The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by syaaban69, 2022-10-23 18:57:08

BUKU BICARA PEMIMPIN

BUKU BICARA PEMIMPIN

Harapan saya dengan penulisan ini saya dapat melihat matlamat dan jalan bentuk
kepimpinan yang saya akan laksanakan dengan lebih jelas. Melalui penulisan ini juga saya
merancang untuk menjadikannya sebagai garis panduan pada masa hadapan. Besar harapan
saya agar apa yang dirancang ini akan dapat direalisasikan dengan jayanya dan matlamat
‘Derap Pemimpin Berintegriti’ ini menjadi suatu kenyataan.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan
pemimpin yang telah memberikan inspirasi kepada saya sepanjang tempoh menjadi guru,
pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB) yang menyelaras program ini, pensyarah
pembimbing Encik Azim bin Othman, rakan seperjuangan dan tidak ketinggalan isteri saya
yang telah banyak membantu dalam menyiapkan penulisan ini.

PENGALAMAN LEPAS

Saya mula mengajar pada 17 Jun 2002 sebagai guru lepasan diploma Maktab Perguruan
Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Darul Aman di SK Bagan Pasir (SKBP), Selekoh,
Perak. Saya mengajar sepenuh masa murid darjah tiga (3) dan darjah empat (4) dalam mata
pelajaran Matematik selama lima (5) tahun di sekolah tersebut. Sepanjang tempoh itu, saya
memegang pelbagai jawatan antaranya Guru Kelas Darjah tiga (3), Ketua Panitia Matematik,
Ketua Guru Disiplin, Ketua Guru Penasihat Pasukan Pengakap Kanak-kanak, Guru Ketua
Rumah Sukan (Merah), Jurulatih Pasukan Ragbi Sentuh, Guru Penasihat Persatuan
Matematik, Guru Pembantu Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) dan Pengerusi Kelab Bilik
Guru. Sebagai seorang guru baharu, suasana sebenar alam pekerjaan ini amat berbeza
dengan teori yang saya pelajari semasa di maktab perguruan. Di sini, praktikal ilmu itu perlulah
disesuaikan dengan suasana dan persekitaran serta budaya masyarakat setempat.

Sepanjang berada di SKBP, saya juga terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti, antaranya
sebagai jurulatih Pusat Kokurikulum Negeri Perak, pemain bola tampar Persatuan Sukan dan
Kebudayaan Pegawai Pendidikan (PSKPP) daerah Bagan Datoh, penolong jurulatih pasukan
ragbi sentuh daerah Bagan Datoh dan Penolong Pemimpin Pasukan Pengakap Kanak-kanak
Daerah Bagan Datoh. Darah muda saya menyebabkan semangat berkobar-kobar yang
kadangkala mengundang rasa tidak puas hati apabila sesuatu output yang diharapkan tidak
mencapai tahap yang saya tetapkan. Namun pengalaman merupakan guru yang paling
berguna di mana saya banyak belajar daripada kesilapan. Di SKBP, saya banyak belajar
daripada pengalaman yang mendidik saya menjadi seorang guru dan pemimpin yang
bertindak lebih rasional bukan emosional. Berbekalkan semangat inilah saya terus mengorak
langkah menjadi versi yang lebih baik dan bermatlamat.

Pada tanggal 1 Januari 2007, profesion perguruan saya disambung di daerah
kelahiran saya iaitu Kluang, Johor. Saya telah melaporkan diri sebagai guru akademik di SK
Ladang Bukit Benut (SKLBB), Kluang, Johor. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal,
saya dipertanggungjawabkan untuk memegang beberapa jawatan dalam bidang Hal Ehwal
Murid (HEM) yang sememangnya dekat dengan jiwa saya yang suka bekerja melibatkan
pengurusan murid. Antara jawatan yang digalas ialah Ketua Unit Disiplin, Penyelaras SPBT,
Guru Pengawas Sekolah dan Guru Kelas. Ini merupakan satu platform untuk saya membentuk
sahsiah murid dan melahirkan pemimpin muda yang berkualiti dan berintegriti dalam kalangan
murid-murid.

Selepas dua (2) tahun berkhidmat di SKLBB, saya telah mendapat arahan pertukaran
setara di sebuah sekolah Gred A yang mempunyai bilangan murid dan guru yang ramai iaitu
SK Bandar T6 (SKBT6), Kluang, Johor. Di sinilah cabaran saya sebagai seorang pemimpin
bermula. Kepimpinan saya dalam bidang HEM seperti dapat dihidu oleh pentadbir sekolah ini

93

apabila sekali lagi saya diamanahkan untuk memegang jawatan dalam unit HEM iaitu Ketua
Unit Disiplin dan Penyelaras SPBT. Pada masa yang sama, saya juga menggalas jawatan
sebagai Ketua Panitia Matematik. Cabaran di sini ialah bagaimana saya hendak bekerja
menguruskan dan menyelaraskan unit-unit ini dengan bantuan rakan-rakan guru yang
kebanyakannya lebih senior daripada saya. Sememangnya ini satu cabaran yang sangat
menduga sifat kepimpinan yang ada dalam diri saya. Mungkin inilah peluang yang perlu saya
ambil agar dapat dijadikan pengalaman apabila saya telah menjadi pemimpin sekolah pada
suatu hari nanti. Setelah amanah yang digalas dijalankan, ternyata orang di bawah saya
selesa dengan gaya pengurusan yang saya cuba terapkan dan mereka boleh menyelesaikan
kerja-kerja yang telah dirancang bersama secara terancang dan sistematik.

Berbekalkan 16 tahun pengalaman berkhidmat dalam profesion perguruan, juga atas
dorongan pentadbir sekolah dan rakan-rakan sejawat, saya memberanikan diri menyahut
cabaran dengan memohon kenaikan pangkat sebagai Guru Penolong Kanan. Namun begitu,
tidak semudah disangka untuk saya menjawat jawatan yang dipohon. Akhirnya, selepas
menghadiri sesi temuduga buat kali ketiga, saya telah menerima arahan daripada Pejabat
Pendidikan Daerah Kluang dan diamanahkan untuk menjawat jawatan Guru Penolong Kanan
Kokurikulum di SK Kampong Chamek (SKKC), Kluang, Johor. Walaupun bidang ini kurang
dekat dengan jiwa sepanjang tempoh saya menjadi guru biasa iaitu di bidang HEM, saya
mengambil cabaran ini sebagai satu titik permulaan sebagai seorang pemimpin pertengahan.
Hal ini perlu diambil berat kerana untuk menjadi pemimpin utama di sekolah, perlulah
mempunyai ilmu dari segenap bidang dan paling mustahak adalah mengenal hati budi orang
yang hendak dipimpin.

Alhamdulillah, dalam tempoh setahun, saya berjaya menstruktur semula bidang
kokurikulum di SKKC menjadi lebih sistematik. Bermula dengan pengurusan sistem fail,
pengurusan organisasi dan agihan guru mengikut kepakaran dan kecenderungan masing-
masing. Namun demikian, masih banyak yang perlu ditambah baik mengikut kesesuaian
masa dan keperluan terkini dalam sistem pendidikan. Tambahan pula dengan situasi semasa
negara yang sedang dilanda pandemik COVID-19 ini, segala urusan perancangan dan
pelaksanaan program serta aktiviti perlulah diteliti sebaiknya agar mematuhi Standard
Operation Procedure (SOP) yang telah diberikan kerajaan dalam garis panduan pembukaan
sekolah sepanjang tempoh pandemik. Di sinilah kebijaksanaan saya sebagai seorang
pemimpin untuk bekerja bersama guru-guru bagi memastikan kemenjadian murid terus
berlangsung dan pada masa yang sama, keselamatan dan kesejahteraan menjadi
keutamaan. Dalam artikel ini, saya akan mengupas satu persatu perjalanan ke arah
menghasilkan guru yang berintegriti.

PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN

Perjalanan saya sebagai seorang pemimpin berintegriti bukanlah semata-mata menuju satu
matlamat tanpa adanya sebarang panduan dan idola. Melalui pembacaan dan kisah-kisah
kepimpinan pemimpin terdahulu, terdapat beberapa kisah tokoh pemimpin yang boleh
dijadikan ikutan dan rujukan kepimpinan yang saya idamkan.

Ada sebuah kisah teladan mencatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abd. Aziz
memadamkan lampu kerajaan untuk berbincang dengan anaknya berkaitan hal keluarga pada
suatu malam di pejabatnya. Satu (1) lagi kisah teladan, seorang gadis penjual susu kambing
tidak setuju dengan cadangan ibunya yang minta beliau tambah air ke dalam susu yang
tertumpah kerana pendapatan mereka akan berkurang kerana susu itu tidak sama banyaknya
dengan hari-hari sebelumnya. Dua (2) kisah benar tersebut wajar menjadi teladan kepada
para guru agar tidak menyalahgunakan apa-apa kemudahan yang terdapat di sekolah untuk

94

kepentingan peribadi. Demikian juga kita hendaklah mengelakkan sama sekali perkara ini
daripada berlaku, iaitu murid jujur tetapi guru pula bersikap sebaliknya.

Rasulullah SAW menambat hati umatnya bukan semata-mata dengan kata-kata, tetapi
lebih dari itu, iaitu dengan menunjukkan teladan yang baik. Kata pepatah Melayu, jika guru
kencing berdiri, murid akan kencing berlari, yang bermaksud jika guru buat perkara yang tidak
baik, murid akan buat lebih teruk daripada guru mereka. Murid memerhatikan kita setiap hari,
dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mereka memerhatikan penampilan kita, tingkah laku
kita, percakapan kita, pergaulan kita dan serba-serbinya. Sebab itu, jika seorang guru selalu
berbohong dan dapat dikesan oleh muridnya, jangan kesal jika murid itu juga akan berbohong
dan mungkin bohong mereka lebih teruk daripada gurunya.

Seorang pemimpin seharusnya boleh menjadi idola kepada setiap orang bawahnya.
Justeru, seorang pemimpin perlu mempunyai karisma iaitu kualiti atau sifat-sifat yang dapat
mempengaruhi dan menjadi perangsang kepada mereka untuk menjadi sepertinya atau lebih
baik lagi. Jadi, untuk menjadi seorang idola perlulah ada kualiti yang boleh dicontohi dan
diteladani. Bukan sekadar setiap bulan pergi ke bank untuk mengambil gaji. Seorang guru itu
perlulah bekerja dari hati, barulah ilmu yang disampaikan terus ke hati. Begitu juga apabila
menjadi seorang pemimpin, segala perbuatan dan gerak geri sentiasa diperhati oleh anak
buahnya untuk dicontohi dan dijadikan panduan dalam menjalankan tugas yang
diamanahkan.

Niat kita menjadi guru mesti betul. Jika seseorang itu menjadi guru semata-mata untuk
mendapat gaji, maka gaji sahajalah yang beliau dapat. Besar kemungkinan pengajaran guru
itu tidak berkesan. Namun jika kita menjadi guru untuk ‘Membina Negara Bangsa’, Insya-Allah
kita boleh dapat apa yang kita niatkan itu. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW antara lain
menyatakan, seorang pemuda yang mengikut Rasulullah SAW berhijrah dari Mekah ke
Madinah semata-mata untuk berkahwin dengan seorang wanita yang turut berpindah,
pemuda itu hanya dapat apa yang diniatkannya, iaitu berkahwin dengan wanita tersebut,
beliau tidak dapat pahala berhijrah kerana Allah SWT dan Rasul-Nya. Kisah ini memberi
pengajaran bahawa jika seorang guru mempunyai niat untuk mendidik muridnya hingga
menampakkan kesan penghayatan mereka terhadap ilmu yang diajarkannya, insya-Allah
beliau akan dapat apa yang diniatkannya itu.

Bukan mudah hendak menjadi seorang pemimpin yang hebat. Setakat jadi pemimpin
yang baik mungkin lebih mudah. Seseorang menjadi pemimpin yang hebat bukan sebab
keupayaan meloloskan diri bermain politik hingga berjaya naik dari satu tangga ke satu tangga
menjadi pemimpin. Bukan juga disebabkan faktor ‘siapa anda kenal’. Bukan kerana anda
pandai bercakap dan pandai menyemarakkan semangat orang lain. Itu semua memang
memainkan peranan sedikit sebanyak. Tetapi ada faktor lain yang lebih mendalam yang perlu
diterapkan dan menjadi amalan dalam diri sekiranya ingin menjadi pemimpin yang disegani
dan dihormati. Berdasarkan artikel yang dikeluarkan Universiti Conerstone, kita perlu ada lima
(5) kriteria dalam diri jika kita berhasrat membina sifat kepimpinan yang hebat dalam diri.

Kriteria yang pertama yang perlu ada dalam diri seorang pemimpin ialah dengan
memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut
kita, pemimpin yang hebat wajib memikirkan penambahbaikan diri sendiri terlebih dahulu. Ini
kerana sebagai pemimpin, kita sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi budaya
kerja, integriti dan sebagainya. Saya berpegang pada satu prinsip iaitu “Mengetahui perkara
yang betul, tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul”. Kalau kita
asyik menyuruh orang lain supaya meningkatkan diri sedangkan kita sendiri tidak mengambil
masa untuk mengusahakan penambahbaikan diri, jangan harap orang lain akan ikut secara
sukarela. Kalau ikut pun, hanya kerana terpaksa. Oleh itu, ungkapan “Dengar apa aku cakap,
bukan tengok apa aku buat” memang tidak bersesuaian buat seorang pemimpin yang hebat.

95

Kalau kita hendak orang bawah datang awal, kita sendiri perlu datang awal. Kalau hendak
orang bawah berlaku baik terhadap pelanggan, jangan pula kita mengata-ngata buruk di
belakang pelanggan. Kalau kita hendak maklum balas yang pantas, kita sendiri perlu
memberikan respon dengan pantas.

Kriteria pemimpin hebat seterusnya ialah sentiasa mengalu-alukan maklum balas. Kita
sememangnya bukan pemimpin yang hebat seandainya kita tidak suka mendengar kritikan.
Kita perlu bersedia menerima maklum balas, sama ada maklum balas tersebut positif ataupun
negatif. Realitinya, semua orang pasti ada kelemahan dan kekuatan masing-masing. Kita
mesti menerima hakikat itu dengan hati terbuka. Jika kita sentiasa dikelilingi oleh mereka yang
kuat kipas sahaja, itu petanda bahawa tidak lama lagi kecelakaanlah yang bakal melanda.
Jadi, berhati-hati dengan sikap kita apabila menerima maklum balas supaya kita sentiasa
dikelilingi oleh mereka yang jujur dan berterus terang. Bina kepercayaan dengan sikap yang
tidak asyik mempertahankan diri apabila dikritik, baharulah orang selesa untuk memberi
maklum balas, baik yang positif mahupun negatif. Kita ada kuasa sebagai pemimpin bukan
untuk digunakan bagi memaksa orang mengikut arahan yang diberi secara membuta tuli.
Kuasa itu patut digunakan untuk mendorong semua orang mencari jalan penyelesaian yang
terbaik. Semua orang dalam organisasi perlu memainkan peranan masing-masing dan
bersikap telus tanpa ada perasaan takut atau tergugat. Ciri pemimpin beginilah yang menjadi
idaman saya sebagai seorang bakal pemimpin pada masa hadapan supaya kita tidak menjadi
seorang pemimpin yang merasakan dirinya sentiasa betul tanpa mengambil tahu pandangan
orang bawahan ataupun juga pelanggan sama ada ibu bapa atau anak murid di sekolah.

Seorang pemimpin yang hebat juga perlulah sentiasa belajar hingga ke liang lahad.
Kalau kita inginkan peningkatan, kita perlu bersedia untuk membuat perubahan. Menerima
perkara baharu, mencuba amalan baharu, melepaskan kepercayaan dan amalan lama
walaupun perkara ini sudah selesa tetapi tidak membawa kita ke mana-mana. Apabila kita
sudah menjadi ketua, kesilapan paling besar yang kita boleh lakukan adalah berhenti belajar.
Anggapan “saya sudah tahu semua” adalah titik tolak kepada bermulanya era kejatuhan
kepimpinan kita. Oleh itu, kalau hendak menjadi pemimpin yang hebat, kerja mencari ilmu
perlu diamalkan sehingga ke liang lahad. Selagi hidup, kita perlu belajar perkara-perkara
baharu, baik kemahiran, teknologi, pemikiran, konsep dan sebagainya yang ada hubung kait
dengan apa yang kita buat. Beli dan baca buku baharu, layari Internet untuk mencari
maklumat terkini bidang pendidikan dan lain-lain ilmu yang dirasakan perlu untuk diaplikasikan
dalam kepimpinan yang diidamkan.

Kriteria pemimpin hebat idaman saya yang seterusnya ialah pemimpin yang sanggup
menggalas tanggungjawab penuh atas semua yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Sifat
ini adalah tanda pemimpin yang hebat. Dia perlulah menggalas tanggungjawab bagi semua
yang berlaku. Sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada dirinya, baik dasar
pelaksanaan yang salah, polisi yang tidak betul mahupun pemilihan orang yang tidak sesuai.
Tiada orang lain yang patut disalahkan melainkan diri pemimpin itu sendiri. Seorang pemimpin
itu tidak seharusnya menuding jari menyalahkan anak buahnya atas kegagalan sesuatu yang
dilaksanakan. Sebaliknya, harus membuat refleksi kelemahan diri dan seterusnya menggalas
tanggungjawab penuh atas apa yang berlaku.

Akhirnya, seorang pemimpin yang hebat haruslah individu yang mampu memimpin
orang lain untuk melangkah maju. Perkara paling mudah dilakukan adalah menjatuhkan orang
lain. Ini tindakan yang mudah kerana kegagalan adalah perkara lumrah dalam hidup setiap
orang. Apabila kegagalan berlaku, orang lain akan terus menggunakan kesempatan itu untuk
menjatuhkan orang yang disasarkan. Inilah yang akan membezakan antara kita dengan
orang lain, sama ada kita pemimpin yang hebat atau yang cepat mengambil kesempatan.

96

Sebagai pemimpin, kita boleh mengkritik orang bawah tetapi bukan dengan niat
menjatuhkan martabatnya. Sebaliknya, kita patut menggunakan kecerdikan akal yang ada
untuk mengkritik berdasarkan kesesuaian, yang mampu melonjakkan semula orang itu untuk
mara ke hadapan. Ada kalanya kita perlu berlaku tegas ketika memimpin dan berkomunikasi.
Itu bukan bermaksud untuk menjatuhkan orang lain. Ini terpaksa dilakukan bagi menunjukkan
tahap kepentingan sesuatu keadaan. Ketegasan pula tidak dilakukan sehingga orang bawah
merasa kita tidak lagi menyokong dan mempercayai mereka. Ketegasan kita patut
menghantar mesej bahawa kita mahukan yang terbaik untuk mereka. Dengan cara ini, orang
bawahan akan merasa mereka bekerja bersama kita, bukan bekerja untuk kita. Barulah
sesebuah organisasi itu dapat digerakkan mengikut hala tuju ke arah satu transformasi yang
memberi impak kepada keseluruhan organisasi dan dapat menghasilkan keberhasilan
mengikut sasaran yang ditetapkan atau melebihi sasaran.

Kesimpulannya, seorang pemimpin yang saya idamkan ialah seorang yang
berkarisma, berintegriti, ikhlas dan juga berani. Besar harapan saya pada suatu hari nanti,
saya akan menjadi seorang pemimpin yang mempunyai kualiti sebegini. Dengan cara ini,
barulah saya dapat memimpin orang bawahan dengan cara “lead by example” atau
“kepimpinan melalui teladan”. Bukan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus
yang membawa maksud orang yang menyuruh orang lain berbuat baik, tetapi diri sendiri yang
tidak betul. Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah, bukan setakat keupayaan memberi
arahan buat itu dan ini. Perkara ini sebenarnya adalah penonjolan ciri-ciri dalaman
keperibadian kita yang terhasil daripada disiplin dan amalan mulia yang diterapkan sepanjang
kehidupan kita.

JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN

Sepanjang dua tahun saya menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SKKC,
pelbagai isu dan cabaran telah saya hadapi dan tangani. Untuk menangani segala
permasalahan yang dihadapi, saya telah sedaya upaya memaparkan contoh yang baik untuk
diteladani. Sebagai contoh, setiap guru penyelaras program perlu menyediakan kertas kerja
untuk program yang akan dijalankan. Sebagai seorang pemimpin saya tidak membiarkan
mereka terkapai-kapai mencari idea dalam merancang perjalanan program tersebut.
Sebaliknya, sehabis baik saya telah cuba membimbing mereka dengan cara berbincang,
memberi pandangan dan memberi panduan tentang bagaimana program itu hendak
dijalankan.

Saya juga turun padang pada setiap persiapan dan ketika program dijalankan.
Contohnya, pada program hari sukan dan hari perkhemahan saya akan bersama-sama guru
membuat persiapan padang, pembelian hadiah, menyediakan tapak perkhemahan dan
mencari dana untuk program yang dijalankan. Dengan cara ini, saya mendapati orang bawah
lebih bersemangat, gembira dan rasa dihargai. Hal ini dapat dilihat dan dinilai berdasarkan
hasil kerja dan reaksi mereka ketika menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Sebagai menghargai usaha keras mereka, saya sebagai pemimpin yang
dipertanggungjawabkan selalu memberikan penghargaan secara lisan dan memberikan token
berbentuk makanan, minuman dan sijil penghargaan.

Ada ketikanya, saya berhadapan dengan masalah dan isu yang baru di luar
pengalaman dan pengetahuan saya. Tindakan yang saya ambil untuk mengatasi perkara
sebegini ialah kebiasaannya saya merujuk kepada rakan sejawat dari institusi lain, merujuk
pemimpin terdahulu yang boleh saya teladani dan membuat carian melalui pembacaan dan
penyelidikan. Saya melakukan hal ini untuk mengelakkan memberi penyelesaian yang salah
atau memberi keputusan yang tidak konsisten dan berubah-ubah. Hal ini membuatkan orang

97

bawah menjadi keliru dan bingung seterusnya menghilangkan keseronokan serta motivasi
mereka untuk bekerja. Insya-Allah, saya akan terus belajar dan sentiasa berusaha
meningkatkan keupayaan diri supaya terus melangkah sebagai pemimpin yang berintegriti.

Saya sentiasa berusaha memberi yang terbaik dalam pentadbiran saya, persoalannya
adakah itu juga terbaik di mata orang bawah saya? Justeru, saya sentiasa mengalu-alukan
maklum balas daripada mereka dengan secara formal dalam mesyuarat atau tidak formal
melalui perbualan secara santai seperti ketika makan di kantin. Melalui maklum balas yang
diterima, saya cuba membuat refleksi kendiri untuk membuat penambahbaikan dalam kualiti
kepimpinan saya pada masa hadapan. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika kita
yakin telah melaksanakan sesuatu dengan cara yang betul, tidak perlulah kita takut menerima
segala kritikan yang diberi. Sebaliknya, hal itu harus menjadi platform terbaik bagi saya
menyelami dan memahami kelompangan dalam organisasi supaya dapat diperbaiki.

Perjalanan saya sebagai pemimpin ini masih panjang dan pelbagai rintangan yang
perlu dihadapi. Untuk memastikan saya terus bermotivasi untuk menjalankan tanggungjawab,
langkah yang saya perlu ambil ialah dengan sentiasa bersedia menggalas penuh
tanggungjawab atas semua tugas yang dipertanggungjawabkan. Saya akan menggalas
tanggungjawab bagi semua yang berlaku. Sebagai pemimpin, semuanya akan balik kepada
diri saya sendiri. Tidak kira saya suka atau tidak, setiap kesalahan pelaksanaan dasar, polisi
yang salah atau kegagalan memilih individu yang tidak sesuai dalam sesuatu tugas adalah
berpunca daripada kegagalan kepimpinan saya. Adalah tidak wajar jika saya menyalahkan
orang lain, sebaiknya saya harus berani mengakui kesilapan diri dan memperbaikinya dengan
cara mencari penyelesaian terbaik.

Oleh yang demikian, saya haruslah sentiasa berusaha menjadi pemimpin yang
sentiasa berusaha memimpin dan membimbing orang lain untuk meningkatkan potensi diri.
Saya akan meningkatkan kepimpinan saya dengan cara memperbaiki diri bukan dengan cara
mencari kelemahan orang lain. Pada masa yang sama, saya akan terus belajar dan terus
belajar tanpa henti untuk memastikan saya sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa
dan akan datang. Bak kata pepatah “Ilmu itu pelita hidup”, begitu juga dalam kepimpinan tanpa
ilmu kita ibarat seorang nakhoda kapal yang tidak tahu ke arah mana yang hendak dituju.
“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih”. Pada era modenisasi ini, segala maklumat boleh
diperoleh di hujung jari. Jadi, tiada alasan untuk kita malas menuntut ilmu dalam menjadi
pemimpin versi terbaik.

SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN

Dalam proses pembentukan kepemimpinan saya pada masa hadapan, terdapat beberapa
elemen yang telah dan akan saya terapkan dalam struktur pentadbiran saya kelak.
Kepemimpinan haruslah dimulakan dengan profesionalisme yang tinggi. Kepemimpinan
profesional meliputi gaya pengurusan, hubungannya dengan wawasan, nilai dan matlamat
serta pendekatannya dalam proses melaksanakan perubahan, ketekalan matlamat dan
penglibatan staf dalam membuat keputusan serta mempunyai kewibawaan dalam pengajaran
dan pembelajaran. Dalam usaha memastikan wawasan sekolah menjadi kenyataan saya
mengamalkan konsep strict but at the same time friendly.

Selain itu, konsep jangan cari salah atau kelemahan guru tetapi cari kekuatan guru
tersebut akan menyebabkan guru bekerja dalam keadaan yang menyeronokkan dan tidak
tertekan. Sebagai pemimpin sekolah, kita perlu ikhlas dengan orang bawah dan mereka akan
tahu sama ada pemimpin itu ikhlas atau tidak. Pemimpin sekolah juga menjadi role model
untuk semua perkara baik seperti datang awal ke sekolah dan orang yang paling akhir

98

meninggalkan sekolah. Seorang pemimpin sekolah itu mesti memiliki pengetahuan,
keterampilan, ketegasan, keyakinan, kecergasan dan cemerlang dalam semua aspek agar
dapat dicontohi oleh guru dan juga murid.

Elemen seterusnya yang ingin saya terapkan dalam kepemimpinan saya ialah
mempunyai wawasan dan matlamat bersama yang jelas. Wawasan dan matlamat sekolah
hendaklah selalu dijelaskan kepada warga sekolah agar mereka tahu apakah wawasan
sekolah dan matlamat sekolah. Di persekitaran bilik darjah dipamerkan dengan jelas visi, misi
dan matlamat sekolah yang hendak dicapai. Wawasan merupakan gambaran mental masa
depan yang hendak dicapai dan mampu menjana tenaga dalam kalangan guru dan murid ke
arah mencapai matlamat sekolah. Oleh itu, seorang pemimpin sekolah perlulah dinamik,
kreatif, inovatif, mampu membuat perubahan secara berterusan, ada hala tuju dan berupaya
mengatasi pelbagai masalah dalam dan luar sekolah. Perkara ini perlu diambil berat oleh
seorang pemimpin supaya orang bawahnya dapat melihat dengan jelas matlamat dan hala
tuju yang hendak dicapai oleh organisasi. Secara tidak langsung ini dapat menaikkan
semangat dan membantu mereka bekerja dengan lebih sistematik dan berfokus.

Seterusnya saya akan memastikan kemenjadian murid sentiasa menjadi fokus utama.
Bagi merealisasikan output ini, pendidikan berkualiti haruslah dilestarikan dengan cemerlang.
Bagi menzahirkan pendidikan berkualiti ini, pemimpin sekolah itu terlebih dahulu perlu ada
ciri-ciri pemimpin berkesan, mempunyai wawasan dan matlamat bersama, wujudnya
persekitaran yang menggalakkan pembelajaran, penumpuan terhadap pengajaran dan
pembelajaran, pengajaran bermatlamat, ada penghargaan yang tinggi, amalan pengukuhan
positif dan pemantauan kemajuan sekolah. Jika semua ciri ini dapat dilaksanakan oleh
seorang pemimpin sekolah, maka akan lahirlah pendidikan berkualiti dan kemenjadian murid
yang melebihi sasaran dalam pelbagai bidang bukan hanya dalam bidang akademik semata-
mata.

Walau bagaimanapun, pendidikan berkualiti tidak akan dapat melahirkan kemenjadian
murid sekiranya ciri-ciri itu tidak dilaksanakan dengan penuh amanah dan keikhlasan. Mereka
perlu ada roh, menjiwai dan menggalas tugas yang amat berat, bersemangat dan mencintai
kerjaya mereka sebagai pemimpin. Pendidikan berkualiti ini seterusnya akan membentuk
sekolah cemerlang. Saya sebagai seorang pemimpin sekolah cemerlang dan berintegriti
bukan sahaja akan melahirkan pendidikan berkualiti dan kemenjadian murid malah lebih
daripada itu.

Elemen penting seterusnya yang hendak saya terapkan dalam kepimpinan saya ialah
memastikan wujudnya persekitaran kondusif di sekolah. Kondusif membawa maksud suasana
yang tenteram dan selesa di sekolah. Ini adalah sangat penting kepada para guru dan murid
dalam memastikan pembelajaran dan pengajaran berlaku dengan berkesan. Hal ini kerana
murid menghabiskan hampir separuh daripada masa mereka di sekolah. Oleh itu guru pula
perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan pembelajaran dan pengajaran supaya
murid dapat belajar dan menguasai pengetahuan dengan lebih baik. Dalam bilik darjah,
terdapat pelbagai faktor yang saling mempengaruhi dalam menentukan kejayaan
pembelajaran yang berlaku. Antaranya adalah guru, murid dan persekitaran pembelajaran
yang juga merupakan antara penentu dalam kejayaan proses pembelajaran di bilik darjah.

Menurut Bucholz dan Sheffler (2009) guru berupaya mencorakkan persekitaran bilik
darjah supaya selesa dan seterusnya meningkatkan kemampuan murid untuk belajar.
Persekitaran bilik darjah yang kondusif akan terhasil bila ada kerjasama dan interaksi
berkesan antara guru dan murid juga hubungan persekitaran dan murid. Justeru, murid akan
berasa seronok untuk belajar kerana mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti pembelajaran
yang aktif dan memberangsangkan di bilik darjah. Secara tidak langsung penglibatan aktif

99

murid dalam pengajaran dan pembelajaran seperti yang terkandung dalam Standard 4
mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) dapat dicapai. Oleh
itu, guru memainkan peranan penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada
murid.

Saya juga perlu menjadi pemimpin yang akan menerapkan penumpuan dalam
pengajaran dan pembelajaran yang terbaik. Untuk mencapai tujuan ini, tindakan utamanya
ialah melahirkan guru yang berkualiti. Hasrat untuk melahirkan guru yang berkualiti mestilah
dilakukan dengan cara yang bersungguh-sungguh seperti menghantar guru menyertai
seminar, forum, pembentangan kertas kerja dan lain-lain program baik di peringkat daerah,
negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Guru-guru yang berkualiti merupakan aset yang
penting kepada sesebuah negara dan menjadi aspirasi ke arah melahirkan murid yang
cemerlang, menepati hasrat Transformasi Sekolah 2025 (TS25). Guru berkualiti adalah
mereka yang dapat dan mampu menguasai serta merealisasikan segala kemahiran,
pengetahuan dan kepakaran yang ada pada diri mereka sebagai alat meningkatkan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Salah satu strategi untuk melahirkan guru yang berkualiti ialah dengan meningkatkan
keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru juga perlu diperkenalkan
dengan teknik-teknik pengajaran terkini yang berkesan dan menarik minat murid. Dengan ini,
murid berasa seronok, bertambah minat, faham, menghayati bahan yang diajar,
meningkatkan kemahiran, aspek kognitif dan manipulasi mereka serta dapat melakukan
aktiviti yang berkaitan dengan proses pengajaran yang telah dijalani. Penggunaan peralatan,
pengurusan bilik darjah dan persekitaran yang baik akan dapat meningkatkan produktiviti
pembelajaran serta menjanjikan keselesaan. Sekiranya wujud ketidakselesaan, perkara ini
mampu mempengaruhi motivasi murid untuk belajar. Menurut Bartlett (2003),keberkesanan
pembelajaran akan meningkat sekiranya keadaan persekitaran pembelajaran adalah selesa.

Akhirnya, amalan pengukuhan positif menjadi kewajipan yang dilaksanakan dalam
kepemimpinan saya. Saya akan berjumpa dengan orang bawah sebelum dan selepas setiap
program atau tanggungjawab telah selesai dijalankan. Dalam pertemuan ini, saya mengetahui
apakah masalah orang bawah kerana mereka boleh menyuarakan pendapat mereka. Mereka
diberi motivasi untuk terus yakin dan menambahbaik dalam menyelesaikan tugasan yang
seterusnya, Selain itu, selepas pasca nilai, saya akan berjumpa dengan mereka bagi
membentangkan hasil pasca nilai dan memberi penghargaan atas usaha mereka. Selain itu,
dalam mesyuarat saya sering bercakap tentang ciri-ciri guru cemerlang.

RUMUSAN

Sebagai rumusan, sama ada kita sedar atau tidak, pemimpin sangat besar pengaruhnya
kepada orang bawah. Justeru, sebagai seorang pemimpin tidak kira Penolong Kanan atau
Guru Besar sebagai peneraju kepemimpinan sekolah, kita perlu menjiwai integriti dalam
seluruh kehidupan kita, supaya kita menjadi ikutan dan suri teladan terbaik kepada orang
bawah kita. Apabila integriti telah menjadi budaya seluruh warga sesebuah sekolah, insya-
Allah visi dan misi akan mendapat haluan yang terbentang luas untuk dicapai. Apabila visi
dan matlamat jelas, kita akan berfokus untuk menghasilkan yang terbaik dan tentunya untuk
mendapat keredaan Allah SWT. Jika kita menerima tugas sebagai amanah dan
tanggungjawab, kita akan berasa bersalah jika tidak melaksanakannya. Jika kita telah
melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya, kita akan mendapat kepuasan yang sangat
bermakna. Oleh sebab itu, jika seorang pemimpin hendak mengajar tentang integriti, etika,
jujur, ikhlas dan sifat-sifat mahmudah yang lain, dia sendiri mesti memastikan dirinya terlebih

100

dahulu memiliki sifat-sifat tersebut. Sindrom ‘ketam hendak mengajar anaknya berjalan lurus’
bukanlah amalan seorang pemimpin yang berintegriti.

RUJUKAN
Mohamad Saleeh Bin Rahamad. (2005). Salam Buat Mahathir.

Jabatan Pelajaran Johor (JPNJ)
Nik A. Rashid Ismail. (1993). Kepemimpinan: ulasan teori dan kajiannya di Malaysia.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Lim Swee Tin. Jejak Guru Berintegriti: Integriti Memperkasa/Lim Swee Tin.

Institut Integriti Malaysia (IIM)
https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pemutar
Mohd Shubhi (2019, Ogos 26). 5 Kriteria Penting Membina Pemimpin Yang Hebat. Utusan

Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2019/08/26/5-kriteria-penting-
membina-pemimpin-yang-hebat

101

JUARA BERSAMA

Gambar Penulis

Suhaimi bin Salamat
SK LKTP Ulu Penggeli, Kluang, Johor

PENGENALAN

Dimulakan dengan kalimah, Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha
Mengasihani, saya dapat memulakan penulisan yang banyak kali tertangguh akibat komitmen
dan tugasan perjawatan juga aktiviti harian. Rasa bersyukur juga terpilih sebagai peserta
Aktiviti Kesarjanaan (penulisan) Pemimpin Pendidikan Di Bawah Inisiatif #111. Memilih tajuk
“Juara Bersama” sebagai tajuk penulisan bagi artikel yang ditugaskan. Perkataan juara itu
sendiri sudah menggambarkan sedikit sebanyak tentang isi penulisan.

Juara adalah pemimpin atau pelerai, yang mengetuai atau memimpin, johan dalam
pertandingan juga ahli atau pakar dalam sesuatu kemahiran atau permainan manakala
perkataan bersama pula membawa maksud bersama-sama atau bergandingan (Kamus
Dewan Edisi Keempat 2017). Justeru, boleh saya simpulkan maksud Juara Bersama yang
dipilih adalah menjadi yang terbaik, teladan atau ikon dalam konteks pendidikan secara
bersama sebagai individu, unit dan organisasi.

Besar maknanya apabila memilih nilai konsep kebersamaan dalam isi penulisan.
Boleh saya nyatakan bahawa terdapat kelebihan, cabaran dan peluang sebagai individu dan
organisasi dalam merealisasikan menjadi yang terbaik secara bersama. Antaranya, kelebihan
menjadi yang terbaik adalah pengiktirafan oleh pihak yang berkenaan contohnya Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) atau Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang berkaitan yang akhirnya
menjadikan individu, unit atau organisasi sebagai contoh untuk pihak lain sebagai motivasi
untuk lebih baik dari sebelumnya. Dari segi cabaran pula, menanamkan aura positif dan sikap
tolak ansur bahawa di sekolah baik Unit Pengurusan, Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan
Kokurikulum, apapun tugasan yang diberi dahulukan nama sebagai organisasi barulah
individu dan diikuti oleh unit masing-masing serta sentiasa bekerjasama walaupun tidak
terlibat secara langsung dalam tugasan yang diberikan. Seterusnya menjadikan setiap ruang
dan peluang sebagai platform, tempat bagi menonjolkan kemampuan diri, unit dan organisasi.

Bagi diri sendiri pula, sebagai guru dan pentadbir sentiasa menyokong setiap aspirasi
unit dan organisasi untuk menjadi teladan serta panduan. Sentiasa memupuk mentaliti positif
dan sentiasa menjadi yang terbaik untuk diri sendiri, unit serta organisasi. Terima kasih tidak
terhingga kepada rakan pentadbir, rakan guru dan tidak lupa kepada pensyarah-pensyarah
Institut Aminuddin Baki (IAB) yang terlibat Encik Mohamad Hanif bin Ramli, Encik Zaidi bin
Ismail dan Encik Abdul Azim bin Othman atas ruang, peluang dan bimbingan yang menjadikan
isi penulisan yang baik serta berkualiti.

102

PENGALAMAN LEPAS

Mengimbas kembali saat penempatan pertama sebagai guru terlatih selepas menyelesaikan
tempoh ambilan Diploma Pendidikan pada tahun 2000. SK Bukit Paloh tertera pada surat
arahan penempatan, gembira dan sedikit kecewa dirasai ketika itu. Gembira kerana sekolah
berkenaan di dalam daerah yang sama dengan tempat tinggal iaitu daerah Kluang, bermakna
saya tidak jauh dan sentiasa senang untuk berhubung dan bersua muka dengan ibu dan bapa
tercinta. Kecewa pula kerana hajat untuk mencari pengalaman bertugas dan memahami
budaya negeri-negeri lain di luar negeri Johor tidak tercapai. Walau bagaimanapun aturannya,
sepenuh kesyukuran terhadap Allah SWT atas ketentuan-Nya.

Pada awal penempatan itu, antara cabaran yang dilalui adalah ketiadaan kenderaan
sendiri untuk berulang alik yang jaraknya sejauh 55 km sehala dari tempat tinggal ke tempat
bertugas dan keadaan ekonomi yang kurang baik pada ketika itu. Mujur ihsan daripada abang
ipar meminjamkan kenderaan motosikalnya untuk keperluan bertugas diberikan buat
sementara waktu. Saya membuat keputusan untuk tinggal di kuarters guru yang disediakan
dan menumpang rakan guru lain untuk pergi dan balik daripada tempat bertugas sehingga
saya mendapatkan kenderaan sendiri setelah tujuh (7) bulan bertugas dan gaji pertama
diperoleh. Ya, cabaran yang agak perit di mana gaji pertama diperoleh selepas tujuh (7) bulan
bertugas. Apapun saya reda dan itulah kehidupan.

Maksud pemimpin ialah orang yang mengetuai atau memimpin. Pengalaman
memimpin secara rasmi dan secara tidak langsung adalah ketika dipilih menjadi Guru Kelas
yang memberi peluang kepada diri untuk membentuk dan memimpin kelas mengikut acuan
kita, susun atur kelas yang menarik dan mengikut panduan, sistem pengurusan kehadiran
serta kebersihan kelas yang berkesan, disiplin yang terkawal walaupun saiz kelas agak besar
ketika itu. Semuanya dapat dibereskan dengan baik. Selain itu, pelbagai jawatan utama lain
yang disandang sepanjang bertugas di SK Bukit Paloh sesuai dengan erti kata pemimpin
antaranya Ketua Panitia subjek Matematik yang memerlukan kita secara bersama merangka
dan memastikan hala tuju subjek untuk lebih baik daripada pencapaian semasa. Pada masa
yang sama memastikan dokumen-dokumen utama pengurusan dan pentadbiran panitia
dalam keadaan kemas kini serta terkini. Menjawat jawatan setiausaha juga memberi peluang
dan mendidik kita untuk bertindak seiring dengan ketua atau pengerusi unit yang disandang.
Menjadi perantara sekiranya ketua tidak dapat dihubungi untuk memastikan apa yang
dirancang dijalankan dengan berkesan. Pernah juga menjadi jurulatih sukan permainan bola
sepak yang mana cabarannya kemahiran permainan bola sepak tidak sebaik murid-murid
yang bermain. Mencari dan mendapatkan maklumat untuk menyediakan aktiviti latihan yang
bersesuaian bagi memastikan pasukan bola sepak sekolah dapat bersaing dalam
pertandingan peringkat zon dan seterusnya ke peringkat daerah. Selain jurulatih sukan
permainan, juga pernah menjadi jurulatih pasukan badan beruniform Tunas Kadet Remaja
Sekolah, membimbing, memberi tunjuk ajar kepada murid-murid dan bersama guru-guru
memimpin, mentadbir aktiviti tahunan dan menyelaras program perkhemahan supaya dapat
dijalankan dengan baik serta berkesan. Pengalaman menguruskan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR) dan sebagai Penyelaras Tahun 6 memastikan program-program yang
dirancang untuk meningkatkan dan menambah baik pencapaian tahunan murid-murid, guru-
guru terlibat serta organisasi atau sekolah. Perlu juga membina hubungan baik dengan ibu
bapa murid yang terlibat dan organisasi terhampir dengan sekolah bagi mendapatkan sumber
kewangan serta tenaga tambahan yang diperlukan bagi memastikan setiap program atau
aktiviti kecemerlangan bagi tahun 6 terlaksana dengan jayanya. Pengalaman dalam
menyediakan setiap dokumentasi berkenaan juga antara elemen utama ke arah menjadi
pemimpin yang baik dan boleh diteladani. Selain di peringkat sekolah, saya juga pernah diberi
tanggungjawab untuk melatih pasukan bola sepak peringkat zon untuk dibawa ke

103

pertandingan peringkat daerah. Untuk makluman, di daerah Kluang hanya terdapat lima zon
yang akan bertanding dan biasanya zon Paloh khususnya akan menghuni tempat terakhir
atau keempat bagi setiap tahun. Di pendekkan cerita, pengalaman manis sepanjang
membawa pasukan bola sepak peringkat zon ke peringkat daerah pernah sekali mendapat
tempat ketiga yang mana saya anggap kejayaan peribadi juga bersama sekolah-sekolah yang
terlibat sebagai kejayaan yang sukar dicapai.

Bidang akademik peringkat daerah juga tidak terkecuali dengan pengalaman
kepimpinan di mana terlibat sebagai pembimbing dan pembina item soalan subjek Matematik.
Pengalaman berkongsi kepimpinan dengan rakan-rakan senior yang hebat juga sedikit
sebanyak menambah elemen pemimpin dalam diri sendiri, belajar lebih mendalam bagaimana
organisasi pengumpulan dan pelaksanaan berfungsi serta sumbangannya kepada pihak lain.

Terkini selepas bertugas selama hampir 19 tahun di SK Bukit Paloh, Kluang, Johor
menimba pengalaman dan belajar segalanya tentang pengurusan, pentadbiran dan
pelaksanaan pendidikan bermula Jun 2019 diarahkan untuk memulakan tugas sebagai
barisan hadapan atau pentadbir berjawatan Guru Penolong Kanan Kokurikulum di SK Felda
Ulu Penggeli, Kluang, Johor.

Mengambil masa yang agak lama juga untuk mentransisikan diri daripada guru biasa
ke seseorang yang dipanggil pentadbir. Sebelum ini pengalaman memimpin itu terasa amat
sedikit rasanya setelah menjawat jawatan terkini. Paling utama apabila diberikan amanah
untuk mengetuai Unit Kokurikulum sekolah yang terkenal dalam unit koakademiknya iaitu
bahas dan pantun. Cabaran untuk memastikan tiga (3) unit utama iaitu badan beruniform,
kelab persatuan dan sukan permainan untuk menonjol serta seimbang pencapaiannya sama
ada peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Juga memastikan segala
kejayaan adalah secara bersama. Pemantauan dan penilaian terhadap rakan-rakan guru juga
merupakan cabaran kepimpinan bagi saya dalam memastikan sistem pengurusan dan
pentadbiran organisasi dijalankan dengan cekap dan berkesan. Harapan saya pengalaman
lepas dapat membantu dan memastikan saya menjadi pemimpin yang beretika dan
mengecapi segalanya secara bersama sesuai dengan moto ‘Jom Jadi Juara’ simbolik kepada
tajuk penulisan saya.

PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pemimpin ialah orang yang memimpin.
Manakala menurut Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA), seorang ulama atau pemimpin
terkenal Indonesia mengatakan pemimpin ialah orang yang memimpin supaya tertubuh,
membimbing supaya dapat bergerak, menyokong supaya tidak jatuh atau yang
menyelamatkan jika melakukan kesalahan atau kecuaian. Selain itu, HAMKA juga biasa
menggunakan perkataan khalifah bagi menjelaskan maksud pemimpin yang mana secara
tidak langsung membawa makna pengganti Rasulullah SAW dalam urusan pemerintahan dan
pentadbiran. Pemimpin juga boleh dikatakan sebagai individu yang diikuti. Oleh yang
demikian boleh disimpulkan jika seseorang tidak mempunyai pemimpin maka kelamlah hala
tujunya. Perjalanan saya dalam menjadi seorang pemimpin memerlukan saya untuk merujuk
dan membaca serta menonton visual juga cerita sebagai panduan dalam membentuk
keperibadian pemimpin berintegriti yang diidamkan.

Bagi seorang yang beragama Islam, ciri beriman merupakan ciri utama yang mesti
ada. Maksud beriman ini boleh disimpulkan sebagai kepercayaan dengan penuh yakin
kepada Allah SWT dan rukun-rukun dalam agama Islam yang mana dalam kita memimpin
atau mengetuai, segala apa yang dirancang dan dilaksanakan perlu berdasarkan baik dan

104

buruk, boleh dan tidak boleh serta reda atas setiap ketentuan Allah SWT. Ini bagi
mengelakkan kita daripada sifat sombong dan takbur yang boleh merosakkan perpaduan
organisasi.

Pelbagai kisah teladan yang mewakili ciri-ciri lain untuk menjadi seorang pemimpin,
contohnya ciri berilmu pengetahuan yang bermaksud kefahaman manusia terhadap sesuatu
perkara. Ilmu pengetahuan dalam konteks pendidikan adalah pelbagai contohnya bidang
pengurusan, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum. Sedikit sebanyak dalam perjalanan
menjadi seorang pemimpin organisasi sekolah ilmu pengetahuan perlu di dapatkan atau
diperoleh. Rasa jemu dan putus asa perlu dielakkan dalam proses mencari atau menambah
ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan itu dapat diperolehi bukan sahaja di dalam kelas
semata-mata malah zaman sekarang dapat diperolehi melalui pelbagai platform secara
bersemuka atau secara maya. Dalam era yang serba moden dan canggih ini, boleh diperolehi
melalui internet, e-book, jurnal atau artikel, perpustakaan maya dan yang terbaru untuk warga
pendidik platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa). Jadi dengan
adanya ilmu pengetahuan dapatlah kita sebagai pemimpin untuk mengajar atau membimbing
rakan kerja di bawah bimbingan kita untuk menjadi lebih baik seiring dengan zamannya.

Amanah (jujur) juga merupakan ciri penting dalam menjadi seorang pemimpin yang
menjadi ikutan. Amanah membawa maksud akur. Sebagai contoh mudah, dalam bidang
pendidikan yang memerlukan individu atau guru yang sentiasa bersedia dengan perubahan-
perubahan dasar dan pelaksanaan sistem pendidikan seperti yang terkini Program
Transformasi Sekolah 2025 (TS25). Setiap pentadbir akan sentiasa diminta atau dipanggil
untuk menghadiri bengkel atau kursus yang dianjurkan oleh pihak yang berkenaan. Dalam
konteks ini, ciri amanah (jujur) dalam menghadirkan diri untuk menyertai kursus atau bengkel
walaupun berdepan dengan pelbagai komitmen harian, tuntutan jawatan dan keluarga akan
dipandang hormat oleh rakan-rakan kerja bimbingan. Selain itu, kehadiran ke bengkel dan
kursus juga memberikan impak positif kepada pemimpin sekolah dan rakan-rakan guru. Ini
bermaksud dengan pertambahan ilmu dan pergaulan sesama rakan berkursus, berkongsi
pengalaman dapat meningkatkan kemahiran memimpin. Menurut Pahrol (2010) sifat
mahmudah (nilai-nilai yang baik) berupaya membentuk seseorang itu menjadi profesional,
berketrampilan malahan dapat melaksanakan peranan, tanggungjawab dengan cekap dan
berkesan dalam bidang pentadbiran serta pengurusan.

Ciri berani dan berkredibiliti juga merupakan ciri pemimpin yang diidamkan seperti
dalam sejarah Islam, susuk Saidina Umar bin Al-Khattab sebagai panduan di mana beliau
menunjukkan sifatnya sebagai seorang pemimpin. Selain berani seperti yang diketahui
melalui kisah-kisahnya, beliau juga seorang pemimpin yang dermawan dan juga pemaaf. Jadi
dalam konteks pendidikan pula sifat berani bagi pemimpin ialah keupayaan memimpin dan
perlu berani dalam membuat perubahan, pembaharuan atau kelainan dalam pentadbiran
serta pengurusan. Ini bagi memastikan kecemerlangan sekolah dalam pendidikan. Dalam erti
kata yang lain, seiring dengan zaman pelbagai kaedah dan teknik terkini dalam mendidik,
membimbing dan melatih sama ada rakan guru atau murid contohnya pembelajaran dan
bengkel secara maya disebabkan kekangan atau arahan kementerian yang mesti
dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa setiap pemimpin perlu berani meneroka, mencuba
sesuatu yang baharu dan menarik serta unik agar relevan juga efisien. Pemimpin yang berani
dan berkredibiliti sudah pasti dapat mendorong, merangsang, membangun sumber tenaga
rakan guru juga murid dari segi kepakaran dan peralatan demi mencapai matlamat seterusnya
meletakkan organisasinya bersama-sama sebagai juara atau penanda aras.

Seorang pemimpin juga perlu bijaksana dalam memimpin. Bijaksana bermaksud
melakukan tindakan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman. Berpandangan jauh
terhadap kesan dan akibat daripada tindakan yang dibuat iaitu berkemampuan untuk

105

menganggar atau meramal akibat daripada tindakan. Sebagai contoh dalam keterujaan unit
kokurikulum untuk menjadi yang terbaik dalam setiap pertandingan yang disertai, pemimpin
yang baik dapat menganalisis kesan baik dan buruk pertandingan yang disertai juga menilai
keutamaan penyertaan mengikut keutamaan peringkat yang disertai sama ada peringkat
rendah atau tinggi serta kos juga alatan yang diperlukan bagi mengelakkan kelelahan dan
pertembungan waktu dengan unit-unit lain di sekolah.

Bertimbang rasa dan bertolak ansur juga merupakan ciri pemimpin yang diidamkan
yang boleh mendorong kejayaan bersama. Ini membawa maksud kasih sayang. Dalam
konteks pendidikan ciri ini bermaksud pemimpin dapat memahami dan mendalami cabaran
dan potensi setiap rakan sekerja dalam organisasi untuk merealisasikan matlamat kita
sebagai pemimpin. Pemimpin perlu bertolak ansur dalam tindakan dan komunikasi yang akan
menaikkan imej dan ketrampilan pemimpin.

Berdasarkan ciri-ciri pemimpin yang diidamkan ini, maka dapat membantu saya
sebagai panduan dan rujukan bagi memastikan gaya pimpinan pada masa depan kelak.
Harapannya impian untuk menerapkan mentaliti sebagai juara bersama dalam organisasi
nanti dapat direalisasikan.

JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN

Berdasarkan Aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia melalui anjakan ke-5, Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) mementingkan amalan kepimpinan
dan mahu memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di sekolah secara ansur
maju. Kini kita sedang berada dalam gelombang memacu peningkatan sistem yang mahu
pemimpin di sekolah mengamalkan gaya kepimpinan distributif (perkongsian tanggungjawab
antara pentadbir dengan guru-guru). Namun begitu, dalam proses ke arah matlamat yang
ingin dicapai, suka ataupun tidak setiap pemimpin (dalam konteks pendidikan) isu dan
cabaran tetap ada dan perlu dihadapi dengan bijak supaya kecemerlangan bersama (Juara
Bersama) dapat direalisasikan. Justeru, kecemerlangan organisasi sekolah dilengkapi
dengan sistem pengurusan yang amat sistematik, pemimpin yang berkesan, guru yang
berkomitmen dalam menghasilkan kejayaan murid secara individu dan unit khususnya.

Sebagai pemimpin yang masih hijau atau baru dalam pentadbiran, isunya ialah
kesediaan mental dan fizikal diri dalam menyediakan diri untuk mentransisikan diri daripada
guru biasa kepada barisan pentadbir memang memberikan rasa keyakinan dalam diri sama
ada diri mampu ataupun tidak. Tiga (3) bulan pertama menjawat jawatan rasa terbeban dan
tidak yakin dengan kemampuan diri untuk menguasai pengalaman baharu sebagai pentadbir.
Mujur dengan sokongan dan dorongan rakan-rakan pentadbir serta ketua jabatan yang
memahami keyakinan diri mula diperoleh. Memang sukar rasanya apabila menjadi pemimpin
kita perlu mengeluarkan arahan yang perlu dipatuhi oleh rakan guru. Arahan yang dikeluarkan
yang sebenarnya adalah sebahagian daripada keperluan perjawatan dalam sistem
pendidikan yang guru-guru tidak memahaminya. Harapannya pada masa akan datang, setiap
guru yang dipilih untuk menjadi barisan pentadbir atau pemimpin sekolah perlu dijelaskan dan
didedahkan peranan unit berkenaan dengan cara selain temuramah mungkin menjawab
soalan yang disediakan secara atas talian berkenaan bidang tugas Kurikulum, Hal Ehwal
Murid dan Kokurikulum dan disemak oleh pegawai penilai untuk kelayakan tambahan.

Isu seterusnya ialah tiadanya perkongsian matlamat yang jelas. Kepimpinan yang
berkesan perlu mempunyai hala tuju dan dikongsikan dengan organisasi terutama selepas
berlakunya perubahan unit pentadbiran. Sebagai contoh diri sendiri yang mengetuai unit
Kokurikulum dan setelah menganalisis sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan

106

Kokurikulum (PAJSK) sekolah, murid-murid hanya cemerlang dalam bidang kelab dan
persatuan manakala bidang sukan permainan dan badan beruniform pula sebaliknya. Ini
menjadi tanggungjawab diri untuk menetapkan sasaran pada tahun berikutnya supaya
kecemerlangan bakat murid seimbang untuk ketiga-tiga bidang kokurikulum. Ini perlu
dikongsikan dengan organisasi dan dijelaskan menggunakan data terkini serta merancang
pelan untuk mencapai kecemerlangan tersebut. Menurut Chin dan Jamalul Lail (2018),
amalan kepimpinan yang dikongsikan, matlamat dan visi dapat menggalakkan penglibatan
organisasi dalam proses kepimpinan serta mengelakkan berlakunya konflik antara matlamat
dan harapan.

Pemimpin juga berdepan dengan isu adab, akhlak dan emosi dalam melakukan
perubahan atau tambah baik organisasi sekolah terutama sekali budaya sekolah.
Persekitaran dan budaya sekolah yang sedia ada atau keadaan selesa pasti sukar diubah
atau ditambah baik apabila warga sekolah atau organisasi sudah sebati dengan keselesaan
tersebut. Persekitaran atau budaya boleh ditafsirkan sebagai kepercayaan, nilai-nilai atau
tabiat yang membentuk ciri-ciri warga dalam organisasi tersebut yang menyukarkan pemimpin
baharu untuk membawa perubahan dan pembaharuan yang dirasakan perlu dan boleh
memberi impak atau kesan baik kepada organisasi secara keseluruhan. Sisi negatif seperti
konflik adab, akhlak dan beremosi timbul sekiranya pemimpin baharu secara agresif dan
drastik ingin melakukan perubahan dengan tiada perbincangan dan kerjasama organisasi.
Sebagai cadangan, pemimpin perlu bersabar dan bertoleransi memainkan peranan dalam
melaksanakan perubahan dan pembaharuan yang ingin dilaksanakan. Pada masa yang
sama mengekalkan budaya dan sistem kerja serta persekitaran sedia ada yang baik.
Pemimpin hanya perlu membuat penambahbaikan contohnya keberhasilan kemenjadian
murid dalam bidang-bidang yang masih belum mencapai sasaran.

Kepercayaan secara bersama dalam organisasi juga merupakan antara isu dan
cabaran dalam memimpin. Kepercayaan ini merujuk kepada perkongsian tanggungjawab
dalam memacu kecemerlangan organisasi. Sekiranya kepercayaan pemimpin dalam
berkongsi tanggungjawab tidak diterapkan bersama warga sekolah secara tidak langsung
akan menyebabkan tidak wujudnya kerjasama antara pemimpin dan guru. Kesannya
kecemerlangan organisasi atau sekolah sukar diperoleh, warganya tidak bermotivasi dalam
menjalankan tugasan dan berasa tidak yakin untuk menjadi pemimpin di kemudian hari.
Contohnya dalam unit kokurikulum guru mahir tidak diberi peluang oleh pemimpin untuk
berkongsi kemahiran melatih dan membimbing murid dan guru lain yang kurang mahir. Ini
memberi kesan terhadap pencapaian atau kecemerlangan tidak konsisten sekiranya
perubahan kepimpinan atau kejurulatihan berlaku.

Pemimpin juga perlu sentiasa bersedia dengan perkembangan dan perubahan dasar
pendidikan selari dengan kemajuan dalam kepelbagaian bidang yang memberi kesan kepada
pendidikan. Sehubungan dengan itu, sebagai pemimpin kita tidak boleh menolak atau
menentang dasar. Sebagai contoh, TS25 sama ada suka atau tidak sebagai pemimpin
sekolah kita perlu melaksanakan dan berkongsi tanggungjawab dengan warganya. Cuma
sekadar penambahbaikan bagi memastikan program tersebut dilaksanakan dengan berkesan,
pemimpin perlu memahami program tersebut secara keseluruhan sebelum menyebarluaskan
kepada warganya bagi mengelakkan tentangan atau ketidakfahaman.

Sebagai kesimpulan, bagi menangani isu dan cabaran ke arah menjadi pemimpin
masa depan, seorang pemimpin perlu bijaksana dalam berkongsi tanggungjawab bagi
mengelakkan tindakan secara individu juga bagi memastikan tidak wujud kelompok dalam
organisasi kepimpinannya. Oleh itu dicadangkan agar pihak yang berkaitan dapat
menyediakan bahan atau kursus amalan kepimpinan distributif secara terperinci.

107

SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN

Andai suatu hari berpeluang dilantik mengetuai atau mengemudi sebuah sekolah sebagai
Guru Besar, saya akan bertanggungjawab memastikan kecemerlangan dalam semua unit
seimbang dan menepati tajuk penulisan yang dipilih iaitu ‘Juara Bersama’.

Pertamanya, saya akan memastikan segala profil tentang sekolah tersebut berserta
data-data yang tepat berkenaan perkara dalaman sekolah serta warganya juga komuniti
setempat perlu diperoleh. Ini akan membantu saya untuk merancang awal tindakan yang
sistematik dan terkawal dalam mengemudi perubahan atau penambahbaikan sistem
pengurusan dan pentadbiran sekolah. Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakpuasan hati
warga sekolah mahupun komuniti dalam saya menerajui kepimpinan sekolah. Setiap warga
pasti akan dijelaskan matlamat utama sekolah supaya setiap individu tahu, kenal pasti hala
tuju sekolah, berkongsi tanggungjawab dalam memastikan kecemerlangan dan kejayaan
secara bersama. Proses bagi langkah ini boleh dilaksanakan melalui pertemuan sesi taklimat
atau mesyuarat awal selepas melapor diri.

Perancangan pertama ini dapat mendorong saya supaya mengekalkan perkara baik
yang sedia ada di sekolah. Sebagai contoh hubungan baik dan keakraban warga dalam
menjalankan amanah atau tugasan selain daripada kepentingan perjawatan seperti gotong-
royong luar waktu bertugas perlu diberi pujian dan pengiktirafan yang sesuai. Ini dapat
memupuk sikap hormat-menghormati dan toleransi dalam organisasi. Impaknya kita sebagai
pemimpin akan disegani.

Elemen kebersamaan merupakan suatu nilai yang akan dititikberatkan bawah
perancangan kepimpinan saya. Kebersamaan membawa maksud dalam konteks saya
sebagai pemimpin ialah dalam apa juga keadaan baik atau buruk, salah atau tidak dan lain-
lain yang berkenaan akan dikongsi bersama. Sebagai contoh sekiranya ada penglibatan atau
pelaksanaan program dijalankan walaupun yang terlibat secara langsung hanya segelintir
warga, akan dipastikan warga yang lain memainkan peranan yang sewajarnya supaya
program yang dijalankan, berjalan dengan baik dan berkesan seterusnya menjadi mercu
tanda atau sumber inspirasi bagi sekolah-sekolah lain. Langkah ini perlu dinyatakan dalam
setiap mesyuarat agihan dan penyelarasan kerja supaya warga peka dan cakna terhadap
situasi yang akan atau sedang berlaku di sekolah.

Saya juga perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang
yang sebelum ini kurang diberi perhatian contohnya kemahiran berkomunikasi serta membuat
pengucapan awam. Kemahiran ini amat penting kerana isi dan gaya pengucapan seorang
pemimpin akan menghadirkan rasa hormat warganya. Bagi memastikan proses ini akan
membantu kecemerlangan sekolah, saya sebagai pemimpin perlu mempelajari teknik
berbahasa di samping memperbanyak bahan bacaan ilmiah bagi memperoleh fakta terutama
dalam konteks pendidikan yang berkaitan dengan PPPM. Menonton video pengucapan tokoh-
tokoh pendidikan di saluran maya juga boleh meningkatkan kemahiran komunikasi seorang
pemimpin.

Bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan atau konsisten, elemen atau
perancangan kerjasama berdasarkan konsep jalinan dan jaringan akan saya wujudkan.
Konsep jalinan itu merupakan kolaboratif, permuafakatan dan perkongsian antara warga
sekolah dengan ibu bapa penjaga juga komuniti setempat. Sumbangan idea, tenaga, bahan
peralatan ataupun sumber kewangan yang membantu dalam membangunkan kecemerlangan
sekolah merupakan contoh perkongsian dan kolaboratif yang merujuk kepada konsep jalinan.
Manakala konsep jaringan pula membawa maksud hubungan kerjasama antara sekolah

108

dengan sekolah lain dalam negara sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah (daerah,
negeri atau kebangsaan) dengan melaksanakan aktiviti secara bersemuka atau maya
berfokuskan bidang kurikulum, hal ehwal murid, kokurikulum dan pengurusan. Dengan
adanya jalinan dan kerjasama ini, maka wujudlah rasa kebersamaan, perkongsian
tanggungjawab dan berkomunikasi yang berkesan sesama warga. Proses ini secara ansur
maju akan memastikan kecemerlangan atau matlamat sekolah dapat dicapai lebih awal
daripada yang disasarkan.

Sebagai pemimpin, lawatan penanda aras sama ada ke institusi swasta atau sekolah
terpilih juga merupakan proses membangunkan organisasi. Perancangan ini dapat
meningkatkan potensi diri dan organisasi berkaitan bidang pendidikan khususnya ilmu
korporat dalam mencari sumber kewangan tambahan bagi organisasi. Lebih utama saya
dapat menjalinkan hubungan baik dan mesra yang akan dapat dimanfaatkan oleh pihak yang
terlibat. Kesediaan dan kerjasama yang ditawarkan setiap pihak misalnya, berkongsi
kepakaran akan memberi nilai tambah kepada organisasi. Contoh lain, sekiranya organisasi
inginkan kelestarian sekolah dan persekitaran pembelajaran yang kondusif, institusi swasta
yang mempunyai kepakaran serta inovasi dalam bidang alam sekitar mungkin menjadi pilihan
utama.

Sebagai pemimpin suka ataupun tidak sumber kewangan merupakan elemen atau
langkah perancangan yang perlu dirancangkan. Bagi memastikan sumber kewangan kukuh
dan stabil tanpa mengharapkan bantuan kerajaan sepenuhnya, pemimpin perlu bijaksana
untuk memperoleh sumber kewangan tambahan. Pengalaman saya, berdasarkan fizikal dan
lokaliti sekolah jika ada ruang dan peluang mewujudkan sumber memperoleh kewangan.
Biasanya sekolah mempunyai kawasan atau ruang yang boleh diguna pakai untuk projek
pertanian contohnya mengadakan program penanaman tebu bagi menampung perbelanjaan
tambahan organisasi. Tanaman tebu dipilih kerana kos penjagaan yang murah dan mudah.
Pada masa yang sama nilai kebersamaan dapat diterapkan di mana proses dapatan idea
menukar sumber tanaman tebu kepada nilai wang melalui perkongsian idea dan gotong-
royong warga sekolah. Proses keseluruhan ini merupakan kebersamaan dalam melahirkan
organisasi dengan slogan ‘Juara Bersama’. Sumber kewangan yang diperoleh sedikit
sebanyak membantu warga sekolah, ibu bapa dan komuniti mengadakan program berkesan
kepada bidang berkaitan yang memberi pengiktirafan kepada warga setempat khususnya.

Kesimpulannya, sebagai pemimpin sememangnya perlu mempunyai perancangan
baik dalam memastikan jatuh bangun sesebuah organisasi. Organisasi mesti diketuai dan
ditadbir secara berkesan. Proses yang tepat perlu diteliti serta mengenal pasti kesan baik dan
buruk supaya langkah untuk menyokong perancangan dapat dicapai mengikut jangka masa
waktu yang telah ditetapkan. Kecemerlangan dan kemenjadian warganya mendapat
pengiktirafan sewajarnya serta menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah yang lain.

RUMUSAN

Sejujurnya menjadi barisan pentadbir tika dan saat ini memang tidak ada dalam perancangan
peribadi sepanjang 19 tahun bergelar guru. Namun kehendak dan susun atur yang telah
tertulis oleh Allah SWT tentu mempunyai hikmah-Nya dan saya reda dengan ketentuan-Nya
dan secara tidak langsung menyedari kemampuan diri yang terpilih untuk menjadi pemimpin.

Saat terpilih sebagai peserta Aktiviti Kesarjanaan (Penulisan) Pemimpin Pendidikan
Di Bawah Inisiatif #111 saya rasa bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk meneroka
pengetahuan dan kemahiran baharu sebagai penulis apatah lagi menghasilkan penulisan bagi
seorang yang tiada minat dan kemahiran dalam bidang penulisan. Takut juga dirasakan

109

kiranya penulisan yang dihasilkan tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan. Mujur dengan
sokongan dan bantuan daripada pensyarah-pensyarah IAB yang terlibat Encik Mohamad
Hanif bin Ramli, Encik Zaidi bin Ismail dan Encik Abdul Azim bin Othman amat membantu dan
selalu memberikan dorongan dalam menghasilkan penulisan yang baik. Tidak lupa juga
rakan-rakan bawah bimbingan Encik Abdul Azim bin Othman, Encik Azhari, Encik Zaidi dan
Encik Zainulaman yang sentiasa meniupkan semangat untuk menyiapkan penulisan.
Keluarga terutamanya ibu, isteri dan anak-anak yang memberikan sokongan moral sepanjang
proses menghasilkan penulisan ini serta rakan sejawat di sekolah. Tambahan pula ketua
jabatan yang memahami dan sentiasa memberikan semangat dalam melengkapkan tugasan
ini.

Akhir kata, pengalaman dan ilmu pengetahuan yang diperoleh sepanjang proses
menyiapkan penulisan ini dapat memberi panduan kepada diri sendiri dalam membentuk
watak dan gaya kepimpinan pada masa hadapan kelak sebagai pemimpin dan memastikan
nilai ‘Juara Bersama’ dapat dihasilkan secara optimum.

RUJUKAN

Mohd Nazri Zainuddin (2020). Sumbangan Bukhari Lubis Dalam Bidang Jawi dan Khat: Pedoman
Kepada Pemimpin Sekolah dan Pendidik Menjadi Pemimpin Berkualiti. Jurnal Penyelidikan
Dedikasi, 18(2), 74-91. http://myjms.mohe.gov.my/index.php/jd/article/view/12241/6001

Danial Zainal Abidin (2018). Formula Individu Cemerlang. Kuala Lumpur: Publishing House Sdn. Bhd
Dewan Bahasa dan Pustaka (2017)

https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=juara
https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bersama
https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword= pemimpin
Zulkifli Mohd Yusoff & Abdul Hafiz Abdullah (2013). Pemimpin Menurut Pandangan Hamka. Jurnal Al-
Tamaddun, 8 (1), 17-38 https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/8647/6142
Hajjah Nora Yaacob (2013). Jalinan Kerjasama dalam Bidang Pendidikan
http://tamanillhamku.blogspot.com/2013/04/kertas-kerja-ptk-44bagaimanakah-jalinan.html

110

IBTISAM

Zarina binti Mohamad
SMK Taman Daya 2, Johor Bahru, Johor

PENGENALAN

Ibtisam atau senyuman adalah sedekah dan kebaikan yang paling mudah untuk dilakukan. Ia
menggambarkan kebersihan dan keperibadian insan yang memberi senyuman. Daripada
Jabir ra berkata: “Setiap kali aku bertemu dengan Nabi Muhammad SAW, aku sentiasa
melihat senyuman pada bibir baginda.” Itulah sifat semulajadi saya. Saya mudah tersenyum
kerana bagi saya senyuman dapat melapangkan minda saya dan sedikit sebanyak
melampiaskan ketenangan kepada yang menerimanya. Sifat ini menjadikan saya mudah
didekati, sentiasa menjadi sumber rujukan dan menjadi orang pertama dicari rakan-rakan
apabila mereka menghadapi masalah.

Sifat ini sedikit sebanyak menjadikan saya idola yang mudah didekati dan dicontohi.
Tanpa sedar saya sebenarnya pemimpin dengan hanya bermula sebuah senyuman. Mungkin
benar tanggapan yang mengatakan seseorang pemimpin itu sememangnya sejak dia
dilahirkan sudah memiliki keterampilan yang diperlukan bagi menjadi seorang pemimpin
apabila dewasa kelak. Itulah saya. Oleh itu, bakat memimpin yang ada ini perlu saya kembang
dan suburkan melalui pembelajaran dan pengalaman. Menulis artikel inilah antara
pengalaman saya yang amat berharga.

Ibtisam dan senyuman ini memberi kesan mendalam dalam kehidupan saya. Ia sebati
di jiwa saya sehingga saya menerima amanah sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal
Murid (GPK HEM). Melalui penulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman dan menyingkap
nilai-nilai kepimpinan pemimpin idaman saya. Saya cuba menyelusuri isu dan cabaran ke arah
pemimpin masa depan agar memberi manfaat bukan sahaja kepada saya tetapi kepada
semua bakal pemimpin. Akhirnya saya akan garapkan apa yang akan saya laksanakan
seandainya suatu hari nanti saya bergelar pengetua dan menerajui sebuah sekolah. Semoga
perkongsian ini menjadikan saya dan anda pemimpin yang dapat menunaikan amanah dan
tanggungjawab dengan penuh integriti. Sesungguhnya jawatan pemimpin bukanlah satu
kemuliaan atau kebanggaan tetapi tanggungjawab dan amanah. Segala tanggungjawab dan
amanah yang diterima akan dipersoal setiap satu pada hari akhirat kelak. Rasulullah SAW
berpesan dalam sebuah hadis: Daripada Ibnu Umar ra daripada Nabi SAW baginda bersabda:
“Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab di atas
apa yang dipimpinnya.” Oleh itu melalui penulisan ini juga saya cuba bermuhasabah dan
mencermin diri, menilai kekurangan dan menyuburkan semula sifat-sifat pemimpin yang
mungkin telah luntur disebabkan oleh kealpaan dan urusan dunia yang tidak disusun dengan
sebaiknya.

111

PENGALAMAN LEPAS

Perjalanan saya sebagai pemimpin kecil bermula pada tahun 2008 apabila saya dilantik
sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) di SMK Taman Mount Austin iaitu sebaik sahaja
menyandang Gred DG44. Berbekalkan pengalaman sebagai Ketua Panitia selama lapan (8)
tahun saya mula mengorak langkah memasuki dunia pemimpin dengan penuh harapan dan
keazaman. Menerajui Bidang Sains Kemasyarakatan dengan tujuh (7) mata pelajaran di
bawahnya merupakan satu cabaran baharu yang mengujakan. Berbekalkan sedikit
pengalaman dan hubungan baik antara semua guru saya cuba menjadi pemimpin
pertengahan yang disenangi, mudah dibawa berbincang dan sentiasa bersifat terbuka. Saya
berusaha menjiwai sifat dan pembawaan guru-guru di bawah pimpinan saya dengan
mengagihkan tugasan secara adil dan saksama. Sebagai GKMP Sains Kemasyarakatan saya
telah dipilih sebagai penyelaras Sistem Pengurusan Sekolah Kualiti (SPSK) yang ketika itu
baru diperkenalkan. Sekolah saya telah terpilih sebagai sekolah rintis negeri Johor yang
dipantau oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Saya berjaya
menguruskan SPSK dengan penuh sistematik dan sekolah saya sering dijadikan contoh untuk
pengurusan tersebut.

Tahun berikutnya saya dilantik sebagai Guru Cemerlang. Hal ini demikian bermakna
saya keluar dari lingkungan bidang tugas pentadbiran dan pemimpin sekolah sebaliknya
kembali aktif mengajar sambil membantu sekolah, daerah dan negeri meningkatkan
pencapaian akademik. Majlis Guru Cemerlang Daerah Pasir Gudang dan Majlis Guru
Cemerlang Negeri Johor banyak membantu membina jati diri saya. Pelbagai aktiviti diadakan
sementelahan saya merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Guru Cemerlang Daerah.
Kenangan manis yang banyak memberi pengalaman apabila kami berjaya mengendalikan
Persidangan Majlis Guru Cemerlang Peringkat Kebangsaan di Hotel Selesa, Pasir Gudang.
Modul Pendidikan Islam Peringkat PT3 dan SPM pula adalah antara kemestian yang mesti
saya hasilkan setiap tahun. Terima kasih kepada mantan pengetua saya yang sentiasa
memberi kebebasan untuk saya berkarya.

Perjalanan kerjaya saya sebagai guru cemerlang berakhir di SMK Taman Mount Austin
pada 1 Februari 2017 apabila saya mendapat surat arahan penempatan sebagai Guru
Penolong Kanan Kokurikulum di SMK Taman Daya 2. Bukan mudah untuk memulakan tugas
baharu di tempat baharu yang pasti iklimnya tidak sama dengan sekolah lama. Saya
berpegang kepada prinsip: “Masuk ke rumah orang jangan terlampau ghairah. Jadilah
pemerhati dalam diam. Tinggalkan semua kenangan lama dan jangan sesekali menyebutnya
apatah lagi membanding-bandingkan. Jangan teruja ingin mengubah tapi teruskanlah apa
yang di depan mata dahulu.” Berpegang kepada ini pada awalnya saya hanya memerhati dan
meneruskan apa-apa yang ada. Saya melihat kehebatan yang ada dan mencatat kekurangan
yang perlu ditambah baik. Walaupun hanya menjadi pemerhati, sebenarnya menjadi
pentadbir di Sekolah Transformasi 2025 (TS25) Kohort Pertama di negeri Johor
sememangnya sangat mencabar. Kekalutan dengan pemantauan yang silih berganti dan
program ‘adhoc’ yang tidak terduga benar-benar mendewasakan saya.

Kejayaan pertama sebagai GPK Kokurikulum ialah apabila saya berjaya meneruskan
Projek Jogathon pembinaan pagar sekolah. Pengetua ketika itu, Puan Hajah Zainab binti
Laimang memberi gambaran ringkas tentang projek tersebut sebaik sahaja saya mendaftar.
Beliau menerangkan projek ini sudah dua tahun tertangguh dan perlu dilaksanakan kerana
sekolah kami ketika itu hanya berkawat besi tanpa pagar yang kukuh. Itulah projek pertama
yang agak mencabar. Alhamdulilah pada 1 Ogos 2017 Projek Jogathon ini berjaya dimulakan.
Kami berjaya mengutip RM78 000.00 dan pagar dapat didirikan. Disebabkan kutipan melebihi

112

jangkaan bukan setakat pagar tetapi lebihan kutipan digunakan untuk membaik pulih lantai
bersimen berhampiran padang dan menambah turapan simen di beranda surau.

Tanggungjawab menguruskan kokurikulum di SMK Taman Daya 2 memang
menyeronokkan. Walaupun bertemankan guru-guru muda, mereka cukup berkomitmen dan
mudah memberi kerjasama. Saya sentiasa berusaha untuk mewujudkan komunikasi
berkesan dengan orang di bawah pimpinan saya. Saya pastikan wujudnya hubungan
kekeluargaan yang harmoni, tidak berkonflik dan sentiasa bersifat terbuka. Pastinya seperti
selalu senyuman akan sentiasa terukir di bibir sehingga saya mendapat Anugerah Guru Paling
Mudah Senyum sempena Hari Guru Peringkat Sekolah 2018. Sungguh ikonik. Perkara ini
amat memudahkan saya bekerja dan mendapat kerjasama yang sepatutnya. Beberapa
kejayaan telah kami julang dan kenangan paling manis apabila kami berjaya mendapat
Anugerah Platinum Pengurusan Kokurikulum peringkat Negeri Johor dan berjaya membuat
persembahan orkes ketika Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Johor Bahru. Selain
itu saya juga berjaya membina Setor Khas untuk Unit Sukan dan Gelanggang Serbaguna
setelah mendapat peruntukan dan dana dari Pejabat Menteri Besar Johor.

Unit kokurikulum saya tinggalkan pada awal Januari 2020 setelah pelbagai perubahan
berjaya saya lakukan. Bermulalah sejarah baru di sekolah yang sama tetapi bidang berbeza.
Agak mudah berbanding mula-mula menjawat jawatan Guru Penolong Kanan (GPK)
Kokurikulum kerana saya sudah mengenali guru-guru. Langkah diteruskan segera untuk
memastikan Unit Hal Ehwal Murid diurus dengan berkesan. Tidak seperti Unit Kokurikulum
yang penuh dengan kejayaan dan keriangan, Unit HEM agak rencam dan perlu keputusan
pantas dan segera. Mengurus tiga (3) orang murid bergaduh sehingga melibatkan polis dan
ibu bapa merupakan pengalaman pertama sebagai GPK HEM yang tidak dapat saya lupakan.
Pandemik COVID-19 menjadikan pengurusan Unit HEM semakin mencabar. Ketika ini GPK
HEM ialah pemimpin barisan hadapan yang menguruskan segala-galanya. Membuat
persediaan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Pasca PKP 1.0 amat mencabar.
Perubahan yang tidak pernah terduga dan terfikir di minda. Syukur semuanya berjaya saya
urus bersama ahli jawatankuasa Unit HEM yang mantap dan sebarang permasalahan berjaya
kami atasi. Sehingga sekarang Unit HEM masih di bawah seliaan saya. Cabaran utama
pengurusan terutama ketika kelas bersemuka ialah memastikan Prosedur Operasi Standard
(SOP) COVID-19 dipatuhi dengan tidak menjejaskan kehadiran murid. Setakat ini kehadiran
murid ketika bersemuka masih melebihi 92 peratus.

PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN

Pastinya mudah tersenyum adalah ciri pemimpin idaman saya yang utama. Bagi saya aura
positif terpamer melalui senyuman. Senyuman yang ikhlas menggambarkan kebersihan hati
dan keperibadian tinggi pemiliknya. Senyuman mempunyai kuasanya tersendiri walaupun
dengan hanya melakukan 17 gerakan otot wajah. Sebagai pemimpin senyuman yang lahir
dari hati yang ikhlas dan jiwa yang murni akan mampu menjadi daya penggerak kepada orang
yang dipimpinnya. Senyuman seorang pemimpin akan memberikan ketenangan kepada
orang yang berada di sekelilingnya. Getaran aura positif melalui senyuman dapat membantu
orang lain berasa kurang tertekan, santai dan saling mempercayai yang akhirnya membantu
produktiviti mereka. Orang yang santai dan tenang juga lebih terbuka terhadap idea-idea baru
untuk berinovasi. Senyuman pemimpin juga dapat difahami sebagai tanda berpuas hati
dengan hasil kerja orang yang dipimpin. Ini mampu melampiaskan kegembiraan dan rasa
dihargai. Budaya positif menjadikan orang yang dipimpin lebih cekap, mudah dibentuk dan
bersikap terbuka.

Selain itu ciri pemimpin pendidikan yang saya idamkan ialah berwawasan dan
menerajui perubahan. Dalam dunia pendidikan pemimpin atau pentadbir merupakan orang

113

yang bertanggungjawab menggubal visi dan misi sekolah yang dipimpinnya serta mencipta
strategi berkesan bagi mencapainya. Oleh itu mereka haruslah mahir dalam menentukan
hala tuju sekolah yang diterajui. Bagi mempengaruhi individu yang dipimpinnya iaitu guru-
guru dan kakitangan sekolah untuk bergerak seiring bagi mencapai wawasan yang telah
ditentukan ini seorang pengetua perlu mempunyai nilai peribadi yang unggul dan sifat
kepimpinan yang mantap agar beliau menjadi pemimpin yang diidamkan, dihormati dan
dipatuhi seperti cogan kata yang sering kita dengar “Kepimpinan Melalui Teladan”. Dalam
melakukan perubahan pula pemimpin perlu mempunyai kekuatan intelektual dan ketajaman
daya analisis bagi membina wawasan dan mampu menggariskan visi, misi dan matlamat
dengan jelas. Beliau perlu melihat kepimpinan sebagai satu tanggungjawab bukan
keistimewaan. Sikap sebegini telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW sebagai
pemimpin agung di mana baginda sentiasa berfikiran jauh dan menjadi contoh terbaik dalam
kalangan pengikut baginda.

Ilmu dan amal ialah dua gandingan yang tidak boleh dipisahkan. Sebagai pemimpin
pendidikan yang menjadi peneraju utama sesebuah sekolah seorang pengetua haruslah
melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu. Bukan sahaja ilmu mengurus secara fizikal tetapi
ilmu mengurus emosi turut perlu dikuasai. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-
2025 (PPPM) yang menetapkan bahawa mulai 2014 Kelayakan Profesional Kepimpinan
Pendidikan Kebangsaan National Professional Qualification for Educational Leaders (NPQEL)
yang dikeluarkan oleh Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia
menjadi prasyarat pelantikan pengetua/guru besar di Malaysia merupakan satu langkah yang
cukup baik. Hal Ini demikian kerana hanya pengetua yang berkompetensi tinggi sahaja yang
layak memimpin sekolah. Menurut Jamil Adimin (2013): Kajian menunjukkan sekolah yang
yang didatangkan pengetua/guru besar yang baik akan meningkat 20 peratus. Kajian juga
menunjukkan pengetua/guru besar yang mengikuti kursus atau latihan kepimpinan dan
pengurusan pendidikan, latihan kepengetuaan, pembangunan profesionalisme serta kursus
lain yang berkaitan memberi impak kepada kepimpinannya.

Pemimpin yang berintegriti juga merupakan pemimpin idaman saya. Ini kerana
pemimpin yang berintegiriti akan mempunyai keselarasan antara perkara yang dikatakan dan
dilakukan. Beliau akan menunjukkan keselarasan antara tindakannya dengan prinsip moral,
etika dan undang-undang serta keselarasan antara kepentingan diri dan kepentingan umum.
Sesuatu yang dilakukan oleh pemimpin itu perlulah cepat, tepat, bermutu dan bertingkah laku
konsisten dalam pelbagai segi. Pemimpin berintegriti memiliki nilai dan etika yang menjadi
piawaian bagi tingkah laku mereka. Menurut Mohd Fadzilah dan Ahmad Naim (2009) dalam
bukunya Kunci Menjadi Individu Berkredibiliti ada menyebutkan kunci ke-36 untuk menjadi
orang yang berkredibiliti ialah amanah dan berintegriti. Menjadi pemimpin itu ialah amanah
yang akan dipersoalkan. Wujudnya sifat amanah dan integriti kerana wujudnya iman yang
sentiasa menggerakkan diri seseorang kepada kebaikan.

Sebagai pemimpin yang diidamkan juga beliau haruslah bijak berkomunikasi. Dalam
pengurusan organisasi, komunikasi merupakan alat perhubungan antara pemimpin dengan
orang yang dipimpin. Pemimpin mesti menyampaikan matlamat dan misi yang ingin dicapai
oleh organisasinya dengan cara pertuturan dan komunikasi yang jelas, tersusun, ringkas dan
padat. Komunikasi yang hebat dan penuh keikhlasan akan mengangkat kredibiliti pemimpin
ke tahap yang unggul dan terpuji. Perkara ini mampu menjadi perangsang dan role model
kepada orang yang dipimpin. Selain itu pembentukan karisma diri juga banyak bergantung
kepada cara seseorang itu berinteraksi dan berkomunikasi (Zainal, 2008). Oleh itu komunikasi
lisan dan bukan lisan seharusnya bergerak seiring dan senada. Jika tidak selari, komunikasi
bukan lisan akan lebih diutamakan. Keadaan ini kerana komunikasi bukan lisan terpamer
daripada bahasa tubuh yang selalunya bertindak secara semula jadi dan mudah dikenal pasti
oleh orang lain.

114

Akhirnya sebagai pemimpin idaman mereka haruslah mengamalkan budaya kerja
berpasukan. Budaya kerja ialah cara kerja berdasarkan suatu sistem nilai yang dikongsi
bersama. Dalam mengamalkan budaya kerja berpasukan pemimpin haruslah menyemai
sikap saling bekerjasama dalam mencapai matlamat pasukan atau organisasi tanpa
menghiraukan jurang status, telus dan terbuka dalam berkomunikasi dan membuat
perancangan secara bersama. Pemimpin juga haruslah menyemai nilai yang baik dan
diamalkan bersama-sama dalam organisasi seperti tidak suka membuang masa, selalu
berbincang, suka menghasilkan kerja yang paling baik, suka membantu, patuh kepada
arahan, mengutamakan pelanggan dan bangga dengan hasil kerja dan organisasi. Menurut
Syed Othman Alhabsi (2009) bekerja berpasukan akan memberi impak yang besar kepada
kualiti kerja. Ini kerana meningkatkan rangsangan, mengeratkan semangat setia kawan dan
mengurangkan percanggahan pendapat. Situasi ini akan mewujudkan suasana intim dan
seronok berada di tempat kerja yang akhirnya akan meningkatkan perasaan bangga kepada
pasukan dan organisasi.

JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN

Pemimpin masa depan haruslah sentiasa beraura positif. Pada abad ke-21 ini, mengurus
sesebuah organisasi secara relatifnya bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Walaupun
teori-teori pengurusan yang diperkenalkan pada abad ke-19 dan 20 masih luas dipraktikkan,
tetapi kebanyakan teori ini telah diubah suai sejajar dengan perkembangan organisasi pada
masa ini. Antara kemahiran yang perlu dimiliki oleh pemimpin ialah kecerdasan emosi (EQ)
yang tinggi. Dengan kata lain ramai pemimpin gagal memimpin organisasi disebabkan mereka
terlalu tegas dan mempunyai hubungan yang lemah dengan orang lain. Akibatnya mereka
tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dalam persekitaran
organisasi, budaya, proses kerja dan teknologi (Miller, 1999). Oleh itu, sebagai pemimpin kita
harus bijak mengawal emosi dalam menjiwai dunia orang yang dipimpin. Semai rasa kasih
sayang dan kekeluargaan dalam kalangan warga sekolah tanpa mengira pangkat dan
kedudukan sehingga warga sekolah merasai kewujudan kita. Hadirnya kita dinanti dan
ketiadaan kita dicari-cari. Tidak lupa senyuman sentiasa terpamer walau dalam apa keadaan
sekalipun.

Pemimpin haruslah sentiasa berusaha menerajui perubahan dan berwawasan.
Kepimpinan bukanlah perkara yang mudah kerana bukan setakat keupayaan memberi arahan
tetapi melibatkan penonjolan ciri-ciri dalam keperibadian kita yang terhasil daripada disiplin
dan amalan mulia yang diterapkan dalam kehidupan. Lumrahnya liku kehidupan penuh
cabaran, jatuh bangun seorang pemimpin ialah lorong kehidupan yang sememangnya perlu
dilalui untuk menjadikan kita lebih matang untuk memimpin. Perkara utama yang perlu diambil
adalah sentiasa ingin memperbaiki diri sebelum kita hendak menyuruh orang lain mengikut
kita. Ungkapan “ikut apa yang saya cakap tapi jangan ikut apa yang saya buat” jangan ada di
bibir sama sekali. Ini kerana pemimpin sentiasa berada di barisan hadapan baik dari segi
budaya kerja, integriti, penampilan dan sebagainya. Kita seharusnya sentiasa menjadi orang
yang pertama dalam melakukan apa-apa sahaja dan contoh yang paling ketara ialah waktu
hadir kita ke sekolah. Tidak salah kita menjadi orang yang pertama setiap pagi berada di
sekolah. “Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa”. Itulah ungkapan yang seharusnya
dijadikan prinsip dalam sesebuah organisasi. Budaya songsang dan salah yang telah berakar
umbi di sekolah yang telah terbentuk sekian lama kadang kala menjadi duri dalam daging
yang perlu dibuang dan dirawat. Walaupun begitu pemimpin perlulah bijak dalam menangani
setiap isu. Biarlah umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung
tidak berselerak. Perubahan yang hendak dibawa haruslah dibuat dengan penuh diplomasi
dan telah memikirkan pro dan kontranya. Kita juga harus bersedia menerima dan mencuba

115

perkara baharu serta melepaskan amalan lama walaupun selesa kerana dibimbangi itulah titik
tolak kesilapan kita.

Sebagai pemimpin, konsep pembelajaran sepanjang hayat sentiasa perlu disematkan
di hati. Ini sebenarnya petanda kita sebagai pemimpin yang hebat. Berusahalah mempelajari
segala ilmu terutama yang berkaitan pengurusan dan kepimpinan. Ini kerana kita ialah orang
yang dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang pelanggaran polisi, pelaksanaan yang
salah dan pemilihan yang tidak sesuai. Belajarlah ilmu yang bersesuaian dengan zaman kita
memimpin bukan zaman kita dipimpin. Berusahalah menguasai ilmu-ilmu baharu terutama
yang berkaitan dengan teknologi dan digital.

Dalam menerajui kepimpinan adakalanya kita berhadapan dengan situasi yang
memerlukan kita membuat pertimbangan yang sewajarnya antara kepentingan kita secara
individu atau kepentingan organisasi yang perlu kita dahulukan. Di sinilah kita perlu kembali
kepada konsep integriti dan etika bekerja yang digariskan dalam Islam. Ada beberapa etika
bekerja dalam Islam yang telah digariskan termasuklah bekerja sebagai memenuhi tuntutan
Fardu Ain iaitu bekerja untuk memenuhi tuntutan hidup seperti menyara diri dan keluarga. Ini
perlu dikaitkan bekerja sebagai ibadah yang merupakan amalan yang ada kaitannya dengan
keimanan dan niat seseorang ketika melakukan setiap pekerjaannya. Jika ini diamalkan
sudah pasti pemimpin akan dapat menjaga halal dan haram, sentiasa memikirkan
kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri.

Menguasai komunikasi berkesan juga antara keperluan utama sebagai pemimpin.
Sebagai peneraju sesebuah organisasi kita perlu kepada kesabaran dan sifat terbuka. Ini
kerana adakalanya kita menerima pandangan yang berbeza-beza, sikap dan pembawaan
orang bawahan yang pelbagai sehingga boleh menimbukan konflik yang tidak terurai. Oleh
yang demikian, setiap pandangan ahli organisasi perlu diterima dan dibincangkan supaya
keputusan yang dicapai ialah keputusan bersama. Komunikasi yang jelas akan menjadikan
pemimpin sentiasa peka dengan keadaan persekitaran, luwes dan berubah mengikut
keadaan yang sepatutnya. Sejajar dengan itu, agihan tugas juga perlulah dibuat dengan adil
agar semua ahli merasakan mereka dihargai. Kendalikan konflik dengan penuh bijaksana.
Banyak konflik bermula dan berpanjangan kerana ada orang yang tidak pandai mendengar
(Mohd Fadzilah, 2009).

Sebagai pemimpin masa depan yang berjaya kita haruslah mengamalkan kerja
berpasukan. Mengikut Juran (1993), kerja berpasukan akan memberi manfaat kepada
pekerja, pengurusan dan organisasi. Antara manfaat yang dicapai ialah mempertingkatkan
motivasi pekerja dan memberikan keyakinan diri tentang potensi dan kebolehan mereka.
Selain itu akan wujud perasaan percaya mempercayai dan saling menghormati di antara
pekerja dan pihak pengurusan. Sebagai pemimpin kita haruslah menyemai beberapa sistem
nilai yang dikongsi bersama seperti kepentingan bekerja dalam satu pasukan, mengamalkan
budaya kualiti, mengutamakan kecemerlangan dan mementingkan pelanggan iaitu murid dan
ibu bapa. Dalam mewujudkan kesatuan hati inilah adakalanya kita berhadapan dengan
individu yang menjadi duri dalam daging dan gunting dalam lipatan. Jangan abaikan
kewujudan mereka, tangani dengan penuh hikmah dan bijaksana agar mereka boleh berjalan
seiring dalam organisasi dan keluarga yang ingin kita bina.

SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN

Sebagai pemimpin pendidikan saya berpegang kepada slogan “Sahsiah disanjung
Kecemerlangan dijunjung” saya akan menggarapkan beberapa perancangan untuk
membangunkan organisasi yang bakal saya pimpin. Pembangunan yang akan saya sentuh

116

meliputi barisan pemimpin, guru-guru, kemudahan pendidikan, sistem pengurusan dan
program jalinan dan jaringan yang akhirnya akan melahirkan modal insan yang berkualiti.

Mengapa slogan saya bermula dengan perkataan sahsiah? Bagi saya kejayaan
sesebuah organisasi bermula dengan ketinggian sahsiah. Musgrave (1978), dalam bukunya
yang berjudul The Moral Curriculum: A Sociological Analysis menekankan pentingnya
matlamat moral atau sahsiah dikembangkan dalam kerangka pendidikan di sekolah. Selain
kurikulum, organisasi sekolah juga perlu memberi penekanan kepada elemen-elemen
sahsiah yang berkaitan dengan disiplin, nilai-nilai murni, aspek tingkah laku, amalan dan
tindakan (Abd Rahim, 2001). Menurut Bottery (1990), pula dalam bukunya yang berjudul The
Morality of The School membincangkan perspektif teori dan amalan nilai dalam pendidikan.
Menurut Bottery, moraliti dan sahsiah menjadi tumpuan sekolah selaras dengan matlamat
persekolahan yang menentukan bentuk yang perlu diketahui oleh generasi muda dan
bagaimana generasi muda harus berfikir dan bertindak. Oleh yang demikian sebagai ketua di
sekolah saya berperanan untuk memastikan sekolah dalam iklim psikologi yang harmoni.
Interaksi sosial, sosialisasi, perkembangan tingkah laku dan nilai yang merupakan elemen
utama dalam psikologi haruslah dicorakkan sebaik mungkin dalam kalangan semua warga
sekolah. Kempen Budaya Penyayang akan sentiasa saya amalkan dan menjadi budaya untuk
semua warga sekolah di bawah pimpinan saya. Pastinya slogan utama saya adalah “Mulakan
Hari Anda Dengan Senyuman”.

Sebuah sekolah yang hebat lahir daripada pemimpin yang hebat. Oleh itu,
pembangunan kepimpinan dalam kalangan Pengetua, Penolong Kanan, Guru Penolong
Kanan Mata Pelajaran perlu saya bangunkan. Sebagai seorang pemimpin Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) yang meliputi lima (5) standard perlu dihayati
dan dijadikan sebagai batu pengukur untuk melaksanakan setiap tugas. Professional
Learning Communities (PLC) dan Coaching Mentoring untuk meningkatkan kompetensi
Senior Leader Team (SLT) dan Middle Leader Team (MLT) perlu dibudayakan agar ilmu
mereka berkembang, mantap dan seterusnya dapat dikongsi dengan orang bawahan.
Pengetua haruslah berkongsi misi dan visi untuk dilaksanakan bersama-sama dengan jelas
dan tepat. Bagi mencapai hasrat ini, mesyuarat pentadbiran haruslah saya laksanakan
sekurang-kurangnya sebulan sekali, diadakan secara berfokus dan telus dalam mencari
penyelesaian sesuatu isu. Pemantauan berfokus melalui Learning Walk harus saya jadikan
agenda utama dan perlu dimasukkan ke dalam jadual harian barisan pentadbir saya. Dapatan
pemantauan perlu dibincangkan dan diambil langkah penambahbaikan.

Guru yang kompeten, kreatif, inovatif dan berintegriti merupakan aset yang sangat
bernilai untuk sesebuah sekolah. Oleh sebab itu, saya perlu membangun dan
menyuburkannya melalui perkongsian idea dalam pembudayaan TSS iaitu Teacher Sharing
Sesion. Perkongsian boleh dilakukan dengan menggunakan pelbagai cara seperti Video
Critic, PLC dan Program Immersion. Amalan Kajian Tindakan juga perlu saya hidupkan
seperti slogan Mantan Pengarah Pendidikan Negeri Johor Dato’ Haji Sufaat bin Tumin “Satu
Guru Satu Kajian Tindakan”. Ruang untuk guru berinovasi juga perlu saya buka seluas-
luasnya dengan mengadakan pertandingan, program berkaitan dan sokongan berterusan
untuk guru-guru bergiat aktif dalam mana-mana pertandingan inovasi agar minda guru tidak
mati. Di samping itu, Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) di peringkat sekolah perlu dirancang
dan dirangka mengikut keperluan dan kompetensi guru-guru di bawah pimpinan saya.
Menurut Zainal dan Mohd Phuzi (2006) dalam buku beliau yang bertajuk Guru Bestari Pelajar
Jauhari, kelestarian atau keaslian sifat-sifat bestari seseorang guru itu banyak bergantung
kepada sifat dinamika seperti kreatif, inovatif, progresif dan proaktif. Tanpa sifat holistik
tersebut maka ciri-ciri karisma seorang guru itu tidak akan menyerlah. Beliau akan kelihatan
lemah serta tidak bermaya pada kanta mata para murid malah pada perspektif ibu bapa serta
penjaga juga. Jika fenomena ini wujud dalam kalangan guru-guru saya maka kewibawaan

117

guru berkenaan akan turut tercalar. Semua yang mereka lakukan akan menjadi bahan
sendaan, umpatan, ejekan dan sindiran. Justeru amat wajar bagi setiap guru terutama di
bawah pimpinan saya untuk memperkasakan diri masing-masing dengan kemahiran-
kemahiran yang unggul dan saya sebagai pengetualah yang sepatutnya menyediakan
platform tersebut.

Persekitaran yang kondusif ialah pemangkin kepada kecemerlangan sesebuah
sekolah. Saya akan membudayakan ungkapan “Sekolah Kami Rumah Kami” menggantikan
slogan yang selalu bermain di bibir kita “Rumahku Syurgaku”. Semua warga sekolah
bertanggungjawab untuk memastikan prasarana dan iklim sekolah sentiasa berada dalam
keadaan yang sempurna. Bagi memastikan hal ini praktikal dan berterusan saya akan
mengatur tempoh pelaksanaannya mengikut fasa tertentu. Saya akan membahagi-bahagikan
kawasan di sekolah saya mengikut bidang untuk dibangunkan dan diceriakan di bawah
pemantauan Guru Kanan Mata pelajaran. Beberapa insentif berupa hadiah dan sijil
penghargaan disediakan bagi membangkitkan semangat bekerja dan menghidupkan naluri
suka bersaing sesama sendiri dalam kumpulan. Saya akan mewajibkan setiap kumpulan
menamakan taman masing-masing mengikut kreativiti dan persepsi sendiri. Akhirnya
terciptalah pelbagai papan tanda nama-nama seperti Taman Semarak Jingga, Jambangan
Sejambak Budi, Wakaf Setulus Hati, Pinggiran Setia Kasih dan sebagainya. Pelbagai kempen
berkaitan perlu dijadikan rutin dan dibudayakan seperti Budaya Sifar Sampah dan Lestarikan
Bumi Kita. Selain itu, menulis dan mempamerkan kata-kata hikmah akan saya jadikan sebagai
salah satu agenda untuk menceriakan prasarana sekolah. Bagi saya ungkapan kata daripada
sapuan berus dan cat, tampalan kepingan polisterin berbentuk huruf, banner dan bunting
merupakan mekanisme yang amat relevan dan berkesan kerana berupaya menerapkan
perasaan kasih dan sayang dalam diri setiap warga sekolah. Perkara ini seakan-akan menjadi
penasihat paling setia yang tidak pernah tidur, jemu atau leka dalam memberikan nasihat dan
bimbingan. Oleh yang demikian semua kemudahan pendidikan yang berada di persekitaran
perlu saya optimumkan sebaik mungkin dengan pelbagai cara.

Komunikasi berkesan dalam pengurusan sangat penting agar kita dapat melahirkan
pengurusan yang cekap, berkesan dan berinovasi. Sebagai pemimpin saya akan menerapkan
budaya kekeluargaan untuk kami bekerja di bawah satu bumbung. Hubungan erat dan saling
memahami dan berkasih sayang sebagai sebuah keluarga perlu saya zahirkan dengan sikap
ambil tahu dan bersedia menerima kekurangan dan kelebihan orang lain. Di sinilah KEBIRUS
atau Kelab Bilik Guru dan Staf perlu saya bugarkan. Pelbagai program berbentuk
kekeluargaan perlu dijadikan rutin seperti Hari Keluarga agar kami saling mengenali di antara
satu sama lain. Setiap ahli organisasi dan warga sekolah perlu saya layan sewajarnya sebagai
manusia. Sikap suka mengherdik, memalukan di khalayak dan menegur secara terbuka perlu
saya elakkan sama sekali agar maruah mereka terpelihara. Jika mereka rasa dihargai dan
hubungan erat telah terjalin maka orang di bawah saya mudah untuk ditegur dan dibentuk. Ini
akan membantu saya untuk mewujudkan pengurusan yang cekap dan teratur. Suasana
tenang dan saling menyokong dalam kalangan keluarga juga akan berjaya melahirkan ahli
yang berfikiran terbuka, kreatif dan bekerja dengan hati yang ikhlas.

Ceria, periang dan memiliki unsur-unsur kecindan juga adalah salah satu akhlak terpuji
yang wajib ada pada seorang guru terutama pemimpin. Sebagai pemimpin saya perlu
mempamerkan suasana yang selesa dan seronok apabila berdampingan dengan sesiapa
sahaja. Perbuatan bertegur sapa mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan akhlak
yang mulia dan terpuji. Ungkapan dan kalimat yang mesra walaupun hanya bertanya khabar
dan soalan-soalan yang biasa wajar menjadi interaksi rutin bagi membayangkan kepada
warga pimpinan saya betapa bahagia, erat dan utuhnya pertautan hati serta talian silaturahim
saya dengan mereka. Sebagai pemimpin juga saya haruslah bermotivasi iaitu memiliki
semangat dan cita-cita yang kental untuk memajukan diri selaras dengan tuntutan era

118

globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini. Pada masa yang sama saya juga haruslah sering
memotivasikan iaitu mampu memberi dorongan, galakan dan semangat untuk orang di bawah
pimpinan saya melakukan perubahan.

Perkongsiaan pintar dengan pelbagai pihak akan membantu saya untuk
membangunkan sekolah dengan lebih efisien dan berkesan. Ini bertepatan dengan langkah
Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah mengiktiraf peranan agensi luar dalam
membantu sektor pendidikan khususnya dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi
(TMK) sejak tahun 2000. Ini bermula apabila sistem pendidikan negara terlibat secara
langsung dalam usaha melahirkan dan membekalkan tenaga manusia yang mempunyai
kemahiran dalam bidang TMK. Usaha KPM mewujudkan makmal komputer di seluruh negara,
memperkenalkan subjek Sains Komputer dan memperkenalkan Aplikasi Sekolah Bestari
pada tahun yang sama turut mendorong minat sektor lain untuk membantu kementerian.
Penglibatan syarikat swasta dalam sektor pendidikan khususnya semakin serius apabila
kerajaan sendiri menggalakkan perkongsian bersama khususnya dalam bidang-bidang yang
mempunyai kepakaran tinggi.

Oleh yang demikian saya akan memanfaatkan mana-mana syarikat swasta dan
jabatan-jabatan kerajaan yang berada di persekitaran sekolah saya untuk menyumbang dan
membantu ke arah pembangunan dan kelestarian sekolah. Pelbagai program akan saya
rancang termasuklah berkaitan perkakasan, perisian, latihan TMK, sekolah angkat, aplikasi
dan penyelesaian sistem pengurusan. Sebagai pemimpin saya harus memandang jalinan dan
jaringan ini sebagai satu indikator yang positif ke arah memantapkan pendidikan negara dan
menjadikannya sebagai kerjasama pintar (smart partnership) dalam pendidikan. Sehubungan
dengan ini, hubungan yang erat antara sekolah saya dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) dan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti serta Sektor Swasta (PIBKs) perlulah dijadikan
antara agenda utama dalam pengurusan saya. Pelbagai aktiviti secara usaha sama antara
pihak sekolah dan agensi luar akan membantu saya dan barisan pentadbir meneruskan
aktiviti pembangunan sekolah.

Kemenjadian murid dengan melahirkan modal insan yang berkualiti merupakan
matlamat utama pengoperasian sesebuah sekolah. Kemenjadian murid boleh dibina melalui
pembelajaran bermakna. Dalam erti kata lain, pembelajaran bermakna boleh memberi impak
kepada kemenjadian murid. Di dalam konsep ini peperiksaan bukan lagi menjadi elemen
utama sebaliknya pihak sekolah perlu menjalankan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
yang merupakan perkara penting dalam pelaksanaan kurikulum standard. Sebagai pemimpin
dan penggerak utama saya perlu memastikan semua guru memahami dan mendalami isi
kandungan subjek yang diajar dengan merujuk kepada Dokumen Standard Kurikulum
Pendidikan (DSKP). Ini kerana tanpa kejelasan dan kefahaman tersebut guru tidak dapat
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan kapasiti pedagogi yang berkesan.
Dengan pemahaman tersebut pelaksanaan pentaksiran juga dapat dilaksanakan dengan
baik, berkesan dan lebih berstruktur.

Bagi mencapai visi kemenjadian murid ini pelbagai cabaran perlu dihadapi dan
ditangani bersama-sama. Sebagai pemimpin, saya haruslah memastikan sekolah saya
berperanan aktif dalam mencorakkan perkembangan nilai yang baik supaya kehidupan yang
bermoral dan beretika dapat dipertahankan. Dengan berlakunya pelbagai perkembangan
baru seperti globalisasi, liberalisasi maklumat, ledakan ilmu pengetahuan melalui digital dan
multimedia, pengaruh nilai baru dan nilai-nilai buruk terhadap kehidupan yang memusnahkan
amat sukar ditangkis. Kehancuran sistem nilai masyarakat menjadikan masyarakat semakin
hilang pedoman dan hala tuju. Di sinilah pentingnya peranan pengetua sebagai pemimpin.
Pengetua harus bijak merancang visi dan misi dengan jelas agar dapat dilaksanakan
bersama-sama antara semua warga sekolah. Jalan menuju kejayaan perlu dirancang dengan

119

teliti dan kejayaan yang diraih perlu dikongsi dan dirai bersama-sama. Bagi saya
pembudayaan headcount dalam semua unit perlu diamalkan baik di bidang akademik, Hal
Ehwal Murid dan Kokurikulum. Setiap Guru Penolong Kanan perlulah jelas dengan apa yang
perlu mereka capai mengikut bidang masing-masing dan perlu dikongsi bersama-sama warga
sekolah melalui pelbagai media seperti Facebook, channel sekolah dan bunting di
persekitaran sekolah. Perkongsian yang mantap akan memudahkan semua warga sekolah
bergerak dan berjalan seiring dengan meminimumkan isu yang boleh melambatkan
pendakian ke puncak kejayaan.

RUMUSAN

Kepimpinan itu bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya ialah tanggungjawab yang cukup
getir. Kepimpinan bukan satu kelebihan atau kemegahan tetapi satu pengorbanan.
Kepimpinan juga bukannya kesenangan dan kemewahan tetapi kerja keras dan usaha
bersungguh-sungguh. Tambahan lagi, kepimpinan bukan tindakan secara semberono dan
membuta tuli tetapi tindakan penuh strategi dan perancangan. Pendek kata kepimpinan ialah
wadah pembangunan, kemajuan, kesejahteraan dan kebahagian di dunia serta akhirat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud pemimpin yang menguasai urusan kaum
muslimin tetapi tidak bersungguh-sungguh memerhati kepentingan kaumnya, tidak nasihat-
menasihati demi kebaikan dan kesejahteraan mereka, kelak ia tidak dapat masuk syurga
bersama-sama mereka (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim). Demikianlah betapa besar dan
beratnya tanggungjawab seorang pemimpin yang diamanahkan oleh Allah SWT. Pemimpin
yang baik ialah pemimpin yang sentiasa ingin berkhidmat dan berkorban demi kebahagiaan
orang yang dipimpinnya dan tidak sekali-kali mengutamakan kepentingan diri serta
keluarganya.

Oleh yang demikian kita perlu bersedia untuk menjadi pemimpin yang berkualiti. Kualiti
kepimpinan perlu dibina dan kredibiliti adalah tulang belakang kepada pembinaan kualiti
pemimpin. Faktor-faktor membina kredibiliti ialah akhlak, keilmuan, penampilan dan ketulusan
seseorang. Pembinaan kredibiliti yang berkesan adalah tidak mustahil walaupun kadangkala
mengambil masa yang lama. Melalui penulisan ini secara tidak langsung saya juga cuba
membina kredibiliti selain sifat semulajadi saya mudah tersenyum dan mesra. Melalui ciri
pemimpin dan cita-cita yang saya garapkan saya boleh membuat kesimpulan kredibiliti
pemimpin dan ketua ada pada orang bawahannya. Kredibiliti pemimpin ialah kepercayaan
orang bawahan kepadanya dan sejauh mana mereka menghormati dirinya. Pemimpin akan
dipercayai jika mereka memiliki pengetahuan, pengalaman, kepakaran, kemahiran dan
kejujuran. Pemimpin perlu bersikap terbuka pada kata-kata, pendapat dan nasihat di samping
bijak mencari persamaan bagi membentuk persetujuan yang sama. Pengalaman selama
hampir 25 tahun akan saya manfaatkan untuk menjadi pemimpin terbaik. Ciri-ciri pemimpin
berkesan seperti bersemangat, berintegriti, sentiasa memotivasikan, berkeyakinan, berilmu
dan fleksibiliti akan saya adun sebaik mungkin dalam diri bersama rencah pengalaman yang
mendewasakan. Memimpin ialah amanah dan amanah perlu dilunaskan dengan kejujuran
dan keikhlasan. Semuanya pasti akan saya laksanakan dengan senyuman dan hati yang
terbuka.

RUJUKAN

Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2008).Bakat dan Kemahiran Memimpin: Panduan untuk
Pemimpin Meningkatkan Prestasi. PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.1-6

Abdullah Sani Yahya (2003).Mengurus Sekolah. PTS Publication & Distributors Sdn Bhd.
Abd Rahim Abd Rashid (2001).Nilai-Nilai Murni Dalam Pendidikan: Menghadapi Perubahan

120

dan Cabaran Alaf Baru. Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. 12-27
Fadzilah Kamsah & Ahmad Naim Jaafar (2009). Kunci Menjadi Individu Berkredibilit: Faktor

Mengapa Orang Percaya Kepada Kita. PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. 82-92
Fadzilah Kamsah & Ahmad Fadzli Yusof (2009).55 Petua kerja Berpasukan: Mahirkan Diri

Kita Bagaimana hendak Bekerjasama dengan Orang Lain. PTS Publication &
Distributors Sdn.Bhd.
Zainal Bujang & Mohd. Puzhi Usop (2006).Guru Bestari Pelajar Jauhari. al-Hidayah
Publication.

121

KETEKALAN DIREALISASIKAN

Afizah binti Mohd Ali
SMK LKTP Pemanis, Segamat, Johor

PENGENALAN

Ketekalan direalisasikan diinspirasikan daripada cinta yang mendalam dalam mata
pelajaran Prinsip Perakaunan yang telah diajar selama 28 tahun. Lantaran itu, perkara ini
perlu diabadikan sebagai satu memori terindah dalam kanvas perjalanan sebagai seorang
pendidik. Ketekalan direalisasikan merupakan gabungan dua (2) tajuk yang terkandung
dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) mata pelajaran Prinsip
Perakaunan tingkatan empat (4) dan lima (5).

“Ketekalan merupakan satu prinsip untuk memastikan wujudnya konsistensi
dalam prosedur perakaunan yang digunakan oleh entiti perniagaan dari satu
tempoh perakaunan ke tempoh perakaunan yang lain”.

(Tim & Iswani, 2016, p. 23)

Manakala realisasi merupakan satu akaun diguna pakai untuk menentukan sama ada
memperoleh keuntungan atau kerugian dalam transaksi pembubaran perniagaan
perkongsian.

Dalam konteks penulisan ini, Ketekalan direalisasikan menghubungkan prinsip kerja
seorang pemimpin dengan hasil kerja yang bakal diperoleh. Seorang pemimpin perlu
mempunyai satu prinsip kerja yang konsisten dalam membina dan memimpin hala tuju
organisasinya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Dalam proses kerjanya, pasti
melibatkan pelbagai perkara seperti untuk membuat keputusan. Keputusan yang diambil
mestilah berlandaskan panduan yang digariskan dalam bidang tugasnya. Keputusan yang
diambil mungkin melibatkan beberapa pilihan. Sebelum keputusan muktamad diambil,
beberapa pandangan harus diterima daripada beberapa pihak kerana ada kalanya keputusan
itu memberikan keuntungan atau kerugian kepada organisasi bergantung kepada situasi. Apa
jua situasinya, seorang pemimpin itu harus bersedia bertanggungjawab atas keputusan yang
telah diambil. Beliau harus terus sabar dan cekal menghadapi segala cabaran, berusaha
mengatasinya tanpa mengenal erti penat, tidak mudah menyerah kalah kepada persekitaran
dan sentiasa mencari alternatif yang terbaik ke arah mencapai Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Di penghujung perjalanan, matlamat menjadikan sekolah berkualiti dan
kemenjadian murid dapat direalisasikan. Melalui penulisan ini, dengan pengalaman yang ada
dalam bidang pendidikan, saya membicarakan seorang pemimpin itu perlu mempunyai
prinsip yang seharusnya tekal dalam mendepani isu dan cabaran sepanjang menjalankan
amanah yang diberi dan merealisasikan segala perancangan agar hala tuju yang ditetapkan
dapat memberi manfaat khasnya kepada semua warga sekolah dan amnya kepada
masyarakat.

122

PENGALAMAN LEPAS

Bukan semua orang mengimpikan untuk memegang jawatan dalam perjalanan kariernya.
Begitu juga dengan saya yang tidak pernah meletakkan sebarang impian untuk memegang
sebarang jawatan dari saat awal pembabitan dalam bidang pendidikan, pada tahun 1992 di
Sekolah Tinggi Segamat sehinggalah sekarang. Harapan saya hanya untuk membuka minda
anak-anak didik saya terutamanya anak-anak Melayu berkaitan bidang perakaunan.
Alhamdulillah, saya sangat berpuas hati dengan penglibatan dan pencapaian anak-anak didik
saya dalam bidang perakaunan setakat ini.

Namun begitu setelah 14 tahun berkhidmat, pada 16 Mac 2006, saya telah dilantik
sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) Teknik dan Vokasional di sekolah yang sama.
Pelbagai alasan diberi agar tidak dilantik, namun pihak Pejabat Pendidikan Daerah hanya
mengatakan sekiranya surat telah dikeluarkan penolakan tidak boleh dibuat. Dengan hati
yang berat, saya menerima dan menggalas amanah yang diberi. Dua (2) tahun selepas itu,
berbekalkan amanah yang sama dengan tambahan satu (1) lagi amanah iaitu untuk
memastikan kecemerlangan mata pelajaran Prinsip Perakaunan, saya dipindahkan ke SMK
Seri Kenangan, Segamat. Memandangkan saya merupakan seorang sahaja tenaga pengajar
bagi mata pelajaran Prinsip Perakaunan dan pihak sekolah dilantik sebagai Jawatankuasa
Kurikulum Daerah bagi mata pelajaran ini, saya juga menjalankan amanah sebagai
Setiausaha Jawatankuasa Kurikulum Daerah. Dalam tahun 2012, apabila sekolah saya
dicalonkan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, saya dan rakan-rakan mencari
maklumat untuk tujuan pencalonan tersebut. Bermula dari sini, saya menyedari betapa
pentingnya semua sijil kejayaan warga sekolah perlu dibuat salinan dan disimpan oleh pihak
sekolah. Syukur alhamdulillah, pada tahun 2013, sekolah kami berjaya terpilih sebagai
Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK).

Pada 1 Januari 2013, saya telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK)
Kokurikulum di sekolah yang sama. Dalam majlis watikah pelantikan Guru-guru Penolong
Kanan Negeri Johor yang diadakan di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Tuan Pengarah
Pendidikan Negeri ketika itu telah berkata semua yang dilantik adalah orang yang profesional.
Sebagai seorang yang profesional, mereka mudah memahami dan menerima tanpa arahan
berulang kali. Oleh itu, beliau tidak mahu menerima sebarang penolakan daripada mana-
mana GPK yang telah dilantik. Maka sekali lagi saya tidak mampu menolak jawatan ini dan
akur dengan pelantikan ini. Disebabkan kekosongan jawatan GPK Kokurikulum di sekolah
selama setahun sebelumnya, saya telah banyak menjalankan kerja pengurusan kokurikulum
di samping tugas sebagai GKMP Teknik dan Vokasional. Saya menjalankan amanah sebagai
GPK Kokurikulum selama enam (6) tahun. Ketika memegang jawatan ini, satu ilmu baharu
yang dipelajari iaitu penerapan elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam
pengurusan kokurikulum. Saya dan rakan sekerja telah menghadiri beberapa siri taklimat
berkaitan dengan perkara ini. Satu kumpulan Jemaah Nazir telah hadir ke sekolah untuk
membuat pemantauan dan akhirnya sekolah kami dinobatkan sebagai sebuah sekolah rintis
KBAT dalam negeri Johor.

Selepas GPK Pentadbiran bersara, saya telah dilantik untuk mengisi kekosongan
tersebut pada 15 September 2019. Belumpun sampai setahun memegang jawatan tersebut
di sekolah yang sama, atas pertukaran setara, saya telah diarahkan berpindah ke sekolah
sekarang, SMK LKTP Pemanis, Segamat walaupun tiada mata pelajaran kepakaran saya
ditawarkan di sini.

Sepanjang menjalankan amanah sebagai GKMP Teknik dan Vokasional dan GPK
Kokurikulum, banyak penglibatan dan pencapaian yang telah dikecapi. Syukur alhamdulillah,
saya telah dibantu oleh satu pasukan yang mantap sama ada dalam bidang kurikulum atau

123

kokurikulum. Dalam bidang kurikulum, banyak kejayaan dicapai terutamanya dalam mata
pelajaran Prinsip Perakaunan. Dalam bidang kokurikulum pula, kami bersama-sama berjaya
mewujudkan Galeri Kokurikulum, Anjung Kokurikulum dan Bilik Pengurusan Kokurikulum dan
ini dijadikan sebagai penandaarasan bagi sekolah-sekolah lain. Banyak kejayaan yang
diperoleh dalam bidang kokurikulum terutamanya sukan dan inovasi sehingga di peringkat
antarabangsa. Semua kejayaan ini banyak membantu saya dan pihak sekolah dianugerahkan
sebagai Johan Kategori SKK dan Naib Johan Kategori Individu Pengurusan Sekolah
Cemerlang Kokurikulum sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pembangunan Bakat
Murid Peringkat Negeri Johor 2019. Di samping itu, saya juga telah mendapat Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) iaitu pada tahun 2002, 2012 dan 2016.

Saya selalu berpegang kepada prinsip dalam menjalankan amanah yang diberikan,
jangan mengharapkan pujian dan penghargaan. Buatlah kerja dengan ikhlas dan sebaik yang
mungkin. Dengan izin Allah SWT, penghargaan akan datang dengan sendirinya. Perkara
yang sama saya titipkan kepada anak-anak didik dan rakan sekerja saya.

PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN

Pemimpin pendidikan merupakan entiti barisan hadapan yang mempunyai akauntabiliti
menjadikan institusi pendidikan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. Oleh itu,
seseorang pemimpin itu perlulah memiliki beberapa ciri kepimpinan.

Ciri pertama ialah seorang pemimpin perlulah mempunyai kemahiran komunikasi yang
berkesan. Ini membantu bagi mewujudkan suasana yang harmonis dan kondusif dalam
organisasi untuk mencapai kecemerlangan.

“Amalan komunikasi berkesan adalah signifikan dalam sesebuah organisasi
untuk menghasilkan fungsi asas berkesan.Komunikasi adalah asas kepada
perancangan. Semua informasi yang penting haruslah disampaikan kepada
pengurus yang bertanggungjawab memberi respon terhadap perancangan
(Planning) dan pelaksanaan. Pengurus kemudiannya menyelaras
(Organising), mengetuai (Leading) subordinatnya dengan komunikasi
berkesan untuk mencapai sasaran berpasukan. Kawalan (Controlling) adalah
mustahil dilakukan tanpa komunikasi lisan dan bertulis”.

(Rozali & Mohd Nizar, 2016, p.118)

Sebagai pemimpin, beliau harus mampu menyatupadukan visi dan misi sekolah dan
menyampaikannya dengan bahasa yang mudah difahami oleh semua warga sekolah tanpa
mengabaikan komunikasi dua hala. Dengan itu, semua warga sekolah dapat memahami hala
tuju sekolah ke mana mereka akan dibawa dan bagaimana untuk mencapainya. Pada masa
yang sama beliau dapat menanamkan nilai akauntabiliti dalam setiap warga sekolah.
Natijahnya, mudah bagi beliau mempengaruhi mereka untuk merealisasikan visi dan misi
sekolah. Tanpa komunikasi yang berkesan, matlamat yang ingin dicapai akan gagal kerana
berlakunya kecelaruan.

Ciri kedua ialah seorang pemimpin perlu sentiasa meletakkan murid sebagai fokus
utama. Murid-murid merupakan aset utama kepada sekolah dan merupakan cerminan
terhadap imej sekolah. Dalam mencapai matlamat kemenjadian murid, sebagai pemimpin
perlu sentiasa percaya bahawa setiap murid mampu dibimbing dan diberikan motivasi untuk
meningkatkan keupayaan masing-masing dalam pelbagai bidang. Contohnya, jika berlaku
salah laku disiplin, mereka tidak terus dipersalahkan. Sebaliknya, mereka perlu ditegur
dengan penuh hikmah supaya kesalahan yang sama tidak berulang.

124

Di samping itu, beliau perlu mengambil cakna latar belakang anak-anak muridnya.
Sekaligus ini memudahkan beliau menyantuni mereka dengan menyalurkan bantuan dan
mencari jalan penyelesaian jika ada dalam kalangan mereka menghadapi sebarang masalah.
Selain itu, demi meletakkan murid sebagai fokus utama, beliau seharusnya mempertahankan
guru-guru berpengalaman terutamanya guru-guru yang terlibat dalam penandaan kertas
peperiksaan supaya tidak dipindahkan ke sekolah lain. Guru-guru sedemikian bukan sahaja
merupakan aset yang sangat berharga kepada sekolah, malah mereka juga dapat membantu
murid-murid mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan menjaga imej serta prestasi
sekolah.

Ciri ketiga ialah seorang pemimpin harus berperanan sebagai role model bagi warga
sekolah. Beliau perlu mempunyai keperibadian yang tinggi dan positif dari segi keilmuan dan
kepakaran. Dengan itu, beliau berupaya menjadi contoh kepada warga sekolah dan ini
memudahkan beliau untuk melaksanakan coaching dan mentoring iaitu membimbing warga
sekolah ke arah mencapai hala tuju sekolah, menguruskan sumber manusia iaitu
mengagihkan tugas mengikut kepakaran yang sedia ada, melaksanakan perubahan iaitu
membuat penambahbaikan ke atas sistem sekolah sedia ada dan mengurangkan jurang
antara pentadbir dan warga sekolah iaitu melancarkan urusan pentadbiran sekolah.

Sebagai role model juga, kebajikan dan kehendak warga sekolah perlu sentiasa
diambil cakna oleh beliau. Beliau tidak boleh mengambil sikap pilih kasih dalam kalangan
warga sekolah. Mereka perlu dilayan secara adil. Implikasinya, rasa tertekan tidak timbul
dalam kalangan warga sekolah yang boleh menyebabkan mereka hilang tumpuan dalam
kerja, burnout dan tidak mempunyai sikap kerja sepasukan. Jika berlaku perkara ini sangat
merugikan sekolah itu sendiri.
.

Ciri keempat ialah seorang pemimpin perlulah bekerja mengikut data dan maklumat
yang relevan demi kemajuan sekolah. Setiap data dan maklumat yang diperoleh semestinya
perlu diteliti terlebih dahulu untuk memastikan kesahihannya. Perkara ini kemudiannya
dibengkelkan bersama guru-guru lain. Semasa perbengkelan, beliau seharusnya bersifat
terbuka dan memberi peluang kepada guru-guru lain untuk mengutarakan idea mereka dan
membuat keputusan bersama. Keputusan yang dibuat lebih rasional dan tidak mengikut
emosi. Seterusnya tindakan yang terbaik dapat diambil dan membolehkan perancangan
sekolah dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Pengetua haruslah bersikap positif dengan memberi peluang kepada semua
guru terlibat dalam membuat keputusan dan bukan hanya diberikan kepada
penolong kanan sahaja semasa ketiadaannya. Anjakan paradigma ini perlu
supaya keputusan di sekolah tidak terikat kepada sifat arahan dan autoriti
sebaliknya kepada perbincangandan delegasi tugas”.

(Azman, 2011, p.156)

Ciri kelima ialah seorang pemimpin perlu mempunyai pegangan agama yang kuat.
Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar sekarang ini, beliau perlu sentiasa bersiap
siaga dalam apa pun situasi. Berbekalkan pegangan agama yang kuat ini, beliau mampu
menangani sebarang isu yang timbul dengan lebih sabar dan tenang di samping menerapkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Beliau juga mampu mendidik warga sekolah untuk
mencetuskan suasana yang mendamaikan dengan sentiasa mendahului agama dalam segala
tindakan. Contohnya beliau boleh mengadakan bacaan Al-Mathurat setiap hari sebelum
memulakan sesi pembelajaran, menggalakkan murid menunaikan solat sunat duha pada
waktu rehat dan solat berjemaah sebelum pulang ke rumah setelah sesi pembelajaran tamat.
Tanpa disedari, beliau dapat mendidik warga sekolah untuk menjadi insan yang seimbang,
belajar untuk berjaya di dunia dan di akhirat.

125

JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Begitulah juga seorang
pemimpin perlu cekal berusaha mengatasi apa sahaja cabaran mendatang untuk mencapai
hala tuju organisasi. Berikut merupakan cabaran-cabaran yang mungkin dihadapi oleh beliau.

Cabaran pertama ialah kebanyakan murid mempunyai motivasi yang rendah.
Persekitaran yang kurang membantu, tahap sosioekonomi keluarga yang rendah dan sistem
kekeluargaan yang sedikit pincang menyumbang kepada perkara ini. Kebanyakan murid tidak
mempunyai minat belajar dan semangat untuk mengubah taraf ekonomi keluarga mereka.
Murid pernah ditanya oleh seorang guru tentang cita-cita mereka. Mereka hanya menjawab
mereka hendak menjadi seperti datuk mereka. Pada waktu pagi, mereka pergi minum dan
bersembang di kedai kopi dan pada hujung bulan mereka akan dapat duit gaji. Mereka hadir
ke sekolah sekadar memenuhi rutin kehidupan sebagai seorang murid yang hadir ke sekolah
di sebelah pagi dan pulang ke rumah setelah sesi pembelajaran tamat.

Oleh yang demikian, pihak sekolah perlu menganjurkan program untuk memberi
kesedaran tentang kepentingan belajar seperti program motivasi. Program ini perlu diadakan
secara berkala kepada semua murid tanpa mengira tingkatan. Kesedaran harus dipupuk
seawal mereka berada dalam tingkatan satu lagi dan berterusan sehinggalah mereka berada
dalam tingkatan lima. Program motivasi ini perlulah berbeza-beza mengikut tahap mereka. Di
samping itu, sesi kaunseling secara individu atau kelompok juga perlu diadakan bagi memberi
motivasi secara berfokus.

Cabaran kedua ialah kemahiran memimpin yang rendah dalam kalangan guru.Tidak
dinafikan guru-guru mempunyai komitmen dan kompetensi yang tinggi dalam melaksanakan
tugasnya. Mereka sentiasa terbuka menerima arahan dan bekerjasama sekiranya diarahkan
untuk melengkapkan sesuatu tugasan. Namun mereka kurang yakin untuk memberi arahan
kepada rakan sekerja yang lain. Sebaliknya mereka banyak bergantung kepada pihak
pentadbir untuk mengeluarkan arahan.

Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan semestinya menuntut perubahan sikap
dalam kalangan guru. Bagi mengatasi perkara ini, pihak sekolah boleh mengadakan beberapa
siri bengkel kepimpinan seperti Team Building Camp dan Leadership Camp untuk membina
keyakinan diri, menyerlahkan potensi diri dan menggilap bakat kepimpinan guru-guru.
Bengkel ini boleh diadakan di luar sekolah bagi memberikan aura yang berbeza. Pihak
sekolah juga perlu memberi keyakinan kepada mereka untuk memberikan arahan kepada
rakan sekerja tetapi dalam makluman pihak pentadbir.

Cabaran ketiga ialah persekitaran dalam sekolah yang kurang bermaklumat. Secara
fizikal, sekolah dilengkapi dengan beberapa blok akademik dan pentadbiran serta landskap
yang tersusun mengikut tema. Namun sayang sekali tidak banyak maklumat dipamerkan di
tempat berkenaan bagi memberikan maklumat berguna kepada warga sekolah dan sesiapa
sahaja yang hadir melawat sekolah. Di samping warna cat yang sedia ada juga telah luntur,
keadaan sebegini mengurangkan keceriaan persekitaran sekolah.

Perkara ini boleh diatasi dengan cara mengagihkan pengurusan blok sekolah
mengikut empat (4) bidang mata pelajaran. GKMP mengetuai bidang masing-masing,
berbincang dengan guru-guru di bawah kelolaannya mencari jalan bagaimana untuk
menjadikan persekitaran sekolah bermaklumat dan bermakna. Setiap blok boleh dilengkapi
maklumat mengikut bidang masing-masing dengan kepelbagaian persembahan. Mereka
boleh merancang dan melaksanakannya secara berperingkat sehinggalah mencapai sasaran.

126

Cabaran keempat ialah sumber kewangan sekolah yang terhad. Walaupun sekolah ini
merupakan sekolah gred A, bilangan murid yang ada hanya lebih kurang 250 orang sahaja.
Mereka merupakan generasi ketiga Felda. Memandangkan bilangan murid yang sedikit,
peruntukan yang diterima oleh pihak sekolah juga sedikit dan tidak mencukupi untuk
menampung kos perbelanjaan pengurusan sekolah. Tambahan pula sekolah sudah agak
lama, banyak kemudahan sudah usang dan rosak serta perlukan penggantian.

Selain daripada membuat laporan bergambar setiap bulan dalam sistem EMIS-KPM,
pihak sekolah juga perlu mencari sumber lain untuk menampung perbelanjaan
pengurusannya. Kerjasama yang baik dengan komuniti luar perlu dijalinkan bagi
memudahkan permohonan bantuan disalurkan kepada pihak sekolah. Bantuan yang
disalurkan boleh berbentuk sama ada wang ringgit atau khidmat bakti secara percuma.

Cabaran kelima ialah kompetensi diri. Dunia pendidikan berubah selari dengan
perkembangan semasa di mana pengetahuan teknologi maklumat sangat diperlukan untuk
mengakses informasi. Saya yang dilahirkan dalam tahun 60-an menerima hakikat bahawa
kompetensi dalam penggunaan teknologi maklumat memang agak terhad. Kompetensi diri
turut melibatkan kurangnya ilmu dalam pengurusan. Perkara ini sedikit sebanyak memberi
tekanan dalam melaksanakan tugasan.

Namun begitu, saya tidak boleh menyerah dengan begitu mudah dan perlu menyahut
cabaran ini. Saya mesti mencari jalan untuk belajar melalui mana-mana medium yang relevan.
Saya perlu berlapang dada dan tidak boleh malu bertanya walaupun daripada mereka yang
jauh lebih muda dari saya kerana ilmu itu tidak pernah meletakkan had usia. Perkataan
‘Mungkin’ perlu ditolak tepi dan ‘Aku Boleh’ mesti sentiasa di hati.

SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN

Perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah. Matlamat mencapai sekolah berkualiti dan
kemenjadian murid memerlukan perancangan berkesan bermula dari langkah yang pertama.
Perancangan dirangka setelah mengambil kira faktor-faktor seperti kekuatan, kelemahan,
peluang dan ancaman yang ada. Berikut adalah antara perancangan yang boleh
dilaksanakan.

Perancangan pertama ialah membudayakan kerja sepasukan. Kerja sepasukan
bermakna semua warga sekolah dapat bekerja bersama-sama dengan memberi sumbangan
sama ada secara fizikal atau mental untuk mencapai hala tuju sekolah. Pembudayaan kerja
sepasukan mewujudkan suasana kerja yang positif dan harmonis. Warga sekolah dapat
bekerjasama, berkolaboratif, berkomunikasi dan berkongsi motivasi dalam kalangan mereka.
Hal ini memudahkan perkongsian ilmu dibuat dan hasil kerja akan menjadi lebih berkualiti.

“Bekerja sebagai satu pasukan juga memungkinkan perkembangan ilmu
pengetahuan. Nilai sesuatu ilmu meningkat dan berkembang apabila
dikongsikan”.

(Abd Ghafar, 2011, p. 58)

Apabila kerja sepasukan dibudayakan, pemimpin sekolah yang berpegang kepada
prinsip sebagai role model akan lebih mudah menguruskan sumber manusia secara efektif
dan membimbing semua warga sekolah ke arah mencapai hala tuju. Sumber manusia yang
ada dapat digemblengkan mengikut kepakaran masing-masing secara adil. Tidak akan timbul
persoalan pilih kasih atau hanya orang tertentu sahaja yang perlu menyiapkan semua perkara.
Semua warga sekolah perlu diberikan peranan masing-masing dan sentiasa melengkapi

127

antara satu sama lain. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Maka mereka akan rasa
dihargai, diperlukan dan tidak terasa dipinggirkan.

Pada masa yang sama kepimpinan guru dapat ditingkatkan. Potensi diri mereka dapat
digilap melalui kepercayaan dan peluang untuk memimpin sesuatu projek. Keyakinan dan
keberanian diri dalam membuat keputusan dapat dibina dan belajar memberi arahan kepada
yang lain secara berhikmah. Kebersamaan ini mampu menghasilkan implikasi yang baik
kepada sekolah di mana sekolah dapat merealisasikan matlamatnya dan semua warga
sekolah dapat merasai kemanisan bersama .

Perancangan kedua ialah menggalakkan persekitaran yang menyeronokkan dan
bermakna. Persekitaran yang menyeronokkan dan bermakna dapat menarik minat murid
untuk hadir ke sekolah. Persekitaran merujuk kepada suasana dalam dan luar bilik darjah
seperti bilik-bilik khas dan laluan-laluan dalam sekolah. Suasana dalam bilik darjah akan lebih
menarik jika dilengkapi dengan perabot berkondisi baik dan secukupnya serta disusun dengan
kemas dan teratur. Papan kenyataan pula sentiasa dikemaskini dengan maklumat mata
pelajaran terkini dan hasil kerja murid dipamerkan. Penggunaan kit Pembelajaran Abad Ke-
21 (PAK-21) seperti tajuk, objektif, kriteria kejayaan, lot parkir dan papan ganjaran boleh
membantu iklim pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan. Manakala di luar bilik
darjah pula papan kenyataan, laluan-laluan dan dinding premis sekolah boleh dilengkapi
dengan bunting atau papan tanda yang diisi dengan kata-kata hikmat sebagai motivasi,
maklumat program sekolah yang dijalankan dan maklumat kejayaan murid dari segi
kurikulum, sahsiah dan kokurikulum. Persekitaran bermaklumat bukan sahaja boleh menjana
minda anak-anak untuk meneroka ilmu pengetahuan dan pembinaan sahsiah ke arah yang
lebih baik, mantap dan berkualiti bahkan juga dapat menceriakan persekitaran sekolah.

Persekitaran bermaklumat ini dapat diwujudkan dengan kerjasama semua pihak.
Pemimpin sekolah dengan kemahiran komunikasi berkesan boleh menyusun langkah ke arah
ini dengan membentuk pemuafakatan dengan pihak dalaman sekolah dan komuniti.
Pemuafakatan dalaman, seperti yang dinyatakan sebelum ini, pemimpin sekolah boleh
menggerakkan GKMP untuk merealisasikan perancangan ini. Manakala melalui
pemuafakatan dengan komuniti luar pula, mereka boleh membantu pihak sekolah dari segi
melengkapkan infrastrukur dalam bilik darjah, memberi sumbangan keperluan peralatan dan
kemudahan sekolah serta memberi khidmat bakti untuk keceriaan sekolah. Justeru, hal ini
membawa kebaikan kepada warga sekolah itu sendiri. Para guru dan anggota sokongan akan
rasa bersemangat dan teruja untuk terus menabur khidmat bakti. Begitu juga dengan anak-
anak murid akan rasa seronok untuk terus hadir dan belajar.

Perancangan ketiga ialah membina jaringan dan jalinan dengan komuniti. Sekolah
yang mempunyai bilangan murid yang sedikit sudah pasti mendapat peruntukan kewangan
yang sedikit. Ini menimbulkan sedikit keperitan dalam pengurusan kewangannya.
Sehubungan itu, pihak sekolah perlu membina jaringan dan jalinan dengan komuniti luar untuk
membantunya mendapatkan sumber kewangan lain bagi menampung perbelanjaan
pengurusan dan aktiviti sekolah yang akhirnya dapat membantu dalam usaha kemenjadian
murid.

“Mantan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abdul Rafie Mahat pernah
menyatakan bahawa sekolah perlu mempunyai hubungan yang mantap dan
akrab dengan pihak luar dan komuniti kerana kejayaan sistem pendidikan
negara bergantung kepada sejauh mana ketiga-tiga elemen itu dapat berfungsi,
saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain. Sehubungan itu,
katanya pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama merapatkan
hubungan dengan komuniti melalui pelbagai cara selain menerusi PIBG”.

128

(Samian, 2011, p. 49)

Sebagai pemimpin sekolah, beliau perlu mengetahui jumlah peruntukan kewangan
yang diterima oleh pihak sekolah. Dengan kerjasama semua pemimpin pertengahan dan
dibantu oleh ketua panitia, anggaran belanja mengurus dapat dibuat. Berikutan itu, beliau
boleh merancang perbelanjaan pengurusan dan pembangunan sekolah. Berpegang kepada
prinsip untuk memajukan sekolah, beliau boleh bekerjasama dengan ahli jawatankuasa
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memohon sumbangan daripada pihak komuniti luar
seperti daripada pihak komuniti setempat, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri atau
Yang Berhormat Ahli Parlimen.

Segala perbelanjaan yang disalurkan ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk
pengurusan dan pembangunan sekolah. Kesannya, seluruh warga sekolah dapat menikmati
segala kemudahan dan perancangan sekolah berjalan lancar.

Perancangan keempat ialah membentuk pemimpin pelapis dalam kalangan murid.
Sekolah merupakan medan terbaik untuk mereka meneroka potensi yang ada pada diri
mereka. Mereka merupakan bakal pemimpin negara pada masa akan datang. Maka, sekolah
menjadi platform awal bagi mereka berlatih untuk menyerlahkan bakat kepimpinan.

Menjadikan murid sebagai fokus utama dan pada masa yang sama murid mempunyai
motivasi yang rendah, maka satu perancangan perlu diambil. Sebagai pemimpin perlu
merangka satu program untuk melatih murid menjadi pemimpin. Kepimpinan boleh diasah
bermula dengan kepimpinan dalam bilik darjah dan luar bilik darjah. Kepimpinan dalam bilik
darjah bukan sahaja mereka dilantik sebagai ketua, penolong, setiausaha, bendahari dan ahli
jawatankuasa kecil sahaja tetapi termasuklah mereka dilantik untuk mengetuai pengurusan
mata pelajaran yang mereka pelajari. Untuk meluaskan lagi bakat kepimpinan kelas ini, Majlis
Pemuafakatan Kelas boleh ditubuhkan dalam kalangan ketua-ketua kelas. Oleh itu, mereka
mempunyai lebih ruang untuk berbincang tentang pengurusan kelas. Sementara itu,
kepimpinan luar bilik darjah pula mereka boleh dilantik sebagai pengawas sekolah, pengawas
pusat sumber dan pemimpin badan kerohanian sekolah. Dalam kalangan mereka pula boleh
diwujudkan satu lagi badan kepimpinan iaitu Majlis Perwakilan Pelajar. Selain itu, mereka juga
boleh dilantik sebagai pemimpin kegiatan kokurikulum. Secara keseluruhannya banyak ruang
boleh digunakan untuk melatih murid untuk menjadi pemimpin.

Memegang prinsip untuk mencapai kemenjadian murid, maka sebagai seorang
pemimpin harus menyediakan ruang dan peluang agar murid sentiasa dapat mengikuti
program-program kepimpinan secara berkesan. Murid pula harus mengambil peluang yang
diberikan untuk belajar memimpin seawal dari zaman persekolahan. Program kepimpinan
sekolah yang telah dijalankan perlu selalu dinilai dan dibuat penambahbaikan bersesuaian
dengan situasi semasa. Jika program kepimpinan sekolah berjaya dilaksanakan, kemenjadian
murid pasti dapat direalisasikan.

Perancangan kelima ialah memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada warga
sekolah. Penghargaan dan pengiktirafan merupakan satu usaha untuk memberi
penghormatan atas segala usaha yang telah dilakukan oleh warga sekolah.

Penghargaan dan pengiktirafan ini merupakan satu bentuk komunikasi seorang
pemimpin kepada warga yang dipimpinnya. Komunikasi ini boleh diterjemahkan dalam
pelbagai bentuk sama ada secara lisan atau material seperti ucapan terima kasih, pemberian
hadiah, sijil dan imbuhan kewangan. Hatta jika ada guru atau anggota kumpulan pelaksana
yang berpindah tempat kerja, sekurang-kurangnya anugerahkanlah mereka sekeping sijil
yang menyatakan tempoh perkhidmatan mereka di tempat berkenaan. Ini menunjukkan

129

betapa perkhidmatan mereka amat dihargai selama ini. Penghargaan dan pengiktirafan
bertujuan untuk mengiktiraf segala pencapaian yang diperoleh oleh murid, guru dan anggota
kumpulan pelaksana dalam aspek kepimpinan, sahsiah dan perkhidmatan. Sijil-sijil
pencapaian mereka boleh dipamerkan di tempat yang bersesuaian seperti yang telah
dibincangkan di peringkat pengurusan sekolah. Ini akan memberikan motivasi kepada semua
warga sekolah untuk menjadi lebih inovatif dan produktif. Selain itu, perkara ini juga dapat
mengeratkan hubungan antara pemimpin dan warga sekolah.

Pengiktirafan dan penghargaan ini boleh disempurnakan sama ada dalam
perhimpunan rasmi sekolah, perhimpunan kokurikulum, majlis apresiasi sekolah atau majlis
makan malam tahunan. Selain itu, pengiktirafan dan penghargaan boleh dimuat naik dalam
media sosial rasmi sekolah seperti di laman Facebook atau instagram. Perkara ini dapat
disebar luas untuk pengetahuan masyarakat luar dan ini akan menambahkan lagi rasa bangga
dan semangat individu berkenaan untuk lebih berusaha dan berjaya.

“Berikan pengiktirafan dalam organisasi. Berilah apa saja pengiktirafan yang
diperlukan, jadikan pengiktirafan sebagai agenda tahunan. Beri seberapa
banyak pengiktirafan”.

(Kasim, 2011, p. 62)

Prinsip menghargai yang diamalkan oleh seorang pemimpin pasti memberikan hasil
yang luar biasa. Bak kata Hassan bin Topit, mantan Pengetua SMK Sains Muzaffar Syah
(MOZAC) 2013, “Betulkan yang biasa, jadikan luar biasa, yang luar biasa dibiasakan supaya
keputusannya nanti juga jadi luar biasa”. Hasil yang luar biasa pasti menjadikan sekolah
menjadi luar biasa hebatnya.

RUMUSAN

Pengalaman dalam beberapa unit bidang pendidikan banyak membantu dalam pengurusan
di peringkat sekolah. Sesungguhnya ciri-ciri kepimpinan tertentu perlu ada dalam setiap
individu yang hendak menjadi pemimpin. Seorang pemimpin tidak perlu menjadi orang lain
tetapi cukuplah menjadi dirinya sendiri kerana setiap orang mempunyai kelebihan masing-
masing. Kadang-kadang ciri kepimpinan ini ada dalam diri seseorang tanpa disedari, cuma
perlu dipupuk dan diserlahkan. Namun tidak semua orang secara sukarela menerima jawatan
yang dilantik. Mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan tanggungjawab dan
persekitaran yang baharu. Apa jua keadaannya, sama ada secara sukarela atau paksa rela,
seorang pemimpin perlu bersedia untuk belajar memimpin dan cekal menghadapi apa sahaja
cabaran sepanjang perjalanan sebagai seorang pemimpin. Segala perancangan perlu
difikirkan dan dibincang bersama dengan rakan sekerja yang lain sebelum dapat
dilaksanakan. Perancangan tidak perlu cantik dan menarik di atas kertas. Apa yang penting
ialah buktikan apa yang dirancang dan dikatakan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Walk the thoughts. Sebagai hamba Allah, seorang pemimpin mesti menjaga hubungan
dengan penciptanya agar aspek kerohanian tidak diabaikan. Ini mampu membantunya
mengurus tekanan dalam kerja. Ketekalan direalisasikan akan terus dijadikan pegangan untuk
meneruskan amanah memanusiakan manusia.

Prinsip bekerja yang berpaksikan mencari keredaan Sang Pencipta akan terus
dipelihara agar usaha sekolah berkualiti dan kemenjadian murid dapat direalisasikan.
Sesungguhnya kita hanya mampu merancang namun Allah adalah sebaik-baik perancang.
Semoga hidayah, kesabaran dan kecekalan sentiasa diberikan agar menjadi senjata untuk
terus meniti hari-hari menjalankan amanah sebagai seorang pemimpin. Salam realisasi untuk
semua.

130

RUJUKAN
Azman bin Adnan. (2011). Pembuatan Keputusan Patisipatif : Dati Keperluan Dalam

Menguruskan Organisasi Sekolah. Jurnal Pendidikan MPSM Johor Edisi Khas, 156.
Dato Abd. Ghafar Mahmud (2011). Haluan Kerja Pendidikan Merealisasikan Agenda

Transformasi Negara. Kajang, Selangor: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Haji Samian bin Sawiyo (2011). Inisiatif Pengetua Memajukan Sekolah Dengan

Pihak Luar. Jurnal Pendidikan MPSM Johor Edisi Khas, 49.
Hj Kasim bin Md Noah (2011). Tip ABC Pengurusan Sekolah. Segamat, Johor:

Syarikat Percetakan Segamat.
Rozali bin Jemali & Mohd Nizar (2016). Tiga Amalan Baik Pengetua – Satu Cadangan. Jurnal

Pendidikan MPSM Johor, 118.
Tim Ken Kiat & Iswani Hj Mohd Sanip (2016) Buku Teks Prinsip Perakaunan Tingkatan 4.

Cheras, Kuala Lumpur: Kreatif Kembara Sdn. Bhd.
Tuan Haji Hassan bin Topit. (2013, March 31) Betulkan yang biasa, betulkan yang

biasa. https://ohselasih.blogspot.com/2013/03/

131

CAKNA SEORANG PEMIMPIN

Rashid bin Jamian
SMK Lokman Hakim, Kota Tinggi, Johor

PENGENALAN

Seorang pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar bagi menerajui organisasi yang
dipimpinnya ke arah pencapaian matlamat yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi. Justeru
keperibadian yang dimiliki oleh seseorang pemimpin adalah sangat penting bagi memastikan
kepimpinannya disambut baik oleh ahli organisasi tersebut. Di sekolah, pengetua merupakan
individu tertinggi yang memimpin bagi menggerakkan pimpinannya selari dengan dasar-dasar
pendidikan negara.

Pengetua perlulah cakna dengan keperluan orang yang dipimpinnya. Berdasarkan
Kamus Dewan Edisi Keempat (2015), definisi bagi cakna adalah ambil peduli dan ambil berat.
Oleh yang demikian keperihatinan kepada keperluan warga sekolah daripada aspek
keperluan fizikal sekolah dan emosi guru perlu dititkberatkan.

Melalui penulisan ini saya akan kongsikan pengalaman saya sebagai seorang
pendidik dalam mendidik anak bangsa dan cabaran yang dihadapi sepanjang berkecimpung
dalam profesion perguruan ini. Ciri-ciri sebagai seorang pemimpin yang unggul turut
ditekankan agar dapat diterapkan kepada semua individu yang bakal bergelar pemimpin. Di
samping itu juga penulisan ini akan menjelaskan lima (5) pendekatan pengetua yang cakna
terhadap kepimpinannya bagi menerajui sekolah mencapai visi dan misi yang diharapkan.

Semoga hasil penulisan ini boleh dijadikan sebagai asas dan panduan untuk
melahirkan pemimpin yang cemerlang serta berkemahiran. Seterusnya mampu menyumbang
idea ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

PENGALAMAN LEPAS

Memulakan kerjaya sebagai pendidik pada tanggal 3 Julai 1995 di SMK Air Tawar, Kota
Tinggi, Johor (SMART). Sekolah ini dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan lokasinya
terletak dalam kawasan Federal Land Development Authority (FELDA) atau Lembaga
Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP). Bilangan muridnya ialah sekitar 1500 orang murid
pada ketika itu. Mengimbau kembali sejarah pengalaman sebagai pendidik, saya telah
diberikan tanggungjawab untuk membawa pasukan silat sekolah yang menjadi johan di
peringkat negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan pada tahun pertama mengajar.
Bermula dari titik tolak sebagai pemimpin kecil, saya terus diberi kepercayaan oleh pihak
pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menggalas tanggungjawab dan amanah

132

selaku Pengerusi Teknik Silat Daerah Kota Tinggi sehinggalah ke hari ini. Sepanjang
memegang jawatan sebagai pengerusi teknik silat tersebut, saya telah berjaya membawa
pasukan silat sekolah menjadi johan dalam beberapa kategori pertandingan di peringkat
daerah, negeri dan juga kebangsaan (1995–2019) sebelum ditangguhkan pada tahun 2020
akibat pandemik COVID-19.

Pada tanggal 1 Jun 2006 saya telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK)
Kokurikulum di sekolah yang sama. Antara perancangan yang telah saya laksanakan bagi
memantapkan penglibatan dan pencapaian kokurikulum sekolah ialah dengan membuat
ketetapan setiap pasukan sekolah yang ingin menyertai pertandingan ke peringkat daerah
perlu mengadakan latihan sekurang-kurangnya 30 jam. Ini bagi memastikan pasukan tersebut
bersedia dan dapat memberikan cabaran yang bermakna semasa menyertai pertandingan.
Usaha tersebut membuahkan hasil di mana beberapa pasukan sekolah telah menunjukkan
peningkatan dan mencapai kejayaan di peringkat daerah, negeri mahu pun kebangsaan.
Saya juga telah mengambil inisiatif untuk melantik jurulatih dalam kalangan bekas pelajar bagi
membantu melatih pasukan sekolah mengikut kepakaran mereka masing-masing.

Setelah berkhidmat selama 17 tahun lima (5) bulan di SMART saya telah ditukarkan
ke SMK Bandar Easter, Kota Tinggi, Johor pada 1 Januari 2013 dengan menjawat jawatan
sebagai GPK Hal Ehwal Murid (HEM). Sekolah ini juga terletak dalam kawasan FELDA
dengan bilangan muridnya sekitar 500 orang. Antara tugas utama GPK HEM adalah untuk
memastikan disiplin murid terkawal dan seterusnya pengajaran dan pembelajaran dapat
berjalan dengan lancar. Justeru, penguatkuasaan peraturan sekolah dan perekodan salah
laku murid dengan menggunakan Sistem Sahsiah Disiplin Murid (SSDM) dipertingkatkan.
Hasil daripada tindakan tersebut, penurunan kes disiplin berlaku dengan sangat ketara. Ini
kerana mereka semakin menyedari betapa pentingnya tahap pencapaian kelakuan murid
yang akan tercatat dalam Sijil Berhenti Sekolah.

Pada tanggal 27 Januari 2019 sekali lagi saya telah ditukarkan ke sekolah yang lain.
Pada kali ini destinasinya ialah SMK Lokman Hakim, Kota Tinggi, Johor dengan menjawat
jawatan sebagai GPK Pentadbiran . Lokasi sekolah ini juga terletak dalam kawasan FELDA.
Maka dari segi sosiobudaya dan sosioekonominya tidak banyak berbeza antara ketiga-tiga
sekolah tersebut. Sebanyak 90 peratus muridnya terdiri dalam kalangan generasi ketiga
FELDA manakala selebihnya adalah terdiri daripada anak kakitangan FELDA, pekerja ladang
dan pekerja kilang sawit FELDA. Bilangan muridnya adalah sekitar 410 orang. Bidang tugas
utama GPK Pentadbiran adalah berkaitan dengan pengurusan akademik. Bagi memastikan
pencapaian akademik sekolah yang cemerlang, beberapa program akademik telah dirancang.
Antara program yang telah dilaksanakan ialah kelas berfokus dan juga kelas tambahan
terancang. Impak yang positif telah diperoleh di mana Gred Purata Sekolah (GPS) bagi
peperiksaan SPM menjadi semakin baik berbanding pencapaian tahun sebelumnya. Ini
memberikan motivasi kepada saya untuk terus berusaha bagi meningkatkan kecemerlangan
akademik di sekolah.

PEMIMPIN PENDIDIKAN YANG DIIDAMKAN

Bagi memacu sebuah organisasi pendidikan, beberapa ciri pemimpin idaman perlu saya
praktikkan. Antara ciri pemimpin pendidikan idaman tersebut ialah:

a. Mempunyai Wawasan

Wawasan bermaksud pandangan jauh yang berkaitan dengan perkembangan masa depan
bagi mencapai matlamat penting sesebuah organisasi. Pemimpin yang mempunyai wawasan

133

memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif dan mampu
memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata. Pemimpin yang
berwawasan juga dapat menentukan hala tuju sekolah melalui gerak kerja yang terancang
dan sistematik. Segala perancangan sekolah dibuat secara teratur dan matlamatnya dikongsi
bersama oleh semua warga sekolah. Tun Dr. Mahathir Mohamed yang juga mantan Menteri
Pendidikan dan Perdana Menteri Malaysia merupakan pemimpin yang sinonim dengan
pemimpin yang berwawasan.

“Dr. Mahathir mendorong rakyatnya Pandang ke Timur untuk mencapai
kemajuan dari segi pendidikan, teknologi, serta pengurusan. Matlamat utama
Dasar Pandang ke Timur ialah meningkatkan prestasi pengurusan dan
pembangunan di negara ini serta mewujudkan masyarakat yang mempunyai
nilai dan etika yang positif untuk mempertingkatkan kemajuan negara”

(Hashimah Khamis, 2005, p. 39)

Dasar Pandang ke Timur merupakan salah satu daripada wawasan yang ingin
diterapkan oleh Tun Dr. Mahathir dalam pentadbirannya. Setiap pemimpin di sekolah perlu
menterjemahkan wawasannya dengan jelas seperti mana yang sering ditonjolkan oleh Tun
Dr. Mahathir. Ini supaya hasrat yang diinginkan dapat difahami oleh semua pihak dan mereka
bertindak mengikut tindakan yang direncanakan bagi mencapai sasaran tersebut.

b. Bijaksana

Pemimpin yang bijaksana boleh diertikan sebagai pemimpin yang mempunyai kecerdikan,
pandai dan arif dalam mengurus organisasinya. Ini kerana pemimpin akan
dipertanggungjawabkan memimpin sekelompok manusia bagi menterjemahkan visi dan misi
organisasi tercapai. Pemimpin yang bijaksana berkebolehan untuk bertindak dengan pantas
dan mengambil keputusan dengan tepat terhadap permasalahan yang timbul dalam
pengurusannya. Selain itu, beliau juga dapat membuat pertimbangan yang baik dalam
menentukan keutamaan sesuatu keputusan yang ingin diambil.

Menurut Sherina (1999), membuat keputusan perlu bijak dan membuat keputusan
yang salah sebenarnya lebih baik daripada tidak membuat keputusan langsung kerana kita
mempunyai akal untuk berfikir dan menganalisis. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan yang
diperlukan oleh seorang pemimpin dalam membuat penganalisisan. Keputusan yang diambil
juga tidak boleh berat sebelah dan menguntungkan satu pihak sahaja. Pemimpin yang
bijaksana akan memberikan impak yang positif terhadap pengurusan sekolah kerana
keputusan yang dibuat mempunyai rasionalnya tersendiri. Ini menyebabkan guru-guru faham
akan sesuatu keputusan itu diambil dan seterusnya dapat memberi gambaran yang positif
bahawa kepimpinannya berada pada landasan yang tepat untuk mencapai kecemerlangan.

c. Komunikasi yang Berkesan

Komunikasi merujuk kepada penghantaran, penerimaan atau pertukaran maklumat, pendapat
atau idea dengan tulisan, percakapan atau imej visual atau mana-mana kombinasi ketiga-tiga
unsur tersebut (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2015). Komunikasi yang berkesan ialah
apabila orang yang menerimanya memahami kata-katanya sebagaimana yang dimaksudkan.
Jika penerima memahami lain daripada apa yang dimaksudkan, maka boleh disimpulkan
bahawa komunikasi itu tidak berkesan kerana gagalnya maklumat itu disampaikan. Sebagai
seorang pemimpin, beliau perlu memastikan bahawa segala maklumat atau idea yang ingin
disampaikan dapat diterima dengan jelas oleh semua guru. Keberkesanan komunikasi itu juga
dipengaruhi oleh cara penyampaian pemimpin itu seperti bahasa yang digunakan, intonasi
suaranya dan bahasa badan penyampai (body language).

134

Menurut James A.F.Stoner dan Charles Wankel (1986), untuk menyampaikan mesej
dengan sewajarnya, perkataan-perkataan yang digunakan mestilah sama ertinya bagi
pengirim dan penerima. Ini bermaksud pemimpin perlu menggunakan bahasa yang boleh
difahami oleh guru-guru mereka di samping penggunaan bahasanya yang sopan, lembut,
berhemah, intonasi suara yang tepat dan bahasa badan yang tidak menjengkelkan.
Komunikasi dua hala antara pemimpin dengan guru akan memberikan kelebihan dari segi
keberkesanan terhadap maklumat yang ingin disampaikan. Komunikasi yang berkesan ini
akan menjadikan hubungan yang lebih akrab dalam kalangan warga sekolah di samping
mereka mempunyai kefahaman yang sama tentang hala tuju sekolah.

d. Tidak Putus Asa

Tidak putus asa bermaksud tidak putus harap dan melaksanakan sesuatu perkara dengan
sedaya upaya untuk mencapai impiannya. Genggam bara api biar sampai jadi arang adalah
antara peribahasa yang boleh digambarkan kepada pemimpin yang tidak berputus asa. Beliau
akan terus berusaha walaupun pernah menempuhi kegagalan. Beliau akan menjadikan
kegagalan itu sebagai pemangkin untuk terus berusaha sehingga mencapai kejayaan.

Menurut Mohd Fadzilah Kamsah dan Ahmad Fadil (2018), tidak ada jalan singkat
untuk berjaya, melainkan berusaha mengikut cara yang betul. Ini menunjukkan bahawa untuk
mencapai kejayaan perlu disertakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan bertindak
dengan cara yang terbaik bagi mengejar impiannya. Pemimpin yang mempunyai sifat putus
asa dan cepat mengalah akan menyebabkan organisasinya sering menempa kegagalan.
Oleh itu sifat tidak putus asa ini perlu dijadikan budaya di sekolah agar sasaran dan hala tuju
sekolah dapat disempurnakan dengan jayanya.

e. Empati

Pemimpin yang berkualiti perlu memiliki sifat empati dalam dirinya. Empati bermaksud daya
menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat,
2015). Pemimpin yang empati dapat menyelami perasaan stafnya dengan lebih mendalam
dan seterusnya dapat bertindak mengikut pertimbangan yang sewajarnya dalam mengambil
sesuatu keputusan. Pembangunan interpersonal perlu diambil berat untuk merangsang
pembangunan seseorang pemimpin.

Pemimpin yang empati juga bersedia mendengar pandangan orang lain dan bersedia
untuk membantu pada setiap masa. Staf suka berkongsi maklumat dengan pemimpin yang
mempunyai sifat empati kerana pemimpin lebih bersikap terbuka dalam pimpinannya. Oleh
hal yang demikian dapat membantu beliau menilai sejauh mana keberkesanannya dalam
melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin. Pemimpin yang empati akan memberi tugas
mengikut kemampuan stafnya dan memberi bimbingan kepada staf untuk melaksanakan
tugas dengan betul. Pemimpin sedemikian akan mempunyai hubungan yang baik dengan staf
kerana pemimpin dipercayai staf dan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.

JALAN KE ARAH PEMIMPIN MASA DEPAN

Sepanjang perjalanan saya selama lebih kurang 26 tahun sebagai pendidik termasuk 15
tahun pengalaman sebagai pentadbir, terdapat banyak isu dan cabaran yang ditempuhi sama
ada dalam kalangan guru atau pun murid. Walau bagaimanapun itu merupakan asam garam
yang dihadapi oleh semua orang berkerjaya. Setiap kerjaya, isu dan cabarannya adalah
berbeza. Sebagai pentadbir, saya perlu menangani sesuatu isu yang timbul dengan

135

sebaiknya supaya pengurusan sekolah dapat berfungsi dengan efisien. Antara isu dan
cabaran yang saya hadapi ialah:

a. Tahap Kemahiran Guru dalam Melaksanakan Aktiviti Kokurikulum

Sebagai GPK Kokurikulum pada ketika itu, saya melihat isu ini adalah sangat kritikal kerana
setiap orang guru akan diberi tanggungjawab untuk memegang jawatan selaku guru
penasihat bagi pasukan badan beruniform, persatuan dan kelab sukan. Perjumpaan
kokurikulum yang dijalankan seminggu sekali iaitu pada setiap hari rabu menjadi satu
bebanan bagi mereka. Situasi ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai kemahiran yang
secukupnya bagi melaksanakan aktiviti tersebut. Ini menyebabkan aktiviti kokurikulum itu
menjadi kurang menarik dan murid menjadi kurang bermotivasi mengikuti aktiviti kokurikulum.

“Keberkesanan pelaksanaan gerak kerja kokurikulum bidang sukan dan
permainan di sekolah bergantung kepada guru yang bertanggungjawab
dengan tugas dan melaksanakan gerak kerja berkenaan”.

(Ab. Alim Abdul Rahman, 1994, p.53)

Bagi mengatasi masalah ini, saya telah merangka program dengan melaksanakan
Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk semua guru berkaitan keperluan mereka dalam
aktiviti kokurikulum mengikut keutamaan keperluannya. Antara kemahiran yang diperlukan
oleh guru ialah asas kawad kaki. Inisiatif yang saya lakukan ialah dengan meminta bantuan
daripada Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) untuk melatih semua guru dalam
latihan asas kawad kaki. Beberapa orang anggotanya telah dihantar untuk tujuan tersebut.
Selepas daripada itu, beberapa siri LDP telah dijalankan termasuklah kemahiran pertolongan
cemas, kemahiran ikatan, kemahiran ikhtiar hidup dan kemahiran asas sukan. Kesemua LDP
tersebut telah dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih yang berpengalaman dan mereka yang
berkelayakan dalam bidangnya. Setelah selesai guru-guru mengikuti LDP, keyakinan mereka
telah meningkat dan aktiviti kokurikulum menjadi lebih menarik.

b. Kehadiran Murid Kurang Memuaskan

Isu kehadiran murid adalah salah satu isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat
khususnya bagi warga pendidik. Ini kerana pencapaian sekolah sangat berkait rapat dengan
peratus kehadiran murid ke sekolah. Murid yang sering ponteng atau tidak hadir akan
mengakibatkan mereka tertinggal dalam pelajarannya. Di samping itu juga, perkara ini
mengganggu perancangan yang telah dibuat oleh guru untuk pengajaran dan pembelajaran
seterusnya. Sebagai pentadbir yang bertindak sebagai GPK HEM, isu tersebut perlulah
ditangani dengan sebaiknya supaya sasaran yang ditetapkan oleh sekolah dengan kehadiran
murid melebihi 90 peratus akan tercapai. Ini kerana pencapaian semasa kehadiran murid
adalah di bawah 90 peratus. Bagi menyelesaikan isu tersebut, saya telah mewujudkan
Anugerah Pencapaian Kehadiran Kelas Terbaik bagi setiap bulan. Kelas-kelas yang
mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dengan peratus kehadiran kelas melebihi 95
peratus akan menerima piala pusingan, sijil penghargaan dan juga hadiah wang tunai.
Sumber kewangan bagi melaksanakan program tersebut disumbangkan oleh Persatuan Ibu
Bapa dan Guru (PIBG). Persaingan sihat telah ditunjukkan oleh setiap kelas di mana mereka
berlumba-lumba untuk mendapatkan tempat bagi merangkul hadiah yang ditawarkan. Setiap
murid dalam kelas mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dirinya hadir ke sekolah.
Jika terdapat murid yang sering ponteng dalam sesebuah kelas, maka rakan-rakan
sekelasnya akan sentiasa mengingatkan tentang perkara tersebut. Ini akan menyebabkan
peratus kehadiran kelas meningkat dan seterusnya membantu peningkatan peratus
kehadiran murid ke sekolah secara keseluruhannya.

136

c. Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)

Masyarakat umum telah mengetahui bahawa pandemik COVID-19 yang melanda seluruh
dunia telah menyebabkan kehidupan kita berubah kepada norma baharu. Semua sektor
terkesan dengan pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh
pihak kerajaan bagi mendepani pandemik COVID-19 ini. Bagi sektor pendidikan pula, sekolah
terpaksa ditutup dan PdPR dilaksanakan. Walau bagaimanapun terdapat beberapa isu yang
timbul apabila PdPR dilaksanakan secara atas talian (online). Ini kerana ada antara mereka
yang tidak mempunyai peranti atau berkongsi peranti dengan penjaga dan sesetengah tempat
tiada talian Internet. Ini akan menyebabkan sebahagian murid gagal mengikuti PdPR dengan
berkesan. Bagi mengatasi masalah tersebut, pihak sekolah telah menyediakan modul
terancang bagi setiap mata pelajaran dengan proses penyediaannya dikendalikan oleh panitia
masing-masing. Modul ini akan diedarkan kepada semua murid. Melalui penyediaan modul
ini, murid mempunyai bahan yang akan diguna pakai pada sesi PdPR dengan bimbingan yang
minimum oleh guru. Modul ini juga boleh dijadikan sebagai evidens Pentaksiran Bilik Darjah
(PBD). Murid akan menghantar modul ini apabila sesi pengajaran dan pembelajaran secara
bersemuka dijalankan. Walau bagaimanapun ini adalah sebagai alternatif kepada guru
sekiranya murid-murid dalam kelasnya menghadapi masalah dalam PdPR secara atas talian.
Objektif utamanya ialah murid dapat mengikuti pengajaran dan pembelajaran.

d. Penguasaan Dalam Sistem dan Aplikasi yang Dibangunkan Oleh Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM)

KPM telah membangunkan banyak aplikasi dan sistem bagi tujuan melancarkan
pengurusannya. Ini termasuklah dalam proses pengumpulan data murid dan guru. Antara
sistem yang dibangunkan oleh KPM ialah Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), Sistem
Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), e-Operasi, e-Prestasi, SSDM dan Sistem Maklumat
Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS). Di samping itu juga terdapat aplikasi seperti Digital
Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan Google Classroom bagi tujuan
pengajaran dan pembelajaran. Sebagai pentadbir, ini merupakan satu cabaran di mana saya
perlu meningkatkan penguasaan kemahiran dalam mengendalikan sistem dan aplikasi
tersebut. Ini disebabkan pentadbir akan dijadikan sebagai pakar rujuk oleh guru-guru. Oleh
itu, saya telah berkolaboratif bersama pentadbir-pentadbir dari sekolah lain untuk
mewujudkan kumpulan WhatsApp dan Telegram. Tujuannya adalah untuk berkongsi
maklumat, pandangan, idea dan membincangkan isu-isu yang timbul serta mencari jalan
penyelesaiannya. Setiap pentadbir mempunyai pengalamannya tersendiri dan melalui
pengalaman yang dikongsikan dapat membantu rakan-rakan pentadbir yang lain untuk
membuat tindak susul. Selain itu juga, saya melaksanakan kursus dalaman bersama Guru
Penyelaras Bestari sekolah khususnya bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam
sistem DELIMa serta Google Classroom.

e. Kemudahan Perabot

Setiap sekolah inginkan kemudahan perabot yang lengkap bagi memastikan sesi pengajaran
dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Namun begitu tidak semua sekolah
mempunyai kelengkapan perabot yang mencukupi khususnya kerusi dan meja murid. Ini
merupakan isu yang sering dihadapi oleh kebanyakan sekolah. Keadaan ini berlaku kerana
murid kurang mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjaga perabot yang mereka gunakan.
Mereka beranggapan bahawa perabot yang rosak akan mudah mendapat gantian yang baru.
Bagi mengatasi masalah tersebut, saya telah menetapkan setiap murid akan diberikan
sebuah kerusi dan meja serta dilabelkan untuk murid berkenaan. Murid tersebut akan
bertanggungjawab penuh ke atas kerusi dan mejanya. Mereka akan menjaga kerusi dan meja
kepunyaan mereka dengan sebaiknya. Melalui tindakan tersebut, kerosakan kerusi dan meja

137

murid dapat dikurangkan. Selain itu, saya telah menubuhkan pasukan baik pulih perabot yang
terdiri daripada guru-guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta dibantu oleh Kelab Perabot
sekolah untuk membaik pulih perabot yang rosak secara berkala. Ini bagi memastikan bekalan
perabot yang ada dapat menampung kesinambungan keperluan perabot sekolah.

SAYA SEORANG PEMIMPIN PENDIDIKAN

Sebagai seorang pemimpin pendidikan yang cakna terhadap kepimpinannya, saya telah
menggariskan lima (5) perancangan yang akan dilaksanakan:

a. Menetapkan Hala Tuju Sekolah yang Realistik

Hala Tuju merupakan satu penentuan matlamat bagi memastikan kejayaan sekolah (visi) dan
merancang strategi bagi mencapai matlamat tersebut (misi). Perkara pertama yang perlu
dilakukan untuk memastikan bahawa sekolah mempunyai hala tuju yang jelas ialah dengan
menubuhkan jawatankuasa penyelaras perancangan strategik sekolah yang dianggotai oleh
semua peringkat warga sekolah termasuk pentadbir, Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP),
guru dan kakitangan sokongan. Perancangan yang dibina merangkumi perancangan jangka
pendek (satu tahun) dan juga perancangan jangka panjang (tiga–lima tahun). Proses
pembinaan perancangan strategik ini menggunakan analisis strengths, weaknesses,
opportunities, and threats (SWOT) di mana jawatankuasa yang dibentuk akan mengenal pasti
segala kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang ada bagi menentukan hala tuju
sekolah. Data-data yang berkaitan dengan pencapaian akademik, sahsiah murid, kokurikulum
dan penglibatan ibu bapa dalam aktiviti anjuran sekolah sangat diperlukan. Ketepatan data
yang disediakan sangat mempengaruhi keputusan perancangan strategik yang akan
dilaksanakan dan penetapan hala tuju sekolah. Melalui pengumpulan data yang lengkap,
jawatankuasa penyelaras perancangan strategik sekolah akan dapat menetapkan hala tuju
sekolah yang lebih realistik.

Hala tuju sekolah yang terdiri daripada misi dan visi ini perlu diterapkan kepada seluruh
warga sekolah, ibu bapa/penjaga, PIBG, masyarakat setempat dan pelbagai pihak sama ada
Badan Kerajaan (GO) atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada pertalian dengan sekolah.
Penyebarannya boleh dilakukan melalui pelbagai medium seperti perhimpunan mingguan,
mesyuarat PIBG, surat edaran/makluman, papan tanda, media sosial, banner, poster dalam
kelas dan sudut tertentu di sekolah. Melalui perkongsian visi dan misi yang satu, warga
sekolah dan pihak yang terlibat mampu bergerak bersama dengan hala tuju yang sama untuk
mencapai kejayaan. Dalam apa juga pelaksanaan aktiviti pendidikan melibatkan murid, guru
dan ibu bapa akan sentiasa dikaitkan dengan visi dan misi yang telah disepakati ini. Malah
setiap guru dan murid sentiasa mengulangi ikrar bagi memastikan visi dan misi ini menjadi
pegangan untuk mencapai sasaran matlamat secara bersama. Natijahnya, setiap murid dan
guru sekolah bukan sahaja dapat menyatakan visi dan misi sekolah mereka dengan tepat
serta jelas malah penghayatannya akan dapat dilihat melalui peningkatan pelbagai kejayaan
yang dapat dicapai oleh pihak sekolah dalam bidang akademik, pembangunan sahsiah dan
kokurikulum. Melalui pembentukan hala tuju yang realistik ini akan dapat mengurangkan
tekanan kepada guru dan warga sekolah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

b. Kerja Sepasukan

Sepakat membawa berkat, itulah antara ungkapan yang sering digunakan dalam erti kata
kerja sepasukan. Ahli-ahli kerja kumpulan akan melaksanakan tugas bersama-sama dan
berusaha mewujudkan suasana kerja yang harmonis serta beriltizam memberikan hasil kerja
yang berkualiti bagi mencapai matlamat pasukan. Sememangnya di sekolah terlalu banyak

138

program dan aktiviti yang dilaksanakan sehingga menjadi satu bebanan kepada warga
sekolah. Walau bagaimanapun pemimpin yang bijak akan membuat perancangan yang rapi
dengan menerapkan cara kerja sepasukan di sekolah sehingga menjadi satu budaya kerja.
Ini bermula dengan pembentukan jawatankuasa kerja yang dianggotai oleh semua warga
kerja sekolah termasuklah guru dan anggota kumpulan pelaksana (AKP). Setiap
jawatankuasa kerja akan dianggotai oleh beberapa orang ahli mengikut kepakaran mereka
masing-masing serta diberikan deskripsi bidang tugas mereka. Dalam kalangan mereka juga
akan dilantik seorang ketua yang akan mengetuai bidang tugas masing-masing. Ketua akan
bertindak sebagai pembimbing kepada ahli kumpulannya dan memastikan matlamat pasukan
tercapai. Secara tidak langsung ini dapat melatih guru tersebut menjadi seorang pemimpin
pada masa hadapan.

Sebagai pemimpin yang prihatin saya akan sentiasa memantau segala tugasan,
memberikan motivasi kepada warga kerja dan sama-sama membantu melaksanakan tugasan
mengikut kemampuan diri bagi menunjukkan kebersamaan pemimpin dalam menjayakan
sesuatu program atau aktiviti. Ini akan menjadikan hubungan yang lebih akrab dan erat antara
pemimpin dengan semua warga kerja. Mereka juga akan merasakan diri mereka dihargai oleh
ahli dalam pasukan. Kejayaan sesuatu program bergantung kepada keberkesanan
jawatankuasa yang dibentuk untuk melaksanakan tugasan mereka. Kejayaan yang dicapai
adalah kejayaan milik bersama yang perlu dikongsi oleh semua warga sekolah. Impak melalui
kerja sepasukan ini akan meningkatkan produkviti kerja mereka. Di samping itu juga dapat
mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi oleh warga kerja sekolah kerana tanggungjawab
itu dikongsi bersama.

c. Menghargai Pencapaian dan Sumbangan Warga Sekolah

Pemimpin perlu cakna dengan pencapaian dan segala bentuk sumbangan yang diberikan
oleh warga sekolahnya. Sumbangan yang boleh diberikan ini termasuklah dalam bentuk
kewangan, tenaga, masa dan kepakaran dalam menjayakan sebarang bentuk aktiviti di
sekolah serta pengoperasian sekolah secara amnya. Pencapaian dan sumbangan perlulah
diberi penghargaan yang sewajarnya supaya dapat meningkatkan motivasi kepada
pencapaian yang lebih baik.

Menurut Wan Nor Zuraihah (2017), sebagai manusia biasa, sudah tentunya kita suka
dipuji jika berjaya melakukan sesuatu dan sekali gus dapat memberi motivasi. Bagi
menghargai pencapaian dan sumbangan mereka saya akan mewujudkan anugerah Teacher
of the Month (TOTM) dan Student of the Month (SOTM). Anugerah TOTM dan STOM ini
diberikan kepada guru dan murid yang memberi sumbangan yang bermakna serta
menunjukkan prestasi yang cemerlang sama ada dalam bidang akademik, sahsiah mahu pun
kokurikulum pada setiap bulan. Ini bermakna guru dan murid berpeluang untuk memenangi
anugerah tersebut berulang kali jika dapat mengekalkan prestasinya yang cemerlang. Panel
penilai bagi anugerah ini dianggotai oleh pentadbir sekolah dengan menggunakan borang
penilaian yang telah ditetapkan. Penyampaian anugerah akan disampaikan oleh pengetua
sewaktu perhimpunan rasmi sekolah dan sesekali menjemput tetamu khas seperti Yang
Dipertua PIBG dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah untuk menyampaikan anugerah
tersebut. Ini bertujuan meningkatkan lagi prestij anugerah tersebut agar sentiasa dapat
memberi motivasi kepada warga sekolah untuk mencapainya. Pihak sekolah juga akan
menyediakan satu sudut khas yang memaparkan pencapaian dan sumbangan TOTM dan
SOTM.

Selain itu, pemimpin boleh menghargai pencapaian dan sumbangan mereka dengan
cara mewar-warkan kepada seluruh warga sekolah seperti memaklumkan dalam mesyuarat
guru dan melalui perjumpaan-perjumpaan tertentu. Di samping itu penyebaran maklumat

139

kepada pihak komuniti juga penting dan ini boleh dikongsikan melalui media sosial seperti
Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram dan YouTube supaya mereka dapat sama-sama
merasa gembira dan bangga dengan pencapaian yang sekolah peroleh. Pemimpin perlu
menghargai segala sumbangan dan pencapaian warganya walau sekecil mana pun supaya
menjadi pemangkin kepada mereka mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

d. Prihatin Keperluan Guru dan Murid

Pencapaian dan kecemerlangan sekolah banyak dipengaruhi oleh sejauh mana keperluan
guru dan murid itu dipenuhi. Antara keperluan tersebut termasuklah keperluan fizikal sekolah
dan keperluan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Keadaan fizikal sekolah
yang uzur dan tidak kondusif akan menyebabkan ketidakselesaan guru dan murid menjalani
proses PdP. Sebagai contoh jika keadaan kelas tidak mempunyai kipas yang mencukupi, ini
akan mengganggu proses PdP di mana murid merasa panas dan seterusnya mengganggu
tumpuan mereka. Begitu juga jika keadaan kerusi dan meja yang uzur, murid akan merasa
kurang selamat menggunakan peralatan tersebut. Keselesaan dalam bilik guru juga perlu
dititikberatkan kerana di situlah mereka akan membuat persediaan untuk PdP. Keperluan dari
segi kelengkapan perabot, kipas atau penghawa dingin, lampu dan sumber elektrik perlulah
disediakan dengan secukupnya. Walau bagaimanapun keadaan ini kadang kala tidak dapat
dipenuhi dengan serta merta kerana proses gantian atau membaik pulih daripada KPM
memerlukan masa. Keperluan bagi proses PdP khususnya dalam melaksanakan Pendidikan
Abad ke-21 (PAK-21), alat bantu mengajar (ABM) dan peralatan yang berkaitan dengan ICT
memerlukan kos yang agak besar. Ini merupakan tanggungjawab pemimpin untuk
memastikan segala keperluan mereka disempurnakan dengan sebaik yang mungkin.
Tindakan awal yang boleh diambil bagi menampung perbelanjaan tersebut ialah dengan
menggunakan wang yang diperuntukan oleh KPM termasuklah Bantuan Geran Per Kapita
(PCG).

Sebagai pemimpin yang prihatin dengan keadaan keperluan semasa, saya perlu
bertindak secara proaktif bagi mendapatkan dana atau sumber lain untuk menampung segala
kekurangan yang dihadapi. Ini selaras dengan apa yang digariskan oleh KPM melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 dalam Anjakan ke-9 di mana sekolah perlu
bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas. Justeru,
penubuhan jawatankuasa Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) di sekolah adalah
langkah yang akan diambil dan diperkasakan. Objektif PIBK adalah untuk meningkatkan
pencapaian dan kecemerlangan sekolah. Oleh itu penglibatan mereka perlulah ditingkatkan
semaksimumnya. Melalui PIBK ini pihak sekolah boleh berkongsi maklumat dan
mengutarakan halangan-halangan yang dihadapi oleh pihak sekolah dalam pengurusannya
supaya dapat diselesaikan secara bersama. Di sinilah PIBK mendapat infomasi yang tepat
berkaitan tadbir urus pihak sekolah serta bantuan yang boleh disalurkan. Rangkaian PIBK
akan memudahkan mereka untuk mendapatkan sumber atau segala bentuk bantuan dengan
lebih cepat. Sumbangan oleh PIBK tidak semestinya dalam bentuk kewangan sahaja tetapi
juga boleh disumbangkan dalam bentuk buah fikiran, barangan, tenaga dan masa bagi
menyokong usaha-usaha penambahbaikan sekolah.

e. Pengagihan Tugas yang Adil

Tugas hakiki guru adalah mengajar murid mengikut jadual waktu yang telah ditetapkan oleh
pihak pentadbiran sekolah. Walau bagaimanapun terdapat tugas-tugas sampingan lain yang
dipertanggungjawabkan kepada guru bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan
dengan lancar. Menjadi rutin setiap sekolah untuk menyediakan Buku Pengurusan Sekolah
yang mengandungi senarai jawatan dan bidang tugas semua guru pada awal sesi
persekolahan. Pengagihan tugasan sampingan ini sentiasa menjadi perdebatan dalam

140

kalangan guru kerana sesetengahnya mendakwa bahawa tugasan yang diberikan tidak adil.
Bagi menangani situasi berkenaan saya akan menyediakan senarai semak tugasan guru
mengikut unit iaitu kurikulum, HEM dan kokurikulum. Melalui senarai semak ini, pihak sekolah
akan dapat mengenal pasti agihan tugasan yang tidak seimbang untuk diseimbangkan
semula.

Gred jawatan guru juga diambil kira dalam agihan tugasan di sekolah. Guru yang
mempunyai gred yang tinggi akan diberikan tanggungjawaab yang lebih besar dalam
pengurusan sekolah. Ini kerana mereka mempunyai pengalaman dan mampu bertindak
sebagai pembimbing kepada guru yang lebih junior. Setiap guru mempunyai potensi dan
kemampuannya tersendiri, oleh itu pemimpin perlu menempatkannya pada tempat yang tepat
mengikut kemampuannya. Contohnya bagi mengisi jawatan sebagai setiausaha sukan, guru
yang sesuai untuk memikul tanggungjawab tersebut ialah guru yang lebih muda dan
jantinanya ialah lelaki. Ini kerana tugas ini memerlukan kerja-kerja yang agak lasak dan berat.
Adalah tidak adil jika pemimpin memberikan tugas kepada guru yang tiada kemampuan untuk
melaksanakan tugasan tersebut.

Guru-guru mempunyai minat yang berbeza. Agihan tugas mengikut minat guru akan
memberikan hasil kerja yang lebih berkualiti kerana mereka melakukan dengan sepenuh
hatinya. Guru merasa gembira dan seronok dengan tanggungjawab yang dipikulnya. Sebagai
pemimpin, penting untuk mengenali hati budi setiap gurunya dengan lebih mendalam agar
dapat menilai karektor setiap guru. Ini akan memudahkan beliau membuat pengagihan
tugasan dengan lebih berkesan. Pengagihan tugasan yang adil akan menghindarkan
perasaan tidak puas hati dan berpuak-puak dalam kalangan guru dan seterusnya menjadikan
hubungan mereka lebih mesra serta harmoni.

RUMUSAN

Pengetua perlu mempunyai sifat kepimpinan bagi memimpin sesebuah sekolah. Sifat
kepimpinan yang positif itu perlu diterapkan dalam diri beliau supaya kerjasama daripada
warga sekolah dapat dibentuk dan seterusnya dapat bergerak secara kolektif memacu ke
arah kecemerlangan sekolah.

Pengetua yang cakna terhadap keperluan organisasi akan memberikan impak yang
positif terhadap pengoperasian sekolah. Guru dan warga sekolah berasa amat selesa dan
gembira berada di bawah pimpinan beliau. Ini akan mendorong mereka untuk memberikan
komitmen yang terbaik dalam apa jua tugasan, aktiviti dan program yang sekolah laksanakan.
Jalinan hubungan yang baik antara pengetua dan guru adalah penting kerana guru
merupakan tonggak pelaksana bagi merealisasikan hala tuju sekolah. Hubungan ini dapat
dipupuk melalui semangat kerja sepasukan yang diamalkan dalam kalangan warga sekolah.

Segala usaha yang disumbangkan untuk tujuan kemajuan dan kecemerlangan
sekolah perlu dihargai serta diberikan penghargaan yang sewajarnya bagi meningkatkan
motivasi mereka. Di samping itu pengagihan tugas yang lebih adil dengan mengikut justifikasi
tertentu semasa pengagihannya akan mendorong guru bekerja dengan ikhlas dan lebih
berkesan.

Sebagai pemimpin di sekolah pengetua akan berhadapan dengan pelbagai bentuk
rintangan dan ujian ketika berhadapan dengan guru, murid, ibu bapa dan masyarakat. Oleh
itu beliau perlu menanganinya dengan sebaik mungkin agar keharmonian dalam kalangan
mereka terus terpelihara dan hala tuju sekolah dicapai. Hanya pemimpin yang kompeten
sahaja akan dapat mengurus sekolah dengan berkesan.

141

RUJUKAN
Ab. Alim Abdul Rahim.(1994). Pengurusan Kokurikulum. Kuala Lumpur:Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hashimah Khamis.(2005). Salam Buat Mahathir. Johor:PGI Sdn. Bhd
James A.F.Stoner & Charles Wankei.(1986). Pengurusan Edisi Ketiga (Yaakob Ibrahim, Trans

1996). Petaling Jaya Selangor:Amiza Pubishing Sdn. Bhd.
Kamus Dewan Edisi Keempat.(2015). Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka
Mohd Fadzilah Kamsah & Ahmad Fadzil Yusof.(2018). 55 Petua Orang Berjaya.

Selangor:PTS Media Group Sdn. Bhd.
Sherina.(1999). Siri Rukun Kejayaan: Usaha Yang Terancang. Kuala Lumpur:Golden Books

Centre Sdn. Bhd.
Wan Nor Zuraihah Wan Ali.(2017, September). Puan Sri Halimah Abdul Majid Penjual Tikar

Mengkuang Jadi Pendidik Anak Bangsa & Ubah Nasib Keluarga.Pendidik.Bil.115, 28-
29

142


Click to View FlipBook Version