YAZID II WAFAT
Khalifah Yazid II wafat dalam bulan Sya‘ban tahun 105 Hijrah setelah memerintah
selama 4 tahun 1 bulan.
LATIHAN DAN SOALAN ULANG KAJI
1. Jelaskan mengenai peribadi Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik dan bilakah beliau
wafat.
2. Huraikan bagaimanakah keadaan negaranya semasa di bawah pemerintahan
beliau.
104
104
Pelajaran 12 KERAJAAN BANI UMAIYAH
SELEPAS PEMERINTAHAN
HISYAM
(125-132 H / 743-750 M )
ZAMAN KELEMAHAN
Khalifah-khalifah Bani Umaiyah selepas pemerintahan Hisyam bin ‘Abdul Malik
iaitu al-Walid II, Yazid III dan Ibrahim bin al-Walid tidak mengambil berat hal
pemerintahan negeri, lebih-lebih lagi dalam hal memperluaskan daerah taklukan
Islam.
Mereka leka dengan pangkat dan kekayaan sehingga mereka sanggup
bermusuhan sesama sendiri. Akibatnya, pemberontakan dan persengketaan
timbul di sana sini.
KEADAAN NEGARA ZAMAN PEMERINTAHAN MARWAN
Selepas Khalifah al-Walid II, Yazid III dan Ibrahim bin al-Walid memerintah,
barulah muncul seorang khalifah yang berkebolehan iaitu Marwan bin Muhammad
yang mula memerintah pada tahun 126 Hijrah setelah berjaya mengalahkan
Ibrahim bin al-Walid dalam suatu perebutan kuasa. Tetapi kedatangan Marwan
sebagai seorang pemerintah yang agak cekap itu sudah terlalu lewat kerana
golongan-golongan pemberontak sudah bersiap sedia dengan kekuatannya.
Marwan ialah khalifah yang akhir dalam rangkaian khalifah-khalifah Bani
Umaiyah.
PEPERANGAN SUNGAI ZAB
Dalam masa pemerintahan Khalifah Marwan, muncul kembali fahaman
perkauman dan persukuan antara bangsa Arab dengan keturunan yang bukan
berdarah Arab. Di saat ini parti-parti politik yang sedia menentang Kerajaan Bani
Umaiyah, mula mengambil kesempatan menghidupkan perjuangan mereka.
Perebutan kuasa berlaku di serata daerah taklukan Islam iaitu Sind, Khurasan dan
daerah-daerah di Utara Afrika. Begitu juga keadaannya di Sepanyol, di masa
inilah munculnya pemberontakan secara besar-besaran di Khurasan di bawah
pimpinan Muhammad al-Abbasi (Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abdullah bin ‘Abbas bin
‘Abdul Muthalib). Gerakan mereka dibantu oleh golongan Syi‘ah untuk
mengembalikan hak khalifah ke pangkuan keluarga Nabi Muhammad Shallallahu
‘alaihi wasallam.
107
107
Pelajaran 13 KEJATUHAN KERAJAAN BANI
UMAIYAH DAN SEBAB-
SEBABNYA
SEBAB-SEBAB KEJATUHAN KERAJAAN BANI UMAIYAH
Antara sebab-sebab yang membawa kepada kelemahan dan kejatuhan Kerajaan
Bani Umaiyah di tangan Kerajaan Bani ‘Abbasiyah itu ialah :-
1. Kerajaan ini didirikan dengan cara rampasan kuasa dan secara kekerasan
bukan berasaskan kerelaan hati seluruh rakyat Islam atau sebilangan besar
umat Islam. Pemberontakan di kalangan rakyat tercetus disebabkan perasaan
tidak puas hati terhadap pemerintahan Kerajaan Bani Umaiyah.
2. Penghinaan dan penindasan yang dilakukan ke atas Bani Hasyim dan
golongan Syi‘ah. Mu‘awiyah menjadikan cacian ke atas Sayidina ‘Ali sebagai
satu perkara yang mustahak disebut di atas mimbar dalam khutbah Juma‘at di
seluruh negara. Tindakannya ini menyebabkan kebanyakan orang-orang Islam
merasa kesal. Sebab itu Mu‘awiyah dianggap orang pertama atau tokoh politik
yang pertama yang mementingkan politik berbanding ugama. Inilah yang
menyebabkan suku Bani Hasyim dan golongan Syi‘ah menentang kerajaannya
berhabis-habisan lebih-lebih lagi setelah Husain bin ‘Ali dibunuh dengan kejam
oleh tentera Yazid di Karbala.
3. Cara pelantikan khalifah juga menyebabkan persengketaan sesama sendiri
antara keluarga Bani Umaiyah, contohnya Marwan bin al-Hakam yang melantik
anaknya ‘Abdul Malik menjadi khalifah dan selepas ‘Abdul Malik ialah ‘Abdul
‘Aziz. Perkara ini memecahbelahkan keluarga Bani Umaiyah kerana ‘Abdul
Malik lebih mementingkan anaknya daripada saudaranya. Lalu dia cuba
menyingkirkan ‘Abdul ‘Aziz dan melantik anaknya al-Walid menjadi khalifah
bakal gantinya.
109
109
Pelajaran 14 PENAKLUKAN NEGERI
SEPANYOL TAHUN 711 MASIHI
SEPANYOL SEBELUM ISLAM
Antara penaklukan yang besar berlaku dalam masa pemerintahan Kerajaan Bani
Umaiyah ialah penaklukan negeri Sepanyol (Spain) yang berlaku pada tahun 711
Masihi. Kejayaan ini hasil daripada kerjasama dua orang panglima perang Islam
yang handal iaitu Thariq bin Ziad dan Musa bin Nushair.
Negeri Sepanyol dikuasai oleh Kerajaan Rom sejak lebih daripada satu kurun
sebelum Masihi. Kemudian pada tahun 406 Masihi, Sepanyol dikuasai oleh satu
puak yang bernama Vandal. Seterusnya pada tahun 471 Masihi, tanah Sepanyol
dikuasai pula oleh bangsa Goth. Kerajaan ini memerintah selama dua kurun.
Kerajaan Goth ini terkenal kuat dan bijak menjalankan pemerintahan. Sebab itu ia
dapat tegak berkuasa dalam tempoh yang agak lama. Tetapi di akhir
pemerintahan kerajaan ini berlaku perebutan kuasa antara pembesar-pembesar
negara. Kepincangan hidup berlaku di kalangan rakyat sedangkan golongan
pemerintah asyik dengan kemewahan hidup mereka sahaja. Raja Goth yang
terakhir memerintah negeri Sepanyol ialah Roderick. Roderick menaiki takhta
Kerajaan Sepanyol setelah berjaya dalam satu rampasan kuasa dengan seorang
anak Raja Goth yang lain iaitu Count Julian. Mereka masing-masing menuntut
hak pemerintahan. Perebutan kuasa pada mulanya berlaku di antara bapa
mereka berdua tetapi bapa Roderick telah tewas terbunuh di tangan bapa Count
Julian. Sebab itulah Roderick bangun untuk menuntut bela atas kematian
bapanya dan berjaya membunuh bapa Count Julian. Count Julian menghantar
sepucuk surat kepada Thariq, iaitu seorang panglima di Tanjiers. Tujuan Count
Julian ialah meminta bantuan kepadanya menentang satu rampasan kuasa yang
diketuai oleh Roderick. Kejadian huru-hara ini berlaku pada tahun 710 Masihi.
SEBAB PENAKLUKAN
Count Julian merasa sukar untuk menentang Roderick yang gagah. Oleh sebab
itu, dia meminta pertolongan daripada bangsa Arab di utara Afrika, yang pada
masa itu sememangnya terkenal masyhur gagah dalam peperangan. Permintaan
ditujukan kepada wakil pemerintah bagi pihak Kerajaan Bani Umaiyah di utara
Afrika iaitu Musa bin Nushair. Musa terlebih dahulu meminta persetujuan Khalifah al-
Walid di Damsyik. Khalifah al-Walid pada mulanya agak keberatan hendak
membenarkan kerana khuatir muncul musuh yang baru, lebih-lebih lagi dia kurang
setuju kiranya tentera Islam cuba campur tangan dalam pemerintahan negara
yang terpisah jauh oleh lautan itu. Tetapi setelah didesak oleh Musa dengan alasan
111
111
Pelajaran 15 KEMAJUAN DALAM ZAMAN
PEMERINTAHAN KERAJAAN
BANI UMAIYAH
KEDUDUKAN KHALIFAH
Kedudukan khalifah-khalifah Kerajaan Bani Umaiyah adalah berlainan dengan
kedudukan khalifah-khalifah di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin. Mu‘awiyah pengasas
Kerajaan Bani Umaiyah merupakan pelopor pertama yang membezakan
kedudukan khalifah dengan rakyat jelata dalam beberapa aspek kehidupan. Dia
menyediakan tempat kediaman khas untuk persemayaman khalifah yang
dilengkapi dengan pengawal-pengawal dan pengawal peribadinya ketika keluar
melawat negaranya. Perjumpaan antara pembesar-pembesar negara dengan
rakyat jelata hendaklah diaturkan terlebih dahulu.
Keadaan ini berbeza dengan khalifah-khalifah zaman Khulafa’ ar-Rasyidin yang
sama tarafnya dengan rakyat jelata dari aspek kehidupan sehariannya. Mereka
tinggal dalam rumah sendiri yang sama dengan tempat kediaman rakyat. Mereka
bergaul dengan rakyat dan melayani sebarang aduan d i m a n a - m a n a dan
bila-bila masa sahaja. Sebab itulah kemegahan hidup khalifah tidak nyata di
kalangan rakyatnya. Khalifah di zaman Khulafa’ ar-Rasyidin adalah orang yang
paling sibuk dalam segenap bidang urusan.
UGAMA DAN POLITIK
Khalifah-khalifah dalam zaman Khulafa’ ar-Rasyidin lebih mengutamakan hukum-
hukum ugama daripada kehendak-kehendak politik semata-mata. Seberapa boleh
tindakan politik mereka disesuaikan dengan hukum-hukum ugama. Khalifah-
khalifah zaman Khulafa’ ar-Rasyidin akan menghindarkan sama sekali perkara-
perkara yang jelas melanggar hukum-hukum Allah, kerana mereka adalah orang
-orang yang berkebolehan dalam hukum-hukum ugama.
Keadaan ini hanya ada pada sesetengah daripada khalifah-khalifah Bani
Umaiyah seperti al-Walid bin ‘Abdul Malik dan ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz. Oleh
sebab kekurangan pengetahuan ugama maka sesetengah daripada Khalifah Bani
Umaiyah jelas melanggar hukum-hukum Allah kerana hendak memuaskan nafsu
kebendaan dan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata.
Pembunuhan di zaman pemerintahan Bani Umaiyah dilakukan dengan sewenang
-wenangnya oleh wakil-wakil pemerintah dengan tidak perlu lagi mendapatkan
kebenaran daripada khalifah, kerana kuasa ini sedia diberi kepada mereka.
116
116