“Walau apapun, Cik Azian dah benarkan Ju mengambil
bahagian dalam pertandingan itu.” Azlin mencuba memujuk
dengan tujuan untuk meredakan rasa marah Julia terhadap
Cik Azian. “Kawan-kawan Kak Alin di sekolah yang menonton
siaran itu memuji Ju. Kata mereka, Ju adalah antara peserta
yang disebut-sebut menjuarai pertandingan itu.”
“Betul tu! Kawan-kawan saya pun kata begitu.
Persembahan dan suara Ju baguslah!” Giliran Molly yang
belajar di sekolah yang sama dengan Azlin, iaitu Sekolah
Menengah Kebangsaan Datuk Bendahara, memuji Julia.
“Betulkah, begitu?” Julia pura-pura bertanya kerana
tidak dapat melindungi perasaannya apabila menerima
pujian itu.
“Betullah tu!” balas Molly dan Shida serentak dengan
nada memerli dan kemudian mencebik bibir kerana bergurau.
“Awak berdua ni memang dengki dengan sayalah!”
Julia tidak senang dengan telatah yang ditunjukkan oleh
kedua-dua orang rakannya itu.
“Apa pula dengki!” balas Shida lalu menuju ke meja
tulisnya.
“Sudah..., jangan bergaduh. Kita harap Julia akan
berjaya dalam pertandingan itu nanti. Selepas itu, kita
harap dia kembali menumpukan perhatiannya terhadap
pelajaran.” Sekali lagi Azlin bertindak meredakan keadaan
Julia.
46
47
“Yalah, Ju..., kami serta semua penghuni Asrama
Kemboja ini mahu lihat awak berjaya dalam pertandingan
itu nanti!” ujar Shida.
“Awak nak tahu, tadi saya terserempak dengan
Atisya,” beritahu Julia tentang pertemuannya dengan Atisya
petang tadi. “Dia ucapkan tahniah kepada saya kerana
berjaya memasuki peringkat akhir dalam Pertandingan
Nyanyian Akademi Fantasi tu!”
“Dia ucapkan tahniah? Bukankah dia tu mendendami
awak?” Azlin dan rakan-rakan sebilik mereka terkejut
mendengar perkara itu.
“Kami dah berdamai,” balas Julia selamba.
“Baguslah kalau begitu,” balas Azlin.
“Awak ingat tak insiden yang berlaku pada malam
Pertandingan Sinaran Bakat Kemboja yang lalu?” Julia
mencuba mengingatkan kawan-kawannya semula tentang
peristiwa itu.
“Mengapa?” soal Shida ringkas.
Julia bangun dari birai katilnya dan berdiri di tepi
tingkap. Kemudian dia memandang ke arah kawan-
kawannya semula.
“Sebenarnya, Atisya sendiri yang merosakkan sistem
audio pada malam itu dengan tujuan untuk mengganggu
persembahan saya,” beritahu Julia lalu menceritakan
perbuatan Atisya itu semula.
48
Rakan-rakan sebilik Julia sungguh terkejut
mendengar cerita itu.
“Tak sangka Atisya sanggup berbuat demikian untuk
mengkhianati awak,” rungut Juren yang duduk di meja
tulisnya.
“Kerana iri hati orang sanggup berbuat apa saja,” ujar
Azlin penuh keinsafan. “Tapi kita cuma merancang,
sedangkan Allah yang menentukan. Tengoklah apa yang
terjadi kepada Atisya, dia terperangkap dalam jeratnya sendiri.
Tanpa dirancang, baju Julia pula koyak pada waktu itu.”
Suasana di dalam bilik itu sepi seketika. Masing-
masing menghayati kata-kata Azlin itu.
“Saya rasa Atisya tu dihasut oleh rakan-rakannya.
Kalau tidak, tak akan dia tergamak melakukan perbuatan
tersebut,” keluh Molly pula.
“Perkara dah berlaku. Atisya pun dah mengakui
kesalahannya dan meminta maaf kepada saya,” tambah
Julia semula sambil menamatkan topik yang dibualkannya
itu. “Yang penting sekarang, doakan semoga saya berjaya
dalam pertandingan akhir nanti.”
“Itu jangan risau, kami sentiasa menyokong dan
mendoakan kejayaaan awak. Jika awak berjaya, kami di
Asrama Kemboja tumpang gembira,” balas Shida.
“Terima kasih!” balas Julia dengan gembira.
49
6 Dalam Dilema
“Sudah tiga bulan berlalu, berita tentang kejayaan
Julia menjuarai Pertandingan Nyanyian Akademi Fantasi itu
masih tersiar di dalam majalah ni!” kata Shida yang sedang
berehat sambil menatap sebuah majalah hiburan.
“Mana?” tanya Julia yang duduk di sebelah Shida di
bangku simen itu. Dengan pantas, dia mengambil majalah
itu dari tangan Shida.
Julia mengerutkan dahinya selepas membaca berita
yang dimaksudkan oleh Shida di dalam majalah itu.
“Kenapa?” tanya Shida kehairanan sambil merenung
gadis berwajah bujur sirih itu. “Awak tak suka?”
“Bukan tak suka,” balas Julia dengan nada kesal
sambil terus menatap berita itu.
“Habis?” Shida kehairanan.
“Saya tak kenal wartawan ini. Dia tidak pernah
menemu bual saya tentang isu yang tersiar di dalam
majalah ini,” kata Julia dengan hairan. “Tiba-tiba sahaja
keluar cerita ini.”
50
“Betulkah begitu?” Shida ingin akan kepastian.
“Betullah,” balas Julia bersungguh-sungguh.
Shida mengambil majalah itu dari tangan Julia
semula. Dia membaca cerita yang telah dibacanya sebelum
itu sekali lagi.
“Nasib baiklah teks dalam berita itu tidak menyentuh
mana-mana pihak. Kalau tidak...,” Julia merungut.
“Kalau tidak apa, awak nak saman wartawan ni?”
Shida mengusik.
“Taklah sampai ke situ,” jelas Julia. “Saya bimbang
kalau-kalau ada pihak-pihak tertentu yang terbabit nanti.”
Shida mengangguk-anggukkan kepalanya. “Betul
juga kata awak tu.”
“Yang menghairankan saya, pandai-pandai saja
wartawan ni menulis cerita itu seolah-olah dia telah
menemu bual saya.” Julia terus merungut.
“Apa nak dihairankan, memang begitulah dunia
wartawan. Mereka perlu mencari berita yang sensasi untuk
dimuatkan dalam majalah mereka.” Shida berlagak seperti
seorang pengkritik. “Ini dilakukan bagi melariskan majalah
atau akhbar mereka.”
Julia menghela nafas panjang.
51
“Itulah gosip namanya!” kata Shida lagi.
“Saya tak suka dengan gosip-gosip liar itu.” Julia
mengutuk.
“Dunia hiburan begitulah. Tak sunyi dengan gosip.”
Shida berkata dengan nada sinis. “Lihatlah macam awak ni.
Belum lagi bergelar artis, dah terlibat dengan masalah
seperti ini. Ini belum lagi gosip-gosip liar.”
“Saya tak mahu menjadi artis. Saya tak suka akan
wartawan yang suka mengada-adakan cerita semata-mata
mahu melariskan majalah dan akhbar mereka,” kata Julia
dengan kesal.
“Betul ke? Kalau diberi peluang, macam mana?”
Shida menduga.
“Awak pun satu, majalah yang tak bermutu macam ni
pun awak baca.” Julia tidak menjawab pertanyaan Shida
sebentar tadi sebaliknya mengubah tajuk perbualan mereka.
“Cik Azian tidak benarkan kita baca majalah seperti ini.”
“Saya curi-curilah membacanya,” balas Shida sambil
matanya memandang ke kiri dan kanan untuk memastikan
tiada siapa berhampiran mereka ketika itu. “Lepas baca
nanti, saya simpanlah dalam fail ni!”
“Oh, jadi fail ni menjadi cover majalah inilah!” kata
Julia sambil memerhatikan fail poket yang berwarna kuning
di atas riba Shida.
52
53
Shida hanya tersengih.
“Di sini awak, Julia, puas saya cari.” Molly muncul
tiba-tiba dengan nafas yang tercungap-cungap.
Julia dan Shida yang terkejut dengan kemunculan Molly
secara tiba-tiba itu memandangnya dengan mata terkebil-
kebil. Molly melabuhkan punggungnya di sebelah Julia.
“Surat apa tu?” tanya Julia sebaik-baik sahaja
terpandang sampul surat panjang, berwarna putih di
tangan Molly.
“Hah, saya cari awak nak serah surat inilah!” Molly
menghulurkan surat itu kepada Julia. “Nah!”
“Surat untuk saya?” Julia mengambil dan meneliti
sampul surat itu.
“Daripada siapa?” celah Shida sambil menoleh ke
arah sampul surat yang masih dipegang oleh Julia.
Julia tidak menjawab pertanyaan Shida itu. Dia masih
membelek-belek sampul surat itu.
“Hei, nampaknya surat daripada syarikat rakaman!”
cetus Shida dengan bersungguh-sungguh setelah membaca
cop yang terdapat di hujung sampul surat itu.
Tiba-tiba sahaja hati Julia berdebar-debar. Tangannya
sedikit gementar ketika membuka sampul surat itu. Shida
54
dan Molly turut merasai debarannya sambil menunggu
Julia membaca surat di dalamnya.
“Tawaran untuk merakamkan album!” Julia hampir-
hampir menjerit. Dia kelihatan sungguh gembira menatap
surat itu.
“Betulkah?” Shida dan Molly seperti tidak
mempercayainya.
Julia tidak dapat berkata-kata. Dia berasa bagaikan
mimpi menjadi realiti. Dia menghulurkan surat itu kepada
Shida yang duduk di sebelahnya.
“Tahniah, Ju!” Shida terus memeluk bahu Julia
sebaik-baik sahaja selesai membaca surat itu. Kemudian,
surat itu dihulurkannya kepada Molly pula.
“Tahniah, Julia.” Giliran Molly pula memberi ucapan
tahniah kepada rakan sebiliknya itu. “Tercapai juga cita-
cita awak hendak menjadi penyanyi.”
Julia masih tidak dapat berkata-kata. Perlahan-lahan
dia melipat surat tawaran untuk merakamkan album itu
lalu dimasukkan ke dalam sampulnya semula.
“Tapi...,” Julia bersuara semula setelah bibirnya
seakan-akan terkunci seketika. Walau bagaimanapun, dia
seperti tidak dapat menghabiskan kata-katanya.
55
“Kenapa? Awak nak tolak tawaran itu?” Shida ingin
tahu.
“Bukan!” balas Julia pantas.
“Habis tu, apa lagi?” desak Molly pula.
“Sebelum saya menerima tawaran ini, saya perlu
berbincang dengan Cik Azian dan kedua-dua orang ibu
bapa saya terlebih dahulu,” jelas Julia dengan nada hambar.
“Jadi, apa masalahnya?” Molly terus menyoal.
“Kalau Cik Azian tidak benarkan saya menerima
tawaran itu, saya masih ada jalan lain. Saya akan keluar
dari asrama ini dan bertukar ke sekolah lain,” beritahu Julia
secara spontan.
“Tak akan sampai macam tu!” Awal-awal lagi Shida
menunjukkan rasa tidak setuju dengan rancangan
rakannya itu.
“Tapi kalau kedua-kedua orang ibu bapa saya tidak
setuju, maka musnahlah impian saya untuk menjadi
penyanyi!
“Bukan awak tak tahu, saya masuk Pertandingan
Nyanyian Akademi Fantasi tu pun mereka dah kecoh.
Mereka tidak dapat berbuat apa-apa setelah nama dan
wajah saya terpampang di kaca televisyen.” Julia terus
diburu dilema.
56
“Kenapa awak tak beritahu mereka terlebih dahulu?”
tanya Molly.
“Beritahu mereka? Sudah tentu awal-awal lagi
mereka menentangnya,” akui Julia. “Bukan ayah dan ibu
saya saja yang tidak setuju saya masuk pertandingan tu,
malahan abang dan kakak saya pun turut merendah-
rendahkan keupayaan saya walaupun saya bergelar juara.
Apatah lagi jika saya menjadi penyanyi rakaman!”
“Ju,” ujar Shida sambil memegang tangan Julia.
“Masih terlalu awal untuk awak fikirkan hal ini. Apa yang
penting, awak jumpa Cik Azian dan maklumkan perkara
ini. Pada masa yang sama juga, awak beritahu hal ini
kepada ibu bapa awak. Jelaskan kepada mereka agar
mereka faham dan membenarkan awak menerima tawaran
itu.”
Julia masih lagi membisu.
“Betul kata Shida tu. Awak masih ada banyak masa.
Dalam surat tawaran ini tidak ada pun syarikat Matahari
Productions itu menetapkan tarikh untuk awak menyatakan
persetujuan sama ada menerima atau tidak tawaran untuk
merakamkan album tu!” tambah Molly pula dengan
bersungguh-sungguh supaya Julia tidak panik dan
membuat keputusan yang bijak.
Julia memandang wajah Shida. Kemudian, dia
mengalihkan pandangannya ke arah Molly pula.
57
Bibirnya mula menguntumkan senyuman. Kemudian, dia
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Terima kasih Molly, Shida, kerana memberi
pandangan yang bernas kepada saya. Bukannya apa, saya
ni mudah menggelabah,” akui Julia dengan bersungguh-
sungguh.
“Sekarang jangan menggelabah lagi. Relaks!” Molly
menepuk-nepuk belakang Julia.
Julia tersenyum manis.
“Dah pukul 6.30 petang. Jom kita balik ke bilik.
Sebentar lagi nak makan malam pula!” ajak Shida lalu
bangun dari bangku simen itu.
“Oppsss! Jangan lupa masukkan majalah tu ke dalam
fail!” Julia mengingatkan Shida. “Nanti tertangkap pula...,
saya tak tahu!”
“Jangan risaulah,” balas Shida lalu menunjukkan fail
poket berwarna kuning itu yang di dalamnya diletakkan
majalah hiburan yang dibacanya sebentar tadi.
Julia tersenyum lega. Molly menggeleng-gelengkan
kepala apabila melihat telatah rakan-rakan sebiliknya itu.
58
7 Mengikat Kontrak
Kini Julia sungguh gembira kerana impiannya untuk
menjadi penyanyi akhirnya terlaksana. Ayah dan ibunya
membenarkan dia menandatangani kontrak dengan
syarikat rakaman itu dengan syarat dia tidak mengabaikan
pelajarannya. Cik Azian juga akhirnya membenarkannya
berbuat demikian.
“Kalau nak diikutkan, memang saya tidak benarkan
awak mengikat kontrak menjadi artis rakaman
memandangkan awak perlu menumpukan perhatian
terhadap pelajaran awak terlebih dahulu.” Cik Azian
kelihatan berat hati untuk membenarkan Julia
menandatangani kontrak untuk menjadi artis rakaman itu.
“Tapi apabila mengenangkan minat awak yang begitu
mendalam terhadap bidang nyanyian, saya tidak sampai
hati pula untuk berbuat demikian. Lagipun, ayah dan ibu
awak pun telah bersetuju.”
“Jadi, saya dibenarkan mengikat kontrak untuk
menjadi artis rakaman?” Dengan rasa sungguh gembira,
Julia ingin memastikan kebenaran kata-kata Cik Azian itu.
59
“Ya. Tapi dengan syarat,” ujar Cik Azian lagi.
“Syarat?” Julia nampak terperanjat.
“Awak hanya dibenarkan merakamkan album sahaja.
Awak tidak dibenarkan memenuhi undangan menyanyi
atau pertunjukan pentas, kecuali untuk pertunjukan amal,”
jelas Cik Azian.
“Baiklah, Cik Azian, saya setuju dengan syarat-syarat
itu,” balas Julia dengan gembira tanpa berfikir panjang lagi.
Di rumah Julia lain pula situasinya.
“Selain tidak dibenarkan mengadakan pertunjukan
pentas, Ju juga tidak boleh selalu ponteng sekolah kerana
urusan nyanyian. Ayah akan beri sekali sahaja peluang
kepada Ju. Kalau Ju mengabaikan pelajaran, ayah tidak
akan teragak-agak untuk menghalang Ju daripada
meneruskan aktiviti menyanyi.” Encik Johari, ayah Julia
pula memberi kata dua kepada Julia.
“Betul kata ayah kamu itu, Ju. Jika percubaan awal Ju
dalam bidang nyanyian ini gagal, mak mahu kamu lupakan
bidang ini dan tumpukan perhatian kamu kepada bidang
pelajaran,” tambah Puan Junainah, ibu Julia.
“Ju berjanji, ayah..., mak!” Julia berjanji bersungguh-
sungguh di hadapan ibu dan ayahnya.
60
“Lagi satu ayah nak ingatkan Ju. Ju harus menjaga
nama baik keluarga dan jangan melupakan asal usul kamu.
Kita ini orang Melayu,” pesan Encik Johari lagi. “Ingatlah,
Ju, walau di mana kita berada, pelajaran adalah segalanya
dalam hidup kita,” pesan Encik Johari lagi.
“Ju akan ingat semua pesan mak dan ayah.” Sekali
lagi Julia berjanji.
Julia mempunyai cita-cita tinggi dalam bidang
nyanyian. Biarpun albumnya belum dilancarkan tetapi dia
sudah mempunyai peminatnya sendiri. Persembahan Julia
semasa beraksi pada pertandingan akhir Pertandingan
Nyanyian Akademi Fantasi tempoh hari benar-benar
menambat hati mereka.
Tidak hairanlah jika Julia telah dinobatkan sebagai
juara, mengalahkan beberapa peserta lain yang lebih
senior. Persembahan Julia sungguh mantap. Apabila Julia
ditawarkan untuk merakamkan album, ada antara
penyanyi-penyanyi yang sudah mencipta nama berasa
tercabar dengan kebolehan Julia itu.
“Ju, saya amat berpuas hati dengan komitmen yang
awak berikan sepanjang rakaman album awak dijalankan.
Awak telah bekerja keras untuk menyiapkan album sulung
awak ini.” kata Remie. Remie ialah komposer yang
bertanggungjawab menerbitkan album Julia.
“Terus terang abang katakan, kami di syarikat ini
sungguh berpuas hati dengan persembahan Ju. Tidak
61
seperti artis-artis lain, banyak kerenah dan tidak
berdisiplin,” kata Remie kepada Julia setelah selesai proses
merakamkan album sulungnya.
“Bilakah agaknya album saya ini akan berada di
pasaran?” tanya Julia yang tidak sabar-sabar lagi untuk
mendengar suaranya berkumandang di udara.
“Kami harap awak bersabar, Ju. Pihak kami akan
mengadakan promosi secara besar-besaran untuk album
awak tu. Kami yakin awak akan mendapat tempat dalam
dunia hiburan tanah air. Album Julia akan meletup dan laris
seperti pisang goreng panas!” Remie terus menabur janji-
janjinya. “Julia kan sudah ada peminatnya sendiri!”
Hati Julia semakin kembang mendengar kata-kata
penerbit albumnya itu.
“Amboi-amboi, Abang Remie, bukan main tinggi
menaruh harapan kepada penyanyi baru ini!” ujar Nurdina
penyanyi yang sedang meningkat naik, muncul secara tiba-
tiba di studio rakaman itu.
“Eh, Dina! Bila sampai? Kenapa tak telefon abang
dulu?” tanya Remie yang kelihatan sedikit menggelabah
dengan kehadiran penyanyi itu.
“Lama dah Dina sampai. Saja tak nak ganggu Abang
Remie dan budak baru yang mahu mengejar glamour ni!”
balas Nurdina.
62
Hati Julia tersentuh dengan kata-kata Nurdina itu.
Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana dia
sedar siapa dirinya yang masih mentah dalam dunia seni
itu.
Apatah lagi, sebelum ini dia pernah terbaca dalam
majalah hiburan yang menyiarkan cerita-cerita panas
kononnya Nurdina penyanyi yang ego. Dia tidak disenangi
di kalangan artis dan wartawan hiburan.
Sementara Remie pula semakin serba salah dengan
sindiran sinis Nurdina yang dilemparkan kepada Julia. Dia
sedar sebagai komposer dia perlu melayan Nurdina dengan
baik memandangkan dia juga terbabit dalam penerbitan
album penyanyi tersebut.
Pada masa yang sama juga dia perlu bijak mengambil
hati Julia kerana penyanyi itu masih baru dalam dunia
hiburan.
“Julia, saya nak ingatkan awak, dunia hiburan ini
penuh cabaran. Nak jadi penyanyi memang senang tetapi
nak bergelar penyanyi popular seperti saya ni bukannya
senang.” Nurdina terus menunjukkan egonya. “Sanggupkah
awak mengharungi cabaran yang mendatang?”
Julia tidak memberi sebarang reaksi terhadap kata-
kata Nurdina itu. Sambil mengunyah gula-gula getah,
Nurdina menjeling Julia dengan ekor matanya.
Remie pula diam membisu bagaikan terkunci
63
mulutnya. Geram hati Julia melihat komposer berusia awal
tiga puluhan yang berbadan kurus dan berambut panjang
separas bahu itu. Remie langsung tidak mahu membelanya
apabila disindir oleh Nurdina.
“Kalau awak tidak sanggup menempuhi dunia hiburan
yang penuh cabaran ini, lebih baik awal-awal lagi awak
berundur. Tumpukan perhatian terhadap pelajaran.” Nurdina
yang berdiri di hadapan Remie dan Julia terus bersuara lagi.
“Buat masa sekarang, saya tidak dapat membuat
sebarang keputusan. Maklumlah, album saya pun masih
belum dilancarkan.” Julia memberanikan dirinya berterus
terang.
“Kalau album awak tak meletup macam album
penyanyi yang lain macam mana? Bukannya awak tak tahu
sekarang ini banyak penyanyi yang bukan main ghairah
merakamkan album. Tapi apabila dipasarkan album itu tak
laku. Terperap sahaja di kedai-kedai kaset!”
Kata-kata Nurdina itu membuatkan semangat Julia yang
sebentar tadi berkobar-kobar semakin lemah.
“Dina, kata-kata awak itu melemahkan semangat
Julia ni....” Setelah sekian lama membisu barulah Remie
bersuara. “Sepatutnya Dina memberi semangat dan
galakan kepada dia. Kitakan sama-sama berjuang dalam
bidang yang serupa!”
“Tidak benarkah apa yang Dina katakan ni?” Nurdina
terus bertegas.
64
65
Remie seperti mati kata-kata. Dia menjeling Julia di
sebelahnya yang tunduk memandang karpet berwarna biru
yang menghiasi bilik rehat di syarikat rakaman itu.
“Dina nak ke mana tu?” tanya Remie sebaik-baik
sahaja Nurdina mengatur langkah untuk keluar dari bilik
itu dengan selamba.
“Dina ada temu janji dengan wartawan dari majalah
Sinar Bintang,” beritahu Nurdina tanpa menoleh ke arah
Remie dan Julia.
Remie bangun dan menghampiri Nurdina yang
sedang meninggalkan bilik rehat itu. “Dina datang ke sini
ada hal penting dengan Abang Remiekah?”
“Tak ada. Saja nak jenguk abang!” balas Nurdina
acuh tak acuh sambil berlenggang-lenggok meninggalkan
studio rakaman itu.
Julia terus memerhati Nurdina yang berskirt ketat itu
sehingga gadis hitam manis itu tidak kelihatan lagi di
matanya kerana dihadang oleh dinding batu.
Kata-kata Nurdina itu memang ada kebenarannya.
Dunia hiburan yang baru diceburinya itu banyak cabaran.
Setiap aspek, baik dari segi berpakaian, cara berjalan, dan
keterampilan diri perlu disertai dengan gaya sendiri. Silap
bergaya, kena cemuh dan dikritik oleh wartawan dan
peminat.
66
Tiba-tiba sahaja semangat Julia menjadi pudar. Dia
berasa gerun untuk mengharungi dunia hiburan yang
penuh mencabar itu.
“Ju, janganlah ambil hati dengan kata-kata Nurdina
tu.” Remie kembali duduk di sisi Julia. “Dia tu memang
begitu. Tak boleh ada penyanyi baru, apatah lagi penyanyi
itu sudah ada peminatnya. Er..., seperti Ju.”
Julia diam. Dia melepaskan keluhan panjang.
“Dia bukannya apa, bimbang kalau-kalau
kedudukannya tergugat dengan kehadiran artis-artis baru,”
sambung Remie lagi.
“Entahlah, saya rasa takut dan tak sanggup
menghadapi cabaran dalam dunia hiburan. Ini belum lagi
album saya dilancarkan,” rungut Julia kebimbangan.
“Alah, Ju jangan risaulah.” Remie terus menyedapkan
hati Julia. “Itu hanya perasaan Ju. Tidak ada apa-apa yang
sukar!”
Julia bungkam lagi.
“Ju dah menceburi bidang nyanyian ni, tak akan Ju
nak berundur pula. Nanti Ju akan rasa seronoknya berada
dalam dunia glamor!” Remie tidak jemu-jemu memulihkan
emosi Julia semula yang terusik oleh sindiran Nurdina
sebentar tadi.
67
“Oh, ya, proses rakaman suara saya dah selesaikan?”
tanya Julia tiba-tiba.
“Ya. Tapi kenapa?” Remie mengerutkan dahinya.
“Saya kena pulang ke asrama hari ini juga. Sudah
berapa hari saya terpaksa ponteng sekolah kerana masuk
studio.” Julia bernada kesal.
“Saya bimbang kalau-kalau dikenakan apa-apa
tindakan oleh pihak asrama nanti.” Julia menyatakan
kebimbangannya.
“Okeylah, kalau begitu, petang nanti abang hantar Ju
pulang ke asrama!” jelas Remie.
“Terima kasih, abang!” balas Julia dengan lega.
68
8 Bintang Bersinar
“Apa, nak bertukar sekolah dan keluar dari Asrama
Kemboja?” Shida dan rakan-rakan sebilik mereka yang lain
sungguh terkejut dengan keputusan Julia.
“Ya,” balas Julia bersahaja.
“Nak tukar ke sekolah mana?” tanya Molly pula yang
kelihatan agak terkejut.
“Saya nak berpindah ke Kuala Lumpur,” balas Julia,
penuh keyakinan.
“Kuala Lumpur?” kata keempat-empat orang rakan
sebiliknya itu hampir serentak. Sekali lagi mereka berasa
sungguh terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh
Julia.
“Kenapa?” soal Azlin lalu turun dari katilnya dan
duduk berjuntai kaki di birai katil Julia.
Julia tidak segera menjawab pertanyaan Azlin itu. Dia
begitu asyik membaca sebuah majalah hiburan yang
menyiarkan berita tentang dirinya.
69
“Wartawan ni lain yang kita cakap, lain pula yang
ditulisnya,” Julia merungut kerana tidak puas hati dengan
berita yang dibacanya. Dia belum menjawab soalan Azlin
sebentar tadi.
“Eh, eh..., majalah tu ada menyiarkan berita tentang
awakkah?” Era bergegas turun dari katilnya yang terletak di
bahagian atas katil dua tingkat itu. Kemudian, dia segera
mengambil majalah yang diletakkan oleh Julia di atas
tilamnya lalu mencari berita yang dimaksudkan oleh Julia
itu.
Pada masa yang sama juga, Molly dan Shida turun
dari katil masing-masing untuk melihat sama majalah
tersebut.
“Wah, baca senyap-senyap, ya!” Shida mengutuk.
Julia hanya tersenyum melihat Molly, Shida, dan Era
berebut-rebut membaca majalah tersebut. Dia berasa
sungguh bangga.
“Wah, pandai awak bergaya, Ju!” puji Molly sambil
memerhati pos-pos menarik Julia yang disiarkan dalam
majalah itu.
Julia hanya tersenyum. Dalam hatinya dia amat
bangga akan pujian rakan-rakannya itu. Kenangan manis
semasa sesi fotografi yang diadakan di sebuah pusat
peranginan tanah tinggi itu menjelma dalam memorinya.
70
71
Ketika sesi fotografi itu dijalankan banyak peminat
yang menyerbu ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan
tandatangannya. Julia terus dibuai kenangan.
“Mengapa awak hendak berpindah ke Kuala Lumpur,
Ju?” Azlin mengulangi pertanyaannya yang belum dijawab
oleh Julia itu.
“Untuk memudahkan saya bergiat dalam bidang
nyanyian yang baru saya ceburi ini,” jelas Julia bersahaja.
Azlin memandang Julia yang terbaring di sisinya. Dia
terkejut dengan jawapan itu.
“Kenapa perlu bertukar sekolah?” Jawapan yang
diberikan oleh Julia sebentar tadi turut menarik perhatian
Shida.
Julia bangun lalu duduk berjuntai kaki di sisi Azlin.
Molly dan Era turut memandang Julia. Majalah hiburan
yang sedang dibaca itu tidak lagi menarik perhatian
mereka. Sebaliknya, tumpuan mereka beralih kepada Julia.
“Saya perlu mengejar bintang saya yang sedang
bersinar,” beritahu Julia dengan bangga.
“Jika Ju terus tinggal di Asrama Kemboja ini, Ju tidak
dapat mengejar bintang Jukah?” Azlin menduga.
“Begitulah yang saya rasakan,” balas Julia
bersungguh-sungguh. “Kak Alin pun tahu saya sekarang
72
sering mendapat undangan menyanyi untuk pertunjukan
pentas dan majlis makan malam. Kalau saya terus berada
di sini, bermakna saya terpaksa menolak semua undangan
tersebut. Cik Azian telah mengenakan syarat kepada saya
supaya tidak menerima undangan menyanyi itu.”
Suasana sepi seketika. Rakan-rakan sebilik Julia
masih lagi terkejut dengan keputusan Julia untuk
meninggalkan Asrama Kemboja itu.
“Lagipun, rugilah jika saya menolak semua undangan
itu. Banyak peminat seni tanah air telah mengenali saya,”
Julia bersuara semula.
“Ju kan masih bersekolah. Dulu Ju pernah kata
bahawa tujuan Ju menceburi bidang nyanyian pun hanya
untuk suka-suka, bukannya sebagai satu kerjaya.” Azlin
mengingatkan Julia semula tentang kata-kata yang pernah
diluahkan oleh Julia kepadanya ketika mula-mula
menerima tawaran untuk merakamkan album.
“Yalah, Ju. Tak akan tak cukup duit hasil jualan album
yang meletup tu,” tambah Molly. “Janganlah tamak, tak
baik, tau!”
“Hei, jangan tuduh saya tamaklah.” Julia melenting.
“Maksud saya, rugilah kalau saya menolak tawaran itu
kerana dari situlah, bintang saya akan bergemerlapan.”
Azlin, Molly, Era, dan Shida terdiam. Mereka sudah
mati akal untuk menasihati Julia.
73
“Lagipun saya sekarang sering diburu wartawan. Jika
saya terus berada di Asrama Kemboja ni, sukar bagi
wartawan untuk bertemu dengan saya kerana peraturan
asrama yang ketat. Bagi saya, wartawan tu penting kerana
wartawanlah yang akan menaikkan nama saya.” Begitu
teratur Julia menuturkan kata-katanya.
“Sekarang pun saya rasa tidak selesa kerana saya
tidak dibenarkan keluar asrama selalu untuk memenuhi
undangan atau untuk sesi fotografi.”
“Di Kuala Lumpur nanti, Ju nak tinggal dengan siapa?
Keluarga Ju kan tinggal di Alor Setar,” soal Era seolah-olah
akur dengan cadangan Julia itu.
“Abang Remie sudah menyediakan tempat tinggal
untuk saya. Dia juga akan menguruskan pertukaran
sekolah saya,” jelas Julia.
“Komposer yang menerbitkan album Ju tu?” Dengan
rasa terkejut Azlin ingin akan kepastian.
“Ya!” Julia menganggukkan kepalanya. “Kenapa?”
Azlin diam. Begitu juga dengan Molly, Era, dan Shida.
“Dia tu memang baik orangnya. Dia benar-benar
hendak menolong saya kerana dia tahu menghargai bakat
saya.” Sekali lagi Julia memuji komposer yang sudah lama
menduda itu.
74
“Kita jangan percaya sangat akan orang yang baru
kita kenali. Zaman sekarang ni, macam-macam boleh
terjadi. Kadang-kadang tu, saudara sendiri boleh jual kita.”
Azlin mengingatkan Julia.
“Hesy, tak baik Kak Alin cakap macam tu! Abang
Remie tu betul-betul ikhlas terhadap saya. Dia telah
menganggap saya sebagai adiknya sendiri.” Julia terus
membela Remie.
“Tak akanlah dia tergamak menipu atau melakukan
perkara yang tidak baik terhadap saya kerana itu sudah
tentu akan melingkupkan periuk nasinya.”
Azlin mengeluh hampa. Molly, Era, dan Shida
berpandangan sesama sendiri. Julia masih lagi duduk di
birai katilnya sambil berjuntai kaki.
“Mak dan ayah Ju, macam mana pula?” Shida
menyoal semula.
“Mereka belum tahu perkara ini,” jawab Julia lambat-
lambat sambil menundukkan kepalanya.
“Belum?” Era terperanjat. “Bagaimana kalau mereka
tidak benarkan?”
Julia bangun dari katil itu dan mundar-mandir di
hadapan mereka. Keempat-empat orang rakan sebiliknya
itu hanya memerhatikan seketika gelagat Julia, rakan
75
mereka yang kini sedang meningkat naik sebagai seorang
penyanyi remaja tanah air.
“Perpindahan ini penting untuk saya. Peluang untuk
saya berjaya sudah terbentang di hadapan mata, saya perlu
merebut peluang ini,” jelas Julia dengan bersungguh-sungguh.
“Walaupun ayah dan ibu Ju tidak benarkan Ju
berbuat demikian?” Azlin menduga.
Julia memandang wajah Azlin kemudian dia
mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Ju..., Ju....,” Azlin menggeleng-gelengkan kepalanya.
Shida menghampiri Julia yang tercegat berhampiran
tingkap. Dia turut sama menghalakan pandangannya ke
luar. Angin malam bertiup lembut, menyentuh mesra seluruh
wajah mereka. Suasana persekitaran Asrama Kemboja kian
sepi kerana banyak penghuninya sudah pun tidur.
“Ju, Ju tidak berasa sayangkah hendak meninggalkan
asrama ini dan kami semua?” tanya Shida dengan terharu.
Julia menoleh ke arah Shida di sebelahnya. “Ini untuk
masa depan saya, Shida.”
“Tapi meneruskan persekolahan di sini dan terus
tinggal di asrama ini juga untuk masa depan Ju juga.”
76
“Malah di sini pelajaran Ju lebih terjamin kerana ada
pihak yang memberi perhatian. Pelajaran tu lebih penting
daripada segala-galanya,” sampuk Era.
“Di Kuala Lumpur nanti pun bukannya saya tak
bersekolah, saya akan bersekolah seperti di sini juga.” Julia
bertegas lalu meninggikan sedikit suaranya.
“Di asrama ini pun Ju kerap ponteng sekolah kerana
berulang-alik ke Kuala Lumpur untuk berurusan dengan
syarikat rakaman itu. Apatah lagi di Kuala Lumpur nanti,
tentu pelajaran Ju lebih terabai.” Azlin tidak jemu-jemu
menasihati Julia yang nampaknya lebih mementingkan
bidang nyanyian daripada pelajarannya.
“Tapi kata Abang Remie, saya boleh juga meneruskan
persekolahan saya di sekolah swasta,” beritahu Julia yang
sudah pun kembali semula berjuntai kaki di atas katilnya,
di sisi Azlin.
“Sekolah swasta?” kata Molly dan Shida serentak.
“Mengapa terkejut pula?” tanya Julia.
“Tentu mahal, siapa yang akan membiayainya?” Era
ingin tahu.
“Itu Abang Remie akan uruskanlah,” bentak Julia
seperti tidak suka disoal sebegitu oleh rakan-rakannya.
77
Keempat-empat orang rakannya itu terdiam.
Nampaknya, Julia begitu menyanjungi Remie, komposer
yang bertanggungjawab menerbitkan albumnya. Daripada
pandangan mata Julia, Remie tiada cacat celanya.
Hesy, malaslah saya nak layan awak semua ni!
Langsung tidak mahu memberi sokongan kepada saya.
“Padahal, awak semua juga yang bersungguh-
sungguh menyuruh saya memasuki pertandingan nyanyian
itu sehingga saya berjaya menjadi juara dan seterusnya
menjadi penyanyi seperti sekarang.” Julia merungut lalu
membaringkan dirinya di tempat tidurnya dan menutup
mukanya dengan selimut.
Melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Julia itu, Azlin,
Shida, Era, dan Molly kembali ke tempat tidur masing-
masing.
Masing-masing mula perasan bahawa Julia kini
sudah berubah dan tidak seperti Julia dulu lagi. Julia
sekarang berubah gara-gara telah bergelar artis.
Begitulah Julia sekarang. Kini, dia telah berjaya
mencapai impiannya menjadi penyanyi. Semenjak album
sulungnya dilancarkan, hampir setiap hari suara Julia
berkumandang di udara melalui lagu-lagu nyanyiannya.
Lagu-lagu Julia meletup dan digemari oleh segenap
lapisan terutamanya golongan remaja. Keadaan ini
sungguh menakjubkan. Seluruh penghuni Asrama Kemboja
78
juga tumpang berbangga dengan populariti Julia secara
mendadak itu.
Julia sentiasa mendapat perhatian pelajar-pelajar
sekolahnya dan penghuni Asrama Kemboja sendiri. Ramai
yang meminati dan menyanjungi Julia. Hal ini sedikit
sebanyak merubah kehidupan Julia. Dia mula berasa bangga
atas kejayaannya walaupun baru menghasilkan satu album.
Julia sudah banyak berubah sekarang. Sudah pandai
bergaya dan pandai bercakap. Yang paling ketara berubah
ialah Julia sekarang tidak suka lagi mendengar nasihat dan
menerima pendapat daripada kawan-kawannya.
79
9 Mabuk Glamor
“Mak cik berasa sungguh sedih dan kecewa. Tak
sangka Julia boleh buat macam ni!” kata Puan Junainah lalu
menyeka air matanya dengan lengan baju kurung yang
dipakainya.
Azlin dan Shida memandang wanita separuh umur
itu dengan penuh simpati. Sesekali, kelihatan bahu Puan
Junainah terhinggut-hinggut kerana menahan tangis.
“Sabar, mak cik.” Azlin mencuba menenangkan
keadaan Puan Junainah. “Saya rasa Julia telah terpedaya
dengan cakap-cakap Remie. Jika Remie tidak
mempengaruhinya, dia tidak akan mengambil keputusan
sedemikan.”
“Mak cik sungguh kesal kerana ada orang yang
mengambil kesempatan ke atas anak mak cik yang masih
mentah itu.” Puan Junainah terus melahirkan rasa
kecewanya.
“Sepatutnya Julia dinasihati supaya mengutamakan
pelajarannya terlebih dahulu.”
80
Suasana terus sepi sebentar. Azlin dan Shida tidak
mampu berkata apa-apa lagi. Mereka duduk di sofa panjang
di dalam bilik itu bersama-sama Puan Junainah.
“Assalamualaikum!” Tiba-tiba mereka dikejutkan
oleh salam yang diberikan oleh Era yang baru pulang dari
sekolah bersama-sama Molly.
“Waalaikumussalam!” balas mereka serentak.
Era dan Molly yang sudah pun melangkah masuk ke
bilik itu terpinga-pinga melihat situasi itu. Mereka
memandang Azlin dan Shida. Azlin memberi isyarat dengan
matanya supaya mereka berdua bertenang.
“Apa khabar, mak cik?” Era menghampiri Puan
Junainah dan bersalaman.
“Khabar baik, nak!” balas Puan Junainah dengan
suara serak kerana terlalu banyak menangis.
“Bila mak cik sampai?” tanya Molly pula selepas
bersalaman dengan Puan Junainah.
“Pagi tadi,” balas Puan Junainah ringkas sambil
merenung gadis kacukan India dan Cina itu dengan mata
yang masih merah.
Suasana sepi lagi. Puan Junainah merenung katil Julia
yang sudah tidak berpenghuni lagi. Kemudian, dia beralih
pula ke almari Julia yang terletak bersebelahan dengan katil
81
itu. Beberapa helai pakaian yang ditinggalkan oleh Julia
tergantung kemas di dalam almari tersebut.
“Mak cik sungguh terperanjat apabila mendapat
surat daripada pihak Asrama Kemboja yang memberitahu
Julia sudah dua minggu meninggalkan asrama ini,”
beritahu Puan Junainah tanpa ditanya.
“Apa kata pak cik pula?” Azlin memberanikan dirinya
ingin tahu.
“Pak cik sungguh terkejut. Apa lagi penyakit darah
tingginya terus menyerang. Sehingga kini, kesihatannya
masih lagi belum memuaskan,” jelas Puan Junainah.
“Itulah sebabnya mak cik seorang sahaja datang ke sini
untuk bertemu dengan Cik Azian.”
Masing-masing diam lagi. Rasa simpati terhadap
Puan Junainah semakin menebal.
“Dia langsung tidak memberitahu pak cik dan mak
cik tentang hasratnya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur?”
Era yang duduk berjuntai kaki di katil Shida bertanya.
“Ada. Ketika dia pulang ke kampung lebih sebulan
yang lalu. Tapi pak cik dan mak cik tidak
membenarkannya. Bukan kami tak suka dia jadi penyanyi,
tetapi biarlah dia menamatkan pelajarannya dahulu.
Pelajaran itu amat penting demi masa depannya,” Puan
Junainah terus meluahkan rasa hatinya yang terkilan
dengan tindakan Julia meninggalkan asrama.
82
“Mak cik mahu dia menjadi penyanyi yang
berpelajaran seperti Allahyarham Sudirman Haji Arshad,
Aisyah, atau Fazley.”
“Kalau album yang dihasilkan itu tidak laku mereka
boleh mencari pekerjaan lain mengikut kelulusan mereka.
Kalau menjadi penyanyi yang tidak berpelajaran dan kalau
album pertama yang dihasilkan tidak laku, nak buat apa?”
ujar Puan Junainah.
“Sebenarnya kami dah nasihatkan dia supaya berfikir
semasak-masaknya sebelum membuat keputusan, jangan
terburu-buru tetapi apakan daya, nasihat kami tidak
diendahkannya,” akui Azlin dengan jujur.
“Betul kata Kak Alin tu, mak cik. Kami dah puas
menasihatinya tetapi nampaknya dia lebih terpengaruh
dengan kata-kata Remie,” sokong Shida.
“Sebagai kawan, kami mahu melihat dia berjaya
dalam kedua-dua bidang, iaitu pelajaran dan nyanyian
yang diceburinya. Kami tidak mahu dia kecewa atau
menyesal pada kemudian hari. Tapi itulah, dia mahu
mengejar bintangnya yang sedang bersinar. Kalau terus
berada di asrama ini, bintangnya akan malap,” akui Era
dengan jujur.
“Mak cik faham,” balas Puan Junainah yang
tangisannya kini kian reda.
83
84
“Abang dan kakaknya pula menyalahkan mak cik dan
pak cik kerana membenarkan Julia menandatangani
kontrak dengan syarikat rakaman itu. Mak cik menjadi
semakin serba salah sekarang!”
“Semenjak dia ke Kuala Lumpur, dia ada hubungi pak
cik dan mak cik?” tanya Molly.
“Tidak ada. Tapi menurut abang dan kakaknya,
berita tentang Julia sering disiarkan di dalam akhbar dan
majalah hiburan,” ujar Puan Junainah yang terus
menggambarkan kekesalannya.
“Mak cik sungguh kesal kerana Julia sekarang sudah
pandai berbohong semata-mata untuk mengejar
popularitinya. Kadang-kadang, mak cik sekeluarga rasa
malu terhadap masyarakat sekeliling.”
“Saya tak fikir Julia berbohong, mak cik.” Era
menafikan dakwaan Puan Junainah.
“Kalau dia tidak berbohong, tak akanlah pula
wartawan tu saja-saja nak tulis di dalam akhbar atau
majalah hiburan itu.” Puan Junainah bertegas.
“Mak cik.” Azlin bersuara dengan lembut sambil
memandang Puan Junainah yang masih belum berganjak
dari tempat duduknya. “Kadang-kadang wartawan ni
sengaja menipu pembaca dengan mengada-adakan cerita
dan membuat gosip liar. Ini bertujuan untuk melariskan
akhbar atau majalah yang diterbitkan oleh mereka.”
85
“Betul tu, mak cik.” Era mengukuhkan hujah Azlin.
Puan Junainah diam sejenak. Dia mencuba memahami
apa yang diberitahu oleh Azlin sebentar tadi.
“Apa yang merisaukan mak cik sekarang ialah
persekolahannya,” cetus Puan Junainah semula. “Tak
tahulah mak cik sama ada dia bersekolah atau tidak.
Menurut kakaknya, dalam sebuah majalah hiburan yang
dibacanya, wartawan ada menulis Julia sudah berpindah ke
sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur. Tapi mak cik tak
tahu pula sejauh mana kebenaran berita itu.”
“Apa kata Cik Azian dalam pertemuannya dengan
mak cik pagi tadi?” Shida mencuba mengorek rahsia.
“Menurut Cik Azian, Julia sepatutnya telah disingkirkan
dari asrama ini kerana dia telah banyak melanggar disiplin
asrama, apatah lagi tidak hadir ke sekolah berminggu-
minggu lamanya,” beritahu Puan Junainah tentang apa yang
dibincangkan dengan Cik Azian pagi tadi.
Rakan-rakan sebilik Julia terkejut dan kecewa dengan
berita yang disampaikan oleh Puan Junainah itu. Mereka
memang sudah menjangkakan hal tersebut.
“Walau bagaimanapun, menurut Cik Azian, Julia
boleh membuat rayuan untuk tinggal di asrama ini dengan
syarat dia tidak akan mengulangi kesalahannya itu. Ini
disebabkan Julia bukanlah terlibat dengan kesalahan
86
jenayah,” jelas Puan Junainah sekali gus menggembirakan
rakan-rakan sebiliknya itu.
“Jadi, apa ikhtiar mak cik seterusnya?” Azlin segera
bertanya.
“Mak cik akan mengajak pak cik ke Kuala Lumpur
untuk bertemu dan memujuk Julia supaya kembali ke
Asrama Kemboja. Tapi....” Walaupun lega dengan budi
bicara pihak Asrama Kemboja tetapi Puan Junainah masih
menampakkan kebuntuannya.
“Tapi apa, mak cik?” desak Molly.
“Mak cik tak tahu di mana nak cari Julia.” Puan
Junainah memberitahu masalahnya.
“Itu senang sahaja.” Azlin cuba memberi jalan. “Mak
cik pergi sahaja ke syarikat rakaman tempat Julia mengikat
kontrak itu. Mereka akan beritahu di mana Julia tinggal.”
Puan Junainah mengangguk-anggukkan kepalanya.
Tiba-tiba, Molly bangun dan melihat jam yang
tergantung pada dinding bilik itu. Kemudian, dia
menjenguk ke luar melalui tingkap. Beberapa orang
penghuni asrama yang lain berjalan di kaki lima di luar
bilik mereka. Molly memandang rakan-rakannya. Mukanya
berkerut.
87
“Eh, dah pukul 2.30 petang! Hampir mak cik terlupa
kamu semua belum makan lagi kerana asyik melayan mak
cik,” kata Puan Junainah yang menyedari reaksi yang
ditunjukkan oleh Molly. Dia segera bangun dari sofa itu.
“Eh, tak ada apa-apalah, mak cik! Kami dah biasa
makan lewat.” Shida cuba berdalih semata-mata untuk
mengambil hati Puan Junainah.
“Mak cik tahu, kamu lapar. Mak cik pun nak ke surau
untuk menunaikan solat zohor,” beritahu Puan Junainah
yang sudah bersedia untuk meninggalkan bilik itu. “Lepas ini
ada perkara lagi yang mak cik nak bincangkan dengan Cik
Azian. Terima kasihlah kerana sudi melayan mak cik.”
“Mak cik tak nak makan dulu?” Azlin mempelawa
Puan Junainah makan bersama-sama mereka.
“Terima kasih sajalah, anak-anak. Lagipun mak cik
tak rasa lapar lagi,” akui Puan Junainah dalam loghat utara
yang pekat.
“Jangan begitu, mak cik..., mak cik mesti makan. Nanti
mak cik jatuh sakit pula.” Era mengingatkan Puan Junainah.
Puan Junainah tersenyum. Dalam hatinya dia berasa
sungguh terharu kerana keempat-empat orang sahabat
baik Julia itu mengambil berat tentang dirinya.
“Oh, ya..., bila mak cik nak pulang ke Alor Setar?”
Shida sempat bertanya sebelum Puan Junainah
meninggalkan bilik mereka.
88
“Tengoklah, kalau dah selesai urusan mak cik dengan
Cik Azian, malam ini juga mak cik akan balik ke Alor Setar,”
beritahu Puan Junainah.
“Banyak-banyak bersabar, ya, mak cik,” pesan Azlin
dengan ikhlas.
Puan Junainah memberhentikan langkahnya seketika.
Dia memandang rakan-rakan sebilik anaknya itu dengan
penuh terharu. “Terima kasih, anak-anak.”
89
10 Tidak Seindah
Bagai Disangka
“Abang Remie ada datang ke sini, kak?” tanya Julia
kepada Lisa, pegawai perhubungan awam Matahari
Productions.
“Tak ada. Dah seminggu dia tak datang ke sini. Tak
tahu apa hal. Kami dah mencuba menghubungi telefon
bimbitnya tetapi tak ada jawapan.” Lisa, gadis kecil molek
yang berkulit hitam manis itu berterus terang.
Julia diam sambil menghela nafas panjang. Wajahnya
kelat.
“Bila Ju datang ke Kuala Lumpur? Kenapa tak
beritahu kakak terlebih dahulu?” Lisa terkejut dengan
kemunculan Julia secara tiba-tiba.
“Sudah dua minggu, kak,” beritahu Julia.
“Sebenarnya, Ju dan berpindah ke sini.”
“Berpindah ke sini?” Sekali lagi Lisa terperanjat. Lisa
sebagai pegawai perhubungan awam Matahari Productions
perlu mengambil tahu perkembangan terbaru Julia.
“Kenapa Ju tak maklumkan kepada kami terlebih dahulu?”
90
“Abang Remie kata dia dah uruskan hal ini.” Julia
berterus terang. “Dia sekarang bertindak sebagai pengurus
saya.”
“Pengurus?” Lisa terkejut lagi.
“Ya. Dialah yang bertanggungjawab menguruskan
saya untuk menerima undangan menyanyi atau
mengadakan pertunjukan pentas,” beritahu Julia lagi.
“Kenapa Ju nak jumpa dia, ada hal mustahakkah?”
tanya Lisa sambil merenung Julia yang duduk di sofa
panjang, di ruang tamu pejabat itu.
Julia mengangguk malas. Perlahan-lahan, dia
mengangkat muka memandang Lisa yang sudah pun duduk
di sebelahnya. “Saya nak jumpa dia ni pun pasal bayaran
untuk undangan menyanyi dan pertunjukan pentas pada
minggu lepas.”
“Maksud Ju, segala bayaran yang Ju terima itu
dibayar melalui Remie?” Lisa menunjukkan rasa terkejut.
Julia mengangguk-angguk.
“Wah, kalau begitu tentu duit Ju sekarang dah banyak!”
kata Lisa yang turut menunjukkan rasa gembiranya. “Duit
undangan menyanyi dan duit royalti jualan album.”
“Duit royalti jualan album tu adalah saya terima.
Saya simpan untuk masa depan saya.” Julia berterus
91
terang. “Tapi duit undangan menyanyi dan pertunjukan
pentas tu tak ada lagilah, kak.”
Sekali lagi Lisa merenung Julia. Dia mengerutkan
dahinya. “Sudah berapa kali Ju menerima undangan
menyanyi semenjak berada di sini?”
“Er, adalah lima kali,” balas Julia mula menampakkan
kerisauannya. “Tapi saya belum terima kesemua wang
hasil persembahan tu.”
“Kenapa, Ju ditipu oleh pihak penganjurkah?” tanya
Lisa bersungguh-sungguh.
“Tidak. Semua bayaran tersebut dibayar melalui
Abang Remie. Tapi dia belum lagi menyerahkannya kepada
saya. Katanya dia sibuk,” keluh Julia.
Lisa terus memandang Julia. Dia menggeleng-
gelengkan kepalanya. Dia mula mengagak mungkin Remie
bertindak untuk menipu dan memperdayakan Julia. Tiba-
tiba sahaja timbul rasa simpati terhadap remaja yang
masih mentah dalam bidang hiburan yang diceburinya itu.
“Ju memang berhasrat untuk terus tinggal di bandar
raya inikah?” Lisa ingin tahu.
“Ya, kak,” balas Julia ringkas.
“Bagaimana dengan persekolahan Ju?” Lisa terus
bertindak sebagai seorang wartawan.
92
“Itulah yang merisaukan saya, kak!” keluh Julia lalu
bangun dari sofa itu tanpa arah tujuan. “Sebelum
berpindah ke sini, Abang Remie telah berjanji untuk
menguruskan pertukaran sekolah saya. Tapi sampai
sekarang dia tidak mengambil sebarang tindakan.”
“Jadi, Ju dah tinggalkan Asrama Kembojalah?” tanya
Lisa dengan nada kesal dan terkejut. “Sekarang ni, Ju tidak
bersekolahlah, ya?”
Julia duduk semula di sofa itu. Dia menganggukkan
kepalanya mengiakan pertanyaan Lisa sebentar tadi.
“Sayang, Ju. Asrama itu kan bagus. Hanya pelajar
yang pintar dan terpilih layak tinggal di asrama itu,” ujar
Lisa. Daripada nada percakapannya itu menunjukkan dia
tidak bersetuju dengan tindakan yang telah diambil oleh
Julia itu.
Julia tunduk lagi. Tidak memberi sebarang reaksi.
“Mak dan ayah Ju tahu hal ini?” Lisa melahirkan rasa
risaunya.
“Saya ada memberitahu mereka tapi mereka tak
benarkan saya tinggalkan asrama tu dan berpindah ke
sini.” Julia mula rasa bersalah.
Lisa mengeluh sambil menggeleng-gelengkan
kepalanya.
93
94
“Di sini Ju tinggal dengan siapa?” tanya Lisa.
“Saya tinggal di sebuah apartment di Bangsar
bersama-sama dengan Mak Cik Sumie,” beritahu Julia
secara jujur. “Buat sementara, saya menumpang di
rumahnya.”
“Siapa Mak Cik Sumie tu?” Lisa ingin tahu.
“Menurut Abang Remie, Mak Cik Sumie tu, ibu
saudaranya,” beritahu Julia lagi sebagaimana yang
diberitahu oleh Remie kepadanya.
Lisa diam. Dia sungguh terperanjat dengan apa yang
didengarnya daripada Julia itu. Sepatutnya, syarikat
rakaman itu mengetahui perkara ini terlebih dahulu. Dia
sebagai pegawai perhubungan awam di situ, lebih berhak
menasihati dan memberi pandangan kepada Julia,
bukannya Remie.
“Ju...,” Lisa memegang bahu Julia. “Mengapa Ju
mengambil keputusan yang terburu-buru?”
“Entahlah, kak, saya benar-benar terpengaruh
dengan kata-kata Abang Remie. Katanya, jika saya mahu
mengejar bintang yang sedang bersinar, saya mesti
berpindah ke Kuala Lumpur. Sekarang, saya rasa sungguh
menyesal kerana mengabaikan pelajaran,” ucap Julia
seperti hendak menangis.
95