Tip 1: PhD di dalam genggaman
“Begin with the End in the mind”. Banyak pakar motivasi yang memperkatakan tentang
konsep ini, salah satunya adalah buku motivasi terkenal yang ditulis oleh Stephen R Covey
“The 7 habits of highly effective people”. Konsep ini adalah “habit number 2” dalam senarai
dalam buku tersebut. Seperti yang telah diterangkan oleh Covey, konsep ini adalah bedasarkan
imaginasi iaitu keupayaan seseorang untuk membayangkan penghujung atau menghasilkan
“blueprint” yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar pada saat ini.
Dari perspektif pelajar pascasiswazah, rata-ratanya seorang pelajar yang memulakan
pengajian PhD mereka bermula dengan kehendak yang sama: iaitu menghabiskan pengajian
dalam tempoh yang ditetapkan (kebiasaannya 36 bulan) memandangkan kebanyakan pelajar
terikat dengan perjanjian biasiswa dan sebagainya.Tentunya juga seorang penyelia juga
berkehendakkan sedemikian, tanpa mengira apa jua halangan atau kekangan pelajar tersebut;
sama ada untuk memenuhi “Key Index Performance” atau KPI, memperoleh pangkat, kenaikan
gaji, mendapat nama dan sebagainya. Walaubagaimana pun, titik noktah akhirnya tetap sama
iaitu memperoleh segulung ijazah PhD.
Oleh itu, tidak keterlaluan dikatakan bahawa konsep “Begin with the End in mind” ini
adalah elemen yang paling penting yang dipilih sebagai Tip pertama di mana seorang pelajar
percaya bahawa dia akan menamatkan pengajian dengan jayanya dalam jangkamasa yang
diberikan dan seorang penyelia mempercayai beliau akan berjaya untuk menyelia pelajar
tersebut sehingga pelajar tersebut mampu mencapai tahap akadamik yang selayaknya dan
memperoleh sijil yang sangat didambakan itu.
45
Mungkin para pelajar tidak dapat melihat betapa pentingnya konsep ini. Cuba tatapi
komik berikut yang menunjukkan turun naik motivasi pelajar pascasiswazah.
Rajah: Turun naik motivasi pelajar pascasiswazah (Sumber: www.phdcomics.com).
Apabila motivasi untuk berjaya berada di tahap yang rendah (kebiasaannya
dipertengahan fasa pengumpulan data atau sewaktu menganalisa data), penyelialah orang
yang paling penting dalam hidup seseorang pelajar yang akan membakar semula api semangat
tersebut kerana penyelia yang ideal telah lama membayangkan dalam fikirannya bahawa
pelajarnya akan berjaya menamatkan pengajian PhD dengan jayanya. Saya telah melalui saat
ketika motivasi berada di tahap yang paling rendah dan di kala itu penyelia saya telah
membantu saya melihat semula penghujung terowong perjalanan saya di mana saya akan
menamatkan pengajian dengan jayanya. Terima kasih Sean!
Tip 2: Saling percaya dan mempercayai
Penyelia yang ideal adalah seorang penyelia yang mampu memberikan 100%
kepercayaan kepada pelajar. Adakah anda bersetuju dengan pernyataan ini? Bagi saya
kepercayaan yang dimaksudkan adalah kepercayaan bahawa pelajar adalah seseorang yang
jujur, beretika, berintegriti dan memegang kepada janji. Tentunya seorang pelajar yang bersedia
untuk memulakan pengajian PhDnya adalah seorang yang mempunyai tahap ilmu yang cukup
tinggi sesuai dengan peringkat pengajiannya (minimum 15 tahun tempoh pengajian dari darjah
1 sehingga tamat ijazah pertama). Tentunya pelajar tersebut tahu membezakan apa yang salah
dan apa yang betul dan apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan.
46
Menerusi pengalaman saya sebagai penyelia, saya amat menghargai seseorang yang
bercakap benar. Bercakap benar atau tidak perlu memberitahu saya apa yang saya tidak perlu
tahu. Sekiranya pelajar saya sakit dan memerlukan cuti, saya berlapang dada untuk
membenarkan pelajar mengambil cuti seperti yang diperlukannya. Sekiranya pelajar ingin
pulang ke kampung untuk bercuti, saya juga bersedia untuk membenarkannya, tertakluk
kepada budi bicara saya yang kebiasaannya lebih kepada konsep “kerja siap boleh cuti”. Pada
saya, pelajar tidak perlu menipu untuk mendapatkan sesuatu. Penyelia rata-ratanya boleh
dibawa berbincang.
Pelajar seharusnya memastikan semua perkara sama ada perbuatan atau percakapan
yang dilontarkan tidak akan pernah membuatkan penyelia mempunyai sebab untuk meragui
kejujuran pelajar. Keraguan juga tidak mungkin akan berlaku sekiranya pelajar tidak pernah
tertangkap di dalam penipuannya sendiri. Perkara tersebut sekiranya terjadi akan menyebabkan
keraguan kepada kejujuran seseorang pelajar dan akhirnya akan menyebabkan hubungan
penyelia-pelajar terganggu. Walaubagaimanapun, pelajar tidak perlu gusar kerana keraguan
tidak akan timbul sekiranya pelajar sentiasa jujur dan ikhlas dan menunjukkan bahawa mereka
bekerja dengan etika dan berintegriti. Pepatah Inggeris ada mengatakan, “Honesty is the best
policy”.
Tip 3: Terma dan syarat serta keinginan penyelia
Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh pelajar dan seorang penyelia sewaktu
mulanya pengajian PhD adalah untuk membincangkan terma dan syarat untuk dipersetujui oleh
kedua-dua pihak. Perbincangan ini akan memudahkan pelajar dalam proses penyelidikan
PhDnya supaya urusan perbincangan di sepanjang 3 tahun pengajian dengan penyelia masing-
masing akan menjadi lebih teratur dan lancar. Juga adalah penting untuk pelajar cuba
memahami keinginan penyelia mereka demi memudahkan mereka beradaptasi dengan cara
kerja penyelia masing-masing. Perlu diingat, lain orang lain caranya.
47
Terma dan syarat penyelia: Apakah contoh-contoh terma dan syarat tersebut?
a. Pelajar memulakan pengajian dengan menyediakan sebuah carta Gantt sepanjang
3 tahun pengajian.
Terma dan syarat ini digunapakai sekiranya pelajar telah mempunyai pendedahan yang
mencukupi dalam penyelidikan yang dirancang. Carta Gantt tersebut tidak perlu terlalu
lengkap dan padat dan adalah mencukupi sekiranya dapat menunjukkan perancangan
pelajar yang jelas untuk mencapai PhD dalam tempoh 3 tahun atau 36 bulan.
b. Pelajar berusaha untuk cuba mencapai setiap “milestone” yang telah dipersetujui
di dalam carta Gantt tersebut
Di sini pelajar tidaklah dikehendaki menjadi terlalu rigid, tetapi adalah memuaskan hati
sekiranya “milestone” yang besar dalam fasa pengajian PhD pelajar dapat dicapai dalam
tempoh yang munasabah.
c. Menghantar laporan (hasil kerja jangka pendek) setiap hujung minggu untuk
memberitahu kemajuan penyelidikan pelajar
Ini adalah tertakluk kepada penyelia. Laporan kemajuan secara ringkas contohnya
merangkumi jurnal yang telah dibaca, pihak-pihak berkaitan yang telah pelajar jumpa,
permohonan kepada lembaga etika, penghasilan soal-selidik untuk responden atau
perjalanan eksperimen di makmal. Kemajuan tersebut boleh ditulis dalam buku eksperimen
atau juga dalam dokumen Microsoft Word yang mudah untuk diarkibkan.
d. Membuat temu janji dengan penyelia sebelum berjumpa untuk perbincangan dan
menepati masa apabila sudah berjanji (jangan lewat!)
Kebiasaannya komunikasi dengan penyelia adalah melalui e-mel. Walaubagaimanapun,
sekiranya pelajar diberikan tempat bekerja yang berhampiran dengan penyelia masing-
masing, mungkin juga pelajar boleh terus mengetuk bilik penyelia untuk membuat apa-apa
temu janji. Perhatian, ada penyelia yang mengamalkan polisi pintu terbuka tetapi ada
48
penyelia yang lebih suka tidak diganggu dalam keadaan bukan kecemasan. Jadi anda perlu
mengetahui polisi penyelia anda.
Pelajar PhD biasanya dianggap sebagai salah seorang ahli jabatan (bekerja 8.00 am
hingga 5.00 pm) dan diberi meja dan kerusi (untuk membuat kerja) dan kemudahan talian
internet serta makmal untuk melakukan penyelidikan mereka. Di zaman teknologi ini,
terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan oleh pelajar untuk berkomunikasi dengan
penyelia mereka. Selain emel, pelajar mungkin boleh memilih untuk menghubungi penyelia
melalui whatsapp, skype, wechat, kakao talk atau secara tradisionalnya, menggunakan
mesej teks di talian mudah alih.
Tidak kira apa jua cara, pilih satu medium komunikasi yang selesa untuk kedua-dua
pihak dan hubungilah penyelia di sela masa yang sesuai untuk menetapkan waktu
perbincangan yang dipersetujui. Catatkan tarikh, masa dan tempat yang dipersetujui di
dalam diari dan tepati janji anda.
e. Menghantar agenda perbincangan sebelum tarikh temujanji yang ditetapkan untuk
memudahkan penyelia bersiap sedia
Agenda untuk perjumpaan mingguan adalah amat penting dan tidak boleh dipandang
ringan. Setiap perjumpaan yang dirancang perlu disusuli dengan agenda dan minit
perjumpaan terdahulu. Ini adalah untuk membantu pelajar dan penyelia mengenalpasti
tugas masing-masing dan dapat memudahkan kedua-dua pihak menyiapkan diri sebelum
perjumpaan. Jelas dapat dilihat yang pengajian PhD akan membantu pelajar mendapatkan
sedikit sebanyak latihan dalam pengurusan penyelidikan dan akan menjadi pengalaman
yang bermanfaat.
f. Memberikan ruang masa yang mencukupi kepada penyelia untuk meneliti hasil
kerja pelajar sebelum hari perbincangan
Terma dan syarat yang terakhir adalah penting. Kurang bermakna sekiranya pelajar
menghantar agenda dan minit dan laporan yang telah disiapkan 5 minit sebelum waktu
perbincangan ditetapkan. Tentunya ini akan sedikit sebanyak membuat penyelia pelajar
menjadi sedikit tersingung dan perbincangan biasanya akan bermula dengan keadaan yang
kurang baik.
49
Keinginan penyelia pula mungkin berkisar kepada hal-hal seperti berikut:
a. Pelajar memberitahu penyelia sekiranya menghadapi masalah dalam pengajian.
Dinasihatkan pelajar menggunakan kebijaksanaan atau “wisdom” di dalam menentukan apa
yang harus dibawa berbincang dan apa yang tidak perlu untuk dibincangkan bersama
penyelia. Kebiasaannya penyelia yang juga pensyarah tidak lokek ilmu dan sudi untuk
membantu pelajar dalam hal-hal pengajian mereka tetapi jangalah bertanyakan soalan yang
terlalu remeh-temeh (saya tidak percaya kepada konsep “stupid question”).
Contoh perkara yang tidak perlu ditanya pada penyelia adalah mungkin perkara seperti cara
mengira purata data di Microsoft Excel atau cara untuk “copy” dan “paste” gambar di dalam
Microsoft Word. “Google” sahaja di internet. Ini kerana selain penyelia, tentunya pelajar
mempunyai rakan seperjuangan atau tutor di jabatan yang sama dan pelajar boleh juga
menanyakan soalan-soalan sedemikian kepada mereka untuk lebih memanfaatkan waktu
perbincangan mingguan yang telah diperuntukkan buat anda.
b. Pelajar berkongsi masalah peribadi yang berkemungkinan mengganggu
konsentrasi dalam pengajian.
Pelajar sebagai manusia biasa, mungkin menghadapi masalah-maslah peribadi seperti
masalah gangguan kesihatan, masalah kewangan, masalah keluarga atau mungkin juga
masalah percintaan. Sekiranya pelajar merasakan mereka sedikit tertekan dan tidak dapat
meneruskan kerja seharian seperti biasa, eloklah sekiranya mereka berkongsi masalah
tersebut dengan penyelia (“on the surface” sahaja). Kebiasaannya penyelia akan cuba
memahami masalah pelajar dan akan berempati dengan pelajar. Ini adalah penting supaya
penyelia memahami situasi masalah pelajar dan memberi pelajar sedikit ruang untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Cara ini akan dapat mengelakkan salah faham antara
pelajar dan penyelia mereka.
50
c. Pelajar berusaha untuk menjadi proaktif dalam melaksanakan penyelidikan.
Resam pelajar siswazah, pelajar harus mencuba untuk menjadi proaktif dalam
melaksanakan penyelidikan mereka. Pelbagai sumber yang terdapat di internet dan di
perpustakaan yang tersedia untuk digunakan oleh pelajar. Di tahap pengajian PhD, pelajar
tidak boleh menganggap tahap mereka adalah seperti pelajar prasiswazah. Pelajar perlu
mencari haluan masing-masing dan ini hanya akan tercapai sekiranya pelajar menjadi lebih
proaktif.
d. Pelajar bersemangat dalam tempoh pengajiannya
Pengajian PhD bukanlah sesuatu yang mudah tetapi untuk mendapatkannya bukanlah
mustahil. Semangat dan motivasi untuk mendapatkan ijazah PhD harus sentiasa ada.
Sekiranya pelajar terlalu leka dengan perkara peribadi yang lain, agak mustahil untuk
pelajar menyelesaikan penyelidikan dan menulis tesis.
e. Penyelia mahukan pelajar menghormati ilmunya dan dapat berbincang dalam
keadaan yang berhemah.
Pelajar PhD mungkin mempunyai pengalaman bekerja sebelum mereka menyambung
pengajian masing-masing. Mungkin juga pelajar tersebut telah menjadi pensyarah sebelum
ini dan mempunyai pengetahuan yang banyak dalam bidangnya. Mungkin juga pelajar
adalah lebih berumur dari penyelia.
Sekiranya berlaku percanggahan pendapat di antara pelajar dan penyelia, adalah lebih
beradab sekiranya pelajar menggunakan cara yang berhemah untuk berbincang dengan
penyelia. Hormati penyelia sebagai guru, walau guru tersebut adalah lebih muda dari
pelajarnya atau guru tersebut tidak mempunyai pemahaman yang tinggi dalam bidang
kajian pelajar tersebut. Adab di antara seseorang pelajar dengan gurunya amat
dipentingkan oleh Rasullullah SAW dan resam adat melayu amat mementingkan budi
pekerti apabila berhadapan dengan guru. Walau di peringkat universiti dimana peraturan
tidak tertulis ini adalah sedikit longgar, saya berpendapat adalah penting pelajar memegang
panduan tersebut.
51
Pengalaman saya sendiri, saya sangat menghormati penyelia saya dan sekiranya saya
tidak bersetuju dengan cadangannya saya tetap akan mempertimbangkannya. Sekiranya
saya tidak dapat mencapai apa yang beliau kehendaki, baharulah saya menimbulkan
perkara tersebut untuk dibawa berbincang. Mengaplikasikan apa yang saya belajar di
sekolah dahulu, saya akan menyapa penyelia saya dengan ceria dan memberi ucapan
kepadanya sekiranya saya berselisih dengannya di jabatan dan saya akan berdiri
menghormatinya kerana statusnya sebagai guru sekiranya dia masuk ke bilik saya untuk
bertemu dengan saya.
Walaubagaimanapun, ini adalah cara saya, dan saya beranggapan pelajar tidak perlu
mengikuti cara saya tetapi adalah mencukupi sekadar cuba untuk menghormati status
penyelia sebagai seorang yang lebih berpengetahuan dari pelajar.
Bagaimana menangani penyelia anda?
Pendapat saya secara umum, kenalilah penyelia anda dengan baik. Sebagaimana kita
berhempas-pulas membaca jurnal atau tesis, kita perlu juga berusaha untuk mengenali
penyelia kita dengan baik. Berusaha untuk melakukan yang terbaik dan seperti yang
diminta adalah antara kunci utama. Jujur dengan penyelia anda jika anda menghadapi
masalah. Pernah dengar tentang konsep ‘Supervisor’s Always Right?’. Pendapat saya,
ada benarnya. Duduk, dengar dan kaji pendapat penyelia anda terlebih dahulu.
Janganlah menjadi seorang pembangkang yang membuta-tuli. Sebagai orang yang
berpengalaman, apa yang dituturkan oleh penyelia anda mungkin ada benarnya. “Trust
their words, give them respect”. Namun, jika anda merasakan penyelia anda telah
‘tersilap percaturan’, jumpalah penyelia anda pada waktu yang sesuai untuk berbincang
dengan membawa bukti yang cukup untuk meyakinkan penyelia anda. Nyatakan
pendapat anda dengan baik serta alasannya. Penyelia anda juga mungkin mempunyai
alasan yang tersendiri kenapa beliau tidak bersetuju dengan pendapat anda. Terima lah
dengan hati terbuka. Cubalah menjadi pelajar yang baik kepada penyelia anda kerana
suatu hari nanti kita mungkin akan menjadi penyelia, jika tidak secara akademik
mungkin di tempat kerja. Sudah tentu kita mahukan perkara yang baik-baik sahaja.
- Azmina Ibrahim,UK
52
Tip 4: Komited dalam pengajian
Pelajar perlu faham apabila mereka mendaftar untuk menyambung pengajian dalam
bidang PhD, mereka perlu komited untuk memberikan masanya dalam menumpukan perhatian
mereka untuk membuat penyelidikan masing-masing. Ini adalah tanggapan biasa seseorang
penyelia. Adalah dianggarkan kebanyakan penyelia berkehendakkan pelajar mereka berada di
pejabat pada waktu pejabat untuk melakukan tugas-tugas sebagai seorang pelajar PhD.
Tidak dinafikan ada juga penyelia yang tidak meletakkan apa-apa syarat, dan mungkin
gembira asalkan pelajar menghantar deraf tesis mengikut jadual. Dari pengalaman saya, saya
diminta untuk hadir ke pejabat mengikut waktu pejabat, sekurang-kurangnya dari jam 9.00 pagi
hingga ke 5.00 petang. Walaubagaimanapun, ada juga waktu-waktu yang saya tidak dapat
penuhi kerana kesihatan fizikal yang tidak mengizinkan atau saya ada urusan yang perlu saya
uruskan. Cuba untuk melakukan sebanyak kerja yang mungkin di waktu pejabat dan inshaa
Allah komitmen pelajar terhadap pengajian akan jelas terlihat dan peluang untuk berjaya dalam
PhD inshaa Allah akan menjadi kenyataan.
Tip 5: Penggunaan masa yang bijak
Pelajar dinasihatkan untuk menggunakan masa dengan bijak sewaktu dalam pengajian
PhD supaya kemajuan dalam pengajian dicapai adalah seperti yang sepatutnya. Penyelia
masing-masing juga mungkin membantu pelajar dengan memberikan geran penyelidikan untuk
pelajar gunakan, oleh itu penyelia juga mempunyai tahap-tahap kemajuan yang perlu dicapai
mengikut perjanjian geran yang telah ditandatangani. Percayalah, waktu berjalan dengan amat
pantas dan dalam tidak sedar, 24 bulan telahpun berlalu. Sebagai pelajar pascasiswazah yang
menggunakan geran untuk melakukan penyelidikan, tekanan dari penyelia untuk menghabiskan
pengajian adalah dua kali ganda dari pelajar yang menjalankan penyelidikan tanpa
menggunakan geran penyelia mereka.
Nasihat terbaik yang pernah saya terima adalah untuk memastikan waktu pejabat
digunakan dengan baik dengan penumpuan sepenuhnya kepada kerja penyelidikan dan di
hujung minggu, waktu tersebut adalah untuk diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan. Ini adalah
nasihat pertama yang telah penyelia saya berikan dahulu.
53
Menggunakan waktu pejabat dengan sebaik-baiknya adalah penting supaya “milestone”
yang telah dirancang dalam carta Gantt boleh dicapai. Sewaktu saya mula-mula menyambung
PhD, fokus saya selalu terganggu lantaran pelbagai hal-hal yang lebih menarik di internet.
Dengan kelajuan internet yang sangat baik untuk memuat turun video di youtube, youtube telah
menjadi teman setia saya. Sekiranya video yang ditonton adalah lebih bercorak ilmiah, tiada
masalah. Tetapi sekiranya lebih banyak filem yang ditonton, ini akan membuang masa pelajar.
Kehidupan adalah menarik dengan internet. “Life is great with internet”. Pada waktu
yang sama di awal tahun 2008, “facebook” pun rancak digunapakai oleh ramai kenalan saya
Banyak waktu yang terisi dengan aplikasi “facebook” dan “games” yang ada. Dengan kelebihan
diberi peluang untuk belajar di luar negara, kemudahan untuk menjelalah ke tempat-tempat
menarik tidak dibiarkan begitu sahaja. Perjalanan ke Rom, Pisa, Amsterdam, Venice, Florence,
Edinburgh dan London amat menggembirakan saya. Pelbagai gambar-gambar perjalanan yang
menarik dimuat naik di laman facebook. Saling bertukar komen dan “like” sesuatu komen atau
gambar menjadi amalan biasa. Perkara inilah yang telah mengganggu fokus saya.
Ada juga rakan-rakan yang saya kenali menjadi ketagih dengan membeli barang dari
medium internet. Sebagai contoh Amazon, ebay dan pelbagai laman sesawang selalu
mengiklankan barang idaman seperti aksesori kamera, pemain mp3 dan gadget-gadget yang
lain dengan harga yang murah. Penghantaran pula selalunya adalah percuma dan terus ke
universiti atau ke rumah. Ini juga menjadi satu aktiviti yang membuang masa dan wang ringgit
(atau £) sekiranya barang-barang yang dibeli hanya untuk memuaskan nafsu dan bukan
menjadi keperluan utama. Yang paling penting, 2 hingga 3 jam waktu diluangkan setiap pagi
untuk menatap laman sesawang tersebut akan mengambil waktu beharga yang sepatutnya
digunakan untuk mencari maklumat mengenai penyelidikan.
Cara yang terbaik untuk menghadapi masalah ini adalah untuk berkompromi dalam
membahagikan masa mengikut kesesuaian dan keperluan. Tentunya pelajar mempunyai hak
untuk menggunakan facebook dan “like” sebanyak mana komen yang telah ditulis pada dinding
kawan-kawan atau menonton wayang, youtube dan video atau melakukan apa yang
dikehendakinya tetapi gunakanlah sebahagian besar (2/3) dari waktu pejabat dengan bijak.
54
Mungkin pelajar boleh meluangkan masa selama sejam di waktu pagi untuk meneliti
laman facebook tetapi dari pukul 10.00 am ke 1.00 pm dan 2.00 pm ke 4.00 pm, pelajar perlu
memastikan kerja penyelidikan mereka berjalan. Sebagai pelajar, 5 jam yang dimanfaatkan
dengan sebaiknya (menulis) adalah lebih baik dari 12 jam yang digunakan tanpa memfokus
kepada sesuatu kerja. Di penghujung hari, perkara yang penting adalah hasil atau “output” yang
dihantar kepada penyelia. Buat diri saya sendiri, di penghujung pengajian PhD saya, “facebook”
telah saya tinggalkan sepenuhnya kerana fokus saya untuk menyiapkan tesis. Sehingga kini
saya menjadi bahan usikan kawan-kawan kerana tidak mempunyai “facebook” kerana
keinginan untuk membuka akaun “facebook” semula tidak timbul.
Tip 6: Jangan bercakap buruk tentang penyelia anda!
Tips ini adalah tips yang terakhir dan yang paling diambil mudah oleh pelajar. Jangan
bercakap buruk atau mengutuk penyelia anda atau setidak-tidaknya jangan benarkan kutukan
anda itu sampai ke telinga penyelia. Seperti yang dibincangkan di tip yang lebih awal, penyelia
sebagai guru perlu dihormati supaya ilmu yang dikongsi akan sentiasa menjadi berkat dan
membawa kepada kebaikan. Oleh itu, janganlah bergosip atau mengumpat penyelia anda
dengan rakan-rakan yang lain walaupun penyelia anda bermasalah pada hemat anda. Pelajar
dinasihatkan berfikir sebaiknya tentang penyebab masalah tersebut, sama ada dari pihak
pelajar atau dari pihak penyelia.
Anda boleh berbincang dengan pihak ketiga sekiranya mempunyai masalah, tetapi
bincanglah dengan cara berhemah dan bincangkan perkara tersebut dengan orang yang boleh
dipercayai. Tentu buruk akibatnya sekiranya penyelia anda mengetahui tentang kelemahan dan
keburukannya yang telah diceritakan oleh anda kepada orang lain (penyelia mesti mempunyai
egonya yang tersendiri) dan hubungan yang sedia ada baik akan menjadi keruh atau mungkin
tidak boleh diselamatkan lagi. Saya juga pernah menjadi pelajar dan saya memang memegang
prinsip ini dan percaya redha guru kepada saya menjadi salah satu faktor keberkatan ilmu.
Walaubagaimanapun, sekiranya masalah perhubungan dengan penyelia yang dihadapi
oleh pelajar perlu diselesaikan oleh pihak ketiga, bawalah perkara ini kepada ketua jabatan atau
pihak pengajian siswazah yang mungkin boleh membantu dengan cara yang terbaik. Seperti
kata pepatah, tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.
55
Kesimpulan
Bersetuju atau tidak, peranan penyelia dalam menentukan lulus atau gagalnya
seseorang pelajar adalah yang paling utama. Peranan penyelia yang terakhir dan yang paling
berat adalah dalam memilih jawatankuasa untuk mempertahan thesis (thesis defense) atau viva
voce. Di sinilah penyelia diberi kuasa untuk membuat pemilihan yang dirasakan terbaik untuk
memastikan pelajarnya lulus. Seperti yang saya telah ulas di awal bab ini, memahami peranan
penyelia termasuk peranan yang tiada kaitan dengan penyeliaan adalah penting untuk
memastikan pengalaman PhD yang berjaya. Tugas terakhir ini memberi impak yang paling
besar kepada pelajar. Yang selalu terjadi adalah penyelia memilih kawan atau kenalan
(“acquaintance”) di bidang yang sama dan mempunyai reputasi yang baik (profesional dan tidak
suka menggagalkan pelajar). Walaubagaimanapun, pernah saja terjadi situasi di mana penyelia
yang mempunyai masalah dengan pelajarnya sengaja memilih jawatankuasa pemeriksa
mengikut sambil lewa dan akhirnya pelajar tersebut (yang mungkin mempunyai masalah
peribadi lain dengan penyelianya) diberi pembetulan major atau lebih teruk lagi gagal untuk
mempertahankan tesisnya dan diberikan MPhil sahaja untuk kerja yang memakan masa hampir
4 tahun.
Cerita di universiti lain di UK adalah penyelia didapati gagal atau tidak profesional
kerana tidak memberikan panduan yang sebaiknya dan memperbaiki deraf tesis dan akhirnya
tesis yang dihantar untuk viva voce tidak mencukupkan keperluan sesuai dengan pengijazahan
PhD. Oleh yang demikian, pelajar gagal dalam vivanya atau mungkin diberi “major correction”.
Walaupun perkara sebegini jarang kita dengar, tetapi percayalah pernah sahaja situasi sebegini
terjadi walaupun secara konservatifnya seorang penyelia tentu mahu pelajarnya lulus sama ada
dengan “no correction” atau “minor correction”. Tanpa mengenepikan kebarangkalian lain,
mungkin juga masalah sebegini bertitik tolak dari hubungan penyelia-pelajar yang sedikit keruh
dan tidak dipupuk dengan baik. Tanpa mahu membuat spekulasi negatif, adalah lebih selamat
sekiranya tip-tip yang telah diberikan di dalam bab ini diamalkan sedikit sebanyak oleh pelajar.
56
Adalah diharapkan disamping kerja keras dan motivasi yang tinggi untuk menyambung
PhD, pelajar juga dapat belajar menguruskan penyelia mereka dengan sebaiknya dalam
memastikan hubungan yang terjalin adalah sentiasa positif dan hala tuju terakhir iaitu ijazah
PhD dapat dianugerahkan kepada pelajar akan tercapai. Bukan itu sahaja, perhubungan baik
yang dibina akan dapat memanfaatkan pelajar sewaktu pelajar sudah bekerja terutama sekali di
dunia akademik kerana “networking” dan “rapport” yang baik adalah sama pentingnya dengan
kehebatan seseorang dalam melakukan penyelidikan untuk menaikkan nama di bidang
penyelidikan.
57
BAB 7
Penulisan saintifik
Oleh: Sarva Mangala Praveena
Penerbitan dalam jurnal yang berwibawa adalah menjadi matlamat setiap penyelidik,
kerana ini merupakan cara paling efektif dalam menyebarkan ilmu dan maklumat kepada
komuniti saintifik dan para penyelidik yang lain. Hasil penyelidikan akan membantu dalam
penciptaan dan penyebaran pengetahuan serta perkembangan penyelidikan yang lain. Bab ini
adalah untuk menyediakan garis panduan untuk membantu anda dalam penyediaan manuskrip
untuk jurnal saintifik di peringkat PhD anda.
Sebelum menulis draf pertama, ia adalah penting untuk memastikan topik manuskrip
tersebut selaras dengan objektif jurnal tersebut. Maklumat mengenai topik dan objektif jurnal
selalunya akan diberikan di dalam laman web jurnal tersebut. Setelah memilih jurnal, adalah
penting untuk anda membaca dengan teliti dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Garis panduan ini biasanya sangat khusus mengenai format, had perkataan, organisasi
manuskrip, margin, baris, penyediaan jadual dan angka dan kaedah. Kegagalan untuk
mematuhi garis panduan ini boleh menyebabkan manuskrip anda ditolak atau dipulangkan
untuk pembetulan, sekaligus melambatkan proses penerbitan.
58
Penulisan manuskrip
Gaya penulisan manuskrip akan bertambah baik dari masa ke semasa dengan meminta
pertolongan kawan rapat untuk menyemak dan mengkritik dengan jujur kandungan draf
manuskrip tersebut. Penulisan manuskrip harus bermula dengan bahagian mudah dan diikuti
dengan bahagian sukar. Ini biasanya bermula dengan menyediakan bahagian tajuk,
pengenalan, kaedah dan keputusan, diikuti dengan perbincangan, kesimpulan dan abstrak.
Saya mencadangkan, sekiranya anda menulis manuskrip, adalah lebih baik ianya ditulis dengan
terus menerus tanpa berhenti. Ini kerana, jurang antara tempoh menulis akan mengganggu
kesinambungan pemikiran anda. Penulisan manuskrip mungkin kelihatan lebih mudah jika
setiap bahagian dilihat sebagai tugasan yang berasingan.
Untuk mengelakkan kekecewaan, pastikan semua maklumat yang diperlukan, sebagai
contoh semua data, rujukan dan mana-mana draf jadual atau angka disediakan atau dicetak
sebelum mula menulis. Paling penting, sebelum penulisan manuskrip, garis panduan bagi
setiap bahagian yang mengandungi beberapa tajuk utama, sub-tajuk dan perenggan harus
didraf. Dalam penulisan draf pertama, perkara utama yang harus diutamakan ialah idea-idea
penting mengenai penyelidikan tersebut tanpa mengira ayat-ayat yang tidak lengkap dan
tatabahasa yang tidak betul. Setelah selesai draf pertama, semakan harus dibuat beberapa kali
untuk memperbaiki draf tersebut. Semakan beberapa kali boleh dibuat oleh anda dan rakan
rapat anda untuk memastikan draf tersebut telah bersedia untuk dihantar ke jurnal yang dipilih
sebagai manuskrip lengkap.
Secara umum, sesebuah manuskrip mempunyai lebih daripada satu pengarang yang
akan berkongsi bersama manuskrip tersebut. Walau bagaimanapun, penulis pertama harus
mengetahui keseluruhan manuskrip tersebut sebelum menghantar ke jurnal untuk diterbitkan
meskipun terdapat bahagian lain disediakan oleh pengarang yang lain.
59
Struktur dan Kandungan Manuskrip
Sebuah manuskrip biasanya terdiri daripada beberapa bahagian, iaitu:
Abstrak
Kata Kunci
Pengenalan
Metodologi
Keputusan
Perbincangan
Kesimpulan
Rujukan
Setiap bahagian utama di dalam sesebuah artikel harus berkait antara satu sama lain
dengan bahagian seterusnya. Penerangan setiap bahagian ini haruslah jelas dengan
menggunakan bahasa Inggeris yang ringkas. Kejayaan atau kegagalan sesebuah artikel
bermula dengan konsep awal dan reka bentuk kajian.
Terdapat pelbagai faktor kegagalan manuskrip diterima di dalam jurnal berimpak tinggi.
Antaranya adalah seperti berikut:
Penyelidikan tidak memberi sumbangan yang cukup besar kepada komuniti saintifik.
Kajian berbentuk deskriptif semata-mata atau hanya merupakan replika penyelidikan
sebelumnya tanpa menambah sesuatu yang baru.
Reka bentuk kajian yang tidak dirancang dengan baik. Kajian tidak mempunyai definisi
yang tepat yang membina teras dan motivasi menarik bagi teori hipotesis yang
dinyatakan.
Kaedah yang digunakan dalam kajian tidak menepati prosedur yang disediakan.
Ccontohnya, saiz sampel yang terlalu kecil atau kebolehpercayaan dan kesahihan
langkah-langkah yang digunakan dipersoalkan.
Gaya penulisan yang tidak teratur dan artikel tidak mempunyai struktur yang betul dan
penggunaan Bahasa Inggeris yang kurang baik.
60
Secara amnya, sesebuah artikel dalam jurnal akademik mempunyai kira-kira 20 hingga 25
muka surat A4 (1 ½ baris) atau 4000-7000 patah perkataan. Sebuah artikel jurnal akademik di
mana hasil penyelidikan kuantitatif dilaporkan biasanya mempunyai struktur seperti dalam
Jadual 1.
Jadual 1: Struktur artikel akademik bagi penyelidikan kuantitatif
Bahagian Perkataan
Tajuk 8-15
Abstrak 200 – 250
Kata Kunci 6–8
Pengenalan 500 – 1 000
Kajian Literatur 1 000 – 2 000
Kaedah Kajian/Metodologi 500 – 1 000
Hasil kajian 1 000 – 1 500
Perbincangan 1 000 – 1 500
JUMLAH 4 000 – 7 000
Tajuk, kata kunci, abstrak, pengenalan dan perbincangan adalah bahagian yang paling penting
kerana pembaca akan menilai artikel anda melalui bahagian-bahagian ini. Oleh itu, amat
penting untuk anda menggunakan kata kunci yang berkesan, tajuk yang menarik perhatian dan
abstrak yang tepat untuk menarik pembaca untuk menyelidik lebih mendalam berkenaan
dengan hasil penyelidikan anda. Pendek kata, pengenalan dan perbincangan harus menarik
pembaca untuk membaca keseluruhan artikel anda.
TAJUK ARTIKEL
- Tajuk artikel seharusnya terdiri daripada 8-15 perkataan maksimum dan tajuk
perlulah merupakan perkara pertama yang boleh menarik pembaca untuk
melihat dan meneroka penyelidikan anda.
- Tajuk yang jelas harus mencerminkan tema utama dan isu penyelidikan
- Tajuk sebaik-baiknya perlu menjawab soalan-soalan berikut
o Apa yang akan dikaji?
61
o Bagaimana topik itu dikaji?
o Dengan siapa? - Menjelaskan penduduk penyelidikan dan unit
pengukuran
o Di mana / dalam konteks apa akan kajian dijalankan?
ABSTRAK
- Abstrak adalah ringkasan pendek artikel dengan panjang maksimum 200-250
perkataan. Kebanyakan pembaca akan mengimbas abstrak untuk
memutuskan sama ada membaca keseluruhan artikel ini adalah berbaloi atau
bersesuaian dengan mereka. Oleh itu Abstrak berfungsi sebagai paparan hasil
penyelidikan anda.
- Masalah utama dengan abstrak adalah ia kadangkala tidak menarik perhatian
pembaca dan kandungannya asalah samar. Abstrak yang baik akan
memberikan pembaca maklumat yang cukup dan konkrit.
- Abstrak harus mengandungi isu keseluruhan hasil penyelidikan.
- Abstrak perlu menunjukkan matlamat utama atau tujuan kajian.
- Abstrak harus menjelaskan praktikal atau justifikasi kajian.
- Abstrak harus mengandungi kaedah yang digunakan dalam kajian yang
dijelaskan secara ringkas.
- Abstrak harus mempunyai penemuan utama kajian yang diringkaskan.
- Abstrak perlu mengandungi kesimpulan kajian dan implikasi hasil kajian
tersebut diterangkan dengan serba ringkas.
- Beberapa kata kunci perlu disenaraikan selepas abstrak.
PENGENALAN
- Panjang untuk bahagian pengenalan sesebuah artikel disyorkan dalam julat
500-1000 patah perkataan. Ia harus memberikan gambaran mengenai
persoalan yang dikaji.
- Oleh itu, pengenalan mestilah menarik minat pembaca dengan merangsang
perhatian serta keinginan mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut isi
kandungan artikel yang dibaca.
- Malangnya, pengenalan sering menjadi salah satu bahagian yang paling sukar
62
untuk ditulis di dalam sesebuah artikel.
KAJIAN LITERATUR
- Untuk bahagian kajian literatur, julat perkataan yang disyorkan ialah antara
1000-1500 patah perkataan. Bahagian ini merupakan teras sesebuah artikel.
- Tujuan kajian literatur adalah untuk menghimpun apa yang telah dikaji oleh
penyelidik lain mengenai topik kajian yang sedang anda tulis. Kajian literatur
adalah satu cara untuk menyediakan latar belakang dan bertindak sebagai
motivasi untuk objektif dan hipotesis penyelidikan anda.
- Kajian literatur yang baik tidak hanya merumuskan penyelidikan tetapi menilai
secara kritis hasil penyelidikan penyelidik sebelum ini. Sesebuah kajian
literatur yang berjaya bergantung kepada keupayaan anda untuk mencerna
semua maklumat dari literatur sedia ada.
- Menulis kajian literatur merupakan suatu cabaran di dalam penulisan
akademik kerana anda perlu menguruskan maklumat yang dikumpul serta
memastikan kesinambungan serta hubung kait antara kajian literatur dan hasil
kajian anda. Teknik yang boleh anda gunapakai ialah dengan menyimpan
rekod rujukan yang lengkap untuk buku, artikel jurnal atau laman web yang
anda baca. Ini akan menjimatkan masa anda untuk mencari sumber rujukan
apabila anda perlu menyusun senarai rujukan di akhir artikel anda nanti.
- Selain daripada itu, elakkan dari menggunakan kata-kata yang sukar dan tidak
difahami oleh pembaca. Pengunaan istilah biasa dari segi teknikal dengan
jelas adalah lebih baik. Pengunaan bahasa yang mudah tanpa kesalahan
tatabahasa terutamanya apabila menggunakan bahasa Inggeris akan lebih
memudahkan pembaca memahami artikel anda. Sediakan bukti dalam hujah-
hujah anda untuk menjawab semua persoalan penyelidikan anda. Dalam
penulisan akademik, bukti biasanya datang dalam bentuk rujukan dalam
sumber-sumber teks yang menyokong kenyataan anda, kesimpulan atau
pilihan metodologi anda.
63
METODOLOGI
- Untuk bahagian metodologi julat perkataan yang disyorkan ialah antara 500-
1000 patah perkataan. Metodologi adalah bahagian yang menerangkan
langkah-langkah yang anda jalani dalam melaksanakan penyelidikan anda. Di
dalam bahagian ini juga anda perlu menerangkan justifikasi ringkas bagi
kaedah penyelidikan yang anda gunakan. Ia harus mengandungi maklumat
yang cukup dan terperinci bagi membolehkan pembaca menilai kesesuaian
kaedah dan kebolehpercayaan dan kesahihan hasil kajian anda. Tambahan
pula, maklumat di bahagian ini akan membolehkan penyelidik lain dalam
bidang yang sama untuk merujuk kajian anda.
- Bahagian metodologi biasanya mempunyai sub-bahagian yang berikut:
I. Persampelan
Penerangan penyelidikan dan unit analisis
Rekabentuk Persampelan
Profil Responden
II. Pengumpulan Data
Kaedah pengumpulan data
III. Langkah-langkah (alternatif: Pengukuran)
- Sangat penting untuk anda menyatakan pilihan metodologi anda dengan
maklumat yang cukup supaya pembaca yang tidak terlibat dalam kajian anda
tahu apa yang anda lakukan dan mengapa. Pilihan metodologi adalah
berdasarkan beberapa faktor seperti berikut:
I. Penjelasan mengenai pilihan yang dibuat adalah berdasarkan objektif
dalam penyelidikan
II. Penyelidik lain telah menggunakan pilihan metodologi yang sama
(dengan merujuk artikel-artikel yang lain untuk mewajarkan pilihan
anda).
III. Pilihan metodologi yang sesuai dan saintifik berdasarkan garis
panduan atau syarat-syarat yang dikenakan kepada pendekatan
penyelidikan tertentu (contohnya, kajian kualitatif, kajian penyelidikan,
penyelidikan eksperimen)
64
HASIL KAJIAN
- Bahagian hasil kajian disyorkan mengandungi 1000-1500 patah perkataan
yang meringkaskan data yang dikumpul dalam bentuk statistik. Statistik yang
asas serta yang mendalam yang digunakan di dalam hasil kajian anda
bergantung dengan objektif yang telah ditetapkan. Dalam artikel pendek atau
laporan kajian, selalunya keputusan dan perbincangan digabungkan.
- Anda perlu melaporkan hasil kajian dengan terperinci supaya pembaca boleh
melihat analisis statistik yang telah dijalankan dan untuk membenarkan
kesimpulan anda.
- Tiada resipi tetap untuk membentangkan hasil kajian. Ia bergantung kepada
objektif dan bagaimana analisis statistik boleh menjawab objektif tersebut.
PERBINCANGAN
- Dalam bahagian perbincangan, anda perlu membentangkan hasil kajian anda
dengan memberikan maklumat serta bukti yang cukup untuk membolehkan
pembaca memahami dengan tepat apa yang anda lakukan dari segi analisis
data, mengapa data memperolehi output yang sedemikian.
- Anda mungkin menganggap bahawa pembaca mempunyai pengetahuan kerja
statistik asas dan tidak perlu untuk membincangkan prosedur asas statistik
secara terperinci. Bagaimanapun, anda perlu menjelaskan kaedah statistik
secara mendalam seperti analisis multivariate, analisis regresi berganda dan
analisis faktor untuk membolehkan pembaca memahami kajian anda.
- Rajah dan jadual boleh digunakan dalam membentangkan hasil kajian anda
dan ini merupakan kaedah yang jelas dan ringkas. Terdapat beberapa “golden
rule” yang harus kita ikuti sekiranya ingin menggunakan jadual atau
gambarajah di dalam artikel anda. Sekiranya hasil kajian anda boleh
dinyatakan di dalam teks, anda tidak perlu lagi mengulanginya dengan jadual
atau gambarajah.
- Penggunaan jadual boleh digunakan untuk memberi penerangan yang lebih
mendalam mengenai sesebuah data. Gambarajah harus digunakan sekiranya
ia amat penting untuk menerangkan hasil kajian. Antara tips yang penting
ialah; anda tidak boleh mengulangi maklumat yang sama di dalam jadual dan
65
gambarajah. Secara idealnya, sesebuah manuskrip harus mempunyai 3-5
jadual dan 2 gambarajah. Data dalam bentuk angka amat berguna apabila
digunakan untuk melaporkan keputusan yang diperolehi. Pembaca tidak perlu
melihat jadual atau gambarajah untuk mengikuti perbincangan keputusan.
Tujuan penggunaan jadual dan gambarajah adalah untuk menguatkan teks
perbincangan. Jadual dan gambarajah harus dirujuk di dalam teks. Selain itu,
semasa membincangkan keputusan berdasarkan jadual dan gambarajah, bukti
sokongan dari hasil kajian lain perlu untuk menguatkan perbincangan data
anda.
KESIMPULAN
- Kesimpulan adalah bahagian untuk meringkaskan keputusan anda berdasarkan objektif
kajian. Ia juga adalah bahagian yang menjelaskan sumbangan hasil penyelidikan ini
kepada komuniti saintifik dan masyarakat. Ada sesetangah jurnal yang tidak mempunyai
bahagian kesimpulan. Ia bergantung kepada jenis jurnal pilihan anda. Oleh itu bagi
jurnal yang memerlukan bahagian kesimpulan, pastikan kesimpulan yang disediakan
adalah pendek, ringkas dan menjawab semua objektif yang digariskan dalam artikel
anda. Ia harus disediakan dalam satu perenggan menggariskan semua rancangan anda
untuk penyelidikan masa depan bersama-sama dengan hasil penyelidikan anda.
RUJUKAN
- Senarai rujukan mesti mematuhi SEMUA keperluan umum dan garis panduan khusus
yang terkandung di dalam format rujukan sesuatu jurnal. Sila kaji dan lihat semua
rujukan di dalam sesebuah artikel dalam jurnal tersebut dan formatkan rujukan anda
mengikut format yang ditetapkan.
66
Sumber: PhD Comics.com (2008).
TIP OUTPUT KAJIAN KE MANUSKRIP BERIMPAK TINGGI
Artikel yang telah disiapkan akan melalui pelbagai pusingan sebelum
penghantaran ke jurnal. Idealnya, untuk sesebuah penulisan artikel, empat draf
diperlukan sebelum artikel yang sempurna dihasilkan. Saya mencadangkan, untuk draf
penulisan yang pertama, anda hanya perlu menulis dengan cepat tanpa perlu bimbang
terlalu banyak tentang butir-butir rujukan dan gaya penulisan. Draf ini bertujuan untuk
menempatkan idea-idea anda ke atas kertas.
Di dalam draf kedua artikel anda, struktur artikel dan aliran artikel yang betul adalah
penting. Pada peringkat ini, semua bahagian perlu diteliti untuk memastikan tulisan
anda berkait antara satu sama lain dan mempunyai aliran yang logik. Anda juga perlu
menumpukan perhatian untuk menghubungkan bahagian-bahagian yang berbeza di
dalam artikel. Dalam erti kata lain, anda perlu membina jambatan dan menyediakan
hubungkait antara pengenalan dengan metodologi, antara metodologi dengan hasil
kajian dan seterusnya. Untuk draf yang seterusnya, fokus dan tumpuan draf adalah
pada gaya dan pengunaan bahasa Inggeris yang betul dengan tatabahasa yang tepat.
Ini mungkin memerlukan proses editorial yang intensif bagi membolehkan artikel ditulis
mengikut had julat perkataan yang ditetapkan dan bagi meningkatkan kefahaman
pembaca.
67
Kebanyakan penulis yang bahasa ibundanya bukan bahasa Inggeris akan menghantar
artikel mereka untuk di periksa terlebih dahulu (proof read). Kebanyakkan
perkhidmatan ‘proof read’ ini adalah berbayar. Terpulang kepada anda untuk
menghantar kepada ‘proof reader’ atau meminta penyelia anda membantu dalam
perkara ini.
Draf keempat artikel anda adalah draf yang terakhir dalam sesebuah penulisan artikel.
Pada ketika ini, draf penulisan anda adalah yang paling terperinci dan memberi lebih
tumpuan kepada isu-isu teknikal seperti rujukan, tajuk, penomboran jadual dan angka,
serta memastikan semua rujukan yang disenaraikan dalam teks berada di dalam
senarai rujukan. Anda mungkin boleh meminta bantuan rakan sekerja, atau ahli
keluarga yang tidak terlibat dalam kajian untuk membaca draf terakhir artikel anda
sebelum ia akan dihantar ke jurnal.
Penghantaran artikel untuk diterbitkan oleh jurnal pada hari ini adalah amat mudah di
mana ianya menggunakan penghantaran secara talian atau “online” jurnal. Namun, 20
tahun yang lalu, proses penghantaran serta proses “review” memerlukan masa yang
agak lama dengan mengunakan perkhidmatan pos. Berbeza dengan sekarang,
penghantaran dan pemprosesan “review” artikel amat laju dan mudah.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan artikel ditolak di peringkat editorial. Antara
faktor yang dikenalpasti ialah ketidaksesuaian artikel di dalam skop jurnal, mempunyai
impak yang kecil terhadap komuniti saintifik, tiada sumbangan yang bermakna, data
yang tidak mencukupi, tatabahasa dan penggunaan bahasa Inggeris yang tidak
mencapai piawaian jurnal dan lain-lain lagi. Walaupun terdapat pelbagai faktor yang
mempengaruhi editor untuk meneruskan proses “under review” atau tidak, yang paling
penting adalah anda tidak berputus asa untuk sentiasa cuba menghantar ke jurnal
baharu sekiranya editor jurnal menolak artikel anda. Sebagai seorang penulis dari
peringkat Sarjana hingga sekarang, pengalaman peribadi saya ialah terdapat pelbagai
faktor yang menyebabkan artikel saya ditolak oleh satu jurnal dan diterima oleh jurnal
lain. Walaupun ada jurnal yang mengambil masa yang agak lama di dalam proses
“review”, adalah penting kita sebagai penulis bersabar di dalam proses penerbitan
artikel kita di dalam jurnal berimpak tinggi.
68
Rajah: Proses artikel dihantar ke jurnal
(Sumber: Research and Development in Medical Education, 2013)
69
Pengalaman penulis (Sarva Mangala Praveena);
Saya ingin berkongsi dengan pembaca pengalaman saya dalam penulisan jurnal
saintifik. Saya telah menghantar sebuah artikel bertajuk “Simulation Modeling of
Groundwater Using Numerical Model (SEAWAT-2000): Case of Manukan Island,
Sabah, Malaysia” ke Journal of Sea Research. Namun, ia telah ditolak kerana ia
berada di luar skop jurnal tersebut. Selepas itu, saya telah cuba menghantar artikel
yang telah diubah format mengikut jurnal baru yang saya pilih iaitu ‘Water and
Environmental Journal’. Namun, ia juga telah ditolak kerana penggunaan bahasa
Inggeris yang lemah dalam artikel saya.
Oleh kerana terlalu sedih lantaran artikel ini telah ditolak sebanyak dua kali, saya telah
menghantar untuk proses pembetulan bahasa Inggeris kepada rakan saya (yang
mengambil bayaran yang murah, memandangkan saya masih seorang pelajar). Saya
telah menghantar artikel ini ke ‘Environmental Earth Sciences’ yang diterbitkan oleh
‘Springer’ dengan tajuk baru iaitu “Sustainable groundwater management on the small
island of Manukan, Malaysia” yang mengambil masa 1 tahun di dalam proses “under
review”.
Sememangnya tidak dinafikan proses penantian amat menyakitkan, namun kita perlu
banyak bersabar dalam proses penerbitan artikel kita. Namun, apa yang penting
adalah kita terus bersabar dan cuba menghantar ke jurnal yang baru. Antara contoh
e-mel artikel saya ditolak adalah seperti berikut. Diharap semua komen editor ini dapat
dijadikan tips berguna semasa anda terlibat di dalam proses penghantaran artikel ke
jurnal berimpak tinggi.
70
- Artikel saya ditolak di peringkat Editor kerana penggunaan bahasa Inggeris yang tidak
mencapai tahap yang baik.
- Artikel saya ditolak di peringkat Editor kerana tidak sumbangan yang baru di dalam
bidang yang dikaji. Hasil kajian ini telah banyak diterbitkan oleh jurnal lain.
71
- Artikel saya ditolak di peringkat Editor kerana jurnal ini tidak menerbitkan artikel
“review”. Adalah sangat penting untuk membaca jenis artikel yang diterbitkan oleh
sesebuah artikel.
- Artikel saya ditolak di peringkat Editor kerana artikel ini tidak mendapat keutamaan
yang mencukupi dari Editor untuk dihantar ke peringkat “under review”.
Sebagai kesimpulan, apa yang penting ialah anda tidak berputus asa untuk menulis dan
terus menulis. Jadikan aktiviti menulis sebagai aktiviti harian anda meskipun hanya satu
perenggan sahaja sehari. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.
72
Berikut saya selitkan pengalaman dari Dr. Sharifah berkenaan penulisan draf tesis dan
jurnal yang mungkin boleh dijadikan ikhtibar.
‘Saya mula menulis draf tesis dari minggu pertama saya di UEA. Saya dan Andrew (penyelia)
telah menetapkan untuk mengadakan perjumpaan setiap minggu. Oleh kerana ketika itu saya
masih tidak memahami cara Andrew bekerja, saya selalu menghadapi masalah untuk
memahami arahan serta pandangan beliau. Untuk mengatasi masalah ini, saya mula menulis
draf laporan berkenaan dengan latar belakang pengurusan sisa pepejal di Malaysia.
Dengan cara ini, Andrew sedikit sebanyak mula memahami sistem pengurusan sisa pepejal di
Malaysia selain dari memahami apa yang ingin saya lakukan di dalam kajian saya. Bermula dari
saat itu, setiap minggu sebelum perjumpaan dengan Andrew, saya akan menghantar satu set
laporan kepada beliau, meskipun hanya satu muka surat. Beliau akan menconteng laporan
saya itu dan mula menulis pandangan serta cadangan beliau ke atas kertas tersebut. Dengan
cara ini, saya mula memahami semua arahan beliau serta cadangannya di dalam kajian saya.
Apabila saya berada di tahun ketiga pengajian, di saat rakan-rakan yang lain sibuk mula
menulis bab-bab di dalam tesis, saya telah pun mempunyai beratus-ratus draf yang kerap
dibetulkan Andrew. Saya hanya perlu mencantumkan kesemua draf-draf ini dan memulakan
kerja-kerja editorial saya hanya dalam tempoh 5 bulan. Pada bulan yang terakhir pengajian,
tesis saya dihantar kepada ‘proof reader’ dan Andrew turut membetulkan tatabahasa saya dan
akhirnya, saya dapat menyiapkan tesis saya dalam tempoh 6 bulan. Bayangkan proses yang
telah saya singkatkan dengan menulis beratus-ratus draf laporan. Apa yang lebih menarik lagi,
saya hanya perlu membahagikan bab-bab tesis saya kepada beberapa bahagian dan
menerbitkannya dalam jurnal, hanya dengan membuat sedikit pengubahsuaian. Mungkin anda
juga boleh menggunakan kaedah yang sama.’
73
BAB 8
Cabaran Pengajian PhD
di Luar Negara
Oleh: Sharifah Norkhadijah Syed Ismail
Menyambung pengajian PhD di luar negara bukanlah sesuatu yang mudah, namun
bukannya mustahil. Buktinya ramai di antara graduan kita yang telah berjaya menamatkan
pengajian tepat pada masa yang diberikan. Seumur hidup saya, tidak pernah saya bermimpi
untuk ke luar negara bagi menyambung pengajian. Lahir di kalangan keluarga yang sederhana,
amat mustahil bagi saya untuk melanjutkan pengajian ke luar negara dengan perbelanjaan
sendiri. Lantaran saya bukan di kalangan graduan kelas pertama, CGPA saya hanya sederhana
(3.208) adalah amat sukar untuk merebut biasiswa tajaan ke luar negara. Ramai lagi yang lebih
layak dari saya. Oleh itu, saya tidak pernah bermimpi lebih dari menyambung PhD di UPM
dengan perbelanjaan sendiri. Tambahan pula UPM juga tidak kurang hebatnya dengan
pelbagai kemudahan pembelajaran dan makmal yang baik.
74
Namun begitu, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu’. Tuhan
pencetus segala-galanya. Saya mencuba nasib dengan menghantar permohonan menjadi tutor
di UPM dan pernohonan saya diterima. Dalam tempoh 6 bulan sebagai tutor, saya telah pun
mendapat tempat menyambung pengajian PhD di sebuah universiti di Norwich, United
Kingdom. Mungkin pembaca mengatakan nasib saya sentiasa baik. Tetapi sebenarnya tidaklah
semudah yang disangka. Banyak cabaran lain yang perlu saya hadapi. Di dalam bab ini, saya
akan berkongsi pengalaman dengan anda berkenaan dengan cabaran pengajian di luar negara
dari perspektif pelajar yang belum berkeluarga seperti saya dan tip mengatasinya.
Cabaran dan tip 1: Perbezaan cuaca, gaya hidup, dan bahasa
Tidak dinafikan salah satu cabaran belajar di luar negara adalah kerana
perbezaan bahasa dan budaya. Saya mempunyai masalah untuk menerima
perbezaan ini pada awal pengajian. Semuanya kelihatan asing di mata saya, dari segi pakaian,
makanan, tempat tinggal, cuaca dan penduduk sekitarnya.
Pada awalnya sukar untuk saya membiasakan diri dengan cuaca di Norwich, United Kingdom
(UK) terutama di musim sejuk, kebanyakan harinya adalah hari tanpa matahari. Ketika pertama
kali menjejakkan kaki ke UK, saya tiba pada musim sejuk, di mana sepanjang harinya adalah
mendung dan tiada matahari sepanjang 3 bulan itu. Datang dari negara yang sentiasa disinari
matahari, hari-hari saya muram. Saya berasa tertekan dan sangat tidak bermaya. Sehinggalah
rakan membantu saya dengan membelikan lampu khas untuk saya mengatasi kemurungan
ketika musim sejuk. Saya juga diletakkan di bawah pengawasan penyelia dan pegawai
perubatan universiti bagi memulihkan kemurungan yang saya alami.
Begitu juga dengan orentasi perniagaan di luar negara. Setiap kedai di bandar tutup
pada hari Ahad. Waktu operasi perniagaan hari biasa pula hanya sehingga jam 5 petang,
sedangkan di Malaysia kita bebas membeli belah sehingga lewat malam dan pusat membeli
belah menjadi tumpuan untuk kita melepaskan tekanan setelah seharian bekerja. Bayangkan
bagaimana perasaan anda apabila melihat keadaan ini. Akhirnya saya hanya duduk di rumah,
memasak dan makan sambil menonton youtube di hadapan komputer riba. Fenomena ini biasa
dialami oleh semua pelajar yang belajar di luar negara. Malah masyarakat Eropah juga
mengakui fenomena ini. Lantaran itu mereka lebih gemar melancong ke negara-negara Asia di
mana lebih bebas untuk menikmati kehidupan.
75
Selain itu, bahasa juga merupakan salah satu cabaran ketika menuntut di luar negara.
Pada awalnya sukar juga untuk membiasakan lidah ini berbahasa Inggeris sentiasa. Tambahan
pula cara sebutan bahasa Inggeris saya tidak seperti penduduk tempatan. Ada ketikanya saya
di salah anggap sebagai biadap kerana pemilihan perkataan dan intonasi sebutan bahasa saya.
Sebagai contoh saya sukar memahami bahasa Inggeris yang dituturkan oleh orang-orang
tempatan. Oleh itu saya selalu meminta mereka mengulang semula percakapan mereka
dengan berkata ‘’What? Can you say it again”. Mungkin kerana terlalu kerap saya
menggunakan perkataan itu, saya ditegur oleh salah seorang rakan berbangsa Inggeris. Dia
mengatakan cara saya meminta mereka mengulang percakapan mereka adalah sangat kasar,
saya seharusnya berkata “Sorry, or pardon me, can you repeat”. Semenjak itu, saya sangat
berhati-hati dalam memilih perkataan yang akan saya gunakan, dan saya akan sentiasa
meminta maaf terlebih dahulu, supaya mereka memahami bahawa bahasa Inggeris bukan
bahasa ibunda saya dan kurang fasih menuturkannya.
Namun begitu, kebanyakan orang di Eropah sangat lemah lembut dan bersedia
memberi bantuan kepada anda ketika anda memerlukan. Anda hanya perlu memulakan
perbualan dengan perkatan “Excuse me” dan mereka akan terus membantu. Mereka selalu
memulakan perbualan dengan membincangkan isu cuaca. Jangan risau, lambat laun anda
akan terbiasa dengan cara percakapan mereka dan mereka juga boleh menerima anda
seadanya.
Sekiranya anda melanjutkan pengajian di luar negara, apa yang cuba saya tekankan
disini ialah pentingnya anda memahami budaya penduduk negara yang anda akan tuju agar
memudahkan anda berurusan apabila tiba di sana kelak. Dengan cara ini, ianya dapat
mengurangkan kebarangkalian anda mengalami kejutan budaya. Anda perlu membiasakan diri
dalam masa yang singkat. Memandangkan anda hanya punya masa 3 tahun untuk belajar di
sana, jadi anda perlu membiasakan diri dengan sistem dan budaya setempat di awal 3 bulan
pengajian anda. Jangan terlalu berasa murung dan tertekan. Minta bantuan rakan atau penyelia
anda bagi menyelesaikan masalah anda.
Secara amnya di seluruh universiti, mereka mempunyai kumpulan pegawai yang akan
membantu anda dalam segenap hal. Oleh itu jangan segan meminta bantuan. Selain itu, anda
76
juga harus bijak menggunakan masa terluang dengan menjadikan diri anda sibuk dengan
perkara-perkara lain seperti bersukan, meluangkan masa bersenam di gimnasium, berjalan-
jalan di taman, berkebun, memasak dan menjemput rakan-rakan untuk datang ke rumah,
bergiat aktif dengan persatuan, sentiasa solat di surau atau masjid dan banyak lagi. Dengan
cara ini anda dapat menghilangkan kebosanan yang melanda anda.
Satu lagi teknik yang biasa kami lakukan sebagai permulaan kepada perbualan dengan
masyarakat setempat di luar negara ialah melalui makanan. Saya selalu menyediakan satu
bekas nasi goreng untuk di bawa ke pejabat dan mempelawa semua rakan-rakan di pejabat
untuk merasanya. Nasi goreng amat mudah disediakan. Saya telah membuat persiapan awal
dengan membawa banyak stok rempah nasi goreng yang mudah digunakan. Namun sekiranya
anda ingin menggunakan teknik ini pastikan makanan tersebut tidak pedas dan kurang rempah
kerana masyarakat Barat tidak gemar dengan makanan yang terlalu kuat rasa dan baunya.
Ada ketikanya saya mempelawa mereka merasa karipap dan roti jala buatan saya. Oleh
kerana saya bukanlah pakar memasak, sudah tentu karipap dan roti jala saya tidaklah secantik
bentuknya di restoran Malaysia, namun sebaik rasanya masih ada itu sudah memadai. Mereka
juga tidak pernah tahu bagaimana rupa asalnya dan bagaimana rasa asalnya. Mereka
menyukainya! Anda juga boleh menggunakan teknik ini.
Cabaran dan tip 2: Berbeza budaya (panggilan nama dan cheers!)
Budaya kita sangat menitikberatkan adab apabila berhadapan dengan guru.
Kita dilarang sama sekali memanggil guru atau pensyarah kita dengan panggilan
nama. Ianya merupakan kesalahan besar dalam masyarakat kita. Namun ianya
tidak di negara-negara Eropah. Sekiranya anda berpeluang melanjutkan pengajian di negara-
negara Eropah, kami tidak memanggil penyelia dengan panggilan Doctor atau Prof (singkatan
bagi Professor), tetapi mereka dipanggil dengan nama. Penyelia saya, Prof. Andrew Lovett,
membahasakan dirinya di dalam email sebagai Andrew sahaja. Tidak ada nama jawatan di situ.
Ketika pertama kali beliau membalas email saya juga, beliau tidak menggunakan nama
jawatannya sebaliknya membahasakan diri beliau dengan nama. Biasakan diri dengan cara ini
walaupun ianya janggal di mata anda.
77
Apabila sudah terbiasa dengan panggilan ini, saya menghadapi masalah apabila pulang
berkhidmat di Malaysia. Saya tidak menyukai pelajar saya memanggil saya dengan panggilan
‘Doctor’ walhal ianya adalah budaya yang sempurna diamalkan di negara kita. Saya mula
merasakan kejanggalan dan sesekali tidak senang dengan gaya panggilan itu. Pada saya
‘Doctor’ adalah nama jawatan tetapi bukan nama saya, apabila ada orang memanggil saya
dengan panggilan yang tidak saya senangi, sedikit sebanyak saya berasa kurang selesa.
Namun begitu setelah berkhidmat selama setahun, saya mula biasa dengan panggilan tersebut.
Selain itu, saya amat keliru apabila rakan-rakan di sana menyebut “cheers” di setiap
hujung perkataan mereka. Tidak kiralah sama ada di dalam email atau di akhir perbualan.
Mungkin pengetahuan saya tentang budaya mereka amat terhad ketika itu dan saya
menganggap “cheers” itu bermaksud hanya bagi tujuan minum minuman keras. Ternyata saya
silap, perkataan “cheers” digunakan secara meluas sebagai tanda terima kasih atau tanda
persetujuan terhadap sesuatu perkara atau ianya hanya sebagai suatu ucapan. Sangat anih
bunyinya bagi saya.
Satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila pertama kali bersua
muka dengan penyelia saya. Beliau membawa saya berkenalan dengan beberapa lagi
rakannya yang berpotensi menjadi penyelia bersama saya. Kami berbincang di bilik kopi, dan
seperti biasa orang Eropah terkenal sebagai seorang budiman dan beliau menyediakan kopi
untuk saya. Alangkah malunya saya apabila saya hampir sahaja meluahkan kopi yang saya
hirup kerana beliau tidak meletakkan gula di dalam kopi tersebut. Memang begitulah cara
mereka menikmati kopi dan teh. Mereka akan menikmatinya tanpa gula! Sekiranya anda
berhadapan dengan situasi ini pastikan anda memberitahu mereka bahawa anda perlu minum
kopi bersama gula, atau untuk tidak menyinggung perasaan sesiapa ada baiknya anda
membawa minuman anda sendiri.
Satu lagi tip yang saya rasakan baik untuk diamalkan ialah dengan membawa sedikit
buah tangan dari Malaysia untuk penyelia dan rakan-rakan anda di sana. Cenderahati berupa
rantai kunci sudah memadai sebagai tanda ingatan anda terhadap mereka. Percayalah, mereka
amat menghargainya. Sepanjang pengajian saya, saya telah memperkenalkan Pewter Selangor
dan baju batik kepada mereka. Selain sebagai cenderahati, ianya juga merupakan salah satu
78
cara mempromosi Malaysia. Penyelia saya sehingga kini, masih berminat dengan batik dan
sentiasa akan mencari koleksi batik yang baharu apabila beliau datang melawat Malaysia.
Bukankah ini sesuatu yang menguntungkan kita?
Cabaran dan tip 3: Penulisan bahasa Inggeris
Seperti yang saya katakan sebelum ini, salah satu kekangan untuk pelajar
yang melanjutkan pengajian di luar negara ialah bahasa. Meskipun anda merupakan
pelajar pintar yang menguasai bahasa Inggeris di Malaysia, namun apabila anda mula menulis
dan menghantar draf tulisan anda kepada penyelia anda, mereka pasti akan menolak makalah
anda mentah-mentah dan membetulkan hampir setiap ayat anda. Begitulah adatnya, ianya
bukan bahasa ibunda kita, sudah tentu kita belum mencapai suatu piawaian yang sama seperti
mereka.
Sekiranya ini terjadi kepada anda jangan sesekali berputus asa atau mengalah atau
berasa sedih. Gunakan peluang yang ada untuk belajar dari mereka menulis makalah saintifik
dalam bahasa Inggeris yang betul. Pengalaman saya, lantaran kerana letih membetulkan
bahasa saya yang lintang pukang, penyelia saya kerap menulis di atas draf laporan saya
“PLEASE CHECK YOUR LANGGUAGE” atau “PLEASE CHECK YOUR GRAMMAR” atau “I
AM TIRED CORRECTING YOUR ENGLISH”. Beliau akan menulis dalam huruf besar dan
tulisannya ditekan ke atas kertas menandakan tahap kekecewaannya. Apabila difikirkan
semula, saya mula memahami tekanan seorang penyelia, memandangkan saya juga sedang
menyelia pelajar sarjana dan PhD dan amat memahami tekanan ketika memeriksa tesis
seorang pelajar. Bayangkan sekiranya anda punya 10 orang pelajar yang lemah bahasa
Inggeris seperti saya, dan anda perlu membetulkan draf demi draf, tentu anda dalam keadaan
tertekan. Pada awalnya memang sukar untuk saya menerima teguran sebegitu, dan saya akui
itu adalah kelemahan saya. Setelah mendapatkan tutorial khas untuk menulis dalam bahasa
Inggeris, kemahiran menulis saya bertambah baik. Meskipun tidak sempurna 100% namun
terdapat peningkatan.
79
Salah seorang penyelia bersama saya memberi cadangan agar saya membaca banyak
novel Inggeris untuk membaiki bahasa Inggeris saya. Ternyata teknik yang dicadangkan
berkesan untuk memberi kefahaman kepada saya tentang cara menulis dalam bahasa Inggeris.
Sekiranya anda berhadapan dengan masalah yang sama, saya nasihatkan agar anda tidak
berasa tertekan atau mengalah. Sebaliknya ambil setiap komen yang diberikan secara positif.
Anda boleh berasa sedih dan menangis, namun janganlah terlalu lama. Mulakan hari anda
dengan perkara-perkara yang lebih positif. Bergaullah dengan rakan-rakan yang positif agar
anda berjaya mengatasi kesedihan anda.
Tidak saya nafikan apabila penyelia memberi komen terhadap hasil kerja kita, agak
sukar untuk kita menerima hakikat bahawa hasil kerja tersebut belum mencapai standad yang
ditetapkan. Salah satu cara mengurangkan kesedihan dan tekanan ialah dengan bermain alat
muzik. Saya memang meminati muzik sejak dari kecil dan menjadi impian saya untuk bermain
piano. Universiti tempat saya belajar menawarkan kursus tutorial intensif kepada pelajar untuk
mempelajari alat muzik. Tanpa melengahkan masa, saya mendaftarkan diri ke kelas tutorial
piano dan mula belajar bermain piano.
Pada awalnya saya berpendapat bermain piano boleh menghilangkan tekanan, namun
pandangan itu meleset sama sekali! Saya merasakan bermain piano sama penatnya dengan
menulis tesis, kerana kedua-dua tangan perlu digunakan secara serentak, di samping anak
mata yang perlu mengenal pasti not muzik di buku muzik serta kaki perlu menekan bar tertentu
di bawah piano untuk mendapatkan bunyi getaran yang tertentu. Oh, sangat rumit! Tapi ianya
berkesan untuk mengajar saya menjadi seorang yang lebih tenang, penyabar dan mampu
mengawal emosi saya. Bermain piano mengajar saya menggunakan kedua-dua belah otak
saya, ia menjadikan saya berfikiran sistematik dan teratur.
Dari latihan intensif bermain piano ini, otak saya telah diajar untuk berfungsi secara
serentak dan saya mendapati kefahaman saya terhadap kajian semakin meningkat tanpa saya
sedari. Saya boleh menyelesaikan banyak masalah kajian dengan berfikir di luar kotak. Unik
dan berkesan. Anda juga boleh menggunakan teknik yang sama jika perlu.
80
Cabaran dan tip 4: Kekangan masa, kewangan dan tuntutan kerjaya
Berbalik kepada soal pengajian PhD. Sekiranya pengajian anda ditaja oleh biasiswa kerajaan
anda tidak terlepas daripada menghadapi masalah kekangan masa. Masa yang diperuntukkan
untuk pengajian PhD adalah antara 3 hingga 4 tahun. Ada yang berjaya menghabiskan masa
dalam tempoh 2 tahun sahaja, namun ada juga yang menghabiskan pengajian lebih dari 5
tahun. Segala-galanya bergantung kepada pengurusan masa anda dan di mana anda belajar.
Sepanjang pengajian 3 tahun, pelajar yang menyambung pengajian PhD menggunakan
skim tutor dan mendapat tajaan biasiswa Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan samada
Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) atau Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI) akan
dibayar gaji sepenuhnya beserta elaun sepanjang pengajian. Sebagai contoh, terdapat 3
kategori cuti belajar yang diluluskan untuk pegawai di UPM iaitu cuti belajar bergaji penuh
(CBBP), cuti belajar separuh gaji (CBSG) dan cuti belajar tanpa gaji (CBTG). Tempoh
maksimum CBBP yang diluluskan oleh pihak Jabatan Pengajian Tinggi dan UPM untuk
pengajian PhD adalah 36 bulan hingga 48 bulan bergaji penuh dengan biasiswa bergantung
kepada negara di mana anda melanjutkan pengajian. Sekiranya anda masih belum
menghabiskan pengajian dalam tempoh tersebut, anda dibenarkan untuk memohon lanjutan.
Terdapat 3 jenis lanjutan yang diluluskan bagi CBBP 36 bulan iaitu;
Lanjutan 1 – 6 bulan CBBP dan biasiswa
Lanjutan 2 – 6 bulan CBBP dan separa biasiswa
Lanjutan 3 – 6 bulan CBTG tanpa biasiswa (yuran pengajian sahaja)
Terdapat 2 lanjutan untuk CBBP 48 bulan iaitu;
Lanjutan 1 – 6 bulan CBBP dan biasiswa
Lanjutan 2 – 6 bulan CBTG tanpa biasiswa
Saya mencadangkan anda merujuk kepada garis panduan universiti di mana anda bekerja atau
garis panduan Kementerian Pelajaran. Antara kemudahan dan elaun di bawah CBBP dan
biasiswa KPT untuk pengajian luar negara ialah;
1. Gaji penuh
2. Yuran pengajian – dibayar kepada universiti berdasarkan invois yang diterima
81
3. Tambang perjalanan;
a. Pegawai dan keluarga ke tempat pengajian (kelas ekonomi, terdekat dan
termurah)
b. Pulang ke Malaysia untuk penyelidikan (tertakluk kepada kelulusan penaja)
c. Pertukaran institusi (tertakluk kepada kelulusan penaja)
4. Insurans kesihatan
5. Elaun sara hidup – kadar yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
6. Elaun penempatan
7. Elaun pakaian panas – dituntut sebelum pegawai ke luar negara atau satu bulan
selepas pulang dari luar negara
8. Elaun buku – dibayar setahun sekali
9. Elaun alat perkakas – dibayar setahun sekali
10. Elaun latihan / amali
11. Elaun bantuan keluarga
12. Elaun bantuan sewa rumah – pegawai bujang dan pegawai yang tidak membawa
keluarga tidak layak mendapatkan elaun ini
13. Elaun tesis – diluluskan kepada pegawai yang wajib membuat tesis
14. Elaun akhir pengajian
Kewajipan anda sebagai sesorang pegawai yang diberi cuti belajar dan biasiwa ialah;
a) Menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian
b) Berunding dengan dekan tentang rancangan pengajian
c) Memasuki semua peperiksaan yang ditetapkan
d) Mengemukakan laporan kemajuan pengajian setiap penggal
e) Memberitahu Pejabat pendaftar sekiranya bertukat alamat di luar negara
f) Kembali ke Malaysia dengan segera setelah tamat belajar
g) Melapor diri dengan segera sebaik sahaja tamat belajar
h) Mengemukakan bukti kepada pejabat pendaftar pegawai berkenaan telah lulus
Sebagai contoh, maklumat yang lengkap boleh anda perolehi melalui e-buku Pejabat Pendaftar
UPM di alamat website yang berikut: http://reg.upm.edu.my/ecutibelajar/.
82
Berikut adalah maklumat permohonan untuk skim SLAB/SLAI untuk mereka yang berminat
menyambung pengajian. Maklumat diperolehi dari laman web berikut;
http://www.mohe.gov.my/portal/en/antarabangsa/penajaan/117.html
PROGRAM SKIM LATIHAN AKADEMIK BUMIPUTRA (SLAB) /SKIM
LATIHAN AKADEMIK IPTA (SLAI)
OBJEKTIF Meningkatkan kualiti anggota akademik berkelayakan PhD
atau setaraf bagi mencapai 75% di Universiti Penyelidikan
(RU) dan 60% di Universiti Bukan Penyelidikan pada tahun
2015.
Merupakan sebagai salah satu strategi untuk memperkasakan
pengajian tinggi negara bagi menjadikan Malaysia sebagai
pusat pengajian tinggi serantau.
Menambahkan keperluan tenaga pengajar yang mendesak
mengikut keperluan disiplin, menyokong pelaksanaan
rancangan latihan sedia ada yang dijalankan oleh IPTA.
Meningkatkan mutu pengajaran dan pendidikan di IPTA
melalui pewujudan tenaga pengajar yang berpendidikan
tinggi.
GOLONGAN SASARAN Tutor, felo dan pensyarah di IPTA
PERINGKAT PENGAJIAN Ijazah Kedoktoran atau setaraf
TEMPAT PENGAJIAN Semua universiti dalam dan luar negara yang diiktiraf oleh
Kerajaan
IKATAN
PERJANJIAN Setiap calon mempunyai dua ikatan perjanjian iaitu bersama
IPTA selaku majikan dan KPT bagi pihak Kerajaan dan
tempoh kontrak berkuat kuasa adalah bergantung kepada
tempoh pengajian yang dibiayai oleh Kementerian.
Kedua-dua perjanjian berjalan serentak kecuali jika pegawai
mempunyai baki tempoh kontrak dari perjanjian yang
83
SYARAT terdahulu atau pemindahan kontrak dari penaja lain seperti
JPA, maka baki kontrak tersebut perlu diselesaikan terlebih
dahulu bermula dari tarikh pegawai melapor diri selepas
menamatkan pengajian.
Kegagalan disebabkan pelanggaran perjanijan, tindakan ganti
rugi akan dikenakan.
Warganegara Malaysia;
Berumur tidak lebih daripada 45 tahun untuk peringkat
pengajian Sarjana dan 43 tahun bagi peringkat PhD;
Memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan PNGK 3.0 ke atas atau
Kelas Dua Atas;
Tidak menerima sebarang bentuk penajaan dari lain-lain
penaja;
Tiada ikatan perjanjian dengan pihak-pihak lain;
Lulus Tapisan Keselamatan Kerajaan;
Permohonan diperakukan oleh pihak universiti;
Bebas dari tindakan mahkamah atau tindakan tatatertib;
Menyediakan kertas cadangan pengajian (proposal);
Syarat Tambahan Bagi Permohonan Pengajian di Luar
Negara:
Mendapat tawaran tempat pengajian dan diterima masuk ke
universiti yang mempunyai ranking atau rating yang
ditetapkan;
Mempunyai kemahiran Bahasa Inggeris sama
ada TOEFL 600 (paper based) atau 240 (computer-based)
atau 92 (internet-based) atau IELTS sekurang-kurangnya
lulus band 6.5
Lulus dengan jayanya Kursus Khas Kenegaraan anjuran Biro
Tatanegara.
84
PERMOHONAN / Anda boleh mengemukakan permohonan melalui pegawai
PERTANYAAN biasiswa / pegawai Hal Ehwal Pelajar di pusat pengajian masing-
masing.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:
Unit Skim Latihan Akademik IPTA
Bahagian Biasiswa
Kementerian Pengajian Tinggi,
Aras 2, No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5
62200 Putrajaya
Talian utama: 03 – 8870 6000
Faks : 03 – 8870 6839
Ada juga kes dimana pegawai perlu melapor diri walaupun pengajian belum tamat. Sekiranya
anda mengalami situasi ini, maklumkan kepada ketua anda akan status anda dan buat
permohonan agar anda diberi lebih ruang dan waktu untuk menyiapkan pengajian anda.
Sekiranya anda merupakan ketua jabatan ataupun dekan, diharapkan anda akan lebih
memahami situasi pegawai ini yang perlu memberi prioriti utama dalam pengajiannya. Pada
pandangan saya, tidak salah jika mereka diberi lebih masa dan ruang untuk menyiapkan tesis
yang akan memberi banyak manfaat kepada universiti di masa akan datang.
Tip 5: Mengatasi tekanan dengan pergi melancong.
Belajar sambil melancong: Faedah atau sia-sia?
Saya memang gemar melancong. Sepanjang pengajian saya selama 3 tahun di
UK, saya telah 4 kali ke Paris, 2 kali ke Barcelona Sepanyol dan banyak lagi ke tempat-tempat
lain seperti London, Egypt (Mesir), Andalusia Sepanyol, Budapest, Berlin Jerman, Munich, Oslo
Norway, Brussle, Gant, Amsterdam Belanda, Wales, Edinburgh, Nottingham, Manchester,
Birmingham, Cambridge, Greenwich, Newcastle, Copenhagen, Rome Italy, Milan Italy,
Stonehenge, Dublin, Great Yarmouth dan banyak lagi ceruk-ceruk rantau lain yang tidak dapat
saya namakan. Selain itu, sepanjang 3 tahun pengajian, saya kerap juga pulang ke tanah air,
terutama ketika saya benar-benar buntu dan putus asa dengan pengajian saya.
85
Mungkin anda tertanya-tanya bagaimana dalam kesibukan pengajian PhD, saya boleh
mengembara ke serata alam. Hakikatnya, apabila saya buntu, atau saya mula berputus asa
dengan kerja-kerja penyelidikan saya, saya perlukan rehat, atau saya perlu mengembalikan
momentum saya. Salah satu kaedah yang saya gunakan ialah pergi melancong.
Meskipun ramai rakan-rakan yang tidak bersetuju dengan kaedah ini, kerana
mengganggap ia akan melalaikan, melewatkan kerja di makmal, malah menggunakan banyak
perbelanjaan, saya mengganggap ianya sebagai sebuah pelaburan jangka masa panjang.
Tidak dinafikan dengan biasiswa tajaan anda hanya boleh memilih satu dari tiga pilihan ini iaitu;
i) tabungan wang biasiswa untuk digunakan pada masa akan datang, ii) membeli kereta mewah
dari luar negara dan di bawa pulang sehabis pengajian atau iii) melancong. Anda tidak mungkin
boleh mendapat ketiga-tiga pilihan di atas melalui biasiswa anda. Jadi saya memilih melancong.
Meskipun saya tidak mempunyai tabungan, dan saya tidak membawa pulang kereta mewah
seperti rakan-rakan yang lain, tetapi saya puas menimba ilmu melalui melancong dan ilmu inilah
yang selalu saya ceritakan kepada pelajar-pelajar saya di dalam kelas. Saya membawa mereka
mengembara bersama, dan mereka lebih berminat untuk mengetahui tempat-tempat di dunia
berbanding subjek yang saya ajar. Tetapi sudah tentu saya cuba mengaitkan pengembaran
saya ke dalam subjek yang saya ajar untuk menarik minat mereka.
Banyak yang anda boleh belajar daripada melancong. Selain dari melihat kepelbagaian
budaya dan cara hidup, anda dapat meneroka perkara baharu seperti sejarah dunia,
memahami konsep kelangsungan hidup, meneliti kemajuan dan sistem di sesebuah negara,
serta dapat membandingkan apa yang ada di negara kita dan negara orang lain. Saya bercita-
cita untuk melihat sendiri 7 perkara ajaib di dunia. Alhamdulillah, saya berjaya melihat hampir 4
daripadanya sepanjang pengajian saya.
Saya tidak mengatakan bahawa kaedah ini adalah kaedah tepat yang boleh anda
amalkan apabila berada di luar negara, namun anda boleh cuba menggunakan kaedah ini dan
lihat sendiri perubahan gaya pemikiran anda selepas mengembara. Seperti kata pepatah ‘jauh
perjalanan, luas pengalaman’. Apa yang cuba saya tekankan di sini ialah ambil masa untuk
86
berehat dan bersenang diri. PhD bukan lah segala-galanya dalam hidup anda. Anda punya
banyak tanggungjawab; kepada Allah, kepada keluarga, kepada diri anda sendiri, kepada
bangsa dan negara. Sekiranya anda menemui jalan buntu, pilihlah untuk mengembara. Inshaa
Allah di akhir pengembaraan anda, anda dapati banyak lagi perkara yang indah di luar sana
selain dari PhD anda yang perlu anda nikmati.
Izinkan saya mencedok pengalaman seorang rakan baik saya untuk dikongsikan. Beliau
sangat tekun dengan kerja-kerja di makmal, tidak keluar dari bilik kerana menelaah pelajaran,
sangat berhati-hati ketika berbelanja kerana menabung, sangat bercita-cita tinggi untuk
menghabiskan pengajian dalam masa yang ditetapkan, tidak berminat untuk meneroka perkara-
perkara lain selain dari PhD beliau. Saya suka dengan cara beliau bekerja dan hala tuju beliau
dalam hidup. Namun, apa yang saya rasa rasakan tidak betul ialah apabila beliau meninggalkan
segala-gala nikmat hidup yang lain untuk PhD. Meskipun PhD hanya merupakan proses yang
singkat iaitu 3 tahun, namun jangka hayat kita mungkin lebih pendek dari itu. Kita tidak tahu bila
kita akan meninggalkan dunia ini. Bayangkan jika anda mengabaikan anak-anak, membiarkan
ibu menangis kerinduan, melupakan tanggungjawab anda sebagai ibu atau bapa, atau
melupakan tanggungjawab anda sebagai insan di dunia dalam tempoh 3 tahun, anda
melupakan kesihatan diri anda dan tanpa diduga PhD yang diidami tidak anda perolehi.
Keredhaan ibu bapa kita juga merupakan sebahagian dari keredhaan Allah.
Apa yang terjadi kepada beliau ialah sehabis tempoh pengajian dan selepas menghadiri
viva voce, beliau hanya dianugerahkan dengan Master of philosophy bukan PhD. Hancur luluh
hati beliau. Masih terbayang wajah kecewa beliau di mata saya. Beliau tertekan, murung dan
sangat sedih ketika itu. Sebagai rakan, tidak banyak yang boleh saya bantu selain dari
mendengar rintihan dan kesedihan beliau. Dengan nada kesal beliau berkata sekiranya beliau
tahu inilah hasilnya, beliau tidak akan lupa untuk menikmati perkara-perkara lain di sepanjang
waktu pengajian yang telah dihabiskan berhempas pulas dengan buku dan makalah akademik.
Kita hanya mampu merancang, tuhan yang menentukan segala-galanya.
Oleh itu, apabila anda telah mula bergelar siswazah nanti, janganlah lupa untuk
menikmati banyak perkara-perkara lain di sepanjang pengajian anda. Ilmu tidak hanya boleh
anda dapati di perpustakaan atau pun buku. Ilmu itu ada di setiap perkara ciptaan Allah di muka
bumi ini. Terokailah ia selagi anda terdaya.
87
Oleh kerana saya suka mengembara, berikut saya senaraikan beberapa tip untuk anda
yang boleh digunakan ketika anda melancong.
i. Sentiasa peka tentang keadaan cuaca dan keselamatan negara yang ingin anda
kunjungi. Sekiranya cuaca tidak menentu seperti ribut salji atau negara tidak selamat
seperti rusuhan, tangguhkan perjalanan anda. Anda boleh menukar tarikh penerbangan
ke suatu tarikh yang lain melalui sistem online syarikat penerbangan yang telah anda
pilih dengan bayaran yang munasabah. Namun pastikan anda membuat perubahan dua
minggu sebelum tarikh penerbangan kerana banyak penerbangan tidak menerima
perubahan kurang dari tempoh tersebut.
ii. Maklumat cuaca adalah penting untuk anda memilih pakaian yang sesuai. Saya hampir
pengsan menahan kesejukan apabila mengenakan kasut yang tidak kalis kair ketika
musim salji di Oslo Norway. Kasut yang saya gunakan hanyalah kasut sukan biasa yang
menyerap air. Kaki dan stokin saya basah kerana ais yang mencair. Oleh kerana cuaca
yang sangat sejuk hingga ke -6oC, kaki saya kejang sepanjang perjalanan saya balik ke
hotel. Sakitnya yang teramat sangat. Awas jika anda ke tempat yang sangat sejuk
pastikan jaket serta kasut yang digunakan adalah yang sesuai kerana anda boleh
mengalami hipotermia yang boleh mengancam nyawa anda.
iii. Dapatkan maklumat awal tentang negara yang ingin anda kunjungi. Baca setiap blog
atau laman web yang berkenaan dengan tempat tersebut. Sebagai contoh Barcelona
terkenal dengan ‘pick-pocket’. Sekiranya anda ke sana, pastikan anda tidak
menggunakan beg sandang tepi atau beg sandang belakang. Halakan poket beg ke
dada anda atau di hadapan anda sentiasa. Dapatkan tip-tip ini dari blog individu yang
pernah melawat ke tempat tersebut.
iv. Simpan nombor telefon penting seperti kedutaan Malaysia atau polis negara yang ingin
anda lawati. Sekurang-kurangnya anda tahu dalam keadaan kecemasan siapa yang
perlu anda rujuk.
88
v. Maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan akan setiap rancangan perjalanan anda.
Berikan maklumat yang lengkap seperti tarikh penerbangan pergi dan balik. Ini bagi
membolehkan mereka mengesan anda sekiranya anda terkandas di negara yang anda
lawati.
vi. Pastikan kad kredit anda aktif, atau kad ATM bank anda boleh mengeluarkan duit di
seluruh dunia. Tidak mustahil untuk berbuat perkara ini. Hanya perlu ke bank dan minta
pegawai di sana untuk membuatnya. Ini adalah bagi tujuan kecemasan apabila wang
anda hilang ketika anda melancong. Pastikan kad ATM atau kad kredit di simpan di
tempat berasingan yang sukar untuk hilang seperti di dalam kocek baju di bahagian
dada.
vii. ‘Roaming’ telefon anda. Dengan cara ini anda dapat memaklumkan kepada rakan-rakan
untuk mendapatkan bantuan ketika kecemasan.
viii. Rancang perjalanan anda. Di luar negara, tiket penerbangan dan tiket-tiket lain lebih
murah dibeli secara online berbanding dengan anda membelinya di kaunter. Bukan itu
sahaja anda boleh menjimatkan masa dari beratur panjang. Apabila saya menyatakan
beratur panjang, ianya adalah SANGAT PANJANG! dan anda boleh letih beratur untuk
mendapatkan tiket anda. Pembelian tiket secara online bukan sahaja menjimatkan masa
tetapi juga boleh mendapat diskaun.
ix. Apabila anda melawat kota besar seperti London, dan perlu menggunakan keretapi
bawah tanah atau ‘tube’, pilihlah untuk membeli kad ‘oyster’. Kad ini adalah seperti kad
‘touch and Go’ yang mana hanya perlu ditambah nilai dan anda tidak perlu beratur
panjang untuk membeli tiket. Pastikan anda menaiki ‘tube’ yang betul dan stesen anda
adalah tepat. Dapatkan informasi di kaunter dengan mengambil peta ‘tube’. Percayalah,
anda perlu mahir membaca peta ini kerana kelancaran perjalanan anda bergantung
dengan kefahaman anda memilih ‘tube’. Sekiranya anda sesat tanyalah pada mereka
yang berada di situ. Malu bertanya sesat jalan.
x. Makanan halal sukar untuk anda dapati di sesetengah negara. Oleh itu, bawalah sedikit
makanan kering seperti serunding atau pun bekalan meggi. Ini membolehkan anda
89
bertahan sebelum dapat mencari makanan halal. Sekiranya keadaan mendesak anda
boleh memilih untuk makan makanan vegetarian ataupun makanan laut.
xi. Anda boleh berjimat ketika melancong dengan memilih untuk duduk di hostel. Selalunya
hostel menyediakan bilik untuk 10 atau 20 orang. Bawa mangga untuk anda kunci beg
serta loker yang disediakan. Ini bagi memastikan loker anda tidak boleh dibuka serta
beg anda tidak boleh digeledah.
xii. Anda juga boleh berjimat ketika memilih tiket penerbangan dengan tidak memilih untuk
membeli ‘luggage’. Namun, anda perlu pastikan beg sandang yang di bawa ke kabin
kapal terbang tidak terlalu besar dan tidak melebihi 7 kg. Di sesetengah syarikat
penerbangan dan lapangan terbang, mereka amat menitikberatkan saiz beg serta berat
beg yang boleh dibawa ke atas kabin. Sekiranya anda tidak boleh mengangkat beg
anda melebihi paras bahu, ianya adalah melebihi 7 kg dan anda perlu membeli ruangan
‘luggage’.
xiii. Bawa bersama bekalan ubatan ketika anda melancong sekiranya anda sensitif terhadap
debu ataupun makanan. Saya pernah mengalami kerengsaan kulit akibat ‘pollen’ atau
debunga ketika melancong dan saya terlupa membawa pil anti-histamin. Sekiranya anda
juga terlupa, pastikan anda mencari farmasi yang berdekatan dengan hotel anda.
xiv. Ambil tahu beberapa perkataan penting untuk membantu anda memahami sistem di
sesebuah negara seperti ‘sorte’ bermaksud ‘exit’. Ini adalah perkataan paling utama
yang perlu anda tahu kerana ianya menuju ke jalan keluar apabila melancong di
Perancis.
xv. Setibanya anda di tempat kunjungan anda, cari kaunter informasi dan dapatkan
informasi berkenan dengan bas ‘hop on-hop off’. Ini adalah cara mudah dan jimat untuk
anda mengembara kerana bas ini akan menceritakan kepada anda tentang sejarah
sesebuah tempat dan anda boleh berhenti di setiap stesen yang disediakan untuk
mengambil gambar atau melawatnya. Sekiranya anda ingin mengambil gambar yang
lebih jelas, pastikan anda duduk di bahagian atas bas yang selalunya tidak berbumbung.
Namun sekiranya anda melancong ke Barcelona pada musim kering, atau musim
90
panas, jangan terlalu terdedah kepada cuaca panasnya kerana ia boleh menjejaskan
kesihatan anda. Dengan menggunakan perkhidmatan ini anda menjimatkan masa
perjalanan dan kunjungan anda akan lebih teratur. Simpan tiket bas ini kerana anda
boleh mendapat diskaun untuk tiket seterusnya sekiranya anda melancong ke bandar-
bandar lain dan menggunakan perkhidmatan bas dari syarikat yang sama.
91
BAB 9
Cabaran Pengajian PhD di
dalam negara
Oleh: Sarva Mangala Praveena
Cabaran dan tip 1: Kekangan kewangan
Pengajian PhD di dalam negara mempunyai pelbagai cabaran yang tersendiri.
Walaupun cabaran tersebut tidaklah seteruk cabaran di luar negara, namun para
pelajar harus bijak menangani semua cabaran ini untuk memiliki segulung PhD.
Dari segi kewangan, tidak dinafikan pada masa sekarang (2010-2013) terdapat pelbagai
peluang untuk pelajar memohon biasiswa di Malaysia. Namun pada beberapa tahun lalu (2005-
2008) bilangan biasiswa yang ditawarkan adalah amat terhad. Begitu juga dengan projek
penyelidikan dan geran penyelidikan. Pada masa saya menyambung pengajian peringkat
Sarjana (2005-2007), saya bekerja sebagai demonstrator untuk subjek penyelia saya. Saya
akan membantu beliau di dalam kelas amali.
92
Bertugas sebagai demonstrator telah banyak mengajar saya berkenaan analisis alam sekitar.
Namun demikian, gaji setiap bulan hanyalah RM300 yang hanya akan dibayar setelah 4 bulan
bekerja. Bayangkan bagaimana keadaan saya ketika itu. Saya pernah hidup dengan RM 0.50
selama 2 hari dan akan makan maggi setiap malam. Seorang kakak pembantu makmal yang
rapat dengan saya berkongsi makanan tengaharinya dengan saya. Sememangnya saya tidak
akan melupakan jasa kakak itu sehingga sekarang.
Setelah 5 bulan menyambung pengajian peringkat Sarjana, saya telah berjaya mendapat
biasiswa YTL. Biasiswa tersebut akan menampung yuran pengajian serta duit elaun sebanyak
RM800. Walaupun elaun tersebut tidak mengcukupi, namun ia tidak mematahkan semangat
saya untuk menyambung pelajaran saya pada masa itu. Untuk mengurangkan perbelanjaan,
saya akan berjalan kaki lebih kurang 4 km untuk menjimatkan duit bas RM 1.60 serta makan
mee maggi setiap malam.
Pada masa yang sama, saya juga menghantar duit kepada adik-adik saya di kampung. Antara
perkara yang paling tidak dapat saya lupakan ialah, saya hanya mempunyai 5 helai baju
kemeja, 1 helai jeans dan satu seluar hitam yang saya gunakan sepanjang pengajian peringkat
Sarjana. Projek penyelidikan saya juga tidak mendapat geran penyelidikan. Oleh itu, saya
hanya menggunakan RM 3000 duit penyelia saya dan menanggung sendiri kos persampelan
sedimen di tanah paya bakau.
Semua kesusahan ini telah mengajar saya pelbagai nikmat hidup. Saya juga mempunyai
seorang kawan baik yang akan meminjamkan duit sekiranya saya mendapat elaun lambat pada
bulan-bulan yang tertentu. Namun demikian semasa menyambungkan pelajaran di peringkat
PhD (2008-2011), terdapat pelbagai pihak yang memberikan biasiswa termasuk MOSTI serta
badan swasta. Geran penyelidikan juga ditawarkan oleh pelbagai pihak. Saya bernasib baik di
peringkat PhD kerana projek saya mendapat geran dari pihak MOSTI termasuk dengan
bayaran pembantu penyelidik. Bayaran yang lumayan ini amat memberikan saya semangat
untuk berkerja lebih keras. Sehingga sekarang, kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang
untuk memohon geran penyelidikan. Universiti penyelidikan seperti UPM juga mempunyai
biasiswa khas untuk para pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka di peringkat
pascasiswazah. Keadaan ini amat berlainan dengan tahun-tahun saya menyambung pengajian
(2002 sehingga 2007) di mana sukar untuk mencari biasiswa serta geran penyelidikan di
Malaysia.
93
Cabaran dan tip 2: Cuti
Negara kita mempunyai bilangan cuti yang banyak. Cuti yang banyak ini
mempunyai kelebihan serta kekurangannya yang tersendiri. Namun demikian bagi
seorang pelajar pascasiswazah di peringkat PhD, anda harus bijak dalam pembahagian masa
anda. Pilihlah bilangan cuti yang cukup setelah menyiapkan kerja mengikuti Gantt Chart yang
telah dirancang. Seboleh-bolehnya, ambillah cuti selepas menyiapkan tugasan yang diberikan.
Berdasarkan dari pengalaman saya, saya akan menyiapkan beberapa bab dalam tesis atau
makalah journal dan dihantar kepada penyelia untuk disemak sebelum saya bercuti. Sekurang-
kurangnya ia merupakan suatu motivasi untuk anda menyiapkan tesis anda serta bukti kukuh
untuk penyelia anda bersetuju dan membenarkan anda bercuti.
Cabaran dan tip 3: Pengurusan masa
Menurut seorang pensyarah di UKM yang pernah memberikan ceramah
mengenai pengurusan masa di kalangan pelajar pascasiswazah, seorang pelajar
siswazah perlu meluangkan masa lebih dari 45 jam untuk membuat analisis makmal,
pembacaan serta penulisan tesis ataupun makalah. Di dalam semester pertama, seorang
pelajar PhD harus memahami proposalnya dengan lebih mendalam, mengambil kesempatan
untuk menghadiri bengkel atau seminar berkaitan dengan penyelidikan atau penulisan. Ia amat
berguna untuk membantu dalam membangunkan pendekatan cara belajar di peringkat
penyelidikan dan merancang pendekatan untuk belajar. Walaupun ramai yang menganggap
semester pertama PhD tidak berat, saya ingin tekankan di sini bahawa semester ini adalah
penting dalam memahami semua perkara asas projek penyelidikan anda, memahami proposal
anda dan belajar sebanyak yang mungkin. Ia boleh dicapai dengan pengurusan masa yang baik
dan displin diri yang tinggi.
94