45
Pelajaran 4 MU‘AWIYAH BIN YAZID
(64 H / 683 M)
PENGENALAN
Khalifah Bani Umaiyah yang ketiga ialah Mu‘awiyah bin Yazid. Dikenali juga
sebagai Mu‘awiyah II. Dia seorang yang warak, bertakwa, sentiasa beribadat,
cintakan keamanan dan perdamaian serta tidak gemarkan politik. Dia juga tidak
suka kepada peperangan dan pergaduhan. Ini berlainan dengan peribadi bapanya
Yazid.
Beliau dilantik oleh penduduk Syam setelah wafat ayahandanya, Yazid dan ketika
itu beliau baru berumur 21 tahun. Oleh sebab tidak sesuai dengan jiwanya maka
dia meletak jawatan dan menyerahkan kembali hak pelantikan khalifah kepada
orang ramai.
Pada suatu hari selepas sembahyang berjemaah, Mu‘awiyah II mengambil
kesempatan berkhutbah. Antara lain isi khutbahnya mengatakan bahawa dia tidak
mampu untuk menjalankan urusan orang ramai. Dia juga tidak menemui orang-
orang seperti pemerintah Khulafa’ Ar-Rasyidin. Sebab itu dia merasa orang ramai
lebih berhak dalam pemilihan khalifah. Dengan ucapannya itu, maka rasmilah
peletakan jawatannya dan terserah urusan pelantikan khalifah baru kepada orang
ramai. Kemudian dia pun pulang mengasingkan diri dalam rumahnya hinggalah
dia wafat iaitu setelah berlalu tiga bulan dari tarikh pelantikannya menjadi khalifah.
KEADAAN NEGARA DI ZAMANNYA
Walaupun Mu‘awiyah II meletak jawatan tetapi pergolakan dalam negara masih
berterusan. Setelah Yazid wafat, al-Hoshain bin an-Numair mengarahkan
tenteranya pulang ke Syam.
‘Ubaidullah bin Ziyad di Damsyik cuba mempengaruhi penduduk Iraq supaya taat
kepadanya agar dia dicalonkan menjadi khalifah menggantikan Yazid tetapi tidak
berjaya. Kemudian dia mengutus utusan ke Kufah untuk mempengaruhi mereka
tetapi penduduknya tetap juga enggan kerana secara terang-terangan ‘Ubaidullah
hanya mementingkan diri sendiri lalu mereka memulaukannya. Sejak itu pengaruh
‘Ubaidullah semakin lemah. Oleh sebab sangsikan keselamatan dirinya maka dia
melarikan diri ke Syam.
85
85