The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

0b-KATA ALU-ALUAN PENGETUA_RUKUN NEGARA_FPK_DPK_PIPPK

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Azman Ab Kadir, 2019-12-27 09:01:39

0b-KATA ALU-ALUAN PENGETUA_RUKUN NEGARA_FPK_DPK_PIPPK

0b-KATA ALU-ALUAN PENGETUA_RUKUN NEGARA_FPK_DPK_PIPPK

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

KATA ALU-ALUAN PENGETUA

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Salam Raja Abdullah Kuala Lumpur “Sentiasa Mara”

Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya,

BUKU i-PENGURUSAN 2020 dapat disediakan. Besar harapan saya agar buku ini dapat dijadikan panduan dan

rujukan bagi memastikan gerak kerja tahun 2020 yang telah disusun dan dirancang dapat berjalan dengan
lancar.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua guru dan kakitangan Raja Abdullah Kuala Lumpur yang
dapat memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah
dalam sesi persekolahan tahun lepas. Tinggi harapan saya agar kerjasama dan komitmen sedemikian dapat
diteruskan dan ditingkatkan lagi pada tahun 2020.

Tahun 2020 pasti lebih mencabar bagi guru-guru dalam memastikan kecemerlangan murid dan kejayaan
sekolah dapat dicapai. Cabaran ini perlu dilalui dengan bijaksana dan sebagai guru kita perlu berusaha
meningkatkan kompetensi masing-masing bagi memastikan murid-murid mendapat yang terbaik. Guru-guru
perlu menguasai Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) agar pelaksanaannya selari dengan hasrat
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Di samping itu, Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) yang
memfokuskan komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti dan nilai murni (4K1N) perlu diaplikasikan
sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP). Seiring dengan perkembangan dan keperluan
semasa, guru-guru juga perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan ICT yang telah tersedia dalam urusan
kerja seharian khususnya dalam menyediakan bahan PdP.

Di samping memastikan kecemerlangan murid dan kejayaan sekolah, pihak pengurusan dan pentadbiran
sekolah sentiasa cakna dan peka dalam isu beban tugas guru seiring dengan hasrat KPM dalam menangani
beban tugas guru. Inisiatif yang telah ditetapkan oleh KPM dalam menangani isu beban tugas guru diberi
perhatian dan telah pun dilaksanakan oleh pihak sekolah.

Dalam melaksanakan tugas seharian, elemen kasih-sayang, hormat-menghormati dan kegembiraan perlu
diterapkan dalam persekitaran sekolah seperti yang dihasratkan oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia. Elemen
ini telah mula diterap dalam mata pelajaran terpilih, perhimpunan rasmi, aktiviti kokurikulum dan program
sekolah dengan tambahan satu lagi elemen iaitu bertanggungjawab. Pelaksanaan ini diharap memberi impak
yang positif kepada murid-murid dan juga guru-guru.

Tinggi harapan saya agar tahun 2020 dapat menghasilkan lagi kecemerlangan dan kejayaan dalam akademik
dan juga kokurikulum yang dapat mengangkat nama sekolah seiring dengan moto
RAKL “SENTIASA MARA”.

Sekian, terima kasih.

SYED ZAKARIA BIN S HASSAN
PENGETUA
SMK RAJA ABDULLAH
KUALA LUMPUR

i

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

RUKUN NEGARA

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai
cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut:

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

KELUHURAN PERLEMBAGAAN

KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

KESOPANAN DAN KESUSILAAN

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu
secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

KURIKULUM KEBANGSAAN

“... suatu program pendidikan yang termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua
pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan
seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan
mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.”

Akta Pendidikan 1996
[Peraturan-peraturan (Kurikulum Kebangsaan) Pendidikan 1997]

DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Latar belakang
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia
tentang betapa mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk mengganti sistem
pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan
(Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar
pendidikan ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan Laporan Rahman Talib. Laporan
Rahman Talib ini kemudian dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.

Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan dengan tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat untuk melahirkan satu
masyarakat yang bersatu padu dan berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi
pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.

Rasional
Sistem pendidikan pada zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira kepada keperluan
pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan berkenaan

ii

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan
menekan (suppress) semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini mungkin secocok dengan Tanah
Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu,
langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk Negara yang
merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.

Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta Pelajaran 1961 iaitu:

"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk
menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan Negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya..."

Objektif ini dinyatakan secara am tetapi dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan
berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai
menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja ("tenaga rakyat," istilah
yang digunakan oleh Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.

Seterusnya, objektif-objektif ini diperincikan lagi apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang
tugasnya ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan diharapkan dapat memenuhi
keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat yang
bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.

Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis
baru-baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan
harmonis, yang boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan kepada keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara. Ini menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.

Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti
berikut:

i. Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama;
ii. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi semua jenis sekolah;
iii. Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
iv. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
v. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang

menyeluruh, seimbang dan bersepadu;
vi. Mengadakan peluang pendidikan asas selama Sembilan tahun;
vii. Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan

secara adil dan member perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dan kawasan
luar bandar atau pendalaman;
viii. Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang
berasaskan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada
kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum
baru ini adalah untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh;
ix. IX. Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum
Sekolah Vokasional pada tahun 1978;
x. Mempelbagaikan dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di peringkat universiti terutama
dalam bidang sastera gunaan dan sains gunaan;
xi. Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan disiplin;
xii. Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran yang wajib diajar di
sekolah-sekolah dan memberi peluang yang sempurna bagi pembelajaran bahasa-bahasa lain
seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
xiii. Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin, seperti pasukan-pasukan kadet
tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain.

iii

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH
Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengadakan dan
memperkembangkan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan
pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/ Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa
yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau
diperkuatkan bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini. Di antaranya termasuklah penubuhan
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan Vokasional, Jawatankuasa
Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa Perancangan
Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.
Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung keperluan-keperluan negara buat masa ini
dan masa depan. Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap Negara perindustrian adalah penting
rakyatnya diberikan pendidikan secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang tertentu
seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat
memenuhi keperluan tenaga manusia daripada segi jumlah tetapi juga daripada segi kualiti. Dasar ini
seharusnya dapat menggalakkan lebih ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan
dan tidak bergantung semata-mata kepada kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan dasar
kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta secara aktif.
Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) pula merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran
1961 bertujuan memantapkan sistem pendidikan kebangsaan sejajar dengan kehendak dan cita-
cita Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Akta
Pendidikan 1996 menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada. Akta ini
berpaksi kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan
kebangsaan. Akta baru ini juga banyak mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada Akta Pelajaran
1961. Tujuan menggubal Akta Pendidikan 1996 untuk memperluaskan skop dan memperkenalkan
perundangan mengenai pendidikan.

iv

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dibangunkan dengan menilai prestasi
semasa sistem pendidikan negara dengan mengambil kira pencapaian lampau dalam pendidikan
dan membandingkannya dengan tanda aras antarabangsa. pelan ini juga melakarkan visi sistem
pendidikan Malaysia, pelbagai faktor yang dapat mencapai aspirasi murid serta anjakan yang perlu
dilakukan daripada aspek strategik dan operasional untuk mencapai visi ini.
Pada Oktober 2011, Kementerian Pendidikan telah melancarkan kajian semula sistem pendidikan
negara secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
yang baharu. Dalam tempoh 15 bulan (Oktober 2011 hingga Disember 2012), Kementerian telah
memperoleh input daripada pelbagai sumber seperti laporan penyelidikan yang dijalankan oleh
pakar pendidikan dari UNESCO, Bank Dunia, OECD, dan enam Institusi Pengajian Tinggi Awam.
Kajian ini juga melibatkan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, murid, dan orang ramai di seluruh
negara.
Pelan transformasi pendidikan kini dilaksanakan untuk meningkatkan prestasi murid sejajar dengan
standard pendidikan antarabangsa, meningkatkan pandangan ibu bapa serta masyarakat terhadap
dasar pendidikan negara, dan mempersiapkan generasi muda Malaysia untuk menghadapi
keperluan abad ke-21.

OBJEKTIF UTAMA PPPM 2013-2025

 Memahami prestasi dan cabaran sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses
kepada pendidikan, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti),
menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

 Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang
seterusnya sehingga 2025.

 Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk perubahan
utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan
yang meningkat serta menyokong transformasi awam.

Bagi mencapai objektif tersebut, kementerian telah menggariskan 11 ANJAKAN yang perlu
dilaksanakan seperti berikut:

ANJAKAN 1 : Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
ANJAKAN 2 : Memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan
ANJAKAN 3 : Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai
ANJAKAN 4 : Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan
ANJAKAN 5 : Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
ANJAKAN 6 : Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan

keperluan
ANJAKAN 7 : Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia
ANJAKAN 8 : Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan
ANJAKAN 9 : Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
ANJAKAN 10 : Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
ANJAKAN 11 : Meningkatkan ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung

11 ANJAKAN ini perlu dilaksanakan seperti berikut:

Gelombang 1 (2013-2015)
Gelombang pertama bermula dari tahun 2013 hingga 2015, yang memberi penekanan kepada menambah baik
sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan
meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan
kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.
Menjelang akhir Gelombang 1, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memastikan semua guru,
pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan.

v

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH
Gelombang 2 (2016-2020)
Kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan
perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua
410,000 orang guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baru dan penstrukturan semula
kementerian.
Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha
menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan
perkembangan ekonomi dunia hari ini.
Gelombang 3 (2021-2025)
Memfokuskan kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada
permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi
standard minimum.
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah
dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha
membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan
meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.
LIMA ASPIRASI SISTEM

vi

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

ENAM ASPIRASI MURID

PENGETAHUAN
Di peringkat paling asas, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi.
Selain itu, penting bagi setiap murid menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains. Murid juga
perlu didedahkan kepada pengetahuan am yang menyeluruh tentang Malaysia, Asia, dan dunia dari aspek
sejarah, manusia, dan geografi. Murid juga digalakkan mengembangkan pengetahuan dan kemahiran dalam
bidang lain seperti seni, muzik, dan sukan.

KEMAHIRAN BERFIKIR
Setiap murid akan belajar cara memperoleh ilmu pengetahuan sepanjang kehidupan mereka (menerapkan
perasaan ingin tahu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat) untuk membolehkan mereka
menghubungkan pelbagai disiplin ilmu dan mencipta ilmu yang baharu. Setiap murid perlu menguasai pelbagai
kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif. Bidang ini kurang diberi
perhatian, menyebabkan murid kurang berupaya untuk mengaplikasi ilmu pengetahuan dan berfikir secara
kritis di luar konteks akademik.

KEMAHIRAN MEMIMPIN
Dalam dunia yang semakin saling berhubung kait, kebolehan untuk memimpin dan bekerja dengan orang lain
secara berkesan adalah amat penting. Sistem pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai
potensi sepenuhnya dengan mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk bekerja dalam pasukan
dan mengamalkan ciri kepimpinan. Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan merangkumi empat dimensi,
iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan.

KEMAHIRAN DWIBAHASA
Setiap kanak-kanak akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan
serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa sekurang-kurangnya pada tahap minima.
Dengan tahap penguasaan bahasa ini selepas menamatkan persekolahan, murid sepatutnya berupaya
menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dalam persekitaran kerja. Di samping itu, Kementerian
akan menggalakkan semua murid mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

vii

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

ETIKA DAN KEROHANIAN
Sistem pendidikan akan memupuk etika dan kerohanian dalam diri setiap murid bagi mendepani cabaran yang
akan ditempuhi dalam kehidupan dewasa, agar mereka boleh menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak
membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip ketika berada dalam situasi yang kritikal, serta berani
melakukan sesuatu yang betul. Sistem pendidikan juga berhasrat untuk membentuk individu penyayang yang
dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara.

IDENTITI NASIONAL
Identiti nasional yang kukuh melalui penghayatan prinsip Rukun Negara, diperlukan untuk kejayaan dan masa
depan Malaysia. Setiap murid akan berbangga dikenali sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama
atau status sosioekonomi. Semangat patriotik perlu dipupuk dalam diri setiap murid dengan cara memahami
sejarah negara, dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara. Demi mewujudkan identiti
nasional yang sebenar, semangat keterangkuman yang teguh amat diperlukan. Identiti nasional akan dapat
dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian, tetapi juga menghayati kepelbagaian.

PIHAK YANG BERKEPENTINGAN (STAKEHOLDERS)

MURID
Murid akan mendapat manfaat yang signifikan dalam perkembangan pendidikan mereka tanpa mengira latar
belakang. Murid akan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, dan akan berasa terangkum
dan terdidik dengan pengalaman pembelajaran di sekolah. Apabila menamatkan persekolahan, murid akan
mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moral yang tinggi, dan berupaya bersaing
dengan rakan sebaya dari negara lain.

GURU
Guru akan meningkatkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan bagi membantu mencapai keberhasilan
murid yang dihasratkan, dan akan memperoleh lebih keseronokan dan kepuasan dalam menjalankan tugas

mereka. Dengan pakej kerjaya guru yang baharu, mereka akan menikmati perkembangan profesional yang
lebih memuaskan, laluan kerjaya yang lebih baik, dan proses penilaian yang telus dan adil serta berkait terus

dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.

PEMIMPIN SEKOLAH

Pemimpin sekolah akan menjadi pemimpin instruksional yang cemerlang, dan bertindak sebagai ejen
perubahan. Mereka akan menikmati sokongan yang lebih padu dan perkhidmatan yang lebih

baik daripada pegawai pendidikan persekutuan, negeri dan daerah. Mereka akan mendapat akses yang lebih
besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa, serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan

mereka di Malaysia.

PEGAWAI KEMENTERIAN

Pegawai Kementerian akan bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang
diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong

kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih

besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki
dan kawalan.

IBU BAPA

Ibu bapa akan menyaksikan penambahbaikan yang ketara dan lestari dalam pengalaman pendidikan anak-
anak mereka. Prestasi dan keutamaan sekolah akan lebih telus, dan ibu bapa akan sentiasa dimaklumkan

tentang keadaan anak mereka di sekolah dari segi pencapaian dan juga perkembangan. Ibu bapa akan

berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka.

PIHAK KOMUNITI & SWASTA
Sektor komuniti dan swasta perlu memberi sokongan dan galakan yang tidak berbelah bagi kepada guru dan
pemimpin sekolah, mengakui bahawa transformasi pendidikan memerlukan masa dan usaha. Mereka perlu

terus memberikan maklum balas, dan menjadi kolaborator aktif dengan sekolah dan Kementerian mengenai
peningkatan sekolah.

(SUMBER: https://www.padu.edu.my/my/about-the-blueprint/ )

viii

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH
PELAN INDUK PEMBANGUNAN PROFSIONALISME KEGURUAN
Pembangunan profesionalisme keguruan merupakan keperluan dalam usaha memantapkan keupayaan
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan dalam pelbagai
peringkat kerjaya. KPM telah membangunkan Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan (PIPPK)
iaitu dokumen bagi membantu PPP merancang pembangunan kerjaya dan pembangunan profesionalisme
berterusan.
PIPPK menyediakan garis panduan kepada PPP untuk meningkatkan kompetensi diri mengikut kecenderungan
dan keperluan demi mengekalkan prestasi kerja yang terbaik. Menerusi pelan ini, profesion keguruan diharap
dapat diperkasakan dan menjadikan kerjaya keguruan sebagai kerjaya yang profesional dan menjadi kerjaya
pilihan utama.
PIPPK ialah dokumen rujukan utama dalam pelaksanaan pembangunan profesionalisme berterusan (PPB).
Pelan PPB (Guru dan Pemimpin Sekolah) yang diterbitkan oleh KPM pada tahun 2014 merupakan dokumen
pengoperasian pelaksanaan PPB yang mengandungi transformasi amalan dan strategi pelaksanaan PPB bagi
guru dan pemimpin sekolah.
(SUMBER: https://www.moe.gov.my/index.php/dasarmenu/pelan-induk-pembangunan-profesionalisme-keguruan-pippk)

Rajah 4.2: Kerangka Latihan dan Pembangunan Berasaskan Pertumbuhan (Khair, 2007)

ix

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH

Objektif Pembangunan Profesionalisme Berterusan (PPB) bertujuan membangunkan kompetensi profesional
PPP ke arah pemantapan atribut khusus yang dihasratkan iaitu beraspirasi, kompeten, cekap (proficient),
strategis dan berwawasan. Secara khusus, PPB bertujuan untuk mencapai objektif yang berikut:

i. meningkatkan kualiti PPP secara berterusan;
ii. memastikan PPP memperoleh, menambah baik, menguasai kompetensi, dan berkongsi

pengalaman; dan
iii. menggalakkan PPP mengikuti latihan terancang dan sistematik yang merangkumi sesi latihan,

pembelajaran dan pembangunan kendiri.

Model Pembangunan Profesionalisme Berterusan Kerangka Latihan dan Pembangunan Berasaskan
Pertumbuhan (Khair, 2007) seperti Rajah 4.2 menjadi asas pembangunan Model Pembangunan
Profesionalisme Berterusan (PPB). Model PPB menggariskan tiga standard seperti dalam SGM bagi memastikan
PPP berperanan dalam bidang pendidikan. Tiga standard tersebut ialah amalan nilai profesional, pengetahuan
dan kemahiran yang merupakan asas utama dan perlu dikuasai oleh setiap PPP.

Model PPB merupakan kerangka penting yang menentukan peranan dan tahap kompetensi PPP seperti dalam
Rajah 4.3. Kecekapan PPP dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ditentukan dengan melihat tiga
standard tersebut. PPP yang memiliki standard ini, berupaya melaksanakan peranan dan tanggungjawab
sebagai pelaksana, penggerak, pembimbing dan mentor, peneraju perubahan, pemikir strategik dan pemikir
holistik. Semakin tinggi peranan dan tanggungjawab PPP, semakin tinggi tahap sifat khusus yang perlu dicapai
atau diperoleh. Oleh itu, aktiviti PPB juga berbeza mengikut peranan, tugas dan tanggungjawab yang
diamanahkan.

Pelaksanaan Pembangunan Profesionalisme Berterusan Melalui PPPM 2013-2025, KPM telah menitikberatkan
amalan berbelanja secara berhemat dan pulangan nilai pada setiap ringgit yang dibelanjakan. Sehubungan
itu, setiap aktiviti PPB perlu dirancang serta dilaksanakan secara berkesan selari dengan matlamat yang
ditetapkan dan berdasarkan kepada garis panduan yang disediakan.
Pelaksanaan PPB terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu:

i. perancangan;
ii. pelaksanaan;
iii. perekodan; dan
iv. pemberian sistem mata kredit PPB.

Rajah 4.3: Model Pembangunan Profesionalisme Berterusan

x

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH
MANDAT KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA (KPPM) – MELANGKAH KE HADAPAN

xi

BUKU i-PENGURUSAN 2020

SMK RAJA ABDULLAH
MANDAT KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA (KPPM) – NARATIF BAHARU
AMALAN PENDIDIKAN

xii


Click to View FlipBook Version