TEKS PIDATO BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH
KARNIVAL BAHASA MELAYU ZON BANDAR
TAJUK :“ BAHASA MELAYU LAMBANG PERPADUAN BANGSA”
NAMA : INAS RANIA BT M NAZOM.
“Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”
Assalamualaikum w.b.t.
Terima kasih tuan pengerusi. Salam apresiasi kepada kombinasi intelektual
kehakiman yang penuh integriti. Salam perjuangan kepada rakan-rakan yang
penuh kredibiliti.
Kata disusun indah bahasa, bibir tersenyum manis bicara, perkasa bahasa
gahnya bangsa. Berdirinya saya di pentas yang gah ini adalah bagi menzahirkan
pidato dengan bertunjang kepada gagasan bicara “Bahasa Melayu, Lambang
Perpaduan Bangsa”.
Bahasa dalam konteks pidato saya pada hari ini, sangat luas
pengertiannya. Bahasa bukan hanya dirujuk sebagai satu sistem linguistik
semata-mata tetapi turut dilihat sebagai satu citra budaya bangsa itu sendiri.
Menurut Pendeta Zaaba, bahasa merupakan citra masyarakat, budaya, akal budi,
jiwa atau roh sesuatu bangsa. Nah, amat bertepatan dengan tajuk pidato saya
pada hari ini, melalui bahasa Melayu siapa pun dapat mengenal Bangsa Malaysia.
Hadirin sekalian
Cetusan idea saya yang pertama “Bangsa Melayu , Asas Pembinaan
Negara Bangsa”. Perkara 152 Perlembangaan Persekutuan jelas menyatakan
Bahasa Melayu diisytihar sebagai Bahasa Kebangsaan negara kita. Justeru, jelas
lah di sini bagi membina sebuah negara yang berdaulat, aspek bahasa menjadi
keutamaan. Istimewanya Malaysia, bangsanya dibina daripada pelbagai kaum.
Kekuatannya diperoleh daripada kudrat pelbagai warna kulit. Kekuatan ini boleh
diterjemah melalui penguasaan satu bahasa yang sama oleh semua warganya.
Hampir semua bangsa yang punyai peradaban yang hebat, membina negara
menggunakan bahasa ibunda. Misalya, negara Jepun dengan bahasa Jepunnya,
Negara Jerman dengan Bahasa Jermannya. Oleh itu, bagi membina negara
bangsa yang hebat aspek perpaduan melalui bahasa janganlah ada kompromi.
Ibarat lidi , sebatangnya rapuh , seikatnya kukuh.
Warga dewan sekalian,
Mauduk bicara saya yang kedua, “Bahasa Melayu , Bahasa Penyatu”.
Melalui Bahasa Melayu, sebarang konfrontasi dan buruk sangka dapat dielakkan.
Walaupun masih kurang baik nahunya namun jika digunakan dalam komunikasi
seharian pasti dapat membantu merapatkan jurang perbezaan.
Pelatlah dengan pengaruh Bahasa natif , asalkan setiap kaum di Malaysia
dapat bermesra dan bertukar-tukar pendapat serta berkomunikasi dengan baik
menggunakan Bahasa Melayu. Apa yang penting semua kaum tidak kekok
berbahasa Melayu. Jika sudah tidak kekok, pasti mudah menjadi mesra. Jika
sudah terjalin mesra, pasti perpaduan akan mudah terbina kukuh di bawah
lembayung bangsa Malaysia.
Hadirin, sekalian,
Kata kunci cetusan idea saya yang ketiga, “Bahasa Melayu , Pemangkin
Bangsa Malaysia Maju”. Menyelusuri sejarah pramerdeka, pada era
kegemilangan Melayu Melaka, Bahasa Melayu telah pun diangkat sebagai Lingua
Franca, menjadi Bahasa perantara, antara rakyat jelata, kerabat diraja mahupun
pedagang seantero dunia, tidak mengira dari benua mana, sehingga menjadikan
Melaka antara wilayah termasyhur di Nusantara. Hal ini juga jelas membuktikan
bahawa di samping menjadi satu alat perpaduan, bahasa Melayu juga mampu
menjadi pemangkin kemajuan Bangsa Malaysia hingga dikenali dunia. Ibarat
pepatah kita juga mampu,“ duduk sama rendah, berdiri sama tinggi “ dengan
bangsa-bangsa lain di dunia.
Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,
Kesimpulannya, bahasa Melayu yang dituturkan kita semua mampu
menjadi satu faktor yang membuktikan “aku dan dia sama”. Warna kulit
mungkin berbeza, warna rambut mungkin tak sama, namun apabila sama
berbahasa, walau nun di hujung benua, dari Perlis hingga ke Sabah, kita tahu, di
dalam mahupun luar benua, kitalah bangsa Malaysia. Bangga menuturkan satu
bahasa yang sama menjadikan kita semua sepunya.
Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum w.b.t.