The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Marduwati Amroji, 2020-01-10 06:02:20

Karangan cemerlang SPM 2019 membaca

Karangan cemerlang SPM 2019 membaca

Karangan cemerlang SPM 2019 (2) – Bahagian B

Amalan membaca amat penting dalam setiap lapisan masyarakat bermula dari
peringkat usia setahun jagung hingga golongan atasan. Hal ini demikian kerana anak-anak
merupakan insan suci daripada segala noda dan masih kecil yang boleh dilentur untuk
menyerap segala pembacaan mereka sekali gus dapat membentuk seorang individu yang
berpengetahuan luas serta berbudi pekerti. Pembacaan yang baik dan mengandungi unsur
ilmiah yang tinggi dapat meningkatkan tahap ilmu pengetahuan serta penguasaannya dalam
pelbagai bidang bahasa. Namun, amalan membaca tidak akan menjadi jika tiada sesiapa yang
ingin menyokong usaha mereka. Oleh itu, ibu bapalah yang perlu memainkan peranan
penting bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-anak mereka seiring dengan
visi kudsi wawasan 2020 yang ingin melahirkan individu yang berpengetahuan luas dan dapat
menguasai pelbagai jenis bidang ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini. Isu amalan
membaca sering diketengahkan oleh sesetengah pemimpin di Malaysia sebagai salah satu isu
yang perlu diambil berat bermula dari sekarang demi melahirkan pemuda pemudi yang bijak
dan pandai kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jelaslah bahawa peranan
yang dimainkan oleh ibu bapa selaku orang yang amat disayangi oleh anak-anak mereka amat
penting untuk memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak.

Menelusuri fakta yang pertama , antara peranan penting bagi memupuk amalan
membaca ialah ibu bapa perlu mengajak dan membawa anak-anak mereka untuk pergi ke
perpustakaan awam yang terdekat sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tindakan ini adalah
untuk membiasakan dan menerapkan amalan membaca buku-buku yang terdapat di
perpustakaan awam tersebut memandangkan bahan pembacaan tersebut dengan usia
pembaca. Lao Tze ahli falsafah Cina ada mengatakan bahawa perjalanan seribu batu jauhnya
bermula dengan langkah pertama. Hal ini bertepatan dengan peranan ibu bapa tersebut yang
memberikan pendedahan terhadap budaya amalan membaca kepada anak-anak mereka
dengan membawa ke perpustakaan awam bersama-sama agar anak-anak berasa berpuas hati
dengan kepelbagaian buku yang terdapat di perpustakaan tersebut. Peranan ibu bapa sangat
penting untuk meneruskan budaya amalan membaca yang memang seharusnya diterapkan
dalam diri anak-anak agar mereka akan menjadi seorang anak yang amat berguna kepada
bangsa dan sekali gus dapat memajukan diri seseorang anak tersebut apabila mereka sudah
meningkat tua. Oleh itu, jelaslah bahawa inisiatif ibu bapa untuk membawa anak-anak pergi
ke perpustakaan merupakan sesuatu yang amat berharga terhadap diri nak-anak.

Lensa perbincangan kita capahkan dengan melihat peranan lain bagi memupuk
amalan membaca dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa membuat perekodan pembacaan
anak-anak mereka pada setiap minggu. Sistem ini dilakukan untuk memantau aktiviti
pembacaan anak-anak agar anak-anak sentiasa meneruskan pembacaan mereka pada setiap
hari untuk mengekalkan momentum mereka dalam pembacaan. Apabila anak-anak telah
selesai membaca satu buku pada hari tersebut, mereka perlu merekodkan dalam perekodan
tersebut beserta dengan judul buku bagi memudahkan ibu bapa mengajukan beberapa soalan
daripada cerita untuk menguji ingatan anak-anak mereka sama ada menguasai sesuatu cerita
atau tidak. Sistem ini amat baik dilakukan untuk ibu bapa yang sibuk bekerja tetapi masih
mahu yang terbaik untuk anak-anak mereka tanpa mengira waktu. Sistem perekodan ini
hamper sama dengan sistem NILAM yang sering dilakukan di sekolah yang banyak memberi
impak positif terhadap perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa
perlulah berusaha memainkan peranan penting dalam memikirkan usaha dan strategi untuk
memupuk amalan membaca dalam diri anak-anak mereka seiring dengan kata-kata mutiara
iaitu membaca jambatan ilmu.

Berdasarkan persepektif yang berbeza antara peranan penting ibu bapa bagi memupuk
amalan membaca ialah ibu bapa dapat membelikan pelbagai buku-buku ilmiah atau hikayat
sejarah terdahulu untuk anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui pembacaan ilmiah atau
sejarah terdahulu, anak-anak dapat mengumpulkan pelbagai ilmu pengetahuan yang amat
berguna untuk diri mereka dan seluruh masyarakat di negara ini. Anak-anak mereka dapat
mengetahui tentang tokoh-tokoh pahlawan Melayu sejarah-sejarah terdahulu yang sanggup
berjuang demi mempertahankan tanah air yang tercinta seperti kisah tentang Datuk Maharaja
Lela yang menentang J.W.W. Birch dan Rentap yang menentang penguasaan British di
Sarawak. Hal ini akan menyebabkan semanngat juang yang tinggi akan muncul dalam diri
anak-anak sekali gus menyedarkan mereka untuk terus mempertahankan tanah air daripada
ancaman musuh kerana orang yang mengkaji sejarah tidak akan mengulangi sejarah yang lalu
untuk kali kedua. Oleh itu, pelbagai bahan ilmiah atau sejarah terdahulu yang dibeli oleh ibu
bapa dalam memainkan peranan penting untuk memupuk amalan membaca dalam diri anak-
anak bahawa betapa pentingnya amalan membaca sejarah yang terdahulu agar kesilapan yang
sama tidak akan berulang lagi.

Jika dikaji dengan lebih mendalam, antara peranan penting ibu bapa dalam memupuk
amaln membaca dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa membawa anak-anak mereka ke
Pesta Buku Peringkat Antarabangsa mahupun peringkat negeri yang seringkali dianjurkan di
Putra World Trade Centre (PWTC) yang terletak di Kuala Lumpur. Anak-anak yang pergi ke
pesta buku ini akan mendapat pendedahan yang lebih terhadap kepentingan ilmu sekali gus
dapat menyedarkan anak-anak kepada kepentingan amalan membaca. Anak-anak yang
didedahkan dengan pelbagai jenis buku-buku tersebut akan cenderung untuk meminati amaln
pembacaan kerana merasakan pembacaan merupakan suatu yang menarik dan amat mudah
dilakukan. Ibu bapa juga dapat menolong anak-anak mereka dengan memperkenalkan kepada
anak-anak mereka buku yang sesuai menjadi bahan bacaan dengan umur mereka. Sebagai ibu
bapa perlulah memberikan perhatian yang lebih kepada bahagian bahan ilmiah yang padat
dengan ilmu berbanding pembacaan terhadap komik-komik atau bahan picisan lain yang
sesuai dibaca pada waktu santai sahaja. Anak-anak ini ibarat kain putih, ibu bapa yang akan
mencorakkannya. Bahan bacaan yang tepat diberikan kepada anak-anak maka pembentukan
pengetahuannya juga seluas lautan yang terbentang. Oleh itu, peranan ibu bapa yang perlu
dalam membawa anak-anak mereka ke pesta buku juga amat digalakkan untuk memupuk
amalan membaca.

Berdasarkan huraian di atas tentang peranan ibu bapa dalam memupuk amalan
membaca dalam kalangan anak-anak, ternyatalah memperlihatkan peri pentingnya ibu bapa
sebagai tonggak utama kecemerlangan hidup anak-anak mereka. Kecemerlangan tersebut
sudah pasti dapat diperoleh melalui hasil pembacaan yang telah diterapkan sejak usianya
setahun jagung lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak yang masih
kecil mudah memahami dan mempraktikkan segala yang dibacanya melalui bahan
pembacaan yang disediakan oleh ibu bapa mereka. Sifat mahmudah akan terus kekal dalam
diri mereka kerana pembacaan bahan ilmiah yang sudah meresap ke dalam diri sejak kecil
lagi. Anak-anak juga dapat menjadi seorang yang berguna kepada bangsa dan negara kerana
tahap ilmu pengetahuan am dan bukan amnya yang amat meluas menyebabkan mereka
menjadi panduan dan rujukan untuk masyarakat yang berada di sekeliling mereka. Selari
dengan kata-kata Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia ke-7 yang
menyatakan bahawa jika kamu ingin melihat kejayaan negara pada masa akan datang,
lihatlah kepada pemuda zaman sekarang. Jika pemuda-pemudi zaman sekarang mengamalkan
amalan membaca sudah pasti negara akan berjaya pada masa akan datang. Kesimpulannya,
ibu bapa memainkan peranan penting bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan anak-
anak kerana bangsa yang membaca ialah bangsa yang berjaya.


Click to View FlipBook Version