The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by EJEN ALI, 2021-11-24 20:52:16

MESEJ MISTERI PENARIK BECA

MESEJ MISTERI PENARIK BECA

Antoy terus ke hadapan dan menanggalkan pita
yang menutupi mulut Non itu.

Non terus menangis dengan kuat.

“Syhhh!” bisik Antoy. “Jangan menangis kuat-kuat.
Kalau mereka dengar, tentu mereka akan menyuruh
saya menutup mulut kamu dengan pita ini semula.
Nanti kamu akan dipukul mereka.”

“Apa bezanya? Saya akan mati juga dibunuh mereka
selepas ini seperti yang berlaku terhadap orang-orang
yang tidak berdosa tadi,” balas Non.

Antoy terus menundukkan kepalanya, seolah-olah
sedih selepas mendengar kata-kata Non itu.

“Kenapa kamu berpura-pura sedih di hadapan
saya?” soal Non dengan geram sekali.

“Tahukah kamu bagaimana keadaan di negara saya
sekarang?” tanya Antoy selepas itu.

“Rasuah berleluasa. Rakyat hidup menderita. Orang
yang tidak berdosa dibunuh begitu sahaja,” sambung
Antoy.

“Jadi, kamu memberontak dan mengebom tempat
lain pula?” soal Non dengan geram. “Kamu nampakkah
wajah emak saya tadi? Lihat betapa sedihnya emak
saya.”

96

“Sekurang-kurangnya kamu masih hidup. Tetapi,
adakah kamu tahu betapa sedihnya saya semasa anak
saya mati dibunuh oleh pegawai yang menerima rasuah
semata-mata kerana mahu menakluk kebun rempah
yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi milik kami?”
balas Antoy semula.

Non terdiam mendengar kata-kata Antoy itu. Air
matanya terus berlinang. “Saya tak mahu mati..., saya
tak mahu mati...!” bisik Non secara spontan. “Lepaskan
saya..., Antoy. Lepaskan saya.”

Antoy mendongak secara tiba-tiba. “Kamu jangan
bimbang, Zainol. Saya berjanji bahawa kamu akan
dilepaskan selepas misi kami selesai nanti.”

“Tipu..., kamu menipu! Saya sudah mendengar kata-
kata kawan kamu tadi. Kamu bertiga akan menjadikan
saya sebagai tebusan, dan selepas itu, kamu akan
membunuh saya!”

“Tidak, saya berjanji saya tidak akan membenarkan
sesiapa pun membunuh kamu!”

“Tipu! Penipu! Nama kamu pun bukan Antoy...,
nama kamu Zamrilas.”

“Sudahlah, jangan bising..., jangan menangis lagi!”

“Tolonglah saya..., lepaskanlah saya sekarang.
Saya berjanji bahawa saya tidak akan memberitahu

97

sesiapa tentang rancangan kamu semua,” rayu Non
lagi.

“Zamrilas!” Tiba-tiba, kedengaran suara garang itu.

Non terus menoleh dan memekik apabila melihat
Vovo sedang berjalan masuk ke dalam bilik itu.

“Lepaskan saya! Lepaskan saya! Tolong! Tolong!”

Vovo terus mengayunkan tangannya untuk
memukul Non. Tetapi Antoy lebih pantas menampar
Non dan kemudiannya menampalkan pita itu ke bibir
Non semula. Non terus menangis selepas itu kerana
tidak mampu melakukan apa-apa.

“Kau terlampau mengikutkan perasaan!” pekik
Vovo dengan marah ke arah Antoy. “Jangan lupa
tentang sumpah setia kau semasa kau bersetuju
menyertai angkatan kami. Kau sudah lupa bagaimana
isteri dan anak kau dibunuh oleh pemerintah yang
zalim itu, Zamrilas?”

Antoy sekadar mengangguk. “Saya tahu..., saya
ingat....”

“Kalau begitu, bersiap sedialah. Ada perubahan
rancangan. Esok kita akan melakukan dua letupan sekali
gus. Selepas itu, kita tinggalkan negara ini dengan
segera.”

98

Antoy terkejut mendengar kata-kata Vovo itu.
“Kenapa tiba-tiba sahaja rancangan kita diubah?”

“Tempat ini sudah menjadi terlalu bahaya bagi kita.
Setiap gerak langkah kita dikawal ketat. Kalau kita tidak
melaksanakan rancangan kita dengan segera, mungkin
kita akan ditangkap sebelum sempat melarikan diri.”

“Kalau begitu, kita tinggalkan tempat ini sekarang
juga. Batalkan sahaja misi kita yang seterusnya.”

“Kau dah gila?“

Antoy tidak berani menjawab.

“Aku harap kaufikir baik-baik apa yang kaucakapkan
tadi sebelum aku laporkan kesalahan kau kepada pihak
atasan nanti!” balas Vovo dengan geram lalu keluar dari
bilik itu.

Antoy termenung seketika sebelum menoleh ke
arah Non semula.

Non sedang memejamkan matanya tetapi air
matanya tetap mengalir.

“Saya minta maaf. Saya terpaksa menampar kamu
tadi. Kalau saya tak menampar kamu, sudah tentu kamu
akan dipukul dengan lebih teruk lagi oleh ketua saya.”

Non tidak menjawab dan dia juga tidak
mencelikkan matanya.

99

“Kamu lapar tak, Zainol?” tanya Antoy lagi.

Non tidak menjawab malah sedikit pun tidak
bergerak dari tempatnya.

Antoy terus keluar dari bilik itu.

Non menahan rasa laparnya dan terus memasang
telinga untuk mendengar rancangan mereka yang akan
dilaksanakan pada keesokan harinya.

Dia berasa begitu takut sekali setelah tahu apa yang
dirancangkan oleh mereka itu. Sekiranya rancangan
mereka itu berjaya, tentu banyak manusia yang tidak
berdosa akan menjadi mangsa mereka.

Dia mula merasakan bahawa dirinya begitu kerdil
sekali. Sekiranya dia mampu melakukan sesuatu,
mungkin serangan yang dirancang mereka itu akan
dapat dipatahkan. Seterusnya orang-orang yang tidak
berdosa tidak akan menjadi mangsa dalam letupan itu
nanti.

Tetapi, hakikatnya, dia tetap terkurung di situ. Bukan
sahaja dia tidak mampu mengelakkan orang lain
daripada menghadapi maut, malah dia sendiri juga akan
dijemput maut pada keesokan harinya!

100

Bab Di Ufuk Bahaya

9

Rasa lapar ditambah pula dengan kepalanya yang

semakin pening itu, menyebabkan Non tertidur di
dalam bilik itu akhirnya. Semasa dia tersedar semula,
hari sudah pun pagi. Dia mencelikkan mata dan
memandang ke sekeliling. Suasana sunyi sekali. Besar
kemungkinan, tiada sesiapa yang berada di dalam
rumah itu pada ketika itu.

Secara tiba-tiba, terdetik di hati Non bahawa itulah
satu-satunya peluang untuk dia melarikan diri. Tanpa
mahu berfikir panjang, Non terus menggulingkan
badannya dan bergerak mendekati pintu yang tertutup
itu. Dia bangun dengan bersusah payah. Kemudian, dia
menyandarkan badannya ke daun pintu itu sambil
melompat-lompat untuk mencapai tombol pintu itu.

Dalam cubaan pertama, Non berjaya menyentuh
tombol itu tetapi jari-jemarinya gagal memulas tombol
pintu itu. Cubaan kedua Non menyebabkan jari
telunjuknya terseliuh, tetapi dia enggan berputus asa.

101

Hanya selepas cubaan kali ketiga belas barulah Non
berjaya memulas tombol itu. Malangnya, tombol itu
berkunci dari luar.

Non berhenti melompat dan bernafas dengan
tercungap-cungap. Dia sudah terlalu lemah untuk
mengimbangi badannya lalu membiarkan badannya
jatuh di atas lantai. Air matanya terus berlinangan
apabila memikirkan nasibnya itu.

Dia berdoa agar Tuhan mengurniakan suatu
keajaiban kepadanya supaya dia dapat melarikan diri
dari situ. Akhirnya permintaan Non itu termakbul
sejurus selepas itu apabila pintu bilik itu terkuak
dengan tiba-tiba.

Non berasa begitu bersyukur sekali tetapi perasaan
gembiranya itu tidak bertahan lama. Sangkaannya tadi
meleset. Rupa-rupanya, masih ada orang di dalam
rumah itu. Antoy kelihatan sedang berdiri di hadapan
pintu bilik itu. Antoy terkejut melihat Non berada di
situ, dan wajah Antoy pada ketika itu, memberitahu
Non bahawa dia tahu akan percubaan Non itu.

“Cepatlah, Zamrilas!” Kedengaran panggilan dari
arah luar.

“Sekejap,” balas Antoy lalu masuk ke dalam bilik itu
dan mendekati Non.

102

Non berasa takut sekali lalu menundukkan
kepalanya.

Antoy terus bertinggung di hadapan Non dan
memandangnya dengan sedih sekali. “Saya akan pergi
selepas ini dan mungkin tidak akan kembali lagi.”

Non enggan menjawab mahupun memandang ke
arah Antoy.

Antoy mengunjukkan sebuah bungkusan plastik ke
arah Non. “Saya tahu kamu lapar. Saya ada belikan
kamu nasi lemak. Sudunya pun ada saya sediakan.
Apabila kamu terasa lapar nanti, kamu makanlah, ya...,”
sambung Antoy.

Non tidak menjawab.

“Cepat, Zamrilas! Kita dah tak ada masa lagi ni!”
pekik Vovo lagi dari arah luar.

Zamrilas terus bangun. “Baiklah, Zainol..., saya akan
pergi sekarang. Kamu janganlah berdegil, makanlah
sebelum perut kamu tu masuk angin,” bisik Antoy lalu
beredar dari situ.

Pintu bilik tertutup rapat dan terus dikunci.

Non masih terbaring di atas lantai itu sambil
membiarkan air matanya mengalir. Dia benci sekali
akan kepura-puraan yang ditunjukkan Antoy tadi. Kaki

103

dan tangannya diikat. Malah, mulutnya juga ditampal
pita hitam. Jadi, macam mana pula dia hendak makan?

Non terus menangis di situ mengenangkan
nasibnya. Entah bagaimana, dia terfikir pula tentang
perbuatan Antoy itu. Mungkinkah Antoy telah mencuba
memberitahunya sesuatu tadi?

Mata Non terus terarah kepada bungkusan nasi
lemak yang terletak di atas lantai itu.Ada sebatang sudu
besi yang terselit di atas bungkusan itu. Mungkin itulah
satu-satunya barang yang mampu digunakan untuk
meleraikan ikatan tangan dan kakinya itu. Mungkin
itulah tujuan sebenar Antoy memberinya nasi lemak itu
tadi.

Non tidak mahu berfikir panjang. Dia terus
mengengsot sehingga sampai di tepi bungkusan plastik
itu. Dia menggerak-gerakkan badannya supaya dia
mampu mencapai sudu itu. Sebaik-baik sahaja sudu itu
berada di tangannya, Non terus menggunakan sudu itu
untuk memotong tali yang mengikat pergelangan
tangannya itu.

Non berasa terkejut apabila merasakan bahawa
sudu itu agak tajam dan mampu memotong tali rafia itu
dengan mudah. Dia dapat merasakan tali itu semakin
menipis sehingga akhirnya terputus. Untuk seketika,
Non seolah-olah tidak percaya bahawa tali yang
mengikat tangannya itu sudah terlerai.

104

“Nampaknya memang Antoy benar-benar mencuba
membantu aku,” fikir Non. Dengan pantas sekali, Non
menanggalkan pita pada mulutnya sebelum meleraikan
ikatan di pergelangan kakinya pula.

Sebaik-baik sahaja ikatan itu terlerai, Non
merasakan dirinya begitu ringan sekali, bagaikan
banduan yang baru sahaja berjaya memboloskan diri
daripada penjara. Namun, dia tahu bahawa dia belum
boleh meraikan kejayaannya selagi dia tidak
meninggalkan rumah itu.

Non terus bergegas ke arah pintu bilik itu dan
mencuba membuka tombol pintu. Pintu itu masih
berkunci, dan kali ini, Non terus menarik tombol itu
sekuat-kuat yang mampu. Non sungguh bertuah kerana
tombol itu telah tercabut dari daun pintu itu. Non
terus mencuba membuka pintu itu, tetapi tidak berjaya.
Kerana tidak mempunyai pilihan, Non terus
menghentak daun pintu itu dengan bahunya. Pintu itu
terbuka dan Non terjatuh ke ruang tamu rumah itu.

Non sepatutnya berasa gembira, tetapi dia tidak
sempat berperasaan sedemikian kerana tombol pintu
utama itu pula kelihatan seperti sedang dipulas orang.

Mereka sudah pulang!

Sudah tentu mereka akan mencari Non untuk
dijadikan tebusan dan seterusnya dibunuh!

105

Kaki dan tangan Non terus menggeletar. Tanpa
sempat memikirkan apa-apa, Non meluru masuk ke
dalam bilik yang sebuah lagi. Dia merangkak masuk ke
bawah katil lalu bersembunyi di situ. Pada ketika itu,
pintu rumah telah terkuak. Kedengaran bunyi seolah-
olah ada orang yang dicampakkan ke atas lantai. Sejurus
selepas itu, kedengaran pula bunyi tapak kaki manusia
menuju ke bilik.

“Cis, budak itu sudah melarikan diri!” Kedengaran
suara Carnelos dengan begitu marah sekali. “Bukankah
aku sudah memberitahu kau, Vovo, bahawa Zamrilas
tidak boleh dipercayai. Dia tentu telah membantu
melepaskan budak itu!“

“Dasar pembelot!” Kedengaran pekikan marah
Vovo selepas itu diikuti pukulan dan tendangan
bertubi-tubi. Di samping itu, kedengaran juga bunyi
erangan seseorang.

Di bawah katil itu, Non terus mencekup mulutnya
kerana dia sudah dapat mengagak apa yang sedang
berlaku di luar sana. Tentu perbuatan Antoy itu telah
diketahui oleh Vovo dan Carnelos, lalu Antoy sedang
dipukul oleh mereka kerana belot.

“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Carnelos.

“Kita teruskan perjuangan kita. Biar kita mati
sekalipun, kita harus meneruskan perjuangan kita!”
balas Vovo.

106

“Bagaimana pula dengan pengkhianat ini?” tanya
Carnelos.

Suasana sunyi seketika.

Di bawah katil itu, jantung Non terus berombak
kencang sambil memikirkan nasib Antoy. Non teringin
sekali hendak keluar dari situ untuk menyelamatkan
Antoy, tetapi dia tahu, mungkin dirinya sendiri akan
mati sekiranya dia berbuat demikian. Sejurus selepas
itu, kedengaran bunyi ‘Phiup! Phiup’ yang pendek tetapi
kencang.

“Mari kita teruskan kerja kita!” perintah Vovo
sebelum kedengaran bunyi tapak kaki meninggalkan
tempat itu.

Non menangis di bawah katil itu dan berulang kali
memujuk dirinya agar bertenang dan bersabar. Setelah
benar-benar pasti bahawa Vovo dan Carnelos telah
meninggalkan rumah itu, barulah Non memberanikan
diri untuk keluar. Sambil menangis, dia merangkak
keluar dari bawah katil itu, tetapi terkaku seketika
apabila melihat darah yang membasahi ruang tamu
rumah itu.

Seluruh badan Non menggeletar tetapi dia tetap
menahan perasaan takutnya itu. Dia terus keluar dan
mencekup mulutnya untuk menahan tangisan. Sangkaan
buruknya memang benar-benar terjadi.

107

Antoy sedang terbaring di atas lantai. Badannya
dilumuri darah. Ada dua kesan tembakan di dadanya.
Matanya kuyu sementara mulutnya terkumat-kamit
dan dipenuhi darah. Non melawan perasaan takutnya
dan terus mendekati Antoy.

“Tunggu, Abang Antoy..., sabar..., saya akan pergi
mendapatkan bantuan,” ujar Non dalam tangisan.

“Jjj...jangan...,” bisik Antoy dengan nada yang
tersekat-sekat.

Non berasa begitu bersalah sekali. Dia merasakan
bahawa dirinyalah yang menjadi penyebab sehingga
Antoy jadi begitu, sebagaimana dia menjadi penyebab
kematian penarik beca itu dahulu. Sekiranya dia tidak
menjerit dan menarik perhatian penarik beca itu,
barangkali penarik beca itu sempat mengelak kereta
yang ingin melanggarnya itu. Sekiranya dia tidak keluar
dari bilik itu tadi, Antoy tidak akan ditembak oleh
rakannya sendiri.

“Zzzainol...,” bisik Antoy selepas itu.

Non menahan tangisannya dan menoleh ke arah
Antoy semula.

“Bbb...bukan Aaa...abang Antoy... an...an...antoy
sahaja...,” bisik Antoy sambil mencuba menguntumkan
senyuman.

Non menganggukkan kepalanya.
108

Antoy menggerakkan tangannya untuk mencapai
sesuatu tetapi dia tidak terdaya berbuat demikian.
Kesakitan yang dialaminya itu seolah-olah menusuk
jantung Antoy sehingga menyebabkan nafasnya
tersekat-sekat. “Am...ambilkan... ddd...dom...dompet
saya...,” pinta Antoy.

Non mengangguk-angguk lalu menyeluk poket
seluar Antoy di bahagian belakang.

Dia berhenti apabila mendengar erangan Antoy,
tetapi mata Antoy pada ketika itu memberitahunya
agar meneruskan perbuatannya. Sambil menahan
tangisan, Non terus menyeluk dan mengeluarkan
dompet itu lalu menyerahkannya kepada Antoy.

Sambil menahan kesakitan, Antoy mengangkat
sebelah tangan lalu mengambil dompet itu dan
membukanya. Dia mengeluarkan sekeping gambar dan
menunjukkannya kepada Non.

Non melihat gambar itu dan terus menangis dengan
lebih kuat lagi. Gambar itu ialah gambar seorang budak
lelaki yang sebaya dengannya. Budak itu bukan sahaja
sebaya dengannya, malahan bertubuh gemuk dan
wajahnya iras-iras Non.

Non terus memandang ke arah Antoy. Tahulah dia
mengapa Antoy mencuba menyelamatkannya. Rupa-
rupanya, Non mengingatkan Antoy kepada budak lelaki
itu.

109



“Am...am...Ambriko...,” bisik Antoy selepas itu.

Non mengangguk walaupun tidak faham maksud
lelaki itu.

Secara tiba-tiba, Antoy mengerang dengan lebih
kuat lagi dan terus memuntahkan darah.

Non terketar-ketar dan menangis dengan lebih kuat
lagi. “Saya akan mendapatkan bantuan, Antoy! Tunggu,
Antoy...!” pekik Non dan terus hendak beredar dari
situ.

Tetapi, Antoy pantas mengangkat sebelah
tangannya lalu memaut tangan Non. “Nnn...nanti...!”

Non tersentak di situ.

“Sss...sss...sembilan... tttt...tujuh... tttiga...,” bisik
Antoy.

Non berasa hairan. Dengan spontan, dia bergegas
mendekati Antoy.

Antoy membisikkan sesuatu lagi, tetapi suaranya
begitu perlahan sekali sehinggakan Non tidak mampu
mendengar apa-apa pun. Mahu tidak mahu, Non terus
mendekatkan cuping telinganya ke mulut Antoy.

Antoy terus membisikkan sesuatu dan kemudian
secara tiba-tiba, dia terbatuk sehingga darah terpercik
ke telinga Non.

111

Non merasakan bahawa peristiwa lama sudah
berulang kembali. Pengalaman Non bersama-sama
penarik beca itu berulang buat kali kedua. Non
mencuba sedaya upaya agar tidak pengsan pada kali ini
kerana dia faham bahawa keselamatan negaranya
mungkin terletak di tangannya.Tetapi kepalanya terlalu
pening. Badannya menggeletar tanpa dapat dikawal lagi.
Non sudah mencuba sedaya upaya, tetapi dia memang
tidak mampu menanggung ketakutan yang terpaksa
dialaminya buat kali kedua itu.

Akhirnya, Non pengsan juga di situ.

112

Bab Telur di Hujung
Tanduk
10

Non tersedar apabila digerak-gerakkan oleh

seseorang. Kepalanya bertambah pening apabila
terdengar bunyi pekikan dari pelbagai arah. Dia
mencelikkan matanya dan mendapati dirinya sedang
diusung ke dalam sebuah ambulans. Inspektor Azizi
berlari-lari anak di tepinya bersama-sama ibu dan
ayahnya.

“Saya tahu kepala kamu pening, Non..., saya tahu
kepala kamu sakit..., tetapi kamu harus bangun
sekarang. Jangan pengsan lagi. Banyak nyawa yang
bergantung di tangan kamu sekarang!”

“Sudahlah, inspektor..., janganlah ganggu anak saya.
Terlalu banyak yang telah dialaminya. Janganlah ganggu
dia lagi. Cukuplah apa yang ditanggungnya selama ini....”
Kedengaran bunyi rayuan ibunya selepas itu.

Non mencuba sedaya upaya untuk mencelikkan
matanya.

113



Inspektor Azizi memang kasihan akan Non dan
ibunya, tetapi mereka berada dalam keadaan terdesak.

“Apakah yang telah berlaku?” tanya Non sebaik-
baik sahaja dimasukkan ke dalam ambulans.

“Bom telah dipasang dan diaktifkan dan kamu pula
orang terakhir yang bertemu dengan pemberontak itu.
Pernahkah kamu terdengar perbualan mereka tentang
nombor kod untuk mematikan bom itu?”

“Tak mungkin mereka memecahkan rahsia itu di
hadapan Non!” celah ibu Non di situ. “Sudahlah, biarlah
mereka menghantar anak saya ke hospital untuk
mendapatkan rawatan dahulu.”

“Saya memang ingin berbuat demikian, puan, tapi
banyak nyawa yang mungkin terletak di tangan Non
sekarang.”

“Saya tahu nombor itu! Saya tahu nombor itu!”
balas Non selepas itu.

Suasana sunyi secara tiba-tiba. Ibu Non terus
memandang ke arah Non dengan muka terkejut.

“Cepat, Non, cuba kamu ingat nombor itu,” pinta
Inspektor Azizi. “Bantuan kamu amat berharga.
Keadaan sudah genting sekarang. Pemberontak itu
sudah memasang sebutir bom di dalam sebuah
bangunan pejabat dan mengugut untuk meletupkan

115

bom itu. Ada berpuluh-puluh orang pekerja di dalam
pejabat itu sekarang.”

“Sembilan, tujuh, tiga, empat, empat...,” balas Non.

“Empat, empat apa? Sepatutnya ada enam angka.
Cuba ingat betul-betul, Non.”

Non terus mencekup rambutnya untuk mengingati
nombor terakhir itu. Kepalanya pening sekali.

Dia teringat pengalamannya semasa penarik beca
itu memberitahunya mesej rahsia itu. Selepas itu, dia
teringat pula muka Antoy yang berlumuran darah
ketika memberitahunya kod itu. “Saya tak tahu...! Saya
tak tahu...!” pekik Non sambil melawan tangisannya.

“Kamu harus mencuba mengingatinya, Non!” balas
Inspektor Azizi dengan cemas sekali.

Ibu Non terus menolak inspektor itu ke tepi.
“Sudahlah..., Non tak dapat mengingatinya!” ujarnya
dalam tangisan.

Namun, Inspektor Azizi tidak berputus asa. Dia
mendekati Non semula sambil mengeluarkan sebuah
televisyen mini yang saiznya sebesar sebuah walkie-
talkie. “Cuba kamu tengok apa yang sedang berlaku
sekarang! Cuba kamu tengok sendiri!” Inspektor Azizi
terus menunjukkan skrin televisyen kecil itu kepada
Non.

116

Kepala Non menjadi semakin pening apabila
melihat Carnelos dan Vovo terlantar di atas lantai
dengan berlumuran darah. Seorang wanita sedang
menangis di atas sebuah kerusi yang diikat dengan
bom.

Ibunya pantas menutup mata Non untuk
menghalang anaknya daripada memandang ke arah
skrin itu.Tetapi Non pantas menepis tangan ibunya. Dia
mahu menonton skrin itu kerana itu sahaja satu-
satunya cara untuk memaksa dirinya agar mengingati
nombor itu.

Selepas itu, Non terus memejamkan matanya dan
mencuba mengingati detik akhir sebelum dia pengsan.
Dia tidak mahu terlambat lagi.

“Enam!” pekik Non selepas itu.

“Kamu pasti?” celah Inspektor Azizi dengan segera.

Non mengangguk, tetapi kelihatan kesal pula
kemudiannya. “Tapi, itu sahaja siri nombor yang
diberikan oleh Antoy. Saya tak tahu nombor kod bom
yang satu lagi.”

“Kamu jangan bimbang, bom yang satu lagi sudah
dimatikan, dan bom itu bukan jenis yang memerlukan
kod. Tapi, saya memerlukan kepastian, Non.... Kamu
pastikah nombor itu yang telah disebutnya? Cuba
pastikan, Non kerana apa yang kamu katakan itu

117

bakal menyelamatkan nyawa berpuluh-puluh orang
manusia.”

“Janganlah memberikan tekanan kepada anak saya
lagi!” ujar Puan Zaiton dengan marah. “Dia tidak
seharusnya dipertang...”

“Saya pasti!” celah Non. “Saya pasti itu
nombornya..., 973446!”

Inspektor Azizi tidak bertanya lagi. Dia terus
melompat keluar dari ambulans itu dan mengeluarkan
walkie-talkie untuk memberi arahan kepada orang
bawahannya.

Non berasa begitu lemah sekali. Malah, jantungnya
seolah-olah tidak berupaya hendak berdenyut lagi.
Sayup-sayup dia terdengar Inspektor Azizi mengulangi
nombor siri itu menerusi walkie-talkienya.

Non terbaring di atas pengusung itu sambil
memejamkan matanya sehinggalah Inspektor Azizi
mendekatinya semula.

Non terus mencelikkan matanya. Dia berasa
bingung sekali apabila melihat Inspektor Azizi
menitiskan air mata. Dia tidak berani bertanya tentang
apa hasilnya.

“Tahniah, Non..., terima kasih...,” ujar Inspektor
Azizi selepas itu. “Bom itu sudah berjaya dimatikan.”

118

Non melepaskan nafas panjang dan membiarkan air
matanya terus mengalir membasahi pipinya. Dia benar-
benar berasa bersyukur kerana telah dapat membantu
menyelamatkan banyak nyawa yang tidak berdosa.

*****

Dua minggu sudah berlalu. Keadaan sudah berubah
menjadi normal semula. Kedamaian dan keamanan
negara sudah terpelihara. Malah, Non kini sedang
berada di hadapan sebuah pentas di dalam dewan yang
dipenuhi begitu banyak manusia. Tetamu kehormat
yang hadir pada majlis itu termasuk Perdana Menteri
sendiri.

Mereka semua berada di situ untuk meraikan Non
sebagai hero kebangsaan. Non seolah-olah sudah
mencapai impiannya. Dia sudah popular sekarang,
malah popularitinya itu diiktiraf di seluruh negara.

Non sepatutnya berasa gembira dan bangga tetapi
anehnya bukan perasaan itu yang dirasainya pada ketika
itu. Sebaliknya, dia berasa sedih sekali.

“Zainol, kamu bersedia, ya,” ujar pengerusi majlis
itu. “Kamu akan diminta naik ke atas pentas pada bila-
bila masa sahaja.”

Non tidak menjawab tetapi mengangguk. Dia
termenung di situ. Wajah penarik beca dan Antoy
terbayang di matanya. Non mungkin akan terus

119

memikirkan mereka sekiranya bukan kerana tepukan
gemuruh yang kedengaran selepas itu.

Non memandang ke hadapan dan seorang wanita
terus mendekatinya lalu memintanya naik ke atas
pentas.

Masanya sudah tiba. Non naik ke pentas lalu
menerima pingat daripada Perdana Menteri. Lampu
kamera berkelip-kelip hingga menyilaukan matanya.
Bukankah itu yang diimpi-impikan oleh budak gemuk
sepertinya? Dilayan dengan baik dan bukannya
dipandang sebagai budak gemuk yang tidak pandai
menjaga diri serta didiskriminasikan kerana masalah
berat badannya? Sekiranya benar dia sudah men-
dapat apa yang diidam-idamkannya, mengapakah
senyumannya begitu hambar sekali?

Selepas itu, Non dijemput pula menghampiri
rostrum untuk memberikan ucapan. Non berjalan ke
arah rostrum itu dan mengeluarkan kertas ucapan yang
telah disediakannya tempoh hari. Dia membentangkan
kertas ucapan itu di atas rostrum dan terus
memandang ke arah orang ramai di bawah pentas.
Hampir semua mata memandang ke arahnya sekarang.
Malah, kerdipan lampu kamera masih tidak berhenti-
henti memancar ke arahnya.

Non terus memberikan ucapan alu-aluan kepada
semua tetamu kehormat yang hadir pada hari itu dan

120

juga tetamu lain. Selepas itu, Non mula membaca ayat
pertama di dalam kertas ucapan yang telah
disediakannya itu. Namun selepas itu, Non
memutuskan untuk melupakan ucapan tersebut. Dia
mahu mengambil peluang itu untuk meluahkan isi
hatinya sendiri dan bukan membaca sesuatu yang
dikarang.

“Para hadirin yang saya hormati, sebenarnya, saya
mengambil masa lebih daripada seminggu untuk
menyediakan ucapan saya ini.Tetapi pada ketika ini, saya
rasa saya tidak mahu membacakan apa yang sudah saya
tulis. Saya ingin meluahkan perasaan saya yang sebenar.
Atas sebab itu juga, saya ingin meminta maaf daripada
anda semua sekiranya ucapan saya menyinggung mana-
mana pihak nanti.” Non terus menundukkan kepalanya
selepas itu. Perasaan sebak menyerangnya secara tiba-
tiba dan dia memberitahu dirinya sendiri bahawa dia
tidak boleh menangis pada ketika itu.

Suasana di dalam dewan itu terus menjadi sunyi.

Non menarik dan melepaskan nafasnya berulang
kali sebelum memandang ke hadapan semula. Matanya
sudah berair tetapi dia nekad hendak meneruskan
ucapannya.

“Saya bukannya hero....” Ucapannya terhenti
dengan tiba-tiba kerana menahan sebak. “...saya
memang teringin hendak menjadi hero tetapi saya

121

bukannya hero. Saya cuma seorang budak gemuk yang
dahaga akan perhatian. Saya tidak mahu diejek dan
dikritik kerana berat badan saya. Saya mahu menjadi
popular seperti artis..., saya mahu disukai dan dikenali
ramai..., dan saya ingat saya telah mencapai semua itu
pada hari ini..., tapi hakikatnya ada orang yang telah
mati.

“Penarik beca yang tidak berdosa menjadi mangsa
pertama. Salah seorang pemberontak yang sepatutnya
membunuh saya pula, telah menyelamatkan saya.
Akibatnya, dia pula telah dibunuh oleh rakan-
rakannya....” Air matanya berlinang lagi. Non berhenti
di situ dan menelan air liurnya.

“Saya sedar bahawa saya belum dewasa tetapi apa
yang telah berlaku ke atas diri saya ini menyedarkan
saya tentang suatu perkara, iaitu biar sejahat mana
sekalipun seseorang manusia itu, pasti ada kebaikan
dalam diri mereka. Contohnya, Antoy yang telah
menyelamatkan saya. Saya tahu, tentu banyak orang
yang mengatakan bahawa saya tidak patut
mengasihaninya kerana dialah salah seorang
pemberontak yang telah menculik saya. Saya faham
perasaan anda semua tetapi tahukah anda apa maksud
perkataan ‘Antoy’ itu? Maksudnya ‘ayah’, ‘bapa’. Ya, dia
menyuruh saya memanggilnya bapa. Saya tidak
mengatakan bahawa perbuatan mereka itu baik dan
benar kerana mereka memang pemberontak dan

122

mereka memang patut dihukum kerana perbuatan
terkutuk itu, tetapi mereka juga manusia biasa.

“Saya meminta maaf sekiranya saya bersikap
biadab di sini. Tetapi selepas apa yang berlaku
terhadap saya..., saya tidak dapat menghalang diri saya
daripada meluahkan pendapat saya ini. Saya akui
bahawa saya masih mentah tetapi saya ingin mengajak
anda semua agar sama-sama melihat kelemahan diri
kita sendiri. Saya tidak mahu menjadi popular melalui
cara ini.

“Dengan rendah diri, saya berharap agar siasatan
segera dilakukan ke atas ahli perniagaan negara kita
yang menjalankan perniagaan di Pulau Mosulu.
Sekiranya pemberontak itu dihukum atas kesalahan
mereka, ahli perniagaan negara kita yang sekiranya
melakukan kesalahan juga harus turut dihukum.”

Suasana di dalam dewan itu terus menjadi riuh-
rendah.

Non juga sudah tidak mampu menahan
perasaannya lagi. Dia terus menangis di situ dan sejurus
kemudian, seorang lelaki datang untuk membawanya
beredar dari rostrum itu. Lampu kamera terus
berkelip-kelip selepas itu. Non tahu bahawa kata-
katanya itu telah menyinggung perasaan pihak-pihak
tertentu yang hadir pada hari itu. Malah pemilik
syarikat yang menjadi sasaran serangan bom

123

pemberontak itu tempoh hari, turut berada di dewan
itu.

Pengerusi majlis pantas ke hadapan dan meminta
maaf atas apa yang berlaku. Tetapi, apa yang paling
membanggakan Non ialah Perdana Menteri sendiri
telah menghampiri rostrum itu lalu berkata, “Inilah
generasi baru yang kita perlukan untuk memajukan
negara dan membawa negara kita ke era baru. Saya
bersetuju benar dengan kata-kata Adik Zainol tadi. Di
sini, saya ingin memaklumkan kepada anda semua
bahawa apa yang dicadangkan oleh Adik Zainol itu
sudah pun dilakukan oleh pihak-pihak tertentu.”

Secara tiba-tiba, tepukan gemuruh terus
kedengaran di seluruh dewan itu.

Non berasa bersyukur sekali dengan sokongan dan
makluman yang diberi oleh Perdana Menteri tadi. Pada
saat itulah, dia memahami erti ‘hero’ yang sebenar.

Sesungguhnya, hero yang sebenar ialah orang yang
sanggup melihat dan mengaku kekurangan dirinya
sendiri dan pada masa yang sama, berani untuk
membuat keputusan yang mungkin tidak akan
dipersetujui oleh semua orang demi menegakkan
prinsip yang difikirkan wajar.

124

SDN BHD (203834-K)
9 789830 249926


Click to View FlipBook Version