yang mudah untuk dirinya. Kapten pasukan, Safee, menawarkan dirinya untuk
membantu Aiman berubah. Namun, Aiman menolak dengan kasar tawarannya.
Seperti yang disangkakan oleh Encik Mokhtar, sikap Aiman yang bongkak dan tidak
beradab akan menjejaskan prestasi pemain lain. Oleh itu, tanpa berfikir panjang,
Encik Mokhtar membuat keputusan untuk membuang Aiman daripada pasukan bola
sepak negeri Perak. Mendengar berita itu, sudah pasti pelbagai jenis perasaan
timbul di dalam hatinya kerana dia sangat menyukai bola sepak dan mengimpikan
untuk menjadi pemain bola sepak negara.
Setelah kejadian itu, Aiman berusaha untuk memperbaiki dirinya dari segi
kesantunan berbahasa serta sikapnya. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk
mencapai matlamat itu agar dia boleh mencapai cita-citanya suatu hari nanti.
Beberapa tahun kemudian, dia telah berjaya untuk melayakkan dirinya di dalam
pasukan bola sepak negara bawah 21 tahun. Sudah pasti kesemua ahli keluarga,
rakan-rakan dan penduduk kampungnya sangat bangga akan pencapaian tersebut.
Penduduk kampungnya tidak mempercayai bahawa Aiman yang dahulunya sangat
nakal dan bermasalah kini sudah menjadi seorang yang berjaya dan boleh
dibanggakan oleh mereka.
38
Subuh di Kampung Acheh
oleh Muhammad Syakir Asyraaf bin Mohd Sukri
E-mel: ipgkipoh450-6-
[email protected]
Fajar menyingsing, mewarnai bumi dan setiap makhluk yang melata di atasnya.
Sewah mula berbunyi, memimpin orkestra pagi diiringi alunan merdu oleh Tekukur,
Murai dan pelbagai jenis unggas lain yang mendiami Kampung Acheh di mukim
Yan, Kedah.
Di sebuah rumah di hujung kampung, terdapat seorang figura yang menikmati
halwa telinga dendangan biduan-biduan berketurunan fauna itu. Senah hanyalah
seorang suri rumah biasa. Seorang isteri dan ibu kepada tiga orang anak. Dua
cahaya matanya telah berpindah ke bandar secara tetap. Seorang di Sungai Petani
dan seorang lagi di kota Alor Setar. Tinggal yang bongsu sahaja untuk mengisi
lompong-lompong kehidupannya dari hari ke hari.
Kuih lepat liat disusun tertib di atas piring. Diletakkan pula sebuah teko berisi air
kopi sebagai pasangan. Sirih, kapur, dan pinang yang menjadi pelengkap
hidangan turut tersedia, hanya menanti mulut-mulut yang lapar untuk menjamah
mereka. Namun ‘pinang’ kesayangan Senah masih membuta di dalam biliknya.
Suaminya, Salleh masih belum pulang dari surau. Barangkali dia singgah di kedai
Mak Leha Janda di kampung sebelah, siapa yang tahu? Belakangan ini, nasi lemak
milik janda tersebut sering menjadi perbualan hangat penduduk kampung
terutamanya golongan laki-laki. Akan tetapi, tidak pernah pula dia merasa sendiri
air tangan Mak Leha Janda. Entah di mana sedapnya dia pun tidak tahu.
“Ah, janji dia tak kacau laki aku sudah,” getus Senah dalam hati. Dengan satu
hembusan nafas panjang, dia pun bangkit lalu menuju ke belakang rumah untuk
menjemur pakaian.
Siang sudah memuncak, tetapi Farhan masih membuntang di atas katil. Tidurnya
terkangkang, alpa dengan keadaan yang berlaku di sekitarnya. Jantan di bawah
rumah sudah beberapa kali ke hulu dan ke hilir untuk mencari cacing. Namun,
jantan yang ini terkedang kaku di kamarnya, hodoh serta berlumuran dengan air
liur basi. Pukul berapa dia pulang semalam pun Senah tidak tahu. Bukan dia tidak
mahu menegur anaknya itu. Namun, sudah berpuluh kali anak muda itu dijerkah
dan diberi pengajaran sebelum ini. Farhan selaku anak bongsu selalu dimanjakan
oleh keluarganya. Kasih sayang mereka sentiasa melimpah-ruah bagaikan
menatang minyak yang penuh. Minta yang itu dapat, minta yang ini pun dapat.
40
“Hah! Baru nak nampak batang hidung. Esok lusa hang bangkit tengah malam pun
takpa,” sindir Senah apabila dia terserempak dengan anaknya di dapur. Subuh dan
Zohornya tunggang terbalik. Mujur dia masih cakna akan agama.
Setelah mandi dan makan, dia menggantikan solat-solat yang ditinggalkannya
sebelum ini. Saban hari, hanya inilah aktiviti hariannya di rumah. Keputusan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) hanya tinggal menjadi sekeping kertas yang tidak
bermakna; hilang dalam timbunan seluar jean dan baju tanpa lengan di dalam
almari.
Pergerakan waktu terasa begitu pantas, sedangkan peredaran bumi di sistem
cakerawala masih kekal seperti sediakala. Jejarum yang terdapat pada jam di
dinding rumah seakan-akan berlumba sesama sendiri, sehinggalah seisi rumah
mereka dikejutkan dengan bunyi hon daripada sebuah kereta. Tingkap dikuak dan
kepalanya dijengukkan keluar, “Pak Su!” Suara Farhan memecah kebuntuan
atmosfera.
Kehadiran adiknya bagaikan sebuah kejutan kepada Senah. Tiada angin, tiada
ribut. Tiba-tiba sahaja Jaafar muncul dengan berjubah dan berkopiah putih di
hadapan rumah mereka. Maklum sahajalah, anak ketiga daripada empat beradik itu
merupakan seorang mudir di sebuah pusat tahfiz di Sungkai, Perak. Sudah tentu dia
sibuk dengan kerja-kerja pengurusan dan pentadbiran. Bersandarkan nas ini,
Farhan secara tidak langsung dapat meneka Pak Sunya yang sebenar.
“Assalamualaikum,” sapanya tersenyum.
“Waalaikumussalam. Jemput naik atas rumah dulu, Pak Su”.
Tepat sangkaannya, Pak Su datang berhajat. Setelah berjamu dan bertanya khabar,
Jaafar membuka inti perbualannya yang sebenar. “Sebenarnya, Pak Su berhasrat
nak ambil kamu sebagai anak murid di Maahad Ad-Dini. Yuran pengajian kamu tak
usah bimbang, biar Pak Su yang tanggung. Macam mana, kamu setuju?”.
Soalan tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Bukan apa, dia tidak
menyangka kehadiran individu tersebut akan merubah arah hidupnya secara
mendadak. Kalau ikutkan kehendak emaknya, dari awal lagi Senah sudah
mengangguk tanda setuju. Begitu juga dengan ayahnya, saat soalan itu diutarakan
juga Salleh telah menyuruh Farhan untuk berkemas dan bersiap-sedia dengan
kelengkapan diri. “Aduh,” tersembul keluhan ringkas dari mulutnya. Secebis
rintihan yang tidak mampu menggambarkan betapa kompleks serta berkecamuk
emosi seorang remaja. ‘Aduh’ yang merupakan sebuah manifestasi kepada
keengganannya untuk berhijrah dan berubah. Pak Su pulang sebelum waktu
maghrib. Dia memberi masa seminggu buat Farhan dan keluarga untuk menentukan
kata putus.
41
Seperti biasa, menjelang malam kelibat Farhan pun menghilang. Bak kata pepatah,
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Perangai Salleh yang tidak pernah
lekat di rumah telah diwariskan kepada anak bongsunya. Seolah-olah mereka
berdua bekerja pula, seorang syif pagi dan seorang lagi di syif malam. Rumah kayu
di pinggir rimba hanya menjadi tempat rehat dan makan bagi mereka. Tiada erti
sama sekali.
Pukul tiga pagi. Waktu di mana pocong, langsuir, dan pelesit berkeliaran mencari
mangsa. Farhan pulang, enjin motornya dimatikan lantas disorong dan diparkir
bersebelahan tangga rumah. Sebaik sahaja melangkahkan kaki untuk masuk, dia
terhenti. Sinar cahaya dari bilik tidur orang tuanya melimpah ke luar, malap dan
pudar. Sungguhpun begitu, pancaran cahaya suram itu menyalakan sifat ingin tahu
dalam sanubarinya.
“Awal mak bangun hari ni,” fikirnya. Lebih baik dia senyap-senyap sahaja jika mahu
selamat dari bebelan emaknya. Sewaktu melangkah melepasi kamar tersebut,
dengan tidak sengaja dia terdengar sebuah suara, “Ya Allah, kau lembutkanlah hati
Farhan untuk menjadi ahli agama-Mu. Berikanlah hidayah kepadanya agar dia
kembali mengenal dan mencintai-Mu, wahai Allah yang maha pemurah lagi maha
mengasihani.” Pilu hati Farhan tatkala mendengar doa emaknya. Sekali intai,
ayahnya turut berada di atas sejadah. Boleh jadi Salleh turut ikut serta dalam
mengaminkan permintaan isterinya.
Fajar menyingsing, mewarnai bumi dan setiap makhluk yang melata di atasnya.
Sewah mula berbunyi, memimpin orkestra pagi diiringi alunan merdu oleh Tekukur
serta pelbagai jenis unggas lain yang mendiami Kampung Acheh di mukim Yan,
Kedah.
Senah menyusun ubi-ubi yang telah direbus ke atas piring, lalu dihidangkan panas-
panas bersama kelapa parut. Sementelah itu, Salleh hanya tersenyum halus
memandang isterinya. “Farhan makan apa agaknya pagi ni?” Soal Senah. Dia tahu
soalan retorik itu tidak perlu dijawab. Hal seperti itu sudah tidak perlu
dikhawatirkan lagi olehnya kerana dia tahu, anak bongsunya sudah berkembang
menjadi orang dewasa.
Farhan, kini seorang hafiz cemerlang, telah mendapat sebuah tawaran untuk belajar
di Mesir. Demi menyampaikan khabar ini, dia telah mengirimkan sebuah poskad ke
kampung. Sesampainya warkah tersebut, air mata Senah mengalir. Tertulis di atas
surat tersebut dengan tulisan yang besar dan cantik “Terima Kasih Emak.” Betapa
mekarnya hati kedua-dua orang tua di hujung kampung ini apabila mendengar
kejayaan Farhan dalam bidang agama.
42
Landasan
oleh Najwa Binti Abdul Aziz
E-mel: ipgkipoh451-6-
[email protected]
“Aku rasa ada baiknya juga kau hantar anak kau ni ke kelas untuk pelajar kurang
upaya tu. Sekurang-kurangnya boleh la dia bergaul dengan anak-anak yang
senasib dengan dia” usai Cik Mah yang merupakan jiran sebelah rumahku yang
tidak pernah melepaskan peluang untuk bertandang ke rumahku setiap petang.
Suaranya jelas kedengaran melalui cuping telingaku pada ketika aku sedang sibuk
mencoreng kertas A4 dengan krayon milik kakak sulungku. Bunyinya seperti agak
kerisauan dengan keadaanku yang masih gagal untuk berkomunikasi dengan baik.
Ketika mana anak enam tahun lain sudah fasih berceloteh, namun aku masih gagal
untuk merangka ayat yang boleh difahami oleh orang luar.
“Bu… si… ap” aku berlari ke arah ibu bagi menunjukkan hasil coretanku yang
entah untuk kali keberapa. Hanya ibu yang tak pernah lelah memberi maklum
balas positif kepadaku untuk melakukan apa yang aku suka. Walaupun hampir
lima puluh peratus dinding dirumah kami dipenuhi dengan warna dari pensel
warna, krayon dan seangkatannya, tidak pernah sesekali dia menghalang aku
untuk melakukannya. Katanya, “dinding boleh dicat semula, berkaryalah kalau itu
membuatkan kamu gembira”. Syukur, aku dibesarkan oleh wanita yang kuat ini.
Meskipun orang kampung tidak lekang di bibir membicarakan tentang aku yang
tidak dapat bertutur dengan baik, namun ibuku tidak pernah kelihatan kecewa
denganku.
Hari pertama persekolahan adalah hari yang paling mendebarkan untuk aku.
Meskipun aku telah melalui tempoh sekolah rendah selama lima tahun, namun
suasana bagi sekolah menengah adalah jauh berbeza. Jantungku pantas berdegup
mengenangkan apa yang harus aku pelajari untuk sekolah menengah. Kata orang
pembelajaran di sekolah menengah adalah lebih rumit dimana ia bukan hanya
menekankan hafalan namun lebih kepada kemahiran berfikir aras tinggi.
Meskipun sudah meningkat remaja namun harus aku akui bahawa aku sukar untuk
bertutur dengan baik dan menghadapi kesukaran untuk membaca dengan pantas
seperti pelajar lain yang sebaya denganku. Aku mulai sedar dengan keadaan ini
apabila aku diminta untuk membaca teks di dalam kelas dengan kuat. Namun,
huruf-huruf yang di atas kertas sepertinya terbang kehilangan graviti. Perkara ini
telah menjadi bahan tawa oleh rakan sekelasku menyebabkan aku mogok untuk
tidak ke sekolah dek kerana malu dijadikan bahan ketawa rakan-rakan. Ibuku
menghantarku ke sekolah harian biasa dengan harapan agar aku dapat
berkomunikasi dengan orang lain dan mengharapkan ada sinar untuk aku bertutur
dan berkomunikasi seperti orang lain.
44
Tidak kurang seminggu aku mogok untuk tidak ke sekolah. Sesekali aku melihat ibu
merayu supaya aku kembali ke sekolah. Dikenali sebagai anak yang keras kepala,
apa yang aku berpegang, maka itulah apa yang aku lakukan. Hari berselang hari aku
dirumah, aku didatangi kakak sulungku yang ketika itu adalah senior di sekolah
rendah dengan berita bahawa pertandingan melukis akan diadakan di sekolah di
dalam masa yang terdekat. Mendengarkan bahawa ada pertandingan melukis, bulu
romaku menaik dan jantungku berdegup kencang. Itu adalah perkara yang paling
aku gemar, jiwaku berkobar-kobar mendengarkan berita tersebut. Untuk
mendaftarkan diri di dalam pertandingan tersebut, aku harus menghadiri sekolah
yang bermakna aku harus bersemuka dengan kawan-kawanku dan
berkebarangkalian aku perlu membaca teks seperti beberapa minggu yang lepas
lagi. Siapa sahaja yang suka maruahnya tercemar, sedangkan anak kecil pun tahu
perasaan malu.
Oleh kerana malu dengan kekuranganku ini, aku mengambil inisiatif untuk
memastikan aku telah menghafal apa yang akan diajarkan oleh guruku pada
keesokkan harinya. Dengan cara ini sahaja aku dapat menagih pujian dari guru dan
mampu memadam ingatan rakan sekelasku bahawa aku tidak dapat membaca.
Mulai dari hari itu, menghafal menjadi cara untuk aku belajar dan perkara itu telah
membantu aku untuk lulus di dalam peperiksaan UPSR. Bukan senang untuk
menyembunyikan kekuranganku namun ibuku selalu berpesan “segalanya boleh
dicapai dengan usaha yang gigih”.
“Selamat pagi pelajar”. Suara garau seorang guru yang tinggi lampai, berkulit sawo
matang masuk memecahkan keributan hari pertama kami di dalam kelas.
“Sila perkenalkan diri masing-masing” usai Encik Mahmood. Sudah menjadi
kebiasaan pada hari pertama bagi pelajar untuk masing masing memperkenalkan
diri pada hari pertama. Perkara ini adalah yang cukup dibenci oleh aku. Sementara
rakan-rakan yang lain memperkenalkan diri mereka, tanganku ligat menconteng
muka hadapan buku sekolah disamping kepalaku sedang sibuk menghafal apa yang
akan aku tuturkan untuk sesi perkenalan. Perutku terasa tegang dan peluh sejuk
mula menguasai diriku, dengan melukis, aku merasakan keadaan akan menjadi lebih
baik. Namun ini bukanlah perkara yang asing bagiku. Berkomunikasi dan bersosial
adalah kelemahanku.
“Saya Hilmi, saya suka melukis”. Ringkas pengenalanku kerana itu sahaja yang
dipraktis olehku.
Senyuman kecil diberikan oleh Encik Mahmood. Mungkin terhibur dengan
gelagatku yang tidak dinafikan kegementar ketika berbicara. Kelas diteruskan
dengan pengajaran bagi subjek Sejarah sehingga tamat waktu.
“Hilmi, ambil buku ini bawa ke bilik saya. Ikut saya”. Lamunanku dikejutkan dengan
arahan oleh Encik Mahmood. Aku akur.
45
Suasana agak canggung ketika aku mengikuti Encik Mahmood. Perjalananku ke
bilik Encik Mahmud ditemani dengan bunyi bising dari kelas-kelas yang kami lalu
dan sesekali ada guru lain yang menyapa Encik Mahmood. Setibanya di bilik Encik
Mahmood, tiada perbualan yang berlaku diantara kami. Seraya beliau melabuhkan
punggung ke tempat duduknya dia mengajukan soalan kepadaku.
“Kamu nak melukis tak?” keningnya diangkat menunggu jawapan dari aku.
Aku masih terkesima dengan soalan yang diajukan oleh beliau. Lalu beliau
menyambung, “saya lihat kamu melukis dekat buku tadi. Lincah betul jari jemari
kamu bergerak ya. Kalau saya nak minta kamu melukis dengan skala yang lebih
besar, kamu nak tak?”
“Maksud cikgu?” mataku sudah bersinar-sinar mendengarkan permintaan guruku
itu. Namun aku memerlukan kepastian yang jelas, aku tidak mahu meletakkan
harapan yang tinggi.
“Cikgu suka dengan gaya lukisan kamu. Kalau saya minta kamu lukis mural di
dinding sekolah, kamu nak?”
Bagai mengantuk disorongkan bantal. Pantas sekali degupan jantungku kali ini.
Hatiku bersorak kegirangan. Sebelum ini tidak ada siapa yang nampak minatku di
dalam seni selain keluargaku. Aku tidak mampu berkata tidak kepada seni. Dengan
pantasnya aku bersetuju dengan cadangan Encik Mahmood. Sekali lagi terukir
senyuman kecil di wajahnya.
Hari berganti hari, projek melukis mural berjalan dengan bimbingan Encik
Mahmood. Di dalam masa kurang sebulan kami menyiapkannya dan mural ini
menjadi kebanggaan sekolah. Banyak yang datang memuji hasil titik peluh aku
beserta Encik Mahmood.
Kata Encik Mahmood, “kalau kamu dapati kamu tidak mahir suatu perkara,
ketahuilah bahawa ada 1001 perkara lagi yang kamu mampu kecapi”.
Kata-kata itu masih mekar difikiranku tatkala aku merenung rangka tindakan
bangunanku yang akan dibina di sebuah kota raya, hasil daripada rekaanku dan
rakan-rakan arkitek yang lain.
46
Maafkan Aiman
Oleh Nur Suhadah Binti Jainuddin
E-mel: ipgkipoh452-6-
[email protected]
Terik panas matahari memancar ke bumi. Peluh menitis dari dahi. Bahagian
belakang baju sekolah juga sudah kelihatan basah kuyup. Aiman mengorak
langkahnya untuk pulang ke rumah setelah seharian di sekolah. Aiman merupakan
anak sulung daripada tiga orang adik beradik. Dia dikenali dengan sikap kasarnya
yang suka melontar apa sahaja perkataan tanpa sopan santunnya. Setelah beberapa
minit berjalan laju, Aiman tiba juga ke rumahnya.
Aiman membuka kasut sekolahnya dengan tergesa-gesa dan mencampakkannya
ke bawah tangga. Langkahnya laju menuju ke dapur. Perut Aiman berkeroncong
dan mendendangkan irama rancak. Dia dengan pantas membuka tudung saji untuk
melihat lauk yang dimasak emaknya. Aiman berdecit.
“Telur lagi?! Di rumah ni memang sudah tiada makanan lain ke? Setiap hari masak
telur sahaja. Muak tahu tak?”
Aiman menghempas tudung saji itu ke atas meja dengan kuat. Emak yang sedang
melipat baju di dalam bilik tersentak mendengar bunyi tersebut lalu pantas pergi ke
dapur.
“Ya Allah! Kamu ni sudah kenapa Aiman?” soal emak kepada Aiman.
“Apa ni emak? Kenapa tiap hari emak asyik masak telur sahaja? Cubalah emak
masak makanan lain seperti ayam atau daging. Aiman dah jemu makan telur setiap
hari!”
“Ini sahaja yang kita mampu. Ayah kamu tu gajinya kecil sahaja. Nanti ada rezeki,
emak masaklah yang sedap-sedap sedikit.”
“Ayah itu pemalas! Emak suruhlah ayah bekerja rajin sikit. Janganlah asyik duduk
termenung di rumah sahaja.”
Emak tersentak mendengar setiap bait perkataan yang dikeluarkan dari mulut
Aiman. Dia tidak menyangka Aiman akan berkata sebegitu tentang ayahnya sendiri.
“Kenapa kamu cakap begitu tentang ayah kamu?! Ayah kamu berhempas pulas
bekerja setiap hari cari rezeki untuk kita sekeluarga. Cuba belajar bersyukur
sedikit, Aiman.”
48
Aiman mendengus. Bagi dia, semua yang ada di rumah itu serba tidak cukup untuk
dirinya. Setiap malam, Aiman akan selalu mempersoalkan nasibnya. Mengapa dia
tidak dilahirkan di dalam keluarga yang kaya-raya. Mengapa dia dilahirkan di dalam
keluarga yang tidak boleh memenuhi segala kemahuannya.
Aiman menjeling tajam ke arah emaknya. Dia menghiraukan kata-kata emaknya dan
masuk ke dalam bilik. Bunyi hempasan pintu yang kuat itu menandakan
ketidakpuasan hatinya.
Emak hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia sudah sedia maklum akan
perangai anak bujangnya itu.
****************************************************************************
Aiman sedang bersiap-siap untuk keluar berjumpa dengan rakan-rakannya, Wan
dan Faiz. Dia tergesa-gesa keluar rumah tanpa memandang sekilas pun wajah
emaknya yang sedap menyapu di ruang tamu itu.
“Lambatlah kau, Man. Janji pukul berapa, sekarang pukul berapa?” dengus Faiz.
“Ala maaflah. Aku ada hal sikit tadi dekat rumah.” jawab Aiman dengan lemah.
“Aik kenapa ni? Kau ada apa-apa masalah ke?”
Aiman hanya mampu menggelengkan kepala sambil tersenyum kepada rakan-
rakannya itu. Di hujung sana, dia ternampak kelibat Jali Kenit yang sedang
menggendong berpapan-papan petai. Terbit satu senyuman jahat di bibirnya.
****************************************************************************
Jali Kenit sedang berjalan lenggang kangkung sambil menuju ke arah pasar tani
yang terletak di pekan. Mulutnya bersiul-siul kecil. Sedang dia asyik bersiul,
sebuah mercun bola meletup di hadapannya. Dia yang terkejut, terus terpelanting
ke belakang bersama petai-petai yang digendongnya.
“HAHAHAHA! Padan muka kau!” ketawa suka Aiman, Wan dan Faiz.
“Apa masalah kau orang ni? Asyik menggangu aku je!” marah Jali Kenit.
“Eh suka hati kamilah nak buat apa pun. Siapa suruh kau kenit sangat. HAHAHA!”
balas Aiman dengan angkuh.
Jali yang mendengar itu terus bangun dan beredar dari situ. Terasa sungguh
hatinya. Bukannya kemahuan dia untuk dilahirkan sebigini ke dunia.
****************************************************************************
49
Keesokannya di sekolah, Aiman dipanggil oleh Cikgu Zaki ke bilik guru. Aiman
berasa agak gugup. Pelbagai persoalan bermain di dalam fikirannya. Seingat
dirinya, dia tidak ada melakukan apa-apa kesalahan disiplin, untuk minggu ini.
“Aiman, cikgu nak ucapkan tahniah kerana kamu terpilih untuk mewakili pasukan
bola sepak sekolah kita. Saya nak kamu jaga disiplin kalau kamu betul-betul nak
main.”
Aiman terus tersenyum lebar mendengar berita yang disampaikan oleh Cikgu
Zaki. “Wah betul ke cikgu? Alhamdulillah, terima kasih cikgu!”
“Hm. Lagi satu, tolong beli kasut sukan yang baharu ye. Kasut yang kamu pakai
sekarang ni agak lusuh. Tidak sesuai sangat kalau nak dipakai sewaktu
perlawanan nanti.”
Aiman terus mengangguk-angguk laju. Setelah itu, dia meminta izin dari Cikgu
Zaki untuk ke kantin. Aiman berasa sangat seronok kerana itu adalah impiannya.
Aiman terus bergegas ke kantin untuk berjumpa dengan Wan dan Zaki.
***************************************************************************
Setelah selesai mandi dan menunaikan solat fardhu Zuhur, Aiman terus pergi ke
dapur kerana perutnya sudah berasa lapar. Dia juga ingin menyampaikan sesuatu
kepada emaknya. Aiman membuka tudung saji dan untuk kesekalian kalinya, dia
berdecit. Akan tetapi, kali ini ia hanya di dalam hatinya sahaja.
“Emak. Ohhh emak,” panggil Aiman dengan mendayu-dayu.
“Ye Aiman. Kamu nak apa?”
“Emak nak tengok Aiman berjaya kan?”
Dahi emaknya berkerut, “Mestilah. Setiap ibu di dunia ni mesti hendak anak-anak
mereka berjaya.”
“Okay. Ada peluang ni!” bisik Aiman di dalam hatinya
“Aiman sebenarnya terpilih untuk wakil sekolah dalam pertandingan bola sepak.
Tapi, cikgu suruh Aiman beli kasut sukan yang baru. Kasut yang lama tu sudah
lusuh.”
“Wah bagusnya anak emak. Boleh aje,” kata emak sambil mengusap lembut
kepala Aiman.
Emak tersenyum senang. Jauh di dalam sudut hatinya, dia tahu bahawa Aiman
memang anak yang berbakat. Walaupun sikapnya yang agak kasar dan sering
melukakan hati tuanya.
50
“Berapa harga kasut yang Aiman nak beli tu?”
“Tidak mahal pun emak. Harganya Cuma RM300 sahaja.”
Emak terkejut mendengar harga itu, “RM300? Mahalnya Aiman. Kita mana ada duit
banyak itu.
“Harga itu tak mahal mana pun. Ada lagi kasut harga beribu-ribu. Emak kata nak
tengok Aiman berjaya. Minta beli kasut pun tak boleh.”
“Bukannya emak tak mahu belikan. Duit yang ada pun cukup untuk makan sahaja.
Ayah kamu sekarang tak dapat banyak kerja.”
Aiman mendengus, “Itu semua alasan! Suruhlah ayah kerja keras sikit. Kenapalah
keluarga kita ni miskin sangat? Nak beli kasut sukan pun tak mampu!”
Emak yang mendengar terus beristighfar sambil mengurut dadanya. Terasa seakan
luruh jantungnya tatkala anak yang ditatang bagai minyak yang penuh berkata
sedemikian. Ya, dari segi harta memang emak akui bahawa ada kurangnya. Akan
tetapi, dari segi kasih sayang, perhatian, dan didikan agama semuanya cukup.
“Sampai hati kamu Aiman, cakap begitu. Emak dan ayah berhempas pulas besarkan
kamu tiga beradik. Sedikit pun kamu tak hargai.” terdengar getaran sebak di sebalik
suara itu.
Aiman yang mendengar langsung tiada rasa kesal akan sikapnya itu. Dia hanya
memandang emaknya dengan pandangan kosong sambil memeluk tubuh.
******************************************************************************
Angin sepoi-sepoi yang bertiup mendinginkan cuaca petang itu. Terik matahari
tidak terasa bahangnya. Ketika itu, emak dan ayah sedang berbual di pangkin yang
terletak di halaman rumah mereka.
“Kat mana saya nak cari duit sebanyak tu? Sekarang pun saya tidak dapat banyak
kerja untuk memotong rumput,” kata ayah sugul. Wajahnya juga kelihatan kusut.
“Ye saya tahu bang. Tapi si Aiman tu nak sangat beli kasut sukan baru. Katanya dia
dapat wakil sekolah. Bukannya selalu pun.”
“Nantilah saya cuba pinjam sikit duit dari Tok Imam. Saya cubalah mana yang
mampu.”
Aiman yang ketika itu sedang mengintai melalui tingkap ruang tamu. Dia
mendengar segala perbualan kedua orang tuanya dengan jelas. Wajahnya masam.
Sudah tidak tahu mahu memberi reaksi apa lagi. Dia terus berlalu masuk ke dalam
biliknya.
51
Keesokan harinya, ketika semua anak-anak sedang belajar di sekolah, ayah
pulang ke rumah dengan wajah yang gembira.
“Jah! Mari sini kejap!” jerit ayah yang berada di tangga luar rumah.
“Kenapa ni bang?”
“Saya dah dapat duit untuk beli kasut sukan Aiman. Saya pinjam dari Tok Imam
Hashim.”
“Wah Alhamdulillah. Dapat juga Aiman merasa pakai kasut baru. Kalau begitu,
jomlah kita ke pekan sekarang. Kejap ye bang. Bagi saya bersiap dulu.”
“Yelah. Saya tunggu dekat bawah ni,” kata ayah sambil tersenyum
membayangkan reaksi ketika Aiman menerima kasut sukan barunya nanti.
***************************************************************************
Aiman sedang berbaring di atas katilnya setelah selesai menunaikan solat Zuhur.
Badannya terasa agak penat pada hari itu. Entah mengapa perasaannya berasa
tidak enak. Ketika dia hendak menutupkan mata, terdengar suara orang memberi
salam dari luar rumah. Aiman terus bangun dan bergegas ke pintu.
“Waalaikumussalam. Ye Pak Mus. Ada apa datang rumah ni?”
“Pak Mus harap Aiman bersabar ye. Mak dan ayah Aiman kemalangan di pekan
tengah hari tadi. Mereka berdua sudah tiada,” katanya dengan nada yang pilu.
“Apa yang Pak Mus merepek ni? Mak saya ada je dalam bilik tengah solat.”
“Alif! Alif! Emak ada kat dalam bilik kan?” jerit Aiman memanggil adik lelakinya.
“Eh emak mana ada dekat rumah. Sejak Alif balik dari sekolah lagi.”
Ketika itu, Pak Mus menghulurkan sebungkus plastik berisi kotak kasut. Terdapat
kesan darah pada plastik itu. Bulu roma Aiman meremang. Terasa darah beku
menyerbu dirinya. Tangannya terketar-ketar semasa mengambil bungkusan itu.
Ternyata apa yang dikatakan Pak Mus itu betul. Aiman telah kehilangan kedua
orang tuanya. Kini, dia dan adik-adiknya sudah bergelar anak yatim piatu.
Serta-merta segala memori bersama ibu dan ayahnya terpampang di minda
Aiman. Segala kelakuannya selama ini tersiar seperti tontonan filem. Kakinya
tidak mampu untuk bertahan lagi. Dia terduduk di situ. Air matanya bertambah
deras mengalir ketika dia membuka kotak kasut sukan yang berlumuran darah.
“Harga itu tak mahal mana pun. Ada lagi kasut harga beribu-ribu. Emak kata nak
tengok Aiman berjaya. Minta beli kasut pun tak boleh.”
52
“Itu semua alasan! Suruhlah ayah kerja keras sikit. Kenapalah keluarga kita ni
miskin sangat? Nak beli kasut sukan pun tak mampu!”
Aiman menangis semahunya. Dia dan dua adiknya berpelukan sesama sendiri.
Ketika itu, Aiman hanya mahu bersujud di kaki kedua orang tuanya. Tetapi,
segalanya sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur.
“Emak… ayah…Maafkan Aiman. Ampunkan dosa Aiman,” bisik hati kecilnya.
Aiman menyesal. Dia biadap. Dia seorang anak yang derhaka. Dia anak yang
nakal. Aiman merasakan ini adalah kifarah untuk dirinya. Aiman sudah bertekad,
dia akan meminta maaf kepada setiap orang yang dia telah sakiti. Dia juga
bertekad untuk berubah menjadi lebih baik. Air mata terus mengalir deras di pipi
Aiman sambil membayangkan wajah kedua ibu bapanya yang sudah tiada.
53
Pulang oleh Nurin ‘Ain Najah Binti Mohd Mohd Zairi
E-mel: [email protected]
Ireland.
Sebuah negara kepulauan yang dipenuhi keindahan flora hijau serta dilingkari
lautan biru. Segenap sudut alamnya selalu didendangkan oleh kicauan burung
yang ralit bermadah pujangga. Setiap bayu udara yang dibawa angin pula
senantiasa segar dan menyapa lembut lapisan kulit. Bagaikan berada di syurga,
bisik Kasih sendirian.
Gadis berlesung pipit itu duduk bersila di atas batuan besar menghala
hamparan lautan biru. Dia tidak lekang menatap segala keindahan-Nya yang
gah terbentang di depan mata. Hujung bibirnya mengukir senyum penuh
kesyukuran.
“Apa agaknya yang sedang ibu lakukan di rumah?” fikiran Kasih mula teralih
kepada bonda yang berada di kampung, nun jauh di utara Malaysia. Bayangan
teratak kayu usang yang terletak berhampiran sawah bendang mula meniti di
ingatan.
Hari berganti bulan berganti tahun, rindu Kasih kepada sang ibu semakin
menebal. Masih utuh gambaran wajah tua bonda semasa menerima surat
tawaran bantuan biasiswa lima tahun lepas. Terngiang di halwa telinga suara
bonda berserta loghat Kedah yang pekat, berkongsi khabar gembira tersebut ke
seluruh desa.
“Kasih! Kenapa tersenyum sendirian? Apa yang awak fikirkan?” Kasih tersentak
dek suara lantang itu. Tayangan memori bonda terus kabur dari fikiran. Realiti
mula menerpa, membawa keluhan kecil di bibirnya.
“Kasih! Hari sudah mahu senja, mari kita balik!”
Kasih bangkit. Dia menepuk lembut bahagian celana yang dipenuhi debu halus
selepas duduk bersila. Beg sandang lusuhnya dipikul kemas. “Ya, saya datang
ini!”
Sebelum mengatur langkah, Kasih menoleh semula ke arah potret alam yang
terlukis indah itu. Sungguh dia rindu akan negeri tanah tumpah darahnya, namun
jauh di sudut hati, berat untuk dia mahu meninggalkan bumi Ireland. Tempoh
lima tahun telah banyak menanam ilmu di dada serta melakar kenangan pahit
manis di memori. Sungguh dia sudah jatuh sayang akan tanah naungan langit
Gaelic itu. Air jernih mula meniti di tubir mata, hanya menunggu saat untuk
gugur. Kasih menghela nafas dalam lalu dia melorek senyum di bibir.
Selamat tinggal, Ireland.
55
Kasih memeluk tubuh dek kesejukan malam. Salji belum kelihatan di cakerawala
langit namun angin dingin sudah mula menyerbu. Alat pemanas udara dalam kamar
tidurnya pula enggan membantu memberikan haba kepada badan. Kasih
merenung lipatan pakaian yang sudah tersusun rapi di dalam bagasi kecilnya.
Segala dokumen penting pula sudah diasingkan ke dalam beg yang berasingan.
“Hai, termenung lagi nampaknya!” Awak tidak mengapa, Kasih?” mata Kasih
melirik lembut ke arah gerangan suara yang bertanya.
Munirah sedang berdiri di sisi pintu bilik. Jelas kelihatan raut wajah kerisauan.
Gadis lampai berambut ikal itu mengangkat kening seketika, menunggu jawapan
dari rakan serumahnya itu. Kasih tergelak kecil sebelum menjawab.
“Tidak mengapa, Munirah. Saya baik-baik sahaja, cuma sedih untuk
meninggalkan Ireland. Eh, awak sudah siap mengemas?” Kasih bertanya kembali,
cuba untuk menyembunyikan rasa pilu dan kosong di hati.
Munirah melangkah masuk ke dalam kamar Kasih. Dia melabuhkan punggungnya
bersebelahan sahabatnya yang kecil molek itu. Bahu Kasih ditepuk lembut.
“Ya, tidak sabar rasanya mahu pulang. Sudah setahun tidak kembali ke Malaysia.
Cepatnya masa berlalu, kita sudah habis belajar rupanya.”
Kasih tersenyum kelat lalu menjawab, “Ya, tidak sangka sangat.”
Sudah setahun tidak kembali ke Malaysia.
Kasih termenung lagi. Lima tahun bagiku, fikirnya.
Selama tempoh mereka bersahabat, Kasih selalu beranggapan bahawa Munirah
merupakan gadis yang amat beruntung. Manakan tidak, dia mempunyai rupa paras
yang jelita, akal minda yang pintar serta punya harta dan kekayaan. Kasih mula
terkenang setiap kali Munirah kembali ke Malaysia saban tahun untuk mejenguk
keluarga. Setiap kali itulah sudut kamar tidurnya menjadi tempat menadah air mata
rindu akan bonda. Kadangkala, tidak dinafikan bahawa terbit rasa iri dalam hati
namun nasihat bonda tidak pernah gagal menepis tanggapan negatif tersebut.
“Anak ibu jaga diri, ya. Ingat pesan ibu supaya sentiasa berbuat baik dengan
orang lain. Jangan simpan perasaan yang tidak baik dalam hati.”
“Kasih, belajar rajin-rajin ya. Ibu tahu anak ibu bijak. Sentiasa ingat rezeki yang
sudah Allah kurniakan. Jangan lupa bersyukur walaupun kita susah. Ibu sayang
anak ibu.”
Kasih menahan sebak di dada. Rindu akan bonda sudah membuak-buak bagaikan
air yang sedang mendidih. Tanpa sedar, empangan matanya pecah. Butiran jernih
hangat mengalir
56
membasahi pipi. Jarang sekali dia bersedih di hadapan Munirah namun kali ini
sudah tidak tertahan lagi. Kasih rindu sangat akan ibu, hatinya meraung rindu.
Pedih.
Pagi sudah menjelang. Kelibat mentari sudah mula kelihatan melalui celahan
gunung-ganang yang gah berdiri, memberi peluang untuk sang bulan beradu. Usai
mengalas perut dengan sarapan ringkas, Kasih kembali ke kamar untuk memeriksa
segala kepunyaannya telah dikemas rapi ke dalam beg. Sempat dia melemparkan
pandangan ke luar tingkap, kelihatan butiran salju halus mula menghujani langit.
Musim sejukku yang terakhir, bisik Kasih.
“Kasih, mari kita pergi. Teksi ke lapangan terbang sudah sampai.” sapa Munirah di
bingkai pintu. Gadis tersebut sudah cantik bersiap dengan pakaian tebal untuk
melawan kedinginan. Kelihatan bibirnya tidak lekang dengan senyuman semanis
gula. Teruja.
Kasih memandang sejenak kamar yang kelihatan kosong itu.
Tamat sudah perjuanganku.
Dia menoleh ke arah Munirah dengan senyuman yang selalu mewarnai bibir
mungilnya.
“Ayuh kita pergi.”
Setelah tiba di Lapangan Terbang Dublin, mereka keluar dari perut teksi dan
bergegas ke dalam bangunan. Kelihatan sekumpulan pelajar berdiri di kejauhan
sambil memegang kain rentang yang tertulis “Selamat pulang ke Malaysia” dalam
bahasa Inggeris. Kasih dan Munirah saling bertukar pandangan gembira. Tidak
mereka sangka akan dilayan dengan begitu mesra oleh para pelajar lain di tempat
mereka menuntut. Kasih terkenang akan segala budi yang telah dihulurkan oleh
mereka sepanjang keberadaanya di bumi asing ini. Semakin bertambah berat hati
Kasih untuk menjejak pulang ke tanah air.
Usai bertukar salam dan sayang, mereka mengucapkan lambaian terakhir kepada
rakan-rakan yang setia menemani sepanjang keberadaan. Perasaan Kasih mula
bercampur baur.
Sudah sekian lama kali terakhir dia menaiki pesawat namun cuba dia kaburi dengan
bayangan wajah bonda yang tersenyum menanti kepulangannya.
“Tenang, Kasih. Awak nampak gemuruh sahaja.” tegur Munirah apabila melihat
wajah Kasih mula memutih. Bahu Kasih dirangkul lembut mendekatinya.
“Eh, tidak mengapa. Mungkin kerana sudah sekian lama jadi saya agak gemuruh.”
Kasih menjawab ringkas dan dibalas dengan ketawa kecil sahabatnya.
Senyum Kasih masih tidak pudar dek keriangan yang dirasai. Hatinya makin galak
memikirkan perkara yang mahu dilakukan bersama bonda di kampung kelak.
57
Pengumuman memenuhi ruangan pesawat menandakan waktu pelepasan. Kasih
memandang ke luar tingkap kecil bersebelahan tempat duduknya. Perlahan-lahan,
kota Dublin mula pudar dari pandangan menandakan dia sudah terbang tinggi.
Ibu, Kasih sudah pulang. Anak ibu sudah balik.
Sekelip mata, dunia terasa seakan disentak kuat. Dentuman kuat kedengaran dari
ketidakpastian. Suara laungan dan teriakan memenuhi ruangan udara. Nyaringnya
bunyi amaran membingitkan telinga. Lajunya junaman merentap jantung.
“Allahuakbar!”
58
Hati Kita oleh Nurul Izzah Binti Rosli
E-mel: [email protected]
“Melur, tolong berikan lauk yang di dalam bekas plastik itu kepada Cik Mah.”
Ujar Bibik Uda kepada anak perempuan kesayangannya, Melur yang baru sahaja
selesai mandi. Melur tersenyum nipis sahaja sambil menganggukkan kepalanya
atas permintaan ibunya. Bau wangi yang merebak dek Melur yang baru keluar
daripada kamar tidurnya hingga ke ruang tamu menarik perhatian ayah Melur, Pak
Meon melihat ke arah anaknya. Dia tersenyum sinis sambil berkata, “Anak dara
aku yang seorang ini selalu mandi bila matahari sudah tegak berdiri. Apalah nak
jadi dengan budak zaman sekarang. Makin lama, makin malas!”. Pak Meon
menyindir anak daranya itu sambil mendengus dan membetulkan kaca matanya
serta mengibas surat khabar yang entah zaman bila dibelinya tetapi tetap
diletakkan di ruang tamu sebagai perhiasan. Melur tergelak kecil sambil berjalan
ke arah ayahnya dan mencuit pipi ayahnya yang kasar kerana dipenuhi jambang.
“Alah, ayah ni macam tak kenal Melur pulak.” Usik Melur kepada ayahnya.
Baru sahaja Melur hendak menyarungkan tudung ke kepalanya, sudah ada yang
mengetuk pintu rumahnya itu. “Mel, Assalamualaikum, Mel!” Teriak seorang gadis
sudah kedengaran jelas disebalik pintu kayu rumah Pak Meon. Melur cepat-cepat
memakai tudungnya itu lalu berlari anak menuju ke ruang tamu untuk membuka
pintu. Melur senyum gembira sambil membuka pintu untuk rakannya itu, Farah.
“Waalaikumsalam, Cik Farah. Apakah sebenarnya hajat dikau ke mari?” Melur
sengaja menggunakan bahasa lama ketika bercakap dengan rakannya kerana
niatnya untuk bergurau. “Wahai Cik Melur, rancangan Olimpik sudah hendak
ditayangkan sebentar lagi. Jemputlah datang ke teratak Farah dan keluarga untuk
menontonnya bersama. Saya dengar, rakan kita yang lain pun hendak menonton
rancangan itu di rumah saya.” Ujar Farah sambil membuat aksi tersipu malu bak
gadis melayu terakhir. Ceh. “ Tunggu kejap. Mak aku suruh bagi lauk sekali untuk
mak kau ni. Aku nak ambil lauk dengan telefon aku kat bilik.” Melur cepat-cepat
turun ke dapur dan berlari ke bilik tidurnya untuk mencapai telefon pintarnya itu.
“Jangan lari-lari, Melur oi! Roboh pulak rumah ayah ni! Rumah ni dah lama, dah
reput pulak tu.” Nasihat Pak Meon kepada anak dara tunggalnya. Tetapi Melur
tidak mendengar kata-kata ayahnya itu dan masih berlari ke dapur.
“Melur nak pergi rumah Cik Mah ni, Mak! Nak tengok Olimpik dengan Farah ni.
Pergi dulu!” Melur mengambil bekas plastik yang yang telah disediakan oleh
ibunya dan kembali ke pintu hadapan rumah untuk bertemu dengan Farah semula.
Farah duduk di buaian yang terletak di halaman rumah Melur sambil menikmati
udara yang dingin. Begitulah suasana mendung di kampung berikutan dengan
hujan yang sering turun di petang hari. Meskipun matahari sudah berada tegak di
atas kepala, namun kehangatan matahari masih belum dapat dirasai. Farah dan
Melur memang gemar cuaca sejuk begini jika dibandingkan dengan cuaca yang
panas. Farah bangun dari buaian dan menuju ke basikal merah jambu miliknya.
Farah merupakan rakan baik Melur sejak kecil lagi dan bersekolah di sekolah
rendah dan sekolah menengah yang sama.
60
Walaupun mereka tidak menyambung pelajaran di universiti yang sama, mereka
tetap menghubungi antara satu sama lain dan masih akrab seperti dulu. Segala
cerita gembira dan duka telah mereka kongsikan bersama. Ketika mereka di bangku
sekolah, Melur dan Farah cukup terkenal dengan gelaran ‘budak nerd’ kerana
pencapaian akademik mereka yang bagus. Mereka juga berkawan dengan anak
ketua kampung iaitu Farhan dan Aisy sejak sekolah rendah lagi. Keempat budak
kampung ini telah membesar bersama dan mencipta memori yang bermakna
bersama. Farhan dan Aisy merupakan pelajar sekolah MRSM dan hanya akan
bertemu dengan Farah dan Melur ketika cuti sekolah sahaja. Sebelum melangkah
kaki ke alam universiti, keempat-empat orang ini telah mengadakan pertemuan
kecil. Dari sinilah, hubungan mereka semakin menjauh. Farhan dan Aisy yang
dahulunya sering aktif bermesej di dalam ruang sembang, mula menyepi sejak
peristiwa itu.
Melur meletakkan bekas plastik di dalam bakul basikal dan duduk di tempat duduk
bahagian belakang Farah. Tempat duduk ini telah diubah suai sendiri oleh Farah
dengan mengikat kusyen kecil sebagai alas punggungnya dek tak tahan dengan
bebelan Melur yang mengadu bahawa tempat duduknya itu keras. Melur merangkul
pinggang Farah dan menyandarkan kepalanya di belakang badannya sambil
menikmati angin yang menyapanya. “Kayuh laju lagi. Biar aku dapat angin.” Kata
Melur kepada Farah. “Baiklah, tuan puteri.” Farah mengayuh dengan lebih laju lagi
sambil tertawa kecil. Mungkin dia teringat akan memorinya di alam persekolahan
bersama Melur. “Aku tengok kat Instagram, Farhan balik kampung jugak, Farah.”
Ucap Melur. “Ada aku kisah ke?” Semakin laju kayuhan Farah apabila mendengar
ayat itu keluar dari mulut Melur, kemungkinan besar dia masih marah kepada
Farhan. “Banyak kali aku kata, maafkanlah Farhan.” “Aku bukannya, tak nak berbaik
dengan dia, tapi aku tak jumpa dia. Aku tahu aku tak patut salahkan Farhan”.
Sebenarnya apa yang berlaku dulu memang memberikan kesan yang besar terhadap
Farah dan ibunya. Keluarga Farah yang dilihat sebagai sebuah keluarga yang
bahagia, musnah dalam sekelip mata.
Pada hari pertemuan kumpulan mereka dua tahun yang lepas, mereka pergi ke
pantai untuk menikmati perkelahan dan pergi ke bandar pada waktu petang untuk
menyambut pertemuan terakhir mereka sebelum mereka semua memulakan
perjalanan hidup masing-masing. Setiap daripada mereka berada dalam
kegembiraan. Farah dan Melur berpelukan sambil menangis mengenangkan memori
mereka bersama. Aisy pula cuba menceriakan suasana dengan lawak hambarnya.
Farhan seperti biasa, menjadi jurugambar bagi mereka sambil memujuk Melur untuk
berhenti menangis. Tepat jam 10 malam, Farhan yang memandu kereta membawa
Melur, Farah dan Aisy pulang ke rumah masing-masing. Setelah menghantar
kesemua rakannya pulang, Farhan meneruskan lagi pemanduannya itu walaupun dia
dalam keadaan yang mengantuk. Malang nasibnya pada malam itu, Farhan
terlanggar Pak Haji yang menaiki motosikal dan juga merupakan bapa kepada Farah.
Pak Haji maut dalam kemalangan itu dan Farhan turut mengalami kecederaan di
bahagian kepala selepas kereta yang dipandunya itu hilang kawalan dan terbabas
lalu terlanggar pokok. Farhan dan Pak Haji dikejarkan ke hospital dan Pak Haji
meninggal semasa dalam perjalanan ke hospital.
61
Farah dan ibunya, Cik Mah dikejutkan dengan berita kematian Pak Haji. Farah ke
hospital pada malam itu dan terus menerjah ke bilik pesakit yang Farhan
ditempatkan. Melur dan Aisy turut berada di hospital apabila mereka menerima
berita yang sedih itu. Apa yang Melur ingat adalah Farhan yang masih berbalut
kepalanya, telah dimarahi oleh Farah. Farah menjerit sepuas hati ke arah Farhan dan
melepaskan kemarahannya kepada Farhan yang hanya berdiri kaku sambil menahan
air matanya yang hendak jatuh. Melur dan Aisy cuba menenangkan keadaan yang
tegang itu tetapi Farah tidak dapat dikawal. “ Semua sebab kau! Sekarang ni abah
aku dah takde! Apa aku nak buat, hah?” Farah jatuh terduduk sambil menangis
sepuas hati. Jelas kelihatan penyesalan di raut wajah Farhan. Farhan hanya mampu
mengucapkan ucapan maaf kepada Farah sebelum Farah bangun dan
meninggalkannya begitu sahaja. Tiap kali berjumpa dengan Farhan ataupun
terserempak dengannya, Farah akan memaki dan mengherdik Farhan. Tiada
sebarang kesantunan dalam bahasa yang digunakannya. Walaupun peristiwa ini
telah berlaku lebih daripada dua tahun, Farah masih merasakan marah apabila nama
Farhan didengarinya. Baru sahaja Farah hendak belok ke pekarangan rumahnya,
Melur dan Farah sudah nampak susuk tubuh Farhan yang berdiri tegak sambil
menghulurkan sesuatu kepada Cik Mah. Setelah dinasihati Melur untuk bermaafan
dengan Farhan, Farah turun daripada basikalnya dan berjalan menuju ke arah Farhan
dengan langkah yang teragak-agak. “Farhan, aku..aku.. Nak minta maaf.” Farah
menundukkan kepalanya dan menyambung lagi, “ Bibik Uda ada bagi lauk, jom
makan sambil tengok Olimpik kat rumah aku?” Farah kelihatan agak kekok sebelum
tersenyum manis selepas Farhan menerima ucapan maafnya itu. Melur mengangguk-
anguk kepalanya sambil mengambil gambar mereka berdua menerusi telefon
pintarnya sebelum menghantar gambar itu kepada Aisy dengan mesej, “ Misi kita
berjaya. Mereka dah berbaik! Akhirnya, Farah tak gunakan perkataan kesat pun bila
nampak Farhan”. Aisy membalas mesejnya, “Alhamdulillah. Disebabkan mereka
berdua dah berbaik, makanya, aku pun boleh tengok Olimpik di rumah Farah juga ni.
Tunggu aku”. Itulah hati seorang remaja. Dendam dan amarah tidak boleh dibiarkan
berlarutan berpanjangan. Hati kita punya perasaan begitu. Maka, bermaaf-maaflah.
Semoga persahabatan ini tidak berakhir lagi.
62
Lelah oleh Nurul Sharaudah Binti Mohd Zani
E-mel:ipgkipoh455-6-
[email protected]
“Abang!” Suara garau dan lantang miliknya lenyap ditelan amarah guruh yang
berdentum bak meriam yang dilepaskan. Titisan hujan yang bertali-temali dan
menusuk bak jarum tidak berhenti membasahi benua dengan lebat. Awan gelap
seakan-akan sedang meratapi jiwa dan kehidupan yang dihimpit pilu. Adakah
awan suram dan gerimis yang menyeliputi langit mempunyai nasib sepertinya?
Aazad. Nama yang berasal daripada bahasa Arab itu bererti ‘bebas’. Namun,
langsung tidak menggambarkan kehidupan kumbang remaja itu.
“Abang! Berhenti la! Kenapa degil sangat?!” Dia melaung sepenuh raganya
mengharapkan kemustahilan dan belas. Kedua-dua pancaindera sudah kabur
dek cairan langit mengganggu laluan cahaya. Kaki dan tangannya dihayun
melawan arus angin kencang yang seolah-olah ingin menerbangkan badannya
yang kering bangsai. Kegelapan malam yang gulita dan pekat disuluhi dengan
cahaya panahan petir yang sambar-menyambar. Untuk beberapa detik, dia
mengelih susuk tubuh gempal yang berlari-lari anak dihadapannya. Jejaka
gemuk itu melompat riang dan menari-nari apabila menapak masuk ke dalam
sebuah warung usang yang terang-benderang. Suara berbisik-bisik dan gelak
tawa yang menjengkelkan kedengaran daripada pelanggan yang menjamu selera.
“Amjad nak makan bubur dekat sini! Sedap makan waktu hujan! Cepatlah!’ Dia
menoleh kebelakang sambil mencebik bibirnya. Jarinya menuding tepat ke arah
ilustrasi bubur ayam yang menyelerakan. Tidak dinafikan. Amjad yang sudah
berusia tiga puluh dua tahun itu kelihatan seperti seorang kanak-kanak yang
meronta meminta ibunya membelikan mainan. Kakinya dihentak ke lantai apabila
Aazad yang tercungap-cungap dan basah kuyup mula berdalih.
“Boleh tak jangan susahkan aku? Makin besar makin bengap!” Suaranya bagai
halilintar membelah bumi. Raut wajahnya bengis. Dadanya turun naik menahan
geram. Api amarah semakin membara apabila Amjad mula memeluk erat sebuah
tiang kayu sebagai tanda protes.
“Aku cakap balik!!!” Aazad menjerkah lagi. Tangannya sepantas kilat mencapai
serpihan pasu dari dalam longkang. Sebelum sempat dia menetak abangnya,
satu suara lunak memukul gegendang telinga daripada belakang.
“Aazad…Tak baik layan abang awak macam tu. Dia kan ada autisme. Jom saya
belanja.” Seorang pelayan lelaki bernama Shahril yang sebaya dengannya
mengulum senyuman yang melapangkan dada. Api yang marak, manakan dapat
dipadam dengan api.
64
“Orang tak ada otak macam ni memang layak kena belasah sampai mati!
Membebankan!” Aazad bengang. Tanpa segan silu, Amjad melabuhkan
punggungnya di meja yang terdekat. Dia berteriak, “Bubur ayam satu! Jangan
panas sangat, nanti boleh terbakar lidah!” Senyumannya tidak lekang di bibir.
Kepalanya giat mengangguk-angguk mengikut irama musik daripada bahagian
dalam warung. Mahu tidak mahu, Aazad akur dan duduk di hadapannya.
Bukannya apa, dia berat hati ingin pulang tanpa abangnya kerana khuatir
ayahnya akan memukulnya. Fikirannya melayang jauh sekali.
“Kalau aku tahu kau tak jaga abang kau, nahas kau!!!” Amaran ayahnya yang
panas baran dan kaki mabuk itu terngiang-ngiang di ruang fikirannya yang
serabut. Kebencian di hati memuncak setinggi gunung. Akhirnya pagi
menjelang. Oleh sebab kepenatan berlari dalam hujan semalam, Aazad dibuai
mimpi sebaik sahaja tiba di rumah. Kicauan burung yang merdu dan kedinginan
bayu pagi mengulit manja insan yang keletihan itu menyebabkan dia terlelap
semula.
“Dah pukul lapan! Ni semua salah kau! Bila nak mampus, hah?!” Tanpa simpati,
perut buncit abangnya ditendang sebelum bersiap ke sekolah seperti lipas
kudung. Pakaian sekolah yang tidak berbasuh dan bergosok disarung mengejar
masa. Jari-jemari runcing ligat meraba laci almari. Mencari…
Alangkah terkejutnya, semua duit simpanannya hilang! “Mesti ayah balik malam
tadi…Buat penat je kerja basuh kereta setiap hujung minggu…” Aazad menahan
sebak. Awan mendung mula bergayutan di birai matanya. Sungguh, dia lelah.
Dengan hati yang remuk bercampur dendam yang bergelora, dia membuka
langkah kiri meninggalkan rumah tanpa berkunci. Amjad yang mengerang
kesakitan hanya memerhati susuk tubuh yang kerempeng itu berjalan gontai.
“Ajad! Botor air ni! Ajad tertinggal!” Panggilan Amjad dihiraukan.
“Aik! Tadi tak ada pun waktu perhimpunan. Kau panjat pagar eh…”
“Busuk! Kau tak mandi ke weh? Baju pun berkedut seribu!”
“Kalau aku jadi kau, aku tumbuk je muka Shahril tu sampai pecah semalam.
Acah baik je dia tu. Abang kau yang macam raksasa gergasi tu pun tak habis-
habis buat kecoh…”
Telinga dipekakkan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sejujurnya, dia
sudah muak dengan telatah rakan-rakan sekelasnya yang bermulut murai dan
suka menjaga tepi kain orang lain. Lagipun, kepalanya berdenyut-denyut malah
anak matanya juga berpinar-pinar. Sakitnya bukan kepalang. Rehat tidak cukup.
Duit lesap. Perut pula berombak-ombak kecil meminta diisi. Lama dia
termenung ke luar jendela menangisi kehidupan seperti perahu yang dibawa
arus ombak bergelora di lautan.
65
“Kau nak apa, Damia? Kacau je.” Aazad bertanya acuh tak acuh. Ingin sahaja dia
membiarkan gadis yang tersenyum lebar menampakkan barisan giginya yang putih
bak mutiara begitu sahaja. Wajahya bersinar cerah secantik bidadari. Tetapi,
pengorbanan Damia yang sanggup membuat kempen sumbangan kos rawatan
Amjad tahun lepas masih jelas di layar fikiran.
“Harini saya kena tolong kutip kerja rumah Matematik.” Jelasnya dengan lemah
lembut.
“Cakap kat dia-“
“Beliau.”
“Ish! Cakap kat beliau, buku aku semua basah lencun.” Damia masih tidak
berganjak.
“Kau ni acah memartabatkan kesantunan bahasa Melayu betul. Ha ye la! Tolong
maklumkan beliau, saya tak dapat siapkan kerja kerana semua buku basah. Puas
hati?”
“Kita ni baru setahun jagung. Saya nasihatkan awak baiki cara bertutur dengan
orang sekeliling sebelum nasi menjadi bubur.”
Akhirnya, Damia mengorak langkah ke bilik guru. Tepat satu jam berada di
sekolah, Aazad mengambil keputusan untuk ponteng dan pulang ke rumah.
Sebenarnya, dia gelisah jika ayahnya melihat rumah tidak berkunci. Memang nahas
dia dikerjakan nanti. Dalam perjalanan pulang, sempat dia berhenti di warung
semalam untuk membeli sebungkus nasi lemak menggunakan duit seringgit yang
berbaki dalam tabung. Kasihan. Liku-liku hidup yang penuh onar dan duri perlu
dihadapi seorang diri.
“Aazad. Abang kamu cari kamu tadi. Katanya, kamu tertinggal botol air.” Ucap
Shahril jujur. Seperti biasa, Aazad hanya melemparkan pandangan sinis dan
senyuman tawar kepadanya. Belum sempat dia menyuapkan nasi, bunyi hon kereta
yang bingit memecahkan kesunyian. Tersentak Aazad dibuatnya. Fikirnya, nasib
baik dia bukan jenis melatah! Kalau tak, mesti dah berkecai pinggan dibaling.
Ekor matanya mengerling ke arah penduduk kampung yang mengerumuni kereta
hitam yang tersadai di tengah jalan seperti semut menghurung gula. Malas nak
ambil peduli. Hakikatnya, nama yang disebut dalam perbualan mereka
menyebabkan matanya meliar mencari. Berdiri kaku. Jantung seolah-olah berhenti
berdetak. Hatinya pula bagai dihiris sembilu. Empangan air mata kekesalan gugur
jua. Perlahan-lahan, darah merah pekat mengalir daripada jasad yang terbujur.
Wajahnya setenang air di kali. Botol air plastik berwarna jingga masih erat dalam
pelukan. Lemah, Aazad rebah tersungkur. Dia terpukul dengan lontaran kata-kata
yang silih berganti di benak mindanya: “Bila Amjad nak mati?”
66
“Maafkan adik, abang. Adik janji akan lawat pusara abang setiap minggu. Jangan
risau, ayah dah tak berani ganggu adik. Shahril ajak adik tinggal dengan keluarga
dia.” Lembut Aazad berbicara. Jikalau dia sedar betapa pentingnya menjaga lidah
yang tajam menghiris, mesti dia tidak menyakiti abangnya. Pemergian Amjad yang
tidak diduga menjadi sebuah ukiran memori yang sukar dilupai. Sepanjang hayat,
kegusaran dan rindu menyelubungi jiwa dan raga. Tidurnya diganggu resah.
Ketengangan yang diidami tak kunjung tiba.
Beringatlah wahai teman, kerana mulut badan binasa.
67
Sepatah Nasihat Yang Berguna oleh Tevathaaranhi
A/p Sasikumar
E-mel: [email protected]
Tujahan cahaya matahari pagi menembusi celah-celah daun dan manik-manik
peluh berlumba-lumba keluar dari permukaan dahi lalu membasahi tubuh Fatimah
yang duduk termenung sejak petang tadi. Fatimah teringat akan arwah ayahnya
yang telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu. Fikirannya melayang jauh
sehingga teringatkan ayahnya yang telah mewasiatkan Fatimah sebuah rumah
usang. Ingatannya kembali menjangkau suasana masa lampau dengan nasihat
ayahnya supaya Fatimah belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya di
dunia dan akhirat serta menjaga ibunya yang sudah tua.
“Mah, ayah nak Fatimah belajar bersungguh-sungguh dan buat kedua-dua orang
tua kamu bangga. Kau lah harapan kami.Jangan sesekali abaikan mak kamu yang
sudah tua tu” kata ayahnya sebelum meninggal dunia.
“Mesti Fatimah akan buatkan ayah dan ibu bangga. Hanya satu matlamat dalam
kehidupan saya iaitu untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjaga kedua-dua
orang tua saya sehingga akhir hayat.” balas Fatimah kepada ayahnya.
Bayang-bayang kesedihan dan kepiluan tercalit di wajahnya kerana kini Fatimah
berasa kosong dan hampa kerana hidup tanpa meneguk sepuasnya kasih sayang.
Fikirannya tiba-tiba dikejutkan dengan laungan namanya dari arah dapur.
“Fatimah! Fatimah! Mari tolong ibu susunkan kuih-muih ini ke dalam bakul,” suara
ibunya memukul gendang telinganya.
“Baik mak”. Fatimah bergegas ke dapur untuk menolong ibunya supaya dapat
mengurangkan bebannya sedikit serba.
Kuih-muih itu akan dihantar ke kedai Pak Zahid dan separuh lagi akan dijual oleh
ibunya sendiri. Setelah Fatimah selesai menyusunkan kuih-muih ke dalam bakul,
dia telah bersalam dengan ibunya di mana senyuman mesra terukir di mulutnya.
“Ibu, Fatimah pergi ke sekolah dulu ya, jaga diri dan makan ubat tepat pada waktu
ya mak” kata Fatimah kepada ibunya.
“Baiklah Fatimah, jaga diri baik-baik,” suara ibu mengandungi seribu derita yang
tidak kesudahan. Fatimah mengangguk dan telah bertolak ke sekolah.
Dalam perjalanannya ke sekolah, Fatimah telah singgah di kedai Pak Zahid untuk
meletakkan kuih-kuih yang dibuat oleh ibunya pagi tadi untuk dijual.
“Assalamualaikum Pak Zahid.Apa Khabar? Dah sarapan ke Pak Cik?”
“Waalaikumussalam Fatimah. Pak cik baik-baik sahaja.Baru tadi ambil sarapan.
Pak cik makan nasi lemak hari ini.Fatimah dah sarapan belum?
69
“Ya ke Pak cik, baiklah. Fatimah pun dah makan sarapan tadi.” balas Fatimah dengan
penuh sopan.
Oh! Fatimah, kuih apa yang kamu bawa hari ini? Pak cik tak sabar nak dapatkan
respon daripada pelanggan,” tanya Pak Zahid.
“Saya bawa kuih lapis yang sedap sekali untuk Pak Zahid jual. Mesti pelanggan Pak
Cik suka ni!” suaranya ditinggikan untuk melawan arus hon kereta di jalan raya.
“Nanti Fatimah datanglah ambil duitnya lepas balik dari sekolah,” kata Pak Zahid
yang usia separuh abad. “Baiklah Pak Zahid, saya bergerak ke sekolah dulu.” “Allah
berilah kekuatan kepada anak soleh Roslee ini dan keluarga sahabatku. Mereka
perlulah tabah menghadapi ujian ini,” setiap kali Pak Zahid berdoa dalam hatinya bila
berjumpa dengan Fatimah dan ibunya.
Sampai sahaja di sekolah, Fatimah terus berjalan ke arah kelas 2 Delima dan telah
menuju ke tempat duduknya. Fatimah meletakkan beg dan terus menyapa sahabat
sejatinya Nieta yang sedang membaca buku. “Hai Nieta, saya kagum melihat
kesungguhan kamu dalam membaca buku.” “Biasalah Fatimah, kalau kita rajin
membaca buku, banyak ilmu yang akan kita peroleh. Bukan itu sahaja, membaca akan
menjadikan kita lebih bersopan-santun apabila diri kita lengkapi dengan ilmu
pengetahuan. Membaca itu jambatan ilmu,” terang Nieta. “Oh! Patutlah awak gigih
membaca buku pada tiap-tiap hari,” ujar Fatimah.
“Woi Fatimah pendek !” keluar suara budak yang paling nakal dalam kelas 5 jujur,
Afiq. Afiq ini selalu suka kacau orang dan tidak boleh duduk satu tempat. “Nieta,
saya tak suka lah Afiq ini, hmmm nanti saya nak mengadu dekat cikgu.
Lima minit kemudian, Cikgu Aminah telah masuk ke kelas untuk mengajar mata
pelajaran Bahasa Malaysia tepat pada waktunya.
“Selamat pagi cikgu,” ucap murid-murid kelas 2 Delima kepada beliau.
“Selamat pagi murid-murid.Baiklah, hari ini kita akan membuat karangan mengenai
keluarga kamu,” kata Cikgu Aminah dengan penuh semangat. Sebelum Cikgu
Aminah memulakan pengajaran & pembelajaran, Fatimah terus ke meja cikgu dan
mengadu pasal Afiq. “Cikgu…” Fatimah enggan untuk teruskan.
“Ya Fatimah,macam mana cikgu boleh tolong kamu ya?” jawab Cikgu Aminah
“Cikgu…Afiq ni kan selalu kacau saya dan tak duduk satu tempat. Dia ambil saya
punya barang dan tak pulangkan. Lebih-lebih lagi bahasa dia pun kasar, cikgu. Tak
bersopan langsung. Saya dah tak boleh bersabar dengan dia.
“Hmmm..Inilah masalahnya. Baik Fatimah, jangan risau ya.Cikgu tahu macam mana
nak selesaikan masalah ini”. Cikgu Aminah pun memberi Afiq satu hukuman iaitu
duduk di luar kelas dan belajar untuk sehari itu.
70
“Fatimah, kamu semua ini sekarang umur 14 tahun. Ketika ini kanak-kanak seperti
Afiq lebih cenderung untuk melakukan sesuatu aktiviti yang lebih menggunakan
tenaga kerana Afiq ini sangat aktif.Harap kamu bersabar ye..,” kata Cikgu Aminah
kepada Fatimah untuk menenangkan fikiran dia. Walaupun, Cikgu Aminah memberi
hukuman kepada Afiq seperti itu, namun beliau ambil berat tentang Afiq untuk
memberi penekanan terhadap pembinaan pemikirannya melalui perkembangan
kognitif.
Bunyi loceng berdering. Kelas Cikgu Aminah telahpun berkakhir. Sebelum keluar
dari kelas Cikgu Aminah suruh Fatimah dan Afiq berjumpa beliau di bilik guru pada
waktu rehat. Fatimah dan Afiq pun pergi ke bilik guru selepas bunyi loceng untuk
waktu rehat berdering. “Cikgu…” Afiq memanggil cikgunya sambil mengetuk pintu
bilik guru.
“Oh ya! Afiq dan Fatimah, masuk dalam ya.” Cikgu Aminah mempelawa mereka
masuk ke dalam dan duduk di hadapan beliau.
“Baik. Saya tahu apa masalah antara kamu. Cikgu nak jelaskan dan selesaikan
masalah ini dengan segera. Sebenarnya ini bukan masalah yang besar pun” Cikgu
Fatimah memulakan perbualan.
“Saya bermula dengan Afiq dulu ye. Afiq, cikgu nak tahu kenapa kamu asyik kacau
Fatimah di kelas. Apa yang dia buat?”
“Cikgu…Saya sebenarnya tidak ada niat nak kacau Fatimah. Saya hanya bergurau
dengan dia. Saya nak biasakan diri saya selesa semasa saya berada di kelas. Saya ni
anak tunggal dalam keluarga saya. Ibu bapa saya pula kerja dari pagi sehingga
malam. Hanya nenek dan saya sahaja duduk kat rumah. Jadi, bila saya datang
sekolah saya rasa seronok sebab ada kawan–kawan dan saya boleh bermain serta
bergurau dengan mereka.” Afiq beritahu latar belakangnya dengan nada suara yang
rendah menunjukkan dia memerlukan kasih sayang.
Cikgu Aminah dan Fatimah tidak dapat bercakap sepatah perkataan. Mereka hanya
tahu Afiq yang aktif dan ceria. Mereka tidak menjangka perkara ini daripada dia.
“Baik Afiq.Cikgu faham perasaan awak.Afiq boleh anggap kawan–kawan kamu
sebagai keluarga awak. Jika Afiq ada apa-apa masalah boleh kongsi dengan saya.
Saya sebagai Cikgu kamu pasti akan menolong. Anggaplah Cikgu sebagai ibu kamu.
Namun, cikgu nak bagi nasihat sikit pada kamu.Boleh tak?”
“Mesti boleh, cikgu,” jawab Afiq dengan tenang.
“Afiq ni seorang murid yang cerdik. Markah semua tinggi. Namun, bila kamu bergaul
dengan orang lain perlakuan kamu mestilah bersopan santun. Semasa kamu berbual
dengan seseorang mesti menggunakan bahasa yang sopan. Kesantunan berbahasa
itu amat penting tahu tak, Afiq? Selain itu, jika kamu mengambil atau meminjam
barang orang lain perlulah pulangkan kepada mereka. Hal itu menunjukkan kamu
ialah seorang yang bertanggungjawab dan hormat perasaan orang lain. Faham Afiq?”
71
“Faham Cikgu. Saya tidak akan mengulangi kesilapan ini.” jawab Afiq.
“Lagi satu perkara cikgu nak kongsi. Latar belakang keluarga Fatimah bukan sama
dengan kamu, Afiq. Ayah dia telah meninggal dunia dan ibunya menyara keluarga
dengan membuat perniagaan kecil. Fatimah pun menolong ibunya menjual kuih.
Nak beli satu pen pun bukan senang kerana keadaan keluarganya begitu. Fatimah
telah menempuhi kesusahan dan pengalaman kehidupannya menjadikan dia
sebagai seorang yang bersopan serta berbudi bahasa. Dia banyak bergaul dengan
orang tua dan ini menyebabkan bahasa dia santun.” Cikgu Aminah terangkan situasi
Fatimah kepada Afiq.
“Saya minta maaf Fatimah terhadap kesalahan saya yang tidak memulangkan barang
barang kamu. Saya tidak tahu kamu ada begitu banyak kesusahan,” kata Afiq
dengan penuh rasa bersalah. Fatimah mengangguk kepalanya sebagai tanda
menerima permintaan maaf itu.
“Baik. Dari sudut pandangan cikgu, kamu berdua tidak bersalah hanya tidak
memahami keadaan. Sebagai seorang kawan kita perlulah memahami perasaan
rakan kita. Walaupun kawan, bahasa yang digunakan semasa bergaul itu perlulah
sopan dan santun. Saya rasa kamu dah memahami antara satu sama lain. Cikgu
berharap nasihat yang cikgu bagi ini berguna kepada kamu.” kata Cikgu Aminah
dengan tenang.
72
Hina Dunia oleh Ahmad Izzat Fathi Bin Ahmad Munif
E-mel: [email protected]
Azan asar berkumandang menandakan telah tamat waktu kelas persediaan
petang. Azmi mula menyimpan dan menyusun semula buku-buku yang
digunakannya untuk mengulang kaji. Dia sering berpegang pada nasihat ibunya
agar tidak lewat mendirikan sembahyang. Peperiksaan SPM yang bakal
didudukinya tidak lama lagi menyebabkan dia sering mengulang kaji sewaktu kelas
persediaan sehingga ke larut malam. Usai mengemas dia pun terus berjalan menuju
ke surau sekolahnya yang terletak berdekatan dengan bahagian asrama. Selepas
mengambil air sembahyang, dia pun terus menunaikan kewajipan secara berjemaah
dengan pelajar-pelajar lain. Setelah memberi salam baru dia menyedari bahawa
rakan sekelasnya, Farid, juga sembahyang bersebelahan dengannya.
“Kau dari kelas ke?” Farid memulakan perbualan.
“Ya,” jawabnya sepatah.
Agak janggal dengan kelakuan rakannya itu, dia menyoal lagi. “Esok hari pulang ke
kampung, kau sudah beli tiketkah?” seraya bangun.
“Sudah.” Seperti kebiasaannya, Azmi akan membeli tiket bas daripada Terminal
Bas Bentong ke Stesen Bas Alor Gajah iaitu stesen bas terdekat dengan rumahnya.
“Kau sudah ada ideakah nak pakai baju apa sewaktu hari graduasi nanti? Temanya
telah diumumkan oleh Tuan Pengetua iaitu formal and elegance,” tambah Farid
lagi.
“Entahlah, aku pun belum buat apa-apa keputusan lagi,”
Malam tersebut, Azmi telahpun mengemas barang dan beg supaya tidak kelam-
kabut keesokan harinya. Selepas tamat kelas, dia pun bergegas menunaikan
sembahyang Jumaat di surau dan terus menaiki van yang disediakan pihak sekolah
untuk dihantar ke stesen bas bagi pelajar yang menaiki bas. Pihak sekolah juga ada
menyediakan sebuah bas yang menghantar pelajar-pelajar yang menaiki kapal
terbang di lapangan terbang memandangkan pelajar yang menaiki kapal terbang
lebih ramai jumlahnya. Sepanjang perjalanan Azmi ke stesen bas, dia melihat
banyak kenderaan mewah menunggu pelajar di sekitar kawasan sekolah. Terdapat
juga, pemandu-pemandu peribadi yang segak berkod sedang menunggu mereka.
Azmi hairan kerana pada asalnya, penubuhan sekolahnya itu adalah bertujuan untuk
membantu anak-anak orang luar bandar dan kurang berkemampuan untuk
menyambung pelajaran ke peringkat menengah. Sebaliknya, pelajar di sekolah
tersebut majoritinya merupakan anak orang kenamaan dan orang berpangkat.
Lamunannya terhenti sebaik sahaja van tiba di Terminal Bas Bentong.
74
Perjalanan mengambil masa lebih kurang tiga jam menaiki bas ekspres. Sebaik tiba
di Stesen Bas Alor Gajah, Azmi terus menuju pasar bersebelahan stesen bas
tersebut. Di situ merupakan tempat kebiasaan ayahnya menunggu dia setiap kali
pulang ke kampung. Dia terus masuk ke dalam Proton Saga lama milik ayahnya dan
mereka terus bersalam. Setibanya di rumah, hari pun telah senja. Penat perjalanan
jauh dari Pahang ke Melaka masih terasa. Malam tersebut dia nyenyak tidur di atas
tilam yang sudah nipis di ruang tamu. Dia tidak mempunyai bilik tidur di rumahnya
kerana rumahnya merupakan rumah kampung biasa sahaja.
Awal pagi esoknya, Saleha, ibu kepada Azmi dan ayahnya telah keluar menoreh di
ladang getah milik ketua kampung. Setelah itu, mereka perlu menghantar ibu
kepada Saleha untuk menjalani rawatan hemodialisis di sebuah pusat hemodialisis
di Melaka. Bau getah masih lagi kuat di tangan mereka. Setelah menjalani rawatan,
mereka pun pulang ke rumah. Azmi memberitahu tentang pakaian majlis graduasi
sekolahnya.
“Abang Long sekadar memberitahu ayah dan ibu sahaja. Abang Long tidak
mengharapkan ibu dan ayah mencari pakaian untuk tema tersebut,” katanya.
“Itulah, ayah bukan tidak mahu belikan kamu, tetapi melihatkan kepada harga
pakaian untuk tema tersebut adalah di luar kemampuan kita Azmi. Kita bukan
golongan berada seperti mereka,” balas ayahnya.
“Bukankah sekolah tersebut ditubuhkan oleh Majlis Tanggungjawab Rakyat
(MATARA) untuk membantu golongan kurang berkemampuan. Abang Long perasan
sejak berada di tingkatan satu lagi, sekolah tersebut dimonopoli oleh golongan
atasan,” Azmi terus menyuarakan apa yang berada di pemikirannya. Ayahnya
memandang ibunya dengan pandangan yang sedih.
“Azmi, kamu diterima masuk ke sekolah tersebut pun merupakan suatu bentuk
matlamat MATARA iaitu membantu orang susah,” Saleha terus memujuk Azmi.
Jauh di sudut hatinya, dia sangat hiba apabila mengingat semula betapa susahnya
dia bersama suaminya membuat rayuan di pejabat MATARA untuk anaknya
menyambung pengajian di sekolah tersebut.
Tarikh peperiksaan SPM yang ditunggu-tunggu kini tiba. Azmi yang sudah
mengulangkaji semua mata pelajarannya melangkah masuk ke dalam dewan
dengan sangat yakin. Tujuannya hanya satu iaitu untuk lulus cemerlang dalam
peperiksaan. Hal ini kerana syarat untuk mendapatkan biasiswa MATARA untuk
menyambung pengajian di universiti adalah memperoleh A dalam semua mata
pelajaran. Usaha serampang dua mata itu bukan sahaja dapat melayakkan dia untuk
mendapat biasiswa MATARA namun untuk membanggakan kedua ibu bapanya juga
yang sudah bertungkus-lumus membesarkan dia dan adik-beradik lain. Dengan
nama Tuhan yang Maha Esa, dia mula menjawab soalan dalam kertas peperiksaan
satu per satu.
Berkat usaha Azmi belajar dengan tekun dan doa kedua ibu bapanya, dia berjaya
memperoleh keputusan cemerlang dan mendapat A dalam semua mata pelajaran
yang diambil olehnya. Ramai guru dan rakannya mengucapkan tahniah kepadanya
pada hari penyerahan keputusan peperiksaan.
75
“Azmi, kamu jangan lupa untuk mohon biasiswa MATARA. Biasiswa tersebut dapat
membiayai kos pengajian kamu di universiti kelak,” terang guru kelasnya setelah
mengucapkan tahniah kepada Azmi.
“InsyaAllah cikgu, jika ada rezeki saya untuk mendapat biasiswa itu, maka dapatlah
saya. Terima kasih kerana mengajar saya selama ini, cikgu,” balasnya.
Antara sebab Azmi sangat terkenal dalam kalangan guru-guru adalah kerana
peribadinya yang sangat sopan dan sangat santun dalam berbahasa.
“Tuan Pengetua, kuota pelajar untuk mendapat biasiswa ini adalah seramai 10
orang manakala pelajar yang memohon pula ada 11 orang. Bagaimana kita mahu
tentukan siapa yang akan dapat?” soal Encik Idris kepada Pengetua Maktab Majlis
Tanggungjawab Rakyat, Bentong.
“Tidak mengapa, Encik Idris senaraikan dahulu nombor satu hingga sepuluh,” balas
Tuan Pengetua.
“Nampaknya pelajar kesepuluh ialah Azmi dan pelajar kesebelas ialah Nurul,” ujar
Encik Idris setelah selesai menyenaraikan nama pelajar.
“Kalau begitu, keluarkan nama Azmi dan gantikan dengan nama Nurul,” balas Tuan
Pengetua pula.
“Mengapa Tuan Pengetua tidak beri cadangan pada pihak tertinggi MATARA agar
ambil sahaja kesemua pelajar yang cemerlang untuk dibiaya yuran pengajian
mereka,” kata Encik Idris.
“Tidak semudah itu, Encik Idris. Itu yang mereka mahukan,” kata Tuan Pengetua
pula.
“Kalau begitu, tidak adil untuk saya keluarkan nama Azmi dalam senarai. Hal ini
kerana dia juga cemerlang sama dengan pelajar lain. Tambahan pula, dia datang
dari keluarga yang kurang berkemampuan. Nurul pula merupakan anak orang
besar. Keluarga dia tiada masalah untuk menanggung kos pengajiannya hatta di
universiti swasta sekalipun,” bantah Encik Idris.
“Tidak boleh begitu, sekolah telah terhutang budi banyak dengan Datuk Seri
Rizuan. Dia telah biaya banyak program sekolah sejak Nurul berada di tingkatan
satu lagi. Hari sukan tahunan selama lima tahun belakangan ini merupakan
sumbangan Datuk Seri, jamuan hari guru pun ditanggung oleh Datuk Seri. Malahan,
majlis graduasi pelajar tingkatan lima yang diadakan di hotel mewah itu pun turut
Datuk Seri tanggungkan. Tambahan pula, Datuk Seri ada meminta tolong saya
untuk memasukkan nama Nurul dalam senarai pelajar penerima biasiswa. Awak
sekadar guru biasa, Encik Idris. Awak bukan juga orang yang selalu berurusan
dengan Datuk Seri seperti saya,” kata Tuan Pengetua begitu angkuh.
76
Masa yang ditunggu-tunggu oleh Azmi telah tiba. Hari ini, dia akan mengetahui
bahawa dia berjaya mahupun tidak untuk mendapatkan biasiswa MATARA. Senarai
telah disiarkan di laman web sekolah. Sebaik sahaja meneliti senarai nama
tersebut, Azmi terus mengalirkan air mata kekecewaan.
“Hinakah golongan seperti aku di dunia ini?”
Tamat
77
ULANG
AISYAH ADRIANA
Ulang oleh Aisyah Adriana Binti Mohd ‘Asri
E-mel: [email protected]
Hatiku berdegup deras mengalahkan kuda berlari dalam perjalanan pulangku ke
tanah air yang tidak pernah walau sekali sepanjang 17 tahun kehidupanku
menjejakkan kaki ke situ. Walaupun hati terasa berat meninggalkan kota sibuk
Vancouver, hasrat arwah kedua orang tuaku untukku pulang bertemu nenek harus
aku tepati. Perjalanan selama 19 jam itu terasa sangat sekejap dengan kegelisahan
jiwa diselangi bunyi dengkuran penumpang di sebelahku.
Setelah tibanya pesawat di lapangan terbang KLIA 2, fiilku seperti rusa masuk
kampung kerana tidak biasa berada di negara orang. Bukanlah ertinya aku tidak
pernah menjejakkan kakiku ke lapangan terbang. Namun ketiadaan ibu bapaku
telah banyak merumitkan keadaan ditambah pula pada waktu itu kemudahan
teknologi masih belum berkembang pesat. Kemudian, tanpa melengahkan masa,
aku mula bertanya di kaunter pertanyaan dan terus menuju ke stesen bas yang akan
berhenti di destinasi tujuanku, Kampung Perpaduan iaitu sebuah perkampungan
kecil di pinggir kota.
Setibanya aku di kampung berkenaan, aku mulakan pencarianku untuk
mengetahui keberadaan nenek dengan bertanya kepada orang kampung. Aku
sangat bersyukur kerana Bahasa Melayu yang diajarkan oleh kedua ibu bapaku
masih belum pudar walaupun bunyinya agak kekok untuk didengari. Bapaku sering
bercerita akan kebaikan serta kesantunan bahasa orang kampung tanpa jemu dan
tanpa jemu jugalah aku menadah telinga mendengar.
Namun, alangkah terkejutnya aku apabila setiap persoalanku yang diakhiri dengan
senyuman lebar pasti akan dibalas dengan herdikan mahupun hinaan. Bukan
seorang dua, malah hampir semua penduduk kampung yang aku lemparkan soalan
tersebut memberikan jawapan balas yang sangat kasar.
“Ei, kau ni menyusahkan betullah!”
“Eh, manalah aku tahu! Kau tanyalah orang lain,”
“Kau ni dari mana? Tak payah nak acah mat salleh la. Cakap elok-elok sikit!”
Dan pelbagai lagi makian dan gersakan yang aku terima tanpa tahu asbab
mengapa diriku dilayan seperti itu. Hari semakin melabuhkan tirainya. Hatiku yang
masih remuk akibat kematian orang tuaku mula berputus asa dan ingin pulang ke
ibu kota.
Sementara menunggu bas di stesen bas di hujung kampung, seorang perempuan
cantik bayaku mendekatiku. Rambutnya sangat ikal dan wajahnya sungguh indah.
Kulitnya berwarna kuning langsat sangat sesuai dengan kurung kuning keemasan
yang dipakainya.
79
“Nama aku Mona. Kau bukan orang sini kan? Tak pernah nampak pun. Kau nak ke
mana?”
Bertalu - talu soalan diajukan kepadaku. Namun, inilah pertama kali seseorang
disini bercakap kurang kasar dengan aku.
“Orang panggil aku Addy. Haah aku bukan orang sini tapi aku mencari Nenek
Rokiah.” Seperti biasa kenyataanku diakhiri senyuman lebar. Walaubagaimanapun,
ekspresi Mona pula berubah sugul.
“Nek Rokiah dah lama tiada. Tapi aku boleh bawakan kau ke rumahnya,”
Tanpa banyak bicara aku menuruti langkah Mona ke rumah nenek. Walaupun aku
kelihatan tenang, fikiranku agak kacau mendengarkan berita yang diberitahu Mona.
Setibanya di rumah nenek, kami bersetuju untuk bertemu keesokan harinya.
Malam tersebut aku bermimpi tentang ayah dan diarinya. Betapa ingin aku
meluangkan lebih banyak masa bersama ayah. Namun sejurus selepas ayah
memberitahu lokasi diarinya, aku terus terjaga dari mimpi bersama linangan air
mata yang pantas membasahi pipi putih kemerahanku. Aku terus menggapai
diarinya dari almari dan mula membaca isi kandungannya.
Sekali lagi aku sangat terkejut melihat apa yang ditulis ayah. Cerita ayah
mengenai penduduk kampung bukanlah hanya rekaan semata. Malah, ayah
merupakan ikon terkenal yang telah berjaya menyatukan dan menunjukkan teladan
yang terbaik sehingga mereka berubah. Pelbagai usaha yang ayah telah laksanakan
bagi mencapai matlamat itu. Namun, setelah ayah melanjutkan pelajaran dan
bertemu kekasih hatinya di Kanada, diari tersebut tidak terisi dan aku merasakan
tanggungjawab ayah telah diturunkan kepadaku.
Keesokan harinya, aku menceritakan apa yang telah aku jumpa dan berhasrat
untuk meneruskan legasi ayah. Mona mula menertawakanku dan berkata semua itu
adalah seperti menegakkan benang yang basah kerana penduduk kampung hanya
akan menghiraukan dua remaja yang masih mentah. Walaubagaimanapun, aku
berjaya menghasut Mona untuk meneruskan usaha ayah kerana bilangku, “belum
cuba, belum tahu”.
Kami berdua dengan sabarnya melaksanakan setiap usaha yang telah ayah
lakukan dahulu. Pertama sekali, kami cuba menegur mesra semua penduduk
kampung apabila terserempak. Andaian kami tepat. Semua orang menghiraukan
ucapan salam kami malah menjeling kami melalui ekor mata mereka. Selain itu,
kami juga mula menyebarkan penipuan yang baik iaitu dengan mengatakan bahawa
si fulan ini telah berkata baik tentang si fulan itu. Aku percaya di sebalik setiap
senyuman serta kekeliruan yang terpancar daripada wajah orang kampung
menandakan usaha kami sedikit sebanyak telah membuahkan hasil.
80
Di samping itu, kami juga telah banyak menunjukkan contoh yang terbaik yang
telah diajarkan Rasulullah. Pelbagai kata – kata hinaan telah dibisikkan dari telinga
ke telinga orang kampung sehingga ibu bapa Mona memberitahu kami akan perihal
tersebut.
“Budak baru tu mesti nak sampaikan ajaran sesat,”
“Kecoh betul dua orang budak tak cukup umur tu,”
“Yang sibuk sangat nak acah baik tu kenapa pula dah?”
Setiap celaan orang kampung tidak sedikitpun mematahkan semangat aku dan
Mona untuk terus mengubah sikap mazmumah penduduk kampung.
Lapan tahun telah pun berlalu, aku merenung ke luar jendela sambil mengendong
anak keduaku yang berumur belasan bulan. “Sayang, menung apa tu? Mari masuk
makan, sejuk nanti pasta tu” ujar suamiku dari dapur.
Aku kini meneruskan kehidupanku di tempat asal kelahiranku di Vancouver. Mona
pula telah melanjutkan pelajarannya ke kota raya dalam bidang kesusasteraan dan
sudahpun bertunang dengan pilihan hatinya. Khabar penduduk Kampung
Perpaduan pula sudah lama tidakku ambil tahu.
Keberadaanku selama dua tahun di sana enam tahun yang lalu telah banyak
mengajarku bahawa kesedaran individu juga sangat perlu untuk mewujudkan
sebuah komuniti yang mengagungkan kesusilaan dalam perhubungan. Segala
usaha yang dilakukan tidak akan pernah mencapai matlamatnya sekiranya
kerjasama tidak diberikan.
“Mummy, nanti ceritalah lagi tentang kampung grandpa dulu tu tau,” bilang
Raisya, anak pertamaku yang berusia lima tahun. Rutin menceritakan Raisya kisah
yang dahulunya pernah diabadikan oleh ayah setiap malam sebelum tidurku kini
diteruskan secara harian untuk mengajarkan anakku erti kesantunan yang
sepatutnya diamalkan. Walaupun kenyataannya kini, kisah tersebut hanyalah suatu
sejarah yang akan berulang entahkan bila.
81
MASA DEPAN DI TANGAN SIAPA? oleh Darshini A/P Anumanthan
E-mel: [email protected]
“Bangun…bangun semua, dah siang ni, matahari sudah terbit tinggi pun masih
tidur lagi budak-budak ni…”, begitulah teriakan ibu saya. Walaupun hari Ahad, ibu
tak bagi kami tidur, kejutkan kami dari pukul 7 pagi lagi. “Sarapan pun dah sejuk.
Bangun awal pagi banyak manfaatnya, boleh sembahyang, belajar, kamu ada
banyak masa untuk buat kerja sekolah dan boleh pergi tuisyen”, berleter ibu saya
lagi.
“Dah pukul 10.00 pagi, baru siap sarapan kamu semua. Basuh pinggan dan cawan
sendiri ya" arahan dari ibu. Saya dan Kriya ikut arahan ibu, abang Syoma dan Jivan
tak basuh pinggan sendiri. Mulalah ibu marah lagi. Kejar mereka sampai ikut
arahan. “Zaman kamu ini semua mudah ya. Pergi sekolah ayah hantar, buku dapat,
boleh pergi tuisyen, mainan dapat. Ada apa yang tak dapat? Semua dapatkan.
Sekarang fikir semua tanggung jawab kamu sebagai seorang anak. Tahu tak kamu
semua apa tanggung jawab kamu sebagai seorang anak?” tanya ibu dengan tujuan
mengetahui jawapan anak- anaknya. Saya dah mula fikir…kenapa pagi-pagi lagi
ibu nak menyoal kita seperti guru menyoal anak muridnya, tetapi belum saya jawab
abang Syoma dah jawab, belajar bersungguh-sungguh mak”. “Tahu pun
tanggungjawab kamu ya. Dah makan pergi belajar, buat kerja sekolah dan jangan
duduk menghadap TV.”,ibu mengarahkan kita.
“Zaman saya dulu ayah saya seorang sahaja yang kerja, kena menyara seramai
sepuluh orang ahli keluarga. Keutamaan diberikan kepada pendidikan anak-anak,
walaupun kena bayar yuran bulanan kepada empat orang anaknya. Terima gaji terus
ke sekolah untuk bayar yuran sekolah” ibu bermula bercerita tentang kehidupannya
pada masa dahulu. Berapa ringgit mak yuran yang dibayar untuk seorang anak?
tanya Jivan. “Tujuh ringgit seorang”, lantas ibu menjawab.
“HAHAHAHA”, kami ketawa mendengar cerita ibu. “Takkan dua puluh lapan
ringgit sebulan untuk empat orang anak itu mahal, murah kan mak?, tanya Syoma
dengan ketawa besar. “Ya lah itu, pandailah kamu menyindir atuk kamu”. Merajuk
ibu. “Tahun 60-an dulu, tahu tak gaji atuk berapa?”, ibu mula cerita lagi. Seratus
lima puluh ringgit sahaja. Kami adik beradik berasa bingung mendengar jumlah gaji
yang atuk terima. “Boleh menanggung 11 orang termasuk atuk?”, tanya Syoma. “Ya
sebab itu yuran dibayar dahulu sebelum membuat perbelanjaan lain”, kata ibu.
“Harga garam dulu 10 sen sekati, gula 30 sen, sekati”, “Apa itu kati-kati mak?
tanya Kriya dengan keliru. “Sekarang kita guna sistem metrik kilogram, dulu guna
kati untuk timbang barang”, kata ibu. “Oh gitu, patutlah gaji sikit pun boleh
hidup”, kata saya. “Ya betul tetapi tak boleh hidup mewah kerana duit tu cukup
untuk makan, bayar yuran dan bil sahaja setiap bulan, dan setiap tahun buku teks
kena beli sendiri. Beli buku-buku terpakai dari senior”, kata ibu.
83
Ibu menyambung lagi, “dulu abang saya yang sulung saja dihantar ke sekolah
aliran Bahasa Inggeris oleh ayah saya iaitu atuk kamu dengan harapan anak lelaki
akan menanggung tanggungjawab keluarga. Semua keutamaan diberikan kepada
dia. Tetapi dia tak gunakannya dengan baik. Yang lain semua dihantar ke sekolah
Tamil. Setiap kali terima kad laporan kemajuan akademik sekolah, markah merah.
Gagal semua subjek.” Atuk akan naik marah dan pukul dia. Dia akan melarikan diri.
Kakak-kakak saya akan dinasihatinya”. “Oh berat sebelah atuk kita, budak
perempuan tidak dipukul pula”, saya mencelah ketika ibu bercerita. “Ya begitulah
mereka diberi nasihat supaya belajar bersungguh-sungguh. Jika berjaya dalam
akademik kata atuk, boleh dapat kerja yang baik, gaji tinggi, hidup senang, tidak
perlu bergantung kepada orang lain. Nada suara atuk sangat lembut dan
menyentuh perasaan bukan kakak-kakak saya. Tetapi saya yang selalu menghayati
kata-kata atuk, walaupun saya belum ke bangku sekolah lagi ketika itu, saya akan
fikir kenapa mereka rasa susah untuk belajar walaupun diberi peluang untuk
belajar. Dari situlah ibu kamu ni belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat
ijazah sarjana muda. Tiada buku tambahan, tiada tuisyen semasa saya bersekolah
dulu, nak beli buku tambahan pun tak pernah minta duit dari atuk sebab atuk dah
bersara masa itu,” kata ibu.
“Saya juga selalu mengenang rakan sejawatnya yang bernama Dr.Fatima”, ibu
bercerita lagi. “Semasa Dr. Fatimah mendapat doktor falsafah dia menjadi inspirasi
bagi saya. Mengikut cerita Dr. Fatimah bukan dia seorang sahaja yang berjaya
peringkat ini. Malah, ada lima orang adik-beradik dia berjaya ke peringkat ini
daripada dua belas orang”. Ibu menyambung lagi, keadaan hidup keluarga Dr.
Fatimah amat susah lagi berbanding dengan keluarga ibu pada zaman itu”. “Ohh.
ya?”, tanya Jivan. “Susah macam mana pula mak?”, tanya Syoma. “Mereka hidup di
kampung, nak makan sehari sekali pun susah. Ayahnya buat surat yang tertera
kesusahan dan memiskinan keluarganya dalam surat itu untuk meminta bantuan
dari orang lain. Dr. Fatimah sendiri pernah meminta duit dengan membawa surat
itu. Hasil kutipan itu akan diguna untuk menyara keluarganya. Tambahan lagi,
rumah mereka tiada daun tingkap, guni jadi langsir tingkap untuk bilik budak-
budak perempuan, pakaian pun tidak pernah beli yang baru, semuanya pemberian
orang, pakaian terpakai. Walaupun dah berjaya ke peringkat ini Dr. Fatimah tidak
pernah lupa liku-liku hidupnya yang jauh sangat berbeza dari keluarga saya”, kata
ibu. Ibu dulu tak pernah lapar, makan empat kali sehari, pakaian cukup, tinggal di
rumah kerajaan, kerana atuk kerja kerajaan dan atuk mendapat gaji bulanan. Makan
minum tak pernah kurang, tetapi kenapa adik beradik ibu tak berjaya? Itu lah yang
menjadi suatu persoalan yang masih tidak dapat dijawab. Adik-beradik Dr. Fatimah
semuanya berjaya dan hidup senang. Menjawat jawatan tinggi di Jabatan Kerajaan.
Kejayaan Akademik dapat mengubah nasib sebuah keluarga miskin” kata ibu
dengan penuh keyakinan.
84
“Ahli keluarga yang tidak pernah menghayati nasihat ibu bapa akan gagal dalam
hidup mereka. Faham tak?”, tanya ibu kepada kami. Kami mengangguh kepala
sebagai tanda setuju dengan ibu. Baik, sudah semua pergi belajar bersungguh-
sungguh. Ingat, kamu dapat semua yang kamu mahu. Ada semua kemudahan untuk
belajar, ayah kamu pula sanggup belanja ribuan ringgit untuk menghantar kamu ke
tuisyen. Masa ayah kamu juga digunakan untuk menghantar dan membawa balik
kamu dari sekolah dan pusat tuisyen, buku-buku tambahan dibelinya tanpa kira
harga. Jika kamu masih tak dapat membuktikan kejayaan akademik kamu, ibu tak
tahu nak cakap apa.” kata ibu. Ibu boleh guna rotan macam atuk untuk pukul
Syoma dan Jivan mak” kata Kriya.” Hah…. Hah…. Hah… semua mula ketawa
mendengar kata-kata Kriya.
Ibu pun beredar ke dapur untuk meneruskan tugasan hariannya. Saya pun
termenung memikirkan cerita ibu. Betul ke cerita ibu tu? Cerita benar atau rekaan,
ia masih menjadi inspirasi kepada saya. Saya pun mula membuka buku sejarah dan
mengambil nota ringkas sebagai persediaan awal untuk menghadapi SPM yang
bakal tiba.
85
KISAH SEORANG GADIS oleh Eliza Kong Yuiin Li
E-mel: [email protected]
KISAH SEORANG GADIS oleh Eliza Kong Yuiin Li
E-mel: [email protected]
Saya merupakan rakan sekelas dengan seorang gadis yang amat kurang ajar.
Mungkin orang lain tidak tahu personaliti sebenar dia, kerana dia memang seorang
yang amat menjaga penampilan dirinya di depan orang lain. Tetapi, saya memang
tahu perangai sebenar dia semasa di rumah. Ini kerana saya merupakan jiran dia,
dan ibu kami adalah kawan baik yang selalu bergosip.
Alia merupakan pelajar cemerlang di kelas saya, dan juga merupakan jenis yang
ringan tulang. Dia juga mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sekelas kami
kerana dia selalu bersedia untuk membantu orang lain apabila mereka menghadapi
masalah dalam pelajaran mereka.
Guru-guru juga amat menyukai Alia kerana dia selalu berkelakuan baik dan tidak
pernah menimbulkan masalah di dalam kelas. Dia juga merupakan jenis murid yang
selalu memberi salam kepada guru apabila berjumpa di koridor, tidak seperti
pelajar lain yang pura-pura tidak nampak cikgu dan tidak memberi salam kepada
mereka.
Namun, kisah yang berbeza berlaku ketika dia berada di rumah. Saya memang
tidak faham bagaimana dia boleh bersikap sopan kepada guru dan rakan
sekelasnya, tetapi kemudian melayan keluarganya dengan begitu kurang ajar. Alia
sebenarnya seseorang yang mudah marah. Sudah biasa keluarga saya mendengar
bunyi menjerit dari rumahnya. Selalunya, keluarga saya akan makan malam dengan
tenang, tiba-tiba jeritan dari rumah sebelah akan mengganggu kami.
Biasanya, pertelingkahan yang berlaku juga disebabkan perkara kecil, seperti ayah
Alia yang telah mengambil udang tempura yang terakhir. Saya dapat memahami
kemarahan dia, tetapi cara dia bercakap dengan ahli keluarga memang tidak sedap
didengar.
Saya tahu saya kelihatan macam seorang yang suka menjadi penyibuk, tetapi saya
bukan sengaja ingin mengambil tahu hal orang lain. Saya tidak suka mencampuri
hal orang lain, dan memang tidak sengaja mendengar perbualan mereka. Ini adalah
kesalahan Alia sendiri yang sentiasa menyiarkan masalahnya dengan jeritan yang
kuat.
Pada suatu hari, Mak Cik Amirah, iaitu ibu Alia, telah singgah di rumah saya untuk
jamuan teh bersama dengan ibu saya.
"Selamat petang, apa khabar Mak Cik hari ini? Adakah Mak Cik ingin mencuba kek
lapis ini?" Saya bertanya sambil menolong ibu menghidangkan kuih muih.
"Ah, anak perempuan anda selalu sangat sopan!" Dia memuji sambil menjangkau
untuk mengambil sepotong kek. “Tidak seperti Alia saya. Saya betul-betul tidak
tahu apa yang sedang berlaku dengan gadis itu. Saya telah memesan kepadanya
bahawa jika dia tidak berhati-hati, sesuatu akan berlaku dan dia akan menyesal
menjadi orang yang kurang ajar."
87