Afandi Ahmad | Membayang & Memikirkan Semula Transformasi Pendidikan Kejuruteraan Elektronik Baharu Muka Surat 148/149
[email protected]
Muka Surat 149/149 Afandi Ahmad | Membayang & Memikirkan Semula Transformasi Pendidikan Kejuruteraan Elektronik Baharu
Ringkasan Eksekutif
Tujuan – Kajian ini bertujuan untuk membangunkan polisi transformasi pendidikan kejuruteraan
elektronik baharu yang boleh dipertimbangan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE),
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai tindakan penambahbaikan kualiti berterusan
(continual quality improvement – CQI) terhadap program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik dengan
Kepujian yang ditawarkannya.
Kaedah – Beberapa kaedah penyelidikan dimanfaatkan dalam penyediaan polisi transformasi ini
merujuk kepada kajian meja (desk research) serta disokong bersama menerusi kumpulan fokus
bersasar. Dalam pada itu, kaedah kajian masa hadapan dan analisis pemetaan kepanasan dalam
mengenalpasti status quo isu sebelum pembangunan polisi juga diteroka dan dimanfaatkan. Menerusi
kajian mini berkaitan kompetensi pula, kaedah penyelidikan-Q digunakan bagi mengkaji persepsi dan
pengalaman pemegang taruh yang berkaitan.
Dapatan – Kajian ini telah mengupas situasi semasa permasalahan ketidaktentuan kemasukan pelajar
bagi program kejuruteraan elektronik di FKEE serta impak langsungnya terhadap kelestarian program,
organisasi malah juga negara. Menerusinya juga, kerangka pendidikan kejuruteraan yang berdaya
tahan terhadap pelbagai isu seperti cabaran dunia VUCA (volatility, uncertainty, complexity, ambiguity),
kelestarian, kebolehpasaran dan teknologi diformulasikan, merujuk kepada pendidikan berpusatkan
pelajar, amalan kontekstual, kompetensi profesional, pembelajaran digital dan pendidikan berteraskan
nilai. Hasilnya, lima (5) polisi transformasi dengan tahap kebolehlaksanaan yang tinggi dicadangkan
berkisar kepada pengalaman tahun pertama, projek rekabentuk bersepadu dan makmal, pentaksiran
fleksibel dan maklum balas pelajar, makmal kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, serta
hubungan strategik bersama pemegang taruh.
Sumbangan – Walaupun konteks kajian menjurus kepada program kejuruteraan elektronik di FKEE
UTHM, namun kandungan formulasi kerangka dan polisi transformasi bermanfaat untuk semua
pemutus dasar pendidikan dan latihan (edu-train), pembangun kurikulum dan pelaksana dalam aliran
pendidikan kejuruteraan, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), malah boleh juga
disesuaikan untuk program pengajian tinggi lain. Dengan memahami kepentingan model pendidikan
kejuruteraan yang bersifat kalis masa hadapan serta pelaksanaan polisi transformasinya, ekosistem
pendidikan yang menyeluruh dapat disediakan ke arah memperkasa peranan universiti dalam
membangunkan modal insan, selaras dengan agenda 4 pendidikan berkualiti dalam matlamat
kelestarian global (SDG).