Topik Teori
3 Perkembangan
Bahasa
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Membincangkan teori nativisme dan prinsip asas dalam pemerolehan
bahasa;
2. Membincangkan teori interaksionisme dan prinsip asas dalam
pemerolehan bahasa; dan
3. Membincangkan teori behaviorisme dan prinsip asas dalam
pemerolehan bahasa.
PENGENALAN
Pada umumnya, terdapat tiga aliran teori pemerolehan bahasa yang terkenal iaitu
teori nativisme, interaksionisme dan behaviorisme. Aliran-aliran ini berkembang
pesat khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah dan sering bersaing dalam
menjelaskan bagaimana seseorang itu memperoleh bahasa. Kajian saintifik dalam
bidang pemerolehan bahasa telah dimulakan sejak kurun ke-16 lagi.
Dalam topik ini dijelaskan secara ringkas tentang teori tersebut khususnya
berkaitan beberapa tokoh teori, prinsip asas teori dan bagaimana teori ini dapat
menjelaskan seseorang itu mempelajari bahasanya.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 21
3.1 NATIVISME
Teori Nativisme adalah aliran yang lebih menekankan kemampuan dalam diri
anak, sehingga faktor persekitaran dianggap kurang berpengaruh terhadap
perkembangan anak. Tokoh teori Nativisme adalah Schopenhaur (ahli falsafah
Jerman 1788-1860) yang berpendapat bahawa bayi yang baru lahir itu secara
azalinya dilahirkan dengan bawaan baik dan buruk.
Teori ini telah diperkenalkan oleh Noam Chomsky pada tahun 1960-an. Aliran
teori ini telah memainkan peranan yang besar dalam ilmu linguistik termasuklah
aspek pemerolehan bahasa kanak-kanak.
Rajah 3.1: Noam Chomsky
Sumber: http://chrisknipp.blogspot.com/
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
22 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Proses pemerolehan bahasa pertama memperlihatkan banyak perkara yang
menakjubkan. Sistem-sistem bahasa, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan
semantik dikuasai dengan pantas oleh kanak-kanak walaupun pada
keseluruhannya tidak diberi pengajaran formal. Fakta-fakta ini menyebabkan
ramai penyelidik bahasa membuat kesimpulan bahawa kanak-kanak telah
dilengkapi dengan alat khas semasa mereka lahir ke dunia. Mereka percaya
bahawa proses penguasaan bahasa pertama tidak bermula dari kosong tetapi apa-
apa yang perlu dilakukan oleh kanak-kanak hanyalah mengadaptasikan prinsip
atau aturan rumus nahu semula jadi (innate grammar) yang telah sedia ada dalam
otak mereka dengan ciri-ciri dan sistem linguistik bahasa ibunda mereka.
Menurut teori ini, proses pemerolehan bahasa adalah mudah dan tidak
memerlukan latih tubi sebagaimana yang ditegaskan oleh aliran Behaviorisme.
Kanak-kanak dapat menguasai pelbagai rumus nahu bahasa ibunda dengan
mudah adalah disebabkan oleh kewujudan alat pemerolehan bahasa semula jadi
dalam otak mereka. Perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak bukanlah
mempelajari sistem-sistem bahasa pertama, tetapi merupakan proses
menyesuaikan (adaptasi) pengetahuan bahasa semula jadi yang berada dalam otak
dengan sistem-sistem bahasa pertama mereka. Dengan kata lain, alat pemerolehan
bahasa membantu kanak-kanak dalam usaha memahami pelbagai konsep yang
berada dalam persekitaran mereka.
Teori ini juga menekankan konsep nahu universal iaitu semua manusia tanpa
mengira bangsa sudah memiliki set bahasa dalam otak mereka sejak dilahirkan.
Mereka menegaskan bahawa banyak bahasa memiliki sifat universal, misalnya
bahasa Melayu dan bahasa Inggeris memiliki sistem nahu yang sama, iaitu SKKO
(subjek-kata kerja-objek). Sifat keuniversalan ini memperkukuh lagi hujah mereka
bahawa semua manusia sudah memiliki rumus bahasa dalam otak sejak dilahirkan
lagi. Situasi ini membolehkan seseorang kanak-kanak berlainan bahasa dapat
menguasai bahasa lain jika mereka berada atau dipelihara sejak kecil dalam situasi
bahasa yang lain.
Sebagai contoh, seorang bayi berbangsa Jepun jika dipelihara keluarga angkatnya
di Arab Saudi, maka bayi tersebut apabila dewasa akan berbahasa Arab dan tidak
boleh atau tidak akan tahu berbahasa Jepun. Hal ini berlaku kerana otak bayi
tersebut sudah ada set bahasa sejagat atau universal yang memudahkannya
mengadaptasikan bahasa-bahasa lain.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 23
SEMAK KENDIRI 3.1
Jelaskan prinsip asas pemerolehan bahasa yang diketengahkan oleh
tokoh aliran Nativisme.
3.2 INTERAKSIONISME
Teori Interaksionisme pula melihat pembelajaran bahasa sebagai alat interaksi dan
proses ini melibatkan aspek mental dan linguistik. Teori ini turut menekankan
betapa pentingnya proses pembentukan hipotesis mengenai undang-undang
bahasa dalam sesuatu pembelajaran itu (Atiqah Aiza, 2013).
3.2.1 Teori Fungsional Halliday
Salah satu teori interaksionisme ialah teori fungsional. Teori fungsional dipelopori
oleh Halliday. Ia berkembang pada tahun 60-an dan 70-an. Ahli-ahli bahasa teori
ini bukan sahaja mengkaji bahasa dari segi strukturnya tetapi juga memberikan
perhatian kepada fungsi bahasa. Menurut mereka fungsi bahasa dalam
masyarakat sangat penting dan menegaskan bahasa sebagai alat komunikasi. Hal
ini bermakna kajian bahasa bukan semata-mata tertumpu kepada struktur, iaitu
bentuk-bentuk bahasa, tetapi juga terhadap perubahan-perubahan yang berlaku
pada bentuk-bentuknya semasa seseorang itu berkomunikasi.
Antara ciri-ciri pembelajaran yang diketengahkan oleh teori ini ialah:
(a) Kanak-kanak menguasai bahasa kerana mereka ingin memenuhi keperluan
untuk berinteraksi dalam masyarakat;
(b) Selepas kanak-kanak berjaya menguasai fungsi ujaran bahasa, mereka akan
menguasai pula fungsi informatif bahasa itu;
(c) Sistem bahasa kanak-kanak berupaya menyatakan satu-satu fungsi,
sementara bahasa orang dewasa mengandungi lebih daripada satu fungsi;
(d) Situasi sosial penting dalam pemerolehan bahasa kanak-kanak;
(e) Membantu kanak-kanak menguasai peraturan-peraturan bahasa;
(f) Menggunakan struktur bahasa yang betul dalam aspek tatabahasa;
(g) Penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa;
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
24 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
(h) Mementingkan komunikasi atau interaksi yang berasaskan pendekatan
komunikatif; dan
(i) Sistem tatabahasa kanak-kanak boleh menyatakan dua perkara dalam satu
masa.
Dalam teori ini, bahasa dikatakan mempunyai tiga fungsi utama iaitu untuk:
(a) Menyampaikan idea − Kita berfikir dan berkongsi pandangan serta pendapat
dengan orang lain (fungsi kognitif);
(b) Menyampaikan maklumat − Bahasa mempunyai keupayaan menyampaikan
maklumat mengenai penutur; dan
(c) Berkomunikasi dan berinteraksi.
Dalam teori ini juga, sistem bahasa yang digunakan oleh masyarakat untuk
berkomunikasi bukan merupakan satu sistem yang tertutup dan statik, tetapi
terbuka dan dinamik. Sistem ini bukan sahaja berdasarkan kepada undang-
undang tatabahasa semata-mata, tetapi juga berdasarkan peraturan
penggunaannya yang ditentukan oleh peraturan sosial sesuatu masyarakat itu.
Asas elemen dalam struktur bahasa berdasarkan kepada kekuatan dan keteguhan
wacana dan semantik dan bukannya sintaksis. Makna tidak sahaja didasarkan
kepada struktur bahasa tetapi juga makna sosial yang mengambil kira ciri-ciri
paralinguistik seperti bahasa badan dan bahasa isyarat yang digunakan oleh
penutur semasa berkomunikasi.
Teori ini menekankan bahawa penggunaaan dalam bahasa adalah lebih penting
berbanding kegunaannya seperti yang terdapat dalam peraturan-peraturan
bahasa. Namun, struktur nahu tidak diketepikan langsung. Contohnya, ayat di
bawah dianggap betul untuk digunakan dalam pertuturan seharian:
A : Kami nak gi pasar, kamu nak ikut?
B : Tak, kami nak pergi ke padang, terima kasih.
Walaupun begitu, dalam bahasa tulisan atau penulisan, bahasa yang digunakan
haruslah mengikut laras bahasa formal yang digunakan berasaskan kepada
sesuatu situasi dan tujuan tertentu dalam masyarakat. Sifat bahasa dinamik dan
statik menyebabkan terdapatnya variasi-variasi dalam penggunaan bahasa.
Variasi ini timbul hasil daripada keadaan sosial sesuatu masyarakat.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 25
3.2.2 Teori Kecerdasan Pelbagai
Teori Kecerdasan Pelbagai telah diasaskan oleh Howard Gardner, seorang ahli
psikologi berketurunan Jerman dari Universiti Havard. Beliau adalah antara ahli
psikologi yang terkemuka dan berpengaruh. Howard Gardner bertugas sebagai
profesor dalam bidang pendidikan dan kognitif di Havard Graduate School of
Education. Beliau juga memegang jawatan Profesor Neurologi di Jabatan
Perubatan Universiti Boston dan Pengarah Bersama dalam Project Zero di
Harvard.
Howard Gardner (1983) menjelaskan, kecerdasan ialah kebolehan menyelesaikan
masalah ataupun mencipta produk yang akan dihargai oleh sesuatu budaya.
Beliau menyatakan setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya sembilan
kebolehan mental yang berasingan atau bebas, iaitu kecerdasan.
Sehingga kini, beliau telah mengenal pasti sembilan jenis kecerdasan iaitu:
(a) Kecerdasan pertuturan (verbal) atau linguistik;
(b) Kecerdasan logikal atau matematik;
(c) Kecerdasan visual atau spatial;
(d) Kecerdasan muzik;
(e) Kecerdasan kinestatik;
(f) Kecerdasan intrapersonal;
(g) Kecerdasan interpersonal;
(h) Kecerdasan naturalis; dan
(i) Kecerdasan eksistensial.
Gardner (1983) telah mendefinisikan kecerdasan sebagai tahap keupayaan atau set
keupayaan yang membolehkan seseorang menyelesaikan masalah atau
menghasilkan produk yang mempunyai nilai dalam satu atau lebih budaya.
Berdasarkan definisi tersebut, dapatlah dirumuskan bahawa kecerdasan ialah
kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan harian
sebenar, kebolehan menjana masalah baru untuk diselesaikan; dan kebolehan
mencipta sesuatu produk atau perkhidmatan yang bernilai dalam ruang lingkup
budaya sesebuah masyarakat.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
26 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Justeru itu, teori ini mempunyai cara yang lebih pluralistik untuk mengukur
kefungsian mental, iaitu pelbagai cara kecerdasan berfikir untuk mewakili
kecerdasan manusia. Gardner (1983) menegaskan persembahan yang cemerlang
dalam bidang-bidang tertentu seperti bahasa, muzik, sains, sukan dan daya
kepimpinan adalah berasaskan kemahiran tertentu pada peringkat awal kanak-
kanak.
Perkembangan kemahiran sosial kanak-kanak banyak melibatkan kecerdasan
verbal-linguistik, kecerdasan interpersonal dan intrapersonal.
(a) Kecerdasan Verbal-Linguistik
Kecerdasan verbal-linguistik merupakan salah satu elemen dalam Teori
Kecerdasan Pelbagai yang menerangkan tentang kebolehan seseorang
menggunakan bahasa atau perkataan dengan berkesan secara lisan atau
bertulis. Kecerdasan ini merangkumi keupayaan memanipulasi struktur
bahasa, fonologi, semantik dan dimensi pragmatik dan kebolehan
menggunakan bahasa untuk mempengaruhi orang lain, mengingat
maklumat, menyampaikan sesuatu dan memperkatakan bahasa itu sendiri
(Armstrong, 1994). Kecerdasan ini juga melibatkan kebolehan mengolah
kata-kata secara efektif untuk bertutur atau menulis.
Kecerdasan verbal-linguistik penting dalam proses sosialisasi kanak-kanak
untuk memperkembangkan bahasa, berkongsi cerita, bertanya dan lain-lain
bentuk interaksi. Campbell dan Ramey (1994) menghuraikan kecerdasan
verbal-linguistik sebagai kebolehan dalam pemerolehan, formasi dan
pemprosesan bahasa yang kompleks. Kanak-kanak yang bercakap awal,
yang seronok membuat bunyi dan pola-pola ritma; kanak-kanak yang
merupakan pembaca prolifik serta mempunyai ingatan untuk sajak, dan lirik
berkemungkinan cenderung dalam bidang kecerdasan ini.
Individu ini menyukai perkataan, kedua-dua lisan dan penulisan, dan sering
berfikir dalam perkataan. Mereka belajar dalam cara verbal, melalui
penglihatan dan pendengaran kata-kata dan biasanya mereka suka
permainan kata-kata. Armstrong (1994) pula mengatakan kecerdasan
linguistik adalah kemampuan menggunakan kata-kata secara efektif.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 27
Ciri-ciri Kecerdasan Verbal-Linguistik
Pendidik perlu mengenal pasti ciri-ciri perkembangan Kecerdasan Verbal-
Linguistik kanak-kanak supaya mudah dalam mentaksir dan mengesan
tahap perkembangan. Hasil pentaksiran ini membantu pendidik dalam
melaksanakan tindakan intervensi yang sesuai berdasarkan tahap
keupayaan masing-masing.
Howard Gardner (1983) dalam teorinya menyatakan bahawa individu yang
mempunyai kecerdasan linguistik ini boleh dilihat berdasarkan ciri-ciri
kebolehan dalam aspek bahasa. Menurut Campbell dan Ramey (1994),
lazimnya kanak-kanak yang memiliki kecerdasan verbal-linguistik
berkebolehan untuk:
(i) Memanipulasikan struktur atau peraturan bahasa, fonologi atau bunyi-
bunyi bahasa, semantik atau makna-makna bahasa dan dimensi
pragmatik atau penggunaan praktikal bahasa;
(ii) Menggunakan bahasa untuk mempengaruhi orang lain, mengingat
maklumat, menyampaikan sesuatu dengan bahasa yang baik, dan
mahir dalam memperkatakan tentang bahasa itu sendiri;
(iii) Menyampaikan cerita dan berjenaka dengan bahasa yang boleh
memikat audiens;
(iv) Mudah mengingati nama, tempat, tarikh dan perkara remeh-temeh;
(v) Gemarkan permainan perkataan;
(vi) Suka membaca buku;
(vii) Menulis perkataan dengan betul dan menghasilkan karangan dengan
baik;
(viii) Fasih menyebut perkataan dengan tepat;
(ix) Suka mendengar cerita dan mudah menguasai banyak perbendaharaan
kata;
(x) Menggunakan bahasa yang sesuai dan betul ketika berkomunikasi dan
lain-lain;
(xi) Menggunakan bahasa bagi melahirkan perasaan dan berkomunikasi;
(xii) Menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar;
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
28 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
(xiii) Menjana masalah baharu untuk diselesaikan dan kebolehan membuat
sesuatu atau menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam
lingkungan sesuatu budaya;
(xiv) Berargumentasi, meyakinkan orang lain, menghibur atau mengajar
dengan efektif dengan menggunakan kata-kata yang kritis dan
gramatis; dan
(xv) Menguasai kemahiran dan gemar membaca serta dapat menggantikan
bahasa lisan kepada tulisan dengan jelas.
(b) Kecerdasan Interpersonal
Kemahiran interpersonal adalah kemahiran yang digunakan oleh seseorang
untuk berinteraksi dengan orang lain dengan baik. Kecerdasan interpersonal
penting kepada keupayaan kanak-kanak untuk bergaul dengan orang lain
dan menyesuaikan diri dengan persekitaran sosial yang baharu.
Kemahiran interpersonal merupakan kemahiran hidup yang digunakan
setiap hari untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain secara
individu dan dalam kumpulan. Kemahiran interpersonal penting dalam
kehidupan peribadi dan sosial. Kanak-kanak yang mempunyai keperibadian
yang baik biasanya dapat dilihat melalui personaliti sebagai optimis, tenang,
yakin dan mampu menarik perhatian orang lain.
Kanak-kanak yang mempunyai kemahiran interpersonal boleh dilihat
melalui ciri-ciri berikut:
(i) Kemahiran Berkomunikasi secara Verbal
Berkomunikasi lisan atau bercakap yang berkesan adalah bergantung
pada beberapa faktor dan tidak boleh diasingkan sepenuhnya dengan
kemahiran-kemahiran penting interpersonal seperti komunikasi bukan
lisan dan kemahiran mendengar. Lazimnya, mereka boleh bercakap
dengan suara yang jelas, tetap tenang dan fokus, bersikap sopan dan
berkeyakinan.
Dalam konteks pendidikan awal, kanak-kanak diasuh untuk
mewujudkan kontak mata, memandang audiens, berdiri dengan yakin
sambil mengeluarkan suara dengan jelas. Banyak aktiviti yang boleh
digunakan untuk mengembangkan kemahiran ini seperti bercerita,
menyanyi, berpuisi, berlakon dan membaca di hadapan rakan-rakan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 29
Pendidik boleh meningkatkan tahap penguasaan kemahiran
interpersonal ini melalui peneguhan yang berterusan. Penggunaan
kata-kata semangat, gerak isyarat bukan lisan seperti mengangguk
kepala, riak muka yang gembira dan tepukan boleh mengukuhkan
keselesaan berhadapan dengan orang lain. Galakan dan pengukuhan
positif yang boleh diberikan antaranya ialah seperti:
• Menggalakkan kanak-kanak lain mengambil bahagian dalam
perbincangan secara berkumpulan;
• Menyatakan kekuatan dan kelebihan semasa persembahan;
• Memberi peluang membina hubungan dengan orang lain;
• Meredakan kebimbangan dan memberi keyakinan sekiranya ada
kekurangan berlaku;
• Tunjukkan kemesraan dan keterbukaan dengan sokongan yang
meyakinkan; dan
• Tidak menunjukkan rasa malu, bimbang, takut atau rasa cemas di
hadapan kanak-kanak.
(ii) Kemahiran Komunikasi Bukan Verbal
Komunikasi interpersonal adalah lebih daripada makna yang jelas
tentang mesej yang disampaikan. Pemahaman mesej yang tersirat
perlu ditunjukkan melalui tingkah laku bukan lisan. Komunikasi
bukan lisan termasuk riak muka, nada dan pic suara, gerak isyarat yang
dipaparkan melalui bahasa badan dan pergerakan fizikal.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
30 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Pendidik atau pengasuh boleh menerapkan kemahiran berkomunikasi
bukan lisan dengan cara:
• Mengangguk kepala sebagai tanda bersetuju dengan orang lain;
• Mengangkat bahu tanda kurang setuju;
• Ekspresi wajah yang sedih, gembira atau penuh tanda tanya;
• Mengukuhkan hubungan melalui sentuhan;
• Memberi maklum balas positif; dan
• Tunduk sebagai isyarat telah selesai berbicara.
(iii) Mendengar
Mendengar ialah keupayaan untuk menerima dengan tepat dan
mentafsir maklumat dalam proses komunikasi. Mendengar
merupakan aspek paling utama kepada komunikasi yang berkesan.
Tanpa keupayaan untuk mendengar dengan baik, mesej mudah
disalah faham.
Mendengar memerlukan tumpuan dan perhatian kepada cerita,
maklumat atau arahan. Justeru, semasa memberi arahan, pendidik
perlu menggunakan bahasa dan suara, isyarat badan iaitu
menggunakan kedua-dua mesej lisan dan bukan lisan.
(iv) Berbincang dan Berunding
Perbincangan atau perundingan ialah satu kaedah menyelesaikan
perbezaan pendapat. Perundingan melibatkan proses kompromi untuk
mewujudkan persetujuan tanpa perbalahan dan pertengkaran.
Kemahiran ini melibatkan kesediaan mempraktikkan prinsip-prinsip
keadilan, mencari kebaikan dan mengekalkan hubungan sebagai kunci
untuk berjaya.
(v) Menyelesaikan Masalah
Banyak pihak boleh mendapat manfaat daripada kemahiran
menyelesaikan masalah. Keupayaan untuk menyelesaikan sebarang
masalah dengan cekap dan tepat boleh membantu mengurangkan
konflik dengan orang lain.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 31
(vi) Membuat Keputusan
Kebanyakan orang boleh bercakap dan boleh berbincang tetapi sukar
dan kurang yakin untuk membuat keputusan. Dalam konteks harian,
kanak-kanak perlu belajar membuat keputusan seperti memilih
makanan untuk makan tengah hari, memilih warna, memilih buku dan
sebagainya.
(vii) Ketegasan dan Penerimaan
Ketegasan adalah kemahiran yang perlu diasuh dalam komunikasi
sosial. Ketegasan penting dalam mempertahankan hak-hak sendiri
atau orang lain dengan cara yang tenang dan positif, tanpa
menunjukkan tingkah laku agresif atau penerimaan yang salah. Kanak-
kanak yang tidak menguasai ketegasan akan rasa kurang keyakinan
diri semasa berinteraksi dengan orang lain.
3.2.3 Model Interaksi Sosial: Vygotsky
Lev Vygotsky merupakan ahli psikologi Rusia yang pada asalnya mendalami ilmu
perubatan tetapi akhirnya mempelajari bidang undang-undang dan
kesusasteraan. Beliau menekankan peranan sosial dan budaya dalam
perkembangan kanak-kanak. Menurut beliau, kebanyakan daripada kemahiran
kognitif terhasil daripada interaksi sosial kanak-kanak dengan persekitaran sosial
yang hampir. Lazimnya orang dewasa yang hampir dengan kanak-kanak ialah ibu
bapa, guru, rakan-rakan dan pengasuh. Perkembangan kognitif kanak-kanak
terhad disebabkan oleh sistem biologi yang belum matang. Terdapat dua faktor
utama dalam perkembangan kognitif kanak-kanak menurut Lev Vygotsky iaitu
interaksi sosial dan kemahiran berbahasa.
Menurut Vygotsky lagi, perkembangan kognitif berlaku dalam dua peringkat
iaitu:
(a) Peringkat sosial yang mana maklumat yang diperoleh hasil daripada
interaksi antara dua orang individu seperti ibu bapa, rakan-rakan dan jiran;
dan
(b) Peringkat kedua ialah peringkat individu iaitu kebolehan individu menukar
maklumat dan pengetahuan yang diperoleh daripada interaksi sosial kepada
kefahaman individu.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
32 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Vygotsky terkenal dengan idea Zon Perkembangan Proksimal. Menurut Vygotsky
beberapa kemahiran yang sukar dilakukan oleh kanak-kanak boleh dijayakan
dengan bantuan dan bimbingan orang-orang dewasa atau rakan sebaya yang lebih
mahir. Secara ringkasnya, dalam Zon Perkembangan Proksimal terdapat had atas
dan had bawah. Had atas ialah kemahiran yang boleh dicapai dengan bantuan
individu yang lebih mahir manakala had bawah bermaksud kemahiran yang telah
dicapai sendiri oleh kanak-kanak.
Konsep perancah atau scaffolding juga merupakan teori yang diasaskan oleh
Vygotsky. Scaffolding bermaksud mengubahsuai tahap sokongan yang diberikan
dan ia berkait rapat dengan zon perkembangan proksimal. Perbualan dan interaksi
ialah dua alat yang penting semasa proses perancah untuk kanak-kanak mendapat
konsep-konsep baharu melalui cara yang lebih sistematik.
Menurut Vygotsky lagi, berkomunikasi dengan diri sendiri atau monolog boleh
dijadikan salah satu langkah dalam membantu perkembangan kanak-kanak agar
mereka dapat mengawal tingkah lakunya sendiri. Malah, kanak-kanak yang sering
bercakap dengan diri sendiri lebih cekap dalam kemahiran sosial berbanding
kanak-kanak yang tidak bercakap sendiri. Hasil kajian menunjukkan kanak-kanak
yang bercakap dengan diri sendiri akan memberikan impak positif terhadap diri
mereka kelak.
Sumbangan paling penting Vygotsky ialah tentang hubungan antara
perkembangan bahasa dan pemikiran. Vygotsky menjelaskan bahawa terdapat
perkaitan yang jelas dan mendalam antara ucapan, sama ada ucapan dalaman
senyap atau dalam bahasa lisan. Kedua-dua kemahiran ini melibatkan
pembangunan konsep mental dan kesedaran kognitif. Vygotsky menyifatkan
ucapan dalaman sebagai berbeza secara kualitatif daripada ucapan luar atau lisan.
Walaupun begitu, beliau percaya ucapan dalaman dibangunkan daripada ucapan
luaran melalui proses beransur-ansur atau internalisasi iaitu, peralihan dari luar
kepada dalaman. Vygotsky menegaskan bahawa kematangan ucapan dalaman
yang menggunakan bahasa formal tidak sama dengan bahasa dalam pertuturan
(ucapan luaran). Perkara ini perlu diajar dengan jelas.
SEMAK KENDIRI 3.2
Kaitkan prinsip-prinsip asas pemerolehan bahasa yang ditegaskan oleh
Vygotsky dengan memberi contoh-contoh percakapan harian kanak-
kanak-kanak di taska dan tadika/prasekolah.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 33
3.3 BEHAVIORISME
Dalam ilmu psikolinguistik, terutamanya berkaitan dengan konsep pemerolehan
dan pembelajaran bahasa, terdapat satu teori khusus iaitu Teori Behaviorisme atau
Pelaziman. Teori Pelaziman terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu Pelaziman
Klasik (Pavlov) dan Pelaziman Operan (Thorndike dan Skinner).
Kita akan berbincang tentang teori-teori ini dengan lebih lanjut dalam bahagian
ini.
3.3.1 Teori Pelaziman Klasik
Teori ini dipelopori oleh Ivan Petrovich Pavlov (1849 – 1936) (iaitu seorang sarjana
dari Rusia. Teori ini menekankan sifat kelakuan atau tabiat semula jadi. Teori ini
juga menekankan pembelajaran sebagai satu perubahan dalam bentuk atau
frekuensi tingkah laku. Dalam bentuk pendekatan kelakuan (behaviour), tingkah
laku pelajar dinilai sebelum memulakan pengajaran. Pembelajaran memerlukan
penyusunan rangsangan (stimulus) dalam persekitaran supaya pelajar dapat
memberikan tindak balas dan diberikan pengukuhan atau peneguhan.
Bagi mengkaji tabiat manusia, Pavlov telah memilih seekor anjing untuk
melaksanakan kajian beliau. Anjing tersebut dikurung di dalam satu kandang khas
dengan kelengkapan loceng.
Berikut adalah cara bagaimana kajian ini dilaksanakan:
(a) Anjing memberikan tindak balas iaitu mengeluarkan air liur apabila melihat
makanan;
(b) Loceng dibunyikan, tetapi anjing tidak memberi sebarang tindak balas (tidak
mengeluarkan air liur kerana tiada makanan);
(c) Loceng dibunyikan dan makanan diberikan kepada anjing. Anjing
memberikan tindak balas dengan mengeluarkan air liur; dan
(d) Loceng dibunyikan tanpa makanan. Anjing memberikan tindak balas
dengan mengeluarkan air liur. Anjing terangsang kerana setiap kali loceng
dibunyikan, makanan akan diberikan.
Kajian ini membuktikan bahawa tindak balas terhasil akibat rangsangan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
34 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Rajah 3.2 menyatakan tiga konsep penting dalam Teori Pelaziman Klasik.
Rajah 3.2: Konsep-konsep Teori Pelaziman Klasik
Sekarang mari kita lihat konsep-konsep tersebut dengan lebih lanjut.
(a) Generalisasi
Dalam Teori Pelaziman Klasik, istilah generalisasi digunakan bagi
menunjukkan maksud rangsangan yang sama akan menghasilkan tindak
balas yang sama.
Misalnya, Kamal menjadi risau setiap kali ujian Matematik akan diadakan.
Kamal juga menjadi risau setiap kali ujian Fizik akan diadakan, kerana
kedua-dua mata pelajaran tersebut mempunyai perkaitan antara satu sama
lain. Oleh itu, kerisauan dalam satu mata pelajaran (Matematik) telah
digeneralisasikan kepada satu mata pelajaran (Fizik).
(b) Diskriminasi
Diskriminasi berlaku apabila individu bertindak balas terhadap sesuatu
rangsangan yang tertentu sahaja dan tidak bagi rangsangan yang lain.
Berdasarkan kajian terhadap anjing, didapati anjing tersebut hanya
bertindak balas apabila mendengar bunyi loceng sahaja, tetapi tidak pada
bunyi selain loceng. Dalam kes Kamal, dia tidak akan menjadi risau jika
mengambil ujian Geografi atau ujian Sejarah, kerana kedua-dua mata
pelajaran tersebut tidak sama dengan mata pelajaran Sains.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 35
(c) Penghapusan
Penghapusan berlaku apabila rangsangan terlazim tidak disertai dengan
rangsangan tidak terlazim. Dalam kajian Pavlov, bunyi loceng tidak
disertakan rangsangan tak terlazim (diberi makanan). Dalam hal ini, lama-
kelamaan bunyi loceng tadi tidak akan merangsang anjing tersebut untuk
mengeluarkan air liur. Tindak balas akhir akan terhapus dan prinsip ini
dikenali sebagai penghapusan.
Berdasarkan kajian di atas, dapat disimpulkan bahawa dalam sesuatu proses
pembelajaran akan berlaku perkara yang berikut iaitu berlakunya proses
penghapusan, pembelajaran semula dan proses pemulihan serta-merta. Ini dapat
diperhatikan di dalam Rajah 3.3.
Rajah 3.3: Proses penghapusan, pembelajaran semula,
dan pemulihan semerta
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
36 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Dalam konteks pendidikan awal kanak-kanak, idea-idea konsep Teori Pelaziman
Klasik banyak dipraktikkan oleh guru atau pengasuh untuk membentuk disiplin
dan tingkah laku kanak-kanak secara berulang, konsisten dan berterusan. Aplikasi
teori ini dapat dilaksanakan melalui aktiviti rutin di pusat pendidikan awal kanak-
kanak. Aktiviti rutin ialah aktiviti yang dijalankan pada setiap hari dan diberi
peruntukan masa yang khusus secara konsisten. Aktiviti rutin merangkumi
perbualan awal, rehat dan penutup.
(a) Rutin Perbualan Awal
Rutin perbualan awal bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dari aspek
mental dan emosi untuk mengikuti pembelajaran pada hari tersebut dengan
lebih fokus. Antara aktviti semasa rutin perbualan awal ialah guru atau
pengasuh berkongsi idea dan maklumat, bercerita, menyanyi dan
sebagainya untuk merangsang perkembangan bahasa secara verbal yang
bertatasusila, menambah kosa kata dan menerapkan tingkah laku sosial
dengan cara yang baik. Waktu yang diperuntukan ialah lebih kurang 10
hingga 20 minit sehari.
(b) Rutin Rehat
Rutin rehat merupakan sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran.
Ia dilakukan semasa rutin makan dan minum. Antara lain, kanak-kanak
diasuh dengan adab-adab sebelum, semasa dan selepas makan secara
berulang dan berterusan setiap hari.
(c) Rutin Penutup
Dalam rutin penutup, kanak-kanak diasuh membuat refleksi, menilai rutin
asuhan dalam seting pusat pendidikan awal kanak-kanak, menerapkan nilai-
nilai murni, pematuhan kepada peraturan-peraturan dalam seting pusat
pendidikan awal kanak-kanak dan amalan seperti beratur dan mengikut giliran.
3.3.2 Teori Pelaziman Operan
Teori Pelaziman Operan pula merupakan kesinambungan daripada Teori
Pelaziman Klasik. Teori ini dipelopori oleh Thorndike dan Skinner.
(a) Teori Pelaziman Operan (Thorndike)
Menerusi teori ini, Thorndike (1874 – 1949) berpendapat bahawa:
(i) Manusia belajar menggunakan kaedah cuba jaya;
(ii) Ganjaran dan denda merupakan dua faktor penting dalam membantu
pembelajaran manusia;
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 37
(iii) Pembelajaran manusia berlaku mengikut hubungan antara rangsangan
dan gerak balas; dan
(iv) Motivasi, ganjaran dan denda amat penting dalam proses
pembelajaran.
Beliau mengemukakan teori perikatan dikenali sebagai Teori R-G
(Rangsangan dan Gerak balas). Teori R-G menjadi asas tiga hukum
Thorndike iaitu:
(i) Hukum Kesediaan (HK);
(ii) Hukum Latihan (HL); dan
(iii) Hukum Kesan (HK).
Beliau menggunakan seekor kucing sebagai bahan kajian beliau (Rajah 3.4).
Rajah 3.4: Model kajian Thorndike
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
38 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Berikut adalah bagaimana kajian ini dilaksanakan:
(i) Kucing diletakkan di dalam sangkar dan makanan diletakkan di luar
sangkar.
(ii) Kucing bertindak melakukan beberapa percubaan untuk keluar dari
kurungan sangkar. Ini dinamakan kaedah cuba jaya.
(iii) Pelbagai reaksi: Apabila terpijak selak pintu, sangkar itu terbuka.
(iv) Kucing tersebut akan melakukan kaedah cuba jaya sekiranya dikurung
semula ke dalam sangkar itu.
Jadual 3.1 meringkaskan prinsip-prinsip Utama Pelaziman Operan
(Thorndike) berserta penjelasannya.
Jadual 3.1: Prinsip-prinsip Pelaziman Operan (Thorndike)
Prinsip-prinsip Penerangan
Prinsip kesediaan Kesediaan dari segi psikomotor, efektif dan kognitif sebelum
memulakan sesuatu pembelajaran.
Prinsip latihan Latihan yang diulang-ulang untuk meningkatkan kemahiran
atau penguasaan terhadap isi pembelajaran.
Prinsip kesan Kesan yang menyeronokkan untuk meningkatkan pertalian
antara ransangan dan gerak balas.
(b) Burrhus Frederic Skinner
Seorang lagi tokoh penting dalam teori Pelaziman Operan ialah Skinner.
Nama penuh beliau ialah Burrhus Frederic Skinner (20 Mac 1904 – 18 Ogos
1990). Beliau merupakan behaviorisme Amerika, penulis, pencipta, ahli
falsafah sosial dan penyair. Beliau merupakan seorang Profesor Psikologi di
Universiti Harvard dari 1958 sehingga persaraan beliau pada tahun 1974.
Skinner mengasaskan Teori Pelaziman Operan, iaitu inovasi Falsafah Sains
yang dikenali sebagai Behaviorisme Radikal. Beliau juga menubuhkan
sekolah sendiri tentang penyelidikan uji kaji psikologi, iaitu kajian terhadap
tingkah laku. Melalui kajian beliau, beliau telah memperkenalkan istilah
Perlakuan Lisan, yang kemudiannya telah menyaksikan pengaruh yang
besar dalam bidang psikologi dan pendidikan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 39
Sumbangan besar beliau dalam psikologi ialah kejayaan beliau mencipta
perakam kumulatif untuk mengukur kadar maklum balas sebagai
sebahagian daripada kerja beliau yang sangat berpengaruh. Berdasarkan kaji
selidik 2002, Skinner telah disenaraikan sebagai salah seorang ahli psikologi
yang paling berpengaruh pada abad ke-20. Beliau merupakan seorang
penulis prolifik yang menerbitkan 21 buku dan 180 artikel.
Teori Pelaziman Operan (Skinner)
Menurut Skinner (1953), kajiannya menunjukkan pelaziman operan
organisma bertindak balas terhadap persekitaran dalam proses pembelajaran.
Pelaziman operan meningkatkan kebarangkalian pengulangan sesuatu gerak
balas. Peneguhan biasanya dapat menambahkan kebarangkalian gerak balas
yang akan berlaku. Perlakuan harus diperhatikan dalam jangka masa yang
panjang, sehingga perlakuan yang mudah membentuk perlakuan yang
kompleks.
Bagaimanakah kajian ini dilaksanakan? Skinner telah menggunakan seekor
tikus putih sebagai bahan kajian beliau.
Implikasi penting yang diperoleh melalui kajian ini ialah:
(i) Tingkah laku haiwan di dalam kotak boleh dikawal dan gerak balasnya
boleh diperhatikan dan direkod;
(ii) Kajian ini membawa beliau kepada penggunaan Teori Pelaziman
Operan dalam aktiviti PdP atau pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah; dan
(iii) Teori Pelaziman Operan boleh diperkuat dan dihapuskan jika
diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas itu ditunjukkan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
40 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Prinsip-prinsip yang terhasil ialah:
(i) Pengukuhan Positif
Pengukuhan positif memberikan sesuatu ganjaran setelah perlakuan
ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan diulangi atau diperkuatkan
lagi.
Contohnya:
Perlakuan Positif Akibat/kesan Tingkah Laku Masa Hadapan
Murid menghasilkan Guru memuji Murid akan menghasilkan
karangan yang murid. lebih banyak karangan yang
bermutu. bermutu.
(ii) Pengukuhan Negatif
Pengukuhan negatif ialah rangsangan serta-merta yang tidak selesa
atau menyakitkan yang diberikan selepas sesuatu tingkah laku
ditunjukkan.
Contohnya:
Perlakuan Negatif Akibat/kesan Tingkah laku Masa Hadapan
Murid tidak memberi Guru tidak Murid semakin tidak memberi
perhatian terhadap PdP guru.
perhatian terhadap PdP menegur
di dalam kelas. murid.
(iii) Dendaan
Dendaan ialah satu proses atau tatacara untuk melemahkan atau
mengurangkan berulangnya tingkah laku yang tidak diingini.
Tegasnya, dendaan adalah kesan negatif yang membawa kepada
pengurangan dalam kekerapan berlakunya tingkah laku tersebut.
Menurut ahli-ahli Teori Pelaziman Operan ini, sesuatu tabiat boleh
dilazimkan menerusi proses latih tubi, iaitu memberikan rangsangan-
rangsangan tertentu kepada organisma dan mendapatkan gerak balas atau
tindak balas tertentu kepada organisma secara berulang kali. Teori ini juga
menekankan konsep ganjaran iaitu apabila sesuatu organisma/individu
berjaya melakukan apa-apa yang diminta (seperti mengeja/mengira), maka
ganjaran pelbagai bentuk seperti pujian atau hadiah akan diberikan kepada
individu tersebut.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 41
Berdasarkan teori ini juga, pemerolehan bahasa kanak-kanak boleh
dilakukan dengan cara latih tubi atau diulang-ulang. Misalnya, kanak-kanak
tidak dapat mengenali huruf vokal dan konsonan bahasa Melayu.
Bagaimanapun jika proses latih tubi dilakukan, kanak-kanak tersebut akan
dapat mengenal dan mengingat kesemua huruf tersebut.
Kaedah abjad yang dilakukan menekankan pada peringkat paling awal
murid dikehendaki menghafal kesemua 26 huruf dari a hingga z. Kemudian
guru menggabungkan huruf konsonan dan vokal untuk membentuk
pelbagai suku kata.
Misalnya:
(i) Sa+ya = Saya;
(ii) Ma+kan = Makan;
(iii) A+yam = Ayam; dan
(iv) Na+si = Nasi.
Kanak-kanak dikehendaki membaca atau mengeja suku kata ini dalam
kumpulan besar, kumpulan kecil dan juga dalam kalangan individu.
Selepas kanak-kanak dilatih tubi membaca suku kata yang pelbagai, guru
akan mencantumkan pula beberapa suku kata tadi menjadi perkataan
mudah seperti saya, makan, nasi, ayam dan sebagainya. Kemudian guru
akan mengajar pula membaca frasa (rangkai kata) dan seterusnya ayat.
Semua peringkat pengajaran yang dilalui oleh kanak-kanak murid
menggunakan konsep latih tubi, dan ganjaran diberikan di mana sesuai atau
perlu. Jadual 3.2 menyatakan rumusan Teori Pelaziman Operan (Skinner).
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
42 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Jadual 3.2: Rumusan Teori Pelaziman Operan (Skinner)
Teori Rumusan
Rangsangan Guru menyediakan BBM untuk menarik perhatian murid.
Gerak balas Kanak-kanak yang terangsang dengan BBM akan memberi respons
(misalnya memberi perhatian sepenuhnya terhadap PdP).
Pengulangan/ Pengulangan PdP boleh dilakukan jika murid belum menguasai PdP
Latih tubi tersebut.
Peneguhan Berlaku apabila kanak-kanak sudah menguasai PdP atau objektif
tercapai.
Ganjaran Ganjaran dalam pelbagai bentuk seperti pujian, hadiah dan sebagainya.
Menurut Skinner (1957) pemerolehan bahasa ialah struktur semula jadi, atau
fungsi, otak manusia. Secara semula jadinya, pada peringkat umur 3 hingga
10 bulan, kanak-kanak paling mudah untuk belajar bahasa secara
keseluruhan. Antara ciri-ciri pembelajaran yang diketengahkan oleh teori ini
ialah:
(i) Bahasa merupakan hasil operasi daripada rangsangan yang diberi dan
kanak-kanak mempunyai tindak balas terhadap rangsangan.
(ii) Bahasa bergantung pada ciri-ciri naluri dan bukan ciri-ciri mental.
(iii) Kanak-kanak belajar bahasa melalui persekitaran dan didikan sejak
kecil daripada ibu bapa.
(iv) Individu belajar bahasa berdasarkan pengalaman sendiri.
(v) Bahasa dikaji berdasarkan data yang boleh diukur seperti yang
diucapkan.
(vi) Kemahiran berbahasa diperoleh hasil latihan, latih tubi atau
pengulangan sebutan.
(vii) Kemahiran mekanis meniru bahasa ialah proses latih tubi dan tiada
kaitan dengan proses mental.
(viii) Mementingkan aspek lisan.
(ix) Tidak mempunyai sistem bahasa.
(x) Analisis bahasa menggunakan konsekuen iaitu mengikut rentak.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA 43
SEMAK KENDIRI 3.3
Jelaskan persamaan dan perbezaan antara Teori Pelaziman Klasik
dengan Teori Pelaziman Operan.
• Psikologi merupakan satu bidang ilmu yang menumpukan pengkajian kepada
dua perkara utama, iaitu yang berkaitan dengan jiwa manusia (akal budi) dan
perilaku atau tingkah laku manusia.
• Linguistik pula ialah bidang yang mengkaji bahasa secara saintifik.
• Antara aliran teori pemerolehan bahasa yang terkenal ialah:
− Aliran Nativisme;
− Aliran Interaksionisme; dan
− Aliran Behaviorisme.
• Teori pelaziman menekankan pembelajaran sebagai satu perubahan dalam
bentuk atau frekuensi tingkah laku.
• Terdapat dua teori pelaziman iaitu:
− Pelaziman Klasik; dan
− Pelaziman Operan.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)
44 TOPIK 3 TEORI PERKEMBANGAN BAHASA
Burrhus Frederic Skinner Pemerolehan bahasa
Edward Thorndike Psikolinguistik
Ivan Petrovich Pavlov Teori Behaviorisme
Noam Chomsky
Armstrong, T. (1994). Multiple Intelligences in the Classroom. Alexandria, VA:
ASCD.
Atiqah Aiza. (2013, Mac 8). Teori Interaksionalis dalam Teori Pemerolehan Bahasa
[Blog]. Dimuat turun dari http://atiqahaiza.blogspot.my/2013/03/teori-
interaksionalis-dalam-teori.html
Azlina Abu Bakar @ Mohd. (2002). Psikologi personaliti individu. Shah Alam,
Malaysia. Karisma Publications Sdn. Bhd.
Campbell, Frances A. & Ramey, Craig T. (1994). Effects of early intervention on
intellectual and academic achievement: a follow up study of children from
low income families. Child Development, vv. 65, pp. 684-698.
Gardner, H. (1983). Frames of Mind. New York, NY: Basic Book Inc.
Skinner, B. F. (1957). Verbal behavior. Englewood Cliffs, NJ: Prentice-Hall.
Hak Cipta © Open University Malaysia (OUM)