KOLEKSI NOVEL IDAMAN REMAJA
MENGEJAR
CITA-CITA
NAJIB A. H
Penerbit Idaman (001376667-X)
Shah Alam
2006
PENERBIT IDAMAN
29, JALAN ANGGERIK ARANDA,
31/4 KOTA KEMUNING,
40460 SHAH ALAM,
SELANGOR DARUL EHSAN
Semua hakcipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini
tidak boleh diterbitkan semula, disimpan dalam sebarang cara yang
boleh dipergunakan lagi, ataupun dipindahkan dalam sebarang
bentuk atau cara, baik dengan cara elektronik, mekanikal,
penggambaran semula, perakaman ataupun sebahagiannya tanpa
izin terlebih dahulu dari PENERBIT IDAMAN.
© PENERBIT IDAMAN
Cetakan Pertama...2006
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-
Penerbitan
Najib A. H.
Mengejar Cita-cita / Najib A. H.
(Koleksi Novel Idaman Remaja)
ISBN 983-3312-10-2 (set)
ISBN 983-3312-13-6
1. Malay language-Readers-Fiction. I. Judul. Ii. Siri.
499.2386
Rekaletak Huruf:
Noor Azlin Ayub
PRAKATA
Koleksi Novel Idaman Remaja
mengandungi cerita-cerita yang berkaitan dengan
adab, moral serta pengajaran di dalam kehidupan
seharian. Koleksi ini diterbitkan dengan tujuan
untuk pengkayaan bahasa, berhibur, mengisi masa
lapang dengan cara yang lebih berfaedah dan
untuk tujuan-tujuan lain.
Glosari dan soalan disediakan untuk
menguji kefahaman pembaca dan membantu
pembaca agar lebih memahami moral yang cuba
disampaikan. Semoga cerita-cerita dan nilai-nilai
murni yang cuba dipaparkan akan memberi
manfaat ke arah membentuk generasi yang
bermoral dan berakhlak mulia.
EDITOR
~Mengejar Cita-cita~
1.Geram 1
2.Sampai Bila Begini 12
3.Guru Bimbingan 23
4.Kem Motivasi 35
5.Usaha Tangga Kejayaan45
6.Cabaran 56
7.Kertas Jawapan 69
8.Jangan Dipedulikan 81
9.Peperiksaan 90
10.Mengecapi Kejayaan 99
Soalan 106
Glosari 107
1
Geram
“Geram sungguh aku. Bodoh sangatkah aku ni?”
bentak Aidil sesampainya di rumah pada petang itu.
“Kalau dah otak bengap, kalau dah bodoh
macam keldai, mana boleh dapat markah lebih.
Bodoh!” Aidil masih ingat kata-kata Lokman semasa
rehat di sekolah pagi tadi. Aidil terus meninggalkan
kantin sekolah apabila diejek oleh Lokman dan Badri.
“Itulah dahulu orang suruh pergi sekolah kau
ponteng. Sekarang baru nak merungut-rungut. Nak
1
markah lebih pulak. Boleh jalanlah kawan,” kata-kata
Badri itu masih berlegar-legar dalam ingatannya.
Niat hati ketika di kantin pada pagi itu untuk
mendapatkan nasihat dan semangat baru daripada
kawan-kawan. Tetapi lain pula yang terjadi. Lokman
dan Badri memperlekehkan hajatnya itu.
Aidil sungguh kesal dengan kelakuan Lokman
dan Badri. “Aku tak boleh tahan dengan perangai
mereka. Mereka bukan kawan yang boleh
membantu,” Aidil berkata dalam hati.
“Apa yang Angah menungkan itu? Sejak tadi
kakak tengok Angah tak pedulikan makanan yang
dihidangkan. Kenapa, Angah ada masalah kah?”
tanya Nadia, kakak Aidil.
Nadia memang sedia maklum akan halangan
yang bakal dihadapi oleh adiknya itu setelah kembali
ke sekolah. Dulu dia memang seringkali ponteng
sekolah. Aidil memang hampir-hampir dibuang
sekolah. Akan tetapi atas usaha ayahnya iaitu Pak
Kamil, dia masih dibenarkan bersekolah di situ.
Semasa dibenarkan kembali bersekolah di SK
Sri Bahagia itu, memang Pak Kamil sudah berjanji
2
kepada guru besar sekolah akan memastikan Aidil
akan membaiki kelakuannya yang suka ponteng
sekolah sebelum itu.
Aidil juga sudah pun menandatangani surat
Aku Janji. Dia sudah menanam azam baru untuk
berubah. Itu sebabnya dia mula bersekolah semula
saban hari dan cuba meningkatkan pencapaiannya
dalam pelajaran.
Tetapi kejadian di sekolah pagi tadi
meruntuhkan semangat di hatinya. Ingatkan mereka
semua boleh membantu. Tetapi mereka pula menjadi
peruntuh semangat rakan-rakan.
“Tak ada apa-apalah, kak.”
“Mana boleh. Angah mesti ada masalah di
sekolah.” Kata Nadia yang tidak mempercayai kata-
kata adiknya itu. Nadia yang sudah bersekolah
menengah itu memang cukup kenal dengan sikap
adiknya apabila menghadapi masalah. “Cakaplah
pada kakak. Kakak pasti akan membantu.”
“Kawan-kawan Angah di sekolah tu. Semuanya
tak boleh diharap. Sepatutnya mereka membantu
Angah, ini tidak,” Aidil memberitahu kakaknya.
3
“Apa yang Angah maksudkan? Kakak tak
faham.”
Aidil menceritakan apa yang berlaku di sekolah
tadi. Dia baru saja menerima keputusan ujian bulanan
yang lepas. Dalam ujian itu, Aidil cuma mendapat
markah di bawah lima puluh peratus dalam
kebanyakan pelajaran. Dia cuba mendapatkan nasihat
Lokman dan Badri ketika minum di kantin sekolah
pada waktu rehat.
Tetapi pertanyaannya itu menjadi punca
pertengkaran kecilnya dengan Lokman dan Badri.
Mereka tidak mahu memberi apa-apa nasihat kepada
Aidil, sebaliknya mereka menempelaknya. Itulah yang
membuatkan Aidil merasa marah.
“Angah mungkin salah anggap. Mereka
mungkin tak bermaksud begitu.”
“Tidak. Mereka memang memperlekehkan
Angah. Mereka tak mahu Angah maju. Angah cuma
minta pandangan mereka bagaimana untuk belajar
dengan baik dan mendapat markah macam mereka,”
jelas Aidil kepada kakaknya.
Nadia mengangguk-anggukkan kepalanya
4
sambilmendengar cerita Aidil. Dia fikir mungkin betul
juga kata-kata adiknya itu.
“Kalau begitu, bila ayah balik nanti kakak akan
beritahu masalah ini kepadanya,” pujuk Nadia lag
sambil menepuk-nepuk bahu Aidil.
“Betulkah kakak mahu menolong Angah?”
tanya Aidil ragu-ragu.
“Kakak ni kan kakak Angah. Mestilah kakak
akan menolong adiknya. Angah tak percaya dengan
kakak ke?” tanya Nadia pula.
“Kakak mesti berjanji untuk menolong Angah.
Angah juga teringin untuk cemerlang dalam pelajaran.
Angah juga ingin berjaya macam Lokman dan Badri,”
kata Aidil dengan penuh harapan.
Selepas itu Nadia meninggalkan Adil
bersendirian di ruang tamu. Dia masuk ke biliknya.
Aidil pula ke dapur untuk makan tengahari.
Selepas makan tengahari, Aidil masuk ke
biliknya. Dia duduk di kerusi. Dia teringat kembali akan
kesalahan yang telah dilakukannya sebelum ini.
“Kenapalah aku bodoh sangat sebelum ni. Aku ikut
5
6
budak -budak macam Dali dan Man tu mengapa?
Mereka anak orang berada. Kalau mereka gagal
dalam pelajaran, bapa mereka mungkin boleh
membantu. Tapi bagaimana dengan aku? Aku cuma
orang biasa, keluargaku bukan orang kaya. Kenapa
aku mesti ikut cara hidup mereka berdua?” Aidil
menyesali kesilapannya dua bulan yang lalu.
Pada ketika itu dia bukanlah ingin sangat untuk
mengikut perangai liar Dali dan Man.
“Kalau kau anak jantan, kau kena berani
macam kami. Kita kan masih kanak-kanak. Buat apa
rajin sangat pergi ke sekolah. Bila di sekolah
menengah nanti, barulah kita belajar betul-betul.” Aidil
masih ingat kata-kata Dali yang telah
memerangkapnya.
Bermula dari saat itulah, Aidil sering
menghilangkan diri dari sekolah. Kadang-kadang
datang, kadang-kadang tidak. Kalau datang pun
tengah hari nanti dia akan menghilang. Ini
memeningkan kepala guru-guru sekolahnya, terutama
sekali guru kelasnya, Cikgu Kamariah.
Cikgu Kamariah memang ada menulis surat
kepada Pak Kamil. Tetapi surat itu tidak sampai ke
tangan Pak Kamil. Aidil telah menyembunyikan surat
7
itu. Aidil telah diajar oleh Dali dan Man bagaimana
untuk mengelakkan diri dari dikesan oleh ibu bapa
mereka.
Tetapi sepandai-pandai tupai melompat ada
masanya akan jatruh ke tanah jua. Nasib Aidil kurang
baik apabila Cikgu Kamariah datang ke rumahnya
pada suatu hari setelah kejadian ponteng sekolah
Aidil semakin menjadi-jadi.
Ketika Cikgu Kamariah datang ke rumah dia
tiada di rumah. Ketika itu dia sedang leka bermain
permainan video di Mutiara Cyber-Cafe tidak jauh dari
rumahnya.
Pak Kamil pada mulanya tidak percaya dengan
cerita Cikgu Kamariah. “Kalau pakcik tak percaya,
pakcik datanglah ke sekolah. Pakcik tengoklah sendiri
jadual kehadirannya,” kata Cikgu Kamariah.
Pak Kamil mengambil cuti sehari untuk
mengesan tingkah laku Aidil sejak kebelakangan itu.
Dia datang berjumpa dengan Cikgu Kamariah di
sekolah dan bertanya kepada guru dan rakan-rakan
sekolahnya. “Betul pakcik. Aidil tidak datang ke sekolah.
Kadang-kadang dia datang, kadang-kadang tidak.
Kalau datang pun selepas waktu rehat dia terus lesap,”
8
beritahu rakan-rakan sekelasnya.
Aidil akhirya terperangkap. Rahsia besarnya
selama ini diketahui juga oleh Pak Kamil. Dengan
bantuan polis, Mutiara Cyber-Cafe diserbu. Ketika itu
Aidil, Dali, dan Man sedang asyik bermain permainan
video.
“Ayah tak sangka dengan kelakuan kamu
selama ini, Aidil. Ayah sangka kamu anak yang baik,
tapi sampai hati kamu menipu ayah,” kata Pak Kamil
selepas membawa Aidil balik dari balai polis.
“Kamu anak lelaki dalam keluarga kita. Siapa
lagi yang akan menjadi waris keluarga kita?” tanya
Pak Kamil pada malam itu.
Lama juga Pak Kamil bersyarah. Dia
mengingatkan Aidil akan tanggungjawabnya sebagai
anak lelaki dalam sebuah keluarga.
Puan Salbiah hanya mendiamkan diri saja. Dia
menyokong semua kata-kata Pak Kamil. Aidil tidak
berani untuk mengangkat muka. Dia malu besar
setelah ditangkap polis dan rahsianya selama ini telah
terbongkar.
“Kalau ayah beri peluang pada Angah, Angah
9
berjanji akan perbaiki kesalahan Angah selama ini,”
rayu Aidil selepas tidak tahan untuk mendengar
bebelan ayahnya. Dia benar-benar rasa bersalah.
“Kalau Angah degil, ayah mungkin akan minta
polis sumbatkan kamu ke dalam lokap semalam atau
dua malam. Baru padan dengan muka kamu,” kata
Pak Kamil memberi amaran.
Aidil takut dengan amaran itu. Dia pernah
tengok di televisyen betapa seksanya orang yang
ditahan di dalam lokap. Mereka tidur tanpa bantal
dan tilam di atas simen dalam keadaan tidak berbaju.
Kadang-kadang digigit pula oleh pijat. Aidil tidak mahu
semua itu berlaku padanya.
“Angah nak ayah buat begitu?” tanya Pak
Kamil.
“Angah tak mahu ayah. Berilah Angah peluang.
Angah dah insaf sekarang.” Rayu Aidil bersungguh-
sungguh.
Pada malam itu, Pak Kamil menunjukkan
salinan surat sekolah yang menyatakan bahawa Aidil
dibuang sekolah kerana ponteng sekolah secara
berturut-turut lebih dari sebulan. Pihak sekolah
10
sebenarnya telah membuat keputusan untuk
membuangnya dari sekolah.
Setelah rahsia Aidil terbongkar, Pak Kamil
merayu agar Aidil dimaafkan dan dibenarkan belajar
di sekolah itu semula. Dia tidak mahu Aidil dibuang
sekolah.
Aidil masih ingat akan hari dia pergi ke sekolah
dengan ayahnya. Di bilik guru besar dia berjanji di
hadapan guru dan ayahnya untuk kembali ke sekolah
dengan sikap yang baru.
Dia telah menandatangani surat Aku Janji
dengan pihak sekolah.
“Saya berjanji kepada ayah dan cikgu. Saya
akan mengubah sikap buruk saya selama ini.” Kata
Adidil berjanji.
11
2
Sampai Bila Begini
Malam itu seperti yang dijanjikan, Nadia menceritakan
masalah yang dihadapi oleh Aidil di sekolah. Waktu
itu jam menunjukkan pukul sembilan malam. Mereka
sekeluarga sedang duduk di ruang tamu.
“Betulkah apa yang Kak Long cakapkan tu,
Angah?” tanya Pak Kamil.
Aidil tidak menjawab pertanyaan Pak Kamil.
Dia cuma memandang wajah ayahnya. Kemudian dia
memandang wajah kakak dan ibunya. Dia
kemudiannya memberikan isyarat kepada kakaknya
12
agar menceritakan masalahnya.
Aidil sebenarnya agak takut hendak
menceritakan hal yang telah berlaku di sekolahnya
siang tadi. Lebih-lebih lagi apabila mengingatkan
kemarahan ayahnya beberapa minggu lalu kerana
kejadianponteng sekolahnya.
“Dia diam tu maknanya betullah tu,” kata Nadia.
“Habis, kamu nak buat balik perangai kamu
yang dulu? Apabila ditimpa dugaan macam ini, kamu
tak mahu terus berusaha. Ayah tak fikir kawan-kawan
kamu sanggup buat macam tu. Mungkin mereka
sekadar menguji kesungguhan kamu untuk mengubah
sikap buruk kamu yang dulu,” jawab ayahnya pula.
“Orang mengadu masalah, dileternya pula.
menyesal aku cakap,” detik hati Aidil.
“Mungkin benar kata ayah kamu tu. Cuba kamu
jumpa balik kawan kamu. Cuba sekali lagi,” cadang
Puan Salbiah pula menyokong kata-kata suaminya.
“Tidak ayah. Mereka kata Angah bodoh. Bodoh
macam keldai. Itu yang Angah tak tahan. Mereka tak
patut cakap Angah macam tu,” Aidil yang pada
mulanya tidak mahu bersuara akhirnya membuka
mulut.
13
“Betulkah ni? Angah pun satu. Kalau nak tanya
rakan, tengoklah dulu ‘mood’ mereka dahulu. Mungkin
mereka kurang selesa waktu tu. Sebab tu kamu
dikatakan macam-macam,” celah Puan Salbiah.
“Ayah dan ibu macam menyalahkan Angah
saja. Angah tanya masa rehat, takkan masa itu ‘mood’
mereka tak baik.”
“Ayah tak fikir begitu. Orang pandai macam
Lokman dan Badri tu mungkin ada cara tersendiri.
Cuba Angah selidik dulu.”
Aidil bungkam dengan kata-kata ayah dan
ibunya. Mungkin betul juga kata mereka, fikir Aidil.
Dia terus berdiam diri.
“Kalau ayah dan ibu dah kata begitu, nanti
Angah cuba tanya sekali lagi kepada mereka,” kata
Aidil mengakhiri perbualan mereka malam itu.
Kemudiannya dia masuk ke bilik. Dia membuka buku
sekolah. Dia mula menelaah buku-buku pelajarannya.
Tetapi peristiwa siang tadi masih
menghantuinya. Perbincangannya dengan ayah dan
14
ibunya sebentar tadi masih terngiang-ngiang di
fikirannya. Dia menutup kembali bukunya.
Kalaulah sejak awal dia tidak buat perangai
tidaklah dia menanggung semua ini. Bukan senang
hendak berubah setelah melakukan kesalahan. Orang
akan curiga dengan perubahan yang dilakukan. Terlalu
banyak dugaan yang datang.
Malam itu Aidil tidur antara lena dan jaga. Tahu-
tahu hari sudah siang. Dia ke sekolah pada hari itu
dalam keadaan yang kurang selesa. Maklumlah
malam tadi dia kurang tidur.
Di dalam kelas, dia melihat Lokman dan Badri
asyik menjelingnya sepanjang masa. Sekali-sekala
kedengaran kata-kata yang menyakitkan hati keluar
dari mulut Lokman dan Badri.
“Kalau nak berjaya, kenalah bersungguh-
sungguh. Kalau nak dapatkan sagu, kenalah
dipecahkan ruyungnya. Kalau nak tanya rakan,
kenalah keluar belanja sikit,” kata Lokman kepada
Badri. Kata-kata itu seakan ditujukan kepadanya.
Berdesing telinga Aidil apabila mendengarnya.
Sewaktu rehat, Aidil duduk sekali di meja
15
makan bersama Lokman dan Badri. Aidil terpaksa
menebalkan mukanya apabila Lokman dan Badri
memandangnya dengan pandangan yang semacam.
“Dah hilangkah ribut di kampung sana, Badri?
Aku tengok budak-budak dah mula turun bermain di
padang,” kata Lokman semasa Aidil meletakkan
punggungnya di bangku.
Aidil buat-buat tak dengar saja. “Ini mungkin
dugaan lagi,” bisik hatinya.
“Mengapa dengan ribut di kampung sana?
Cakaplah terus-terang. Jangan sindir-sindir. Kita satu
kelas dan sama sekolah kenapa mesti sindir-
menyindir?” kata Aidil.
“Eh..dia faham dengan apa yang kita katakan.
Ingatkan tadi tak faham,” kata Lokman sambil
memandang Badri.
“Sebab aku faham dengan perangai kau
berdualah aku duduk semeja dengan kau berdua.”
Aidil terus bersuara. “Tak bolehkah kau berdua
menolong aku?”
“Buat apa kami tolong kau? Dua bulan lalu
16
17
kau selalu menyakitkan hati kami. Inilah masanya kami
hendak membalas dendam,” balas Badri.
“Aku tak pernah pun melakukan apa-apa
kesalahan kepada kau berdua.”
“Buat-buat lupa pula. Semasa kau baik dengan
Dali dan Man dulu, kau kutuk-kutuk aku dan Badri.
Kau tak ingat?” Kata Lokman.
“Itu masa Dali dan Man ada di sini. Aku sudah
lupakan hal itu. Tak bolehkah kamu berdua maafkan
aku?”
“Tak boleh main maaf begitu saja kawan. Sakit
hati kami ni masih belum sembuh lagi. Kami tak boleh
maafkan kau begitu saja.”
“Sudahlah. Kalau kau tak pandai, jangan nak
minta nasihat daripada kami. Carilah orang lain. Kami
meluat dengan kau,” sambung Badri.
Aidil mengakui kebenaran kata-kata Lokman
dan Badri. Semasa dia berkawan baik dengan Dali
dan Man, dia selalu menyakitkan hati Lokman dan
Badri. Tetapi kini, Dali dan Man telah ditukarkan ke
sekolah lain. Mereka tidak dibenarkan bersekolah di
SK Sri Bahagia lagi. Guru besar sekolah enggan
18
mereka mereka kembali.
Selepas Dali dan Man bertukar sekolah, Aidil
tidak mempunyai kawan lagi. Dia cuba berbaik semula
dengan Lokman dan Badri. Tetapi nampaknya Lokman
dan Badri tidak mahu berkawan dengannya.
Apabila mendengar kata-kata Lokman dan
Badri, Aidil cepat-cepat menghabiskan makanannya.
Dia segera meninggalkan mereka berdua.
“Ha! Ha! Ha! Padan muka dia.” Kedengaran
suara itu di telinganya sebaik sahaja dia beredar
meninggalkan Lokman dan Badri.
Malam itu Aidil mengadu lagi kepada ayahnya.
Kali ini dia sendiri yang bercakap. Ketika Pak Kamil
sedang duduk di ruang tamu, Aidil datang
menghampirinya.
“Ayah, Lokman dan Badri tidak mahu berkawan
dengan Angah lagi. Mereka berdendam dengan
Angah.”
“Dendam? Mengapa?” tanya ayahnya.
“Ya, ayah. Mereka sebenarnya berdendam
dengan Angah.”
19
“Angah pernah bergaduh dengan mereka
sebelum ini?” tanya Pak Kamil lagi. Aidil hanya
mendiamkan diri.
“Rupa-rupanya Aidil pernah bersengketa
dengan Lokman dan Badri sebelum ini.” Fikir Pak Kamil.
Aidil tunduk apabila mendengar pertanyaan ayahnya.
“Kenapa tak jawab pertanyaan ayah?” tanya
Pak Kamil. “Angah pernah bergaduh dengan mereka?”
“Bergaduh tu tidaklah tapi cuma pertengkaran
kecil. Itupun berlaku dua bulan lepas, semasa ada
Dali dan Man masih bersekolah di sini,” terang Aidil.
“Patutlah mereka layan Angah macam tu. Kata
orang, ada ubi ada batas. Itu satu pengajaran buat
Angah. Lain kali jangan suka menyakiti hati orang
lain. Sekarang giliran Angah pula yang disakiti.”
“Tapi itu dahulu. Angah dah berubah dan sudah
melupakan hal itu tetapi mereka masih
mengungkitnya.”
“Manusia ni, kalau mereka dah sakit hati,
perkara yang berlaku 10 tahun dulu pun akan diungkit
lagi. Mereka tidak fikir soal masa. Kalau mereka nak
20
ungkit, mereka akan ungkit.”
Panas telinga Aidil mendengar kata-kata
ayahnya. Dia sedar bahawa dia sekarang sebenarnya
sedang menerima balasan atas kesalahannya yang
lalu. Dulu dia selalu menyakiti hati rakannya, sekarang
hatinya pula yang disakiti.
Aidil hanya tunduk apabila mendengar kata-
kata ayahnya. Satu persatu perkataan masuk ke
gegendang telinganya. Walaupun pedih, tetapi dia
harus menerimanya kerana memang dia yang
bersalah.
“Dahlah tu ayahnya. Esok, lusa pergilah ke
sekolah, jumpa guru bimbingan sekolah untuk
dapatkan bantuan. Jangan dibiarkan hal macam ini
berlarutan. Bukan saja Angah yang rosak, budak
Lokman dan Badri tu pun rosak sama nanti. Mereka
juga masih mentah. Sikit-sikit nak gaduh, sikit-sikit nak
dendam,” kata Puan Salbiah masuk campur. Dia duduk
di sisi suaminya.
“Tengoklah bila abang senang nanti.”
Aidil kemudiannya meninggalkan ruang tamu.
Dia masuk ke biliknya untuk menyiapkan kerja sekolah
21
yang diberikan oleh gurunya siang tadi.
“Susah betul budak-budak zaman sekarang ni.
Kalau bergaduh main dendam-dendam pula. Zaman
kita kanak-kanak dulu taklah macam ni. Lepas
bergaduh selalunya kita akan berdamai semula,” kata
Puan Salbiah menyambung perbualan.
“Betul kata awak tu. Entah ilmu apa yang
diamalkan budak-budak zaman sekarang ni, tak
tahulah.”
“Anak-anak zaman millenium lah katakan.
Semua yang tak baik dari luar hendak diamalkan.”
Pak Kamil menggelengkan kepalanya
memikirkan hal Aidil dan rakan-rakannya di sekolah.
Dia sedar betapa sukarnya membesarkan dan
mendidik anak-anak pada masa kini.
22
3
Guru Bimbingan
Hari itu Pak Kamil dan Puan Salbiah ke SK Sri Bahagia.
Dia berjumpa dengan Cikgu Yahya, guru bimbingan
sekolah.
“Assalamualaikum, cikgu.”
“Waalaikumussalam. Silakan duduk pakcik,
makcik.”
Cikgu Yahya memandang wajah Pak Kamil dan
Puan Salbiah dengan senyuman. Pak Kamil dan Puan
Salbiah membalas senyuman Cikgu Yahya.
Ketika itu, Pak Kamil sempat memandang
23
sekeliling bilik Cikgu Yahya. Bermacam-macam poster
yang ditampal di biliknya. Semuanya berkaitan dengan
khidmat bimbingan.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu pakcik
dan makcik?” Kata Cikgu Yahya memulakan bicara.
“Anak kami, si Aidil tu. Kami rasa cikgu pun
sedia maklum. Dia kan pernah ponteng sekolah dan
telah pun dibuang sekolah. Sekarang dia sudah insaf
dan mahu berubah. Tetapi...” Puan salbiah meluahkan
rasa di hati, tetapi kemudiannya terhenti.
Sebenarnya, Puan Salbiah merasa sedih
dengan situasi yang dihadapi oleh anak keduanya
itu. Anaknya mahu berubah tetapi ada sahaja
halangannya.
“Kawan-kawan sekolahnya pula yang menjadi
penghalang. Mereka tidak memberikan bantuan dan
sokongan kepadanya.” Sambung Pak Kamil apabila
dilihatnya Puan Salbiah tak mampu lagi untuk
meneruskan ceritanya.
“Siapa yang pakcik maksudkan?” tanya Cikgu
Yahya.
“Kata anak kami, Lokman dan Badri, rakan
24
sekelasnya yang buat hal. Beberapa hari dahulu dia
cuba mendapatkan nasihat daripada mereka. Tetapi
dia ditempelak dan diejek. Dikatanya Aidil itu bodoh
macam keldai. Itulah yang diceritakan oleh Aidil
kepada kami,” terang Pak Kamil.
Cikgu Yahya mendengar apa yang diterangkan
oleh Pak Kamil. Dicatatkannya di dalam fail yang
terletak di atas meja. Sesekali dia menjeling Puan
Salbiah. Dilihatnya Puan Salbiah sedang mengesat
pipinya.
“Apa lagi yang dikatakan oleh Lokman dan
Badri?”
“Itu saja yang diberitahu oleh Aidil kepada
kami,” jawab Pak Kamil.
“Kami lihat Aidil memang benar-benar mahu
berubah. Lebih-lebih lagi selepas Dali dan Man telah
ditukar sekolah. Dia sudah tiada kawan di sekolah
ini. Dia cuba untuk berbaik dengan Lokman dan Badri
tetapi mereka tidak mahu. Mereka menyimpan
dendam kepada Aidil. Sebelum ini Aidil pernah
bertengkar dengan mereka berdua,” terang Puan
Salbiah kemudiannya.
Cikgu Yahya menganggukkan kepala. Dia
25
sudah faham kini apa masalah yang dihadapi oleh
Aidil ketika itu.
“Aidil datang ke sekolah hari ini?”
“Dia ke sekolah macam biasa. Kami tidak
benarkan dia ponteng macam dulu lagi. Dia datang
ke sekolah tapi hatinya tak senang, cikgu,” terang Puan
Salbiah lagi.
“Kami harap cikgu dapat menyelesaikan
masalah ini. Kami percaya cikgu boleh membantu,”
kata Pak Kamil sambil memandang wajah Cikgu
Yahya.
“Insya-Allah pakcik, makcik. Saya akan cuba
uruskan,” kata Cikgu Yahya memberi jaminan.
Pak Kamil dan Puan Salbiah kemudiannya
meninggalkan bilik bimbingan. Mereka pulang ke
rumah. Dalam hati mereka amat berharap agar
masalah tersebut dapat diselesaikan.
Petang itu Aidil dipanggil ke bilik bimbingan
oleh Cikgu Yahya. Dia ingin mendapatkan maklumat
lanjut berkenaan dengan masalah yang dihadapinya.
Dia amat bersimpati dengan Aidil.
Cikgu Yahya meminta Aidil menceritakan
26
masalah yang dihadapinya. “Saya akan bantu kamu.
Saya akan usahakan agar masalah kamu tu selesai,”
kata Cikgu Yahya ketika Aidil datang berjumpa
dengannya di bilik bimbingan petang itu.
Aidil memandang Cikgu Yahya. Cikgu Yahya
senyum kepadanya. Aidil dapat merasakan bahawa
Cikgu Yahya benar-benar mahu membantunya
menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Aidil kemudiannya menceritakan satu persatu
masalahnya dengan Lokman dan Badri. Dia
menceritakan apa yang Lokman dan Badri katakan
kepadanya.
“Pokok di luar sana tu sedang bergoyang.
Kamu tahu apa sebabnya?” tanya Cikgu Yahya.
“Kurang pasti cikgu. Tetapi mungkin ditiup oleh
angin ataupun ada orang yang telah menggoyangkan
pokok itu. Atau mungkin juga ada monyet yang sedang
bergayut di dahan pokok itu.” Jawab Aidil.
Cikgu Yahya memandang Aidil sambil
tersenyum.
“Cikgu menyindir sayakah? Cikgu bertanyakan
soalan tetapi kemudian tersenyum apabila saya
menjawabnya.”
27
28
“Cikgu tidak menyindir tetapi bertanya kepada
kamu. Kamu tak faham soalan cikgu?”
“Saya faham.”
“Kalau faham, jawablah soalan cikgu tadi.”
“Dahulu memang saya ada berselisih faham
dengan Lokman dan Badri. Dulu saya berkawan
dengan Dali dan Man. Sekarang mereka sudah
betukar sekolah. Dengan siapa lagi saya nak
berkawan. Di kelas saya itu ramai murid-murid
perempuan. Jadi saya cuba berbaik dengan Lokman
dan Badri.”
Cikgu Yahya mengangguk-anggukkan kepala.
Dia senyum memandang Aidil yang sedang bercerita
punca perselisihan fahamnya dengan Lokman dan
Badri.
Cikgu Yahya kini sudah mengetahui masalah
dan punca yang dihadapi oleh Aidil dengan rakan-
rakannya. Baginya itu adalah masalah biasa bagi
kanak-kanak seperti Aidil dan rakan-rakannya.
Berpunca daripada perkara yang kecil, mereka akan
berselisih faham, bergaduh dan kemudiannya
memutuskan tali persahabatan.
29
Cikgu Yahya memikirkan apakah tindakan
yang bakal dilakukannya selepas itu. Dia bercadang
untuk memanggil Lokman dan Badri untuk diberikan
bimbingan dan nasihat. Kalau masih kurang berkesan,
dia akan mengambil inisiatif lain.
Aidil kemudiannya dibenarkan pulang. “Terima
kasih cikgu,” kata Aidil lalu keluar meninggalkan bilik
bimbingan.
Cikgu Yahya terus duduk di kerusinya. Dia
menyemak fail-fail bimbingan yang ada di biliknya.
Dia menyemak senarai murid SK Sri Bahagia yang
bakal menemuinya beberapa hari lagi. Mereka telah
membuat temujanji dengannya sebelum itu.
“Lokman dan Badri nampaknya perlu dipanggil
segera. Murid-murid yang lain terpaksa
dikemudiankan dahulu,” detik hati Cikgu Yahya ketika
menyusun senarai murid-murid yang akan berjumpa
dengannya esok dan lusa.
Esoknya, Lokman dan Badri dipanggil ke
biliknya. Cikgu Yahya tidak berkata apa-apa. Cikgu
Yahya memasang video melalui laptop. CIkgu Yahya
meminta Lokman dan Badri menoton video tentang
bagaimana seekor burung membantu semut yang
30
sedang dihanyutkan air sungai.
Burung itu menjatuhkan sehelai daun kepada
semut yang sedang terkapai-kapai di atas permukaan
air. Sang Semut berjaya menyelamatkan diri dengan
menggunakan daun yang digugurkan oleh Sang
Burung.
“Terima kasih Sang Burung. Atas pertolongan
kamu saya selamat.”
Video itu terus dimainkan oleh Cikgu Yahya. Di
skrin laptop Cikgu Yahya, Lokman dan Badri melihat
seorang pemburu sedang berjalan-jalan di pinggir
hutan. Pemburu itu ternampak Sang Burung sedang
bertenggek di dahan.
Pemburu membidik senapangnya ke arah
Sang Burung. “Aduh! Tak guna punya semut, kau gigit
kaki aku!” jerit pemburu itu. Jeritan pemburu itu
didengari oleh Sang Burung yang sedang bertenggek
di atas pokok. Ketika ia sedar bahawa ada seorang
pemburu di bawah pokok tempat ia bertenggek, ia
pun segera terbang. Pemburu itu sangat hampa. Dia
kemudiannya meninggalkan kawasan itu.
Tidak lama kenudian, Sang Burung terbang
31
menghampiri Sang Semut. “Terima Kasih atas
pertolongan kamu tadi. Kalau tidak tentu aku akan
menjadi lauk pemburu itu,” kata Sang Burung.
“Itu sudah menjadi tanggungjawab aku.
Tempoh hari kau tolong aku. Hari ini, aku pula tolong
kau. Kitakan sesama makhluk Tuhan, saling bantu-
membantu,” kata Sang Semut.
Cikgu Yahya menutup tayangan klip video yang
ditayangkannya tadi. Dia berharap mesej yang ingin
disampaikannya itu difahami oleh Lokman dan Badri.
“Apa pendapat kamu tentang klip video tadi?”
tanya Cikgu Yahya.
“Itu cerita binatang cikgu. Hanya sekadar
hiburan,” ulas Lokman.
“Kamu pula, Badri?”
“Cerita tentang persahabatan dua makhluk
Tuhan. Mereka saling tolong menolong.”
“Apa pengajaran dari klip video ini?”
Lokman dan Badri berasa malu untuk
menerangkan pengajaran daripada klip video itu.
Mereka sedar bahawa apa yang ditunjukkan oleh
Cikgu Yahya adalah sindiran terhadap sikap mereka
sejak kebelakangan ini.
32
Sejak kebelakangan ini mereka tidak mahu
berkawan dengan Aidil. Mereka selalu menempelak
Aidil. Mereka mengejek Aidil yang mahu berubah.
Mereka memperbodohkannya. Mereka mengatakan
Aidil bodoh macam keldai
“Cikgu pasti kamu berdua tahu pengajaran dari
klip video ini. Kamu dari kelas yang pandai. Kalau
kamu tidak mahu memberitahunya malulah kamu,”
cabar Cikgu Yahya.
Rasa tercabar di hati Lokman dan Badri. “Cikgu
ni betul-betul mencabar kita,” detik hati Lokman dan
Badri.
“Kita mesti berbuat baik antara satu sama lain.
Jangan suka bergaduh,” kata Lokman ringkas.
“Bagus. Mudah sahaja pengajarannya kan?”
kata Cikgu Yahya.
“Kalau semut tadi tidak dibantu oleh burung,
ia tentu akan hanyut dibawa arus sungai. Kalau
burung tadi tidak dibantu oleh semut pula, dagingnya
sudah tentu menjadi lauk pemburu itu.
“Kamu mesti amalkan pengajaran di dalam klip
video itu tadi,” kata Cikgu Yahya.
“Baik, cikgu,” jawab Lokman dan Badri.
33
Cikgu Yahya nampaknya berpuas hati dengan
pertemuannya pagi itu. Dia pecaya nasihatnya akan
memberi bekas di hati Lokman dan Badri. Dia yakin
Lokman dan Badri akan berubah selepas itu. Dia
mahu Lokman dan Badri berbaik-baik semula dengan
Aidil.
“Aidil murid yang perlu diberi bantuan. Dia
macam cerita semut tadi. Kalau tidak dibantu dia
akan hanyut dan tidak dapat diselamatkan. Kamu
berdua pula seperti burung tadi. Kamu mesti
menghulurkan bantuan. Kamu mesti memberikan
pertolongan kepadanya. Hari ini dia memerlukan
bantuan kamu. Kamu berdua murid yang pandai di
kelas. Jangan kedekut dengan ilmu yang kamu miliki,”
kata Cikgu Yahya kepada Lokman dan Badri.
Mereka berdua kemudiannya dibenarkan
meninggalkan bilik bimbingan. Ketika itu loceng rehat
baru sahaja berbunyi. Lokman dan Badri terus
beredar ke kantin sekolah.
34
4
Kem Motivasi
Murid-murid tahun enam Sk Sri Bahagia telah dibawa
oleh pihak sekolah ke Kem Rimba Templer di pinggir
bandar Kuala Lumpur untuk mengikuti kem motivasi
anjuran PIBG sekolah. Mereka akan berada di situ
selama tiga hari dua malam.
Pada petang Jumaat mereka mula bertolak
dari pekarangan sekolah dengan menaiki dua buah
bas sekolah yang disewa khas. Sesampainya di sana,
mereka ditempatkan di asrama yang memang sudah
tersedia di kem tersebut.
35
Pada sebelah malam hari pertama, mereka
mengadakan aktiviti berkenalan. Walaupun mereka
telah mengenali antara satu sama lain, tetapi Cikgu
Yahya yang menjadi penceramah dalam sesi itu
menggunakan cara yang berbeza.
Cikgu Yahya tahu ramai antara murid-murid
di sekolahnya cuma kenal secara luaran sahaja rakan-
rakan mereka. Mereka tidak mengenali antara satu
sama lain dengan mendalam.
“Malam ini kita cuba untuk mengenali hati budi
rakan-rakan. Setiap orang hendaklah memberitahu
cita-cita masing-masing, apa yang disukai dan apa
yang tidak,” kata Cikgu Yahya memulakan aktiviti pada
malam itu.
“Saya Lokman. Cita-cita saya ialah ingin
menjadi seorang doktor. Saya suka membaca buku
dan suka mempunyai kawan yang ramai. Tetapi saya
tidak suka kawan-kawan yang menyakiti hati saya,”
kata Lokman apabila tiba gilirannya memperkenalkan
diri.
“Saya Badri. Cita-cita saya ingin menjadi
juruterbang kapal terbang. Saya suka sukan yang
36
lasak dan membaca buku cerita yang berunsur
pengembaraan. Saya tidak suka orang yang
mengungkit-ungkit kisah lama,” kata Badri pula.
“Saya Aidil. Cita-cita saya ialah untuk menjadi
seorang usahawan berjaya. Saya ingin memiliki kilang
yang mengeluarkan barang-barang pengguna. Saya
suka membaca buku yang berunsurkan penyiasatan.
Saya tidak suka menyimpan dendam,” kata Aidil.
Cikgu Yahya juga ada mengulas tentang apa
yang disukai dan apa yang tidak disukai. Cikgu Yahya
berharap yang baik itu terus diamalkan dan apa yang
tidak disukai itu hendaklah dijauhi.
“Antara sebab kita bergaduh dengan rakan-
rakan kita ialah kita tidak tahu apa yang kawan suka
dan tidak. Bak kata pepatah, rambut sama hitam,
hati lain-lain.”
“Cikgu, peperangan yang berlaku di dunia ini
juga berpunca kerana tidak memahami perbezaan
antara kita. Betulkah cikgu?” tanya Aidil.
“Betul tu. Gagal memahami orang lain adalah
punca perkara-perkara yang tidak baik berlaku.”
Jawab Cikgu Yahya.
37
Selepas selesai menghabiskan sesi
perkenalan, semua murid diarahkan masuk ke bilik
masing-masing. Mereka diminta terus tidur kerana
aktiviti yang seterusnya akan diadakan pada awal
pagi esok.
Keesokan pagi, murid-murid dikejutkan oleh
guru-guru bertugas. Mereka diarahkan ke surau kem
untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Selepas
solat Subuh, Ustaz Samsuri memberikan kuliah Subuh
kepada semua peserta.
Habis kuliah Subuh, semua murid diminta
kembali ke asrama dan bersedia untuk senaman pagi.
Senaman pagi dilakukan oleh Cikgu Sudin. Semua
murid diminta memanaskan badan dan membuat
aktiviti regangan. Selepas itu Cikgu Sudin mengadakan
pertandingan mini.
Selesai sarapan pagi, semua murid berkumpul
semula di bilik darjah di tingkat satu. Cikgu Hassan
yang menjadi penceramah mula mengambil tempat.
“Hari ini kita akan berbincang tentang
bagaimana kita menggunakan masa setiap hari.
Semua orang mempunyai 24 jam sehari. Tetapi
mengapa ada di antara kita yang mengadu tidak
cukup masa,” kata Cikgu Hassan memulakan
ceramahnya.
38
39
“Kita semua mesti membetulkan keadaan ini.
Sebenarnya bukan kita tidak cukup masa, cuma kita
tidak bijak menguruskan masa kita,” sambung Cikgu
Hassan.
“Bagaimana caranya cikgu?” celah Lokman.
“Sabarlah dulu, Lokman. Sebentar lagi kamu
akan diajar bagaimana untuk menguruskan masa
kamu dengan bijak,” kata Cikgu Hassan.
Semua murid SK Sri Bahagia diam mendengar
ceramah Cikgu Hassan. Satu persatu beliau
menerangkan bagaimana cara yang bijak untuk
menguruskan masa.
Masa terus berlalu. Cikgu Hassan telah
menghabiskan ceramahnya. Selepas itu seorang lagi
penceramah muncul untuk menyampaikan
ceramahnya kepada para peserta.
Setelah ceramah yang kedua tamat, Cikgu
Yahya yang juga merupakan pengurus kem motivasi
itu memberitahu peserta bahawa pada jam dua
petang nanti semua murid akan dibawa meredah
hutan di sebelah timur.
“Kita meredah Hutan Simpan Templer ini. Di
sana ada banyak tumbuhan yang sudah pun diberi
nama pada pangkal pokoknya. Kamu mesti mencatat
40
nama-nama itu sebanyak mungkin. Selain itu saya
juga ingin kamu semua membuat catatan apa sahaja
yang berlaku di sepanjang perjalanan di hutan petang
nanti,” kata Cikgu Yahya.
“Apa perlunya kami membuat catatan itu
cikgu?” tanya Dasimah.
“Catatan itu sangat berguna untuk bahan
rujukan kamu. Kalau kamu ingin membuat karangan,
kamu sudah ada bahan untuk tulisan itu,” jelas Cikgu
Yahya.
“Ada apa-apa lagi yang perlu kami bawa
cikgu?” tanya Zamri pula.
“Kamu bawalah seorang sebotol kecil air
minuman. Kamu tentu memerlukannya ketika dalam
perjalanan nanti.”
Petang itu, semua peserta telah pun berada
di tengah-tengah hutan simpan itu. Guru-guru
mengiringi murid-murid dalam perjalanan di hutan itu.
Lokman dan Badri sibuk mencatatkan nama-
nama pokok yang mereka jumpa. Mereka turut
melakar bentuk pokok itu di atas kertas yang dibawa.
Perjalanan meredah hutan itu sungguh
41
menyeronokkan mereka semua. Mereka berjalan
sambil berbincang tentang apa yang mereka lihat di
sepanjang perjalanan itu.
“Eh, apa yang melekat pada pokok tu cikgu?
Sekali tengok macam ranting kayu saja?” tanya
Faridah.
“Itulah mentadak.” Kata Cikgu Jamil. Faridah
mengangguk tanda faham.
Semua murid meneruskan perjalanan. Mereka
kini menuruni bukit melalui denai-denai di hutan itu.
Mereka sekarang berada di jambatan zig-zag.
Jambatan itu dibina merentasi anak sungai. Murid-
murid masih berjalan dalam keadaan beratur. Mereka
tidak dbenarkan memotong barisan ataupun
berpecah.
Lokman, Badri dan Aidil berjalan di belakang
semua murid lain. Di belakang mereka ada Cikgu
Yahya. Lokman asyik memerhatikan ikan-ikan
berenang di dasar anak sungai di tepi denai yang
mereka lalui.
“Aduh!” tiba-tiba Lokman menjerit kesakitan.
Semua murid diarahkan menghentikan
42
perjalanan. Mereka dibenarkan melihat-lihat di sekitar
anak sungai yang mereka lalui itu.
“Cikgu, kaki saya sakit. Saya rasa buku lali saya
terseliuh,” adu Lokman.
Cikgu Lokman memeriksa kaki Lokman. Tidak
lama kemudian, Cikgu Laila yang berada di tengah-
tengah barisan murid menghampiri Lokman yang
mengerang kesakitan.
Cikgu Laila memeriksa sekali lagi kaki Lokman.
Dia menyemburkan sedikit cecair kepada buku lali
Lokman. “Tak ada apa-apa Lokman. Kamu masih
boleh meneruskan perjalanan,” kata Cikgu Laila.
Lokman bangun dari duduk. “Tak bolehlah
cikgu. Masih sakit lagi,” adu Lokman.
Tak mengapa. Badri dan Aidil, kamu berdua
bergilir-gilir pimpin Lokman,” arah Cikgu Yahya.
Semua murid kemudiannya meneruskan
perjalanan. Ketika itu perjalanan meredah hutan sudah
hampir tamat. Mereka sudah tiba di penghujung jalan.
“Bagaimana Lokman, boleh teruskan
perjalanan lagi?” tanya Aidil. Aidil kemudiannya
memimpin Lokman berjalan. Sebelum itu dia dipimpin
oleh Badri.
43
“Kau sungguh baik Aidil. Kau tidak menyimpan
dendam kepadaku rupanya. Apa yang kau ucapkan
di majlis perkenalan malam tadi memang betul,” kata
Lokman.
“Usah disebut perkara lama. Ini kan
tanggungjawab aku sebagai seorang kawan,” balas
Aidil.
Tidak lama kemudian mereka telah sampai
kembali ke asrama tempat penginapan mereka. Cikgu
Yahya membenarkan semua peserta kem motivasi
itu berehat sebentar.
“Lepas sejuk badan nanti, bolehlah kamu pergi
minum petang,” beritahu Cikgu Yahya.
Lokman yang masih berasa sakit-sakit di
bahagian kakinya terus dipimpin oleh Aidil ke katil di
bilik tempat dia menginap.
“Terima kasih Aidil, Badri.”
Lokman terus duduk di katil. Di situ dia
berbaring untuk menghilangkan kepenatan berjalan
meredah hutan.
44
5
Usaha Tangga Kejayaan
Kalau mahu maju dalam pelajaran kita mestilah
berusaha. Tiada yang bulat akan datang bergolek.
Tiada yang pipih akan datang melayang. Ilmu
pelajaran tidak akan masuk dengan sendirinya ke
dalam kepala kita tanpa usaha.
Menuntut ilmu melibatkan masa yang panjang.
Seperti berjalan jauh berbatu-batu. Ia tidak boleh
diperoleh dalam masa yang singkat. Perjalanan yang
jauh mestilah dimulai dengan langkah yang pertama.
45