The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by mohdanamran, 2018-10-14 10:47:32

TEKS UCAPAN VIP MAJLIS GRADUASI SMK SHAH ALAM 2018 BUKU

1

TEKS UCAPAN PERASMI MAJLIS GRADUASI 2018
SMK SHAH ALAM

PROFESOR MADYA DR. SAHILAH ABD. MUTALIB
PENYELARAS PROGRAM PHD,

PUSAT BIOTEKNOLOGI DAN MAKANAN BERFUNGSI,
FAKULTI SAINS DAN TEKNOLOGI,
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)






Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Yang Berusaha, En. Rasul Maideen bin Haja Maideen,
Pengetua Cemerlang SMK Shah Alam,

Yang Dihormati, En. Mohdan bin Amran,
YDP PIBG SMK Shah Alam,

Barisan Penolong Kanan,

Ketua-ketua Bidang, guru-guru, ibu bapa
dan pelajar-pelajar yang dihormati sekalian.


Tanam selasih tepi permatang,
Awan berarak di senja hari,
Terima kasih sudi mengundang,
Moga berseri majlis dirai.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi
menjemput saya untuk merasmikan Majlis Graduasi SMK Shah Alam, bagi tahun 2018
ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak sekolah kerana
berjaya mengadakan program ini sebagai suatu program tahunan demi kepentingan
para pelajar. Walau apa-apa sahaja nama yang diberikan untuk majlis seperti ini, yang
pasti Majlis Graduasi merupakan suatu majlis khas untuk meraikan pelajar-pelajar yang
telah membuktikan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik, mahupun
kokurikulum. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar cemerlang di
sekolah ini.

2

Tuan-tuan dan puan-puan,

Mutakhir ini, kita mendapati bahawa dunia pendidikan semakin mencabar. Para
pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai
pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Hal ini
selari dengan saranan pihak kerajaan, iaitu untuk meluaskan akses pendidikan
berkualiti dan berkemampuan. Dalam konteks ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee
Malik berkata, "Modal insan negara kita seharusnya menerima pendidikan holistik yang
seimbang antara bidang akademik dan kemahiran teknikal. Para pendidik pula
seharusnya berupaya menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan yang efisien
menerusi teknologi.

Selain itu, kita juga diingatkan sentiasa bersiap siaga agar ekonomi negara kita
lebih berdaya saing dan terkedepan, dipacu oleh tenaga kerja yang berkembang maju
supaya ekonomi kita terus produktif, inovatif dan kompetitif.

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) merupakan tunjang inovasi bagi
melahirkan dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk
memantapkan kualiti pendidikan negara. Pihak kerajaan umumnya dan pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya sentiasa berusaha dan bersedia
untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui
inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

Cendekiawan ada menyatakan tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha
sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar
sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar sebagai penerima ilmu semata-mata demi
menyediakan mereka untuk menempuh arus kehidupan pada abad ke-21 yang amat
mencabar ini.

Lazimnya, kita beranggapan bahawa penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran
anak-anak mereka di sekolah berlaku tanpa memerlukan sebarang rencana. Namun,
dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan
bersungguh-sungguh melalui kaedah tertentu perlu dilakukan oleh semua lapisan
masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kecemerlangan anak-anak.
Seharusnya, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran anak-anak secara
berterusan, bukan sahaja di sekolah bahkan di rumah.






3

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai anak-anak yang cemerlang, kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT ke
atas apa jua pencapaian kita. Anda tidak akan berada di pentas tanpa bantuan
daripadaNya. Sentiasalah berdoa dan berusaha untuk terus cemerlang duniawi dan
uhkrawi. Berterima-kasihlah kepada ibubapa kerana memberi anda pendidikan
sempurna bersulam kasih sayang, wang ringgit, perlindungan rohani dan jasmani.
Keringat mereka hanya perlu di bayar dengan “sebuah kejayaan”. Kejayaan tidak
bermakna jika anak-anak berjaya dari segi akademik tetapi tidak berjaya dalam urusan
membina sahsiah dan budi pekerti yang mulia. Mengimbangi antara duniawi dan
uhkrawi perlu anda pelajari dan dipraktiskan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai ibu bapa pula, kita juga perlu melakukan muhasabah sendiri.
Benarkah kita telah menjalankan kewajipan dalam mendidik anak-anak dengan sebaik-
baiknya atau hanya sekadar menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak
sekolah semata-mata? Lantaran itu, ibu bapa perlu memastikan usaha yang digarapkan
oleh guru-guru di sekolah dalam mendidik anak-anak kita perlu diteruskan juga sewaktu
mereka berada di rumah. Pendidikan agama anak-anak muda adalah penting bagi
meningkatkan iman, berani dan mempertahankan prinsip-prinsip kebenaran dan
amanah. Selain daripada menekankan amalan sholat dan puasa, pendidikan adab dan
budi pekerti mulia juga wajib di tekankan. Seperti menghormati dua ibu bapa, tidak
membazir, tidak rasuah, bekerja kuat, amanah dan ikhlas dalam apa juga yang kita
lakukan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seorang pendidik mesti sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan agar
perkhidmatan pendidikan akan menjadi contoh kepada perkhidmatan yang lain. Kita
semua sedia maklum bahawa para pelajar merupakan tiang negara dan bakal
pemimpin negara kerana Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jadi, cara
asuhan, gaya didikan dan bimbingan dalam semua aspek kehidupan perlu diambil
cakna sejak peringkat awal lagi. Pencapaian yang cemerlang dari segi akademik sahaja
tidak memadai, malahan perkembangan dan kecemerlangan dalam aspek rohani dan
sahsiah juga perlu bergerak seiring demi mencapai keseimbangan dalam kejayaan
yang dilakarkan.






4

Saya percaya, sambutan Majlis Graduasi pada hari ini selari dengan matlamat
untuk memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha
mencapai kecemerlangan dalam semua bidang. Besar harapan saya agar program
seumpama ini dapat berterusan pada masa-masa akan datang.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi syabas
dan tahniah kepada para pelajar yang akan menerima hadiah nanti atas pencapaian
mereka dan diharapkan pencapaian yang cemerlang tersebut tidak hanya berakhir di
sini sahaja. Teruskanlah kecemerlangan itu sampai bila-bila dan sedarlah bahawa
usahlah kita leka dengan kejayaan ini sehingga menjadi alpa untuk terus berusaha
mendaki tangga bagi mengecap kejayaan yang seterusnya pada masa depan.
Seharusnya, kita perlu sentiasa bersedia mendepani apa-apa jua cabaran demi meraih
kecemerlangan dalam kehidupan.


Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan sekali lagi mengucapkan tahniah
dan syabas kepada pihak SMK Shah Alam kerana berjaya menganjurkan Majlis
Graduasi yang sungguh bermakna pada tahun ini.

Merdu bertingkah alunan suara,
Kadang tak sedar tersilap kata,
Andai terlanjur patah bicara,
Serendah hati kemaafan dipinta.


Berbekalkan tekad mencapai kecemerlangan, saya dengan lafaz
Bismillahirrahmannirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang) merasmikan, Majlis Graduasi SMK Shah Alam bagi tahun 2018 ini.


Sekian, wabillahitaufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.




















5


Click to View FlipBook Version