Adaptasi daripada Himpunan 366 Cerita Rakyat Malaysia. 2007. Othman Puteh dan
Aripin Said. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Kononnya, ada sebuah istana terletak di
tebing sebatang sungai. Rajanya
mempunyai tujuh orang puteri. Baginda
amat sayang kepada Puteri Bongsu.
Di tebing sebelah istana ada
sebuah pondok buruk.
Penghuninya seorang
perempuan setengah umur.
Kerjanya bertani.
Perempuan itu sangat inginkan
seorang anak. Pada suatu hari, dia
minum air di sebuah tempurung.
Selepas itu dia mengandung lalu
melahirkan seekor beruk. Ia
dinamakan Beruk Tunggal.
Setelah besar, Beruk Tunggal
menolong ibunya bertani. Tahun
itu padi menjadi tetapi diserang
tikus. Beruk Tunggal menangkap
semua tikus yang menyerang
padinya. Kemudian dia mencari
Raja Tikus.
Apabila bertemu, Raja Tikus itu
diberi amaran. Raja Tikus
ketakutan kerana ia tahu Beruk
Tunggal jelmaan seorang anak
raja kayangan.
“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan
tuanku,” kata Raja Tikus.
“Padi aku sudah habis. Apakah tindakan
kamu?” Tanya Beruk Tunggal.
“Hamba akan suruh rakyat hamba
mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus.
“Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk
Tunggal.
Kemudian, segala tikus itu datang
membawa butir emas. Banyaklah emas di
pondok Beruk Tunggal.
Beruk Tunggal meminta emaknya
meminang puteri raja. Emaknya pun pergi
ke istana.
Raja terkejut mendengar permohonan
perempuan itu. Namun raja menyampaikan
juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh
orang puterinya.
“Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri
Sulung. Puteri yang lain turut hairan.
Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-
santun sahaja yang sanggup menjadi
isteri Beruk Tunggal.
Raja dan permaisuri kasihan kepada
Puteri Bongsu. Baginda meminta
hantaran sebentuk cincin berlian.
Pada fikiran raja, tentulah
perempuan miskin itu tidak berdaya
menyediakannya.
Beruk Tunggal memohon kepada
ayahandanya, Raja Kayangan. Pada
malam itu, ayahanda Beruk Tunggal
menghantar secupak cincin berlian.
Emak Beruk Tunggal pun
mempersembahkan cincin berlian
yang secupak itu ke istana.
Dia meminta baginda memilih
sebentuk cincin yang sesuai. Raja
tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu
pun dikahwinkan dengan Beruk
Tunggal.
Selepas itu baginda tidak mahu mereka
tinggal di istana. Puteri Bongsu
mengikut Beruk Tunggal tinggal di
pondoknya. Pada malam pertama,
Puteri Bongsu menemui sarung beruk.
Esoknya, Beruk Tunggal tidak
bersarung lagi.
Dia bertukar menjadi seorang pemuda
yang kacak.
“Kekanda sebenarnya putera Raja
Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu.
Taburkan sedikit debunya di luar
pondok.
Pintalah sesuka hati adinda,” kata
putera Raja Kayangan.
Puteri Bongsu mengikut suruhan
putera raja itu. Sebentar itu juga
pondoknya bertukar menjadi istana,
lengkap dengan taman yang indah.
Pengajaran
Jangan mencuri hak orang lain.
Jangan memandang hina kepada
orang miskin.