PENGERTIAN IHSAN DAN HUBUNGANNYA.
Ihsan itu ialah bahawa “kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika
kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.” (pengertian berdasarkan
hadith riwayat Muslim daripada Umar bin Khattab) Yakni, mengabdikan diri kepada Allah
hendaklah dengan perasaan seolah-olah anda melihat-Nya dan jika anda tiada perasaan
melihat kepada-Nya, maka hendaklah anda merasa bahawa Allah melihatmu. Maksudnya;
ikhlas dalam beribadah atau ikhlas melaksanakan Islam dan Iman.
HUBUNGANNYA.
Ihsan merupakan salah satu sendi agama Islam di samping Iman dan Islam. Ianya penting
kerana segala perbuatan orang Islam yang mukmin akan menghasilkan Ihsan. Al-Quran
menerangkan bahawa Ihsan wajib menjadi tabiat manusia. Allah telah memberi nikmat
kepada manusia dengan Ihsan-Nya, maka manusia juga perlu Ihsan dengan nikmat ini
kepada makhluk. Al-Quran juga menyatakan bahawa manfaat Ihsan itu akan kembali kepada
tuannya. Firman Allah yang bermaksud; ”Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah)
kebaikan yang kamu lakukan ialah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan
maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra:7)
Ini adalah benar, dimana seseorang yang melakukan Ihsan akan merasa tenang yang tidak
dapat dirasakan oleh orang lain dan orang yang menerima Ihsan itu sendiri akan merasa
senang, kasih serta sayang kepada pelaku Ihsan. Ini semua memberi kebahagiaan jiwa. Al-
Quran juga mengangkat martabat Ihsan dan disertakan dengan ikhlas kepada Allah dan
kedua-dua ini disifatkan sebagai sifat yang paling tinggi yang patut ada pada seseorang yang
beragama. Allah memberi galakan untuk dikerjakan amalan-amalan baik (al-hasana) dengan
firmanNya yang bermaksud; “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat)
maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya.”
(Surah al-An’am: 160)
Ihsan memerlukan pengorbanan dan kesungguhan. Dengan sebab ini Allah memberi galakan
supaya dilakukan Ihsan dengan menerangkan kelebihan dan pahala kepada Ihsan itu untuk
memberi kesan kepada jiwa manusia dan untuk mereka menjadikannya sebagai satu tabiat
mereka.