SIKRIEAMSBROAJMA A
Mengejar
Bintang
Wan Nor Saedah
SIKRIEAMSBROAJMA A
Mengejar
Bintang
PENERBIT TETRA SINAR
3–4–20, Jalan 3/149B,
Taman Sri Endah,
Bandar Baru Sri Petaling,
57000 Kuala Lumpur.
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Wan Nor Saedah
Mengejar bintang / Wan Nor Saedah.
(Siri asrama kemboja)
ISBN 983-111-263-6 (set)
ISBN 983-111-267-9
1. Malay fiction I. Judul. II. Siri.
899.2333
© Penerbit Tetra Sinar
Cetakan Pertama 2004
Semua hak cipta terpelihara. Sebarang bahagian dalam buku ini tidak
boleh diterbitkan semula atau dipindahkan dalam sebarang bentuk atau
dengan sebarang cara, baik dengan cara elektronik, mekanik,
penggambaran ataupun sebaliknya tanpa izin yang bertulis terlebih
dahulu daripada Penerbit Tetra Sinar.
MENGEJAR BINTANG
Julia mengambil bahagian dalam pertandingan
Sinaran Bakat Kemboja yang menjadi acara tahunan
di Asrama Kemboja. Atisya yang sudah dua tahun
menjuarai pertandingan itu membuat rancangan
untuk menggagalkan Julia. Walau bagaimanapun,
rancangan itu tidak berjaya. Julia akhirnya muncul
sebagai juara menewaskan Atisya.
Tidak lama selepas itu, Julia menyertai
pertandingan nyanyian anjuran sebuah stesen
televisyen swasta pula. Sekali lagi Julia muncul
sebagai juara lalu mendapat tawaran untuk
merakamkan album.
Julia mula tenggelam dalam angan-angannya
untuk menjadi penyanyi terkenal. Dia sanggup
meninggalkan Asrama Kemboja dan berhijrah ke
Kuala Lumpur untuk bergiat secara aktif dalam
bidang nyanyian. Berjayakah Julia mengejar
impiannya itu? Berbaloikah tindakan Julia
mengorbankan pelajarannya demi impiannya itu?
Anda akan dapat mempelajari sesuatu yang amat
berharga daripada pengalaman yang dilalui Julia.
BAB 1 – 10
11 – 21
1 Bakat Terpendam 22 – 33
34 – 42
BAB 43 – 49
50 – 58
2 Bakat Baru Bersinar 59 – 68
69 – 79
BAB 80 – 89
90 – 97
3 Juara Baru Muncul 98 – 108
BAB
4 Kembali Terjalin
BAB
5 Menggenggam Bara
BAB
6 Dalam Dilema
BAB
7 Mengikat Kontrak
BAB
8 Bintang Bersinar
BAB
9 Mabuk Glamor
BAB
10 Tidak Seindah Bagai Disangka
BAB
11 Pengajaran Berharga
1 Bakat Terpendam
Era, Shida, Juren, dan Molly duduk di atas katil dan
berlagak sebagai penonton. Mereka terus bertepuk tangan
sebaik-baik sahaja Julia selesai menyanyikan sebuah lagu
yang dipopularkan oleh penyanyi remaja yang terkenal,
Ellysa.
“Hah, macam mana? Sedap tak suara saya?” tanya
Julia yang ingin mendapatkan komen daripada kawan-
kawannya itu.
“Suara awak memang sedap. Awak ini memang
berbakatlah, Ju,” puji Era.
“Suara awak memang sedap, ada class!” Giliran Molly
pula memuji gadis yang berambut panjang itu.
“Bukan setakat mempunyai suara yang sedap, awak
juga pandai menari dan berkomunikasi dengan penonton!”
tambah Shida.
Julia tersenyum. Kembang hati Julia mendengar
pujian daripada rakan-rakan sebiliknya itu. Dia memang
menyedari bakat nyanyian yang ada pada dirinya.
1
Sesekali, dia teringin mempamerkan bakatnya itu.
Walau bagaimanapun, dia tidak pernah berkesempatan
untuk berbuat demikian kerana ditentang oleh ibu dan
ayahnya walaupun sekadar untuk suka-suka.
“Janganlah berangan nak jadi penyanyi pula, Ju. Mak
tak suka.” Puan Junainah meleteri Julia setiap kali
mendengar Julia menyanyi ketika berada di rumah.
“Alah, mak ni, Ju bukan nak jadi penyanyilah,
sekadar suka-suka untuk menghiburkan hati,” balas Julia
lalu memasamkan mukanya.
“Tak elok anak dara menyanyi di dapur nanti dapat
suami tua!” kata Puan Junainah lagi.
“Ke situ pula mak ni!” rungut Julia.
Semenjak tinggal di Asrama Kemboja, barulah Julia
berasa bebas untuk menyanyi. Apatah lagi, dia selalu
mendapat sokongan daripada rakan-rakan sebiliknya.
“Betullah, suara awak mirip suara Ellysa,” tokok
Molly pula.
“Hesy..., tak mahulah saya.” Julia mengerutkan
dahinya.
“Tak mahu jadi macam Ellysa?” usik Juren, gadis
lemah lembut yang berasal dari Perlis.
2
“Bukan tak mahu terkenal seperti Ellysa tu. Kalau
saya jadi penyanyi, saya mahu bina identiti saya tersendiri.
Saya tidak mahu disamakan dengan penyanyi popular tu!”
balas Julia yang mula memasang angan-angan.
“Hai, belum apa-apa lagi dah berangan-angan!” Era
mencebikkan bibirnya.
“Kita mesti berangan-angan terlebih dahulu, cik adik
oi! Dari angan-angan itulah kita realisasikan menjadi
kenyataan!” Julia berfalsafah.
“Ini tak ada perkara lainlah ni..., asyik-asyik
menyanyi, menyanyi!” bebel Azlin yang masuk ke bilik itu
secara tiba-tiba setelah pulang dari mengulang kaji
pelajaran di perpustakaan.
Semua yang ada di situ terkejut dengan kemunculan
Azlin secara tiba-tiba. Masing-masing terus diam. Azlin
pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan
Datuk Menteri adalah yang paling tua di dalam bilik itu.
Azlin yang bersikap tegas tetapi baik hati itu telah dianggap
sebagai ketua oleh Shida, Era, Molly, Juren, dan Julia. Azlin
juga seorang yang rajin belajar dan digelar ulat buku.
Sebab itulah mereka amat menghormati Azlin dan tidak
berani melawan kata-katanya.
“Hei, apalah awak ni, Ju! Asyik menyanyi saja. Tak
kira di mana, baik di dewan makan, di dalam bilik, dan di
perpustakaan pun awak boleh menyanyi. Kalau di dalam
3
bilik air tu, tak usah kira lagilah. Kalau boleh sampai nak
pecah tekak dibuatnya!” Azlin terus meleteri Julia.
Julia yang pada waktu itu berlagak seperti seorang
penyanyi yang sedang beraksi di atas pentas memandang
Azlin dengan tersipu-sipu kerana malu. Era, Shida, Juren,
dan Molly geli hati melihat telatah Julia. Azlin terus
memandang Julia sambil membulatkan matanya. Beberapa
buah buku yang dibawanya terus diletakkan ke atas meja.
Era, Shida, Juren, dan Molly tidak berani bersuara
lagi kerana mereka sedar Azlin pasti sedang marah kerana
tidak suka akan perbuatan Julia sebentar tadi.
“Ini apa? Lampu suluh pun buat main. Nanti kalau
bekalan elektrik terputus, mana nak cari?” rungut Azlin
yang menganggap mereka seperti adik-adiknya,
maklumlah dia anak bongsu dalam keluarganya.
Sekali lagi, Julia tersipu-sipu. Dia mengunjukkan
lampu suluh yang dipegangnya itu kepada Azlin yang
berdiri di hadapan meja tulisnya.
“Ada ke patut lampu suluh kita dijadikannya
mikrofon!” rungut Azlin sambil mengambil lampu itu dari
tangan Julia dengan kasar lalu menyimpan lampu itu di
dalam lokarnya.
Sekali lagi Era, Shida, Molly, dan Juren tidak dapat
menyembuyikan rasa geli hati mereka melihat telatah Julia
4
5
dan Azlin. Julia berlagak kebodoh-bodohan seperti seorang
anak yang berhadapan dengan seorang ibu yang garang.
“Menyanyi saja tahu, belajar culas!” Dalam
rungutannya itu Azlin sempat menyelar Julia dengan tujuan
untuk mengingatkannya.
“Alah, Kak Alin, saya nyanyi untuk suka-suka saja,”
rengek Julia.
“Memanglah betul Ju nyanyi sekadar untuk suka-
suka, tapi waktu ni waktu belajar, bukan waktu untuk
menyanyi,” balas Azlin dengan bersungguh-sungguh.
Shida, Era, Molly, Juren, dan Julia terkulat-kulat
memandang Azlin. Tempelakan Azlin tu memang kena
pada batang hidung mereka. Sepatutnya, ketika itu waktu
untuk mereka belajar, bukannya untuk main-main.
“Maaf..., maafkan saya, Kak Alin.” Sambil tersengih-
sengih Julia meminta maaf daipada Azlin.
Sementara itu, Era, Shida, Molly, dan Juren terus
menikus. Mereka mula membelek buku-buku masing-
masing.
“Kalau Ju betul-betul nak tunjukkan bakat Ju tu, ada
tempatnya. Biar semua penghuni Asrama Kemboja ni tahu
Ju memang ada bakat menyanyi, bukan di dalam bilik ini
saja!” Azlin kembali bersuara tetapi kali ini nada suaranya
tidak tinggi lagi.
6
“Er..., di mana, Kak Alin?” Julia yang kini sudah pun
berada di meja tulisnya bertanya kepada Azlin.
“Pertandingan Sinaran Bakat Kemboja. Pertandingan
itu menjadi acara tahunan di Asrama Kemboja sejak tiga
tahun yang lalu dan akan diadakan lagi,” beritahu Azlin.
“Bila?” Julia segera bertanya.
“Minggu hadapan,” balas Azlin ringkas.
Molly, Shida, Juren, dan Era memandang Julia seperti
memberi galakan supaya Julia turut sama menyertainya.
“Mana Kak Alin tahu?” tanya Era.
“Kak Alin baca posternya pada papan kenyataan
petang tadi,” jelas Azlin sambil mengemas buku-buku di
atas mejanya yang masih berselerak.
Julia mengerutkan dahinya. Bagaimana dia boleh
tidak perasan poster itu sedangkan semasa balik dari
dewan makan petang tadi, dia lalu di hadapan papan
kenyataan itu?
“Di situ nanti, Ju boleh menunjukkan bakat Ju. Kalau
setakat di dalam bilik ni tiada siapa yang tahu Ju ada bakat
menyanyi kecuali kami saja,” kata Azlin lagi berbaur
sindiran.
“Hah, apa lagi, Ju, masuklah!” gesa Shida.
7
“Ah, tak mahulah!” Julia masih belum berani untuk
menyertai pertandingan seumpama itu.
“Kenapa pula tak mahu?” soal Azlin sambil
memandang Julia.
Julia tersipu-sipu sambil memandang kawan-
kawannya. “Saya... saya malulah!” Julia berterus terang.
“Malu pula!” Azlin mengejek. “Kalau malu, macam
mana Ju nak tunjuk bakat Ju yang terpendam tu?”
“Alah, apa yang hendak dimalukan?” Juren macam
tak setuju dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Julia.
“Yalah, Ju! Apa yang hendak dimalukan?” tanya Shida
pula.
“Kalau Ju betul-betul pandai menyanyi dan nak
penghuni Asrama Kemboja ini tahu Ju pandai menyanyi, Ju
mesti masuk pertandingan tu.” Azlin seperti mencabar Julia.
Julia memandang Azlin. Kemudian, dia mengalihkan
pandangannya ke arah kawan-kawannya yang lain.
“Okey..., saya akan masuk pertandingan tu!” Julia
akhirnya mahu menyahut cabaran Azlin.
Keputusan Julia untuk menyertai pertandingan itu
disambut dengan gembira oleh Shida, Juren, Era, dan Molly.
Azlin bangun dari kerusinya dan terus mendapatkan Julia.
8
“Hah, macam nilah yang Kak Alin mahukan,” kata
Azlin sambil menepuk-nepuk bahu Julia.
“Tapi...,” Julia mengangkat muka memandang Azlin.
“Tapi apa lagi, Ju?” tanya Azlin.
“Apa lagi, Ju? Awak tak berani?” Shida menduga.
“Ya. Saya rasa sudah tentu tidak akan memenangi
pertandingan itu,” balas Julia tawar. “Kamu semua kenal
Atisya, bukan?”
Masing-masing terdiam apabila Julia menyebut nama
itu. Atisya ialah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah
Kebangsaan Datuk Bendahara yang tinggal di asrama itu.
Semua penghuni Asrama Kemboja tahu bahawa Atisya
memang pandai menyanyi dan berbakat. Setiap kali ada
majlis di asrama itu, Atisya selalu diberi penghormatan
untuk menyumbangkan suaranya. Malah, gadis hitam
manis itu sudah beberapa kali memenangi pertandingan
nyanyian lagu-lagu tradisional peringkat negeri Pahang.
“Ju, jangan mudah berputus asa!” Era segera
mengingatkan Julia. “Belum cuba belum tahu!”
“Yalah, Ju.... Kak Alin tak sukalah macam tu....”
marah Azlin. “Kalau setakat menyanyi di dalam bilik ini
atau di dalam bilik air sahaja, sampai bila-bila pun bakat Ju
tidak akan berkembang!”
9
Julia diam. Dia tidak tahu mengapa Azlin tiba-tiba
sahaja begitu mendesaknya supaya dia memasuki
pertandingan itu. Sedangkan selama ini dialah yang paling
marah jika Julia menyanyi.
Julia berpendapat mungkin Azlin sengaja berbuat
begitu. Hal ini disebabkan dia mahu mengajarnya yang
selalu memekak di dalam bilik setiap malam sehingga
mengganggu dia hendak mengulang kaji pelajaran.
“Jika aku tewas di tangan Atisya nanti, tentu aku
tidak mahu menyanyi lagi kerana malu. Barulah senang
Kak Alin nak studi,” rungut Julia sendirian.
“Hei, apa yang Ju rungutkan ni?” Azlin dan rakan-
rakannya yang lain kehairanan melihat telatah Julia.
“Er..., tak ada apa-apa,” balas Julia tersengih-sengih.
“Hah, sekarang macam mana?” tanya Shida semula.
“Okey..., okey..., esok saya akan ambil borang untuk
menyertai pertandingan itu,” balas Julia yang bersetuju
dengan cadangan rakan-rakannya itu.
10
2 Bakat Baru Bersinar
Dewan Melati Asrama Kemboja penuh sesak. Selain
penghuni dan kakitangan Asrama Kemboja, ibu bapa dan
tetamu kehormat turut diundang untuk menyaksikan
Pertandingan Sinaran Bakat Kemboja yang diadakan pada
malam itu. Julia dan Atisya adalah antara peserta yang
akan bertanding pada malam itu.
Awal-awal lagi, iaitu ketika peringkat saringan yang
diadakan pada minggu lalu, Julia telah memberi saingan
hebat kepada Atisya. Julia telah mengatasi Atisya. Hal ini
menggugat kedudukan Atisya sebagai juara bertahan dan
sekali gus mengejutkan seluruh penghuni Asrama Kemboja
yang mengikuti perkembangan itu.
Setelah undian dibuat, Julia merupakan peserta
keenam yang akan muncul pada malam itu. Sementara
Atisya pula merupakan peserta ketujuh. Selepas lima orang
peserta mempersembahkan nyanyian masing-masing,
Azah dan Lidya yang menjadi pengacara pada malam itu
mengumumkan pemuzik yang mengiringi para peserta
pada malam itu berhenti rehat.
11
Sebagai acara selingan, sebuah kumpulan pelawak
terkenal telah diundang khas pada malam itu untuk
membuat persembahan.
“Mana Julia ni?” rungut Lidya, apabila menyedari
Julia tidak berada di belakang pentas.
“Yalah, sebentar lagi giliran dia membuat
persembahan,” ujar Azah pula. “Sepatutnya dia dah
bersedia sekarang.”
Kedua-dua orang pelajar yang menjadi pengacara
pada malam itu mencari-cari Julia.
“Sejak tadi lagi Julia tidak kelihatan di belakang
pentas ini,” celah Azura, pelajar Tingkatan Satu yang telah
selesai membuat persembahannya.
“Dia ke mana?” tanya Lidya kehairanan.
“Entahlah. Ketika peserta membuat undian tadi dia
ada di sini. Sejurus kemudian, dia tidak kelihatan lagi
sehinggalah saya selesai membuat persembahan, namun
dia tidak muncul-muncul juga,” beritahu Azura yang
merupakan peserta kedua pada malam itu.
Azah, Lidya, dan beberapa orang peserta lain
mencuba mencari Julia di sekitar kawasan itu. Ada yang
mengagak mungkin Julia ke bilik air.
12
“Eh, Atisya pun tak ada!” cetus Azah apabila
menyedari Atisya juga tidak kelihatan di situ.
“Mana pula dia pergi ni!” rungut Lidya. “Selepas
Julia, giliran dia pula membuat persembahan.”
“Baru sebentar tadi dia ada di sini. Agaknya dia ke
bilik air,” beritahu Syaliza, gadis tinggi lampai, yang
mengenakan gaun labuh berwarna hitam, yang juga
merupakan peserta terakhir pada malam itu.
“Macam mana ni...? Yang seorang tu telah lama
menghilang, dan yang ini pula baru sahaja menghilang,”
ujar Lidya yang mula kelam-kabut. “Mereka ni macam tak
tahu pula..., bukankah sebentar lagi mereka akan membuat
persembahan!”
“Relaks, Lidya,” tegur Azah sambil tersenyum melihat
telatah Lidya. “Senyumlah sikit, nanti cair pula mekap di
muka awak tu!”
“Hai, entahlah, Azah, baru pertama kali diberi
peluang menjadi pengacara, sudah jadi kelam-kabut pula!”
rungut Lidya.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, tanpa disedari oleh
mereka, kumpulan pelawak tersebut telah selesai membuat
persembahan. Azah bergegas naik ke atas pentas.
“Para penonton yang dihormati, kami telah
menghadapi sedikit masalah teknikal. Apabila masalah
13
teknikal ini dapat diatasi, peserta yang seterusnya akan
membuat persembahan. Minta para penonton bersabar.”
“Boleh!” Bergema jawapan penonton yang berada di
dalam dewan itu.
Azah berasa lega lalu bergegas ke belakang pentas
untuk memastikan sama ada Julia sudah bersedia untuk
membuat persembahan.
Dalam kekalutan itu, muncul Kak Rose. Kak Rose
merupakan salah seorang ahli jawatankuasa Pertandingan
Sinaran Bakat Kemboja. Dia ingin mengetahui apakah yang
sedang berlaku.
“Hah, Atisya, nampaknya awaklah yang terpaksa
menggantikan tempat Julia sebagai peserta seterusnya.”
Kak Rose terus mencari jalan penyelesaian.
“Mana Julia?” Atisya sungguh terkejut apabila
mengetahui Julia tidak juga muncul-muncul.
“Saya tak tahu di mana dia sekarang,” beritahu Azah
dengan gusar.
“Agaknya dia menarik diri kerana takut tewas di
tangan awak.” Azura mengusik.
“Tapi, Kak Rose...,” Atisya kelihatan cemas. Usikan
Azura itu seolah-olah tidak didengarinya.
14
“Usah berdalih lagi, Atisya. Awaklah penyelamat
keadaan,” gesa Kak Rose.
“Bagaimana dengan Julia?” tanya Atisya yang
mengenakan fesyen seluar ketat merah hati itu dengan
cemas.
“Kalau dia muncul, dia akan diletakkan sebagai peserta
terakhir. Kalau tidak, penyertaannya akan dibatalkan,”
jelas Kak Rose, sambil menghela nafas panjang.
“Tapi...,” Atisya seperti enggan untuk mematuhi
arahan Kak Rose.
Pada masa yang sama kedengaran Azah telah
mengumumkan nama Atisya sebagai peserta seterusnya.
Semua penonton memberi tepukan gemuruh. Rata-rata
penonton pada malam itu mengenali Atisya.
Tambahan pula dia sering diundang untuk membuat
persembahan pada acara-acara tertentu anjuran Jabatan
Pendidikan Daerah.
“Ayuh, Atisya. Nama awak sudah dipanggil tu!” gesa
Kak Rose.
Mahu tidak mahu, Atisya terpaksa muncul di atas
pentas walaupun dia berasa sungguh gementar.
Sebaik-baik sahaja Atisya muncul di atas pentas,
sekali lagi penonton memberi tepukan gemuruh, walaupun
15
dia belum lagi mengalunkan suaranya. Setengah-setengah
penonton yang nakal, bersiul-siul mengusik Atisya. Tidak
kurang juga yang memberi sokongan moral kepadanya
dengan harapan Atisya akan muncul sebagai juara lagi
pada kali ini.
Walau bagaimanapun, keadaan menjadi hingar-
bingar apabila suara Atisya menjadi serak semasa
memulakan nyanyiannya. Mikrofon yang digunakannya
pula tidak berfungsi. Rupa-rupanya gangguan pada sistem
audio benar-benar berlaku. Atisya yang sudah
menjangkakan keadaan itu berasa sungguh malu dan
kecewa. Dia terus berhenti menyanyi. Dengan menutup
mukanya dia berlari ke belakang pentas.
Dalam keadaan panik itu, Lidya muncul di atas
pentas dan meminta penonton bertenang. “Saya minta
maaf sekali lagi kerana terdapat gangguan pada sistem
audio. Apabila sistem audio kita pulih, acara ini akan
diteruskan semula.”
Penonton yang akur dengan keadaan itu mampu
mengawal keadaan masing-masing. Keadaan di dalam
Dewan Melati menjadi tenang semula.
“Mengapakah awak menangis, Atisya? Apa yang
telah terjadi?” tanya Syaliza apabila melihat Atisya
menangis tersedu-sedu.
Atisya tidak menjawab. Dia berasa sungguh menyesal
dengan apa yang telah terjadi.
16
17
“Janganlah menangis pula. Selepas ini awak akan
diberi peluang untuk membuat persembahan semula,”
Azura memujuk Atisya.
Atisya terus menangis. Semua yang ada di situ berasa
hairan mengapa Atisya menangis sedangkan dia akan
diberi peluang untuk membuat persembahan semula
setelah persembahannya sebentar tadi mengalami
gangguan.
“Hei, Julia, awak ke mana?” tanya Kak Rose apabila Julia
muncul secara tiba-tiba dalam keadaan tercungap-cungap.
“Tadi semua orang cari awak,” kata Azah pula.
Tangisan Atisya pula berhenti dengan tiba-tiba
apabila menyedari Julia telah muncul di situ. Dia berasa
sungguh terperanjat.
“Awak tahu tak, sepatutnya giliran awak sebentar tadi
untuk membuat persembahan, tetapi oleh sebab awak
tiada, Atisya terpaksa menggantikan awak,” beritahu Kak
Rose yang menahan rasa geram kerana tidak senang
dengan perbuatan Julia yang menghilangkan diri secara
tiba-tiba. “Tapi entah apa pula silapnya persembahan
Atisya tergendala kerana ada masalah sistem audio.”
Julia mengakui kesilapannya. Sepatutnya dia
memaklumkan masalah yang dihadapinya sebentar tadi
kepada Lidya dan Azah yang menjadi pengacara pada
malam itu.
18
“Awak ke mana?” desak Azah.
“Sebenarnya, lengan baju yang saya pakai ni koyak.
Saya baru sahaja menyedarinya. Oleh sebab tidak ada
pakaian lain, saya terpaksa balik ke bilik untuk menjahit
lengan baju ini.” Julia mengakuinya secara jujur.
“Mengapa awak tak beritahu kami atau jawatankuasa
pertandingan ini terlebih dahulu?” Lidya merungut.
“Saya tak sempat beritahu awak dan Azah kerana
awak berdua berada di atas pentas.” Sekali lagi Julia
berterus terang.
“Sekarang giliran awak terpaksa ditukar menjadi
peserta terakhir untuk membuat persembahan pada malam
ini.” Kak Rose menerima alasan Julia.
Sejurus kemudian sistem audio yang mengalami
masalah itu berjaya dipulihkan. Acara pada malam itu
diteruskan semula.
Tanpa melengah-lengahkan masa, sekali lagi Lidya
menjemput Atisya ke pentas untuk membuat persembahan
berikutnya setelah persembahan pertamanya tadi
tergendala.
Pada mulanya Atisya enggan membuat persembahan
kali kedua kerana moodnya telah hilang gara-gara insiden
yang berlaku sebentar tadi.
19
“Hei, awak tak boleh buat macam tu, Atisya. Nama
awak telah dipanggil. Kalau awak tidak muncul di pentas,
awak boleh dikira sebagai menarik diri dalam pertandingan
ini,” desak Kak Rose.
Sekali lagi Atisya serba salah. Dia sudah tidak
mampu lagi untuk membuat persembahan pada malam itu.
Dia sungguh terkejut dengan apa yang berlaku sebentar
tadi.
Hatinya mula berkocak dan tertanya-tanya mengapa
jadi begitu sedangkan rancangan itu telah diaturnya
dengan teliti. Jika dia menarik diri daripada pertandingan
itu, sudah tentu pelbagai tohmahan akan dilemparkan
kepadanya. Akhirnya, dengan langkah yang berat Atisya
naik ke pentas.
Sekali lagi penonton riuh-rendah ketika Atisya
membuat persembahan. Atisya tidak dapat membawa lagu
yang dinyanyikan dengan baik kerana gagal mengikut
rentak muziknya. Bertambah malang lagi apabila suaranya
pecah sebaik-baik sahaja mencuba menarik suaranya
semasa menyanyikan baris lagu yang bernada tinggi.
Persembahan Atisya pada malam itu sungguh hambar dan
mengecewakan.
Keadaan ini sungguh mengejutkan semua penonton
di dalam dewan itu yang rata-rata mengetahui Atisya
memang seorang penyanyi yang berbakat. Akhirnya
20
mereka membuat kesimpulan, Atisya telah tersilap memilih
lagu yang tidak sesuai dengan suaranya.
Apabila tiba giliran Julia, iaitu peserta terakhir
membuat persembahannya pada malam itu, para penonton
seakan-akan terpukau. Kemerduan suara Julia serta
gayanya yang bersahaja telah memikat hati penonton. Julia
mampu membawa lagu yang dipilihnya dengan baik
mengikut tempo muzik yang betul.
Tepukan gemuruh daripada para penonton
kedengaran sebaik-baik sahaja selesai Julia membuat
persembahan. Banyak antara mereka yang meramalkan
Julia pasti menjuarai pertandingan lantaran dialah yang
terbaik membuat persembahan pada malam itu.
21
3 Juara Baru Muncul
Pertandingan Sinaran Bakat Kemboja sudah
seminggu berlalu. Nama Julia yang telah menjadi juara
pertandingan itu terus meniti di bibir penghuni Asrama
Kemboja.
Kemenangan Julia sungguh mengejutkan mereka.
Julia berjaya menewaskan Atisya yang memang terserlah
bakatnya.
Mereka tidak menyangka sama sekali bahawa Julia
pandai menyanyi dan berbakat besar dalam bidang
tersebut. Maklumlah, sebelum ini Julia tidak pernah
mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan
seumpama itu.
Dalam kegembiraan itu, Julia berasa sedih kerana
Atisya sering menjauhkan diri daripadanya. Mereka tidak
lagi bertegur sapa walaupun berselisih di dewan makan.
Julia juga tidak tahu mengapa Atisya tidak dapat
mempamerkan persembahan yang baik pada malam itu
sedangkan dia memang pandai menyanyi dan bersuara
lunak.
22
Kalau tidak berjaya mempertahankan gelaran juara,
sekurang-kurangnya dia menduduki tempat kedua atau
ketiga. Malangnya, Atisya gagal memenangi sebarang
tempat pada malam itu.
Pada malam itu, Atisya kelihatan sungguh menggelabah
sehingga ada ketikanya dia terlupa akan lirik lagu yang
sedang dinyanyikannya. Julia tidak pasti adakah kekalahan
Atisya itu menjadi punca Atisya mendendaminya.
“Janganlah awak risau sangat akan hal ini, Ju.
Kemenangan awak pada malam itu adalah keputusan
pengadil. Tambahan pula, semua penonton pada malam itu
memuji persembahan awak yang sungguh baik,” kata Juren
apabila Julia mengadu masalah yang dihadapinya itu
kepada rakan-rakan sebiliknya.
“Atisya tidak berhak mendendami awak kerana
keputusan pertandingan itu adalah muktamad.”
“Entahlah, saya pun tak faham,” balas Julia.
“Kini, Atisya perlu menerima hakikat bahawa bukan
dia seorang saja yang pandai menyanyi dan berbakat.
Bukankah bakat itu adalah anugerah daripada Tuhan
kepada seseorang?” Shida membuat kesimpulannya.
Ketika itu, suasana di perpustakaan itu agak sunyi
kerana tidak banyak pelajar yang mengunjungi perpustakaan
tersebut.
23
Bagi Julia, kemenangan yang diraihnya itu mencetus
azam baru dalam dirinya. Dia akan terus menyertai mana-
mana pertandingan nyanyian yang diadakan pada masa-
masa akan datang.
“Ju, cuba awak baca ni,” bisik Era sambil
menghulurkan akhbar yang dibacanya itu kepada Julia,
sekali gus mengejutkan Julia daripada lamunannya.
“Baca apa?” tanya Julia yang ketika itu sedang
membelek-belek sebuah buku rujukan.
“Ni, bacalah!” desak Era sambil menunjukkan berita
yang dimaksudkannya itu kepada Julia.
Julia meletakkan buku rujukan itu di atas meja. Dia
menarik surat khabar yang dihulurkan oleh Era.
“Berita apa?” rungut Julia lagi sambil matanya liar
mencari berita yang dimaksudkan oleh Era itu.
“Berita ni!” ujar Era setelah mendapati Julia masih
tidak menjumpai berita itu. Era menuding jarinya di atas
berita yang dimaksudkannya itu.
“Wow, uji bakat Pertandingan Nyanyian Akademi
Fantasi!” cetus Julia separuh menjerit setelah membaca
berita yang terpapar pada lembaran akhbar yang sedang
ditatapnya itu. Dia nampak sungguh seronok.
24
Semua mata yang ada di dalam perpustakaan Asrama
Kemboja pada petang itu memandang ke arah mereka.
“Sssyyytt!!!” Era yang menyedari reaksi yang
ditunjukkan oleh pengunjung perpustakaan itu segera
memberi isyarat dengan tangan supaya Julia tidak
membuat bising lagi.
Julia memandang mereka dengan tersipu-sipu.
Kemudian, dia mengangkat tangannya sebagai tanda
meminta maaf kepada mereka.
Selepas suasana kembali tenang, Julia menatap berita
yang belum selesai dibacanya itu semula.
“Saya nak masuk pertandingan ni,” bisik Julia.
Era tidak memberi sebarang komen kerana
menyangka Julia hanya main-main. Dia menarik surat
khabar itu semula daripada Julia.
“Hesy, nantilah dulu..., saya belum habis baca ni!”
rungut Julia.
Era merengus. Julia tersenyum kerana berasa lucu
dengan telatah yang ditunjukkan oleh rakannya itu.
“Hei, apa awak nak buat tu?” tanya Era apabila
mendapati Julia mencuba mengoyak ruangan akhbar yang
mengandungi berita pertandingan nyanyian itu.
25
“Saya nak seludup keluar!” beritahu Julia sambil
matanya liar memandang ke kiri dan kanan.
“Awak tak boleh buat macam ni,” rungut Era.
“Mengapa pula tak boleh?” Julia membeliakkan
matanya.
“Tu!” Era memuncungkan mulutnya ke arah Lidya
dan Harlina yang merupakan dua orang pengawas
perpustakaan yang bertugas pada tengah hari itu.
Julia mengetap bibir.
“Bukannya susah, pergilah fotostat di sana tu!” Era
mencadangkan.
“Yalah!” balas Julia, lalu bangun menunju ke mesin
fotostat yang terletak tidak jauh dari kaunter pinjaman
buku.
“Sudah selesai?” tanya Era sebaik-baik sahaja Julia
kembali ke tempatnya dan menghulurkan akhbar itu
kepadanya.
Julia mengangguk. “Jom!”
“Ke mana?” tanya Era sambil memandang Julia yang
berdiri di hadapannya.
26
27
“Balik ke bilik,” balas Julia.
“Saya belum habis lagi baca akhbar ni!” ujar Era
sambil menatap akhbar di hadapannya.
“Alah, malam nanti boleh sambung lagi!” Julia
mendesak.
“Nak datang ke perpustakaan lagi?” Era memandang
Julia.
“Ya. Saya akan temankan awak.” Julia berjanji.
Era diam. Dia memandang buku-buku yang masih
berselerak di atas meja.
“Buku-buku ni, macam mana? Tak akan nak
tinggalkan bersepah begini!”
“Alah..., biarkanlah. Nanti pengawas perpustakaan
akan kemaskan dan simpankan di atas rak-raknya
semula,” balas Julia sambil lewa.
“Amboi, senangnya!” Era mencebik bibir. “Tolong
kemaskan buku-buku ini dan letak di atas rak-raknya
semula!”
“Yalah..., yalah...,” kata Julia sambil membantu Era
meletakkan buku-buku yang telah disusun itu ke atas
raknya.
28
Kemudian, mereka tergesa-gesa meninggalkan
bangunan perpustakaan yang terletak di tingkat dua itu.
“Apa hal awak ajak saya keluar tergesa-gesa ni?”
tanya Era.
“Pasal berita inilah!” Julia segera menunjukkan
salinan fotostat keratan akhbar yang menyiarkan berita
tentang uji bakat Pertandingan Nyanyian Akademi Fantasi
itu.
“Huh, saya ingatkan apa tadi!” Era merungut.
“Bukan main tergesa-gesa lagi sampai tak sempat
saya nak baca surat khabar hari ini.”
Julia ketawa terkekeh-kekeh sambil mengusik
rakannya itu. “Janganlah marah!”
Era memasamkan mukanya. Dia mempercepatkan
langkahnya dengan berjalan di hadapan Julia.
“Kita duduk di sini dululah!” Julia mengajak Era
duduk di bangku simen yang terdapat di sepanjang kaki
lima menuju ke bilik mereka.
Era tidak memberi sebarang reaksi.
“Jomlah, duduk di sini dulu, kita ambil angin
sementara menunggu waktu minum petang!” Julia
memujuk.
29
Era akur dengan kata-kata Julia lalu melabuhkan
punggungnya di sebuah bangku simen yang paling hampir
dengannya. Julia tersengih lalu duduk di sebelah Era.
“Saya mesti menyertai uji bakat ni. Berjaya atau tidak
itu soal kedua.” Dengan penuh bersemangat Julia
meneruskan perbualannya tentang uji bakat Pertandingan
Nyanyian Akademi Fantasi itu.
Era menoleh ke arah Julia sambil menggeleng-
gelengkan kepalanya.
“Uji bakat tu diadakan di Kuala Lumpur, tak akan Cik
Azian akan lepaskan kamu pergi ke Kuala Lumpur tu
semata-mata untuk menjalani uji bakat tersebut.”
“Apalah awak ni, Era..., bodohlah saya jika berterus
terang dengan Cik Azian bahawa tujuan saya pergi ke
Kuala Lumpur adalah semata-mata menjalani uji bakat itu.
Sudah tentu Cik Azian tidak akan membenarkannya!”
Era mengerut dahi.
“Jadi, apa alasan awak nanti?”
Julia mengetap bibir seperti memikirkan sesuatu. Dia
masih menatap salinan keratan akhbar yang berada di
tangannya itu.
Era terus memandang Julia, menanti jawapannya.
30
“Uji bakat ni diadakan pada hari Sabtu. Hari Sabtu
dan Ahad adalah hari kita...,” jelas Julia. “Er..., maksud
saya hari kita dibenarkan keluar asrama!”
“Jadi, awak nak ambil kesempatan ini untuk pergi ke
Kuala Lumpur bagi menjalani uji bakat tersebut?” Era
menduga.
“Ya!” balas Julia pantas.
Wajah Julia kelihatan ceria menunjukkan rasa
gembiranya kerana berjaya mencari jalan untuk menjalani
uji bakat itu.
“Sempat ke?” Era ragu-ragu.
“Alah, takkanlah tak sempat pula. Lagipun jarak di
antara Bentong dengan Kuala Lumpur ni bukannya jauh
sangat! Saya pergi pagi, petang sebelum pukul 7.00 malam,
saya kembalilah ke asrama semula,” balas Julia dengan
yakin.
“Itu kata awak. Andaikan bahawa banyak peserta
yang datang untuk menghadiri uji bakat tu, dan giliran awak
pula yang terakhir, macam mana?” Era mula berasa bimbang.
“Alah, awak ni, Era...! Buat lemah semangat saya
sahaja. Langsung tak mahu beri semangat!” Julia merengek
seperti budak kecil.
31
Era hanya tersenyum melihat telatah Julia.
“Nanti awak temankan saya ke Kuala Lumpur, ya!”
Julia mencadangkan.
“Saya?” Era memandang Julia dengan wajah yang
terkejut.
“Ya!” Dengan bersahaja Julia mengangguk-
anggukkan kepalanya.
“Eeeiii..., saya tak mahu mengambil risiko,” balas Era
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Itulah, awak..., kan saya dah kata, awak langsung
tak mahu beri sokongan kepada saya!” Nada suara Julia
kedengaran seperti orang merajuk.
“Hmmm..., tengoklah nanti, saya fikirkan!” Era
berkata dengan tujuan untuk memujuk Julia.
“Ha..., macam tulah kawan!” balas Julia dengan
gembira sambil memeluk bahu Era.
“Jom!” Era bangun dari bangku simen itu.
“Ke mana?” tanya Julia sambil mendongak
memandang Era yang sudah tercegat di hadapannya.
“Ke mana lagi, ke dewan makanlah!” beritahu Era.
32
Julia menoleh ke kiri dan kanan. Kelihatan beberapa
orang penghuni asrama itu berjalan menuju ke dewan
makan.
“Oh, dah tiba waktu minum petang!” kata Julia lalu
mengekori Era dari belakang menuju ke dewan makan
untuk minum petang.
33
4 Kembali Terjalin
“Tahniah Ju kerana berjaya ke peringkat akhir.” Julia
terus memberhentikan langkahnya dan menoleh ke
belakang.
“Eh, Atisya!” Julia terkejut dan menggelabah. Hatinya
berdebar-debar.
Atisya yang tercegat di belakang Julia mengukir
senyuman. Julia membalas senyuman Atisya meskipun dia
tidak mengerti apakah maksud yang tersirat di sebalik bibir
mongel itu.
“Tahniah, Ju.” Atisya menghulurkan tangannya untuk
bersalaman dengan Julia.
Julia yang masih terpinga-pinga itu menyambut
tangan Atisya. Dia tidak menyangka sama sekali Atisya
akan memberi ucapan tahniah itu apabila dia berjaya ke
peringkat akhir dalam Pertandingan Nyanyian Akademi
Fantasi rancangan yang diterbitkan oleh sebuah stesen
televisyen swasta.
34
Walau bagaimanapun, dia tidak tahu sejauh mana
keikhlasan Atisya yang pernah mendendaminya itu di
sebalik ucapan tahniah tersebut.
“Ju, saya nak minta maaf.” Atisya bersuara lagi
sebaik-baik sahaja Julia hendak meneruskan langkahnya.
Sekali lagi Julia menoleh ke arah Atisya. Dia
mengerutkan dahinya.
Atisya memandang ke arah bangku simen yang
terletak di bawah pohon ketapang, di sebelah kiri jalan itu.
Ketika itu, Julia baru sahaja keluar dari bilik Cik Azian. Dia
dalam perjalanan pulang ke biliknya. Sementara Atisya
pula baru pulang dari perpustakaan.
“Kita duduk di sini dulu!” ajak Atisya.
Julia akur.
“Maafkan saya, Ju.” Atisya terus meminta maaf
sebaik-baik sahaja mereka sama-sama melabuhkan
punggung di atas bangku simen itu.
“Saya telah lama memaafkan awak kerana saya tidak
pernah menganggap awak sebagai musuh saya.” Julia
mengakui secara jujur.
“Sebab awak tidak tahu kesalahan saya terhadap
awak,” kata Atisya dengan nada kesal.
35
36
“Jika awak tahu perbuatan saya terhadap awak,
sudah tentu awak tidak akan memaafkan saya.”
“Apa maksud awak?” Julia sungguh terperanjat
mendengar kata-kata Atisya itu.
“Awak ingat tak insiden yang berlaku pada malam
Pertandingan Sinaran Bakat Kemboja yang lalu?” Atisya
mencuba membangkitkan semula peristiwa itu.
Julia yang masih terkebil-kebil menganggukkan
kepalanya perlahan-lahan. Semua peristiwa dan kenangan
manis yang berlangsung pada malam itu mula terbayang di
mindanya.
“Sebenarnya, saya telah berniat jahat terhadap awak.
Saya iri hati terhadap awak. Itulah puncanya saya ingin
mengkhianati awak.” Dengan suara tersekat-sekat Atisya
mengakui perbuatan khianatnya itu.
“Berniat jahat?” Julia terus dihantui kebingungan.
Atisya diam. Dia menundukkan mukanya.
“Saya..., saya tak fahamlah, Atisya,” kata Julia lagi
dengan harapan Atisya akan berterus terang dengannya.
“Sebenarnya, saya sengaja merosakkan sistem audio
itu sebelum awak membuat persembahan. Saya tidak mahu
awak menyanyi pada malam itu. Tapi Tuhan lebih
37
berkuasa. Niat jahat saya tidak direstui-Nya.” Ternyata
Atisya sungguh menyesal akan perbuatannya itu.
Julia diam sejenak sambil mengingatkan semula hal
yang dimaksudkan oleh Atisya. “Ya..., ya..., saya ingat.”
“Sepatutnya, ketika sistem audio rosak, giliran awak
membuat persembahan. Rupa-rupanya saya terperangkap
dalam jerat saya sendiri!
“Oleh sebab awak menghilangkan diri pada ketika
itu, saya yang sepatutnya membuat persembahan selepas
awak, terpaksa menggantikan tempat awak apabila
diarahkan oleh Kak Rose untuk berbuat demikian.” Suara
Atisya semakin tenggelam kerana tidak dapat menahan
sebak.
Julia sungguh terkejut mendengar cerita Atisya itu.
Dia tidak sangka Atisya sanggup berbuat demikian.
“Maafkan saya, Julia.” Berkali-kali Atisya meminta
maaf daripada Julia.
“Bijak juga awak, ya. Tahu macam mana nak
merosakkan sistem audio tu,” ujar Julia dalam nada sinis.
“Macam mana awak lakukan kerja-kerja tu?”
“Ketika pemuzik berhenti rehat, saya cepat-cepat ke
tempat penyambungan bekalan elektrik. Saya tarik plug
yang menyambungkan sistem audio dan bekalan elektrik.
38
Akibat ditarik terlalu kuat, plug itu mengalami kerosakan.”
Tanpa segan-silu Atisya menceritakan perbuatannya itu.
Julia mengangguk-anggukkan kepalanya sambil
tersenyum sinis.
“Tapi, bukankah awak diberi peluang untuk membuat
persembahan sekali lagi selepas itu?”
“Ya. Tapi waktu itu keadaan saya tidak menentu.
Fikiran saya bercelaru kerana sungguh terkejut atas
perkara yang berlaku itu,” akui Atisya.
“Itulah sebabnya lagu yang saya dendangkan
sumbang dan tidak mengikut temponya.”
“Perkara dah berlaku, Atisya. Kebetulan pula nasib
menyebelahi saya pada malam itu.” Julia turut berasa kesal
akan kejadian itu. “Tapi tak apa, lain kali awak boleh
mencuba lagi. Awak masih ada peluang. Awakkan pandai
menyanyi.”
“Tapi saya akui awak memang pandai menyanyi dan
suara awak sangat baik. Sudah sepatutnya awak menjadi
juara pada malam itu.” Atisya memuji Julia.
“Er..., mengapa awak tak masuk Pertandingan
Nyanyian Akademi Fantasi tu?” tanya Julia.
“Saya rasa saya belum sampai ke tahap itu. Saya
tidak beranilah,” akui Atisya sambil tergelak kecil.
39
“Alah, belum mencuba belum tahu. Cuba tengok
saya, cubaan pertama saya terus berjaya ke peringkat
akhir. Saya rasa awak pun boleh!” Julia mencuba
menyuntik semangat Atisya.
“Awak lain, Ju..., awak memang berbakat. Saya lihat
persembahan awak melalui kaca televisyen dalam
pertandingan peringkat separuh akhir itu sungguh hebat.
Dari awal lagi, rakan-rakan kita di Asrama Kemboja ni telah
meramalkan awak pasti layak ke peringkat akhir.” Atisya
berterus terang.
Julia tersenyum bangga.
“Kami di Asrama Kemboja ini turut berasa bangga
akan kebolehan awak tu. Kalau boleh, kami ingin sama-
sama menyaksikan pertandingan akhir itu nanti untuk
memberi sokongan kepada awak,” ujar Atisya lagi.
“Terima kasih Atisya kerana memberi sokongan
kepada saya,” balas Julia dengan terharu.
“Bukan saya seorang tetapi kawan-kawan lain di
Asrama Kemboja ini,” jelas Atisya. “Itulah sebabnya kami
bercadang untuk mengadakan rombongan ke Kuala
Lumpur bagi menyaksikan awak beraksi di peringkat akhir
nanti. Tapi....”
“Tapi apa?” Desak Julia sambil memandang Atisya.
40
“Cik Azian pasti tidak akan membenarkannya,” kata
Atisya dengan hampa.
Julia diam semula.
“Ju, awak tak marah akan saya lagi?” Atisya bersuara
semula.
Julia memandang Atisya. Dia memegang tangan
Atisya. Sambil tersenyum dia menggeleng-gelengkan
kepalanya.
“Terima kasih, Ju!” balas Atisya dengan terharu lalu
memeluk Julia. Sekarang mereka sudah berdamai.
“Tapi, janganlah lakukan perbuatan seperti itu lagi
kepada sesiapapun.” Julia mengingatkan Atisya.
“Saya janji, Ju, dan saya pun telah insaf,” balas Atisya
dengan suara perlahan kerana berasa sungguh malu akan
perbuatan yang telah dilakukannya.
Julia menepuk-nepuk bahu Atisya.
“Saya harap awak berjaya menjadi juara dalam
pertandingan itu nanti, ya. Kalau tidak dinobatkan sebagai
juara, sekurang-kurangnya awak mampu meraih beberapa
hadiah istimewa yang ditawarkan nanti,” kata Atisya
dengan bersungguh-sungguh dan penuh harapan.
41
“Terima kasih, Atisya,” balas Julia lalu memeluk bahu
Atisya.
Kedua-dua orang sahabat itu sungguh gembira
sekarang kerana tiada lagi permusuhan antara mereka.
Atisya sungguh gembira kerana Julia telah memaafkannya.
Julia pula lega kerana telah mengetahui punca Atisya
mendendaminya sebelum ini. Walau bagaimanapun,
dengan ikhlas dia telah memaafkan Atisya.
42
5 Menggenggam Bara
“Hai, dah dapat masuk final pun masih sedih juga!”
usik Molly apabila mendapati Julia muram dan tidak banyak
bercakap pada malam itu. “Masih tak berpuas hati lagikah?”
“Bukan pasal itulah!” balas Julia malas.
“Habis, kalau bukan pasal tu, pasal apa pula?” soal
Shida sambil memandang tepat ke wajah Julia yang duduk
di atas sofa yang bertentangan dengan katil tempat dia
melabuhkan punggungnya.
“Tadi, Cik Azian panggil saya,” beritahu Julia dengan
nada kecewa.
“Hah, dia nak apa?” sampuk Azlin lalu duduk di sofa
panjang, bersebelahan Julia. “Nak ucap tahniah kerana Ju
berjaya ke peringkat akhir dalam Pertandingan Nyanyian
Akademi Fantasi tu?”
“Nak ucap tahniah? Dia pun tidak menonton
rancangan peringkat separuh akhir Akademi Fantasi yang
disiarkan di televisyen minggu lepas,” jelas Julia dengan
nada kecewa.
43
“Dia tak tengok rancangan tu?” Molly pula
menunjukkan rasa terkejutnya. “Hei, dia tak tahukah,
hampir semua penghuni Asrama Kemboja ini tidak pernah
ketinggalan mengikuti rancangan itu semata-mata untuk
melihat Julia beraksi? Apatah lagi, rancangan peringkat
separuh akhir. Tak akanlah dia tak tahu pula yang salah
seorang pesertanya ialah penghuni Asrama Kemboja ini!”
“Yalah,” balas Shida. “Dia tak ikuti perkembangan
dunia hiburankah?”
Kemudian, mereka sama-sama ketawa.
“Itu saya tak kisah. Terpulanglah kepada dia sama
ada nak menonton atau tidak rancangan tu,” beritahu Julia
apabila keadaan rakan-rakannya itu reda semula.
“Habis tu, mengapa dia panggil awak?” Molly terus
ingin tahu.
“Dia tak benarkan saya ke Kuala Lumpur untuk
bertanding dalam pertandingan akhir Akademi Fantasi itu,”
jelas Julia. “Katanya, pertandingan itu tidak penting, yang
lebih penting ialah pelajaran. Katanya lagi, sejak saya
memasuki pertandingan tu dan berulang-alik ke Kuala
Lumpur, saya sudah acap kali ponteng kelas ulang kaji
pada waktu malam.”
“Habis macam mana?” tanya Shida pula menampakkan
kerisauannya.
44
“Saya katakan padanya bahawa saya perlu
meneruskan perjuangan saya,” tegas Julia. “Alang-alang
masuk pertandingan biarlah sampai ke peringkat akhir.”
“Yalah, betul kata awak, Ju,” Shida menyokong.
“Dia menyalahkan saya, kerana tidak memaklumkan
kepadanya terlebih dahulu sebelum saya menyertai
pertandingan itu,” Julia terus merungut.
“Adakah memasuki pertandingan seumpama itu
menyalahi undang-undang asrama?” Molly pula ingin tahu.
“Tak ada pula dia beritahu saya tentang perkara itu,”
jelas Julia.
“Cik Azian tu bukan apa, dia hanya sekadar mahu
menasihati dan mengingatkan Ju.” Azlin seperti menyokong
Cik Azian. “Benar juga katanya itu, pelajaran tu lebih
penting bagi Ju sekarang.”
“Awak pun sama, baru sekali menang dalam
pertandingan nyanyian dah nak masuk pertandingan yang
besar, masuk televisyen pulak tu!” Molly membebel. “Tapi
nasib awak baik, sekali cuba terus menjadi juara. Dua kali
cuba dah dapat masuk final. Orang bertuah katakan!”
Pada mulanya, Julia berasa tidak senang dengan
bebelan Molly itu. Tetapi apabila Molly memujinya, tiba-
tiba pula dia berasa megah. Kembang rasa hatinya!
45