The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Route to be someone InsyaAllah

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Saham Akhirat, 2021-09-05 20:39:19

Aku dan PhD

Route to be someone InsyaAllah

Keywords: Travelog

PhD dan saya

Antara cita dan air mata…

Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
Sarva Mangala Praveena
Emilia Zainal Abidin
Irniza Rasdi

Diterbitkan oleh:
Sharifah Norkhadijah Syed Ismail,
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia,
UPM Serdang,
43400 Selangor.
Tel: 03-8947 2643
Fax: 03-8947 2395
email: [email protected]

© Sharifah Norkhadijah Syed Ismail, 2014

Hak cipta terpelihara
Tiada bahagian daripada terbitan ini boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau
ditukar dalam apa-apa bentuk atau dengan alat apa jua pun kecuali setelah mendapat
kebenaran daripada penerbit.

Perpustakaan Negara Malaysia

Sharifah Norkhadijah Syed Ismail, 2014

PhD dan Saya. Antara Cita dan Air Mata / Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
ISBN 978-967-12680-0-1

Rupa Taip Teks: Arial
Saiz Taip Teks: 11
Reka Letak Teks: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
Reka Bentuk Kulit: Sharifah Norkahdijah Syed Ismail

Dicetak oleh:
Teguh Optimis Enterprise

Pesanan boleh dibuat terus;
Sharifah Norkhadijah Syed Ismail,
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Putra Malaysia,
UPM Serdang,
43400 Selangor.
Tel: 03-8947 2643
Fax: 03-8947 2395
email: [email protected]

x

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia
menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.

Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak
diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas

(yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa
yang dihajatinya.

(Al-Quran Nur Qarim, Surah Al-‘Alaq, Ayat 1 hingga 7)

xi

Isi Kandungan

Penghargaan ........................................................................................................................... xiii
Prakata .................................................................................................................................... xiv
BAB 1 : Mengenal PhD ..............................................................................................................1
BAB 2: Memulakan Pengajian ..................................................................................................16
BAB 3: Memilih Institusi Pengajian ...........................................................................................20
BAB 4: Memilih Bidang Pengajian ............................................................................................24
BAB 5: Penyelia dan Anda .......................................................................................................28
BAB 6: Bagaimana Mengurus Penyelia anda? .........................................................................37
BAB 7: Penulisan Saintifik ........................................................................................................58
BAB 8: Cabaran Pengajian PhD di Luar Negara ......................................................................74
BAB 9: Cabaran Pengajian PhD di dalam Negara ....................................................................92
BAB 10: Cabaran Pelajar PhD berstatus ‘Single Mummy’ ........................................................99
BAB 11: Cabaran Pelajar PhD Berstatus Isteri dan Ibu ..........................................................112
RUMUSAN..............................................................................................................................122
Rujukan...................................................................................................................................123
Selayang Pandang..................................................................................................................124
Tentang Penulis ......................................................................................................................133

xii

Penghargaan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, Nabi junjungan kami.
Syukur ke hadrat Allah SWT yang dengan limpah kurnianya telah memberi ilham kepada kami
berempat untuk menulis dan menyiapkan karya kami ini buat tatapan pembaca tidak kira sama
ada yang mempunyai impian untuk satu hari nanti menyambung pengajian doktor falsafah
(PhD) atau pembaca yang ingin menambahkan ilmu pengetahuan.

Terima kasih diucapkan kepada kedua ibu bapa kami, yang sentiasa memberikan semangat
serta nasihat yang berharga dalam menempuh pelbagai cabaran hidup. Tanpa mereka tidak
mungkin kami dapat berada di sini hari ini.

Terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan dan kenalan kami di Fakulti Perubatan dan
Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia yang telah memberikan dorongan dan semangat
kepada kami untuk menulis buku ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yusmaidie, Nor
Aslina, Umi Raihana, Aini Syuhaida, dan ramai lagi yang tidak dapat kami namakan di sini
kerana telah sudi menilai serta membaca draf demi draf buku ini dan memberikan maklum
balas yang positif.

Diharapkan buku ini dapat memberikan panduan kepada para pelajar yang akan melanjutkan
pengajian serta menjadi rujukan sepanjang masa.

Akhir kata, kami mendoakan semoga anda berjaya melayari tahun-tahun pengajian anda dan
jadikanlah pengalaman anda sebuah pengalaman yang manis dan bermanfaat pada masa
hadapan.

Kami nantikan anda bersama-sama kami!

xiii

Prakata

Buku bertajuk PhD dan Saya. Antara cita dan air mata....merupakan sebuah
perkongsian ilmu dan pengalaman empat orang penulis yang disampaikan kepada pembaca
dengan objektif untuk menarik perhatian masyarakat umum tentang pengajian Doktor Falsafah
(PhD) yang dianggap sesuatu yang ‘amat sukar untuk dilalui dan dikecapi hingga berjaya’.
Kerap kali PhD dikaitkan dengan kepayahan, kesusahan dan ketakutan yang teramat sangat,
sehinggakan ia menerbitkan rasa tidak yakin di kalangan pelajar. Atas dasar ini, penulis cuba
merungkai serta berkongsi kisah pengalaman masing-masing mengikut sub topik yang relevan
dengan pengajian PhD untuk dikongsikan dengan para palajar mahupun keluarga mereka, agar
mereka lebih memahami konsep pengajian PhD.

Kandungan buku ini akan menceritakan tentang bagaimana penulis menghadapi
cabaran menyambung pengajian di dalam dan luar negara, mengurus masa dan penyelia,
mengurus keluarga dalam pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab besar yang
digalas di bahu dengan kupasan yang lebih terperinci.

Buku ini diolah dengan bahasa yang mudah difahami, serta lebih berbentuk santai bagi
rujukan pembaca umum. Pelbagai panduan disediakan serta rumusan dan kesimpulan di setiap
topik memudahkan pembaca memahami isi penting buku ini. Buku ini amat penting untuk
meningkatkan dan menambahkan pengetahuan pembaca tentang pengajian PhD dan
pentingnya kepada kemampanan kemajuan negara. Akhir sekali, penerbitan buku ini akan
menambah koleksi buku dalam bidang motivasi yang boleh dimanfaatkan oleh pelbagai pihak.

Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
Sarva Mangala Praveena
Emilia Zainal Abidin
Irniza Rasdi

xiv

BAB 1
Mengenal PhD

Oleh: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Terima kasih kerana anda telah maju selangkah ke hadapan. Mengapakah kami
katakan anda sebegitu? Ini kerana anda telah keluar dari zon selesa dan mula mengorak
langkah ke dunia yang anda masih belum pasti keadaannya dan dengan mula membaca buku
ini, anda sebenarnya telah berada pada fasa pertama pengajian PhD iaitu di fasa ‘mengenal
diri’. Anda mula bertanya samada anda mampu melakukannya atau tidak, perlukah anda
menyambung pengajian atau tidak, berapa lamakah anda akan terikat dengan komitmen
pengajian PhD dan bolehkah anda bertahan selama itu dan banyak lagi persoalan lain yang
mengikat anda. Ayuh, lepaskan semua persoalan itu dan kami cadangkan anda katakan YA!
Saya boleh! kepada setiap persoalan yang bermain di minda anda sekarang. Ini kerana dengan
mengatakan Ya! Anda telah membuka ruang yang lebih positif dalam diri anda dan hasilnya
nanti In-shaa Allah juga akan menjadi positif.

Islam sangat menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Buktinya, banyak ayat-ayat Al-
Quran yang menegaskan tentang ketinggian ilmu dan keperluan umat manusia untuk menuntut
ilmu. Sebagai contoh, Allah swt. berfirman: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu
dalam Keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran,
penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (An-Nahl 78).

Surah Al-Quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah surah
Al-Alaq yang membawa maksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang

1

Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah
yang Maha pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam, Dia mengajar
kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”(Al-alaq 1-5). Ayat-ayat lain seperti; “Nun, demi
kalam dan apa yang mereka tulis” (Nun 1). Rasulullah SAW telah memberi kesempatan kepada
para tawanan musyrikin Quraisy dalam perang Bad’r yang tidak sanggup menebus dirinya
dengan harta, agar mengajar membaca dan menulis kepada sepuluh anak orang Islam sebagai
tebusan. Ini menunjukkan betapa besarnya perhatian Rasulullah terhadap mata pelajaran
membaca dan menulis sebagai kunci ilmu pengetahuan.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan
siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat
Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang
penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan Kami, Tiadalah Engkau menciptakan
ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, Maka peliharalah Kami dari seksa neraka” (Ali Imraan
190-191).

Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada
kita tentang pentingnya ilmu itu kepada manusia. Ilmu itu bukan sahaja boleh didapatkan
melalui pembacaan semata-mata tetapi ia juga boleh didapatkan melalui pemerhatian, kajian,
persoalan dan jawapan, pengalaman dan sebagainya. Ini memberi gambaran kepada kita,
bahawa ilmu bukan sahaja boleh didapatkan secara formal semata-mata tetapi ia juga boleh
didapatkan secara tidak formal. Proses-proses yang saya sebutkan di atas merupakan antara
proses mendapatkan ilmu. Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad – ini juga merupakan salah satu
gambaran yang memberikan kita kefahaman bahawa menuntut ilmu tidak terhad kepada
golongan remaja, muda belia sahaja tetapi ia merangkumi segenap lapisan masyarakat, dari si
kecil hinggalah ke peringkat atuk atau nenek.

Anda, saya, dan semua di antara kita telah melalui fasa pendidikan formal yang sangat
komprehensif. Bermula dari pendidikan seawal usia 6 tahun di tadika, sekolah rendah, sekolah
menengah, matrikulasi, ijazah pertama dan ijazah lanjutan atau sarjana. Atas sebab-sebab
tertentu ada di antara kita yang hanya dapat menamatkan pengajian di peringkat sekolah
menengah sahaja dan ada juga yang mampu menamatkan pengajian di peringkat ijazah

2

pertama. Hanya segelintir sahaja di antara kita yang dapat melanjutkan pengajian mereka ke
peringkat tertinggi sehingga PhD, dan tahniah serta bersyukurlah kita di atas nikmat itu.

Dalam bab ini, anda akan diberikan pengenalan mengenai PhD dari segi definisi,
konteks pengajian dan keperluan menyambung pengajian di peringkat PhD. Mengapa anda
perlu menyambung pengajian anda? Untuk apa dan sebagainya. Di dalam bab ini juga kami
akan berkongsi dengan anda statistik jumlah pelajar yang menyambung pengajian di peringkat
PhD dan jumlah pelajar yang berjaya menghabiskan pengajian mereka. Kami juga berkongsi
implikasi statistik ini kepada negara dari segi pembangunan sahsiah, budaya dan ekonomi.
Teruskan eksplorasi anda bersama kami !

Apakah yang dimaksudkan dengan PhD?

Doktor Falsafah, atau Ph.D., PhD, D.Phil., atau DPhil di negara-negara Barat
adalah pada awalnya dipanggil Dr.Philos. Dalam bahasa latin ianya di panggil
philosophiae doktor atau doktor philosophiae. Ia merupakan ijazah sarjana
akademik yang dianugerahkan oleh universiti pada tahap akademik yang lebih
tinggi dari sarjana dan ijazah. Doktor falsafah adalah berbeza dengan ketara mengikut negara,
institusi, dan tempoh masa, dari darjah penyelidikan peringkat kemasukan untuk ijazah yang
lebih tinggi. Seseorang yang mencapai doktor falsafah sering dirujuk sebagai doktor.

Dalam konteks akademik, istilah "falsafah" yang digunakan pada PhD tidak merujuk
semata-mata kepada bidang falsafah, tetapi digunakan dalam erti kata yang lebih luas selaras
dengan makna asal Greek, iaitu "cinta kepada kebijaksanaan". Dalam kebanyakan negara di
Eropah, semua bidang lain selain daripada teologi, undang-undang dan perubatan secara
tradisinya dikenali sebagai falsafah. Kewujuan para doktor falsafah bermula dalam seni liberal
di Universiti Humboldt di Berlin dan ianya menjadi biasa di sebahagian besar dunia pada abad
ke-20.

Program kursus kedoktoran falsafah (PhD) telah mengalami banyak perubahan dari segi
struktur dan kandungannya. Sebagai contoh di United Kingdom, terdapat dua peringkat ijazah.
Tahap kedoktoran pertama, Doktor Falsafah (PhD atau DPhil), adalah tahap penyelidikan

3

pascasiswazah diperolehi dalam bidang pengajian termasuk sains, seni, kejuruteraan dan
undang-undang. Biasanya ijazah PhD memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun pengajian
sepenuh masa. Kebanyakan universiti di United Kingdom memerlukan calon yang tidak
mempunyai pengalaman penyelidikan siswazah untuk mendaftar sebagai Master of Phylosophy
(Mphil) atau ijazah penyelidikan yang sama. Jika kemajuan memuaskan, pelajar boleh
menukarnya kepada PhD.

Tahap kedoktoran kedua, Doktor Tinggi, diberikan sebagai pengiktirafan cemerlang kepada
biasiswa dalam bidang tertentu dan biasanya diberikan kepada individu yang mempunyai tahap
akademik yang tinggi melalui terbitan kajian atau kerja-kerja yang mengagumkan (UNESCO,
1994).

Di Jerman, tahap ijazah kedoktorannya adalah setanding dengan British atau PhD di
Amerika. Namun, dalam usaha untuk melayakkan diri untuk menjadi professorship di sebuah
universiti, program habilitasi adalah perlu. Ia memberikan bukti keupayaan untuk mewakili
disiplin akademik dari segi penyelidikan dan pengajaran. Sebagai peraturan, habilitasi adalah
dianugerahkan kepada pemegang doktor falsafah, tetapi ianya tidak wajib. Pencapaian
akademik tambahan dan penemuan asal perlu didokumenkan dan dibentangkan dalam
penerbitan. Prosedur terlibat dalam memperolehi kelayakan habilitasi adalah peperiksaan yang
melibatkan pengiktirafan tesis habilitasi dan syarahan awam dengan perbincangan mengenai
kandungan kuliah. Dokumen-dokumen habilitasi membuktikan pencapaian akademik.
Kakitangan penyelidikan dengan habilitasi adalah berhak untuk menambah kedoktoran mereka
dengan perkataan Habil. Sebagai contoh, Dr Med. Habil. Habilitasi memberikan bukti kelayakan
mengajar calon, tetapi tidak merupakan ijazah akademik yang tersendiri.

4

Mengapa perlu menyambung pengajian PhD?
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa anda perlu menyambung pengajian

PhD. Senaraikan lima (5) alasan anda di sini untuk menyambung pengajian
PhD?

1. __________________________________________________________________________

2. _________________________________________________________________________

3. _________________________________________________________________________

4. _________________________________________________________________________

5. _________________________________________________________________________

Sekiranya anda dapat mengisi salah satu ruang di atas, anda telah hampir pasti dengan
matlamat PhD. Pengalaman saya, apabila diminta menyenaraikan mengapa saya mahu
menyambung pengajian PhD, antaranya saya menulis, untuk mendapatkan kerja yang lebih
hebat – kerana ketika itu persaingan terlalu banyak (pada tahun 2005). Antara salah satu
alasan saya yang lain ialah kerana saya ingin menjadi seorang pensyarah, saintis dan juga
ingin mendapatkan gaji yang lebih banyak (mungkin alasan ini terlalu materialistik). Saya pasti
anda juga mempunyai salah satu dari alasan yang tersebut. Apa pun alasannya, anda telah pun
berada di landasan yang betul. Teruskan cita-cita anda itu sehingga ke akhirnya.

5

Misi Negara

Selain daripada untuk meningkatkan keupayaan akademik diri, banyak lagi sebab
dan alasan lain yang menggalakkan anda menyambung pengajian. Antara salah
satu alasan menyambung pengajian ialah kerana misi Negara. Malaysia adalah salah satu
daripada negara yang semakin meningkat di Asia Tenggara dan dianggap sebagai "negara
perindustrian baru". Bank Pembangunan Asia terus meramalkan pertumbuhan ekonomi yang
kukuh di Malaysia. Malaysia merupakan salah sebuah Negara yang muncul sebagai pembekal
pengajian tinggi rantau ini dengan universiti-universiti awam yang dibiayai, institusi swasta dan
cawangan universiti luar negara menjadi sebahagian daripada landskap yang kaya dan
pelbagai pendidikan.

Dengan cita-cita untuk menjadi hab kecemerlangan pendidikan tinggi dalam tempoh 10
tahun akan datang, Malaysia telah meningkatkan usaha-usaha pengajaran dan
penyelidikannya. Pendidikan tinggi Malaysia juga telah mengalami program
pengantarabangsaan yang kuat dan mempunyai ciri-ciri keterbukaan kepada pelajar-pelajar
antarabangsa.

Kerajaan adalah merupakan pendukung utama penyelidikan dan telah melabur dalam
pengubahsuaian besar-besaran pemasangan penyelidikan, terutamanya dalam bidang kimia,
kejuruteraan dan bioteknologi. Beberapa pusat-pusat penyelidikan telah ditubuhkan sebagai
pemimpin dalam bidang-bidang khusus. Universiti juga telah dinaik taraf kepada Research
University yang mana mempunyai kampus yang lengkap dengan pelbagai fasiliti makmal yang
terbaik.

Meningkatkan jumlah pemegang PhD di kalangan ahli-ahli fakulti dan kakitangan
penyelidikan adalah salah satu cabaran terbesar di Malaysia. Namun usaha kerajaan yang
berterusan telah berjaya meningkatkan jumlah pemegang PhD daripada 6,000 kepada 14,000
di antara tahun 2005 hingga 2010 di universiti-universiti awam. Walaupun kerajaan telah
banyak melabur dalam melatih pelajar-pelajar dengan membiayai peluang pendidikan
kedoktoran di luar negara, mereka kini menyasarkan untuk melatih 60,000 pelajar PhD di

6

Malaysia di antara tahun 2010 hingga 2023 sebagai sebahagian daripada Pelan Pengajian
Tinggi Strategik Malaysian National 2020. Salah satu cara kerajaan menyokong inisiatif ini
adalah menerusi "MyBrain15", skim pembiayaan pengajian untuk para pelajar.

Peluang tersedia
Selain itu, terdapat banyak peluang biasiswa dan tajaan pengajian yang
disediakan oleh kerajaan untuk menggalakkan pelajar meningkatkan keupayaan
akademik masing-masing. Ini adalah selaras dengan misi Negara untuk menjadi sebuah
Negara maju. Ketika ini anda sangat beruntung kerana peluang menyambung pengajian sangat
cerah, di mana banyak biasiswa dan bantuan kewangan disediakan. Berlainan dengan
kebanyakan di antara kami, ketika melanjutkan pengajian ke peringkat Master pada tahun 2005
perlu membuat pinjaman daripada bank untuk melunaskan yuran pengajian. Oleh kerana saya
tidak boleh berhenti kerja ketika itu untuk menyambung pengajian master dengan kajian atau
Master by research kerana tuntutan kehidupan, maka saya mengambil kursus Master Eksekutif
yang menawarkan kelas di hujung minggu. Seperti pepatah Melayu, ‘hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih’. Meskipun dengan pelbagai cabaran dan rintangan, saya terus
memusatkan azam untuk mengambil PhD selepas mendapatkan Master. Alhamdulillah, doa
saya termakbul, dan cita-cita saya akhirnya terlaksana.

Sumber: PHD comics (1997)

7

Statistik PhD
Kemasukan graduan untuk program doktor falsafah di Institut Pengajian Tinggi
Awam di Malaysia pada tahun 2010 adalah seramai 4,805 orang manakala
kemasukan di Institut Pengajian Tinggi Swasta adalah seramai 864 orang (Rajah 1)
(Kementerian Pengajian Tinggi, 2010). Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan jumlah
graduan Ph.D. tertinggi di negara (Harian Metro, 2012). Jumlah graduan Ph.D yang bergraduat
meningkat daripada 250 orang pada tahun 2010 kepada 369 orang pada tahun 2011 dan terus
meningkat kepada 457 orang pada tahun 2012. Seramai 173 orang graduan yang bergraduat
pada tahun 2012, adalah berumur 40 tahun ke atas, 118 orang berumur 36 hingga 40 tahun,
114 orang berumur 31 hingga 35 tahun manakala selebihnya berumur 25 hingga 30 tahun
(Rajah 2) (Harian Metro, 2012). Menurut mantan Naib Canselor UPM, Dato’ Ir. Dr. Radin Umar
Radin Sohadi, UPM mampu melahirkan jumlah graduan Ph.D tertinggi dalam sejarah kerana
sistem penyeliaan pelajar yang diamalkan secara cekap dan berkesan. Selain itu, UPM juga
turut membudayakan suasana penyelidikan yang cemerlang. Kini dengan usaha gigih,
menamatkan pengajian di peringkat PhD bukan satu perkara yang mustahil.

Daripada jumlah 457 pelajar yang bergraduat, 435 graduan adalah daripada Sekolah Pengajian
Siswazah (SPS) dan 22 graduan adalah daripada Putra Business School (PBS). Pencapaian ini
selari dengan Projek Agenda Kritikal yang dikendalikan melalui Pelan Strategi Pengajian Tinggi
Kebangsaan yang mana sasarannya untuk melahirkan 60,000 graduan PhD menjelang 2013.
Tidakkah anda merasakan PhD itu bukan lah sesuatu yang mustahil kini?

8

Rajah 1: Peratusan kemasukan pelajar ke IPTA mengikut pengajian (Sumber: Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan KPT, 2010).

9

Rajah 2: Keratan akhbar (Sumber: Harian Metro, 2012).
10

Biasiswa
Di Malaysia, pelbagai program telah dilaksanakan untuk meningkatkan

jumlah pemegang ijazah lanjutan. Sebagai contoh program MyBrain15 merupakan satu
program pembiayaan pengajian di peringkat pasca ijazah dan menjadi salah satu projek agenda
kritikal di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Matlamat program adalah
untuk mewujudkan kelompok sumber manusia yang berpengetahuan tinggi sebagai pemangkin
kepada penyelidikan, pembangunan dan inovasi. Pelaksanaan program ini akan dapat
membangunkan first world talent base yang akan menjadi salah satu inisiatif untuk memacu
Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. Di bawah program ini, Kerajaan
mensasarkan untuk menghasilkan seramai 60,000 pemegang PhD dari kalangan rakyat
Malaysia menjelang tahun 2023. Program-program yang dilaksanakan menerusi Program
MyBrain15 adalah MyPhD, MyMaster, MyPhD Industri dan Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI).

Rajah 3: Brosur berkenaan MyBrain 15 yang boleh dimuat turun dari laman web MOHE
(Sumber: Laman web KPT)

11

MyPhD merupakan salah satu Program MyBrain15 yang menyediakan pembiayaan
pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran untuk mencapai sasaran 60,000 pemegang PhD dari
kalangan rakyat Malaysia menjelang tahun 2023 selaras dengan agenda Malaysia sebagai
Pusat kepada Perkembangan Pengetahuan dan Inovasi. Objektif program ini adalah untuk
meningkatkan jumlah kumpulan tenaga kerja profesional tempatan yang berpengetahuan dan
berkemahiran tinggi berteraskan inovasi dan kreativiti yang mampu menjana pertumbuhan
sektor ekonomi dan industri tempatan. Program ini merupakan insentif yang diberikan Kerajaan
dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran anggota masyarakat seiring dengan
matlamat pembangunan ekonomi negara di bawah Model Baru Ekonomi (MBE) iaitu ekonomi
berteraskan inovasi.

MyMaster diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) menerusi
Program MyBrain15 bagi membiayai pengajian di peringkat Ijazah Sarjana. Program ini
merupakan feeder kepada MyPhD. Objektif MyMaster adalah untuk merangsang dan
menggalakkan graduan yang berkaliber meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi
dalam bidang-bidang yang penting selaras dengan agenda pembangunan negara. Ianya
sekaligus dapat membangun dan mengekalkan modal insan serta menjayakan transformasi ke
arah negara berpendapatan tinggi.

MyPhD Industri memberi tumpuan kepada para profesional dan pengamal industri
dalam menghasilkan inovasi dan meningkatkan daya saing melalui penyelidikan berasaskan
industri. Program ini adalah insentif Kerajaan untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan
antara pengamal industri dan ahli akademik dalam melahirkan profesional yang
berpengetahuan tinggi. Pemohon yang berjaya akan dibiayai pengajian di peringkat Ijazah
Kedoktoran.Untuk keterangan lanjut berkenaan program-program ini, anda boleh melayari
laman web Kementerian Pendidikan bahagian Pengajian Tinggi iaitu
https://mohe.gov.my/MyBrain15/ (Rajah 4).

12

Rajah 4: Laman web KPT yang mengandungi maklumat berkenaan MyBrain15 (Sumber:
Internet).

PhD: Sukar tetapi bukan sesuatu yang mustahil

Acapkali kita mendengar ramai di kalangan pelajar melahirkan kegusaran
berkenaan PhD. PhD, selain dari istilah Doctor of philosophy, ianya juga
dikenali dengan jolokan istilah Permanent Head Damage. Dengan istilah gurauan ini sahaja
sudah mampu mendatangkan kerisauan orang yang mendengarnya. Ianya kedengaran sangat
sukar dan mustahil dan hanya yang genius sahaja boleh mendapatkan PhD. Itu antara luahan
rakan-rakan saya ketika mereka menyambut kejayaan sahaja menamatkan viva selama 3 jam.
Ada juga yang masih mengekalkan gurauan tersebut dengan memberi kenyataan ‘How do you
feel of your head being damaged badly?’.
Namun apa pun gurauan atau istilah yang kita lahirkan, PhD bagi saya bukanlah
sesuatu yang mustahil meskipun sukar. Sekiranya anda mempunyai usaha yang konsisten,
disiplin yang tinggi, pengurusan waktu yang baik serta bertawakal, Inshaa Allah, kejayaan
menanti anda. Di dalam bab-bab yang seterusnya kami akan membawa anda menyelusuri
pengalaman kami bergelar pelajar PhD dan harapan kami, dengan membaca pengalaman ini,
ianya dapat memberikan anda panduan dan gambaran yang lebih jelas tentang cabaran PhD.

13

Dilema PhD?
Sekiranya anda masih mengeluh dan ragu-ragu berkenaan Phd ketika ini,

senaraikan lima (5) dilema anda di sini;

1. _________________________________________________________________________
2. _________________________________________________________________________
3. _________________________________________________________________________
4. _________________________________________________________________________
5. _________________________________________________________________________

Soalan yang sama telah diajukan kepada pelajar-pelajar PhD dan Master di UPM berkenaan
dengan dilema mereka ketika menyambung pengajian. Antara dilema utama pelajar adalah
seperti berikut;

 Pembiayaan / biasiswa / tajaan
 Pemilihan universiti
 Bidang pengajian
 Adakah penyelia yang saya pilih sesuai dengan saya?
 Boleh kah saya menamatkan pengajian pada waktu yang ditetapkan?
 Bolehkah saya mendapat kerja selepas ini?
 Bagaimana saya boleh mengurus masa dengan komitmen berkeluarga?
 Kajian apa yang hendak saya buat?
 Saya tiada tajuk / idea
 Penyelia saya mempunyai geran penyelidikan?
 Saya takut tidak boleh buat
 Saya tidak yakin dengan kemampuan saya
 Boleh kah saya?
 PhD untuk orang GENIUS! Saya sederhana sahaja, layak kah saya?

14

Banyak lagi dilema-dilema lain yang disenaraikan oleh pelajar-pelajar ini ketika mula-mula
hendak memulakan pengajian. Namun, mereka akhirnya berjaya melepasi fasa ini, dan kini
telah pun hampir menyiapkan tesis dan kajian masing-masing.
Langkah yang beribu bermula dengan langkah pertama. Setujukah anda dengan kenyataan
tersebut? Ya, setiap langkah kita yang beribu, bermula dengan langkah kita yang pertama.
Langkah di mana kita memusatkan seluruh tenaga dan daya usaha untuk mencapai sesuatu
objektif. Selagi anda tidak memulakan langkah pertama, anda tidak akan ke mana-mana. Setiap
dilema yang anda hadapi ketika ini akan kami kupas di dalam bab-bab yang seterusnya.
Teruskan penerokaan anda bersama kami.

15

BAB 2
Memulakan pengajian

Oleh: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail & Sarva Mangala Praveena

Di dalam bab ini, kami akan berkongsi dengan anda pengalaman kami ketika memulakan
pengajian PhD dengan pelbagai dilema yang dihadapi serta pelbagai persoalan yang timbul.
Kami juga akan memberikan panduan untuk anda menghadapinya.

Bagaimana untuk memulakan?

Pengajian PhD adalah merupakan pengajian sepenuh masa. Sebelum anda
memulakan pengajian anda, terdapat beberapa perkara yang perlu anda
ambil kira.
 Pertama ialah pemilihan institusi pengajian tinggi tempat anda menyambung
pengajian.
 Kedua ialah bidang yang anda minati yang ingin anda terokai sepanjang pengajian anda
kelak.
 Perkara ketiga yang perlu anda ambil kira ialah pemilihan penyelia.

Pemilihan kombinasi ketiga-tiga perkara ini amat penting bagi menentukan samaada anda
berjaya menyiapkan pengajian anda sepanjang tempoh yang ditetapkan. Bagi memilih institusi
yang tepat untuk anda, banyak maklumat yang boleh anda perolehi dari internet. Sebagai
contoh laman web UPM sentiasa memaparkan maklumat terkini berkenaan bidang pengajian
yang ditawarkan. Rajah 5 hingga 7 menunjukkan laman web UPM dan di mana maklumat
mengenai pengajian serta latar belakang universiti boleh diperolehi. Laman utama sesebuah

16

universiti selalunya menempatkan maklumat-maklumat penting seperti penyelidikan, akademik,
kehidupan kampus dan perkhidmatan yang disediakan. Selain itu ia juga memaparkan berita
terkini berkenaan aktiviti yang disertai serta yang di adakan di peringkat universiti.

Rajah 5: Laman utama UPM. Klik pada Akademik seterusnya Pasca siswazah untuk
mengetahui bidang pengajian yang terdapat di UPM.

17

Rajah 6: Menunjukkan laman web Akademik. Klik pada pasca siswazah.

Rajah 7: Menunjukkan senarai bidang pengajian yang terdapat di UPM setelah dimuat turun
dari laman sesawang Sekolah Pengurusan siswazah UPM.

18

Selain itu, anda juga boleh bersemuka dengan tenaga pengajar di universiti tersebut
bagi mengenalpasti penyelia berpotensi untuk bidang pengajian anda. Bagaimana caranya?
Anda boleh menyertai hari terbuka pascasiswazah atau postgraduate day. Pada kebiasaannya
hari terbuka ini akan di adakan setiap tahun pada bulan Mei atau Jun. Ketika ini para pensyarah
akan berada di bazar-bazar fakulti masing-masing bagi mempromosi bidang masing-masing. Di
samping itu anda juga boleh bertanya secara terus dengan pensyarah yang bertugas tentang
bidang kajian anda dan potensi untuk mendapatkan penyelia.

19

BAB 3
Memilih Institusi Pengajian

Oleh: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Memilih institusi

Pemilihan institusi pengajian tinggi merupakan proses terpenting untuk anda
yang ingin melanjutkan pengajian. Berikut ialah kriteria yang kami fikirkan penting
untuk dipertimbangkan ketika anda mencari institusi yang bersesuaian dengan anda. Tetapi
senarai ini tidaklah menyeluruh. Mungkin ada kriteria lain yang penting untuk kerjaya pendidikan
anda yang boleh ditambah kepada senarai ini, seperti penempatan pekerjaan atau kadar
keciciran, yang boleh membantu anda membuat keputusan.

Antara kriteria yang penting ialah;

 Lokasi
Lokasi menjadi faktor utama pemilihan anda. Anda perlu mengetahui di mana lokasi institusi
pengajian anda. Adakah ia terletak di hujung bandar atau berada di tengah-tengah kota raya?
Adakah ia mempunyai sistem pengangkutan yang efisen? Anda akan tinggal di kawasan itu
untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun, jadi anda perlu memastikan bahawa anda
selesa. Sewaktu saya memilih University of East Anglia Norwich, United Kingdom, sudah tentu
saya tidak mempunyai idea bagaimana keadaan asal tempat ini, bagaimana penerimaan

20

penduduk sekitarnya dan banyak lagi persoalan lain. Namun begitu dengan adanya internet,
saya dapat melihat kesesuaian institusi ini dengan membaca komen-komen yang ditinggalkan
oleh mereka yang pernah belajar di sana. Saya boleh melihat gambar-gambar sekitar institusi
pilihan saya. Saya juga boleh menghantar email dan berkomunikasi dengan pelajar Malaysia
yang berada di sana untuk mendapatkan gambaran sebenar tempat tersebut. Anda juga boleh
mengaplikasikan kaedah yang sama.

 Kualiti hidup
Anda perlu menilai kualiti hidup di kawasan sekitar institusi pengajian anda. Sekiranya anda
seorang yang telah berkeluarga anda perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pusat
jagaan kanak-kanak untuk anda menghantar anak kecil anda, sekolah yang terdekat untuk anak
anda yang bersekolah, peluang pekerjaan untuk pasangan anda bagi membolehkan ekonomi
kewangan terus kukuh, fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terdekat sekiranya anak kecil
anda sakit dan banyak lagi faktor-faktor lain yang berkaitan.
Anda mungkin boleh memohon maklumat ini secara langsung daripada institusi pengajian
tersebut. Secara amnya mereka akan membekalkan maklumat ini di laman web mereka dan
anda boleh mendapatkan informasi di sini.

 Program yang ditawarkan
Setiap institusi dan fakulti menawarkan pelbagai program yang berbeza. Ada pengajian PhD
yang mewajibkan anda menghadiri kelas dan menduduki peperiksaan sebelum memulakan
kerja-kerja makmal anda seperti di Amerika Syarikat. Ada juga institusi yang tidak mewajibkan
pelajar mereka menghadiri kelas seperti di United Kingdom. Walaupun pada dasarnya PhD

21

adalah sama namun kursus yang ditawarkan mungkin berbeza kurikulum. Oleh itu anda perlu
menilai matlamat kerjaya anda bagi membolehkan anda memilih program yang akan memberi
manfaat kepada kerjaya anda kelak.

 Kos
Sebelum ini adalah amat sukar untuk mencari bantuan kewangan untuk ijazah sarjana atau
Ph.D. berbanding untuk ijazah sarjana muda di mana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Nasional (PTPTN) disediakan. Oleh itu kos yuran merupakan suatu kriteria pemilihan anda
yang utama. Namun begitu, terdapat banyak bantuan kewangan ketika ini untuk pelajar yang
ingin menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD yang disediakan oleh kerajaan
serta badan-badan swasta yang lain.

 Masa

Untuk program PhD sepenuh masa, anda mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun
atau 6 semester, tetapi jika anda mengambil kursus separuh masa, ia boleh mengambil masa
sehingga enam tahun atau 12 semester. Pastikan anda tahu berapa lama ia akan membawa
anda supaya anda bersedia dengan untuk mendapatkan semua kredit yang diperlukan untuk
tamat pengajian.

 Kemudahan asas

Kemudahan fizikal sesebuah instistusi adalah satu faktor penting untuk berjaya dalam
pengajian siswazah anda. Anda perlukan institusi yang mempunyai sebuah perpustakaan yang
dipenuhi dengan buku-buku yang berkaitan dan bahan-bahan rujukan atau makmal dilengkapi
dengan alat yang sesuai untuk menyiapkan penyelidikan anda.

22

 Penyelia berpotensi

Profesor anda, penasihat graduan dan ahli fakulti lain harus menjadi topik penting dalam
pencarian institusi anda. Mengetahui penyelidikan yang sedang dijalankan oleh profesor dalam
bidang anda serta kumpulan penyelidikan yang beliau tubuhkan merupakan perkara penting
dalam penilaian anda. Minta pelajar lain mengenal pasti penasihat yang sesuai untuk anda
kerana mereka adalah orang-orang yang bekerja rapat dengan penyelia anda. Di samping itu,
pentadbiran universiti yang mesra juga harus menjadi kriteria pemilihan anda kerana ia
membantu anda ketika berhadapan dengan masalah.

 Di kampus atau dalam talian

Menyambung pengajian di dalam kampus atau secara talian juga merupakan kriteria pilihan
yang harus anda fikirkan. Jika anda seorang pelajar yang terikat dengan kerjaya yang tidak
boleh dilepaskan, pengajian dalam talian boleh menjadi pilihan anda. Namun, jika anda ingin
berkembang maju dengan berinteraksi dengan rakan-rakan atau profesor anda, pengajian di
kampus mungkin pilihan terbaik anda.

 Akreditasi

Anda mesti memastikan institusi pilihan anda telah mendapat akreditasi atau diiktiraf oleh
badan pemantau. Jika tidak, anda akan mempunyai masa yang sukar mendapat pekerjaan
kerana kebanyakan majikan meletakkan nilai yang sedikit pada institusi yang tidak diakredetasi.

23

BAB 4
Memilih bidang pengajian

Oleh: Sarva Mangala Praveena
Pemilihan bidang kajian
Tujuan menyambung pengajian ke peringkat PhD di dalam atau luar negara

bergantung kepada pelbagai faktor. Antaranya adalah faktor bidang
penyelidikan yang diminati, penyelia yang bagus, kewangan, geran penyelidikan
tersedia dan sebagainya. Bidang yang diminati adalah salah satu faktor yang amat mendorong
anda untuk berusaha lebih kuat dan tidak bosan sepanjang pengajian. Anda akan berdepan
dengan pelbagai masalah tidak kira dari segi sampel, analisis, data, analisis data dan
sebagainya. Kesemua masalah ini merupakan cabaran kepada untuk meneruskan pengajian
PhD anda. Oleh itu, bidang yang diminati akan memainkan peranan yang amat penting dalam
menjadikan anda sentiasa tabah dan sabar semasa berdepan dengan masalah tersebut.
Bidang yang diminati juga akan menjadikan anda mampu untuk bertahan ketika bekerja di
makmal atau di kawasan kajian tidak kira waktu. Ia adalah faktor pendorong anda di dalam
pengajian anda.

24

Sumber: PhD comics (2010)
Ramai yang suka kekal dalam bidang mereka semasa di peringkat Sarjana. Namun,
tidak dinafikan juga ramai pelajar yang akan berhijrah ke dalam bidang penyelidikan yang baru
dan diminati semasa peringkat PhD. Mengikut pengalaman Dr. Praveena (salah seorang
penulis buku ini), beliau telah berada dalam dua bidang yang berlainan di peringkat Sarjana dan
PhD. Di peringkat Sarjana, beliau telah menjalankan penyelidikan di dalam bidang kimia
tanah/sedimen manakala di peringkat PhD beliau membuat penyelidikan dalam bidang kimia
air. Minat dalam bidang penyelidikan alam sekitar adalah faktor utama dalam pemilihan beliau
ketika itu.

25

Sumber: PhD Comics (2010).
Beliau amat meminati bidang kimia air dan tanah. Walaupun pada mulanya ianya agak
susah, namun sikap untuk terus berusaha menjadikan beliau jatuh cinta dengan kedua-dua
bidang kimia air dan tanah. Sememangnya interaksi air dan tanah serta tindak balas kimia di
antara air dan sedimen tidak dapat dipisahkan. Antara kebaikan dalam memilih dua bidang
yang lain di peringkat Sarjana dan PhD adalah ia akan membuka kita kepada pelbagai ilmu
baru dalam analisis sampel, analisis data, statistik serta penulisan dalam dua bidang yang
berlainan.

Kesemua ini akan membantu anda apabila melangkah ke dunia pekerjaan yang
memerlukan anda mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburi. Sebagai
contoh, semasa melanjutkan pengajian di peringkat PhD, beliau juga terlibat dalam pelbagai
analisis sampel udara, sisa pepejal dan sebagainya. Walaupun pada masa itu, ianya dirasakan
agak sukar, namun beliau menjadikan ia sebagai salah satu peluang untuk mempelajari ilmu
tambahan. Kesemua ini telah menjadikan beliau seorang yang berpengetahuan luas dalam
bidang analisis alam sekitar. Semasa beliau memohon jawatan pensyarah, beliau diperlukan
untuk mengajar di dalam bidang analisis persekitaran, sesuatu yang bukan lagi asing bagi
beliau.

26

Namun demikian, tidak dinafikan juga sekiranya anda kekal di dalam bidang sama di
peringkat Sarjana dan PhD anda juga mempunyai kelebihan yang tersendiri. Meluangkan masa
5 hingga 6 tahun dalam bidang yang sama walaupun topik kajian yang berlainan, akan
menjadikan anda seoarang berpengetahuan luas. Anda akan menjadi seorang yang sangat
mahir dari segi penyelidikan terkini di dalam bidang tersebut, mampu meneroka penyelidikan
yang dijalankan dengan lebih mendalam, mampu menguasai pelbagai kemahiran serta lain-lain
lagi. Antara kelebihan pilihan ini adalah, anda boleh memohon pekerjaan dalam bidang yang
spesifik mengikut bidang kajian anda. Sebagai contoh, seorang dari rakan kami yang kekal di
dalam bidang kajian air selama 6 tahun sepanjang pengajian beliau di peringkat Sarjana dan
PhD telah mendapat jawatan pensyarah di dalam bidang analisis air dan menjadi pakar rujuk
untuk masalah air. Beliau juga menjadi pakar rujuk bagi institut penyelidikan air di Malaysia.
Tidak dinafikan, setelah memperolehi jawatan pensyarah di salah satu universiti awam di
Malaysia, beliau masih meneruskan penyelidikan air dengan menerokai pelbagai bidang baru
yang terkaitan dengannya.

Oleh itu, memilih bidang di dalam peringkat PhD adalah sangat penting kerana ia akan
menjadi pendorong utama kepada kejayaan anda di masa akan datang.

27

BAB 5
Penyelia dan Anda

Oleh: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Pemilihan penyelia

Pemilihan penyelia adalah salah satu faktor utama di dalam pengajian PhD.
Pemilihan penyelia boleh menjadi sukar sekiranya anda tidak pasti mengenai
mereka sehingga anda mula bekerja dengan mereka. Untuk mendapatkan yang
terbaik daripada penyelia anda, anda perlu berminat dalam bidang penyelidikan mereka.
Meminati bidang yang sama adalah antara faktor penggerak dalam memilih penyelia bagi
pengajian anda.

Namun begitu ada ketikanya bidang yang ingin anda ceburi tidak selari dengan bidang
penyelia anda. Menerusi pengalaman saya, penyelia saya seorang professor dalam bidang
Geographical Information System (GIS), sedangkan saya ketika itu langsung tiada asas dalam
GIS dan sedikit pun tidak terdetik untuk menggunakan GIS dalam penyelidikan saya. Oleh
kerana saya bukanlah seorang yang suka menukar-nukar penyelia dan bidang penyelidikan,
jadi tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menukar penyelia. Menukar penyelia amat
merumitkan dan amat membebankan pelajar. Hal ini akan kami bincangkan di dalam bab
mengurus penyelia nanti. Namun, sekiranya menukar penyelia adalah merupakan langkah
terbaik untuk anda, lakukanlah dengan segera kerana kelewatan anda menukar penyelia boleh
memanjangkan tempoh pengajian.

28

Berbalik kepada isu sekiranya bidang anda tidak selari dengan penyelia, anda
sebenarnya boleh cube untuk mempelajari bidang penyelia anda itu. Bagi membolehkan aliran
pemikiran saya selari dengan penyelia saya, saya telah mengaplikasikan elemen GIS yang
sangat asing bagi saya ketika itu ke dalam penyelidikan saya. Meskipun sukar pada awalnya
namun saya mampu menguasai penggunaan GIS dan saya beruntung hari ini kerana menjadi
salah seorang perintis pengguna GIS di jabatan saya.

Ada di antara kita yang mahu bersama penyelia peringkat Sarjana. Ini kerana anda
sudah biasa dan selesa bekerja dengannya. Oleh itu, penyelia tersebut akan menjadi penyelia
pengajian PhD anda. Sememangnya tidak dinafikan memandangkan anda sudah memahami
gaya penyelia lama anda, maka ia akan menyenangkan perjalanan PhD anda. Namun, bukan
semua akan bernasib baik seperti ini. Ada sesetengah di antara kita yang mendapat penyelia
yang tidak dapat difahami. Memandangkan faktor tersebut, pemilihan penyelia baharu akan
bermula di peringkat PhD. Penyelia baharu di peringkat PhD di dalam bidang yang sama atau
berlainan akan bermula dari hari pertama anda mendaftarkan diri anda.

Dr. Praveena berkongsi dengan anda tentang pengalaman beliau dalam memilih
penyelia.

“Sebagai seorang graduan dari universiti tempatan, terdapat beberapa perbezaan di antara
penyelia tempatan dan luar negara. Saya bernasib baik kerana dapat melihat perbezaan di
antara kedua-dua penyelia ini. Ini kerana penyelia utama saya di peringkat Sarjana adalah
seorang lulusan PhD dari United Kingdom yang bekerja di salah satu universiti tempatan di

29

Malaysia. Manakala, di peringkat PhD penyelia utama saya ialah seorang anak kelahiran
tempatan. Perbezaan yang amat ketara ialah dari segi pertuturan. Penyelia tempatan lebih
berhati-hati dari sesi pertuturan dan menjaga hati kita. Sebaliknya, penyelia luar Negara lebih
bersikap terbuka dan adakalanya tidak menyenangkan hati kita sekiranya kita tidak pandai
memahami ayat beliau.

Saya ingin berkongsi pengalaman bagaimana penyelia Sarjana saya memberikan komen
mengenai makalah pertama saya. Beliau menegur betapa teruknya bahasa Inggeris saya di
hadapan semua pelajar pascasiswazah yang lain dengan suara yang lantang.
Sebagai seorang perempuan, ia akan menyakitkan hati saya dan saya menangis selepas beliau
beredar dari bilik tersebut. Namun tidak dinafikan setelah memahami beliau, ia adalah gaya
penyelia tersebut mengutarakan pendapatanya dan bukan untuk memalukan atau menyakitkan
hati saya. Sememangnya saya mengambil masa yang lama untuk memahaminya.
Begitu juga apabila beliau menyemak makalah yang saya sediakan untuk penerbitan jurnal,
beliau akan menggunakan huruf besar dan menulis “BAD ENGLISH!!!”. Walaupun, sukar untuk
saya untuk menulis menggunakan bahasa asing yang menguasai penulisan saintifik, namun,
saya berterima kasih kepada beliau kerana telah banyak mengajar penggunaan bahasa
tersebut. Beliau juga telah bersifat jujur dalam memberikan komen.

Semasa di peringkat PhD, penyelia tempatan saya akan berhati-hati dalam memberikan komen
serta menjaga perasaan pelajarnya semasa memberikan komen. Saya amat berdikari dan
diberikan peluang untuk menerokai pelbagai bidang kajian yang lain termasuk bidang PhD
saya. Minat saya untuk memperolehi ilmu dalam bidang penyelidikan alam sekitar telah
membantu saya menambah jumlah penerbitan saya. Saya akui bahawa kedua-dua penyelia
saya di peringkat Sarjana serta PhD mmepunyai cara dan gaya yang tersendiri. Saya bersyukur
kerana dapat memahami gaya mereka”.

30

Sumber: PhD.stanford.edu

Walau dalam situasi apa pun saya pasti kesemua penyelia mempunyai misi yang sama iaitu
untuk melahirkan graduan yang berjaya. Oleh itu sebagai pelajar anda harus menerima teguran
penyelia dengan lebih positif dan tidak terlalu mengambil nya sebagai cemuhan apatah lagi
sebagai suatu penghinaan.

Apakah yang anda harapkan dari penyelia anda dan apa pula yang
beliau harapkan daripada anda?

Pertama kali menjejakkan kaki di United Kingdom pada tahun 2008 untuk menyambung
pengajian, soalan pertama yang diajukan oleh penyelia saya ketika itu ialah, apakah yang saya
harapkan dari beliau dan apa pula yang beliau harapkan dari saya. Pertama kali mendengar
soalan sebegitu agak mengelirukan saya kerana topik seperti ini jarang kita ajukan atau
dijadikan amalan dalam kehidupan saya. Namun tidak dinafikan ianya merupakan salah satu
teknik yang berkesan untuk saya memahami dengan siapa saya akan bekerja untuk tiga tahun
ini dan tentu beliau sebagai penyelia turut memahami kehendak dan keperluan saya.

Sekiranya anda memulakan pengajian kelak, elok diadakan perjumpaan bersemuka bersama
penyelia anda dan berkongsilah kehendak dan keperluan anda bersama beliau dan dengar juga
kehendak serta harapan beliau kepada anda supaya anda memahami orientasi atau perjalanan
PhD yang bakal anda tempuh.

31

Sebagai contoh penyelia saya tidak menetapkan julat masa untuk saya berbincang dengannya
mengenai kajian saya, tetapi saya sendiri yang mengutarakan keinginan untuk berjumpa
dengan beliau sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu dan beliau setuju. Ini bagi
membolehkan saya sentiasa di landasan yang betul selain dapat mendisiplinkan diri saya. Cara
ini berkesan untuk saya kerana berjaya menghabiskan semua kerja-kerja lapangan dan analisis
data dalam masa 2 tahun 6 bulan, dan menumpukan 6 bulan terakhir pengajian untuk menulis
tesis.

- Sharifah Norkhadijah Syed Ismail

Sebaik sahaja saya pulang ke Malaysia dan mula berkhidmat, soalan yang sama kami ajukan
kepada pelajar-pelajar pasca siswazah Sains Kesihatan di Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan UPM tentang harapan mereka terhadap penyelia. Berikut adalah antara maklum
balas yang diberikan;

Pelajar 1 (Master Sains Kesihatan)
“Saya mengharapkan dapat berbincang dengan penyelia saya setiap minggu untuk
mengemaskini kemajuan projek / penyelidikan. Saya juga mengharapkan beliau
dapat berkongsi pengalaman dengan saya serta mempunyai hubungan yang baik
dengan saya”.

Pelajar 2 (Master Sains Kesihatan)
“Saya mengharapkan penyelia yang dapat memantau kemajuan kerja pelajarnya

berdasarkan sasaran kerja yang diinginkan. Beliau juga saya harapkan dapat
memaklumkan saya tentang maklumat serta berita dari pengurusan universiti
tentang pengajian saya”

32

Pelajar 3 (PhD Sains Kesihatan)
 Doa dan memberi sokongan moral
 Berkongsi apa-apa maklumat atau pengalaman
 Elakkan membandingkan saya dengan orang lain. Saya boleh menjadi

yang terbaik dengan cara saya sendiri dengan usaha saya dan sokongan penuh
penyelia saya
 Membantu saya dengan cara sendiri
 Bertanya dengan saya terus jika terdapat isu tentang saya mahupun kajian saya
 Sentiasa memaafkan kesilapan saya dan membetulkan saya jika saya melakukan
kesalahan

Pelajar 4 (PhD Sains Kesihatan)
“Perbincangan yang membina supaya saya boleh memperbaiki diri saya”.

Pelajar 5 (Master Sains Kesihatan)

“Saya menjangkakan bahawa penyelia akan mempunyai kerjasama yang baik
dengan pelajar- pelajar mereka. Saya juga mengharapkan penyelia
mengadakan aktiviti bersama pelajar untuk mewujudkan keserasian antara
pelajar dan penyelia”
Pelajar 6 (PhD Sains Kesihatan)

“Kerjasama yang baik. Dapat berkongsi idea. Memberi maklum balas apabila
diperlukan. Memberi komen kritikal yang boleh membaiki tesis saya”.

33

Pelajar 7 (PhD Sains Kesihatan)

“Saya menjangkakan penyelia saya bersikap terbuka dan jujur dengan saya
dengan memberitahu tahu saya jika ada apa-apa yang saya boleh lakukan untuk
meningkatkan kualiti kerja saya. Saya juga mengharapkan penyelia saya untuk menjadi mentor
saya yang akan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan idea supaya saya boleh
mencapai tahap pengetahuan yang tinggi. Saya menganggap penyelia adalah seperti cermin, di
mana beliau akan menjadi pengkritik tunggal saya yang akan sentiasa menilai secara kritikal
kerja dan kemajuan saya. Beliau juga berperanan memberikan saya komen yang membina
supaya saya boleh melakukan kerja-kerja yang terbaik yang akan membuat saya berbangga
dengan pencapaian saya. Akhir sekali saya mengharapkan penyelia saya menjadi
contoh kepada masa depan karrier saya”.

Rata-rata harapan pelajar-pelajar ini juga tidak jauh berbeza dengan harapan kami
dahulu. Mereka mengharapkan penyelia yang dapat bekerjasama dengan mereka serta
penyelia yang dapat memberi panduan sepanjang pengajian mereka. Soalan yang sama saya
ajukan kepada penyelia-penyelia mereka untuk melihat samaada apa yang pelajar-pelajar ini
harapkan bersamaan dengan harapan penyelia mereka, dan inilah maklum balas mereka.

Penyelia 1
“Saya mahukan pelajar yang proaktif, jujur, dan memberikan saya ruang untuk
berfikir sebelum mengadakan perjumpaan mingguan. Pelajar juga perlu
memberikan saya agenda sebelum perjumpaan. Mempunyai perancangan untuk
kerja-kerja yang diberikan. Berdikari, tetapi perlu merujuk kepada saya tentang
perkara-perkara yang saya anggap penting. Menepati masa. Bersedia untuk perbincangan dan
mengemaskini e-mel dalam tempoh 24 jam. Menghantar laporan yang dihasilkan menggunakan
kreativiti sendiri dan tidak hanya menyalin dari artikel orang lain. Berpegang kepada jadual carta
Gantt. Penyelia adalah manusia juga, kadang-kadang mempunyai banyak tekanan. Jangan
berasa kecewa jika saya kelihatan marah, biasanya saya tidak marah pada anda tetapi mungkin
mempunyai banyak perkara dalam fikiran saya”.

34

Penyelia 2
“Pelajar saya perlu berdikari, rajin, progresif dan pandai mengurus serta menangani masalah
dengan sendiri. Seseorang yang menepati masa. Berjumpa dengan saya setiap minggu untuk
melaporkan kemajuan kajian mereka. Setiap kali datang berbincang dengan saya, saya
mengharapkan pelajar tersebut datang bersama draf laporan meskipun hanya satu perenggan.
Saya tidak selesa jika pelajar datang dengan tangan kosong. PhD atau Master adalah sesuatu
yang serius. Sekiranya anda datang dengan tangan kosong tanpa membawa apa-apa kertas
atau laporan bersama anda, ia memberi gambaran kepada saya bahawa anda tidak serius
dengan pengajian anda”.

Penyelia 3
“Pelajar perlu mempunyai komitmen yang tinggi, serius, berdikari, rajin dan
bersedia untuk belajar”.

Penyelia 4
“Pelajar perlu menentukan wawasan yang jelas tentang kerja penyelidikan mereka.
Pelajar juga perlu menentukan misi yang jelas untuk mencapai visi kajian dan peka
tentang subjek tertentu yang berkaitan dengan tesis mereka. Membuat temu janji dengan
penyelia, sekurang – kurangnya satu sesi seminggu. Menyertai persidangan dan bengkel serta
mengikut nasihat penyelia”.

Penyelia 5
“Pelajar harus pro aktif dengan sentiasa memberi maklum balas kajian mereka
kepada penyelia tanpa perlu diminta. Dengan cara ini, ianya dapat mengurangkan
tekanan terhadap pelajar daripada dikejar selalu oleh penyelia. Pelajar perlu beri perhatian
kepada nasihat penyelia. Kebanyakan penyelia ingin pelajar untuk menyelesaikan tesis mereka
dalam masa pengajian mereka. Pelajar perlu bersikap pro-aktif dalam mendapatkan maklumat
dan pengetahuan terutama mengenai penyelidikan mereka. Mereka juga harus mula menulis di
peringkat awal semester dengan beratus-ratus makalah jurnal yang dikaji terutamanya yang
berkaitan dengan bidang kajian mereka. Tidak menghabiskan masa melakukan perkara-perkara
lain terutama pada hari-hari bekerja. Maklumkan sebarang masalah yang timbul seawal
mungkin dan tidak menyimpannya sebagai rahsia daripada penyelia”.

35

Penyelia 6
“Pelajar saya perlu berdikari, mempunyai motivasi diri yang tinggi. Mengemaskini
maklumat terkini mengenai penyelidikan semasa dan dapat menamatkan
pengajian beliau dalam tempoh masa yang ditetapkan”.

Secara amnya dapat kita lihat bahawa penyelia juga mempunyai harapan yang tinggi terhadap
pelajar mereka. Mereka mahukan pelajar yang proaktif, berdikari dan mempunyai motivasi yang
tinggi dalam pengajian mereka. Pada masa yang sama penyelia tidak mempunyai masalah
untuk berbincang secara kerap dengan pelajar mereka bagi melancarkan penyelidikan pelajar-
pelajar di bawah seliaannya.

Tip persediaan diri
Berikut adalah tip untuk anda menghadapi hari-hari esok sebagai pelajar pascasiswazah;
 Fahami bahawa perjalanan anda sebagai pelajar pascasiswazah adalah menarik dan

mencabar.
 Anda akan terikat dengan komitmen pengajian sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 tahun

dan ianya merupakan pengalaman yang menarik.
 Bersemuka dengan penyelia dan berkongsi harapan anda terhadap beliau dan pengajian

anda.
 Minta penyelia anda berkongsi harapan beliau terhadap anda dan pengajian anda.
 Penyelia merupakan ibu bapa anda sepanjang pengajian anda. Sekiranya terdapat

sebarang masalah, kongsikan bersama mereka.

36

BAB 6
Bagaimana mengurus

penyelia anda?

Oleh: Emilia Zainal Abidin

Penyelia anda mungkin individu yang paling penting
dalam mempengaruhi kejayaan PhD anda. Memilih
penyelia, memahami peranan mereka termasuk peranan
yang tiada kaitan dengan penyeliaan dan memahami
nasihat mereka adalah sangat penting bagi memastikan
pengalaman PhD yang lancar dan berjaya.

Mengapa penting untuk pelajar mengurus penyelia mereka? Ekstrak dari “Your PhD
Companion” oleh Marshall dan Green, penyelia anda mungkin individu yang paling penting
dalam mempengaruhi kejayaan PhD anda. Memilih penyelia anda, memahami peranan mereka
termasuk peranan yang tiada kaitan dengan penyeliaan dan memahami nasihat mereka adalah
penting untuk memastikan pengalaman PhD yang lancar dan berjaya. Kerana inilah pentingnya
para pelajar yang ingin memulakan perjalanan PhD untuk sedikit sebanyak mempelajari seni
mengurus penyelia mereka dengan berkesan.

Bagaimana untuk mengurus penyelia anda? Ini adalah persoalan yang mungkin selalu
bermain di fikiran para pelajar yang sedang mengikuti pengajian PhD. Kata anda, “Penyelia

37

PhD juga perlu diurus?” Bagaimana hendak mengurus seseorang yang anda tidak pernah kenal
sebelum ini? Isu ini akan diulas dengan lebih lanjut di dalam bab ini.
Memilih penyelia yang telah anda kenali atau penyelia yang tidak pernah anda ketahui
kewujudannya

Apa pilihan anda? Jawapan yang paling mudah adalah memilih seseorang penyelia
yang telah anda kenali sewaktu zaman pengajian prasiswazah. Pepatah Inggeris pernah
mengatakan, “Do not believe in first appearances”. Sebelum menyambung pengajian, tentunya
pelajar yang berminat untuk menyambung PhD dengan seseorang pensyarah di universitinya
telah bertanya-tanya kepada rakan-rakan senior yang lain tentang latar belakang pensyarah
yang ingin dilamar sebagai penyelia tersebut. Sekiranya senior anda mengiakan bahawa
pensyarah tersebut adalah seorang pensyarah mempunyai ciri-ciri mentor yang bagus dan
bermutu kerjanya, langkah pertama yang harus dibuat adalah untuk berjumpa dengan
pensyarah tersebut dan menyampaikan maksud anda, tetapi sekiranya bisikan yang diberikan
adalah sebaliknya, anda perlu memahami maksud tersebut. Namun, gunakanlah kebijaksanaan
dalam melontarkan pertanyaan di mana pelajar seharusnya mengambil nasihat dari beberapa
orang pelajar yang berada di bawah seliaan pensyarah tersebut, bukan hanya dengan bertanya
kepada seorang individu sahaja.

Gunakan ilmu statistik yang telah dipelajari untuk mentafsirkan ujian-t yang dikira adalah
sama ada hubungan adalah signifikan (p<0.05) atau adalah kerana kebarangkalian semata-
mata. Tanyalah soalan tentang pencapaian pensyarah berkenaan, sama ada ramai yang telah
lulus di bawah seliaannya atau ramai yang kecundang. Ini adalah indikator terbaik dalam
menentukan pemilihan anda. Sekiranya ramai yang lulus, tanyakan juga soalan tentang purata
tahun yang diambil oleh pelajar seliaan beliau untuk menamatkan pengajian PhD-nya. Ini juga
indikator penting, memandangkan pelajar akan menghadapi masalah sekiranya rata-rata pelajar
di bawah seliaan seorang pensyarah memerlukan sehingga 8 tahun untuk menamatkan PhD.
Timbang tara dalam komen dan nasihat yang diberikan dan buatlah pilihan terbaik. Perlu
diingat, cara tersebut adalah untuk mengetahui latar belakang mengenai sifat-sifat pensyarah
sahaja, tetapi hasil kerja akademik adalah satu sudut yang berbeza dan perlu diamati juga.

Bagaimana pula sekiranya anda tidak pernah mengenali seseorang pensyarah tetapi
ingin melanjutkan PhD di bawah seliaannya? Rujuklah dari laman sesawang yang ada di

38

internet. Carilah resume pensyarah tersebut menggunakan internet dan telitilah hasil kerja
beliau terutama sekali jurnal penerbitannya.

Jurnal penerbitan berwasit biasanya memaparkan hasil kerja penyelidikan dan penulisan
yang bermutu seseorang pensyarah dan adalah amat dihargai dalam bidang akademik.
Pengajian PhD adalah menjalankan penyelidikan dan penulisan sepanjang 3 tahun, dan
seseorang pensyarah yang mempunyai jumlah jurnal berwasit yang bersesuaian dengan
tempoh perkhidmatan beliau melambangkan beliau adalah seorang individu yang mempunyai
prestasi yang baik dalam kerjanya dan ini adalah pilihan terbaik dalam menentukan kesesuaian
seseorang menjadi penyelia.

Selain dari resume, pelajar juga boleh mendapatkan maklumat dari laman sesawang
individu tersebut. Kebiasaanya, semua ahli akademik di universiti akan mempunyai laman
sesawang peribadinya yang lengkap. Dari situ, para pelajar boleh meneliti sama ada anda
mempunyai persamaan bidang dengan pensyarah tersebut dan sekiranya ada, bolehlah pelajar
mengorak langkah dengan menghantar emel ringkas dan padat mengenai latar belakang
pelajar dan keinginan pelajar untuk menyambung pengajian di bawah seliaannya.

Cara lain yang akan membantu pelajar membuat keputusan dalam situasi ini adalah
dengan menghantar emel kepada para pelajar yang sedang berada di bawah seliaan
pensyarah tersebut. Kebiasaannya laman sesawang sesuatu jabatan akan memaparkan
senarai pelajar siswazah, bidang pengajian dan juga penyelia masing-masing. Buat sedikit
analisis dan hubungi pelajar tersebut untuk bertanyakan soalan-soalan yang relevan berkaitan
dengan penyeliaan pensyarah tersebut. Rajah berikut adalah contoh laman sesawang
sesebuah jabatan yang memaparkan senarai pelajar siswazah yang diselia oleh seseorang
pensyarah.

Pengalaman saya sendiri, sepanjang saya melanjutkan pengajian saya di Aberdeen,
sudah beberapa kali saya dihubungi oleh pelajar sama ada dari Malaysia atau dari luar negara
seperti Thailand untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penyelia PhD saya. Bukan itu
sahaja, ada juga yang menghubungi saya untuk mengetahui tentang penyelia ijazah sarjana
saya. Kebiasaannya saya gembira untuk melayan pertanyaan dari pelajar-pelajar yang berminat
untuk menyambung pengajian mereka dan saya cuba memberikan perspektif yang positif
kepada mereka.

39

Rajah: Senarai pensyarah dan pelajar pascasiswazah di jabatan saya. (Sumber:
http://medic1.upm.edu.my/jkpp/staf/postgraduate_jkpp)

Rajah: Senarai pensyarah dan pelajar pascasiswazah di salah sebuah institut pengajian di
University of Aberdeen. Sumber: http://www.abdn.ac.uk/child_health/staff.shtml.

40

Contoh pengalaman Dr. Sharifah ketika mahu memilih penyelia Phd beliau;

“Saya bukanlah seorang yang cerewet berkenaan penyelia. Saya tidak cerewet dalam
banyak benda, jadi ketika saya memilih penyelia saya, cukup sekadar beliau mempunyai bidang
yang sama dengan saya. Pengalaman pemilihan penyelia saya mungkin tidak boleh dijadikan
contoh kerana saya hanya memilih Prof. Andrew Lovett kerana beliau mempunyai kepakaran
dalam bidang pengurusan sisa pepejal tanpa melihat jumlah kertas ilmiah yang telah beliau
hasilkan, jumlah pelajar yang telah berjaya di bawah asuhan beliau, jumlah pelajar yang gagal,
personaliti beliau dan sebagainya. Saya hanya menyemak profil beliau dan gambar nya di
internet setelah beliau menghantar e-mel bersetuju menjadi penyelia saya. Saya tidak pernah
berhubung dengannya secara langsung. Hanya selepas beberapa bulan meenghantar borang
permohonan ke UEA, beliau menghantar e-mel kepada saya tanda setuju untuk menjadi
penyelia.

Namun begitu, ada baiknya saya tidak terlalu menyelidiki profil penyelia saya kerana
ianya membuatkan saya mempunyai pandangan yang adil tentang beliau. Saya tidak akan
terpengaruh dengan tanggapan rakan-rakan sekiranya saya bertanya pendapat mereka tentang
Andrew. Ternyata Andrew seorang yang agak tegas, 'grumpy' apabila penat (saya rasa ini
adalah perkara normal), seorang yang sangat fokus di dalam kerja, sangat menepati masa dan
seorang yang sangat baik hati. Sekiranya saya mengetahui personaliti beliau dari awal sudah
tentu saya akan berasa kurang selesa dan takut berhadapan dengan beliau lantaran sikapnya
yang tegas. Namun begitu, saya berpendapat, pemilihan penyelia yang tepat adalah penting
untuk kejayaan anda. Pilihlah penyelia yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang anda
hajati serta cubalah beradaptasi dengan cara kerja beliau, kerana ia berperanan besar dalam
hubungan anda dengan penyelia anda. Selain itu mohonlah petunjuk dari Yang Maha Esa,
kerana segala kemudahan dan ketentuan, datang dari-NYA.”

Dengan panduan pemilihan penyelia yang telah diterangkan, adalah diharapkan anda
dapat mencapai objektif untuk memilih penyelia yang paling sesuai dengan bidang penyelidikan
dan latar belakang anda serta boleh menjadi seorang mentor.

41

Apakah yang perlu saya lakukan seterusnya?

Setelah anda melakukan langkah-langkah pemilihan tersebut, bagaimana untuk
mendapatkan seorang penyelia yang melengkapi kelemahan anda dan dapat memberi tunjuk
ajar yang sempurna? Berdoalah supaya penyelia yang diperolehi adalah yang terbaik untuk diri
anda. Saya percaya usaha kita untuk berjaya dalam sesuatu perkara hanya merangkumi 50%
dari kesemuanya dan untuk menjayakannya 100%, memerlukan doa yang berterusan.

Tentulah perjalanan yang panjang ini bermula dengan doa. Tempoh 36 bulan adalah
satu tempoh yang lama untuk berhadapan dengan seseorang yang peribadinya susah untuk
dipuaskan. Lain orang lain ragamnya. Macam-macam cerita yang saya dengar dari rakan-rakan
yang telah menamatkan PhD mereka. Tentulah Doa untuk memohon ilham dalam membuat
pemilihan adalah yang paling utama. Selepas anda berjaya mendaftarkan diri di bawah seorang
penyelia yang sesuai, bermulalah perjalanan dan fasa baru kehidupan anda sebagai seorang
pelajar. Di sinilah perlunya kemahiran dalam menguruskan penyelia anda.

Pentingnya memupuk hubungan pelajar dan penyelia

Banyak metafora yang boleh digunakan untuk melambangkan hubungan di antara
seseorang pelajar dengan seorang penyelia. Secara konservatifnya ianya mungkin ditafsirkan
sebagai hubungan seorang guru dengan pelajar. Ada juga yang menakrifkannya sebagai
hubungan perkahwinan yang tidak boleh ditalakkan dalam tempoh 36 bulan. Sungguh dramatik
bunyinya!

Tidak kurang juga yang mengatakan hubungan penyelia dengan pelajarnya adalah
seperti hubungan ibu atau bapa dengan anak masing-masing. Walau apapun pendapat yang
diberikan, ianya adalah satu hubungan yang perlu dipupuk, disemai dan dijaga sehingga ke
alam pekerjaan nanti. Sehingga kini, saya mempunyai hubungan yang baik dengan bekas
penyelia PhD saya. Apabila saya terfikir sejenak, saya sentiasa memanjatkan lafaz syukur
kerana bekas penyelia sentiasa berusaha untuk menghidupkan hubungan baik dengan saya
walaupun berlainan negara dan bangsa. Tidak lupa juga dia ada memberikan nasihat dan

42

semangat apabila emel yang saya kirimkan terpapar sedikit keresahan dalam urusan kerja
saya.

Emilia,
How are things anyway? I'm on a train to Aberdeen
and looking forward to my holiday in 2 weeks’ time
- it has been a busy couple of months with exams,
examining etc.
Hope you're well and managing to find the right
work-life balance!

Cheers Rajah: Emel dari bekas penyelia

XOXOXO

Bekas penyelia saya membantu dalam memperkukuhkan pentas dunia akademik saya
dengan melantik saya sebagai penyelia persampelan untuk pelajar Malaysia yang belajar di
Aberdeen dan akan melakukan penyelidikan di tanah air. Semua ini akan membantu saya dan
memberi saya pengalaman yang beharga.

Pengalaman adalah guru terbaik! Saya belajar menyelia dari pengalaman saya bersama
beliau. Saya tahu saya bukan penyelia yang sempurna, dengan pengalaman yang masih cetek,
dibandingkan secara relatif dengan pensyarah berpengalaman dan senior yang lain
memandangkan saya baru berkhidmat, tetapi saya yakin dengan keupayaan saya untuk
mempertingkatkan lagi kemahiran menyelia saya kerana saya telah diselia oleh seorang
pensyarah yang peribadinya amat saya kagumi.

Saya amat mengagumi sifat beliau, etikanya dan hatinya yang baik. Acuan yang telah
ditampakkan pada saya Inshaa Allah akan membantu menjadi kayu ukur peribadi sebagai titik
rujukan untuk saya apabila saya perlu menilai sesuatu tindakan saya (apabila saya ingin
menegur tindakan pelajar saya). Ucapan terima kasih di Rajah berikut merupakan salah satu
contoh sebuah hubungan pelajar dan penyelia yang efektif. Contoh ini adalah perkongsian dari

43

seseorang yang saya kenali. Bahagia rasanya mendengar penghargaan sebegini. Inilah
pentingnya pelajar memupuk dan mengekalkan hubungan yang baik dengan penyelia PhD
masing-masing.

Dear XOXO
Thank you so much. In fact you have been too good to me.
You know what I shed tears today because I was so touched
with your sincerity and your good will. Actually, I was so
discouraged, homesick and stressed for the past couple of
days but left your office a different person. I like that quality
in you. You are a great supervisor. I find myself so lucky to
have you as my supervisor.
Thank you so much again.

Rajah: Contoh penghargaan seorang pelajar

Penyelia yang ideal adalah penyelia PhD yang di kemudian hari akan terus menjadi
mentor. Walaubagaimanapun, realiti kehidupan dan tekanan kerja serta tekanan peribadi
adakala memaksa penyelia yang fleksibel dan baik hati menjadi seseorang yang tidak boleh
berkompromi atau dengan kata lainnya menjadi garang! Penyelia juga sebagai manusia biasa,
terkadang menghadapi masalah lain yang sedikit sebanyak mengganggu fikirannya dan
menyebabkan fokusnya terhadap pelajar menjadi kurang dan cepat menjadi marah walau silap
pelajar hanya sedikit. Juga tidak dapat dinafikan, penyelia yang baik boleh bertukar menjadi
singa yang terpijak duri sekiranya pelajar mengambil sikap sambil lewa dalam pengajiannya
dan tidak komited lantas berpontensi menjadi seorang pelajar yang tidak mempunyai harapan
untuk mendapatkan PhD. Atau masalah lain yang mungkin terjadi adalah kerana keperluan
kedua-dua pihak tidak kesampaian. Di sinilah letaknya keperluan pelajar mempelajari kaedah
menguruskan penyelia supaya kehendak anda dan penyelia anda dipenuhi.

Mari bersama-sama kita selami tip-tip yang mungkin bermanfaat untuk anda gunapakai
dalam menguruskan penyelia PhD masing-masing.

44


Click to View FlipBook Version