The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by EJEN ALI, 2021-11-24 20:52:16

MESEJ MISTERI PENARIK BECA

MESEJ MISTERI PENARIK BECA

sedang memegang sepucuk pistol sambil memandang
ke arahnya dengan wajah yang begitu cemas sekali.

“Saya Inspektor Harun...,” sambung lelaki itu
memperkenalkan dirinya.

Dunia Non gelap sepenuhnya untuk seketika. Dia
menggeleng-gelengkan kepala lalu memandang ke arah
lelaki itu semula. “Apa ertinya semua ni?”

“Saya telah ditugaskan untuk mengawal rumah
kamu,” jawab Inspektor Harun.

Non kelihatan tercengang sebelum menoleh ke
arah ibunya.

Puan Zaiton bangun dari lantai. “Memang benar,
Non..., sebab itulah mak tak benarkan kamu menelefon
pihak polis.”

Non menggeleng-gelengkan kepalanya lagi.
Kepalanya pening semula.

“Apa erti semuanya ini, mak...? Apa lagi yang mak
rahsiakan daripada Non...? Non dah cukup bingung,
mak...! Non tak mahu terus bingung lagi...!” Lutut Non
terasa begitu lemah sekali. Dia terus duduk di situ dan
mula menangis.

Puan Zaiton terus mendekati anaknya itu. Air
matanya menitis melihat beban yang sedang ditanggung
oleh anaknya itu.

46

“Apa yang sedang berlaku, mak? Apakah yang
diberitahu ketua inspektor itu kepada mak dan ayah
tadi? Tolonglah, mak..., beritahulah Non apa yang
berlaku. Non tak mahu dibiarkan terus tertanya-tanya
seperti ini. Kalau terus-terusan begini, Non akan
menjadi gila!”

“Kita tunggu ayah kamu balik dulu, ya.... Setelah
ayah kamu balik nanti, biarlah ayah kamu sahaja yang
menceritakan hal sebenar. Mak pun tak tahu macam
mana hendak memulakan semuanya...,” pujuk Puan
Zaiton sambil menahan rasa sebaknya.

Non tidak menjawab. Dia terus duduk di situ sambil
menundukkan kepala.

Puan Zaiton bangun dan menuju ke arah pintu
rumah. Dia meminta maaf daripada Inspektor Harun
dan memberitahunya bahawa segala-galanya terkawal.
Selepas itu, Puan Zaiton mendekati telefon pula. Dia
mencapai gagang telefon yang tergantung sejak tadi lalu
membuat panggilan kepada suaminya. Selepas itu, dia
duduk di situ bersama-sama Non.

Hampir sejam kemudian, ayah Non pulang. Dia
bergegas masuk ke dalam rumah dengan cemas sekali
dan terus memeluk Non dan isterinya sebaik-baik
sahaja melihat mereka sedang duduk di situ.

“Bang, Ton rasa eloklah kita beritahu Non perkara

47

sebenar...,” kata Puan Zaiton kepada suaminya.

Non terus mengangkat kepalanya lalu memandang
ke arah ayahnya.

“Kamu dah bersedia, Non?” tanya ayahnya.

Sekiranya tidak bersedia sekalipun, Non tetap ingin
mengetahui hal sebenar pada ketika itu juga. Non terus
menganggukkan kepalanya.

Ayahnya melepaskan nafas panjang sebelum
berterus terang tentang hal sebenar. “Kamu pernah
mendengar tentang Pulau Mosulu?”

Non menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Sebelum ini, ayah pun tak pernah mendengar
tentang pulau ini. Menurut Ketua Inspektor Abdul
Rahim, Pulau Mosulu ialah salah sebuah pulau yang
terletak di Lautan Sulu. Pulau Mosulu merupakan
sebuah negara kecil yang baru sahaja mencapai
kemerdekaan. Khabarnya, Pulau Mosulu banyak
mempunyai sumber semula jadi seperti gas asli dan
juga kebun rempah. Banyak ahli perniagaan yang
mengambil peluang untuk mendapatkan konsesi
perniagaan di Pulau Mosulu.

“Namun, kerana perebutan kuasa untuk
memerintah, pihak pemberontak di Pulau Mosulu telah
bertindak ganas. Mereka percaya bahawa pihak

48

pemerintah bekerjasama dengan ahli perniagaan luar
untuk menakluki ekonomi Pulau Mosulu. Mereka
bukan sahaja mencetuskan kekacauan di pulau itu,
tetapi turut menyelinap masuk ke negara-negara lain.
Mereka memberikan amaran untuk menyerang dan
melancarkan serangan bom ke atas negara-negara yang
mencuba untuk mengeksploitasi hasil ekonomi negara
mereka.”

Meremang bulu roma Non selepas mendengar
kisah itu. Dia hampir-hampir tidak percaya apa yang
sedang didengarinya. “Setakat ini, sudahkah mereka
melancarkan serangan bom di negara luar?” tanya Non
dengan terketar-ketar.

“Ada dua serangan bom yang berlaku di Kepulauan
Filipina dan satu di Indonesia. Tetapi sehingga kini,
pihak polis masih belum dapat mengenal pasti siapa
yang bertanggungjawab,” sambung ayahnya lagi. “Tetapi,
pemberontak Mosulu telah memberi amaran akan
menyerang Singapura dan Malaysia, kerana terdapat
banyak ahli perniagaan Singapura dan Malaysia yang
menjalankan perniagaan di situ.”

“Jadi, penarik beca itu mungkin dibunuh oleh
pemberontak Mosulu?” tanya Non.

“Itu salah satu kemungkinan yang diberitahu pihak
polis. Namun begitu, mereka masih menjalankan
siasatan rapi. Untuk menjejaki pemberontak yang telah

49

memasuki negara kita secara haram, bukan suatu hal
yang mudah. Namun, demi keselamatan, pihak polis
meminta kita agar berhati-hati. Sebab itulah, mereka
menghantar seorang pegawai untuk mengawal rumah
kita.”

“Bagaimanakah pula dengan persekolahan Non?”
tanya Non.

“Ayah rasa, untuk sementara waktu, kamu berehat
dahulu di rumah. Lagipun, kamu masih belum pulih
sepenuhnya,” jawab ayahnya.

Non tidak berani membantah, cuma masih
tertanya-tanya. “Tapi, sampai bilakah Non hendak
berehat di rumah?”

“Kita tengoklah dulu perkembangan siasatan pihak
polis selepas ini,” balas ayahnya. “Cuma suatu perkara
yang ayah minta daripada kamu.”

“Apa dia, ayah?” soal Non.

“Jangan bocorkan rahsia ini kepada orang lain.”

“Termasuk Bob dan Din?”

“Termasuk Bob dan Din.”

Non tidak berani membantah. Dia menganggukkan
kepalanya.

50

“Kamu dah tahu keadaan sebenarnya, Non. Jadi,
ayah harap kamu faham keadaan kamu sekarang.
Walaupun segala-galanya cuma suatu kemungkinan,
tetapi kita harus mengambil langkah berjaga-jaga.
Jangan keluar dari rumah sekiranya tidak ada hal
penting yang hendak diuruskan. Tentang persekolahan
kamu, ayah akan menelefon guru kamu nanti.”

Non mengangguk. Selepas itu, mereka sekeluarga
duduk di situ dan berbincang dengan lebih lanjut lagi.
Non terasa letih dan terus meminta diri untuk
masuk ke biliknya. Dengan pantas, dia menutup tingkap
bilik.

Selepas itu, dia terus mandi. Setelah siap
berpakaian, Non bersandar di atas katil dan
memikirkan berita yang baru sahaja diberitahu oleh
ayahnya itu.

Non memang selalu membaca laporan akhbar
tentang serangan bom oleh puak pemberontak dan
pemisah di serata dunia. Namun, dia tidak sekali-kali
menyangka bahawa ancaman yang sama akan berlaku di
sini, di negaranya sendiri, apatah lagi melibatkan dirinya.

Kes itu serius sekali!

Sekiranya tidak, masakan mereka sanggup
membunuh penarik beca yang tidak berdosa itu.
Sekiranya mereka sanggup membunuh penarik beca itu

51

agar rahsia mereka tidak terbongkar, sudah tentu
mereka tidak akan teragak-agak melakukan hal yang
sama ke atas dirinya!

Pada saat itulah, Non benar-benar merasai betapa
nyawanya, nyawa ahli keluarganya dan keselamatan
negaranya terancam. Segala yang difikirkannya itu
bukan bahan gurauan atau mainan perasaan lagi. Segala
yang difikirkannya itu mungkin akan menjadi kenyataan.
Bom mungkin akan meletup dan banyak manusia yang
mungkin akan terkorban. Non merasakan bahawa
dirinya mempunyai tanggungjawab untuk memikirkan
apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penarik
beca itu.

52

Bab Perkembangan
Terbaru
5

Dua minggu sudah berlalu dan selama dua minggu itu

juga, Non terperap di dalam rumahnya. Dia berasa
begitu bosan sekali, lebih-lebih lagi tidak dapat
bersembang dengan kawan baiknya, Din dan Bob
sepanjang tempoh itu.

Dua minggu yang berlalu itu turut menyaksikan
sedikit perubahan dalam kes itu. Seminggu selepas
kejadian itu, Non mendengar berita bahawa pihak
berkuasa Singapura baru sahaja memberkas dua orang
pendatang asing yang dikatakan sedang merancang
perbuatan khianat di republik itu.Tidak dijelaskan pula
asal usul pendatang asing itu.

Di akhbar-akhbar tempatan pula, tidak tersiar
sebarang penangkapan yang berkaitan dengan cubaan
mengebom di mana-mana. Laporan tentang kematian
penarik beca itu juga tidak mendapat liputan yang
meluas.

53

Pada hari Ahad itu, mereka sekeluarga berbincang
tentang hari-hari mendatang mereka.

“Ayah rasa sudah tiba masanya untuk kita
meneruskan kehidupan kita seperti biasa,” kata
ayahnya semasa mereka menikmati kopi dan karipap
yang disediakan oleh Puan Zaiton.

Non mengangguk tanda setuju. “Non pun dah
bosan terperap di rumah sahaja. Non rasa, Non nak
pergi ke sekolah semula.”

Puan Zaiton pula seolah-olah kurang setuju dengan
cadangan itu.

“Tapi..., macam mana dengan kes itu, bang?” soal
Puan Zaiton.

“Negara kita ada undang-undang, Ton.... Lagipun,
pihak polis sentiasa mengawal keselamatan negara
kita. Kita tak boleh terus hidup dalam ketakutan
lagi.

“Kehidupan kita harus diteruskan kerana masa
depan kita bergantung kepada hasil perbuatan kita
pada hari ini. Lagipun, kalau ada apa-apa petanda
tentang bahaya, sudah tentu pihak polis akan
menghubungi kita,” ujar ayah Non.

Puan Zaiton mengangguk akhirnya.

54

“Ha, bercakap tentang itu, apa perkembangan kes
itu, ayah? Ayah ada menerima apa-apa maklumat
daripada pihak polis?” tanya Non.

Ayahnya sekadar mengangguk kecil.

“Mereka masih meneruskan siasatan. Tapi, kamu
harus ingat bahawa kes ini berkaitan dengan
keselamatan. Jadi, sudah tentulah ada banyak maklumat
yang terpaksa dirahsiakan mereka kerana sekiranya
diketahui umum, mungkin akan menimbulkan kesan
yang lebih buruk lagi.”

Non mengangguk. “Tapi..., mungkinkah apa yang kita
sangkakan selama ini sebenarnya tidak berasas sama
sekali?”

“Ya, mungkin juga, tapi..., dalam soal keselamatan,
semuanya harus diambil kira. Kita atau pihak berkuasa
tidak boleh mengambil sebarang risiko,” jawab ayahnya.
“Ha, bercakap tentang itu, kamu dah dapat mengingat
kata-kata penarik beca itu?”

Non menggeleng kecil. Wajahnya bersalut
kekesalan.

“Entahlah, ayah..., mungkin disebabkan kepala Non
terhantuk semasa pengsan pada hari itu, sebaik-baik
sahaja Non mencuba mengingati bisikan penarik beca
itu, kepala Non terasa pening,” jawab Non.

55

“Kalau begitu, kamu lupakan sahajalah. Ada kalanya,
apabila kita terlalu mencuba untuk mengingat sesuatu,
otak kita langsung tidak dapat berfungsi. Mungkin ada
baiknya kamu pergi ke sekolah dan meneruskan
kehidupan seperti biasa. Kalau benar hal itu penting,
ayah percaya, suatu hari nanti, kamu akan teringat
tentang hal itu semula,” sambung ayahnya.

Non mengangguk sambil tersenyum kecil. “Maksud
ayah, Non boleh mula pergi ke sekolah esok?”

Ayahnya mengangguk.

Non tersenyum lebar sekali.

Puan Zaiton pula mencebik kecil. “Masa orang
menggerakkannya untuk pergi ke sekolah dahulu, liat
benar dia hendak bangun, tetapi sekarang, beria-ia pula
hendak pergi ke sekolah. Dunia..., dunia...,” usik Puan
Zaiton.

Non dan ayahnya terus ketawa mendengar kata-
kata Puan Zaiton itu.

“Baiklah, Non..., kamu habiskanlah karipap ini, ayah
hendak membaca surat khabar.” Ayahnya menoleh ke
arah ibunya. “Mana surat khabar,Ton?”

“Hujung minggu sahaja, pasti tak nak melepaskan
surat khabar itu,” balas Puan Zaiton dengan geram.
“Anak dan isteri langsung tidak dihiraukan.”

56

“Oh, maksudnya, Tonlah yang menyembunyikan
surat khabar abang pada hari ini, ya?” tanya ayahnya
sambil tersenyum kecil.

“Memanglah, ingatkan dah petang, tentu abang dah
lupa. Tak habis-habis nak ‘bersama’ surat khabar itu,
macam kekasih lama sahaja.” Puan Zaiton
mencebikkan bibirnya.

“Manalah abang ada kekasih lama. Tonlah kekasih
awal dan akhir abang,” gurau ayahnya semula.

Non dan ayahnya terus ketawa. Ibunya juga
menyerah kalah akhirnya, dan turut ketawa bersama-
sama mereka.

Non berasa gembira sekali pada hari itu. Keluarga
mereka sudah kembali seperti biasa. Non tidak sabar-
sabar lagi hendak pergi ke sekolah pada keesokan
harinya.

“Assalamualaikum!” Secara tiba-tiba, kedengaran
orang memberi salam dari arah pintu rumah.

Non terus menoleh ke arah itu. Senyuman lebar
terukir di bibirnya sebaik-baik sahaja dia terlihat Din
dan Bob sedang berdiri di hadapan pintu rumahnya.
Sudah dua minggu mereka tidak berjumpa. Kedatangan
Din dan Bob itu memang dinanti-nantikan Non.

Non terus berlari ke arah pintu rumahnya itu.

57

“Kamu berdua memang langkah kanan. Mak saya
ada membuat karipap ayam yang paling sedap di dunia
pada hari ini,” kata Non.

“Amboi, pandainya dia bodek kita, bang!” usik Puan
Zaiton dari ruang makan itu.

Non terus ketawa dan menoleh ke arah kawan-
kawannya semula. Namun begitu, tawanya itu tidak
dikongsi oleh Din dan Bob. Barulah Non sedar bahawa
wajah kawan-kawannya itu kelihatan serius sahaja sejak
tadi.

“Kenapa dengan kamu berdua?” tanya Non dengan
hairan sekali.

“Kamu sudah membaca akhbar pada hari ini?” tanya
Din dengan hairan sekali.

Non menggeleng kecil. “Tak..., tak ada sesiapa pun
yang sempat membaca akhbar pada hari ini. Mak saya
telah menyembunyikan akhbar itu,” jawab Non dengan
pantas sekali. “Kenapa?”

Din terus menoleh ke arah Bob.

“Ada berita buruk, Non.”

Wajah Non terus berkerut.

“Berita apa?” tanya Non dengan cemas.

58

“Boleh kami masuk ke dalam dahulu?” soal Din dan
Bob.

Non terus membuka pintu gril dan mempelawa
kawan-kawannya masuk ke dalam rumah. Mereka terus
berkumpul di ruang tamu.

Ibu Non yang telah mendengar kata-kata mereka
itu segera masuk ke dalam bilik dan keluar semula
bersama-sama akhbar yang disembunyikannya sebelum
itu. Tanpa berlengah, dia terus menyerahkan surat
khabar itu kepada Din.

Non mencuri peluang itu untuk membaca tajuk-
tajuk utama pada muka hadapan. Tiada sebarang
laporan tentang serangan bom di mana-mana.

Din membuka halaman ketiga surat khabar itu.
Mulut Non terus terlopong dengan luas sekali.

‘Isteri mati dua minggu selepas kematian
suami’

Rupa-rupanya, isteri penarik beca itu telah
meninggal dunia!

Non terus menarik surat khabar itu daripada
tangan Din dan membaca isi kandungannya.

“Sabar dulu, Non, jangan buat andaian melulu,” ujar
ayahnya lalu berjalan ke hadapan dan sama-sama
membaca petikan itu.

59



Setelah selesai membaca laporan itu, Non
melepaskan nafas lega. “Isteri penarik beca itu mati
kerana sakit tua dan terlalu sedih atas pemergian
suaminya itu.Tak ada kena-mengena dengan kes ini.”

“Tapi, menurut akhbar Mingguan Gosip Sensasi,
isteri penarik beca itu mendapat mimpi sebelum dia
mati.”

“Alah, janganlah percaya sangat akan laporan itu.
Namanya pun gosip sensasi, manalah ada kebenaran
laporan itu semua,” sangkal ayah Non pula.

Non sekadar mengangguk. Bob dan Din tidak
berani menambah apa-apa lagi, lebih-lebih lagi selepas
melihat wajah Non yang semakin pucat.

“Sudahlah, Din, Bob..., janganlah difikirkan hal itu
lagi. Kalau benar ada apa-apa, tentu pihak polis akan
meningkatkan kawalan dan menghubungi kami,”
sambung ayah Non lagi.

“Jadi, benarlah desas-desus yang mengatakan rumah
ini dikawal oleh pihak polis?” cantas Din dengan
segera.

Ayah Non seolah-olah berasa menyesal pula kerana
telah terlepas cakap tadi.

“Tak adalah. Dari mana kamu mendengar berita
itu?” tanya ayah Non dengan segera.

61

Sekali lagi, Din dan Bob membisu, sungguhpun
mereka tahu bahawa keluarga Non seolah-olah mahu
menyembunyikan sesuatu daripada mereka.

“Din, Bob, marilah makan karipap ini dahulu, nanti
sejuk pula dah tak sedap lagi untuk dimakan,” celah Puan
Zaiton pula untuk mengalih perhatian Din dan Bob.

Din dan Bob mengangguk lalu sama-sama berjalan
ke arah ruang makan. Mereka menikmati juadah yang
disediakan itu dan dalam sekelip mata sahaja, karipap
yang terhidang itu habis dimakan mereka.

Selepas makan, Non mengajak kawan-kawannya itu
masuk ke biliknya. Din dan Bob bukan sahaja bersetuju,
malah sebaik-baik sahaja berada di dalam bilik itu, Bob
terus mengunci pintu bilik.

Non berasa begitu terkejut sekali melihat
perbuatan kawan-kawannya itu, namun Din dan Bob
selamba sahaja. Mereka terus berjalan mendekati Non
dan memandang Non dengan tajam sekali.

“Kamu masih menyembunyikan sesuatu daripada
kami, Non!” bisik Din dengan serius.

Non terkejut besar mendengar dakwaan kawannya
itu.

“Kamu jangan cuba nak berdalih lagi, Non.... Kami
nampak perubahan wajah kamu dan wajah mak serta

62

ayah kamu semasa ayah kamu terlepas cakap tadi. Hal
ini serius, bukan?” sampuk Bob pula.

Non menggeleng dan tetap cuba berdalih, tetapi
Din pantas menyambung lagi. “Sia-sia sahaja kami
menganggap kamu sebagai kawan baik. Sia-sia sahaja
kami risau akan keadaan kamu. Sia-sia sahaja kami
menepis segala tohmahan dan gosip tentang kamu dan
keluarga kamu di sekolah.”

“Gosip apa dan tohmahan apa pula yang
dilemparkan oleh murid-murid di sekolah?” tanya Non
dengan segera.

“Mereka mengatakan bahawa kamu dan keluarga
kamu bersubahat dengan penjenayah. Sebab itulah ada
orang yang mengawal di hadapan rumah kamu.

“Mereka kata, ayah kamu ketua penjenayah dan
pihak polis sedang menjalankan siasatan sebelum
menangkap kamu sekeluarga.” jawab Bob.

Non menggeleng-gelengkan kepalanya dengan
perasaan tidak percaya. Benarkah itu berita yang
digembar-gemburkan di luar selama dua minggu dia
tidak meninggalkan rumahnya?

“Semuanya fitnah belaka,” balas Non dengan geram
sekali.

“Kami tahu, sebab itulah kami beria-ia membela

63

kamu. Malangnya, kami tidak mampu memberitahu
mereka hal sebenar kerana kamu tidak pernah
memberitahu kami apa sebenarnya yang berlaku,” ujar
Din pula.

“Kamu memang tidak pernah menganggap kami
sebagai kawan baik kamu,” tambah Bob pula dengan
kesal sekali.

“Bukannya saya tidak mahu memberitahu kamu,
tetapi hal ini rahsia...,” balas Non.

Bob dan Din terdiam di situ dan terus memandang
antara satu dengan yang lain. Selepas itu, Din terus
menoleh ke arah Non semula.

“Jadi, benarlah ada rahsia yang kamu sembunyikan
daripada kami?” tanya Din dengan serius sekali.

“Semuanya ada kena-mengena dengan serangan
bom, bukan?” soal Bob pula.

Terbeliak mata Non mendengar kata-kata Bob itu.

“Saya minta maaf, saya telah berjanji dengan ayah
saya bahawa saya tidak akan memberitahu sesiapa pun
tentang hal ini,” jawab Non.

“Termasuk kami berdua? Kawan baik kamu?” tanya
Din dengan penuh rasa kesal.

64

Non mengangguk dengan perasaan serba salah.
Din terus menoleh ke arah Bob. “Kalau begitu, kita
balik sahajalah, Bob. Kalau orang dah tak sudi hendak
berkawan dengan kita, buat apalah kita nak risau akan
keadaannya.”
Bob turut menoleh ke arah Non. “Betul cakap Din
tu, Non. Mulai hari ini, saya tak mahu ambil tahu lagi
tentang hal kamu.”
Bob terus berjalan ke arah pintu bilik dan Din
pantas mengekorinya.
Non berasa semakin serba salah.

65

Bab Tohmahan di
Sekolah
6

“Nanti dulu, Bob, Din!” panggil Non akhirnya. Dia

terus berlari dan berdiri di hadapan pintu biliknya
untuk menghalang pemergian mereka.

Bob dan Din terus berhenti di situ dan memandang
tajam ke arah Non.

Non menyerah kalah akhirnya. “Baiklah, saya akan
memberitahu kamu berdua hal sebenar. Tapi, kamu
berdua harus berjanji tidak akan memberitahu sesiapa
tentang hal ini.”

Bob dan Din terus tersenyum lebar. “Kami janji!”
jawab mereka dengan pantas sekali.

Non berasa begitu geram sekali melihat senyuman
lebar mereka. “Oh, rupa-rupanya, kamu berdua dah
berpakat, ya!”

“Kami tak berpakat, Non. Kami cuma ingin
berkongsi dengan kamu walau apa sekalipun. Bukankah

66

kita berkawan baik?” celah Bob sambil tersenyum sinis.

Non berasa geram sekali, tetapi dia sudah pun
memutuskan untuk memberitahu kawan-kawannya
tentang hal itu. Mahu tidak mahu, dia terus
menceritakan keadaan sebenar kepada kawan-
kawannya itu.

Seperti Non pada awalnya, Bob dan Din seakan-
akan tidak percaya apabila mendengar penjelasan Non
itu. Mereka bertanya bermacam-macam soalan, dan
selepas itu, membuat suatu kesimpulan baru pula.

“Mungkinkah punca sebenar kematian isteri
penarik beca itu sengaja disembunyikan daripada
pengetahuan awam? Mungkin itu taktik supaya
pemberontak yang masih bersembunyi di negara kita
berasa selesa kerana menyangka perbuatan mereka itu
belum diketahui. Dengan cara itu, mereka akan mula
cuai dan tidak berhati-hati. Maka senanglah pihak
berkuasa menangkap mereka,” celah Bob.

“Sudahlah, Bob..., saya baru sahaja hendak
memulakan hidup seperti biasa. Kamu jangan pula nak
menakut-nakutkan saya dengan andaian kamu yang tak
berasas itu.

“Sebab itulah saya tidak mahu memberitahu kamu
apa-apa dahulu. Kamu berdua memang suka
memikirkan perkara yang bukan-bukan,” balas Non
dengan geram.

67

Mendengar keluhan Non itu, Din dan Bob tidak
menyambung lagi. Mereka sekadar mengangguk-
anggukkan kepala.

“Janganlah bimbang, Non, rahsia kamu selamat
dengan kami. Kami berjanji akan membela kamu walau
apa sahaja yang berlaku di sekolah esok.”

“Apa yang kamu rasa akan berlaku di sekolah
esok?” tanya Non dengan cemas sekali.

Din dan Bob terus berpandangan sesama sendiri.

“Tak ada apa-apa, Non..., kamu janganlah risau.
Cuma..., biasalah..., tentu ada orang yang akan
mengejek kamu seperti kita selalu diejek kerana badan
kita yang gemuk ini...,” balas Din.

Non tidak bertanya lagi, walaupun dia tahu bahawa
Din dan Bob mencuba menyembunyikan sesuatu
daripadanya.

*****

Non bangun awal pada keesokan harinya. Memang
dia tidak sabar-sabar lagi hendak pergi ke sekolah. Din
dan Bob juga sudah berjanji akan menemaninya dan
sama-sama berjalan kaki ke sekolah. Jadi, sebelum pukul
7:00 pagi lagi, Non sudah siap dan menunggu kawan-
kawannya di luar rumah.

68

Din dan Bob sampai lebih kurang 15 minit
kemudian. Non berasa begitu gembira sekali dan terus
berlari mendapatkan kawan-kawannya sambil memekik
ke dalam rumah untuk memberitahu ibunya bahawa dia
hendak pergi ke sekolah.

Selepas itu, mereka pun terus berjalan kaki ke
sekolah dengan gembira sekali. Mereka sampai di
hadapan pintu pagar sekolah kira-kira 20 minit
kemudian.

Non tidak sabar-sabar lagi hendak masuk ke dalam
kelasnya. Namun, sebaik-baik sahaja murid-murid
sekolah sedar akan kehadiran Non, suasana mula
menjadi riuh. Banyak murid yang berbisik-bisik sambil
memandang ke arah Non.

Non tidak dapat mendengar biji butir perbualan
mereka, tetapi perkataan ‘penjenayah’ berulang kali
menusuk lubang telinganya.

Non memekakkan telinga sahaja kerana dia
sememangnya sudah bersedia dengan tohmahan itu.
Din dan Bob sudah memberitahunya tentang hal itu.
Cuma apa yang tidak dijangkakan Non ialah betapa
dirinya kini sudah menjadi begitu popular sekali di
sekolah.

Malah, bukan setakat murid di kelasnya sahaja,
malahan murid-murid di kelas lain yang tidak langsung

69

dikenalinya beria-ia hendak mengetahui hal sebenar.
Apabila Non tidak melayan soalan dan pertanyaan
mereka, di situlah kesabaran Non teruji.

Banyak sekali tuduhan liar yang dilemparkan oleh
murid-murid yang tidak berpuas hati kerana tidak
dilayan Non. Non terkejut sekali apabila ada beberapa
orang murid yang menyebut perkataan ‘bom’.

Belum pun Non sempat hendak bertanya, Din dan
Bob sudah pun bersumpah bahawa bukan mereka yang
membocorkan rahsia itu. Malah mereka sendiri
terkejut bagaimana cerita itu sudah tersebar dengan
begitu pantas sekali.

Non mampu bersabar sekiranya tohmahan itu
hanya melibatkan dirinya sendiri, tetapi apabila dia
mendengar tuduhan-tuduhan yang tidak berasas
tentang ibu bapanya, dia sememangnya sukar untuk
bertahan lagi. Akhirnya, kesabarannya hilang apabila
tibanya waktu rehat pada tengah hari itu.

Semasa sedang makan bersama-sama Bob dan Din
di kantin sekolah, mereka telah didatangi sekumpulan
murid nakal dari tingkatan lima.

“Janganlah kamu hendak menunjuk lagak kerana
menjadi perhatian di sekolah ini,” kata salah seorang
daripada murid nakal itu.

Non berpura-pura tidak mendengar kata-katanya

70

itu dan terus makan nasi lemaknya.

“Hoi, anak perompak!” pekik murid nakal itu lagi.
“Kamu tak dengarkah aku sedang bercakap dengan
kamu ni?”

Non berhenti makan dan terus menggenggam sudu
dan garpu dengan kuat sekali sehingga tangannya
terketar-ketar menahan marah.

Murid-murid nakal itu tidak takut, sebaliknya berasa
seronok sekali melihat reaksi Non itu. Malah, murid
paling samseng yang melemparkan tuduhan itu tadi
sedang ketawa terbahak-bahak.

“Sudahlah..., janganlah ganggu kami,” celah Din di
situ.

“Hoi, budak gedempol, kamu diam, ya!” balas murid
nakal itu sambil menuding jari ke arah Din. “Tak ada
sesiapa pun yang bercakap dengan kamu! Kalau kamu
rasa tak puas hati, kamu boleh pergi dari sini dan jangan
cuba nak masuk campur!“

Din berasa marah sekali tetapi tidak berani
membalas kata-katanya itu. Murid itu bukan sahaja
murid senior malah badannya lebih tegap dan besar
berbanding mereka yang baru belajar dalam tingkatan
satu. Din terus menoleh ke arah Bob dan Non lalu
membuat isyarat mata.

71

Bob dan Non faham maksud isyarat itu lalu terus
melipat bungkusan nasi lemak mereka. Mereka mahu
beredar dari situ dengan segera. Namun, perbuatan
mereka itu menambahkan kemarahan murid nakal
itu.

“Hoi!” pekiknya ke arah Non dengan geram sekali.
“Kenapa kamu hendak melarikan diri? Kalau apa yang
saya katakan itu tidak benar, beritahulah saya dan
semua orang di sini apa yang berlaku!”

Non tidak menjawab dan terus bergegas
meninggalkan tempat itu.

Murid nakal itu menjerit lagi. “Jangan-jangan bukan
ayahnya sahaja yang merompak bank, emaknya pun
terlibat sekali. Jangan-jangan, emaknya yang telah
mencipta bom tangan untuk merompak bank!”

Darah Non terus membuak-buak mendengar kata-
katanya itu. Kesabarannya hilang selepas itu.

Tanpa bercakap sepatah pun, dia terus berpaling ke
belakang dan berjalan mendekati murid nakal itu. Rasa
benci dan marahnya bertambah lagi sebaik-baik sahaja
melihat senyuman keji yang terukir pada bibir murid
itu.

Secara spontan, Non berlari mendekati murid itu
sambil mengayunkan penumbuknya. Dia teringin sekali

72

hendak menumbuk muka murid itu. Dia benci akan
senyuman keji yang dilemparkannya.

Namun, keinginannya itu tidak kesampaian. Murid
nakal itu sudah bersiap sedia. Sebelum buku lima Non
sempat sampai ke muka murid itu, dia sudah pun
mencekup buku lima Non dengan tapak tangannya
yang hampir dua kali lebih besar.

Non berasa marah sekali lalu mencuba mengasak
ke hadapan.

Murid nakal itu hanya ketawa sambil menggunakan
sebelah tangannya yang panjang itu untuk menghalang
kemaraan Non dengan memegang kepalanya.

Non terkial-kial meronta menyebabkan murid-
murid yang berada di situ ketawa kelucuan melihat
tingkah lakunya itu. Malah, Bob dan Din juga tidak
mampu menahan rasa lucu melihat telatah spontan
Non itu.

Non berasa begitu geram sekali. Dia juga kesal
apabila menoleh dan ternampak Bob dan Din sedang
ketawa di situ.

Secara tiba-tiba pula, murid nakal itu menolak
kepala Non dengan kuat. Non terus terundur dan jatuh
terduduk di atas lantai. Lebih banyak murid yang
ketawa selepas itu.

73



Bob dan Din mula berasa bersalah dan mendekati
Non dengan segera.

“Kamu tak apa-apa, Non?” tanya Din dengan cemas
sekali.

Non sudah pun mengalirkan air mata pada ketika.
Dia bukan sahaja berasa marah, tetapi turut berasa
malu.

Dia tidak sepatutnya datang ke sekolah pada hari
itu. Dia juga marah akan Din dan Bob.

Tanpa bercakap sepatah pun, Non menolak Din dan
Bob ke tepi.

Dia bangun semula dan memandang ke arah murid
nakal itu.

Murid nakal itu tidak langsung berasa bersalah
dengan apa yang telah dilakukannya, sebaliknya dia
ketawa dengan lebih kuat lagi.

“Sudahlah..... Hendak berlawan dengan aku pun tak
menang, janganlah bermimpi hendak merompak bank!
Kalau kamu marah, kamu baliklah ke rumah dahulu dan
bawa bom tangan sekali, baru dapat berlawan dengan
aku!”

Murid itu terus ketawa terbahak-bahak.

75

“Kamu berdua jangan kurang ajar, ya!” balas Bob
dengan marah sekali.

“Alah, kamu hendak marah konon...! Kamulah yang
ketawa paling kuat tadi!” balas murid lelaki itu.

Bob berasa malu sekali dek kata-katanya itu lalu
menoleh ke arah Non.

Wajah Non sudah benar-benar merah. Bob pantas
mendekati dan memujuknya, tetapi Non lebih pantas
menepis dan menolaknya ke belakang. Tanpa bercakap
sepatah pun, Non terus berlari meninggalkan tempat
itu dalam tangisan. Dia mampu mendengar pekikan Din
dan Bob, tetapi Non berlari dengan lebih laju lagi
meninggalkan tempat itu.

Dia tidak sepatutnya datang ke sekolah! Dia tidak
sepatutnya datang ke sekolah! Ayat itu berulang kali
berlegar di kepalanya.

Sampai di hadapan pintu pagar sekolahnya itu, Non
terus berlari keluar dari situ tanpa menghiraukan sama
ada terdapat pengawal yang sedang berjaga di situ atau
tidak.

Dia melintasi jalan raya di hadapan sekolah itu dan
terus masuk ke dalam sebuah pintu kecil di hadapan
sederetan rumah kedai.

Di tempat yang gelap itu, dia terus menangis

76

sepuas-puas hatinya. Dia melepaskan segala perasaan
yang menghimpit dirinya dan turut memarahi dirinya
sendiri.

Sekiranya dia tidak bersikap penyibuk dan
mendekati penarik beca itu ketika kemalangan itu
berlaku, tentu semua itu tidak akan menimpanya.

Sekiranya dia tidak mengingati kata-kata penarik
beca itu, tentu masalah itu tidak akan menimpa dirinya.
Tetapi sekiranya dia mampu mengingati mesej penarik
beca itu sepenuhnya, mungkin masalah itu tidak akan
berlarutan. Sudah tentu dia mampu menjelaskan
keadaan sebenar dan tidak perlu dibebani rahsia yang
ditanggungnya sehingga kini.

Begitulah Non memarahi dirinya dan Non mungkin
akan terus memarahi dirinya sekiranya dia tidak
mendengar bunyi tapak kaki dari arah atas.

Secara spontan, Non berhenti menangis dan terus
menyeka air matanya. Dia memandang ke atas untuk
melihat siapa yang berada di situ, tetapi tiada sesiapa
pun yang kelihatan di situ.

Bulu romanya meremang. Secara tiba-tiba, naluri
Non memberitahunya bahawa ada sesuatu perkara
buruk yang akan berlaku.

Dia terus berundur untuk meninggalkan lorong
anak tangga itu dengan segera. Tetapi, dia berhenti

77

sejurus, apabila matanya ternampak papan tanda yang
melekat pada dinding lorong anak tangga itu.

Papan tanda itu berbunyi ‘Harum Manis Sdn Bhd,
Pengimport dan Pengeksport Rempah-ratus’.

Mulut Non terlopong dengan begitu luas sekali.
Rasa-rasanya, itulah mesej yang cuba diingatinya
selama ini!
“Harum Manis..., bom akan meletup di Harum
Manis!”
Ya, itulah pesanan terakhir penarik beca itu
sebelum dia terbatuk sehingga memuntahkan darah.

78

Bab Terbongkarnya
Rahsia!
7

Untuk seketika, Non berdiri kaku di situ. Matanya

memandang tepat ke arah papan tanda itu. Jantungnya
berdegup dengan begitu kuat sekali sehinggakan Non
seolah-olah mampu mendengar degupan jantungnya
sendiri. Matanya masih memandang tepat ke arah
papan tanda itu.

Selepas itu, suara hatinya mula berbisik. “Segala-
galanya sudah terjawab, Non. Segala-galanya akan
selesai. Naik ke tingkat atas dan masuk ke dalam
syarikat itu. Beritahu pekerja di syarikat itu tentang apa
yang kamu tahu dan kemudian buat panggilan kepada
pihak polis.”

Non mengangguk-anggukkan kepalanya selepas itu.
Ya, dia tidak mahu berfikir panjang lagi. Itulah yang
harus dilakukannya. Non pun terus mendaki anak
tangga itu dan bergegas ke tingkat satu. Dia mencari
nama pejabat itu dan sebaik-baik sahaja matanya
ternampak pintu cermin di hadapan yang memaparkan

79

nama syarikat itu, Non terus bergegas ke arah itu.

Malangnya, belum pun dia sempat melakukan apa-
apa, perjalanannya terhalang. Secara tiba-tiba, satu
tapak tangan mencekup mulutnya dari belakang. Non
tidak sempat hendak berbuat apa-apa, seluruh
badannya tertolak ke belakang.

Matanya terbeliak melihat dua orang lelaki berkulit
sawo matang yang sedang memandang ke arahnya
dengan geram sekali. Non mencuba menggigit tapak
tangan lelaki yang masih mencekup mulutnya tetapi
malangnya, mulutnya tidak mampu dibuka. Namun
begitu, lelaki itu melepaskan tangannya daripada mulut
Non dan kemudian terus menampar pipi Non. Kepala
Non berdengung dengan serta-merta sebelum
akhirnya dia tidak sedar lagi apa yang berlaku selepas
itu.

Non tersedar apabila terdengar bunyi bising yang
menusuk telinganya. Dia terkejut dan dengan spontan,
mula meronta-ronta. Dia mendapati mulutnya sudah
pun ditampal dengan pita hitam. Kaki dan tangannya
sudah diikat, dan kini dia sedang tersandar pada dinding
di atas lantai marmar yang berkilat itu. Apabila Non
baru hendak mula mengingat apa yang berlaku ke atas
dirinya, dia dikejutkan pula dengan isi perbualan
penculiknya.

“Kita bunuh saja budak itu!“

80



Non terus menelan air liurnya apabila terdengar
kata-kata itu. Suara lelaki itu begitu marah sekali
bunyinya. Loghatnya pula aneh benar.

“Aku tak setuju!” Kedengaran suara lelaki kedua.
“Kita datang ke sini dengan misi yang jelas. Misi kita
tidak termasuk membunuh budak yang tidak berdosa.”

“Budak yang tidak berdosa kata kau?” balas lelaki
pertama itu pula. “Kalau awal-awal lagi budak itu sudah
mati, misi kita pasti sudah tercapai sekarang. Kini, misi
kita sudah tergendala buat kali kedua. Kalau kita
biarkan budak ini terus hidup, aku rasa sampai bila-bila
pun misi kita tidak akan tercapai!”

“Nanti dulu!” Kedengaran pula suara ketiga. “Aku
rasa lebih baik kita biarkan budak itu hidup dahulu.
Tiada gunanya kita bunuh budak itu sekarang. Kalau
kita lepaskan dia, tentu misi kita akan terbongkar. Tapi
kalau kita biarkan dia hidup, dia dapat dijadikan tebusan
sekiranya perlu nanti.

“Kamu harus ingat, setelah misi kita selesai, bukan
mudah untuk kita melarikan diri dari sini. Kalau kita ada
tebusan, keselamatan kita terjamin. Selepas kita berjaya
melarikan diri, kamu buatlah apa yang kamu suka, sama
ada hendak membunuhnya atau membiarkannya
hidup,” tambah suara ketiga itu lagi.

Suasana sunyi seketika selepas itu.

82

Seluruh badan Non terasa lemah sekali. Dia tidak
mahu terus terkurung di situ, apatah lagi mati di tangan
puak pemberontak itu. Non menarik dan melepaskan
nafasnya berulang kali sambil memandang ke arah
dinding. Pada ketika itulah dia terpandang ke arah
kertas, poster, dan pelan yang terlekat pada dinding
bilik itu. Sungguhpun berada dalam keadaan lemah dan
takut, Non tidak melepaskan pandangannya daripada
kertas-kertas itu kerana pada kertas itulah tercatat
semua rancangan mereka.

Dengan perlahan-lahan, Non mencuba mendekati
dinding itu dan membaca apa yang terkandung pada
kertas-kertas yang ditampal itu. Dia berasa terkejut
sekali apabila mengetahui rancangan mereka yang
sebenarnya. Bukan setakat Syarikat Harum Manis yang
akan menjadi sasaran mereka, tetapi dua buah syarikat
lain lagi.

“Hebat bukan?” Secara tiba-tiba kedengaran suara
itu.

Non terkejut sehingga terangkat bahunya. Dia
menoleh ke arah suara itu dengan perasaan hairan.

Seorang lelaki yang berbadan sasa dan hanya
memakai jean biru dan singlet putih sedang berdiri di
hadapannya. Non memang kenal lelaki itu, kerana lelaki
itulah yang mencekup mulut dan menamparnya tadi.

83

Non menjeling tajam ke arahnya.

“Kamu pun hebat sebenarnya...,” sambung lelaki itu
sambil ketawa. “Saya pun tidak pernah menyangka
bahawa seorang budak kecil yang gemuk-gedempol
mampu memusnahkan misi pertama kami.”

Lelaki itu berhenti ketawa lalu berjalan mendekati
Non. Wajahnya berubah menjadi serius seraya dia
mengeluarkan sepucuk pistol dari sisipan pinggangnya.
Dia terus mengacukan pistol itu ke arah Non. Dengan
tiba-tiba, dia memekik, “Phaam!”

Non terkejut dan berasa marah sekali dengan
perbuatan lelaki itu. Dia memaksa dirinya agar tidak
menangis di hadapan lelaki itu, tetapi air mata
ketakutannya tetap berlinang.

Lelaki itu ketawa terkekek-kekek tetapi berhenti
ketawa sejurus kemudian. Wajahnya bertukar menjadi
serius semula. “Tapi, kamu tak cukup hebat jika
dibandingkan dengan kami. Sebentar sahaja lagi, misi
pertama kami akan dilaksanakan dan tiada sesiapa pun
yang dapat menghalang kami, baik penarik beca yang
malang itu mahupun kamu!”

Non berasa begitu marah sekali dan dia tetap
mencuba memekik walaupun tidak mampu
mengeluarkan suara.

84

Lelaki itu seolah-olah bertambah gembira melihat
perbuatan Non itu. Dia terus mengacukan pistolnya ke
arah Non dan mencebikkan bibirnya. “Jelinglah,
jelinglah puas-puas kerana setelah segala-galanya
selesai, saya akan pastikan bahawa kamu tidak akan
mampu menjeling lagi.”

Non masih menjeling tajam ke arah lelaki itu. Air
matanya terus menitis dan dia membiarkannya sahaja.

Lelaki kedua masuk ke dalam bilik itu tidak lama
kemudian dan terkejut sekali melihat perbuatan
rakannya itu. Dia terus menepis tangan lelaki itu ke tepi
sambil memarahi rakannya itu. “Apa yang cuba kamu
buat ni, ha!” sergah lelaki kedua itu dengan marah.

“Kenapa kamu marah? Budak ini siapa kepada
kamu? Anak kamukah?” balasnya dengan geram.

Lelaki ketiga pula masuk selepas itu. “Sudahlah tu!
Agaknya kamu berdua mahu penghuni di sini tahu apa
yang berlaku baru puas hati kamu!” katanya dalam
bisikan, seolah-olah bertindak sebagai ketua.

Lelaki pertama itu berasa geram sekali lalu
mengetap giginya dan menjeling tajam ke arah lelaki
kedua itu.

“Ha, tunggu apa lagi, bersedialah untuk
melaksanakan misi pertama kita!” ujar lelaki ketiga itu
lagi.

85

“Aku sudah lama bersedia!” balas lelaki pertama
lalu keluar dari bilik itu.

Lelaki ketiga itu pula terus memandang ke arah
lelaki kedua sebelum beredar dari bilik itu sambil
mendengus keras. Lelaki kedua yang tinggal itu terus
mendekati Non. “Kamu tak apa-apa?” tanya lelaki itu
dengan cemas.

Non berasa takut sekali lalu mencuba
mengengsotkan punggungnya ke belakang.

“Jangan piko..., jangan piko...,” kata lelaki itu sambil
mendekatinya lagi.

Non tidak faham maksud perkataan ‘piko’ itu. Dia
terkaku di situ sambil memandang ke arah lelaki tu.
Sekali imbas, lelaki itu tidak kelihatan seperti orang
jahat. Tetapi Non masih berasa takut. Dia terus
menundukkan kepalanya.

“Kamu dahaga?”

Non mengangguk, tetapi masih menundukkan
kepala.

“Akan saya tanggalkan pita hitam pada mulut kamu
itu tetapi kamu harus berjanji tidak akan membuat
bising. Sekiranya kamu membuat bising, kamu mungkin
akan dibunuh rakan saya,” sambung lelaki itu.

86

Meremang bulu roma Non mendengar amarannya
itu. Dia terdiam seketika seolah-olah sedang berfikir
sebelum menganggukkan kepala.

Lelaki itu terus ke hadapan dan menarik pita yang
terlekat pada bibirnya. Non terasa sakit sekali, tetapi
dia tetap mengotakan janjinya. Dia tidak menjerit cuma
bernafas dengan lega sekali selepas pintu itu dibuka.

Lelaki itu pula terus menarik sesuatu daripada
poket seluarnya. Non berasa takut seketika kerana
menyangka lelaki itu akan mengeluarkan pistol. Tetapi,
lelaki itu hanya mengeluarkan sebotol air mineral kecil
lalu membuka tudungnya. Selepas itu, dia terus
menghalakan muncung botol berisi air itu ke bibir
Non.

Non meneguk air itu dengan rakus sekali. Hilang
rasa dahaganya. “Benarkah abang hendak melancarkan
serangan bom?”

“Boleh panggil saya Antoy?”

“Antoy?” tanya Non dengan hairan sekali.

“Ya..., bagus.”

“Apa maksud perkataan itu? Antoy itu nama
abangkah?” tanya Non.

Lelaki itu mengangguk kecil sambil tersenyum.

87

“Apa pula maksud piko?” tanya Non semula.

“Err..., takut, piko itu maksudnya ‘takut’ dalam
bahasa kami.”

“Benarkah Abang Antoy hendak melancarkan
serangan bom?” ulang Non lagi.

“Bukan Abang Antoy, panggil Antoy sahaja,”
sambung lelaki itu sambil tersenyum kecil, seolah-olah
mencuba mengalih perhatian Non.

Namun, Non tidak berputus asa. Dia mengulangi
soalan yang sama buat kali ketiga. “Benarkah Antoy
hendak melancarkan serangan bom?”

“Tentu kamu sudah ada jawapannya,” balas lelaki
itu. Senyumannya hilang di situ.

“Kenapa Antoy hendak berbuat begitu?” tanya
Non.

Lelaki itu tidak menjawab. Dia memandang jauh ke
hadapan. “Untuk mengajar manusia yang tidak berhati
perut!” jawabnya dengan perlahan, tetapi penuh
dendam.

Non tidak berani bertanya lanjut. Dia berasa takut
melihat wajah lelaki itu yang berubah dengan begitu
mendadak sekali.

88

Lelaki ketiga masuk ke dalam bilik itu secara tiba-
tiba. Dia berasa sungguh terkejut apabila melihat mulut
Non yang sudah tidak bertampal dengan pita pelekat
lagi lalu menoleh ke arah Antoy dengan segera.

“Kamu sedarkah apa yang telah kamu lakukan?”
kata lelaki itu dengan marah. “Plaster mulutnya semula
dan mari ikut kami cepat! Kita harus bertindak
sekarang!”

“Lepaskan saya! Lepaskan saya!” pekik Non dengan
segera.

Lelaki ketiga itu terus ke hadapan lalu menampar
muka Non. Ini menyebabkan kepala Non terhantuk
pada dinding. Non terus pengsan. Dia tidak sedar apa
yang berlaku selepas itu.

89

Bab Malapetaka

8

Non tersedar apabila telinganya terdengar bunyi

yang begitu kuat dan bising sekali. Dia mencelikkan
matanya dan terkejut apabila melihat sebuah peti
televisyen 14 inci sedang berada di hadapannya. Secara
spontan, Non berundur ke belakang dan mencuba
memekik, tetapi mendapati mulutnya sudah ditampal
dengan pita pelekat semula.

“Ha! Ha! Ha!” Kedengaran bunyi tawa selepas itu.

Non terus menoleh ke arah itu.

Lelaki yang memarahinya tadi sedang berdiri di
hadapan sambil memegang alat kawalan jauh.

Non tidak tahu apa niat lelaki itu tetapi matanya
tertumpu ke arah peti televisyen kecil itu apabila
melihat jam yang sudah menunjukkan waktu hampir
pukul 8:00 malam. Sewaktu Non bercakap dengan
Antoy tadi, hari masih siang. Secara spontan, Non terus

90

teringat tentang ‘misi’ ketiga-tiga orang lelaki itu.
Adakah mereka sudah melancarkan serangan?

Lelaki itu ketawa dengan lebih kuat lagi. Dia seolah-
olah mampu membaca fikiran Non. Dia terus berjalan
mendekati Non. “Kamu tentu nak tahu sejauh mana
kejayaan kami tadi, bukan?” Dia ketawa lagi. “Sabar...,
sabar....” Matanya terus menoleh ke arah peti
televisyen semula.

Antoy dan lelaki yang kelihatan seperti ketua itu
bergegas masuk ke dalam bilik sejurus kemudian dan
terus menumpukan perhatian ke arah peti televisyen.
Non turut memandang ke arah yang sama.

Berita jam lapan sudah bermula.

“Letupan bom di rumah kedai Taman Manggar,
Kuala Lumpur. Polis sedang memburu puak
pemberontak Mosulu.” Kedengaran pembaca berita
membacakan tajuk berita.

“Zainol Borhan, murid tingkatan satu Sekolah
Menengah Sri Manggar, dipercayai diculik puak
pemberontak Mosulu. Laporan selanjutnya selepas ini,”
sambung pembaca berita kedua pula.

Lelaki samseng itu ketawa dengan bangga sekali
mendengar tajuk-tajuk berita itu.

91

Non terus menggeleng-gelengkan kepalanya
selepas mendengar berita utama.

Syarikat Harum Manis Sdn Bhd memang sudah
berjaya diletupkan. Mujurlah tiada sesiapa pun yang
berada di dalam pejabat pada ketika itu, tetapi tiga
orang pekerja yang bekerja di restoran di tingkat
bawah mengalami kecederaan teruk dan dua orang
daripada mereka telah meninggal dunia. Polis percaya
kejadian itu ada kena-mengena dengan puak
pemberontak dari Pulau Mosulu yang telah menyelinap
masuk ke dalam negara ini secara haram.

Selepas itu, pembaca berita itu menyampaikan
serba sedikit tentang latar belakang Pulau Mosulu.
Wajah beberapa orang pemberontak Mosulu turut
ditayangkan, dan dari situlah, Non mengenali ketika-tiga
orang lelaki yang telah menculiknya itu.

Lelaki kejam yang ketawa dengan begitu gembira
sekali apabila melihat wajahnya terpampang di skrin
televisyen itu bernama Carnelos. Lelaki yang
mendakwa dirinya bernama Antoy itu pula bernama
Zamrilas. Sementara lelaki yang bertindak sebagai
ketua itu hanya dikenali sebagai Vovo. Vovo juga
dipercayai merupakan antara pegawai kanan tertinggi
puak pemberontak Mosulu yang menggelarkan diri
mereka sebagai Angkatan Pembebasan Mosulu Bersatu
(APMB).

92

Motif serangan mereka itu dikatakan berkait rapat
dengan pengagihan kuasa ekonomi yang tidak adil di
kalangan pemerintah baru di negara yang baru sahaja
merdeka itu.

Polis juga merayu kepada orang ramai agar berhati-
hati dan segera melaporkan sebarang keanehan yang
berlaku di sekitar mereka.

Selepas berita tentang sejarah Mosulu dan letupan
itu disampaikan dengan panjang lebar, berita seterusnya
pula menunjukkan ibu Zainol yang merayu dalam
tangisan di hadapan skrin kamera.

Dia merayu agar puak pemberontak itu melepaskan
anaknya yang tidak ada kaitan langsung dengan
pertelingkahan ekonomi negara puak pemberontak
itu.

Carnelos ketawa terbahak-bahak selepas
mendengar rayuan itu lalu menoleh ke arah Non.
“Sayang juga mak kamu akan kamu, ya...! Bagaimana
agaknya kalau kamu ditemui mati pula!”

“Carnelos!” pekik Antoy dengan marah sekali.

Carnelos tidak mengendahkan kemarahan Antoy
itu lalu terus memandang ke arah skrin televisyen.

Antoy menoleh ke arah Non.

93



Antoy terus berjalan ke arah televisyen dan
menekan punat power pada televisyen tersebut.

“Hei, apa yang kaubuat tu, ha?” pekik Carnelos
dengan marah.

“Dah malam..., pergilah berehat. Esok, kita harus
meneruskan misi kita,” balas Antoy dengan geram.

Carnelos hampir-hampir mahu menyerang Antoy
tetapi Vovo pantas menghalang.

“Sudah! Kenapa kaubawa peti televisyen masuk ke
dalam bilik ini? Bawa peti televisyen itu keluar dan
tontonlah puas-puas!” marah Vovo lalu berjalan keluar
dari bilik itu.

Dengan perasaan yang begitu geram, Carnelos
terus menarik meja beroda yang menempatkan peti
televisyen itu lalu membawanya ke luar.

Antoy terus berjalan mendekati Non.

Non menundukkan kepala. Dia menangis dan
enggan memandang wajah Antoy.

“Kamu lapar?” tanya Antoy.

Non memang lapar dan dahaga tetapi dia
menggeleng-gelengkan kepalanya dengan marah sekali.
“Pemberontak kejam! Janganlah nak berpura-pura
baik!” pekik hatinya dengan penuh kesal.

95


Click to View FlipBook Version