Ucaptama
KONVENSYEN NEGERI PERAK 2022
PARTI AMANAH NEGARA KALI KE-7
Oleh
YANG BERHORMAT DATO’ HAJI ASMUNI BIN AWI
PENGERUSI AMANAH NEGERI PERAK PERTAMA,
SESI TAHUN 2019-2022
TERUS MENGGALAS AMANAH
اَل ْح ْم ُد للهِ ا ْل ُمتَفَ ِض ِل ا ْل َم ْح ُم ْو ِد ،ال َّر ِح ْي ِم ا ْل َو ُد ْو ِد ،ا ْل َم ِل ِك ا ْل َم ْعبُ ْو ِد
ا ْل َم ْع ُر ْو ِف بِ َك َما ِل ا ْل ِك َر ِم َوا ْل ُج ْو ِد ،أَ ْح َم ُد اللهَ َعلَى ِنعَ ِم ِه ا ْل َم ْم ُد ْو ِد،
َصلاَةً َو َسلاَ ًما َعلَى ا ْل ُمفَ ِر ِد ا ْل ِع ْل ِمَ ،س ِي ِدناَ ُم َح َّم ٍد َو َعلَى آ ِل ِه
َو َص ْحبِ ِه َو َم ْن َد َعا ِب َد ْع َو ِت ِه ِإلَى يَ ْو ِم ال ِد ْي ِن ،أَ َّما بَ ْع ُد.
] [ SALUTASI
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah, atas izin dan inayahNya, marilah kita dengan hati yang penuh
tawaduk menyampaikan ucapan syukur, dapat kita bersama berhimpun di
dewan yang indah ini, bagi menjayakan Konvensyen Negeri Perak 2022 Parti
AMANAH Negara.
2. Ucapan terima kasih kepada tetamu yang budiman, Perasmi Majlis kita pada
pagi ini, YB Dato’ Wira Haji Mahfuz Bin Omar, Naib Presiden AMANAH,
yang sudi hadir menyantuni AMANAH Perak seterusnya merasmikan
Konvensyen Negeri Perak 2022 Parti AMANAH Negara.
3. Tidak saya lupakan kepada pimpinan akar umbi semua, pejuang-pejuang
rakyat yang tidak pernah luntur keazaman untuk merealisasikan islah buat
negeri yang kita cintai ini khususnya dan negara ini amnya, perwakilan dari
dua puluh empat kawasan, sayap-sayap Pemuda dan AWAN serta seluruh
anggota yang mengikut majlis ini hari ini.
4. Saya ingin mulakan kalam ucapan saya ini dengan sepotong ayat Al-Quran
dari Surah Ayat
MEMAHAMI DENYUT NADI RAKYAT
5. Dalam keadaan yang semakin tidak menentu pada hari ini, baik dari aspek
politik, ekonomi dan kehidupan rakyat, Malaysia seolah-olah sudah hilang
kompas hala tuju dan pengurusan yang tidak membantu menyelesaikan
masalah rakyat.
6. Sejak tahun lalu, kenaikan kos sara hidup semakin menjadi-jadi dan dalam
keadaan banyak negara menyediakan pelan dan perancangan untuk
mengurangkan beban yang ditanggung rakyat, Putrajaya masih kelam dan
kabur tanpa solusi yang konkrit.
7. Harga Ayam, Minyak Masak, Sayur-Sayuran, barang keperluan asas lain,
hampir semuanya meningkat pada kadar yang sangat menekan dan
membebankan.
8. Dengan alasan yang tidak munasabah, kerajaan di bawah BN dan PN, kekal
begitu, dan hanya menyajikan jawapan politik menyelamatkan diri.
9. Akan kaji, akan selidik, akan teliti, akan pantau, akan bentang, akan umum,
akan mesyuarat, semua jenis ‘akan’ menjadi jawapan mereka kepada rakyat.
10.Apa yang lebih menjengkelkan, dalam keadaan rakyat semakin lemas, mereka
sibuk mencatur strategi dan bermain politik untuk selamatkan diri dan
survival parti masing-masing.
11.Dalam sibuk mereka bergaduh dan bertelagah, dedah mendedah, cabar
mencabar, cakar-mencakar, tikam-menikam, tanpa mereka sedar, pelabur
semakin menjauhkan diri, ringgit terus jatuh menjunam.
12.Menurut Ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid,
penurunan ringgit akan menjadikan kos sara hidup tinggi, yang berpunca dari
kos import yang tinggi.
13.Persoalannya, apakah mereka sedar bahawa keadaan rakyat semakin melarat
dengan apa yang berlaku pada hari ini dan apakah mereka tidak ada langsung
empati pada rakyat.
14.Oleh yang demikian, sebagai sebuah parti yang benar-benar memahami
denyut nadi rakyat, melalui program turun padang dan melihat sendiri
keadaan rakyat di lapangan, kita harus bertekad dengan bersungguh-sungguh,
mengubah keadaan yang berlaku dengan kembali mengambil alih tampuk
pentadbiran negara.
15.Kita tidak boleh biarkan keadaan terus melarat, dengan negara dan negeri ini
dipimpin oleh parti yang pentingkan hal mereka dan kleptokrat semata-mata
lebih daripada kepentingan rakyat jelata.
MEDIA DAN KOMUNIKASI
16.Statistik terbaharu pengguna media sosial di Malaysia adalah seramai 27 juta
pengguna atau 86% jumlah penduduk di Malaysia.
17.Jumlah ini adalah peningkatan yang sangat ketara sejak pendemik Covid-19
yang mana rata-rata rakyat Malaysia terpaksa menggunakan peranti yang
tersedia perkhidmatan internet kerana perlu menggunakan aplikasi
MySejahtera untuk mendaftar masuk ke mana-mana premis.
18.Di samping itu, pelajar dan mahasiswa atau mereka yang perlu mengikuti
pembelajaran secara atas talian juga turut menyumbang kepada peningkatan
pengguna media sosial.
19.Berdasarkan kepada perkembangan ini, dunia politik juga akan terkesan dan
peralihan kepada media sosial dalam kempen-kempen politik akan menjadi
saluran utama berbanding media tradisional.
20.Ini satu anjakan yang perlu untuk kita semua pelopori dan manfaatkan. Kita
tidak boleh lagi mengharapkan cara lama semata-mata dalam membawa mesej
atau kempen politik tetapi medium dalam media sosial ini perlu
dimaksimumkan.
21.Persediaan untuk menyediakan content atau kandungan politik yang berfakta
dan bermaklumat sebagai pencerahan kepada rakyat perlu diperbanyakkan.
22.Penguasaan kepada media sosial dalam menyampaikan naratif politik kita dan
melawan tohmahan lawan perlu dipertingkatkan.
23.Usaha kepada menyediakan laskar cyber yang bertamadun, yang tidak
membabi buta mengeluarkan komen liar, perlu menjadi agenda parti sekali
gus membezakan kualiti pendokong parti kita dan lawan.
24.Mengambil perkembangan apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Presiden
Filipina 2022, kemenangan Ferdinand Marcos Junior, antara faktornya adalah
penguasaan media sosial yang meluas dalam meraih sokongan kepadanya.
25.Malah dilaporkan, dalam kempen-kempennya di media sosial, terdapat berita
yang palsu dan tidak logik namun dipercayai oleh pengundi dan memberi
sokongan kepadanya.
26.Di Malaysia, kita juga telah lihat bagaimana seorang kleptokrat yang
sudahpun didapati bersalah di mahkamah, dilihat begitu yakin dengan
sokongan dalam media sosialnya untuk keluar dan menyertai kempen pilihan
raya partinya.
27.Dengan ini, kita perlu segera memperhebat dan memperkemaskan komunikasi
menerusi media sosial dalam berdepan dengan kerencaman pengundi
seterusnya mendapatkan kepercayaan rakyat untuk memberi sokongan kepada
kita.
PENGUKUHAN ORGANISASI
28.Peribahasa lama kita menyebut, ‘bersatu teguh, bercerai kita roboh’. Ia adalah
suatu ungkapan yang indah dan mudah tetapi menuntut kekuatan peribadi
bersama untuk merealisasikan. Disiplin parti atau adab berjemaah perlu wujud
dan dipraktiskan.
29.AMANAH Perak telah mempunyai rangkaian asas yang lengkap bagi
memacu langkah mendapat keyakinan daripada rakyat dalam PRU yang akan
datang ini. Kekuatan organisasi seperti sebuah parti politik antaranya adalah
rangkaian dalaman antara organ-organ parti yang saling bantu membantu dan
memperkukuhkan antara satu sama lain.
30.Kita masih memerlukan untuk menambah cawangan dan sayap-sayap
terutama AWAN dan WARDA di kawasan-kawasan yang belum ditubuhkan.
Saya yakin, ramai wanita dan anak muda wanita yang berminat bersama
AMANAH. Hal ini perlu diambil perhatian oleh kita sebagai pimpinan di
peringkat negeri dan juga kawasan.
31.Tidak boleh dalam satu organisasi yang sebaru AMANAH ini mampu
menghadapi kerengganan dan keberantakan dalaman menjelang PRU. Ia akan
menjejaskan perjalanan mengapai matlamat perjuangan AMANAH.
32.Kita perlu akui tempoh pasca kerajaan telah menyebabkan mekanisme parti
terjejas di pelbagai peringkat. Ramai yang gugur dan mengundur diri. Tempoh
yang singkat tidak memungkinkan kita membina kekuataan organisasi kerana
fokus kita ketika itu lebih kepada mekanisme kerajaan. Tetapi ia sudah
berlalu. Yang lebih utama adalah langkah pada masa kini dalam menggarap
segala kekuatan yang masih bersisa.
33.Ahli dan organisasi ini adalah kekuatan yang masih kekal kepada kita. Jangan
ambil mudah tentang jumlah ahli, cawangan ataupun sayap. Kita perlu akui,
kita memerlukan ahli, cawangan dan sayap yang lebih banyak dan meluas.
Namun dalam keadaan yang sedia ada, saya penuh yakin bahawa AMANAH
Perak mampu mencapai sasaran lebih baik daripada keputusan PRU yang lalu
dengan kemampuan semasa parti kita.
34.Perbezaan pandangan dalam organisasi tidak harus menjadi sebab yang
menjejaskan kerukunan parti. Sewajarnya ia menjadi kekuatan dalam
memberi pelbagai dimensi demi memperkukuhkan parti. Namun perbezaan
itu juga haruslah berada dalam lingkaran organisasi.
35.Sebagai sebuah parti politik, semua keputusan dibuat melalui proses
mesyuarat dan kepimpinan secara kolektif. Pemimpin tidak boleh menjadi
seperti ‘Lone Ranger’ atau menjadi kambing liar di padang pasir. Bimbang ia
kelak akan menjadi mangsa serigala yang berkeliaran mencari mangsa.
36.Sebagai sebuah parti politik dan bergelumang dengan aktiviti politik yang
melibatkan orang awam, pemimpin perlu membawa gagasan parti ke tengah-
tengah masyarakat. Bukan memaksa masyarakat atau parti mengikut
kehendak peribadinya.
37.Dr. Siddiq Fadhil pernah menekankan peri pentingnnya persoalan ‘politic of
power sharing’ dalam tajdid siasi (pembaharuan politik). Ini melibatkan
pendekatan inklusif yang menjadi moto parti kita sejak ditubuhkan. Inklusif
bukan moto kosong tetapi unsur teras yang membawa AMANAH kekal
relevan dalam persaingan politik semasa.
38.Kita harus mengembelingkan segala kekuatan yang ada, yang pelbagai, yang
rencam ini untuk membina kekuatan dalam berhadapan monster-monster
politik yang memegang kuasa pada hari ini. Kita tiada pilihan lain. Pakatan
politik kita melalui Pakatan Harapan harus diperkukuhkan. Sesama kita kena
kuat. Sesama rakan juga perlu kukuh. Rangkaian hubungan kita tidak sekadar
bersifat horizontal tetapi harus juga vertical.
39.Presiden kita sering mengungkapkan, ‘yang buta meniup lesung; yang pekak
membakar meriam; yang kurap memikul buluh’ dalam menghargai sumber
yang ada di kalangan kita.
40.AMANAH Perak harus mengangkat ‘politic of idealism’ dalam kerangka
pemikiran masyarakat dan membawanya ke akar umbi secara praktikal. Apa
yang berlaku pada hari ini, ‘the death of political ideas’. Yang ada adalah
politik emosi. Politik khianat. Hilangnya ‘politik malu’. Menjadi sarang nafsu.
Yang pada akhirnya, rakyatlah menjadi mangsa.
KEUTUHAN PARTI / ADAB BERJEMAAH
41.Keutuhan dan kecemerlangan parti tertakluk kepada faktor-faktor berikut:
[1] Kecekalan dan kebijaksanaan pemimpin, dan
[2] Kuantiti dan kualiti anggota parti.
42.Kedua-dua faktor tersebut mestilah dibina dan dibentuk secara konsisten dan
disuburkan dengan semangat juang yang berlandaskan kepada keilmuan dan
ketaqwaan.
43.Sinergi dan keharmonian antara kepemimpinan dan keanggotaan parti
dipandu arah oleh perlembagaan, tatacara urustadbir dan proses syura parti.
Adab-adab berjemaah membabitkan aspek displin, hormat-menghormati,
tuntutan amal jamaie dan ukhuwah fillah merupakan teras kecemerlangan
parti yang harus didokong oleh semua. Asy-syahid Imam Hassan al-Banna
pernah menggariskan kewajipan anggota gerakan Islam seperti berikut:
44.“Hendaklah saudara berlaku adil, menghukum dengan yang sebenarnya dalam
semua hal. Kemarahan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang,
demikian juga keredhaan saudara jangan sampai melupakan kejahatan orang
lain. Permusuhan saudara jangan sampai melupakan kebaikan orang. Saudara
mestilah berkata benar sekalipun terhadap diri sendiri dan orang yang paling
hampir dengan saudara, sekalipun perkara itu pahit bagi saudara”.
45.Dalam usaha kita untuk mencapai kemenangan dalam PRU15 akan datang,
kita mesti berkerja sebgai suatu pasukan yang utuh dan kuat, dan setiap
anggota parti perlu bersedia untuk memainkan peranan yang
dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin. Al Marwazi menyebut
dalam kitab al Sunnah sebuah hadis Hasan yang bermaksud:
46.“Setiap lelaki dari kalangan orang Islam diamanahkan menjaga satu penjuru
dari kubu-kubu umat Islam. Demi ALLAH janganlah Islam itu dilemahkan
dari sudut yang dijaganya.”
PILIHAN RAYA UMUM KE-15
Sidang perwakilan yang dihormati,
47.Hari ini kita semakin hampir menuju Pilihan Raya Umum ke-15. Desakan
Majlis Tertinggi UMNO supaya Perdana Menteri sedia ada membubarkan
parlimen secepat mungkin menguatkan lagi spekulasi bahawa PRU15
dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada Oktober ini.
48.Jangkaan ini dengan mengambil kira faktor tarikh akhir penerbangan pulang
jemaah haji Malaysia dari tanah suci, sambutan Hari Kebangsaan serta
sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
49.Namun, di peringkat AMANAH Nasional, kita telah meletakkan count down
pembubaran parlimen lebih awal iaitu pada 1 September ini. Dan ini
bermakna kita mempunyai tempoh sekitar 2 bulan untuk membuat persiapan
sebelum parlimen dibubarkan. Sama ada parlimen dibubarkan pada bulan
September mahupun Oktober, bukanlah persoalannya. Persoalan yang lebih
besar untuk kita fikirkan dan diambil tindakan adalah, adakah jentera kita
telah benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU15.
50.Di peringkat Nasional, struktur jentera operasi telah diperkemas dari semasa
ke semasa berpandukan pengalaman kita menghadapi empat pilihan raya
negeri. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan, untuk memastikan setiap unit
dalam jentera operasi pilihan raya memahami dan melaksanakan tugas mereka
dengan sebaik mungkin.
51.Biro Pilihan Raya AMANAH Perak seawal tahun lepas lagi telah
mengarahkan supaya ditubuhkan Jentera Operasi di peringkat DUN dan
Parlimen. Namun, apa yang menyedihkan, sehingga hari ini masih ada
kawasan yang dicadangkan untuk bertanding dalam PRU15 masih gagal
untuk menubuhkan jentera operasi mereka. Adakah kegagalan ini berlaku
kerana kelesuan yang dikatakan berlaku dalam kalangan ahli ataupun
kegagalan pihak pengurusan kawasan itu sendiri.
52.Pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor jelas menunjukkan
betapa komitmen ahli dalam membantu menggerakkan jentera pilihan raya
berada dalam tahap yang amat minima. Ada kawasan yang mempunyai lebih
500 orang ahli, namun apabila dipanggil untuk membantu dalam
menggerakkan jentera pilihan raya, tidak sampai 10% ahli yang menampilkan
diri.
53.Mujurlah dalam pilihan raya negeri, kita dibantu oleh jentera dari negeri-
negeri yang lain. Namun, dalam Pilihan Raya Umum, bantuan seperti itu tidak
akan wujud lagi. Setiap kawasan dan negeri tentu menumpukan gerak kerja di
tempat masing-masing.
54.Kita tidak mahu sejarah di Johor dan Melaka berulang di Perak dalam PRU15
kelak. Hari ini, ahli-ahli kita perlu dijejaki untuk mendapatkan komitmen
mereka membantu parti dalam menggerakkan kerja-kerja pilihan raya.
55.Usaha-usaha ini perlu digerakkan dari sekarang. Walaupun mungkin di
sesetengah tempat, gerak kerja kempen melalui media sosial telah giat
dijalankan, yang tidak memerlukan ramai jentera, namun gerak kerja
bersemuka dengan pengundi harus diteruskan agar pengundi lebih mengenali
parti kita.
56.Dengan wujudnya sistem pendaftaran pengundi automatik, 50% daripada
pengundi merupakan rakyat berusia antara 18 hingga 40 tahun.
57.Pendekatan kempen kita mungkin perlu dikaji dan dibuat perubahan bagi
mendekati golongan pengundi ini. Kumpulan yang aktif dalam penggunaan
media sosial ini sudah tentu terdedah dengan pelbagai maklumat.
58.Oleh itu, saya menyeru kepada para perwakilan khususnya ketua-ketua
kawasan untuk mengambil tindakan yang proaktif dalam tempoh yang amat
singkat ini mengumpulkan ahli-ahli kita bagi membantu gerak kerja
menghadapi pilihan raya umum ke-15.
59.Betapa kencangnya tiupan angin pilihanraya sehinggakan kemana sahaja kita
pergi, maudhuk perbualan utama ialah pilihanraya. Oleh itu saya mahu semua
gerakerja yang dilakukan di semua peringkat ketika ini hendaklah mengfokus
terhadap gerakerja pilihanraya.
60.Selain daripada kursus dan taklimat, Biro Pilihan Raya (BPR) hendaklah
mengadakan pemantauan yang lebih kerap terhadap kesiap-siagaan kerusi-
kerusi yang dijangka akan ditandingi, samada Parlimen ataupun DUN.
Pilihanraya adalah suatu peperangan. Oleh itu pematuhan terhadap arahan
yang dikeluarkan adalah secara total. Untuk memastikan pencapaian tahap
kecekapan yang maksimum, kadang-kadang rombakan dan penyusunan
semula jentera di semua peringkat perlu dilakukan.
61.Data di lapangan perlu diperolehi dan dikemaskini. Cuba kenali setiap
pengundi. Bakal-bakal calon pula bukan setakat mesti mematuhi setiap
program yang diatur, tetapi mestilah juga mampu untuk mengatur program
mereka sendiri.
62.Sebagai sebuah parti yang progresif dan inklusif, AMANAH Perak akan
sedaya upaya memastikan setiap segmen dalam parti akan diwakili melalui
calon-calon pilihanraya samada veteran, anak muda, wanita dan sebagainya.
Di peringkat akhirnya, kawasan-kawasan hendaklah menerima dengan hati
yang terbuka setiap calon yang diputuskan oleh parti.
PENUTUP
63.Akhir kalam, saya ingin menyeru kepada semua untuk kita terus teguh
bersama dalam bahtera AMANAH ini bagi memastikan perjuangan
membawa obor “Islam Rahmat Untuk Semua” benar-benar direalisasikan.
64.Segala salah dan silap saya mohon ampun dan maaf.
65.Semoga amalan kita sepanjang perjalanan kita bersama, dihitung oleh Allah
s.w.t sebagai amal soleh dan pemberat untuk kita ke syurga di sana nanti.
Wabillahi Taufiq Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Konvensyen Negeri Perak 2022 Parti AMANAH Negara Kali Ke-7
The Ballroom, Ground floor, Impiana Hotel,
No. 18, Jalan Sultan Nazrin Shah, 30250 Ipoh
5 Zulhijjah 1443 / 3 Julai 2022