The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

(SOALAN) KERTAS 2 PERCUBAAN BM SPM 2019 JPN TERENGGANU (2)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by habsah zaini, 2020-06-27 11:57:42

(SOALAN) KERTAS 2 PERCUBAAN BM SPM 2019 JPN TERENGGANU (2)

(SOALAN) KERTAS 2 PERCUBAAN BM SPM 2019 JPN TERENGGANU (2)

SULIT 2 1103/2

Soalan 1: Rumusan

[30 markah]

Baca petikan berikut dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang cabaran-cabaran dalam
melaksanakan konsep pembelajaran maya dan inisiatif-inisiatif untuk menggalakkan konsep
pembelajaran maya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Konsep pembelajaran maya sudah menjadi satu realiti dengan adanya platform pembelajaran
maya yang semakin hari semakin pesat dibangunkan oleh syarikat pembelajaran maya di Malaysia. Hal
ini sesuai dengan konsep pembelajaran abad ke-21 yang semakin hari semakin mendapat tempat dalam
hati pengguna Internet. Hampir 25 juta pengguna Internet di Malaysia menggunakan perkhidmatan jalur
lebar dan peranti komunikasi telefon pintar berbanding dengan pengguna telefon talian tetap dan
perkhidmatan-perkhidmatan lain. Namun begitu, sebanyak 23.1% penduduk di negara ini yang tidak
memiliki akses Internet telah menjadi halangan kepada pelaksanaan pendidikan maya ini.

Berdasarkan perspektif yang berbeza, ibu bapa pada masa ini masih belum dapat menerima
konsep pembelajaran maya sepenuhnya kerana mereka beranggapan bahawa pembelajaran secara
konvensional di dalam kelas lebih efektif. Ibu bapa lebih meyakini guru dapat memantau perkembangan
anak-anak mereka di dalam kelas. Pada masa yang sama, minda mereka belum terbuka untuk menerima
gaya pembelajaran alaf baru. Selain itu, masyarakat juga beranggapan anak-anak mudah
menyalahgunakan Internet untuk mengakses laman-laman yang tidak bermanfaat. Hal ini dibuktikan
dengan peratus penggunaan Internet untuk pengisian hiburan seperti permainan dalam talian dan sembang
amat tinggi dalam kalangan murid. Natijahnya, ramai murid yang mengabaikan pelajaran dan terlibat
dengan perkara-perkara negatif.

Menerusi platform pendidikan maya, murid dapat mengelakkan diri daripada menjadi jaguh siber
yang membazirkan masa semata-mata. Mereka juga dapat memasuki alam pembelajaran yang
diperkenalkan oleh platform pendidikan maya. Selain itu, platform ini mampu mempertingkatkan
kefahaman dan kualiti pembelajaran mereka. Dalam masa yang sama, ibu bapa bimbang interaksi yang
terhad antara guru maya dengan muridnya dalam bidang akademik. Hal ini dikatakan demikian kerana
masalah ini akan mengekang perkembangan prestasi akademik anak-anak mereka.

Persoalannya, mampukah murid-murid di Malaysia untuk mendepani serta memanfaatkan konsep
pembelajaran maya pada hari ini? Hal ini berlaku kerana platform pendidikan maya bukan mudah untuk
dibentuk dan operasinya memerlukan kos yang tinggi. Murid-murid milenium ini yang mudah berasa
bosan juga mahu maklumat diperoleh secepat mungkin dengan konsep maklumat di hujung jari. Namun
begitu, kekurangan dalam pembelajaran maya juga ialah murid tidak memiliki peranti untuk mengakses
Internet. Situasi ini tidak seharusnya berlaku kerana pakej perkhidmatan jalur lebar dan peranti mampu
milik sudah lama bertapak di negara kita. Kesimpulannya, pendidikan di Malaysia perlu seiring dengan
perkembangan teknologi maklumat agar negara kita mampu bersaing di peringkat global.

Dipetik dan diubah suai daripada
‘Konsep Pembelajaran Maya’

Majalah Pendidik, November 2018

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 1/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 3 1103/2

Soalan 2 : Pemahaman
[ 35 markah ]

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1 di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata lebih efektif.

[2 markah]

(ii) Menerusi platform pendidikan maya, pengarang mengemukakan beberapa faedah yang diperoleh
seseorang murid.

Nyatakan faedah-faedah tersebut.

[3 markah]

(iii) Murid dapat memperoleh pelbagai maklumat daripada Internet untuk meningkatkan pengetahuan
mereka.

Pada pendapat anda, nyatakan cara-cara lain untuk memperoleh maklumat.

[4 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 1/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 4 1103/2

Soalan 2 (b) - Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Jaket kain itu kubeli dengan harga RM50.00 di sebuah kedai menjual baju terpakai di tanah airku.
Banyak sudah jasa jaket kain itu kepadaku. Poketnya ada dua di sebelah kiri dan kanan. Terdapat tali
bermanik hitam yang membolehkan poket itu dijerut, sekali gus menjamin keselamatan isi poket.
Lazimnya, aku meletakkan pasport di poket kanan dan sedikit duit di poket kiri. Terdapat empat butang
bulat berwarna perak dari atas hingga ke bawah jaket. Rumah butangnya besar dan dijahit kemas.
Terdapat zip panjang yang membolehkan jaket itu dizip sampai ke pangkal leher. Kolarnya tinggi dan
lengannya boleh dilipat.

Jaket itu sudah mengikut aku mengembara hampir ke seluruh dunia. Dari negara miskin
Bangladesh, hingga negara mewah United Kingdom. Dari Indonesia di Asia Tenggara, hingga Turki di
Asia Tengah. Aku belum berniat untuk mencari pengganti jaket kain itu.

Pekedai itu tidak mudah putus asa. Dia menunjukkan sehelai jaket kulit berwarna hitam dengan
pengikat leher berwarna merah. Pengikat leher itu boleh berfungsi sebagai topi jika ditarik ke atas.
Potongannya memang cantik. Bertali, berpinggang, labuh separas lutut dan kelihatan sopan. Memang
nampak seperti jaket untuk wanita. Tidak seperti jaket yang sedang kupakai. Potongannya tegak dan
nampak kurang bergaya.

Dipetik daripada cerpen ‘Jaket Kulit Kijang dari Istanbul’
oleh Maskiah Haji Masrom

dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,
Kementerian Pendidikan Malaysia

(i) Berdasarkan petikan cerpen, mengapakah aku mengatakan bahawa potongan jaket kulit yang
ditunjukkan oleh pekedai itu cantik?
[2 markah]

(ii) Sebagai pengguna, apakah kriteria-kriteria yang anda utamakan sebelum membuat keputusan untuk
membeli pakaian?
[3 markah]

(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain
daripada keseluruhan cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.
[4 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 1/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 5 1103/2

Soalan 2(c) – Petikan Prosa Tradisional

Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang
Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut
orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana
tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu, Tuan Sidi Arab itu pun menghadap Sultan Muzaffar
Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri
di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil
menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Pandan.”

Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau
sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah,
maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka,
sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuatkan orang nyanyi:

Cau Pandan anak Bubunnya,
Hendak menyerang ke Melaka;

Ada cincin berisi bunga,
Bunga berladung si air mata.

Dipetik daripada 'Burung Terbang Dipipiskan Lada'
dalam antologi Sejadah Rindu,

Kementerian Pendidikan Malaysia.

(i) Berikan maksud sungguhlah tuan keramat.

[2 markah]

(ii) Apakah tindakan Tuan Sidi Arab setelah mendengar berita Cau Pandan anak Bubunnya akan
menyerang Melaka?
[3 markah]

(iii) Tuan Sidi Arab seorang yang pakar dalam memanah.

Pada pendapat anda, apakah kepentingan khidmat pakar dalam sistem pertahanan sesebuah negara?
[3 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 1/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 6 1103/2

Soalan 2 (d) – Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan
ayat anda sendiri.

Sang Gembala Kuda

Dia lelaki bergelar perkasa
dengan cemeti keberanian di tangan
rembat angkuhnya memacu takut
menghalau kuda-kuda di padang
berebutan memburu kandang.

Rumput dan jerami yang terhidang
adalah kanun janji kesetiaan
dimamah rakus kala lapar
tak peduli nasib diri setelah kenyang
jadi tunggangan memburu rakan.

Dia lelaki punya kuasa
sesekali suaranya lebih gempita
daripada ringkik kuda sekandang
pacuannya diiring seribu keberanian
meredah onak di rimba perburuan
meranduk lumpur di paya penindasan
sambil melibas cemeti durjana
dia melampar muslihat
aku penyelamat maruah
berjuang atas dasar kebenaran
menentang semua kebobrokan.

Dia lelaki sang gembala kuda
hanya mengenal pantas tunggangan
tanpa membaca keletihannya
dia lelaki sang gembala kuda
hanya tahu mengejar kehebatan
tanpa menghitung kesakitannya
dan kuda-kuda itu ditunggangi
ditunggangi dan ditunggangi!

Mohd Hashim Othman
Antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul
Kementerian Pendidikan Malaysia

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 1/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 7 1103/2

(i) Berikan maksud menentang semua kebobrokan.

[2 markah]

(ii) Kuda merupakan antara binatang ternakan yang dipelihara oleh rakyat di negara kita.

Pada pendapat anda, selain menyediakan makanan, apakah keperluan-keperluan lain yang perlu
disediakan oleh seseorang yang memelihara binatang ternakan?

[3 markah]

(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak di atas.

[4 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 2/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 8 1103/2

Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[ 30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a) Tulis satu ayat bagi setiap kata ganda di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan
maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambah imbuhan atau menggunakan
perkataan-perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

(i) bebola

(ii) kekabu

(iii) curi-curi

(iv) sayup-sayup

(v) riuh-rendah

(vi) remeh-temeh

[6 markah]

(b) Cerakinkan ayat-ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal.

(i) Perpaduan kaum amat penting kerana dapat mewujudkan keamanan negara.

(ii) Asif bukanlah orang kaya tetapi dia suka membantu orang miskin.

(iii) Universiti Putra Malaysia merupakan pusat pengajian tinggi yang banyak melahirkan ahli
perniagaan berjaya.
[6 markah]

(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat,
anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari
segi penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Kementerian Kesihatan mengambil langkah drastic menangani penyakit demam denggi
melalui kaedah semburan dan hebahkan di media massa.

(ii) Pemain-pemain pasukan bolasepak Terengganu bermurung apabila pasukan mereka tewas
dalam petandingan akhir Piala Malaysia.

(iii) Pihak kerajaan telah menambah peruntukkan kewangan kepada Kementerian Pendidikan
bagi menampung perbelanjaan pembangunan infra struktur.

[6 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 2/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 9 1103/2

(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu
kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda
tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu
kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

(i) Lagu Negaraku akan berdendang setiap kali perhimpunan pagi dan semua murid-murid
diminta berdiri untuk menyanyikannya.

(ii) “Kita hendaklah mengikut rasmi padi, semakin berisi semakin menunduk,” kata Cikgu
Rani di akhir ucapannya.

(iii) Pemilihan tajuk bahas peringkat negeri Terengganu telah dimuktamadkan di dalam
mesyuarat pegawai-pegawai koakademik negeri semalam.

[6 markah]

(e) Nyatakan peribahasa yang sesuai berdasarkan maksud peribahasa di bawah.

(i) Orang yang selalu mengikut kemahuan orang lain.

(ii) Bernasib malang kerana gagal dalam sesuatu perkara, tetapi yang sudah ada di tangan
hilang pula.

(iii) Punca kekuatan atau orang harapan.

[6 markah]

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 2/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT

SULIT 10 1103/2

Soalan 4 : Novel
[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa, karya Abdul Latip Talib
(ii) Di Sebalik Dinara, karya Dayang Nor
(iii) Jendela Menghadap Jalan, karya Ruhaini Matdarin
(iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Songket Bebenang Emas, karya Khairuddin Ayip
(vi) Tirani, karya Beb Sabariah
(vii) Silir Daksina, karya Nizar Parman
(viii) Bimasakti Menari, karya Sri Rahayu Mohd Yusop

4(a) Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, jelaskan dua latar tempat dan peristiwa yang berlaku
bagi setiap latar tempat tersebut.
[7 markah]

4(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, huraikan satu persoalan kasih sayang yang
terdapat dalam setiap novel.
[8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

1103/2 – Modul Perkembangan Pembelajaran 2/2019 [Lihat halaman sebelah
SULIT


Click to View FlipBook Version