PENGEMBARA
YANG LAPAR
Adaptasi daripada Dewan Pelajar. Disember 1989.
Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi,
Buyung dan Awang yang sedang mengembara.
Mereka membawa bekalan makanan seperti
beras, daging, susu dan buah-buahan.
Apabila penat berjalan mereka berhenti dan
memasak makanan. Jika bertemu kampung,
mereka akan singgah membeli makanan untuk
dibuat bekal dalam perjalanan.
Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan
tebal. Di kawasan itu mereka tidak bertemu
dusun atau kampung. Mereka berhenti dan
berehat di bawah sebatang pokok ara yang
rendang.
Bekalan makanan pula telah habis. Ketiga-tiga
sahabat ini berasa sangat lapar. “Hai, kalau
ada nasi sekawah, aku akan habiskan
seorang,” tiba-tiba Kendi mengeluh.
Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar.
Badannya disandarkan ke perdu pokok ara.
“Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh
ekor pun sanggup aku habiskan,” kata Buyung
pula.
“Janganlah kamu berdua tamak sangat dan
bercakap besar pula. Aku pun lapar juga. Bagi
aku, kalau ada nasi sepinggan sudah cukup,”
Awang bersuara.Kendi dan Buyung tertawa
mendengar kata-kata Awang.
“Dengan nasi sepinggan, mana boleh
kenyang? Perut kita tersangatlah lapar!”
ejek Kendi. Buyung mengangguk tanda
bersetuju dengan pendapat Kendi.
Perbualan mereka didengar oleh pokok
ara. Pokok itu bersimpati apabila
mendengar keluhan ketiga-tiga
pengembara tersebut lalu menggugurkan
tiga helai daun.
Bubb! Kendi, Buyung dan Awang
terdengar bunyi seperti benda terjatuh.
Mereka segera mencari benda tersebut
dicelah-celah semak. Masing-masing
menuju ke arah yang berlainan.
“Eh,ada nasi sekawah!” Kendi menjerit
kehairanan. Dia menghadap sekawah
nasi yang masih berwap. Tanpa berfikir
panjang lalu dia menyuap nasi itu dengan
lahapnya.
“Ayam panggang sepuluh ekor! Wah,
sedapnya!” tiba-tiba Buyung pula
melaung dari arah timur. Serta-merta
meleleh air liurnya. Seleranya terbuka.
Dengan pantas dia mengambil ayam
yang paling besar lalu makan dengan
gelojoh. Melihatkan Kendi dan Buyung
telah mendapat makanan, Awang
semakin pantas meredah semak.
Ketika Awang menyelak daun kelembak,
dia ternampak sepinggan nasi berlauk
yang terhidang. Awang tersenyum dan
mengucapkan syukur kerana mendapat
rezeki. Dia makan dengan tenang.
Selepas makan, Awang rasa segar.
Dia berehat semula di bawah pokok
ara sambil memerhatikan Kendi dan
Buyung yang sedang meratah
makanannya.
“Urgh!” Kendi sendawa. Perutnya amat
kenyang. Nasi di dalam kawah masih
banyak. Dia tidak mampu menghabiskan
nasi itu. “Kenapa kamu tidak habiskan
kami?” tiba-tiba nasi di dalam kawah itu
bertanya kepada Kendi.
“Aku sudah kenyang,” jawab Kendi.
“Bukankah kamu telah berjanji akan
menghabiskan kami sekawah?” Tanya
nasi itu lagi. “Tapi perut aku sudah
kenyang,” jawab Kendi.
Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan
mengejar Kendi. Kawah itu menyerkup
kepala Kendi dan nasi-nasi itu menggigit
tubuh Kendi. Kendi menjerit meminta
tolong.
Buyung juga kekenyangan. Dia cuma
dapat menghabiskan seekor ayam
sahaja. Sembilan ekor ayam lagi terbiar
di tempat pemanggang. Oleh kerana
terlalu banyak makan, tekaknya berasa
loya.
Melihat baki ayam-ayam panggang itu,
dia berasa muak dan hendak muntah.
Buyung segera mencampakkan ayam-
ayam itu ke dalam semak.
“Kenapa kamu tidak habiskan kami?”
tiba-tiba tanya ayam-ayam panggang itu.
“Aku sudah kenyang,” kata Buyung.
“Makan sekor pun perut aku sudah
muak,” katanya lagi.
Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam
jantan dari celah-celah semak di
kawasan itu. Mereka meluru ke arah
Buyung.
Ayam-ayam itu mematuk dan
menggeletek tubuh Buyung. Buyung
melompat-lompat sambil meminta tolong.
Awang bagaikan bermimpi melihat
gelagat rakan-rakannya.
Kendi terpekik dan terlolong. Buyung
pula melompat-lompat dan berguling-
guling di atas tanah. Awang tidak dapat
berbuat apa-apa. Dia seperti terpukau
melihat kejadian itu.
Akhirnya Kendi dan Buyung mati.
Tinggallah Awang seorang diri. Dia
meneruskan semula perjalanannya.
Sebelum berangkat, Awang mengambil
pinggan nasi yang telah bersih. Sebutir
nasi pun tidak berbaki di dalam pinggan
itu.
“Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya
jangan sombong dan tamak. Makan biarlah
berpada-pada dan tidak membazir,” kata
Awang lalu beredar meninggalkan tempat
itu.
Pengajaran :
1. Orang tamak selalu rugi.
2. Jangan membazir.