The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

ARTIKEL - ZALEHA BINTI PUMP PUMB (Terkini)

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by zaleha.smkpibws19, 2021-07-06 01:52:35

ARTIKEL - ZALEHA BINTI PUMP PUMB (Terkini)

ARTIKEL - ZALEHA BINTI PUMP PUMB (Terkini)

ANALISIS KESALAHAN BAHASA DALAM PENULISAN KARANGAN BAHASA
MELAYU MURID-MURID MENENGAH ATAS

(Analysis Of Language Errors In Bahasa Melayu Essay Writing Among Upper Secondary
Students)

ZALEHA BNTI PUMP @ PUMB
[email protected]

DR. ROSMAH BINTI DERAK
[email protected]

ABSTRAK

Kupasan Mutu Jawapan Bahasa Melayu Kertas 1 SPM 2014 oleh Lembaga Peperiksaan
Malaysia menunjukkan calon yang lemah dalam penulisan melakukan beberapa kesalahan.
Antaranya, kesalahan tatabahasa yang ketara dari segi morfologi mahupun sintaksisis
malah penggunaan kata dan ayat yang tidak gramatis. Lantaran itu, kajian ini dijalankan
bertujuan untuk mengenal pasti dan menganalisis kesalahan morfologi, sintaksis dan
ejaan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu. Selain itu, kajian ini juga bertujuan
untuk menghuraikan faktor-faktor kesalahan bahasa. Kajian ini telah dijalankan terhadap
130 orang murid tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai IBWS,
Wilayah Persekutuan Labuan. Fokus kajian terhadap kesalahan bahasa dari aspek
morfologi, sintaksis dan ejaan. Oleh itu, Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008) dijadikan
sebagai rujukan utama untuk menjelaskan aspek yang berkaitan dengan kajian. Manakala,
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula, untuk merujuk ejaan yang tepat. Sehubungan
dengan itu, hasil penulisan karangan murid telah dijadikan bahan kajian dengan
mengaplikasikan Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981). Kaedah yang digunakan
ialah analisis kandungan teks. Hasil kajian mendapati kekerapan kesalahan morfologi dari
segi penggolongan kata dan pembentukan kata sebanyak 538 kesalahan. Selain itu, dari
aspek sintaksis terdapat kekerapan kesalahan struktur binaan ayat sebanyak 56
kesalahan. Di samping itu, sebanyak 237 kesalahan ejaan. Seterusnya, terdapat tiga
faktor dominan yang melibatkan diri responden berlakunya kesalahan bahasa iaitu kurang
pengetahuan dalam aspek sistem bahasa, keliru dengan penggunaan bahasa di media
sosial dan pengaruh penggunaan bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, dapatan

kajian ini memberikan impak terhadap amalan pengajaran dan pemudahcaraan guru di
dalam kelas agar memberikan penekanan terhadap aspek tatabahasa.

Kata kunci : Analisis kesalahan, morfologi, sintaksis, kesalahan ejaan, penulisan
karangan

ABSTRACT

ANALYSIS OF LANGUAGE ERRORS IN BAHASA MELAYU ESSAY WRITING AMONG UPPER
SECONDARY STUDENTS

Analysis on the quality of answer in SPM Bahasa Melayu paper 1 2014 by the Malaysia
Examination Board showed that a candidate who was weak in writing committed several
mistakes. Among them were significant grammatical errors in terms of morphology and syntax
and even the use of words and sentences that were not grammatical. Thus, this study was
conducted to identify and analyze morphological, syntactic and spelling errorsin Bahasa Melayu
essay writing. In addition, the aim was also to describe factors of language errors. The
study was conducted on 130 form four students of Sekolah Menengah Kebangsaan Pantai
IBWS, Federal Territory of Labuan. The focus was on language errors in terms of morphology,
syntax and spelling. Hence, The Third Edition of Tatabahasa Dewan (2008) was used as the main
reference to clarify the aspects related to the study. Whereas, The Fourth Edition of Kamus
Dewan (2005), was used to refer to accurate spelling. In relation to that, students’ essays were
used as the study material by applying The Error Analysis Theory by Corder (1981). The method
used was text contentanalysis. The results showed that the frequency of morphological errors in
terms of word classification and word formation was 538. In addition, in terms of syntax, the
frequency of sentence structure error was 56 errors. Apart from that, a total of 237 spelling
errorswere identified. Next, there were three dominant factors that involve respondents in the
occurrence of language errors, namely lack of knowledge in the aspects of languagesystem,
confusion with the use of language on social media and the influence of the use of English.
Therefore, the findings of the study do have an impact on teacher’s teaching and learning
practice in the classroom in order to emphasize on the grammatical aspects.

Keyword: Error analysis, morphology, syntax, spelling mistakes, essay writing

PENGENALAN

Dasar Pendidikan Negara mengiktiraf bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah kebangsaan dan menjadi subjek wajib lulus. Dasar ini dipercayai dapat
mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia dengan menjadikan
bahasa Melayu sebagai medium komunikasi. Hal ini dapat dibuktikan apabila kerajaan
memperkenalkan Sistem Persijilan Terbuka sejak tahun 1999. Berdasarkan sistem ini,
seseorang calon layak mendapat sijil di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan
sekurang-kurangnya lulus subjek Bahasa Melayu. Oleh itu, kepentingan subjek Bahasa Melayu
di peringkat SPM tidak dapat disangkal lagi kerana kegagalan dalam subjek tersebut akan
menjejaskan pencapaian di peringkat SPM.

Penguasaan murid terhadap kemahiran menulis dalam kalangan calon SPM sepatutnya
telah dikuasai memandangkan kemahiran ini telah mula dipelajari sejak di bangku sekolah
rendah lagi. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid di peringkat sekolah rendah
menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semasa berada di tahun enam sebelum
melangkah masuk ke sekolah menengah. Antara subjek yang ditawarkan di peringkat UPSR
termasuklah subjek Bahasa Melayu Pemahaman dan Bahasa Melayu Penulisan. Oleh itu,
kemahiran penulisan perlu dimantapkan dari semasa ke semasa dan pelbagai pendekatan boleh
diaplikasikan bagi menghasilkan penulisan yang mantap.

Murid-murid sekolah rendah yang melangkah masuk ke sekolah menengah dapat
meningkatkan kemahiran menulis selama tiga tahun sebelum menduduki Penilaian Menengah
Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mulai tahun 2014. Selain itu, kemahiran
ini dapat ditingkatkan lagi selama dua tahun sebelum seseorang murid tersebut menduduki
peperiksaan SPM. Kemahiran penulisan yang dipelajari di peringkat sekolah menengah
merupakan kesinambungan dari sekolah rendah. Pendedahan terhadap kemahiran menulis ini
telah diperkenalkan kepada murid-murid hampir 11 tahun iaitu enam tahun di sekolah rendah
dan lima tahun di peringkat sekolah menengah. Namun begitu, jangka masa yang lama
tersebut tidak menjamin murid untuk mahir dalam penulisan karangan.

Kemahiran menulis ialah satu kemahiran yang penting dan perlu dikuasai oleh murid-
murid bukan sahaja dalam pembelajaran bahasa tetapi juga untuk mata pelajaran yang lain.

Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa menjadi media untuk melahirkan buah fikiran. Aktiviti
menulis dalam apa-apa bentuk sekalipun dianggap mustahak kerana dapat membantu
meningkatkan pencapaian murid dalam pelajaran. Faedah menguasai kemahiran menulis
kepada murid tidak terhad untuk jangka masa yang pendek sahaja, bahkan berlanjutan
sepanjang usia hidup mereka (Kamarudin & Siti Hajar, 1997).

Menurut Suppiah Nachiapan (2006), dalam penghasilan sesebuah penulisan, pengarang
juga perlu menyampaikan idea secara jelas, tepat, dan berkesan. Pemilihan kata perlu
disesuaikan dengan karangan sama ada untuk tujuan perbahasan, memujuk, memberi
pendapat, atau juga bercerita. Perkembangan isi dan huraian juga dibuat dalam bentuk
perenggan yang mencirikan kesatuan sesebuah karangan. Oleh itu, murid perlu mendapat
pendedahan dan mengetahui teknik menulis yang baik sejak di bangku sekolah. Menurut beliau
lagi, penguasaan kemahiran menulis juga dapat membantu memantapkan penggunaan bahasa
yang mengandungi nilai estetika seperti yang terdapat dalam penulisan karangan fakta, naratif,
sajak, pantun dan sebagainya. Namun kegagalan dalam menguasai kemahiran menulis
mengakibatkan murid sukar hendak menyatakan mesej dalam bentuk tulisan.

Kebanyakan murid tidak mengetahui teknik menulis karangan dengan betul. Mereka
kurang diberi pendedahan cara menghasilkan karangan yang benar-benar mantap, bukan
sahaja dari segi penggunaan bahasa yang betul, tetapi juga dari segi gaya penulisan yang
teratur dan menepati ciri penulisan karangan yang sebenarnya (Abdul Jalil Othman, 2000).
Menurut Yong Chyn Shya (2012), guru memainkan peranan utama untuk memastikan kaedah
pengajaran yang sesuai dan berkesan bagi meningkatkan proses pembelajaran murid. Dalam
hal ini, mengenal pasti kesalahan bahasa merupakan salah satu pendekatan yang dilakukan
oleh guru-guru untuk membantu murid. Kesalahan bahasa yang dapat dikesan dalam penulisan
karangan dapat mempercepat proses pemerolehan, penyimpanan, mengingat semula dan
penggunaan sumber maklumat untuk membantu dalam menghasilkan pembelajaran yang lebih
efektif dalam kalangan murid.

Menurut Juriah et al., (1989) penggunaan bahasa yang menyimpang daripada peraturan
yang telah ditetapkan dapat dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kesilapan, kesalahan dan
lupaan sementara. Dalam kajian ini, penyelidik memberi fokus terhadap kesalahan bahasa.

Maksud kesalahan adalah penggunaan bentuk-bentuk bahasa yang tidak sesuai dengan
konteks sosial yang telah ditentukan oleh masyarakat penutur atau bentuk- bentuk penggunaan
bahasa yang menyalahi ciri-ciri ketatasusilaan bahasa yang telah ditetapkan secara
konvensional oleh masyarakat penutur sesuatu bahasa itu.

Manakala, menurut Corder (1981) melakukan kesalahan merupakan satu strategi yang
digunakan oleh murid dalam pembelajaran bahasa, sama ada bahasa pertama mahupun bahasa
kedua. Kesalahan juga berlaku kerana terdapat banyak peraturan yang ada pada sesuatu
bahasa, baik yang formal mahupun yang tidak formal.

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini adalah seperti berikut, iaitu :
i. mengenal pasti kesalahan morfologi, sintaksis dan ejaan dalam penulisan
karangan Bahasa Melayu.
ii. menganalisis kesalahan morfologi, sintaksis dan ejaan dalam penulisankarangan
Bahasa Melayu.
iii. menghuraikan faktor-faktor kesalahan bahasa yang terdapat dalam penulisan
karangan Bahasa Melayu.

METODOLOGI

Reka bentuk kajian yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah pendekatan kualitatif. Kaedah
analisis kandungan (content analysis) digunakan bagi mengenal pasti kesalahan dalam
penulisan karangan murid dalam aspek morfologi, sintaksis dan ejaan. Seterusnya, data kajian
akan dianalisis dengan menggunakan Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981).

Rasional pemilihan Teori Analisis Kesalahan Corder (1981) oleh penyelidik kerana
teori ini dapat menjelaskan dan mengkategorikan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh murid-
murid dengan cara yang lebih sistematik. Selain itu, aplikasi teori tersebut dalam kajian ini kerana
akan membantu guru-guru untuk mengenal pasti kesalahan yang cenderung dilakukan oleh
murid-murid. Dengan cara ini, guru-guru dapat melaksanakan kaedah yang bersesuaian dengan
kelemahan yang dikenal pasti untuk tujuan penambahbaikan.

mengenal pasti kesalahanTeori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981)
bahasa

kesalahan yang dikenal pasti
dijelaskan dan dihuraikan

kesalahan yang dikenal pasti
ditentukan kekerapannya

Rajah 1 : Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981)

Berdasarkan Rajah 1, beberapa prosedur perlu dijalankan iaitu mengenal pasti kesalahan
bahasa yang dilakukan oleh murid. Dalam kajian ini, kesalahan bahasa yang dikenal pasti dari
aspek morfologi ialah penggolongan kata dan pembentukan kata. Manakala, kesalahan bahasa
dariaspek sintaksis pula, kajian dilakukan untuk mengkaji kesalahan dari segi pengguguran subjek
dan pengguguran predikat. Akhir sekali, kajian ini juga mengenal pasti kesalahan ejaan iaitu
memberikan fokus kepada kesalahan ejaan yang telah dikategorikan kepada empat jenis.

Seterusnya, langkah kedua berdasarkan Teori Analisis Corder ialah kesalahan yang telah
dikenal pasti hendaklah dijelaskan dan dihuraikan. Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh sampel
dihuraikan dalam kajian ini dengan menjadikan Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008)
sebagai rujukan utama untuk menjelaskan kesalahan morfologi dan kesalahan sintaksis.
Manakala, Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula, digunakan untuk merujuk ejaan yang tepat.

Akhir sekali, langkah ketiga berdasarkan Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981) ialah
kesalahan yang dikenal pasti ditentukan kekerapannya. Kekerapan kesalahan morfologi, kesalahan
sintaksis dan kesalahan ejaan ditunjukkan menggunakan jadual untuk melihat bilangan kesalahan
bahasa yang dilakukan mengikut kategori kesalahan yang telah ditentukan dalam kajian ini.

DAPATAN KAJIAN

Terdapat banyak kesalahan bahasa dalam penulisan karangan yang telah dikenal pasti
dilakukan oleh murid-murid tingkatan empat. Fokus kajian ini adalah untuk mengenal pasti dan
menganalisis kesalahan dari aspek morfologi, sintaksis dan kesalahan ejaan dalam penulisan
karangan Bahasa Melayu. Selain itu, faktor-faktor yang menyebabkan kesalahan bahasa dalam
penulisan karangan Bahasa Melayu dengan mengambil kira faktor diri sampel kajian.

Dalam kajian ini juga dihuraikan kesalahan dari aspek yang dikaji dan membuat
pembetulan atas kesalahan tersebut. Penyelidik juga menggunakan Tatabahasa Dewan Edisi
Ketiga (2008) dan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) sebagai rujukan utama untuk
menjelaskan aspek yang berkaitan dengan kajian dalam mengenal pasti dan menganalisis
kesalahan dalam penulisan karangan dan membuat pembetulan atas kesalahan bahasa yang
dilakukan oleh responden.

Selain itu, kesalahan bahasa dianalisis dengan menggunakan Teori Analisis Kesalahan
oleh Corder (1981). Bagi mengaplikasikan teori ini, beberapa prosedur telah dilakukan iaitu
mengenal pasti kesalahan bahasa yang dilakukan oleh murid. Seterusnya, kesalahan yang
dikenal pasti dibincangkan dan ditentukan kekerapannya untuk mendapatkan maklumat bagi
tujuan penambahbaikan.

1.1 Kesalahan morfologi dalam penulisan karangan Bahasa Melayu
Kajian ini mengenal pasti dan menganalisis kesalahan morfologi dalam penulisan karangan
Bahasa Melayu murid-murid menengah atas. Dalam kajian ini, kesalahan dari aspek
penggolongan kata didapati begitu ketara. Golongan kata yang telah dikenal pasti ialah
kesalahan penggunaan kata tugas dan kata nama. Penggolongan kata tugas melibatkan kata
sendi nama, kata pemeri, kata tanya, kata hubung dan kata bilangan. Manakala, kata nama
hanya melibatkan kata ganti nama diri ketiga sahaja.

Menurut Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981), kesalahan bahasa yang telah
dikenal pasti berkaitan kesalahan morfologi meliputi penggolongan kata dan pembentukan kata.
Jadual 1 menunjukkan kekerapan dan peratusan kesalahan dari aspek morfologi berkaitan
penggolongan kata.

Jadual 1 : Kesalahan dari aspek morfologi (penggolongan kata)

Golongan Jenis Kekerapan Peratus (%)
130 32.7
Kata tugas Kata sendi nama 90 22.6
19 4.8
Kata pemeri 19 4.8
18 4.5
Kata tanya 122 30.6
398 100.0
Kata hubung

Kata bilangan

Kata Nama Kata ganti nama

Jumlah

Berdasarkan Jadual 1, kesalahan penggolongan kata tugas jenis kata sendi nama
merupakan kesalahan yang paling banyak dilakukan oleh sampel kajian iaitu 130 kesalahan
(32.7 %). Diikuti oleh kata pemeri sebanyak 90 kesalahan (22.6 %), kata tanya dan kata
hubung mempunyai jumlah yang sama iaitu sebanyak 19 kesalahan (4.8 %). Akhir sekali, kata
bilangan hanya 18 kesalahan (4.5 %) iaitu kekerapan paling sedikit jika dibandingkan dengan
kata tugas yang lain. Penggolongan kata nama pula menunjukkan kekerapan kesalahan kata
ganti nama sebanyak 122 kesalahan (30.6 %). Berdasarkan Teori Analisis Kesalahan oleh
Corder (1981), kekerapan kesalahan dari segi morfologi sebanyak 398 kesalahan.

1.2 Kesalahan sintaksis dalam penulisan karangan Bahasa Melayu
Kajian ini juga bertujuan mengenal pasti dan menganalisis kesalahan sintaksis dalam penulisan
karangan Bahasa Melayu murid-murid menengah atas. Berdasarkan Teori Analisis Kesalahan
oleh Corder (1981), kesalahan bahasa berkaitan dengan kesalahan sintaksis dalam penulisan
karangan Bahasa Melayu yang dikenal pasti ialah pengguguran subjek dan pengguguran
predikat. Menurut Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), ayat ialah unit pengucapan
yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap,
yang pengucapannya dimulai dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi
yang sempurna.

Jadual 2 : Kesalahan dari aspek sintaksis : binaan ayat

Jenis Kesalahan Kekerapan Peratusan
1. Kesalahan dari segi pengguguran 53 kesalahan 94.64 %
subjek
2. Kesalahan dari segi pengguguran 3 kesalahan 5.36 %
predikat
56 kesalahan 100
Jumlah

Jadual 2 menunjukkan kekerapan kesalahan dari segi pengguguran subjek dan predikat
dalam ayat berdasarkan korpus. Berdasarkan Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981)
sebanyak 56 kekerapan kesalahan bahasa dari segi pengguguran subjek dan predikat.
Berdasarkan data tersebut kelemahan sampel kajian begitu ketara apabila menggugurkan
subjek dalam ayat iaitu sebanyak 53 kesalahan bersamaan 92.98 %. Hal ini menyebabkan
ayat yang dibina kurang gramatis. Kesalahan dari segi pengguguran predikat pula, hanya tiga
kesalahan sahaja. Apabila predikat digugurkan menyebabkan ayat tersebut tergantung dan
makna ayat kurang jelas.

1.3 Kesalahan dalam penulisan karangan dari aspek ejaan
Objektif kajian seterusnya ialah mengenal pasti dan menganalisis kesalahan ejaan dalam
penulisan karangan Bahasa Melayu murid-murid menengah atas. Berdasarkan Teori Analisis
Kesalahan oleh Corder (1981) sebanyak 237 kekerapan kesalahan ejaan telah dikenal pasti oleh
penyelidik yang dilakukan oleh responden.

Penyelidik mengkategorikan empat jenis kesalahan ejaan untuk dihuraikan dalam kajian
ini seperti dalam Jadual 3 iaitu kesalahan mengeja kata serapan, kesalahan mengeja kata
majmuk, kesalahan mengeja menggunakan kata sendi nama ‘di’, ‘ke’ dan awalan ‘di’ dan
kesalahan mengeja perkataan-perkataan lain. Kesalahan mengeja perkataan-perkataan lain
merupakan kekerapan tertinggi iaitu sebanyak 110 kesalahan iaitu bersamaan 46.41 peratus.
Kategori kesalahan jenis ini meliputi kesalahan mengeja perkataan lain selain kesalahan
mengeja kata serapan, kesalahan mengeja kata majmuk dan kesalahan mengeja
menggunakan kata sendi ‘di’, ‘ke’ dan awalan ‘di’.

Diikuti dengan kesalahan mengeja menggunakan kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ sebanyak 76
kesalahan iaitu 32.07 peratus. Seterusnya, kesalahan mengeja kata majmuk menunjukkan 29
kesalahan bersamaan 12.24 peratus. Akhir sekali, kesalahan mengeja kata serapan merupakan
kekerapan terendah iaitu sebanyak 22 kesalahan dengan 9.28 peratus. Kesalahan ejaan yang
dilakukan oleh sampel sudah pasti akan menjejaskan makna dan menjejaskan hasil penulisan
karangan yang dihasilkan.

Jadual 3 : Jenis-jenis Kesalahan Ejaan

Bil Jenis kesalahan ejaan Jumlah Peratus

1 Mengeja kata serapan 22 9.28
2 Mengeja kata majmuk 29 12.24

3 Mengeja menggunakan kata sendi nama 76 32.07

‘di’, ‘ke’ dan awalan ‘di’

4 Mengeja perkataan-perkataan lain 110 46.41

JUMLAH 237 100

1.4 Faktor-faktor kesalahan bahasa dalam penulisan karangan Bahasa Melayu
Terdapat 10 kriteria penskoran untuk menghasilkan karangan pada tahap cemerlang iaitu 80-
100 markah. Lima daripada sepuluh kriteria tersebut melibatkan bahasa iaitu penggunaan
pelbagai jenis kata yang luas dan tepat, penggunaan kosa kata luas dan tepat, ejaan dan tanda
baca yang betul, penggunaan pelbagai ayat yang gramatis dan penggunaan unsur bahasa
bervariasi. Perkara ini menunjukkan seseorang itu perlu cakna terhadap penggunaan bahasa
dalam penulisan karangan supaya dapat menghasilkan penulisan karangan yang mantap.

Bagi Corder (1967), kesilapan memang tidak boleh dielakkan dalam proses
pembelajaran bahasa. Tambahan pula, bahasa Melayu bahkan bahasa-bahasa lain di dunia
mempunyai sistem bahasa Melayu yang unik dan tersendiri. Dalam sistem setiap bahasa
terkandung struktur-struktur nahu yang meliputi aspek pembentukan kata, pembinaan dan
penyusunan kata serta ayat dan sebagainya yang perlu dipatuhi oleh pengguna bahasa.
Menurut Corder (1973) pula, kesilapan dalam berbahasa tidak dapat dielakkan jika terlalu
banyak peraturan khusus yang terdapat dalam bahasa yang digunakan oleh penutur.

Menurut Awang Sariyan (2001), ramai pelajar mendapat pencapaian yang baik (51-65
markah) dalam kertas Bahasa Melayu kerana faktor kesalahan bahasa dalam penulisan.
Semakin banyak kesalahan bahasa, khususnya dari segi morfologi dan sintaksis, semakin
rendahlah markah yang diperoleh oleh mereka dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Menurut
Noraini Husin, Sarimah Shamsudin dan Amerrudin Abd. Manan (2015), kosa kata memainkan
peranan penting dalam pembinaan ayat.

Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh responden sama ada secara sengaja atau tidak
sengaja adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Dalam kajian ini, penerangan hanya terbatas
disebabkan oleh faktor diri responden. Menurut Zaliza Mohamad Nasir (2017) unsur tatabahasa
memainkan peranan penting sebagai penentu hubungan dan perkaitan antara idea yang
terkandung dalam wacana.

1.4.1 Kurang pengetahuan dalam aspek bahasa.
Faktor utama kesalahan bahasa adalah kerana kurang pengetahuan dalam aspek sistem
bahasa.Oleh itu, kesalahan bahasa cenderung dilakukan dalam penulisan mahupun pertuturan.
Terdapat responden kurang cakna terhadap penggunaan bahasa yang tepat. Perkara ini sudah
tentu akan memberi impak dalam penulisan. Tambahan pula, masa untuk mengajar Bahasa
Melayu di sekolah menengah telah dikurangkan daripada 40 minit kepada 30 minit untuk satu
waktu bermula tahun 2017. Waktu mengajar Bahasa Melayu seminggu ialah tujuh waktu yang
digunakan untuk mengajar bahagian karangan, komponen sastera, rumusan dan sistem bahasa
khasnya murid-murid menengah atas.

Tidak dapat dinafikan bahawa aspek tatabahasa diajarkan di dalam kelas oleh guru
sama ada secara terancang atau diselitkan dalam bahagian lain. Namun begitu, penekanan
kurang dilakukan dalam membaiki kesalahan bahasa yang dilakukan oleh murid. Hal ini
disokong oleh Abdullah Hassan (2004) yang menyatakan bahawa murid hanya diajarkan
tatabahasa dan terpulanglah kepada murid tersebut menggunakan bahasa menurut tafsiran
sendiri.

1.4.2 Keliru dengan penggunaan bahasa di media sosial
Faktor lain ialah keliru dengan penggunaan bahasa di media sosial. Perkembangan teknologi
semakin hari semakin pesat. Hampir semua murid mempunyai telefon pintar dan lebih
cenderung mendapatkan maklumat melalui laman sesawang. Situasi ini menyebabkan murid
terdedah dengan penggunaan bahasa yang salah. Mereka keliru dengan penggunaan bahasa
yang betul terutama apabila membuat rujukan melalui media sosial. Sedangkan tidak ada pihak
yang mengedit bahasa sebelum bahan tersebut dimuat naik di media sosial. Kekeliruan tersebut
boleh diatasi jika seseorang tersebut lebih berhati-hati dalam menggunakan bahasa dengan
membuat rujukan di tempat yang betul. Walau bagaimanapun, kesalahan dilihat tetap berlaku
walaupun bagi soalan yang dianggap mudah dan keadaan ini boleh dikaitkan dengan faktor
murid yang tidak berhati-hati ketika menggunakan bahasa (Corder, 1973).

1.4.3 Pengaruh penggunaan bahasa Inggeris
Faktor pengaruh penggunaan bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan lagi dalam kalangan murid.
Hal ini dikatakan demikian kerana cabaran subjek bahasa Melayu apabila murid kerap
menggunakan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris dalam pertuturan
dengan rakan sebaya. Sikap sesetengah individu yang mengutamakan bahasa Inggeris
berbanding menggunakan bahasa Melayu sudah pasti memberi kesan terutama dalam mengeja
perkataan bahasa pinjaman. Selain itu, ada dalam kalangan ibu bapa yang mencampuradukkan
penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris apabila bercakap dengan anak-anak.
Kebiasaan yang dilakukan tersebut akan menyebabkan seseorang itu terbawa-bawa dalam
penulisan kadang kala tanda disedari.

KESIMPULAN

Data telah berjaya dikutip dan dikumpul daripada 130 orang sampel. Dapatan kajian diperoleh
daripada korpus, dianalisis dengan teliti untuk mengenal pasti kesalahan bahasa yang dilakukan
oleh responden. Faktor-faktor berlakunya kesalahan bahasa juga telah dapat dihuraikan oleh
penyelidik dengan mengambil kira faktor diri responden sahaja. Analisis kesalahan bahasa
dalam penulisan karangan yang dijalankan oleh penyelidik memberikan maklumat yang
berguna untuk tenaga pengajar mencari kaedah dan strategi yang bersesuaian dengan

permasalahan yang telah dikenal pasti.

Dapatan kajian mendapati, kesalahan bahasa dari segi morfologi melibatkan
penggolongan kata dan pembentukan kata. Sebanyak 398 kesalahan telah dikenal pasti
dilakukan oleh responden. Selain itu, kesalahan bahasa dari aspek sintaksis mendapati
kesalahan yang kerap dilakukan ialah pengguguran subjek dan pengguguran predikat.
Kesalahan pengguguran subjek merupakan kesalahan bahasa yang tertinggi dilakukan
berbanding dengan pengguguran predikat. Seterusnya, didapati terdapat 237 kesalahan ejaan
yang dikategorikan kepada empat jenis kesalahan iaitu mengeja kata serapan, kata majmuk,
kata sendi nama dan perkataan lain.

Akhir sekali, terdapat tiga faktor utama yang telah dikenal pasti oleh penyelidik yang
memyebabkan kesalahan bahasa dilakukan oleh responden iaitu kurang pengetahuan dalam
aspek sistem bahasa, keliru dengan penggunaan bahasa di media sosial dan pengaruh
penggunaan bahasa Inggeris. Oleh hal yang demikian, guru bahasa memainkan peranan yang
penting untuk memastikan pengajaran berkaitan sistem bahasa diajar di dalam kelas secara
sistematik. Mereka perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran agar
dapat menghasilkan murid yang mahir dalam tatabahasa untuk menghasilkan penulisan
karangan yang cemerlang.

RUJUKAN

Abdul Hamid Mahmood. 1995. Ejaan Bahasa Melayu Terkini. Kajang: Masa Enterpprise. Abdul
Hamid Moiden, Jessica Ong Hai Liaw & Norlaila Mazun bt Mohaiyadin. 2019.
Kesalahan Bahasa dalam Teks Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor
(JAIS). e-Prosiding Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan . 24-25
April 2019. Hlm. 117-126.

Abdul Jalil Othman. 2000. Analisis Tautan Ayat dari Segi Kohesi Nahuan dan Leksikal dalam
Penulisan Karangan. Jurnal Bahasa. 44: 826-845.

Abdullah Hassan. 2004. Tatabahasa Bahasa Melayu: Morfologi dan Sintaksis. Bentong : PTS
Publications & Distributions Sdn Bhd.

Abdullah Hassan. 2007. Linguistik Am. Selangor: PTS Professionl Publishing Sdn Bhd.

Ahmad Khair Mohd Nor. 2011. Persoalan Tatabahasa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributor.

Alhaadi Ismail & Zaitul Azma Zainon Hamzah. 2018. Analisis Kesalahan dalam Penulisan
Pelajar Bahasa Kedua dari Aspek Morfologi. Jurnal Linguistik. Vol.22(1) Jun 2018(024-
031)

Amirra Shazrena Aminul Razin & Vijayaletchumy Subramaniam. 2019. Kesalahan Penggunaan
Imbuhan Awalan dan Akhiran dalam Kalangan Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil
berdasarkan Teori Analisis Kesalahan Corder (1973). International Journal of the
Malay World and Civilisation, 7 (1): 3-13

Apiani, Mia. 2016. Analisis Kesalahan Berbahasa Bidang Morfologi oleh Komunitas Jual- Beli
Online di Mataram Nusa Tenggara Barat. Skripsi. Program Studi Pendidikan Bahasa,
Sastra Indonesia dan Daerah. Universitas Mataram.

Awang Sariyan. 1984. Isu-isu Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Awang Sariyan. 2001. Sikap Punca Bahasa Melayu Terabai. Berita Harian, 4 Mac 2001. Azhar
Bahari, Mazli Ali & Nawi Ismail. 2013. 160 Contoh Karangan SPM Bahasa Malaysia.
Selangor : Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

BH Online. SPM 2024: 11,289 Calon Dapat A Semua Subjek dipetik daripada
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2015/03/38042/spm-2014-11289-
calon-dapat-dalam-semua-subjek. Diakses pada 30 Disember 2020.

Corder, S.P. 1967. The Significance of learners' errors. Reprinted in J.C. Richards (ed.)
(1974,1984) Error Analysis: Perspectives on Second Language Acquisition. London:
Longman, pp. 19-27 (Originally in International Review of Aplied Linguistics, 5(4).

Corder, S.P. 1973. Introducing Applied Linguistics. Lincoln: Peguin Books Ltd.

Corder, S.P. 1981. Error Analysis and Interlanguage. Oxford University Press:Oxford.

Hazlina Abdul Halim & Ang Lay Hoon. 2015. Kesalahan Pemilihan dan Pembentukan Kata
dalam Terjemahan Bahasa Perancis. Journal of Language Studies. 15(2), 151- 164

Junaini Kasdan, Nor Suhaila Che Pa & Mohd Syamril Aklmar Che Kassim. 2015. Penguasaan
Bahasa Melayu Penjawat Awam: Kajian Kes di Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Jurnal Linguistik 19(2), (045-061).

Juriah Long, Raminah Hj. Sabran & Sofiah Hamid. 1989. Analisis Kesalahan Bahasa dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kupasan Mutu Jawapan Bahasa Melayu 1 1103/1 SPM. 2014. Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Marohaini Yusof, Mahzan Arshad & Abdul Jalil Othman. 2006. Bahasa Melayu Buku Teks
Tingkatan 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Hazreen Shah Hassan & Sharil Niam Sha'ri. 2019. Analisis Kesalahan Penggunaan
Bahasa dalam Rencana Akhbar. Serdang: Universiti Putra Malaysia.

Mohd Majid Konting. 2000. Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: DewanBahasa
dan Pustaka.

Mohd. Nasrudin Basar. 1997. Perkaitan Antara Kemahiran Menulis Karangan dengan

Kecekapan Penggunaan Tatabahasa Bahasa Malaysia dalam Kalangan PelajarTingkatan
Empat. (Tesis Sarjana Pendidikan) Universiti Sains Malaysia.

Moghimizadeh, R.P. 2008. The study of Syntactic Avoidance on the Written Production of
Persian University Students Majoring in Teaching English as a Foreign Language.
Disertasi tidak diterbitkan. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.

Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Haji Musa & Abdul Hamid Mahmood 2008. Tatabahasa
Dewan Edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noraini Idris. 2013. Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill (M) Sdn
Bhd.

Nurul Aisyah Abdullah, Zamri Mahamod Azwa Hanum Nor Shaid. 2016. Faktor yang
Mempengaruhi Penulisan Karangan Bahasa Melayu Pelajar Menengah. Jurnal
Pendidikan Melayu, 6(2):1-9

Nurul Adzwa Ahamad, Nur Farahkhanna Mohd Rusli & Norfaizah Abdul Jobar. 2020. Analisis
Kesalahan Imbuhan dalam Penulisan Karangan Pelajar dan Hubung Kait dari Segi
Makna Gramatikal. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. 10(1), 77-90.

Nurul Hidayahmuji Lestari, Panji Kuncoro Hadi & Ermi Adriani Meikayanti. 2015. Analisis
Kesalahan Berbahasa dalam Tataran Linguistik di Kanor Desa Teguhan Kecamatan
Paron Kabupaten Ngawi. Widyabastra 3(2), 66-75.

Peraturan Pemarkahan Kertas 1 SPM. 2017: Lembaga Peperiksaan.

Raminah Hj. Sabran. 2015. Pendekatan Wacana dalam Penulisan Esei. Pelita Bahasa
(30-33)

Roselan Baki. 1994. Panduan Mengarang untuk Guru dan Pelajar. Kuala Lumpur: Greenridge
Publishing Sdn Bhd.

Salinah Jaafar & Rohaidah Haron. Kesilapan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Universiti
kebangsaan Yunan Akademi Pengajian Melayu. Jurnal 15(2): 196-209.

Siti Baiduri Kasiran dan Nurul Jamilah Rosly. 2011. Kesalahan Tatabahasa Bahasa Melayu
dalam Karangan Pelajar Asing di Sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam. LSP
International Journal . 7(1), 39-59.

Siti Norsyahida Mohd A.Rashid, Nor Yaakob & Che Ibrahim Salleh. Penggunaan Bahasa
dalam Laman Blog dari Aspek Morfologi. Journal of Business and Social Development.
3(2), 34-50.

Suppiah Nachiappan. 2006. Penggunaan Gaya Bahasa dan Pemprosesan Informasi dalam
Penulisan Karangan Melalui Melalui Analisis Hermeneutik. Tanjung Malim: Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wahyu Oktavia. 2018. Analisis Kesalahan Berbahasa Bidang Morfologi dalam Wacana Jual
Beli Daring di Instagram. Program Studi Tadris Bahasa Indonesia: Institut Agama
Islam Negeri Surakarta.

W. Azlinda Wan Mukhtar. 2003. Kata Sendi Nama dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Bahasa Melayu di Sekolah Menengah: Satu Tinjauan. (Tesis Ijazah Sarjana Muda
tidak diterbitkan) Tanjong Malim. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wuhan Triastuti. 2018. Analisis Kesalahan Berbahasa pada Karangan Deskripsi Siswa KelasVII
SMP Muhammadiyah Piyungan Tahun Ajaran 2017/2018. Program Studi Pendidikan
Bahasa dan Sastra Indonesia: Falkutas Keguruan dan Ilmu Pendidikan Universitas
PGRI Yogyakarta.

Yong Chyn Chye et al., 2012. Analisis Kesilapan dalam Pembelajaran Bahasa Melayu oleh
Pelajar Asing. Pusat Pengajian Asas dan Lanjutan (FOSEE): Universiti Multimedia.

Zaliza Mohamad Nasir. 2017. Kesalahan Tatabahasa Bahasa Melayu dalam Penulisan
Karangan Pelajar. Universiti Teknologi Malaysia.


Click to View FlipBook Version