The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

TEKS UCAPAN PENGARAH - MAJLIS APRESIASI AHP

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ameerul.181394, 2022-11-15 18:24:46

TEKS UCAPAN PENGARAH - MAJLIS APRESIASI AHP

TEKS UCAPAN PENGARAH - MAJLIS APRESIASI AHP

TEKS UCAPAN PENGARAH

YBrs. ENCIK TAUFIK BIN BAHAR
PERBADANAN TAMAN NEGARA JOHOR

MAJLIS APRESIASI SEMPENA PENGIKTIRAFAN TAMAN NEGARA JOHOR
ENDAU ROMPIN SEBAGAI ASEAN HERITAGE PARK YANG KE-51

_____________________________________________________________________________

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Maju Johor.

Terima kasih saudara pengacara majlis,

(Salutasi)

1. Alhamdulillah, pertamanya marilah kita sama-sama merafakkan
kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izinNya jua,
dapat kita sama-sama hadir di dalam MAJLIS APRESIASI SEMPENA
PENGIKTIRAFAN TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU ROMPIN
SEBAGAI ASEAN HERITAGE PARK YANG KE-51.

2. Majlis Apresiasi ini yang kita adakan adalah sebagai manifestasi
penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah menyumbang
sehingga Taman Negara Johor Endau Rompin telah diiktiraf di rantau
ASEAN sebagai ASEAN Heritage Park (AHP) yang ke-51 pada 07 Julai
2022 manakala, sijil penganugerahan tersebut baru sahaja kami terima di
Bogor, Indonesia bersempena Asean Heritage Parks Conference pada
31 Oktober hingga 4 November 2022 baru-baru ini.

3. Pengiktirafan yang dianugerahkan ini boleh dianggap sebagai
hadiah kepada kami kerana pada tahun ini, tahun 2022 merupakan tahun
yang ke-30 penubuhan Perbadanan Taman Negara Johor. Untuk
makluman semua, Perbadanan Taman Negara Johor merupakan badan
berkanun yang ditubuhkan Kerajaan Negeri Johor melalui Enakmen
Perbadanan Taman Negara (Johor) 1989 pada 1 Januari 1992 dengan
tanggungjawab untuk menguruskan pemeliharaan dan perlindungan
terhadap kepelbagaiaan hidupan liar serta habitatnya di negeri Johor.

4. Sesungguhnya, boleh saya katakan, saya hanya menumpang di
atas kejayaan ini. Ini kerana, saya baru sahaja dilantik sebagai Pengarah
Perbadanan Taman Negara Johor pada 7 Ogos 2022 yang lepas. Walhal,
usaha untuk mendapatkan pengiktirafan ini sudah bermula menghantar
permohonan dan kertas kerja pada 4 tahun yang lalu. Alhamdulillah,
berkat usaha dan kerjasama daripada semua pihak daripada pelbagai
agensi baik Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, pihak swasta
mahupun badan bukan kerajaan, akhirnya kerja keras tersebut menemui
kejayaan.

5. Dalam majlis ini, Perbadanan Taman Negara Johor menjemput
mantan-mantan Pengarah PTNJ,
Terima kasih (Sebutkan satu-satu nama mantan Pengarah yang
hadir).......
Pihak universiti-universiti yang telah banyak membuat kajian dan
penyelidikan, NGO iaitu Wildlife Conservation Society (WCS) dan
Malaysian Nature Society (MNS) yang tidak asing lagi, agensi Kerajaan
Negeri mahupun Persekutuan yang dari dulu sehingga sekarang telah
banyak membantu Perbadanan Taman Negara Johor.

6. Semoga dengan pengiktirafan ini akan memberi lonjakan kepada
Perbadanan Taman Negara Johor khususnya, dan Kerajaan Negeri Johor
amnya, dalam meningkatkan pengurusan dan pemuliharaan biodiversiti.

YB Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati
sekalian,

7. Untuk makluman, Taman Negara Johor Endau-Rompin merupakan
Tapak Warisan ASEAN yang ke-4 di Malaysia selepas Taman Negara
(Pahang, Kelantan, Terengganu), Taman Negara Kinabalu (Sabah) dan
Taman Negara Gunung Mulu (Sarawak).

8. Untuk makluman, Tapak Warisan ASEAN sebenarnya merupakan
suatu Kawasan Perlindungan yang terpilih di kalangan negara-negara
Asia Tenggara yang memiliki kekayaan dan kepelbagaian biologi,
ekosistem yang unik, hutan belantara dan nilai estetik, kebudayaan,
pendidikan, penyelidikan, rekreasi dan pelancongan. Melalui
pengisytiharan ini, negara-negara anggota ASEAN adalah bersetuju
berkerjasama untuk membangunkan dan melaksanakan pemuliharaan
serantau.

9. Pengenalan Taman Negara Johor Endau Rompin adalah
sepertimana di dalam video awal sebentar tadi yang menerangkan
kepelbagaian dan kekayaan biodiversiti dan khazanah alam ciptaan Allah
SWT.

11. Untuk makluman semua, logo baharu Perbadanan Taman Negara
Johor, adalah direalisasikan daripada gabungan antara badak Sumatera
dengan pokok kipas spesis Livistona Endauensis yang diilhamkan sendiri
oleh Penaung Perbadanan Taman Negara Johor, Yang Amat Mulia
Tunku Idris Iskandar Al Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong
Johor. Menjunjung Kasih Tunku.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

12. Sokongan dan dokongan daripada agensi yang terlibat dalam
Operasi Bersepadu Khazanah atau lebih dikenali sebagi OBK sangat-
sangat membantu pihak Perbadanan Taman Negara Johor dalam
melaksanakan aktiviti penguatkuasaan. Terima kasih diucapkan kepada
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia
(Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Polis DiRaja Malaysia serta lain-lain
agensi dalam mengekang pencerobohan di kawasan perlindungan.

13. Selain itu, ECER telah memperuntukkan sebanyak RM 8.68 juta
bagi Projek Pembangunan Rainforest Discovery Centre (RDC). Antara
komponen projek RDC ialah :-

a) Pejabat Pengurusan
b) Kompleks Pelawat
c) Kemudahan Awam (Tandas & Surau)
d) Infra Perkhidmatan (Sistem rawatan air & rumah sampah)

Insha Allah, projek ini akan siap pada April 2023 dan penyerahan
kepada PTNJ dijangka pada Jun 2023. Dengan siapnya Projek RDC
ini, pengurusan dan pentadbiran Taman Negara Johor Endau-Rompin
(Peta) khususnya akan lebih teratur.

14. Tambahan lagi, pihak Plan Malaysia juga telah menyiapkan
Rancangan Kawasan Khas Pembangunan (RKK) Taman Negara Endau-
Rompin, Johor. Ianya di peringkat akhir sebelum diwartakan. Di dalam

RKK ini, terdapat 50 cadangan berpandukan 9 strategi dalam memastikan
Taman Negara Johor Endau-Rompin sebagai kawasan biodiversiti
terlindung yang lestari serta destinasi eko pelancongan bernilai tinggi.

YB Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati
sekalian,

15. Bagi mendepani masa hadapan selepas Endau Rompin diiktiraf
sebagai ASEAN Heritage Parks, Taman Negara Johor perlu
mempergiatkan lagi usaha-usaha konservasi serta penyelidikan ke atas
khazanah alam yang masih banyak lagi perlu diterokai.

16. Untuk itu, saya menyeru kepada semua pihak khususnya universiti-
universiti yang hadir pada majlis ini, teruskan kerjasama dengan
Perbadanan Taman Negara Johor dari pelbagai aspek. Kami sentiasa
bersedia untuk menerima penyelidik serta menerima pelajar-pelajar
praktikal yang ingin menjalankan kajian serta internship di Taman Negara
Johor.

17. PTNJ juga akan membuat satu kerjasama dengan Jabatan
Pendidikan Negeri Johor untuk dijadikan sekolah angkat ke atas sekolah-
sekolah yang kedudukannya berhampiran dengan Taman Negara Johor.
Yang mana PTNJ akan mengutamakan sekolah-sekolah angkat ini dalam
memberikan apa-apa pendedahan atau program-program Taman Negara
Johor. Sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Kampung Kudong, Sekolah
Kebangsaan Seri Bekok, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bekok
dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bekok yang berhampiran dengan
Taman Negara Johor Endau Rompin Selai.

18. Selain itu, Perbadanan Taman Negara Johor juga memang
mempunyai cadangan untuk membina Living dan specimen Lab di Taman
Negara Endau Rompin untuk dijadikan stesen utama pengkaji, penyelidik
dan ahli pendidikan. Tempat ini juga akan menjadi pusat menampung
aktiviti saintis, pelajar dan orang awam yang ingin belajar tentang alam
semula jadi.

19. Berkaitan eco-tourism, sememangnya banyak perancangan kami
yang ingin buat untuk membangunkan sektor pelancongan. Sebagai
contoh, di dalam RKK Endau Rompin sendiri, PTNJ ada mencadangkan
untuk membina canopy walkway dan jambatan gantung. Selain itu juga,

tapak campervan dan glamping berkonsepkan ecolodge dan tree house
juga memang di dalam perancangan pihak PTNJ. Bagaimanapun, ianya
tertakluk kepada peruntukan. Pilihan lain, saya menyeru pihak korporat
yang ada cadangan untuk kerjasama secara penswastaan datang kepada
kami untuk perbincangan lanjut.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

20. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan
jutaan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat
secara langsung dan tidak langsung terutamanya Kerajaan Negeri,
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), ASEAN Center for
Biodiversity (ACB), jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pengajian
awam serta badan-badan bukan kerajaan dalam menjayakan
pengiktirafan yang gemilang ini.

21. Sekali lagi, saya ingin ucapkan terima kasih kepada Tuan Haji
Suhairi bin Haji Hashim, Pengarah Tourism Johor sebagai wakil rasmi
kepada Yang Berhormat Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy, Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri
Johor bagi menyempurnakan majlis kita pada hari ini.

22. Izinkan saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun :

POKOK GAHARU KAYU ARA
JIKA DICEROBOH MENINGGALKAN KESAN
SAYA MENYERU WAHAI SAUDARA
MARI BERSAMA MENJAGA WARISAN

Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalammualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.

Terima Kasih.


Click to View FlipBook Version