Berikut adalah beberapa cara pengurusan masa serta displin diri yang anda boleh contohi.
Keutamaan anda senarai tugasan (priority list): Susun semua kerja mengikut
kepentingan supaya anda tidak membuang masa pada tugas-tugas tidak penting.
Jadual masa untuk penyelidikan setiap hari: Profesor Roslan Syukor dari UKM yang
merupakan Editor jurnal Sains Malaysiana pernah menyatakan bahawa Thomas Edison
mempunyai jadual harian di mana beliau akan memastikan beliau akan menaip serangkap
perenggan setiap hari walaupun beliau amat sibuk. Selagi perenggan tersebut tidak
disiapkan, beliau tidak akan balik ke rumah. Anda juga boleh berbuat demikian. Walaupun
sukar untuk memulakan, selepas beberapa minggu anda akan mula menyesuaikan diri
anda dengan disiplin diri ini.
Fleksibel: Amat penting semasa di fakulti, anda perlu serius menyiapkan semua kerja
anda. Apabila anda berasa malas atau terganggu, bertanya kepada diri sendiri, "Apakah
perkara yang paling penting yang boleh saya lakukan sekarang? Gunakan jawapan anda
untuk merancang masa anda dan kembali ke landasan. Jangan sesekali mengikut rentak
rakan yang ingin anda menemani mereka ke sesebuah tempat ketika waktu kerja. Fokuskan
perhatian anda sepenuhnya kepada kerja-kerja anda.
Cabaran dan tip 4: Penyelidik berdikari
Pelajar PhD adalah merupakan penyelidik yang berdikari. Penyelia akan
melihat anda sebagai seorang yang berdikari apabila anda menyambung
pengajian di peringkat PhD. Pendekatan yang digunakan oleh penyelia anda amat berlainan
berbanding di peringkat Sarjana atau semasa di peringkat ijazah pertama. Sebagai seorang
yang matang, anda perlu menyusun jadual anda setiap hari supaya anda dapat menyiapkan
kerja anda. Disiplin diri adalah sesuatu yang tidak dapat dibentuk oleh orang lain dan ia bermula
dari diri anda sendiri. Anda perlu mulakan pengajian anda dengan Gantt Chart yang perlu
ditepati. Jangan terperanjat sekiranya penyelia tidak mengendahkan anda kerana mereka
menganggap anda boleh berdikari. Namun begitu, anda boleh meminta penyelia untuk
menyemak pretasi anda.
95
Cabaran dan tip 5: Gangguan dari orang sekeliling
Tidak dinafikan belajar di dalam negara lebih mudah kerana kita tidak perlu
berjauhan dengan ahli keluarga, ibu bapa dan anak (sekiranya anda
berkeluarga). Namun begitu, orang disekeliling kita termasuklah keluarga dan
rakan boleh mengganggu fokus anda terhadap komitment pengajian.
Sebagai contoh, pihak universiti tidak pernah menghalang atau mewajibkan pelajar PhD
mereka untuk datang ke pejabat mengikut waktu pekerjaan biasa. Pelajar dibenarkan untuk
menguruskan masa mereka dengan kuasa sendiri. Ada pelajar yang mengganggap pengajian
PhD adalah mudah kerana mereka boleh hanya belajar di rumah. Namun, ianya tidak semudah
yang dijangka. Apabila anda tidak mendisiplinkan diri untuk hadir ke pejabat mengikut waktu
pekerjaan biasa dan anda berada di rumah, anda akan menjadi lebih santai dan tidak dapat
fokus kepada kerja-kerja membaca dan menulis. Rumah anda bukanlah ruang yang kondusif
untuk anda berfikir dan memerah idea. Rumah adalah tempat anda berehat dan meluangkan
masa dengan keluarga yang tersayang. Apabila anda mahu memulakan kerja membaca dan
menulis anda di rumah, ketika itu lah rancangan televisyen menarik perhatian anda atau lagu-
lagu di radio yang rancak dimainkan menarik perhatian anda atau ada ketikanya ahli keluarga
anda mengajak anda menemani mereka.
Ada juga keluhan dari rakan-rakan yang berkeluarga mengatakan mereka tidak dapat fokus
kerana ahli keluarga sentiasa meminta mereka menemani ke kenduri kendara atau ke rumah
sanak saudara lantaran mereka tahu anak, ibu, bapa, isteri atau suami mereka sedang CUTI
belajar. Mengapa saya memberi penekanan kepada perkataan CUTI? Kerana mereka tidak
mengambil kisah perkataan ‘cuti belajar’ sebaliknya mengganggap pasangan atau ahli keluarga
mereka sedang ‘bercuti’. Cuti maksudnya sedang bersantai.
Ahli keluarga dan orang sekeliling tidak boleh disalahkan dalam hal ini kerana mereka tidak
memahami rutin pelajar PhD. Tetapi anda mengetahui bahawa pengajian PhD bukanlah suatu
pekerjaan yang boleh dilakukan secara santai dan sambil lewa, sebaliknya, ia merupakan
pekerjaan yang berterusan dan memerlukan fokus yang tinggi. Oleh itu, ingin saya cadangkan
agar pelajar tidak menjadikan rumah sebagai pejabat mereka di sepanjang pengajian PhD,
96
sebaliknya hadirlah ke universiti, gunakanlah perpustakaan atau pejabat yang disediakan oleh
universiti untuk pelajar pascasiswazah bagi menguruskan masa anda dengan berkesan.
Seorang rakan yang saya kenali telah mengambil inisiatif ini, di mana beliau tetap hadir
mengikut waktu pejabat meskipun dalam ‘cuti belajar’. Antara sebab-sebab beliau melakukan
sedemikan ialah kerana ingin mengelakkan dari gangguan ahli keluarga dan mahu fokus dalam
kerja-kerja PhD. Ini adalah langkah yang bijak.
Cabaran dan tip 6: Berkahwin
Bagaimana berkahwin boleh menjadi cabaran, sedangkan ianya sesuatu yang
baik dan menyeronokkan? Perkahwinan adalah perkara yang sangat baik
malah digalakkan di dalam Islam. Namun begitu, ianya boleh menyebabkan anda
hilang fokus dan terus santai sehingga tidak anda sedari waktu pengajian yang semakin tamat.
Perkara ini menjadi suatu cabaran untuk penuntut wanita. Banyak kes-kes di mana pelajar
berkahwin semasa di dalam tahun pengajian mereka dan tidak dapat menghabiskan pengajian
mereka. Ini adalah kerana mereka telah hilang fokus. Ada kes di mana pelajar wanita telah
mengandung dan mengalami alahan yang teruk seterusnya menyebabkan mereka gagal
meneruskan pengajian. PhD terkandas di tengah jalan.
Saya tidak mengatakan bahawa anda tidak boleh berkahwin, tetapi sebaiknya anda memahami
tuntutan perkahwinan serta tanggungjawab PhD yang perlu anda lunaskan. Uruskan lah masa
dengan baik. Sekiranya anda akan mengambil cuti yang lama untuk perkahwinan anda,
sebaiknya hantar lah draf makalah anda kepada penyelia untuk disemak di waktu anda bercuti.
Sekiranya anda berasakan ingin mengandung atau akan mengandung, pastikan kesemua
kerja-kerja analisis sampel di makmal telah anda langsaikan. Ini bagi membolehkan anda hanya
duduk di rumah menulis hasil kajian ketika mengalami alahan (sekiranya ada). Sudah tentu
proses mengandung pada trimester pertama akan menyebabkan anda sedikit letih dan ini
sedikit sebanyak mengganggu proses pengajian anda.
97
Kesimpulan
Banyak lagi cabaran-cabaran lain yang akan anda tempuhi sekiranya menyambung pengajian
PhD di dalam negara. Namun begitu, hadapilah setiap cabaran dengan tenang dan gunakanlah
pendekatan yang terbaik. Jangan mudah putus asa sekiranya banyak masalah timbul ketika
anda sedang belajar. Dapatkan nasihat dan bantuan dari rakan atau penyelia anda sendiri bagi
menyelesaikan masalah yang timbul.
98
BAB 10
Cabaran Pelajar PhD berstatus
‘Single Mummy’
Oleh: Irniza Rasdi
Kehidupan saya sebagai pelajar PhD agak berliku-liku. Saya memulakan
pengajian PhD sebagai ibu tunggal bersama bayi yang baru berusia 4 bulan.
Pada ketika itu, saya merasakan ujian yang diterima adalah terlalu berat
memandangkan inilah pertama kali saya menjadi ibu dan baru pertama kali juga saya
menjejakkan kaki ke luar negara.
Saya dilahirkan dan dibesarkan di dalam keluarga yang bolehlah dianggap sempurna. Kami
bahagia dan berkasih sayang antara satu sama lain. Bagi kami keluarga haruslah bersatu
walau apa pun cabaran yang menimpa. Perpisahan dan perpecahan di dalam keluarga adalah
tidak sama sekali terlintas di dalam fikiran kami. Sudah tentu ketika saya sah bergelar isteri,
saya membayangkan bahawa perkahwinan kami akan berakhir hingga ke akhir hayat.
Walaubagaimanapun, apakan daya, kita hanya mampu merancang, Allah penentu segalanya.
Mahligai yang dibina hancur sekelip mata, ketika saya sedang berbadan dua.
99
Peristiwa ini merupakan perkara yang amat berat dirasakan seumur hidup saya.
Perasaan malu, sedih, takut dan risau bercampur aduk. Dalam masa yang sama saya juga
harus memikirkan bayi di dalam kandungan saya. Setiap malam berendam air mata dan
menadah tangan berdoa agar diberi ketabahan untuk menghadapi semua ini. Apa yang berlaku
kepada saya juga merupakan tamparan hebat buat kedua ibu-bapa dan adik beradik saya yang
lain. Tohmahan dan prasangka keluarga serta rakan-rakan yang tidak memahami menghimpit
saya.
Pada masa yang sama saya juga telah diterima sebagai pelajar PhD di La Trobe
University, Melbourne, Australia. Namun dengan keadaan saya yang keseorangan dan sarat
mengandung, tidak mungkin saya mampu untuk pergi ke Australia dalam masa terdekat. Atas
desakan hidup yang dirasakan, saya hampir memadamkan hasrat untuk meneruskan pengajian
saya di luar negara. Saya mula berkira-kira untuk membuat PhD di universiti tempatan. Dengan
perasaan yang tidak stabil dan fikiran yang bercelaru, saya sangat lemah untuk berfikir dan
membuat keputusan. Saya menyambung cuti sebulan selepas cuti bersalin untuk menenangkan
fikiran dan cuba untuk mengutip dan mengumpul sisa-sisa semangat dan keyakinan diri yang
ada.
Setelah hampir dua bulan, apabila saya mula dapat menerima takdir yang telah
ditentukan untuk saya, secara perlahan-lahan kekuatan di dalam diri saya kembali wujud. Saya
mula berfikir bahawa tidak semua orang diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar
negara dengan diberi cuti bergaji penuh dan biasiswa. Lebih-lebih lagi saya pernah menolak
dua tawaran untuk belajar ke luar negara bagi program pra-siswazah dan juga program sarjana.
Saya mula merasakan bahawa saya memang ditakdirkan untuk belajar ke luar negara dan saya
tidak akan menolak peluang keemasan ini untuk kali ketiga.
Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pendaftaran pengajian sekurang-
kurangnya sehingga saya selesai bersalin dan habis berpantang. Saya bernasib baik kerana
diberi peluang oleh pihak La Trobe University dan juga majikan saya, Universiti Putra Malaysia
untuk membuat penangguhan. Saya bertekad walau apapun terjadi saya tetap akan
meneruskan pengajian. Saya berazam akan menghabiskan pengajian dan dalam masa yang
sama akan berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik untuk bayi saya, Qistina.
100
Saya sedar keputusan yang saya buat ini akan membutuhkan semangat, kekuatan dan
usaha yang tinggi dari diri saya. Saya mula merancang keberangkatan saya ke Melbourne
termasuklah tempat tinggal, pengangkutan dari lapangan terbang, barang-barang yang perlu
dibawa dan kesejahteraan saya dan bayi saya ketika berasa di sana. Saya mula menghubungi
persatuan pelajar di Melbourne, bakal penyelia saya, pihak pentadbiran La Trobe University
untuk mendapatkan panduan. Syukur, ada beberapa orang rakan seperjuangan di sana yang
memahami dan sudi menghulurkan bantuan.
Mereka banyak memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada saya. Mereka jugalah yang
mengaturkan tempat tinggal sementara bagi saya dan keluarga sebelum mendapat tempat
tinggal yang tetap. Saya percaya bahawa sekiranya kita berdoa dan yakin, Tuhan akan
memberikan pertolongan dari sumber-sumber yang tidak kita jangka.
Bersama anak kecil ke luar negara
Pada 28 Februari 2008, saya menjejakkan kaki ke Melbourne bersama Qistina
yang baru berumur 4 bulan dan ibu saya. Ibu bersetuju untuk menemani saya
selama tiga minggu sementara saya dapat mengaturkan penjagaan bayi saya ketika
saya perlu ke tempat kuliah. Syukur kepada Tuhan kerana perjalanan pendaftaran saya
berjalan lancar. Pada mulanya saya merancang untuk menghantar Qistina di pusat penjagaan
kanak-kanak di sana tetapi yurannya amat mahal dan elaun serta gaji saya tidak mampu untuk
menampung kos tersebut. Saya meminta pendapat dan pertolongan sahabat-sahabat di sana
dan saya bersyukur kerana seorang isteri kepada pelajar di La Trobe University bersetuju untuk
menjaga Qistina 3 hari seminggu dengan bayaran yang sesuai dengan tahap kemampuan
kewangan saya. Oleh itu saya mempunyai masa sepenuhnya dari jam 8 pagi ke 5 petang
selama 3 hari seminggu untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja PhD saya. Hidup
saya semakin tersusun setelah 3 minggu saya berada di Melbourne. Saya juga telah berjaya
mendapatkan tempat tinggal yang tetap berdekatan dengan universiti dan perhentian tram,
pengangkutan awam utama di Meloburne. Setelah ibu pulang ke Malaysia, bermulalah
kehidupan saya sebagai pelajar PhD berstatus ibu tunggal sepenuhnya bersama Qistina di
bumi Melbourne.
101
Oleh kerana tempat tinggal pengasuh Qistina agak jauh daripada tempat tinggal kami,
saya membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai bagi memudahkan perjalanan. Kereta
tersebut sudah berumur lima belas tahun tetapi masih dalam keadaan elok. Ayah saya pernah
berpesan sekiranya mahu membeli kereta terpakai yang lama carilah kereta buatan Eropah
kerana jangka hayatnya lebih lama berbanding kereta buatan Asia. Cukuplah sekadar kereta
tersebut digunakan untuk ke kuliah, ke pasar, kedai-kedai berdekatan dan terutamanya ke
tempat pengasuh Qistina.
Qistina amat bertuah kerana kebetulan pengasuhnya mempunyai kelulusan dalam
pendidikan awal kanak-kanak walalupun beliau adalah seorang suri rumah. Beliau amat fasih
berbahasa Inggeris dan Mandarin. Saya amat bersyukur kerana di dalam kesusahan, banyak
pertolongan dan kesenangan yang saya terima.
Setelah kepulangan ibu, saya berasa amat sunyi. Sesekali muncul juga perasaan takut
tinggal berdua sahaja dengan bayi terutamanya pada malam hari. Pada malam-malam tertentu
kedengaran bunyi bising golongan muda di Melbourne berparti dan mabuk. Kecut perut juga
rasanya, risau kebarangkalian mereka untuk merusuh. Tetapi, mengikut nasihat sahabat-
sahabat, kita akan selamat sekiranya pada waktu tersebut, kita hanya tinggal di dalam rumah.
Yang penting, pintu dirumah perlu dipastikan berkunci dan telefon bimbit perlu sentiasa
berdekatan dengan kita sebagai persediaan sekiranya ada kecemasan.
Mangurus PhD dan anak
Saya menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja PhD di ketiga-tiga
hari di mana Qistina berada di rumah pengasuh. Di tiga-tiga hari ini juga saya
cuba sebaik mungkin untuk menolak sebarang ajakan teman-teman untuk berbual atau minum
bersama. Saya hampir tidak bergerak daripada meja kerja saya dari jam 8 pagi sehingga 4.30
petang kerana saya sedar masa yang saya ada adalah sangat terhad berbanding rakan-rakan
saya yang bujang dan yang bersuami atau mempunyai ahli keluarga lain bersama. Saya tidak
menghiraukan sindiran segelintir teman-teman seperjuangan yang mengatakan bahawa saya
jenis yang tidak bersosial. Apa yang ada di dalam fikiran saya ketika itu ialah saya perlu
menggunakan masa 3 hari bekerja tersebut sebaik mungkin. Maafkanlah mereka yang mengata
102
kerana mungkin mereka kurang memahami keadaan kita yang mempunyai kekangan
kewangan untuk menghantar Qistina ke pusat jagaan kanak-kanak sepenuh masa.
Pada ketiga-tiga hari tersebut, saya bersungguh-sungguh membuat kerja-kerja PhD dan
hanya berhenti untuk solat dan makan tengah hari. Makanan tengah hari pula saya sediakan
dari rumah. Maklumlah kos untuk makan di restoran adalah sangat mahal di Melbourne. Di
samping dapat mengurangkan kos, membawa bekal ke tempat kuliah juga dapat menjimatkan
tenaga dan masa perjalanan. Waktu makan tengah hari juga digunakan sepenuhnya untuk
bersosial bersama rakan-rakan sepengajian dari pelbagai bangsa dan negara. Kami makan
tenghari bersama walaupun masing-masing membawa bekal sendiri dari rumah.
Di sini, kami bertukar-tukar pengalaman dan berkongsi masalah pengajian dan juga
masalah peribadi masing-masing. Walaupun hanya luahan dan perbincangan ringan, perasaan
gundah gelana dan resah di hati sedikit sebanyak berkurangan. Sekurang-kurangnya saya tahu
bahawa saya tidak keseorangan di dalam menempuh rintangan yang muncul sepanjang
pengajian PhD.
Ketika berada di rumah, saya juga cuba untuk melakukan kerja-kerja PhD saya. Saya
membiarkan Qistina bermain sendirian bersama mainan-mainannya. Sebelum itu, saya
memastikan bahawa persekitaran di dalam rumah selamat. Contohnya, tiada alat-alat tajam
yang berbahaya di lantai, bucu-bucu perabut yang tajam di balut, dapur masak sentiasa
dipastikan tertutup dan tiada periuk atau kuali panas yang boleh dicapai oleh bayi. Ketika
berada di rumah, saya hanya melakukan kerja-kerja yang tidak memerlukan konsentrasi yang
lama seperti membaca jurnal, artikel, buku dan melayari laman web ilmiah. Saya juga cuba
untuk memikirkan perkara-perkara berkaitan penyelidikan PhD saya ketika melakukan aktiviti-
aktiviti harian di rumah seperti memasak dan mengemas rumah. Melalui cara ini, saya dapat
memikirkan perkara-perkara berkaitan penyelidikan yang memerlukan daya fikiran dan
perancangan yang teliti seperti kaedah pengumpulan data dan sebagainya. Walaupun
selalunya saya hanya mampu berfikir untuk seketika sahaja, tetapi sedikit sebanyak amalan ini
dapat juga membantu dalam kerja-kerja PhD saya. Sekurang-kurangnya saya dapat
mengekalkan momentum pemikiran saya terhadap penyelidikan PhD saya.
103
Kerja-kerja mengarang saya lakukan pada tiga hari bekerja kerana bagi saya kerja-kerja
mengarang memerlukan konsentrasi yang tinggi. Saya juga memperuntukkan masa untuk
berjumpa penyelia kajian saya pada tiga hari tersebut. Ada ketikanya saya ada membawa
Qistina bersama ketika berjumpa dengan penyelia pada masa-masa dan keadaan yang tidak
dapat dielakkan. Istimewanya orang-orang di Melbourne dan saya percaya juga di kebanyakan
negara Barat adalah mereka amat memahami kelakuan dan kerenah kanak-kanak. Mereka
tidak mempunyai masalah sekiranya saya membawa anak saya bersama dalam perbincangan.
Bagi mereka, adalah perkara normal sekiranya kanak-kanak itu lasak dan sentiasa meneroka
objek-objek di sekeliling mereka. Di Australia juga, adalah menjadi perkara biasa ibu-bapa
membawa anak-anak kecil termasuklah bayi di dalam perpustakaan. Sudah tentulah di zon
umum bukan di zon senyap. Pada pandangan saya, amalan ini adalah baik bagi memupuk
budaya membaca di kalangan kanak-kanak.
Oleh kerana saya akan menghabiskan masa empat hari di rumah, saya memastikan
bahawa keperluan untuk melakukan kerja-kerja PhD di rumah adalah lengkap. Justeru itu, saya
melanggan pakej internet, membeli perisian-perisian komputer yang perlu, mesin pencetak,
pengimbas, meja dan kerusi belajar yang agak selesa dan kelengkapan-kelengkapan lain yang
berkaitan. Walaupun barang-barang tersebut agak mahal di Melbourne tetapi saya
menganggap perkara tersebut adalah suatu pelaburan jangka masa panjang untuk kemudahan
pengajian saya.
Sokongan moral keluarga dan rakan-rakan
Menyentuh kepada sokongan teman-teman seperjuangan, saya belajar dan
mengerti bahawa setiap individu diuji dengan pelbagai cara. Apabila kita
merasakan diri kita susah, percayalah bahawa ada orang yang lebih susah daripada kita. Salah
seorang teman saya, berasal dan menetap di Australia juga adalah ibu tunggal. Beliau adalah
ibu kepada tiga orang anak. Beliau menceritakan pengalaman beliau membuat master ketika
anak-anak beliau masih kecil. Setiap malam bersengkang mata membuat kerja-kerja master
kerana terpaksa menunggu anak-anak tidur terlebih dahulu. Tetapi, beliau berjaya juga akhirnya
menyiapkan master beliau dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.
104
Saya amat mengangumi semangat dan kecekalan beliau. Satu perkara penting yang saya
belajar daripada beliau adalah hidup ini memang penuh dengan pancaroba dan kita haruslah
sentiasa menangani setiap cabaran dengan sebaik mungkin. Pengalaman-pengalaman ini
adalah proses pembelajaran untuk kita menjadi insan yang lebih baik dan lebih kuat untuk
menempuh dugaan yang mendatang. Saya juga mengerti daripada pengalaman beliau bahawa
kita harus menyayangi dan menghargai kehidupan yang kita ada sekarang. Segala yang kita
lalui itu adalah dinamakan lumrah kehidupan.
Hubungan saya dengan ibu sangat rapat dan dia adalah tempat untuk saya meluah perasaan
dan meminta pendapat terutamanya berkaitan dengan penjagaan anak. Apabila saya buntu
bagaimana untuk menghadapi kerenah atau kelakuan Qistina saya akan menghubungi ibu saya
di Malaysia.
Perhatian terhadap anak
Berbalik kepada Qistina, empat hari selebihnya dalam seminggu, saya memilih
untuk berada di rumah bersama Qistina. Qistina hanya ada saya dan
pengasuhnya. Saya perlu memastikan pertumbuhannya sesempurna mungkin. Pada ketika ini
juga saya gunakan untuk membaca dan belajar bagaimana menjadi ibu yang terbaik.
Maklumlah, pertama kali menjadi ibu dan pertama kali juga menjadi ibu tunggal serta berjauhan
dari keluarga. Banyak perkara perlu dipelajari sendiri. Saya juga bertanya serba sedikit
pendapat dari kawan-kawan dan dari ibu bapa melalui panggilan telefon atau panggilan
internet.
Melalui pembacaan, pengalaman dan nasihat teman-teman, saya memahami satu
perkara iaitu, hanya ibu yang benar-benar mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak
mereka. Segala tips dan panduan yang diberikan oleh mana-mana pihak perlu diambil, ditapis
dan dipilih terlebih dahulu oleh ibu mengikut kesesuaian anak-anak. Ini adalah kerana setiap ibu
adalah terpilih dan telah dikurniakan dengan naluri semulajadi untuk melindungi dan mendidik
anak-anak mereka. Setiap anak itu adalah berbeza dan ibu adalah orang yang paling
memahami akan apa yang diperlukan oleh anak-anak mereka.
105
Apa yang perlu dilakukan oleh ibu adalah memerhati, mendengar prihatin dan peka
dengan setiap kelakuan anak-anak terutamanya bagi anak-anak yang masih kecil dan belum
pandai bertutur. Di atas pemahaman itu, saya telah cuba sebaik mungkin melakukan yang
terbaik untuk Qistina. Selebihnya saya hanya berserah kepada Tuhan. Saya juga tidak terlepas
daripada kritikan dan sindiran daripada teman-teman dan orang-orang sekeliling berkenaan
bagaimana saya menjaga Qistina. Ada juga yang mencadangkan supaya saya menghantar
sahaja Qistina ke kampung dan tinggal bersama neneknya. Walaubagaimanapun, saya percaya
tempat seorang anak terutamanya yang masih kecil adalah bersama ibunya. Walaubagaimana
susah keadaannya, saya bertekad untuk bersama dengan Qistina kerana menjaga dan
mendidik Qistina adalah tanggungjawab saya sebagai seorang ibu. Bagi pendapat saya,
dengan kemampuan fizikal dan emosi yang dikurniakan kepada saya, tiada alasan yang boleh
saya gunakan untuk melepaskan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada Qistina.
Di Melbourne dan di kebanyakan negara maju, buku-buku, mainan dan baju-baju kanak-
kanak yang telah diguna pakai mudah diperolehi dengan harga yang amat berbaloi. Saya rasa
agak beruntung kerana mampu memperolehi barang-barang keperluan bayi yang bermutu dan
berjenama pada harga yang amat murah. Banyak juga buku-buku yang saya beli untuk bacaan
Qistina. Walaubagaimanapun, akhir-akhir ini saya telah menghadiri ceramah berkaitan dengan
tumbesaran anak-anak yang disampaikan oleh seorang pakar perubatan kanak-kanak. Beliau
mengatakan bahawa guru yang terbaik bagi anak-anak adalah ibu.
Bahan pembelajaran kanak-kanak sebenarnya boleh dibuat sendiri dengan
menggunakan sumber-sumber dari internet dan alat-alat tulis biasa. Contohnya, gambar-
gambar haiwan boleh diperolehi dengan mudah dari internet. Bahan-bahan ini boleh dicetak
berwarna dan ditunjukkan kepada anak-anak agar mereka mengenali haiwan-haiwan tersebut.
Pakar kanak-kanak tersebut juga mengatakan bahawa kanak-kanak sangat cepat belajar dan
kuat mengingat. Mereka akan lebih mengingati apa yang kita lakukan daripada apa yang kita
cakapkan. Oleh itu, cara terbaik untuk mendidik anak-anak adalah melalui contoh kelakuan.
Sebagai contoh, sekiranya kita mahu anak-anak kita rajin membaca, kita perlu menunjukkan
contoh terlebih dahulu bahawa kita selalu membaca bila ada masa-masa terluang. Sebagai
pelajar PhD, saya yakin ketika saya melakukan kerja-kerja yang memerlukan banyak
pembacaan, saya telah tidak secara langsung menunjukkan budaya membaca kepada bayi
saya.
106
Menghadapai karenah anak kecil
Qistina sejak lahir adalah seorang bayi yang sangat kerap menangis. Mungkin
juga disebabkan ketika mengandungkan Qistina, jiwa saya amat tidak tenteram dan menangis
setiap hari kerana memikirkan masalah rumahtangga. Sekiranya ibu bersedih sudah pasti anak
di dalam kandungan juga bersedih. Beberapa penyelidik telah membuktikan perkara ini (Field,
Diego, and Rief, 2006). Mereka membuat kesimpulan bahawa bahawa anak yang dilahirkan
daripada ibu yang tertekan mempamerkan ciri-ciri biokimia dan fisiologi menyerupai ibunya
ketika mengandung seperti hormon stres yang tinggi (hormone kortisol) dan tona vagal yang
rendah. Tona vagal ini merujuk kepada aktiviti-aktiviti organ-organ seperti jantung, paru-paru,
mata dan salur pemakanan. Pertambahan hormon kortisol di dalam badan bayi yang dilahirkan
menunjukkan bahawa bayi tersebut berada di dalam keadaan tertekan.
Faktor ini mungkin penyebab kenapa Qistina sangat kerap menangis. Qistina selalu
inginkan dakapan dan ciuman. Justeru itu, ketika di rumah selalunya saya membuat kerja-kerja
PhD sambil meriba Qistina. Qistina hanya boleh bermain sendirian untuk beberapa minit
sahaja. Saya akui ada kalanya saya terasa amat tertekan terutamanya ketika kerja-kerja
penyelidikan saya bertimbun-timbun. Ada juga masanya saya menangis apabila Qistina
menangis terlalu lama dan saya tidak tahu apa yang perlu saya buat. Pada waku-waktu
sebegitu, saya terus meninggalkan kerja-kerja PhD saya dan cuba mententeramkan Qistina.
Saya memujuk hati saya sendiri dan mengingatkan diri saya beberapa kali bahawa
kesejahteraan anak adalah lebih penting daripada PhD saya. PhD boleh ditangguhkan atau
dilambatkan tetapi pembesaran anak adalah berterusan dan tidak boleh berpatah balik.
Pembesaran anak-anak adalah amat penting terutamanya ketika lahir sehinggalah
berumur 5 tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2013), pada ketika inilah kebolehan
mereka untuk menerima ilmu dan mempelajari perkara-perkara di sekeliling berada di tahap
maksimum. Pertubuhan tersebut juga melaporkan bahawa setiap tahun sebanyak 200 juta
kanak-kanak berusia bawah 5 tahun gagal mencapai kebolehan kognitif dan sosial yang
mencukupi dan kebanyakannya adalah dari negara-negara membangun. Adalah amat rugi
sekiranya kita mengabaikan waktu-waktu kritikal ini.
107
Di sepanjang pengajian saya, waktu yang amat sukar bagi saya adalah ketika Qistina
tidak sihat. Secara puratanya Qistina demam setiap 2 bulan sekali. Melalui pembacaan saya,
Qistina kerap dijangkiti penyakit kerana tidak mendapat khasiat susu ibu yang cukup. Saya
terpaksa berpisah dengan Qistina di awal kelahirannya kerana terpaksa ke tempat kerja dan
tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk menghantar Qistina untuk dijaga. Secara
saintifiknya, bayi yang mendapat khasiat susu ibu yang mencukupi akan mempunyai tahap
immuniti terhadap penyakit berjangkit yang lebih tinggi. Fakta ini telah dibuktikan oleh
penyelidik-penyelidik di Netherland yang telah membuat kajian melalui pemerhatian dan soal-
selidik bermula dari hari pertama kelahiran sehingga beberapa bulan setelah kelahiran
(Beldebous et al, 2011).
Berasaskan pengetahuan inilah, saya memastikan bahawa Qistina lebih diutamakan
berbanding dengan PhD saya. Walaupun susah untuk saya terima, tetapi saya mengerti
bahawa saya mungkin tidak dapat melaksanakan PhD saya secepat kawan-kawan saya yang
bujang atau yang mempunyai teman atau suami yang dapat membantu menjaga anak-anak.
Bagi saya, di dalam kehidupan, kita perlu menerima hakikat bahawa kita tidak akan
memperolehi segalanya. Kita juga tidak boleh membuat semua perkara dalam satu masa. Ada
masanya, kita perlu memilih dan menentukan apa yang lebih perlu diutamakan.
Secara jujurnya, masa yang amat membahagiakan saya pada ketika itu adalah apabila
bermain bersama Qistina. Segala kerisauan sama ada tentang penyelidikan, keselamatan dan
sebagainya seolah-olah lenyap setiap kali saya memeluk Qistina. Hati ini terasa amat terisi
mendengar gelak ketawa Qistina dan melihat keletah comelnya. Saya percaya perasaan ini
adalah dikurniakan oleh Tuhan sebagai hadiah untuk para ibu dan bapa. Saya juga percaya
perasaan ini jugalah yang membolehkan ibu bapa terus menjaga dan mendidik anak-anak
tanpa perasaan jemu dan putus asa.
Saya sedar bahawa tanpa kehadiran Qistina, adalah amat sukar bagi saya untuk pulih
daripada kekecewaan akibat penceraian saya dengan bekas suami. Kehadiran Qistina
membuatkan saya leka dan lupa dengan kekecewaan yang pernah saya lalui. Saya akui,
Qistina adalah penguat semangat saya untuk bangkit dari kekecewaan dan berusaha bagi
mencapai kehidupan yang lebih baik. Apa yang saya rasakan ini adalah amat berlainan dengan
apa yang dijangkakan oleh kebanyakan kenalan saya. Kebanyakan daripada kenalan-kenalan
108
saya sama ada saudara mara atau sahabat mencadangkan supaya saya meninggalkan sahaja
Qistina bersama nenek dan atuknya. Mereka menjangkakan bahawa saya tidak akan mampu
untuk melakukan PhD dengan kehadiran Qistina tanpa bantuan sesiapa. Tidak kurang juga
bilangan rakan-rakan yang menempelak bahawa mustahil saya boleh melakukan PhD sambil
menjaga bayi seorang diri.
Membuat pilihan yang tepat
Seperti yang saya katakan sebelum ini, dalam hidup kita perlu memilih. Saya
memilih untuk menjaga Qistina dengan kudrat dan kemampuan yang ada. Ada
juga rakan saya yang memilih untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap PhD dan
meninggalkan bayi bersama suami atau keluarga di Malaysia. Bagi saya, apa yang penting
adalah kita perlu membuat keputusan dan berani menghadapi akibat atau kesan daripada
keputusan yang telah kita ambil. Sekiranya, kita membuat keputusan untuk meninggalkan anak
di Malaysia, kita perlu tabah dan cuba sedaya upaya menahan perasaan rindu terhadap cahaya
mata kita. Kita juga perlu pastikan bahawa anak kita dijaga oleh orang yang sangat kita
percayai. Sekiranya, kita memilih untuk membawa anak kita bersama ke luar negara, kita perlu
tahu bagaimana untuk menangani cabara-cabaran yang bakal menimpa. Kita tidak boleh
menyesal, mengeluh dan bersedih dengan keputusan yang telah kita ambil.
Selain daripada cabaran menjaga anak dan membut PhD seorang diri, saya juga tidak
terlepas daripada pandangan serong masyarakat. Masyarakat yang saya maksudkan di sini
adalah bangsa Melayu yang berada di Australia. Ada kalanya saya disindir dan dilemparkan
pandangan yang tidak senang daripada segelintir kenalan. Setiap kali diperlakukan demikian,
saya hanya tersenyum dan berdoa semoga Tuhan menguatkan hati saya dan memberikan
ganjaran yang baik atas kesabaran saya.
Saya percaya doa orang-orang yang teraniaya selalunya makbul. Pesanan sorang ustaz
yang saya pernah hadiri ceramahnya menyatakan, apabila kita teraniaya, ambil peluang
tersebut untuk berdoa untuk mendapatkan kebaikan kepada diri kita dan keluarga. Jangan sia-
siakan peluang itu untuk berdoa. Saya akui bahawa saya agak terkesan dengan tohmahan dan
sindiran masyarakat.
109
Dr. John Gray, penulis buku ‘Mars and Venus Starting Over’ (Permulaan Mars dan
Venus) menyatakan, kita perlu merasa kepedihan yang kita alami. Kita tidak perlu cuba
melupakan atau menghindarkan diri daripada mengingati kesedihan dan kekecewaan yang kita
rasai. Kita perlu rasa kesakitan itu untuk membolehkan kita kembali pulih. Selagi kita tidak
benar-benar merasai dan menghayati kesedihan itu, kita tidak akan mampu untuk pulih selama-
lamanya.
Konsep John Gray ini adalah sama dengan konsep redha di dalam Islam. Tidak
mengapa menangis sekiranya itu adalah cara kita untuk merasa dan melepaskan kesedihan.
Saya mengamalkan konsep ini dan saya akui saya menangis setiap hari. Tetapi, setelah hampir
setahun kekecewaan yang saya alami sudah berkurangan dan saya tidak lagi menangis apabila
teringat kembali peristiwa perit itu. Apabila teringat peristiwa tersebut, saya sudah boleh
tersenyum dan menganggap itu hanyalah sebahagian daripada pengalaman hidup. Itu adalah
salah satu tanda yang saya telah berjaya pulih dari kekecewaan yang saya alami. John Gray
juga berpendapat, apabila kita pulih daripada kekecewaan, aura kita juga akan berubah di
mana aura negatif akan bertukar menjadi positif. Saya mula mendapat ramai kawan dan
kenalan yang mengambil berat akan diri saya.
Berikut saya senaraikan beberapa tip yang boleh anda gunapakai sekiranya anda juga
adalah ‘single mummy’ seperti saya;
Tip 1: Menyertai aktiviti berkumpulan
Semasa di Melbourne, saya menyertai banyak persatuan pelajar-pelajar Malaysia.
Sesekali kami berkumpul, menjamu selera dan berbual-bual untuk mengurangkan stress dan
kerinduan pada Malaysia. Pada kawan-kawan ini jugalah tempat saya meminta pertolongan
pada masa-masa yang diperlukan. Tetapi, perlu diingatkan, janganlah kerana terlalu ingin
bersosial hingga lupa dengan niat asal dan tanggungjawab kita sebagai pelajar. Walaupun agak
sukar untuk menolak permintaan atau ajakan rakan-rakan, saya cuba menguatkan diri untuk
menolak apabila perlu terutamanya ketika saya harus menyiapkan tugasan yang diberikan oleh
penyelia. Saya akui saya agak lemah dalam menyatakan tidak kepada ajakan rakan tetapi saya
percaya kemahiran menolak ajakan dengan cara yang baik adalah perlu dikuasai bagi setiap
individu.
110
Tip 2: Bersikap telus dengan penyelia
Ketelusan antara pelajar dan penyelia juga adalah penting untuk kelancaran
proses pengajian. Pada pertemuan pertama, saya telah berterus terang
berkenaan dengan status saya sebagai ibu tunggal kepada penyelia, rakan-rakan sepengajian
dan kakitangan-kakitangan di fakulti pengajian. Dengan cara ini mereka dapat memahami
situasi saya. Saya dan penyelia berbincang berkenaan kekerapan dan kaedah pertemuan kami
berkaitan dengan penyelidikan saya dan bersesuaian dengan jadual penyelia. Mereka juga
memberi kelonggaran kepada saya di mana saya tidak perlu datang ke fakulti setiap hari
sebaliknya hanya pergi ke fakulti tiga hari seminggu.
Hari yang selebihnya, mereka mencadangkan supaya saya memfokuskan kepada anak dan
memenuhi keperluan-keperluan harian yang lain. Mereka juga selalu menyatakan bahawa
kehidupan sebagai pelajar berstatus ibu tunggal adalah amat mencabar dan mereka selalu
memberi kata-kata semangat kepada saya.
Tip 3: Menjaga kesihatan
Setiap kali Qistina sakit, saya terpaksa bercuti dan menumpukan perhatian
penuh kepada Qistina. Di Australia, mereka mementingkan rawatan secara
semulajadi. Sekiranya ke klinik, mereka hanya akan mencadangkan agen antipiretik (ubat
mengurangkan demam). Oleh itu masa yang diambil untuk kanak-kanak sembuh akan menjadi
lebih panjang dari biasa. Satu lagi masalah timbul adalah kebiasaannya setiap kali selepas
Qistina sakit, saya juga akan dijangkiti dan terpaksa menyambung lagi cuti dan berehat
daripada melakukan kerja-kerja PhD saya. Saat ini adalah amat mencabar bagi saya kerana
dalam keadaan sakit, saya terpaksa menunaikan tanggungjawab-tanggungjawab saya sebagai
seorang ibu. Pada ketika ini saya menyedari bahawa kesihatan seorang ibu adalah amat
penting bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk kesejahteraan keluarga. Saya mula
tekun menjaga kesihatan tubuh badan saya dengan memastikan pengambilan makanan yang
berzat, bersenam, bersosial dan mengisi keperluan rohani seperti membaca al-Quran,
menonton atau membaca perkara-perkara berkaitan motivasi, menjaga solat dan sebagainya.
111
BAB 11
Cabaran Pelajar PhD
Berstatus Isteri dan Ibu
Oleh: Irniza Rasdi
Saya menjadi pelajar PhD berstatus ibu tunggal selama setahun sehinggalah saya
berkahwin buat kali keduanya pada tahun kedua pengajian. Perjalanan PhD saya diteruskan
bersama suami dan permata hati saya yang ketika itu berusia setahun lima bulan. Sebulan
selepas berkahwin, saya telah disahkan hamil dan tetap menjalani hari-hari biasa sebagai
pelajar PhD. Kehamilan kedua ini dirasakan amat mencabar kerana ketika itu, saya sedang
dalam proses pengumpulan data.
Dalam keadaan sarat mengandung, saya tetap juga memandu ke daerah-daerah kajian
dan mengukur tahap pencemaran di jalan raya dan tahap tekanan mental kalangan polis-polis
Malaysia. Kalau diikutkan rasa penat memang saya tidak mampu untuk meneruskan
penyelidikan saya tetapi dengan keazaman yang kuat, saya tetap berusaha. Saya menyusun
jadual supaya ketika saya bersalin dan berpantang, saya tidak perlu pergi membuat
pengukuran dan mengedar borang soal-selidik ke setiap daerah penyelidikan. Ketika
mengandung dan berada di rumah, saya tetap juga meneruskan kerja-kerja mengarang kajian
literatur, kaedah penyelidikan dan memasukkan data ke dalam perisian komputer.
112
Selepas bersalin, saya mengambil cuti daripada pihak universiti selama dua bulan untuk
membolehkan saya berehat sepenuhnya dan mengembalikan kesejahteraan tubuh badan.
Pada masa itu, saya tetap juga membuat kerja-kerja ringan seperti membaca jurnal. Oleh
kerana ibu bapa saya berada di Kuantan dan kerja-kerja penyelidikan saya pula banyak
berpusat di Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan berdekatan, saya mengambil keputusan
untuk berpantang sendiri di rumah.
Ekoran daripada pengalaman dengan Qistina, saya bertekad untuk menyusukan anak
kedua saya ini sepenuhnya. Anak kedua saya adalah lelaki dan amat kuat menyusu. Anak kami
bangun hampir setiap sejam setengah di waktu malam. Oleh kerana tidak cukup tidur, saya
berasa sangat penat di siang hari. Suami mengupah seorang pembantu untuk memasak dan
memandikan bayi saya. Pembantu tersebut datang ke rumah setiap hari pada waktu pagi dan
tengah hari. Sekurang-kurangnya dapat meringankan serba sedikit beban yang ditanggung.
Selama hampir 6 bulan saya berkeadaan begitu dan saya akui kemajuan PhD saya mula
merosot. Walaubagaimanapun, saya redha dengan keadaan saya dan memberi keutamaan
kepada bayi yang baru lahir.
Walaubagaimanapun, dalam keadaan begitu saya tetap mebuat kerja-kerja PhD
semampu yang mungkin walaupun hanya sejam atau 2 jam sehari. Sekurang-kurangnya
momentum kerja masih ada dan saya tidak lupa dengan perkara-perkara penting dan
kesinambungan aliran kerja-kerja dalam penyelidikan saya. Pada ketika itu saya gunakan masa
yang ada untuk membaca cara-cara menulis dengan baik. Saya juga banyak membaca buku-
buku dan artikel-artikel berbahasa Inggeris untuk meningkatkan kemahiran menulis secara
akademik dalam bahasa Inggeris. Saya juga menggunakan masa ini untuk memaksimumkan
kemahiran-kemahiran menggunakan perisian-perisian komputer yang berkaitan dengan
penulisan tesis. Antaranya adalah seperti aplikasi ‘Microsoft Word’ untuk penulisan dokumen
panjang (long document) dan aplikasi perisian untuk menulis dan merekod rujukan di dalam
tesis. Pada awalnya, saya tidaklah nampak kepentingan-kepentingan perisian ini. Tetapi,
setelah menguasai kemahiran-kemahiran tersebut, saya merasakan kerja-kerja penulisan dan
penyelidikan saya menjadi lebih teratur dan saya kurang melakukan kesilapan.
113
Setelah selesai 6 bulan tempoh menyusu, saya mula campurkan susu ibu, susu formula
dan makanan pepejal pepejal kepada bayi saya. Setelah itu, baru saya rasakan badan saya
dapat berehat sedikit dan dapat memberikan lebih tumpuan kepada kerja-kerja PhD. Selama
tiga hari seminggu, saya menghantar bayi saya ke rumah pengasuh untuk separuh hari. Saya
pastikan simpanan susu badan yang telah diperah mencukupi untuk bayi saya minum semasa
ketiadaan saya. Qistina pula saya masukkan ke pusat asuhan kanak-kanak supaya dia dapat
berkawan dan belajar bersosial. Masa yang terluang tersebut saya gunakan untuk mencari
maklumat samada di perpustakaan-perpustakaan yang berdekatan seperti Universiti Putra
Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia dan juga jabatan-jabatan yang
berkaitan dengan penyelidikan saya. Saya juga perlu pergi ke perpustakaan-perpustakaan
universiti untuk membolehkan saya memuat turun jurnal-jurnal tempatan yang berbayar. Saya
banyak menggunakan nombor identiti pelajar daripada universiti di Melbourne untuk
mendapatkan akses kepada jurnal-jurnal antarabangsa yang banyak dilanggan oleh pihak
universiti. Walaubagaimanapun, saya lebih mengutamakan pengumpulan maklumat daripada
sumber-sumber tempatan yang sukar untuk diperolehi daripada internet sementara masih
berada di Malaysia.
Sebagai seorang yang berkeluarga dan lebih-lebih lagi ketika berada di Malaysia, saya
juga mempunyai tanggungjawab untuk bersosial dan meluangkan masa bersama dengan
saudara mara saya dan juga saudara mara suami saya. Suami saya mempunyai susur keluarga
yang besar. Setiap minggu, pasti ada jemputan atau aktiviti berkeluarga yang perlu dipenuhi
seperti jemputan kahwin, hari jadi, makan, kunjungan keluarga jauh dan sebagainya. Walaupun
perkara ini adalah baik tetapi ada masanya saya berasa sangat penat dan tertekan kerana tidak
mempunyai masa mencukupi untuk menyiapkan kerja-kerja rumah dan kerja-kerja PhD. Di sini
saya sarankan supaya kita harus pandai membahagikan masa antara keluarga dan saudara-
mara. Adalah baik sekiranya kita dapat membuat jadual lawatan untuk memastikan tiada
saudara mara yang tertinggal dan pada masa yang sama keperluan kita juga terjaga.
Setelah hampir setahun, saya bersyukur kepada Tuhan kerana kerja-kerja pengumpulan
data berjaya disempurnakan mengikut jadual yang dirancang. Saya juga berjaya menyiapkan
penulisan bab kaedah kajian, kemasukan data kajian dan sebahagian daripada bab literatur.
Saya juga berjaya menguasai beberapa perisian komputer yang berkaitan. Saya membuat dua
salinan untuk semua borang soal-selidik yang telah dikumpul. Saya bawa salinan asal borang
114
soal-selidik ke Melbourne dengan menggunakan muatan bagasi kabin dan salinan kedua saya
hantar melalui syarikat perkapalan. Saya tinggalkan salinan ketiga di Malaysia. Saya juga
memastikan data yang disimpan di dalam cakera keras dibuat beberapa salinan. Walaupun
saya merasakan tidak banyak kemajuan yang telah saya capai dalam masa setahun tersebut,
sekurang-kurangnya saya dapat memastikan saya telah buat yang terbaik untuk diri saya dan
juga untuk keluarga saya.
Tiba masanya, saya dan keluarga berangkat ke Melbourne untuk menyambung
pengajian saya. Kami tinggal sementara di rumah sahabat yang kebetulan pada masa itu
sedang berada di Malaysia untuk mengumpul data. Rumah yang saya duduki pada tahun
pertama pengajian dahulu terpaksa dilepaskan kerana tidak sanggup untuk membayar sewanya
yang tinggi ketika kami berada di Malaysia. Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk
mencari tempat tinggal sepanjang pengajian saya di Melbourne. Tempat tinggal yang
disasarkan adalah yang berdekatan dengan pengangkutan awam dan tidak jauh daripada
tempat pengajian. Saya menggunakan kereta yang saya beli di awal pengajian dulu untuk
memudahkan kerja-kerja mencari rumah dan membeli barang-barang keperluan rumah
Setelah, bersusah payah selama tiga minggu, baharulah kehidupan saya kembali
teratur. Saya mula merangka rutin untuk mengimbangi kehidupan saya sebagai isteri dan ibu
kepada dua orang anak-anak kecil dan sebagai pelajar PhD sepenuh masa. Empat hari
seminggu, saya tetapkan untuk bersama keluarga dan membuat kerja-kerja rumah. Saya
menetapkan untuk bekerja sepenuh masa di stesen kerja yang disediakan di universiti selama
sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. Pada hari-hari yang sama saya menghantar Qistina ke
pusat asuhan kanak-kanak di rumah berdekatan dengan harapan dia dapat menguasai bahasa
Inggeris dan dapat meningkatkan kemahiran bergaul dengan rakan-rakan sebaya daripada
pelbagai bangsa. Anak lelaki saya tinggalkan dibawah jagaan suami kerana dia masih lagi kecil.
115
Cabaran bersama anak kecil
Cabaran sebagai pelajar PhD dan ibu kepada bayi dan anak kecil adalah sedikit
berlainan. Saya sedikit beruntung kerana berlainan dengan Qistina, Areej
adalah anak yang kurang menangis. Dia pandai bermain sendiri dan tidak banyak meragam.
Dipendekkan cerita, adalah amat mudah untuk menjaga Areej. Walaubagaimanapun, lain pula
cerita dengan Qistina yang sudah semakin membesar. Pada usia 3 tahun, Qistina sudah mula
pandai bercakap dan pandai mengambil perhatian. Saya akui sememangnya saya amat
terhibur dengan kepetahan.
Tetapi, saya menghadapi satu cabaran lain iaitu saya amat susah untuk menumpukan
perhatian terhadap kerja-kerja PhD ketika berada di rumah kerana Qistina terus-terusan ingin
mendapatkan perhatian. Setiap 5 minit, Qistina akan datang ke meja kerja saya dan
bertanyakan soalan bertubi-tubi. Saya faham perkara ini adalah normal bagi kanak-kanak
seumurnya dan itu menandakan bahawa pembesaran Qistina adalah baik. Saya hanya
membuat kerja-kerja PhD ketika Qistina tidur dan ketika beliau sangat leka menonton filem
kartun atau bermain dengan adiknya.
Pada malam hari pula, selepas sembahyang maghrib, saya mengambil masa selama
lebih kurang lima belas minit untuk mengajar Qistina mengaji. Setelah itu, saya menghabiskan
waktu malam untuk bersantai bersama dengan keluarga. Kami akan makan malam bersama
setiap malam, menonton siaran televisyen atau video filem. Di Melbourne, kebanyakan waktu
perniagaan bagi kedai-kedai atau pasaraya-pasaraya adalah hanya sehingga jam enam atau
tujuh petang. Justeru itu, tidak seperti di Malaysia, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan di
luar rumah pada waktu malam. Restoran juga ditutup awal dan kami tidak mempunyai banyak
pilihan kecuali makan malam di rumah bersama keluarga. Sekurang-kurangnya kami dapat
menjimatkan kos kehidupan kami di sana dan dalam masa yang sama merapatkan hubungan
kami.
116
Cabaran di fasa pertama perkahwinan
Pada awal perkahwinan, saya menghadapi masalah apabila suami tidak
memahami kesulitan dan kesukaran menyiapkan kerja-kerja PhD. Suami saya
mempunyai ijazah sarjana dalam pengurusan kejuruteraan dan beliau menganggap bebanan
pengajian PhD ini tidaklah jauh perbezaannya dengan pengajian master. Beliau juga tidak
faham mengapa saya perlu selalu pergi ke fakulti dan bekerja dari pagi hingga ke petang. Saya
menjangkakan ramai juga diluar sana tidak memahami sepenuhnya betapa sukarnya untuk
menghabiskan pengajian PhD. Agak sukar bagi saya untuk menerangkan keadaan sebenar
kepada beliau. Tetapi lama kelamaan beliau mula memahami dan cuba bertolak ansur.
Ketika dirumah, saya hampir tidak mempunyai masa untuk membuat kerja-kerja PhD
kerana kebanyakan masa dihabiskan untuk bersama keluarga dan membuat kerja-kerja rumah.
Walaubagaimanapun, pada hari-hari saya tidak ke fakulti, saya akan cuba juga sedaya upaya
meluangkan sedikit masa untuk PhD pada awal pagi setelah selesai solat subuh. Pada waktu
ini, anak-anak masih tidur dan saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya.
Memandangkan saya di peringkat penulisan, saya menetapkan sekurang-kurangnya
saya akan menulis satu muka surat sehari pada hari apabila saya ke fakulti dan satu perenggan
ketika saya di rumah. Saya juga melengkapkan keperluan di rumah sebagai pejabat kedua saya
untuk memudahkan kerja dan menjimatkan masa. Saya juga menggunakan masa saya di
rumah untuk kerja-kerja ringan seperti memeriksa tatabahasa, ejaan, format penulisan, senarai
rujukan dan sebagainya. Dengan ini, ketika hari saya ke fakulti saya dapat memberikan
tumpuan penuh untuk mengarang.
Pada hari Ahad dan Sabtu pula, kebiasaannya saya menghabiskan sepenuhnya masa
untuk keluarga. Kebiasaanya pada hari Sabtu kami akan pergi membeli belah dan membawa
anak-anak ke taman-taman riadah. Pada hari Ahad saya peruntukkan masa untuk memasak
makanan untuk dua atau tiga hari. Makanan yang telah dimasak saya simpan di dalam kotak
beku untuk memanjangkan jangka hayatnya. Saya juga merujuk kepada cara penyimpanan
makanan yang dicadangkan oleh institusi-institusi kesihatan seperti Kementerian Kesihatan
Malaysia dan badan-badan kesihatan di Australia. Cara penyimpanan yang betul memastikan
bahawa zat-zat makanan terpelihara. Saya cuma perlu memasak sayur pada setiap hari. Ini
117
dapat mengurangkan masa dan tenaga yang digunakan untuk menyediakan makanan. Dengan
itu, pada hari saya ke fakulti, saya tidak perlu terlalu berkejar-kejar untuk memasak hidangan
untuk keluarga. Saya beruntung kerana mendapat suami yang tidak cerewet tentang masakan.
Kekangan dari sudut kewangan
Tahun terakhir pengajian adalah tahun yang paling banyak tekanan di
dalam PhD kerana kita dihimpit dengan masalah tempoh pengajian yang
semakin hampir tamat. Sekiranya tidak sempat menamatkan pengajian pada masa yang
ditetapkan, dikhuatiri pula akan terpaksa membayar yuran pengajian dengan duit simpanan
sendiri. Dengan kadar pertukaran wang asing yang tinggi, sudah tentulah saya tidak mampu
untuk membayar yuran tersebut.
Pada 28 Mac 2012, saya terpaksa pulang ke Malaysia kerana tempoh pembiayaan kos
kehidupan sudah tidak ditanggung oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Pada waktu
ini, saya telah siap menulis draf untuk keseluruhan tesis. Saya menyambung kerja-kerja
penambahbaikan tesis saya di Malaysia. Oleh kerana saya terpaksa melapor diri di Universiti
Putra Malaysia kerana tempoh cuti belajar telah tamat, saya memulakan kehidupan saya
sebagai tutor di UPM sepenuh masa, pelajar PhD sepenuh masa dan juga seorang ibu dan
isteri. Keadaan ini agak sukar bagi saya kerana terpaksa membahagikan masa antara kerja-
kerja pejabat yang bertimbun, kerja-kerja tesis dan kerja-kerja rumah yang sememangnya tidak
pernah habis.
Keadaan menjadi bertambah sukar kerana rumah kami terletak jauh daripada tempat
kerja dan memerlukan sekurang-kurangnya 1 jam ke tempat kerja dan 1 jam setengah dari
tempat kerja ke rumah. Sekiranya pada waktu kesesakan jalan raya yang teruk iaitu biasanya
pada hari Jumaat, saya mengambil masa dari 2 hingga 3 jam untuk pulang ke rumah. Sudah
tentulah, apabia sampai ke rumah, badan terasa amat penat dan letih. Walaubagaimanapun,
saya paksa juga diri ini untuk memasak dan melayan anak-anak. Ketika anak-anak telah tidur,
saya gagahkan diri untuk membuat kerja-kerja PhD. Saya merasakan bahawa saat ini adalah
saat paling mencabar untuk saya sebagai pelajar PhD. Pada waktu ini tekanan darah saya
meningkat kerana jadual harian yang sangat padat.
118
Hari minggu pula saya cuba gunakan masa sebaik mungkin untuk PhD saya. Pada
kedua-dua hari tersebut, anak-anak saya tinggalkan di dalam jagaan suami. Saya terpaksa
melakukan perkara ini kerana masa untuk kerja-kerja PhD saya adalah sangat terhad. Saya
bimbang sekiranya saya tidak dapat menyiapkan PhD saya dalam masa yang terdekat. Di
dalam kepayahan tersebut, akhirnya dapat juga saya menyiapkan tesis tersebut dalam tempoh
6 bulan dan menghantar ke La Trobe University untuk dinilai. Setelah tesis dihantar, segala
tekanan saya seolah-olah hilang serta merta. Tambahan pula, mengikut sistem pembelajaran di
Australia, anda telah lulus apabila anda telah melengkapkan tesis anda. Anda hanya perlu
membuat beberapa pembetulan sebelum di kurniakan surat senat.
Berikut, saya ringkaskan jenis-jenis cabaran sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kecil
ketika membuat PhD di dalam senarai di bawah.
i) Pergerakan yang agak terhad dan keadaan badan yang tidak menentu ketika
mengandung mempengaruhi rutin kerja harian.
ii) Cabaran ketika menyusu termasuklah badan yang sentiasa penat, tidur malam tidak
menentu dan harus menyesuaian diri dengan keadaan bayi yang tidak dapat
dijangka.
iii) Harus memberikan perhatian kepada kanak-kanak kecil yang baru mula pandai
bercakap dan selalu inginkan perhatian.
iv) Cabaran membahagikan masa antara PhD, suami dan anak-anak
v) Kesulitan untuk menyesuaikan diri dengan perbezaan antara suami isteri
terutamanya bagi pasangan yang baru berkahwin.
vi) Cabaran apabila pasangan tidak memahami sepenuhnya bebanan pengajian PhD
anda.
vii) Cabaran apabila perlu pulang ke Malaysia dan melapor diri untuk bertugas
sedangkan pengajian belum selesai
119
Panduan untuk menghadapinya
Saya ringkaskan beberapa panduan untuk anda dalam menempuh cabaran membuat PhD
berstatuskan isteri dan ibu kepada anak-anak kecil.
i) Perlu selalu mengingatkan diri sendiri tujuan anda berada di universiti ini adalah
untuk menghabiskan pengajian PhD.
ii) Pastikan anda mendapat rehat yang mencukupi dan mengambil makanan yang
berkhasiat.
iii) Sekiranya anda rasa terlalu penat dan tertekan, minta bantuan keluarga atau kawan-
kawan untuk menjaga anak-anak sementara anda mencari waktu dan ruang untuk
menenangkan diri sendiri. Jangan biarkan diri anda tertekan terlalu lama.
iv) Perlu faham bahawa setiap anak itu adalah berbeza dan begitu juga suami. Setiap
tips yang diberi oleh rakan-rakan atau keluarga perlu ditapis dan diubah mengikut
karakter setiap ahli keluarga kerana kaedah yang disaran tidak akan berkesan untuk
semua individu.
v) Tidak perlu membandingkan keluarga anda dengan keluarga orang lain. Setiap
keluarga mempunyai masalah masing-masing dan tidak wujud keluarga yang
sentiasa bahagia tanpa sebarang dugaan.
vi) Perbincangan antara suami isteri tentang bagaimana harus menguruskan rumah
tangga adalah sangat penting untuk kebaikan setiap ahli keluarga.
vii) Pastikan suami atau pasangan anda faham bebanan kerja PhD anda kerana tidak
ramai di luar sana memahami kesulitan dan kesukaran yang ditempuh untuk
menghabiskan PhD. Terangkan perkara ini dengan baik kepada pasangan anda dan
nyatakan bahawa anda amat memerlukan sokongannya pada ketika ini.
viii) Bincang bersama ketua jabatan anda tentang kekangan yang ada dan minta
sokongan serta masa daripada beliau untuk memberikan anda sedikit ruang bagi
menyiapkan pengajian anda
120
Kesimpulan
Saya merasa amat bersyukur kerana akhirnya saya berjaya menghabiskan pengajian
PhD saya setelah melalui pelbagai cabaran. Percayalah, walaupun anda seorang ibu tunggal
atau seorang isteri dan ibu kepada anak-anak yang masih kecil, anda mampu dan layak untuk
memegang sekeping ijazah PhD. Apa yang anda perlukan adalah niat yang betul, semangat
yang tidak pernah luntur dan jelas akan destinasi yang ingin anda capai. Doa juga adalah amat
penting untuk memastikan segala usaha anda mendapat keberkatan dan keredhaan Tuhan.
Saya doakan para pembaca di luar sana berjaya dengan pengajian anda. Saya akhiri penulisan
saya ini dengan mengambil kata-kata daripada daripada seorang penulis inspirasi yang berasal
daripada Amerika Syarikat dan juga memiliki kelulusan PhD, William Arthur Ward.
‘Belajarlah selagi yang lain sedang tidur, bekerjalah selagi yang lain sedang bermalas-
malasan, bersiap-siaplah selagi yang lain sedang bermain, dan bermimpilah selagi yang lain
sedang berharap’.
121
RUMUSAN
Di dalam Bab 1, kami telah berkongsi dengan anda berkenaan dengan konsep Phd
seterusnya berkongsi pengalaman tentang tip-tip memulakan pengajian Phd di dalam Bab 2.
Seterusnya di dalam Bab 3 dan Bab 4, kami pula tentang panduan pemilihan institusi serta
bidang pengajian yang bersesuaian dengan keperluan anda. berkongsi dengan anda cabaran
dan rintangan pelajar Phd yang berkeluarga. Di dalam Bab 5 dan 6, kami telah memberikan
sedikit panduan kepada anda tentang pengurusan penyelia. Bab seterusnya di dalam buku ini
ialah berkenaan dengan penulisan saintifik. Di dalam Bab 8 hingga ke Bab akhir, kami telah
berkongsi dengan anda sedikit pengalaman kami ketika menyambung pengajian PhD. Kami
juga telah menggariskan beberapa cabaran yang mungkin anda hadapi, seterusnya bagaimana
untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran ini.
Besarlah harapan kami, sekiranya buku ini dapat memberi manfaat kepada anda
seterusnya dijadikan panduan untuk anda dalam perjalanan pengajian anda.
Di dalam Islam, kita selalu diingatkan, ingatlah lima perkara sebelum lima perkara, iaitu;
Sihat sebelum sakit,
Muda sebelum tua,
Kaya sebelum miskin,
Lapang sebelum sempit,
Hidup sebelum mati.
Semoga hidup kita dihiasi dengan banyak perkara yang berfaedah yang mana salah
satu nya ialah menuntut ilmu, sebelum kita meninggalkan dunia yang fana ini. Kami berdoa
semoga anda berjaya dalam pelayaran anda dan berjaya sampai hingga ke hujungnya. Kami
nantikan anda bersama-sama kami! Selamat maju jaya!
122
Rujukan
1. Al-Quran
2. United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) (1994).
The doctorate in the Europe Region. ISBN 92-9069-133-6
3. Harian Metro (2012). UPM catat jumlah graduan Ph.D tertinggi negara
4. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (2010). Peratusan kemasukan pelajar ke
IPTA mengikut pengajian. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan KPT.
5. KPM (2013). Biasiwa pengajian https://payloan.mohe.gov.my/MyBrain15/
6. Universiti Putra Malaysia (UPM) (2013). Program pengajian di UPM.
http://www.upm.edu.my/ (Dilayari pada 2 Julai 2013)
7. UPM (2013). Garis panduan cuti belajar. http://reg.upm.edu.my/ecutibelajar/.
(Dilayari pada 2 Julai 2013)
8. KPM (2013). Biasiswa penajaan pelajaran antaranbangsa.
http://www.mohe.gov.my/portal/en/antarabangsa/penajaan/117.html
(Dilayari pada1 Julai 2013)
9. Field, T, Diego, M, and Rief, M.H. (2006). Prenatal depression effects on the fetus
and newborn: a review. Infant Behaviour and Development. 29 (2006): 445-455.
10. World Health Organization (2013). Early Childhood Development. At
http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs332/en/. Retrieved on 23/06/2013.
11. John, G. (2002). Mars and Venus Starting Over. Harper Collins. New York.
12. Belderbos, M.E, Houben, M.L, van Bleek, G.M, Schuijff, L, van Uden, N.O.P,
Bloemen-Carlier, E.M, Kimpen, J.L.L, Eijkemans, M.J.C, Rovers, M., Bont, L.J.
(2012). Breastfeeding modulates neonatal innate immune responses: a prospective
birth cohort study. Pediatric Allergy Immunology.23:65–74.
13. Marshall S & Green N. (2010). Your PhD Companion. 3rd edition. How To Books Ltd.
Begbroke, Oxford.
14. Covey, S.R. (2004). The 7 habits of highly effective people. Simon and Schuster UK
Ltd.
123
Selayang Pandang
124
Gambar: Praveena ketika proses persampelan
125
Gambar: Praveena ketika proses persampelan
126
Gambar: Praveena dan rakan ketika
proses persampelan
127
Gambar: Sharifah bersama Prof. Andrew Lovett (penyelia) di hari konvokesyen
128
Gambar: Emilia bersama Dr. Sean Semple (penyelia)
Gambar: Emilia bersama bekas-bekas pelajar yang pernah menuntut di
University of Aberdeen bersama dengan penyelia saya yang datang ke Malaysia
129
Gambar: University of Aberdeen yang ditubuhkan dari tahun 1494
130
Gambar: Istana runtuh Dunnotar ialah tempat yang sering dilawati Emilia ketika
di hujung minggu sewaktu di Aberdeen
Gambar: Irniza bersama rakan-rakan di Australia
131
Gambar: Qistina buah hati pengarang jantung Irniza
132
Tentang Penulis
1. Sharifah Norkhadijah Syed Ismail (PhD)
Sharifah Norkhadijah Syed Ismail dilahirkan di Banting, Selangor.
Beliau telah mendapat ijazah pertama dalam Kesihatan Persekitaran
dan Pekerjaan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003
dan memulakan kerjaya sebagai Pegawai Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan di sebuah industri. Pada tahun 2005 beliau
kemudiannya melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Sains
Alam Sekitar di Fakulti Alam Sekitar UPM. Mula berkhidmat sebagai
tutor di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM pada tahun 2008
dan melanjutkan pengajian ke peringkat Phd di dalam bidang Sains Alam Sekitar di
University of East Anglia Norwich, United Kingdom. Beliau kini terlibat secara aktif dalam
pengajaran dan penyelidikan berkenaan pengurusan sisa pepejal dan GIS di fakulti yang
sama di UPM.
2. Sarva Mangala Praveena (PhD)
Sarva Mangala Praveena dilahirkan di Bagan Datoh, Perak. Beliau
melanjutkan pelajaran ijazah Sarjana Muda Sains hingga ke peringkat
Doktor Falsafah (Sains Sekitaran) di Universiti Malaysia Sabah. Kini,
beliau berkhidmat sebagai seorang pensyarah kanan di Jabatan
Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, Universiti Putra Malaysia. Beliau terlibat di dalam
pengajaran di dalam bidang analisis dan pemonitoran persekitaran
serta prinsip kesihatan persekitaran. Beliau berminat dalam bidang
penyelidikan air dan tanah berfokuskan logam berat dan E.coli.
133
3. Emilia Zainal Abidin (PhD)
Emilia Zainal Abidin dilahirkan di Kuala Lumpur dan menghabiskan
masa kecilnya di Ipoh, Perak. Beliau memulakan pengajian ijazah di
Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi. Selepas tamat pengajian, beliau
meneruskan pengajian peringkat ijazah sarjana di Universiti
Kebangsaan Malaysia pada awal tahun 2005. Beliau kemudiannya telah
berkhidmat sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia pada tahun 2007,
di bawah Jabatan Kesihatan Komuniti dan melanjutkan pengajian PhD
di University of Aberdeen, Scotland. Beliau menamatkan pengajian pada 2012 dengan PhD
dalam Perubatan Alam Sekitar. Beliau kini adalah seorang pensyarah kanan di Jabatan
Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Putra Malaysia.
4. Irniza Rasdi (PhD)
Irniza Rasdi dilahirkan di dalam sebuah keluarga dengan dua latar
belakang yang berbeza, Thailand dan Indonesia. Beliau merupakan
graduan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM dalam
bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan serta mempunyai
Sarjana Kesihatan Awam dari Universiti Malaya. Beliau telah
menamatkan PhD beliau di dalam bidang Kesihatan Pekerjaan di La
Trobe University, Melbourne, Australia dan kini berkhidmat di Jabatan
Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan UPM.
134