The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

TAJUK : SARA KHALEEDA
PENULIS : NOR FARRAH ANIS BINTI HASNU

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 491-1-farrah, 2021-12-24 02:23:26

CERPEN KANAK-KANAK

TAJUK : SARA KHALEEDA
PENULIS : NOR FARRAH ANIS BINTI HASNU

CERPEN KANAK-KANAK

SARA KHALEEDA
NOR FARRAH ANIS BINTI HASNU

“Tuan-tuan dan puan-puan, kita baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa
Pulau Pinang. Bagi tujuan keselamatan anda diminta untuk terus duduk sehingga tanda
isyarat pasangkan tali keledar dipadamkan. Bagi pihak Malaysia Airlines, Kapten Frederic
dibantu oleh Pembantu Juruterbang Mohairi serta anak kapal yang bertugas, kami ingin
mengucapkan terima kasih kerana memilih penerbangan Malaysia Airlines ke destinasi anda
dan kepada warganegara selamat pulang ke tanah air.”

Pengumuman oleh anak kapal itu membuatkan aku tersedar daripada lena. Pramugari
berkebaya motif flora berdiri di pintu pesawat. Ucapan terima kasih diungkapkan dengan nada
yang begitu sopan. Hatiku mula berdebar apabila kakiku melangkah keluar daripada pintu
pesawat menuju ke balai ketibaan. Suasana malam ini cukup dingin. Getar sanubariku kian
terasa kerana sebentar lagi aku akan bertemu dengan sepupuku, Sara Khaleeda.

Telefon bimbitku berdering. “Assalamualaikum, Farhan dan Pak Su sudah sampai?
Nak Sara jemput di mana?” tanya Sara. “Farhan tunggu Sara di Pintu 2,” jawabku. Kereta
Proton X70 berwarna kelabu yang dipandu ibu Sara berhenti di hadapanku. Bagasi merah
dan kotak berisi hadiah sudah aku letakkan di bahagian belakang. Ibu Sara memandu terus
pulang ke rumah. Aku lihat Sara begitu manis mengenakan kurung biru dan berkasut putih.

Aku dan Pak Su berdiri di depan pintu utama. Kediaman mewah milik ibu bapa
saudaraku sendiri. Ini kali pertama aku tiba di sini. Sebelum ini, Sara dan keluarganya tinggal
di Puchong Perdana. “Besarnya rumah Sara,” aku pecahkan kesunyian malam. “Rumah Sara
jarang ada tetamu, bosan juga sebab ibu dan ayah selalu pergi ke Bangkok. Sara selalu
tinggal berdua dengan Mak Som,” kata Sara sambil menunjukkan arah ke bilik tetamu.

Jam di dinding menunjukkan pukul 1.27 minit pagi. Mak Som muncul dari arah dapur
dengan membawa dua cawan minuman untuk aku dan Pak Su. Bisik Mak Som, kalau aku
lapar, boleh panggil dia pada bila-bila masa sahaja. Dia sedia memasak makanan barat atau
lauk-pauk kampung. Tak sabar rasanya menunggu pagi nanti. Mesti ada pelbagai jenis
makanan atas meja. Aku dan Pak Su lelapkan mata dek kerana keletihan.

Subuh menjelang tiba. Sayup kedengaran azan berkumandang. Aku buka daun pintu
setelah selesai solat berjemaah dengan Pak Su. Kata Pak Su, pukul 9 pagi nanti, dia mahu
keluar berjumpa dengan rakan-rakan lamanya. Aku pula akan tinggal di sini untuk membuat
persiapan sempena menyambut ulang tahun kelahiran Sara yang ke-10 tahun. Kata ibu Sara,
pihak katering akan datang pagi esok dan ibunya sudah mengupah orang yang akan uruskan
dekorasi untuk majlis tersebut. Aku, Sara dan Mak Som hanya membantu sahaja. “Mudahkan
dunia sekarang. Hanya ada duit sahaja, semua perkara jadi lebih senang,” getus hatiku.

Di ruang tamu rumah Sara, aku lihat banyak hiasan-hiasan daripada kayu dan rotan.
Aku tahu Sara suka hiasan seni yang unik sebegitu. Tidak sia-sia aku membawa hadiah
sepasang patung gajah diperbuat daripada kayu dan diukir dengan rapi. Pasti Sara menyukai
hadiah tersebut. Pak Su pula membawa hadiah sekeping lukisan keindahan alam di tepi tasik.
Pak Su seorang pelukis dan dia yang melukis lukisan itu. Sudah ramai yang menawarkan
harga yang tinggi untuk membelinya tetapi Pak Su menolaknya dengan baik kerana mahu
jadikan lukisan ini sebagai hadiah untuk Sara.

Hari telah larut petang dan beransur senja. Hingga sekarang, aku belum nampak
kelibat ayah Sara. Ibu Sara juga tidak pulang sejak keluar dari tengah hari tadi. Sara mengajak
aku makan malam di luar rumahnya ditemani kerlipan bintang dan cahaya rembulan. Aku
menuruti sahaja kehendaknya. Malam ini Mak Som masak mi goreng basah, samosa dan jus
tembikai susu. Kami makan sambil bergelak ketawa mengingat semula kenangan sewaktu
kecil dahulu. Kami berdayung sampan di sungai belakang rumah arwah nenek sehinggalah
sampan itu bocor. Kami nyaris tenggelam. Mujurlah arwah datuk datang membantu. Kisah

digigit pacat sewaktu mencari belalang di sawah padi juga menggamit memori kami. Sara
berlari seperti tidak cukup tanah disebabkan pacat itu melekat di betisnya.

Selesai makan, kedengaran bunyi enjin kereta meluncur ke garaj. Sara berlari menuju
ke kereta. “Sara sudah siap makan? Maafkan ibu ya Sara, ibu pulang lewat. Ada banyak kerja
perlu diselesaikan tadi. Ibu tidak sempat pulang lebih awal.” Ibu Sara memeluk anaknya dan
memimpin tangan Sara ke arahku. “Farhan selesa tinggal di sini? Kalau perlukan apa-apa,
jangan malu untuk beritahu,” tawarnya sambil tersenyum. Aku mengangguk tanda selesa dan
mengemas semua pinggan dan gelas untuk dicuci.

“Mak Som ooo Mak Som,” aku panggil nama Mak Som berkali-kali tetapi tiada
jawapan. Aku ketuk pintu bilik tidurnya di bahagian bawah. Juga tiada jawapan. Mungkin Mak
Som sedang mandi, bisik hatiku. Aku mahu menyatakan bahawa aku sudah mencuci pinggan
dan gelas tadi. Sewaktu aku mahu menuju ke tingkat atas, aku terdengar bunyi sesuatu.
“Shhhhhhhhhh”. Bunyi itu kedengaran aneh seperti sedang mengekori di belakangku.
Langkah kakiku berhenti di anak tangga yang terakhir. Aku pandang kiri dan kanan. Dahiku
sudah berpeluh. Dalam kegelapan, aku selimutkan diri. Pak Su masih belum pulang ke rumah.
Aku hubungi Pak Su supaya dia cepat pulang menemani aku yang sedang ketakutan. Pak Su
tiba tepat pada masanya ketika tubuhku mula menggigil. Aku menceritakan kejadian yang
berlaku tetapi kata Pak Su, itu hanya imaginasi aku semata-semata. Sepanjang di sini selama
dua hari, Pak Su belum menemui perkara-perkara aneh. Pak Su yakinkan aku bahawa tiada
apa-apa yang berlaku. Malah, Pak Su meminta aku untuk membersihkan diri dan tidur agar
tidak terfikir apa-apa yang mencurigakan.

Hari yang dinanti telah pun tiba. Sara memakai gaun merah yang sangat cantik. Di
rambutnya, diselitkan pin mutiara yang dibeli dari Sandakan, Sabah. Di luar rumah, kelihatan
banyak kereta. Itu tandanya sudah ramai tetamu yang datang. Aku berjalan menuruni anak
tangga seram itu. Meremang bulu roma bila teringat kejadian yang berlaku malam tadi. Aku
tidak akan memberitahu Sara tentang hal ini kerana aku tidak mahu dia kerisauan. Di

tanganku ada hadiah. Aku hulurkannya kepada Sara bersama-sama sekeping kad yang
tertulis sebuah puisi.

Sara Khaleeda,
Usia 10 tahun telah kita lewati
Kenangan kau dan aku tak akan terhapus dengan mudahnya
Di balik senyuman yang kau lemparkan itu
Aku akan jaga ia agar terus mekar berkembang

Sara Khaleeda,
Di coretan ini aku ungkapkan
Canda tawamu menghiburkan hatiku
Di kala ini juga hari bahagiamu
Tetaplah menjadi anak yang bersih
dan taat kepada ibu ayah

Sara Khaleeda,
Ku akan selalu mendoakanmu
Di mana aku akan selalu
Mengingatkan hari terindah ini
Di dalam kesibukanku

Tetap aku luangkan waktu untuk meraikannya

Selamat ulang tahun sepupuku, Sara Khaleeda.

Sara membaca puisi yang aku tulis sendiri. Tersipu malu dia memandang aku. Tidak
berhenti dari mulut kecilnya mengucapkan terima kasih kepada aku. Sara mengajakku pergi
ke laman rumahnya. Aku memakai berbaju Melayu cekak musang. Biarpun orang lain
mengenakan baju ala barat, aku tetap dengan budaya kemelayuan dan bangga dengan
identiti keturunanku. Upacara memotong kek bermula. Tetamu yang hadir menyanyikan lagu
Selamat Hari Jadi buat Sara. Aku pula menadah tangan memohon doa agar Sara sentiasa
dilindungi oleh Sang Maha Pencipta.

Tetamu mengerumuni bahagian makanan utama dan pencuci mulut. Ada pelbagai
juadah yang disediakan seperti nasi tomato, dalca, mi kari, pasta, donat, halwa, buah-buahan,
puding dan sebagainya. Pak Su yang memakai celana jingga datang kepadaku dengan
membawa minuman ringan. “Farhan, ada nampak Mak Som?” tanya Pak Su dengan wajah
yang aneh. Tidak pernah lagi aku lihat Pak Su berkelakuan seperti itu. Jelas kelihatan dia
sedang fikirkan sesuatu. Aku pandang sekeliling dan langsung tidak kelihatan Mak Som yang
bertubuh gempal itu. “Kenapa Pak Su? Ada sesuatu yang sedang berlaku?”. Aku mula
mendesak Pak Su untuk menjawabnya. “Ahh, tak apalah Farhan, saja Pak Su tanya”.

Pak Su kemudiannya berlalu pergi. Sedang aku memegang penyepit makanan untuk
mengambil donat, aku dengar suara teriakan. Suara itu begitu kuat. “Tolong, tolong, tolong,
tolong aku.” Lantas, aku mencampakkan penyepit itu dan berlari masuk melalui pintu dapur.
Tetamu yang hadir lari bertempiaran masuk ke dalam rumah ingin melihat apa yang berlaku.
Aku mencari arah suara itu. Aku yakin ia datang dari tingkat tiga iaitu aras paling atas.
Sepantas kilat aku tiba di pintu bilik yang terbuka luas.

Tidak terbayang di benak fikiranku, apa yang aku lihat kini benar-benar di luar
jangkaanku. Mak Som dibelit seekor ular yang sangat besar. Aku tidak tahu apa jenisnya.

Kedua-dua kaki Mak Som terikat dengan belitan ular itu. Hujung ekornya kini memasuki
lubang hidung Mak Som membuatkan Mak Som sukar untuk bernafas. Aku panik dan tidak
tahu untuk bertindak. Masa itu juga, Sara dan ibunya muncul. Sara segera mengambil senjata
tajam menikam mata ular itu. Terhambur darah keluar dan membasahi lantai bilik. Percikan
darah pekat merah terkena pakaianku. Aku tarik ekor ular itu sekuat hati dan Pak Su
menerkam ke arah badan ular itu agar Mak Som dibebaskan.

“Argghhhhhh, sakitnya,” Sara menjerit. Aku lihat kesan patukan pada tangan kiri Sara.
“Pak Su, ular ini patuk Sara. Cepat Pak Su, bantu Sara. Sara perlu ke hospital segera,” teriak
Sara. Ibu Sara koyakkan hujung gaun merah Sara dan mengikat pada bahagian bawah siku.
Sara kelihatan longlai dengan matanya hampir tertutup. Aku cuba sedaya upaya
menenangkan Sara. Pak Su membawanya ke hospital dengan bantuan tetamu yang hadir.
Ibu Sara menangis mengekori mereka ke hospital. Masing-masing terkejut dengan apa yang
berlaku. Ular yang membelit Mak Som terkulai layu. Mak Som juga dihantar ke hospital kerana
keadaanya begitu lemah akibat bergelut dengan ular berbisa itu.

“Dari mana datangnya ular ini?” Pak Cik tua itu bertanya. “Saya juga tidak pasti ia dari
mana,” jawabku yang masih dalam kebingungan. “Shhhhhhhhhh, shhhhhhhhhh,
shhhhhhhhhh,” kedengaran dari pintu sebelah. Bunyi yang sama seperti malam tadi. Aku
beranikan diri membuka pintu kecil di bahagian dalam bilik itu namun ia terkunci. Aku rapatkan
telinga di pintu. Bunyi seakan-akan seretan. Bunyi itu makin lama makin tenggelam dengan
bunyi siren. Dari jendela, aku lihat pasukan polis dan bomba tiba serentak. Mereka naik ke
tingkat atas dan memeriksa keadaan. Aku dan Pak Cik tua itu menceritakan hal yang berlaku.
Pasukan polis yang diketuai oleh DSP Kamil memecahkan pintu kecil yang berada di hadapan
kami serta saki baki tetamu yang belum beredar.

Alangkah terkejutnya apabila kami melihat pelbagai jenis ular berada dalam bilik itu.
DSP Kamil dan pasukan bomba menjumpai sebelas lagi ular eksotik, lapan ekor cicak
Tupinambis, lima ekor iguana dan tiga ekor landak raya di bilik rahsia itu. Setelah diperiksa
dan melakukan penyiasatan, pihak polis mendapati ibu dan ayah Sara telah memalsukan

permit import dan eksport bagi sindiket penyeludupan hidupan liar serta ianya menyalahi Akta
Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Mereka meletakkan haiwan-haiwan ini di rumah
sementara ianya dihantar kepada pihak ketiga untuk membawanya merentas sempadan
negara dan dijual menerusi dalam talian. Kegiatan ini telah lama dilakukan oleh mereka
termasuk Mak Som yang ditugaskan untuk memberi makanan kepada haiwan-haiwan
berkenaan.

Kini, Mak Som dan Sara menjadi mangsa. Mak Som masih lagi dirawat di hospital dan
mengalami trauma yang serius. Pihak polis mengawal rapi dan aku tidak dibenarkan untuk
menziarahi Mak Som. Sara? Sara pula masih koma. Setelah empat malam aku meratapi
menunggu khabar daripada doktor, hanya iringan doa sahaja yang aku dapat hulurkan buat
Sara. Doktor mengalami kesukaran mendapatkan ubat antivenom yang diperlukan hingga
terpaksa memohon bantuan bekalan dari negara India kerana ular yang mematuk Sara itu
adalah jenis Viper. Ibu Sara kini ditahan pihak berkuasa kerana telah melanggar undang-
undang negara. Ayah Sara diberkas pihak polis sewaktu tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur setelah rahsianya terbongkar pada hari yang sama dengan
tragedi itu. Khabarnya, ayah Sara baru pulang dari negara Vietnam untuk urusan
penyeludupan haiwan-haiwan liar.

“Farhan, mari kita balik dahulu, esok kita datang lagi tengok Sara,” kata mama. “Mama,
Farhan berat hati mahu tinggalkan Sara sendirian di sini, suatu hari nanti bila Sara sudah
pulih, kita bawa Sara pulang ke Johor Bharu ya,” ujarku dengan nada perlahan. “Jangan risau
Farhan, mama dan papa akan berusaha untuk bantu Sara, mama anggap Sara seperti anak
mama sendiri dan adik kepada kamu Farhan biarpun beza usia kamu cuma setahun. Mama
akan pastikan dia tinggal dengan kita sebab kita semua satu keluarga. Tiada kesenangan
yang hadir tanpa kesusahan. Selalu ingat pesan mama, jaga diri dan maruah keluarga kita.”
Itulah nasihat mama yang tidak akan pernah aku lupakan.


Click to View FlipBook Version