The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Malinja Putih, 2020-11-01 08:52:07

KONSEP PERAKAUNAN ISLAM (PDF)

KONSEP PERAKAUNAN ISLAM (PDF)

Gambar 4.5 Laporan Kredit Daripada Laman Sesawang MARC Rating

e) Koperasi
Menurut Akta Koperasi 1993 (Akta 502), koperasi boleh didefinisikan
sebagai sebuah pertubuhan orang yang berautonomi yang bersatu secara
sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial dan
budaya melalui suatu perusahaan milik bersama dengan dikawal secara
demokrasi. Menurut definisi ini, setiap pertubuhan koperasi mempunyai
ahlinya yang tersendiri dengan setiap ahli membayar sejumlah wang
keahlian secara sukarela untuk membeli syer di dalam koperasi tersebut.
Namun begitu, koperasi yang dimaksudkan di bawah topik institusi
kewangan ini adalah merujuk kepada Bank Koperasi.

Malaysia mempunyai dua buah bank koperasi iaitu Bank Kerjasama
Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan juga Co-op Bank Persatuan
Malaysia Bhd. Kedua-dua buah bank ini telah ditubuhkan di bawah Akta
Koperasi 1948. Namun begitu, Bank Rakyat mempunyai skop
perundangannya yang tersendiri apabila wujudnya Akta Bank Kerjasama
Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) 1978 (Akta 202) telah
diwartakan pada tahun 1978. Akta ini memberikan kebenaran kepada pihak
Bank Rakyat untuk berfungsi seperti bank komersial yang lain. Tetapi tujuan
utamanya perlu berlegar ke arah meninggikan taraf ekonomi ahlinya. Antara
transaksi yang dibenarkan seperti menawarkan perkhidmatan pinjaman,

90

mengeluarkan surat kredit, mengurus bon dan pelaburan dan juga
menyelenggara akaun dengan bank lain di dalam Malaysia seperti transaksi
MEPS yang turut boleh digunakan di mesin pengeluaran wang tunai Bank
Rakyat. Dan kini Bank Rakyat telah menjadi sebuah bank koperasi yang
patuh syariah sepenuhnya sejak tahun 2002 tanpa menawarkan sebarang
produk perbankan konvensional.

4.3 Perakaunan Dalam Bank Islam

4.3.1 Operasi Perbankan Islam

Berdasarkan IFSA 2013 (Akta 759), bahagian 1, seksyen 1 operasi
perbankan Islam merujuk kepada urusniaga deposit (simpanan),
pembiayaan dan juga pelaburan yang patuh syariah. Patuh syariah
bermaksud setiap transaksi yang dijalankan oleh perbankan Islam mesti
bebas daripada tiga unsur iaitu kadar faedah (riba), ketidaktentuan (gharar)
dan judi (maisir). Mana-mana transaksi yang mempunyai unsur-unsur
tersebut boleh menyebabkan status patuh syariah produk ditarik semula
oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Ketiga-tiga unsur tersebut secara jelas telah disebut di dalam
beberapa nas seperti berikut:

Riba (kadar faedah); dari surah al-Baqarah ayat 275:

“… padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan
mengharamkan riba.”

Gharar (ketidakpastian); perkataan gharar tidak disebut secara
langsung di dalam al-Quran sebagaimana istilah riba. Namun begitu,
transaksi yang mempunyai unsur riba adalah dikira sebagai zalim dan Allah
SWT melarang keras sebarang bentuk transaksi mahupun perbuatan yang
zalim sebagaimana disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 29:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan
yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan
jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka
di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan

91

sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
Mengasihani kamu.”

Istilah gharar ada dinyatakan secara jelas dalam beberapa buah
hadith dan salah satunya daripada riwayat Abi Hurairah RA seperti berikut:

“Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah dan jual beli
gharar.”

(Riwayat Muslim)

Maisir (judi); dari surah al-Maysir ayat 91:

“Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan
kamu daripada mengingati Allah dan daripada
mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu
berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji
dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Daripada ketiga-tiga unsur tersebut, ia menjadi satu panduan
kepada operasi perbankan Islam untuk menawarkan produk-produk
alternatif kepada sistem perbankan konvensional. Secara jelasnya, operasi
perbankan konvensional lebih banyak melibatkan urusan berkaitan dengan
kadar faedah atau riba. Oleh yang demikian, apakah mekanisma yang
digunapakai oleh produk-produk perbankan Islam bagi menggantikan
mekanisma kadar faedah yang digunakan dalam produk perbankan
konvensional?

Bagi menggantikan produk-produk yang berasaskan kadar faedah,
sistem perbankan Islam menggantikan unsur riba tersebut dengan unsur
jual beli sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah al-
Baqarah ayat 275 yang dinyatakan sebelum ini. Usaha untuk menggantikan
unsur riba tersebut telah menjadikan produk perbankan Islam semakin unik
dan juga meluas. Ini adalah kerana, ia tidak terikat kepada satu kontrak
asas perbankan sahaja sebagaimana perbankan konvensional yang hanya
mengamalkan kadar faedah. Berikut adalah kontrak-kontrak yang
digunapakai dalam operasi perbankan Islam.

92

Gambarajah 4.4 Klasifikasi Kontrak Syariah Dalam Produk Perbankan Islam
di Malaysia

4.3.1.1 Kontrak jual beli
Kontrak jual beli atau kontrak yang berasaskan kepada kontrak ‘Uqud al-
Mu’awadah, melibatkan dua pihak yang berkontrak bagi memindah hak
milik sesebuah aset atau komoditi yang akhirnya menyebabkan berlakunya
perpindahan hak milik dengan nilai yang sepadan dengannya. Di bawah
kontrak jual beli ini terdapat pelbagai jenis instrumen sebagaimana yang
boleh dilihat pada gambar rajah 4.4. Penerangan terperinci setiap instrumen
tersebut akan diterangkan pada bahagian ini mengikut klasifikasi kontrak
yang terdapat pada gambar rajah di atas. Klasifikasi kontrak syariah
tersebut adalah berdasarkan kepada Garis Panduan Laporan Kewangan
Bagi Institusi Perbankan Islam yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia
pada 2 Februari 2018.
4.3.1.1.1 Murabahah
Kontrak murabahah merupakan kontrak penjualan aset atau komoditi
dengan harga kos ditambah dengan keuntungan. Pihak penjual atau bank
mesti mendedahkan harga kos dan juga keuntungan yang telah dikenakan
kepada pelanggan. Hal demikian menjadikan instrumen murabahah turut
dikenali sebagai “jual-beli yang amanah” (Trust-Sale). Oleh yang demikian,

93

pihak bank dan juga pelanggan mestilah jelas bahawa kontrak murabahah
adalah kontrak yang berasaskan kepada pembiayaan aset dan bukan
pembiayaan tunai sebagaimana produk pembiayaan peribadi. Kontrak
murabahah mempunyai lima rukun iaitu:

1) Penjual.
2) Pembeli.
3) Barang yang dibeli.
4) Harga
5) Akad jual beli.
Dan juga lima syarat sah yang mesti dipenuhi iaitu:
1) Kos sebenar mesti dinyatakan kepada pembeli ketika akad.
2) Keuntungan yang ditambah mesti dimaklumkan kepada pembeli.
3) Barangan dan harga tidak melibatkan barangan ribawi melainkan ia

memenuhi syarat pertukaran barangan ribawi.
4) Pihak pembeli boleh membatalkan kontrak sekiranya berlaku

kekeliruan dalam menentukan kadar harga kos sebenar.
5) Kontrak jual beli antara pembeli dengan pembekal mestilah sah di

sisi syarak.
Kontrak murabahah boleh difahami dengan melihat kepada gambar
rajah di bawah:

Gambarajah 4.5 Struktur Kontrak Murabahah

94

1) Pembeli mengenalpasti kenderaan yang ingin dibeli.
2) Pihak bank membeli kenderaan tersebut daripada syarikat

kenderaan secara tunai.
3) Pihak bank menjual kenderaan tersebut kepada pembeli dengan

harga kos dicampur dengan margin keuntungan secara ansuran.
4) Pihak pembeli akan membayar harga kenderaan tersebut secara

ansuran mengikut tempoh masa yang telah dipersetujui dengan
pihak bank.

Pada 1 Januari 2014, pihak Bank Negara Malaysia telah
menguatkuasakan sebuah Panduan dan Parameter Shariah Kontrak
Murabahah yang berkuatkuasa di bawah Akta IFSA 2013 (Akta 759). Buku
panduan tersebut telah memansuhkan Parameter Shariah Rujukan 1 yang
telah diterbitkan pada 26 Ogos 2009 yang berkuatkuasa di bawah Akta IBA
1983 (Akta 276). Di dalam buku panduan tersebut telah menyatakan secara
terperinci berkenaan dengan isu-isu syariah berkaitan dengan kontrak
murabahah dan juga keperluan operasi seperti dokumentasi, polisi,
prosedur, pendedahan maklumat dan juga pengurusan risiko kontrak
murabahah. Dokumentasi tersebut boleh diperolehi daripada laman web
Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia di alamat
https://www.sacbnm.org/.

4.3.1.1.2 Bai’ al-‘Inah dan Bai’ Bithaman Ajil

Kontrak Bai’ al-‘inah merupakan kontrak yang melibatkan urus niaga
penjualan dan pembelian balik aset oleh penjual ataupun bank. Kontrak al-
‘inah juga merujuk kepada kontrak jual beli secara kredit dengan tujuan asal
adalah untuk menjual kembali aset yang telah dibeli bagi mendapatkan
pembiayaan tunai. Konsep jual beli balik al-‘inah turut digunapakai di dalam
kontrak Bai’ bithaman ‘ajil (BBA) yang merujuk kepada transaksi untuk
mendapatkan pembiayaan aset boleh alih seperti kenderaan mahupun aset
tidak alih seperti rumah. Konsep jual beli balik dalam kontrak al-‘inah
banyak dibincangkan oleh para sarjana dan ahli akademik kewangan Islam.
Majlis Penasihat Syariah (MPS), Bank Negara Malaysia telah memutuskan
bahawa kontrak al-‘inah ini adalah harus dengan syarat, kontrak tersebut
tidak memasukkan syarat pembelian semula ke dalam kontrak. Berikut
adalah rukun dan syarat sah kontrak Bai’ al-‘inah:

95

Rukun:
1) Penjual
2) Pembeli
3) Barang yang dibeli
4) Harga
5) Akad jual beli

Syarat sah kontrak:
1) Berlaku akad jual beli yang berasingan iaitu akad penjualan dan juga
akad pembelian;
2) Tidak wujud syarat pembelian semula;
3) Masa setiap akad dimeterai berlaku dalam masa yang berlainan;
4) Setiap akad mesti dilakukan secara sempurna sebelum akad
seterusnya berlangsung seperti penyerahan aset sebelum
berlakunya jual beli selepas itu;
5) Setiap pembeli mempunyai kuasa ke atas aset (qabd) setiap kali
akad jual beli sempurna dan sah di sisi syarak dan amalan
perniagaan semasa (‘ufh tijari).

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, konsep jual beli
balik kontrak al-‘inah ada digunapakai dalam kontrak Bai’ bithaman ajil.
Namun begitu, ia turut mempunyai elemen yang sama sebagaimana
kontrak murabahah iaitu harga kos dicampur dengan margin keuntungan.
Apa yang membezakan kontrak Bai’ al-‘inah dengan BBA ialah, BBA adalah
kontrak pembiayaan aset dan bukan pembiayaan tunai. Manakala
perbezaan BBA dengan murabahah pula ialah BBA mengamalkan konsep
jual beli balik dan murabahah tidak tetapi kedua-dua kontrak tersebut
mempunyai elemen kos tambah untung.

Penggunaan kontrak Bai’ bithaman ‘ajil dan juga Bai’ al-‘inah di
Malaysia kini telah diminimakan penggunaannya. Ini adalah kerana terdapat
kontrak-kontrak lain yang lebih komprehensif dan lebih mesra pasaran bagi
menyediakan perkhidmatan pembiayaan peribadi dan juga aset kepada
pelanggan. Kini produk-produk pembiayaan peribadi patuh syariah di
perbankan Islam di Malaysia telah banyak menggunakan kontrak tawaruq
berbanding Bai’ al-‘inah. Manakala produk pembiayaan aset seperti
pembiayaan kenderaan dan perumahan telah banyak diganti dengan
kontrak musyarakah mutanaqisah. Kontrak-kontrak tersebut akan dijelaskan
kemudian. Berikut adalah rukun dan syarat sah kontrak BBA:

96

1) Penjual
2) Pembeli
3) Barang yang dibeli
4) Harga
5) Akad jual beli
Syarat sah kontrak:
1) Pembeli mesti dijelaskan berkenaan dengan kos dan modal.
2) Jumlah margin keuntungan yang dikenakan mesti dijelaskan kepada

pembeli.
3) Transaksi jual beli tidak melibatkan barang ataupun harga ribawi.
4) Pembeli mempunyai pilihan (khiyar) untuk membatalkan kontrak

sekiranya ada keraguan dalam menentukan kos sebenar.
5) Proses jual beli yang pertama mestilah sah di sisi syarak.

Untuk lebih memahami kontrak BBA boleh melihat gambar rajah 4.6
di bawah:

Gambarajah 4.6 Struktur Kontrak Bai’ Bithaman Ajil

1) Pembeli memilih rumah untuk dibeli daripada pemaju dan
menandatangani Perjanjian Jual-Beli (SPA), membayar 10% sebagai
duit pendahuluan.

97

2) Pembeli menjual hak milik rumahnya kepada pihak bank dengan
harga kos (RM90,000) iaitu harga yang dibeli daripada pihak
pemaju.

3) Bank membayar harga kos rumah kepada pihak pemaju.
4) Pihak bank kemudian menjual semula rumah tersebut kepada

pembeli dengan harga kos ditambah dengan margin keuntungan
(harga jualan). Harga jualan tersebut akan dibayar oleh pembeli
secara ansuran.
4.3.1.1.3 Tawaruq
Kontrak tawaruq merupakan kontrak pembelian komoditi yang bertujuan
bagi mendapatkan tunai. Penggunaan kontrak tawaruq oleh institusi
perbankan Islam di Malaysia telah banyak menggantikan penggunaan
kontrak Bai’al-‘inah dalam produk pembiayaan peribadi mereka. Kontrak
tawaruq atau tawarruq bermaksud urus niaga pembelian komoditi dengan
bayaran bertangguh dan menjual komoditi tersebut kepada pihak lain
dengan harga yang lebih rendah secara tunai. Apabila diteliti, kontrak
tawaruq seakan-akan menyerupai kontrak Bai’ al-‘inah, tetapi apabila diteliti
ia mempunyai perbezaan dari aspek tidak melibatkan jual beli balik kepada
pihak penjual pertama. Proses Bai’ al-‘inah adalah seperti berikut:

Gambarajah 4.7 Struktur Kontrak Bai’ al-‘Inah

1) Pihak bank menjual 1 tan minyak sawit mentah kepada pelanggan.

98

2) Pelanggan akan membayar 1 tan minyak sawit mentah tersebut
dengan harga yang lebih tinggi secara ansuran.

3) Pelanggan akan menjual semula 1 tan minyak sawit mentah tersebut
kepada bank.

4) Bank membayar harga 1 tan minyak sawit mentah tersebut dengan
harga yang lebih rendah secara tunai.

Berdasarkan kepada gambarajah 4.7 di atas, secara jelas berlaku
jual beli balik kepada penjual asal iaitu pihak bank. Berdasarkan kepada
pandangan Imam Syafie, al-Zahiri dan al-Shatibi, kontrak Bai’ al-‘inah
adalah harus sekiranya jual beli tersebut tidak berasaskan kepada niat
pembeli untuk mendapatkan tunai iaitu melibatkan penetapan syarat untuk
menjual kembali aset tersebut kepada penjual pertama (bank). Imam Syafie
juga berpendapat sekiranya niat pembeli adalah untuk mendapatkan tunai
dengan wujudnya unsur jual beli balik bersyarat, beliau berpendapat
bahawa kontrak tersebut adalah tidak harus secara etikanya. Manakala bagi
pandangan Maliki dan Hambali, kontrak al-‘inah melibatkan helah bagi
membolehkan kadar faedah digunapakai sekiranya ia digunakan untuk
mendapatkan tunai dengan jualan kali pertama melebihi kadar jualan kali
kedua.

Penggunaan kontrak tawaruq adalah lebih jelas berbanding Bai’ al-
‘inah dan ia dilihat lebih mesra dengan operasi perbankan Islam semasa.
Demikian kerana kontrak al-‘inah yang digunapakai di dalam operasi
perbankan Islam secara jelas digunakan bagi produk pembiayaan peribadi
yang bertujuan untuk mendapatkan pembiayaan tunai dan bukan komoditi.
Oleh yang demikian, penggunaan kontrak tawaruq adalah lebih sesuai bagi
tujuan tersebut kerana ia tidak melibatkan urusan “jual beli balik”
sebagaimana yang terdapat di dalam kontrak Bai’ al-‘inah. Berikut adalah
struktur kontrak tawaruq:

99

Gambarajah 4.8 Struktur Kontrak Tawaruq

1) Pihak bank menjual 1 tan minyak sawit mentah kepada pelanggan.
Pelanggan akan membayar harga jualan minyak sawit mentah
tersebut secara ansuran.

2) Pelanggan yang memiliki 1 tan minyak sawit mentah tersebut akan
menjual kepada pasaran komoditi iaitu kepada pihak Bursa Suq al-
Sila dan akan menerima bayaran secara tunai daripada Suq al-Sila.

3) Pihak bank hanya akan membeli minyak sawit mentah mengikut
keperluan dengan jumlah yang tidak sama dengan transaksi yang
pertama bagi tujuan operasi bank seperti bagi menyelia kontrak
pembiayaan peribadi tawaruq untuk pelanggan yang lain.
Majlis Penasihat Syariah bertarikh 30 Julai 2008 telah memutuskan

bahawa penggunaan kontrak tawaruq melalui Bursa Suq al-Sila adalah
harus. Transaksi tawaruq yang melibatkan jual beli minyak sawit mentah
melalui Suq al-Sila atau “Commodity Murabahah House (CMH)” mesti
berlaku secara jelas (Gambar rajah 4.8; Langkah 1 dan 2) dan juga rawak
(Gambar rajah 4.8; Langkah ke 3) bagi menepati ciri-ciri tawaruq yang asal.
Kontrak tawaruq juga dikenali sebagai kontrak Komoditi Murabahah
sekiranya transaksi yang dijalankan melibatkan urusan dengan CMH.

100

4.3.1.1.4 Bai’ al-Dayn
Kontrak Bai’ al-Dayn adalah kontrak pembelian hutang yang melibatkan jual
beli bahan mentah, barangan separa proses atau yang telah siap diproses.
Ia sering digunakan oleh pengamal industri pembuatan dan pengilangan
untuk memperolehi pelbagai bahan mentah yang diimport daripada luar
negara seperti besi. Aplikasi kontrak Bai’ al-Dayn di bank-bank Islam di
Malaysia banyak digunakan dalam produk pembiayaan perdagangan
antarabangsa seperti bil penerimaan, bil pertukaran jual beli dan juga
pembiayaan semula kredit eksport. Rukun Bai’ al-Dayn adalah sama
dengan rukun jual beli seperti biasa. Bagi lebih memahami struktur Bai’ al-
Dayn, sila rujuk struktur bil pertukaran belian pada gambar rajah 4.9.

Gambarajah 4.9 Struktur Bil Pertukaran Belian Berasaskan Kontrak Bai’ al-
Dayn

1) Pihak pengeksport menjual dan menghantar 1 tan besi kepada
pengimport dengan jumlah transaksi sebanyak RM100,000 secara
kredit.

2) Pengeksport menginginkan kredit dengan segera bagi mendapatkan
modal kerjanya dan menjual dokumen hutang (dokumen eksport)
kepada pihak Bank dengan harga diskaun (RM90,000), transaksi ini
melibatkan jual beli hutang (Bai’ al-Dayn).

3) Bank kemudian mengkreditkan wang tersebut (RM90,000) kepada
pihak pengeksport.

101

4) Bank pengeksport menghantar dokumen eksport kepada bank yang
telah dilantik oleh pengimport bagi menuntut bayaran bagi transaksi
asal (RM100,000).

5) Bank pengimport menasihati pengimport supaya membayar jumlah
pembeliannya dengan pengeksport.

6) Pengimport membayar RM100,000 melalui bank pengimport (issuing
bank).

7) Bank pengimport menghantar bayaran pengimport kepada bank
pengeksport.

Aplikasi kontrak Bai’ al-Dayn mempunyai pelbagai kaedah yang
melibatkan jual beli hutang secara tunai mahupun jual beli hutang secara
bertangguh (‫)الكالئ بالكالئ‬. Berikut adalah ringkasan daripada perbincangan
tersebut:

Jualan Hutang Secara Tunai
Kepada
Harus mengikut pandangan Jumhur Ulamak.
Pemiutang
Pihak Ketiga Harus mengikut pandangan Imam Malik dan Imam
Shafie tapi dengan bersyarat.
Jualan Hutang Secara Bertangguh
Kepada
Imam Malik, Hanafi & Ibn Taimiyyah & Ibn al-
Pemiutang
Shafie tidak bersetuju. Qayyim membenarkannya.
Pihak Ketiga
Imam Malik, Hanafi, Ibn Taimiyyah & Ibn

Shafie dan Hambali Qayyim membenarkan

tidak bersetuju bagi hiwalah.

Sumber: ISRA (2011)

4.3.1.1.5 Bai’ al-Salam

Bai’ al-Salam ialah satu kontrak di mana pihak penjual menjual aset atau
komoditi kepada pembeli pada satu tarikh hadapan yang telah dipersetujui
dengan pihak pembeli membayar pendahuluan ataupun penuh pada tarikh
tersebut (Dusuki, 2011). Kontrak Bai’ al-Salam adalah lebih dekat dengan
masyarakat dengan panggilan jual beli tempahan dengan pihak pembeli
membayar sebahagian kecil daripada harga asal sebagai pendahuluan atau
cagaran. Di akhir tarikh yang telah ditentukan dan dipersetujui oleh pembeli

102

dan penjual, maka pihak pembeli akan membayar harga barangan tersebut
secara penuh.

Berikut adalah rukun kontrak al-Salam:

1) Aqidan (Penjual dan Pembeli)
2) Ma’qud Alayh (Barang dan wang)
3) Ijab dan Qabul (Tawaran dan Penerimaan)

Manakala berikut adalah syarat sah yang telah ditetapkan dan mesti
dipenuhi:

1) Kewujudan barang:
Barang yang ditempah boleh dibeli, didapati dari pasaran dan
mampu untuk diserahkan kepada pembeli setelah sampai waktu.

2) Kualiti dan kuantiti:
Pihak pembeli mestilah jelas akan kualiti dan kuantiti barang yang
hendak dibeli dan mempunyai kuasa untuk menolak barangan yang
dibeli sekiranya tidak menepati sebagaimana yang dipersetujui di
awal kontrak.

3) Matawang:
Pembayaran mestilah dilakukan secara tunai dan penuh samada
dengan wang tunai atau barang yang setaraf selagi tidak melibatkan
barang ribawi.

4) Masa penyerahan:
Masa penyerahan barang mesti ditetapkan semasa di awal kontrak
dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.

5) Jenis barang:
Semua jenis barang atau harta yang diharuskan syarak untuk dijual
beli.

Jual beli tempahan atau Bai’ al-Salam mempunyai dua jenis kontrak
iaitu kontrak al-Salam dan kontrak als-Salam secara selari (parallel salam)
(Dusuki, 2011). Kontrak al-Salam adalah kontrak yang hanya melibatkan
dua pihak sahaja iaitu pembeli (musallim) dan juga penjual (musallam ilayh)

103

(Tahir & Ahmad, 2009). Manakala kontrak as-salam secara selari pula ialah
kontrak di mana pihak pembeli turut menjadi penjual dalam masa yang
sama dengan setiap kontrak jual dan beli mestilah berlaku secara
berasingan. Kontrak al-Salam secara selari boleh dilihat pada gambar rajah
4.10.

Gambarajah 4.10 Struktur Kontrak Bai’ al-Salam Paralel

1) Bank menandatangani kontrak as-salam dengan pihak pembekal
mesin dengan bayaran penuh bagi mendapatkan sebuah mesin
pada tarikh yang telah dipersetujui.

2) Kemudian pihak bank menandatangani kontrak as-salam paralel
dengan pihak pembeli yang akan membeli mesin tersebut pada
masa akan datang iaitu pada tarikh yang telah ditetapkan.

3) Apabila sampai tarikh yang telah ditetapkan, pembekal mesin akan
menghantar mesin tersebut kepada pihak bank.

4) Pihak bank kemudiannya menghantar mesin tersebut kepada
pembeli dan pembeli akan membayar dengan harga yang telah
dipersetujui secara tunai atau ansuran.
Amalan pembiayaan yang berasaskan kontrak Bai’ al-salam ini

adalah agak kurang mendapat sambutan dalam kalangan institusi
perbankan Islam di Malaysia. Demikian adalah kerana agak kurang praktikal
sebuah bank yang secara kebiasaannya berurusan dengan hal kewangan
untuk menerima aset yang berlainan dari pembekal yang berlainan,
kemudian menjual semula kepada pihak pembeli. Urus niaga penjualan

104

semula aset kepada pembeli sebelum pihak bank memiliki aset tersebut
adalah dilarang oleh syarak (Dusuki, 2011).

4.3.1.2 Kontrak Sewaan

4.3.1.2.1 Kontrak al-Ijarah

Al-ijarah berasal daripada perkataan ajara (‫ )أجر‬yang membawa maksud
upah, sewa, jasa dan bayaran. Ia juga boleh membawa maksud sebagai
“upah yang diberi atas perkhidmatan yang diterima” (Tahir & Ahmad, 2009).
Manakala secara teknikal ijarah membawa maksud sebuah “kontrak
pindahan pemilikan terhadap manfaat bagi tujuan dibayar” (Dusuki, 2011)
atau mengikut takrifan sebahagian fuqaha sebagai “jual beli manfaat” (Ab
Ghani & Ghafar, 2006).

Kontrak ijarah mempunyai 4 rukun iaitu:

1) Orang yang berakad
2) Sewa/imbalan/bayaran
3) Manfaat
4) Ijab dan Qabul (sighah)

Manakala kontrak ijarah mempunyai dua jenis iaitu ijarah manfaat
dan juga ijarah amal. Ijarah manfaat merujuk kepada kontrak sewaan
terhadap kesemua jenis aset yang diharuskan syarak seperti menyewa
rumah, kilang, kenderaan, pakaian dan perhiasan. Ijarah amal pula
bermaksud kontrak sewaan kerja atau perkhidmatan di mana pekerja (ajir
khas) mesti memenuhi sifat kerja atau sebagaimana kehendak pihak yang
menyewa perkhidmatannya seperti kerja pembinaan, perkhidmatan
perubatan dan tempahan jahitan baju. Berikut adalah kontrak ijarah yang
diaplikasi dalam perbankan Islam:

105

Gambarajah 4.11 Struktur Kontrak al-Ijarah Dalam Produk Pembiayaan
Perumahan

1) Pihak pembeli akan melihat terlebih dahulu dan memilih rumah yang
ingin dibeli.

2) Pembeli mendapatkan perkhidmatan ijarah daripada pihak bank
dengan berjanji akan membeli rumah tersebut apabila sampai
tempoh akhir sewaan.

3) Pihak bank akan membeli rumah yang diinginkan oleh pihak pembeli
dari pemaju.

4) Pihak bank membayar bayaran rumah tersebut secara tunai dan hak
milik rumah tersebut berpindah kepada bank.

5) Pihak bank menyewa rumah tersebut kepada pembeli dalam tempoh
yang telah ditetapkan.

6) Pihak pembeli akan membayar sewa bulanan sebagaimana yang
telah dipersetujui kepada pihak bank.

7) Apabila tamat tempoh kontrak sewaan, pihak bank akan
menyerahkan pemilikan rumah tersebut setelah akad jual beli yang
terakhir termeterai.

4.3.1.3 Kontrak Pembinaan
4.3.1.3.1 Bai’ al-Istisna’
Istisna’ daripada perkataan Arab yang membawa maksud meminta
seseorang untuk membina sesuatu. Manakala secara istilahnya, Bai’ al-

106

Istisna’ merujuk kepada kontrak perjanjian di antara pihak pembeli dengan
pihak yang akan membina sesuatu aset sebagaimana yang telah ditetapkan
oleh pihak pembeli dengan menetapkan harga terlebih dahulu dengan
bahan binaan tersebut adalah daripada pihak pembina. Sekiranya bahan
binaan datang daripada sumber pihak pembeli, maka kontrak tersebut akan
menjadi kontrak sewaan (ijarah) bukan istisna’.

Kontrak istisna’ merupakan kontrak yang hampir sama dengan
kontrak Bai’ al-Salam iaitu berasaskan konsep tempahan. Namun begitu,
aplikasi kontrak istisna’ adalah lebih kepada kontrak pembelian aset yang
memerlukan usaha pembinaan seperti jambatan, kilang atau bangunan
manakala kontrak al-Salam pula bagi tujuan pembelian peralatan atau item
yang memerlukan usaha pembuatan. Bagi memastikan pihak yang
berkontrak menjalankan urusan jual beli istisna’ yang sah, pihak pembeli
dan penjual mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:

1) Aset kontrak istisna’ mestilah ditentukan:
• Jenis
• Kualiti
• Kuantiti
• Masa penyerahan
• Tempat penyerahan

2) Aset kontrak istisna’ juga mestilah item yang secara kebiasaannya
dibeli secara istisna’ seperti bangunan dan bukannya seperti buku
dan baju.

3) Bahan yang digunakan adalah dibekalkan oleh pihak penjual itu
sendiri.

Istisna’ mempunyai dua jenis kontrak iaitu kontrak istisna yang biasa
iaitu hanya melibatkan dua pihak iaitu pembeli (mustasna) dan penjual
(sani’). Manakala kontrak istisna paralel melibatkan tiga pihak. Istisna’
paralel mempunyai dua kontrak istisna’ yang dijalankan secara berasingan
dengan melibatkan orang tengah yang sama iaitu pihak bank. Kontrak Bai’
istisna’ paralel ini seakan-akan menyerupai kontrak Bai’ al-Salam paralel,
namun mempunyai sedikit perbezaan sebagaimana yang dilihat pada
gambar rajah 4.12 di bawah.

107

Gambarajah 4.12 Struktur Kontrak Bai’ al-Istisna’

1) Pembeli akan bertemu dengan pihak bank bagi urusan pembelian aset
dengan harga yang dipersetujui (kos+margin) dengan bayaran secara
ansuran. Pihak bank dan pembeli akan menandatangani Perjanjian
Penjualan Istisna’ (ISA; Istisna’ Sale Agreement) di mana pembeli
bertindak sebagai pembeli (sani’) dan bank sebagai pihak yang
membina (mustasni’).

2) Pihak bank kemudian akan menasihati pihak pembeli untuk melantik
pihak kontraktor binaan yang akan membina aset sebagaimana yang
terdapat di dalam perjanjian ISA.

3) Pihak bank dan kontraktor dilantik akan menandatangani sebuah lagi
kontrak iaitu Perjanjian Pembelian Istisna’ (IPA; Istisna Purchase
Agreement), di mana pihak bank masih lagi sebagai mustasni’ dan
kontraktor sebagai sani’ dalam IPA.

4) Apabila aset tersebut telah siap, pihak kontraktor akan menyerahkan
aset tersebut kepada pihak bank sebagai mustasni’ untuk diserahkan
kepada pembeli atau pihak kontraktor akan menyerahkan aset tersebut
kepada pihak pembeli atas autoriti pihak bank.

4.3.1.4 Kontrak Perkongsian (ekuiti)
4.3.1.4.1 Musyarakah
Kontrak musyarakah merupakan kontrak perkongsian untung dan rugi yang
melibatkan dua pihak atau lebih bagi menjalankan suatu usaha sama dalam

108

perniagaan dan pihak yang berkontrak menyumbang modal samada dalam
bentuk tunai atau kerja. Pembahagian untung di antara pihak yang
bermusyarakah adalah bergantung kepada persetujuan semua pihak dan
juga jenis kontrak musyarakah itu dijalankan samada musyarakah
berasaskan modal tunai (sharikah amwal), musyarakah berasaskan
sumbangan kerja (sharikah al-Amal), musyarakah kredit modal kerja
(sharikah al-Wujuh) dan musyarakah kongsi untung (sharikah mudharabah)
(Dusuki, 2011).

Rukun musyarakah menurut jumhur ulamak ialah lafaz ijab dan
qabul, pihak atau orang yang berakad dan juga objek akad. Syarat kepada
kontrak musyarakah pula adalah seperti berikut:

1) Pihak yang berkontrak mestilah waras dan juga mampu untuk
berkontrak. Tidak disyaratkan sebagai seorang Muslim. Institusi juga
boleh dikira sebagai rakan kongsi tidak semestinya orang
persendirian.

2) Nisbah keuntungan di antara kesemua rakan kongsi mestilah
ditentukan dan dipersetujui di hujung kontrak.

3) Modal yang disumbangkan oleh kesemua pihak yang berkontrak
mestilah dalam bentuk aset kewangan ataupun aset boleh alih yang
mempunyai nilai kewangan bagi memudahkan pengiraan
pembahagian untung pada akhir kontrak nanti.

4) Bentuk usahasama perniagaan mestilah patuh syariah dan juga
tujuan kepada perniagaan tersebut mestilah yang dibenarkan di
dalam Islam.

Penggunaan kontrak musyarakah di dalam produk perbankan Islam
kini lebih kepada untuk mendapatkan pembiayaan perumahan. Kontrak
tersebut adalah musyarakah mutanaqisah (MMQ). Kontrak ini adalah hasil
daripada pemeteraian kontrak musyarakah dalam memiliki sesebuah aset
dengan pembeli, dan bayaran ansuran bulanan oleh pembeli dibayar
berasaskan kontrak ijarah yang akan berakhir dengan pemilikan aset
tersebut oleh pihak pembeli. Berikut adalah struktur kontrak MMQ:

109

Gambarajah 4.13 Struktur Kontrak Musyarakah Mutanaqisah

1) Pihak pembeli akan membayar 10 peratus deposit rumah dan akan
menandatangi Perjanjian Jual Beli (S&P) dengan pihak pemaju
perumahan.

2) Pihak bank bersetuju untuk menyediakan 90% pembiayaan daripada
harga keseluruhan rumah tersebut dan akan membayar kepada
pihak pemaju perumahan secara berperingkat.

3) Hak pemilikan diserah pihak pemaju kepada pihak bank.
4) Pihak bank kemudian menyewakan rumah tersebut kepada pihak

pembeli dengan berjanji akan membeli apabila tamat tempoh
pembiayaan.
5) Pihak pembeli membayar harga rumah tersebut secara ansuran
menandakan hak pemilikan rumah tersebut sedikit demi sedikit
menjadi hak milik pembeli daripada hak pemilikan bank
(diminishing/mutanaqisah).
6) Apabila tamat tempoh pembiayaan dan jumlah bayaran sewa
terakhir diterima oleh pihak bank, bank akan menyerahkan hak milik
rumah tersebut kepada pihak pembeli secara mutlak.
4.3.1.4.2 Mudharabah
Mudharabah berasal dari bahasa Arab yang merujuk kepada istilah “al-darb
fi al-ard” yang membawa maksud untuk mengembara. Takrifan dari segi
bahasa ini mempunyai perkaitan rapat dengan istilah mudharabah pada
masa dahulu di mana bermaksud beberapa pihak berpakat untuk

110

melakukan pengembaraan bersama bagi tujuan perniagaan (Dusuki, 2011).
Istilah mudharabah banyak digunakan oleh para ulamak mazhab Hanafi dan
Hanbali, manakala ulamak dalam mazhab Maliki dan Syafie lebih banyak
menggunakan istilah qirad bagi maksud mudharabah itu sendiri.

Secara teknikal, kontrak mudharabah bermaksud sebuah kontrak di
antara pihak yang memiliki harta (rabbul mal) dan juga yang mengerjakan
harta tersebut (mudarib). Ia berlaku dengan rabbul mal menyediakan harta
kepada mudarib untuk diusahakan. Sebarang keuntungan yang diraih akan
dikongsi berdasarkan kepada nisbah perkongsian untung yang dipersetujui
oleh kedua-dua belah pihak dan kerugian ditanggung oleh pihak rabbul mal
sekiranya kerugiaan itu bukan disebabkan oleh kelalaian pihak mudarib
(Bank Negara Malaysia, 2015).

Pihak berkontrak mesti mematuhi rukun dan syarat kontrak
sebagaimana berikut:

1) Ijab dan Qabul
2) Rabbul Mal (pemilik harta)
3) Mudarib (pengusaha)
4) Modal

Syarat bagi pihak yang berkontrak:

1) Kedua-dua belah pihak yang akan berkontrak mestilah layak untuk
melakukan usaha atau kerja.

2) Modal mestilah dalam bentuk wang tunai.
3) Nisbah keuntungan mestilah ditentukan secara jelas dan sama,

sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, akad tidak dianggap sebagai sah.

Berikut adalah contoh kontrak yang berasaskan kepada
mudharabah:

111

Gambarajah 4.14 Struktur Kontrak Mudharabah

1) Pihak rabbul mal dan juga mudarib akan menandatangani perjanjian
kontrak mudharabah.

2) Perjanjian di antara dua pihak tersebut telah ditentukan kadar nisbah
perkongsian untung secara jelas.

3) Sekiranya usahasama tersebut memperolehi keuntungan, ia akan
dibahagikan berdasarkan kepada nisbah keuntungan yang telah
dipersetujui semasa di awal kontrak.

4) Sekiranya usahasama tersebut mengalami kerugian, maka pihak
yang akan menanggung kerugian tersebut adalah rabbul mal.

4.3.1.5 Kontrak Amanah
4.3.1.5.1 Wadiah
Wadiah segi bahasa bermaksud meletakkan sesuatu aset atau barangan
bagi tujuan simpanan (Bank Negara Malaysia, 2015), atau ditinggalkan
kepada bukan pemilik untuk dijaga (Tahir & Ahmad, 2009) atau untuk tujuan
deposit (Dusuki, 2011). Kontrak wadiah kebanyakannya diaplikasi dalam
produk deposit. Namun kini, produk deposit perbankan Islam
kebanyakannya telah beralih kepada produk berasaskan qard dan juga
hibah. Bagi tujuan pemahaman yang lebih jelas kontrak wadiah ini akan
turut dibincangkan secara umum.

112

Kontrak wadiah secara asasnya adalah bagi membolehkan
pelanggan menyimpan wang dengan pihak bank Islam. Walaupun begitu,
aplikasi kontrak tersebut di dalam produk perbankan Islam agak kurang
praktikal kerana wang tunai yang dideposit oleh pelanggan sebenarnya
tidak boleh digunakan oleh pihak perbankan Islam sekiranya produk deposit
tersebut menggunakan kontrak wadiah. Operasi perbankan sebagaimana
yang dinyatakan di dalam IFSA 2013 (Akta 759) turut melibatkan operasi
pembiayaan dan juga pelaburan. Maka fungsi pihak bank adalah sebagai
intermidasi kepada pihak lain juga. Melihat kepada keperluan operasi
semasa, kontrak wadiah yad dhamanah mula digunapakai oleh perbankan
Islam dan bukan kontrak wadiah semata-mata.

Kontrak wadiah yad dhamanah merujuk kepada pihak bank
memberikan jaminan bahawa simpanan (wadiah) yang didepositkan oleh
pelanggan dijamin (dhaman) oleh pihak bank. Implikasi daripada kontrak ini
membolehkan pihak pelanggan boleh menyimpan dan mengeluarkan wang
pada bila-bila masa, dan pihak bank Islam boleh menggunakan wang
deposit pelanggan tersebut bagi tujuan operasi perbankan mereka. Hasil
keuntungan daripada simpanan tersebut akan diberikan kepada pelanggan
atas dasar hibah kerana ia adalah milik penuh bagi pihak yang menyimpan
iaitu pihak bank.

4.3.1.6 Kontrak-kontrak Lain

Kontrak-kontrak lain yang akan dijelaskan pada bahagian ini merujuk
kepada kontrak sokongan yang menyokong kontrak-kontrak utama yang
dibincangkan sebelum ini. Ia digelar sebagai kontrak sokongan kerana ia
terdapat dalam struktur kontrak utama seperti kontrak Bai’ al-Dayn yang di
dalamnya turut mempunyai kontrak wakalah (wakil) dan juga hiwalah
(pindah hutang). Namun begitu, sejak akhir-akhir ini dapat dilihat bahawa
perbankan Islam mula menggunakan kontrak-kontrak sampingan ini
sebagai asas utama kepada produk mereka sebagai contoh kontrak qard
dan hibah bagi produk akaun simpanan.

4.3.1.6.1 Qard

Qard dari segi bahasa bermaksud potong atau boleh juga membawa
pengertian potongan sebahagian harta dengan tujuan untuk memberi
hutang kepada orang lain. Dari segi istilah merujuk kepada perpindahan

113

hak milik harta yang setara atau mithliy (Tahir & Ahmad, 2009) kepada
seseorang dengan ikatan bayaran balik kepada si pemberi harta tersebut
(Dusuki, 2011).

4.3.1.6.2 Hibah

Hibah merujuk kepada satu transaksi perpindahan hak milik sesebuah aset
dengan rela hati daripada penderma (wahib) kepada penerima (mawhub
lahu) tanpa sebarang pertimbangan. Kontrak hibah kini banyak diaplikasi di
dalam produk deposit simpanan di bank-bank Islam di Malaysia.

4.3.1.6.3 Ibra’

Ibra secara konsepnya bermaksud mengugurkan hak tuntutannya ke atas
tanggungan (zimmah) pihak lain yang perlu dijelaskan (Bank Negara
Malaysia, 2015). Dalam erti kata yang lain, ibra’ dalam urusan perbankan
Islam merujuk kepada pemberian rebat kepada satu pihak dalam
melakukan urusan jual beli yang diharuskan syarak. Sebagai contoh
pemberian rebat oleh Bank Islam kepada pelanggannya yang menjelaskan
hutang pembiayaannya dengan lebih awal.

4.3.1.6.4 Wakalah

Wakalah merupakan kontrak agensi yang melibatkan satu pihak
memberikan mandat kepada pihak lain sebagai wakil untuk melaksanakan
tugasan tertentu (Bank Negara Malaysia, 2015). Kontrak wakalah bukanlah
suatu kontrak ikatan di antara pihak yang melantik dengan pihak yang
dilantik, tetapi ia boleh dibatalkan sekiranya mendapat persetujuan semua
pihak atau sekiranya berlaku kematian salah seorang ahli yang berkontrak.

4.3.1.6.5 Kafalah

Istilah kafalah boleh membawa maksud jaminan iaitu hampir sama dengan
maksud dhaman juga bermaksud jaminan. Para ulamak berpendapat
bahawa kafalah lebih kepada jaminan terhadap harta manakala kafalah pula
jaminan terhadap diri orang itu sendiri. Kafalah dari segi istilah bermaksud
pihak penjamin dan yang dijamin menggabung liabiliti mereka (Dusuki,
2011). Kontrak kafalah kerap kali digunakan di dalam produk pembiayaan

114

perdagangan atau lebih tepat surat jaminan di antara pembekal dan juga
pembeli.

4.3.1.6.6 Rahn

Rahn merupakan satu kontrak kebajikan di mana orang yang menerima
barangan pajakan (murtahin) tidak mempunyai tanggungan kewangan
kepada yang berhutang (rahn). Oleh yang demikian, ia boleh dikatakan
mempunyai konsep yang sama dengan kontrak hibah, qard dan wadiah dari
di mana wujudnya konsep suka rela. Kontrak rahn ini secara mudahnya
melibatkan produk pajak gadai Islam yang kini telah menjadi medium pilihan
bagi umat Islam untuk mendapatkan pembiayaan tunai. Bayaran upah yang
dikenakan berfungsi sebagai bayaran tebusan secara berkala dan
pelanggan mempunyai pilihan untuk membayar secara penuh seterusnya
menebus barang yang digadai tersebut.

4.3.1.6.7 Ta’widh dan Gharamah

Ta’wid dan gharamah adalah caj yang dikenakan ke atas pelanggan akibat
daripada timbulnya risiko bagi melunaskan hutang. Secara spesifik ta’widh
ialah caj ganti rugi kelewatan pembayaran hutang oleh pelanggan.
Manakala gharamah pula bermaksud caj denda yang dikenakan atas
kelewatan pelanggan melunaskan hutangnya. Pihak bank Islam dibenarkan
mengenakan caj ta’widh iaitu ganti rugi hanya di akhir kontrak pembiayaan
sahaja ataupun apabila berlakunya kemungkiran hutang oleh pelanggan
dan ia boleh dikira sebagai pendapatan oleh pihak bank. Manakala
gharamah pula tidak boleh dikira sebagai pendapatan dan hasil daripada caj
gharamah perlu diserahkan kepada badan kebajikan (Bank Negara
Malaysia, Resolusi Syariah Dalam Kewangan Islam, 2010).

4.4 Perakaunan Bank Islam

Sistem perakaunan Islam adalah merujuk kepada proses perakaunan bagi
menyediakan informasi yang sepatutnya (tidak terhad kepada data
kewangan) kepada pihak yang berkepentingan terhadap entiti atau institusi
yang terlibat. Ia bagi memastikan bukan sahaja institusi tersebut beroperasi
dengan baik, malah sebagai makluman bahawa institusi tersebut beroperasi
selari dengan kehendak syarak dan dalam masa yang sama memenuhi
tanggungjawabnya kepada masyarakat (Dusuki, 2011).

115

Selain daripada memastikan sistem laporan perakaunan di bank-
bank Islam di Malaysia selari dengan prinsip syariah, sebuah laporan
perakaunan bank Islam perlu mempunyai sistem catatan yang terperinci.
Sebagaimana yang telah dijelaskan di awal bab ini, sistem perakaunan di
bank-bank Islam di Malaysia perlu mematuhi standard dan juga garis
panduan khusus yang telah disediakan oleh MASB dan juga Bank Negara
Malaysia yang turut disokong oleh sistem perundangan Malaysia. Ini
menjadikan sistem perakaunan perbankan Islam bukan sahaja mematuhi
kehendak syarak, malah turut mempunyai standard bertaraf antarabangsa.
Ia berikutan sistem rekod yang diaplikasi di dalam perbankan Islam kini
adalah berdasarkan kepada standard yang telah dikeluarkan oleh pihak
MASB yang ia turut mendapat pengiktirafan badan antarabangsa IFSB.

Standard kepada sistem perakaunan institusi perbankan Islam di
Malaysia adalah standard “Malaysian Financial Reporting Standard”
(MFRS) yang mana turut didokong oleh seksyen 75, Penyiaran Penyata
Kewangan, akta IFSA 2013 (akta 759). Dan penyata kewangan tersebut
merujuk kepada takrifan di bawah seksyen 72 (Akta 759), merujuk kepada
penyata kewangan yang mengikut piawaian Lembaga Piawaian
Perakauanan Malaysia (MASB). Piawaian tersebut adalah standard yang
dikeluarkan oleh MASB iaitu standard MFRS 1 sehingga MFRS 141 yang
boleh diperolehi di laman sesawang MASB dengan mudah.

Walaupun begitu, Bank Negara Malaysia dengan inisiatifnya sendiri
dan di bawah akta IFSA 2013 (akta 759), telah menerbitkan satu panduan
khusus kepada pihak perbankan Islam di Malaysia sebagai panduan
minimum dalam menyediakan penyata kewangan bagi memenuhi standard
MFRS. Panduan tersebut adalah “Financial Reporting for Islamic Banking
Institutions” (FRIBI). Di dalam panduan ini, BNM secara jelas memberikan
penjelasan secara terperinci segala maklumat yang perlu didedahkan di
dalam penyata kewangan bank Islam bagi mengikut standard MFRS
seminima mungkin.

Bagi memudahkan perbincangan, bahagian ini akan dipecahkan
kepada tiga bahagian iaitu aset kewangan, liabiliti kewangan dan juga rekod
zakat yang akan dibincang secara umum sahaja bagi menunjukkan catatan
transaksi kontrak-kontrak yang telah dijelaskan pada bahagian sebelum ini.
Turut disertakan bersama contoh amali yang diambil daripada penyata

116

kewangan sebenar dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) sebagai
rujukan sebagaimana gambarajah 4.6.

Gambarajah 4.6 Penyata Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Bagi
Tahun Berakhir Pada Disember 2018

Sumber: Laporan Kewangan BIMB

4.4.1 Aset Kewangan

Berdasarkan kepada takrifan MFRS 132, perenggan 11, aset kewangan
bermaksud tunai, instrumen ekuiti, hak berkontrak (penerimaan bayaran
dari entiti lain), kontrak di mana akan atau mungkin diselesaikan. Merujuk
kepada takrifan ini, segala terma yang termasuk di bawah takrifan ini
mestilah direkodkan di bawah aset kewangan termasuklah pembayaran
hutang dan pembiayaan seperti pembiayaan perumahan dan juga
kenderaan.

Merujuk kepada rekod aset kewangan, di dalam panduan FRIBI
yang dikeluarkan oleh BNM ada menyatakan di bawah perenggan 11.6 dan
11.7 bahawa perbankan Islam mestilah mendedahkan pengiraan yang
berkaitan untuk setiap kontrak syariah seperti murabahah, ijarah dan
termasuk juga sebarang pembiayaan dan kontrak belum terima (receivable).
Berdasarkan kepada standard ini, segala pendapatan yang diperolehi oleh
pihak Bank Islam melalui pembiayaan patuh syariah dicatat di bawah
“Financing and Advances”.

117

Berikut adalah maklumat terperinci daripada catatan Financing and
advances” mengikut kontrak syariah daripada BIMB:

Gambar 4.7 Rekod Pembiayaan Mengikut Kontrak Produk di BIMB Bagi
Tahun 2018

Sumber: Laporan Kewangan BIMB

Berdasarkan kepada gambar rajah di atas dapat dilihat rekod produk
pembiayaan mengikut jenis pembiayaan di sebelah kiri samada pembiayaan
perumahan (BBA), pembiayaan tunai (tawaruq) mahupun pembiayaan jenis
sewaan (Ijarah). Jenis-jenis pembiayaan yang telah kita bincangkan pada
bahagian sebelum ini kebanyakannya ada dicatatkan di sini. Ini
menunjukkan bahawa ia bukan sekadar bahan perbincangan akademik,
malah ia adalah satu pendahuluan kepada memahami amalan dalam
industri perbankan Islam. Malah rekod yang ditunjukkan di sini adalah
berasaskan kepada standard yang telah ditetapkan oleh pihak MASB yang
mana standard-standard tersebut telah diiktiraf oleh badan perakauanan
antarabangsa iaitu IFSB.
4.4.2 Liabliti Kewangan

Liabiliti kewangan menurut takrifan MFRS 132 merujuk kepada komitmen
berkontrak termasuk menyampaikan tunai atau aset kewangan kepada entiti
lain dan juga bagi urusan pertukaran aset kewangan dan juga liabiliti
kewangan dengan entiti lain. Berdasarkan kepada takrifan ini, ia merujuk
kepada transaksi deposit di mana pihak perbankan Islam perlu untuk

118

menjelaskan atau menanggung tanggungjawab memberikan semula deposit
pelanggan pada bila-bila masa.

Merujuk kepada amalan praktikal, garis panduan berkaitan rekod
transaksi deposit ada dijelaskan di dalam FRIBI secara spesifik.
Berdasarkan kepada perenggan 11.13 (a), perbankan Islam dikehendaki
untuk mendedahkan pecahan rekod deposit secara Islam yang diperolehi
daripada pelanggannya mengikut jenis akaun jenis simpanan, semasa atau
bertempoh. Dan bank Islam juga dikehendaki mendedahkan pecahan
akaun-akaun mengikut kontrak syariah yang digunapakai di dalam
perbankan Islam tersebut. Berikut adalah contoh bagi rekod liabiliti
kewangan yang terdapat di dalam penyata kewangan BIMB.

Gambar 4.8 Rekod Produk Deposit Mengikut Jenis Akaun dan Kontrak
Syariah di BIMB Bagi Tahun 2018

Sumber: Laporan Kewangan BIMB 2018

Berdasarkan kepada rekod deposit di atas, secara jelas bahawa
BIMB menawarkan produk yang berasaskan kepada kontrak wadiah,
mudharabah dan juga tawaruq. Kontrak dan juga produk yang tersenarai
tersebut dapat dilihat dengan lebih terperinci di dalam laman web BIMB
bahagian produk deposit dan untuk mendapatkan pendedahan berkenaan
dengan kontrak yang mendasari produk tersebut boleh dirujuk di dalam
dokumen pendedahan (Disclosure sheet) yang mudah diperolehi dalam
laman web BIMB.

119

4.4.3 Rekod Zakat
Menurut pandangan Komuniti Syariah BNM bagi tujuan operasi yang
berasaskan syariah, pihak perbankan Islam perlu untuk mendedahkan
pengiraan zakatnya sebagaimana yang disebut di bawah perenggan
11.4(c)(iv). Catatan zakat tersebut boleh dilihat daripada sambungan
penyata kewangan sebagaimana gambarajah 4.15.

Gambarajah 4.15 Penyata Kewangan BIMB Bagi Tahun Berakhir 2018
(sambungan)

Sumber: Laporan Kewangan BIMB 2018

4.5 Isu dan Cabaran Perakaunan Perbankan Islam
Isu dan cabaran utama kepada perakaunan perbankan Islam adalah inovasi
produk perbankan Islam yang baru seperti produk-produk perbankan hybrid.
Selain daripada cabaran dari aspek syariah yang memerlukan pakar syariah
mengkaji struktur produk tersebut, aspek perakaunan juga turut sama
terlibat dalam mendalami produk tersebut. Demikian adalah berkenaan
dengan amalan standard perkaunan MFRS yang tidak patuh syariah. Oleh
itu, terdapat satu klausa di bawah perenggan 11.6 (a) (ii) yang menyatakan
sekiranya berlaku pertentangan antara amalan MFRS dengan larangan

120

syarak, maka pihak perbankan tidak perlu merekodkan transaksi tersebut di
dalam penyata kewangan tetapi perlu mendedahkan standard MFRS mana
yang bercanggah, produk dari institusi mana, sebab ia bercanggah dan juga
kesan ia tidak dicatatkan di dalam penyata kewangan perbankan.

Melihat kepada masa depan perbankan Islam, sebuah standard
perakaunan khas bagi perbankan Islam perlu untuk digubal sehingga ke
peringkat takrifan kepada item-item perakaunan yang digunapakai dalam
perbankan Islam. Termasuk dari aspek pengiktirafan (recognition), kiraan
(measurement), pendedahan (disclosure) dan penyampaian (presentation)
untuk transaksi produk Islamik berasaskan kepada perspektif Islam itu
sendiri. Namun begitu, ia bukanlah satu tugas mudah apabila melihat
kepada standard MFRS sahaja sudah cukup rumit apatah lagi untuk
mewujudkan standard bagi sistem perakaunan Islam yang selari dengan
kehendak syarak.

Namun begitu, melihat kepada sistem perbankan Islam yang kini
semakin sofistikated berbanding dengan yang dahulu hanya mengamalkan
perkhidmatan kaunter produk perbankan Islam adalah tidak mustahil.
Sehingga ke hari ini, pelbagai pihak sedang melakukan pelbagai jenis kajian
berkenaan dengan sistem kewangan Islam. Samada di peringkat institusi,
pengkaji pasaran, pengamal pasaran mahupun ahli akademik. Standard
perakaunan Islam mungkin boleh diwujudkan pada masa akan datang khas
bagi kegunaan institusi perbankan Islam.

4.6 Kesimpulan

Bab ini telah menumpukan perbincangan berkaitan dengan kontrak-kontrak
asas yang digunapakai di dalam produk-produk perbankan Islam. Namun
begitu, ia adalah sekadar pengetahuan asas yang masih belum mencukupi
sekiranya dibandingkan dengan aplikasi produk itu sendiri. Demikian kerana
penggunaan kontrak tersebut di peringkat industri perbankan adalah lebih
kompleks dengan melibatkan pelbagai jenis dokumen dan juga pihak yang
terlibat. Justeru, ia membuatkan catatan perakaunan menjadi lebih
kompleks. Ditambah pula dengan perubahan yang dilakukan oleh pihak
perbankan di Malaysia yang kini menawarkan produk Islamik dan
konvensional dalam sebuah cawangan dengan sistem perakaunan yang
diasingkan antara konvensional dan Islamik. Ia dilakukan bagi mengelak
percampuran hasil keuntungan yang diperolehi daripada produk Islamik

121

dengan konvensional yang berasaskan kepada kadar bunga, berbanding
sebelumnya yang mengasingkan terus produk Islamik dari cawangan
konvensional.

Melihat kepada pelbagai perubahan dan kemajuan yang telah
berlaku di dalam industri perbankan Islam yang begitu pesat saban hari,
industri ini memerlukan kepada ramai pengkaji dan juga pengamal
kewangan dan perbankan Islam. Dengan kecanggihan sistem kewangan
yang wujud sekarang dan masih berevolusi ia masih memerlukan ramai
pakar dalam bidang ini. Sebagai contoh isu berkaitan “fintech” seperti
chainblock, wang digital, pembelian emas atas talian dan jual beli matawang
atas talian. Mungkin pada masa akan datang, lebih banyak lagi produk-
produk perbankan Islam yang akan diperkenalkan dan memerlukan lebih
ramai kepakaran bagi melaksanakannya. Dan apabila menyebut berkenaan
dengan perbankan Islam, kewangan Islam dan ekonomi Islam, siapa lagi
jika bukan umat Islam sendiri yang perlu bergiat aktif bagi memajukan lagi
industri ini dalam usaha menjauhkan saudara-saudara kita dari terlibat
dengan riba, judi dan gharar.

122

BAB 5
PERAKAUNAN DALAM AL-RAHNU

5.1 Pendahuluan

Malaysia merupakan sebuah negara yang makmur dan menikmati
kestabilan politik serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Rakyatnya yang berbilang kaum dan agama hidup secara harmoni dan
aman damai. Namun begitu, di sebalik kepesatan ekonomi yang dicapai,
satu realiti yang tidak dapat dinafikan ialah tidak semua masyarakat di
negara ini terdiri daripada golongan berada dan hidup senang. Ada yang
susah dan memerlukan bantuan, ada juga yang tidaklah terlalu miskin tetapi
memerlukan wang tunai pada waktu tertentu bagi memenuhi keperluan
masing-masing (Mahmud Saedon Awang Othman, 1993). Maka
perkhidmatan yang sering dipilih oleh kebanyakan orang terutama mereka
yang terdesak untuk memperolehi wang tunai dengan segera dan mudah
ialah pajak gadai (Ab. Mumin Ab. Ghani, 1999).

Pajak gadai merupakan
antara institusi mikro kredit yang
begitu mendapat sambutan
daripada orang ramai bagi
mendapatkan perkhidmatan
mudah tunai. Walaupun terdapat
pandangan yang negatif
terhadap mereka yang
menggunakan perkhidmatan
pajak gadai, namun pajak gadai
tetap menjadi saluran utama
bagi golongan yang
berpendapatan rendah untuk
mendapatkan wang (Che Mohd
Yusri Che Hashim, 1995). Pernah satu kempen dijalankan bertujuan
mengelakkan masyarakat daripada berurusan di kedai-kedai pajak gadai,
namun rancangan tersebut tidak berjaya memandangkan golongan yang
berpendapatan rendah sudah tidak mempunyai alternatif lain untuk
mendapatkan pinjaman (Mohd Hamdan Hj. Adnan, 2002).

Terdapat perbezaan yang ketara antara mereka yang bergaji tetap
dan mempunyai harta yang mana boleh disandarkan kepada bank apabila
membuat pinjaman, dengan mereka yang berpendapatan kecil dan tidak
mempunyai sebarang aset untuk dijadikan sebagai jaminan kepada pihak

124

bank. Bank ragu-ragu untuk memberi pinjaman kewangan kepada golongan
yang berpendapatan rendah disebabkan jaminan pembayaran balik untuk
pinjaman tersebut hampir tiada. Bank-bank perdagangan boleh memberikan
pinjaman peribadi kepada individu yang memerlukannya tetapi pada masa
yang sama mengenakan syarat-syarat yang terlalu ketat. Pinjaman peribadi
tersebut dilihat lebih menjurus kepada soal keselamatan kepada bank yang
memberi pinjaman kerana bank menghendaki jaminan daripada peminjam.
Kesannya, golongan yang berpendapatan rendah tidak dapat membuat
pinjaman dengan bank menyebabkan mereka beralih kepada perkhidmatan
pajak gadai bagi menyelesaikan masalah kepicikan wang yang dihadapi
(Abibullah Haji Samsudin, 2002).

Wang yang dipinjam itu digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada
untuk memenuhi keperluan peribadi, dijadikan modal perniagaan atau untuk
membiayai kos pendidikan. Keperluan peribadi adalah seperti membayar
cukai jalan kenderaan, kos perubatan dan keperluan asas. Bagi keluarga
yang kurang berkemampuan, wang pinjaman tersebut digunakan untuk
membiayai persekolahan anak-anak. Peniaga-peniaga kecil pula
menjadikan wang pinjaman tersebut sebagai modal untuk perniagaan
(Syarifah Md. Yusof, 2005). Pajak gadai menjadi pilihan mereka disebabkan
sukar mendapat pinjaman dari institusi-institusi kewangan. Mereka
menggadai barang kemas untuk tujuan mendapatkan modal pusingan
perniagaan dan akan menebusnya kembali setelah mendapat keuntungan
daripada perniagaan yang dijalankan.

Jadual 5.1 berikut menunjukkan tujuan-tujuan menggadai

berdasarkan satu kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan dan

Perundingan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (INPUT)

terhadap 1321 orang responden di sebahagian besar kaunter al-Rahnu di

Bank Rakyat dan Bank Islam Malaysia Berhad (Abibullah Haji Samsudin,

2002):

Jadual 5.1 Tujuan-tujuan Menggadai

Tujuan menggadai Peratus (%)

Keperluan wang segera 49.2

Pendidikan 30.1

Modal perniagaan 17.9

Membayar hutang 6.8

Membeli peralatan rumah 3.1

Perubatan 3.0

125

Membeli kenderaan 1.9
Membeli rumah 1.5
1.1
Keselamatan barang kemas 0.8
Mencari pengalaman bergadai 0.8
0.4
Membeli tanah
Melancong

5.2 Sejarah Pajak Gadai di Malaysia

Pajak gadai merupakan satu bentuk perkhidmatan pinjaman yang mudah
dan cepat serta hanya memerlukan cagaran barang berharga sahaja.
Sekiranya pinjaman tersebut tidak dapat dijelaskan apabila sampai
tempohnya, maka cagaran tersebut akan dilelong untuk menjelaskan
hutang tersebut (Mohd Sharif Baharudin, 2002). Oleh yang demikian, tidak
hairanlah amalan pajak gadai ini bukanlah suatu perkara baru dalam
kalangan masyarakat dunia. Sejarah mencatatkan amalan pajak gadai telah
wujud sejak zaman Babylon, Athens dan Rom lagi. Seseorang boleh
mencagarkan apa-apa saja barang seperti barang kemas, pakaian berharga
atau alat penyembahan dan pemujaan untuk mendapatkan wang (Syarifah
Md. Yusof, 2005). Menurut T. S Whelan (1979), sejarah pajak gadai di
China dikesan bermula pada suku terakhir kurun kelima selepas Masihi
semasa Dinasti Ch’i Selatan (479-502M). Pada masa itu perkhidmatan
pajak gadai berada di bawah kawalan golongan sami Buddha. China di
bawah pemerintahan Dinasti Ch’ing pada awal kurun ke-19 menyaksikan
pertumbuhan bilangan kedai pajak gadai yang mencecah hampir 25 ribu
buah. Hal ini kerana perniagaan pajak gadai memberikan keuntungan yang
lebih besar berbanding mengusahakan tanah.

Amalan pajak gadai di Tanah Melayu dikatakan telah wujud sejak
abad ke-15 lagi dan diperkenalkan oleh pedagang-pedagang Cina pada
zaman Kesultanan Melayu Melaka (Burhanuddin Abdul Jalal, 1994; Mustafa
Dakian, 2005). Kegiatan pajak gadai semakin berkembang dengan
wujudnya kegiatan perlombongan bijih timah di Larut pada abad ke-19 (Bala
Shanmugam dan Michael T. Skully, 1991). Pada masa kini, kita dapat
melihat kebanyakan kedai pajak gadai di Malaysia didominasi oleh
pengusaha-pengusaha daripada kaum Cina. Mereka memonopoli kedai-
kedai pajak gadai di merata tempat termasuklah di pekan-pekan kecil di
seluruh negara (Mohd Sharif Baharudin, 2002). Pajak gadai yang dijalankan
secara konvensional ini mengenakan kadar faedah yang tinggi bagi setiap

126

pinjaman yang diberikan. Sistem konvensional ini dilihat lebih bermotifkan
keuntungan daripada membantu mereka yang terpaksa meminjam akibat
desakan hidup (Mustafa Dakian, 2005).

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Prof. Diraja Ungku Aziz, beliau
mendapati kegiatan pajak gadai yang dijalankan selama ini benar-benar
menindas golongan yang berpendapatan rendah. Perkhidmatan pajak gadai
ini dikatakan satu penindasan kerana kadar bunga yang dikenakan
terhadap peminjam terlalu tinggi iaitu antara 2 hingga 4 peratus sebulan
(Dinsman, 1994). Apa yang menyedihkan ialah sebahagian besar
pelanggan pajak gadai di Malaysia adalah terdiri dari kalangan orang Islam
yang berpendapatan rendah. Hal ini terjadi mungkin kerana si penggadai
tidak ambil kisah dengan hukum halal haram sesuatu perkara, yang penting
tujuan mereka untuk mendapatkan wang tercapai.

Walaupun aktiviti pajak gadai ini dikawal oleh undang-undang di
bawah Akta Pemegang Pajakgadai 1972, namun akta ini masih gagal
membendung masalah penindasan dan penyelewengan yang dilakukan
oleh golongan pengusaha pajak gadai terhadap peminjam, bahkan hal ini
menggalakkan lagi pengamalan riba. Akta ini membenarkan pengusaha
pajak gadai mengenakan faedah ke atas setiap pinjaman yang diberikan
iaitu tidak melebihi 2 peratus sebulan. Hal ini bermakna jika tempoh
pinjaman selama setahun maka kadar faedah yang dikenakan adalah
sebanyak 24 peratus. Kadar faedah sebanyak ini boleh dianggap sebagai
eksploitasi memandangkan pelanggan pajak gadai terdiri daripada golongan
miskin (Nor Mohamed Yakcop, 1996). Sudah tentu sistem pajak gadai
konvensional yang mengenakan faedah terhadap pinjaman ini bertentangan
dengan ajaran Islam yang mengharamkan riba dan penindasan.

5.3 Pajak Gadai Islam Mula Diperkenalkan

Atas kesedaran pelbagai pihak terhadap penyelewengan dan penindasan
yang dilakukan oleh pengusaha pajak gadai konvensional, maka pelbagai
kajian telah dijalankan sehingga membawa kepada pengenalan sistem
pajak gadai Islam pada awal tahun 1990-an. Sistem pajak gadai Islam di
Malaysia dipelopori oleh Kerajaan Negeri Terengganu yang melancarkan
secara rasmi Muassasah Gadaian Islam Terengganu (MGIT) pada 23
Januari 1992 yang berkonsepkan al-rahn dan al-qard al-hasan. Pada 12
Mac 1992, Permodalan Kelantan Berhad pula menubuhkan Kedai al-Rahnu

127

(KAR) yang memperkenalkan konsep upah simpan dalam pajak gadai
Islam. Seterusnya Bank Rakyat dengan kerjasama Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) turut memperkenalkan skim al-Rahnu
pada 27 Oktober 1993 (Ab. Mumin Ab. Ghani, 1999; Mustafa Dakian, 2005;
Syarifah Md. Yusof, 2005).

Skim pajak gadai Islam yang diperkenalkan telah mendapat
sambutan yang begitu memberangsangkan daripada masyarakat kerana
skim ini merupakan sistem yang adil dan telus serta mengutamakan
kebajikan terhadap masyarakat yang memerlukan wang (Dalia Ismail,
1994).

5.4 Konsep al-Rahnu

Al-Rahnu merupakan satu akad atau kontrak muamalat yang diharuskan
oleh syarak. Menurut Kamus Dewan (1991), perkataan gadai bermaksud
pinjaman wang dengan menyerahkan barang sebagai cagaran untuk
tempoh tertentu. Jika barang tersebut tidak ditebus kembali dalam tempoh
yang ditetapkan, barang itu akan menjadi milik pemberi pinjaman.

Gadaian atau al-rahn dalam bahasa Arab mempunyai beberapa
makna. Ibn Manzur (1994), al-Razi (1972) dan Ibn Faris (1970)
mentakrifkannya sebagai “al-thubut wa al-dawam” yang bermaksud tetap
dan kekal. Al-Zubaydi (t.t.) dan al-Azhari (t.t.) pula mengatakan al-rahn ialah
“al-habs” yang bermaksud menahan atau mengikat. Menurut Wahbah al-
Zuhayli (1989), kedua-dua definisi tersebut mempunyai makna yang sama
dan saling melengkapi antara satu sama lain. Selain itu, perkataan al-rahnu
boleh juga bermaksud jaminan dan barang gadaian itu sendiri.

Dari sudut istilah syarak, al-Rahnu ialah menjadikan sesuatu barang
atau harta sebagai cagaran terhadap hutang yang boleh dibayar dengannya
ketika hutang tersebut tidak dapat dijelaskan (al-Syarbini al-Khatib, 1958).

Al-Rahnu merupakan satu mekanisme di mana suatu barang yang
berharga dijadikan sebagai sandaran yang terikat dengan hutang bercagar
yang boleh dibayar dengannya. Sekiranya hutang tersebut tidak dapat
dijelaskan dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka barang tersebut akan
dijual untuk menebus jumlah hutang, manakala lebihan hasil jualan tersebut

128

jika ada, akan dipulangkan kepada pemilik asal barang gadaian (Joni
Tamkin Borhan, 2005).

Hal ini bermakna barang gadaian akan menjadi cagaran dan
jaminan terhadap hutang yang diberikan oleh pemegang gadai terhadap
penggadai. Sekiranya penggadai gagal menjelaskan hutangnya dalam
tempoh yang ditetapkan, Islam membenarkan pemegang gadai menjual
barang gadaian tersebut untuk mendapatkan haknya kembali dan baki
harga barang gadaian tersebut jika ada akan dikembalikan kepada
penggadai. Jelas di sini, tujuan daripada gadaian menurut Islam adalah
untuk menjaga hak tuan punya hutang iaitu haknya tidak akan hilang
sekiranya penghutang tidak dapat menjelaskan hutangnya.

5.5 Pensyariatan al-Rahnu

Hukum gadaian ialah harus sebagaimana jual beli berdasarkan nas-nas al-
Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulamak (Abdul Rahman al-Jaziri, 1970).

a) al-Quran

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu
berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang
kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan
barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi
hutang)”.

(Surah al-Baqarah: 283)

b) al-Sunnah

Hadith berkenaan hukum boleh melakukan transaksi gadaian adalah seperti
berikut:

‫َع ْن َعائِ َشةَ َر ِضي اللَّهم َع ْن َها أَ َّن ال َنّبِ َّي َص َّلى ال ّلَهم َعلَ ْي ِه َو َس َّل َم ا ْشتَ َرى ِم ْن‬
ُ‫يَ ُهو ِديٍّ َطعَا ًما إِ َلى أَ َج ٍّل َو َر َهنَهُ ِد ْر َعه‬

129

Maksudnya:

“Sayyidatina ‘Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW
membeli makanan daripada seorang Yahudi secara
berhutang dan baginda SAW menggadaikan baju
besinya.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

c) Ijma’ ulamak

Semua ulamak bersepakat bahawa hukum gadaian ialah harus (Ibnu
Qudamah, 1972; Mustafa al-Khin et al., 1996).

5.6 Rukun Gadaian al-Rahnu

Rukun-rukun gadaian adalah seperti berikut:

1) Penggadai iaitu orang yang berhutang.
2) Pemegang gadai iaitu tuan punya hutang.
3) Barang gadaian.
4) Sebab gadaian iaitu hutang.
5) Sighah iaitu perkataan yang datang daripada penggadai dan

pemegang gadai yang menunjukkan berlakunya akad gadaian
(ijab/qabul).

5.7 Aplikasi al-Rahnu di Malaysia

5.7.1 Pajak Gadai-i Bank Rakyat

Skim al-Rahnu merupakan usaha sama antara Bank Rakyat, Yayasan
Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Bank Negara.
Perkhidmatan al-Rahnu ini diperkenalkan dengan tujuan untuk membantu
golongan yang memerlukan wang tunai dengan segera tanpa mengenakan
faedah. Menerusi skim ini, hanya upah simpan dikenakan bagi barang
kemas yang digadai yang jumlahnya lebih rendah berbanding dengan kadar
faedah yang dikenakan oleh pajak gadai konvensional.

130

Pada 21 Ogos 1993, Menteri Kewangan pada ketika itu telah
mengumumkan bahawa skim al-Rahnu akan dilaksanakan oleh Bank
Rakyat dengan kerjasama YaPEIM. Oleh yang demikian, pada 11 Oktober
1993, satu memorandum persefahaman skim pajak gadai Islam al-Rahnu
telah ditandatangani antara kedua-dua belah pihak. Menerusi kerjasama
berbentuk perkongsian untung secara amanah ini, Bank Rakyat bertindak
sebagai pelaksana operasi skim al-Rahnu melalui cawangan-cawangannya
di seluruh negara manakala YaPEIM pula menyediakan peruntukan
kewangan dan menjadi penyelaras modal daripada pihak lain (Bank Rakyat,
1996).

Sebagai permulaan, YaPEIM menyumbangkan modal sebanyak
RM5 juta dalam bentuk pelaburan khas al-Mudarabah bagi melaksanakan
skim ini dengan Bank Rakyat (Bank Rakyat, 1993). Majlis dan yayasan
Islam negeri turut menyumbangkan modal masing-masing berjumlah
RM10.9 juta antaranya Yayasan Islam Negeri Kedah, Majlis Agama Islam
Negeri Kedah, Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Perlis, Majlis
Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis
Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama
Islam Johor dan Tabung Baitulmal Sarawak (Majlis Islam Sarawak)
(Norsham Firdaus, 1994).

Penglibatan Bank Rakyat dalam kegiatan pajak gadai adalah
berdasarkan keputusan Bank Negara Malaysia walaupun Bank Rakyat tidak
berada di bawah kawalan dan pengawasan bank pusat tersebut pada ketika
itu (Dinsman, 1994).

Terdapat beberapa faktor mengapa Bank Rakyat dipilih sebagai
organisasi untuk melaksanakan skim pajak gadai Islam al-Rahnu, antaranya
ialah (Nor Mohamed Yakcop, 1996):

a) Bank Rakyat merupakan sebuah koperasi yang dikecualikan
daripada peruntukan-peruntukan Akta Pemegang Pajak Gadai 1972.

b) Bank Rakyat mempunyai rangkaian cawangan yang banyak dan
terdapat di setiap pusat bandar di setiap negeri.

c) Bank Rakyat komited untuk melaksanakan sistem perbankan Islam
secara keseluruhan dan telah mula menawarkan produk-produk
perbankan Islam.

131

Mulai 27 Oktober 1993, skim al-Rahnu telah diperkenalkan di enam
buah cawangan Bank Rakyat dalam fasa pertama iaitu di cawangan Muar,
Seremban, Butterworth, Bandar Tun Razak, Mergong dan Kuala
Terengganu (Bank Rakyat, 1994). Fasa kedua dilancarkan pada 22 Januari
1994 di cawangan-cawangan Jitra, Baling, Machang, Temerloh dan Taiping.
Dalam fasa ketiga pula, skim al-Rahnu diperkenalkan di cawangan-
cawangan Kulim, Klang, Sitiawan, Bagan Serai dan Melaka pada 26
Februari 1994 (Kadir Ahmad et al., 1994).

Sejak skim pajak gadai Islam al-Rahnu ini diperkenalkan, sambutan
masyarakat terhadapnya sangat menggalakkan melebihi jangkaan pihak
pengurusan Bank Rakyat sendiri. Skim al-Rahnu bukan sahaja mendapat
sambutan daripada orang Melayu, bahkan golongan bukan Islam juga turut
menggunakan perkhidmatan ini. Sehingga kini, seluruh cawangan Bank
Rakyat di seluruh negara telah menawarkan skim ini dalam usaha
memberikan kemudahan kepada masyarakat khususnya golongan yang
berpendapatan rendah.

5.7.1.1 Objektif al-Rahnu Bank Rakyat

Produk al-Rahnu yang ditawarkan oleh Bank Rakyat mempunyai beberapa
objektif seperti berikut (Muhammad Saiful Islami, 2006):

1) Menyediakan kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan
wang tunai secara segera melalui satu sistem yang adil dan telus.

2) Menghapuskan unsur riba dalam urusan pajak gadai.
3) Menyediakan pilihan kepada umat Islam untuk berurusan dengan

pajak gadai secara Islam yang murah lagi adil.
4) Membebaskan golongan peminjam khususnya umat Islam daripada

penindasan pajak gadai konvensional.
5) Memecahkan monopoli perniagaan pajak gadai yang dikuasai oleh

satu kaum sahaja.

5.7.1.2 Produk Pembiayaan Pajak Gadai-i Bank Rakyat

Produk Pajak Gadai-i Bank Rakyat menawarkan pembiayaan tunai segera
dan mudah sehingga RM350,000 dengan kadar keuntungan yang rendah
berdasarkan prinsip syariah. Ia menawarkan kemudahan pembiayaan
berdasarkan gadaian dari barang kemas/barangan emas (marhun) oleh

132

pelanggan. Marhun yang diterima perlu mempunyai mutu antara 18 hingga
24 karat dengan berat tidak melebihi 300 gram. Marhun bukanlah dalam
bentuk patung keagamaan atau makhluk bernyawa. Bank Rakyat
menawarkan margin pembiayaan maksimum sehingga 80% dari nilai
marhun. Manakala jumlah pembiayaan sehari atau terkumpul adalah
sehingga RM350,000.

Kemudahan pembiayaan pajak gadai-i Bank Rakyat menggunakan
prinsip syariah murabahah dan tawarruq di mana bank akan membeli
komoditi yang patuh syariah (contohnya minyak sawit) daripada pihak
pembekal komoditi dengan harga kos, dan seterusnya bank menjual
komoditi tersebut kepada pelanggan berdasarkan kontrak murabahah pada
harga jualan (meliputi kos komoditi beserta keuntungan) secara tangguh.

Seterusnya, bank mewakili pelanggan sebagai ejen jualan untuk
menjual komoditi kepada pihak ketiga secara tunai. Kutipan tunai daripada
pembeli iaitu pihak ketiga akan dimasukkan ke dalam akaun atau diberikan
secara tunai kepada pelanggan. Prinsip al-rahnu pula merujuk kepada
pelanggan menjadikan aset barangan emas mereka sebagai cagaran atau
jaminan kepada jumlah pembiayaan yang diberikan oleh bank.

Pelanggan bertanggungjawab memastikan jumlah keuntungan dan
jumlah pembiayaan dibayar sepertimana yang dinyatakan dalam perjanjian
walaupun pelanggan menghadapi masalah kewangan.

Jadual 5.2 Jumlah Keuntungan dan Jumlah Pembiayaan yang Perlu Dibayar
oleh Penggadai

133

Bank menetapkan kadar keuntungan berdasarkan nilai marhun dan
tempoh bilangan bulan gadaian ditebus. Pengiraan kadar keuntungan
adalah seperti berikut:

Jadual 5.3 Kadar Keuntungan Pihak Bank

5.7.1.3 Keistimewaan al-Rahnu Bank Rakyat
Bank Rakyat memperkenalkan produk al-Rahnu dengan tujuan untuk
membantu masyarakat yang memerlukan wang tunai dengan segera dan
mudah. Terdapat pelbagai keistimewaan produk al-Rahnu Bank Rakyat
yang menjadikannya sebagai produk popular dalam kalangan masyarakat
berpendapatan rendah khususnya orang Melayu, antaranya seperti berikut:
1) Bebas riba.
2) Tiada yuran proses.
3) Kadar keuntungan dikira secara harian.
4) Tempoh gadaian yang lama iaitu 18 bulan.
5) Barang gadaian disimpan dengan selamat dan dilindungi takaful

melalui pembekal takaful yang dilantik oleh bank.
6) Suasana dalaman al-Rahnu Bank Rakyat yang selesa dengan adanya

kemudahan-kemudahan seperti tempat duduk, televisyen, pendingin
hawa dan akhbar yang disediakan untuk bacaan.

134

7) Layanan kakitangan al-Rahnu Bank Rakyat yang mesra, cekap dan
profesional.

8) Urusan niaga telus dan dibuat di hadapan pelanggan di kaunter khas.
9) Jika penggadai tidak dapat menebus barang gadaiannya, maka bank

akan melelong barang tersebut. Lebihan daripada lelongan itu jika ada
akan diserahkan kembali kepada penggadai.

Dengan adanya ciri-ciri keistimewaan tersebut menyebabkan produk
al-Rahnu Bank Rakyat mendapat sambutan yang sangat menggalakkan
dalam kalangan pelanggan pajak gadai seterusnya dapat menjadi alternatif
terbaik terhadap pajak gadai konvensional oleh kerana ia berlandaskan
syariah (Muhammad Saiful Islami, 2006). Perkhidmatan al-Rahnu bukan
sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah keperluan tunai dengan
cepat, bahkan dapat menjadi alternatif pembiayaan yang mudah untuk
golongan usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana. Bank
Rakyat berusaha mengubah persepsi masyarakat mengenai al-Rahnu yang
bukan sahaja untuk mereka yang mempunyai masalah kewangan, malah
boleh dijadikan tempat simpanan aksesori emas yang selamat serta bebas
dari unsur riba yang dilarang Islam (bharian, 2020).

5.7.2 al-Rahnu X’Change

Al-Rahnu X’Change merupakan francais perkhidmatan pajak gadai Islam
(Ar-Rahnu) Bank Rakyat. Ar-Rahnu X’Change memulakan operasinya pada
7 Disember 2006. Pada masa kini, ia beroperasi di 114 buah rangkaian di
seluruh negara. Ar-Rahnu X’Change menawarkan pinjaman tunai segera
yang bercagarkan barangan kemas sehingga RM650,000 menerusi skim
Ar-Rahnu, Az-Zahab dan Az-Zahab Premium.

Operasi perniagaan Ar-Rahnu X’Change adalah berasaskan kepada
kepakaran dan pengalaman Ar-Rahnu Bank Rakyat sejak tahun 1993. Bank
Rakyat memfrancaiskan produk Ar-Rahnu dalam kerangka membantu
membangunkan perniagaan koperasi. Menerusi sistem francais, Bank
Rakyat membenarkan sesebuah koperasi untuk memegang hak sebagai
francaisi bagi menjalankan perniagaan pajak gadai Ar-Rahnu. Rakyat
Management Services Sdn. Bhd yang merupakan subsidiari milik penuh
Bank Rakyat, bertanggungjawab sebagai francaisor dalam menguruskan
operasi perniagaan francais ini (arrahnuxchange, 2020).

135

Produk Ar-Rahnu X’Change adalah berlandaskan prinsip Syariah
berikut; al-Qard, al-Wadi’ah Yad Damanah dan al-Ujrah.

Prinsip al-qard merujuk kepada suatu kontrak hutang terhadap
sesuatu yang bernilai dengan pembayaran balik pada kadar yang sama.
Dalam kata lain, konsep ini bererti pinjaman kebajikan tanpa faedah yang
diberikan kepada peminjam. Berdasarkan konsep ini, peminjam hanya
membayar balik hutangnya pada kadar yang sama dengan jumlah pinjaman
yang diberikan oleh pemberi pinjam. Justeru, kontrak pinjaman dalam Islam
bebas daripada unsur riba yang menindas peminjam dan bercanggah
dengan dasar tolong-menolong antara golongan yang mampu dengan yang
tidak mampu (Abdul Rashid Haji Dail, 1994; Abdul Halim Muhammad,
2001).

Prinsip al-wadi‘ah yad dhamanah pula merujuk kepada simpanan
barang berharga dengan jaminan terhadap keselamatan barang tersebut.
Simpanan ini akan dikenakan upah terhadap penggadai. Konsep upah
simpan ini dikenali sebagai al-ujrah. Penggadai perlu membayar upah
simpan mengikut kadar yang ditetapkan apabila hendak menebus barang
gadaian bersama-sama dengan jumlah yang dipinjam (Syarifah Md. Yusof,
2005).

Keistimewaan produk Ar-Rahnu X’Change adalah seperti berikut:

1) Bebas riba
2) Upah simpan yang rendah
3) Tempoh gadaian yang fleksibel
4) Perlindungan takaful sepenuhnya terhadap barang gadaian
5) Bayaran pinjaman yang fleksibel
6) Elemen keadilan yang dipraktikkan di dalam proses lelongan.

Hasil lelongan ke atas gadaian yang tidak ditebus akan
digunakan untuk melunaskan baki hutang manakala
lebihannya akan dikembalikan semula kepada pelanggan
berkenaan.

5.7.3 Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
(YaPEIM)

136

YaPEIM merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Kerajaan
Persekutuan yang dikenali sebagai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia. Ia ditubuhkan pada 13 Oktober 1976 dan diperbadankan di
bawah Trustees (Incorporation) Act 1952. Bagi menggerakkan potensi dan
meluaskan lagi peranannya terhadap pembangunan ekonomi Islam di
Malaysia, ia disusun dan dilancarkan semula pada 20 Julai 1984 oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu (YaPEIM, 2010).

Skim al-Rahnu di Malaysia mula diperkenalkan secara rasmi oleh
YaPEIM bersama Bank Negara Malaysia (Bank Negara) melalui Bank
Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) pada 27 Oktober 1993.
Sebelum skim ini diperkenalkan secara rasmi, ia diwujudkan di Malaysia
berasaskan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 1985
yang pada dasarnya bersetuju dengan Rancangan Penubuhan Pajak Gadai
Islam. Kemudiannya ia dilancarkan secara rasmi pada 16 Julai 1994.

Skim al-Rahnu YaPEIM yang diperkenalkan oleh YaPEIM
mempunyai beberapa objektif, antaranya ialah:

a) Sebagai alternatif lain kepada masyarakat bagi memenuhi keperluan
tunai yang diinginkan yang diperolehi secara cepat dan mudah
melalui transaksi gadaian yang berlandaskan hukum syarak.

b) Skim al-Rahnu berperanan sebagai kemudahan mikro kredit secara
mudah dan cepat kepada masyarakat khususnya bagi golongan yang
berpendapatan rendah untuk kegunaan sebagai modal perniagaan
secara kecil-kecilan dan lain-lain aktiviti yang produktif.

Produk Ar Rahnu YaPEIM menggunakan lima prinsip Syariah iaitu
(arrahnuyapeim, 2020):

1) Ijarah al-Khadamat
- Merujuk kepada kontrak sewaan bagi perkhidmatan.

2) Musawamah
- Merujuk kepada jual beli aset yang tidak melibatkan pendedahan
kos pembelian dan keuntungan kepada pembeli.

3) Wakalah

137

- Merujuk kepada perwakilan atau wakil yang menjaga,
memelihara dan menjamin sesuatu urusan.

4) Tawarruq
- Merujuk kepada urusniaga mumalah yang melibatkan dua
peringkat. Pada peringkat pertama, berlaku pembelian aset
antara pembeli dan penjual. Manakala pada peringkat kedua,
pembeli akan menjual aset kepada pihak ketiga.Ketiga-tiga pihak
yang terlibat ini tiada kaitan antara satu sama lain.

5) Ar-Rahnu
- Merujuk kepada suatu barang berharga dihadkan sandaran yang
terikat dengan hutang (pembiayaan) bercagar yang boleh
dibayar dengannya sekiranya hutang tersebut tidak dijelaskan.

YaPEIM melalui institusi pelaksananya iaitu Koperasi YaPEIM
Berhad, memperkenalkan skim al-Rahnu dalam rangka untuk meningkatkan
taraf sosial ekonomi masyarakat untuk kepentingan pembangunan ummah
khususnya untuk golongan yang memerlukan sumber kewangan dalam
tempoh yang singkat. Antara produk Ar Rahnu yang ditawarkan oleh
YaPEIM ialah Ar Rahnu Prestij, Ar Rahnu Bisnes, Ar Rahnu Emas dan Ar
Rahnu Didik.

Berikut ialah beberapa kelebihan yang terdapat dalam produk ini:

(i) Pembiayaan berlandaskan syariah.
(ii) Cepat dan mudah.
(iii) Barang gadaian dijamin keselamatannya.
(iv) Mengenakan upah simpan berdasarkan nilai marhun.
(v) Kadar upah tetap (tidak berubah) sehingga penebusan.
(vi) Tempoh gadaian terhadap barang gadaian lebih lama.

Tempoh gadaian asas (tempoh matang) ialah 6 bulan.
Kemudian tempoh lanjutan pertama adalah selama 2 bulan
dan begitu juga tempoh lanjutan kedua.
(vii) Lebihan hasil lelongan dikembalikan kepada penggadai.

Dengan adanya ciri-ciri kelebihan tersebut telah menarik lebih ramai
pelanggan pajak gadai untuk mendapatkan perkhidmatan Ar-Rahnu

138

YaPEIM dan seterusnya menjadi alternatif terbaik terhadap pajak gadai
konvensional.

Menurut Mohd Daud Bakar (2020), skim Ar Rahnu YaPEIM sangat
memberi impak positif secara langsung kepada kemudahan mikro kredit
usahawan. Berdasarkan prestasi terkumpul Ar Rahnu dari tahun 2000
hingga Jun 2019, YaPEIM telah menyediakan RM14.15 bilion nilai marhun
manakala jumlah pinjaman secara keseluruhan adalah sebanyak RM9.03
bilion melibatkan jumlah pelanggan seramai 689,776 orang. Sejumlah 5.14
juta urusniaga telah direkodkan sepanjang tempoh tersebut. Mengikut
statistik YaPEIM, seramai 135,602 usahawan dalam pelbagai bidang
perniagaan telah berjaya dibantu oleh YaPEIM menerusi skim Ar-
Rahnunya. Kini, YaPEIM menawarkan skim Ar Rahnu di 203 cawangannya
dan sembilan kaunter bergerak di seluruh negara (sinarharian, 2020).
5.8 Isu Syariah Dalam Kontrak al-Rahnu
Adakah kontrak al-Rahnu yang sedia ada menepati keperluan syariah?
Sebelum persoalan ini diulas lebih lanjut, mari kita fahami dahulu
pelaksanaan skim pajak gadai Islam Ar-Rahnu.

Gambarajah 5.1 Modus Operandi Produk al-Rahnu Berasaskan Kontrak al-
Qard dan al-Rahnu

Sumber: Keputusan Majlis Penasihat Syariah ke-194 dan 195, Bank Negara

Malaysia, 2019.

139


Click to View FlipBook Version