon bersabar ya dan jangan tergesa-gesa memandu. Berhati-hati memandu dan bila tiba di hospital, terus ke Bilik Forensik untuk pengecaman jenazah arwah. Saya mohon maaf bagi pihak hospital dan kami telah berusaha dengan sedaya upaya,” pesan Dr Liza dengan tenang. “Baik dan terima kasih doktor,” jawabku dengan air mata bercucuran. Aku terus memberhentikan kereta di tepi jalan. Hatiku kosong dan sayu. Aku sebak dan menangis. Pelbagai emosi bermain dalam fikiranku pada ketika itu, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Aku bercelaru dan buntu. Selang 10 minit berikutnya, aku kembali tenang sambil bermonolog. “Aku perlu kuat! Aku perlu tenangkan fikiran dan diriku pada ketika ini. Aku perlu menguruskan semua urusan jenazah Ayah sendirian. Aku perlu berfikir secara waras. Jangan diikutkan perasaan sangat! ” Jeritku kepada diriku sendiri. Aku tidak tinggal bersama keluargaku. Hendak dijadikan cerita, Malaysia masih berada dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Aku keseorangan pada ketika itu. Semua keluarga dan kenalan tidak boleh hadir di hospital untuk bersamasama membantu menguruskan jenazah Ayah yang ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, sedangkan keluargaku tinggal di Bangi.


74 HIKMAH Saat Aku Diuji Aku bingung pada ketika itu. Semua perkara berlaku secara tiba-tiba. Aku meneruskan pemanduan dan dalam masa 20 minit, aku tiba di kawasan parkir hospital. Fikiranku merewang dan mengimbas memori sebulan yang lalu. “Along, Ayah sudah semak Mysejahtera. Ayah sudah dapat tarikh temu janji untuk suntikan vaksin. Nanti Along hantar ayah ya,” ujar ayah di telefon. “Okey. baiklah. Nanti Along ambil Ayah dan kita pergi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk dapatkan suntikan vaksin pertama Ayah,” jawabku ringkas. Keesokan petangnya adalah hari temu janji suntikan vaksin Ayah. Aku menaiki kereta untuk mengambil Ayah di rumahnya. Aku tiba di rumah keluargaku tengah hari. Ayah dan Ibuku sedang bersiap sedia untuk makan tengah hari. Mereka mengajak aku makan tengah hari bersama-sama. Lauk kegemaranku, nasi putih, ayam goreng cili api dan gulai tempoyak. Itulah menu makan tengah hari yang Ibu masak. Tanpa disangka itulah hari terakhir aku makan tengah hari bersama-sama Ayah. Selepas makan, Ayah bersiap untuk ke PPV bersamasama aku untuk mendapatkan suntikan vaksin pertamanya. Sepanjang perjalanan, aku meyakinkan ayah, ini cuma prosedur biasa. Tidak perlu risau. Insya-Allah semua akan selamat dan berjalan lancar. Kami tiba di pusat PPV dalam pukul 6.00 petang. Cuaca redup dan mendung pada ketika itu seolah-olah semuanya merestui perjalanan kami untuk mendapatkan suntikan vaksin itu. Aku dan Ayah menuju ke kaunter pendaftaran, bertemu dengan seorang petugas yang menunggu dan memberi arahan apa yang perlu kami buat.


HIKMAH Saat Aku Diuji 75 Alhamdulillah dalam masa 20 minit sahaja, semua urusan ayah telah selesai. Ayah menunjukkan gambar ayah dicucuk vaksin kepadaku. Gambar tersebut diambil oleh rakan doktor yang ditugaskan untuk memberi suntikan vaksin kepada ayah. Dia nampak tenang dan gembira kerana sudah selesai menerima suntikan vaksin. Aku pun menghantar ayah pulang dan aku kembali ke rumahku semula kerana larangan pergerakan. Selepas subuh, seperti biasa, aku melaksanakan aktiviti rutin yang aku amalkan setiap pagi selama hampir setahun lebih. Mula-mula aku akan minum air masak, diikuti minum air teh panas dan disulam dengan buah pisang. Selepas sarapan pagi, aku akan membuat regangan badan dengan melaksanakan aktiviti yoga ringan sambil berjemur di bawah cahaya matahari di balkoni rumahku yang berada di paras tingkat 35. Selesai sudah aktiviti yoga, tIba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku terus mengangkat dan menjawab. “Along, emak nyonya sebelah rumah kita, meninggal dunia. Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) datang untuk membuat sanitasi rumah nyonya,” ujar ibu. “Kenapa KKM datang buat sanitasi di rumah nyonya? ” tanyaku curiga. “Emak nyonya meninggal dunia sebab Covid-19. Semua ahli keluarga nyonya telah dimasukkan ke pusat kuarantin MAEPS sejak lima hari lalu. Ibu dan Ayah kena buat pemeriksaan swab test Covid-19kah?” soal Ibu. Berderau jantungku pada ketika itu. Nyonya merupakan jiran sebelah rumah keluargaku. Nyonya selalu menolong jiran-jiran lain membeli barang dapur di pusat membeli-belah dan pasar. Nyoya umpama pemandu Grab untuk membeli barang dapur sepanjang musim Covid-19


76 HIKMAH Saat Aku Diuji di kediaman keluargaku. Sepanjang PKP, Ibu dan Ayah jarang keluar rumah kecuali urusan penting sahaja. Semua urusan pembelian keperluan barang dapur dibuat melalui nyonya sahaja. Ibu bertanya kerana pada ketika itu, Ibu mempunyai simptom seperti demam, batuk dan bersin manakala Ayah dan adik perempuanku tidak mempunyai sebarang simptom. Namun aku meminta kesemua mereka membuat pemeriksaan swab test covid-19 dengan kadar segera. Hampir satu jam berlalu, telefonku berbunyi lagi. “Along, Ayah dan Ibu positif Covid-19. Macam mana nak buat ni?” ujar ibu sambil menangis di telefon. Luruh jantungku mendengar berita itu. Namun aku tetap gagah menjawab. “Tidak apa. Jangan risau. Ibu dan ayah tidak ada simptom yang berat kan? Makan ubat, banyak minum air dan buat kuarantin diri dulu,” pesanku pada ibu. Setelah Ibu bertenang, aku mematikan perbualan telefon tersebut. Aku termenung sebentar sambil memikirkan tindakan yang perlu aku buat pada ketika ini. Aku membuka laman sesawang KKM. Di laman sesawang KKM tersebut, dimaklumkan tindakan-tindakan yang perlu diambil selepas disahkan Covid-19. Aku segera menghubungi Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CAC) Cawangan Hulu Langat. Selepas memberi salam, aku terus memberitahu, “Saya nak maklumkan bahawa Ayah dan Ibu saya positif Covid-19. Baru disahkan pagi tadi. Selepas ini, apa tindakan yang perlu saya laksanakan, tuan?” soalku. “Baik encik. Mohon bertenang. Kami akan aturkan temu


HIKMAH Saat Aku Diuji 77 janji Ayah dan Ibu encik ke CAC berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Boleh encik aturkan perjalanan Ayah dan Ibu ke CAC? Pihak kami sedang mengalami kesesakan jadual. Terlalu ramai yang disahkan positif Covid-19. Kalau encik boleh uruskan, saya akan tetapkan waktu temu janji pada hari Isnin. Ayah dan Ibu encik ada sakit kronik?” soal lelaki tersebut. “Baik, encik. Saya boleh bawa Ayah dan Ibu ke CAC pada waktu yang ditetapkan. Ya, ayah ada kencing manis dan darah tinggi. Ibu pula tiada sebarang penyakit kronik tetapi mengalami simptom-simptom covid-19,” balasku. “Baik encik. Saya tetapkan temu janji pada hari Isnin ini di CAC Kajang. Encik bawa sekali kelengkapan dan pakaian Ayah dan Ibu. Kemungkinan kami akan menghantar mereka ke pusat kuarantin di MAEPS. Dalam masa yang sama, encik akan dikategorikan sebagai kontak rapat. Selain encik, siapa lagi ahli keluarga yang tinggal bersama Ayah dan Ibu?” soal lelaki tersebut. “Adik perempuan saya yang tinggal bersama dengan Ayah dan Ibu. Adik lelaki saya tinggal selang satu rumah. Saya tidak tinggal bersama mereka tetapi saya baru berjumpa mereka semalam kerana menguruskan Ayah untuk mendapatkan suntikan vaksin,” jawabku. “Okey, faham. Encik dan adik-adik yang lain sudah buat pemeriksaan swab test Covid-19?” soal lelaki tersebut. “Ya. Kami sudah buat pemeriksaan. Kesemua negatif,” jawabku ringkas. “Tidak apa. Nanti kami akan aturkan semula temu janji lain selepas empat hari untuk encik dan adik-adik buat pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan. Buat masa ini, encik dan adikadik jaga kesihatan dan penjarakan diri ya,” jelas lelaki tersebut.


78 HIKMAH Saat Aku Diuji “Baiklah. Terima kasih,” jawabku ringkas lalu meletakkan telefon. Sayu aku melihat Ayah dan Ibu mengemas barang keperluan dan pakaian untuk dibawa ke pusat kuarantin MAEPS. Dalam beg tersebut, dimasukkan pakaian, ubat-ubatan seperti panadol, ubat batuk, ubat selsema, gula -gula berangin, pencuci mulut dan sedikit makanan seperti mi segera, roti, biskut dan makanan ringan yang lain. Aku melihat Ayah dan Ibu mengemas barang-barang, seolah-olah untuk menghantar mereka ke medan perang. Memang medan perang kerana kami sedang berperang, berperang dengan musuh yang kami tidak nampak dengan mata kasar. Aku menahan air mata dan kerisauan agar tidak kelihatan di wajahku kerana bimbang akan membuatkan emosi Ayah dan Ibu terganggu. Keesokan harinya, aku dan adik perempuanku menghantar Ayah dan Ibu ke CAC dengan menaiki kereta yang berasingan. Aku membawa Ayah dan adik membawa Ibu. Kami tiba di CAC dalam pukul 9.00 pagi. Dari jauh aku melihat ramainya orang sedang duduk dan berdiri di bawah dan di luar khemah yang disediakan. Aku menghantar Ayah dan Ibu ke kaunter pendaftaran. Aku tidak boleh turut serta di bawah khemah. Pada ketika itu aku tidak dijangkiti Covid-19. Aku dan adikku hanya melihat dari jauh segala urusan di CAC. Selepas tiga jam, ayah menelefon aku untuk mengambil dia di bawah khemah CAC. Aku dan adikku memandu kereta dan mengambil Ayah dan Ibu. Di dalam kereta, aku bertanya pada ayah. “Kenapa lama sangat Ayah?” soalku. “Lama Along. Orang ramai. Warga emas, dewasa, kanakkanak dan bayi pun ada. Banyak saringan yang doktor buat. Mula-


HIKMAH Saat Aku Diuji 79 mula doktor akan ambil bacaan suhu, tekanan darah dan nadi. Selepas itu, doktor akan buat sesi senaman ringan untuk melihat pergerakan jantung dan bacaan pernafasan kita. Kemudian baru doktor akan tetapkan pesakit ikut keadaan, sama ada kuarantin di rumah, di MAEPS atau di hospital. Ayah dan Ibu akan dikuarantin di MAEPS. Nanti pukul 3.00 petang kita berkumpul di sini semula untuk ke MAEPS. Ayah dan ibu lapar. Kita cari makanan dulu. Lagipun lambat lagi,” jawab Ayah. Kami pun bergerak pulang ke rumah dahulu untuk makan dan solat. Dalam jam 2.00 petang, aku membawa Ayah dan Ibu semula ke CAC. Sampai di sana, aku melihat beberapa van dan ambulans telah sedia menunggu untuk membawa pesakit ke MAEPS atau hospital. Daripada pemerhatianku, pesakit yang menaiki ambulan akan dibawa untuk kuarantin di hospital, manakala yang naik van akan dibawa ke MAEPS. Ayah dan Ibu menaiki van. Aku mengangkat beg ayah dan Ibu dan dimasukkan ke dalam van tersebut. Ayah dan Ibu sempat mengambil gambar buat kenangan di tepi van dan di dalam van. Dalam 15 minit, van tersebut pun bergerak. Aku hanya melambai dan memandang van tersebut dari jauh sehingga hilang daripada pandanganku. Ayah hanya ditempatkan di MAEPS selama empat hari sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Keadaan ayah semakin kritikal. Setelah dianalisa, ayah disahkan menghadapi Covid-19, tahap 5. Ibu masih di MAEPS dan berada dalam keadaan stabil. Aku dan adik perempuanku disahkan menghidap Covid-19 dan disuruh kuarantin di rumah. Sehingga pada pagi Sabtu, Ayah menghubungiku. Ayah memaklumkan keadaan dia kritikal.


80 HIKMAH Saat Aku Diuji “Badan Ayah tidak kuat. Ayah sudah tua,” bicara Ayah. Aku hanya mentertawakan Ayah kerana ayah memang seorang yang suka bergurau dan dalam masa yang sama aku cuba menenangkan Ayah. “Maafkan Ayah,” sebak suara Ayah di telefon. Aku sebagai seorang anak, berasa sangat terkejut. Hatiku terdetik, adakah ini saat terakhir aku akan berbual dengan Ayah? Selama bertahun-tahun dari saat aku mula hidup sendirian, Ayah akan menelefonku setiap waktu subuh untuk mengingatkanku solat dan pergi kerja. Ayah adalah segalagalanya bagiku selepas emak kandungku meninggal 25 tahun yang lalu. Tempat aku meluah perasaan. Tempat aku rasa selamat. Tempat aku mengadu nasib. Setiap pagi kami akan berbual, walaupun sekejap. “Maafkan Along juga Ayah,” balasku. Selepas itu, Ayah memutuskan panggilan tersebut. Hampir dua hari, Ayah tidak menghubungi kami sekeluarga. Aku mulai risau. Aku terus menelefon hospital untuk bertanya keadaan Ayah. Hospital memaklumkan, Ayah telah tidak sedarkan diri pada hari Sabtu selepas Ayah berbual denganku. Ayah tidak sempat memaklumkan kepada pihak hospital nombor telefonku. Aku dimaklumkan Ayah berada dalam keadaan kritikal. Virus Covid-19 telah menyerang organ dalaman ayah seperti buah pinggang dan paru-parunya. Ayah berada dalam keadaan tidak sedar. Luruh hatiku. Terbayang wajah Ayah ketika memberi nasihat dan pesanan pada pagi Sabtu itu. Selang dua hari berikutnya, pegawai KKM menelefonku pula untuk bersedia. Aku akan dibawa kuarantin ke hospital. Aku


HIKMAH Saat Aku Diuji 81 menjadi risau dan berdebar-debar. Pada hari yang sama aku dibawa menaiki ambulan ke hospital dan dalam masa yang sama pula, ibu dibenarkan pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan aku ke hospital, aku menjadi sayu. Aku bingung dan risau. Hanya aku seorang di tempat duduk belakang ambulan. Aku tidak tahu apa akan terjadi kepada nasibku. Ayah masih tidak sedar. Aku pula dalam perjalanan dibawa ke hospital. Aku tiba di hospital dalam pukul 11.00 malam. Aku didaftarkan dan dimasukkan ke wad. Aku ditempatkan di wad kuarantin bergejala ringan. Ini mungkin disebabkan virus Covid-19 yang menjangkiti ayah agak berisiko tinggi. KKM mengambil langkah berjaga-jaga untuk memantau aku secara rapi di hospital, sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini. Alhamdulillah, ketika aku dimasukkan ke hospital, semua simptom yang aku alami telah pulih sebelum itu. Doktor hanya memantau kadar pernafasan dan keadaan paru-paruku. Aku ditempatkan di hospital selama tiga malam. Sepanjang aku di tempatkan di wad, pelbagai ragam pesakit Covid-19 yang aku temui. Ada yang muda, ada yang sebaya aku dan ada yang warga emas. Setiap malam, kami akan dikejutkan daripada tidur dan diambil darah untuk pemeriksaan lanjut. Rutin pagi pula, dada dan pernafasan kami akan diperiksa. Kami diberi layanan yang baik oleh petugas. Makan lima kali sehari dan dibekalkan roti dan buah sebagai kudapan. Selepas empat hari di hospital, aku dibenarkan pulang kerana telah tamat tempoh kuarantin dan disahkan bebas Covid-19. Hampir dua minggu telah berlalu, Ayah masih di hospital tidak sedarkan diri. Setiap hari, doktor akan memaklumkan kami akan keadaan Ayah dan akhirnya Ayah telah disahkan bebas Covid-19. Kini Ayah adalah pesakit Long Covid.


82 HIKMAH Saat Aku Diuji Kesan daripada serangan Covid menyebabkan buah pinggang dan paru-paru Ayah rosak teruk. Ayah terlantar di katil hospital dengan diberi bantuan pernafasan dan alat sokongan hidup yang lain. Akhirnya Ayah telah sedar dan doktor memaklumkan kepada kami sekeluarga. Aku dan Ibu bergegas ke hospital untuk melihat Ayah. Setibanya di hospital, hatiku sayu dan sedih melihat keadaan Ayah sebegitu. Hanya Allah sahaja yang tahu isi hatiku. Hari Jumaat, aku dan Ibu melawat Ayah seperti biasa. Ayah nampak sihat walaupun tidak boleh bercakap. Keadaan Ayah semakin pulih. Ayah boleh bernafas sendiri tanpa alat bantuan pernafasan. Kami sekeluarga sangat bersyukur. Setelah selesai melawat, aku dan Ibu pun pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan Ibu bercerita yang keadaan ayah semakin pulih dan merancang bermacam-macam perkara sebagai tanda kesyukuran. Tiba-tiba dalam pukul 1.00 pagi, doktor menghubungiku. Doktor maklumkan nafas ayah tiba-tiba terhenti sendiri. Namun doktor berjaya selamatkannya dan Ayah dipasang semula alat bantuan hidup. Kini ayah berada dalam keadaan koma. Keadaan ayah lebih teruk daripada sebelumnya. Doktor benarkan semua ahli keluarga terdekat datang melawat pada malam itu juga. Kami sekeluarga melawat ayah secara bergilir-gilir. Aku melihat Ayah tidur dalam keadaan yang tenang dengan dipasang mesin bantuan hidup. Aku berdoa, “Ya Allah, permudahkanlah semua urusan Ayah.” Aku dapat memegang tubuh Ayah dan setiap kali kami menyentuh tubuh Ayah maka setiap kali akan ada pergerakan pada mesin menandakan Ayah sedar kehadiran kami. Dalam jam 5.00 pagi, kami bergerak pulang. Pagi itu juga, aku mendapat panggilan telefon memaklumkan Ayah telah meninggal dunia.


HIKMAH Saat Aku Diuji 83 Lamunanku terhenti. Aku keluar dari kereta dan berjalan menuju ke arah kawasan hospital. Akhirnya aku tiba di perkarangan Bilik Forensik. Aku seorang diri hadir untuk mengenal pasti tubuh Ayah. Aku ke kaunter pertanyaan dan diberi borang dan dibawa ke satu bilik. Aku terlihat sekujur tubuh ditutupi selimut putih. Aku mengangkat selimut tersebut dan melihat wajah Ayah. Hanya Ayah sahaja di tempatkan di dalam bilik itu. Air mataku jatuh berjujuran. Hatiku hancur melihat ayah terbaring kaku. Namun aku pasrah dan reda. Ini semua ketentuan Allah. Ayah pergi meninggalkan kami dalam keadaan yang sempurna. Ayah telah diisytihar bebas covid-19. Jadi urusan pengurusan jenazah ayah akan dilaksanakan secara normal. Doaku sebagai seorang anak tercapai iaitu menguruskan jenazah arwah ayah. Ramai insan yang tidak aku kenali di hospital menghulurkan bantuan bersama-sama menguruskan jenazah ayah. Sebagai seorang anak, aku rasa bersyukur kerana dapat melaksanakan semua urusan daripada memandikan arwah sehingga ke pengebumian arwah. Jenazah Ayah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di hospital. Selesai urusan tersebut jenazah Ayah dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan. Di sana semua urusan telah dilaksanakan oleh adik-adik dan saudaraku yang lain. Terima kasih Ayah. Berehatlah. Sebagai seorang anak selagi aku hidup, insya-Allah aku akan menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang anak yang baik. Moga Ayah tenang di sana. Al-Fatihah.


84 HIKMAH Saat Aku Diuji Realiti selalunya tidak seindah mimpi. Itu yang disedari Nadya apabila dia berhijrah ke ibu kota setahun yang lalu. Tidak dinafikan, kesibukan Bandaraya Kuala Lumpur menghidupkan jiwanya dan memberi dia semangat untuk bekerja di tempat baharu. Bahkan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) ke pejabat pun mampu membuatnya teruja walaupun adakala dia terpaksa berhimpit sepanjang perjalanan. Namun melihat kepada status terkini Covid-19 di skrin telefon bimbitnya, yang keadaannya meningkat semenjak seminggu yang lalu, Nadya mula merasakan seolah-olah dia terjerat dalam suatu time loop yang berulang. Selama ini Nadya berpendapat bahawa bekerja di pusat bandar raya dapat memberinya kehidupan yang lebih baik tetapi menatap angka tertinggi di Kuala Lumpu dan Selangor setiap hari, terdetik di hatinya, mungkin dia telah membuat pilihan yang salah berpindah ke sini. “Naik lagi,” Nadya mengeluh. Lia, teman serumahnya mengangguk dan mengucap, “Innalillah” dengan nada perlahan.“Dah masuk enam bulan tidak jenguk orang tua aku. Bilalah nak habis Perinth Kawalan Pergerakan (PKP) ni?” Nadya mengeluh lagi dan mengalihkan pandangannya ke luar. Tiada apa yang dapat dilihat melainkan bangunan 15 REALITI NADYA SHEREEN BINTI NASIR


HIKMAH Saat Aku Diuji 85 tingkat mirip pangsapuri yang didiaminya. Dereten tingkap yang serupa saiz, bentuk dan warna beserta gril yang dipasang rapi seolah-olah penjara yang memaksa penghuninya untuk kekal di dalam. Apa yang membezakan satu dengan yang lain cuma kain baju yang bergantungan di ampaian masing-masing. Nadya memerhati satu per satu pakaian yang terpamer di balkoni dan dapat mengagak penghuni jenis apa yang menginap di situ. Berbanding di kampung, Nadya berpeluang mengenali jiran-jiran sekitar lorong rumahnya dan juga di lorong hadapan dan belakang dengan lebih dekat. Namun semenjak tinggal di pangsapuri ini bersama Lia dan Raihan, dia cuma kenal dua jiran. Kak Sofi dan anak-beranaknya yang tinggal sebaris dengan mereka di tingkat 5 dan Pak Wahab yang rajin bertegur sapa tatkala Nadya menaiki lif di tingkat G. Pak Wahab, seorang pesara tinggal bersama isterinya yang mesra dengan panggilan Mak Siti dan anak bongsu mereka, Lukman. Kak Sofi pula ada dua pasang anak kembar perempuan yang bersekolah rendah. Walaupun di kelilingi penghuni yang ramai, Nadya cuma berselisih dengan segelintir daripada mereka semasa di dalam lif atau di tempat letak kereta. Perkara yang sama berlaku di flat yang disewanya sebelum ini, di mana Nadya hanya berpeluang mengenali jiran di sebelah kiri dan kanannya sahaja. Bagi Nadya yang datang ke Kuala Lumpur tatkala pandemik Covid-19 baru bermula, dia berpendapat bahawa virus itulah penyebab orang menjauhkan diri dan kurang bersosial. Namun sekarang dia mempersoalkan adakah ini memang kebiasaan bagi orang yang tinggal di kota raya? Atau yang tinggal di pangsapuri tinggi sepertinya? “Insya-Allah nanti dapatlah kita merentas negeri Nad,” kata Lia dengan yakin, mengganggu lamunan Nadya. “Rindu betul nak peluk mak,” tambahnya.


86 HIKMAH Saat Aku Diuji “Allah Lia, kau janganlah nangis nanti aku pun nak menangis juga,” Nadya bersuara dan terus pergi ke arah Lia untuk memeluknya. “Jangan peluk aku.” Lia menjerit. “Jaga jarak.” Nadya tergelak besar. “Kau ni, aku nak menangis terus tak jadi.” Nadya ketawa lagi dan terus terduduk sambil memeluk kusyen. “Kita sudah berkenalan semenjak bangku sekolah lagi. Aku kerja di KL pun kau ikut. Tinggal dalam rumah ini pula 24 jam tengok muka kau. Jaga jarak?” “Kau kan rajin keluar rumah. Borak dengan Pak Wahablah, intai anak dialah.” Lia tersengih. “Kita kena hati-hati. Covid ini sudah mula mengganas.” “Aku tahulah. Masalahnya Pak Wahab itu yang hendak berborak dengan aku,” kata Nadya sambil mengangkat keduadua bahunya. “Pak Wahab hendak tengok kau ini sesuai tidak dibuat calon menantu,” sindir Lia. Kusyen kecil yang dijadikan hiasan di atas sofa rotan dibaling ke arah Lia. Sambil ketawa, Nadya terus bergegas ke dapur sebelum Lia membalasnya dengan aksi yang sama. Kalau si Lukman itu peramah seperti ayahnya, mungkin boleh dipertimbangkan, fikir Nadya. Lukman hanya pernah memberi salam sekali sahaja sewaktu mereka bertembung di peti surat Pangsapuri Desa Indah itu. Semenjak berpindah ke sini enam bulan yang lalu, muka Lukman pun tidak pernah dilihat Nadya kerana sering dilindungi


HIKMAH Saat Aku Diuji 87 pelitup muka bewarna hitam kegemarannya. Jika terjumpa, hanya kelihatan sepasang mata yang seolah-olah tersenyum padanya. Lukman yang sibuk ke sana ke mari sebagai delivery rider tidak pernah ada masa untuk berbual. Pak Wahab sahaja yang rajin bercerita kisah anaknya itu yang katanya dahulu dia seorang jurugambar profesional. Semenjak pandemik melanda, dia terpaksa berubah arah menjadi rider. Terkesan dengan perubahan itu, dia bukan lagi seperti Lukman yang dahulu, cerita Pak Wahab. Dia dahulu seorang yang ceria, Lukman kini lebih suka berdiam diri. Walaupun tidak mengenali Lukman, Nadya turut bersimpati dengan cerita yang didengarnya. Semenjak itu, entah kenapa Nadya ingin menjadikan misi hidupnya untuk membantu Lukman ceria kembali walaupun dia tidak tahu bagaimana hendak melakukannya. Nadya tersenyum sendiri apabila teringat misi bodohnya itu dan mengetuk kepalanya dengan sebiji cili. Inilah yang berlaku apabila bosan dengan rutin yang sama setiap hari. Nadya ketawa sendiri dan mula mencincang bawang di hadapannya. Hari ini giliran dia untuk memasak dan menu yang dipilih teman serumahnya ialah nasi goreng kampung, satu-satunya masakan yang rajin dimasaknya. Setelah berbulan-bulan bekerja dari rumah, dia menjadi mahir memasak nasi goreng yang perfect. Bagi Nadya, ia satu pencapaian yang membanggakan untuk seorang gadis yang hampir mencecah usia 27 tahun dan tidak rajin ke dapur. Setengah jam kemudian, santapan makan malam telah terhidang dan semua orang tersenyum riang. Seperti biasa, makanan menjadi penyeri hidup mereka bertiga walaupun dilanda krisis pandemik ini.


88 HIKMAH Saat Aku Diuji Keesokan harinya, Nadya bangun awal walaupun hari Sabtu. Selesai mengerjakan solat subuh, dia berpakaian lengkap sukan dan bersedia untuk memulakan senaman. Lia dan Raihan memilih untuk menyambung tidur dan Nadya terpaksa bersenam seorang diri. Kasut sukan berwarna biru yang dihadiahkan ayah sebelum Nadya ke Kuala Lumpur, disarung kemas. Sebaik sahaja keluar dari lif, dia menarik nafas lega kerana tidak perlu menghadap manuskrip, mengedit perenggan dan kosa kata untuk hari ini. Tambahan lagi, udara segar di luar menyambutnya dengan mesra dan Nadya yang telah pun menanggalkan pelitup mukanya teruja dengan kebebasan yang dapat dirasainya tanpa sekeping mask. Untung menjadi orang yang keluar beriadah, bisik hati kecilnya. Kunci kereta Myvi milik Raihan disimpan dengan baik dalam poket seluarnya kerana seperti biasa dia akan keluar mencari sarapan selepas berjoging. Baru sahaja dia hendak memulakan langkah, suara yang garau menyapa Nadya. “Mask mana cik?” kata suara tersebut. Nadya menoleh ke belakang dan terlihat Lukman, anak Pak Wahab sedang bersandar di tepi dinding rumahnya, memerhati Nadya. Ini kali kedua dia bersuara dengan Nadya. Terkejut dengan sapaan Lukman, Nadya hanya berdiri kaku dan memandangnya. “Kes semakin tinggi, apa salahnya pakai mask kalau nak berjoging kan?” Lukman menegur lagi seperti ketua kelas. Boleh pun bercakap banyak, detik hati Nadya. “Ya tapi saya bukannya jumpa orang pun sambil berjalan.” Nadya membalas dengan berani. “Ini bukan jumpa orang?” Lukman menunjuk jari ke


HIKMAH Saat Aku Diuji 89 arah dirinya dan matanya mengecil seolah-olah dia sedang tersenyum. “Ok, noted. Saya jalan dulu ya, ” kata Nadya dengan pantas. Mukanya merah padam. Kemudian Nadya terus beredar dari situ dan memulakan 10,000 langkah yang ingin dicapainya. Dengan rasa sedih dia menyarung semula pelitup muka yang memang di simpan di dalam poket seluar. Jantungnya berdegup laju walaupun senaman belum lagi bermula. Tiga puluh minit kemudian, Nadya cuma mampu melakukan brisk walk kerana hampir lemas di sebalik mask yang menutup mukanya. Bengang pula dia kerana mendengar nasihat Lukman. Nadya yakin dia tidak perlu pun memakai mask jika hendak beriadah. Setahu dia MKN telah senaraikan garis panduan itu pada orang awam. Nadya terus membuka semula pelitup mukanya dan tersenyum puas. “Nadya,” Lukman memanggilnya. Lukman ni buang tabiatkah? Ini pertama kali dia menyebut nama Nadya. Dengan perlahan dia menoleh ke arah Lukman dan melihat dia sedang berdiri di tepi motornya sambil memegang topi keledar. Nadya terfikir, mungkinkah ini masa untuk dia memulakan misi menceriakan pemuda ini? Ruang untuk bercakap telah terbuka luas dan Nadya hanya perlu mengambil peluang itu. Dia melemparkan senyuman kepada Lukman walaupun dia tahu dia tidak dapat melihat riak muka Nadya. Tiba-tiba Lukman menundukkan badannya seperti orang yang sedang menahan kesakitan dan menggamit tangannya memanggil Nadya untuk menghampiri. “Boleh drive kan? Boleh tolong saya tak?” “Encik okeykah?” kata Nadya dengan cemas sambil berdiri di sebelah Lukman untuk melihat keadaannya secara dekat.


90 HIKMAH Saat Aku Diuji “Encik?” Lukman tergelak dan terus berdiri tegak. “Nama saya Lukman, tak kan tidak ingat lagi? Kita mungkin…se..baya, ke…dua, boleh tak ber.. diri jauh… sikit.” Lukman tercungapcungap sambil sebelah tangannya diangkat untuk menandakan Nadya perlu stay away. “Okey, nak tolong apa ya Encik Lukman?” Lukman menghulurkan sebuah kotak kecil kepada Nadya dan sekeping duit RM20.00 dan hanya berkata. “Klinik. Tolong beli. Cepat.” “Oh, awak lelahkah?” tanya Nadya sambil membelek kotak inhaler yang diberikan itu. Lukman mengangguk dan tiba-tiba membuka pelitup muka yang dipakainya dan terjawablah apa yang menjadi tanda tanya Nadya selama ini. Akhirnya dapat juga dia melihat wajah anak kesayangan Pak Wahab ini. Dia tidak mungkin sebaya dengan Nadya, fikirnya. Raut wajahnya matang dan apabila dipadankan dengan matanya yang selama ini Nadya sering lihat, wajah Lukman jauh lebih elok daripada apa yang pernah dibayangkan. Lebih-lebih lagi apabila dia tersenyum memandang Nadya dengan mesra, seolah-olah telah lama kenal. Buat beberapa saat, Nadya tidak berkata apa-apa tetapi hanya tercegat di hadapan Lukman. “Pergi sekarang boleh?” Lukman berkata dengan sopan. Dia masih tersenyum dan Nadya mengangguk tanda akur dan terus beredar menuju ke kereta Raihan. Sambil memandu ke klinik berhampiran, Nadya hanya memikirkan dua perkara: pertama, senyuman Lukman. Kedua, sempatkah Lukman diselamatkannya? Dengan hati yang berdebar dia hanya mampu berdoa Lukman dapat bertahan sebelum Nadya pulang.


HIKMAH Saat Aku Diuji 91 Dua minggu kemudian, Nadya mendapat perkhabaran bahawa Lukman disahkan positif Covid-19 dan telah dimasukkan ke hospital Sg Buloh. Mujur Pak Wahab dan Mak Siti terselamat daripada jangkitan tetapi mereka terpaksa berkuarantin di rumah selama 14 hari. Kak Sofi baru datang menceritakan kepada Nadya dan teman-teman serumahnya selepas beberapa hari Lukman dibawa ke hospital. “Janganlah risau sangat Nad,” ujar Raihan. “Kak Sofi kata Pak Wahab dan Mak Siti okey saja sebab mereka sudah dapat dua dose pun. Jiran-jiran ramai yang sudah pakat beri makanan. Kak Sofi yang bersilat dengan anak empat orang pun ada bagi lauk tadi. Kita bila lagi?” “Mana ada aku risau,” kata Nadya, perlahan. “Dia risaukan yang di hospital tu saja.” Lia ketawa kecil. “Aku risau untuk kita semualah,” Nadya menjeling ke arah Lia dan Raihan. “Kau tidak cerita pun apa terjadi selepas kau selamatkan Lukman daripada serangan lelah hari itu.” Lia tersengih. “Tak ada apa nak diceritakan.” Nadya menjawab. “Dia ucap terima kasih dan kemudian Mak Siti bagi aku kek pisang yang kau dan Raihan habiskan, tak ingat?” “Sedap gila kek Mak Siti buat, kan Lia?” kata Raihan dengan gembira. Enggan melayan sebak yang dirasakan apabila terkenangkan Lukman, dia tersenyum dan mengangguk setuju. “Esok kita hulurlah barang keperluan sikit untuk mereka. Nanti aku tolong orderkan,” kata Nadya dengan tenang.


92 HIKMAH Saat Aku Diuji “Eloklah tu Nad,” kata Lia “Kesian Lukman, tadi Kak Sofi kata bacaan oksigen dia rendah tetapi belum sampai tahap kritikal. Mesti Pak Wahab dan Mak Siti risau kan?” “Allah,” kata Raihan. “Kita doakan dia cepat sembuh. Kau okey tak ni?” Raihan bertanya lembut sambil menepuk-nepuk bahu Nadya. “Aku okeylah,” Nadya berkata. “Dahlah, aku kena sambung kerja. Banyak nak baca. Jangan marah kalau aku tak keluar bilik ya,” kata Nadya sambil menuju ke biliknya. Sebaik sahaja Nadya masuk ke bilik dia terus merebahkan badannya ke atas katil. Tangannya menggenggam erat sekeping kertas yang dijumpai dalam peti surat mereka. Kertas yang dilipat dua itu tertulis namanya dan telah terselit di antara suratsurat lain yang diambilnya tadi. Nadya membuka lipatan kertas itu perlahan-lahan dan membacanya buat kali kedua: Salam perkenalan Nadya. Pertama, terima kasih kerana menolong saya beli inhaler. Kedua, maaf jika saya ada terkasar bahasa. Ketiga, terima kasih juga kerana rajin bersembang dengan ayah saya selama ni. Dia selalu bercerita tentang Nadya :) Keempat, jika perlukan servis penghantaran atau kalau sudi jadi teman borak, boleh call 012-2347000. Stay safe. Iklhas, Lukman Nota itu dibaca berulang kali sehingga setiap baris dihafalnya. Kemudian Nadya menarik nafas panjang dan mencapai telefon bimbitnya.


Click to View FlipBook Version