The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hazlie.muhamad, 2024-02-28 01:15:57

Buku POWER oleh AKPK

Buku POWER oleh AKPK

Diterbitkan oleh:


Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Aras 8, Maju Junction Mall 1001, Jalan Sultan Ismail 50250 Kuala Lumpur Faks : 03-2616 7601 E-mel: [email protected] © AKPK Edisi Pertama 2011 Hak cipta buku ini adalah milik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Buku ini atau mana-mana bahagiannya boleh diterbitkan semula, diterjemahkan atau dipindahkan dalam apa jua bentuk dengan mendapat izin bertulis terlebih dahulu daripada AKPK dan hanya untuk tujuan pendidikan. Tiada sebarang bentuk keuntungan kewangan boleh diperoleh, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung daripada penerbitan semula seperti di atas. ISBN 978-983-44004-3-9 Penafian: Maklumat yang terkandung di dalam buku ini bertujuan untuk pendidikan sematamata. Maklumat tersebut bukanlah pengganti kepada nasihat atau saranan yang mungkin anda terima daripada penasihat kewangan profesional. Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menafikan sebarang liabiliti kepada mana-mana pihak yang menggunakan maklumat di dalam buku ini sebagai asas untuk membuat sebarang keputusan atau tindakan. Walaupun segala usaha telah dibuat untuk memastikan ketepatan maklumat di dalam buku ini, AKPK mengharapkan pemahaman anda sekiranya terdapat sebarang kesilapan atau kekurangan. Nama dan maklumat individu yang terkandung di dalam kisah benar telah diubah bagi melindungi identiti mereka.


Bab 1 Cash Flow Management Bab 1 PENGURUSAN ALIRAN TUNAI


2 Mengurus wang tunai adalah penting untuk memastikan bahawa anda mempunyai kawalan penuh ke atas kewangan anda. Wang tunai merupakan alat pertukaran untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan, oleh yang demikian anda perlu terlebih dahulu memahami tabiat mengurus wang anda sebelum mula berbelanja. Adakah anda selalu kehabisan wang sebelum hujung bulan? Atau anda mempunyai lebihan wang di dalam akaun? Tidak kira apa jua jawapannya, langkah pertama ini merupakan penilaian realistik yang akan membantu anda membuat analisis jumlah pendapatan yang diterima berbanding dengan perbelanjaan. Konsep mudah ini disebut pengurusan aliran tunai. Menganalisis aliran tunai anda boleh memberi gambaran tentang tahap pendapatan, tabiat perbelanjaan dan keperluan gaya hidup anda. Untuk memahami maksud aliran tunai dengan lebih lanjut, marilah kita terlebih dahulu belajar serba sedikit tentang pengurusan aliran tunai.


3 APAKAH ITU PENGURusan ALIRAN TUNAI? Pengurusan aliran tunai ialah proses memantau, menganalisis serta menyelaraskan aliran tunai peribadi anda. Aliran tunai mengandungi dua komponen utama; pendapatan (aliran masuk) dan perbelanjaan (aliran keluar). Pendapatan atau aliran masuk tunai anda merangkumi pendapatan aktif dan pendapatan pasif. Pendapatan aktif Adalah hasil daripada pekerjaan atau usaha niaga anda. Sebaik sahaja anda berhenti bekerja atau berniaga, pendapatan aktif anda akan turut terhenti. Contoh pendapatan aktif termasuk gaji dan hasil keuntungan perniagaan Pendapatan pasif Diperoleh daripada simpanan atau pelaburan. Pendapatan pasif tidak mengambil kira status pekerjaan anda. Contoh pendapatan pasif termasuk faedah atau keuntungan, sewa, dividen dan juga royalti


4 Aliran keluar tunai sebaliknya, terdiri daripada perbelanjaan tetap, perbelanjaan yang berubah-ubah dan perbelanjaan budi bicara. Dengan memahami aliran masuk dan aliran keluar tunai, marilah kita seterusnya mempelajari cara menggunakan penyata aliran tunai. Perbelanjaan tetap Adalah perbelanjaan yang tidak berubah. Perbelanjaan ini biasanya adalah perbelanjaan keperluan hidup dengan jumlah yang sama dibelanjakan setiap bulan. Antara contoh perbelanjaan tetap ialah bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan sewa beli, sewa rumah, premium insurans dan upah bayaran pengasuh anak anda Perbelanjaan yang berubahubah Adalah perbelanjaan yang jumlahnya tidak tetap. Sama seperti perbelanjaan tetap, perbelanjaan yang berubah-ubah lazimnya adalah untuk perbelanjaan keperluan hidup. Contoh perbelanjaan ini termasuk makanan, pakaian, bil utiliti dan barangan keperluan rumah yang penting Perbelanjaan budi bicara Adalah perbelanjaan mengikut keinginan anda. Sebahagian besar perbelanjaan budi bicara bukanlah untuk keperluan hidup tetapi sesuatu yang boleh memberi keseronokan kepada anda. Contoh perbelanjaan budi bicara termasuk makan di luar, pakaian berjenama/mahal, penyaman udara, langganan TV satelit, hiburan dan barangan keperluan rumah yang tidak penting


5 Apa itu penyata aliran tunai? Penyata aliran tunai menunjukkan semua pendapatan (aliran masuk tunai) dan perbelanjaan (aliran keluar tunai) dalam tempoh tertentu. Penyata aliran tunai merupakan alat asas untuk menyemak tahap kesihatan kewangan dan menilai kedudukan kewangan anda. Pengurusan aliran tunai yang baik akan memastikan anda selalu mempunyai pendapatan yang cukup untuk membayar semua perbelanjaan anda. Ia juga akan menempatkan diri anda di tahap kedudukan kewangan yang selesa. Apakah kedudukan wang tunai anda? Jika pendapatan anda lebih daripada perbelanjaan, kedudukan wang tunai anda berada pada tahap lebihan (positif). Sebaliknya, jika perbelanjaan anda lebih daripada pendapatan, keadaan ini disebut defisit (negatif). Jumlah Wang Masuk > Jumlah Wang Keluar = LEBIHAN TUNAI SYABAS! TERUSKAN USAHA ANDA Jumlah Wang Keluar > Jumlah Wang Masuk = DEFISIT TUNAI KAJI SEMULA CORAK PERBELANJAAN ANDA Apabila kedudukan wang tunai berada dalam keadaan defisit, besar kemungkinan anda perlu meminjam wang untuk membiayai perbelanjaan anda seterusnya. Jika anda telah membelanjakan kesemua pendapatan anda, ini tidak bermakna kedudukan wang tunai anda adalah baik. Apabila anda membelanjakan kesemua pendapatan, sebenarnya anda tidak mempunyai sebarang simpanan untuk tujuan kecemasan. Cuba bayangkan, apakah yang akan terjadi kepada kedudukan wang tunai anda sekiranya anda diberhentikan kerja atau tidak berupaya bekerja lagi?


6 Sekiranya anda mahu berada di dalam kedudukan wang tunai yang selesa, anda perlu mempunyai lebihan wang tunai pada setiap masa. Wang tunai lebihan ini bukan sekadar membolehkan anda menabung untuk perbelanjaan yang tidak diduga, malah ianya juga boleh digunakan untuk tujuan pelaburan. Dengan cara ini, anda akan mencapai matlamat kewangan dengan lebih cepat. Jadi bagaimanakah caranya untuk menguruskan aliran tunai supaya kedudukan wang tunai anda berada ditahap lebihan? Salah satu kaedah paling berkesan adalah melalui penyediaan bajet. APA ITU BAJET? Bajet adalah suatu pelan mengurus aliran tunai dan digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan anda di masa hadapan. Secara ringkas, bajet menyenaraikan semua aliran masuk tunai dan aliran keluar tunai yang dijangkakan untuk membantu anda membuat keputusan kewangan secara berhemat. Kenapa anda perlukan bajet? Berapa kalikah anda telah membuat pengeluaran daripada mesin ATM tanpa menyedari bahawa anda telah menggunakan kesemua wang anda dalam tempoh sehari dua? Lazimnya agak sukar untuk kita mengingat kembali ke manakah wang itu dibelanjakan. Kebiasaannya ramai orang tidak menjejaki perbelanjaan dan berbelanja lebih daripada pendapatan mereka. Itulah sebabnya bajet adalah penting. Kelebihan mempunyai bajet • Hidup mengikut kemampuan • Memupuk tabiat menabung • Menabung untuk kecemasan kewangan • Menambah nilai harta bersih


7 Hidup mengikut kemampuan Keperluan dan kehendak Ingat, bajet adalah berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan. Oleh sebab pendapatan dan perbelanjaan berbeza mengikut individu, maka bajet anda seharusnya berasaskan kepada keperluan dan kehendak anda. Jadi, bagaimanakah caranya anda membezakan antara keperluan dan kehendak? Keperluan adalah sesuatu yang anda perlu ada dan tidak boleh hidup tanpanya. Sementara kehendak pula adalah sesuatu yang anda inginkan tetapi tidak semestinya perlu. Berikut adalah beberapa contoh barangan keperluan dan kehendak: KEPERLUAN KEHENDAK Makanan Makan di restoran mewah Tempat tinggal Banglo mewah Pakaian Pakaian berjenama Masa berkualiti dengan Percutian di luar negara keluarga Kereta / Motosikal Kereta mewah Telefon bimbit Telefon bimbit canggih Komputer Komputer canggih Apabila masa beredar, mungkin keperluan asas anda juga turut berubah dan bukan lagi setakat makan minum, tempat tinggal dan pakaian sahaja. Kehendak seseorang pada hari ini mungkin akan menjadi keperluan baginya di hari esok.


8 Sebagai contoh, telefon bimbit bukanlah suatu keperluan bagi seorang individu pada 20 tahun yang lalu. Sebaliknya, di dunia moden hari ini, telefon bimbit dianggap sebagai suatu keperluan dan bukan lagi suatu kehendak. Namun, apabila anda memilih telefon bimbit yang mahal dengan ciri terkini, anda sebenarnya menjadikan keperluan ini kepada kehendak. Segala keputusan yang dibuat antara keperluan dan kehendak akan memberi kesan yang ketara terhadap perbelanjaan anda. Menangguhkan kehendak Menangguhkan kehendak bermaksud menangguhkan keinginan anda ke suatu masa yang lain. Setiap kali anda ingin membeli sesuatu, terutama jika ianya suatu kehendak, fikirkan terlebih dahulu sama ada kehendak tersebut ada di dalam bajet anda. Hidup mengikut kemampuan memerlukan anda belajar mengatakan tidak kepada suatu perbelanjaan yang tidak diperlukan. Cari pengganti lain bagi keperluan dan kehendak anda, terutamanya jika ia di luar bajet anda. Pernahkah anda terfikir soalan berikut sebelum anda berbelanja? • Daripada membeli kereta, kenapa tidak sahaja gunakan pengangkutan awam? • Jika anda betul-betul memerlukan sebuah kereta, bolehkah anda pertimbangkan untuk membeli kereta terpakai? • Jika anda memerlukan telefon bimbit atau komputer, adakah jenis biasa memadai? • Sekiranya anda inginkan pakaian berjenama, bolehkah anda menggantikannya dengan pakaian berkualiti yang lain pada harga yang lebih berpatutan?


9 Bajet anda perlu realistik dan sesuai dengan kedudukan pendapatan dan keperluan perbelanjaan. Hidup mengikut bajet tidak bermakna anda terpaksa mengorbankan segala kemewahan. Anda cuma perlu merancang dengan lebih baik dan mengubah persepsi dan tabiat berbelanja anda. Berbelanja dengan bijak Kunci kepada bajet yang berjaya adalah berbelanja kurang daripada apa yang anda peroleh. Apabila anda terdesak ingin membeli sesuatu, tunggu seketika dan tanya diri anda soalan berikut: • Adakah saya mampu membelinya? • Adakah saya memerlukannya? • Adakah terdapat yang lebih murah? • Bolehkah saya menangguhkan pembeliannya?


10 MASA • Rancang pembelian untuk mengelakkan keluar berkali-kali hanya untuk membeli beberapa barangan • Gunakan sumber yang ada sebaik-baiknya, termasuk menjimatkan petrol dan masa • Elakkan daripada membeli-belah pada saat akhir • Beli dan simpan barang keperluan utama supaya anda dapat mengelakkan kenaikan harga ketika musim perayaan SENARAIKAN • Sentiasa senaraikan barang yang hendak dibeli • Elak daripada membeli barangan yang tidak diperlukan • Pastikan anda hanya membeli mengikut bajet anda BUAT PERBANDINGAN • Bandingkan harga sebelum membeli sesuatu barangan • Simpan ‘buku senarai harga’ untuk menjejak harga barangan yang kerap dibeli Tip BERBELANJA DENGAN BIJAK


11 Ghairah hidup mewah Usia : 33 tahun Pekerjaan : Doktor Perubatan Status Perkahwinan : Bujang Dr Azam seorang lelaki muda dan berjaya. Pada umur 33 tahun, dia hampir memiliki kesemuanya: 2 buah kereta mewah, tinggal di kondominium dan mempunyai kerjaya yang membanggakan. Dr Azam merasakan dia berhak memiliki gaya hidup serba mewah kerana telah bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi seorang doktor pakar. Dia yakin mampu membeli apa sahaja yang diinginkan. Dr Azam terlalu banyak bergantung kepada kad kreditnya dan dia juga mempunyai cita rasa yang tinggi. Dia berasa ghairah apabila mendapat perhatian orang lain terutamanya apabila memakai kasut mahal dan sut berjenama yang ditempah khas. Dr Azam berpendapat bahawa dengan gaji 5 angka sebagai doktor pakar dia tidak perlu bimbang tentang masa depannya. Begitu juga, dia juga tidak perlu risau tentang kedudukan aliran tunainya yang lemah dan hanya mempunyai tabungan yang sedikit. Apa yang penting ialah keseronokan serta-merta dengan membeli semua kehendaknya dengan menggunakan 5 kad kredit yang dimilikinya. Dr Azam tidak mempunyai bajet untuk menjejak aliran tunainya. Lamakelamaan, dia tidak mampu membayar ansuran 2 buah keretanya dan hampir tidak dapat membuat bayaran minimum untuk semua kad kreditnya. Keadaan semakin meruncing apabila sewa kondominium juga tertunggak selama 3 bulan. Berhadapan dengan tindakan pengusiran, Dr Azam didesak semua pemiutang supaya membayar hutang mereka dengan segera. Akibat tertunggak lama, salah sebuah keretanya juga ditarik oleh pihak bank. Tanpa disedari, Dr Azam dibelenggu hutang sekeliling pinggang dengan hutang kad kredit sahaja yang sudah mencecah RM120,000. Oleh sebab takut akan diisytiharkan bankrap, dia telah mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan AKPK.


12 • Menabung sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda • Menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto-debit atau cara lain sepertinya • Tetapkan matlamat yang bermakna dan penting untuk menggalakkan diri anda menabung. Anda boleh menetapkan matlamat jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang • Selepas menabung 10% daripada pendapatan anda, cabar diri anda untuk meningkatkan jumlah tabungan secara beransur-ansur 1 2 3 MEMUPUK TABIAT MENABUNG Bajet juga boleh membantu anda memupuk tabiat menabung. Tanpa pelan tabungan yang teratur, adalah sukar untuk mencapai matlamat kewangan anda seperti membeli rumah atau kereta, melanjutkan pelajaran atau membina dana persaraan. Adalah dicadangkan anda menabung sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan bulanan anda. Malah, lebih baik jika anda boleh meningkatkan tabungan kepada 15% hingga 20% kerana anda akan mempunyai lebih banyak wang untuk masa depan. memupuk tabiat menabung Menabung sebelum berbelanja Jadikan tabiat menabung suatu cabaran Panduan Dorong diri anda dengan menetapkan matlamat kewangan


13 • Setiap kali anda menerima wang seperti bonus atau hadiah wang tunai, masukkan sebahagian wang itu ke dalam akaun simpanan anda • Jika anda menerima kenaikan gaji, tingkatkan jumlah tabungan bulanan anda 4 Simpan sebahagian ‘Durian Runtuh’ Menabung untuk kecemasan kewangan Dalam kehidupan seharian, kadangkala kejadian tidak diduga atau kecemasan boleh menyebabkan anda hilang keupayaan untuk mencari pendapatan. Malah ada kalanya anda mungkin memerlukan jumlah wang yang banyak dalam masa yang singkat untuk menangani masalah tersebut. Lazimnya, tabungan kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan sekiranya anda kehilangan pekerjaan atau mengalami masalah kesihatan serius dengan tiba-tiba ataupun akibat kos membaiki kerosakan rumah atau kereta. Jika anda atau pasangan kehilangan pekerjaan, semua bil masih perlu dibayar! Dalam keadaan begini, adalah penting bagi anda mempunyai tabungan untuk menanganinya. Sebagai panduan, anda perlu mempunyai simpanan yang boleh menampung perbelanjaan asas anda selama 3 hingga 6 bulan. Keadaan akan bertambah buruk jika anda perlu meminjam untuk mengatasi masalah yang timbul itu. Selain menabung untuk tujuan kecemasan, bajet juga boleh membantu anda menabung untuk pembelian barangan atau perkhidmatan yang bernilai besar sambil mempertingkatkan nilai harta bersih anda.


14 MENAMBAH NILAI HARTA BERSIH Penyata nilai harta bersih merupakan kad skor kewangan anda yang lazimnya boleh digunakan untuk menilai kedudukan kewangan anda. Ini boleh menjadi titik rujuk semasa membuat sebarang keputusan berkaitan kewangan dan melaporkan harta yang anda miliki (aset) dan tanggungan hutang (liabiliti) anda. Aset termasuk wang tunai, tabungan, hartanah, amanah saham dan saham syarikat, manakala liabiliti pula merangkumi kesemua jenis pinjaman, sama ada hutang bank (termasuk hutang kad kredit), hutang keluarga atau kawan dan pembayaran sewa rumah serta bil utiliti. Nilai harta bersih anda boleh ditingkatkan dengan menjejak perbelanjaan melalui penggunaan bajet. Bajet boleh membantu mengawal perbelanjaan anda. Justeru ia membolehkan anda melabur dan mengumpul aset untuk meningkatkan nilai harta bersih anda. Jadi, kunci untuk meningkatkan nilai harta bersih ialah dengan mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan tabungan.


15 Cara mengira nilai harta bersih anda Langkah 1 – Senaraikan barangan bernilai yang anda miliki Langkah 2 – Jumlahkan aset anda Langkah 4 – Jumlahkan liabiliti anda Langkah 3 – Senaraikan hutang anda dengan orang lain Langkah 5 – Aset tolak liabiliti Sekiranya jawapannya adalah positif, tahniah! Anda harus merancang cara menambahkan nilai harta bersih anda. Jika jawapannya negatif, jangan kecewa kerana anda masih boleh mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki keadaan anda Wang tunai dan yang seumpamanya seperti akaun simpanan tetap dan deposit tetap Pelaburan seperti saham, bon dan dana amanah saham Dana persaraan seperti KSWP dan akaun persaraan peribadi Hartanah seperti rumah, pangsapuri dan tanah Pinjaman termasuk pinjaman pendidikan, pinjaman bank dan pinjaman lain Kepunyaan peribadi yang boleh dijual seperti barangan kemas, jongkong emas, hasil seni dan barangan antik Hutang kepada saudara mara, kawan dan orang lain Baki bayaran ansuran bagi barangan pengguna seperti perabot dan televisyen Cukai perlu dibayar seperti cukai hartanah dan cukai pendapatan Baki kad kredit


16 S e t e l a h m e n g e t a h u i m a n f a a t menyediakan bajet, sekarang anda sudah bersedia untuk membuat bajet sendiri. Semuanya dapat dilakukan melalui 3 langkah mudah berikut: 1. Senaraikan semua sumber pendapatan anda • Catatkan gaji bersih selepas ditolak potongan KWSP, cukai dan PERKESO 2. Senaraikan semua perbelanjaan anda • Bahagikan perbelanjaan kepada 3 kategori - tetap, berubah-ubah dan berdasarkan budi bicara • Simpan 10% daripada jumlah pendapatan anda sebelum berbelanja 3. Tentukan kedudukan aliran tunai bersih anda • Jika ada lebihan, syabas! Pastikan bajet anda mengikut perbelanjaan anda yang sebenar • Jika terdapat defisit, semak semula bajet anda dengan mengurangkan perbelanjaan budi bicara sehingga kedudukan aliran tunai menjadi positif • Sebaiknya anda mempunyai lebihan wang untuk membina dana kecemasan Bagaimana menyediakan bajet?


17 Seperti yang anda boleh lihat, bukannya sukar untuk menyediakan bajet. Walau bagaimanapun, untuk memelihara dan mematuhi bajet dengan baik, anda perlu korbankan sedikit masa dan usaha. Untuk menyediakan bajet yang terurus, anda perlu juga mengambil pendekatan yang lebih realistik dan fleksibel. Jika anda berpendapatan sederhana, adalah sukar untuk anda menabung dengan banyak dalam tempoh yang singkat. Di samping itu, adakalanya anda perlu juga mengkaji semula bajet apabila timbulnya perbelanjaan yang tidak diduga atau apabila terdapat perubahan dalam harga semasa barangan dan perkhidmatan. Apabila anda berada dalam kedudukan kewangan yang baik dengan mempunyai lebihan aliran tunai, maka anda sudah bersedia untuk membuat pelaburan. Ada banyak jenis pelaburan, termasuk hartanah, saham, bon dan sebagainya. Pulangan atas pelaburan berubah-ubah mengikut risiko yang berkaitan dengannya. Oleh yang demikian, pelabur harus sedar tentang tahap risiko yang boleh diambil sebelum membuat sebarang pelaburan. • Melabur hanya dalam produk yang anda ketahui • Buat kajian dan pastikan anda memahami risiko yang terlibat • Kata pepatah ‘Jangan letakkan semua telur dalam satu bakul’. Ingat, kunci kejayaan dalam mengurangkan risiko pelaburan ialah dengan melabur wang anda di dalam pelbagai instrumen pelaburan PENYELEWENGAN KEWANGAN Setiap kali anda melabur wang hasil titik peluh, anda haruslah berwaspada terhadap skim cepat kaya. Selalunya skim ini menjanjikan pulangan yang tinggi dengan risiko yang rendah atau tanpa risiko. Skim cepat kaya sering kali dipromosikan melalui pelbagai saluran media seperti internet dan sistem pesanan ringkas (sms). Sekiranya anda berhadapan dengan skim seperti ini, anda perlu lebih berhati-hati. Jika skim tersebut nampak terlalu menguntungkan, berkemungkinan besar ianya adalah suatu skim penyelewengan kewangan.


18 Antara tanda petunjuk suatu skim penyelewengan kewangan: • Menjanjikan pulangan tinggi antara 5% hingga 20% sebulan tanpa risiko atau dengan risiko yang rendah • Tawaran itu hanya bagi jangka masa terhad dan anda diminta menyertainya dengan segera • Skim itu berasal dari negara luar dan siasatan tidak boleh dilakukan ke atas pejabatnya atau statusnya tidak boleh dikenalpasti melalui laman web badan pengawal selia negara tersebut • Anda diminta mendedahkan maklumat sulit peribadi seperti nombor akaun bank anda • Anda diminta mendeposit sejumlah wang untuk bayaran pemprosesan dan pentadbiran Petua utama ialah jangan bersikap tamak. Berbincang dahulu atau semak dengan kawan-kawan dan keluarga anda ataupun bertanya kepada para profesional sama ada peluang sedemikian tulen ataupun tidak. Langkah ini adalah wajar walaupun skim tersebut diperkenalkan oleh seseorang yang rapat ataupun yang anda percayai. Selidik tentang tawaran tersebut. Berwaspada sekiranya pelaburan tersebut menawarkan pulangan yang tinggi, berisiko rendah dan tanpa kos pelaburan. Kemungkinan besar ia tidak benar. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web BNM di www.bnm.gov.my atau laman web Suruhanjaya Sekuriti di www.sc.com.my


19 Rumusan • Penyata aliran tunai menunjukkan dari mana wang anda datang dan ke mana wang itu pergi bagi suatu tempoh tertentu • Bajet adalah alat mudah untuk membantu anda mengurus aliran tunai dengan lebih berkesan • Menyediakan bajet adalah amalan yang baik untuk memastikan anda hidup mengikut kemampuan • Tabungan adalah penting untuk membantu anda disaat kecemasan • Penyata nilai harta bersih memberi gambaran tentang kedudukan kewangan anda pada satu masa dan berfungsi sebagai alat untuk menjejak kemajuan anda


20 Senarai semakan Sediakan penyata aliran tunai bulanan anda yang menunjukkan semua aliran masuk tunai dan aliran keluar tunai Sediakan bajet anda sambil menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan anda sebagai tabungan Sediakan penyata nilai harta bersih untuk mengetahui kedudukan kewangan semasa anda Lampiran 1.1 : Contoh bajet dan penyata aliran tunai Lampiran 1.2 : Templat kosong untuk bajet dan penyata aliran tunai Lampiran 1.3 : Contoh penyata nilai harta bersih Lampiran 1.4 : Templat kosong untuk penyata nilai harta bersih


21 Penilaian diri 1. Apakah komponen utama di dalam pengurusan aliran tunai? a. Pendapatan dan Perbelanjaan b. Aset dan Liabiliti c. Penghutang dan Pemiutang d. Akaun Untung dan Rugi serta Kunci Kira-kira 2. Bajet dapat membantu anda untuk ________ a. hidup mengikut kemampuan b. mencapai matlamat kewangan c. memperuntukkan wang untuk menabung d. kesemua di atas 3. Kenapakah menabung itu penting? a. Merancang untuk persaraan anda b. Persediaan untuk waktu kecemasan c. Bayaran pendahuluan pembelian rumah/kereta d. Kesemua di atas 4. Berapa bulan kos perbelanjaan sara hidup disarankan sebagai dana kecemasan anda? a. 1 - 2 bulan b. 3 - 6 bulan c. 8 - 9 bulan d. 12 - 24 bulan


22 5. Apakah nilai harta bersih anda? a. Jumlah Liabiliti + Jumlah Aset b. Jumlah Pendapatan + Jumlah Perbelanjaan c. Jumlah Aset – Jumlah Liabiliti d. Jumlah Pendapatan – Jumlah Perbelanjaan 6. Berapakah peratus kadar minimum sebulan dari pendapatan anda disarankan sebagai tabungan (tidak termasuk caruman KWSP)? a. Sekiranya anda ada lebihan b. Sekurang-kurangnya 50% setiap bulan c. Sekurang-kurangnya 10% setiap bulan d. Tiada di atas 7. Apakah tabiat pengurusan kewangan yang baik? a. Meminjam melebihi 40% dari pendapatan bulanan b. Menjejaki perbelanjaan dan aliran tunai anda c. Hidup secara mewah d. Membuat bayaran minimum untuk kad kredit anda Sila rujuk jawapan anda di muka surat terakhir buku ini


Bab 2 ASAS MEMINJAM


24 Hari ini, dengan adanya pelbagai kemudahan pinjaman dan kad kredit yang ditawarkan oleh institusi kewangan, anda mungkin terpengaruh untuk berbelanja lebih daripada apa yang sepatutnya dengan meminjam. Melalui pinjaman, anda boleh membeli rumah, membeli kereta, membayar bil, malah juga boleh melancong. Walaupun pinjaman adalah berguna, terutamanya apabila anda ingin membeli sesuatu yang memerlukan wang yang banyak, anda juga harus ingat bahawa pinjaman yang diambil itu bukannya percuma. Sebaliknya pinjaman tersebut perlu dibayar balik dengan caj faedah atau bayaran penalti jika anda gagal atau terlewat bayar! Kredit dan hutang Kredit adalah kemudahan pinjaman dengan persetujuan untuk membayar balik mengikut syarat dan terma perjanjian pinjaman yang telah ditetapkan. Apabila anda meminjam, anda diberikan kemudahan kredit dan sekiranya anda menggunakan kredit tersebut maka anda dikatakan berhutang. Hutang adalah wang yang telah dipinjam dan mesti dibayar balik. “Hendak meminjam ataupun tidak...itulah persoalannya!”


25 Anda diberi satu kad kredit dengan had kredit sebanyak RM3,000. Jika anda telah membelanjakan RM1,000 dengan kad kredit tersebut, maka RM1,000 kredit yang telah digunakan itu akan menjadi hutang. SEBELUM : RM3,000 kredit sedia ada SELEPAS : RM2,000 baki kemudahan kredit RM1,000 jumlah hutang KENAPA ANDA MEMINJAM? Apabila anda ingin meminjam, anda perlu tahu apakah tujuan pinjaman tersebut. Ingat, anda sepatutnya meminjam untuk memenuhi keperluan dan bukannya kehendak anda. Sekiranya anda ingin mengambil pinjaman atau menggunakan kad kredit untuk membeli sesuatu, tanya diri anda soalan yang berikut terlebih dahulu: • Adakah barangan atau perkhidmatan yang saya ingin beli itu suatu keperluan ataupun kehendak? • Adakah saya mampu membayar ansurannya? • Jika barangan tersebut merupakan suatu pembelian besar, seperti membeli rumah atau kereta, bolehkah saya menyediakan wang pendahuluan yang lebih tinggi?


26 Meminjam wang pada kadar berpatutan untuk dilaburkan dalam aset berkualiti Mengambil pinjaman baru untuk menebus pinjaman lama tanpa penjimatan kos Membayar balik pinjaman perumahan dengan teratur Mengambil pinjaman peribadi pada kadar faedah tinggi untuk membiayai percutian atau kos gaya hidup lain Memiliki pengetahuan asas tentang peraturan meminjam boleh membantu anda dalam mengurus pinjaman anda dengan baik. Peraturan meminjam Pinjam hanya untuk tujuan produktif atau untuk sesuatu yang amat diperlukan apabila anda tidak mempunyai wang tunai yang cukup. Ini termasuk pembelian rumah, pembelian kereta, menghantar anak melanjutkan pelajaran atau menampung perbelanjaan pada waktu kecemasan. Pinjam mengikut kemampuan. Sebaik-baiknya buatlah pinjaman yang membolehkan anda membayar balik dengan selesa. Adalah disarankan jumlah pembayaran bulanan semua hutang tidak melebihi 40% pendapatan kasar anda. Seorang peminjam mempunyai tanggungjawab moral untuk membayar balik pinjaman. Harus ingat, penilaian kredit anda akan terjejas jika anda tidak membayar balik mengikut terma pembayaran. Berikut adalah beberapa contoh hutang produktif dan hutang tidak produktif: Seperti yang dijelaskan di atas, pinjaman untuk tujuan yang munasabah boleh membantu meningkatkan nilai harta bersih anda. Setelah mengetahui kenapa dan bila anda harus meminjam, seterusnya marilah kita lihat sumber pinjaman yang ditawarkan. HUTANG PRODUKTIF (Membeli aset naik nilai) HUTANG TIDAK PRODUKTIF (Membiayai gaya hidup)


27 SUMBER MENDAPATKAN PINJAMAN Di Malaysia terdapat pelbagai institusi kewangan yang menyediakan kemudahan pinjaman. Berikut adalah sumber pemberi pinjaman utama: Institusi Kewangan Berlesen Institusi kewangan berlesen merangkumi bank perdagangan yang dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyediakan kemudahan kredit kepada orang ramai. Anda dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan berlesen kerana terdapatnya undang-undang dan peraturan yang melindungi hak anda sebagai peminjam. Untuk mendapatkan senarai penuh institusi kewangan berlesen, sila layari laman web BNM di www.bnm.gov.my Koperasi Koperasi adalah dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Ahli koperasi boleh meminjam dari koperasi mereka berdasarkan kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh pengurusan koperasi masing-masing. Peminjam Wang Berlesen Peminjam wang berlesen dilesenkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menawarkan pinjaman kepada orang ramai. Berbeza dengan institusi kewangan berlesen, peminjam wang berlesen tidak boleh menerima deposit dan biasanya kadar faedah pinjaman yang dikenakan adalah lebih tinggi. Anda dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu kadar pinjaman mereka sebelum membuat pinjaman. Peminjam Wang Tidak Berlesen Peminjam wang tidak berlesen beroperasi secara haram dan mereka dikenali sebagai ‘Lintah Darat’ atau ‘Ah Long’. Mereka menawarkan pinjaman tanpa cagaran pada kadar faedah yang sangat tinggi, dengan terma dan syarat yang ketat dan tidak jelas. Mereka juga sering menggunakan ancaman dan kekerasan terhadap peminjam yang tidak dapat membayar balik pinjaman mereka. Anda dinasihatkan supaya tidak meminjam daripada peminjam wang yang tidak berlesen.


28 JENIS PINJAMAN Pinjaman bercagar • Memerlukan aset sebagai cagaran dan lazimnya pinjaman bercagar mudah diperoleh • Jika pembayaran balik gagal dilakukan, institusi kewangan berhak merampas dan menjual aset anda untuk mendapatkan kembali wang pinjaman mereka • Contoh pinjaman bercagar adalah pinjaman perumahan dan pinjaman kereta Pinjaman tidak bercagar • Tidak memerlukan aset sebagai cagaran • Bergantung kepada keupayaan membayar balik pinjaman dan sejarah kredit anda • Jumlah pinjaman biasanya lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih pendek. Biasanya kadar faedah yang dikenakan adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar pinjaman bercagar • Untuk mengurangkan risiko, institusi kewangan kadangkala memerlukan penjamin bagi menjamin pinjaman tersebut • Contoh pinjaman tidak bercagar adalah hutang kad kredit dan pinjaman peribadi


29 PERBANKAN ISLAM Perbankan Islam adalah sistem perbankan yang dilesenkan oleh BNM dan berasaskan prinsip Shariah (hukum Islam) yang mengharamkan Riba (pengumpulan dan pembayaran faedah), Usury (tindakan atau amalan meminjamkan wang pada kadar faedah yang amat tinggi), perdagangan yang mempunyai risiko kewangan (opsyen dan pasaran hadapan) dan usaha niaga yang haram (dilarang). Tujuan perbankan Islam adalah sama seperti perbankan konvensional. Bezanya adalah operasi perbankan Islam menjalankan transaksi mengikut peraturan Shariah yang dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat. Prinsip asas perbankan Islam adalah perkongsian untung dan rugi dan larangan riba. Antara konsep Islam yang biasa digunakan dalam perbankan Islam adalah perkongsian (Mudharabah), simpanan (Wadiah), perkongsian untung rugi (Musharakah), perjanjian jual beli (Murabahah) dan pajakan (Ijarah). Perbankan Islam di Malaysia dipantau oleh Majlis Penasihat Shariah yang ditubuhkan oleh BNM. Di samping itu, perbankan Islam dan perbankan konvensional yang menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa penasihat Shariah masing-masing atau melantik perunding penasihat dan memastikan bahawa operasi, kegiatan dan produk bank mematuhi prinsip Shariah. Di sebalik tanggapan sesetengah orang, perbankan Islam sebenarnya adalah untuk semua orang tanpa mengira agama mereka.


30 APA YANG DIAMBIL KIRA OLEH INSTITUSI KEWANGAN? Apabila anda memohon kad kredit, pinjaman peribadi atau lain-lain pinjaman, institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai risiko kredit yang baik ataupun tidak. Sewaktu membuat penilaian risiko kredit, institusi kewangan tersebut akan mengambil kira keupayaan peminjam untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik. Penilaian risiko ini juga akan menentukan kadar faedah dan kos-kos lain untuk pinjaman tersebut. Keupayaan untuk mendapat kelulusan pinjaman biasanya bergantung kepada faktor asas seperti berikut: 3 faktor asas meminjam Pemberi pinjaman ingin mengetahui apa tujuan sebenar suatu pinjaman bagi menilai risiko yang terlibat. Jenis pinjaman akan dipadankan dengan tujuan pinjaman. Jika anda membeli rumah, maka pinjaman perumahan akan ditawarkan. Pinjaman sewa beli pula akan diberikan untuk pembelian kereta Jika tujuan pinjaman adalah untuk sesuatu yang tidak produktif atau berunsur spekulasi, mungkin anda akan ditawarkan pinjaman peribadi atau overdraf. Tujuan pinjaman serta jenis pinjaman, sama ada bercagar ataupun tidak, akan menentukan kadar faedah dan tempoh pinjaman anda Keupayaan anda untuk membayar balik pinjaman adalah penting. Institusi kewangan akan menilai sama ada anda mempunyai lebihan pendapatan atau simpanan tunai untuk menanggung komitmen kewangan yang baru. Mereka juga akan memastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil atau pekerjaan tetap. Kedudukan aliran tunai anda akan dinilai dengan terperinci. Petunjuk utama bagi menilai keupayaan pembayaran anda adalah dengan mengetahui nisbah hutang kepada pendapatan anda 1 2 Tujuan pinjaman Keupayaan membayar balik


31 Pendapatan bulanan Encik Daud ialah RM3,800. Jumlah pembayaran balik bulanan pinjaman rumah, sewa beli kereta dan kad kredit ialah RM2,128. Nisbah hutang kepada pendapatan = Pembayaran Balik Bulanan Pendapatan Kasar = RM2,128 X 100% RM3,800 = 56% 3 Sejarah pembayaran Rekod pembayaran hutang terdahulu atau semasa akan dinilai untuk mengetahui perilaku anda sebagai seorang pembayar. Jika anda mempunyai rekod yang tidak memuaskan maka peluang untuk mendapat pinjaman baru mungkin tipis NISBAH HUTANG KEPADA PENDAPATAN Nisbah hutang kepada pendapatan menunjukkan jumlah pembayaran balik bulanan semua pinjaman berbanding dengan jumlah pendapatan kasar bulanan anda. Nisbah yang tinggi menunjukkan seseorang itu tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan bulanannya. Kita lihat contoh kiraan nisbah hutang kepada pendapatan dengan melihat kedudukan kewangan Encik Daud: Sebagai panduan am, jumlah pembayaran balik bulanan bagi semua pinjaman termasuk hutang kad kredit tidak boleh melebihi 40% daripada pendapatan kasar anda


32 Seperti mana yang anda boleh lihat, nisbah hutang kepada pendapatan adalah lebih daripada nisbah yang disarankan. Dalam keadaan seperti ini, Encik Daud harus berusaha untuk mengurangkan nisbah tersebut. Jadi bagaimanakah caranya untuk mengurangkan nisbah hutang kepada pendapatan anda? Nisbah ini boleh diperbaiki dengan cara mempertingkatkan tahap pendapatan dan/atau mengurangkan komitmen pinjaman anda. Anda dinasihatkan agar tidak terlalu memikul hutang yang banyak dan menggunakan kad kredit secara berlebihan. Ini kerana ia akan memberi kesan kepada nisbah hutang kepada pendapatan dan mungkin menjejaskan kelayakan kredit anda di masa hadapan. MENJADI SEORANG PENJAMIN Apabila kedudukan kredit seseorang diragui, pihak pemberi pinjaman biasanya akan meminta peminjam menyediakan penjamin untuk menjamin pinjaman tersebut. Penjamin bukanlah peminjam utama. Walau bagaimanapun, penjamin dipertanggungjawabkan atas baki pinjaman yang belum dibayar termasuk faedahnya sekali sekiranya peminjam utama gagal membuat bayarannya. Jaminan ke atas pinjaman yang telah diambil akan terus berkekalan sehinggalah kesemua hutang peminjam dilangsaikan. Tanggungjawab penjamin tidak akan dilepaskan tanpa penyelesaian penuh pinjaman atau tanpa kebenaran daripada pemberi pinjaman terlebih dahulu.


33 Penjamin tidak terjamin Usia : 28 tahun Pekerjaan : Jurutera Status Perkahwinan : Bujang Sam dan Ling telah menjalin hubungan semenjak mereka belajar di kolej lagi. Selepas beberapa tahun berpacaran, Ling telah meminta Sam untuk menjadi penjamin kepada pinjaman sewa beli kereta barunya. Tanpa berfikir panjang, Sam bersetuju kerana dia sedang dilamun cinta dan mengharapkan cintanya dibalas. Sebelum menandatangani borang penjamin, Sam tidak mendapatkan sebarang nasihat atau pandangan orang lain. Apa yang penting bagi Sam ialah cinta Ling dan dia yakin tidak lama lagi mereka akan mendirikan rumah tangga. Lagipun, Ling telah berjanji akan membayar ansurannya dengan teratur. Selang beberapa bulan kemudian, ansuran pinjaman sewa beli Ling sudah mula tertunggak. Sam, seperti yang telah dijangkakan, sekali lagi termakan dengan pujuk rayu Ling dan menolong Ling membayar ansuran pinjaman tersebut sehinggalah pada suatu hari Sam mengetahui bahawa Ling sebenarnya telah bertunang dengan orang lain. Kerana terlalu kecewa dengan perbuatan Ling, Sam membawa hati lukanya dengan berpindah ke tempat lain, malah Sam juga telah beberapa kali bertukar kerja. Oleh kerana Ling gagal membuat bayaran pinjaman sewa belinya, pihak institusi kewangan telah menarik balik dan melelong keretanya. Baki yang perlu dijelaskan selepas lelongan adalah sebanyak RM45,000. Apabila Ling tidak mampu membayar jumlah kerugian ini, pihak institusi kewangan telah mengemukakan notis tuntutan ke atas Sam selaku penjamin. Sam juga tidak boleh membayarnya kerana jumlah yang terlibat adalah terlalu besar baginya. Pihak insititusi kewangan mula mengambil tindakan mahkamah terhadap Sam untuk menuntut balik kesemua baki hutang mereka. Oleh kerana terlalu bimbangkan tentang masa depannya, Sam telah bertindak dengan mendapatkan bantuan AKPK.


34 KESAN KADAR FAEDAH Faedah ialah caj yang dikenakan ke atas wang yang dipinjam atau keuntungan yang diperoleh daripada wang yang didepositkan. Kadar faedah yang dikenakan atas pinjaman adalah ukuran risiko yang diambil oleh pemberi pinjaman. Semakin tinggi risikonya, maka semakin tinggilah kadar faedah yang dikenakan. Biasanya, ada 3 jenis kadar faedah yang terdapat di pasaran. Ini termasuk: Kadar sama rata Faedah dikira berdasarkan jumlah asal nilai pinjaman sepanjang tempoh pinjaman Kadar tetap Faedah dihitung berdasarkan baki pinjaman semasa pada kadar faedah yang tidak berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman Kadar terapung Faedah dihitung berdasarkan baki pinjaman semasa, dengan kadar faedah bersandarkan pada indeks atau kadar asas. Kadar ini boleh berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman. Indeks atau kadar asas faedah yang paling biasa digunakan ialah Kadar Pinjaman Asas (KPA) Faedah kadar sama rata biasanya adalah lebih tinggi atau mahal kerana ianya dihitung di atas jumlah asal pinjaman yang dibuat dan dikenakan sepanjang tempoh pinjaman. Sebaliknya, faedah kadar tetap dan kadar terapung pula dikira berdasarkan baki pinjaman semasa.


35 Memahami faedah kompaun Faedah kompaun pada dasarnya seperti faedah biasa. Ianya dikira ke atas pinjaman pokok dan juga faedah terkumpul. Pengiraan faedah adalah secara tahunan, bulanan atau harian. Kesan faedah lebih ketara mengikut kekerapan pengiraan faedah kompaun. Faedah kompaun juga boleh diibaratkan sebagai pedang bermata dua, iaitu sesuatu yang boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Selain memberikan pulangan pelaburan yang lebih tinggi, faedah kompaun juga menyebabkan caj faedah yang lebih banyak jika ada kelewatan dalam pembayaran balik pinjaman atau hutang kad kredit. Amalan ini biasanya digunakan dalam pengiraan hutang kad kredit yang anda akan pelajari dalam Bab 3 dan juga dalam pengiraan pinjaman perumahan dalam Bab 5. Garis panduan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai ketelusan dan penzahiran produk Menyedari betapa pentingnya penzahiran yang mencukupi lagi berkesan kepada pengguna dan penyedia khidmat kewangan, BNM telah mengeluarkan Garis Panduan Mengenai Ketelusan dan Penzahiran Produk. Garis panduan ini membantu meningkatkan piawaian penzahiran untuk produk kewangan runcit dan bertujuan membantu pengguna membuat keputusan bijak melalui penzahiran yang bermakna dan yang tepat pada masanya. Melalui garis panduan ini, BNM memerlukan para penyedia perkhidmatan kewangan untuk memaklumkan semua ciri produk kewangan runcit untuk membantu pelanggan membuat keputusan kewangan bijak. Anda dinasihatkan untuk meminta dan memahami ciri produk sebelum membuat sebarang keputusan untuk menerima mana-mana kemudahan pinjaman.


36 • Meminjam untuk memenuhi keperluan dan bukan kehendak; meminjam untuk tujuan produktif sahaja • Meminjam mengikut kemampuan – hadkan nisbah hutang kepada pendapatan tidak melebihi 40% • Apabila meminjam, fahami 3 peraturan meminjam: – tujuan pinjaman – keupayaan membayar balik – sejarah pembayaran • Fahami jenis kadar faedah dan kesan terhadap keseluruhan kos pinjaman • Ketahui risiko sebelum menjadi seorang penjamin kerana jika peminjam gagal membayar balik pinjaman, maka anda adalah orang yang akan bertanggung jawab! Rumusan


37 Senarai semakan Adakah anda tahu jumlah kos keseluruhan pinjaman anda? Kira nisbah hutang dengan pendapatan anda. Adakah nisbah tersebut di bawah 40%? Adakah anda tahu tarikh akhir bayaran setiap ansuran pinjaman anda? Adakah anda seorang penjamin? Jika ‘ya’ adakah peminjam membayar ansurannya seperti yang ditetapkan?


38


39 Penilaian diri 1. Kadar faedah untuk pinjaman tidak bercagar kebiasaannya __________ a. rendah b. tinggi c. tetap d. berubah-ubah 2. Berikut adalah kriteria penilaian kredit yang digunakan oleh institusi kewangan apabila mempertimbangkan permohonan pinjaman: a. Keupayaan membayar balik b. Rekod bayaran pinjaman terdahulu c. Tujuan meminjam d. Kesemua di atas 3. Nisbah hutang kepada pendapatan anda disarankan tidak melebihi _________ a. 40% daripada pendapatan kasar anda b. 40% daripada perbelanjaan anda c. 40% daripada pendapatan bersih anda d. 40% daripada jumlah hutang anda 4. Sekiranya anda adalah seorang penjamin, bank boleh ______ a. meminta rakan anda yang bukan penjamin untuk membayar jumlah hutang tertunggak b. mendapatkan bayaran balik pinjaman daripada ahli keluarga anda yang bukan penjamin c. meminta anda membayar lain-lain pinjaman di bank tersebut yang anda bukan penjamin d. meminta anda membayar jumlah tunggakan sekiranya peminjam gagal membayar balik


40 5. Berikut adalah keterangan tentang mekanisme faedah kompaun? a. Faedah kompaun ialah faedah yang dikenakan ke atas jumlah pokok dan faedah terkumpul b. Faedah kompaun ialah faedah yang dikenakan ke atas jumlah pokok sahaja c. Faedah kompaun ialah faedah yang dikenakan ke atas bahagian faedah yang tidak berbayar sahaja d. Kesemua di atas adalah tidak benar 6. Keterangan berikut adalah BENAR tentang Perbankan Islam? a. Ia dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia b. Ia berlandaskan prinsip Shariah (Undang-undang Islam) c. Ia berdasarkan konsep perkongsian untung dan rugi d. Kesemua di atas Sila rujuk jawapan anda di muka surat terakhir buku ini


Bab 3 PENGGUNAAN KAD KREDIT SECARA BIJAK


42 Menggunakan kad kredit secara bijak merupakan salah satu langkah penting untuk memastikan kedudukan kewangan anda sentiasa sihat. Kad kredit diibaratkan pisau tajam yang mempunyai banyak manfaat tetapi jika disalahgunakan boleh melukakan anda. Dalam Bab 2, kita telah membincangkan tentang asas meminjam. Sekarang, marilah kita gunakan pengetahuan ini apabila menggunakan kad kredit. APA ITU KAD KREDIT? Bagaimanakah kad kredit berfungsi? Kad kredit yang ditawarkan kepada anda juga menyediakan kemudahan meminjam yang dikenali sebagai had kredit, yang telah ditetapkan oleh pengeluar kad kredit. Apabila anda menggunakan kad kredit, pengeluar kad kredit akan membuat bayaran kepada peniaga bagi pihak anda dan kemudiannya akan meminta bayaran daripada anda melalui penyata bulanan yang dikeluarkan. Pada amnya, anda akan diberikan tempoh tanpa faedah antara 20 hingga 50 hari sebelum perlu membuat bayaran. Kad kredit ialah alat pembayaran secara elektronik yang membolehkan anda membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan tanpa menggunakan wang tunai


43 Kelebihan kad kredit Kad kredit adalah instrumen yang berguna sekiranya anda tahu menggunakannya dengan bijak. Anda boleh menikmati faedah seperti berikut: • Merupakan kaedah pembayaran yang mudah dan cekap • Membeli barangan dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian (online) • Menggunakan penyata bulanan untuk menjejak perbelanjaan bagi tujuan merangka bajet • Terdapat kad kredit yang menyediakan perlindungan insurans kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan • Menikmati skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pemindahan baki pada kadar 0% untuk memaksimumkan pembelian anda • Memperoleh mata ganjaran untuk menebus barangan dan perkhidmatan yang biasanya tidak dapat dinikmati jika bayaran dibuat secara tunai APA YANG ANDA PERLU KETAHUI TENTANG KAD KREDIT Sebelum menggunakan kad kredit, anda perlu memahami terma dan syarat yang diberikan seperti berikut: Had kredit Ini adalah had maksimum ditetapkan bagi setiap kad. Jika had ini habis digunakan, anda tidak boleh menggunakan kad sehingga anda menjelaskan sebahagian daripada bayarannya. Lazimnya, had kad kredit adalah 2 hingga 3 kali ganda pendapatan bulanan anda. Sekiranya anda menggunakan had maksimum, ini bermakna anda telah membelanjakan 2 hingga 3 bulan pendapatan masa depan anda!


44 Yuran dan caj Terdapat pelbagai jenis yuran dan caj yang anda perlu fahami, termasuk: Pengeluar kad kredit mungkin akan mengenakan yuran penyertaan sekali sahaja. Yuran ini mungkin berbeza antara satu pengeluar kad dengan yang lain Ini adalah yuran yang perlu dibayar apabila anda telah menerima kad kredit. Terdapat juga pengeluar kad kredit yang mengecualikan yuran ini jika anda memenuhi syarat penggunaan kad kredit anda Ini adalah caj yang dikenakan keatas baki yang belum dijelaskan selepas tarikh akhir pembayaran dan dikira berdasarkan baki harian. Pada masa ini pemegang kad kredit dikenakan faedah secara bertingkat. Ini bertujuan untuk menggalakkan penggunaan kad kredit secara berdisiplin. Kadar faedah bertingkat yang baharu adalah seperti berikut: Rekod Pembayaran Balik Kadar Faedah Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 12 bulan berturut-turut Sehingga 13.5% setahun Pemegang kad yang menjelaskan bayaran minimum selama 10 bulan atau lebih sepanjang tempoh 12 bulan Sehingga 16% setahun Lain-lain Sehingga 17.5% setahun Yuran penyertaan Yuran tahunan Caj kewangan


45 Yuran ini dikenakan setiap kali pendahuluan wang tunai dilakukan dan biasanya antara 3% hingga 5%. Yuran ini merupakan caj kewangan tambahan dan dikira dari tarikh wang tunai tersebut diambil Ini adalah caj yang dikenakan jika anda gagal menjelaskan jumlah minimum bulanan sebelum tarikh akhir pembayaran yang ditetapkan. Jika anda membayar selepas tarikh ini, anda akan dikenakan caj kewangan (faedah ke atas baki belum jelas) dan juga caj bayaran lewat Bermula tahun 2010, setiap kad kredit akan dikenakan cukai perkhidmatan tahunan sebanyak RM50 ke atas pemegang kad utama dan RM25 ke atas pemegang kad sampingan. Bayaran ini akan dimasukkan dalam penyata kad kredit anda Cukai perkhidmatan Yuran pendahuluan wang tunai Caj bayaran lewat


46 Tempoh tanpa faedah Anda boleh menikmati tempoh tanpa faedah, kebiasaannya antara 20 hingga 50 hari dari tarikh urus niaga mula direkodkan, sekiranya anda tidak mempunyai sebarang jumlah tertunggak dari bulan sebelumnya. Ini bermaksud jika bil kad kredit anda tidak dijelaskan dengan sepenuhnya pada tarikh akhir pembayaran dan baki dibawa ke bulan berikutnya, anda tidak akan menikmati tempoh tanpa faedah. Faedah akan dikenakan ke atas urus niaga yang seterusnya dan faedah ini akan dikompaunkan pada kadar harian sehingga baki dibayar sepenuhnya. Kemudahan pemindahan baki Pemindahan baki membolehkan pemegang kad kredit memindahkan semua atau sebahagian daripada baki kad kredit dari satu bank ke bank lain untuk tujuan menjimatkan caj faedah. Biasanya, bank akan menawarkan kemudahan ini pada kadar ‘promosi’ untuk menggalakkan anda memindahkan baki kad kredit kepada mereka. Ini mungkin cadangan yang baik kerana anda dapat menjimatkan kos faedah. Oleh itu, sekiranya anda hanya membayar sebahagian atau jumlah minimum baki yang perlu dibayar, anda akan dikenakan faedah ke atas semua pembelian yang dibuat melalui kad kredit dari tarikh urus niaga direkodkan


47 Walau bagaimanapun, sebelum memutuskan pemindahan baki, tanya diri anda soalan berikut: • Berapa lamakah kadar ‘promosi’ ini ditawarkan? • Apakah kadar efektif selepas tamat tempoh kadar promosi tersebut? • Adakah kadar promosi ini juga untuk pembelian baru? • Adakah anda akan dikenakan yuran pemindahan baki? • Adakah anda akan dikenakan yuran pembatalan atau penyelesaian awal? Walaupun ini mungkin strategi yang baik untuk mengurangkan caj faedah ke atas baki kad kredit yang belum dibayar, anda perlu juga meneliti terma dan syarat kemudahan seperti ini. Contohnya, ada syarat yang menyatakan anda hanya boleh membuat bayaran minimum 5% ke atas jumlah yang dipindahkan sewaktu tempoh promosi dan anda dilarang membayar lebih atau melangsaikan sepenuhnya. Selain itu, mungkin ada tempoh ‘lock-in’ yang melarang anda memindahkan baki ke bank lain tanpa membayar penalti terlebih dahulu. Sekiranya anda tidak berhati-hati, anda mungkin berbelanja melebihi kemampuan dengan menggunakan kad yang telah dipindahkan bakinya jika anda tidak berhemat dalam mengurus perbelanjaan anda. Anda juga perlu mematuhi jumlah dan jadual pembayaran yang telah dipersetujui. Jika anda gagal membuat bayaran, kadar promosi akan bertukar kepada kadar biasa atau 17.5% berserta dengan caj bayaran lewat dan penalti yang lain. Syarat di atas juga merangkumi ‘skim bayaran ansuran fleksibel’ yang ditawarkan.


48 Skim bayaran fleksibel / Skim tanpa faedah Kemudahan ditawarkan oleh pengeluar kad kredit dan peniaga terpilih di mana pemegang kad boleh membayar pembelian secara ansuran antara 3 hingga 24 bulan tanpa faedah bergantung kepada had kredit pemegang kad. Liabiliti pemegang kad sampingan Pemegang kad utama akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung semua pembayaran ke atas pembelian yang dibuat oleh pemegang kad sampingan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pengeluar kad kredit memerlukan pemegang kad sampingan menanggung liabiliti secara bersama dan berasingan terhadap hutang pemegang kad utama dan pemegang kad sampingan yang lain. CARA MENGELAKKAN PERANGKAP KAD KREDIT Jika anda hanya membuat bayaran minimum, anda akan mengambil tempoh yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang kad kredit dan lebih banyak hutang akan terkumpul. Dengan kadar faedah yang tinggi, anda membayar lebih kepada pengeluar kad kredit jika dibandingkan dengan harga asal barangan atau perkhidmatan yang anda peroleh dahulu. Ilustrasi berikut menunjukkan tempoh bayaran balik dan jumlah faedah yang dikenakan pada kadar maksimum jika anda hanya membuat bayaran minimum 5% setiap bulan.


Click to View FlipBook Version