Karangan cemerlang SPM 2019 – Bahagian B
Kebersihan itu sebahagian
daripada iman.
Agama Islam menuntut setiap manusia menjaga kebersihan kerana seperti ayat di atas
jelas menggambarkan peri pentingnya nilai kebersihan dalam hidup seorang insan lantas
memanifestasikan buruknya amalan suka membuang sampah di merata-rata tempat.
Perbuatan mazmumah ini masih lagi hangat dibicarakan di corong-corong radio serta sering
terpampang di dada-dada akhbar akan sikap masyarakat yang acapkali bersilengah dalam
menyantuni permasalahan ini. Kebejatan akhlak dalam kalangan segelintir masyarakat sering
dikaitkan dengan sikap yang tidak cakna akan kebersihan watan kerana sifat egoisme yang
menebal dalam sanubari masyarakat kontemporari sehingga menghakis nilai-nilai
kemanusiaan dalam diri. Bayangkan keadaan negara tercinta ini apabila anak watannya tidak
menghiraukan kesucian negara dan membuang sampah di merata-rata tempat tanpa
perasaan bersalah. Sudah pasti imej negara akan hancur dan tercalar kerana dipandang rendah
oleh negara-negara lain. Namun begitu, persoalan yang sering timbul dalam gawang
pemikiran ini ialah apakah langkah-langkah efektif dan proaktif yang dapat dilakukan bagi
menangani masalah yang masih lagi berlaku di negara kita ini?
Ayah dan ibu,
Ayah dan ibu,
Itulah permulaan kami,
Tirai perbincangan kini disingkap dengan bait-bait lagu dendangan seniman masyhur
negara, Allahyarham Sudirman dalam lagunya yang berjudul Ayah dan Ibu ini jelas
memaparkan besarnya peranan ibu bapa dalam kehidupan anak-anak kerana ibu bapalah
tempat anak-anak membesar sehingga berusia dewasa. Ibu bapa memainkan peranan yang
sangat penting dalam usaha menyantuni masalah pembuangan sampah yang kian
membimbangkan di negara kita. Ibu bapa seyogianya menjadi entiti mithali kepada anak
masing-masing kerana setiap perilaku orang tua pasti akan diciplak habis-habisan oleh anak-
anak, selaras dengan peribahasa Melayu ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah mengamalkan budi pekerti yang mulia dengan tidak
mengamalkan budaya membuang sampah di merata-rata tempat sebaliknya
melupuskan sampah sarap di tempat yang sepatutnya. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga
berperanan untuk mengajar kepada anak-anak akan kesan dan akibat sekiranya membuang
sampah di merata-rata tempat. Tamsilnya, ibu bapa hendaklah menjelaskan dengan
terperinci akan kesan akhir pembuangan sampah di merata-rata tempat kepada diri,
masyarakat dan negara. Sebaiknya, ibu bapa hendaklah menerapkan dalam diri anak-anak
tentang buruknya kesan pembuangan sampah di merata-rata tempat sejak usia setahun
jagung lagi. Hal ini adalah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Natijahnya, anak-
anak akan terhindar daripada amalan mazmumah seperti pembuangan sampah dalam usia
darah setampuk pinang lagi dan sentiasa mengamalkan perbuatan murni sehingga dewasanya.
Jelaslah bahawa ibu bapa berperanan penting untuk menangani masalah ini daripada
berterusan.
Masyarakat itu seperti perahu
semua hendaklah membantu
menentukan arah kemudinya,
Kata-kata yang dinukilkan oleh dramatis tersohor Norwegia, Henrik Johann Ibsen,
jelas menunjukkan peranan masyarakat dalam mengemudi negara ke arah wawasan dan
kejayaan membesarkan diri daripada belenggu amalan pembuangan sampah pada era
konvensional ini. Masyarakat kontemporari hendaklah memberi contoh teladan yang baik
kepada generasi muda. Hal ini penting agar golongan muda dapat menjadikan golongan emas
sebagai inspirasi bagi menjamin kebersihan negara kita. Sebagai tamsilnya, masyarakat
hendaklah memastikan kawasan perumahan bersih dan tidak menunjukkan perbuatan
membuang sampah kepada golongan yang lebih muda. Selain itu, masyarakat juga
hendaklah mengadakan aktiviti gotong-royong di kawasan perumahan dan
mewajibkan penglibatan masyarakat pelbagai bangsa, rupa, agama mahupun usia. Hal
ini dapat sedikit sebanyak mendidik golongan muda akan pentingnya kebersihan lantas
menghentikan sekali gus amalan pembuangan sampah. Hal ini dalah kerana dengan
mengadakan aktiviti pembersihan kawasan seperti amalan gotong-royong, pemuda dapat
menilai kesan buruk pembungan sampah kepada masyarakat dan negara. Impaknya,
masyarakat di Malaysia menyedari akan kepentingan menjaga kebersihan persekitaran lantas
menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih keadaannya. Oleh itu, jelaslah bahawa
masyarakat berperanan dalam usaha untuk menangani masalah pembuangan yang semakin
meruncing di negara kita.
Melihat daripada perspektif yang lain, langkah efektif untuk menangani masalah ini
juga termasuklah mengadakan kempen kesedaran dengan penglibatan masyarakat sekolah.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pihak sekolah juga dapat menyantuni masalah
pembuangan sampah dalam kalangan pelajarnya. Hal ini adalah kerana sekolah merupakan
rumah kedua bagi anak-anak kerana kebanyakan masanya terluang di sekolah. Selain ibu
bapa, sekolah juga berperanan mendidik muridnya agar tidak membuang sampah di merata-
rata tempat dengan mengadakan kempen di peringkat sekolah. Sebagai contohnya, sekolah
bolehlah menyahut kempen kebangsaan seperti Sayangi Alam Sekitar dengan menggalakkan
penglibatan semua pelajarnya. Hal ini dapat memberi kesedaran kepada pihak pelajar akan
keburukan amalan pembuangan sampah sesuka hati mereka di merata-rata tempat. Bukan itu
sahaja, sekolah juga boleh mengadakan pameran tentang amalan kitar semula. Sebagai
contohnya, pihak sekolah hendaklah mengadakan pameran 3R dan menyediakan tong-tong
sampah kitar semula yang berlainan warna di dalam sekolah. Impaknya, pelajar dapat
didedahkan dengan amalan kitar semula lalu dapat mengurangkan masalah pembuangan
sampah dalam kalangan masyarakat apabila anak-anak menceritakan pengalaman dan ibrah
yang dipelajari di sekolah sekembalinya ke rumah. Sudah terang lagi bersuluh, penglibatan
entiti sekolah dalam pelaksanaan kempen kerajaan merupakan satu usaha menangani masalah
pembuangan sampah di merata-rata tempat.
Lensa perbincangan kini dicapahkan pula kepada isi seterusnya iaitu pihak
kerajaan juga hendaklah menguatkuasakan undang-undang dengan tegasnya dalam usaha
proaktif bagi menangani masalah ini. Dengan menguatkuasakan undang-undang, masyarakat
yang berniat untuk membuang sampah di merata-rata tempat akan menjadi gerun untuk
berbuat sedemikian. Sebagai contohnya, pihak kerajaan hendaklah memasang kamera litar
tertutup di tempat awam dan menghukum masyarakat yang tidak bertanggungjawab dengan
hukuman dan balasan yang setimpal sekiranya didapati membuang sampah di merata-rata
tempat. Kesannya nanti, tiada seorang pun yang berani menyalahi undang-undang dengan
perbuatan tifak bermoral tersebut. Selain menguatkuasakan undang-undang, pihak kerajaan
juga perlulah memperuntukkan dana untuk membiayai kempen-kempen kesedaran yang
dijayakan oleh kumpulan aktiviti kemasyarakatan. Hal ini adalah supaya kesedaran dapat
dihidupkan dalam hati nurani masyarakat dengan jayanya kerana kelancaran program
sehingga membuahkan hasil yang diinginkan. Implikasinya, pihak kerajaan dapat membantu
menangani masalah ini agar rakyat tidak berani untuk melupuskan sampah sarap dengan
sewenang-wenangnya . Sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak kerajaan dapat menangani
masalah pembuangan sampah ini dengan penguatkuasaan undang-undang beserta
menghulurkan dana secukupnya.
Lontaran idea yang terakhir ialah media massa perlulah menyebarluaskan maklumat
dalam pelbagai platform teknologi seperti televisyen, radio dan media sosial jaringan Internet
bagi merealisasikan usaha kerajaan dan masyarakat yang telah dirancang itu. Sebagai
contohnya, media massa boleh membuat iklan dan aktiviti promosi berkaitan kempen-
kempen yang dijayakan oleh pihak kerajaan dan masyarakat. Hal ini vital dalam
menghebahkan kepada penduduk awam di seluruh negara akan keberhasilan kempen lantas
menyemai kesedaran dalam jiwa masyarakat konvensional pada era penuh cabaran ini. Pihak
media massa hendaklah menyiarkan liputan kempen membanteras amalan pembuangan
sampah di stesen televisyen nasional seperti TV1 dan sebagainya agar masyarakat berbilang
kaum di dalam negara ini dapat menyaksikan sendiri kempen dan ceramah yang diadakan.
Tambahan lagi, pihak media massa juga berperanan untuk menerbitkan dan menghasilkan
sebuah dokumentasi tentang amalan pembuangan sampah yang dapat menjejaskan diri,
masyarakat dan juga negara. Melalui dokumentasi menarik sebegini, masyarakat dapat
tersentuh jiwa raganya. Lantas sedar akan kesilapan amalan pembuangan sampah yang
pernah dilakukan pada masa lalu. Implikasinya, amalan pembuangan sampah di merata-rata
tempat dapat dikurangkan dan menjadikan persekitaran negara kita kekal bersih dan selesa.
Oleh itu, dengan mengadakan iklan serta dokumentasi tentang amalan pembuangan sampah
di merata-rata tempat dengan peranan media massa dapa menghentikan amalan buruk
tersebut daripada terus diamalkan oleh masyarakat.
Langkah beribu batu
bermula dengan langkah
yang pertama.
Kata-kata yang dinukilkan oleh Lao Tze, seorang tokoh sejarahwan terkenal jelas
menunjukkan pentingnya langkah perdana dan pertama dalam membanteras isu yang
membimbangkan iaitu pada konteks ini isu pembuangan sampah dalam kalangan segelintir
masyarakat di negara kita. Sebagai penggulung bicara akhir, marilah kita bersama-sama
berganding bahu serta menggabungjalinkan pelbagai elemen sebagai usaha efektif dan
proaktif dalam menangani masalah pembuangan sampah yang tiada indikator untuk
berkurangan amalannya dalam kalangan masyarakat. Semua pihak perlulah bekerjasama
sehabis baik dengan bersungguh-sungguh demi menjamin kebersihan negara kita, Malaysia.
Jika bukan tanggungjawab anak watan untuk menjaganya kebersihan negara ini, siapa lagi
yang akan melaksanakannya? Justeru, sebagai seorang yang mencintai negara dan ingin
menyaksikan negara menjadi kebanggaan diri, kita hendaklah menjaga kebersihan negara
dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat agar negara kita disanjung tinggi di
persada antarabangsa, setaraf dengan negara-negara maju serta bersih yang lain seperti
Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Bertepatanlah dengan peribahasa Melayu duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara- negara tersebut dari segi sahsiah, ekonomi
mahupun dari aspek kebersihan persekitarannya.