The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by sitinorfirdaus.ashaari, 2016-06-02 04:47:26

TUGASAN INDIVIDU (REFLEKSI)

TUGASAN INDIVIDU (REFLEKSI)

TUGASAN INDIVIDU
GGGB2123 PENGURUSAN TINGKAH LAKU

DISEDIAKAN OLEH:
SITI NORFIRDAUS BINTI MOHAMMED ASHAARI (A149324)

NAMA PENSYARAH:

PROF. MADYA DR. MANISAH BT. MOHD. ALI
PROF. MADYA DR. ROSADAH BINTI ABD MAJID

FAKULTI PENDIDIKAN
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

PENGENALAN

Beberapa pemerhatian telah dijalankan bagi melihat tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu
berkeperluan khas. Bagi tujuan ini, pemerhati telah menfokuskan kepada seorang individu
berkeperluan khas bagi membuat pemerhatian terhadap tingkah laku yang ditunjukkan oleh
individu tersebut. Individu tersebut adalah Muhammad Haziq Bin Mohd Redzuan, berumur 5
tahun dan merupakan salah seorang murid di Makmal Autisme, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Individu ini merupakan seorang yang mengalami Autisme dan Attention Deficit Hyperactivity
Disorder (ADHD). Hasil daripada persetujuan bersama ibu bapa dan guru kepada individu
berkeperluan khas ini, sebarang video dan gambar tidak akan ditunjukkan.

Sepanjang pemerhatian dijalankan, individu berkeperluan khas ini didapati telah melakukan
8 jenis tingkahlaku yang berbeza. Tingkahlaku tersebut adalah mengamuk, tidak mahu melakukan
kerja, suka melompat, bercakap seorang diri, melawan tanpa lisan, mengangkat baju dan
melondehkan seluar, makan dalam keadaan yang tertib dan bermain secara berlebihan.

TINGKAH LAKU YANG DITUNJUKKAN:

1) MENGAMUK

Semasa pemerhatian dijalankan, pemerhati mendapati bahawa individu berkeperluan khas ini
dilihat sering kali mengamuk serta memarahi ayahnya apabila ayahnya tidak memakai pakaian
formal ketika menghantarnya ke Makmal Autisme. Sudah menjadi rutin bagi individu ini di mana
ayahnya akan menghantarnya ke makmal sebelum bergerak ke tempat kerja. Makanya, pakaian
formal merupakan pakaian yang sering dilihat oleh individu ini dan ianya sudah menjadi satu
pengetahuan dalam dirinya yang mana pakaian formal menandakan ayahnya akan terus bergegas
ke tempat kerja setelah menghantarnya ke Makmal Autisme.

Melalui pemerhatian yang telah dijalankan, didapati individu ini akan mengamuk apabila
ayahnya berpakaian biasa ketika menghantarnya ke Makmal Autisme. Hal ini kerana individu ini
beranggapan bahawa ayahnya menghantarnya ke Makmal Autisme bertujuan untuk
meninggalkannya tanpa membawanya pergi bersiar-siar bersama. Semasa individu ini melakukan
tingkah laku mengamuk, ayahnya akan meninggalkannya serta tidak melayan tingkah laku yang

ditunjukkan oleh anaknya. Melalui Jurnal Keningau yang ditulis oleh Vijayen Gopal, Jabatan
Pengajian Melayu, Frith (1989) mengatakan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam
usaha memahami emosi kanak-kanak autisme. Individu ini mengamuk serta menghentak-
hentakkan kakinya tanpa menghiraukan orang disekelilingnya. Pada ketika itu, pemerhati
mendapati emosi individu ini berada pada tahap yang tidak stabil. Menurut Artwood (1998),
kanak-kanak autisme menunjukan mood yang agak ekstrem dalam keadaan-keadaan gembira,
tertekan, marah dan panik. Ekspresi muka yang dapat ditunjukkan juga terhad di samping postur
badan yang kaku dan penggunaan suara yang monotonous. Tingkah laku ini dilakukan bertujuan
untuk mendapatkan perhatian daripada ayahnya serta individu disekelilingnya. Tambahan, tingkah
laku ini juga dilakukan bagi mengelakkan dirinya daripada bertemu dengan guru dan menjalani
sesi pembelajaran dan pengajaran seperti biasa.

Semasa tingkah laku yang tidak diingini ini ditunjukkan, pemerhati mendapati bahawa guru
menangani tingkah laku ini dengan cukup tenang. Guru membiarkan individu tersebut mengamuk
selama 15 minit. Apabila masa telah tamat, guru akan memanggil nama individu tersebut dan
mengajaknya untuk menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran seperti biasa. Kesan daripada cara
membiarkan individu ini mengamuk tanpa menghiraukannya telah menyebabkan individu ini
berhenti daripada mengamuk dan akhirnya senyap serta tenang secara sendiri.

Hasil daripada pemerhatian yang dilakukan ini, pemerhati merasakan kaedah yang
digunakan oleh guru dalam mengawal tingkah laku mengamuk yang ditunjukkan oleh individu
berkeperluan khas ini merupakan satu pendekatan yang menarik. Hal ini demikian kerana individu
yang mengalami autisme merupakan individu yang istimewa dan mempunyai tingkah laku yang
pelbagai. Ianya merupakan satu ilmu baru bagi pemerhati kerana sebelumnya pemerhati
beranggapan bahawa tingkah laku sebegini harus ditangani dengan cara melayan emosi individu
berkeperluan khas tersebut tetapi ianya adalah sebaliknya.

2) TIDAK MAHU MELAKUKAN KERJA SEKOLAH

Semasa pemerhatian dijalankan, guru telah meminta individu berkeperluan khas tersebut
menyiapkan tugasan yang telah diberikan. Guru meminta individu ini melakukan satu aktiviti
psikomotor yang mana ianya bertujuan melatih serta meningkatkan motor halus individu tersebut.

Aktiviti psikotomotor yang perlu dilakukan olehnya adalah memasukkan tali ke dalam butang-
butang yang telah disediakan. Apabila guru memberikan arahan kepadanya supaya duduk di kerusi
dan memulakan aktiviti berkenaan, individu ini tidak mahu berbuat demikian. Dia dengan sekuat
hatinya menjatuhkan kerusi serta membaling butang-butang tersebut. Tindakan individu ini cukup
menggangu proses pengajaran dan pembelajaran serta rakan-rakannya yang lain.

Pemerhati melihat bahawa individu ini akan mengamuk serta tidak mahu melakukan aktiviti
yang telah diberikan oleh gurunya. Individu ini bukan sekadar membaling butang-butang,
menjatuhkan kerusi-kerusi, malah dia juga turut akan menghentak-hentakkan kakinya pada pintu
bilik darjah. Tingkah laku ini dilakukan bertujuan untuk melarikan dirinya daripada melakukan
kerja yang diminta oleh gurunya. Apa yang lebih mengejutkan adalah individu berkeperluan khas
ini bertindak menyorokkan bahan bagi aktiviti psikomotor tersebut iaitu butang-butang dan tali
diletakkan di dalam satu kotak yang tidak akan dapat dilihat oleh gurunya. Tindakan yang
dilakukan oleh individu ini telah menyebabkan guru meletakkannya di bahagian luar bilik darjah
yang mana tempat tersebut adalah tempat yang selamat dan dapat dilihat oleh guru berkenaan.

Apa yang dilakukan oleh guru adalah kaedah “Exclusionary Time-out” dimana individu ini
telah diasingkan daripada bilik darjah. Mengikut buku yang bertajuk Behavior Modification
Principles and Procedures (2012) yang ditulis oleh Raymond G. Miltenberger, “Exclusionary
Time-out” adalah suatu keadaan di mana seseorang diasingkan daripada tempat yang
menyebabkan tingkah laku yang tidak diingini berlaku dan meletakkan individu tersebut di dalam
sebuah bilik yang lain. Kaedah ini mengasingkan individu berkenaan daripada segala sesuatu yang
selesa. Guru memberikan masa selama 10 minit kepada individu tersebut. Permerhati mendapati
guru menggunakan “Timer-out” dan meminta individu tersebut menekan “button” pada alat
“Timer-out” berkenaan agar individu tersebut mengetahui tujuan dia diletakkan di tempat tersebut
dan hanya mempunyai masa selama 10 minit sahaja untuk mengamuk. Selepas 10 minit, guru
tersebut datang kembali ke arah individu tersebut dan seterusnya meminta individu tersebut sendiri
yang menekan “button” bagi memberhentikan bunyi. Selepas itu, individu ini dilihat sudah dapat
mengawal emosinya serta dapat melakukan aktiviti psikomotor yang diberikan.

Tingkah laku tidak mahu melakukan kerja sekolah merupakan tingkah laku yang biasa
didengari. Masalah ini juga sering terjadi kepada individu yang tipikal. Kaedah yang digunakan
oleh guru tersebut merupakan satu idea yang kreatif dan baru bagi pemerhati. Kaedah ini bukan

sekadar mampu memberikan impak kepada emosi malah ianya menjadikan individu berkeperluan
khas tersebut lebih mengetahui tingkah laku yang bagaimana yang harus ditunjukkan olehnya
apabila diminta oleh guru untuk melakukan kerja sekolah.

3) SUKA MELOMPAT

Semasa individu berkeperluan khas ini berada dalam keadaan tidak melakukan sebarang aktiviti,
pemerhati mendapati bahawa individu ini suka melakukan tingkah laku seperti melompat-lompat
dan hiperaktif. Melalui Jurnal Pendidikan Khas yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che
Ahmad (2009), salah satu daripada ciri kanak-kanak ADHD adalah sering berlari ke sana ke mari
atau memanjat dengan melampau dalam situasi yang tidak sesuai, contohnya kanak-kanak ini
mungkin berlari dan melompat di dalam kelas ketika guru sedang mengajar. Pemerhati mendapati
selepas individu berkeperluan khas ini telah siap melakukan kerja yang diberikan oleh gurunya,
dia akan mula melakukan tingkah laku melompat dan berlari.

Tingkah laku yang ditunjukkan olehnya telah menyebabkan gurunya memberikan
kepadanya ganjaran iaitu dia diberikan peluang untuk bermain “trampolin” yang terdapat di
makmal berkenaan. Sebelum individu ini melakukan lompatan pada “trampolin” yang telah
disediakan, pemerhati mendapati guru akan memastikan terlebih dahulu katil yang tebal diletakkan
di bawah alat berkenaan. Hal ini adalah bagi memastikan keselamatan individu berkeperluan khas
ini berada pada keadaan yang selamat serta tidak membahayakan. “Trampolin” ini merupakan satu
alat yang berfungsi untuk memberikan peneguhan positif ke atas individu berkeperluan khas ini.
Peneguhan positif diberikan dengan cara “trampolin” hanya akan diberikan kepada individu
berkeperluan khas ini sekiranya dia dapat menyiapkan tugasan yang diberikan oleh gurunya.
Disebabkan faktor tingkah laku suka melompat yang ditunjukkan oleh individu berkeperluan khas
ini menyebabkan guru memastikan dahulu individu ini membuat terlebih dahulu kerja yang
diberikan dan kemudiannya barulah diberikan ganjaran dengan memberikannya peluang bermain
“Trampolin”. Hal ini akan menyebabkan tingkah lakunya dalam melakukan kerja sekolah dapat
ditingkatkan.

Pemerhati merasakan kaedah memberikan peneguhan positif merupakan satu kaedah yang
menyeronokkan serta memberikan banyak kelebihan terhadap diri individu berkeperluan khas. Hal

ini kerana, melalui alat permainan “Trampolin” ianya bukan sekadar memberikan peluang untuk
individu berkeperluan khas tersebut bermain malah ianya memberikan keseronokkan kepada
dirinya. Ilmu ini merupakan satu pendedahan awal bagi diri pemerhati dan ianya boleh
diaplikasikan oleh pemerhati apabila menjadi seorang guru kelak.

4) BERCAKAP SEORANG DIRI

Di Makmal Austime, guru-guru akan mengadakan satu aktiviti yang diberi nama “Circle Time
Rules”. Aktiviti ini akan melibatkan semua kanak-kanak berkeperluan khas daripada semua kelas.
Antara aktiviti yang dilakukan dalam “Circle Time Rules” adalah aktiviti menyanyi dan menampal
gambar-gambar. Semasa aktiviti ini dijalankan, pemerhati mendapati individu bekeperluan khas ini
bercakap seorang diri dan menggerakkan kerusi berulang kali ketika guru sedang mengajar di
hadapan. Individu ini akan bercakap dan gelak seorang diri seolah-olah seperti ada seseorang yang
sedang bercakap dengannya. Menurut Wing dan Gould (1979), kanak-kanak yang mengalami
autisma mempunyai imaginasi yang terhad, hingga menyebabkan mereka mempunyai ruang
lingkup minat yang juga terhad dan sering melakukan tingkah laku atau pergerakan badan yang
berulang-ulang.

Individu autisme dikatakan merupakan individu yang berada dalam dunia dan imaginasi
mereka sendiri. Ketika guru bersama pelajar-pelajar yang lain sedang bernyanyi, individu ini dilihat
hanya bercakap seorang diri serta tidak berkomunikasi dengan rakan-rakannya yang lain. Guru
mengambil tindakan dengan berulang-ulang memanggil nama individu berkeperluan khas ini dan
menarik perhatiannya dengan menyuruh individu ini melakukan aktiviti yang sedang mereka
lakukan di hadapan kelas. Pemerhati mendapati individu ini tidak mahu melakukan seperti apa yang
diminta oleh gurunya. Disebabkan oleh itu, gurunya mengambil satu tindakan dengan memberikan
satu dendaan positif terhadapnya.

Kaedah yang telah digunakan adalah guru tersebut telah mengambilnya dari tempat
duduknya dan kemudian memegang kakinya agar tidak bergerak bagi membuatkan dirinya lupa
akan imaginasi yang dilakukannya. Salah satu daripada ciri kanak-kanak autisme adalah mereka
merupakan individu yang tidak suka dipeluk ataupun dipegang. Berdasarkan Jurnal Pendidikan
Anak bertajuk Deteksi dan Intervensi Dini Pada Anak Autis yang ditulis oleh Sri Muji Rahayu

(2014), salah satu daripada ciri kanak-kanak autisme adalah mereka menolak untuk dipeluk,
disentuh atau didukung. Guru tersebut bertindak sedemikian adalah bertujuan untuk memberikan
satu dendaan positif di mana guru memberikan sesuatu yang tidak disukai oleh individu tersebut
iaitu dengan memegang kakinya bagi mengurangkan tingkah laku bercakap seorang diri yang
dilakukan oleh individu tersebut.

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu berkeperluan khas ini merupakan satu
tingkah laku yang menarik perhatian pemerhati. Hal ini kerana, pemerhati merasakan tingkah laku
yang ditunjukkan oleh individu berkeperluan khas ini merupakan satu tingkah laku yang unik dan
mengajar pemerhati bagaimana cara terbaik untuk berdepan serta menangani individu sebegini.
Kaedah yang digunakan oleh guru merupakan satu kaedah yang bijak dan ianya cukup membantu
dalam mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini tersebut.

5) SUKA MELAWAN TANPA LISAN

Pemerhatian yang telah dilakukan keatas individu berkeperluan khas ini mendapati bahawa
individu berkeperluan khas ini merupakan seorang yang suka melawan gurunya tanpa lisan. Ianya
membawa maksud di mana individu ini akan melawan gurunya dengan cara perbuatan. Melalui
Jurnal Psikologi bertajuk Penerimaan Diri Orang tua Terhadap Anak Autisme dan Peranannya
Dalam Terapi Autisme yang ditulis oleh Sri Rachmayanti dan Anita Zulkaida (2007), autisme
merupakan satu ketidakupayaan dalam perkembangan komunikasi, interaksi sosial dan imaginasi.
Pemerhati mendapati apabila guru memberikan sesuatu kerja kepada individu berkeperluan khas
tersebut, individu tersebut akan mula mengamuk dan melawan guru dengan melakukan perbuatan
yang agresif menanggalkan gambar-gambar yang terdapat pada dinding kelas.

Guru telah menggunakan kad gambar sebagai alat komunikasi. Apa yang telah dilakukan
adalah guru meminta individu berkeperluan khas tersebut duduk di kerusinya dan seterusnya
memberikan perhatian terhadap kad imbasan yang dilekatkan pada dinding. Terdapat dua kad
imbasan yang diletakkan pada dinding tersebut yang mana ianya menunjukkan gambar seorang
kanak-kanak yang sedang makan dan gambar seorang kanak-kanak yang sedang melakukan kerja
sekolah. Guru mengatakan kepada individu tersebut supaya menyiapkan kerja sekolah yang
diberikan sambil menunjukkan kad gambar seorang kanak-kanak yang sedang melakukan kerja

sekolah. Guru menunjukkan kad gambar seorang kanak-kanak yang sedang makan bagi memberi
isyarat kepada individu ini di mana dia hanya akan dapat makan sekiranya dia melakukan kerja
yang diberikan.

Kaedah yang digunakan oleh guru merupakan kaedah dendaan positif di mana guru
memberikan kerja sekolah yang berfungsi sebagai sesuatu yang tidak disukai oleh individu yang
bertujuan untuk mengurangkan tingkah laku melawan tanpa lisan. Ganjaran juga turut diberikan
selepas individu berkenaan siap melakukan kerja yang diberikan dimana individu ini akan diberikan
makan. Pemerhati merasakan kaedah yang dilakukan oleh guru merupakan satu kaedah yang tegas
tetapi ianya cukup mendatangkan manfaat kepada individu berkeperluan khas tersebut. Tambahan,
walaupun kaedah ini kelihatan seperti memaksa tetapi ianya merupakan satu kaedah yang
digunakan bagi memastikan individu berkeperluan khas tersebut dapat melakukan kerja yang
diberikan dan mengurangkan tahap melawan tanpa lisan yang kerap kali dilakukan olehnya.

6) MENGANGKAT BAJU DAN MELONDEHKAN SELUAR

Individu berkeperluan khas ini didapati melakukan tingkah laku seperti mengangkat baju dan
melondehkan seluarnya. Tingkah laku yang dilakukan ini bertujuan untuk mendapatkan perhatian
daripada orang sekeliling. Kesan daripada tingkah laku yang tunjukkan menjadikan rakan-rakan
sekeliling tidak selesa dan menggangu proses pengajaran dan pembelajaran. Individu ini didapati
akan mengangkat baju dan melondehkan seluarnya secara tiba-tiba.

Guru telah menggunakan kaedah Token Ekonomi bagi mengurangkan tingkah laku
mengangkat baju dan melondehkan seluar oleh individu berkeperluan khas tersebut. Menurut K.
Kimberly Zlomke dan Leland Zlomke (2003), token ekonomi merupakan intervensi yang
melibatkan token atau ganjaran yang diberikan hasil daripada pengurangan tingkah laku sasaran.
Guru telah menerangkan kepada individu tersebut di mana sekiranya tingkah laku mengangkat baju
dan melondehkan seluar dapat dikurangkan, guru akan memberikan token sebagai ganjaran
kepadanya. Token yang diberikan merupakan satu kad berbentuk bola yang akan ditampal pada
dinding dan ianya dapat dilihat oleh individu berkeperluan khas tersebut. Semakin banyak token
yang diperoleh, individu ini boleh menebuskan token tersebut dengan sesuatu yang disukai olehnya.
Sekiranya individu berkeperluan khas ini didapati mengulangi tingkah laku mengangkat baju dan

melondehkan seluar, guru akan bertindak mengambil token sebagai balasan kepada perbuatan
mengulangi tingkah laku yang tidak diingini.

Kaedah ini merupakan satu ilmu yang baru kepada pemerhati. Pemerhati merasakan
kaedah token ekonomi merupakan kaedah yang cukup membantu dalam mengurangkan tingkah
laku yang tidak diingini. Hal ini kerana, kaedah ini dapat memotivasikan diri individu berkeperluan
khas tersebut untuk tidak melakukan tingkah laku yang tidak diingini tersebut. Tingkah laku yang
tidak diingini juga akan dapat dikurangkan dengan lebih terancang dan cepat. Guru juga telah
menggunakan satu cara pendekatan yang cukup kreatif dalam memikirkan cara yang dapat
mengurangkan tingkah laku mengangkat baju dan melondehkan seluar.

7) MAKAN DALAM KEADAAN YANG TERTIB

Semasa pemerhatian dijalankan, pemerhati mendapati individu berkeperluan khas ini cukup
menjaga tingkah lakunya ketika makan. Individu ini dilihat telah mengikuti segala perintah yang
diberikan oleh gurunya. Guru menggunakan kad bagi menunjukkan turutan yang perlu dilakukan
oleh individu tersebut bermula daripada sebelum makan iaitu dengan membasuh tangan terlebih
dahulu, mengambil pinggan dan cawan serta meletakkannya di atas meja, duduk dengan tertib,
membaca doa sebelum makan, makan dengan keadaan yang cermat dan tidak gelojoh, membaca
doa selepas makan, membasuh pinggan dan cawan menggunakan sabun serta langkah yang terakhir
adalah membasuh tangan.

Pemerhati melihat individu berkeperluan khas ini sangat menjaga tingkah lakunya
sepanjang proses sebelum dan selepas makan dilakukan. Menurut Mohd Saat (2002), peneguhan
positif adalah suatu rangsangan yang diberikan kepada seorang pelajar supaya sesuatu tingkah laku
diulangi atau kebarangkalian ia dilakukan akan diperkuatkan lagi. Selepas individu ini habis
menjamah makanan, guru telah memberikan kata-kata pujian di atas tingkah laku yang telah
ditunjukkan oleh individu tersebut. Menurut Rahil Mahyuddin (2002), peneguhan positif
meningkatkan berlakunya sesuatu bentuk tingkah laku dengan adanya rangsangan tertentu.
Peneguhan positif diberikan kepada individu ini bertujuan untuk mengekalkan serta meningkatkan
tingkah laku yang diingini ini. Kata-kata pujian yang diberikan oleh guru menyebabkan individu
tersebut mengekalkan tingkah laku makan dalam keadaan yang tertib.

Hasil daripada pemerhatian yang dilakukan, pemerhati menyedari betapa pentingnya
peneguhan terhadap seseorang individu. Melalui peneguhan positif, tingkah laku yang baik bukan
sekadar dapat ditingkatkan malah ianya juga dapat dikekalkan. Kaedah yang digunakan oleh guru
ini menyedarkan pemerhati bahawa peneguhan itu adalah sesuatu yang memotivasikan seseorang.
Pendekatan yang digunakan ini boleh dijadikan contoh dan merupakan sesuatu yang dapat
menambahkan ilmu pengetahuan pemerhati. Masa yang sesuai dalam memberikan pujian juga
merupakan satu ilmu baru kepada pemerhati.

8) BERMAIN SECARA BERLEBIHAN

Pemerhati mendapati individu berkeperluan khas ini sering kali dilihat menunjukkan tingkah laku
bermain secara berlebihan. Sebagai contoh, individu ini dilihat akan berlari-lari tanpa henti.
Menurut Jurnal Pendidikan Khas yang ditulis oleh Mohd Zuri Ghani dan Aznan Che Ahmad
(2009), faktor lain yang menyebabkan kanak-kanak bersikap aktif selain pengambilan gula yang
berlebihan ialah faktor genetik ibu bapa, cuaca dan alam sekitar. Keadaan ini telah menyebabkan
situasi sekeliling menjadi bising dan tingkah laku ini cukup menganggu rakan-rakan yang lain.
Guru akan memanggil nama individu berkeperluan khas ini berulang kali bagi menarik
perhatiannya namun tindakan cikgu tersebut tidak berjaya dalam menarik perhatiannya. Individu
ini akan terus berlari dan dilihat seperti tidak merasa penat dengan tingkah laku yang dilakukan.

Guru telah menggunakan pendekatan dendaan positif di mana guru telah menyuruh
individu tersebut melakukan aktiviti yang tidak disukai olehnya bagi mengurangkan tingkah laku
bermain secara berlebihan. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Ngu Mee Kok (2009),
dendaan atau hukuman adalah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau mengurangkan
berulangnya tingkah laku yang tidak diingini. Guru telah meminta individu berkeperluan khas
tersebut melakukan “Bear Walk” iaitu aktiviti yang tidak diminati olehnya. Setelah “Bear Walk”
dilakukan, guru menunjukkan kad imbasan yang menunjukkan gambar “Rest”. Dendaan ini
dilakukan sehinggalah individu bekeperluan khas ini merasa letih dan penat.

Hasil daripada pemerhatian yang dilakukan, pemerhati mendapati kaedah dendaan positif
ini merupakan kaedah yang cukup berhasil. Ianya dilihat sebagai satu dendaan positif yang cukup
memberikan manfaat kepada individu berkeperluan khas. Hal ini kerana melalui aktiviti seperti

“Bear Walk” bukan sahaja sebagai satu dendaan tetapi ianya juga berfungsi sebagai satu senaman
yang baik untuk tubuh badan individu ini. Kaedah yang digunakan oleh guru ini merupakan satu
kaedah yang boleh dijadikan contoh kepada pemerhati apabila menjadi seorang guru kepada
pelajar-pelajar khas kelak.

KESIMPULAN

Individu berkeperluan khas merupakan individu yang mempunyai tingkah laku yang berbeza-beza.
Individu yang mengalami autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD)
terutamannya merupakan individu yang sukar untuk difahami akan keinginan dan sebab kepada
sesuatu tingkah laku itu ditunjukkan. Tuntasnya, setiap tindak tanduk dan pendekatan yang
digunakan dalam menangani sesuatu tingkah laku itu perlulah dibuat pemerhatian terlebih dahulu
sebelum sesuatu pendekatan itu dilakukan. Hal ini bagi memastikan setiap pendekatan yang
digunakan itu menunjukkan hasil yang dapat meningkatkan atau mengurangkan sesuatu tingkah
laku sasaran. Setiap guru mahupun individu yang bertanggungjawab haruslah setiap memikirkan
jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani tingkah laku individu berkeperluan khas ini agar
kehidupan individu ini lebih terbela serta mendapat keistimewaan seperti individu tipikal yang
lain.

RUJUKAN
Artwood, Tony. 1998. Asperger’s Syndrome: A Guide for Parents and Profesionals. London:

Jessica Kingsley Publisher Ltd.

Frith, Ura. 1989. Autism: Explaining the Enigma. Oxford. Basil Blackwell Ltd.

Hasnah Toran, Mohd Hanafi Mohd Yasin, Mohd. Mokhtar Tahar, Noraini Salleh. 2010. Tahap
Latihan, Pengetahuan dan Keyakinan Guru-guru Pendidikan Khas Tentang Austime. Jurnal
Pendidikan Malaysia. 35(1), 19-26

Kimberly Zlomke dan Leland Zlomke. 2003. Token Economy Plus Self-Monitoring To Reduce
Disruptive Classroom Behaviors. Behavior Analyst Today. 4(2), 177-182.

Mohd. Saat, Rohaida, Zulfa Izza Mohamed@Hashim, Mohamad Khairudin Bajuri, Mohd.
Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff, Noor Naemah Abdul Rahman, Durriyyah Sharifah Hasan
Adli. 2011. Memorization Activity and Use of Reinforcement in Learning: Content Analysis
from Neuroscience and Islamic Perspectives. Journal of Applied Sciences. (7), 1113-1120

Mohd Zuri Ghani, Aznan Che Ahmad. 2009. Ciri dan Punca Berlakunya ADHD dalam Kalangan
Kanak-kanak. Jurnal Pendidikan Khas. (1), 5-16

Ngu Mee Kok. 2009. Meningkatkan Keberkesanan Kawalan Kelas Menggunakan Kaedah
Ganjaran dan Hukuman Untuk Murid-Murid Tahun 3. Seminar Penyelidikan Tindakan IPG
KBL

Rahil Mahyuddin. 2002. Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan. Shah Alam: Karisma
Publications.

Raymond G. Miltenberger. 2012. Behavior Modification Principles and Procedures. Represented
in Canada by Nelson Education, Ltd.

Sri Muja Rahayu. 2014. Deteksi dan Intervensi Dini Pada Anak Autis. Jurnal Pendidikan Anak.
(3), 420-428

Vijayen Gopal. 2001. Autisme: Satu Pengenalan. Jurnal Keningau. (3), 27-34


Click to View FlipBook Version