PENGARUH PERSEKITARAN PEMBELAJARAN TERHADAP
KEMAHIRAN KERJA BERPASUKAN DALAM KALANGAN PELAJAR
TAHUN AKHIR DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA DI SELANGOR
Oleh
MARTINI BINTI MOHAMAD
Tesis yang dikemukakan kepada Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Putra
Malaysia, sebagai memenuhi keperluan untuk Ijazah Master Sains
April 2018
1.4.1-i
HAK CIPTA
Semua bahan yang terkandung dalam tesis ini, termasuk teks tanpa had, logo, iklan,
gambar dan semua karya seni lain, adalah bahan hak cipta Universiti Putra Malaysia
kecuali dinyatakan sebaliknya, Penggunaan mana-mana bahan yang terkandung
dalam tesis ini dibenarkan untuk tujuan bukan komersil daripada pemegang hak
cipta. Penggunaan komersil bahan hanya boleh dibuat dengan kebenaran bertulis
terdahulu yang nyata daripada Universiti Putra Malaysia,
Hak cipta © Universiti Putra Malaysia
i
Abstrak tesis yang dikemukakan kepada Senat Universiti Putra Malaysia sebagai
memenuhi keperluan untuk ijazah Master Sains
PENGARUH PERSEKITARAN PEMBELAJARAN TERHADAP
KEMAHIRAN KERJA BERPASUKAN DALAM KALANGAN PELAJAR
TAHUN AKHIR DIPLOMA VOKASIONAL MALAYSIA DI SELANGOR
Oleh
MARTINI BINTI MOHAMAD
April 2018
Pengerusi : Abdullah Mat Rashid, PhD
Fakulti : Pengajian Pendidikan
Kemahiran kerja berpasukan merupakan antara kemahiran insaniah yang menjadi
keutamaan majikan dalam mendapatkan pekerja. Terdapat majikan di industri yang
mengaitkan kekurangan kemahiran kerja berpasukan antara faktor utama yang
menjejaskan kebolehpasaran graduan di Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk
melihat pengaruh persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara
pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan hubungan pelajar dengan kaedah
pembelajaran dengan kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar tahun
akhir program Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional di Selangor.
Rekabentuk kajian ini adalah kolerasi dan seramai 241 orang pelajar tahun akhir
telah terlibat sebagai responden kajian. Borang soal selidik yang digunakan dalam
kajian ini mengandungi lima bahagian iaitu maklumat demografi, persepsi pelajar
terhadap persekitaran pembelajaran berdasarkan hubungan antara pelajar, persepsi
pelajar terhadap persekitaran pembelajaran berdasarkan hubungan antara pelajar
dengan guru, persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran berdasarkan
hubungan antara pelajar dengan kaedah pembelajaran dan kemahiran kerja
berpasukan.
Dapatan kajian menunjukkan tahap kemahiran kerja berpasukan pelajar tahun akhir
program DVM, KV adalah tinggi. Wujudnya hubungan positif yang kuat antara
semua faktor persekitaran pembelajaran yang dikaji dengan tahap kemahiran kerja
berpasukan pelajar. Semua persekitaran pembelajaran dalam kajian ini juga
merupakan peramal signifikan kepada tahap kemahiran kerja berpasukan di mana
hubungan antara pelajar dengan kaedah pembelajaran dikenal pasti sebagai peramal
terbaik. Dapatan kajian memberikan implikasi bahawa persekitaran pembelajaran
yang positif berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan
i
guru dan hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran berupaya meningkatkan
tahap kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar. Tahap kemahiran kerja
berpasukan yang tinggi diperlukan dalam memastikan matlamat penubuhan Kolej
Vokasional yang mensasarkan 70% graduan menceburi bidang pekerjaan dapat
dicapai.
ii
Abstract of thesis presented to the Senate of Universiti Putra Malaysia in fulfilment
of the requirement for the degree of Master of Science
INFLUENCE OF THE LEARNING ENVIRONMENT ON TEAMWORK
SKILLS IN FINAL YEAR STUDENTS OF THE MALAYSIAN
VOCATIONAL DIPLOMA, VOCATIONAL COLLEGES IN SELANGOR
By
MARTINI BINTI MOHAMAD
April 2018
Chairman : Abdullah Mat Rashid, PhD
Faculty : Educational Studies
Teamwork skills is one of the soft skills which are prioritised by employees when
selecting employees. There are employees in the industry that link the lack of
teamwork skills as one of the main factors that affect the marketability of graduates
in Malaysia. This study is intended to observe the influence of the learning
environment based on the perception of relationship among students, relationship
between student and teacher and relationship between student and the method of
learning with teamwork skills among the final year students of the Malaysian
Vocational Diploma Programme, Vocational Colleges in Selangor. The design of the
research is by correlation and 241 final year students were involved as research
respondents. The questionnaire forms used in this research contains five sections
which are demographic information, student perception towards the learning
environment based on the relationship among students, perception of the student on
the learning environment based on the relationship between student and teacher,
student perception of the learning environment based on the relationship between
student and the method of learning and teamwork skills.
The findings of this research show that the level of teamwork skills among the final
year students of the MVD, VC programme is high. There exists strong positive
relationship among all the characteristics of the learning environments studied with
the level of teamwork skills of students. All the learning environments in this
research are also significant predictors of the level of teamwork skills where the
relationship between student and the method of learning is identified as the best
predictor. Research findings imply that a positive learning environment based on the
perception of relationship among students, relationship between student and teacher
and relationship between student and the method of learning is able to increase the
iii
level of teamwork skills among students. A high level of teamwork skills is required
to ensure that the objective of establishing Vocational Colleges which target 70% of
its graduates to participate in employment is achieved.
iv
PENGHARGAAN
Segala puji dan syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya saya dapat
menyiapkan penulisan ilmiah ini setelah melalui pelbagai suka duka yang dapat
dijadikan pengalaman yang sangat bermakna. Ucapan terima kasih yang tidak
terhingga kepada Profesor Madya Dr Abdullah Bin Mat Rashid selaku pengerusi
Jawatankuasa Penyeliaan tesis ini atas segala bimbingan, teguran dan nasihat yang
diberikan. Ribuan terima kasih juga kepada Dr Mohd Hazwan Bin Mohd Puad
selaku ahli jawatankuasa penyeliaan atas segala kerjasama dan teguran.
Akhirnya, terima kasih yang tidak terhingga juga buat suami tercinta Jezan Bin Md
Diah yang tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat dan dorongan. Buat
anak-anak tersayang Muhammad Hanif Haikal, Jafni Adawiyah, Jannah Adriana,
Muhammad Harraz Hamzi, Muhammad Hasif Hafiy dan Jalwa Alisha, kalian adalah
sumber kekuatan kepada Ummi untuk menyiapkan kajian ini. Semoga usaha ini
dapat memberi inspirasi kepada kalian di masa akan datang. Tidak lupa buat
ayahbonda tercinta Mohamad Bin Salleh dan Maznah Bt Ahmad serta bonda mertua
Jahulah Bt Abdul Aziz dan adik beradik tersayang yang sentiasa memberi semangat
dan sokongan. Juga buat semua rakan-rakan seperjuangan terutama Fazillah,
Lailatul, Ayub dan Suhaila serta semua pihak yang terlibat khususnya Bahagian
Tajaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan
memberikan keberkatan di dunia dan akhirat kepada semua.
Jazakumullah Khairan Kathira.
v
Saya mengesahkan bahawa Jawatankuasa Pemeriksa bagi Martini Binti Mohamad
telah mengadakan peperiksaan akhir pada 25 April 2018 untuk menilai tesis Master
Sains beliau yang bertajuk “Pengaruh Persekitaran Pembelajaran Terhadap
Kemahiran Kerja Berpasukan Dalam Kalangan Pelajar Tahun Akhir Diploma
Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional di Selangor” mengikut Akta Universiti
Pertanian Malaysia (Ijazah Lanjutan) 1980 dan Peraturan-peraturan Universiti
Pertanian Malaysia (Ijazah Lanjutan) 1981. Jawatankuasa Pemeriksa memperakui
bahawa calon ini layak dianugerahi Ijazah Master Sains.
Ahli Jawatankuasa Pemeriksa Tesis adalah seperti berikut:
Y. Bhg. Dato’ Norhasni Zainal Abiddin, PhD
Prof. Madya
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
(Pengerusi)
Rahimah Jamaluddin, PhD
Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
(Pemeriksa Dalam)
Muhammad Sukri Saud, PhD
Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan
Fakulti Pendidikan
Universiti Telnologi Malaysia
(Pemeriksa Luar)
………………………………
ISMI ARIF ISMAIL, PhD
Profesor Madya dan Timbalan Dekan
Sekolah Pengajian Siswazah
Universiti Putra Malaysia
Tarikh :
vi
Tesis ini telah dikemukakan kepada Senat Universiti Putra Malaysia dan telah
diterima sebagai memenuhi syarat keperluan untuk ijazah Master Sains. Ahli-ahli
Jawatankuasa Penyeliaan adalah seperti berikut:
Abdullah Mat Rashid, PhD
Profesor Madya
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
(Pengerusi)
Mohd Hazwan Mohd Puad, PhD
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
(Ahli)
ROBIAH BINTI YUNUS, PhD
Profesor dan Dekan
Sekolah Pengajian Siswazah
Universiti Putra Malaysia
Tarikh :
vii
Perakuan pelajar siswazah
Saya memperakui bahawa
tesis ini adalah hasil kerja saya yang asli;
setiap petikan, kutipan dan ilustrasi telah dinyatakan sumbernya dengan jelas;
tesis ini tidak pernah dimajukan sebelum ini dan tidak dimajukan serentak
dengan ini, untuk ijazah lain sama ada di Universiti Putra Malaysia atau institusi
lain;
hak milik intelek dan hakcipta tesis ini adalah hak milik mutlak Universiti Putra
Malaysia, mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia (Penyelidikan)
2012;
kebenaran bertulis daripada penyelia dan pejabat Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovosi) hendaklah diperolehi sebelum tesis ini diterbitkan
(dalam bentuk bertulis, cetakan atau elektronik) termasuk buku, jurnal, modul,
prosiding, tulisan popular, kertas seminar, manuskrip, poster, laporan, nota
kuliah, modul pembelajaran atau material lain seperti yang dinyatakan dalam
Kaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia (Penyelidikan) 2012;
tiada plagiat atau pemalsuan/fabrikasi data dalam tesis ini, dan integriti ilmiah
telah dipatuhi mengikut Kaedah-Kaedah Universiti Putra Malaysia (Pengajian
Siswazah) 2003 (Semakan 2012-2013) dan Kaedah-Kaedah Universiti Putra
Malaysia (Penyelidikan) 2012. Tesis ini telah diimbaskan dengan perisian
pengesanan plagiat.
Tandatangan : Tarikh:
Nama dan No. Matrik: Martini Binti Mohamad, GS 42057
viii
Perakuan Ahli Jawatankuasa Penyelidikan
Dengan ini diperakukan bahawa:
penyelidikan dan penulisan tesis ini adalah di bawah selian kami;
tanggungjawab penyelian sebagaimana yang dinyatakan dalam Universiti Putra
Malaysia (Pengajian Siswazah) 2003 (Semakan 2012-2013) telah dipatuhi.
Tandatangan :
Nama Pengerusi
Jawatankuasa
Penyeliaan : Profesor MadyaDr. Abdullah Mat Rashid
Tandatangan :
Nama Ahli : Dr. Mohd Hazwan Mohd Puad
Jawatankuasa
Penyeliaan
ix
ISI KANDUNGAN
ABSTRAK Muka surat
ABSTRACT
PENGHARGAAN i
PENGESAHAN iii
PERAKUAN v
SENARAI JADUL vi
SENARAI SINGKATAN viii
xiii
xiv
BAB
1 PENDAHULUAN 1
1.1 Pengenalan 1
1.2 Latar Belakang Kajian 1
1.3 Pernyataan Masalah Kajian 6
1.4 Objektif Kajian 7
1.4.1 Objektif Umum 7
1.4.2 Objektif Khusus 7
1.5 Persoalan Kajian 8
1.6 Kepentingan Kajian 8
1.7 Skop dan Batasan Kajian 9
1.8 Definisi Operasional 9
1.8.1 Kemahiran Kerja Berpasukan 9
1.8.2 Persekitaran Pembelajaran 9
1.8.2.1 Hubungan antara pelajar 10
1.8.2.2 Hubungan pelajar dengan guru 10
1.8.2.3 Hubungan pelajar dengan kaedah
pembelajaran 10
1.8.3 Kolej Vokasional 10
1.9 Rumusan 11
2 SOROTAN LITERATUR 12
2.1 Pengenalan 12
2.2 Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional 12
2.3 Kemahiran Kerja Berpasukan 13
2.4 Persekitaran Pembelajaran 16
2.4.1 Hubungan Antara Pelajar 17
2.4.2 Hubungan Pelajar Dengan Guru 19
2.4.3 Hubungan Pelajar Dengan Kaedah Pembelajaran 20
2.5 Teori Pembelajaran Koperatif 22
x
2.6 Teori Tuckman 25
2.7 Kerangka Kajian 26
2.8 Rumusan 27
3 METODOLOGI KAJIAN 28
3.1 Pengenalan 28
3.2 Reka Bentuk Kajian 28
3.3 Populasi dan Persampelan 28
3.4 Instrumen Kajian 31
3.5 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen 33
3.6 Kajian Rintis 33
3.7 Prosedur Pengumpulan Data 34
3.8 Analisis Data 34
3.9 Rumusan 36
4 DAPATAN KAJIAN 37
4.1 Pengenalan 37
4.2 Demografi Responden 37
4.3 Dapatan Objektif Kajian 1 39
4.3.1 Tahap kemahiran kerja berpasukan 39
4.3.2 Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi
hubungan antara pelajar 43
4.3.3 Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi
hubungan pelajar dengan guru 45
4.3.4 Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi
hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran 46
4.4 Dapatan Objektif Kajian 2 49
4.4.1 Hubungan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar 49
4.4.2 Hubungan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar dengan
guru 49
4.4.3 Hubungan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar dengan
kaedah pembelajaran 49
4.5 Dapatan Objektif Kajian 3 50
4.6 Rumusan 51
5 PERBINCANGAN, KESIMPULAN, IMPLIKASI DAN 52
CADANGAN 52
5.1 Pengenalan 52
5.2 Ringkasan Kajian 53
5.3 Perbincangan Dapatan Kajian
xi
5.3.1 Tahap kemahiran kerja berpasukan, persekitaran 53
pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara
pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan hubungan 61
pelajar dengan kaedah pembelajaran dalam kalangan 64
pelajar tahun akhir program DVM Kolej Vokasional 65
66
5.3.2 Hubungan antara persekitaran pembelajaran 66
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar,
hubungan pelajar dengan guru dan hubungan pelajar
dengan kaedah pembelajaran dengan kemahiran kerja
berpasukan
5.3.3 Faktor peramal yang mempengaruhi tahap kemahiran
kerja berpasukan pelajar
5.4 Kesimpulan
5.5 Implikasi
5.6 Cadangan
RUJUKAN 68
LAMPIRAN 80
BIODATA PELAJAR 92
xii
SENARAI JADUAL
Jadual Muka surat
3.1 Bilangan Sampel Mengikut Kolej Vokasional 31
3.2 Nilai Alpha Cronbach 34
3.3 Nilai Skewness dan Kurtosis Pembolehubah Kajian 35
3.4 Interpretasi Skor Min Skala Likert Empat Mata 35
3.5 Pekali Korelasi Pearson 36
3.6 Analisis Statistik Yang Digunakan Dalam Kajian 36
4.1 Demografi Responden 38
4.2 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Kemahiran Kerja 40
Berpasukan
4.3 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Persekitaran 44
Pembelajaran Berdasarkan Persepsi Hubungan Antara Pelajar
4.4 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Persekitaran 46
Pembelajaran Berdasarkan Persepsi Hubungan Pelajar Dengan Guru
4.5 Frekuensi, Peratusan, Min dan Sisihan Piawai Persekitaran 48
Pembelajaran Berdasarkan Persepsi Hubungan Pelajar Dengan
Kaedah Pembelajaran
4.6 Ujian Korelasi Pearson Bagi Hubungan Persekitaran Pembelajaran 50
Dengan Kemahiran Kerja Berpasukan Pelajar Tahun Akhir DVM
4.7 Analisis Regresi Pelbagai Untuk Persekitaran Pembelajaran 51
Berdasarkan Persepsi Hubungan Antara Pelajar, Hubungan Pelajar
Dengan Guru dan Hubungan Pelajar Dengan Kaedah Pembelajaran
Meramal Kemahiran Kerja Berpasukan Pelajar (N=241)
xiii
PLTV SENARAI SINGKATAN
BPTV
DVM Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional
PB Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
PA Diploma Vokasional Malaysia
KPM Pentaksiran Berterusan
UPM Pentaksiran Akhir
KV Kementerian Pendidikan Malaysia
RAND Universiti Putra Malaysia
LEI Kolej Vokasional
KIM Rawak
ERT Learning Environment Inventory
CA Kemahiran Insaniah Mesti
BPPDP Ekonomi Rumah Tangga
KSKV Core Ability
OJT Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan
PLO Kurikulum Standard Kolej Vokasional
SPKV On Job Training
Program Learning Outcome
Struktur Program Kolej Vokasional
xiv
BAB 1
1 PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan
Bab ini membincangkan latar belakang kajian diikuti dengan permasalahan kajian,
objektif dan persoalan kajian. Seterusnya bab ini membincangkan kepentingan
kajian diikuti dengan skop kajian dan penerangan tentang definisi operasi yang
digunakan dalam kajian.
1.2 Latar Belakang Kajian
Pekerjaan pada masa kini menuntut kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja
berpasukan selain keperluan kemahiran teknikal. Majikan meletakkan kemahiran
kerja berpasukan sebagai kriteria utama yang perlu ada ketika pemilihan pekerja
baru (National Association of College and Employers, 2018) dan merupakan
kemahiran bukan teknikal yang perlu dikuasai oleh pekerja (Mohd Puad, 2015).
Kemahiran kerja berpasukan dapat membantu sesebuah organisasi memaksimumkan
kemahiran dan juga bakat setiap ahli di dalam pasukan tersebut serta membantu
pengukuhan sesebuah organisasi ke arah pencapaian matlamat (Zulhamri,
Mohammad Shattar, Samir, Paramsivam, Aidy & Azali, 2010). Selain itu, majikan di
industri juga sangat mementingkan kemahiran kerja berpasukan bagi melancarkan
pengurusan organisasi (Mohd Yusof, Mohamad Sattar, Ramlee, Syed & Rose
Amnah, 2013) dan seterusnya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada
sesebuah organisasi tersebut. Justeru menjadi keperluan dalam diri seseorang pekerja
untuk memiliki kemahiran kerja berpasukan ke arah mencapai matlamat sesebuah
organisasi kerana kecekapan dan penguasaan kemahiran ini telah menjadi syarat
utama bagi pekerja moden hari ini.
Dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, sesebuah negara membangun
berkeupayaan untuk bersaing dengan negara maju jika mempunyai sumber manusia
yang baik iaitu bukan sahaja cemerlang akademik malah mempunyai kemahiran
insaniah yang baik. Justeru institusi pendidikan kini perlu menyediakan pelajar yang
mempunyai kemahiran kerja berpasukan kerana perubahan dan persaingan yang
berlaku dalam dunia pekerjaan kini memerlukan pekerja berpengetahuan yang dapat
memenuhi kehendak dunia pekerjaan. Ini adalah kerana trend majikan pada masa
kini adalah untuk mendapatkan pekerja-pekerja yang bercirikan pekerja
berpengetahuan. Majikan memilih pekerja berpengetahuan yang bukan sahaja boleh
menguasai kemahiran teknikal malahan kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan
ke arah menggerakkan perniagaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi (Mohd
Yusof, Seri Bunian, Abdul Aziz dan Ramlee, 2010). Pekerja berpengetahuan adalah
pekerja-pekerja yang dapat menggabung dan menganalisis pelbagai maklumat,
menambah nilai maklumat serta dapat berkomunikasi dengan baik bagi berkongsi
1
maklumat dalam menghasilkan satu keputusan yang bijak serta dapat mendatangkan
faedah kepada organisasi (Mohd Yusop, 2005).
Perkembangan dalam industri melalui kemajuan teknologi telah menyebabkan
permintaan untuk pekerja mahir dan berkualiti semakin meningkat. Malaysia telah
memperkenalkan polisi Pelan Kebolehpasaran Graduan Kebangsaan 2012-2017 yang
bertujuan untuk memastikan tumpuan diberikan kepada penyediaan latihan,
pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan
(Kementerian Pengajian Tinggi, 2012). Justeru graduan perlu dilengkapi dengan
kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang baik disamping ilmu pengetahuan
yang tinggi dalam bidang yang diambil. Kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja
berpasukan merupakan kemahiran yang amat penting yang perlu dikuasai oleh
graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Ini adalah kerana terdapat majikan
di industri yang mengaitkan kekurangan kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja
berpasukan, etika kerja yang positif, kemahiran komunikasi, kebolehan membuat
keputusan dan kepimpinan sebagai faktor utama yang menjejaskan kebolehpasaran
graduan di Malaysia (Zaliza, Arasinah, Tee & Mohd Hasni, 2016).
Malaysia bercita-cita untuk diiktiraf sebagai sebuah negara perindustrian ke arah
mewujudkan sebuah masyarakat yang berpendapatan tinggi dengan meningkatkan
tahap pendapatan per kapita daripada USD $6,700 pada tahun 2009, melepasi USD
$15,000 menjelang 2020 (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksana, 2012). Oleh yang
demikian, kerajaan perlu terus berusaha untuk mendidik dan melatih modal insan ke
arah melahirkan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi dan mempunyai
kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja berpasukan yang baik. Antara langkah
yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan enrolmen dalam program-program
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PLTV). Pelbagai kementerian,
agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta adalah jentera yang bekerja ke arah
memastikan Malaysia mempunyai 3 juta pekerja berkemahiran tinggi menjelang
tahun 2020 (Jovinia, Ab Rahim & Shamsiah, 2014). Oleh yang demikian bidang
fokus dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), 2016-2020 adalah menambah
baik kecekapan pasaran buruh bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi,
memastikan PLTV yang diterajui oleh industri dapat memenuhi permintaan pasaran,
meluaskan pembelajaran sepanjang hayat bagi meningkatkan kemahiran berterusan
serta meningkatkan kualiti sistem pendidikan bagi menghasilkan pelajar berkualiti
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016).
Di bawah RMK-11, sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan yang akan
diwujudkan dijangkakan memerlukan kelayakan yang berkaitan dengan PLTV.
PLTV merupakan pemacu perubahan bagi menghasilkan modal insan yang berilmu
dan berkemahiran. Salah sebuah institusi pendidikan PLTV yang secara langsung
terlibat dalam menyediakan modal insan bertaraf dunia dan telah menggalas satu
tanggungjawab yang berat bagi merealisasikan RMK-11 adalah Kolej Vokasional.
Ciri utama Negara berpendapatan tinggi adalah kelayakan pendidikan yang tinggi
bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi serta tahap kemahiran yang
tinggi dalam bidang teknikal dan professional. Menerusi RMK-11, kerajaan akan
2
menambah baik kurikulum bagi membangunkan kemahiran abad ke-21 dalam diri
pelajar. Oleh itu bagi menyediakan modal insan bertaraf dunia, sistem pendidikan
memastikan setiap murid dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk
berjaya dalam kehidupan (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013).
Sistem PLTV adalah dikenali sebagai satu sistem yang berperanan untuk membentuk
pelajar yang mempunyai kemahiran teknikal yang tinggi seperti yang dikehendaki
oleh industri pada masa kini (Nurazimah & Yusri, 2013). Abdullah (2011)
menegaskan bahawa melalui sistem pendidikan yang sentiasa ditambahbaik, PLTV
dapat menyumbang untuk melahirkan individu yang kreatif. Sehubungan itu,
penubuhan Kolej Vokasional merupakan satu langkah positif yang diambil oleh
kerajaan ke arah melahirkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi
namun mempunyai kemahiran kerja berpasukan yang baik selaras dengan keperluan
industri negara. Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi adalah perlu bagi
membantu Malaysia beranjak ke arah aktiviti berintensifkan pengetahuan dan
bernilai tinggi yang merupakan tonggak kepada negara maju. Seterusnya pewujudan
pasaran buruh yang lebih cekap akan menyumbang kepada pemadanan permintaan
dengan penawaran yang lebih baik dan membolehkan setiap rakyat mendapat
manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
Program Diploma Vokasional Malaysia (DVM) yang ditawarkan di Kolej
Vokasional menyediakan laluan utama bagi melahirkan pekerja berpengetahuan
yang berkemahiran tinggi dan seterusnya mampu menyumbang kepada penjanaan
kekayaan baru bagi negara. Walau bagaimanapun hasrat ini sukar untuk
direalisasikan sekiranya graduan program DVM Kolej Vokasional ini tidak
dilengkapi dengan kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja berpasukan.
Menurut takrifan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (2006), kemahiran kerja
berpasukan adalah kebolehan untuk membina hubungan yang baik, berinteraksi dan
bekerja secara efektif bersama ahli kumpulan untuk mencapai objektif yang sama,
kebolehan memahami dan mengambil peranan bersilih ganti antara ketua dan ahli
kumpulan serta kebolehan mengenali dan menghormati sikap, kelakuan dan
kepercayaan ahli kumpulan. Oleh yang demikian kemahiran kerja berpasukan yang
baik perlu ada bagi memastikan graduan DVM ini dapat memenuhi keperluan
pasaran kerja dan seterusnya mampu memenuhi dunia professional pada masa
hadapan.
Hala tuju program DVM yang ditawarkan di Kolej Vokasional adalah untuk
melahirkan graduan berkompetensi pekerjaan aras tinggi yang menepati kehendak
industri, melahirkan pelajar berkompetensi usahawan dalam bidang vokasional
pilihannya, memupuk watak professional, memupuk kecintaan kepada pembelajaran
sepanjang hayat dan membekalkan ilmu untuk melanjutkan pengajian ke peringkat
yang lebih tinggi. KPM mengsasarkan 70% graduan Kolej Vokasional menceburi
bidang pekerjaan, 20% melanjutkan pelajaran dan 10% menceburkan diri dalam
bidang perniagaan atau sebagai usahawan (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2011). Sehubungan itu, kurikulum yang dibangunkan untuk Kolej Vokasional adalah
komprehensif dan ianya melibatkan kakitangan dari industri dalam proses
3
pembangunan kurikulum bertujuan memastikan pelajar dilengkapi dengan pelbagai
kemahiran tertentu iaitu kemahiran teknikal, praktikal dan juga kemahiran insaniah
seperti kemahiran kerja berpasukan disamping pengetahuan akademik. Justeru
keperluan dan kualiti pekerja yang perlu dipunyai oleh setiap pelajar dapat dijelaskan
oleh pihak industri yang terlibat dalam pembangunan kurikulum tersebut.
DVM merupakan program sepenuh masa yang ditawarkan di Kolej Vokasional KPM
dan Kolej Vokasional Swasta bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang
kini telah digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Pelajar-pelajar yang
mengikuti program DVM melalui pembelajaran selama 4 tahun di Kolej Vokasional.
2 tahun pertama adalah tahap Pra Diploma dan 2 tahun seterusnya adalah peringkat
Diploma sebelum ke industri untuk menjalani On Job Training selama 5 bulan.
Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) program DVM mengandungi dua
komponen kursus iaitu akademik dan vokasional yang wajib diikuti oleh pelajar
dengan nisbah jam kredit 30:70 untuk peringkat sijil pra diploma dan 20:80 untuk
peringkat Diploma (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014).
Sistem pengajian program DVM di Kolej Vokasional adalah berorientasikan
pembelajaran berasaskan pekerjaan di mana kandungan pembelajaran adalah
berasaskan kompetensi bekerja, keusahawanan dan insaniah. Pelajar-pelajar yang
mengikuti program DVM ini juga diwajibkan mengambil kursus Core Ability (CA)
dan wajib kompeten dalam semua modul tersebut di mana kursus ini menekankan
kemahiran kebolehkerjaan yang dilaksanakan dan perlu dikuasai dalam diri setiap
pelajar bagi melahirkan pekerja yang berkemahiran. Antara kemahiran
kebolehkerjaan tersebut ialah kemahiran bekerja dalam pasukan. Selain itu para
pelajar juga diwajibkan mengikuti kursus Kokurikulum diperingkat Pra Diploma
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017).
Komponen vokasional merupakan komponen yang paling utama dalam sistem
pembelajaran program DVM Kolej Vokasional yang wajib diikuti oleh pelajar
berdasarkan program masing-masing. Komponen vokasional ini terdiri daripada
modul teori dan amali dengan nisbah dimensi 30:70 (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2014). Nisbah ini menunjukkan pembelajaran amali merupakan komponen
utama sistem pembelajaran program DVM dan memerlukan penglibatan aktif pelajar
dan seterusnya menuntut kemahiran kerja berpasukan. Ini adalah kerana pelajar perlu
bekerjasama dan berkolaborasi antara satu sama lain ketika pelaksanaan
pembelajaran amali. Selain itu sistem pentaksiran dan penilaian pelajar terbahagi
kepada dua iaitu Pentaksiran Berterusan (PB) dan Pentaksiran Akhir (PA) di mana
nisbah pemberatan PB dan PA adalah 70:30 (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2014). Justeru nisbah pemberatan PB yang tinggi ini juga memerlukan komitmen
yang sepenuhnya dan penglibatan aktif dari setiap pelajar yang mengikuti program
DVM dalam memastikan mereka kompeten untuk setiap modul yang dipelajari.
4
Penilaian persekitaran pembelajaran sesebuah institusi pendidikan seperti Kolej
Vokasional dapat memberi maklumat berguna dalam meninjau kesannya ke atas
kemahiran insaniah pelajar seperti kemahiran kerja berpasukan dan ke arah
meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran. Menurut Fraser (1998),
persekitaran pembelajaran merujuk kepada konteks sosial, psikologikal dan pedagogi
di mana pembelajaran berlaku yang memberi kesan kepada attitud dan pencapaian
pelajar. Manakala Fraser, Anderson dan Walberg (1982) menjelaskan persekitaran
pembelajaran merangkumi ciri-ciri khas profil kumpulan kelas yang boleh diukur
dan ada kepentingan untuk kajian ke atas kelas sebagai satu kumpulan sosial. Ciri-
ciri tersebut adalah hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru,
hubungan pelajar dengan subjek yang dipelajari dan kaedah pembelajaran dan yang
terakhir berkenaan ciri struktur kelas tersebut. Justeru persekitaran pembelajaran
bukan sekadar ruang fizikal, malahan mengandungi pelbagai sumber maklumat dan
bahan, melibatkan interaksi, perhubungan antara dan sesama pelajar dan guru serta
jangkaan dan peraturan untuk pembelajaran dan tingkah laku (Aladejana &
Aderibigbe, 2007).
Persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat menggalakkan aktiviti intelektual,
persahabatan, kerjasama dan sokongan di samping menggalakkan pembelajaran,
pertumbuhan dan perkembangan pelajar. Ismail (2012), berpendapat bahawa kualiti
graduan bergantung kepada kualiti guru dan persekitaran kondusif yang merangkumi
infrastruktur, sosialisasi, lokasi dan lain-lain yang dapat membantu ke arah
pembinaan sahsiah terpuji dan pencapaian akademik yang cemerlang. Menurut Mok
(2008), persekitaran seperti keluarga, rakan, komuniti, kemudahan teknologi,
persekitaran institusi dan guru merupakan elemen yang dikenal pasti mempengaruhi
perkembangan individu. Mok menjelaskan pengaruh budaya dan kepercayaan
komuniti adalah persekitaran untuk manusia saling berinteraksi antara satu sama lain
di mana budaya dan kepercayaan dalam komuniti akan mempengaruhi
perkembangan individu tersebut. Ini bermakna komuniti yang bersikap positif akan
mempengaruhi ahlinya untuk bersikap positif dan mengamalkan budaya yang sihat
dan sebaliknya. Rabiner, Godwin dan Dodge (2016) menegaskan kemahiran sosial
individu adalah antara peramal kepada pencapaian akademik. Kemahiran sosial yang
baik dapat membina interaksi berkesan antara murid, guru dan kandungan pelajaran
seterusnya mampu mempengaruhi pencapaian murid dalam pelajaran. Interaksi
berkesan yang wujud dalam kalangan pelajar seterusnya berupaya menyumbang
kepada kemahiran kerja berpasukan.
Aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi seperti yang terkandung di dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), merangkumi
tiga aspek iaitu kualiti institusi, kualiti graduan dan kualiti keseluruhan sistem yang
mana kementerian berhasrat untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan
daripada 75% ketika ini kepada lebih 80% menjelang 2025 (Kementerian Pendidikan
Malaysia, 2015). Justeru bagi merealisasikan aspirasi tersebut adalah dengan
menghasilkan graduan PLTV yang berkualiti. Oleh yang demikian keberkesanan
output pendidikan vokasional haruslah mampu bersaing dan bersifat fleksibel iaitu
mudah menyesuaikan diri dalam apa jua persekitaran seiring dengan kepesatan
5
teknologi dalam industri dan keadaan ekonomi global yang kompetitif (Kapranos,
2014).
Walau bagaimanapun keberhasilan output pendidikan vokasional khususnya lepasan
Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional tidak dapat direalisasikan jika
terdapat kelemahan dalam diri pelajar itu sendiri. Kajian (Boahin & Hofman, 2013)
mendapati bahawa graduan lemah dalam kemahiran pekerjaan seperti kerja
berpasukan, kemahiran organisasi, ICT dan kemahiran komunikasi. Sehubungan
dengan itu, kemahiran kerja berpasukan merupakan salah satu kemahiran insaniah
yang sangat diperlukan oleh pelajar untuk menghadapi dunia pekerjaan kerana
kemahiran ini dititkberatkan oleh majikan dalam memilih pekerja baru dan
merupakan kemahiran yang sangat diperlukan pada abad ke-21.
1.3 Pernyataan Masalah Kajian
Kemahiran kerja berpasukan merupakan kemahiran yang sangat penting yang
dikehendaki oleh industri kini (Abdul Rahim, Wan Nurmahfuzah & Badariah, 2016)
dan menjadi kriteria utama yang dilihat oleh majikan dalam memilih pekerja baru
(National Association of College and Employers, 2017; National Association of
College and Employers, 2018). Kajian yang dijalankan oleh Rosima, Mohd Izham
dan Nora (2013) dalam kalangan majikan industri di Malaysia menunjukkan 80%
majikan meletakkan aspek kemahiran kerja berpasukan sebagai keperluan utama
dalam kalangan pekerja. Peratusan ini jelas menunjukkan kemahiran kerja
berpasukan perlu dikuasai dalam kalangan graduan DVM Kolej Vokasional sebelum
melangkah ke alam pekerjaan. Ini dalam memastikan matlamat Kolej Vokasional
yang mensasarkan 70% daripada graduan menceburi bidang pekerjaan, 20%
melanjutkan pelajaran dan 10% menceburkan diri dalam bidang perniagaan atau
sebagai usahawan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2011) dapat dicapai.
Walau bagaimanapun tahap kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelatih
institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional adalah sederhana (Saari &
Mat Rashid, 2013) dan laporan menunjukkan majikan belum berpuas hati terhadap
penguasaan kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelatih (Ramlee, Mohd
Yusof, Syed A. Malik & Seri Bunian, 2014; Mohd Yusof, 2014). Sementara itu
kajian yang dijalankan oleh Zafir, Ishak dan Abd Hair, (2015) mendapati prestasi
kemahiran kerja berpasukan bagi graduan semasa yang sedang bekerja belum
memenuhi kehendak majikan. Seterusnya kajian Zaliza et al. (2016) pula mendapati
terdapat jurang yang besar dan signifikan di antara kemahiran kerja berpasukan yang
penting berdasarkan perspektif majikan industri dengan kemahiran kerja berpasukan
yang diintergrasikan berdasarkan perspektif graduan bidang PLTV.
Kajian-kajian terdahulu telah mengaitkan kemahiran kerja berpasukan dengan faktor
aktiviti Kokurikulum (Saadan, Bokhari, Yahya, Aziz, Rajikon, Hassan, & Pilus,
2011; Mohd Akmal, 2013; Alunawati, 2015) dan kurikulum (Schena, 2010;
Murihah, Ilias, Jasmi, Abdul Hafiz & Arief Salleh, 2016). Melalui sorotan kajian
6
lepas didapati faktor-faktor seperti aktiviti kokurikulum dan kurikulum dapat
mempengaruhi kemahiran kerja berpasukan. Selain faktor tersebut kemahiran kerja
berpasukan juga boleh digilap melalui persekitaran pembelajaran yang telah dilalui
oleh pelajar di institusi pengajian mereka. Persekitaran pembelajaran tersebut adalah
merujuk kepada tempat di mana berlakunya proses pembelajaran yang meliputi
konteks sosial, psikologikal dan juga pedagogikal (Fraser, 1998). Menurut Dunkin
dan Biddle (1974) dan Fraser (1998), persekitaran pembelajaran dapat
mempengaruhi tingkah laku murid di dalam bilik darjah.
Oleh yang demikian, penyelidik mengambil inisiatif untuk menjalankan satu kajian
bagi menilai tahap kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar tahun akhir
program DVM dengan mengaitkan persekitaran pembelajaran di Kolej Vokasional.
Penyelidik berminat untuk melihat pengaruh persekitaran pembelajaran berdasarkan
persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan hubungan
pelajar dengan kaedah pembelajaran dengan kemahiran kerja berpasukan dalam
kalangan pelajar tahun akhir program DVM Kolej Vokasional.
1.4 Objektif Kajian
Penyelidik membahagikan objektif kajian kepada dua iaitu objektif umum dan
objektif khusus.
1.4.1 Objektif Umum
Objektif umum kajian adalah untuk mengkaji pengaruh persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan
hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran terhadap kemahiran kerja berpasukan
dalam kalangan pelajar tahun akhir program DVM Kolej Vokasional.
1.4.2 Objektif Khusus
Objektif khusus kajian adalah;
1. Mengenal pasti tahap kemahiran kerja berpasukan, persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru
dan hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran dalam kalangan pelajar
tahun akhir program DVM di Kolej Vokasional.
2. Menentukan hubungan antara tahap persekitaran pembelajaran berdasarkan
persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan
hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran dengan tahap kemahiran kerja
berpasukan pelajar.
3. Mengenal pasti faktor peramal yang menyumbang kepada tahap kemahiran
kerja berpasukan pelajar.
7
1.5 Persoalan Kajian
1. Apakah tahap kemahiran kerja berpasukan pelajar tahun akhir program DVM
di Kolej Vokasional?
2. Apakah keadaan persekitaran pembelajaran pelajar tahun akhir program
DVM di Kolej Vokasional berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar?
3. Apakah keadaan persekitaran pembelajaran pelajar tahun akhir program
DVM di Kolej Vokasional berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar
dengan guru?
4. Apakah keadaan persekitaran pembelajaran pelajar tahun akhir program
DVM di Kolej Vokasional berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar
dengan kaedah pembelajaran?
5. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar dengan tahap kemahiran kerja
berpasukan bagi pelajar tahun akhir program DVM di Kolej Vokasional?
6. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan pelajar dengan guru dengan tahap kemahiran
kerja berpasukan bagi pelajar tahun akhir program DVM di Kolej
Vokasional?
7. Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran dengan
tahap kemahiran kerja berpasukan bagi pelajar tahun akhir program DVM di
Kolej Vokasional?
8. Apakah faktor peramal yang mempengaruhi tahap kemahiran kerja
berpasukan pelajar tahun akhir program DVM di Kolej Vokasional?
1.6 Kepentingan Kajian
Kajian ini perlu kerana dapatan kajian ini nanti dapat dijadikan penilaian awal tahap
kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar tahun akhir program DVM
Kolej Vokasional sebelum menceburi dunia pekerjaan. Ini adalah kerana sasaran
70% output pelajar Kolej Vokasional menceburi bidang pekerjaan. Justeru itu
kemahiran kerja berpasukan perlu dikuasai oleh pelajar semester akhir dalam
mempersiapkan diri mereka ke arah dunia pekerjaan yang mencabar di luar sana.
Selain itu, diharapkan hasil dapatan kajian mengenai tahap kemahiran kerja
berpasukan dalam kalangan pelajar tahun akhir Diploma Vokasional Malaysia, Kolej
Vokasional dapat memberi manfaat kepada banyak pihak seperti memberi maklum
balas kepada Kementerian Pendidikan Malaysia khususnya Bahagian Pendidikan
Teknik dan Vokasional (BPTV) untuk penilaian awal keberkesanan kurikulum
program Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional dalam melahirkan
graduan yang berkualiti.
Seterusnya berdasarkan maklumat kajian ini, ianya juga dapat membantu Bahagian
Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) mengetahui kekangan-kekangan dalam
proses mengarus perdana pendidikan vokasional. Justeru itu, maklumat dapat
8
membantu pihak kementerian untuk mengambil inisiatif yang lebih berkesan bagi
menjayakan hala tuju pendidikan vokasional. Selain itu maklumat kajian ini juga
dapat membantu Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dalam
merancang dan menyediakan latihan yang optimum dan terkini seiring dengan
perkembangan industri kepada tenaga pengajar Kolej Vokasional untuk menjadi
lebih produktif.
1.7 Skop dan Batasan Kajian
Kajian ini hanya dilakukan terhadap pelajar yang mengikuti program Diploma
Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional di negeri Selangor. Populasi kajian adalah
terdiri daripada pelajar tahun akhir yang sedang mengikuti program Diploma
Vokasional Malaysia. Pemboleh ubah bersandar yang terlibat dalam kajian ini ialah
kemahiran kerja berpasukan. Manakala pemboleh ubah tidak bersandar yang terlibat
dalam kajian ini adalah persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan
antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan hubungan pelajar dengan kaedah
pembelajaran.
1.8 Definisi Operasional
1.8.1 Kemahiran Kerja Berpasukan
Kemahiran kerja berpasukan adalah kebolehan untuk membina hubungan yang baik,
berinteraksi dengan orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk
mencapai objektif yang sama, kebolehan memahami dan mengambil peranan bersilih
ganti antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan dan kebolehan mengenali dan
menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain (Kementerian Pengajian
Tinggi, 2006).
Dalam konteks kajian, kemahiran kerja berpasukan adalah merujuk kepada
kemahiran kerja berpasukan pelajar tahun akhir program DVM Kolej Vokasional
dari aspek kebolehan untuk membina hubungan yang baik, berinteraksi dengan
orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang
sama, kebolehan memahami dan mengambil peranan bersilih ganti antara ketua
kumpulan dan ahli kumpulan dan kebolehan mengenali dan menghormati sikap,
kelakuan dan kepercayaan orang lain.
1.8.2 Persekitaran Pembelajaran
Fraser (1998) mendefinasikan persekitaran pembelajaran sebagai tempat di mana
berlakunya proses pembelajaran sama ada dalam konteks sosial, psikologikal dan
pedagogikal yang akan mempengaruhi pencapaian dan sikap pelajar. Menurut
Fraser et al., (1982), persekitaran pembelajaran merangkumi ciri-ciri khas profil
kumpulan kelas yang boleh diukur dan ada kepentingan untuk kajian ke atas kelas
9
sebagai satu kumpulan sosial. Ciri-ciri tersebut adalah hubungan antara pelajar,
hubungan pelajar dengan guru, hubungan pelajar dengan subjek yang dipelajari dan
kaedah pembelajaran dan yang terakhir berkenaan ciri struktur kelas tersebut.
Dalam konteks kajian, persekitaran pembelajaran pelajar tahun akhir di Kolej
Vokasional merujuk kepada tiga dimensi persekitaran iaitu berdasarkan persepsi
hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru dan hubungan pelajar
dengan kaedah pembelajaran.
1.8.2.1 Hubungan antara pelajar
Menurut Fraser et al., (1982), dimensi hubungan antara pelajar adalah perhubungan
yang merangkumi aspek kerjasama dan pertelingkahan antara rakan sekelas. Dalam
konteks kajian, dimensi hubungan antara pelajar merujuk kepada situasi
perhubungan yang merangkumi aspek kerjasama iaitu sejauh mana pelajar tahun
akhir program DVM Kolej Vokasional saling menolong dan menyokong antara satu
sama lain.
1.8.2.2 Hubungan pelajar dengan guru
Hubungan pelajar dengan guru adalah termasuk sejauh mana perilaku pelajar
terhadap guru dipandu oleh peraturan formal seperti faktor demokrasi,
ketidakteraturan dan pemihakan. (Fraser et al., 1982). Dalam konteks kajian
hubungan antara pelajar dengan guru merujuk kepada persepsi pelajar terhadap
sejauh mana perilaku pelajar terhadap guru di Kolej Vokasional.
1.8.2.3 Hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran
Hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran adalah merujuk kepada persepsi
pelajar terhadap kecepatan menghabiskan silibus, kesukaran kandungan silibus dan
kepelbagaian aktiviti dalam pembelajaran atau kaedah pembelajaran yang digunakan
dalam mempelajari silibus (Fraser et al., 1982).
Dalam konteks kajian, hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran adalah
merujuk persepsi pelajar terhadap kaedah pembelajaran yang digunakan dalam
proses pembelajaran amali di Kolej Vokasional.
1.8.3 Kolej Vokasional
Kolej Vokasional ditubuhkan bagi menyediakan peluang melahirkan pekerja mahir
dan merupakan institusi yang menawarkan latihan kemahiran dan akademik. Kolej
Vokasional merupakan salah satu daripada penambahbaikan sistem PLTV di
Malaysia bagi menyediakan tenaga manusia yang berterusan ke arah membangunkan
10
sektor ekonomi. Kolej Vokasional juga pusat yang menyediakan latihan vokasional
atau kemahiran yang ditubuhkan berpandukan kurikulum pendidikan yang
menitikberatkan aspek keperluan tenaga mahir (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2011). Dalam kajian ini, Kolej Vokasional di seluruh Selangor sahaja diambil
sebagai sampel untuk tujuan kajian ini. Merujuk kepada maklumat yang diperolehi
daripada laman web Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, terdapat 8 buah
Kolej Vokasional di Selangor. Walau bagaimanapun hanya 6 buah Kolej Vokasional
sahaja yang terlibat dalam kajian ini.
1.9 Rumusan
Secara keseluruhannya, bab ini telah menerangkan mengenai pengenalan dan
gambaran awal tentang latar belakang kajian yang menjurus kepada permasalahan
yang ingin dikaji. Dalam menyatakan tujuan dan matlamat kajian, penyelidik telah
menggariskan tiga objektif kajian agar kajian yang dijalankan tidak tersasar.
Penyelidik juga telah menyatakan kepentingan kajian bagi membolehkan ia
digunapakai oleh pihak yang terlibat. Skop dan batasan kajian juga telah dinyatakan
supaya kajian lebih fokus dan menepati objektif yang ditetapkan. Penyelidik juga
telah menyatakan terminologi berdasarkan pandangan pakar dan dari kajian
literature. Justeru itu, diharap pada bab seterusnya dapat menjawab persoalan kajian
yang telah diutarakan oleh penyelidik.
11
BAB 2
2 SOROTAN LITERATUR
2.1 Pengenalan
Bab ini membincangkan sorotan literatur yang merangkumi semua pemboleh ubah
yang terlibat dalam kajian dan teori-teori yang digunakan serta kerangka teori kajian.
2.2 Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional
Program ini dijalankan sepenuh masa selama 4 tahun di Kolej Vokasional dan
pelajar akan menjalani On Job Training (OJT) selama 5 bulan di industri. Satu tahun
pengajian dibahagikan kepada dua semester dan satu semester pendek. Sistem
pengajian DVM, Kolej Vokasional adalah berorientasikan pembelajaran berasaskan
pekerjaan yang mana sistem ini adalah memerlukan penglibatan pelajar secara aktif.
Struktur Program Kolej Vokasional (SPKV) meliputi pembelajaran teori, tutorial dan
amali berdasarkan jumlah jam pertemuan dan jam kredit bagi setiap kursus.
Kandungan pembelajaran adalah berasaskan kompetensi bekerja, kompetensi
insaniah dan kompetensi keusahawanan dengan nisbah dimensi teori amali ialah
30:70. (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017). Kurikulum Standard Kolej
Vokasional (KSKV) program DVM mengandungi dua komponen kursus iaitu
akademik dan vokasional yang wajib diikuti oleh pelajar dengan nisbah jam kredit
30:70 untuk peringkat sijil pra diploma dan 20:80 untuk peringkat Diploma
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2014).
Sistem pengajian program DVM di Kolej Vokasional adalah berorientasikan
pembelajaran berasaskan pekerjaan di mana kandungan pembelajaran adalah
berasaskan kompetensi bekerja, keusahawanan dan insaniah. Pelajar-pelajar yang
mengikuti program DVM ini juga diwajibkan mengambil kursus Core Ability (CA)
di dalam semester pendek peringkat Pra Diploma dan wajib kompeten dalam semua
modul tersebut di mana kursus ini menekankan kemahiran kebolehkerjaan yang
dilaksanakan dan perlu dikuasai dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan pekerja
yang berkemahiran. Kemahiran kebolehkerjaan yang perlu dikuasai dalam diri setiap
pelajar bagi melahirkan pekerja berkemahiran melalui kursus ini adalah kemahiran
komunikasi, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran menyelesaikan masalah,
kemahiran bekerja dalam pasukan dan kemahiran mengurus. Selain itu para pelajar
juga diwajibkan mengikuti kursus Kokurikulum diperingkat Pra Diploma
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017).
Selain itu terdapat 9 hasil pembelajaran program (PLO) yang terkandung dalam
Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) untuk setiap program diploma yang
ditawarkan di Kolej Vokasional dalam memastikan graduan program Diploma
Vokasional Malaysia mempunyai kemahiran insaniah yang baik disamping ilmu
12
akademik dan kemahiran teknikal. KSKV yang digunapakai diseluruh Kolej
Vokasional merupakan suatu kurikulum pendidikan dan latihan teknik dan
vokasional termasuk kurikulum dan kokurikulum yang merangkumi aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai
kebolehkerjaan, kebolehpasaran dan kemahiran usahawan. Sembilan hasil
pembelajaran program yang telah digariskan tersebut adalah PLO1, pengetahuan;
PLO2, kemahiran psikomotor/teknikal; PLO3, kemahiran penyelesaian masalah,
pemikiran kritikal dan pendekatan saintifik; PLO4, kemahiran berkomunikasi;
PLO5, kemahiran sosial/kerja berpasukan; PLO6, profesionalisme, nilai, sikap dan
etika; PLO7, pembelajaran sepanjang hayat dan pengurusan maklumat; PLO8,
kemahiran pengurusan dan keusahawanan; PLO9, kemahiran kepemimpinan
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017). Justeru adalah menjadi keperluan dalam
kalangan pelajar yang mengikuti program Diploma Vokasional Malaysia, Kolej
Vokasional untuk menguasai kemahiran kerja berpasukan sebelum mereka ke
industri untuk menjalani „On Job Training‟ (OJT) selama 5 bulan. Dalam dunia
pekerjaan, kemahiran ini melengkapkan lagi kemahiran teknikal bertujuaan
melahirkan modal insan kelas pertama yang mampu berdaya saing, cekap, tahan
lasak dan fleksibel apabila berhadapan dengan situasi di alam pekerjaan yang
mencabar di luar sana (Salleh & Sulaiman, 2014).
2.3 Kemahiran Kerja Berpasukan
Kemahiran kerja berpasukan adalah kebolehan untuk membina hubungan yang baik,
berinteraksi dan bekerja secara efektif bersama ahli kumpulan untuk mencapai
objektif yang sama, kebolehan memahami dan mengambil peranan bersilih ganti
antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan dan juga kebolehan mengenali dan
menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain (Kementerian Pengajian
Tinggi, 2006). Terdapat dua elemen penting untuk membina pasukan yang berkesan
dalam sesebuah organisasi iaitu merangka satu pasukan dalam cara yang sesuai dan
keperluan persekitaran yang mencukupi semasa kerja berpasukan (Lekic, Bogetic &
Randis, 2011). Sementara itu menurut Saadan et al. (2011) kemahiran kerja
berpasukan adalah merujuk kepada sekumpulan anggota individu dalam sesebuah
organisasi yang berganding bahu antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas
dan bergabung bersama-sama dalam mencapai matlamat kumpulan.
Seterusnya Gallie, Zhou, Felstead dan Green (2012) menegaskan kemahiran kerja
berpasukan melibatkan kebolehan seseorang individu dalam bekerjasama dengan
individu lain untuk mencapai matlamat yang sama. Sementara itu menurut Pineda
dan Lerner (2006) pula kerja berpasukan membolehkan ahli-ahli pasukan
merancang, mengatur dan mengkoordinasikan aktiviti-aktiviti pasukan untuk
mencapai objektif yang telah ditetapkan. Ini bermakna setiap individu dalam sesuatu
organisasi bertanggungjawab dalam memastikan matlamat organisasi dapat dicapai.
Kerjasama yang padu sangat diperlukan dalam memastikan pencapaian matlamat ini.
Dengan adanya pekerja yang mempunyai kemahiran ini maka urusan sesebuah
organisasi dapat berjalan lancar dan seterusnya dapat memberi sumbangan yang
besar kepada organisasi tersebut.
13
Kerja berpasukan merupakan kemahiran sebagai satu set kemahiran yang penting
yang boleh dibangunkan dalam diri setiap pelajar (Richard & Steven, 2011) dan juga
dikenali dengan kemahiran boleh pindah (Aifaa Husna, 2016). Menurut Richard dan
Steven (2011), kerja berpasukan merupakan satu set kemahiran yang digunakan oleh
setiap individu dalam sesebuah pasukan ke arah pencapaian atau kejayaan kumpulan.
Sebahagian kemahiran-kemahiran kerja berpasukan ini seperti mengenalpasti
matlamat atau objektif kumpulan adalah merupakan kemahiran kognitif semulajadi
sementara kemahiran dalam mengendalikan pasukan yang dinamik adalah lebih
kepada kemahiran sosial. Selain itu Richard dan Steven (2011) juga menegaskan
kepentingan kemahiran ini adalah tidak terhad kepada ketua yang memimpin
sesebuah pasukan sahaja malahan kemahiran ini adalah penting bagi semua ahli
pasukan untuk memilikinya. Ini adalah kerana setiap ahli bertanggungjawab dan
berperanan melaksanakan tugasan ke arah pencapaian matlamat pasukan. Oleh yang
demikian kemahiran kerja berpasukan menjadi sebahagian perkara yang menjadi
keutamaan dan perlu digilap sepanjang proses pembelajaran pelajar.
Kajian-kajian lepas menunjukkan kerja berpasukan dapat meningkatkan prestasi dan
menyerlahkan potensi seseorang individu apabila mereka bekerja di dalam satu
kumpulan. Ini adalah kerana kerja berpasukan dapat membantu organisasi
memaksimumkan bakat dan kemahiran ahli-ahli di dalam kumpulan tersebut
(Zulhamri, Mohammad Shattar, Samir, Paramsivam, Aidy & Azali, 2010). Justeru
mengenal pasti dan memahami ciri-ciri kerja berpasukan juga boleh membantu
pengukuhan sesebuah organisasi bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Menurut
Zulhamri et al. (2010), terdapat empat ciri utama kerja berpasukan iaitu usaha
kolektif, kerjasama, positif dan saling lengkap-melengkapi.
Ciri usaha kolektif adalah di mana ahli organisasi perlu memahami dan berkongsi
pandangan tentang matlamat dan hala tuju yang hendak dicapai oleh organisasi.
Setiap ahli juga perlu menyedari fungsi dan peranan mereka kerana melalui sikap ini
setiap ahli kumpulan akan bermotivasi untuk mengambil bahagian dalam setiap
perancangan dan tindakan yang telah diputuskan. Kerjasama antara ahli boleh
dicapai jika usaha kolektif dijadikan sebagai prinsip bekerja kerana semua kekuatan
dan sumber dapat digabungkan ke arah pencapaian objektif atau matlamat kumpulan.
Ciri positif pula boleh dijelaskan di mana setiap ahli dalam organisasi harus melihat
kerja berpasukan sebagai peluang bagi mencapai matlamat, memenuhi keperluan
hidup dan menyediakan sokongan sosial ketika berlaku krisis. Kesepaduan di antara
peranan ahli dan prestasi menggalakkan idea yang lebih kreatif dan seterusnya dapat
mengurangkan jurang perbezaan pendapat antara individu di dalam kumpulan
tersebut. Seterusnya ciri kerjasama antara ahli perlu ada kerana tidak semua anggota
organisasi benar-benar memahami peranan yang diamanahkan kepada mereka.
Situasi ini berlaku disebabkan terdapat ahli kumpulan yang lebih suka bekerja
bersendirian. Manakala ciri yang terakhir iaitu saling melengkapi antara anggota di
dalam organisasi akan mewujudkan integrasi yang lebih kukuh dan menjadi teras
kepada kejayaan yang lebih besar.
14
Kemahiran kerja berpasukan merupakan kemahiran insaniah yang menjadi keperluan
kepada graduan kini dan menjadi criteria pertama yang dilihat oleh majikan dalam
memilih pekerja baru (National Association of College and Employers, 2017).
Dalam keadaan dunia pekerjaan yang sentiasa berubah, para majikan industri
memerlukan para pekerja yang lebih kreatif, fleksibel, dan mempunyai kemahiran
interpersonal yang tinggi. Justeru adalah menjadi keutamaan kepada majikan untuk
memilih pekerja-pekerja yang betul-betul berkualiti iaitu bukan sahaja berkelayakan
dari aspek akademik dan kemahiran teknikal dalam bidang yang dipohon malahan
mempunyai kemahiran-kemahiran insaniah seperti kemahiran kerja berpasukan.
Kajian kebolehpasaran graduan yang dijalankan oleh para penyelidik terdahulu
mendapati majikan memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah
seperti kemahiran kerja berpasukan selain daripada sikap positif, kemahiran efektif,
kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran membuat keputusan, berdaya usaha,
interpersonal dan juga kemahiran memimpin (Davis & Woodward, 2006; Sharifah
Kamaliah, 2009; National Association of College and Employers, 2016).
Walau bagaimanapun kajian yang dijalankan oleh Saadan et al. (2011) mendapati
keluhan yang sering diutarakan oleh pihak majikan adalah graduan tidak mampu
bekerja secara berpasukan dan kurang kemahiran-kemahiran insaniah lain seperti
berfikir secara kritikal, menyelesaikan masalah, kemahiran komunikasi serta kurang
kemahiran menggunakan kemudahan ICT disamping lemah berbahasa Inggeris.
Selain itu, pengurusan sumber di Malaysia kini juga berhadapan dengan isu-isu
ketidakcekapan pekerja di mana kebanyakan pekerja baru didapati tidak mempunyai
pengalaman kerja dan kemahiran yang diperlukan oleh majikan seperti kemahiran
kerja berpasukan yang mana boleh menjejaskan daya saing firma (Noorziah, Abdul
Kadir & Kamisah, 2015).
Kemahiran kerja berpasukan diperlukan oleh setiap pekerja baru dalam memastikan
mereka dapat bekerjasama dalam pasukan, berkongsi idea dan kemahiran ke arah
mencapai matlamat organisasi. Oleh yang demikian, kejayaan sesebuah organisasi
adalah bergantung kepada kerja berpasukan ahli-ahli dalam organisasi tersebut. Ini
adalah kerana pasukan dalam setiap organisasi terdiri daripada individu yang
berbeza yang membawa pelbagai karektor dan kemahiran yang membawa kepada
sumbangan kepelbagaian idea. Kelchner (2013) menegaskan bahawa
memaksimumkan kepelbagaian dalam satu pasukan adalah penting untuk
membolehkan kemahiran dan idea yang berbeza digabungkan ke arah mendapatkan
penyelesaian yang terbaik dalam mencapai matlamat kumpulan. Memaksimumkan
kepelbagaian dalam satu pasukan juga membolehkan perkongsian kemahiran dan
idea-idea yang berbeza bagi menyelesaikan tugas mencabar (Kelchner, 2013).
Pelajar perlu menyedari kepentingan kerja berpasukan dan keperluannya ketika
bekerja kelak. Menurut Richard dan Rebeca (2001), pada hari pertama di tempat
kerja, dua perkara tidak akan berlaku. Pertama, pekerja baru tidak akan ditanya sama
ada mereka lebih suka bekerja bersendirian atau dengan orang lain, tetapi dengan
serta-merta diletakkan dalam satu atau lebih kumpulan kerja. Kedua, mereka tidak
akan dibentangkan dengan senarai semua pekerja-pekerja syarikat dan bertanya siapa
15
mereka mahu bekerja tetapi sebaliknya, mereka akan diberitahu siapa lagi ahli yang
ada dalam kumpulan mereka. Seterusnya pekerjaan mereka mungkin bergantung
kepada bagaimana mereka bekerjasama dengan orang lain. Oleh yang demikian,
melalui pembelajaran koperatif yang dilaksanakan semasa di alam persekolahan,
pelajar belajar bagaimana situasi yang mereka akan tempuhi ketika bekerja. Tugas
guru adalah untuk membantu mereka belajar bagaimana untuk melakukannya di sana
nanti.
Oleh yang demikian, kemahiran kerja berpasukan sangat perlu dikuasai oleh para
graduan sebelum melangkah ke alam pekerjaan selain dari memiliki kelayakan
akademik dan kemahiran teknikal yang baik. Kelayakan akademik yang baik
disamping kemahiran teknikal yang mantap belum menjamin peluang pekerjaan
yang cerah sekiranya graduan tidak memiliki kemahiran kerja berpasukan yang baik.
Ini adalah kerana kemahiran kerja berpasukan sangat diberi keutamaan oleh majikan
kini dalam memilih pekerja mereka (Rosima, Mohd Izham & Nora, 2013; Zafir et.al,
2015). dan dengan adanya kemahiran ini dalam kalangan pekerja, bakat dan
kemahiran anggota organisasi dapat dimaksimumkan, membantu pengukuhan
organisasi (Zulhamri et al., 2010) serta melancarkan pengurusan organisasi (Mohd
Yusof et al., 2013).
2.4 Persekitaran Pembelajaran
Persekitaran yang kondusif dapat membantu mewujudkan keselesaan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di samping mengekalkan tumpuan dan minat belajar
dalam bilik darjah. Kajian yang telah dijalankan terhadap persekitaran pembelajaran
menunjukkan terdapat perkaitan di antara persekitaran pembelajaran dengan hasil
pembelajaran pelajar sama ada daripada segi pencapaian, kepuasan atau kejayaan
pelajar (Che Nidzam, Saidatul Ainoor & Asmayati, 2016). Menurut Che Nidzam et
al, (2016), pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran
apabila mereka berada dalam persekitaran pembelajaran yang baik sama ada
daripada aspek fizikal dan psikososial. Pengalaman pembelajaran yang selesa akan
memberikan persepsi yang positif dalam kalangan pelajar dan sebaliknya. Fraser
(1998) pula menegaskan persekitaran pembelajaran merupakan tempat di mana
pembelajaran berlaku sama ada dalam konteks sosial, psikologikal mahupun
pedagogikal yang seterusnya mempengaruhi pencapaian dan sikap pelajar.
Sementara itu, menurut Fraser et al., (1982), persekitaran pembelajaran merangkumi
ciri-ciri khas profil kumpulan kelas yang boleh diukur dan ada kepentingan untuk
kajian ke atas kelas sebagai satu kumpulan sosial. Ciri-ciri tersebut adalah hubungan
antara pelajar, hubungan pelajar dengan guru, hubungan pelajar dengan subjek yang
dipelajari dan kaedah pembelajaran dan yang terakhir berkenaan ciri struktur kelas
tersebut. Justeru adalah menjadi keperluan untuk setiap institusi pendidikan agar
memastikan persekitaran pembelajaran dapat diurus dengan baik. Ini adalah bagi
memastikan pelajar boleh menetapkan matlamat peribadi, aktif mengumpul dan
mengurus maklumat yang diperlukan, mengawal dan menilai pembelajaran kendiri
dan seterusnya berkemampuan memberikan maklum balas pengalaman peribadi
16
dalam pelbagai persekitaran dan konteks sosial pengajaran dan pembelajaran.
Dunkin dan Biddle (1974) menegaskan peranan persekitaran dalam sesuatu
pembelajaran dapat mempengaruhi tingkah laku murid di dalam bilik darjah dan
seterusnya pencapaian murid dalam sesuatu pelajaran. Persekitaran seperti keluarga,
rakan, komuniti, kemudahan teknologi, persekitaran institusi dan guru merupakan
elemen yang dikenal pasti mempengaruhi perkembangan individu.
Seterusnya menurut Moos (1974), ciri-ciri individu dalam persekitaran manusia
boleh dikategorikan kepada tiga dimensi iaitu perhubungan, perkembangan dan
penyelenggaraan dan perubahan sistem. Dimensi perhubungan menilai sifat dan
perhubungan, tahap penglibatan, sokongan dan bantuan yang diberikan oleh individu
dalam persekitaran psikososial. Dimensi perkembangan menilai arah perkembangan
invdividu untuk meningkatkan diri contoh penilaian dalam peperiksaan dan gred
yang diberikan serta penghargaan dan seterusnya dimensi penyelenggaraan dan
perubahan sistem menilai sejauh mana persekitaran diatur dan dikawal seperti
kejelasan peraturan dalam bilik darjah, objektif dan matlamat pengajian. Selain itu,
Mok (2012) telah membahagikan persekitaran pembelajaran kepada tiga faktor iaitu
faktor fizikal, faktor kemanusiaan dan faktor teknikal. Faktor pertama iaitu faktor
fizikal sekolah yang merangkumi segala bentuk kemudahan dan peralatan yang
terdapat di sekolah, sama ada di dalam bilik darjah mahu pun di dalam kawasan
sekolah, seperti bangunan sekolah, meja, kerusi, alatan serta perabot.
Faktor kedua pula faktor kemanusiaan yang diklasifikasikan kepada dua kategori
iaitu suasana sosial dan suasana emosi. Suasana sosial ialah hubungan dan corak
interaksi di antara pelajar, khasnya di dalam kelas. Manakala suasana emosi pula
ialah perasaan pelajar terhadap guru dan pemimpin mereka. Faktor terakhir iaitu
faktor teknikal pula merujuk kepada teknik-teknik yang digunakan untuk
merangsang semangat dan kesediaan belajar serta suasana sekolah yang kondusif.
Faktor ini merangkumi aspek kepimpinan guru besar atau pengetua, kemahiran guru,
kecekapan penggunaan alat bantu mengajar mengikut peruntukan masa serta aktiviti-
aktiviti yang boleh merangsang pembelajaran seperti pertandingan kuiz, deklamasi
sajak, perbahasan dan sebagainya. Ketiga-tiga faktor ini adalah saling lengkap
melengkapi antara satu sama lain dalam mewujudkan iklim belajar yang kondusif
untuk keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (Mok, 2012).
2.4.1 Hubungan Antara Pelajar
Interaksi antara pelajar dalam suatu komuniti pembelajaran sama ada melalui
komunikasi dan kerjasama dalam proses pembelajaran seharian dapat mewujudkan
satu hubungan yang akrab antara pelajar. Komuniti pembelajaran dikategorikan oleh
Smith dan Bath (2006) sebagai kumpulan pelajar dalam konteks pembelajaran yang
menekankan interaksi sosial dan kerjasama antara pelajar. Interaksi sosial dan
kerjasama antara pelajar perlu diberi penekanan oleh guru melalui pendekatan
pengajaran yang digunakan. Pembelajaran yang berpusatkan pelajar dapat
meningkatkan lagi interaksi sosial dan kerjasama antara mereka. Menurut Virtanen,
Tynjala dan Etelapelto (2014) kerjasama yang erat antara pelajar dapat menjana
17
proses pembelajaran yang lebih berkesan kerana individu akan memahami bahan
pembelajaran dan menjana tingkah laku yang lebih baik apabila mereka terlibat
dalam persekitaran pembelajaran yang aktif. Justeru melalui persekitaran
pembelajaran yang aktif para pelajar akan saling melengkapi dalam mencapai
objektif pembelajaran melalui semangat kerjasama dan interaksi sosial di antara satu
sama lain.
Sementara itu menurut Fraser et al., (1982), dimensi hubungan antara pelajar adalah
perhubungan yang merangkumi aspek kerjasama dan pertelingkahan antara rakan
sekelas. Ini bermakna hubungan yang baik dapat diperolehi melalui kerjasama yang
baik antara pelajar dan sebaliknya. Justeru faktor rakan sebaya dalam komuniti
pembelajaran sangat penting dalam proses pembelajaran seseorang pelajar dan
mempengaruhi perilaku pelajar. Rakan merupakan individu yang kerap dijumpai dan
berhubungan dalam aktiviti seharian sewaktu sesi persekolahan. Segala suka duka
sepanjang sesi persekolahan dikongsi bersama. Oleh yang demikian rakan sebaya
merupakan indvidu yang cukup dekat dalam kalangan pelajar selain daripada ahli
keluarga. Saedah, Farazila, Mohd Ridhuan, Zaharah, Nurulrabihah, Ahmad Arifin
dan Azmi (2016) menegaskan hubungan pelajar dengan rakan memang diakui
sebagai faktor utama yang mampu mencorakkan kehidupan seorang pelajar.
Kajian-kajian lepas juga menunjukkan rakan sebaya dapat mempengaruhi perilaku
positif atau negatif dalam kalangan pelajar (Cook, Deng, & Morgano, 2007; Janosz,
Archambault, Morizot, & Pagani, 2008; Nelson & De Backer, 2008; Simons Morton
& Chen, 2009). Menurut Robert, Bridget dan Joseph (2012), jalinan persahabatan
yang baik antara rakan sebaya terutama rakan sekelas dapat memberikan motivasi ke
arah membangkitkan semangat kerjasama yang erat dalam kalangan pelajar di
sekolah. Sebaliknya sekiranya tiada jalinan persahabatan yang baik antara rakan
sebaya menyebabkan pelajar hilang motivasi dan tiada semangat kerjasama antara
satu sama lain (Robert et al., 2012). Oleh yang demikian persekitaran positif melalui
hubungan erat yang wujud antara pelajar berupaya menggalakkan interaksi dan
kerjasama dalam kalangan pelajar yang seterusnya dapat menggilap kerja
berpasukan.
Sementara itu, Nursuhaili (2010) menegaskan selain daripada mengembangkan
kebolehan dan kemahiran sosial, rakan sebaya juga turut mempengaruhi sikap dan
tingkah laku seseorang individu. Ini bermaksud jika seseorang pelajar berkawan
dengan pelajar yang meminati mata pelajaran tertentu kecenderungan untuk
meminati mata pelajaran tersebut adalah lebih besar. Ini bertepatan seperti yang
dinyatakan tentang impak rakan sebaya dalam perkembangan individu di mana
setiap individu akan cenderung memilih rakan yang mempunyai minat dan
kecenderungan yang sama. Ini adalah kerana persamaan daripada segi minat dan
kecenderungan memudahkan mereka untuk berkongsi pengalaman dan idea.
Seterusnya kesan daripada interaksi yang sedemikian mewujudkan rasa yang selesa
dalam kalangan pelajar semasa berinteraksi dan bekerjasama dalam sesuatu perkara.
18
2.4.2 Hubungan Pelajar Dengan Guru
Hubungan pelajar dengan guru adalah merujuk kepada sejauh mana perilaku yang
ditunjukkan pelajar terhadap guru. Hubungan yang rapat antara keduanya dapat
dilihat apabila guru dan pelajar saling menerima, mesra, hormat-menghormati,
bekerjasama, memahami dan mengambil berat antara satu sama lain dan sebalikya.
Menurut Fraser et al., (1982) hubungan pelajar dengan guru adalah termasuk sejauh
mana perilaku pelajar terhadap guru dipandu oleh peraturan formal seperti faktor
demokrasi, ketidakteraturan dan pemihakan. Perilaku positif pelajar terhadap guru
adalah didorong oleh hubungan yang berkualiti antara guru dengan pelajar. Kajian
yang dijalankan oleh Warwas dan Helm (2017) mendapati wujudnya hubungan yang
positif di antara ciri-ciri pengajaran yang dilaksanakan oleh guru dengan
keseronokan belajar dalam kalangan pelajar. Hubungan yang positif yang
diwujudkan oleh seseorang guru dengan pelajarnya merupakan aspek paling penting
dalam menggalakkan pembangunan positif pelajar tersebut dan seterusnya dapat
mewujudkan persekitaran sosial yang lebih mesra dan penyayang (Robert et al.
2012).
Justeru guru perlu membina hubungan yang rapat dengan pelajar kerana hubungan
ini juga mempengaruhi pelajar untuk menyesuaikan diri dalam kelas, melakukan
aktiviti pembelajaran dengan baik dan seterusnya dapat berinteraksi atau
bekerjasama dengan pelajar lain. Kajian-kajian terdahulu mendapati hubungan rapat
antara guru dan pelajar dapat mempengaruhi kognitif, sosial dan emosi pelajar,
meningkatkan keselesaan pembelajaran dan seterusnya pencapaian pelajar
(Norzanah, 2012; Che Nidzam et al., 2016). Melalui hubungan rapat ini, pelajar
termotivasi untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran dan seterusnya
mendorong perilaku yang positif terhadap guru. Wentzel (2009) menegaskan bahawa
hubungan yang berkualiti antara guru dan pelajar, mampu menyokong
perkembangan emosi pelajar dengan baik, membina sikap positif, dan motivasi
dalam mencapai hasil akademik dan seterusnya kemahiran- kemahiran sosial yang
sebenar juga dapat diperolehi.
Sementara itu Klem dan Connell (2004) menyatakan bahawa apabila guru cuba
untuk menjadikan proses pembelajaran lebih menarik, menggalakkan komunikasi
antara pelajar, prihatin, jujur serta melayan mereka secara adil, pelajar akan
membalasnya dengan menunjukkan tingkah laku yang lebih positif di dalam bilik
darjah. Sejauh mana guru bijak menyampaikan ilmu melalui pengajaran dan
komunikasi yang berkesan serta keprihatinan terhadap keperluan dan masalah
pembelajaran pelajar dapat menarik minat pelajar terhadap kandungan pelajaran
yang dipelajari yang seterusnya boleh mempengaruhi perilaku pelajar. Selain itu
guru yang mempunyai kemampuan merancang strategi pengajaran yang berkualiti
bukan sekadar berupaya untuk melaksanakan pengajaran yang menarik dan
berkesan, malah berupaya menterjemahkan nilai sesuatu pengajaran untuk dihayati
oleh murid (Mohd Fairuz, Shahizan & Azalina, 2017).
19
Kajian-kajian yang telah dilakukan di Malaysia membuktikan bahawa faktor guru
adalah signifikan dalam mempengaruhi prestasi akademik dan pembentukan sahsiah
pelajar (How, 2007; Rodiah, 2008; Rohani, Hazri & Nordin, 2010; Saari & Mat
Rashid, 2013; Che Nidzam et al., 2016). Ini bermakna perilaku yang ditunjukkan
oleh pelajar adalah secara tak langsung hasil dari faktor kualiti guru. Guru perlu ada
kepakaran dalam bidang yang diajar, bijak dalam mempelbagaikan pengajaran, dan
seterusnya mempunyai personaliti yang boleh dijadikan contoh kepada pelajar.
Amalan pengajaran yang menarik meliputi kreativiti semasa proses pengajaran agar
pelajar tidak hilang tumpuan dan melibatkan diri dalam pembelajaran (Muhamad
Zaki, Razali, Azman & Mohd As’ed, 2013). Manakala Siti Mistima dan Efendi
(2010) pula menegaskan pengajar yang mudah didekati, mampu mempelbagaikan
aktiviti dalam kelas, memberi penjelasan yang jelas dan adil dalam penilaian mampu
mengubah tingkah laku pelajar.
Sementara itu kajian yang dijalankan oleh Dedi Rohendi, Heri Sutarno, dan Gigin
Gantini Putri (2010) menunjukkan guru yang menguasai pengetahuan dan kemahiran
berkaitan dengan bidang mampu menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar.
Penguasaan kandungan pelajaran dan kemahiran pedagogi yang berkesan dapat
mewujudkan suasana pembelajaran yang boleh meningkatkan minat dan penglibatan
pelajar. Seterusnya memberikan rasa seronok dan dapat melahirkan perilaku yang
positif dalam kalangan pelajar. Mikkonen, Pylvas, Rintala, Nokelainen dan Postareff
(2017) menegaskan bimbingan yang baik yang diberikan oleh komuniti
pembelajaran seperti guru khususnya dapat menggalakkan sikap yang positif dalam
kalangan pelajar seperti sikap bertanggungjawab dan suka merebut peluang untuk
maju dalam pembelajaran.
Selain itu proses pembelajaran di dalam bilik kuliah berkesan apabila berlakunya
komunikasi antara pengajar dengan pelajar (Siti Mistima & Efendi, 2010). Guru
perlu bijak dan peka dalam menyampaikan isi pembelajaran melalui komunikasi
yang baik dan dua hala ketika pembelajaran berlangsung. Ini adalah kerana
kemahiran guru menggunakan komunikasi berkesan dapat meningkatkan
kepercayaan dari pelajar. Kepercayaan pelajar adalah penting untuk membolehkan
guru mendapatkan kerjasama dari pelajar khususnya semasa aktiviti pembelajaran
dilaksanakan (Norzanah, 2012). Kepercayaan yang diperolehi oleh pelajar ini juga
seterusnya akan mewujudkan hubungan yang lebih baik antara pelajar dengan guru.
2.4.3 Hubungan Pelajar Dengan Kaedah Pembelajaran
Kaedah pembelajaran yang disukai harus dikenalpasti oleh setiap pelajar agar
mereka mereka dapat belajar dengan lebih berkesan dan secara langsungnya
pencapaian akademik mereka juga dapat ditingkatkan (Saad, 2004). Ini adalah
kerana kaedah pembelajaran yang betul dan berkesan memotivasikan pelajar ke arah
pencapaian yang lebih baik. Menurut Fraser et al., (1982), persepsi pelajar terhadap
kecepatan menghabiskan silibus, kesukaran kandungan silibus dan kepelbagaian
aktiviti dalam pembelajaran adalah berkait dengan hubungan antara pelajar dengan
subjek dan kaedah pembelajaran. Kepelbagaian aktiviti pembelajaran mendorong
20
pelajar untuk lebih bermotivasi dalam mempelajari sesuatu pelajaran baru dan
mengelak perasaan bosan ketika belajar. Seterusnya penglibatan pelajar dalam
aktiviti pembelajaran merangsang pelajar ke arah mewujudkan interaksi sosial dan
penjanaan tingkah laku yang positif dalam proses pembelajaran. Kajian-kajian
terdahulu mendapati melalui aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan berupaya
meransang minat, kesungguhan dan penglibatan pelajar (Ainley & Ainley, 2011;
Reyes, Brackett, White & Salovey, 2012), mengukuhkan penggunaan strategi
pembelajaran, pemikiran kritikal dan pemantauan kendiri (Ahmed, Van der Werf,
Kuyper & Minnaert, 2013) dan meningkatkan prestasi akademik pelajar (Buff,
Reusser, Rakoczy & Pauli, 2011; Ranellucci, Hall & Goetz, 2015).
Oleh yang demikian, guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran ke arah
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan seterusnya
membolehkan pelajar termotivasi untuk belajar melalui kaedah pembelajaran yang
sesuai. Karner dan Kogler (2016) menegaskan emosi dan motivasi pelajar untuk
belajar adalah dipengaruhi oleh situasi pembelajaran di dalam kelas di mana
pengajaran guru adalah merangkumi kaedah pembelajaran yang digunakan dan
melibatkan interaksi guru-pelajar. Menurut Rohani, Hazril dan Nordin (2010) dalam
kajiannya mendapati bahawa wujudnya hubungan positif yang sederhana antara ciri
kualiti guru yang dikaji iaitu kemahiran penyampaian pengajaran dan hubungan guru
dengan pelajar dengan komitmen pelajar. Ini menjelaskan bahawa kualiti guru
melalui pendekatan pengajaran yang kreatif dan efektif dapat merangsang minat dan
kesungguhan dalam kalangan pelajar untuk mempelajari sesuatu teori atau
kemahiran baru. Seterusnya komitmen belajar pelajar dapat ditingkatkan dan
bersikap positif dalam pembelajaran. Amalan pengajaran yang menarik meliputi
kreativiti semasa proses pengajaran agar pelajar tidak hilang tumpuan dan
melibatkan diri dalam pembelajaran (Muhamad Zaki, Razali, Azman & Mohd As’ed,
2013).
Sementara itu, menurut Mustafa, Suradin, Ibrahim, Mastor, Salleh, Madar dan
Sulaiman, (2008) merumuskan pembangunan kemahiran insaniah seperti kemahiran
kerja berpasukan memerlukan tenaga pengajar menggunakan pelbagai pendekatan
dan kaedah pengajaran berpusatkan pelajar. Pembelajaran berpusatkan pelajar dapat
meningkatkan penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran dan berupaya
mempengaruhi tingkah laku positif dalam kalangan pelajar (Allan, 2014; Fjellstrom,
2014; Wuttke, Seifried, Brandt, Raush, Sembill, Marten & Wolf, 2015; Raush &
Wuttke, 2016; Rausch, Seifried, Wuttke, Kogler & Brandt, 2016; Che Nidzam et al.,
2016) yang seterusnya dapat menggilap kemahiran kerja pasukan dalam kalangan
pelajar. Melalui pendekatan ini, pelajar diberi kebebasan untuk berbincang, bertanya,
bekerjasama dalam proses pembelajaran manakala guru berperanan lebih kepada
fasilitator, pembimbing, jurulatih, moderator dan pemudah cara terhadap proses
pembelajaran (Eggen & Kauchak, 2012).
Pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar juga dapat menggalakkan
pelajar terlibat secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana salah
satu pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar adalah melalui pelaksanaan
21
pembelajaran koperatif (cooperative learning). Pelaksanaan pembelajaran koperatif
dapat meningkatkan komitmen belajar dalam kalangan pelajar (Rodiah, 2008),
pembabitan aktif pelajar dalam proses pembelajaran, pembelajaran kendiri dan
berpasukan, integrasi pengetahuan dan kemahiran di pelbagai bidang, proses
pemikiran kritikal, sikap yang positif terhadap subjek kajian dan kepuasan pelajar
(Martinez, Herrero & De Pablo, 2011). Melalui pembelajaran koperatif para pelajar
dilatih bekerja di dalam kumpulan dalam menyiapkan sesuatu tugasan atau projek di
mana pelaksanaan pembelajaran koperatif ini dapat mendorong pelajar berdikari dan
mempunyai sikap bertanggungjawab untuk setiap tugasan yang diberi.
Selain itu, dalam pembelajaran berpusatkan pelajar guru berperanan sebagai penyelia
dan bertanggungjawab membimbing pelajar melalui sesi perbincangan dan nasihat
dalam memastikan sesuatu tugasan atau projek yang diberikan dapat dijalankan
dengan baik dan mencapai matlamat (Mikkonen et al., 2017). Justeru, ahli akademik
perlu menggunakan pembelajaran berpusatkan pelajar dan menggalakkan pelajar
melontarkan idea dalam perbincangan semasa proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung bagi menyediakan pelajar supaya bersedia bekerja dalam pasukan
(Villiers, 2010). Dengan itu pelajar lebih bermotivasi dan berkeyakinan dalam
mempelajari sesuatu yang baru melalui perbincangan antara rakan.
Penguasaan kandungan pelajaran dan kemahiran pedagogi yang berkesan oleh guru
juga dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang boleh meningkatkan minat dan
penglibatan pelajar. Emosi pelajar adalah sangat berkait dengan proses pengajaran
dan pembelajaran (Goetz, Sticca, Pekrun, Murayama, & Elliot, 2016; Karner, 2015;
Kogler, 2015). Sejauhmana guru bijak dalam menyampaikan isi palajaran dan
berjaya mewujudkan situasi pembelajaran yang efektif sepanjang proses pengajaran
dan pembelajaran dapat memotivasikan pelajar untuk mempelajari sesuatu
kemahiran baru. Seterusnya penglibatan aktif pelajar juga dapat menyumbang
kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Guru yang efektif adalah guru
yang membantu pelajarnya untuk belajar dalam berbagai cara yang boleh diukur atau
ditaksir (Cruickshank, Jenkins & Metcalf, 2012). Kajian yang dijalankan oleh Dedi
Rohendi, Heri Sutarno dan Gigin Gantini Putri, (2010) menunjukkan guru yang
menguasai pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan bidang mampu
menyampaikan isi pelajaran kepada pelajar. Kefahaman terhadap sesuatu isi
pelajaran adalah penting kerana dapat memberikan rasa seronok dan melahirkan
minat yang mendalam dalam kalangan pelajar untuk mempelajari sesuatu teori atau
kemahiran baru melalui kaedah pembelajaran yang diamalkan.
2.5 Teori Pembelajaran Koperatif
Dalam teori pedagogi dan penyelidikan pendidikan, pembelajaran koperatif telah
dipertimbangkan sebagai pendekatan pengajaran penting selama beberapa dekad
(Wolfensberger & Canella, 2015). Pembelajaran koperatif merupakan satu
pendekatan pembelajaran yang dapat menerapkan kemahiran insaniah kepada pelajar
disamping dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Kaedah ini kerap
diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di IPTA mahupun di IPTS
22
dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Semua kaedah
pembelajaran koperatif memerlukan pelajar bertanggungjawab ke atas pembelajaran
rakan-rakan sepasukan mereka selain daripada pembelajaran mereka sendiri.
Pembelajaran koperatif adalah proses pembelajaran yang melibatkan perbincangan
pelajar dalam kumpulan tertentu seperti kumpulan projek, perbincangan, kumpulan
makmal dan pengajaran oleh rakan sebaya (Slavin, 1995). Menurut Davidson dan
Worsham (1992) pembelajaran koperatif adalah disifatkan sebagai interaksi pelajar
dengan pelajar dalam kumpulan kecil pelajar iaitu di antara 2 ke 6 orang,
penggunaan prosedur tertentu kumpulan, berkongsi kepimpinan, akauntabiliti dan
tanggungjawab individu.
Johnson dan Johnson (1999) menegaskan pembelajaran koperatif tidak berlaku jika
hanya seorang sahaja yang mengambil berat serta melakukan tugasan dalam sesuatu
kumpulan perbincangan manakala ahli yang lain hanya bertindak sebagai
penumpang sahaja. Menurut Johnson dan Johnson (1999), pembelajaran koperatif
seharusnya mempunyai ciri-ciri akauntabiliti individu, saling kebergantungan yang
positif, menggalakkan interaksi secara bersemuka, kemahiran bersosial dan
kemahiran dalam pengurusan kumpulan. Ciri-ciri ini secara langsung melibatkan
hubungan kerjasama antara pelajar dalam mencapai matlamat kumpulan yang
seterusnya boleh menggilap kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.
Oleh itu, kefahaman pertama tentang pembelajaran koperatif adalah kaedah ini
merupakan kaedah pembelajaran berkumpulan yang efektif dan seharusnya memberi
kesan serta pengalaman terhadap setiap ahli yang melaluinya berbanding
pembelajaran berkumpulan biasa (Jacobs, 2004).
Prinsip-prinsip asas pembelajaran koperatif adalah saling kebergantungan secara
positif, akauntabiliti individu, interaksi kumpulan dan kemahiran sosial (Ng Kim
Choy, 1999). Prinsip pertama iaitu saling kebergantungan secara positif membawa
maksud pelajar seharusnya beranjak dari sifat bergantung kepada sifat berdikari dan
seterusnya ke tahap saling kebergantungan. Saling kebergantungan wujud apabila
pelajar menganggap bahawa mereka memerlukan usaha orang lain untuk
menyelesaikan sesuatu tugasan. Ini bermakna walaupun seseorang pelajar berdikari
tetapi tahap kecemerlangan yang lebih tinggi hanya boleh dicapai melalui usaha dan
input orang lain.
Seterusnya untuk prinsip kedua iaitu akauntabiliti individu menjelaskan bahawa
walaupun setiap pelajar dikehendaki bekerjasama dalam sesuatu tugasan namun dia
adalah bertanggungjawab ke atas pencapaiannya sendiri di mana penilaian boleh
dibuat secara individu. Bagi prinsip pembelajaran koperatif yang ketiga pula iaitu
interaksi kumpulan menjelaskan bahawa pelajar-pelajar memajukan pembelajaran
pelajar lain dengan membantu, berkongsi dan menggalakkan usaha pembelajaran.
Tindakan pelajar untuk mengajar, membincang dan menerangkan apa yang diketahui
kepada orang lain merupakan contoh interaksi kumpulan. Prinsip asas terakhir iaitu
kemahiran sosial menjelaskan bahawa untuk menjadikan pembelajaran koperatif
berkesan, guru mesti mengajar kemahiran sosial kepada pelajar. Kemahiran-
23
kemahiran tersebut adalah merangkumi kemahiran seperti komunikasi, kepimpinan,
membuat keputusan, membina kepercayaan dan pengurusan konflik.
Selain itu terdapat banyak manfaat yang diperolehi melalui pembelajaran koperatif.
Kagan (1992) telah menyenaraikan sembilan kebaikan pembelajaran koperatif
kepada pelajar seperti berikut;
1. Pelajar dengan strategi pembelajaran yang lemah mendapat lebih peluang
untuk melihat model pelajar lain yang mempunyai strategi yang lebih
berkesan.
2. Pelajar lebih bermotivasi untuk berjaya kerana setiap ahli kumpulan bukan
sahaja mencapai kejayaan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk rakan
sekumpulan juga.
3. Membangkitkan perasaan seronok untuk ke sekolah hasil suasana sosial
pembelajaran kerjasama tersebut.
4. Perhubungan interpersonal dapat ditingkatkan melalui kemahiran
bekerjasama dan keperluan untuk saling membantu antara satu sama lain.
5. Wujudnya saling kebergantungan yang positif di mana ahli-ahli daripada
kumpulan berlainan dalam masyarakat dapat berkerjasama menuju ke satu
matlamat yang sama.
6. Menggalakkan seseorang menyusun semula pemikiran mereka seperti
menjelas, meringkas dan memberi contoh bila berinteraksi dengan orang lain.
7. Mengurangkan kerisauan dan seterusnya menggalakkan seseorang
mengambil risiko, mencuba cara baru serta meningkatkan kreativitinya.
8. Pelajar mempunyai lebih peluang untuk melihat strategi pemikiran orang lain
di samping berkongsi strategi sendiri.
9. Dapat memberikankesedaran bahawa ada pendapat yang berlainan daripada
pendapat sendiri apabila seseorang individu saling bertukar pandangan.
Kajian-kajian terdahulu juga mendapati pembelajaran koperatif dapat menerapkan
kemahiran kerja berpasukan kepada pelajar (Johnson dan Johnson, 1999; Slavin,
1995; Ahmad, Baharom, Berhanuddin & Fauzianna, 2008). Pengajaran dan
pembelajaran yang dikatakan menarik ialah pengajaran dan pembelajaran yang
berkesan dan mencabar di mana pengajaran tersebut berpusatkan pelajar. Ini adalah
kerana pengajaran berpusatkan pelajar memberi peluang kepada pelajar berinteraksi,
berkomunikasi, mengalami dan menghayati proses pembelajaran yang lebih
berkesan. Menurut Sharan (1990) matlamat utama pembelajaran koperatif adalah
peningkatan pencapaian akademik pelajar dan menggalakkan pemikiran aras tinggi
serta hubungan interpersonal dan antara kumpulan yang positif dalam kalangan
pelajar di sekolah. Kaedah pembelajaran koperatif juga telah dikenalpasti sebagai
salah satu faktor utama dalam menyumbang kepada keberkesanan sesuatu
pengajaran (Walberg, 1986).
Kajian juga menunjukkan bahawa pembelajaran koperatif meningkatkan usaha
dalam kalangan pelajar, hubungan interpersonal yang lebih positif dan kesihatan
24
mental yang lebih baik jika dibandingkan dengan pembelajaran secara individu
semata-mata (Johnson, Johnson, & Holubec, 1994). Zedda, Bernardella dan Maran
(2017) menegaskan teknik pembelajaran koperatif memberikan kesan positif ke atas
pembelajaran pelajar melalui penyertaan aktif pelajar yang seterusnya dapat
meningkatkan kemahiran kognitif dan sosial. Selain itu, kajian Mohd Noor dan
Sahimin (2008) pula mendapati pelajar sedar bahawa melalui pembelajaran
koperatif, untuk mencapai matlamat kumpulan aspek kebolehan bekerjasama dengan
orang lain sangat penting. Pelajar berpendapat kerjasama yang baik perlu disertai
aspek menghormati antara rakan kelas, menyelesaikan masalah melalui
perbincangan, dan membuat keputusan serta bertanggungjawab terhadap keputusan
yang dibuat. Justeru antara faktor yang menyumbang kepada kemahiran kerja
berpasukan dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran koperatif adalah ciri
pembelajaran koperatif itu sendiri iaitu interaksi bersemuka, saling kebergantungan,
kemahiran sosial, akauntabili individu dan pemprosesan kumpulan.
2.6 Teori Tuckman
Teori Tuckman (1965) adalah satu teori yang berkaitan dengan kemahiran kerja
berpasukan. Teori ini adalah berkaitan pembentukan suatu pasukan terawal yang
telah diperkenalkan oleh Bruce Tuckman. Teori ini dikenali sebagai salah satu teori
pembentukan kumpulan atau pasukan yang terbaik dan menghasilkan banyak idea–
idea lain setelah konsep ini dicetuskan. Teori ini memfokuskan pada cara suatu
pasukan menghadapi sesuatu tugas bermula dari awal pembentukan pasukan
sehingga sesuatu aktiviti atau projek itu selesai. Pada tahap awal pencetusan teori ini,
Tuckman telah mengelaskan pembentukan pasukan kepada empat tahap sahaja.
Namun selanjutnya, Tuckman telah menambah tahap pembentukan pasukan menjadi
lima tahap pada tahun 1977 bersama-sama dengan Mary Ann Jesen untuk
melengkapi teori ini (Wilson, 2010).
Tahap pertama teori Tuckman disebut sebagai “forming”. Tahap ini adalah peringkat
awal pembentukan sesuatu kumpulan. Sesebuah pasukan akan dibentuk pada
peringkat ini dan tugasan diperolehi. Anggota pasukan cenderung untuk bekerja
sendiri dan walaupun memiliki niat atau kemahuan yang baik serta jujur namun
mereka belum mengenali dan mempercayai antara satu sama lain. Justeru pada
peringkat ini ahli pasukan akan mengambil masa untuk merancang sesuatu tugasan,
mengumpul maklumat dan mendekatkan diri antara satu sama lain.
Tahap kedua pula disebut sebagai “storming”. Idea-idea berhubung dengan tugas
yang mereka hadapi mula dikembangkan oleh setiap ahli kumpulan. Mereka
membincangkan idea dan permasalahan yang harus mereka selesaikan, mengambil
peranan dan fungsi masing-masing dan mula menunjukkan sifat kepimpinan mereka
dalam menjalankan tugas. Setiap ahli kumpulan harus sentiasa berfikiran terbuka dan
memberikan pendapat daripada perspektif masing-masing pada peringkat ini.
Justeru tahap “storming” amat penting untuk perkembangan sesebuah pasukan. Ini
adalah kerana konflik antara ahli pasukan yang disebabkan perbezaan pendapat yang
diutarakan kadang kala boleh tercetus pada tahap ini.
25
Seterusnya, tahap ketiga disebut sebagai “norming” di mana kesepakatan dan sikap
saling menghormati antara satu sama lain wujud pada tahap ini. Setiap indvidu
dalam kumpulan atau pasukan sudah jelas tanggungjawab dan peranan mereka.
Mereka mula saling menghormati antara satu sama lain, sentiasa bersepakat terhadap
keputusan yang telah diputuskan dan perlu bertanggungjawab terhadap apa jua
akibat daripada keputusan yang mereka ambil. Pada tahap ini, ahli pasukan mula
saling mempercayai antara satu sama lain dengan melihat sumbangan terhadap kerja
dalam pasukan.
Seterusnya pada tahap kedua terakhir pula yang dikenali sebagai “performing”,
setiap kumpulan atau pasukan dapat berfungsi dalam menyelesaikan tugasan dengan
efektif dan lancar tanpa ada konflik yang memerlukan penyeliaan daripada pihak
luar. Pada tahap ini juga setiap ahli kumpulan dapat berkomunikasi dengan baik dan
wujud saling bergantungan antara satu sama lain. Manakala tahap yang terakhir
dikenali sebagai “adjourning”. Pada tahap ini projek berakhir dan ahli kumpulan
membubarkan diri. Namun begitu ahli kumpulan boleh kembali bekerja sebagai satu
pasukan walaupun pasukan mengalami perubahan (transforming) sama ada
perubahan pada ahli kumpulan atau perubahan mengenai matlamat (Raymond,
2006).
Dalam konteks kajian, teori ini dapat memberikan justifikasi sejauh mana
keberkesanan pembentukan kumpulan yang berlaku dalam proses pembelajaran
amali kursus vokasional program DVM yang merupakan pembolehubah tidak
bersandar kajian iaitu persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan
antara pelajar dengan kaedah pembelajaran. Pelajar-pelajar yang mengikuti program
Diploma Vokasional Malaysia, Kolej Vokasional perlu melalui persekitaran
pembelajaran selama 4 tahun di Kolej Vokasional sebelum menjalani latihan industri
(On Job Training). Nisbah pemberatan kursus vokasional berbanding akademik yang
dilalui oleh pelajar pada 2 tahun pertama iaitu di peringkat pra diploma adalah 70:30
iaitu 70% kursus vokasional dan 30% akademik di mana nisbah peratusan
pemberatan pembelajaran amali berbanding teori kursus vokasional adalah 50:20
(Kementerian Pendidikan Malaysia, 2017).
2.7 Kerangka Kajian
Perbincangan kajian ini telah dirumuskan menjadi satu kerangka konseptual kajian
seperti Rajah 1 yang menunjukkan pembolehubah - pembolehubah dalam kajian ini.
Pembolehubah bersandar dalam kajian ini adalah kemahiran kerja berpasukan pelajar
tahun akhir DVM, KV. Manakala pembolehubah tidak bersandar adalah persekitaran
pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar, hubungan pelajar dengn
guru dan hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran.
26
Pembolehubah Tidak Bersandar
Persekitaran pembelajaran
berdasaran persepsi
hubungan antara pelajar. Pembolehubah Bersandar
Kemahiran kerja
Persekitaran pembelajaran berpasukan pelajar tahun
berdasarkan persepsi akhir program DVM,
hubungan pelajar dengan Kolej Vokasional.
guru.
Persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi
hubungan pelajar dengan
kaedah pembelajaran.
Rajah 1 : Kerangka Kajian
2.8 Rumusan
Dalam bab ini penyelidik membuat tinjauan kajian yang berkaitan kemahiran kerja
berpasukan dan persekitaran pembelajaran. Penyelidik juga mengemukakan teori-
teori yang berkaitan dengan pembolehubah kajian. Berdasarkan dapatan kajian lepas
dan teori-teori berkaitan, penyelidik menjangkakan persekitran pembelajaran
berupaya memberi kesan positif terhadap kemahiran kerja berpasukan dalam
kalangan pelajar tahun akhir program Diploma Vokasional Malaysia, KV.
27
BAB 3
3 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan
Bab ini membincangkan tentang metodologi kajian yang digunakan oleh penyelidik.
Aspek yang disentuh adalah merangkumi reka bentuk kajian, populasi dan
persampelan, instrumen kajian, kesahan dan kebolehpercayaan instrumen, kajian
rintis, prosedur pengumpulan data dan analisis data yang digunakan dalam kajian.
3.2 Reka Bentuk Kajian
Penyelidik menjalankan kajian kuantitatif yang menggunakan reka bentuk kolerasi.
Kaedah kolerasi digunakan kerana penyelidik berminat untuk mengkaji perhubungan
yang wujud antara pembolehubah kajian yang terdiri daripada pembolehubah bebas
iaitu persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar,
hubungan antara pelajar dengan guru dan hubungan antara pelajar dengan kaedah
pembelajaran dengan pembolehubah bersandar iaitu kemahiran kerja berpasukan.
Menurut Cresswell dan Cresswell (2018) kaedah kolerasi digunakan untuk
menghuraikan hubungan di antara pembolehubah. Selain itu penyelidik juga
berminat untuk mengenalpasti faktor peramal daripada pembolehubah bebas yang
menyumbang kepada kemahiran kerja berpasukan pelajar. Kajian ini meninjau
pendapat pelajar tahun akhir yang mengikuti program DVM di negeri Selangor
berkaitan persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar,
hubungan pelajar dengan guru dan hubungan pelajar dengan kaedah pembelajaran
dan kemahiran kerja berpasukan yang telah dilalui sepanjang pengajian mereka.
Penyelidik menggunakan instrumen soal selidik untuk mengumpul data kajian
seperti yang dicadangkan oleh Gliner, Morgan dan Leech (2017).
3.3 Populasi dan Persampelan
Dalam kajian ini, populasi sasaran adalah terdiri daripada pelajar tahun akhir
program DVM Kolej Vokasional di Malaysia manakala populasi capaian adalah di
negeri Selangor sahaja. Pengkaji memilih negeri Selangor kerana mengambil kira
faktor demografi dan kos dalam menjalankan penyelidikan ini. Selain itu, Kolej
Vokasional juga menggunakan kurikulum pendidikan yang sama di seluruh
Malaysia iaitu Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) yang telah dibekalkan
oleh Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pendidikan
Malaysia. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari BPTV terdapat 8 buah Kolej
Vokasional di negeri Selangor.
28
Namun begitu hanya 6 buah sahaja yang mempunyai pelajar tahun akhir program
DVM. Para pelajar ini merupakan kohort ke dua yang memasuki Kolej Vokasional
iaitu pada tahun 2013. Terdapat 2 buah Kolej Vokasional di Selangor yang tidak
terlibat dengan pengambilan pelajar ini kerana kemudahan prasarana seperti bengkel
yang masih dalam proses naik taraf. Pelajar-pelajar ini dipilih sebagai responden
kerana penyelidik berminat untuk mengetahui tahap kemahiran kerja berpasukan
mereka setelah melalui persekitaraan pembelajaran di Kolej Vokasional sepanjang
pengajian mereka.
Bagi menentukan saiz sampel, penyelidik menggunakan formula saiz sampel oleh
Cochran (1997). Pengiraan saiz sampel mengikut formula Cochran adalah seperti
berikut:
n = n0
1 + no
N
Di mana:
n0 = saiz sampel
n0 = (t2)(p)(q)
d2
t = risiko menggunakan ralat margin sebenar yang membolehkan mencapai ralat
margin yang sesuai
= 1.96 (Nilai untuk alpha 0.05 dan populasi melebihi 120 = 1.96)
p = 0.5 (Krejcie & Morgan, 1970) mencadangkan tahap 0.5 sebagai tahap
anggaran.
q = 1 – 0.5 = 0.5, di mana q = 1 – p
d = 95% (0.05); nilai alpha yang sesuai ialah 0.05
N= Saiz populasi = 1, 111
Oleh itu, pengiraaan untuk n0
n0 = (1.962) (0.5)(0.5)
0.052
= 384.16
Jadi,
29
n = n0
1 + no
N
= 384.16
[ 1 + 384 ]
1111
= 384.16
1.35
= 285
Dengan itu berdasarkan pengiraan saiz sampel menggunakan formula Cochran,
bilangan sampel adalah sebanyak 285. Jumlah sampel yang diperolehi ini adalah
sama dengan jumlah sampel yang dinyatakan dalam jadual saiz sampel Krejcie &
Morgan (1970) iaitu 285.
Persampelan bertujuan digunakan dalam kajian kerana penyelidik memilih pelajar
tahun akhir program DVM sahaja yang telah melalui persekitaran pembelajaran di
Kolej Vokasional selama hampir 4 tahun. Menurut Ary, Jacobs, Sorensen dan
Walker (2018), sampel dalam persampelan bertujuan perlu memiliki ciri-ciri tertentu
berdasarkan tujuan penyelidikan yang dijalankan. Seterusnya kaedah persampelan
rawak mudah berkadaran digunakan kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi
dari BPTV, setiap Kolej Vokasional mempunyai jumlah pelajar tahun akhir yang
berbeza. Justeru kaedah ini memberikan bilangan sampel yang dipilih adalah
seimbang bagi mewakili setiap Kolej Vokasional. Formula berikut digunakan bagi
mendapatkan bilangan sampel pada setiap Kolej Vokasional:
i. Bilangan pelajar setiap KV ×100 = % bilangan pelajar
Jumlah pelajar (populasi)
ii. % bilangan pelajar × saiz sampel = sampel pelajar di setiap KV
100
30
Jadual 3.1 menunjukkan bilangan sampel mengikut Kolej Vokasional yang terlibat.
Jadual 3.1 : Bilangan Sampel Mengikut Kolej Vokasional
Kolej Bilangan Populasi % Bilangan Sampel
KV Sungai Buloh 260 23.4 67
KV Shah Alam 130 11.7 33
KV Klang 243 21.9 63
KV Kajang 280 25.2 72
KV Gombak 137 12.3 35
KV Banting 61 5.5 15
Jumlah 1,111 285
Setelah mengetahui bilangan sampel mengikut Kolej Vokasional, pemilihan
responden dibuat secara rawak oleh penyelidik berdasarkan senarai nama yang
diperolehi dari setiap Kolej Vokasional yang terlibat. Penyelidik menggunakan
perisian Microsoft Excel dengan fungsi rawak (RAND) untuk menentukan sampel
kajian. Soal selidik dihantar sendiri oleh penyelidik ke 6 buah Kolej Vokasional dan
diedarkan kepada pelajar dengan bantuan pihak Kolej Vokasional.
3.4 Instrumen Kajian
Dalam kajian ini, penyelidik menggunakan soal selidik sebagai instrumen kajian
untuk mencapai objektif kajian serta menjawab persoalan kajian. Soal selidik ini
terdiri daripada 5 bahagian untuk mengukur setiap pembolehubah kajian iaitu;
Bahagian A : Soal Selidik Demografi kaedah
Bahagian B : Persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran
Bahagian C berdasarkan hubungan antara pelajar
Bahagian D : Persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran
Berdasarkan hubungan antara pelajar dengan guru
Bahagian E : Persepsi pelajar terhadap persekitaran pembelajaran
berdasarkan hubungan antara pelajar dengan
pembelajaran
: Kemahiran kerja berpasukan
Bahagian A : Soal Selidik Demografi
Soal selidik bahagian A mengandungi 6 item yang bertujuan mendapatkan latar
belakang responden. Item-item tersebut ialah jantina, umur, nama institusi, kursus
yang diikuti, tahun pengajian, dan semester pengajian. Maklumat ini diambil untuk
membantu penyelidik menyokong hasil dapatan kajian.
31
Bahagian B, C dan D: Persekitaran Pembelajaran
Bahagian B, C dan D adalah merupakan item yang mengukur pembolehubah tidak
bersandar iaitu persekitaran pembelajaran. Bahagian B merupakan item yang
mengukur persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar.
Bahagian C pula merupakan item yang mengukur persekitaran pembelajaran
berdasarkan persepsi hubungan antara pelajar dengan guru. Manakala bahagian D
adalah merupakan item yang mengukur persekitaran pembelajaran berdasarkan
persepsi hubungan antara pelajar dengan kaedah pembelajaran. Item-item ini dibina
oleh pengkaji berdasarkan pengubahsuaian instrumen Learning Environment
Inventory (LEI) oleh Fraser et al. (1982). Selain itu penyelidik juga merujuk kajian-
kajian lepas yang berkaitan di dalam literatur.
Terdapat sepuluh bilangan item soal selidik bagi setiap bahagian yang digunakan
untuk mengukur pembolehubah tidak bersandar kajian. Penyelidik menggunakan
Skala Likert empat mata untuk semua bahagian ini. Setiap item diukur dengan
merujuk skala 1 = Sangat Tidak Setuju (STS); 2 = Tidak Setuju (TS); 3 = Setuju (S)
dan 4 = Sangat Setuju (ST). Bentuk ini dipilih kerana penyelidik mengambil kira
pandangan (Deobold, 1999) iaitu Skala Likert empat mata senang ditadbir kepada
jumlah yang besar, membantu responden menumpukan kepada subjek yang dikaji
dan seterusnya melicinkan proses penjadualan dan penganalisisan data. Seterusnya
Brace (2004) menegaskan kajian menunjukkan bahawa responden cenderung untuk
memilih titik pertengahan yang neutral, walaupun mereka sebenarnya ada pendapat
lain. Selain itu penyelidik ingin mengelakkan daripada data yang tidak boleh dibuat
kesimpulan dan sukar untuk ditafsirkan terutamanya di dalam kajian pendidikan
yang mana skalanya berupa skala ganjil seperti “tidak pasti” (Tsang, 2012).
Bahagian E: Kemahiran kerja berpasukan
Bahagian terakhir adalah bahagian E yang terdiri daripada item yang mengukur
pembolehubah bersandar iaitu kemahiran kerja berpasukan. Bahagian ini
mengandungi 30 item yang diadaptasi dari modul pembangunan kemahiran insaniah
untuk Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (2006). Item-item ini adalah berdasarkan
tiga tahap kemahiran kerja berpasukan (Team Work Skills-TS) yang merupakan
kemahiran insaniah mesti (KIM) yang perlu ada dalam kalangan pelajar. Tiga tahap
tesebut adalah kebolehan untuk membina hubungan yang baik, berinteraksi dengan
orang lain dan bekerja secara efektif bersama mereka untuk mencapai objektif yang
sama (TS1), kebolehan untuk memahami dan mengambil peranan silih berganti
antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan (TS2) dan yang terakhir kebolehan untuk
mengenal dan menghormati sikap, kelakuan dan kepercayaan orang lain (TS3).
Terdapat tiga puluh bilangan item soal selidik yang digunakan untuk mengukur
kemahiran kerja berpasukan yang merupakan pembolehubah bersandar kajian.
Walaubagaimanapun penyelidik juga menggunakan Skala Likert empat mata
menggantikan skala asal iaitu Skala Likert lima mata untuk semua bahagian yang
32
mengukur pembolehubah bersandar ini di mana setiap item diukur dengan merujuk
skala 1 = Sangat Tidak Setuju (STS); 2 = Tidak Setuju (TS); 3 = Setuju (S) dan 4 =
Sangat Setuju (ST).
3.5 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen
Penyelidik mendapatkan kesahan kandungan daripada 2 orang pensyarah yang
mempunyai kepakaran berkaitan bidang yang dikaji setelah soal selidik siap dibina.
Kesahan kandungan dilakukan agar semua item yang dibina mewakili semua aspek
yang diuji dan menepati kandungan bidang yang dikaji (Ghazali & Sufean, 2016).
Selain itu, penyelidik juga mendapatkan khidmat guru cemerlang Bahasa Melayu
untuk menentukan maklumat yang hendak diukur difahami dengan jelas oleh
responden. Antara komen yang diterima dari panel adalah maksud item yang kurang
jelas dan struktur ayat yang mengelirukan responden. Justeru komen yang diberikan
oleh ahli panel telah diambil kira ke arah penambahbaikan dari aspek kandungan dan
bahasa. Senarai nama panel penilai yang terlibat adalah seperti dalam Lampiran B.
3.6 Kajian Rintis
Penyelidik telah menjalankan kajian rintis ke atas 35 orang pelajar di Kolej
Vokasional (ERT) Setapak. Penyelidik menjalankan kajian rintis di luar populasi
kajian tetapi mengambil kira ciri-ciri persamaan bagi sampel yang terlibat. Soal
selidik telah diserahkan sendiri oleh penyelidik kepada Pengetua KV (ERT) Setapak
untuk diedarkan kepada pelajar. Setelah seminggu penyelidik mengambil set soal
selidik yang telah dijawab. Dengan bantuan pihak kolej, sebanyak 34 soal selidik
yang telah dijawab oleh pelajar tahun akhir program Diploma Vokasional Malaysia
berjaya dipulangkan. Menurut Creswell dan Creswell (2018), kajian rintis dapat
membantu penyelidik mengenalpasti tahap penerimaan responden terhadap
penerimaan soal selidik dan masalah yang bakal dihadapi semasa kajian sebenar
dilakukan.
Seterusnya penyelidik telah menganalisis data kajian rintis untuk mengetahui nilai
Alpha Cronbach bagi menentukan kebolehpercayaan instrumen dengan
menggunakan perisian IBM Statistical Package for Social Science versi 22. Pekali
Alpha Cronbach yang melebihi 0.6, sesuatu intrumen adalah boleh diterima dan 0.72
adalah lebih baik dan sesuai untuk digunakan dalam sesuatu kajian (Creswell &
Creswell, 2018). Jadual 3.2 menunjukkan nilai Alpha Cronbach yang diperoleh hasil
daripada kajian rintis bagi pembolehubah bebas dan bersandar dalam kajian ini.
Justeru nilai Alpha Cronbach yang diperolehi adalah bersesuaian.
33
Jadual 3.2 : Nilai Alpha Cronbach
Pembolehubah Nilai Alpha Cronbach
Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi 0.80
hubungan antara pelajar
Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi 0.73
hubungan antara pelajar dengan guru
Persekitaran pembelajaran berdasarkan persepsi 0.88
hubungan antara pelajar dengan kaedah pembelajaran
Kemahiran Kerja Berpasukan: 0.87
0.91
TS1 0.94
TS2
TS3
3.7 Prosedur Pengumpulan Data
Cara pengumpulan data bagi kajian ini dimulakan dengan memohon kebenaran
daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP),
Kementerian Pendidikan Malaysia dan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional
(BPTV) untuk mendapat kelulusan. Setelah mendapat kebenaran diperolehi daripada
BPPDP dan BPTV penyelidik mengunjungi setiap Kolej Vokasional di Selangor
yang terlibat dengan kajian dan memaklumkan berkenaan kajian kepada Pengarah
Kolej Vokasional tersebut dengan diiringi surat kebenaran dari BPPDP dan BPTV.
Berdasarkan pengiraan saiz sampel Cochran (1977), sebanyak 285 soal selidik telah
diserahkan untuk ditadbir oleh pihak Kolej Vokasional yang terlibat. Selain itu pada
peringkat penghantaran soal selidik, penyelidik juga memberikan cenderahati kepada
responden dan Pengetua Kolej Vokasional yang terlibat sebagai tanda penghargaan
di atas kerjasama yang diberikan. Seterusnya penyelidik membuat tindakan susulan
selepas seminggu penghantaran soal selidik dengan menelefon setiap kolej yang
terlibat. Setelah mendapat respon dari setiap kolej, penyelidik membuat kunjungan
kali ke dua untuk mengambil soal selidik yang telah dijawab.
3.8 Analisis Data
Data soal selidik dianalisis berdasarkan objektif kajian dengan menggunakan
perisian IBM Statistical Package for Social Science versi 22. Penyelidik
menjalankan analisis penerokaan data terlebih dahulu untuk mengetahui jika terdapat
kesilapan pengkodan atau memasukkan data dan menentukan statistik yang sesuai
digunakan mengikut data yang diperolehi. Ujian normaliti dilaksanakan bagi
memastikan taburan data adalah normal. Dalam bidang sains sosial, data kajian
dengan nilai skewness dan kurtosis antara + 2 adalah dianggap bertaburan normal
(Gravetter & Wallnau, 2014). Jadual 3.3 menunjukkan nilai skewness dan kurtosis
bagi ujian normaliti yang dijalankan adalah bertaburan normal.
34