SDN BHD (203834-K)
13, Jalan SS26/6,
Taman Mayang Jaya, 47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan.
Tel: 03-78048713 Faks: 03-78031262
© Vital Star Sdn. Bhd.
Cetakan Pertama 2005
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Iskandar Shah
Mesej misteri penarik beca/ Iskandar Shah
(Antologi misteri)
ISBN 983-024-972-7 (set)
1IS. BCNhi9ld8r3e-n02,s4s-9to9r2i-e1s, Malay. 2. Malay fiction. I. Judul.
II. Siri.
899.2333
Semua hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini tidak boleh
diterbitkan semula atau dipindahkan dalam sebarang bentuk atau dengan
sebarang cara, baik dengan cara elektronik, mekanik, penggambaran ataupun
sebaliknya tanpa izin yang bertulis terlebih dahulu daripada Vital Star Sdn. Bhd.
Bab Nasib Si Penarik
Beca
1
Cahaya matahari memancar dengan terik sekali pada
hari itu. Penarik beca itu mengayuh becanya sepantas
yang mampu. Dia ingin sampai di hadapan bangunan
usang yang telah ditinggalkan itu dengan seberapa
segera. Dia mahu berehat di situ secepat mungkin. Dia
tidak mampu menahan panahan matahari yang
menikam kulitnya.
Apabila penarik beca itu sampai di hadapan
bangunan usang yang teduh itu, dia melepaskan
nafasnya berulang kali sambil menggosok-gosok kulit
tangannya itu. Dia berasa begitu lega sekali.
Malangnya kelegaan itu tidak bertahan lama. Selang
beberapa minit berehat di atas becanya itu, dia
terdengar bunyi bisikan dari dalam bangunan usang itu.
Sekurang-kurangnya, ada tiga suara yang
didengarinya. Penarik beca itu mencuba untuk tidak
menghiraukan suara itu dan terus melelapkan matanya.
Tetapi suara ketiga-tiga orang lelaki itu semakin lantang
1
kedengaran. Mereka seolah-olah sedang bertelingkah
antara satu dengan yang lain.
Penarik beca itu tidak mungkin dapat untuk tidak
mengendahkan pertelingkahan itu lagi. Semakin lama
dia mendengar, semakin berdetap-detup jantungnya.
Penarik beca itu menggeleng-gelengkan kepala sambil
mengawal pernafasannya.
“Aku harus pergi dari sini sebelum terlambat,” fikir
penarik beca itu. Dia harus pergi dari situ sebelum
orang yang sedang bertelingkah di dalam bangunan itu
mengetahui bahawa dia telah mendengar perbualan
mereka. Penarik beca itu pasti bahawa orang-orang itu
bukan orang yang baik, tetapi penjenayah yang kejam.
Penarik beca itu juga pasti bahawa orang-orang itu
akan membunuhnya sekiranya mereka tahu apa yang
telah didengarinya.
Dengan terkocoh-kocoh, penarik beca itu
mengayuh becanya dan beredar dari tempat itu.
Matahari masih memancar dengan terik sekali, namun
penarik beca itu tidak kisah lagi. Dia lebih rela kulitnya
itu dipanah bahang mentari daripada disiat-siat oleh
tiga orang penjenayah kejam di dalam bangunan itu
sekiranya dia ditangkap mereka.
Sambil berkayuh, penarik beca itu memikirkan
semula perbualan dan punca pertelingkahan ketiga-tiga
orang penjenayah itu. Dia tahu dia tidak mempunyai
2
sebarang bukti kukuh, tetapi hati kecilnya tetap nekad
hendak membuat laporan polis. Dia harus
memberitahu pihak polis tentang hal itu dengan
seberapa segera. Mereka mungkin akan menyangka dia
gila. Mereka mungkin tidak akan mempercayai kata-
katanya, tetapi dia tetap mahu pergi ke situ sebelum
kejadian yang buruk berlaku selepas itu.
Penarik beca itu mengayuh becanya dengan lebih
laju lagi. Dia tahu bahawa ada sebuah balai polis yang
terletak kira-kira dua kilometer di hadapan sana.
Sambil mengayuh beca, sesekali penarik beca itu
menoleh ke belakang. Dia bimbang kalau-kalau orang
yang berada di dalam bangunan itu sedang
mengejarnya.
Dia melepaskan nafas lega apabila setiap kali
mendapati tiada apa-apa yang mencurigakan yang
berlaku di belakangnya. Kenderaan bergerak seperti
biasa di atas jalan raya. Manusia berjalan kaki menuju ke
destinasi masing-masing seperti biasa. Murid-murid
sekolah mula beratur dan berebut-rebut keluar dari
pintu pagar sekolah.
Penarik beca itu terpaksa memperlahankan
kayuhannya apabila sampai di sebuah kawasan sekolah.
Dia akan sampai ke balai polis sebaik-baik sahaja
melintasi kawasan sekolah itu. Penarik beca itu
terpaksa membrek becanya apabila seorang jaga
berbaju putih meniup wisel dan beransur-ansur
3
berjalan ke tengah-tengah jalan sambil membawa
sebuah papan tanda yang ditulis dengan perkataan
‘BERHENTI’.
Jaga itu meniup wisel sekali lagi. Sekumpulan murid
terus melintas jalan raya dalam satu barisan panjang.
Penarik beca itu pula mengambil peluang itu untuk
berehat seketika.
“Cepatlah! Cepatlah sikit!” Secara tiba-tiba,
kedengaran pekikan seorang lelaki.
Penarik beca itu terus tersedar daripada
lamunannya dan memandang ke hadapan untuk
mengenal pasti siapa yang bercakap tadi.
Rupa-rupanya jaga itu yang memekik. Dia sedang
memekik ke arah dua orang murid lelaki yang agak
berisi yang sedang berdiri termengah-mengah di bahu
jalan selepas bergegas keluar dari pintu pagar itu.
“Tunggu sekejap, pak cik!” pekik budak ‘comel’ yang
pertama itu sambil bertinggung dan bernafas dengan
tercungap-cungap. “Saya menunggu kawan saya yang
seorang lagi.”
“Pak cik tak boleh tunggu. Nanti marah pula
pemandu-pemandu kereta tu. Kalau kamu tak melintas
sekarang, kamu tunggu giliran yang seterusnya!” pekik
jaga itu.
4
“Nantilah dulu, pak cik..., sekejap saja!” rayu budak
‘sihat’ yang kedua.
“Tunggu! Tunggu!” Tiba-tiba, kedengaran pula
pekikan di sebalik pintu pagar itu. Sejurus kemudian,
terpacul seorang lagi budak ‘subur’ dari pintu pagar
sekolah itu. Seluruh badan, termasuk kepalanya, basah
kuyup.
Kedua-dua orang kawannya terus memandang ke
arah budak itu dengan hairan sekali.
“Cepatlah, Din..., semua orang sedang menunggu
kamu seorang sahaja tau!” pekik budak ‘comel’ itu
dengan geram sambil berjalan melintasi jalan raya itu.
Budak ‘sihat’ kedua itu mengekori kawannya yang
pertama sambil memandang ke arah budak ‘subur’ di
sebelahnya.
“Kenapa kamu lambat sangat, Din?” tanya budak
sihat itu. “Sampai berpeluh seluruh badan kamu....”
“Saya bukan berpeluhlah...,” balas budak ‘subur’ itu
sambil bernafas dengan tercungap-cungap semasa
melintasi jalan raya itu. “Saya terjatuh ke dalam
longkang tadi!”
Semua orang yang berada di situ terus ketawa
berdekah-dekah. Malah pembonceng motosikal dan
penarik beca yang berhenti di situ turut ketawa.
5
Mereka terhibur melihat telatah ketiga-tiga orang
murid berisi itu.
Ketiga-tiga orang murid itu pula seolah-olah tidak
kisah dengan perhatian yang diberikan terhadap
mereka. Mungkin mereka sudah biasa dengan perhatian
dan gelak tawa sebegitu. Mereka terus berjalan
melintasi jalan raya itu dengan selamba sahaja.
Sebaik-baik sahaja mereka sampai di pembahagi
jalan itu, motosikal yang sudah lama menunggu di situ
terus memecut dengan laju sekali sehingga
menyebabkan suasana di sekitar bingit oleh bunyi
ekzos yang nyaring itu.
Sambil berdiri di pembahagi jalan itu, ketiga-tiga
orang murid berisi itu terus menoleh ke arah
penunggang motosikal itu.
“Wah, hebat betul penunggang motosikal itu!” ujar
Zainol atau nama singkatannya, Non, dengan penuh
perasaan kagum.
“Hebat kata kamu, Non?” balas Din pula sambil
menjuihkan bibir. “Penunggang-penunggang motosikal
seperti itulah yang sering menyebabkan kemalangan
jalan raya.”
“Alah, kamu memang cemburu, Din!” sambung
Non semula. “Aku tahulah kaki kamu tu tak cukup
6
panjang untuk menunggang motosikal.” Budak ‘comel’
terus ketawa selepas itu.
Din berasa geram sekali. “Alah, kalau sekadar kaki
sahaja panjang, tapi badan mengalahkan belon pun tak
guna juga, Non. Nanti hilang keseimbangan.” Budak
‘subur’ itu sengaja ketawa dengan lebih kuat.
“Sudahlah, kamu berdua,” celah Bob pula. “Kamu
berdua memang sama-sama tak layak menunggang
motosikal. Kamu berdua cuma layak ‘menunggang
benda’ itu.” Budak berisi itu terus memuncungkan
bibirnya ke arah jalan raya itu.
Non dan Din terus menoleh ke arah itu. Rupa-
rupanya, kawannya itu merujuk kepada penarik beca
itu. Secara spontan, mereka bertiga ketawa berdekah-
dekah. Tetapi, tawa mereka itu terhenti dengan tiba-
tiba.
Entah dari mana datangnya, sebuah kereta bergerak
dengan laju sekali dari arah belakang dan sedang
meluru ke arah penarik beca itu. Ketiga-tiga orang
budak gemuk itu terus memekik dengan kuat sekali.
Penarik beca itu terkejut dek pekikan itu lalu
menoleh ke arah mereka dengan segera. Kereta itu
terus menghentam bahagian belakang beca itu
menyebabkan penarik beca itu terlambung ke atas.
Untuk beberapa saat lamanya, tubuh penarik beca itu
7
melayang tinggi di udara sebelum dia jatuh semula ke
atas jalan raya. Seluruh badan penarik beca itu
menggelepar dan darah mula mengalir keluar dari
kepalanya.
Tanpa sebarang belas kasihan, kereta itu terus
memecut laju meninggalkan tempat itu.
Suasana di sekitar kawasan itu terus menjadi riuh
dan kecoh. Pekikan yang kuat kedengaran. Kereta dan
motosikal berhenti di tengah jalan, menyebabkan
kenderaan di belakang terus membunyikan hon.
Manusia yang berada di situ terus berlari berkeliaran di
sekitar kawasan itu.
Non, Bob, dan Din tersedar daripada kejutan.Tanpa
memikirkan apa-apa lagi, mereka terus berlari
mendekati penarik beca itu.
“Pak cik! Pak cik!” pekik mereka secara serentak.
Penarik beca yang sudah tertiarap dan berlumuran
darah itu tidak menunjukkan sebarang reaksi. Namun
kemudian, secara tiba-tiba dia terbatuk!
Darah terpercik keluar daripada mulutnya. Ketiga-
tiga orang budak itu terus berundur ke belakang
seberapa segera.
“Huuh..., huuh...,” Penarik beca itu mengerang dan
bernafas lemah.
9
Mereka terus memerhatikan penarik beca itu. Mulut
penarik beca itu dipenuhi darah. Keadaannya begitu
mengerikan sekali, menyebabkan Din dan Bob terus
berpaling ke arah lain. Non juga takut sebenarnya, tetapi
dia ingin menunjuk berani di hadapan kawan-kawannya
lalu mendekati penarik beca itu.
Mata penarik beca itu seolah-olah mencuba
memberitahunya sesuatu, lalu Non pun bergegas
mendekatkan cuping telinganya ke mulut penarik beca
itu. Dia pasti dia akan menjadi popular sekiranya dapat
menyelesaikan masalah yang cuba diberitahu penarik
beca itu.
Secara tiba-tiba, penarik beca itu terbatuk lagi.
Darah tersembur keluar dan terpercik ke cuping
telinga dan sebahagian pipi Non. Non berasa sangat
takut lalu memekik dengan kuat sekali sehingga
akhirnya jatuh pengsan di atas jalan raya itu. Kepalanya
terhantuk ke atas jalan.
Kedua-dua orang kawannya menerpa mendekati
Non, tetapi apabila mereka melihat darah di pipi Non
itu, mereka terus menjerit tak henti-henti sehingga
akhirnya turut pengsan.
*****
Non tersedar apabila dia berasa begitu lapar sekali.
Dia terkejut apabila melihat ibu dan ayahnya berada di
tepi katil tempat dia berbaring.
10
“Kenapa ni, mak, ayah?” tanya Non dengan hairan
lalu memandang ke sekitar. Kepalanya terasa sakit
sekali, dan dia bertambah terkejut apabila menyedari
bahawa dia sedang berada di hospital.
“Apakah yang telah berlaku, mak?”
“Kamu tanya mak apa yang berlaku?” balas ibunya,
Puan Zaiton. “Mak pun dah lama menunggu kamu
sedar supaya kamu dapat memberitahu mak apa yang
berlaku.”
Non mencuba mengingati kejadian sebelum dia
jatuh pengsan tadi. Secara tiba-tiba, mata Non
terbeliak.
“Macam mana dengan penarik beca tu, mak? Mana
Bob? Mana Din?” tanya Non.
Puan Zaiton tidak menjawab, sebaliknya menoleh
ke arah suaminya yang duduk di sebelah.
Encik Borhan terus memandang ke arah anak
lelakinya itu. “Penarik beca itu masih berada di wad
kecemasan.”
Terbeliak mata Non. “Bagaimana keadaannya?”
Encik Borhan hanya menggelengkan kepalanya.
“Bob dan Din di mana?” tanya Non lagi.
11
Encik Borhan juga tidak menjawab, sebaliknya
menoleh ke belakang.
Non terus menoleh ke arah yang sama. Kelihatan
kedua-dua orang kawannya sedang terbaring di atas
katil dan tidur dengan nyenyak sekali.
“Mereka pun pengsankah tadi?” tanya Non.
Puan Zaiton mengangguk kecil. “Mereka dah lama
sedar, cuma tertidur semula.”
“Mak dan ayah mereka tak datang?”
“Mereka baru sahaja pulang.”
Non terus turun dari katilnya dan berjalan ke arah
katil kawan-kawannya itu. Dia ingin menggerakkan
kawannya tetapi tidak sempat berbuat demikian.
Di pintu utama wad itu, kelihatan dua orang lelaki
yang memakai jaket hitam dan seluar jean biru sedang
berjalan mendekati Non dan memandang ke arahnya
sambil tersenyum lebar.
Non tidak suka akan pandangan mereka.
Mungkinkah kedua-dua orang lelaki itu ada kena-
mengena dengan kemalangan yang menimpa penarik
beca itu? Mungkinkah mereka datang untuk
membunuhnya dan menghapuskan saksi yang ada?
12
Semakin lama, semakin banyak soalan yang
berlegar-legar di kepalanya sehingga akhirnya memaksa
Non berjalan mendekati ibu dan ayahnya dengan
segera.
“Jangan takut, Non,” ujar ayahnya. “Itu Inspektor
Rashid dan rakan setugasnya, Inspektor Azizi yang
sedang menyiasat kes ini.”
Non terus memandang ke arah kedua-dua orang
lelaki itu dengan cemas dan hairan sekali.
13
Bab Kemalangan atau
Pembunuhan?
2
Mungkin disebabkan wajah kedua-dua orang
inspektor itu kelihatan agak garang, maka kaki Non
mula terketar-ketar apabila mereka mendekatinya.
Apabila melihat Inspektor Rashid membuka mulut,
Non lebih pantas memotong. “Saya tak ada kaitan
langsung dengan kemalangan itu. Saya tak tahu apa-apa.
Saya tak nampak wajah pemandu kereta itu. Cermin
kereta itu gelap. Kereta itu meluru dengan laju sekali
meninggalkan tempat itu. Saya....”
“Okey, okey, okey, sabar dulu, dik...,” pintas
Inspektor Rashid. “Dengar dulu apa yang nak kami
katakan.”
Non berhenti dan terus bernafas dengan
tercungap-cungap.
“Yalah, bercakap punyalah laju sampai mak pun tak
tahu apa yang kamu katakan tadi...,” ujar Puan Zaiton
sambil tersenyum.
14
Kedua-dua orang inspektor itu terus tertawa
melihat gelagat Non, ditambah pula dengan usikan Puan
Zaiton tadi. Salah seorang daripada mereka terus
menoleh ke arah Non. “Jangan bimbang, Zainol..., kami
tak menuduh awak yang menyebabkan kemalangan itu.
Kami tahu..., sebab ada banyak lagi saksi lain yang
melihat kemalangan itu berlaku.”
Non mengangguk-anggukkan kepalanya berulang
kali.
“Jadi, inspektor sudah dapat mengesan pemandu
kereta itu?” tanya Non dengan cemas.
“Belum lagi. Kami masih menyiasat,” sambung
Inspektor Rashid. “Tapi kami menerima banyak laporan
yang bercanggah daripada saksi-saksi di tempat
kejadian itu. Ada yang mengatakan bahawa kes itu kes
langgar lari. Ada juga yang mengatakan bahawa
pemandu itu memandu dengan cuai sehingga tidak
dapat mengawal keretanya lalu terlanggar penarik beca
itu.”
“Saya tak setuju!” kata Non secara spontan.
Kedua-dua orang inspektor itu terus merenung
muka Non.
“Kenapa kamu berkata begitu?” tanya Inspektor
Rashid.
15
“Sss...sss...saya....” Non mula terketar-ketar.
“Jangan takut, cakap sahaja. Kami cuma mahu
mengumpulkan lebih banyak maklumat sebelum dapat
mengklasifikasikan kes ini...,” kata Inspektor Rashid.
“Tak..., saya..., saya..., saya rasa... kejadian itu bukan
suatu kemalangan. Kami nampak dengan mata kami
sendiri bagaimana kejadian itu berlaku.”
“Kami?”
“Ya, saya dan kawan-kawan saya tu,” ujar Non
sambil menoleh ke arah Bob dan Din yang sedang tidur
di atas katil di sebelahnya.
“Boleh kamu ceritakan apa yang kamu nampak?”
tanya Inspektor Azizi pula.
Non terus menganggukkan kepalanya. “Pada masa
itu, kami baru sahaja melintas jalan dan berhenti di
pembahagi jalan. Bob mula mengutuk saya, saya pun
membalas. Din pula berseloroh dan membandingkan
kami dengan penarik beca itu. Kami semua terus
memandang ke arah penarik beca itu dan ketawa.
Penarik beca itu juga menoleh ke arah kami.
“Secara tiba-tiba, sebuah kereta meluru laju ke arah
beca itu lalu melanggar beca tersebut. Penarik beca itu
terus melambung ke hadapan. Kepalanya terhantuk ke
atas jalan raya. Selepas itu, kereta itu terus memecut
16
meninggalkan tempat itu. Daripada apa yang saya
saksikan, saya pasti pemandu kereta itu sengaja
melanggar penarik beca itu.”
“Kamu tahu jenis kereta yang dipandunya?”
Non mengangguk dengan pantas. “Kereta Proton
Iswara Aeroback berwarna merah, tapi saya tak
nampak pemandunya. Cerminnya gelap.”
“Kamu sempat membaca nombor plat kereta itu?”
Non menggeleng dengan penuh kesal. “Kereta itu
laju sangat. Lagipun, pemandunya langsung tidak
berhenti. Kereta itu terus meninggalkan tempat itu.”
Kedua-dua orang inspektor itu saling berpandangan
sebelum menoleh ke arah Non semula.
“Zainol,” ujar Inspektor Rashid. “Ada saksi yang
mengatakan bahawa kamu ada mendekati penarik beca
itu. Penarik beca itu seolah-olah telah membisikkan
sesuatu ke telinga kamu sebelum kamu pengsan.”
Bulu roma Non terus meremang mendengar kata-
kata Inspektor Rashid itu. Dia mula memikirkan
kejadian itu semula dan akhirnya menganggukkan
kepala.
“Memang benar.... Semasa saya dan kawan-kawan
saya mendekati penarik beca itu, dia memandang saya
18
seolah-olah ingin memberitahu saya sesuatu.
“Jadi, saya pun terus mendekatkan telinga saya ke
mulutnya. Dia sempat membisikkan sesuatu kepada
saya, tapi saya tak ingat apa yang dibisikkannya sebab
dia terus memuntahkan darah secara tiba-tiba. Darah
itu terpercik ke telinga dan muka saya menyebabkan
saya berasa sangat takut sehingga akhirnya saya
pengsan,” jelas Non.
“Cubalah kamu ingat semula apa yang dibisikkannya
itu. Mungkin ada kaitan dengan apa yang telah berlaku,”
pujuk Inspektor Rashid.
Non mencuba mengingati kata-kata yang dibisikkan
oleh penarik beca itu ke telinganya tadi. “Ma..., ma...,
saya ingat ‘ma’ sahaja. Perkataan yang disebutnya
memang bermula dengan ‘ma’.”
“Ma?”
“Ya, ma..., tapi saya betul-betul tak ingat perkataan
penuhnya.”
“Kamu ingat ada berapa suku kata dalam perkataan
itu?” tanya Inspektor Azizi.
Non menggeleng-gelengkan kepala. “Saya tak
ingat..., saya benar-benar tak ingat....” Non berasa
semakin rimas. Kepalanya mula terasa pening. Perutnya
terasa lebih lapar lagi.
19
“Tak mengapalah..., kamu berehatlah dulu, Zainol,”
kata Inspektor Rashid. “Kalau kamu ingat perkataan itu
nanti, hubungi kami dengan segera.” Inspektor Rashid
mengeluarkan sekeping kad nama lalu menyerahkannya
kepada Non.
Non mencapai kad itu sambil mengangguk kecil.
“Ada sesiapa yang nampak nombor plat kereta itu?”
tanya Non pula.
“Ada, tetapi kami mendapati nombor itu nombor
pendaftaran palsu.”
“Kalau begitu, memang sahlah kes ini bukan kes
langgar lari. Pemandu itu memang sengaja mahu
membunuh penarik beca itu,” ujar Non.
Inspektor Rashid tidak memberikan sebarang
komen.
“Bagaimana keadaan penarik beca itu?” soal Non
lagi.
Kedua-dua orang inspektor itu saling berpandangan
sebelum Inspektor Rashid menoleh ke arah Non
semula. “Penarik beca itu baru sahaja disahkan
meninggal dunia.”
Terlopong mulut Non mendengarnya. “Innalillah...,”
ucapnya sambil air matanya terus mengalir. Dia
menggeleng-gelengkan kepala. Dia berasa begitu
20
bersalah sekali, lebih-lebih lagi selepas memikirkan
niatnya untuk mendapatkan populariti pada saat-saat
akhir penarik beca itu.
Ayahnya terus ke hadapan lalu memegang bahu
Non untuk menenangkan anaknya itu. Inspektor Rashid
dan Inspektor Azizi juga memujuk Non agar bersabar.
Tidak lama kemudian, mereka meminta diri untuk
pulang ke balai.
Ibu bapa Non menemani Non untuk seketika
sebelum memberitahu Non bahawa mereka hendak
bertemu dengan doktor dan kemudian membeli
makanan untuk Non.
Non yang kini tinggal keseorangan di situ terus
berjalan ke arah katil Din dan Bob lalu duduk di atas
kerusi di antara kedua-dua buah katil itu. Tidak lama
kemudian, Din terjaga daripada tidur. Non terus
bangun dari kerusi dan berdiri di hadapan kawan-
kawannya itu. Din menoleh ke kiri dan ke kanan,
sebelum akhirnya memandang ke arah Non. “Kamu
dah sedar, Non?”
Non mengangguk. “Bukan saja sudah sedar, baru
sebentar tadi saya memberi keterangan kepada pihak
polis,” jawab Non.
Din bingkas bangun dan duduk bersila di atas
katilnya. “Apa yang kamu beritahu mereka?”
21
“Tak ada apa-apa..., cuma saya memberitahu
mereka bahawa kejadian itu bukan suatu kemalangan.”
“Apa?” pekik Din dengan wajah yang terkejut.
Non berasa hairan sekali. “Kenapa?”
“Bagi saya, kejadian itu memang suatu kemalangan,”
balas Din. “Apa yang kamu maksudkan bukan
kemalangan?”
Non pula yang berasa hairan. “Kamu tak
nampakkah apa yang berlaku? Kereta itu memang
sengaja melanggar penarik beca itu.”
“Apa ni?” Secara tiba-tiba, kedengaran suara Bob
dari belakang. “Mengacau sajalah kamu berdua ni.
Orang nak tidur pun susah.”
Non menoleh ke arah Din semula. “Baiklah, Din.
Mari kita tanya Bob apa pendapatnya.” Non bergegas
mendekati Bob.
“Pendapat apa pula?” Bob bangun dari katilnya
dengan malas sekali.
“Kamu rasa kejadian yang berlaku itu suatu
kemalangan biasa ataupun memang kereta itu sengaja
melanggar penarik beca itu?” tanya Non dengan serius
sekali.
“Apa yang kita rasa tu tak penting. Yang penting
22
ialah bagaimana keadaan penarik beca itu sekarang,”
ujar Bob.
“Penarik beca tu dah meninggal dunia!” balas Non
dengan pantas sekali.
Terbeliak mata Bob mendengar berita itu. “Kamu
jangan bergurau, Non.”
“Takkanlah saya nak bergurau tentang hal seperti
itu. Baru sebentar tadi Inspektor Rashid memberitahu
saya tentang kematian penarik beca itu. Mak dan ayah
saya pun berada di sini pada ketika itu,” balas Non
dengan lebih serius lagi.
Bob dan Din terus memandang antara satu dengan
yang lain.
“Jadi, saya ingin mengulangi soalan saya tadi sekali
lagi. Pada pendapat kamu berdua, adakah kejadian itu
suatu kemalangan atau disengajakan?” tanya Non.
“Saya tetap berpendapat bahawa kejadian itu suatu
kemalangan. Dengan kecederaan yang dialami penarik
beca itu, memang tidak mustahil dia meninggal dunia.
Tetapi hal itu tidak mengubah apa-apa,” jawab Din.
Non menoleh ke arah Bob pula.
Secara spontan, Bob menggaru-garu kepalanya.
“Entahlah, saya pun tak pasti....”
23
Non semakin tidak berpuas hati. “Kamu tak
nampakkah keadaan penarik beca itu? Kamu
terlupakah bagaimana wajahnya semasa kita
mendekatinya tadi?” soal Non seolah-olah mencuba
memujuk Bob agar menyokong pendapatnya.
Terlopong seketika mulut Bob selepas itu. “Ha, saya
ingat.... Saya masih ingat kamu mendekatinya selepas
itu. Dia seolah-olah berbisik ke telinga kamu.”
Non mengangguk.
“Apakah yang dibisikkannya ke telinga kamu tadi?”
sambung Bob lagi.
Non menggelengkan kepala. “Saya tak ingat.”
“Kalau dia tak bisikkan apa-apa, memanglah kamu
tak dapat nak mengingat!” celah Din pula, seolah-olah
tidak percaya.
Non menoleh ke arah Din dengan geram sekali.
“Saya cuma ingat perkataan itu bermula dengan ‘ma’
sahaja.”
“‘Ma’?” tanya Din dengan penuh sinis. “Kamu tahu
ada berapa banyak perkataan yang bermula dengan
‘ma’? Makan.... Mamak.... Malam.... Masin.... Masam....
Manis....” Din sengaja ketawa.
Non sepatutnya marah tetapi wajahnya terus
24
berkerut selepas mendengar perkataan terakhir yang
diucapkan Din tadi.
Bob bertambah hairan melihat reaksi Non itu.
“Kenapa, Non?”
“Manis!” bisik Non secara spontan. “Ya..., manis.
Itulah perkataan yang disebut oleh penarik beca itu
sebelum dia memuntahkan darah.”
“Manis?” tanya Bob dan Din secara serentak.
Non mengangguk dengan penuh yakin.
“Apa yang manis?” Kedengaran suara ayah Non
yang mengejutkan mereka.
Mereka bertiga terus menoleh ke arah itu.
Ibu dan ayah Non sedang berjalan mendekati
mereka sambil tersenyum.
“Doktor kata kamu sudah boleh balik sekarang,
Non,” beritahu ayahnya.
Non sepatutnya gembira, tetapi kepalanya sedang
memikirkan perkara lain pada ketika itu. “Non dah
teringat apa yang dikatakan penarik beca itu sebelum
dia memuntahkan darah. Dia memberitahu Non
tentang sesuatu yang manis.”
“Manis?” soal ibu dan ayahnya dengan hairan sekali.
25
“Ya, manis,” jawab Non lalu terus mengeluarkan
sekeping kad nama dari poket seluarnya.
“Non perlu menghubungi Inspektor Rashid
sekarang,” katanya dengan cemas.
Ibu dan ayahnya hanya tersenyum sambil
menggeleng-gelengkan kepala. “Janganlah kamu cemas
sangat, Non.... Kalau setakat perkataan ‘manis’ itu,
Inspektor Rashid tidak mampu membuat apa-apa
kesimpulan.”
“Yalah, Non..., mungkin kamu sendiri yang tersalah
dengar, tak?” celah Din pula.
“Tidak!” balas Non dengan serius sekali.
Melihat wajah Non pada ketika itu, tiada sesiapa
pun yang berani bersuara lagi.
26
Bab
3 Perkembangan Kes
Non, Bob, dan Din sudah keluar dari wad. Malah,
mereka sudah pun bertemu dengan Inspektor Rashid
dan Inspektor Azizi. Non juga sudah memberitahu
Inspektor Rashid tentang perkataan terakhir yang
sempat dilafazkan oleh penarik beca itu sebelum dia
meninggal dunia. Inspektor Rashid dan Inspektor Azizi
tidak mentertawakanya, sebaliknya, mencatatkan
maklumat itu dengan serius sekali.
Non berasa bangga sekali kerana dapat membantu
pihak polis. Malah, tanpa disangka-sangka mereka,
kejadian itu telah menjadikan mereka bertiga seperti
bintang popular di sekolah. Nama mereka kerap
disebut-sebut oleh murid-murid di sekolah. Malah,
semasa Non, Bob, dan Din berjalan di sekitar
sekolah itu, pasti ada sahaja mata yang memandang ke
arah mereka. Sekiranya dahulu mereka diejek, kini
mereka dihujani dengan pelbagai soalan tentang
kejadian itu.
27
Non, Bob, dan Din berasa begitu bangga sekali
kerana menjadi saksi utama kemalangan itu. Terutama
Non yang tidak lokek berkongsi pengetahuan tentang
perkembangan kes itu kepada sesiapa sahaja yang sudi
mendengarnya. Perasaan bersalah terhadap kematian
penarik beca itu seolah-olah sudah hilang begitu sahaja.
Non sudah memiliki apa yang diidam-idamkannya
selama ini. Selama ini dia hanya murid gemuk yang
sering diejek, tetapi kini, dia merasakan dirinya begitu
berguna dan popular sekali. Malah, ada kalanya, Non
sengaja menambah-nambahkan cerita untuk
mensensasikan keadaan sebenar. Perbuatan Non itu
telah membuat Bob marah.
“Kamu bercakap besar lagilah, Non. Kalau benar
apa yang kamu syak itu dan kisah itu sampai pula ke
telinga orang yang sengaja hendak membunuh penarik
beca itu, kamu sendiri yang akan susah nanti. Tentu
mereka akan menjejaki kamu,” ujar Bob semasa
mereka berjalan pulang dari sekolah pada hari itu.
“Alah, mengaku sajalah, kamu cemburu dengan
perhatian yang saya terima daripada murid-murid di
sekolah!” balas Non lalu berjalan dengan laju menuju
ke arah pintu pagar sekolahnya itu.
“Saya cemburu?” tanya Bob semula dengan geram.
“Sudahlah, sudahlah tu,” celah Din, menjadi orang
28
tengah. “Janganlah hendak bertelagah lagi. Mari kita
melintas.”
Untuk seketika, mereka semua diam. Mereka
memandang ke tempat kemalangan itu berlaku, dan
kejadian tempoh hari terus terbayang dalam kotak
fikiran mereka semula.
Namun, perhatian mereka terganggu apabila
terdengar bunyi hon yang pendek tetapi tidak
terputus-putus di hadapan. Secara spontan, mereka
bertiga menoleh ke arah itu. Dari jauh, kelihatan
sebuah kereta yang sedang memotong kenderaan lain
dengan pantas dan dengan cara yang berbahaya sekali.
Selepas memotong semua kenderaan di situ, kereta itu
seolah-olah meluru laju ke arah Non, Bob, dan Din
pula.
Non yang terlalu panik, tidak mampu berbuat apa-
apa melainkan berdiri di situ dengan kaki yang terketar-
ketar. Kereta itu pula sudah semakin menghampiri
Non, seolah-olah sengaja mahu melanggarnya!
Secara spontan, Din dan Bob menarik Non ke
belakang. Kereta itu terus memecut laju meninggalkan
tempat itu.
Non yang kelihatan pucat, bernafas dengan
tercungap-cungap. Sekiranya Bob dan Din tidak
menariknya ke belakang tadi, besar kemungkinannya,
29
dia sudah bergelar arwah sekarang. Non merasakan
dirinya bagaikan mati hidup semula. Dia terus menoleh
ke arah Din selepas itu. “Kalau saya kena langgar tadi,
kamu rasa itu suatu kemalangan atau disengajakan?”
tanya Non dengan serius.
Kali ini, Din tidak dapat menyangkal pendapat Non
lagi. Selepas apa yang berlaku tadi, dia juga sudah mula
merasai keanehannya. “Saya rasa, kita patut
menghubungi Inspektor Rashid sekarang.”
“Kamu sempat melihat nombor platnya?” celah
Non pula.
Din menggeleng. “Saya tak nampak apa-apa pun,
cuma saya pasti kereta itu bukan kereta yang
melanggar penarik beca itu. Kalau kita sempat melihat
nombor platnya sekalipun, besar kemungkinan nombor
itu nombor palsu,” sambung Din.
Non mengangguk tanda setuju. “Walau
bagaimanapun, marilah kita menghubungi Inspektor
Rashid dahulu. Kita dengar apa pendapatnya.”
Mereka yang lain terus bersetuju dengan pendapat
Non itu.
Tanpa melengahkan masa, mereka bertiga bergegas
mendekati pondok telefon awam yang terletak di tepi
jalan raya itu. Non terus membuat panggilan.
30
Inspektor Rashid berasa terkejut sekali selepas
mendengar apa yang dikatakan Non itu. Dia berjanji
akan bertemu dengan mereka dalam masa kira-kira
setengah jam dari waktu mereka menelefon itu.
Inspektor Rashid juga menasihati mereka agar duduk
dan menunggunya di tempat yang terdapat banyak
orang. Akhirnya, mereka telah memilih restoran yang
terletak di seberang jalan sekolah mereka untuk
bertemu dengan Inspektor Rashid.
Non, Bob, dan Din menunggu di restoran itu
dengan penuh sabar. Masing-masing memesan air tin.
Pelayan restoran itu pula beria-ia benar mengesyorkan
masakan istimewa di restoran itu.
“Cubalah masakan istimewa kami pada hari ini,
ayam masak madu dari India. Memang sedap, lebih-lebih
lagi kalau dimakan dengan nasi beriani. Cubalah, dik,”
kata pelayan itu.
“Terima kasihlah, bang...,” ujar Din. “Kami tak mahu
makan. Kami sedang menunggu seseorang.”
Pelayan itu mengangguk dan terus beredar dari situ.
Din menoleh ke arah Bob. “Hesy, kalau saya bawa
duit lebih tadi, dah tentu saya memesan nasi beriani
dengan ayam masak madu tu! Cara pelayan itu
mempromosikan masakan itu sudah cukup untuk
membuat air liur saya meleleh.”
32
Bob terus ketawa mendengar gurauan Din itu. Din
juga ketawa tetapi terus menoleh ke arah Non apabila
menyedari kawannya itu tidak ketawa dan sedang
memandang jauh ke hadapan. Nampaknya Non sedang
memikirkan sesuatu dengan serius sekali.
“Kenapa, Non?” tanya Din dengan hairan. “Kamu
pun terfikirkan keenakan ayam masak madu itu?”
Non terus tersedar daripada lamunannya.
“Tak adalah, cuma..., cuma saya teringat tentang
perkataan ‘manis’ itu apabila masakan ayam masak
madu itu disebut tadi,” balas Non.
“Apa pula kena-mengena perkataan ‘manis’ dengan
masakan itu?” celah Bob pula.
Non menggeleng dan terus berfikir lagi.
“Maksud kamu, perkataan ‘manis’ itu merujuk
kepada masakan ayam masak madu kerana rasa
manisnya?” celah Din pula.
“Lebih kurang begitulah,” jawab Non dengan
selamba.
Din dan Bob saling berpandangan dengan hairan
sekali sebelum mereka ketawa terbahak-bahak.
“Kenapa kamu berdua ketawa?” tanya Non.
33
Din mencuba menahan tawanya lalu berkata,
“Bukannya kami tidak percaya akan kata-kata kamu tu,
Non, tapi cubalah kamu fikir, penarik beca itu sudah
berada dalam keadaan nazak, takkanlah dia hendak
memikirkan tentang ayam masak madu lagi?”
“Bukan itu maksud saya...,” balas Non. “Saya rasa,
perkataan ‘manis’ yang dibisikkannya kepada saya itu
ada kaitannya dengan makanan dan saya rasa bukan
satu perkataan sahaja yang dibisikkannya..., ada
perkataan lain lagi.”
Bob berasa sedikit terkejut. “Perkataan apa pula?”
“Ada kena-mengena dengan huruf ‘b’ tapi...,” Non
menggeleng-gelengkan kepala. “...saya tak pasti apa
perkataan itu. Saya rasa dia mencuba hendak
memberitahu saya suatu hal yang penting, dan hal itu
ada kena-mengena dengan makanan. Bukannya dia
hendak memakan sesuatu, cuma..., dia ingin
memberitahu saya suatu hal buruk yang akan berlaku.
Semuanya ada kaitan dengan makanan..., yang lainnya
saya tak tahu. Saya tak ingat..., saya tak ingat!” Non
terus mencekup rambutnya sambil mengeluh.
Din dan Bob berasa bimbang sekali melihat reaksi
Non itu.
“Kenapa dengan kamu, Non?” tanya Din dengan
cemas sekali.
34
“Kepala saya..., kepala saya sakitlah....”
Din dan Bob terus mendekati Non. Mereka berasa
bersalah kerana telah mempersendakan kata-kata Non
tadi.
Secara kebetulan, Inspektor Rashid dan Inspektor
Azizi sampai pada ketika itu. Dengan penuh
bersemangat sekali, Non terus menceritakan apa
yang baru sahaja diceritakannya kepada Din dan Bob
tadi.
“Huruf ‘b’?” Inspektor Rashid terus memandang ke
arah Inspektor Azizi dengan hairan sekali.
“Ya, perkataan itu bermula dengan huruf ‘b’... bu
atau bo..., tapi saya tak ingat sepenuhnya. Saya rasa ada
perkataan lain lagi....”
Non berasa hairan melihat wajah kedua-dua orang
inspektor itu.
“Kenapa, inspektor?” tanya Non dengan cemas.
“Mungkinkah perkataan ‘bom’ yang kamu
maksudkan?” tanya Inspektor Rashid.
Non terdiam dengan mulut yang ternganga. Dia
memandang ke arah Inspektor Rashid dan Inspektor
Azizi dan terus menganggukkan kepalanya berulang
kali.
35
“Sss...sss...saya rasa, itulah perkataannya..., bom! Ya,
bom!” pekiknya dengan kuat sekali.
Keadaan di dalam restoran itu terus menjadi sunyi
sepi. Semua pengunjung di situ menoleh ke arah Non
dengan wajah yang terkejut. Inspektor Azizi terus
menenangkan keadaan.
Inspektor Rashid pula menoleh ke arah Non
semula. “Apa kata kalau kamu semua ikut saya ke balai
polis? Nanti saya ceritakan hal sebenar kepada kamu.
Saya akan menelefon ibu bapa kamu sekarang dan
menyuruh mereka bertemu dengan kita di balai nanti.”
Mereka semua terus menganggukkan kepala.
Semasa kereta Inspektor Azizi berhenti di hadapan
balai polis itu, ibu bapa mereka sudah pun berada di
situ.Wajah mereka kelihatan cemas sekali.
Mereka terus mendekati kereta Inspektor Azizi itu
sebaik-baik sahaja enjin kereta itu dimatikan.
Inspektor Rashid dan Inspektor Azizi menyuruh
mereka bertenang lalu terus mengajak mereka masuk
ke bilik mesyuarat di balai polis itu. Tidak lama
kemudian, seorang pegawai polis masuk ke dalam bilik
itu. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Ketua
Inspektor Abdul Rahim.
Ketua Inspektor Abdul Rahim kemudiannya
36
mengajak ibu bapa mereka berbincang di bilik sebelah.
Non, Bob, dan Din pasti ketua inspektor itu hendak
memberitahu ibu bapa mereka suatu hal yang penting,
dan tidak mahu mereka bertiga mendengar isi
perbualan itu. Jadi, sebaik-baik sahaja ibu bapa mereka
keluar dari bilik itu, Non terus menoleh ke arah
Inspektor Rashid.
“Kematian penarik beca itu ada kena-mengena
dengan serangan bomkah?” tanya Non dengan cemas
sekali.
“Tak adalah, Non...,” jawab Inspektor Rashid.
“...cuma mungkin ada kaitan dengan penyeludupan
senjata api dan bom.”
“Non, cuba kamu fikirkan semula tentang
perkataan ‘manis’ itu. Apakah kaitannya dengan
perkataan ‘bom’?” celah Inspektor Azizi pula.
“Saya tak dapat mengingat apa-apa sekarang...,”
balas Non.
“Tak mengapalah, kamu cubalah fikir lagi, biar saya
belikan minuman untuk kamu semua,” kata Inspektor
Rashid lalu beredar dari bilik itu.
Inspektor Azizi pula meminta diri untuk pergi ke
tandas.
Sebaik-baik sahaja kedua-dua orang inspektor itu
37
beredar, Din dan Bob terus menghampiri Non.
“Saya rasa, mereka berdua tadi sedang
menyembunyikan sesuatu daripada kitalah,” bisik Bob.
“Apa maksud kamu?” tanya Non semula.
“Kamu ingat lagikah wajah mereka semasa berada
di restoran itu tadi?” soal Bob. “Wajah mereka
kelihatan begitu serius sekali. Tetapi semasa mereka
memberitahu kita tentang kes penyeludupan itu, wajah
mereka berlainan pula.”
“Jadi?” tanya Non, masih kurang faham akan
maksud kawannya itu.
“Mereka sedang menyembunyikan hal yang
sebenarnya daripada kita,” celah Din dalam bisikan.
“Saya rasa kes ini bukan berkaitan dengan
penyeludupan, tetapi seperti kata kamu tadi, ada kaitan
dengan serangan bom!” ujarnya lagi.
Terbeliak mata Non. Jantungnya berdetap-detup
dengan kuat sekali.
“Kamu harus mencuba mengingat semula, Non...,
sebelum serangan bom itu berlaku,” pinta Din.”
Non terus menggeleng-gelengkan kepalanya. Peluh
mula keluar membasahi seluruh tubuhnya. Dia memang
38
mahu mengingat dan memberikan jawapan itu kepada
kawannya.
Dia memang ingin mencari maksud perkataan
‘manis’ dan ‘bom’ itu tetapi dia tidak mampu
mengingati apa-apa pada ketika itu.
Apabila mendengar suara Din dan Bob yang beria-
ia menyuruh dia mengingat semula, Non tidak mampu
menanggung perasaan bersalahnya kerana tidak
mampu membantu lagi.
Secara tiba-tiba, Non rebah di situ!
39
Bab Keadaan Sebenar
4
Non tidak berada di hospital semasa dia tersedar
semula. Dia masih berada di balai polis dan
ditempatkan di sebuah bilik rehat. Dia dikerumuni oleh
ayah, ibu, dan kawan-kawannya. Ayah dan ibunya
berulang kali bertanyakan keadaannya dan bercadang
hendak membawanya ke hospital, tetapi Non
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Non, okey, mak, ayah.... Non tak mahu pergi ke
hospital. Non cuma hendak balik ke rumah dan
berehat,” balas Non.
Ayah dan ibunya akur akan kehendaknya itu.
Din dan Bob yang menemaninya di situ tidak
berkata apa-apa.
Sejurus kemudian, ibu bapa Non membawa mereka
pulang ke rumah. Sebuah kereta polis turut mengiringi
mereka.
40
Non terus masuk ke dalam biliknya sebaik-baik
sahaja tiba di rumah. Dia lapar tetapi tidak berselera
hendak makan. Dia letih tetapi tidak dapat
memejamkan matanya. Mindanya terlalu aktif dan
memaksa dirinya untuk memikirkan mesej yang ingin
disampaikan oleh penarik beca itu.
Non pasti bahawa ada lebih daripada satu
perkataan yang diberitahu penarik beca itu. Bukan
setakat perkataan ‘manis’ dan ‘bom’, tetapi masih ada
hal lain yang turut diberitahu penarik beca itu. Tetapi,
dia tidak dapat mengingatinya. Mungkin itulah sebabnya
kepalanya terasa begitu pening sekarang.
Ibunya masuk ke dalam bilik sejurus kemudian
dengan membawa secawan Milo dan beberapa keping
biskut coklat.
“Mana ayah, mak?” tanya Non secara spontan.
“Ayah balik ke pejabat sekejap. Ada hal yang perlu
dibereskan,” jawab ibunya. “Mak tahu kamu tak
berselera hendak makan, tetapi kamu perlu makan
sedikit, Non. Nanti jatuh sakit pula,” sambung ibunya.
Non agak terkejut dengan kelembutan yang
ditunjukkan ibunya itu. Selalunya, ibunya sentiasa
bersikap tegas walau apa pun keadaannya. Dia pasti,
perubahan sikap ibunya itu ada kaitan dengan
perbualan mereka di balai polis tadi.
41
“Mak, apakah yang diberitahu oleh ketua inspektor
itu kepada mak?” tanya Non selepas itu.
Wajah ibunya berubah dengan tiba-tiba. “Tak ada
apa-apa..., kamu berehat sajalah.” Ibunya terus
meletakkan biskut dan minuman itu di atas meja tulis
lalu mula berjalan ke arah pintu bilik itu.
Sikap ibunya itu membuatkan Non semakin
tertanya-tanya. Dia bangun dari katilnya untuk
mengekori ibunya, tetapi ibunya lebih pantas keluar
dari situ. Non melepaskan nafas panjang dan akhirnya
berjalan ke arah meja tulisnya. Dia duduk di situ dan
mula makan biskut yang disediakan oleh ibunya.
Non tidak mahu memikirkan tentang hal itu untuk
seketika, tetapi keadaan di sekelilingnya seolah-olah
tidak membenarkan dia berbuat demikian. Tiba-tiba,
dia terlihat suatu kelibat lelaki yang baru sahaja
melintasi tingkap biliknya itu.
Dada Non terus berombak kencang. Dia tidak jadi
hendak makan biskut coklat itu. Dengan perlahan-
lahan, Non berjalan mendekati tingkap biliknya itu. Dia
bersandar di tepi tingkap itu dan terus mengintai ke
arah luar dengan berhati-hati sekali.
Nafas Non terhenti seketika apabila mengesan
kelibat itu. Memang ada seorang lelaki di luar
rumahnya, dan lelaki itu kelihatan sangat mencurigakan.
42
Dia mahu menjerit tetapi dia tahu dia tidak boleh
berbuat demikian. Selangkah demi selangkah, Non
terus keluar dari biliknya itu dengan perlahan-lahan.
Sebaik-baik sahaja sampai di ruang tamu, Non terus
berlari mendekati ibunya.
“Mak..., mak...,” bisiknya dengan takut sekali.
Puan Zaiton terperanjat besar melihat reaksi anak
lelakinya itu. “Kenapa?”
“Syhhh!” bisik Non dengan segera.
Puan Zaiton lebih terkejut lagi.
“Kenapa?” bisiknya dengan cemas.
“Ada orang di luar! Ada orang sedang mengintai
kita di luar!” balas Non lalu bergegas mendekati
telefon.
Puan Zaiton terus berlari mendekati Non. “Kamu
nak buat apa ni?”
“Kita hubungi pihak polis, mak.... Lelaki itu mungkin
ada kena-mengena dengan pembunuhan penarik beca
itu!” sambung Non lalu mengangkat gagang telefon itu.
“Nanti dulu!” tegah Puan Zaiton.
“Jangan bising, mak! Kita harus bertindak dengan
segera!” ujar Non dengan lebih cemas lagi.
44
‘Kraaannng!’
Tiba-tiba, kedengaran bunyi bising dari arah luar.
Non terus menoleh ke arah itu. Darahnya berderau
sebaik-baik sahaja melihat lelaki yang sama itu kini
sudah berdiri betul-betul di hadapan rumahnya. Non
terus memekik dan menolak ibunya ke tepi apabila
ternampak sepucuk pistol yang tersisip di pinggang
lelaki itu.
Puan Zaiton yang tidak bersedia langsung dengan
perbuatan Non itu terus jatuh terduduk di atas lantai.
“Lari, mak! Lari!” pekik Non sambil mencapai
gagang telefon itu semula. Tanpa berfikir panjang, dia
terus mendail nombor 999.
“Nanti dulu, Non! Nanti dulu!” pekik ibunya.
Namun, Non tidak mempedulikan kata-kata ibunya
itu. Dia tetap memegang gagang telefon itu dan
menunggu panggilannya dijawab.
“Tunggu dulu, Non!” Secara tiba-tiba, kedengaran
suara lelaki itu.
Non berasa begitu terkejut sekali sehingga gagang
telefon di tangannya itu terlepas. Dia memandang ke
hadapan. Mulutnya ternganga apabila menyedari
bahawa lelaki itu mengetahui namanya. Lelaki itu pula
45