NAKHODA BAHTERA YANG UNGGUL
Siti Mazliha binti Ahmad
SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, Johor.
PENGENALAN
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), nakhoda didefinisikan sebagai pemimpin
atau ketua perahu (kapal), juragan. Bahtera ialah kapal besar manakala unggul pula
didefinisikan sebagai melebihi (mengatasi) yang lain (baik, bijak, cekap, tinggi, dll) terbaik,
teristimewa. Dalam penulisan ini, nakhoda merujuk kepada pemimpin pendidikan. Bahtera
pula kiasan untuk sesebuah organisasi atau sekolah. Unggul dikaitkan ciri-ciri yang terbaik
dalam diri pemimpin pendidikan. Oleh itu, Nakhoda Bahtera Yang Unggul ialah pemimpin
pendidikan yang terbaik yang akan mengemudi organisasinya ke arah kecemerlangan.
Pemimpin ini berperanan penting dalam menetapkan hala tuju pasukan demi mencapai
kejayaan yang hebat manakala ahli pasukan berperanan menjayakan hala tuju yang telah
ditetapkan supaya membuahkan hasil. Dalam penulisan ini, lima (5) ciri pemimpin pendidikan
yang diidamkan akan dikupas iaitu berwawasan, prihatin, komunikasi yang berkesan,
pembimbing dan membuat keputusan. Seterusnya, lima (5) isu dan cabaran yang dihadapi
dan lima (5) perancangan sebagai pemimpin masa hadapan akan dibincangkan. Diharapkan
artikel ini dapat menyumbang idea untuk menjadi seorang pemimpin pendidikan yang terbaik
demi memastikan matlamat dan agenda pendidikan dilestari kerana nakhoda yang unggul
akan membawa anak–anak kapalnya mendarat dengan selamat.
PENGALAMAN LEPAS
Saya pernah menjawat jawatan sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa
(GBKSM) di dua (2) buah sekolah bermula pada tahun 1996 hingga 2008. Enam (6) tahun
yang pertama, sayalah satu-satunya GBKSM di SMK Sultanah Engku Tun Aminah, Johor
Bahru. Setelah itu, mengetuai barisan GBKSM di sekolah yang sama dan di sekolah yang
kedua iaitu SMK Pasir Gudang 3. Antara tugas dan tanggungjawabnya ialah merancang,
menyelaras dan mengawal selia program-program perkembangan murid seperti motivasi, kem
jaya diri, kepimpinan, mentor-mentee, kerjaya, kemahiran belajar, program pencegahan
dadah, inhalan, rokok, HIV dan AIDS serta lain-lain lagi. Pengurusan kewangan juga perlu
ditadbir dengan cekap supaya tidak timbul sebarang masalah setiap kali program
dilaksanakan. Peranan mengetuai Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling juga penting
bagi memastikan semua GBKSM menjalankan tugas dalam satu pasukan, saling membahu
dan agihan tugas yang terancang serta diselesaikan dengan sempurna. Tugas dan
tanggungjawab bukan sahaja di sekolah tetapi di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Menyahut cabaran sebagai Setiausaha Majlis
Perhubungan GBKSM daerah Johor Bahru yang paling muda ketika itu. Antara pengalaman
143
berharga ialah mewakili Johor di Bengkel Kerjaya Peringkat Kebangsaan di Kedah dan
menyampaikan taklimat berkaitan kerjaya di hadapan GBKSM seluruh negeri di Universiti
Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. Menjadi urusetia Karnival Kerjaya Peringkat Kebangsaan
yang diadakan di Pasir Gudang, Johor pada tahun 2007. Pengalaman berharga apabila
menguruskan kontinjen seluruh Malaysia dan menjemput angkasawan Malaysia yang
pertama iaitu Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha dan Datuk
Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita Asia pertama yang berjaya menjelajah Kutub Utara
dan Selatan. Saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2003
dan 2007.
Pada tahun 2008, saya berkhidmat sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP)
Bahasa di SMK Pasir Gudang 3 sehingga bulan April tahun 2014. Antara tugasnya ialah
memimpin guru dalam menentukan dan merancang Rancangan Pelajaran Penggal serta
Mingguan, menentukan bahan dan sumber pendidikan yang digunakan serta diselenggara
dengan berkesan, menyelaras pengurusan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti bimbingan,
pemulihan serta pengayaan, mengenal pasti masalah murid dan mencari langkah-langkah
untuk menanganinya serta menyediakan anggaran belanjawan tahunan sekolah dan
mengawal perbelanjaannya. Saya juga diberi kepercayaaan sebagai Setiausaha Kurikulum,
Setiausaha Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK) dan Setiausaha Headcount.
Pencapaian yang amat membanggakan ialah keputusan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran
Malaysia pada tahun 2008 adalah yang terbaik dan sekolah tersenarai dalam kelompok 10
buah sekolah yang terbaik dalam daerah Pasir Gudang.
Bertanggungjawab sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum di SMK Seri
Alam 2 dari bulan April 2014 sehingga 31 Disember 2014. Seterusnya diarah bertukar ke
SMK Taman Rinting 2 dengan jawatan setara. Antara tugas saya ialah menyusun, menyelaras
dan memantau takwim kegiatan kokurikukulum, menyediakan anggaran belanjawan
pengurusan kokurikulum, menentukan penglibatan semua murid dalam kegiatan kokurikulum
serta meningkatkan tahap pencapaian dan menyelaras kegiatan-kegiatan berkaitan koperasi
sekolah. Kejayaan yang amat membanggakan ialah pasukan ragbi dijadikan kebitaraan
sekolah dan menjadi antara tiga pasukan ragbi yang terbaik dalam daerah Pasir Gudang. Unit
Kokurikulum telah menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak pemaju hartanah iaitu Mah
Sing Group Berhad. Pihak Mah Sing memberikan bantuan dari segi jersi pasukan ragbi
sekolah dan kos untuk tiang ragbi. Saya telah diberi tanggungjawab oleh pengetua untuk
merealisasikan penubuhan kumpulan muzik ukulele dan projek pengantarabangsaan dengan
sekolah-sekolah dari negara Jepun dalam lima (5) bulan pertama bertugas sebagai GPK
Kokurikulum. Projek pengantarabangsaan ini merupakan produk di bawah kelolaan koperasi
sekolah. Hasilnya, koperasi sekolah berjaya mengaut keuntungan yang besar setiap tahun.
Kemanisan diperoleh apabila saya menerima APC pada tahun 2017.
Bulan Jun, 2018 saya menggalas tanggungjawab sebagai GPK Hal Ehwal Murid
(HEM) di SMK Taman Scientex. Mengurus hal-hal berkaitan disiplin, kaunseling, keselamatan,
kebajikan, buku teks, kantin, biasiswa dan kehadiran adalah antara tugasnya. Tugas pertama
yang paling mencabar ialah menyambung usaha mantan GPK HEM untuk menyertai
pertandingan Amalan Terbaik Unit Disiplin dan Bimbingan dan Kaunseling yang hanya berbaki
lebih kurang dua (2) bulan. Berbekalkan pengalaman yang lalu dan ilmu kaunseling yang ada,
akhirnya. sekolah berjaya merangkul tempat kedua kategori Unit Bimbingan dan Kaunseling
dan saguhati bagi kategori Unit Disiplin peringkat negeri Johor. Kegembiraan juga turut dirasai
apabila berjaya mengekalkan kehadiran murid melebihi 90 peratus pada bulan Jun hingga
Ogos 2018 dan mendapat Anugerah Pelibatan Persatuan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK)
Terbaik Negeri Johor. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila mendepani
pencemaran sisa kimia Sungai Kim-Kim pada bulan Mac tahun 2019 dan bermulanya
pandemik COVID-19 pada tahun 2020.Tugasan sebagai GPK HEM berakhir pada Januari
144
2021 dan kini saya bertugas sebagai GPK Pentadbiran di SMK Kota Masai 2. Sekolah hebat
yang warganya terdiri daripada 3245 orang murid dan 186 orang guru.
PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN
a. Berwawasan
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), berwawasan didefinisikan sebagai
mempunyai pandangan jauh tentang kemajuan atau perkembangan masa depan. Pemimpin
yang hebat mempunyai daya fikiran jauh ke hadapan atau berwawasan. Mereka akan sentiasa
dipandang oleh masyarakat sekeliling sebagai seseorang yang mempunyai nilai dan diyakini.
Menurut Burhanuddin (2016), terdapat tiga (3) ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah
SAW iaitu wawasan yang jelas, nilai baik dan daya kekuatan.
Pemimpin yang berwawasan penting untuk membentuk strategi yang berkesan,
mengenal pasti sasaran kerja yang utama dan seterusnya mempengaruhi warga yang
dipimpinnya untuk terus berusaha mencapai matlamat organisasi. Kemampuan yang
dimilikinya penting untuk memberi inspirasi kepada orang lain bertindak demi mewujudkan
masa depan yang lebih baik dan menyelesaikan masalah dengan cara baharu.
Impaknya, kemajuan sekolah akan menjadi kenyataan. Hal ini demikian kerana warga
sekolah akan bekerja dengan satu matlamat yang jelas, satu jiwa, satu pasukan dan satu
impian. Yang pasti tidak terumbang-ambing ibarat bahtera tanpa nakhoda.
b. Prihatin
Prihatin bermaksud mengambil berat, perhatian terhadap sesuatu perkara (Kamus Dewan
Edisi Ketiga,1996). Pemimpin yang prihatin terhadap stafnya amat signifikan dan berkait rapat
dengan aspek harga diri, empati, motivasi, kesungguhan bekerja, kasih sayang dan
produktiviti. Mengetahui nama, tarikh lahir dan satu dua perkara tentang stafnya boleh
meninggalkan kesan positif sehingga merasakan pemimpin mengambil berat tentang dirinya.
Pemimpin pendidikan yang prihatin tentang keperluan stafnya akan membantu
membangunkan diri stafnya dan akhirnya membawa kepada kemajuan organisasi. Mereka
akan terdorong melaksanakan tugasnya dengan bersungguh–sungguh. Aspek keseronokan
dan kepuasan bekerja juga dapat ditingkatkan. Staf juga akan merasakan dirinya dihargai dan
bernilai untuk menyumbang kepada kejayaan organisasi. Implikasinya, amalan budaya
penyayang dapat disuburkan dan organisasi berfungsi dengan baik, objektif tercapai,
produktiviti meningkat dan potensi sumber manusia dapat diupayakan secara optimum.
Menurut Roshan Thiran (2019), asas kepimpinan berkisar pada sifat keprihatinan.
c. Komunikasi yang Berkesan
Komunikasi yang berkesan ialah berkeupayaan untuk mendengar, menyampaikan
idea dengan lancar dan meyakinkan secara lisan dan/atau bertulis serta boleh menerima
pandangan orang lain (Kamus Kompetensi Program Kelayakan Profesional Pemimpin
Pendidikan Kebangsaan NPQEL, 2018). Komunikasi berkesan amat penting bagi
mengelakkan salah faham, berbincang dalam suasana yang baik, mendengar dan menerima
idea orang lain, menyelesaikan masalah dan kerja dapat dilaksanakan dengan mudah, pantas
serta cekap. Komunikasi yang berkesan ini akan mewujudkan hubungan yang baik antara
pemimpin dan kakitangannya. Hubungan yang baik membolehkan mereka mudah didekati.
145
Suasana yang harmoni dalam sesebuah organisasi ini mampu menjadikan warga
sekolah seperti sebuah keluarga, keseronokan bekerja dapat dirasai dan akhirnya memacu
kecemerlangan sekolah.
d. Pembimbing
Pembimbing ditakrifkan sebagai orang yang membimbing, pemandu (Kamus Dewan Edisi
Ketiga, 1996). Pemimpin pendidikan mestilah berupaya menunjuk ajar, memandu, menyelia,
memotivasi, mempengaruhi dan mengubah sikap dan tingkah laku pengikutnya untuk
melaksanakan sebarang perubahan bagi mencapai matlamat organisasi.
Ciri pembimbing ini amat penting supaya kerja buat pengikutnya berada di landasan
yang betul dan ke arah matlamat yang disasarkan. Pengikut memerlukan pembimbing sebagai
rujukan supaya perkara yang dilakukan tidak sia-sia, membuang masa, wang dan tenaga.
Impaknya, organisasi dapat melahirkan pengikut yang kreatif dan inovatif, menambah baik
dan meningkatkan program-program bagi mencapai matlamat sekolah berkualiti dan
menerapkan nilai ketelusan serta integriti.
e. Membuat Keputusan
Berdasarkan Kamus Kompetensi Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan
Kebangsaan NPQEL (2018), membuat keputusan ialah keupayaan membuat pilihan yang
relevan dan mempunyai justifikasi berasaskan maklumat dengan mempertimbangkan
pelbagai aspek dan alternatif.
Ciri ini penting untuk menyelesaikan sesuatu perkara dan memastikan matlamat yang
dirangka dapat dicapai dengan jayanya. Proses membuat keputusan ini merupakan proses
yang paling penting untuk kecemerlangan dalam bidang pengurusan di sesebuah organisasi.
Impaknya, warga sekolah yang dipimpinnya akan lebih yakin dengan pemimpinnya,
bertindak dengan penetapan sasaran yang jelas dan bergerak sederap dalam satu pasukan
hingga tercapai matlamat organisasi.
JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN
Halangan dan kesukaran dalam mengurus tadbir sesebuah organisasi harus ditangani dengan
tabah dan bijaksana. Berikut merupakan lima (5) isu dan cabaran yang saya tempuh sebagai
pemimpin pendidikan.
a. Kreativiti dan Inovasi dalam Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR)
Mendepani penularan wabak COVID-19 yang memasuki tahun kedua dan pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), merupakan cabaran dalam dunia pendidikan. Guru
mesti lebih kreatif dan inovatif dalam memastikan PdPR yang berkesan dapat dilaksanakan.
Guru mesti menggunakan pelbagai platform yang ada seiring dengan kemajuan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang terkini agar PdPR berkesan dan dapat menarik minat
murid.
Dalam hal ini, saya akan memastikan guru-guru yang kurang mahir dalam TMK dibantu
bagi meningkatkan kemahiran penggunaan pelbagai aplikasi yang sesuai secara maya
dengan bantuan Guru Teknologi Maklumat sekolah atau guru lain yang dikenal pasti mahir
dalam bidang ini.
146
b. Visi dan Misi
Kadangkala visi dan misi sekolah tidak jelas dalam kalangan warga sekolah lebih-lebih lagi
jika tampuk kepimpinannya berubah. Ketidakjelasan ini akan mengundang kepada konflik
dalam warga sekolah, sikap mementingkan diri sendiri, berpuak-puak, tiada kesepakatan dan
akhirnya pengurusan sekolah pincang.
Pada hemat saya, hala tuju ini mesti jelas dan dikongsi serta dihayati bersama dalam
kalangan warga sekolah.Tidak salah jika hala tuju ini diingatkan setiap kali mesyuarat
dilaksanakan. Penetapan yang baharu juga boleh sebarluaskan melalui grup WhatsApp atau
Telegram rasmi sekolah. Melalui cara ini, warga sekolah akan lebih terfokus dan
kecemerlangan sekolah dapat direalisasikan.
c. Kepantasan Bertindak.
Mengharungi kehidupan norma baharu yang sedang kita lalui sekarang ini memerlukan kita
sentiasa bersiap siaga menerima sebarang perubahan. Arahan daripada pihak atasan
sentiasa dinanti untuk pemimpin di sekolah membuat tindakan yang segera sesuai dengan
sosiobudaya sekolah.
Matlamat yang jelas, perancangan yang cekap, keputusan yang tepat dan menepati
masa amat penting supaya agenda yang digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dapat dilaksanakan dengan jayanya tanpa menimbulkan sebarang isu atau
kontroversi. Justeru, sebagai pemimpin pendidikan di sekolah, musyawarah dalam kalangan
sembilan (9) orang pentadbir merupakan satu tindakan yang tepat agar keputusan yang
terbaik dapat dilakukan. Dalam proses ini, segala sudut pandangan akan didengar dan dinilai
baik dari segi kelebihan dan kekurangannya. Keputusan yang dicapai akan memudahkan
setiap orang memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
d. Prasarana Sekolah
Ketidakseimbangan bilangan murid di sekolah dengan prasarana yang ada membuka satu
cabaran untuk pemimpin sekolah merancang sesuatu untuk menanganinya. Sikap menunggu
bekalan aset daripada pihak atasan tidak sepatutnya wujud dalam diri seorang pemimpin
pendidikan kerana proses pengajaran dan pembelajaran terus berlangsung. Para murid dan
guru pula memerlukan suasana pembelajaran yang kondusif.
Sebagai pemimpin pendidikan, pelbagai pendekatan yang kreatif perlu dilakukan.
Hubungan jalinan dan jaringan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan Ibu bapa dan Guru
(PIBG), PIBK, pihak swasta yang ada di sekitar sekolah boleh dirancang dengan sebaik
mungkin. Melalui kolaboratif ini sudah pasti banyak program usahasama dapat dirancang dan
dilakasanakan demi manfaat semua pihak.
e. Komunikasi yang Berkesan
Sebelum pandemik COVID-19, segala urusan pentadbiran dilaksanakan secara bersemuka.
Kini tidak lagi, komunikasi berubah secara dalam talian.Perubahan ini menuntut saya sebagai
pemimpin pendidikan meningkatkan lagi kemahiran yang baharu agar komunikasi secara
dalam talian dapat dikuasai dengan sebaiknya. Pemimpin perlu memastikan warga organisasi
yang dipimpin terus mendapat arahan, peringatan dan maklumat yang terkini melalui
pelbagai medium komunikasi seperti Google Meet, Zoom, Microsoft Teams dan sebagainya.
147
Dalam konteks ini, pengetahuan dan kemahiran penggunaan aplikasi TMK amat penting
untuk saya kuasai agar mesej yang disampaikan dan yang diterima adalah tepat.
SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN
Perancangan yang baik oleh seorang pemimpin pendidikan akan memangkin
kecemerlangan sesebuah organisasi. Berikut adalah antara perancangan yang akan
saya laksanakan demi kejayaan sekolah saya.
a. Pemantapan Budaya Sekolah
Budaya sekolah berkait rapat dengan kepemimpinan sekolah. Sekolah merupakan
organisasi formal yang mempunyai budaya yang tersendiri, dibentuk berasaskan interaksi
antara warga sekolah iaitu pihak pengurusan sekolah, guru, staf bukan guru, ibu bapa, dan
murid. Budaya sekolah yang positif akan menghasilkan kesan yang positif kepada pencapaian
sekolah. Sebaliknya budaya sekolah yang negatif akan memberi imej negatif kepada
pencapaian sekolah (Yaakob & Yahya, 2012).
Budaya sekolah pertama yang perlu saya bentuk ialah menetapkan visi dan misi
sekolah dengan jelas. Penetapan yang jelas ini membolehkan semua warga sekolah
bekerja dengan cekap dan berfokus. Contohnya, dalam bidang kurikulum, pihak sekolah
menetapkan sasaran iaitu 5 sekolah yang terbaik di peringkat daerah dalam tempoh tiga (3)
tahun dan peratus lulus dan Gred Purata Sekolah dalam peperiksaan Sijil Peperiksaan
Malaysia. Dalam bidang kokurikulum pula disasarkan johan dalam Pertandingan Kawad
Kaki Daerah, johan dalam Kejohanan Olahraga peringkat daerah dan 10 peratus murid
memperoleh gred A dalam PAJSK. Dari segi disiplin pula, penurunan sebanyak satu (1)
peratus setiap tahun bagi kategori salah laku berat. Jika visi dan misi ini jelas, saya pasti
semua subordinat dapat merancang strategi dan melaksanakan tugasan dengan cekap
dan betul selari dengan matlamat dan hala tuju yang disasarkan. Penyampaian visi dan
misi sekolah yang jelas penting dalam membentuk budaya sekolah yang positif dalam
kalangan warga sekolah dan akhirnya akan memberikan kesan yang positif kepada
pencapaian sekolah.
Pada masa yang sama, budaya kerja berpasukan pertu diterapkan dan diamalkan
oleh semua warga sekolah. Kita tidak boleh bergerak sendiri untuk mencapai visi dan
misi tersebut. Maka, konsep Komuniti Pembelajaran Profesional atau dikenali sebagai
Professional Learning Communities (PLC) akan saya utamakan dalam setiap tindakan.
Melalui PLC ini, perbincangan dan perancangan lebih berfokus, keputusan yang terbaik akan
diambil dan menjurus kepada penyelesaian masalah masa kini. Banyak kemahiran dan idea
yang bernas boleh dikongsi bersama semasa proses PLC berlangsung. Nilai kerja
berpasukan dapat dizahirkan melalui PLC. Akhirnya, masalah dapat diselesaikan, peranan
dan tanggungjawab masing-masing lebih jelas dan sudah pasti kualiti kerja diutamakan.
Budaya lain yang akan saya bentuk ialah amalan menghargai orang lain. Pengiktirafan
ini diharapkan dapat memberikan motivasi dan semangat untuk terus berusaha dengan
lebih cemerlang. Contohnya, Anugerah Staf Terbaik Setiap Bulan, Anugerah Kehadiran
Terbaik kategori guru dan murid, Anugerah Cemerlang Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan
Kokurikulum, Ucapan Hari Jadi dan sebagainya. Sikap prihatin pemimpin pendidikan ini
akan mendorong kepada penyemaian dan penyuburan budaya penyayang dalam kalangan
warga sekolah.
148
Amalan baik yang nampak biasa dan kecil tetapi boleh memberikan impak yang
luar biasa ialah ucapan “Terima kasih cikgu”, “Saya sayang cikgu”, “Saya sayang sekolah”
dan “Selamat pagi cikgu ”. Nampak mudah tapi amalan-amalan ini akan semakin luntur
dalam jiwa murid-murid jika tidak dilazimkan dan dibudayakan. Kita bukan sahaja mahu
melahirkan murid yang cemerlang dari segi akademik tetapi juga sahsiah yang terpuji.
Dalam hal ini sudah pasti, Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling akan saya
perkasakan dalam memupuk nilai-nilai murni ini.
Budaya sekolah yang mantap dan positif mencerminkan budaya kerja pemimpin
dan masyarakat sekolah. Sekolah akan dipuji dan dipandang tinggi oleh masyarakat
luar kerana anak murid baik tingkah lakunya dan guru-gurunya komited mendidik anak
murid hingga mencapai kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai bidang .
b. Sekolah Berwatak
Sekolah berwatak atau beridentiti mampu membina imej sekolah, harga diri dan emosi
warga sekolah. Bayangkan jika sekolah saya dikenali dengan kehebatan pasukan
ragbi, kumpulan gamelan, kumpulan ukulele atau kugiran.
Sebagai seorang pemimpin pendidikan , saya akan mengenal pasti apakah
keistimewaan , kelebihan dan kekuatan yang ada dalam kalangan murid dan guru
untuk saya ketengahkan. Saya akan pastikan identitinya berbeza dengan sekolah-sekolah
lain di sekitarnya. Potensi dan bakat setiap murid tidak sama. Ada yang berbakat
dalam bidang sukan, kesenian dan kebudayaan, akademik dan sebagainya. Mereka inilah
aset atau permata yang perlu saya cungkil dan gilap supaya bersinar untuk
mengharumkan nama sekolah mengikut bakat masing-masing. Saya mahu mereka keluar
dari kepompong sekolah itu sendiri. Pada masa yang sama , kemahiran insaniah atau soft
skills terbina dalam usaha membentuk sebuah sekolah yang berwatak.
Ketua Pengarah Pendidikan , Datuk Seri Dr. Abdul Shukur Abdullah berkata
“sekolah yang terkenal dengan keistimewaannya tersendiri akan menjadikan para
pelajar bangga serta sekaligus menghalang mereka daripada melakukan sesuatu yang
boleh merosakkan nama baik sekolah” (Ensiklopedia Pendidikan ,26 Oktober 2012).
Bagi merealisasikan sekolah berwatak ini, saya mestilah bijak menangani
kekangan-kekangan seperti sumber kewangan, peralatan , jurulatih dan prihatin akan
kebajikan guru dan murid. Aspek-aspek ini penting untuk menimbulkan rasa seronok ,
ikhlas , mudah dan kepuasan bekerja.
Pembentukan sebuah sekolah berwatak amat penting bagi meningkatkan jati diri
dan rasa bangga menjadi warga sekolah tersebut. Kejayaan ini juga memenuhi hasrat
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pelaksanaan kokurikulum di
sekolah, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Program Transformasi
Sekolah 2025 (TS25) iaitu kemenjadian murid.
c. Gaya Kepimpinan
Terdapat pelbagai gaya kepimpinan yang boleh diamalkan di sekolah. Gaya autokratik,
demokratik atau laissez-faire. Gaya demokratik amat sesuai dengan diri saya. Saya tidak
mahu warga organisasi yang saya pimpin dan murid-murid takut akan saya. Saya
akan berperanan sebagai pemimpin yang mudah didekati, boleh dibawa berbincang,
terbuka untuk menerima pandangan atau buah fikiran orang lain.
149
Dalam mengurus tadbir sesebuah sekolah, komunikasi berkesan akan saya titik
beratkan. Mesyuarat atau PLC dalam pengurusan akan dilaksanakan. Melaluinya, saya
akan berbincang sebelum membuat sesuatu keputusan. Keputusan berdasarkan
persetujuan majoriti dan pandangan guru atau murid diambil perhatian oleh pihak
pengurusan. Setiap keputusan yang telah ditetapkan akan disampaikan dengan jelas,
tepat dan yakin.
Sebagai pemimpin pendidikan saya akan membimbing subordinat saya
melaksanakan tugasan dengan baik dan cekap serta melakukan perubahan ke arah
yang lebih baik sejajar dengan ketetapan yang telah dipersetujui bersama. Konsep turun
padang atau kebersamaan dalam menjayakan sesuatu program akan dijadikan amalan.
Melaluinya, budaya kerja sepasukan atau esprit de corps dengan satu matlamat yang
sama terbina.
d. Program Jaringan dan Jalinan
Sebagai pemimpin pendidikan yang berwawasan, program jaringan dan jalinan antara sekolah
dengan institusi pendidikan lain dan badan-badan swasta di sekitarnya seharusnya menjadi
salah satu daripada agenda yang boleh membantu kecemerlangan sekolah. Justeru, saya
akan mengambil peluang dan kelebihan ini untuk mewujudkan kolaboratif antara mereka.
Banyak manfaat yang diperoleh seperti perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran,
membantu melengkapkan prasarana yang kurang agar warga sekolah khasnya murid-murid
dapat belajar dengan lebih kondusif. Banyak program yang boleh dijayakan bersama.
Contohnya dari segi akademik ialah kursus profesionalisme untuk guru dan seminar teknik
belajar yang berkesan untuk murid. Dalam hal ini, kedua-dua sekolah akan berkongsi
kepakaran demi meningkatkan kualiti guru dan prestasi akademik murid-murid. Khidmat
kunjung bantu antara kedua-dua sekolah juga boleh dilaksanakan. Begitu juga dari segi
kokurikulum. Perkongsian jurulatih untuk meningkatkan kemahiran atlet-atlet sekolah boleh
dilaksanakan.
Jalinan antara sekolah dengan industri-industri swasta yang ada di sekitarnya boleh
dibina. Melaluinya, sumbangan baik dari segi kemudahan fizikal seperti kerusi, meja dan
komputer untuk murid sedikit sebanyak dapat membantu menangani masalah sekolah yang
kekurangan kemudahan tersebut. Projek anak angkat boleh dirancang dengan pihak swasta.
Kolaboratif ini dapat mewujudkan rakan strategik yang baik untuk kecemerlangan sekolah.
e. Pengajaran dan Pembelajaran yang Berkesan
Proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan amat penting untuk menarik minat
murid-murid menimba pengetahuan. Pandemik COVID-19 telah mengubah proses PdP
secara bersemuka di sekolah kepada PdP dalam talian. Sebagai pemimpin pendidikan saya
harus menerima da mengadaptasi setiap perubahan demi meneruskan dan melestarikan
agenda pendidikan. Perubahan dalam pengurusan dan kepimpinan perlu saya laksanakan.
Dalam melakukan sesuatu perubahan, saya perlu menjadi fasilitator atau agen perubahan
kepada warga sekolah. Saya perlu kreatif dalam mengurus perubahan yang diperlukan.
Saya harus berfikir jauh ke hadapan, cepat bertindak dan cekap dalam membuat
keputusan ,merancang dan mengubahsuai kaedah pembelajaran mengikut kesesuaian
perubahan supaya PdP dapat dilaksanakan dengan berkesan. Fenomena ini menuntut saya
mengambil strategi yang lebih berkesan dengan suasana budaya kerja yang baharu.
Perubahan ini menuntut par guru menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK). Guru perlu belajar mempelbagaikan kaedah yang menarik dan berkesan supaya
150
murid-murid dapat menerima ilmu dengan sebaik mungkin. Sudah pasti, kemudahan fizikal
TMK di sekolah juga perlu disediakan semaksimumnya.
Jika krisis ini telah berlalu, kaedah pembelajaran yang berteraskan TMK akan tetap
diteruskan dan menjadi keutamaan dalam PdP guru di dalam bilik darjah. Justeru,
penguasaan TMK warga guru akan saya tingkatkan lagi melalui kursus-kursus atau Latihan
Dalam Perkhidmatan (LDP). Ini dapat membantu meningkatkan pedagogi guru dengan
penggunaan pelbagai aplikasi yang terkini. Jika berlaku lagi sesuatu yang tidak diingini hingga
menyebabkan PdP terpaksa dilakukan secara maya, guru–guru telah bersedia dan dilengkapi
dengan pelbagai ilmu TMK. Jelaslah bahawa LDP mampu meningkatkan kompetensi saya
dan guru dari aspek kemahiran TMK.
Persiapan modul-modul latihan mengikut format KSSM, soalan yang menjurus kepada
Pentaksiran Bilik Darjah perlu dihasilkan, diguna pakai dan diselaraskan untuk semua
tingkatan Jadi, guru tidak akan kelam-kabut hendak menyediakan bahan PdPR pada saat-
saat akhir.
Sebagai pemimpin, saya perlu bijak menganalisis ancaman atau risiko yang akan
menggugat fungsi organisasi. Saya perlu mengenal pasti sumber-sumber yang boleh
dilakukan untuk memastikan PdPR diteruskan. Pasukan pentadbir akan duduk berbincang
untuk mengambil tindakan-tindakan yang baharu. Dalam hal ini, komunikasi yang berkesan
amat penting supaya para guru dan staf benar-benar jelas dan faham dengan setiap ketetapan
yang baharu dibuat oleh pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah.Tindakan yang pantas
dan keputusan yang cekap serta penyampaian yang jelas perlu disampaikan kepada guru-
guru dan staf bawahan agar PdPR terus dilaksanakan dengan berkesan.
Guru perlu berubah mengikut keperluan pada zaman milenium ini dan perubahan
mesti dimulakan oleh saya sebagai agen perubahan. Saya harus cekap dalam mengadaptasi
perubahan, kreatif, bijak dalam proses membuat keputusan, membuat keputusan secara
kolaboratif dan berkeyakinan tinggi.
Saya perlu menyampaikan maklumat dengan berkesan dalam memastikan tugas
dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar. Arahan atau peringatan daripada pemimpin perlu
disampaikan dengan jelas dan yakin kepada semua warga sekolah yang dipimpinnya melalui
pelbagai medium komunikasi. Dalam hal ini, pengetahuan dan kemahiran penggunaan
aplikasi TMK amat penting untuk penyampaian dan penerimaan maklumat. Hal ini demikian
kerana komunikasi secara bersemuka telah berubah kepada komunikasi secara dalam talian.
Pada masa yang sama, kemahiran baharu dituntut agar komunikasi secara dalam
talian ini dapat dikuasai sepenuhnya dan diterima dalam satu budaya baharu yang membawa
kepada keperluan ke arah pendigitalan masyarakat. Dalam hal ini, setiap guru perlu sentiasa
membangunkan kompetensi diri dalam penggunaan pelbagai aplikasi komunikasi terkini
seperti Google Meet, Microsoft Teams, Zoom, Google Classroom, WhatsApp dan Telegram
agar proses komunikasi dan PdP dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Pelaksanaan PKP yang menyebabkan sekolah ditutup memerlukan pemimpin sekolah
dan guru-guru menstruktur semula proses pengajaran dan pembelajaran kepada
pembelajaran digital. Aspek kreativiti dan inovasi sangat diperlukan agar proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung dengan lebih berkesan. Guru-guru diminta menyediakan
bahan pembelajaran atas talian. Pembelajaran melalui Google Classroom dipergiatkan.
151
RUMUSAN
Peranan dan tanggungjawab yang digalas oleh pemimpin pendidikan alaf ini semakin
mencabar. Dunia cepat berubah dan kompleks. Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi
yang semakin maju dan pantas berubah dan tercetusnya sesuatu krisis yang di luar jangkaan
seperti penularan wabak COVID-19 ini memerlukan pemimpin pendidikan sentiasa siap siaga.
Kemelut ini turut mempengaruhi dunia pendidikan. Pemimpin pendidikan harus melengkapi
dirinya dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
agar organisasi dapat ditadbir dengan lancar dan cekap manakala agenda pendidikan iaitu
proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan dengan menarik dan berkesan. Setiap
isu dan cabaran yang dihadapinya haruslah ditangani dengan bijaksana. Pemimpin
pendidikan yang unggul penting dalam membuat perancangan yang baik dan cekap demi
memacu kejayaan organisasinya kerana nakhoda yang hebat akan memastikan anak-anak
kapalnya juga hebat dan bahteranya tiba ke destinasinya dengan selamat.
RUJUKAN
Abdullah Shukur Abdullah. (2012, 26 Oktober). Sekolah Berwatak. Ensiklopedia Pendidikan.
http://ensiklopediapendidikan.blogspot.com/2012/10/sekolah-berwatak.html
Burhanuddin Jalal. (2016, 27 November). 3 ciri utama perlu ada pada pemimpin.Berita Harian
Online.
https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/61/2016/11/217290/3-ciri-
utama-perlu-ada-pada-pemimpin.
Institut Aminuddin Baki. (2018). Kamus Kompetensi Program Kelayakan Profesional
Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL).Institut Aminuddin Baki.
Kamus Dewan Edisi Ketiga. (1996). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Roshan Thiran. (2019, 8 Julai). Keprihatinan dalam kepimpinan tunjang kejayaan pasukan.
Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2019/07/08/.
Yaakob Daud & Yahya Don (2012). Budaya sekolah, kepimpinan transformasional dan
pencapaian akademik pelajar. Malaysian Journal of Learning and Instruction, Vol. 9
(2012), 111-139. www.mjli.uum.edu.my/images/pdf/9mjli/mjli96budaya.pdf
152